tppa by ismail hashim

50

Upload: marina-nawia

Post on 09-Jan-2017

399 views

Category:

Education


5 download

TRANSCRIPT

ISMAIL HASHIM YAHAYA

TRANS-PACIFIC PARTNERSHIP

AGREEMENT (TPPA)

KANDUNGAN

Hati-Hati Agenda AS dalam TPPA 5

Persoalan TPPA yang Sukar Ditelan (Malaysian Insider) 8

Konfrantasi AS-China di APEC: AS Membelakangi China dalam Sidang APEC 15

AS Bendung Pengaruh China dan Rusia melalui TPPA 21

TPPA: Mana Dokumen Latar Belakang? 24

TPPA dan Budaya Agenda Rahsia (Malaysian Insider) 27

TPPA Ancamam Baru kepada Kedaulatan Ekonomi Negara? 36

Dekolonisasi TPPA 41

7

HATI-HATI AGENDA AS DALAM TPPA Selepas kegagalan dalam menentukan haluan agenda perdagangan dunia dalam perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Amerika Syarikat (AS) sekarang sedang berusaha memperluaskan pengaruh perdagangannya melalui Perjanjian Persahabatan Trans-Pasifik atau Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA).

Adalah diharapkan kerajaan dapat teliti agenda tersurat AS melalui perjanjian TPPA ini. Ia dirunding antara Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam.

Ia adalah sebahagian usaha korporat gergasi AS yang mendesak kepada agenda memperluas dan mengukuhkan penguasaan mereka dengan mengetepikan hak warga dunia negara Selatan. Apa yang kita bimbangkan Malaysia akan menandatangani rundingan TPPA yang dijangka dimeterai pada Oktober 2013 di Brunei.

Perjanjian itu antaranya akan melibatkan peraturan ubat generik yang murah dan mempunyai kandungan dan kesan sama dengan ubat asli tidak lagi dibenarkan dijual di negara ini. Ini bermakna ubat hanya boleh dibeli secara langsung daripada syarikat farmasi asal yang akan menyebabkan kos ubat mahal.

Ini berlaku kerana dalam perjanjian TPPA dalam Hak Harta Intelektual ke atas ubat dikuatkuasakan untuk melindungi syarikat gergasi farmaseutikal antarabangsa. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi

8

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

negara apabila beras dari USA yang menerima subsidi tinggi akan dipasarkan di negara ini. Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA dimeterai.

Termasuk dalam agenda rundingan TPPA ialah juga bidang pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional tempatan yang lain akan berhadapan persaingan pasaran terbuka. Persoalannya sejauh manakah industri perkhidmatan kita sedia berhadapan dengan kemasukan syarikat gergasi ini?

Apa yang harus diketahui rakyat Malaysia ialah rundingan TPPA ini sangat berisiko tinggi untuk Malaysia kerana klausa yang terkandung di dalamnya boleh merangkumi hampir semua industri dan mewujudkan persaingan yang akan merugikan ekonomi tempatan.

Seperti FTA, kesan perjanjian TPPA akan berakhir dengan kerugian yang akan ditanggung oleh usahawan tempatan serta membebankan kualiti hidup rakyat dan meningkatkan kos hidup rakyat keseluruhannya.

Terdapat agenda-agenda dalam pelaburan yang hendak diwujudkan tidak dipersetujui oleh negara seperti Australia dan New Zealand kerana menggugat kedaulatan negara tersebut dalam hak membuat keputusan.

Jika Australia dan New Zealand dua buah negara maju pun menolak isu-isu pelaburan seperti layanan status tempatan maka Malaysia juga harus memikirkan mengenainya.

Sehubungan itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) membuat gesaan supaya:

9

Rundingan TPPA ditangguh sehingga segala teks dan semua dokumen relevan mengenainya didedahkan kepada penelitian orang awam dan NGO.

Rundingan berhubungan dengan pelaburan seperti status layanan tempatan yang merugikan itu harus dibuang daripada TPPA. Namun jika kerajaan ingin teruskan dalam bahagian berkaitan pelaburan, perkara-perkara seperti penyelesaian pertikaian antara pelaburan dan negara dikecualikan sebagaimana dilakukan Australia.

MITI harus memberi penerangan mengenai hal ini.

Pada asasnya TPPA adalah versi baru dari FTA dengan USA. Perjanjian FTA menerima bantahan pelbagai pihak yang akhirnya tidak ditandatangani oleh Malaysia dan FTA mengikut jadual asalnya.

Malah kebanyakan isu dan isu kandungan TPPA adalah perkara-perkara yang diutarakan dan dirundingkan dalam Perjanjian Langkah-Langkah Pelaburan Berkaitan dengan Perdagangan (TRIMs), Perjanjian Hak-Hak Harta Pemilikan Intelektual Berkaitan Dengan Perdagangan (TRIPs), Perjanjian Perdagangan Berkaitan dengan bidang Perkhidmatan (TRiS) serta perjanjian perdagangan dengan pertanian yang terkandung dalam WTO.

Berdasarkan kepada perkara-perkara di atas adalah diharapkan kerajaan Malaysia tidak meneruskan penyertaan dalam rundingan TPPA sehingga analisis terperinci dapat dihasilkan untuk dibahaskan kepada umum mengenai kebaikan dan keburukan perjanjian TPPA tersebut.

10

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

PERSOALAN TPPA YANG SUKAR DITELAN (MALAYSIAN INSIDER) Akhirnya rundingan Perjanjian Perkongsian atau Persahabatan Trans-Pasifik (TPPA) (yang tidak berapa berkongsi dan bersahabat kerana jelas yang akan terjadi ialah gerak laku penyamun tarbus yang mencuri dan merompak secara terhormat melalui lunas undang-undang yang menguntungkan mereka) telah termeterai.

Tetapi ia tidak berakhirnya di sini saja.

Dalam setiap negara anggota TPPA, termasuk Malaysia, orang awam mengetahui intipati perjanjian tersebut. Banyak persoalan yang masih tidak terjawab dan tergantung tentang impak TPPA ke atas Malaysia dan rakyatnya.

Media banyak melaporkan mengenai kesan dan memberikan ulasan berdasarkan kepada laporan terbuka yang dikemukakan.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah capaian pasaran dan perdagangan yang merupakan salah satu bahagian daripada TPPA.

Lebih penting lagi impaknya itu termasuklah isu berkaitan dengan pelaburan, kewangan, hak milik intelektual, pemerolehan kerajaan, korporat milik negara (GLC), isu buruh dan alam sekitar.

11

Isu perdagangan pula berkaitan dengan eksport dan import sementara terdapat isu lain sangat berkaitan dengan degup jantung kerajaan iaitu dasar dan struktur dalam negara.

Isu pemilikan Bumiputera yang walaupun dijelaskan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dengan begitu lunaknya seolah-olah tiada masalah langsung atau tidak terpijak mana-mana duri dalam perjanjian, ia masih menjadi isu hangat yang perlu dibincangkan dengan terperinci bukan sekadar penafian sahaja.

Ia bukan setakat mengatakan isu konsesi masih ada, dasar mengutamakan Bumiputera masih kekal, pemerolehan kerajaan dan GLC masih wujud. Ini adalah isu bukan perdagangan yang terpalit dan menjadi benang kusut yang perlu dileraikan.

Perkara seperti apakah konsesinya, sama ada cukup atau tidak dan apakah kesan daripada teks yang dimeterai itu harus dibincangkan dengan terbuka dan bukannya sekadar penafian di media.

Apa yang jelas ialah “ruang membuat dasar” yang bererti kedaulatan negara itu akan dipersempitkan sebagai akibat daripada TPPA.

Ini kerana negara yang memeterai perjanjian sudah tertakluk kepada peraturan TPPA, sudah diikat.

Mengenai isu harta atau hak pemilikan intelektual, pukulannya lebih ketara. Kebanyakan paten yang difailkan di Malaysia dalam syarikat pelabur asing akhirnya akan dimiliki warga asing. Jadi, apabila undang-undang paten diperkukuhkan, ia akan memanfaatkan orang asing yang menjadi pemegang patennya.

12

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Monopoli yang diberikan kepada pemegang paten tentunya akan menjejaskan para pengguna di Malaysia yang harus membayar sesuatu barangan atau perkhidmatan dengan harga yang lebih tinggi dan syarikat Malaysia diharamkan daripada menghasilkan produk generik semasa tempoh paten.

Kalau tidak silap saya, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengutuk TPPA sebagai “perjanjian perdagangan paling buruk untuk capaian kepada ubatan”.

Menurut MSF mereka yang ditimpa nasib malang daripada perjanjian TPPA ialah para pesakit dan yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan perubatan di negara sedang membangun kerana harga ubat akan naik.

Tambah MSF lagi tempoh monopoli yang dinikmati syarikat farmaseutikal gergasi akan dilanjutkan dan ini akan menangguhkan atau melambatkan persaingan harga daripada ubat generik.

Dengan ini terma paten mungkin akan dilanjutkan (dengan menambah masa diambil bagi pendaftaran ubat atau meluluskan paten).

Data dengan eksklusifnya diberikan untuk 5 tahun (atau mungkin lebih daripada tempoh masa tersebut, terutamanya untuk ubat baru yang dikenali sebagai biologiks), di mana syarikat generik tidak dibenarkan bergantung kepada data ujian daripada firma asal apabila mereka memohon untuk kelulusan pemasaran daripada pihak berkuasa perubatan.

13

Mengenai pelaburan, TPPA membuka jalan kepada syarikat asing untuk mendapat layanan tempatan atau layanan yang lebih istimewanya daripada syarikat tempatan.

Ini akan memberikan hak kemasukan dan pemilikan, pemindahan bebas dana sementara menghalang negara hos daripada mengenakan syarat dan keperluan seperti kandungan tempatan, pemindahan teknologi dan usaha sama.

Jika diteliti ini adalah mekanisme amat berkuasa kerana memberikan pengaruh kepada pelabur asing khususnya dalam sistem penyelesaian pertikaian antara negara pelabur asing (ISDS) di mana para pelabur boleh menyaman kerajaan dalam tribunal antarabangsa kerana telah melanggar hak mereka.

Perubahan dalam dasar kerajaan boleh membawa kepada tuntutan sebagai layanan tidak adil dan para pelabur asing boleh meminta kepada pampasan kerana kerugian dalam keuntungan yang dijangkakan.

Sudah terdapat ratusan kes ISDS yang dibuat terhadap kerajaan yang timbul akibat daripada perjanjian perdagangan bebas atau perjanjian pelaburan 2 hala.

Menurut laporan akhbar, dalam perjanjian TPPA terdapat beberapa hak bertindak seperti meleburkan keupayaan syarikat untuk membuat tuntutan yang tidak munasabah.

Tetapi masih tidak diketahui apakah dia dan bagaimana mekanismenya. ISDS masih dapat digunakan para pelabur asing sebagai alat untuk tindakan dan meletakkan negara anggota TPPA seperti Malaysia dalam kedudukan mempertahankan diri.

14

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Dalam pemerolehan kerajaan, ruang membuat dasar dalam pemerolehan akan dibataskan. Keutamaan kerajaan memberikan projek kepada syarikat milik kerajaan dan juga dalam pembelian barangan dan perkhidmatan akan diserang balas para pelabur asing dengan hak yang sama bagi mendapatkan layanan tempatan kepada mereka.

Walaupun kita mengetahui Malaysia berunding untuk mendapat lebih banyak pengecualian dalam terma tahap capaian dalam perbelanjaan atau nilai projek di mana keutamaan diberikan kepada Bumiputera.

Namun perincian kepada capaian untuk Malaysia dan pengecualian untuk Bumiputera dan kecukupannya masih tidak diketahui hasilnya secara muktamad dan terbuka.

Mengenai syarikat pemilikan kerajaan, TPPA akan mengenakan peraturan dan batasan mengenai bagaimana ia akan digerakkan, tahap subsidinya, bagaimana pembelian bahan yang tiada layanan tempatan atau keutamaan kepada syarikat tempatan dan seumpamanya.

Matlamatnya ialah memberikan persaingan dan hak sama rata kepada syarikat asing dalam perolehan pasaran.

Rasanya Malaysia memang tidak selesa dengan isu syarikat milik kerajaan ini kerana tidak berjaya mendapatkan pengecualian 100%.

Bagaimanapun kerajaan akan cuba memasukkan sebanyak mungkin syarikat dalam senarai pengecualian (bermaksud syarikat ini tidak perlu mematuhi syarat dalam TPPA) tetapi berapa banyak atau had jumlah syarikat dalam senarai dan ciri penyenaraian ini tidak diketahui.

15

Perkara seperti dasar pelaburan, pemerolehan kerajaan dan syarikat milik kerajaan serta capaian kepada ubatan adalah isu penting yang menyentuh ekonomi politik negara dan struktur sosio-ekonomi rakyat.

Persoalan ini amat berkait dengan pembangunan ekonomi dan politik negara. Sekarang ia harus dipertahankan sebagai pengecualian dan keanjalan serta menjadi isu perdebatan dalam kalangan negara anggota TPPA. Sejauh manakah mereka boleh menerimanya.

Bab berkaitan dengan perkara ini adalah ubat pahit yang sukar ditelan dan perdebatan ini akan berterusan sama ada dimeterai atau sesudahnya.

Ya, isu yang sentiasa ditekankan daripada TPPA ialah keuntungan dan kemanfaatan Malaysia apabila tiada tarif dikenakan semasa barangan kita masuk ke pasaran Amerika Syarikat.

Tetapi negara kita juga mengenakan tarif yang sederhana tinggi kepada kemasukan barangan import dan tidakkah kita juga harus mengurangkan banyak tarif kepada barangan import nanti.

Dan kita juga akan berdepan dengan lambakan barangan import yang banyak di pasaran tempatan.

Dengan kata lain, tiada jaminan TPPA akan memberikan keseimbangan perdagangan yang lebih baik dan agak bimbang mungkin ketidakseimbangan pula akan berlaku.

16

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

TPPA bukanlah suatu perjanjian muktamad kerana perdebatan sebenar baru bermula walaupun agak malang teksnya dimuktamadkan.

Semoga Sidang Kemuncak Bantah TPPA pada 9 Januari ini akan memberikan hasil bermakna dan impak supaya kerajaan menimbang semula untuk terus bersama TPPA atau sekurang-kurang lebih kritikal dengannya.

17

KONFRANTASI AS-CHINA DI APEC:AS MEMBELAKANGI CHINA DALAM SIDANG APEC Jika diteliti kepada perkembangan Sidang Kerjasama Asia-Pasifik (APEC) yang berlangsung di Beijing baru-baru ini ternyata Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama telah memperlihatkan suatu nada konfrontasi apabila sebelum bermulanya prosiding, telah mengambil langkah memulakan mesyuarat berasingan Persahabatan Trans-Pasifik (TPP) di kedutaan AS.

Langkah yang membelakangkan China ini seolah-olah tidak menghormati tuan rumah sidang Kemuncak APEC itu

Kononnya dalam menyelaraskan perdagangan bebas, TPP telah menetapkan suatu rangka kerja komprehensif untuk merungkaikan segala halangan kerajaan seperti ketiadaan organisasi milik kerajaan dan peraturan pelaburan yang akan membawa kepada dominasi modal kewangan AS di ekonomi Asia Pasifik.

