topik5

24
HASIL PEMBELAJARAN PENGENALAN Bertindak balas terhadap sumber stres adalah satu bentuk tingkah laku yang perlu dipelajari supaya stres berjaya dikurangkan dengan cara mengehadkan kesan-kesan yang boleh memudaratkan individu (Lazarus dan Folkman, 1984; Stone, 1993). Menurut Hardy, Hall dan Hardy (2004), kebolehan bertindak balas terhadap peristiwa stres semasa pertandingan sukan adalah perkara utama dalam kejayaan sesuatu persembahan. Atlet perlu bertindak balas terhadap punca stres dalam sukan seperti melakukan kesilapan mental atau fizikal, kesilapan yang dilakukan oleh ahli sepasukan, mengalami kecederaan, T T o o p p i i k k 5 5 Hubung kait antara Kognitif dengan Tingkah Laku Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. menjelaskan kepentingan strategi daya tindak ke atas punca stres; 2. menyenaraikan strategi daya tindak yang boleh digunakan untuk berhadapan dengan situasi stres dalam sukan; 3. menunjuk cara prosedur relaksasi yang betul; 4. mengatur strategi pengukuhan semangat pasukan dengan terancang; dan 5. menjelaskan prinsip-prinsip latihan mental dalam sukan.

Upload: nizamskab

Post on 25-Oct-2015

86 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

topik5

TRANSCRIPT

Page 1: topik5

HASIL PEMBELAJARAN

PENGENALANBertindak balas terhadap sumber stres adalah satu bentuk tingkah laku yang perlu dipelajari supaya stres berjaya dikurangkan dengan cara mengehadkan kesan-kesan yang boleh memudaratkan individu (Lazarus dan Folkman, 1984; Stone, 1993). Menurut Hardy, Hall dan Hardy (2004), kebolehan bertindak balas terhadap peristiwa stres semasa pertandingan sukan adalah perkara utama dalam kejayaan sesuatu persembahan. Atlet perlu bertindak balas terhadap punca stres dalam sukan seperti melakukan kesilapan mental atau fizikal, kesilapan yang dilakukan oleh ahli sepasukan, mengalami kecederaan,

TTooppiikk 55 Hubung kaitantaraKognitifdenganTingkah Laku

Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. menjelaskan kepentingan strategi daya tindak ke atas punca stres; 2. menyenaraikan strategi daya tindak yang boleh digunakan untuk

berhadapan dengan situasi stres dalam sukan; 3. menunjuk cara prosedur relaksasi yang betul; 4. mengatur strategi pengukuhan semangat pasukan dengan

terancang; dan 5. menjelaskan prinsip-prinsip latihan mental dalam sukan.

Page 2: topik5

64 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

mengalami kesakitan, kemenangan di pihak lawan, atau dikenakan denda oleh petugas perlawanan.

Menurut Anshel (2003), kegagalan atlet bertindak balas terhadap punca stres akan memberi kesan yang buruk ke atas proses psikologi seperti konsentrasi, fokus tumpuan, dan kebangkitan. Dalam aspek perlakuan motor pula, kelemahan daya tindak stres boleh meningkatkan lagi ketegangan otot dan menghalang atlet daripada memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan yang sedang dilakukan

5.1 STRATEGI DAYA TINDAK Dalam konteks sukan, daya tindak ialah satu proses yang aktif dan dinamik berkenaan dengan usaha individu untuk mengurangkan intensiti dan kekerapan sesuatu rangsangan yang memberi tekanan atau ancaman (Lazarus, 1999). Daya tindak juga adalah usaha pengubahsuaian kognitif dan tingkah laku secara konsisten bagi tujuan menguruskan kehendak-kehendak luaran dan dalaman yang spesifik, yang dilihat sebagai melampaui kemampuan sumber sedia ada seseorang individu (Lazarus & Folkman, 1984).

Model stres kognitif-motivasi oleh Lazarus dijadikan sebagai kerangka konseptual dalam memahami lebih lanjut bagaimana atlet bertindak balas terhadap stres semasa pertandingan (Lazarus, 1999; Lazarus & Folkman, 1984). Menurut Lazarus, stres ialah satu penilaian kognitif yang sangat kompleks merangkumi tiga prinsip yang berikut iaitu penilaian utama, penilaian sekunder dan strategi daya tindak.

(a) Penilaian utama ialah proses mengenal pasti kesan sesuatu situasi ke atas kesejahteraan fizikal dan psikologi individu sama ada kesan berbentuk faedah, cabaran, ancaman dan kemudaratan. Menurut Lazarus, ancaman ialah penilaian yang paling utama dalam kebimbangan persaingan sukan (Lazarus, 1999).

(b) Penilaian sekunder pula ialah penilaian kognitif yang berkaitan dengan apa yang boleh dilakukan oleh individu untuk menangani penilaian

AKTIVITI 5.1

Senaraikan seberapa banyak aktiviti yang anda biasa lakukan sebagai tindak balas terhadap situasi yang menimbulkan tekanan kepada anda.

Page 3: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 65

utama seperti cuba untuk menguasai apa yang dinilai pada penilaian utama.

(c) Terdapat dua strategi daya tindak:

(i) Strategi daya tindak berfokuskan masalah

Strategi ini turut dikenali sebagai strategi berorientasikan tugasan (Endler & Parker, 1990), yang merujuk kepada usaha yang dilakukan untuk bertindak balas terhadap sumber stres bagi mencapai objektif tugasan. Usaha mengurangkan tekanan luaran, halangan dan prosedur tugasan, mengubah matlamat, mencari alternatif baru, mendapatkan sokongan sosial, dan bersifat asertif adalah strategi daya tindak yang berfokuskan masalah. Dalam konteks sukan, atlet melakukan strategi berfokuskan masalah dengan cara mempelajari kemahiran dan strategi sukan yang baru untuk mengatasi pihak lawan, mendapatkan rawatan perubatan dan psikologi, serta melakukan perbincangan dengan jurulatih. Contohnya, pemain sofbol yang bermain menggunakan tangan kanan akan mula merasa bimbang apabila memukul dengan tangan kiri. Oleh yang demikian, pemain tersebut akan cuba mengatasi kebimbangannya dengan membanyakkan latihan memukul menggunakan tangan kiri.

