sukan berpasukan - bola baling

Upload: leeann-brewer

Post on 04-Oct-2015

278 views

Category:

Documents


2 download

DESCRIPTION

sukan bola baling

TRANSCRIPT

KANDUNGAN

BIL.TAJUKHALAMAN

1.PENGENALAN1

2.KEMAHIRAN ASAS3

3.ANSUR MAJU DAN JUSTIFIKASI LATIHAN14

4.PERALATAN19

5.RUMUSAN21

6.RUJUKAN22

1.0 PENGENALAN

Permainan bola baling adalah sejenis permainan berpasukan yang melibatkan 14 orang iaitu tujuh orang sepasukan. Biasanya, dalam sesuatu perlawanan bola baling. Satu pasukan akan terdiri daripada 12 orang pemain, termasuk lima orang pemain simpanan atau pemain gantian. Antara 7 orang pemain dalam satu pasukan, seorang akan menjadi penjaga gol manakala yang lain akan menjadi pemain gelanggang.Bola baling boleh dimainkan oleh lelaki dan perempuan dari pelbagai peringkat umur. Sesuatu perlawanan bola baling akan diadili dua orang pengadil. Bagi membolehkan sesuatu perlawanan dimulakan, sekurang-kurangnya 5 orang pemain daripada bilangan maksimum tujuh orang dari kedua-dua pasukan harus berada di padang atau di gelanggang permainan. Sekiranya, bilangan pemain kurang daripada 5 orang, perlawanan akan ditangguhkan atau dibatalkan kerana undang-undang telah menetapkan 5 orang sebagai bilangan pemain minimum bagi membolehkan perlawanan dimulakan.Ketua pasukan dari kedua-dua pasukan akan dipanggil oleh pengadil untuk membuat pengundian melalui lambungan duit syiling bagi menentukan pasukan yang akan memulakan perlawanan terlebih dahulu. Ketua pasukan yang memenangi undian berhak membuat lontaran mula atau memilih salah sebelah kawasan permainan. Lontaran mula mesti dilakukan dalam tempoh 3 saat dari tengah-tengah gelanggang setelah pengadil meniupkan wisel.

Semasa perlawanan dimulakan, setiap pemain perlu berada di kawasan gelanggang atau padang sendiri, manakala pemain dari pasukan lawan perlu berada sekurang-kurangnya 3 meter dari pemain yang membuat lontaran sehingga bola dilepaskan daripada tangannya.

Bola baling dimainkan dalam dua tempoh permainan. Tempoh permainannya adalah seperti berikut:

1) Untuk pemain lelaki dan perempuan dewasa atau mereka yang berumur lebih daripada 18 tahun, tempoh permainan ialah 30 minit bagi tiap-tiap satu tempoh atau separuh masa dengan 10 minit masa rehat diberikan antara dua tempoh tersebut. Sebarang masa gangguan atau masa kecederaan akan ditambahkan selepas setiap tempoh berakhir.

2) Untuk pemain lelaki dan perempuan dari peringkat umur atau kategori lain, tempoh permainan ialah 20 minit bagi tiap-tiap separuh masa permainan dengan 10 minit masa berehat diberikan antara dua tempoh tersebut.

3) Untuk pertandingan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM), tempoh permainan adalah seperti berikut:

a) Secara liga : 20 minit diberikan untuk setiap separuh masa dengan 10 minit masa rehat (20:10:20).

b) Secara kalah mati : 20 minit diberikan untuk setiap separuh masa dengan 10 minit masa rehat (20:10:20).

Keduadua pasukan akan menukar kawasan permainan semasa separuh masa kedua bermula, dan pasukan yang tidak membuat lontaran mula pada separuh masa pertama akan melakukannya pada separuh masa kedua ini. Permainan akan berakhir dengan kemenangan dan kekalahan salah satu pasukan ataupun seri. Jika peraturan permainan memerlukan satu pasukan digelar pemenang pada akhir permainan dan permainan berakhir dengan keputusan seri, masa tambahan selama 5 minit bagi tiap-tiap separuh masa tanpa masa rehat harus diberikan. Permainan pada masa tambahan ini akan dimulakan dengan undian sekali lagi, iaitu melalui lambungan duit syiling oleh pengadil.

Jika keputusan masih seri, masa tambahan seperti yang dinyatakan akan diberi dan dimulakan setelah 5 minit masa rehat diberikan kepada kedua-dua pasukan. Jika keputusan masih seri, undang-undang pertandingan boleh diamalkan dan biasanya lontaran penalti diadakan untuk menentukan pasukan pemenang.