AS telah menjemput Jepun menjadi negara anggota TPP ketika mesyuarat berlangsung di Sabah sebagai anggota baru tetapi tidak menjemput China.

China dianggap sebagai saingan kepada AS di rantau Asia Pasifik dan Jepun adalah sekutu dan pengimbang kepada penguasaan China.

18

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Malah AS juga telah memperkuatkan kehadiran tentera lautnya di Laut China Selatan dan menjalan kerjasama ketenteraan dengan Malaysia umpamanya.

Nampaknya mesyuarat TPP yang diadakan Obama adalah pertunjukan kekuatan dan menyanggah perjanjian gas China-Rusia. Malah sebagai menunjukkan keangkuhan, AS telah menekankan negara anggota TPP (termasuk Malaysia) supaya menamatkan perjanjian menjelang Disember ini.

Dalam ucapannya kepada ketua-ketua kerajaan, beliau menyatakan: TPP berpotensi menjadi suatu pencapaian bersejarah. Ia bergantung kepada kita untuk merumus dan menamakannya dengan secara menyeluruh bagi pencapaian cita-cita.”

Atas desakan Obama, negara anggota TPP telah menyatakan persetujuan bahawa perjanjian ini harus menjadi keutamaan dan menyediakan laluan kepada rancangan jangka panjang APEC.

Tekanan dan memberikan keutamaan kepada agenda TPP dalam APEC akan menjadi negara kuasa besar seperti China dan Rusia sebagai tidak relevan dalam rantau Asia Pasifik.

Di samping itu, China pula sedang mengusulkan gagasan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasfik (FTAAP) di mana AS sedang memaksa China supaya tidak meneruskan gagasan tersebut.

Malah Obama dalam ucapannya di sidang kemuncak perniagaan CEO APEC dengan bongkaknya menyatakan bahawa … AS bukannya sahaja kekal sebagai “kuasa rantau Pasifik” tetapi

19

“satu-satunya kuasa sejagat yang sangat diperlukan” dan ia hanyalah kepimpinan Amerika… (terjemahan bebas).

Dalam ucapan tersebut juga Obama mengisytiharkan bahawa AS sekarang…mengetuai daripada kedudukan kekuatannya itu dan baginya “TPP akan menyediakan “model kepada perdagangan abad ke-21 ini”.

Tetapi setelah mengulangi dua kali kekuatan dan kepimpinan AS, untuk mengambil hati Tuan Rumah, Obama juga menyatakan “kami juga mahu China maju”.

Namun untuk China maju ke depan, Obama telah mengenakan beberapa syarat dan permintaan ke atas kepimpinan Beijing. Pertama, perjanjian pelaburan dua hala yang membuka ekonomi China kepada pelabur-pelabur Amerika. Permintaan-permintaan lain seperti layanan sama rata untuk syarikat asing untuk bersaing dengan syarikat-syarikat China, “perlindungan hak-hak milik intelektual dan ancaman “pencurian siber dalam rahsia perdagangan untuk keuntungan komersial.

Termasuk dalam syarat dan desakan itu ialah kelulusan bagi kemajuan dalam bioteknologi AS untuk pertanian China dan seperti biasa isu hak asasi manusia dan kebebasan media.

Tuntutan-tuntutan ini bertujuan untuk merobohkan sebarang halangan bagi mewujudkan hegemoni ekonomi Wall Street ke atas China dan rantau sekitarnya. Obama menyatakan akan merundingkan isu ini dengan Presiden China, Xi Jinping.

Sebelum berlangsung sidang kemuncak APEC, Washington telah mengambil langkah campur tangan bagi menentang penglibatan kerajaan Korea Selatan dan Australia terlibat dalam Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) yang merupakan

20

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

alat bagi menjana kewangan China dalam projek-projek pembangunan sejagat.

Malah dalam kes Australia, AS menyatakan atas alasan keprihatinan “keselamatan” bagi penglibatan negara kanggaru tersebut.

Campur tangan merupakan isyarat yang jelas bahawa pengembangan ekonomi China dianggap oleh AS sebagai isu ketenteraan kerana ia merupakan isu keselamatan seperti dipetik di atas

Walaupun secara diplomatiknya dalam sidang kemuncak APEC, formaliti-formaliti rasmi seperti bergambar dan berjabat tangan nampak begitu erat seolah-olah hubungan cukup baik antara AS-China.

Tetapi jika anda membaca majalah Forbes, ia menyatakan: Pentadbiran Obama sekurang-kurangnya telah menjejaskan sidang kemuncak APEC. Beijing mengadakan sidang untuk menunjukkan kemegahannya.”

Forbes memetik komen daripada seorang pegawai China yang tidak dinamakan kepada South China Morning Post: “AS mahu menyekat FTAAP. Ini benar-benar menyusahkan kami”.

Adakan tindakan AS mengadakan mesyuarat TPP sebagai ingin menjejaskan impian China dengan FTAAP? Adakah menggunakan TPP sebagai senjata perdagangan dan perniagaan AS melemahkan kuasa perdagangan dan ekonomi China?

Institut Peterson untuk Ekonomi Antarabangsa yang berpusat di Washington menganggarkan bahawa dengan berjaya TPP, China akan mengalami kerugian sebanyak AS$100 bilion

21

setahun dalam kerugian eksport dan ini merupakan “sengatan” yang akan membawa kepada penurunan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan paras hutang di China.

Tetapi sehari sebelum bermulanya sidang kemuncak APEC, Xi mengumumkan sumbangan berjumlah AS$40 bilion kepada “Dana Laluan Sutera” untuk projek prasarana meningkatkan laluan perdagangan darat dan laut China yang merentasi Asia dan Lautan Hindia.

Oleh itu siapakah yang rugi sebenarnya?

Malah China mencetuskan kegemparan kepada strategi Obama dan Washington dengan memuktamadkan perjanjian kedua dengan Rusia dalam penyaluran gas, menandatangani pakatan perjanjian perdagangan dengan Korea Selatan dan Australia.

Bahkan bank pusat China telah menaikkan nilai mata wangnya, renminbi sebanyak 0.37 peratus. Ia merupakan langkah paling kritikal yang dilakukan selama lebih empat tahun, membawa kemanfaatan kepada negara-negara Asia yang lain yang lebih berdaya saing dalam pasaran China berbanding AS.

Sebagai tambahan pengawal selia sekuriti China berkata mereka akan mula membenarkan para pelabur asing di Shanghai dan Hong Kong berurus niaga di setiap bursa saham lain pada 17 November, memberikan pembeli saham asing capaian kepada nilai saham berjumlah AS$2 trilion bagi syarikat China.

Dengan keterbukaan ini Hong Kong berada di medan hadapan dalam ketelusan akaun modal dan kehadiran pelabur asing dalam pasaran modal di China. Ia menjadi China sebagai negara kedua terbesar di dunia dalam pasaran ekuiti selepas Bursa Saham New York (NYSE).

22

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Ini adalah suatu peluang yang tidak seharusnya diabaikan oleh para pelabur asing khususnya dari Amerika. Apakah AS masih tidak berpuas hati dengan ketelusan dan keterbukaan pasaran modal dan bursa China di Shanghai dan Hong Kong itu? Tapi jelas apa yang AS mahukan ialah supaya membatalkan segala halangan undang-undang dan peraturan serta kedaulatan supaya AS boleh menjajahi dengan dasar imperialismenya itu.

Selepas APEC ialah sidang Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN yang berlangsung di Myanmar dan AS akan meneruskan agenda imperialisme dan keangkuhannya itu dengan mencetuskan ketegangan dan menguasai di Laut China Selatan.

Dasar luar AS yang bersifat konfrontasi akan mengundang lebih banyak konflik dan perbalahan daripada keamanan di bumi ini.

