wakaf instrumen penting membangunkan ummah

4
1 Khutbah Jumaat 26 Zulkaedah 1433H bersamaan 12 Oktober 2012M WAKAF INSTRUMEN PENTING MEMBANGUNKAN UMMAH Oleh: Ustaz Najion Jamil SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH! Di sisi Allah SWT, kedudukan semua insan adalah sama sahaja. Yang membezakan hanyalah tingkat keimanan dan ketakwaan seseorang itu.Inilah sebabnya maka kita sebagai Muslim dituntut supaya sentiasa memelihara diri agar tetap menjadi orang yang beriman dan bertakwa dengan mentaati segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Atas hakikat ini, marilah kita pergunakan kesempatan hidup yang dikurniakan Allah SWT ini untuk terus berlumba-lumba melakukan kebajikan dan amal soleh sebagai bekalan menuju kampong akhirat sejajar dengan anjuran Allah SWT dalam firman-Nya: Yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah SWT tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (S. Al-Baqarah: 148).

Upload: truongkiet

Post on 26-Jan-2017

239 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

Page 1: WAKAF INSTRUMEN PENTING MEMBANGUNKAN UMMAH

1

Khutbah Jumaat 26 Zulkaedah 1433H bersamaan 12 Oktober 2012M

WAKAF INSTRUMEN PENTING MEMBANGUNKAN UMMAH

Oleh: Ustaz Najion Jamil

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH! Di sisi Allah SWT, kedudukan semua insan adalah sama sahaja. Yang membezakan hanyalah tingkat keimanan dan ketakwaan seseorang itu.Inilah sebabnya maka kita sebagai Muslim dituntut supaya sentiasa memelihara diri agar tetap menjadi orang yang beriman dan bertakwa dengan mentaati segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya. Atas hakikat ini, marilah kita pergunakan kesempatan hidup yang dikurniakan Allah SWT ini untuk terus berlumba-lumba melakukan kebajikan dan amal soleh sebagai bekalan menuju kampong akhirat sejajar dengan anjuran Allah SWT dalam firman-Nya:

Yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah SWT tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (S. Al-Baqarah: 148).

Page 2: WAKAF INSTRUMEN PENTING MEMBANGUNKAN UMMAH

2

SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH! Islam adalah agama yang menitikberatkan soal kesejahteraan ummah secara menyeluruh.Ini kerana golongan yang kurang bernasib baik seperti kaum fakir, miskin, anak-anak yatim dan sebagainya mendapat pembelaan yang sewajarnya melalui pensyariatan ibadah zakat serta sedekah. Dalam ibadah zakat dan sedekah ini, golongan yang berada serta berkemampuan dituntut supaya mengeluarkan sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk dibelanjakan pada jalan yang diredai Allah SWT seperti membantu meringankan penderitaan serta kesengsaraan hidup mereka yang susah dan daif dalam masyarakat. Ini bererti, zakat dan sedekah merupakan instrument ekonomi bagi membangunkan ummah sekali gus mensejahterakan kehidupan masyarakat. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:

Yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah SWT, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah SWT melipatgandakan balasannya? Dan (selain itu) dia akan beroleh pahala yang besar!”(S. Al-Hadid: 11). Sehubungan dengan firman Allah SWT tersebut, Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya telah menukilkan bahawa Ibnu Mas'ud r.a telah menceritakan, "Apabila turun ayat ini, maka berkatalah Abu Dahdaah Al-Ansari r.a, "Ya Rasulullah SAW!Adakah Allah memerlukan 'pinjaman' daripada kami?" Lalu dijawab oleh Rasulullah, "Benar, wahai Abu Dahdaah!" Lantas Abu Dahdaah ra berkata, "Hulurkan tanganmu ya Rasulullah SAW", maka dicapainya tangan Rasulullah seraya berkata, "Sesungguhnya aku berikan 'pinjaman' kepada Tuhanku kebun aku ini!" Kemudian dia pergi kepada isterinya dan berkata, "Wahai isteriku Ummu Dahdaah, marilah keluar daripada sini, sesungguhnya aku telah memberikan kebun ini sebagai pinjaman kepada Tuhanku Azza Wa Jalla!" Sikap sahabat yang berlumba-lumba melakukan kebajikan mewakafkan harta seperti tanah, kebun, rumah dan sebagainya yang dimiliki bagi menyahut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya demi meraih keredaan dan ganjaran yang lebih bermakna dari Allah SWT, telah memacu Madinah tampil sebagai sebuah Negara yang aman, makmur serta kuat dari segala aspek. Ini kerana harta zakat, wakaf, dan sumber dana lainnya telah membolehkan pemerintah berupaya menyediakan pelbagai parasarana ibadah, pendidikan, sosial dan sebagainya yang menyumbang ke arah membangun dan mensejahterakan ummah secara menyeluruh. SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH! Perkataan wakaf berasal dari perkataan Arab, wakaf yang bererti menahan atau berhenti.Manakala dari segi istilah syarak, wakaf ditakrifkan sebagai menahan sesuatu benda atau harta yang suci dan halal bentuk zatnya supaya dapat digunakan untuk tujuan kebaikan dan mendapat manfaat daripadanya.Atau apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya (ain). Menyentuh tentang berwakaf ini, Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah (jariyah), ilmu yang dimanfaatkan, anak yang soleh yang mendoakan untuknya.” (HR Muslim). Dalam menafsirkan hadis ini, ahli tafsir berpendapat perkataan ‘sedekah jariah’ merujuk kepada wakaf. Ini kerana menurut mereka, bentuk sedekah yang lain tidak mengandungi unsur kekal atau berpanjangan (jariyah) seperti amalan wakaf.