(ii) Strategi daya tindak berfokuskan emosi

Strategi ini adalah usaha individu mengawal emosi bertujuan untuk mengurangkan atau menguruskan tekanan kognitif akibat peristiwa stres (Leventhal et al., 1993). Strategi ini juga mempengaruhi cara individu membuat penilaian terhadap sumber stres yang diterima. Justeru, strategi daya tindak berfokuskan emosi cenderung kepada usaha mengubahsuai maksud sesuatu sumber stres seperti contoh yang dikemukakan oleh Sarafino (1994) iaitu atlet yang dikeluarkan daripada sesuatu pertandingan akan berkata bahawa beliau gembira kerana jurulatih telah mengeluarkannya dari senarai pemain kerana dia sudah pun letih.

Dalam strategi daya tindak juga, gaya daya tindak itu dilakukan turut diberi perhatian. Menurut Compas (1987), gaya daya tindak ialah ciri yang terdapat pada kaedah yang digunakan oleh individu untuk bertindak balas terhadap stres sama ada dengan cara:

Page 4: topik5

66 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

(i) Gaya mendekat (approach)

Gaya daya tindak mendekat bermaksud mengambil langkah yang aktif untuk menangani stres secara langsung bagi mengurangkan kesannya ke atas kesejahteraan individu. Seseorang atlet haruslah mempelbagaikan strategi daya tindak dan merancang strategi tersebut dengan baik dan teratur. Walau bagaimanapun, menurut Roth dan Cohen (1986), gaya mendekat adalah sangat baik diaplikasikan sekiranya situasi stres boleh dikawal, sumber stres diketahui oleh individu, dan hasil tugasan adalah dalam jangka masa yang panjang selepas stresor berlaku. Bagi menghadapi kekuatan pihak lawan, seseorang atlet perlu mengubah strategi atau meminta bantuan daripada jurulatih untuk mengenal pasti kelemahan pihak lawan bagi tujuan mendapatkan semula kemenangan dan kejayaan.

(ii) Gaya mengelak (avoidance)

Gaya daya tindak mengelak pula bermaksud menghindarkan diri daripada sumber stres sama ada dengan cara mengabaikannya, tidak mempercayainya, menjauhinya secara psikologi, mendapatkan pertolongan orang lain, atau melakukan tugasan yang lain dan melepaskan tugasan yang memberikan tekanan (Endler & Parker, 1990). Roth dan Cohen (1986) menyatakan bahawa gaya daya tindak mengelak sesuai di aplikasi apabila sumber emosi adalah kurang seperti kurang keyakinan dan penghargaan diri, sumber stres tidak jelas, situasi stres tidak dapat dikawal, hasil tugasan adalah ringkas dalam jangka masa yang pendek selepas punca stres berlaku. Dalam sukan sering berlaku situasi atlet menerima rungutan yang tidak membina daripada pihak lawan, menyebabkan atlet menjauhkan diri secara psikologi daripada sumber stres tersebut dengan cara memahami corak tingkah laku pihak lawan yang dianggap suka merungut. Menilai pihak lawan sebagai orang yang suka merungut dan berfikiran negatif sedikit sebanyak dapat mengurangkan stres atlet.

Berdasarkan kepada konsep strategi dan gaya daya tindak di atas, dapatlah dirumuskan bahawa kedua-dua gaya daya tindak mendekat dan mengelak mengandungi elemen-elemen strategi daya tindak berfokuskan masalah dan emosi. Justeru Anshel, William dan William (2000) mencadangkan pengukuran gaya daya tindak dalam konteks sukan mesti mengandungi item soalan yang merangkumi empat jenis daya tindak seperti yang dijelaskan dalam Rajah 5.1, iaitu:

Page 5: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 67

(a) Berfokuskan masalah gaya mendekati contohnya seperti konfrontasi fizikal, atau mendapatkan maklumat.

(b) Berfokuskan masalah gaya mengelak contohnya seperti terus mencuba dan tidak perlu risau pada tugasan

(c) Berfokuskan emosi gaya mendekat contohnya seperti menggunakan kaedah relaksasi progresif untuk mengurangkan stres

(d) Berfokuskan emosi gaya mengelak contohnya mengabaikan terus tugasan.

Rajah 5.1: Reka bentuk konseptual kajian strategi dan gaya daya tindak di kalangan atlet (Anshel, et al., 1997)

The Coping Style in Sport Survey (CSSS) oleh Anshel et al., (1990) dibina berdasarkan reka bentuk konseptual. Pada Rajah 1 di atas. CSSS mengandungi 134 item yang berkait rapat dengan 7 stresor sukan yang utama iaitu selepas melakukan kesilapan fizikal dan mental, selepas dikritik oleh jurulatih, selepas melihat pihak lawan menipu, selepas mengalami kesakitan dan kecederaan, selepas menerima desakan daripada pihak pengurusan, selepas pihak lawan mendapat kemenangan, dan selepas mengalami masalah persekitaran yang

Page 6: topik5

68 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

kurang baik seperti cuaca buruk, padang/gelanggang rosak, reaksi negatif dari penonton.

Kajian menunjukkan atlet yang melakukan kemahiran daya tindak yang baik mampu menguruskan tekanan serta kehendak-kehendak latihan dan pertandingan dengan baik sekali (Cox, 2002). Gould, Eklund dan Jackson (1993) dan Gould, Finch dan Jackson (1993) mendapati bahawa terdapat 39 jenis strategi daya tindak yang dilaporkan oleh ahli gusti olimpik dan jaguh papan luncur kebangsaan. Kesemua jenis strategi daya tindak tersebut dikategorikan dalam 4 dimensi utama iaitu:

(a) Strategi kawalan pemikiran - imageri, self-talk, pemikiran positif, mindstopping)

(b) Strategi fokus tumpuan - kawalan konsentrasi, tunnel vission.(c) Strategi kawalan emosi - kawalan kebangkitan, relaksasi, visualisasi, (d) Strategi kawalan tingkah laku - rutin, rehat, kawalan persekitaran,

Kebanyakan strategi daya tindak di atas adalah aplikasi daripada latihan psikologi seperti relaksasi, imageri, meditasi, percakapan kendiri, pemikiran positif, keyakinan diri, fokus dan tumpuan, penetapan matlamat dan lain-lain; latihan fizikal seperti kuat berlatih, bersedia untuk menghadapi perlawanan akan datang, menonton video persembahan pihak lawan; dan relaksasi somatik seperti melakukan relaksasi otot progresif, berurut dan tidur.

5.2 TINGKAH LAKU PENGURUSAN STRES, KEBIMBANGAN DAN KEBANGKITAN

Martens (1987) menyatakan bahawa terdapat 3 perkara penting yang perlu dikendalikan dalam pengurusan stres, kebimbangan dan kebangkitan iaitu faktor persekitaran, tahap kebangkitan somatik dan pemikiran yang negatif. Merujuk kepada Rajah 5.2, terdapat dua formula yang diperkenalkan oleh Martens (1987)

AKTIVITI 5.2

Senaraikan 5 situasi stres yang pernah anda alami dan kenalpasti strategi daya tindak yang digunakan untuk menghadapi situasi stres ketika itu. Tentukan klasifikasi strategi daya tindak yang telah anda guna berdasarkan rekabentuk konseptual strategi dan gaya daya tindak di kalangan atlet.

Page 7: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 69

untuk menentukan jenis stres dan pengurusan stres, bergantung sama ada punca berlaku stres disebabkan pemikiran negatif atau perubahan tahap kebangkitan.

Rajah 5.2: Teknik Pengurusan Stres Berdasarkan Formula Stres

(a) Formula Stres 1

Stres berlaku disebabkan proses kebangkitan berlaku dahulu kerana rangsangan yang diterima daripada persekitaran. Sebelum berlaku pemikiran negatif, kebangkitan meningkat dan atlet mula mencari penjelasan tentang keadaan yang dihadapi. Jika penjelasan tersebut berlaku dalam bentuk yang negatif, maka atlet akan merasa stres. Jika stres berlaku, formula ini mencadangkan bahawa teknik pengurusan somatik adalah lebih bersesuaian digunakan bagi menguruskan stres. Teknik pengurusan somatik dilakukan dengan menggunakan prosedur relaksasi yang membantu atlet untuk relaks secara fizikal kerana relaksasi adalah tindak balas yang berlawanan dengan proses kebangkitan. Walau bagaimanapun, teknik pengurusan somatik sahaja tidak mencukupi dalam formula stres 1 kerana peningkatan tahap kebangkitan yang boleh menjurus kepada pemikiran yang negatif. Teknik pengurusan kognitif adalah diperlukan dalam mengurangkan pemikiran negatif seperti melakukan imageri, membuat percakapan kendiri yang positif, dan membuat visualisasi.

(b) Formula Stres 2

Stres berlaku disebabkan pemikiran negatif berlaku dahulu sebelum kebangkitan meningkat. Oleh itu, adalah sangat efektif jika stres

Page 8: topik5

70 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

dikurangkan dengan cara memberhentikan pemikiran negatif sebelum ia mencetuskan kebangkitan. Teknik pengurusan kognitif adalah teknik yang efektif dalam menguruskan stres yang bermula dengan pemikiran negatif. Manakala teknik pengurusan somatik diperlukan jika pemikiran negatif terhadap rangsangan persekitaran boleh menyebabkan peningkatan tahap kebangkitan.

5.2.1 Teknik Relaksasi Relaksasi boleh membantu mengurangkan kebangkitan tekanan dalam tubuh badan. Kebanyakan atlet sering merungut bahawa mereka mengalami tekanan somatik iaitu tidak cukup rehat dan masalah ketegangan yang mengakibatkan mereka sukar melakukan kemahiran pergerakan yang diperlukan. Prosedur relaksasi adalah prosedur yang paling efektif dalam mengurangkan ketegangan dan kebimbangan dalam aktiviti sukan.

Terdapat beberapa jenis prosedur relaksasi yang dilaksanakan dengan kaedah yang tersendiri. Walaupun kesemua prosedur relaksasi adalah unik, hasil yang diperoleh adalah sama iaitu yang disebut sebagai tindak balas relaksasi (relaxation response), merangkumi perubahan fisiologi dalam tubuh badan akibat aktiviti relaksasi seperti pengurangan pengambilan oksigen, pengurangan kadar denyutan jantung, pernafasan dan aktiviti otot dan tulang.

Dalam kesemua prosedur relaksasi, komponen utamanya adalah pernafasan. Secara am, terdapat 2 corak pernafasan yang dikaitkan dengan status mental dan emosi individu iaitu pernafasan dada dan pernafasan perut. Pernafasan dada biasanya dikaitkan dengan individu yang mengalami tekanan emosi, iaitu pernafasan yang pendek, tidak tetap dan laju. Manakala pernafasan perut berkait rapat dengan keadaan individu yang sedang relaks dan tenang, iaitu pernafasan yang mendalam, tetap dan perlahan. Dalam prosedur relaksasi, atlit perlu mengamalkan relaksasi dengan cara pernafasan yang mendalam. Melakukan proses menyedut (inhaling) dan menghembus (exhaling) nafas secara mendalam dalam irama yang perlahan dan tetap akan menghasilkan relaksasi yang berkualiti. Antara prosedur relaksasi adalah seperti berikut:

AKTIVITI 5.3

Seorang atlet tidak dapat melakukan aktiviti yang sepatutnya dilakukan akibat terlalu gementar dengan sorakan penyokong pihak lawan yang memandang negatif terhadap kebolehannya. Berdasarkan formula stres, bagaimana anda boleh menerangkan situasi stres yang sedang dihadapi oleh atlet tersebut?

Page 9: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 71

(a) Prosedur Relaksasi Imageri

Prosedur relaksasi imageri memerlukan atlet membayangkan bahawa mereka berada di dalam satu persekitaran yang mereka rasakan tenang dan relaks seperti berbaring di tepi air terjun yang nyaman dan dingin dengan diiringi bunyi irama unggas rimba. Kepercayaan asas bagi prosedur ini ialah jika tidak dapat mengubah persekitaran yang sebenar, maka ubahlah persekitaran yang ada dalam minda seseorang. Antara langkah-langkah yang perlu diambil oleh atlet bagi melakukan prosedur ini adalah; atlet perlu memilih satu tempat yang tenang dan selesa; pastikan atlet tidak dalam keadaan yang terlalu penat atau terlalu gembira kerana ia akan memberi satu suasana yang tidak kondusif untuk melaksanakan proses imageri; dan atlet perlu memastikan posisi badan adalah selesa, seperti berbaring dengan keadaan tangan di sisi, kaki tidak bersilang dan mata ditutup.

Seterusnya, bimbingan imageri (guided imageri) diperlukan bagi membantu atlet melakukan imageri. Bimbingan imageri adalah lebih efektif jika dilakukan oleh rakan, jurulatih ataupun kaunselor. Bimbingan imageri juga boleh membantu atlet supaya dapat berhubung dengan suara hatinya sendiri, seterusnya membantu atlet mengenal pasti apakah punca stres yang dialaminya serta mengingatkan tentang apa yang berlaku pada masa dahulu, sekarang dan akan datang. Pembimbing imageri akan membimbing atlet dengan menggunakan latihan verbal yang bernada perlahan dan lembut. Imageri akan membawa atlet jauh ke dalam satu tempat yang sangat selamat, tenang dan membahagiakan. Apabila atlet sedar daripada imageri yang dilakukan, dia akan terasa bahagia, dan memperoleh satu pemikiran yang lebih positif tentang sesuatu yang telah memberikannya masalah (punca stres).

(b) Strategi Relaksasi Progresif

Biasanya atlet tidak menyedari kehadiran simptom stres sehinggalah mereka merasakan sakit kepala, ketegangan otot, dan ada kalanya akan membawa kepada muntah-muntah, cirit birit, dan ulser jika punca stres adalah kronik. Justeru, perkara penting yang perlu dilakukan oleh atlet untuk memulihkan keadaan ini adalah dengan cara memahami dan menyedari keadaan perasaan diri sendiri kerana perasaan dan pemikiran adalah sumber utama ketegangan yang boleh mencetuskan ketegangan pada tengkuk dan bahu, tubuh belakang, perut, kaki dan tapak kaki. Oleh kerana kebiasaannya manusia selalu tidak menyedari keadaan dalaman iaitu perasaan diri sendiri, maka adalah penting untuk menguruskan

Page 10: topik5

72 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

perasaan dalaman dengan cara merasakan sendiri apa yang dimaksudkan dengan rasa ketegangan.

Relaksasi progresif membantu atlet mengenal pasti ketegangan atau tekanan yang dihadapi oleh tubuh badan supaya ia boleh menghalang ketegangan tersebut menjadi masalah fizikal yang lebih besar seperti muntah dan sakit kepala. latihan relaksasi progresif diperkenalkan oleh Edmond Jacobson (1938) ialah prosedur relaksasi yang mengajar individu supaya merasai dahulu ketegangan pada otot-otot yang tertentu sebelum melepaskan rasa tegang tersebut dan relaks. Rasa gementar dan ketegangan pada otot dan organ yang di luar kawal (involuntary) seperti jantung dipercayai boleh dikurangkan sekiranya otot rangka yang berkaitan dapat direhatkan. Apabila subjek merasai ketegangan dahulu, kemudian diikuti dengan relaks, subjek dapat mengenal pasti perbezaan antara keduanya. Justeru dalam prosedur ini, ketegangan perlu dirasai beberapa minit awal sebelum direhatkan pada minit yang seterusnya.

Otot dianggap telah relaks jika benar-benar tidak terdapat apa-apa pengecutan, dan mestilah tidak tegang dan tidak bergerak. Proses relaksasi ini boleh bermula dengan otot lengan kiri dan bergerak ke otot lengan kanan, kaki kiri dan kanan, perut, belakang, dada dan bahu, diakhiri dengan tengkuk dan otot muka. Sebagai contoh, subjek boleh menggunakan lengan dominan, angkat lengan dan tangan ke atas dan silangkan ke bahu yang dominan. Rasai sebanyak mungkin ketegangan pada otot bicep dan lengan dalam masa lima saat, di samping menghayati ketegangan yang dirasakan pada otot tersebut. Kemudian turunkan tangan ke bawah dan relaks. Subjek dikehendaki memberi perhatian yang sepenuhnya pada perasaan relaks yang dapat dirasai pada otot tangan tersebut. Adakah anda dapat merasakan bahawa ketegangan telah pergi daripada otot anda?

Menurut Martens (1987), latihan relaksasi progresif adalah berasaskan kepada prinsip relaksasi neuromuskular. Atlet diajar bagaimana merasai ketegangan dan relaks pada 16 kumpulan otot yang berbeza. Dalam latihan tersebut, atlet kemudiannya diajar untuk menggabungkan kumpulan otot tersebut, mula-mula kepada 7 kumpulan, diikuti dengan empat kumpulan dan akhirnya keseluruhan badan pada satu masa. Latihan relaksasi progresif juga sangat efektif bagi atlet yang mempunyai masalah untuk mencapai tahap ketegangan yang diperlukan untuk sesuatu kumpulan otot seperti merelakskan urat bawah pelipat lutut selepas melakukan larian pecut. Walau bagaimanapun, jika atlet tidak dapat mengenal pasti kumpulan otot mana yang terlalu tegang, maka

Page 11: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 73

latihan relaksasi progresif tidak sesuai dilakukan, atlet perlu menjalani proses biofeedback.

(c) Strategi Latihan Relaksasi Auto genik

Jika latihan relaksasi progresif berfokus kepada proses menegangkan dan merelakskan otot, latihan auto genik pula bergantung kepada perasaan yang dialami subjek terhadap otot dan tubuh badannya. Latihan ini berasal daripada kaedah hipnosis iaitu subjek yang di hipnosis melaporkan 2 perasaan iaitu rasa berat pada kawasan tubuh badan tertentu dan rasa hangat pada badan, lengan dan kaki. Maka, latihan auto genik ini mengandungi siri latihan mental untuk menghasilkan 2 keadaan tersebut. Terdapat 3 komponen penting dalam latihan auto genik iaitu:

(i) Menggunakan prosedur 6 langkah penting untuk merangsang minda supaya dapat merasakan kehangatan pada badan dan berat pada tubuh badan tertentu, iaitu:

berat pada lengan dan kaki, bermula daripada lengan atau kaki yang dominan kehangatan pada lengan dan kaki bermula daripada lengan atau kaki yang dominan kehangatan pada dada dan merasakan bahawa kadar denyutan jantung sudah berkurangan, pernafasan yang nyaman dan relaks, rasa kehangatan pada saraf rasa kedinginan pada kawasan dahi

(ii) Menggunakan kaedah imageri, iaitu subjek dikehendaki melakukan visualisasi terhadap situasi yang merelakskan, dan pada masa yang sama cuba merasai kehangatan dan keberatan pada lengan dan kaki.

(iii) Menggunakan tema-tema yang spesifik bagi membantu dalam menghasilkan respons relaksasi, seperti penggunaan pernyataan kendiri (self-statement) untuk memberi cadangan kepada minda bahawa badan sedang berada dalam keadaan yang relaks.

(d) Biofeedback

Latihan Biofeedback ialah teknik moden yang mempercayai bahawa manusia boleh mengawal fungsi sistem saraf autonomik dengan menggunakan beberapa instrumen seperti alat mengukur kadar denyutan jantung, Electromyography (EMG), Electroencephalogram (EEG) dan

Page 12: topik5

74 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

Galvanic Skin Response (GSR). Apabila tahap kesedaran seseorang individu untuk memantau ketegangan yang berlaku pada tubuh badannya adalah kurang, maka sistem biofeedback diperlukan. Sebagai contoh, subjek mengalami sendiri pengalaman memantau tanda-tanda kadar denyutan jantungnya dengan bantuan alat dalam mesin biofeedback. Subjek juga melakukan teknik relaksasi pada masa yang sama bagi mengurangkan kadar denyutan jantung tersebut. Apabila subjek merasakan kadar denyutan jantungnya kembali normal, maka alat pemantauan tersebut tidak perlu dipakai lagi.

Individu yang mengalami kebimbangan yang kronik atau penyakit yang berpunca daripada kebimbangan boleh menggunakan latihan biofeedback kerana apabila individu tersebut belajar bagaimana untuk mengurangkan fungsi sistem saraf syphatetic, secara tidak langsung mereka juga belajar bagaimana untuk mengurangkan kebimbangan dan tekanan. Sama seperti kaedah yang diperkenalkan menerusi relaksasi progresif dan latihan auto genik, menerusi latihan biofeedback, subjek dikehendaki supaya relaks bagi menurunkan proses kebangkitan dan juga aktiviti yang berlaku pada sistem saraf symphatetic dengan menggunakan beberapa alatan seperti Peripheral Skin Temperature dan Galvanic Skin Response, Electromyography (EMG) dan Electroencephalogram (EEG).

(i) Peripheral Skin Temperature

Suhu kulit meningkat apabila darah mengalir ke arah kulit semasa individu berada dalam keadaan yang relaks, dan menurun apabila otot menjadi tegang disebabkan pengaliran darah ke arah kulit berkurangan. Apabila kebangkitan atlet memuncak, darah di pam ke bahagian organ-organ yang penting, menyebabkan tangan menjadi sejuk dan berpeluh. Dengan menggunakan alat Peripheral Skin Temperature, sensor diletakkan di hujung jari tangan atau kaki bagi mengukur suhu kulit.. Oleh kerana suhu badan selalu jatuh apabila individu mengalami stres, bacaan rendah pada alat tersebut akan membuatkan subjek melakukan relaksasi dengan menggunakan kaedah progresif atau auto genik sehinggalah suhu badan meningkat semula.

(ii) Galvanic Skin Response (GSR)

Alat pengesan Galvanic Skin Response (GSR) seperti dalam Rajah 5.3 turut digunakan bagi mengesan aktiviti elektrik pada kulit. Apabila tubuh badan mulai tegang, kelenjar peluh menjadi lebih

Page 13: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 75

aktif bagi membuang haba yang dijana oleh otot yang tegang. Alat pengesan digunakan untuk mengukur aktiviti kelenjar peluh dan jumlah perpeluhan pada kulit. Maklumat yang diperoleh membantu dalam memberi kesedaran kepada subjek tentang kebimbangan yang sedang dihadapi.

Rajah 5.3: Contoh prosedur Galvanic Skin Response

(iii) Electromyography (EMG)

Electromyography (EMG) mengandungi elektrod atau sensor untuk mengukur ketegangan otot terutama sakit belakang, sakit kepala, dan sakit tengkuk. Elektrod dipasangkan di otot-otot tertentu seperti di dahi. Pada masa yang sama, subjek cuba mengurangkan ketegangan otot tersebut dengan cara relaksasi, dengan menggunakan tanda-tanda auditori ataupun visual yang terhasil daripada otot secara elektronik.

Asas kepada EMG ialah pergerakan otot merangkumi aktiviti pergerakan otot, saraf serta arus elektrik ringan yang mengalir dalam tubuh badan. Individu yang melakukan prosedur EMG biasanya akan merasai sedikit ketidakselesaan akibat tusukan jarum pada oto-otot tertentu. Semasa prosedur dijalankan, elektrod dilekatkan pada kulit atau di sekitar jari. Beberapa pin atau jarum yang kecil dicucuk pada otot-otot tertentu bagi mengukur aliran aktiviti pada otot. Subjek akan diminta untuk melakukan beberapa pergerakan otot. Aktiviti otot tersebut akan dipantau menerusi alat pembesar suara yang menghasilkan bunyi pop atau klik, atau menerusi osiloskop yang menghasilkan tanda

Page 14: topik5

76 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

visual yang turut boleh diperhatikan sendiri oleh subjek. Rajah 5.4 menunjukkan contoh prosedur ENMG dilakukan.

Rajah 5.4: Contoh prosedur EMG

(iv) Electroencephalogram (EEG)

Electroencephalogram (EEG) memantau aktiviti gelombang otak ketika minda berada dalam keadaan yang berbeza seperti ketika berjaga, relaks, tenang, dan tidur. Dua gelombang yang akan terhasil ialah gelombang beta (apabila tahap kebangkitan subjek meningkat) dan gelombang alfa (apabila subjek dalam keadaan relaks). Oleh itu, gelombang alfa lah yang harus dihasilkan oleh subjek ketika terapi ini.

Dalam prosedur EEG, elektrod dilekatkan pada kulit kepala bagi melihat corak aliran arus elektrik yang dikenali sebagai gelombang otak. Mesin poligraf digunakan bagi merekodkan gelombang otak tersebut yang dapat dilihat hasilnya menerusi skrin komputer. Prosedur EEG dapat dilihat menerusi Rajah 5.5.

Page 15: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 77

Rajah 5.5: Contoh prosedur EEG

5.3 STRATEGI PENGUKUHAN SEMANGAT Sebelum ini, tajuk strategi daya tindak dan relaksasi adalah bertujuan untuk mengurangkan kebangkitan dan kebimbangan yang dicetuskan oleh stres. Tetapi atlet perlu mengetahui bagaimana strategi bagi mendapatkan tahap persembahan paling baik, iaitu menerusi kaedah psych-up sebagai cara untuk meningkatkan semangat pasukan dan sebagi persediaan menghadapi perlawanan.

Terdapat 2 jenis strategi dalam proses pengukuhan semangat iaitu:

(a) Strategi pengukuhan semangat berpasukan

Jurulatih dan atlet perlu membuat persediaan mental dan fizikal menjelangnya musim perlawanan kerana pada waktu itu kebangkitan

AKTIVITI 5.4

Cuba anda berlatih melakukan pernafasan mendalam. Jelaskan mengapa pernafasan mendalam baik untuk membantu seseorang supaya relaks.

Page 16: topik5

78 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

dan keghairahan atlet untuk beraksi di dalam perlawanan akan mula tercetus. Peranan jurulatih dan atlet sendiri adalah untuk memastikan kebangkitan dan keghairahan tersebut terus berkembang pada tahap yang optimum sepanjang musim perlawanan. Kebangkitan dan keghairahan untuk beraksi akan menaikkan semangat juang, tetapi mudah luntur jika tidak ada strategi untuk meningkatkannya. Antara strategi yang diguna pakai dalam memastikan semangat, kebangkitan dan keghairahan ahli pasukan untuk beraksi dapat dikekalkan ialah:

(i) Penetapan matlamat kumpulan

Setiap kumpulan mesti ada matlamat yang dikongsi bersama, di samping itu setiap ahli pasukan juga perlu memastikan matlamatnya selaras dengan peranannya dalam pasukan bagi menentang pihak lawan.

(ii) Pep Talks

Kata-kata semangat dan motivasi oleh jurulatih dan ketua pasukan dalam bentuk verbal

(iii) Papan buletin

Kata-kata semangat dan motivasi dalam bentuk grafik ditampal di papan kenyataan atau dalam almari atlet supaya atlet selalu membacanya dan mendapat semangat daripadanya.

(iv) Publisiti dan liputan media

Digunakan bagi mengumumkan maklumat positif tentang pasukan

(v) Kelab penyokong

Kelab penyokong berfungsi supaya atlet tahu bahawa apa yang mereka lakukan bukan sahaja penting untuk diri atlet itu sendiri tetapi juga penting bagi orang yang menyaksikannya, terutama orang yang menyokong.

(vi) Interaksi antara jurulatih, atlet dan ibu bapa

Jurulatih dan ibu bapa mencetuskan iklim motivasi di kalangan atlet.

Page 17: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 79

(vii) Gerak kerja pra pertandingan

Bekerja keras bermati-matian sebelum perlawanan dapat meningkatkan kebangkitan dan semangat, serta mampu mengurangkan masalah kebimbangan sebelum perlawanan

(b) Strategi Peneguhan Semangat Individu

Berfungsi dalam menghadapi perubahan yang berlaku secara mendadak ketika persembahan. Strategi yang digunakan adalah seperti menetapkan matlamat individu, melakukan percakapan kendiri (self-talk), melakukan latihan fokus tumpuan, imageri dan pengaktifan kendiri (self-activation)seperti atlet menampar pipi sendiri bagi menyedarkan diri dari lamunan, atau apabila dihujani pelbagai jenis self talk yang tidak relevan.

5.4 MAGERI DAN PRESTASI SUKAN Imageri digunakan dalam latihan fizikal untuk menguatkan corak pembelajaran, imageri dilihat sebagai satu proses latihan mental. Imageri dalam konteks prestasi sukan bermaksud menggunakan semua deria yang ada untuk mereka cipta semula atau mereka cipta pengalaman dalam pemikiran (Vealey & Greenleaf, 2001) dengan berlandaskan prinsip-prinsip berikut:

(a) Imej boleh direka cipta dalam pemikiran tanpa kehadiran lain-lain rangsangan luaran;

(b) Pembentukan imej boleh dibentuk oleh satu deria, atau semua deria, dan (c) Imej direka cipta daripada maklumat yang disimpan dalam memori deria,

memori jangka pendek dan memori jangka panjang.