23

AS BENDUNG PENGARUH CHINA DAN RUSIA MELALUI TPPA Perjanjian perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) merupakan sebuah blok ekonomi-perdagangan yang ditaja oleh Amerika Syarikat bagi memecahkan kebuntuan dalam rundingan perdagangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang terbengkalai.

Jika diteliti kebanyakan perkara yang dirundingkan itu semua termaktub dalam rundingan perjanjian WTO seperti Langkah-Langkah Pelaburan Berkaitan dengan Perdagangan (Trims), Perjanjian Perdagangan Berkaitan dengan Hak-Hak Milik Intelektual (Trips) dan juga Perjanjian berkaitan dengan bidang perkhidmatan.

AS telah menggunakan pintu belakang menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Dua Hala (FTA) dengan beberapa negara lain di dunia.

Bahkan negara anggota TPPA adalah negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik.

Kelahiran TPPA agak menarik untuk diperhatikan kerana negara anggotanya menjangkaui lautan dari Hindi ke Pasifik bahkan negara anggota Asean seperti Malaysia, Singapura dan Brunei telah berada di bawah orbit AS.

Namun tidak seperti WTO dan FTA, TPPA mempunyai yang berbentuk geopolitik. Di samping menjaga dan mengukuhkan kepentingan korporat transnasional, TPPA adalah senjata dan

24

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

mekanisme bagi membendung pengaruh China dan Rusia daripada menguasai Laut China Selatan dan Asia Pasifik.

AS memang sangat deras sekarang mengencarkan TPPA sebagai struktur ekonomi dan perdagangan yang berpengaruh bagi mewujudkan “capaian satu pintu” .

Apa yang dimaksudkan sini kemasukan ke rantau Asia Pasifik adalah melalui satu pintu masuk dan pintu keluar. Sebab itulah negara anggota TPPA terbentang jauh menjangkau beberapa benua. AS dengan mudah sudah menguasai “capaian satu pintu” itu.

Melalui TPPA, AS telah menggabungkan semua FTA sebagai suatu rancangan meliberalisasikan ekonomi nasional negara anggota. Dengan TPPA AS telah berjaya merungkaikan kedaulatan dan layanan tempatan negara anggotanya.

Mungkin negara anggota harus melalui parlimen masing-masing untuk membentangkan kandungan TPPA itu tetapi sejauh manakah ia dapat menahan arus deras AS ini.

TPPA memberikan hak-hak istimewa kepada korporat-korporat transnasional melalui pelaburan dan perniagaan mereka untuk menguasai ekonomi tempatan dan memberikan layanan tempatan atau hak setara kepada negara penandatangan.

Oleh itu apakah pentingnya TPPA kepada AS sehingga dapat digunakan sebagai senjata untuk membendung pengaruh China dan Rusia di rantau Asia Pasifik?

Dalam persaingan penguasaan minyak, AS nampaknya memandangkan serius Rusia sebagai kekuatan baru di Asia Pasifik.

25

Sejak tercetusnya krisis Ukraine, perang minyak antara AS dan Rusia menjadi semakin meruncing. Rusia mengetahui bahawa kepentingan AS di dalam krisis Ukraine adalah untuk melepaskan ketergantungan negara-negara Kesatuan Eropah terhadap eksport minyak Rusia.

Maka AS merancang politik destabilisasi di Ukraine supaya maka eksport minyak Rusia ke Eropah akan menjadi mahal.

Dengan itu EU akan membeli gas dari AS. Melalui cara ini, negara-negara EU tidak perlu bergantung dengan Rusia lagi.

Ini adalah strategi AS hendak menguasai EU. AS ingin membentuk dan menubuhkan Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Trans-Atlantik (TTIP).

26

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

TPPA: MANA DOKUMEN LATAR BELAKANG? Akhirnya teks akhir Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dikeluarkan. Teks ini dikatakan akan dibahaskan di Parlimen pada akhir tahun ini atau awal 2016.

Sejauh manakah perbahasan di Parlimen dapat mengubah atau meminda teks yang telah dipersetujui atau dimuktamadkan itu.

Apakah kerajaan mempunyai hak untuk meminda mana-mana teks dalam TPPA dan membawa semula ke meja rundingan setelah ia dimuktamadkan.

Jangka masa tiga bulan yang diberikan untuk dibentangkan di parlimen akan menjadi suatu pertunjukan ketelusan sahaja.

Apa yang menyedihkan setelah membaca teks akhir dokumen TPPA ialah ketiadaan dokumen latar belakang yang membantu mewajarkan sesuatu perkara dicadangkan atau diusulkan dan dijadikan perkara penting dalam teks.

Teks undang-undang sahaja tidak cukup untuk menjelaskan kandungan TPPA.

Pihak manakah yang berkepentingan dalam mengusulkan teks dan adakah pihak negara anggota hanya mengiakan sahaja tanpa sebarang perdebatan dan hujah.

Dalam isu biologik misalnya kenapa isu itu diusul dan pihak manakah yang berkepentingan mencadangkannya.

27

Persoalan data eksklusif kepada biologik dan syarat-syarat yang membawa kepada harga yang tinggi tentunya mempunyai kepentingan korporat transnasional.

Katanya pihak atau negara anggota TPPA telah berikrar untuk menyimpan rahsia untuk enam tahun akan datang.

Ini jelas menunjukkan budaya agenda rahsia bilik mesyuarat, warisan daripada Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) yang masih diamalkan.

Dokumen yang sepatutnya disiarkan ialah dokumen latar belakang mengenai apa yang sebenarnya berlaku seperti kuasa korporat telah masuk campur menentukan agenda daripada kuasa kerajaan.

Atau adalah tujuan TPPA ini sebahagian tujuannya ialah membendung China dan Rusia di rantau Pasifik terutamanya di rantau Asia Tenggara di kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Tentunya perkara ini tidak akan didedahkan pada masa sekarang.

Malaysia menjadi negara yang mempunyai kedudukan strategik dengan kedudukannya di tengah-tengah menguasai sebahagian Selat Melaka dan kawasan-kawasan tertentu di Laut China Selatan.

Sebagai negara penampan, kedudukan Malaysia amat penting bagi Amerika apatah lagi berada dalam kedudukan yang strategik.

28

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Sebagaimana yang dibaca, skop dan implikasi TPPA sangatlah luas dan ia tidak sekadar merangkumi capaian kepada pasaran. Selain daripada mengadakan capaian dan hubungan dari segi perdagangan dan pelaburan, jika anda meneliti TPPA juga menyediakan peraturan mengenai isu alam sekitar dan buruh dan isu-isu lain yang sebelum ini berada di bawah naungan kedaulatan.

Tambahan pula tidak keterlaluan jika dikatakan proses rundingan TPPA, memuktamadkannya dan juga ketelusannya adalah untuk kepentingan AS.

Keseluruhan proses perundingan banyak dipengaruhi kepentingan korporat AS dan bukanlah sebahagian daripada usaha bersama bagi mempromosikan Komuniti Ekonomi Asean umpamanya.

Tidak seperti proses perundingan Persahabatan Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), yang melibatkan semua negara anggota ASEAN dan rakan-rakan luarnya, TPPA dengan sengajanya tidak melibatkan China sebagai negara pasaran terbesar di rantau Asia Pasifik.

Presiden AS, Barrack Obama pernah menekankan bahawa AS tidak akan membenarkan China melakarkan peraturan ekonomi sejagat. Melalui TPPA, AS menafikan persaingan China dalam mempengaruhi negara-negara Asia Pasifik dan ingin mengekalkan dirinya sebagai kuasa tunggal dunia yang merumuskan peraturan perdagangan sejagat.

29

TPPA DAN BUDAYA AGENDA RAHSIA (MALAYSIAN INSIDER) Meskipun telah disebut berulang kali, apakah sebenarnya yang menyebabkan kerajaan Malaysia terikat dengan syarat kerahsiaan dalam perundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ini?

Mengapakah Malaysia masih mahu turut patuh kepada syarat atau terma kerahsiaan dalam perundingan tersebut meskipun telah mengetahui implikasi TPPA kepada negara terutamanya dari segi kedaulatan yang telah dibangkitkan acap kali.

Dalam kerahsiaan yang cuba diselindung daripada pengetahuan awam, jelas TPPA sangat sedikit berkait dengan soal perdagangan tetapi lebih kepada bidang perkhidmatan dan pelaburan serta beberapa bidang lain.

Ini adalah bidang-bidang yang gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan perkhidmatan dan pelaburan berkaitan perdagangan dalam rundingan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Apa yang dikesali dalam sektor perkhidmatan dan pelaburan, jika rundingan telah berjaya, TPPA akan membuka pasaran seluasnya untuk syarikat dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) yang menyertai TPPA untuk masuk ke dalam pasaran mana-mana negara anggota, sama ada untuk membuka syarikat baru atau cawangan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

30

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Manakala dalam sektor perkhidmatan, TPPA akan meliputi sektor kewangan, perniagaan, telekom, utiliti, perkhidmatan profesional dan perdagangan.

Hakikatnya, bahagian terbesar dalam perundingan TPPA (yang hampir sama dengan perjanjian bilateral iaitu FTA) ialah berkait dengan aspek perkhidmatan, pelaburan, peraturan ke atas Korporat Kaitan Kerajaan (GLC), Industri Kecil dan Sederhana (SME) dan Hak Milik Intelektual.

Ini adalah budaya agenda rahsia yang diwarisi sejak penubuhan WTO di peringkat awal pada tahun 1990-an lagi yang dikaitkan dengan rundingan Pusingan Uruguay yang ingin mencetuskan Orde Dunia Transnasional (TWO).

TWO adalah suatu aliran yang akan memantapkan lagi penguasaan pengurusan dunia negara perindustrian. Ia akan mempengaruhi bentuk dan struktur ekonomi dunia.

Apa yang menarik mengenai TWO ini ialah kecenderungan yang dipupuk negara maju berlaku di belakang tabir dan menjadi suatu budaya agenda rahsia.

Ia dirundingi menerusi wahana perdagangan berbilang hala yang bermula dengan rundingan Pusingan Uruguay di bawah Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) yang kemudian digantikan dengan WTO. Dalam rundingan WTO rundingan agenda rahsia biasanya dikendalikan di dalam Green Room.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama sering kali menyatakan bahawa komitmennya kepada keterbukaan kerajaan. Tidak dinafikan mengenai keterbukaan terutamanya dalam era ketelusan secara online dan sistem

31

demokrasi. Namun, agak pelik jika diperhatikan pentadbiran Obama ingin merahsiakan kandungan TPPA iaitu perjanjian komersial paling penting dan ‘paling berahsia’ sejak penubuhan WTO.

Perjanjian dirunding sejak 2008 lagi dan diharap dapat ditamatkan pada tahun ini.

Rundingan ke-18 telah berlangsung di Kota Kinabalu. TPPA adalah pakatan 12 negara yang merunding perkara-perkara asas yang bukan meliputi perdagangan tetapi merangkumi aspek-aspek strategik seperti jaminan pekerjaan, kestabilan kewangan, kos perubatan, kebebasan Internet dan peraturan serta undang-undang sesebuah negara.

Bahkan bekas Presiden George W Bush yang dikritik teruk dalam Perang Menentang Keganasan itu pun bersikap terbuka menyiarkan teks perundingan perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Amerika pada 2001.

Untuk TPPA, para pegawai pentadbiran Obama secara berulang kali telah menolak permohonan Kongres AS bagi mendapatkan capaian kepada teks draf perjanjian.

Selepas desakan kongresional dan bantahan awam terhadap kerahsiaan, akhirnya pihak pentadbiran membenarkan capaian terbatas kepada segelintir anggota kongres. Namun, ia masih membiarkan orang awam dan kumpulan NGO teraba-raba dalam kegelapan dan menafikan status pemerhati yang dinikmati pada era lalu memandangkan Perlembagaan AS menyediakan hak eksklusif terhadap dasar perdagangan.

Bagaimanapun, terdapat suatu pengecualian penting kepada pembinaan tembok kerahsiaan yang tidak pernah dilakukan

32

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

kerajaan AS sebelum ini iaitu segelintir atau elit perniagaan gergasi atau kumpulan 600 ‘penasihat’ perdagangan AS yang menikmati capaian kepada segala teks TPPA dan apa yang dirundingkan itu. Dan mereka juga menjadi perunding tidak rasmi bagi pihak kerajaan.

Budaya kerahsiaan luar biasa ini tidak dapat dicapai oleh cabang legislatif dan orang awam Amerika tetapi keterbukaan luar biasa kepada elit perniagaan gergasi AS telah menimbulkan kebimbangan.

Persoalannya sekarang, mengapa Washington dan elit perniagaan AS memberikan tumpuan kepada TPPA ini?

Ini kerana skop geo-politiknya, hak kuasa dan lebih menarik lagi ialah semua undang-undang peringkat tempatan, nasional dan dasar bukan perdagangan negara penandatangan dikehendaki mematuhi atau menyesuaikan diri dengan syarat-syarat TPPA. Jika gagal mematuhinya, negara-negara tersebut harus dikenakan tindakan contohnya sekatan ekonomi.

Menurut Majalah Third World Resurgence beberapa bab-bab yang dicadangkan itu telah dibocorkan dan ia memperlihatkan bukti sejauh manakah luasnya garapan perjanjian ini merentasi aspek-aspek yang tidak berkaitan dengan perkara-perkara ‘perdagangan’ sejati.

Daripada 29 bab yang dicadangkan mengenai TPPA ini, hanya lima berkaitan dengan isu perdagangan sejati. Kebanyakan bab lain berkait langsung dengan kehidupan rakyat.

Pada Januari 2012 di AS, perdebatan hangat meletus mengenai isu perundangan yang akan membataskan kebebasan Internet. Sehubungan itu sebagai bantahan, laman sesawang Wikipedia,

33

enjin pencari Google dan beberapa laman sesawang lain telah menggelapkan laman mereka.

Rang undang-undang tersebut, Stop Online Piracy Act (SOPA) menerima kritikan hebat di AS. Namun, korporat-korporat yang mendukung SOPA kini ingin menghidupkan semula di dalam rangka kerja TPPA.

Menurut Presiden Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Azmi Abdul Hamid, atas nama layanan adil dan saksama atau ‘fair and equitable treament’ kepada pelabur luar, sebarang undang-undang baru atau dasar baru yang mahu dikuatkuasakan oleh Malaysia nanti, boleh dianggap menjejaskan keuntungan pelabur, boleh dicabar dalam tribunal antarabangsa melalui pampasan dalam bentuk kewangan.

Tambahnya, undang-undang atau dasar yang mahu digubal dan dikuatkuasakan oleh negara seperti Malaysia akan disyaratkan supaya selaras dengan terma TPPA.

Menurut Azmi, ia adalah berkaitan dengan dasar sosial dan budaya seperti dasar mengutamakan Bumiputera, kawalan barangan halal-haram, peraturan mengenai produk budaya yang bertentangan dengan nilai tempatan dan keistimewaan kepada golongan orang asal yang terpinggir.

Persoalannya, semua undang-undang atau dasar yang mahu digubal ini akan tertakluk kepada terma TPPA dan jika ia menjejaskan keuntungan pelabur asing tindakan undang-undang mengenai perdagangan boleh diambil ke atas negara penandatangan.

34

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Azmi menjelaskan negara-negara penandatangan TPPA telah bersetuju untuk membenarkan syarikat luar mengambil tindakan saman di tribunal arbitrasi antarabangsa iaitu International Center for Settlement of Investment Disputes yang bertapak di Washington untuk menuntut pampasan disebabkan eskpropriasi (expropriation).

Eskpropriasi juga didefinisikan bukan sahaja rampasan harta dan membatalkan kontrak tetapi juga sebarang pengurangan keuntungan akibat perubahan polisi dan peraturan.

Negara seperti Ecuador disaman dan terpaksa membayar pampasan USD2.3 bilion yang telah dianugerahi oleh mahkamah tersebut kepada sebuah syarikat minyak AS pada 2012. Manakala Indonesia disaman USD2 bilion kerana menarik balik kontrak yang dimeterai dengan sebuah syarikat bertapak di UK.

Dalam aspek pemerolehan kerajaan, kesan parah akan berlaku ke atas syarikat GLC dan SME tempatan. Mengikut TPPA, sebarang layanan istimewa kepada syarikat tempatan untuk mendapat sebarang kontrak kerajaan akan dianggap menyalahi terma TPPA kerana tidak memberi layanan adil dan saksama.

Ini bermakna keutamaan dan keistimewaan untuk mendapat tender kerajaan kepada syarikat tempatan seperti syarikat hak milik kerajaan tempatan, kerajaan negeri, koperasi, Tabung Haji, PNB, DPMM, DPIM dan berkaitan akan terjejas.

Natijahnya ialah sebarang institusi tempatan atas nama syarikat yang ditubuh oleh pelbagai pihak daripada kalangan persatuan sosial akan diketepikan kerana perlu bersaing secara terbuka dengan pelabur luar.

35

Jika didapati mana-mana negara penandatangan TPPA melanggar peraturan memberi layanan yang sama rata kepada semua syarikat dalam dan luar negara, maka tindakan sanksi boleh dikenakan ke atas negara tersebut.

Dalam sub bab mengenai State Own Enterprise (SOE), mana-mana SOE yang terdapatnya saham kerajaan di dalamnya, terma TPPA menetapkan kerajaan tidak boleh menentukan dasar yang memihak kepada pelabur tempatan.

Implikasinya ialah sesebuah negara yang menandatangani TPPA harus saja mengubah secara drastik banyak dasar, undang-undang dan peraturan negara berkenaan yang akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat negara tersebut.

Sehubungan itu MTEM telah melontarkan beberapa soalan yang akan memberi implikasi kepada sosio-budaya dan kedudukan undang-undang serta dasar Islam jika TPPA dimeterai oleh Malaysia:

Sejauh mana pelbagai aspek TPPA akan mengurangkan syarat mematuhi budaya dan agama negara bila barangan dan industri perkhidmatan masuk ke dalam pasaran Malaysia?

Jika Malaysia mahu menetapkan peraturan untuk mengetatkan sebarang kemasukan barangan yang mencemar dan menggugat nilai dan budaya Malaysia, apakah TPPA menganggap itu bertentangan dengan ‘fair and equitable treament’?

Apakah undang-undang syariat (enakmen) dan dasar yang berkait dengan Islam yang dikuatkuasakan di peringkat negeri dan juga peraturan mengenai pentadbiran hal ehwal Islam peringkat persekutuan akan terjejas bila TPPA yang mengguna prinsip tidak boleh mendiskriminasi produk dari luar dalam pasaran terbuka akan berlaku?

36

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

TPPA mempunyai mekanisme Pertikaian Penyelesaian Perdagangan (Trade Settlement Dispute) yang tersendiri. Jika ada produk atau perkhidmatan daripada sebuah syarikat luar melanggari undang-undang dalam enakmen Islam, apakah undang-undang Islam yang menjaga kepentingan Islam di negara ini akan diketepikan bila berlaku konflik perdagangan?

Jika TPPA mensyaratkan terma yang ketat untuk negara menggubal sebarang polisi yang boleh memihak kepada kepentingan sosio-budaya tempatan, apakah dasar seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Akta Perdagangan mengenai logo halal akan dirombak?

Bab mengenai Hak Milik Intelektual dan Hakcipta mempunyai kesan besar kepada hak kepada maklumat dan hak kepada ilmu pengetahuan. Sejauh mana TPPA akan menyekat penggunaan teknologi maklumat yang membuka capaian kepada pelbagai sumber ilmu yang boleh dicapai oleh orang awam?

Bab perkhidmatan adalah luas. Ia termasuk soal industri hiburan dan media. Malaysia mempunyai peraturan mengenai penapisan bahan media dan persembahan artis luar dan dalam negara. Apakah industri ini tertakluk kepada syarat TPPA yang mesti mematuhi terma ‘fair and equitable treament’ walaupun ia melibatkan nilai dan budaya masyarakat Malaysia

Daripada semua persoalan di atas TPPA dan dengan budaya agenda rahsia, ia bakal mendedahkan negara kepada kesan sosio-budaya yang parah.

Apatah lagi teks TPPA masih dirahsiakan dari pengetahuan umum. Jikapun ada maklumat mengenai rundingan TPPA yang telah bocor, ia masih tidak mencukupi bagi masyarakat awam

37

dan penggubal dasar untuk meneliti dan menganalisa kesan yang bakal diterima oleh negara dan rakyat.

Justeru, jika kesannya menimbulkan kebimbangan, kenapakah pihak kerajaan ikut berahsia dan masih mahu meneruskan penyertaan dalam perundingan dalam TPPA?

38

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

TPPA ANCAMAM BARU KEPADA KEDAULATAN EKONOMI NEGARA? Apa yang menjadi perdebatan hangat daripada kebimbangan dan kerisauan kebanyakan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negara berhubungan dengan rundingan Perjanjian Persahabatan (adakah benar-benar sahabat) Trans-Pasifik (TPPA) ialah persoalan kedaulatan dan keputusan menentukan hala tuju ekonomi dan dasar negara.

Nampaknya di sebalik agenda penjajahan proksi dan kemanusiaan yang sedang berlangsung di Timur Tengah, jika kita teliti dua gergasi ekonomi dunia iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sedang menggerakkan usaha mengumpil wilayah-wilayah kedaulatan ekonomi negara Selatan.

Di samping sorotan media mengenai perkembangan isu di Timur Tengah, perhatian harus diberikan kepada inisiatif ini kerana kesannya amat besar dan parutnya begitu mendalam sekali.

Inisiatif ini menyentuh sejauh manakah negara Selatan dapat membuat dan melakarkan dasar pembangunan dan ekonomi mereka dengan sebebas mungkin.

Kita tidak mahu mereka menjadi tawanan dalam pematuhan kepada rundingan perdagangan yang berbentuk ‘soft power’. Melalui catatan sejarah yang berkaitan dengan rundingan perdagangan, British telah banyak kali menipu dan

39

memanipulasi pemimpin kita melalui perjanjian yang bermula dengan kedatangan lanun Francis Light ke Kedah.

Adalah tidak difahami kenapakah patung Francis Light masih tegak berdiri di hadapan muzium Pulau Pinang? Apakah maksud perlambangan di sini?

Tidak keterlaluan jika dikatakan ia merupakan isu terpenting yang menentukan antara kejayaan dan kegagalan ekonomi sesebuah negara Selatan itu.

Ia dapat dianggap sebagai bentuk penjajahan semula melalui perjanjian perdagangan. Apa yang penting untuk diperkatakan ialah perbadanan dan syarikat pemilikan kerajaan, kapitalis dan usahawan tempatan dalam sektor-sektor sensitif dan utama seperti perbankan, utiliti, kewangan, perkhidmatan awam, pertanian, industri-industri malah berkaitan syarikat kecil dan sederhana serta layanan tempatan dan status bumiputera akan dicabar melalui perjanjian perdagangan seperti TPPA umpamanya.

Syarikat-syarikat gergasi yang beroperasi mendapati beberapa insentif, sokongan dan layanan yang diberikan kerajaan negara Selatan menafikan mereka peluang perniagaan dan meningkatkan pelaburan.

Umum mengetahui korporat tempatan sama ada dimiliki kerajaan atau yang diperbadankan memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Di samping itu syarikat-syarikat tempatan juga menerima bantuan kerajaan serta insentif dan sokongan dalam pelbagai cara seperti pinjaman kepada industri kecil dan sederhana, bantuan kepada petani, subsidi dan pelepasan cukai untuk

40

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

penyelidikan dan pembangunan atau pembelian teknologi, keistimewaan dalam pemerolehan kerajaan dan penyediaan prasarana?

Sehubungan itu layanan tempatan terutamanya kepada syarikat bumiputera juga turut diberikan dalam bentuk geran, subsidi dan pemberian kredit dan kontrak kerajaan.

Insentif, sokongan serta layanan tempatan inilah yang dicemburui dan dikritik sebagai tidak adil oleh korporat negara maju. Perkara ini turut mendapat sokongan kerajaan negara maju dan berusaha untuk mengumpil pasaran tertutup dan dilindungi ini.

Segala sokongan kerajaan kepada syarikat tempatan dilihat sebagai halangan kepada korporat multinasional untuk mengembangkan pasaran ke dalam wilayah-wilayah yang sensitif dan dilindungi ini.

Kemasukan Jepun ke dalam rundingan TPP di saat-saat akhir memperlihatkan betapa pentingnya ia dan Tokyo tentu tidak mahu ketinggalan atau terlepas peluang merebut dan menguasai pasaran negara Selatan atau negara sedang membangun ini.

Apa yang menjadi kebimbangan sekarang ialah keupayaan kerajaan negara maju untuk mempengaruhi kerajaan negara sedang membangun merubah atau meminda rangka kerja polisi dan dasar pembangunannya.

Usaha-usaha ini dapat dilihat melalui TPPA dan Perjanjian Persahabatan Perdagangan dan Pelaburan (TTIP). Sub-bahagian mengenai syarikat pemilikan kerajaan adalah bahagian ketara dalam TPPA.

41

AS dan Australia sedang mengetuai usaha supaya terdapat peraturan untuk mengekang atau membataskan peranan kerajaan dalam ekonomi.

Kedua-dua negara maju ini mempersoalkan isu layanan tempatan, isu yang pernah diutarakan dalam rundingan perkhidmatan berkaitan perdagangan di rundingan pusingan Uruguay Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Dalam isu ini, mereka mahukan kerajaan tidak bersikap monopoli iaitu bertindak dalam cara yang diskriminatori iaitu dalam urusan perniagaan dan pelaburan kerajaan tidak boleh memberikan keistimewaan dan insentif kepada syarikat tempatan.

Mereka juga tidak mahu syarikat milik kerajaan atau diperbadankan atau saham minoriti kerajaan melalui proksi mendapat keistimewaan berbanding syarikat asing dalam kegiatan komersial.

Perkara yang sama juga berlaku dalam rundingan TTIP, perjanjian antara AS-EU.

Jika tidak dibantah atau dinasihati, ia akan membuka laluan menjadi suatu rancangan menyeluruh dan standard kepada rundingan perdagangan dua hala antara kerajaan pada masa akan datang. Malah kerajaan negara maju berharap peraturan ini akan dimasukkan ke dalam rundingan WTO yang dianggotai oleh lebih 130 negara.

Ia akan menyempitkan ruang kepada negara untuk memberikan kepada syarikat tempatan berkembang dan maju dan berkembang di pentas antarabangsa. Syarikat yang baru

42

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

ditubuhkan tidak dapat berlindung di bawah insentif dan skim bantuan dan perlindungan kerajaan,

Ia juga akan menjejaskan rancangan kerajaan negara Selatan yang membangunkan model gabungan kerajaan dan swasta bagi mengembangkan korporat tempatan bukan sahaja di peringkat tempatan malah di pentas global.

Contohnya negara seperti Korea Selatan, China, Thailand, Indonesia, Taiwan termasuk Malaysia telah merintis memajukan model pembangunan di mana sektor swasta dan awam bergabung dalam memajukan negara supaya syarikat tempatan dapat bersaing di pentas global.

Kejayaan negara Asia Timur melalui kolaborasi kerajaan, perbadanan kerajaan dan syarikat swasta telah membawa kepada pertumbuhan ekonomi menggalakkan.

Mana-mana negara yang menyertai TPPA atau rundingan dua hala perdagangan yang lain harus bersedia melakukan perubahan drastik dalam dasar, undang-undang dan peraturan yang boleh atau dapat menjejaskan ekonomi tempatan dan masyarakatnya.

Namun bagi negara maju isu sensitif seperti subsidi yang merupakan amalan distorsi perdagangan yang dilaksanakan negara seperti AS tidak dimasukkan ke meja rundingan TPPA atau rundingan FTA melibatkan Eropah.

Jika agenda ini menjadi peraturan antarabangsa yang baru maka negara seperti Malaysia haruslah merancang dan melakar semula rancangan pembangunan dan ekonominya supaya prospek pembangunan tidak terjejas di masa depan.

43

DEKOLONISASI TPPA Suatu agenda pembangunan kredibel seharusnya tidak mengandungi unsur bersifat rahsia, berbau penjajahan halus atau soft colonialism.

Agenda pembangunan antarabangsa dapat menjaminkan suatu hubungan persahabatan sejagat ke arah menetapkan matlamat nominal dan penanda kesederhanaan.

Apa yang dimaksudkan di sini ialah jalinan persahabatan yang menggerakkan semangat politik ke arah transformasi pada tahap struktural dan keinstitusian.

Ini bermakna harus merumuskan semula dasar yang menindas negara sedang membangun dan miskin, dasar yang menguntungkan negara maju dan menzalimi negara miskin dan bukannya dasar yang merugi dan mempertanggungjawabkan beban yang harus dipikul melalui perjanjian perdagangan.

Oleh itu suatu proses dekolonisasi perlu dilaksanakan dengan memikirkan semula aspek pembangunan dan matlamatnya dengan mereka bentuk semula peraturan perdagangan, ekonomi dan politik serta merekayasa struktur institusi, makro ekonomi dan kerangka perdagangan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu terdapat lima bidang penting dalam urus tadbir makro ekonomi dan kewangan yang amat kritikal untuk diutarakan ke arah agenda pembangunan bermakna terutamanya dalam era pasca 2015 nanti.

44

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Antaranya ialah bidang kewangan dan peraturan, dasar kewangan yang pro-siklikal atau fiskal berasaskan kesederhanaan, kedaulatan hutang, peranan sektor swasta dalam pembangunan dan urus tadbir demokratik dalam perdagangan dan kewangan antarabangsa.

Tonggak kepada makro ekonomi dan urus tabir kerajaan ialah peranan pembangunan dalam kerajaan.

Agenda pembangunan pasca 2015 mengikut Matlamat Pembangunan Milenia (MDG) gagasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) misalnya perlu mengesah, menyokong dan memberikan perlindungan kepada keupayaan negara dengan peranan proaktif membangun, membina dan mengukuhkan institusi domestik dalam urus tadbir ekonomi, menyelaraskan pasaran dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mewujudkan peluang pekerjaan, jaminan makanan dan kepelbagaian ekonomi dan membuka ruang kepada pertumbuhan syarikat kecil dan sederhana.

Peranan aktif negara perlu dinilai sebagai sesuatu keperluan dalam menterjemahkan pertumbuhan ekonomi ke arah menjamin dan mengekalkan ekonomi dan hak sosial, keadilan dan kesejahteraan.

Rundingan TPPA nampaknya seakan-akan hendak melemah dan mengurangkan ruang kepada peranan kerajaan dan institusinya yang lain.

Ini kerana rundingan TPPA merupakan agenda korporat transnasional atau syarikat gergasi dari Amerika Syarikat (AS) dan Jepun yang cuba mengumpil ke dalam pasaran negara sedang membangun yang menjadi sumber keuntungan bagi mereka terutamanya dalam pemerolehan kerajaan.

45

Sokongan yang diberikan kerajaan kepada syarikat tempatan dilihat oleh korporat transnasional sebagai suatu halangan kepada pembukaan pasaran baru di negara sedang membangun.

TPPA adalah suatu usaha untuk menukar paradigma atau merubah pandangan dunia serta rangka kerja di negara sedang membangun bahawa peranan kerajaan akan dikurangkan dalam pertumbuhan ekonomi atau membantu syarikat tempatan dan perkara ini harus dibiarkan kepada ekonomi pasaran dan proses liberarisasi yang menentukannya.

Dua percubaan ke arah ini dapat dilihat dalam cadangan TPPA dan rundingan Persahabatan Pelaburan dan Perdagangan Trans-Atlantik (TTIP) yang menumpukan kepada negara Kesatuan Eropah (EU).

Bahagian peranan kerajaan dalam membantu SOE atau perbadanan milik kerajaan menjadi agenda penting dalam rundingan TPPA. Dua negara utama, AS dan Australia sedang menggerakkan usaha supaya wujudnya peraturan yang dapat membataskan peranan kerajaan ekonomi melalui dua pendekatan.

Pertama, supaya kerajaan tidak bersifat pilih kasih dengan mengutamakan syarikat tempatan dan mendiskriminasikan syarikat asing terutamanya dalam perkara berkaitan dengan bidang perkhidmatan dan pelaburan. Ini termasuk larangan menberikan layanan istimewa dalam bentuk insentif atau pengurangan cukai dan subsidi kepada syarikat tempatan.

Kedua, syarikat yang dikaitkan dengan kerajaan di mana proksi kerajaan atau kerajaan sendiri memiliki saham minoriti tidak seharusnya mendapat layanan istimewa ketika bersaing dengan syarikat asing.

46

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Tidak keterlaluan jika dikatakan TPPA adalah salah satu perjanjian penting yang dirundingi hari ini. Ini dapat dilihat kepada penumpuan isu yang dirundingi dan jumlah dan negara terlibat adalah kuasa besar ekonomi dunia. TPPA melepasi sempadan geografi dan boleh menetapkan asas kepada rundingan perdagangan pada masa depan.

TPPA menggerakkan suatu Orde Transnasional Baru dunia dengan korporat transnasional sebagai aktor yang bersifat monopolistik dan oligopolistik.

Jika diteliti secara amnya objektif TPPA adalah bertentangan dengan dasar perdagangan di kebanyakan negara sedang membangun sama ada di rantau Asia Tenggara, Asia Timur mahupun Amerika Latin. Realiti, matlamat dan pelan pembangunan kebanyakan negara tersebut di rantau masing-masing tentunya berbeza dengan objektif TPPA atau negara maju seperti AS, Australia dan Jepun.

Bahkan topik khusus kepada rantau iaitu perlindungan kepelbagaian biologi dan kemantapan kepelbagaian budaya, keanjalan merangka dan merekayasa dan melaksanakan dasar pembangunan (sebagaimana diterangkan di atas), capaian kepada farmaseutikal atau ubat-ubatan, bahan pendidikan dan isu hak atau harta milik intelektual harus dirunding dengan cermat dan teliti bagi melindungi kepentingan nasional dan serantau.

Kebanyakan negara sedang membangun memerlukan keanjalan atau fleksibiliti apatah lagi ketelusan dalam sebuah rundingan berbilang hala (multilateral) dalam isu seperti harta milik intelektual, perlindungan alam sekitar, kawalan modal dan keseimbangan antara hak pelabur asing atau swasta dan kerajaan.

47

Harus dibezakan antara keperluan projek kerajaan untuk membantu rakyat miskin dengan projek swasta yang menumpukan kepada pengguna mewah misalnya.

Oleh itu setiap suara dan undi daripada setiap negara sedang membangun ini adalah penting dalam rundingan TPPA yang tidak memerlukan kata sepakat belakang tabir melalui budaya agenda rahsia atau rundingan sulit dan berahsia yang tidak diketahui umum.

Apa yang menjadi taruhan ialah kedaulatan rakyat dan negara dan masa depannya dan keputusan dan hala tuju kerajaan dalam menentukan masa depan kewangan dan perdagangan.

Adalah penting bagi sesebuah negara dalam rundingan TPPA tidak bersetuju terhadap suatu rundingan berahsia di belakang tabir dan diputuskan berdasarkan kepentingan sesebuah negara kuasa besar dan hanya diumumkan selepas bersetuju dengan peraturan dan kandungan perjanjian tersebut.

Kita tidak menjadi sebuah negara berdaulat yang diikat tangan dan dikunci mulut supaya tidak dapat bersuara membantah atau menentang.

Ia memerlukan pendirian tegas dan kuat dalam rundingan ketika berhadapan dengan tuntutan dan tekanan negara maju dan korporat gergasi dalam TPPA.

Negara seperti Malaysia misalnya memerlukan capaian kepada pengetahuan, bagi meningkatkan mutu pendidikan, kesihatan dan mengukuhkan ekonominya. Kita tidak memerlukan perjanjian berat sebelah yang menguntungkan negara maju dan meninggalkan beban tanggungjawab yang perlu dipatuhi menurut peraturan yang ditetapkan dalam TPPA.

48

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)

Adalah dirasakan negara sedang membangun harus menggerakkan usaha ke arah menterjemahkan keperluan pelan pembangunan negara menurut acuan sendiri. Misalnya dalam rundingan perhubungan antarabangsa kepentingan negara harus diutamakan kerana ia melibatkan kedaulatan dan pertumbuhan ekonomi dan kemantapan kewangan.

Suatu proses dekolonisasi dengan merekayasa ke arah kepentingan negara sedang membangun harus difikirkan dengan mendekonstruksikan kerangka Bretton Woods. Negara sedang membangun tidak seharusnya bergantung kepada institusi Bretton Woods dan derivatifnya. Kumpulan negara sedang membangun tidak selamanya harus merujuk kepada institusi seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bagi mendapatkan bantuan atau menjalinkan hubungan kewangan dan perdagangan antarabangsa.

Ia boleh dibentuk melalui rundingan serantau atau antara rantau. Misalnya negara Amerika Latin boleh merintis rundingan antara negara anggota Asean dengan Mercusor (Pertubuhan Ekonomi Amerika Selatan).

Rundingan tidak harus digerakkan negara maju atau berpaksikan AS atau Eropah. Paksi harus diubah atau ditukar ke rantau selatan. Rundingan TPPA mempunyai agenda menyisih atau mengasingkan China dan sebab itu dijemputnya Jepun sebagai `check and balance’ ke atas China.

Dalam rundingan Apec misalnya `power struggle’ antara China, Rusia dan AS begitu ketara sekali. Negara kumpulan Brazil, China, India dan China atau (BRIC) misalnya mempunyai keupayaan dan kekuatan untuk menubuhkan bank atau dana kewangan untuk membantu negara yang memerlukan.

49

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa rundingan perdagangan antarabangsa harus berpaksi atau berkiblat kepada selatan dengan mengutamakan negara sedang membangun dan miskin.

Oleh itu secara amnya bantahan terhadap TPPA adalah bantahan terhadap kehilangan kedaulatan dan proses membuat keputusan dan mengurangkan ruang bagi kerajaan terlibat dalam proses membangunkan ekonomi negara. Bantah TPPA!

50

Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA)