unit 3 - kaedah seluruh perkataan

11

Click here to load reader

Upload: hasmah-ambak

Post on 13-Aug-2015

276 views

Category:

Documents


8 download

DESCRIPTION

MODUL KAB 3033MODUL KAB 3033MODUL KAB 3033MODUL KAB 3033MODUL KAB 3033MODUL KAB 3033MODUL KAB 3033MODUL KAB 3033

TRANSCRIPT

Page 1: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

UNIT 3

PENDEKATAN SELURUH PERKATAAN

Hasil Pembelajaran

Pada akhir bab ini pelajar akan dapat

menerangkan pendekatan seluruh perkataan atau seluruh bahasa (whole

language)

membezakan beberapa kaedah dalam pendekatan seluruh perkataan

menyenaraikan contoh langkah-langkah pengajaran pendekatan seluruh

perkataan

mencadangkan aktiviti untuk kanak-kanak belajar 2M mengguna pendekatan ini.

Dalam Bab 2 yang lalu anda telah mendapat penerangan tentang pendekatan abjad-fonik untuk

mengajar 2M kepada kanak-kanak. Dalam kaedah abjad-fonik, pengajaran 2M bermula dengan

kanak-kanak diajar nama dan bunyi setiap huruf abjad. Dalam Unit 3 ini mari kita lihat pula

pendekatan seluruh perkataan dan contoh langkah-langkah pengajarannya.

Pendekatan mengajar awal membaca ‘seluruh perkataan’ (whole word) atau

‘seluruh bahasa’ (whole language)

Pendekatan abjad-fonik bermula pengajaran 2M dengan mengajar kanak-kanak mengenal huruf dan

bunyikan huruf-huruf itu. Pendekatan seluruh perkataan pula pada amnya bermula dengan

memperkenalkan murid sesuatu perkataan secara keseluruhannya dan menyuruh murid

‘mengecam’ perkataan itu dan membacanya. Ertinya pendekatan seluruh perkataan mengajar murid

sesuatu per ‘perkataan’ dahulu sebelum murid kenal abjad dan membunyikan huruf.

Pendekatan ini dipanggil dengan beberapa nama, antaranya:

pendekatan seluruh bahasa (whole language approach)

pendekatan seluruh perkataan (whole word method),

kaedah ‘pandang dan sebut’ (look and say),

pendekatan perkataan-ke-bunyi (word to sound/simbol approach)

pendekatan cerakin perkataan (word analysis),

Setiap nama di atas membayangkan variasi prosedur atau teknik mengajar awal membaca

pendekatan jenis ini. Ini akan dijelaskan lagi kemudian.

Pendekatan seluruh perkataan atau seluruh bahasa ini dibuat berdasarkan andaian atau

kepercayaan berikut:

Page 2: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 19

1. ‘Membaca’ ialah satu kebolehan semula jadi (natural and almost instinctive process). Sejak lahir

lagi kanak-kanak belajar kemahiran berbahasa: bahasa lisan iaitu mendengar dan bercakap

perkataan dengan: ibu-bapa, abang, kakak, jiran dan sebagainya. Kanak-kanak bercakap

mengguna ‘perkataan yang bermakna’. Mereka tidak pun sedar yang setiap perkataan itu terdiri

dari ‘bunyi-bunyi’ atau fonem khusus.

2. Kanak-kanak juga belajar bahasa isyarat iaitu seperti mereka cuba ‘membaca’ isyarat emaknya;

dan memberi erti kepada simbol-simbol ‘gambar’ dan grafik di sekeliling mereka. Misalnya kanak-

kanak berumur tiga tahun sudah mula cam dan kenal jenama jenis motokar, simbol jenis

makanan dan minuman, tanda-tanda jalan, warna lampu isyarat dan cam jenama alat permainan

mereka.

3. Jadi kanak-kanak dari awal setahun lagi harus diajar membaca seperti mereka diajar bercakap,

iaitu perkataan, ayat atau cerita.

4. Jadi kanak-kanak tidak perlu diajar huruf abjad dan sebutan bunyi huruf dan suku kata untuk

mengajar mereka membaca dan menulis. Kanak-kanak boleh diajar terus ‘mengecam perkataan’

dan faham erti perkataan itu, kerana mereka sudah mempunyai asas untuk memberi makna apa

yang mereka baca. Perkataan baru akan diberi makna mengikut konteks.

5. Kanak-kanak berumur lima atau enam tahun ke atas yang belum boleh membaca dan menulis

harus diajar bermula dengan perkataan secara ‘keseluruhan’ (seperti ‘bapa’ ‘meja’, ‘cawan’ dan

cerita) yang bermakna, bukan bahagian-bahagian ‘bunyi’ kecil perkataan itu. Kanak-kanak tidak

perlu diajar ‘huruf’ dan ‘bunyi huruf’ dahulu untuk mereka belajar membaca.

6. Ejaan tidak perlu diajar kerana ia tidak penting; apa yang penting ialah supaya kanak

‘mengecam’ perkataan dan faham makna perkataan secara keseluruhannya.

Mengikut Lapp dan Flood (1992),

a whole-language approach represents a philosophy about reading. According to this

philosophy, language is a natural phenomenon and literacy is promoted through

natural, purposeful language function. It has as its foundation about language

development as a constructive, meaning-oriented process in which language is viewed

as an authentic, natural, real-world experience, and language learning is perceived as

taking place through functional reading and writing situations… From this point of view,

language learning cannot be broken down into myriad isolated sub-skills... (p. 458,

459).

Pendekatan seluruh bahasa atau seluruh perkataan ini berasaskan falsafah konstruktivisme atau

perspektif teori psikologi perkembangan kognitif kanak-kanak. Perkembangan kognitif atau intelek

kanak-kanak ialah proses kanak-kanak memberi makna kepada pengalaman mereka. Kanak-kanak

dari mula dilahirkan hingga kira-kira lima tahun sangat cepat belajar, termasuk bahasa. Mereka

belajar dari pelbagai pengalaman mereka – mendengar, melihat, menyentuh, merasa, menghidu.

Mereka ‘diajar’ oleh ibu-bapa dan orang di sekeliling mereka secara tidak formal. Kanak-kanak

belajar bahasa lisan dan tulisan melalui ‘perkataan-perkataan’ dan ‘ayat-ayat’ yang mereka dengar

atau mereka berinteraksi dengan orang-orang di sekeliling mereka. Yang penting ialah kanak-kanak

perlu didedahkan dengan pelbagai interaksi positif dan yang memperkayakan bahasa dan

perbendaharaan mereka.

Page 3: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 20

Ringkasnya: Mengikut pendekatan seluruh bahasa ini kanak-kanak atau murid perlu diajar

membaca dengan mendedahkan mereka kepada ‘perkataan’ supaya mereka ‘mengecam perkataan’

(recognize word by sight) secara keseluruhannya. Ini bererti cara untuk mengajar kanak-kanak tidak

bermula dengan mengenal huruf atau bunyi huruf, tetapi bermula dengan mengajar mereka melihat

dan mengecam ‘seluruh perkataan’ dan ‘ayat’ yang bermakna.

Beberapa variasi pendekatan mengajar 2M seluruh perkataan

Walaupun terdapat prinsip am dalam pendekatan seluruh perkataan, terdapat beberapa variasi

kaedah dan teknik dalam pengajaran 2M pendekatan ini. Berikut ialah beberapa kaedah dan

variasinya.

1. Kaedah pandang-dan-sebut Glen Doman

Salah seorang pengkaji dan penganjur kuat kaedah ini sejak 1964 ialah Glenn Doman. Beliau

banyak menulis dan menerbitkan buku, pakej dan program membaca untuk kanak-kanak mengguna

pendekatan seluruh perkataan ini.

Glenn Doman menyatakan kanak-kanak boleh diajar membaca oleh ibu bapa mereka pada umur

dua tahun lagi melalui teknik ‘pandang perkataan’ (recognize word by sight). Kanak-kanak

ditunjukkan perkataan, memandang perkataan itu dan ‘mengecam’ perkataan.

Kaedah ‘pandang-dan-sebut’ Glen Doman ini ialah dengan mendedahkan kanak-kanak kepada

‘perkataan’ yang ditulis pada kad dalam huruf kecil yang jelas seperti perkataan bahasa Inggeris di

bawah, dan ibu atau guru mengajar satu perkataan satu sesi supaya kanak-kanak mengecam dan

membaca perkataan itu.

mummy daddy hand

nose hair foot

Langkah-langkah asas

1. Apabila kanak-kanak dalam keadaan yang ceria, tunjukkan kepadanya kad sesuatu perkataan,

misalnya kad perkataan ‘mummy’ (bahasa Inggeris yang bererti ibu).

mummy

Ibu menunjukkan perkataan ‘mummy’ kepada anaknya dengan membaca perkataan itu

kepada anaknya. Kanak-kanak melihat perkataan itu dan menyebut perkataan itu bersama

ibunya. Ibu beri pujian kepada anaknya itu.

Page 4: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 21

2. Ulang beberapa kali. Ulang pula waktu lain. Setiap sesi pelajaran ini mengambil masa kira-kira

lima minit saja.

3. Setelah ibunya yakin anaknya sudah cam, kenal dan boleh membaca perkataan ‘mummy’

ibunya mengajarnya pula perkataan ‘daddy’.

daddy

Proses yang sama diulang. Ibu menunjuk anaknya perkataan ‘daddy’ dalam kad dan

menyebut ‘daddy’ kepada anaknya.

4. Setelah ibu yakin anaknya sudah kenal dan boleh membaca perkataan ‘daddy’ ibunya

mengajarnya pula perkataan ‘hand’. Proses yang sama diulang.

5. Seterusnya kanak-kanak diajar pula perkataan ‘nose’, ‘foot’ dsb.

Tidak ada masa tertentu yang terbaik untuk kanak-kanak diajar membaca.

Mengikut Glenn Doman bagi kanak-kanak perkataan ‘mummy’ ‘daddy’ ‘hand’ dan

‘nose’ itu lebih konkrit dan bermakna berbanding dengan huruf abjad a b c. Jadi kanak-kanak

lebih mudah belajar membaca (mengecam) perkataan, dan faham apa yang dibaca, jika kanak-

kanak diajar seluruh perkataan. Kanak-kanak tidak perlu diajar huruf dan bunyi huruf seperti

pendekatan abjad/fonik.

Dalam program mengajar membaca Glen Doman ini terdapat tujuh aras dan set perkataan yang

diajar. Ini termasuk perkataan dan frasa seperti..... Kata Doman, dengan kanak-kanak diajar

membaca sepatah perkataan setiap hari, atau beberapa patah perkataan dalam seminggu, kanak-

kanak akan dapat membaca banyak perkataan dan ayat dalam beberapa bulan. Mereka akan dapat

membaca sendiri ‘cerita’ setelah ia mengenal 120 patah perkataan dan ayat yang bermakna.

Selepas itu, iaitu pada peringkat ketujuh iaitu terakhir barulah kanak-kanak diajar huruf-huruf abjad.

Glenn Doman menyatakan

A word about the alphabet. Why have we not begun by teaching this child the alphabet?

...The basic tenet of all teaching that it should begin with the known and the concrete,

and progress from this to the new and the unknown, and last of all to the abstract.

Nothing could be more abstract to the five year ald than the letter A. (p. 114-115)

Pada suatu ketika dahulu (1980an dan awal 90an) pendekatan dan program Glenn Doman ini telah

diguna oleh KEMAS di bawah program NURI untuk mengajar 2M Bahasa Melayu kepada kanak-

kanak prasekolah di Malaysia. Perkataan Bahasa Melayu digunakan terjemahan dari bahasa

Inggeris, seperti ‘ibu’ untuk ‘mummy’. ‘bapa’ untuk ‘daddy’, ‘tangan’ untuk ‘hand’, ‘hidung’ untuk

‘nose’, dan sebagainya. Oleh sebab ramai guru prasekolah KEMAS mendapati kaedah Glen Doman

kurang berkesan, kaedah ini telah diberhentikan penggunaannya.

Page 5: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 22

Terangkan langkah-langkah asas pengajaran membaca yang dicadangkan oleh

Glenn Doman. Buat demonstrasi pengajaran membaca mengguna kaedah ini.

2. Kaedah cerakin perkataan (word-analysis)

Satu lagi variasi pendekatan seluruh perkataan ialah ‘kaedah cerakin’. Kaedah ini mencadangkan

setelah murid diajar mengecam dan membaca sesuatu ‘perkataan’, mereka hendaklah diajar

‘mencerakinkan’ atau menganalisis perkataan itu supaya mereka tahu ‘bunyi’ setiap huruf dalam

perkataan itu.

Kaedah ‘cerakin’ ini dipopularkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Kementerian

Pelajaran dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dalam 1980-an, untuk mengatasi masalah

2M murid sekolah rendah. Kaedah Cerakin ini telah diguna sebagai kaedah asas dalam Panduan

Guru Bahasa Malaysia Tahap 1 KBSR (1981) untuk Sekolah Kebangsaan dalam tahun 1980-an.

Langkah-langkah asas kaedah ‘cerakin perkataan’ (word-analysis)

1) Guru memperkenalkan kepada murid suatu perkataan, misalnya perkataan ‘meja’ dan

menunjukkan perkataan itu dalam kad imbasan atau di papan tulis. (Gambar meja juga mungkin

diletak di sebelah perkataan meja).

meja

Murid disuruh melihat perkataan ‘meja’ dan guru menyebut ‘meja’ dan diikuti oleh murid. Proses

ini diulang beberapa kali untuk menentukan murid boleh ‘mengecam’ dan membaca perkataan

‘meja’.

2) Guru mencerakinkan perkataan ‘meja’ menjadi suku kata

me ja

Guru tunjuk dan sebut suku kata ‘me’ dan ‘ja’, diikuti oleh murid. Murid mengulang menyebut

suku kata ini beberapa kali sebagai latihan.

3) Guru mencerakin lagi suku kata supaya menjadi huruf.

m e j a

4) Guru mengajar murid mengeja ‘meja’, supaya murid mengenal huruf dan bunyi setiap huruf

‘meja’ .

Perhatikan. Dalam Langkah 1 murid disuruh melihat perkataan ‘meja’ secara keseluruhan supaya

mengecam bentuk perkataan itu. Ini dibuat dengan bantuan kad imbasan perkataan ‘meja’ dan

gambar meja. Langkah 2, 3 dan 4 ialah proses ‘mencerakin’ atau membuat ‘analisis’ perkataan itu.

Murid mengenal huruf dan bunyi huruf dalam konteks perkataan itu.

Aktiviti

Page 6: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 23

Setiap hari murid diperkenalkan satu atau dua perkataan baru lagi, terutama perkataan berasaskan

benda-benda di sekeliling mereka – yang terdapat dalam bilik darjah murid. Misalnya setelah murid

tahu membaca dan menulis perkataan ‘meja’ mereka diajar pula perkataan ‘kerusi’. Guru

mengguna langkah-langkah yang sama 1 – 4 di atas untuk mengajarnya. Murid akan diajar

mencerakin perkataan ‘kerusi’:

kerusi

ke ru si

k e r u s i

Pada hari berikutnya guru memperkenalkan pula perkataan ‘buku’. Guru menyuruh murid

membaca perkataan ‘buku’; kemudian mencerakinnya menjadi suku kata dan huruf untuk murid

mengejanya. Selepas itu guru mengajar pula perkataan ‘almari’ ‘pembaris’ ‘pemadam’

dan sebagainya.

Ringkasnya langkah-langkah pengajaran kaedah cerakin boleh digambarkan sebagai berikut:

perkataan

suku kata

huruf dan bunyi

Kanak-kanak diajar ‘mencerakin’ setiap perkataan yang diperkenalkan. Proses ini dibuat sehingga

murid dapat ‘mengecam’ dan ‘mencerakin’ berpuluh patah perkataan. Guru mengharap murid boleh

membaca sendiri buku cerita mudah selepas itu.

Perhatikan setelah murid mengecam dan boleh membaca sesuatu perkataan seperti ‘meja’, murid

tidak boleh membaca perkataan baru ‘kerusi’. Setelah murid boleh membaca perkataan ‘meja’

dan ‘kerusi’ dia tidak boleh dengan sendiri membaca perkataan ‘buku’ jika guru tidak

mengajarnya. Ertinya setiap perkataan yang murid ‘membaca’ tidak membantunya membaca

perkataan baru seterusnya.

Kaedah Cerakin ini dipopularkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dalam tahun dalam

KBSR (1980-an) untuk mengatasi ramai murid tidak boleh 2M. PPK telah memberi latihan dalam

perkhidmatan kepada guru-guru sekolah kebangsaan untuk mereka menggunanya bagi mengajar

2M murid Tahun 1. Kaedah ini juga digunakan oleh maktab-maktab perguruan pada masa itu

sebagai salah satu kaedah untuk melatih guru mengajar 2M Bahasa Melayu KBSR di sekolah

kebangsaan dalam tahun 1980-an.

Dalam perlaksanaannya, ramai guru mendapati kaedah ini kurang berkesan, dan ramai murid tidak

boleh membaca dan menulis Bahasa Malaysia. Guru kembali mengguna kaedah abjad untuk

mengajar 2M kepada murid Tahun 1. Kaedah cerakin tidak digunakan lagi.

Page 7: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 24

Terangkan langkah-langkah asas pengajaran membaca kaedah cerakin. Beri

contohnya.

Variasi lain kaedah dan teknik mengajar pendekatan ‘seluruh bahasa’ atau ‘seluruh

perkataan’

Ada beberapa variasi lain pendekatan seluruh perkataan ini. Ia berpunca dari soalan: apakah

‘perkataan’ yang harus guru pilih dan mengajar murid membaca pada pengajaran awal membaca?

Bagaimanakah guru harus mendapat dan memilih ‘perkataan’ atau ‘ayat’ untuk murid diajar

membaca?

Variasi kaedah seluruh perkataan ialah variasi dari segi sumber untuk memilih perkataan atau frasa

yang hendak diperkenalkan kepada murid dalam pengajaran awal membaca.

Ada beberapa pendapat tentang sumber dan cara mendapat perkataan untuk diajar murid

membaca. Antara sumbernya ialah:

a) Perkataan berasaskan gambar

b) Perkataan berasaskan ‘tema’ yang dibincangkan bersama murid.

c) Perkataan dari cerita yang ‘diceritakan’ oleh murid

d) Perkataan dari cerita yang dibaca kepada murid (literature-based)

Mari kita bincang dua punca di atas (a) dan (b). Sumber (c) dan (d) akan dihuraikan dalam Bab 4.

3. Kaedah gambar: perkataan berasaskan gambar

Salah satu teknik guru mendapatkan perkataan untuk guru mengajar murid membaca ialah

perkataan berasaskan benda yang murid lihat dalam sesuatu gambar atau foto yang ditunjukkan

oleh guru kepada mereka.

Langkah-langkah asas

Langkah 1: Guru tunjuk kepada murid sebuah gambar atau foto besar yang di dalamnya terdapat

berbagai-bagai objek. Misalnya gambar di sebuah ladang ternakan, atau pemandangan

di tepi laut.

Langkah 2: Guru menyuruh murid melihat gambar itu dan menyoal murid ‘Apakah yang

kamu lihat ada dalam gambar ini?’ Murid akan menyatakan misalnya,

‘kambing’. ‘lembu’, ‘pokok’ ‘sungai’ dan sebagainya. Guru bersoal-jawab

dengan murid tentang haiwan atau benda yang disebut oleh murid.

Langkah 3: Guru menulis beberapa perkataan yang disebut oleh murid di papan tulis, misalnya

perkataan ‘kambing’. ‘lembu’, ‘pokok’, ‘sungai’. Atau guru melekatkan kad

perkataan itu di tepi objek itu.

Aktiviti

Page 8: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 25

Langkah 4: Kemudian guru memilih beberapa perkataan misalnya ‘kambing’ untuk diajar

kanak-kanak membaca secara lihat-dan-sebut. Guru menulis perkataan itu pada kad

dan mengajar murid melihat dan menyebut perkataan itu beberapa kali.

Langkah 5: Guru mengajar murid mengeja perkataan ‘kambing’.

Langkah 6: Guru menunjuk huruf ‘k’ dan sebutan bunyi ‘k’; murid ikut guru menyebut nama huruf

‘k’ dan bunyinya ‘khh’.

Langkah 7: Kemudian guru mengajar pula bunyi huruf ‘a’, ‘m’, ‘b’ seperti yang terdapat dalam

perkataan ‘kambing’. Huruf dan bunyi huruf diajar dalam konteks perkataan setelah

perkataan itu dieja dan dicerakinkan.

Langkah 8: Murid diajar untuk mengguna perkataan yang dipelajari itu dalam ayat.

Langkah 9: Guru memilih dan mengajar perkataan-perkataan lain pula.

Kaedah menggunakan gambar atau foto untuk menarik perhatian murid dan mendapatkan

perkataan untuk diajar dipanggil Kaedah Picture-Word Inductive Model (PWIM). Kaedah ini

dipopularkan oleh Emily Calhoun, 1999. Langkah-langkah yang beliau cadangkan adalah seperti di

bawah.

Steps of the PWIM

1) Select a picture.

2) Ask students to identify what they see in the picture.

3) Label the picture parts identified. (Draw a line from the identified object or area,

say the word, write the word; ask students to spell the word aloud and then to

pronounce it.)

4) Read and review the picture word chart aloud.

5) Ask students to read the words (using the lines on the chart if necessary) and to

classify the words into a variety of groups. Identify common concepts (e.g.,

beginning consonants, rhyming words) to emphasize with the whole class.

6) Read and review the picture word chart (say the word, spell it, say it again).

7) Add words, if desired, to the picture word chart and to the word banks.

8) Lead students into creating a title for the picture word chart. Ask students to think

about the information on the chart and what they want to say about it.

9) Ask students to generate a sentence, sentences, or a paragraph about the picture

word chart. Ask students to classify sentences; model putting the sentences into a

good paragraph.

10) Read and review the sentences and paragraphs.

(Sumber: Calhoun, Emily F. (1999).Teaching Beginning Reading and Writing with the

Picture Word Inductive Model, Washington, ASCD, p. XX)

Sediakan satu rancangan mengajar berdasarkan suatu gambar besar. Tunjukkan

langkah-langkah mengajar membaca dan menulis beberapa patah perkataan kepada

kanak-kanak berasaskan gambar ini, seperti yang disarankan oleh Calhoun.

Aktiviti

Page 9: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 26

4. Kaedah tema: Perkataan berasaskan tema

Sekarang Kementerian Pelajaran dan agensi kerajaan cuba menggalakkan guru prasekolah

mengguna ‘kaedah tema’ sebagai fokus pelajaran 2M di pra sekolah. Antara tema ini yang

dicadangkan ialah diri saya, haiwan, pengangkutan, buah-buahan, bunga, pekerjaan, dsb. Ia

berasaskan anggapan bahawa kanak-kanak akan senang dan bermakna belajar perkataan-

perkataan berhubung dengan sesuatu perkara atau tema. Perbendaharaan kata mereka juga mudah

diperluaskan.

Langkah-langkah pengajaran sama seperti yang lalu.

Contoh untuk tema buah-buahan

1. Guru memulakan pelajaran dengan bertanya dan berbincang dengan murid mengenai ‘buah’

yang mereka suka makan.

2. Kemudian guru boleh menunjuk gambar buah-buahan, dan menyuruh murid menyebutnya:

pisang, betik, durian, manggis, rambutan, epal, oren

3. Guru bersama murid berbincang rasa, warna, bentuk buah itu, misalnya betik, pisang dan

rambutan.

4. Guru menulis perkataan ‘betik’ dan ‘pisang’ dan mengajar murid membacanya, dan

mengejanya.

5. Murid menyalin perkataan ini dalam buku atau lembaran kerja. Murid mewarnakannya.

Kaedah gambar 3 di atas boleh juga diguna kepada sesuatu tema, misalnya ‘tema haiwan’. Untuk

tema haiwan guru boleh mengguna gambar sekumpulan haiwan.

1. Guru menunjukkan gambar sekumpulan haiwan. Guru bersoal-jawab dengan murid tentang jenis-

jenis haiwan yang mereka lihat dalam gambar itu. Guru berbincang tentang ciri-ciri setiap haiwan

yang murid sebut.

2. Guru menyuruh murid ‘bermain’ melakonkan perangai beberapa haiwan seperti kucing, kera,

anjing, ayam, burung dan sebagainya. Ini memberi pengetahuan kepada murid tentang

ciri tingkah laku dan bunyi sesuatu haiwan itu, dan menyeronokkan murid

3. Guru menunjukkan murid gambar haiwan yang terdapat di zoo, dan menyuruh murid menamakan

binatang-binatang yang mereka lihat itu.

4. Guru menulis perkataan binatang yang disebut oleh murid, misalnya, ‘kera’, ‘buaya’

‘harimau’, ‘gajah’ dan sebagai.

5. Murid diajar mengeja setiap perkataan itu beberapa kali.

6. Murid menulis menyalin perkataan itu beberapa baris dalam buku mereka. Murid juga

mewarnakan gambar-gambar haiwan yang mereka baca. Murid sangat suka mewarnakan

gambar.

Page 10: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 27

i. Terangkan perbezaan variasi pendekatan seluruh perkataan berikut.

Kaedah gambar: perkataan berasaskan gambar

Kaedah tema: perkataan berasaskan ‘tema’.

Kaedah pengalaman murid: perkataan dari cerita murid.

ii. Terangkan perbezaan Pendekatan Seluruh Perkataan dan Pendekatan Abjad/Fonik.

Perbincangan

Kekuatan pendekatan seluruh perkataan

Kekuatan pendekatan ini ialah kanak-kanak dengan mudah tertarik dengan perkataan-perkataan

yang bermakna yang diperkenal oleh guru kepada mereka, seperti ‘buku’, ‘meja’ atau haiwan seperti

‘harimau’, ‘gajah’ dan pengalaman murid seperti ‘bermain bola’ ‘di padang’ yang murid sudah alami.

Murid boleh diajar mengecam dan membaca perkataan-perkataan ini satu persatu. Soalnya berapa

banyakkah perkataan yang perlu murid cam atau lihat dan sebut, sebelum mereka boleh membaca

sendiri perkataan baru?

Kelemahan pendekatan ini

Kelemahan utama pendekatan ini ialah murid tidak dapat mengguna kemahiran apa yang mereka

belajar yang lalu untuk membaca perkataan baru. Mereka terpaksa cam dan hafal banyak perkataan

sebelum mereka boleh membaca sendiri perkataan-perkataan dan ayat baru.

Kelemahan kaedah pandang-dan-sebut Glen Doman dan kaedah cerakin dalam KBSR yang

diamalkan di Malaysia dalam 1980-an telah didapati kurang berkesan, bahkan mengakibatkan ramai

murid lemah 2M. Kedua-duanya telah ditinggalkan. Bagaimanakah kedudukan ‘kaedah tema’ yang

diguna di beberapa pusat prasekolah, terutama di Sekolah Kebangsaan? Adakah ia memudahkan

murid belajar 2M?

Kajian di California Amerika Syarikat (1995) dan di United Kingdom (2004) mendapati pendekatan

seluruh perkataan atau seluruh bahasa dan pendekatan cerakin (word analysis) ini kurang berkesan

sebagai kaedah untuk mengajar murid awal membaca dan menulis bahasa Inggeris. Dapatan kajian

menunjukkan tinggi peratus murid lemah atau tidak boleh membaca bahasa Inggeris mengguna

pendekatan ini. Negara-negara ini mencadangkan pendekatan synthetic phonics (kaedah fonik)

digunakan sebagai asas untuk mengajar kanak-kanak mula membaca.

Pendekatan seluruh perkataan ini lebih sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca dan menulis

bahasa yang sistem ejaannya logografik (sistem tulisan berasaskan bentuk gambar) seperti sistem

bahasa Cina.

Adakah kaedah seluruh perkataan ini sesuai untuk mengajar awal membaca

bahasa Melayu kepada kanak-kanak prasekolah? Kenapa?

Aktiviti

Soalan Perbincangan

Page 11: Unit 3 - Kaedah Seluruh Perkataan

KAB3033 - Pengajaran Literasi: Awal Menulis dan Membaca Bahasa Melayu / 28

RUJUKAN DAN BAHAN BACAAN TAMBAHAN

Calhoun, Emily F. (1999).Teaching Beginning Reading and Writing with the Picture Word Inductive

Model, Washington, ASCD

Doman, Glenn (1981). Teach your baby to read, London, Pan Books

Lapp, D. & Flood, J. (1992). Teaching reading to every child. (3rd ed.). New York: Macmilliam

Publishing Company.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Panduan Guru Bahasa Malaysia Tahap 1

KBSR (1981) untuk Sekolah Kebangsaan.