tika hujan turun

15

Click here to load reader

Upload: ar-muhamad-naim

Post on 26-May-2015

813 views

Category:

Entertainment & Humor


2 download

DESCRIPTION

Cerpen ini ditulis khas buat adik-adik peserta SKSPM 2006/2007 dan 2007/2008 serta adik-adikku dan sahabat sekalian. Semoga kita cekal menghadapi hidup. Semoga kita meniti kehidupan ini sambil memandang ke kiri dan kanan kita. Sesungguhnya masih banyak bangsa kita yang berada dalam seribu satu kesusahan. Perjuangan kita bukan lagi perjuangan untuk memenuhkan oerut kita sebaliknya ia adalah perjuangan untuk memajukan bangsa. Inilah masa untuk Revolusi kita bagi mengembalikan kegemilangan ketamadunan kita.

TRANSCRIPT

Page 1: Tika hujan turun

Tika Hujan Turun Oleh: Bro Muhamad Na’im (jacknaim)

Cerpen ini ditulis khas buat adik-adik peserta SKSPM 2006/2007 dan 2007/2008 serta adik-

adikku dan sahabat sekalian. Semoga kita cekal menghadapi hidup. Semoga kita meniti

kehidupan ini sambil memandang ke kiri dan kanan kita. Sesungguhnya masih banyak bangsa

kita yang berada dalam seribu satu kesusahan. Perjuangan kita bukan lagi perjuangan untuk

memenuhkan oerut kita sebaliknya ia adalah perjuangan untuk memajukan bangsa. Inilah

masa untuk Revolusi kita bagi mengembalikan kegemilangan ketamadunan kita.

*************

Manik-manik hujan yang turun merenyai sejak dari petang tadi semakin menunjukkan taring

bila malam semakin melewati manusia yang sedang dibuai mimpi-mimpi indah. Nampaknya,

tiada sebarang tanda yang ia kan berhenti malahan terus menggila. Jam sudah menunjukkan

pukul dua pagi. Bertemankan lampu minyak tanah, Mak Zah mengasah pisau toreh buruknya.

Itulah yang telah membantunya untuk mendapatkan sesuap nasi bagi menyara keluarganya.

Dia memerhatikan titisan air yang berderai jatuh dari lubang-lubang pada atap zink rumahnya

yang sudah berkarat. Atap itu tidak pernah berganti sejak empat tahun lalu. Air itu melompat-

Page 2: Tika hujan turun

lompat tatkala jatuh ke dalam besen yang ditadah di bawah lubang tersebut. Bunyi hujan yang

menimpa zink didengarinya sebagai satu irama duka yang mensayukan hatinya. Dia sedar,

sekiranya hujan tidak berhenti maka dia akan dilanda masalah yang besar.

Diperhatikannya bilik Su, anaknya. Terbayang kalibat anaknya yang masih lagi belajar. Gigih

benar anaknya itu. Tetap setia dengan bukunya walau terpaksa menelaah di bawah cahaya

pelita malap. Hatinya pilu melihatkan keadaan anak sulungnya itu. Ya, tahun ini anaknya itu

akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Harapannya besar sekali untuk melihat

anaknya berjaya. Tapi, mampukah dia untuk menyediakan yang terbaik buat permata hatinya

itu.

Di tepi tiang seri pula, dua lagi anaknya iaitu Zam dan Afiq sedang lena tidur walaupun

meringkuk kesejukan. Dilihatnya anaknya itu menggigil. Lantas dia bingkas bangun dan

menyelimuti anak-anaknya itu dengan kain batik lusuh kepunyaannya. Anak-anaknya itu

terlalu kecil untuk menanggung penderitaan mereka. Zam baru darjah satu, manakala Afiq

baru berusia empat tahun.