AKTIVITI 5.5

Bina satu aktiviti main peranan. Anda sebagai jurulatih yang menggunakan kaedah pep-talk untuk meningkatkan semangat juang pasukan anda. Apakah yang akan anda perkatakan?

Page 18: topik5

80 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

Teori yang menjelaskan penggunaan imageri sebagai kaedah dalam latihan mental ialah:

(a) Teori pictorialist

Menurut pictorialist, apabila kita membayangkan sesuatu peristiwa dalam pandangan pemikiran kita, kita sebenarnya mengimbas imej sebenar untuk dibentuk dalam pemikiran. Imej yang terpancar dalam pemikiran tersebut adalah imej yang sama dengan imej sebenar.

(b) Teori descriptionist

Apabila kita membayangkan imej fizikal dalam pemikiran kita, kita sebenarnya bukan sahaja melihat imej tersebut melalui ciri dalamannya, tetapi, kita dibantu dengan penjelasan secara verbal tentang ciri-ciri grafik imej tersebut.

(c) Teori psiko neuromuskular

Imageri merangsang sistem neuromuskular dan membantu otak dalam mencipta skema pergerakan motor, supaya ia dapat menghasilkan sesuatu corak pergerakan motor. Sistem neuromuskular diberi peluang untuk berlatih sesuatu corak pergerakan secara imageri tanpa melakukan pergerakan yang sebenar.

(d) Teori pembelajaran simbolik

Latihan mental dan imageri berlaku disebabkan individu membuat perancangan terlebih dahulu terhadap sesuatu pergerakan. Susunan pergerakan motor, matlamat tugasan dan penyelesaian alternatif dirangka terlebih dahulu sebelum tindak balas fizikal dibuat.

(e) Teori tumpuan dan kebangkitan

Teori ini menggabungkan aspek kognitif dalam pembelajaran simbolik dengan aspek-aspek fisiologi dalam teori psiko neuromuskular. Dari aspek fisiologi, imageri membantu atlet mengubahsuai tahap kebangkitan bagi mencapai persembahan yang optimum, manakala dari aspek kognitif, imageri membantu atlet membuat tumpuan terpilih terhadap tugasan yang sedang dilakukan.

Page 19: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 81

Selain daripada itu, tingkah laku imageri boleh dibuat dalam dua perspektif seperti yang berikut:

(a) Perspektif imageri dalaman

Berdasarkan perspektif imageri dalaman, atlet membuat bayangan melalui dalam tubuh badannya bahawa dia sedang melakukan sesuatu tugasan. Sebagai contoh, atlet memejamkan mata sambil membayangkan tangannya sedang memegang bola dan akan memasukkan bola ke dalam jaring (bola jaring). Atlet melihat pergerakan tersebut, dari dalam tubuhnya.

(b) Perspektif imageri luaran

Berdasarkan perspektif imageri luaran, apabila atlet memejamkan matanya, dia dapat melihat susuk tubuh dirinya yang sedang memegang bola dan akan membuat lontaran bola ke dalam jaring.

5.4.1 Prinsip-Prinsip Latihan Mental Kajian menunjukkan latihan mental digunakan secara efektif oleh atlet yang berkemahiran tinggi, berbanding atlit novis yang lebih mementingkan latihan fizikal (Clark, 1960). Sebenarnya, bagi memastikan latihan mental berkesan terhadap persembahan, ia perlu disokong oleh tahap kemahiran fizikal yang dimiliki oleh atlet. Jurulatih tidak boleh hanya beranggapan bahawa latihan mental hanya efektif apabila digunakan oleh atlet yang kurang berkemahiran kerana semakin tinggi kemahiran sukan atlet tersebut, semakin ia memerlukan latihan mental.

Prinsip-prinsip latihan mental dalam sukan adalah seperti berikut:

(a) Latihan mental lebih sesuai dengan aktiviti yang memerlukan atlet berfikir dan membuat perancangan.

(b) Latihan mental lebih efektif pada kemahiran yang mengandungi komponen kognitif yang lebih tinggi berbanding komponen motor.

(c) Kajian menunjukkan bahawa latihan mental yang dibuat dalam jangka masa yang pendek adalah lebih baik daripada latihan mental yang dibuat dalam jangka masa yang panjang.

(d) Walau apa keadaan sekalipun latihan mental perlu dibuat segera sebelum perlawanan bermula.

Latihan mental boleh dijadikan sebagai program intervensi kognitif-tingkah laku bagi membantu atlet mengatasi masalah kebimbangan dan kebangkitan yang

Page 20: topik5

82 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

mendadak disebabkan stres ketika berhadapan dengan situasi pertandingan. Pelbagai program intervensi kognitif tingkah laku boleh dilaksanakan seperti yang berikut:

(a) Visual Motor Behavioral Rehearsal (VMBR) oleh Suinn (1994) Program intervensi ini menggabungkan kaedah relaksasi dan imageri dalam satu prosedur seperti kaedah relaksasi progresif yang mengandungi unsur relaksasi di samping melakukan latihan imageri yang berkaitan dengan tugasan yang hendak dilakukan.

(b) Stress Inoculation Training (SIT) oleh Meichenbaum (1985) Menggabungkan program kognitif-tingkah laku yang mengandungi latihan relaksasi, imageri dan proses kognitif yang lain seperti persepsi dalam satu perancangan intervensi. Elemen utama program ini adalah pendedahan atlet secara progresif terhadap situasi yang semakin stres sebagai satu cara untuk membiasakan atlet berhadapan dengan kesan stress. SIT menekankan kebolehan atlet untuk mengurus pertambahan perubahan kecil dalam situasi stres. SIT berlaku dalam tiga fasa iaitu:

(i) Fasa 1 - penjelasan tentang konsep stres dan kesedaran stres

(ii) Fasa 2 - latihan kemahiran menghadapi stres seperti relaksasi progresif, penstrukturan semula kognitif, imageri, penyelesaian masalah dan latihan instruksional kendiri.

(iii) Fasa 3 - latihan praktikal. Atlet didedahkan dengan situasi stres bertahap rendah hingga tinggi secara berperingkat, manakala atlet dikehendaki mengurus stres berkenaan berdasarkan latihan kemahiran yang telah dipelajari pada fasa 2.

(c) Stress Management Training (SMT) oleh Smith (1980) Satu program intervensi yang juga menggabungkan latihan relaksasi, imageri dan proses kognitif yang lain. SMT menekankan kebolehan atlet mengurus stres dengan cara membayangkan situasi stres yang kronik. SMT berlaku dalam tiga fasa iaitu:

(i) Fasa 1 - penjelasan tentang konsep stres dan kesedaran stres

(ii) Fasa 2 - latihan kemahiran menghadapi stres seperti relaksasi progresif, pernafasan mendalam, imageri, dan kemahiran tingkah laku kognitif yang lain.

Page 21: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 83

SEMAK KENDIRI 5.1

(a) Mengapakah atlet harus mengetahui strategi daya tindak yang betul bagi menguruskan situasi stres dengan baik?

(b) Apakah strategi daya tindak yang boleh digunakan untuk berhadapan dengan situasi stres dalam sukan?

(c) Jelaskan 1 prosedur relaksasi dengan lebih terperinci. (d) Senaraikan strategi pengukuhan semangat yang boleh digunakan

untuk menaikkan semangat juang sesebuah pasukan? (e) Jelaskan prinsip-prinsip latihan mental dalam sukan

(iii) Fasa 3 - latihan praktikal. Atlet didedahkan dengan situasi stres sebenar yang memberi kesan cetusan kebangkitan emosi yang tinggi.

Bertindak balas terhadap sumber stres adalah satu bentuk tingkah laku yang perlu dipelajari supaya stres berjaya dikurangkan dengan cara mengehadkan kesan-kesan yang boleh memudaratkan individu

Terdapat 4 strategi daya tindak berdasarkan kecenderungan dan gaya daya tindak iaitu strategi berfokuskan masalah gaya mendekati contohnya seperti konfrontasi fizikal, atau mendapatkan maklumat; berfokuskan masalah gaya mengelak contohnya seperti terus mencuba dan tidak perlu risau pada tugasan; berfokuskan emosi gaya mendekat contohnya seperti menggunakan kaedah relaksasi progresif untuk mengurangkan stres; dan berfokuskan emosi gaya mengelak contohnya mengabaikan terus tugasan.

Komponen utama relaksasi adalah pernafasan mendalam.

AKTIVITI 5.6

Fikirkan mengenai program intervensi kognitif-tingkah laku yang boleh anda lakukan terhadap atlet anda berdasarkan kefahaman anda terhadap ketiga-tiga jenis program intervensi yang telah anda pelajari. Nyatakan langkah-langkah yang akan anda laksanakan mengikut fasa yang telah anda tetapkan sendiri.

RUMUSAN

Page 22: topik5

84 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

Strategi daya tindak

Strategi daya tindak berfokuskanMasalah

Strategi daya tindak berfokuskan emosi

Gaya mendekat (approach)

Gaya mengelak (avoidance)

pengurusan stres

Relaksasi

tindak balas relaksasi

Imageri

Relaksasi Progresif

Relaksasi Auto genik

visualisasi

pernyataan kendiri

Biofeedback

Electromyography (EMG),

Electroencephalogram (EEG)

Galvanic Skin Response (GSR)

Peripheral Skin Temperature

Galvanic Skin Response (GSR)

Teori pictorialist

Teori descriptionist

Teori psiko neuromuskular

Teori pembelajaran simbolik

Teori tumpuan dan kebangkitan

Perspektif imageri dalaman

Perspektif imageri luaran

latihan mental

Visual Motor Behavioral Rehearsal(VMBR)

Stress Inoculation Training (SIT)

Stress Management Training(SMT)

KATA KUNCI

Page 23: topik5

TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU 85

RUJUKAN

Lazarus, R. (1999). Stres and emotion: A new synthesis. London: Free Association Books.

Lazarus, R. S., & Folkman, S. (1984). Stres: Appraisal and coping. New York: Springer.

Stone, M. H. (1993). Literature review: Anabolic-androgenic steroid use by athletes. National strength and conditioning association journal, 15, 10-28.

Anshel, M. H. (2003). Sport psychology: from theory to practice. USA: Pearson, Education, Inc.

Hardy, J., Hall, C. R., & Hardy, L. (2004). A note on athletesÊ use of self-talk. Journal of Applied Sport Psychology, 16, 251-257.

Endler, N. S. & Parker, J. D. A. (1990). Coping inventory for stressful situations (CISS): Manual. Toronto, Ontario: Multihealth Systems, Inc.

Gould, D., Eklund, R. C., & Jackson, S. A. (1993). Coping strategies used by U.S. Olympic wrestlers. Research quarterly for exercise and sport, 64, 453-468.

Compas, B. E. (1987). Coping with stress during childhood and adolescence. Psychological bulletin, 101. 393-403.

Martens, R. (1987). American coaching effectiveness program: Level I instructorÊs guide. Champaign, IL: Human Kinetics.

Roth, S. & Cohen, L. J. (1986). Approach, avoidance and coping with stress. American Psychologist, 41, 873-879.

Cox, R. H. (2002). Sport psychology: Concepts and applications. U.S.A: McGraw-Hill.

Leventhal, H., Patrick-Miller, L., Leventhal, E. A., & Burns, E. A. (1997). Does stress-emotion cause illness in erderly peopley? In K. W. Schaie & M. P. lawton (Eds.), Annual review of gerontology and geriatrics, Vol. 1, Emotion and adult development. (pp138-184). New York: Springer.

Page 24: topik5

86 TOPIK 5 HUBUNG KAIT ANTARA KOGNITIF DENGAN TINGKAH LAKU

Gould, D., Finch, L., & Jackson, S. A. (1993). Coping strategies used by national champion figure skaters. Researchquarterly for exercise and sport, 64, 453-468.