2.0KEMAHIRAN ASAS PERMAINAN BOLA BALINGAntara kemahiran asas dalam sukan bola baling ialah :1. Berlari2. Melompat3. Hantaran bola4. Menyambut bola5. Mengelecek bola dengan tangan6. Mengadang7. Menjaring8. Menjaga gol

Di dalam kerja kursus ini, saya akan menerangkan hanya 4 sahaja kemahiran asas dalam bola baling. Empat kemahiran asas tersebut ialah :1. Hantaran bola2. Menangkap bola3. Menjaring 4. Mengadang

2.1 KEMAHIRAN PERTAMA : HANTARAN BOLA

Dalam permainan Bola Baling terdapat beberapa cara penghantaran bola yang sama dengan cara-cara yang digunakan dalam permainan bola keranjang dan bola jaring. Jenis hantaran yang biasa digunakan adalah seperti berikut :a) Hantaran bahub) Hantaran lantunc) Hantaran aras dadad) Hantaran lompate) Hantaran sisi

2.1.1 Hantaran Bahu Cara menghantar bola yang sering digunakan oleh pemain dalam permainan Bola Baling. Biasanya, cara ini dilakukan semasa membuat hantaran jauh. Kelebihan cara ini ialah persediaan hantaran ini boleh mengelirukan pihak lawan. Dari keadaan bersedia, pemain boleh terus mengelecek, menjaring, menukar hala hantaran atau memusingkan badannya.

Gambar hantaran bahu

2.1.2 Hantaran Lantun Dilakukan apabila membuat hantaran secara mengejut. Kelemahannya adalah bola itu dapat disekat oleh pihak lawan yang bertindak balas pantas. Hantaran ini biasanya dilakukan dengan sebelah tangan.

Gambar hantaran lantun

2.1.3 Hantaran Aras Dada Berasal daripada kemahiran yang sama dalam permainan bola keranjang. Sesuai untuk hantaran jarak dekat di aras dada. Pergerakan bola itu adalah hasil tolakan dari jari-jari tangan. Tangan hendaklah ikut lajak di akhir tolakan.

Gambar hantaran dada

2.1.4 Hantaran Lompat Ini adalah satu lagi gerak keliru yang berasal dari permainan bola keranjang. Biasanya apabila seorang penyerang melompat untuk menjaring tidak berpeluang membuat demikian, ia akan membuat hantaran terus kepada kawannya supaya bola tidak terlepas kepada pihak lawan.

Gambar hantaran lompat

2.1.5 Hantaran Sisi Cara hantaran sisi juga digunakan bila membuat hantaran jarak dekat dan pantas. Pemain tidak perlu memusingkan badannya untuk menghadap ke arah penerima hantarannya apabila hantaran sisi dilakukan. Hantaran cara ini banyak melibatkan pergerakan pergelangan tangan dan memang sesuai bagi pemain yang mempunyai tapak tangan yang besar.

Gambar hantaran sisi

2.2 Kemahiran Kedua : Menangkap Bola

Untuk menangkap bola dengan tepat dalam apa jua keadaan dan situasi permainan, seorang pemain mestilah memberikan perhatian pada faktor-faktor berikut:1. Penglihatan pemain hendaklah fokus pada bola dan penghantarnya.2. Kedua-dua belah tangan direnggangkan dan dihulurkan ke arah bola.3. Tangan dan jari hendaklah dalam kedudukan terbuka semasa membuat tangkapan. Ibu jari berfungsi sebagai penahan bola.4. Setelah berjaya ditangkap, bola hendaklah dirapatkan ke dada dalam kedudukan yang selamat.5. Kedudukan sebelah kaki hendaklah ke depan dan harus berjarak seluas bahu dengan kaki belakang.6. Sepanjang pergerakan untuk menangkap bola, pemain hendaklah berada dalam kedudukan seimbang.7. Bola yang diterima berada di atas pinggang perlu ditangkap dengan tangan terbuka dan jari-jari menunjuk ke atas dengan ibu jari membentuk W di belakang bola. Untuk bola yang berada di bawah pinggang, tangan diterbalikkan dan bola disentuh hanya pada jari. Untuk menangkap bola terlalu rendah, satu kaki dikeluarkan ke depan, lalu lutut membengkok dan tangan terbalik.

Pemain perlu berupaya menangkap pelbagai hantaran seperti hantaran tinggi, hantaran rendah dan hantaran sisi sama ada dalam kedudukan bergerak atau statik.

2.2.1 Cara Menangkap Bola

1. Dengan kedua-dua belah tangan bola aras mukaApabila hendak menangkap bola setinggi aras muka, pemain seboleh-bolehnya hendaklah berada di belakang hala pergerakan bola itu. Kedua-dua belah tangan dihulur secara lurus ke hadapan untuk menangkap bola. Sebaik sahaja ditangkap bola hendaklah dibawa dekat badan untuk kawalan yang lebih baik.

2. Dengan kedua-dua belah tangan bola rendahUntuk menangkap bola rendah pemain perlu merendahkan badannya dan kedua-dua belah tangan dihulur untuk menerima bola yang menuju kepadanya. Jari-jari menghala ke bawah semasa menangkap bola.

3. Menangkap bola dengan sebelah tanganCara ini hanya dapat dilakukan dalam situasi apabila penerima bola tidak menghadapi tekanan atau gangguan daripada pihak lawan semasa hantaran dibuat. Penerima hendaklah memerhatikan bola sehingga dapat ditangkapnya. Untuk kawalan bola yang kemas, keseluruhan tapak tangan yang menangkap bola hendaklah berada di belakang bola.

4. Menangkap bola tinggiJika perlu pemain hendaklah melompat untuk menangkap bola hantaran tinggi. Faktor yang sangat penting dalam situasi ini adalah lompatan hendaklah dibuat pada masa yang tepat. Kedua-dua belah tangan dihulur ke atas untuk menangkap bola. Sebaik sahaja mendarat, bola hendaklah dibawa rapat ke badan supaya dapat mengawalnya dengan lebih kemas.

2.2.2 Kesalahan-Kesalahan Menangkap Bola1. Memegang bola menggunakan jari dan tidak menggunakan tapak tangan.2. Tangan yang dihulurkan ke depan berada terlalu rendah dan tidak pula berada terlalu jauh di belakang.3. Tidak menggunakan pergelangan tangan.4. Genggaman yang tidak kemas.5. Tangkapan yang salah dan tidak mengikut situasi permainan.

2.2.3 Memegang Bola

Selepas menangkap bola, pemain dibenarkan memegangnya tidak lebih daripada 3 saat sebelum menghantarnya kepada rakan atau terus membuat jaringan gol. Dalam masa yang singkat ini, pemain menguasai bola sepenuhnya. Pemain perlu memegang bola dengan kedua-dua belah tangannya kerana jika sebelah tangan digunakan, kemungkinan bola terlepas daripada pegangannya.

Apabila bola dirapatkan ke dada, ia dipegang erat oleh jari-jari yang dibuka dan mengarah ke depan. Pegangan yang kukuh ini adalah penting bagi membolehkan pemain melakukan gerakan yang seterusnya.

Umumnya, memegang bola hendaklah menggunakan kedua-dua belah tangan dan berkedudukan pada aras dada. Pegangan ini hendaklah sekejap mungkin agar tidak mengganggu pergerakan bola serta memberikan masa dan kesempatan kepada pemain pertahanan pasukan lawan mengatur pertahanannya atau mematah serangan.

Gambar menangkap bola

2.3 Kemahiran Ketiga : Menjaring Bola

Bola baling ialah sukan yang berkisar tentang menjaringkan gol. Sudah tentu pemain dan penonton akan berasa puas hati dan gembira apabila gol berjaya dihasilkan, terutamanya jika hasil gol itu dianggap menarik. Dianggarkan purata jumlah gol yang mampu dijaringkan dalam sesuatu permainan bola baling ialah 40 gol. Maka, bola baling merupakan permainan yang banyak menghasilkan gol.

Walaupun kemahiran menjaringkan gol dijangkakan dapat dilakukan oleh semua pemain kecuali penjaga gol, namun kelebihan dari segi keupayaan perlu ada pada pemain barisan belakang yang sememangnya ditugaskan menjaringkan gol. Manakala pemain-pemain lain lebih bertanggungjawab dalam mengatur dan melaksanakan taktik dan strategi permainan agar bola dapat disampaikan kepada barisan belakang yang akan menjaringkan bola.

Kekuatan, kelajuan ketepatan sasaran dan masa adalah antara kualiti utama yang perlu ada pada pemain bola baling, terutamanya mereka yang ditugaskan mendapatkan gol. Pemain-pemain juga diharapkan mempunyai ketangkasan pemikiran dan tindakan, bijak merebut peluang, bijak memintas, tahan lasak dan tidak mudah berputus asa.