Mak Zah kembali mengasah pisaunya. Dia menoreh sedikit kukunya untuk memastikan yang

pisau itu benar-benar tajam. Setelah berpuas hati, dia menyarungkannya dan membungkus

dengan kain buruk. Pisau itu disangkutnya ke dinding. Dia cuba untuk baring, tapi kesejukan

malam itu telah menggigit urat betisnya yang sudah sedia lenguh. Di capainya minyak urut,

tapi hampa apabila mendapati botolnya telah kosong.

“Abang, besar sungguh dugaan Allah terhadah Zah. Sejak abang pergi menemui Ilahi, nasib

kita semakin susah Bang.” Getus hati kecilnya.

Hati Mak Zah sayu mengingatkan kejadian yang berlaku empat tahun dahulu. Hujan yang

turun mengingatkannya akan musim bah yang berlaku sewaktu dia sedang bertarung dengan

maut untuk melahirkan Afiq. Ya, tika itu, hujan turun mencurah-curah dan waktu sebeginilah

dia terlantar di biliknya. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang mengerti. Perit bukan kepalang

lagi. Dia masih ingat akan kasih suaminya. Memegang erat tangannya memeberikan sokongat

Page 3: Tika hujan turun

keramat bagi meringankan kesakitan itu. Apabila dia sudah tidak tertanggung lagi ujian itu,

suaminya turun meredah kesepian malam bertemankan hujan yang turun mencurah untuk

meminta pertolongan. Perkarangan rumah mereka sudah pun dinaiki air separas betis.

Memang rumah mereka agak hampir dengan sungai. Hanya beberapa depa sahaja. Anaknya

yang sulung mengambil alih tugas untuk menemaninya. Namun sehingga ke Dinihari,

suaminya tidak pulang-pulang juga. Dan ketika azan subuh bergema, lahirlah anak ketiganya

tanpa dibidankan oleh sesiapa. Tak mengapalah, Siti Mariam juga berseorangan di padang

pasir sewaktu melahirkan Nabi Allah, Isa Al Masih.

Tapi, sehingga ke pagi suaminya masih belum pulang ke rumah. Hatinya bimbang sekali.

Bayi yang masih merah itu dipangkunya dengan penuh kasih-sayang. Walaupun lemah tiada

berdaya, namun dia cukup gembira sekali melihat puteranya itu. Masih diingatnya lagi,

secawan teh tanpa gula yang dikacau oleh Su itulah yang menjadi bekalan tenaganya.

Dia menunggu-nunggu hingga ke tengah hari namun, kalibat suami kesayangannya masih

belum kelihatan. Zam menangis teresak-esak kerana lapar tetapi dia tiada berdaya untuk

memasak. Su ingin sekali membantunya untuk memasak nasi, tapi apakan daya bila beras

sudah tidak berbaki. Mana suaminya?

Menjelang Asar, Tok penghulu datang dengan ditemani beberapa orang penduduk kampung.

Hujan sudah mula reda. Terkejut Tok Penghulu melihatkan keadaannya yang baru lepas

bersalin dan ditambah pula dengan kelesuan anak-anaknya yang masih belum makan. Muka

Tok Penghulu kelihatan berkerut. Lantas dia menyuruh anak-anak buahnya untuk pulang

mendapatkan makanan. Tok Penghulu sendiri menghilangkan diri dan beberapa ketika

kemudian, Mak Kiah isteri penghulu datang merapatinya.

Mak Kiah memangku anak kecil itu.Masih diingat, kelembutan tangan mak Kiah yang

memegang bahunya.

“Kiah, kau ada nampak suami aku tak. Dari semalam dia turun nak cari Mak Bidan tapi tak

balik-balik.” Ujarnya lemah.

Page 4: Tika hujan turun

“Zah..” Mak Kiah tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya.

“Kenapa Kiah?”

“Zah, sabar Zah. Aku nak kau bersabar Zah.”

“Kenapa ni Kiah? Janganlah begini Kiah.”

“Zah, penduduk kampung jumpa Abang Mat. Tadi suami aku datang nak maklumkan kepada

kau. Tapi, dia tak tahu pula yang kau baru melahirkan anak.”

“Mana suami aku Kiah.”

“Zah, mereka jumpa mayat Abang Mat tersangkut di rumpun buluh di hilir sungai. Dia lemas

Zah”

“Zah! Apa yang kau katakan ni Zah.. Mayat? Mayat apa Zah?” dan dia rasakan pandangannya

berpinar.

*************

“Mak, kenapa mak menangis ni mak?” Su mengusap-ngusap bahu ibunya.

“Su, mak teringatkan detik kita kehilangan bapamu.” Tangisan mak Zah gugur membasahi

bumi.

Page 5: Tika hujan turun

“Mak, jangan macam ni. Mak kena kuat. Kalau Mak tak kuat, macam mana Su nak teruskan

hidup?”

“Su, pergilah tidur nak. Esok kau nak ke sekolah.”

“Tak kan Su nak tinggalkan mak macam ni.?”

“Mak tak ada apa-apa Su. Mak Cuma terkenangkan arwah sahaja.”

“Mak!” Su berkira-kira samada dia ingin meneruskan ucapannya itu ataupun tidak.

“Kenapa Su?”

“Tak mengapalah Mak. Mak, su masuk tidur dulu ye. Mak pun terus tidur ye. Dah pukul tiga

pagi ni.”

“Iya lah Su. Su pergi tidur ya, sayang anak mak.”

Mak Zah memerhatikan anaknya itu berjalan ke biliknya. Dia kemudiannya cuba melelapkan

mata sambil mengibau kembali kenangan bersama arwah suaminya. Matanya bergenang

dengan titis-titis air jernih suam-suam kuku.

Dia sendiri tidak sedar pukul berapa dia terlelap. Sedar-sedar sahaja jam sudah menunjukkan

jam 5.15 pagi. Hujan telah pun berhenti. Bersyukurlah kepada Allah, dapatlah dia pergi

menoreh. Dia segera bangkit menuju ke dapur. Setelah membasuh muka, diambilnya sebiji

besen besar. Dicapainya tepung, telur dan sebekas air bersih. Bahan-bahan tadi digaulnya dan

kemudian dicampurkan dengan sedikit garam.

Page 6: Tika hujan turun

Dia memanaskan minyak di dalam sebuah kuali dan kemudiannya mula menggoreng kuih

cucur yang dibuatnya. Sambil menggoreng, dia menguli tepung lagi. Kali ini dia membuat

kuih roti goreng pula. Itulah rutin hariannya untuk menambah pendapatan. Membuat kuih

untuk ditinggalkan di Warung Senah dekat dengan kebun getahnya. Dia tahu yang dia tidak

boleh bergantung kepada hasil jualan susu getah semata-mata. Jika tidak, manakan dia

mampu untuk menyara diri mereka empat beranak.

Selesai menggoreng kuih, jam sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Dilihatnya anak

perempuan kesayangannya telap pun siap berpakaian sekolah.

“Su, tolong kejutkan Zam. Bantu adik bersiap. Mak nak solat. Su dah solat?” Tegurnya.

“Baiklah mak. Su dah solat dah pun. Dari tadi lagi.”

Selesai solat, Mak zah menadah tangan menolong kebaikan dari Hadrat Allah S.W.T. Dia

memohon agar dimurahkan rezekinya serta diberikan kekuatan untuknya mencari rezeki.

Sebagai ibu, dia juga tidak pernah lupa untuk mendoakan kejayaan anak-anaknya. Dia tahu

yang pada masa kini, hanya pelajaranlah yang mampu mengubah nasib seseorang. Dia tidak

mahu anaknya hidup susah sepertinya. Terpaksa mengerah segala keringat yang ada,

membanting tulang empat kerat semata-mata ingin mendapatkan duit barang seringgit-dua.

Dia tahu yang dirinya orang susah. Tidak mampu untuk memberikan yang terbaik untuk anak-

anaknya. Tapi dia tahu yang dia tidak boleh mengeluh. Teringat pesan arwah suaminya.

Biarlah mereka hidup susah, bekerja separuh mati asalkan rezeki yang mereka dapatkan untuk

anak-anak mereka itu halal. Makanan itu akan menjadi darah daging mereka dan makanan

itulah yang akan mencorakkan sekeping darah beku dalam diri mereka. Ya,sesungguhnya baik

atau buruknya hati seseorang bergantung kepada makanan jasmani yang mereka suap setiap

hari. Kerana itulah, dia sanggup bersusah-payah melakukan pelbagai kerja. Dia tahu bahawa

di sebalik kepayahan itu, pasti ada kemudahan yang telah Allah sediakan. Dia cukup yakin

sekali dengan kalimah itu.

Page 7: Tika hujan turun

“Mak..” Su menegur lembut.

Lamunan Mak Zah terhenti. Dia segera mengemas telekung sembahyangnya dan melipat

sejadah.

“Ada apa Su?” Balasnya sambil tersenyum. Senyuman yang sedikit sebanyak mampu untuk

menyorokkan wajah cekung dan kerut-kerut di mukanya. Dia tidaklah setua mana. Cuma

kerja kampung yang dilakukannya menyebabkan wajahnya kelihatan seperti berumur 60-an

Su serba-salah untuk menjawabnya. Dari semalam dia memikirkan ayat-ayat terbaik untuk

disampaikan kepada ibunya. Dia takut untuk menyusahkan ibunya.

“Mak, cikgu dah minta duit yuran peperiksaan SPM. Su seorang sahaja lagi yang tak

membayarnya mak. Cikgu kata, kalau tak bayar yuran tak boleh ambil periksa.”

Mak Zah termenung. Dia teringat yang Su telah memberitahunya pasal yuran peperiksaan dari

bulan lepas lagi. Tapi apakan daya, dia tidak mampu untuk menyediakannya. Tapi dia telah

menyimpan sedikit demi sedikit hasil lebihan makan-minum mereka.

“Su, kalau mak bagi separuh dulu macam mana?” ujarnya lemah.

“Tak pa lah mak, kalau mak tak ada duit. Nanti Su minta tangguh lagi dengan cikgu.”

Mak Zah hanya mengangguk.

“Erm, mak. Su pergi dulu ya. Dah lewat ni.”

“Ye lah Su. Hantar adik dulu tau. Pasal duit tu, nanti mak usahakan. Mak janji dengan kau

nak.”

Page 8: Tika hujan turun

Su mencium tangan ibunya itu dan memimpin Zam. Tapi, Zam tak nak ke sekolah. Dia

menepis tangan Su. Entah apa kena pada Zam. Mak Zah memujuk Zam dengan lembut.

Katanya, Zam harus belajar sampai pandai. Nanti boleh jaga Mak.

Air mata Mak Zah tumpah lagi apabila Zam memberitahu yang dia malu untuk ke sekolah.

Rakan-rakannya sering mengejek Zam kerana pakai baju sekolah yang bertampal sana-sini.

Kasutnya juga koyak-rabak. Dirinya dirasakan begitu dayus sekali kerana tidak mampu

menyediakan pakaian yang elok-elok buat anaknya. Kalaulah hari itu dia menerima lamaran

sahabat arwah suaminya untuk dijadikan isteri kedua, tentu nasibnya tidaklah seteruk ini. Dia

tahu yang sahabat arwah ingin membantunya. Tapi, kerana kasih yang tidak berbelah bagi

terhadap arwah hasrat itu dibuangnya jauh-jauh. Tambahan pula, dia tidak mahu digelar

sebagai perampas suami orang. Biarlah dia bersusah asalkan dia tidak menyusahkan hidup

orang lain.

Setelah dipujuk, Zam akhirnya ke sekolah juga. Nasib baiklah anaknya itu mengerti keadaan

mereka walaupun dia masih kecil. Semoga anaknya itu menjadi orang hebat-hebat suatu

ketika nanti.

*************

Mak zah menyusun kuih-kuih yang telah siap digoreng ke dalam raga yang diperbuat daripada

rotan. Dia mengenakan sehelai pakaian lusuh dan mengikat seutas tali rafia di pinggangnya.

Pisau toreh yang tersangkut di dinding rumah itu diselitkan di pinggangnya. Mak Kiah

mengejutkan Afiq dari tidur. Anak kecil itu menggeliat malas. Disuapnya sebiji kuih cucur.

Kemudian, dia menggendong anak kecil itu di atas belakangnya.

Langkahnya diatur deras menuju ke kebun getah. Sampai di Gerai Senah, dia meninggalkan

kuih itu.

“Sikit kuih kau buat hari ni Zah.” Sapa Mak senah.

Page 9: Tika hujan turun

“Aku terlewat bangun tadi Senah oi. Dua jenis kuih je yang aku sempat buat. Ni pun dalam 40

biji je. Lagipun aku dah tak larat Senah. Urat-urat ni dah berpintal-pintal dah. Lenguh sangat-

sangat.”

“Sikit pun sikit lah Zah. Nak buat macam mana. Dah takat tu rezeki.

“Aku pergi dulu lah senah. Dah lewat dah ni.”

“Ah, iyalah. Zamil, mari ambil si Afiq ni !” Senah menjerit memanggil anaknya.

Mak Zah bersyukur yang Senah sanggup menerima kuih untuk dijual di warung kopinya. Tak

terbalas jasa sahabatnya itu. Maklumlah, Senah hanya ambil kuih daripadanya sahaja dan

tidak menerimanya daripada orang lain. Senah juga sanggup untuk menolongnya menjaga

Afiq. Dia terharu dengan pertolongan Senah itu. Mereka sememangnya kawan sejak dari kecil

lagi tambahan pula, Senahlah yang memperkenalkan arwah suaminya kepada dia. Arwah dan

Senah sepupu jadi dia nak sangat sepupunya itu berkahwin dengan Zah sahabat karibnya.

Mak Zah menoreh dari pagi sampai ke pukul 11.30 tengah hari. Selesai menoreh,dia

mengambil Afiq dari kedai Senah dan bergegas pulang ke rumah untuk memasak nasi bagi

menjamu anak-anaknya yang akan pulang dari sekolah. Selesai menanak nasi, dia ke kebun

sayur di belakang rumahnya untuk membetulkan anak terung yang patah dek kerana hujan

semalam. Selesai membetulkan anak terung, dia membuat para pula untuk mengikat pohon

petola yang sudah pun tumbuh menjalar itu. Pokok-pokok sawi dan kangkung sebanyak

empat batas sudah pun besar. Lagi dua atau tiga hari, bolehlah dipetik untuk dijual. Dia

berkira-kira dengan hasil jualan itu dapatlah barang 20 ringgit. Dicampur dengan

simpanannya sebanyak 80 ringgit, maka dia hanya memerlukan lagi 20 ringgit untuk

melangsaikan yuran peperiksaan Su.

Seperti biasa, anak-anaknya pulang ke rumah pada pukul 1.30 tengah hari. Mak Zah melayan

anak-anaknya makan. Setelah memastikan yang anak-anaknya sudah kenyang, barulah dia

Page 10: Tika hujan turun

menyuap mulutnya pula. Dia tidak kisah sekiranya makan sisa sahaja. Yang penting anaknya

kenyang. Naluri keibuannya tidak akan membenarkan sama sekali anak-anaknya kelaparan.

Su yang sudah pun solat zuhur mengulangkaji pelajaran. Kadang-kadang dia sedih yang

anaknya itu tidak dapat bersama rakan-rakan yang lain ke kelas tambahan. Terpaksalah

anaknya itu bergelut seorang diri dengan buku-bukunya. Hendak juga dia membantu, tapi

apakan daya dia hanya bersekolah sampai darjah enam sahaja.

Selesai makan, dia mandi dan solat. Tugasnya pada hari itu masih belum selesai lagi. Dia

harus kembali ke Kebun getah untuk mencampur susu getah yang sudah dikutipnya beberapa

hari lepas dengan cuka getah bagi membuang air dan membekukan getah. Dengan itu,

harganya akan tinggi sedikit berbanding susu getah semata-mata. Selesai kerja-kerja di kebun

getah, dia ke warung senah untuk memungut wang hasil jualan kuih. Dapatlah RM8. Dengan

wang itu, dia ke kedai runcit untuk membeli bahan-bahan untuk membuat kuih dan sedikit

barang dapur.

Sesampainya di rumah, azan asar sudah pun berkumandang. Dia segera solat dan ke kebun

sayur untuk menyiram tanamannya. Kerjanya hari itu agak senang sedikit kerana tanah masih

lembab lagi akibat hujan semalam.

Seterusnya, dia mencapai baur kail yang diperbuat daripada batang salak lalu menuju ke

sungai. Di tebing sungai, dia menguis-nguis tanah untuk mencari cacing. Setelah

memperolehinya, dia ke lubuk yang terletak di tepi sungai untuk memancing ikan untuk

dijadikan lauk makan malam. Setelah setengah jam menunggu, dapatlah dia beberapa ekor

anak seluang sebesar ibu jari tangan dan seekor ikan puyu sebesar tapak tangan. Cukuplah

untuk makan malam dan pagi esok.

Dalam perjalanan pulang, dia mengutip pucuk kemiding yang tumbuh liar di sekitar semak di

tebing sungai. Pucuk kemiding yang bewarna oren kecoklatan itu memang sedap sekali

dimasak lemak. Tentu anak-anaknya berselera makan malam nanti. Dia tersenyum sendirian.

*************

Page 11: Tika hujan turun

Malamnya, selepas solat Isya’ Mak Zah mengajar anak-anaknya mengaji Quran. Su sudahpun

khatam al-Quran, Cuma bacaan tajwidnya sahaja yang perlu diperbetulkan. Selesai mengaji,

Mak Zah memberkan tazkirah pula kepada anak-anaknya. Dia tidak mampu untuk memberi

tazkirah sehebat ustaz yang mengajar di masjid-masjid maklumlah dia bukannya ditarbiyyah

dengan terbiah Islam secara syumul sewaktu kecil. Tapi, dia hanya mampu untuk menasihati

anak-anaknya agar belajar bersungguh-sungguh dan melakukan semua amalan hanya kerana

Allah semata-mata. Dia tahu yang dia akan ditanya oleh Sang Pencipta di hari kebangkitan

kelak samada dia melaksanakan tugasnya sebagai ibu ataupun tidak sewaktu hayatnya.

Selepas itu, dia mengayam mengkuang untuk dijadikan tikar. Husin suami Senah selalu ke

hutan. Tiap kali balik dari hutan, dia akan membawakan daun-daun mengkuang kepadanya

untuk dijadikan tikar. Walaupun upah yang diterimanya tidaklah setinggi mana, tapi itu sudah

cukup untuk membantunya. Keluarga Senah memang sahabat yang sejati. Walaupun mereka

bukan orang berada tapi mereka cukup baik sekali. Husin pernah memberitahunya sesuatu

sewaktu dia bertandang ke rumah Senah. Katanya, tidak beriman seseorang selagi mana dia

tidak mengasihi saudaranya seperti mana mengasihi diri sendiri.

Kadang-kadang dia tertanya-tanya juga, kenapa orang yang tidak berada sangat-sangat

mementingka soal ukhuwah, soal tolong-menolong saudara yang berada dalam kesusahan.

Mengapa orang-orang kaya tidak pula berfikrah begitu. Di kampung mereka, bukan seorang-

dua yang kaya malahan banyak juga yang boleh dikatakan orang senang. Tapi mereka

tidaklah seperti keluarga Husin. Dia tidak pernah mengharapkan pun bantuan daripada

mereka tapi kadang-kadang dia terasa juga dengan golongan kaya ni. Kalaulah mereka

mengikut apa yang betul-betul diajarkan oleh Islam, tentu mereka tidak susah sebegini.

Tapi tak mengapalah, sekurang-kurangnya harta tidak melekakan mereka dari beribadat

kepada Allah. Nabi dulu pun hidup miskin walaupun dia pemerintah sebuah kerajaan yang

agung. Nabi pun selalu berlapar. Begitu juga Abu Bakar. Seluruh hartanya diinfak kejalan

Islam. Keluarga Ali dan Fatimah pun tiada apa-apa harta. Mungkin disebabkan itulah mereka

tekun beribadat kepada Allah.

Page 12: Tika hujan turun

“Mak, mak penat ye. Mari su urutkan mak.” Su mengurut belakangnya.

Lamunannya terhenti. Dia memandang wajah anak kesayangannya itu.

“Tak apalah Su, kau pergilah baca buku tu. Peperiksaan kan dah dekat.”

“Tak apa mak. Ni kan tanggung-jawab Su. Mak pun ada hak yang patut su laksanakan.”

Mak Zah senyum. Bangga dengan anaknya. Tangannya yang pedih terkena duri mengkuang

bagaikan hilang dek kerana kasih-sayang yang ditunjukkan anaknya itu. Penderitaannya juga

terasa begitu ringan sekali. Syukurlah Allah menganugerahkan anak yang solehah. Itulah yang

diharapkannya. Anak yang solehah itulah harta peninggalan yang berguna sekiranya dia

meninggal kelak. Tak mengapa jika tidak berharta kerana harta takkan dapat mendoakan

kesejahteraannya di dalam kubur tetapi anak yang soleh akan menjamin keselesaannya di sana

nanti.

“Su, Insha Allah minggu depan mak bagi duit yuran peperiksaan kau.”

“Mak, mak dah banyak berkorban untuk Su. Su ingat lepas ni Su dah tak nak belajar lagi. Su

nak kerja.”

“Jangan Su. Mak tak bagi Su kerja.”

“Tapi Su dah tak sanggup tengok mak bekerja siang-malam. Apa yang mak tak buat?

Menoreh, jual kuih, tanam sayur, berkebun. Semua Mak dah buat. Biarlah Su pula yang

berkorban.”

“Su, kau nak kerja apa dengan kelayakan kau tu. Sekarang zaman maju Su. Kalau kau tiada

Page 13: Tika hujan turun

ilmu, kau akan ditindas. Manusia kat luar sana sentiasa menanti peluang untuk menjadikan

kau mangsa mereka. Kau kena belajar Su. Mak rela gadai tanah kita yang sekangkang kera ni

asalkan kau dapat belajar di Universiti.”

“Masa Su kerja nanti, Su boleh simpan duit. Bila dah ada duit nanti Su sambung belajar la

mak.”

“Keputusan mak tetap Su. Walau apa pun, kau kena belajar sampai peringkat tertinggi. Kau

kena ubah nasib kita Su. Ingat, Tuhan tak kan bagi kesenangan kepada kita sewenag-

wenangnya. Tuhan suruh kota berusaha Su. Itulah suruhannya kepada Adam sejak dia

dikeluarkan dari syurga. Dan itulah juga suruhannya kepada umat Muhammad.”

*************

Mak Zah mengesat air matanya. Kerusi sofa itu terasa begitu empuk sekali. Badannya seolah-

olah ingin tenggelam dalam keempukan kerusi itu. Seorang pembantu rumah membawakan

se-jug air dan aneka kek untuk dijadikan alas perut sementara menunggu makanan tengah hari

siap. Anaknya Su masih di bilik. Entah apa-apa yang dibuatnya.

Mak Zah sayu lagi. Dia tidak menyesal mencagarkan tanahnya untuk membiayai kemasukan

Su ke Universiti selepas Su mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Sekarang anaknya itu sudah pun bergelar Doktor. Satu pangkat yang sangat-sangat dihormati

masyarakat. Dia teringat kembali zaman mudanya bergelumang dengan kerja-kerja kampung.

Teringat air mata yang dititiskan setiap kali ditimpa masalah. Segala-galanya sudah terbayar

sekarang. Dia tidak perlu bekerja lagi. Anaknya itu hanya mahu dia berehat sahaja di rumah.

Pembantu rumah disediakan. Dan jika dia sakit, Su sendiri yang merawatnya. Benarlah apa

yang dikatakan pada anaknya dulu, Tuhan tak kan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri

yang mengubahnya. Anaknya yang kedua pula sedang belajar di Sekolah Asrama Penuh.

Selalu mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan beberapa kali mewakili

negara dalam pertandingan bahas bahasa Inggeris peringkat Asia.

Page 14: Tika hujan turun

“Mak. Mak dah bersiap ke?” Su menghampirinya.

“Nak bersiap ke mana Su?”

“Mak, hari ni kan ulang tahun kematian ayah. Mak dah lupa ke?”

“Mak tak pernah lupa nak. Kebetulan, sekarang pun hujan kan.” Kata Mak Zah sambil

memerhati ke jendela.

Hujan turun renyai-renyai di luar rumah. Keadaan itulah yang selalu menghiasi kelendar

Disember di Negeri Kelantan yang sememangnya mempunyai dua musim. Musim panas dan

musim sejuk. Musim sejuk merupakan musim turunnya hujan dan matahari bersembunyi

malu di balik awan. Tidak mahu menunjukkan rupa.

“Su dah ambil cuti hari ni mak. Su nak melawat pusara ayah dengan mak.”

“Su memang anak yang baik. Tak sia-sia mak melahirkan kamu.” Ujar Mak Zah sambil

mengusap kepala anaknya itu.

Su mendekatkan dirinya pada ibunya. Dia ingin berada dalam pelukan ibunya. Terlalu besar

jasa dan pengorbanan ibunya itu.

“Tapi Su, kau sepatutnya sudah memulakan keluarga kau sendiri. Bila Su nak Kahwin?”

“Mak, Su tak pernah pun berfikir lagi soal tu. Biarlah Su jaga mak seperti mana mak menjaga

Su suatu masa dahulu. Su nak balas jasa-jasa mak. Lagipun, adik masih bersekolah lagi. Biar

Su jaga mereka pula. Su nak jalankan tanggung-jawab Su sebagai anak dan kakak.”

Page 15: Tika hujan turun

“Terpulanglah dekat kau Su. Tapi kalau kau kahwin pun, kau masih lagi boleh jaga mak dan

adik-adik.”

“Mak, jom kita pergi ke pusara ayah sekarang.”

Mereka pun berjalan beriringan tangan sambil membawa sekali segala kisah duka. Kisah duka

itu sudah pun berakhir. Nasib mereka pun sudah berubah dan mereka tidak perlu berlapar lagi,

tidak perlu hidup dalam kegelapan malam dan tidak perlu menangis lagi. Itulah harga untuk

sebuah pengorbanan. Kejayaan yang disulami dengan keredhaan Allah sangat-sangat berharga

dan dinilai seisi dunia.

Namun, hujan tetap turun jua walau di mana mereka berada. dan yang pastinya, tika hujan

turun, memori lama akan bermain kembali difikiran mereka. Namun semua itu akan

menambah lagi kekuatan mereka dan membuat mereka sentiasa ingat bahawa mereka pernah

mengalami saat kesusahan dan keadaan itu boleh kembali berlaku pada anak-cucu mereka

andainya mereka lalai dan sentiasa memikirkan yang mereka di takuk yang selamat.

--TAMAT --