undang-undang tort dan undang-undang pentadbiran

Click here to load reader

Post on 28-Dec-2015

475 views

Category:

Documents

43 download

Embed Size (px)

DESCRIPTION

menjelaskan dengan terperinci contoh-contoh kes mahkamah mengikut elemen-elemen yang diguna pakai dalam undang-undang Tort (kecuaian guru) dan undang-undang Pentadbiran (salah laku penjawat awam).

TRANSCRIPT

ASPEK PERUNDANGAN DALAM PENGURUSAN PENDIDIKANUNDANG-UNDANG TORT DAN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN/ASASI KEADILANSGDU6043UNDANG-UNDANG TORT DAN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN1.0) PENGENALANSistem Perundangan Negara merangkumi undang-undang bertulis dan undang-undang tidak bertulis. Undang-undang bertulis dibahagikan kepada dua iaitu Undang-undang Tort (Law of Torts) dan Undang-undang pentadbiran (Law of Natural Justice). Law of Natural Justice terbahagi kepada dua iaitu Audi Alteram Parterm (the Right to be Heard) dan Nemo Judex Incausa Sua (Rules against Bias). Tujuan penulisan ini adalah untuk membincangkan sejauh mana aspek perundangan dalam Undang-undang Tort dan Undang-Undang Pentadbiran diamalkan penjawat awam dalam sistem pendidikan di negara ini berdasarkan kesimpulan daripada kes-kes yang dibentangkan di bawah ini.2.0) UNDANG-UNDANG TORTPerkataan tort dalam bahasa latin yang bermaksud salah. Menurut Abd. Ghani (1985) Tort merangkumi soal tuntutan dan dakwaan berkaitan dengan kerugian, kecederaan dan kesakitan. Ia juga merupakan cabang undang-undang sivil yang menentukan tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas mereka yang telah melakukan perbuatan ataupun kecuaian bagi mendapatkan gantirugi. Kecuaian (negligence) adalah salah satu daripada tort. Rogers, W.V.H, (1994) berpendapat kecuaian atau negligence sebagai torts adalah perlanggaran kewajipan undang-undang berjaga-jaga oleh defendan yang mengakibatkan kerosakan yang tidak diingini kepada plaintif. Dalam pendidikan, kecuaian di kategorikan kepada dua iaitu:i) Kecuaian pendidikan adalah berkenaan dengan kegagalan guru mendidik pelajar. Biasanya ia berkaitan dengan situasi pelajar tidak dapat memahami pelajaran yang diajar oleh guru tersebut tetapi selalunya dakwaan tentang kecuaian pendidikan amat sukar dibuktikan. ii) Kecuaian guru melibatkan kemalangan dan kecederaan fizikal yang terjadi kepada pelajar. Menurut Tie Fat Hee (2004), terdapat empat elemen yang menentukan samaada kecuaian guru telah berlaku iaitu wujudnya elemen 1) Kewajipan berjaga-jaga (duty of care), 2) Memungkiri kewajipan berjaga-jaga (breach of duty), 3) Pelajar mengalami kecederaan fizikal (injury to pupils) dan 4) Terdapat perkaitan diantara kecederaan pelajar dengan tingkahlaku guru (proximate cause).Pengetahuan dalam bidang undang-undang pendidikan oleh pihak sekolah iaitu guru dan pentadbir sekolah amat penting sebagai suatu tindakan berjaga-jaga. Hal ini bermakna pihak sekolah memegang tangggungjawab sebagai ibubapa in loco parentis iaitu perlu melindungi kesihatan, keselamatan, dan kebajikan murid-muridnya dengan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga untuk mengenal pasti dan seterusnya mengurangkan risiko-risiko yang boleh dijangka (forseeable risk) daripada berlaku (Waring & Glendon, 1998). Tahap kewajipan berjaga-jaga adalah tinggi apabila pelajar keluar daripada persekitaran sekolah yang selamat ke persekitaran luar yang terdedah dengan pelbagai risiko. Kecuaian hanya akan dijadikan isu utama oleh ibu bapa dan penjaga untuk mengemukakan saman terhadap guru dan pihak sekolah. Justeru itu, kita akan melihat isu-isu berkaitan dengan kecuaian guru yang akan dibincangkan berdasarkan kes-kes mahkamah yang telah dibicarakan di bawah Undang-Undang Tort yang mana turut dijadikan rujukan iaitu kajian kes mahkamah Kerajaan Malaysia melawan Jumat bin Mahmud dan Lain-lain, (1997)2, MLJ 103 dan Kes Chen Soon Lee melawan Chong Voon Pin dan Lain-lain (O.C.J. Lee Hun Hoe J.), (1966)2, MLJ 264 seperti yang dilaporkan dalam Malayan Law Journal.

2.1) KES KECUAIAN : PENYELIAAN KELAS (BILIK DARJAH)Kerajaan Malaysia melawan Jumat bin Mahmud dan Lain-lain, (1997) 2 MLJ 103

FAKTA KES:Kes kecuaian yang dibincangkan ini berkaitan dengan penyeliaan dalam bilik darjah. Dalam kes ini, plaintif seorang pelajar berumur 11 tahun bersekolah di Sekolah Dato Kelana Maarof Seremban, dalam darjah lima tercedera kerana tercucuk pensil yang tajam dipegang oleh kawannya bernama Azmi. Azmi seorang pelajar yang nakal dan sering mengganggu rakan-rakannya di dalam kelas. Di sebabkan kenakalannya dan tiada pengawasan guru maka dia telah mencucuk pin di peha planitif menyebabkannya bertindak balas dengan berpusing ke belakang lalu mata kanannya bertembung dengan bahagian pensil yang tajam. Mata itu terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan serius. Kejadian itu berlaku tanpa pengetahuan guru kelas tersebut, Puan Kenny.KEPUTUSAN MAHKAMAH:Penghakiman Mahkamah Tinggi telah memihak kepada plaintif berdasarkan hujah bahawa plaintif mungkin tidak akan mengalami kecederaan serius jika guru yang berada di kelas pada masa itu memberi perhatian khusus kepada tingkah laku nakal pelajar terbabit. Guru tersebut telah dianggap tidak amanah dengan tugas menjaga kelas kerana tidak menyelia dengan sepatutnya. Beliau telah cuai kerana tidak memberi perhatian kepada murid yang berkeliaran di belakang kelas. Hakim menjelaskan undang-undang dianggap tidak liabiliti yang tegas ke atas guru apabila pelajar-pelajarnya cuai dalam undang-undang tort. Undang-undang hanya memerlukan bukti yang menunjukkan guru gagal mengambil langkah yang munasabah mengawasi muridnya daripada kecederaan yang sepatutnya dapat dielakkan. Walau bagaimanapun Kerajaan Malaysia telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan Hakim telah memihak kepada defendan.PERBINCANGAN KES:EMPAT ELEMEN UTAMA KESALAHAN CUAIMerujuk kepada Undang-Undang Tort dalam pendidikan, kes ini merupakan kategori kecuaian guru maka ia boleh dibuktikan dengan menggunakan empat elemen yang telah dibincangkan sebelum ini iaitu: 1. Kewajipan berjaga-jaga (Duty to take care)Merujuk kepada elemen ini, defendan dikehendaki mematuhi satu tahap tingkahlaku tertentu supaya keselamatan pelajar dikekalkan. Berdasarkan senario kes di atas, Defendan merupakan orang yang terdekat dengan plaintif dan sedang mengendalikan kelas plaintif pada waktu tersebut. Semasa kejadian, defendan pertama Puan Kenny telah memberi latihan kepada murid-murid namun pada masa yang sama defendan berada di meja guru membuat kerja sendiri. Ini bererti tidak wujud kewajipan berjaga-jaga oleh kerana defendan tidak menyelia murid-murid dengan baik sewaktu aktiviti pembelajaran berjalan.2. Memungkiri kewajipan berjaga-jaga (Breach of duty)Semasa kejadian, defendan berada di kelas dan kelas yang dikendalikan itu merupakan sebuah kelas biasa tetapi masih memerlukan pengawasan kerana terdapat segelintir murid-murid yang nakal. Ini kerana kecuaian mengawasi murid yang nakal boleh menyebabkan kecederaan yang tidak boleh diramal. Ini telah menunjukkan bukti yang kukuh bahawa defendan cuai dalam penyeliaannya terhadap murid-murid di dalam kelas kerana tiada penyeliaan sewaktu murid melakukan tugasan yang diberi.3. Pelajar mengalami kecederaan fizikal (Injury to pupils)Semasa aktiviti kelas tersebut dijalankan, satu kejadian telah berlaku menyebabkan mata kanan plaintif telah tercedera tercucuk pensel tajam akibat perbuatan nakal kawannya. Lanjutan daripada pembedahan yang telah dijalankan, mata kanan plaintif yang rosak telah dikeluarkan dan menjadi buta. 4. Terdapat perkaitan diantara kecederaan pelajar dengan tingkahlaku guru (Proximate cause)Dalam kejadian ini plaintif dapat menimbulkan kecuaian terhadap defendan. Ini kerana mengikut undang-undang common law, defendan (Puan Kenny) dikehendaki membuat penyeliaan yang munasabah (reasonable degree of supervision) ke atas murid-murid di bawah jagaannya sewaktu kelas berjalan. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan beliau didakwa jika murid tercedera akibat kecuaiannya.

KESIMPULAN KES:Merujuk kepada kes yang dibincangkan di atas, kita dapati samada defendan pertama mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap plaintif dan jika demikian dalam keadaan kes ini, samada kecederaan tersebut disebabkan oleh kecuaian defendan pertama dalam menyelia dan mengendalikan kelas. Selain itu, seberapa banyak penyeliaan yang perlu diberikan oleh seorang guru dalam sebuah bilik darjah untuk melindungi murid-muridnya daripada kecederaan. Mahkamah biasanya akan menilai samada guru tersebut boleh menjangkakan risiko kecederaan tersebut dan adakah kecederaan itu boleh dielakkan. Biasanya mahkamah akan menilai pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah berdasarkan: arahan (instruction), amaran (warning) dan penyeliaan (supervision).

2.2) KES KECUAIAN: PENYELIAAN AKTIVITI KOKURIKULUMChen Soon Lee lawan Chong Voon Pin dan Lain-lain (O.C.J. Lee HunHoe J.) (1966)2, MLJ 264

FAKTA KES:Senario kes seterusnya berkenaan kecuaian guru ketika penyeliaan aktiviti kokurikulum. Pada hari Ahad, 6 Disember 1964 defendan iaitu seorang Pengetua Sekolah Chung San, Riam Road, Miri, Sarawak bersama tujuh orang guru telah mengiringi 53 orang pelajar untuk aktiviti perkelahan di tepi pantai di Tanjong Lobang. Mangsa Piek Leng, bermain bola bersama rakan-rakannya didalam air yang cetek. Pada masa yang sama terdapat ombak besar di kawasan berdekatan mangsa dan rakan-rakannya lalu menyebabkan mereka jatuh dan tenggelam. Guru-guru dan pelajar lelaki cuba menyelamatkan mereka dan didapati seorang daripada mereka hilang. Akhirnya mangsa tersebut dijumpai dan diberi rawatan kecemasan tetapi tidak dapat diselamatkan. Waris mangsa menuntut ganti rugi atas alasan bahawa defendan bertindak cuai.KEPUTUSAN MAHKAMAH:Hakim Mahkamah Tinggi Miri, Yang Arif Lee Hun Hoe telah memihak kepada defendan berdasarkan hujah bahawa Pengetua dan guru-guru yang berada bersama pelajar-pelajar tersebut telah mengambil langkah-langkah pengawasan yang rapi (beyond reasonable care) pada masa itu. Justeru itu, tuduhan kecuaian tersebut ditolak oleh mahkamah.

PERBINCANGAN KES:EMPAT ELEMEN UTAMA KESALAHAN CUAIKes ini juga dibincangkan di bawah undang-undang tort, dan ia boleh dibuktikan menggunakan empat elemen yang telah dibincangkan:1. Kewajipan berjaga-jaga (Duty to take care)Merujuk kepada kes ini, defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga kerana defendan mempunyai kewajipan menjaga pelajar-pelajarnya. Ini dibuktikan dengan adanya pembahagian kumpulan pelajar kepada tiga kumpulan yang diselia oleh Pengetua dan guru-guru yang bererti bahawa defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap plaintif dan telah bertindak secara munasabah bagi menjaga keselamatan murid. 2. Memungkiri kewajipan berjaga-jaga (Breach of duty)Dalam perbicaraan ini tidak dapat dibuktikan bahawa defendan pertama melanggar tanggungjawab terhadap pelajar-pelajarnya. Semasa kejadian, defendan dan guru-guru berada didalam air dan telah membahagikan pelajar-pelajar mereka kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan diselia oleh dua orang guru bagi mengawasi aktiviti tersebut. Permainan bola dalam air yang dikendalikan oleh defendan diselia dengan rapi. Selain itu defendan juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memberi arahan dan memastikan pelajar-pelajar tidak bergerak ke kawasan perairan yang dalam. Oleh itu, defendan telah menunjukkan bukti yang kukuh bahawa defendan telah menjalankan tanggungjawabnya kerana penyeliaan berterusan sudah diberikan sepanjang aktiviti permainan tersebut.3. Pelajar mengalami kecederaan fizikal (Injury to pupils)Dalam kes ini ada menyatakan semasa permainan tersebut dijalankan, berlakunya ombak besar berdekatan tempat aktiviti mangsa dan rakannya dan tenggelam lalu hilang di hanyut ombak. Walau bagaimanapun semasa kejadian, defendan telah mengambil tanggungjawab bertindak mengawasi pelajar-pelajar sementara guru-guru dan pelajar lelaki mencari dan menyelamatkan mangsa dan rakannya dengan segera. Mangsa akhirnya dijumpai dan diberi rawatan kecemasan namun gagal diselamatkan. 4. Terdapat perkaitan diantara kecederaan pelajar dengan tingkahlaku guru (Proximate cause)Dalam kejadian ini plaintif tidak dapat membuktikan berlakunya kecuaian kerana defendan telah memberikan arahan yang jelas kepada pelajar-pelajar berkenaan aktiviti yang dijalankan. Defendan dan guru-guru juga telah mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya dengan membuat penyeliaan yang rapi ketika aktiviti tersebut dijalankan mahupun mengambil tindakan segera ketika berlakunya kejadian tersebut.

KESIMPULAN KES:Berdasarkan kes diatas, pengetua bertanggungjawab untuk memastikan guru-guru tidak cuai dalam penyeliaan aktiviti-aktiviti pelajar semasa lawatan diadakan. Segala langkah pencegahan mesti diambil bagi memastikan mereka dilindungi. Di samping itu, Pengetua harus memastikan guru-guru dan pelajar sekolahnya mematuhi segala undang-undang dan peraturan (Schools (Tours) Regulations, 1957; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 9/2000; Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.1/1995) berhubung dengan lawatan bagi melindungi pihak sekolah daripada dakwaan dan tuduhan dibawa ke mahkamah sekiranya berlaku kemalangan.3.0) UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN/ KEADILAN ASASI (LAW OF NATURAL JUSTICE)Tajuk ini memberi fokus terhadap perbincangan beberapa buah kes salahlaku penjawat awam yang pernah didakwa di mahkamah bagi memberi pendedahan berkenaan pengetahuan aspek perundangan pendidikan dalam kalangan guru-guru dan pentadbir. Ini kerana guru-guru dan pentadbir memainkan peranan utama dalam mengawal setiap tindakan mereka supaya tidak tergelincir dari garisan undang-undang etika penjawat awam yang telah ditetapkan oleh kementerian. Perbincangan kes tersebut turut merangkumi prinsip-prinsip keadilan asasi seperti Audi Alteram Parterm (the Right to be Heard) dan Nemo Judex Incausa Sua (Rules against Bias) yang perlu dipatuhi oleh badan- badan yang menghakimi kes tersebut.3.1) Prinsip Pertama iaitu Audi Alteram Parterm (The Right To Be Heard) Ia merangkumi ciri-ciri yang berikut:(a)Keperluan notis pemberitahuan tentang kesalahan yang dihadapi oleh pekerja yang berkenaan;(b)Keperluan diberi peluang membuat representasi jawapan atau berhujah atas kesnya dalam masa yang munasabah. Peluang membuat representasi ini sama ada secara lisan atau tulisan;(c)Hak menyoal saksi dan hak diwakili oleh peguam;(d)Hak diberitahu keputusan dan hak dinyatakan alasan keputusan;(c)Pertimbangan kes terdahulu dan prinsip "pembebasan dahulu" (autrefois acquit), "sabitan dahulu" (autretois comvict), dan res judicata;(f) Hak merayu dan dengar semula3.2) Prinsip Kedua Iaitu Nemo Judex Incausa Sua (Rules Against Bias) Ia merupakan sesuatu keputusan yang dibuat hendaklah bebas daripada berat sebelah dan prasangka yang mungkin terjadi kerana dua sebab iaitu:(i)kerana pihak-pihak ada kepentingan, atau(ii)pembuat keputusan (iaitu pihak yang mengadili kes) mewakili institusi yang mengingini objektif tertentu ada perhubungan/pertalian tertentu, dan yang seumpamanya.Seterusnya kita melihat kes-kes mahkamah yang telah dibicarakan di bawah undang-undang pentadbiran yang mana turut dijadikan rujukan iaitu kajian kes mahkamah Tan Tek Seng melawan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan Lain-lain, (1996)1, MLJ 261 dan Yunus M Haniff melawan Majlis Institut Teknologi MARA (1997).3.3) KES PENTADBIRAN: PECAH AMANAHTan Tek Seng melawan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan Lain-lain, (1996)1, MLJ 261FAKTA KES:Dalam kes ini, perayu merupakan guru penolong kanan di sebuah sekolah rendah di Johor. Beliau telah diamanahkan oleh Jabatan pendidikan Johor dengan jumlah RM3179 yang merupakan gaji yang belum dibayar kepada pekebun sekolah yang sudah tidak bekerja beberapa bulan. Apabila jabatan tersebut meminta supaya wang tersebut dipulangkan, perayu memberitahu bahawa wang tersebut telah dikirim kepada mereka tetapi sebenarnya perayu masih lagi menyimpan wang tersebut. Walau bagaimanapun, akhirnya perayu telah mengirim wang tersebut kepada jabatan tersebut. Justeru itu, perayu telah dituduh atas dua tuduhan pecah amanah jenayah oleh seorang awam dibawah seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan telah ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah Johor.KEPUTUSAN MAHKAMAH:Mahkamah Sesyen telah memutuskan menyabitkan plaintif dan menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan.PERBINCANGAN KESDUA PRINSIP UTAMA YANG DIGUNAPAKAI:Kes ini merujuk kepada salahlaku penjawat awam di bawah Undang-undang Keadilan Asasi yang mana perlu mematuhi dua prinsip utama iaitu prinsip hak untuk didengar dan prinsip tidak berat sebelah.1) Prinsip Audi Alteram Parterm (hak untuk didengar)a) Ia menyatakan orang yang berkenaan perlu diberi peluang untuk menyatakan kesnya dalam perbicaraan. Berdasarkan kes di atas, plaintif telah diberi hak untuk diberitahu kesalahan yang dilakukan iaitu menjatuhkan reputasi perkhidmatan awam.b) Di samping itu, plaintif telah diberi tempoh sekurang-kurangnya 14 hari untuk membela diri. Walau bagaimanapun, plaintif tidak mengemukakan representasi secara bertulis atau lisan kepada pihak Suruhanjaya. Oleh itu, pihak tersebut menganggap plaintif tidak mahu membela diri dan Suruhanjaya telah bertindak berdasarkan maklumat yang ada padanya.c) Plaintif juga telah diberi hak iaitu dimaklumkan secara bertulis bahawa plaintif dikenakan hukuman tatatertib buang kerja kerana telah menjatuhkan reputasi perkhidmatan awam iaitu kesalahan di bawah Perintah Am 4(2)(d) Perintah-Perintah Am (Kelakuan Tatatertib) (Bab D) 1980.d) Selain itu, plaintif turut diberi hak untuk merayu agar dipertimbangkan semula kesnya.2) Prinsip Nemo Judex Incausa Sua (tidak berat sebelah)Keputusan Hakim mahkamah tersebut mendapati tidak wujud situasi berat sebelah kerana tiada pihak yang terlibat mempunyai kepentingan kewangan atau bukan kewangan.KESIMPULAN KES:Kita dapati dalam kes tersebut, prinsip-prinsip hak keadilan asasi telah dipatuhi dan memberi peluang munasabah kepada plaintif untuk dibicarakan menurut Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan.3.4) KES PENTADBIRAN : BERCUTI TANPA KELULUSANYunus M Haniff melawan Majlis Institut Teknologi MARA (1997)FAKTA KES:Merujuk kepada kes berkenaan, pemohon merupakan pensyarah yang bertugas di Institut Teknologi MARA dan telah pergi bercuti ke Bangladesh walaupun diberitahu untuk tidak berbuat demikian. Prosiding tatatertib telah dimulakan dan ini menyebabkan pengurangan gaji pemohon dan menurunkan pangkat beliau selama dua tahun. Pemohon telah mengambil tindakan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan majikan itu atas alasan bahawa: (i) Terdapat konflik kepentingan (conflict of interest) sebagai pengadu dan pengerusi itu adalah orang yang sama yang membuat pengaduan serta keputusan hasil prosiding telah berat sebelah. (ii) Kaedah-kaedah hak keadilan asasi tidak dikenakan kepada beliau, iaitu, hak untuk didengar dan peraturan terhadap berat sebelah. (iii) Keputusan prosiding tatatertib tidak menyatakan sebab-sebab bagi keputusannya yang telah pergi bercuti di Bangladesh tanpa kebenaran berbuat demikian.

KEPUTUSAN MAHKAMAH:Hakim menyatakan pemohon mempunyai hak untuk didengar dengan adil, dan jika terdapat pelanggaran prinsip-prinsip hak asasi keadilan, ianya memerlukan semakan kehakiman dibuat di akhir perbicaraan. Hak asasi keadilan memerlukan bahawa orang yang dipertuduh dengan membuat keputusan harus bertindak dengan adil. Justeru itu, setelah mengambil kira kesemua faktor dan prinsip-prinsip keadilan yang telah diguna pakai, maka Mahkamah Tinggi Melaka telah menolak permohonan saman pemohon berdasarkan keputusan yang dicapai untuk satu perbicaraan yang adil dalam kuasa yang terletak hak di bawah Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan 13.PERBINCANGAN KESDUA PRINSIP UTAMA YANG DIGUNAPAKAI:Kita ingin melihat sejauh mana kes ini dibicarakan berdasarkan Undang-undang Keadilan Asasi yang mana ia perlu mematuhi dua prinsip utama iaitu prinsip hak untuk didengari dan prinsip tidak berat sebelah.1) Prinsip Audi Alteram Parterm (hak untuk didengar)a) Prinsip ini menyatakan orang yang berkenaan perlu diberi peluang untuk menyatakan kesnya dalam perbicaraan. Berdasarkan kes di atas, pemohon telah menjawab semua tuduhan yang dibuat terhadapnya, dengan itu memenuhi hak untuk didengar. seperti yang termaktub dalam Perkara 135 (2) Perlembagaan Persekutuan, termasuk peluang untuk menafikan rasa bersalah beliau, peluang untuk membela diri dan membuat representasi mengenai apa-apa hukuman yang dicadangkan. Walau bagaimanapun, pemohon tidak meminta dokumen mahupun bagi pendengaran lisan walaupun dalam hak untuk didengar tidak semestinya pemohon perlu mendengar secara lisan.b) Pemohon juga menyatakan keputusan prosiding tatatertib tidak menyatakan sebab-sebab bagi keputusannya.yang telah pergi bercuti di Bangladesh tanpa kebenaran berbuat demikian. Di bawah undang-undang biasa, badan-badan menghakimi tidak bertanggungjawab untuk memberikan alasan bagi keputusan mereka berdasarkan peruntukan s. 4 (2) Perintah-Perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) Bab D yang telah ditetapkan.c) Pemohon telah bekerja selama 12 tahun dengan ITM, dan berpura-pura tidak tahu tentang akibat perbuatannya itu boleh memberi kesan kepada tindakan tatatertib terhadapnya. Sebagai penjawat awam yang telah lama berkhidmat, pemohon sememangya telah didedahkan dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) (1993) & Pindaan 2002. Ini menunjukkan pemohon sengaja memberi alasan bagi membebaskan dirinya daripada tindakan disiplin tersebut.2) Prinsip Nemo Judex Incausa Sua (tidak berat sebelah)a) Pengadu dalam kes ini adalah "Timbalan Pengetua" dengan Encik Arshad bin Hashim sebagai pengerusi Lembaga Disiplin. Oleh itu, adalah tidak berasas untuk menegaskan bahawa pengadu adalah orang yang sama.b) Hakikat bahawa pemohon pernah dibuang kerja menunjukkan bahawa lembaga itu telah bertindak dengan lebih teliti dan berhati-hati dalam membincangkan fakta-fakta kes berkenaan beliau. Sehubungan dengan itu, tuduhan wujudnya berat sebelah dalam prosiding tatatertib adalah tidak berasas.

KESIMPULAN KES:Kes ini telah dibicarakan dengan adil menurut Perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan dan juga peruntukan s. 4 (2) Perintah-Perintah Am Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) Bab D. Ini menunjukkan, segala tindakan yang dibuat oleh penjawat awam mesti berdasarkan amalan etika penjawat awam dan mereka sewajarnya mengetahui kesan tindakan yang akan di kenakan sekiranya melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

4.0) RUMUSAN Isu-isu yang berkaitan dengan kecuaian di sekolah perlu diberi perhatian serius dengan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan supaya pihak sekolah dapat dilindungi dari dakwaan sivil atau jenayah. Pengetua atau Guru Besar selaku pentadbir sekolah perlu memastikan bahawa segala tindakan disiplin yang dikenakan ke atas salah laku murid dilakukan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Ini bertujuan menjamin keselamatan murid-murid di sekolah dari aspek fizikal, mental, emosi dan rohani dalam usaha mewujudkan sekolah selamat. Selain itu, selaku penjawat awam dalam bidang pendidikan, seharusnya mengetahui etika dan peraturan yang telah digariskan dalam perlembagaan mahupun akta dan peraturan semasa bagi mengelakkan risiko dan tindakan tatatertib dikenakan ke atas mereka.

[1]