Page 3: WAKAF INSTRUMEN PENTING MEMBANGUNKAN UMMAH

3

Yang pasti, mewakafkan harta merupakan satu bentuk transaksi harta yang dapat memberi faedah serta manfaat bukan sahaja kepada diri pewakaf, tetapi juga penerimanya, masyarakat Islam, malahan pihak pemerintah sendiri pun turut mendapat kebaikannya secara tidak langsung. Ini kerana, pewakaf memperoleh pahala ‘sedekah jariah’, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan, manakala dari sudut yang lain ia meringankan bebanan kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta kemudahan untuk masyarakat. Jadi, berwakaf merupakan satu amalan yang mulia dan sangat dianjurkan kerana ia bukan sahaja mengundang ganjaran pahala serta rahmat dari Allah SWT, bahkan harta yang diwakafkan itu memberi sumbangan yang besar dan bermakna terhadap pembangunan ummah dan negara. SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH! Sememangnya umat Islam di Negara kita sudah lama mengamalkan wakaf, tetapi malangnya ada di antara harta yang diwakafkan itu tidak dibangunkan sepenuhnya untuk memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat. Ini mungkin berpunca daripada andaian bahawa wakaf hanya untuk penyediaan tanah perkuburan, masjid dan madrasah islamiah sahaja.Ini menyebabkan banyak tanah wakaf terbiar tanpa digunakan serta dimanfaatkan untuk kepentingan ummah. Dianggarkan terdapat tanah seluas 9,907 hektar yang berstatus wakaf bernilai RM1.2 bilion di seluruh negara. Tanah-tanah wakaf tersebut terdiri daripada wakaf am seluas 2,186 hektar dan wakaf khas yang seluas 7,719 hektar. Sebahagian daripadanya dalam keadaan terbiar dan tidak dimajukan.Keadaan ini adalah sesuatu yang merugikan kerana ada di antara tanah-tanah berkenaan yang mempunyai potensi untuk dibangunkan secara komersial untuk memberi faedah kepada umat Islam. Dipercayai bahawa jumlah sebenar tanah wakaf mungkin lebih daripada yang tercatat kerana ada yang tidak direkodkan dengan baik dan tepat.Ini berlaku apabila Ada kalangan umat Islam yang meniatkan tanah mereka untuk tujuan wakaf tetapi tidak didaftarkan secara rasmi kepada pihak berkuasa agama negeri. Di peringkat kebangsaan, satu badan amanah yang dikenali sebagai Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) atau Malaysian Awkaf Foundation ditubuhkan di bawah pentadbiran atau pengendalian Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Yayasan ini menggalas pelbagai tanggungjawab dan amanah bagi memajukan institusi wakaf dan dana-dana wakaf yang ada di negara ini. Pun begitu, penubuhan YWM sama sekali tidak bertujuan bertindih dengan mana-mana organisasi lain bagi menjana sumber ekonomi melalui wakaf malahan yayasan ini dapat memastikan masyarakat terpinggir dan miskin di negara ini terbela. Sehubungan itu, Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal yang bertanggungjawab mentadbir serta membangunkan tanah wakaf disarankan agar bersifat proaktif mengemaskinikan data serta maklumat mengenai tanah-tanah yang diwakafkan. Tujuannya adalah untuk memastikan tanah-tanah berkenaan dibangunkan sesuai dengan niat serta hasrat pewakaf, seterusnya membolehkan harta wakaf itu memberi manfaat kepada umat Islam seluruhnya. Untuk maksud ini, sebuah unit atau agensi khusus di bawah Majlis perlu diwujudkan sebagai institusi yang mengurus hal ehwal wakaf ke arah memastikan harta serta dana wakaf di negeri ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangun serta memperkasa ummah dalam segenap dimensi kehidupan. SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH! Kita bersyukur kerana kerajaan mula mengorak langkah kea arah memperkasakan institusi wakaf ini. Ini dibuktikan dengan pembentangan Bajet 2013, yang memberi tumpuan kepada Wakaf Korporat yang mencerminkan Wakaf adalah instrumen penting yang mampu secara ampuh untuk menjana dan memperbaiki kedudukan atau status ekonomi dan sosial umat Islam. Ini kerana melalui wakaf tidak ada had dan sempadan, kita boleh bangunkan apa sahaja daripada harta dan dana wakaf itu bagi memajukan umat Islam, asalkan tidak menyalahi niat serta hasrat pewakaf.

Page 4: WAKAF INSTRUMEN PENTING MEMBANGUNKAN UMMAH

4

Ini juga secara tidak langsung memberi ruang kepada kita untuk meneroka serta melaksanakan Skim Wakaf Tunai. Melalui skim ini, seseorang Muslim boleh berwakaf menggunakan wang tunai sebagai harta wakaf kepada satu tabung amanah yang diuruskan untuk menguruskan wakaf skim Wakaf Tunai ini. Melalui cara ini, dana yang besar dalam bentuk Tunai dikumpul daripada bilangan pewakaf yang ramai untuk digunakan ke arah memberi manfaat kepada penerima wakaf yang disasarkan (maukuf alaih). Skim Wakaf Tunai juga ini memberi peluang serta kesempatan kepada Muslim yang tidak mempunyai harta atau hartanah untuk berwakaf. SAUDARA MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH! Menyimpul bicara, amalan berwakaf adalah bentuk sedekah yang terbaik kerana ia diterima sebagai sedekah jariah yang dapat memberikan manfaat berpanjangan kepada penerima wakaf dan pahala yang berkekalan kepada pewakaf. Selain itu, wakaf dapat menjalin kerjasama sosial sekali gus mengakrabkan hubungan sesama manusia. Maka, sesiapa yang berkelebihan dari segi harta mahupun wang ringgit, sebaiknyalah ringan tangan berwakaf kerana tangan yang memberi itu lebih mulia daripada tangan yang menerima. Tambahan pula, setiap yang kita keluarkan serta belanjakan pada jalan Allah SWT pasti akan diganjari sebagaimana ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

Yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah SWT ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah SWT akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (S. Al-Baqarah: 261).

Diedar oleh:

Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah