47-79-1-pb

Upload: png-fei-mun

Post on 19-Oct-2015

28 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

n

TRANSCRIPT

  • Journal Design + Built Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina Warisan Melayu

    Melalui Konsep Islam

    M.S. Surat, M.A. Baharum, I.M.S Usman, A.R Musa, N.M.Tawil Jabatan Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia

    436000 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan, Malaysia. [email protected]

    ___________________________________________________________________________

    ABSTRAK Islam merupakan sebuah agama yang sejahtera. Kesejahteraan dalam seni bina bermaksud bagaimana sesuatu bangunan atau kediaman yang dihasilkan mampu memberi keselesaan, ketenteraman dan memelihara penghuninya sebagai tempat berlindung. Ini adalah kerana memiliki kediaman yang selesa merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia kerana ianya merupakan keperluan asas bagi kita. Rumah sebagai tempat menjalani kehidupan seharian seharusnya dirancang dengan memerhatikan keseimbangan di antara fizikal binaan, alam sekitar dan manusia sebagai penghuninya bagi mendapat kesejahteraan hidup. Tetapi malangnya, kediaman moden orang Melayu pada masa kini sudah mengabaikan banyak faktor kesejahteraan di dalam rekabentuknya sehingga mengundang kesusahan dan ketidakselesaan terhadap penghuninya. Apa yang kita dapati kini, rumah-rumah moden Melayu yang dibina telah mengabaikan faktor iklim, keselamatan, budaya, agama dan lain-lain. Maka, kesannya kediaman tersebut bukan sahaja tidak selesa, malah tidak kondusif untuk diduduki. Menjawab mengenai semua permasalahan ke atas rumah moden kini, seni bina warisan Melayu kita adalah contoh terbaik bagaimana tukang kayu dahulu memahami kehendak alam sekitar dalam mereka bentuk rumah. Budaya masyarakat Melayu ini telah tersusun cantik selari dengan konsep Islam dan sunnah Nabi terutama di dalam bidang seni bina. Secara keseluruhannya, seni bina warisan merupakan hak milik orang-orang Melayu di mana ia jelas mengikut konsep Islam bagi mencapai kesejahteraan. Jesteru, penulisan ini mengkaji bagaimana konsep seni bina warisan tersebut dapat dilaksanakan ke atas rumah-rumah moden masa kini melalui pendekatan rumah warisan menggalakkan pengaliran udara, penggunaan pencahayaan semulajadi, rekabentuk jimat tenaga, penggunaan bahan yang mesra alam, penggunaan ruang serta mengekalkan adat dan budaya di mana boleh kita laksanakan ke atas rumah-rumah moden bagi mencapai tahap kediaman yang sejahtera. Kajian dianalisa dengan membuat perbandingan di antara seni bina moden Melayu dan seni bina warisan Melayu agar dapat dihubungkait dengan konsep kesejahteraan di dalam Islam. Hasil kajian dikembangkan bagi menuju perjalanan ke arah penghasilan identiti seni bina warisan Melayu yang berkualiti dan seterusnya mencadangkan pendekatan atau panduan dalam rekabentuk rumah kediaman agar selesa dan sejahtera untuk dihuni oleh manusia khususnya masyarakat di Malaysia. Kata Kunci: Seni bina, Warisan, Konsep Islam, Kesejahteraan.

    PENGENALAN

    Senibina merupakan seni berkaitan dengan pengaturan ruang, manakala yang dimaksudkan dengan senibina dalam konsep Islam pula adalah dibangunkan bertujuan bagi menempatkan manusia (makhlukNya) dihadapan Tuhan dengan iaitu cara memperlihatkan ruang yang diatur, dibentuk, dan disesuaikan dengan pelbagai teknik senibina. Al- Quran banyak menjelaskan kepada kita tentang senibina. Penerangan daripada wahyu Allah S.W.T sepatutnya dijadikan sumber rujukan bagi para sarjana untuk mencapai tahap kesejahteraan di dalam seni bina. Merujuk (Kamus Dewan 4, 2005), sejahtera bermaksud aman dan makmur, senang dan tenteram, terpelihara daripada bencana kesusahan, gangguan, dan sebagainya. Perkataan kesejahteraan bermaksud keselamatan, kesenangan hidup, kesentosaan dan ketenteraman. Definisi kesejahteraan

  • M.S. Surat, M.A. Baharum Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    dalam konsep Islam adalah sebuah keadaan di mana seorang dapat memenuhi keperluan asas, baik itu keperluan akan makanan, pakaian, tempat tinggal, air minum yang bersih serta peluang untuk melanjutkan pendidikan dan mempunyai pekerjaan yang mencukupi yang dapat menunjang kualiti hidupnya sehingga mempunyai status sosial yang membawa kepada status sosial yang sama terhadap sesama warga yang lain.

    ISU DAN PERMASALAHAN Rumah merupakan salah satu komponen asas dalam kehidupan setiap masyarakat. Memiliki kediaman selesa merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia. Rumah menjadi keperluan utama yang sepatutnya dimiliki semua pihak sebagai tempat berlindung dan urusan peribadi. Jika diperhatikan, peranan rumah bukan hanya sekadar tempat untuk manusia berlindung, malah ianya merupakan pentas yang mencorak kehidupan manusia. Selari dengan perkembangan ketamadunan manusia, fungsi dan reka bentuk rumah telah berubah mengikut arus permodenan. Membina rumah yang mesra alam atau rumah yang mempunyai ekologi (hubungan antara makhluk hidup dengan keadaan sekitarnya), bererti merancang pembangunan dengan pendekatan holistik. Kesedaran terhadap syarat-syarat keperluan seperti keselesaan, alam sekitar dan kehendak diri sendiri, dan juga masyarakat perlu diambil perhatian dalam mereka bentuk sesebuah rumah yang sejahtera. Rumah sebagai tempat menjalani kehidupan seharian seharusnya dirancang dengan memerhatikan keseimbangan di antara fizikal binaan, alam sekitar dan manusia sebagai penghuninya bagi mendapat kesejahteraan hidup.

    Pengabaian Faktor Iklim Tempatan

    Kita sedia maklum bahawa Malaysia merupakan negara yang beriklim khatulistiwa yang juga dikenali sebagai iklim hutan hujan tropika. Secara amnya tiada musim panas dan sejuk yang ketara, sebaliknya bercuaca panas dan lembap sepanjang tahun dengan hujan lebat yang turun pada waktu petang hampir setiap hari. Apa yang berlaku kini ialah seni bina di Malaysia terlalu mengikut gaya tertentu secara melulu dan mengakibatkan rumah direkabentuk dengan mengabaikan faktor cuaca tempatan dan menyebabkan rumah sukar disesuaikan dengan iklim setempat (Hamidon Abdullah, 2009).

    Disebabkan kadar kelembapan yang tinggi ini, kadar pengalihan udara panas adalah rendah. Keadaan ini meningkatkan risiko pertumbuhan kulat di dalam dan diluar rumah dan sekaligus mengakibatkan kualiti udara di dalam kediaman terjejas akibat kulat dan boleh memberi kesan yang buruk kepada tahap kesihatan penghuninya. Perkara ini sebenarnya telah ditekan oleh Jabatan Kerja Raya melalui garis panduan bagi mencegah kulat di bangunan.

    Gambarajah 1: Kadar kelembapan yang tinggi punca pertumbuhan kulat di kediaman

  • Journal Design + Built Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    Di dalam garis panduan tersebut, telah telah menjelaskan taburan hujan, suhu dan kelembapan yang tinggi merupakan sebahagian dari ciri utama iklim ini. Keadaan ini meningkatkan risiko pertumbuhan kulat di dalam dan diluar bangunan-bangunan di negara ini. Disebabkan itu, rekabentuk bangunan di Malaysia memerlukan penelitian yang khusus terutamanya bagi mengatasi faktor punca dan penyebab kepada masalah kulat khususnya kemasukan air dan kelembapan udara.

    Rekaan bumbung yang tidak memikirkan faktor cuaca juga mengakibatkan pancaran

    cahaya matahari terik terus ke ruangan dalaman rumah. Jesteru, sistem penghawa dingin sering dikerah ke tahap maksimum bagi menjamin keselesaan di dalam kediaman dan mengakibatkan penghuni terpaksa mengeluarkan lebih belanja bagi menampung kos operasinya. Aspek pengabaiam iklim ini juga turut diperkatakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad. Beliau menyatakan negara yang hujan turun bagaikan air terjun, fesyen bumbung leper atau flat roof yang terdapat di Amerika dan Eropah ditiru tanpa kajian. Dengan itu hampir kesemua bangunan di Malaysia tiris dan dimasuki hujan. Begitu juga tempias hujan tidak diambil kira dan tingkap cermin dan aluminium lebih merupakan saluran untuk hujan masuk dan membasahkan tirai dan karpet (Mahathir Mohamad, 1987).

    Pengabaian Pengudaraan Semulajadi

    Kita sudah sedia maklum bahawa kandungan kelembapan udara dan panas matahari yang sentiasa tinggi menyebabkan kulit kita sentiasa terasa lekit, cepat berpeluh dan menjadi tidak selesa. Fenomena iklim panas lembap ini hanya boleh diredakan dengan meniupkan angin untuk mempercepatkan proses sejatan pada kulit. Di dalam hal menyediakan keadaan terma yang selesa iaitu mencegah ketidakselesaan yang disebabkan oleh kepanasan dan kelekitan kulit ini, bekalan udara yang cukup kelajuan dan kadar tukarannya adalah diperlukan. Kajian menunjukkan, tiupan angin atau alir udara diperlukan untuk mempercepatkan peroses sejatan supaya ketidakselesaan oleh kelekitan kulit dapat dikurangkan. Proses ini sahajalah yang didapati amat berkesan untuk memberi keselesaan kepada kulit di samping penurunan suhu udara yang kerap kali amat sukar untuk dipenuhi sekiranya kita bergantung kepada kaedah semulajadi tanpa bantuan alat-alat mekanikal seperti pendingin hawa. Ini adalah kerana aspek-aspek seperti pengudaraan langsung (cross ventilation) dan pencahayaan semulajadi yang terdapat pada kediaman moden pada hari ini telah diabaikan sama sekali. Akibatnya, penghuni di dalam rumah menjadi berbahang dan tidak selesa, malah mudah cepat berpeluh walaupun kipas telah dipasang pada kadar yang maksimum.

    Gambarajah 2: Kebanyakan penghuni rumah moden mengambil langkah mudah dengan

    memasang alat penghawa dingin bagi menyejukkan kediaman masing-masing.

  • M.S. Surat, M.A. Baharum Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    Jesteru, sebahagian besar masyarakat kita bernasib malang, terutama yang tinggal di bandar. Ini kerana mereka tidak dapat menikmati kehidupan dalam rumah yang selesa dari segi budaya dan kehidupan seharian serta selesa dari segi pengudaraan dan ruang dalaman. Mereka sebaliknya tinggal di dalam kotak yang pekak, bisu dan panas (Mastor Surat, 2010). Mereka cuba untuk mendapatkan keselesaan hawa dengan memasang kipas angin dan alat penyaman udara, tetapi terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk bekalan elektik. Kenaikan tarik elektrik pada masa hadapan sudah tentu akan membebankan lagi pengguna terutamanya yang berpendapatan rendah sedangkan mereka memerlukannya untuk terus hidup dalam keadaan selesa. Alvin Boyarsky pernah menyentuh permasalahan tersebut suatu ketika dahulu. Menurut beliau, pergantungan terhadap sistem pengudaraan mekanikal menyebabkan pengguna terpaksa membazirkan wang yang banyak sepanjang hayat bagi sesebuah bangunan itu (Alvin, 1983). Selain itu, penggunaan penghawa dingin dan kenderaan bermotor ini secara tidak langsung telah menyumbang kemusnahan alam sekitar seperti pencemaran udara dan peningkatan suhu bumi. Menurut Haji Tetsu yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan alam sekitar ( Mohd. Tajuddin, 2003), kesan negatif daripada keadaan tersebut menyebabkan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan penafasan seperti asma sering melanda masyarakat di negara kita ini.

    Pengabaian Aspek Budaya Masyarakat

    Kediaman masa kini juga sudah kehilangan aspek budaya. Sebagai contoh, masyarakat Melayu makan di atas lantai dengan duduk bersila. Ini memerlukan pendekatan rekabentuk yang luas bukaan dapur dan orientasi ruang. Menurut Mohammad Tajuddin, apa yang kita lihat kini, rekabentuk dapur sering di bina kecil dan terletak di tengah-tengah dengan menganggap cara memasak masyarakat di Malaysia sama seperti di Eropah. Beliau juga juga turut mempersoaalkan permasalahan yang sama untuk upacara kemasyarakatan yang lain seperti kenduri kahwin, upacara marhaban dan berkhatan. Begitu juga dengan pengurusan jenazah, keperluan ruang tersebut semakin diabaikan oleh kebanyakan rumah moden masa kini (Mohamad Tajuddin, 2011).

    Selain itu, rumah moden masa kini sudah tidak mementingkan nilai-nilai kemasyarakatan dan budaya Melayu yang sekian lama diamalkan turun-temurun di dalam rekabentuk ruangnya. Misalnya terdapat perbezaan ketara cara makan orang Melayu dengan orang Cina. Orang Eropah berkasut di dalam rumah. Tetapi sebaliknya orang Asia tidak sedemikian. Perbezaan cara hidup antara masyarakat inilah yang dikatakan sebagai kebudayaan bagi masyarakat Melayu. Apa yang penulis dapati, kediaman moden pada masa kini sudah hilang peka terhadap perbezaan ini. Reka bentuk dapur rumah kediaman adalah contoh yang baik bagi menggambarkan maksud kenyataan bahawa kebudayaan mmpengaruhi reka bentuk seni bina. Dapur rumah orang Melayu secara tradisionalnya terletak di bahagian belakang rumah. Ia biasanya dibina sebesar ruang tamu dan kegunaannya bukan sahaja untuk aktiviti memasak tetapi juga sebagai tempat untuk menjaga anak kecil, bersosial atau sebagai persediaan untuk kenduri-kendara. Ia juga dianggap sebagai ruang untuk orang dapur. Ruang di bahagian luar dapur biasanya digunakan sebagai tempat untuk membasuh pakaian.

  • Journal Design + Built Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    (a) (b)

    Gambarajah 3: Ruang tamu yang sempit menyukarkan majlis keramaian diadakan (a) kawasan pintu masuk utama dijadikan tempat simpanan barang dan tidak menggalakkan aktiviti sosial

    antara jiran (b)

    Kini, rumah moden sekarang sudah seakan-akan meniru masyarakat Barat. Jika kita tinjau reka bentuk dapur masyarakat barat seperti Amerika dan British, didapati amat berbeza sekali. Rumah moden kini dapurnya sudah tidak diletakkan lagi di bahagian belakang tetapi di bahagian tengah. Saiznya pula kecil dan hanya boleh memuatkan seorang individu untuk memasak dengan peralatan dapur yang perlu direka bentuk secara `built-in seperti di Eropah. Dapur yang dibina di tengah-tengah rumah tidak mempunyai privasi kepada tetamu yang datang. Dapur sebegini tidak menggalakkan aktiviti sosial antara jiran dan ia juga sukar untuk digunakan bagi kenduri kendara. Ruang basahan untuk membasuh dan mengering pakaian tidak disediakan sehingga dapur terpaksa menerima beban ini.

    Bagaimana pula dengan upacara marhaban, berkhatan dan kenduri kahwin yang biasanya disambut secara meriah. Islam menggalakkan keluarga yang menyambut upacara terbabit menjemput penduduk setempat untuk meraikannya secara bersama dan sekaligus memerlukan penggunaan ruang tamu yang luas, sedangkan kediaman moden sekarang hanya mampu memuatkan satu set sofa dan perabot bagi meletakkan televesyen sahaja. Begitu juga dengan keperluan pengurusan jenazah dan bagaimana proses pemandian mayat dilakukan. dikafankan dan disembahyangkan di ruang tamu yang berkeluasan terhad sebegitu. Semua ibadat ini bukannya kemudahan semata-mata tetapi mengikut sunnah nabi dengan para sahabat baginda yang telah memandikan jenazah baginda dan menyembahyangkan di tempat baginda wafat iaitu di bilik Ummul Mukminin Sayadatina Aisyah r.a. Terdapat banyak lagi contoh budaya masyarakat Melayu di dalam kehidupan seharian di dalam rumah. Aktiviti-aktiviti seharian ini merupakan budaya bagi masyarakat Melayu yang telah ditanam kepada kita sejak turun temurun lagi.

    Terdapat banyak lagi sebenarnya masalah yang berlaku ke atas rumah moden masa

    kini. Bukankah masalah-masalah yang berlaku ini menunjukkan bahawa rumah moden masa kini sudah tidak sejahtera untuk didiami sedangkan penghuni sudah kehabisan banyak wang bagi mendapatkan kediaman yang diimpikan. Alangkah ruginya mempunyai rumah yang tersergam indah tetapi penghuninya bukan sahaja tidak selesa, malah tidak kondusif untuk diduduki. Ianya secara tidak langsung akan mengganggu penduduk untuk berinteraksi dan melakukan aktiviti harian serta menyebabkan gangguan pada kualiti hidup. Keadaan ini akan menganggu kesejahteraan hidup penghuninya secara berterusan.

  • M.S. Surat, M.A. Baharum Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    RUMAH WARISAN CONTOH SENI BINA TERBAIK DALAM MENCAPAI TAHAP KESEJAHTERAAN PENGHUNI

    Menjawab mengenai semua permasalahan ke atas rumah moden di atas, sebenarnya seni bina warisan Melayu kita adalah contoh terbaik bagaimana tukang kayu dahulu memahami kehendak alam sekitar dalam merekabentuk rumah. Sebagai contoh bagaimana rumah tradisional Melayu melambangkan cara hidup dan sikap terbuka orang Melayu itu sendiri. Menurut Rappoport, beliau telah mengenal pasti tiga teori tentang kesan persekitaran fizikal terhadap manusia. Teori-teori itu dikenali sebagai environmental determinism, environmental possibilism dan environmental probabilism. Walaupun berbeza dari segi tahap kepastian, kesemua teori bersetuju bahawa persekitaran fizikal boleh meberi kesan positif pada persekitaran sosial. Ini bermakna, jalan yang terbaik menuju persekitaran sosial yang diidam-idamkan ialah dengan mewujudkan suatu persekitaran fizikal yang sesuai (Ezrin Arbi, 1995). Ini adalah kerana seni bina yang direka dan dibangunkan oleh masyarakat Melayu dahulu telah mengambil contoh hubungan di antara alam bina dan manusia. Dalam kata yang lain, alam bina yang direka dan dibangunkan oleh manusia beserta alam sekelilingnya boleh mempengaruhi kehidupan manusia yang tinggal di dalamnya. Dalam hubungan ini, Winston Churchill (2004) pernah membuat kesimpulan bahawa we shape our buildings, thereafter they shape us. Dengan nada yang sama Rene Dobos menyatakan bahawa man shapes himself through decisions that shape his environment. Hassan Fathy, arkitek Mesir yang terkenal mengibaratkan hubungan timbal balik itu sebagai hubung kait antara siput dengan rumahnya. Siput mengeluarka zat kapur yang keras menjadi rumah siput. Sebaliknya rumah yang wujud itu menentukan bentuk siput itu sendiri. Malah seluruh cara hidup siput itu dipengaruhi oleh rumahnya.

    Jelaslah di sini, seni bina warisan boleh memainkan peranan yang penting atau setidak-tidaknya memberi sumbangan dalam usaha membina cara hidup yang sejahtera. Persoalan mengenai faktor kemanusiaan seperti yang telah dipaparkan oleh masyarakat Melayu terdahulu dalam merekabentuk kediaman tidak boleh diketepikan lagi. Sebagai contoh, masyarakat Melayu telah mengalami banyak perubahan dari segi budaya, pemikiran, berpakaian atau cara hidup sehari-harian berbanding dengan nenek moyang mereka tetapi dari segi keperluan asas atau beberapa aspek penting dalam nilai kehidupan secara konsepnya adalah sama. Jika masyarakat terdahulu memerlukan suasana kehidupan yang selesa, masyarakat pada hari ini juga memerlukan suasana kehidupan yang sama (Kamarul Afizi, 2009).

    Gambarajah 4: Rumah Tradisional Melayu merupakan contoh terbaik di dalam aspek

    pengawalan iklim dan pengudaraan.

  • Journal Design + Built Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    Seni bina tradisional Melayu adalah satu-satunya yang dapat memberi contoh yang baik dari segi aspek-aspek seperti bahan-bahan teknik, konsep dan sosial. Rupa bentuk seni bina adalah hasil dari pengaruh cara kehiduapan harian, kepercayaan, kebudayaan, sejarah, alam sekitar dan kebolehan teknikal. Cara binaan dipengaruhi oleh keadaan alam sekeliling dan kegunaan bahan-bahan tempatan (Ikmal Hisham Albakri, 1987) Alam persekitaran yang berhubung dengan bentuk muka bumi atau topologi juga sebahagian daripada unsur-unsur yang mempengaruhi sesuatu bentuk seni bina warisan terdahulu. Setiap bangunan yang wujud di tapaknya tidak dapat dipisahkan dengan sifat-sifat tapak dan keadaan topografinya. Kenyataan ini merupakan konsep Islam yang jelas terdapat pada seni bina warisan sebagaimana firman Allah:

    Dan ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya (Surah al-Jathiah: 13) Rumah Melayu tradisional mempunyai elemen rekabentuk terhadap cahaya matahari

    yang pasif, satu rekabentuk domestik yang unggul terhadap iklim panas lembap yang mempunyai peneduh yang cukup, bukaan yang banyak untuk aliran udara keluar masuk, susun atur dalaman terbuka, bertiang, ketinggian siling tinggi dan penggunaan bahan binaan ringan yang tidak memendapkan haba. Dari pengaruh inilah kesemua rumah warisan memilih gaya bentuk rumah berpanggung atau bertiang, berkolong, di mana lantainya tinggi dari permukaan tanah dan itu adalah satu cara mengurangi kelembapan dari tanah serta memberi laluan peredaran udara keluar masuk (Abdul Halim Nasir, 1985).

    Gambarajah 5: Cucur atap yang memanjang mengawal pancaran cahaya matahari terus ke

    dalam rumah dan tempias hujan

    Binaan beranda terbuka dan cucur atap yang memanjang adalah cara kawalan yang baik terhadap pancaran cahaya dan silau matahari. Rekabentuk yang terdapat pada rumah tradisional ini boleh diadaptasikan pada rekabentuk dan binaan rumah moden sekarang. Konsep keterbukaan pula masih boleh dihadirkan dalam rumah moden dengan membuat beranda atau elemen tersebut digunapakai sebagai pengganti ruang tamu. Meskipun rumah moden dibina atau direkabentuk dengan memakai bahan-bahan moden dengan penataan ruangan yang moden, konsep keterbukaan masih tetap dapat diaplikasikan. Pada rumah moden, kesan moden biasanya kelihatan pada penggunaan bahan binaan baru seperti konkrit, kaca, alumunium, dan sebagainya. Penampilan gaya tradisional masih boleh dihadirkan, misalnya dengan menggunakan elemen bahan kayu yang diukir bergaya tradisional.

  • M.S. Surat, M.A. Baharum Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    Membina rumah di iklim tropika seperti di negara kita ini hanya boleh dilakukan dengan baik jika kita memahami dan memerhati suasana keadaan sekitar yang dipengaruhi faktor alam seperti :

    i. Menggalakkan pengaliran dan pengalihan udara. ii. Penggunaan pencahayaan semula jadi. iii. Penggunaan curahan air hujan. iv. Mengurangkan penerimaan pancaran matahari dan tempias hujan. v. Rekabentuk rumah yang jimat tenaga. vi. Penggunaan bahan bangunan yang mesra alam.

    (a) (b)

    Gambarajah 6: Budaya memasak masyarakat Melayu untuk kenduri kendera (a) dan Majlis keramaian yang diadakan di rumah masyarakat Melayu

    Salah satu karakter rumah Melayu adalah penghayatan pada hubungan bermasyarakat

    dan keluarga. Dengan adanya beranda, konsep terbukanya sesuai untuk menyambut tetamu pada bila-bila masa dengan bebas di beranda tersebut. Kerangka atau struktur rumah pula menggunakan sistem tebuk-tembus dan pasak yang tidak memerlukan paku. Pembinaan rumah Melayu sebegini sebenarnya mempunyai konsep sistem pasang-siap, rumah boleh ditanggal-buka dan dipasang semula di tempat lain. Selain itu, cara binaan tanpa paku ini juga membuatkan rumah lebih anjal (flexible), sehingga ianya boleh diangkat secara gotong- royong untuk dialihkan ke tempat lain. Secara amnya, rumah ini diperbuat daripada kayu dan bertiang. Dinding diperbuat daripada kayu atau anyaman buluh dan beratapkan rumbia/nipah atau kayu. Bahan-bahan inilah yang menjadikan rumah Melayu berkait rapat dengan alam semulajadi. Kesemulajadian ini membuatkan kesan ramah dan menyegarkan terpancar dari rumah Melayu. Tingkap biasanya akan mendominasi segenap sudut pandangan rumah dan memberikan pengaliran udara yang secukupnya ke dalam rumah. Ruang dalaman mempunyai ruang terbuka yang luas dan mempunyai dinding pemisah yang minima.

    Jadi, jelas di sini seni bina warisan merupakan hak milik orang-orang Melayu di mana

    ia merupakan satu keperluan asas. Gaya dan stail bangunannya juga tidak dapat dipisahkan dengan beberapa faktor yang melibatkan cara hidup, ekonomi, alam persekitaran, iklim dan sebagainya. Maka dari faktor-faktor itulah lahirnya sebuah kediaman yang sejahtera untuk didiami.

  • Journal Design + Built Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    Gambarajah 7: Faktor-faktor bagi mendapatkan kediaman sejahtera berdasarkan penelitian & kajian ke atas rumah warisan.

    KONSEP SENI BINA WARISAN DALAM REKA BENTUK KEDIAMAN

    Jika kita perhatikan dengan lebih mendalam, budaya masyarakat Melayu ini telah tersusun cantik selari dengan konsep Islam dan sunnah nabi terutama di dalam bidang seni bina. Nenek moyang kita dahulu telah mendirikan rumah berlandaskan konsep Islam dengan baik sekali. Ini jelas menunjukkan masyarakat Melayu dahulu pakar dalam menghasilkan kediaman yang sejahtera untuk penghuninya. Peranan penting yang dimainkan oleh faktor kemanusiaan dalam pembentukan kehidupan yang sejahtera dapat dilihat dalam warisan seni bina terdahulu. Pembentukan setiap ruang, butiran seni bina atau reka bentuk tampak tempat tinggal mereka adalah faktor yang berkait rapat dengan aspek kehidupan penggunanya yang sejahtera. Tetapi kini mengapakah seni bina warisan yang sudah cantik tersusun itu semakin dipinggirkan, malah kita menggantikannya pula dengan seni bina yang diciplak dari negara luar sekaligus tidak sejahtera untuk didiami.

    Jesteru, alangkah bagusnya jika konsep seni bina warisan tersebut dapat dilaksanakan ke atas rumah-rumah moden masa kini. Pendapat ini bukan bermaksud kita perlu meniru 100% kaedah pembinaannya seperti penggunaan bahan yang mana mungkin sesetengah

    Faktor-faktor bagi mendapatkan rumah

    yang sejahtera

    Penelitian & kajian terhadap rekabentuk seni bina warisan Melayu Seni bina hebat yang pernah dibangunkan oleh nenek moyang kita. Rekabentuknya mampu menyelesaikan pelbagai masalah.

    Aspek-aspek seni bina warisan Melayu

    Iklim Panas & lembap sepanjang

    tahun Taburan hujan lebat Pancaran matahari terik

    Bahan Binaan Mesra alam Tenaga hijau Faktor

    persekitaran

    Budaya/agama Kebersendirian Aktiviti

    kemasyarakatan

    Keselamatan Berpanggung Ancaman binatang buas Banjir

    Keselesaan Pengudaraan

    langsung Keselesaan terma

    Kaedah Binaan Tanggam Binaan pasang

    siap Berpanggung

    Kesejahteraan rumah moden

  • M.S. Surat, M.A. Baharum Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    pihak menganggap ianya tidak sesuai diaplikasikan dengan peredaran kini. Tetapi apa yang dimaksudkan ialah bagaimana kita boleh mengaplikasikan pendekatan seni bina warisan tersebut di dalam reka bentuk rumah moden kini iaitu konsep bagaimana rumah warisan menggalakkan pengaliran udara, penggunaan pencahayaan semulajadi, rekabentuk jimat tenaga, penggunaan bahan yang mesra alam, penggunaan ruang serta mengekalkan adat dan budaya yang mana boleh kita laksanakan ke atas rumah-rumah moden bagi mencapai tahap kediaman yang sejahtera. Kita perlu berbangga dengan seni bina warisan kita kerana ia merupakan seni bina yang terbaik di dunia bagi mencapai tahap kediaman yang sejahtera dalam hampir ke semua elemen. Maka, jika ianya masih dikekalkan pada seni bina kini, sekaligus tahap keselesaan dan kesejahteraan penghuni boleh diperbaiki berbanding dengan apa yang sedang dialami oleh rumah-rumah moden masa kini.

    KESIMPULAN

    Oleh kerana Islam adalah satu ukuran kesejahteraaan, maka apabila Islam dilanggar maka manusia sebenarnya mengoyakkan kesejahteraan mereka sendiri dan membuka jalan kepada malapetaka. Jadi, tidak hairanlah mengapa seni bina pada masa kini tidak lagi selesa dan menjadi pilihan. Para arkitek Islam juga seperti hilang pedoman dalam mereka bentuk rumah warisan seni bina ini kerana mereka gagal mengikuti konsep kesejahteraan di dalam Islam.

    Secara keseluruhannya, seni bina warisan merupakan hak milik orang-orang Melayu di mana ia jelas mengikut konsep Islam bagi mencapai kesejahteraan. Kenyataan ini merupakan konsep Islam yang jelas terdapat pada seni bina warisan sebagaimana firman Allah:

    Dan ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya. (Surah al-Jathiah: 13)

    Dengan adanya penulisan yang mampu mencetuskan pemindahan ilmu, adalah diharapkan cetusan minda dapat berlaku terutama berkaitan seni bina warisan Melayu ini serta potensi perkembangan penggunaan bahan-bahan vernakular agar ia menjadi satu alternatif kepada bahan-bahan binaan asing. Hanya dengan cara ini sahajalah ia dapat dikembangkan bagi menuju perjalanan ke arah penghasilan identiti seni bina warisan Melayu yang berkualiti dan seterusnya mencadangkan pendekatan atau panduan dalam rekabentuk rumah kediaman agar selesa dan sejahtera untuk dihuni oleh manusia khususnya masyarakat di Malaysia.

    RUJUKAN

    Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi. 1999. Seni Bina Di Malaysia: Kritikan Tentang Seni

    Bina Islam, Identiti Nasional & Pendidikan. Johor Bahru: Penerbit UTM Press Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi. 2009. The Architectural Heritage Of The Malay

    World. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi. 2002. Identiti Seni Bina Malaysia: Kritikan Terhadap

    Pendekatan Reka Bentuk. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia Mastor Surat. 2010. Menegakkan Warisan Seni Bina Bangsa. Anjung Seri April:

    117-119. Wan Hasimah Wan Ismail. 2005. Houses In Malaysia: Fusion Of The East And The West.

    Skudai: Penerbit UTM Press

  • Journal Design + Built Mengenalpasti Tahap Kesejahteraan Seni Bina

    Volume 5, 2012 ISSN: 1985-6881

    Kamarul Afizi Kosman. 2009. Krisis Wacana: Identiti Seni Bina Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

    Mastor Surat, Rosdan Abdul Manan & Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi. 2007. Krisis Profesion Senibina: Profesionalisme, Etika & Halatuju. Serendah: Saarifah Global Resources

    Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan Malaysia. 1990. Laporan Seminar : Seminar Ke Arah Identiti Kebangsaan Dalam Senibina. Jilid I.

    Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan Malaysia. 1990. Laporan Seminar : Seminar Ke Arah Identiti Kebangsaan Dalam Senibina Jilid I

    Siti Khadijah. 2010. Seni Bina Islam: http://sitikhadijahs.blogspot.com/2010_10_01_archive.html [20 September 2012].

    Rohany Nasir, Fatimah Omar. 2006. Kesejahteraan manusia: perspektif psikologi. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

    Jabatan Kerja Raya. Garis Panduan Bagi Mencegah Pembentukan Kulat DI Dalam Bangunan. http://www.google.com.my/#hl=en&tbo=d&sclient=psy- [05 November 2012]

    Abdul Halim Nasir. 1985. Pengenalan Rumah Tradisional Melayu Semenanjung Malaysia.

    Cheras: Darulfikir Ezrin Arbi. 1997. Ke Arah Seni Bina Beridentiti Malaysia. Siri Syarahan Perdana,

    Universiti Malaya. Kuala Lumpur. Boyarski, A. 1983. Design in the Malaysian Context. Majalah Arkitek. 1:44-47 Ikmal Hisham Albakri. 2003. Forum Pendidikan Seni Bina (Architecture Education: Towards a Global Perspective), anjuran Universiti Teknologi Malaysia, 23-24 Ogos, Park

    Royal Hotel, Kuala Lumpur. Winston Churchill. 2004. Space and Building. Dlm. Marcel Danesi. Messages, Signs

    and Meaning: A Basic Textbook in Semiotics and Communication, hlm. 223. Canadian

    Scholars Press Inc.