2.3.1 Jenis Jaringan

1. Jaringan dari Atas Kepala Jaringan dari atas kepala ialah jaringan yang biasa dan mudah dilakukan, serta mudah pula untuk mendapatkan gol. Jaringan ini juga paling disukai oleh pemain-pemain baru. Jaringan ini boleh dilakukan oleh pemain dalam kedudukan statik dan kedudukan bergerak atau berlari.Teknik melakukan jaringan dari atas kepala ialah:1. Pemain bergerak satu langkah ke depan.2. Pemain meletakkan berat badan pada kaki kiri sambil kaki kanan membengkok.3. Tangan pemain yang memegang bola dibengkokkan sedikit dan dibawa ke belakang kepala pada aras bahu.4. Satu lonjakan dilakukan oleh pemain sambil tangan yang memegang bola diluruskan ke atas kepala dan membalingnya kuat ke arah sasaran.5. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak selepas membuat hantaran.

2. Jaringan dari Bawah Lengan Umumnya, jaringan ini kurang berkesan untuk menghasilkan gol. Namun, ia boleh dilakukan apabila pemain lawan terdiri daripada pemain yang berbadan tinggi. Kadang-kadang, pertahanan tinggi kurang memberikan perhatian pada kawalan atau pertahanan rendah. Bola selalunya diarahkan ke sudut bawah gol pihak lawan.Teknik melakukan jaringan dari bawah lengan ini adalah seperti berikut:1. Pemain mengambil satu langkah ke depan dengan kaki kiri. Kaki kanan dibengkokkan sambil bola dibawa ke belakang bawah aras bahu.2. Tangan pemain yang memegang bola diluruskan sambil kaki kanannya melangkah ke depan dan seterusnya bola dilontar dengan kuat ke sasaran.3. Kaki kiri pemain dilajakkan ke belakang dan tangan kanan dilepaskan.

2.3.2 Jaringan Lompat

Teknik jaringan lompat adalah hampir sama dengan jaringan dari atas kepala, tetapi perkara yang terpenting ialah dalam jaringan lompat ialah pemain perlu bergerak tiga langkah ke depan sebelum membuat jaringan. Walaupun ia agak sukar dilakukan, terutamanya bagi pemain-pemain baru, namun jika sudah mahir, ia merupakan jaringan yang berbahaya.

Hal ini terjadi kerana dalam kebanyakan perlawanan, banyak gol diperoleh daripada jaringan ini. Jaringan ini sering dilakukan selepas serangan pantas. Biasanya, jaringan daripada lompatan dibuat apabila posisi bola berada di puncak lompatan.

Teknik dalam jaringan lompat adalah seperti berikut:1. Pemain bergerak sebaik-baiknya tiga langkah ke garisan gol. Ketika ini pemain memegang bola dengan kedua-dua belah tangan.2. Di luar garisan gol, pemain akan melonjak tinggi ke kawasan gol sambil membuat jaringan dengan menggunakan sebelah tangan seperti cara jaringan dari atas kepala. Arah yang dituju ialah satu daripada empat penjuru gol pihak lawan.3. Pemain akan mendarat dalam kawasan gol selepas bola dilontarkan.4. Tangan dan badan pemain hendaklah mengikut lajak.Kelebihan-kelebihan yang ada pada jaringan lompat adalah seperti berikut:1. Dari mula bergerak hingga membuat lompatan, penjaring yang membuat lompatan sendiri boleh mengelirukan penjaga gol.2. Penjaring atau penyerang gol boleh menukar arah jaringan dengan pantas secara memusingkan bahu dan lengannya.3. Pemain boleh melontar bola ke tanah untuk dilantunkan dan bergolek ke dalam gol di celah-celah kaki penjaga gol.4. Oleh sebab penjaring terpaksa melompat untuk membuat jaringan gol, maka mereka sudah tentu mempunyai kelebihan psikologi dan peluang.

2.3.3 Jaringan pada Aras Paha

Jaringan ini agak berkesan dalam menghasilkan gol. Namun, ia memerlukan latihan yang lama. Pemain yang menerima bola, memegangnya pada kedudukan aras paha, dan dengan serta-merta terus membuat jaringan. Gerakan dalam jaringan ini amat pantas. Arah tujuan bola daripada jaringan ini amat sukar ditentukan oleh penjaga gol atau pemain pertahanan.

Cara jaringannya ialah pemain berlari pantas ke kawasan gold an membengkokkan lututnya sehingga bola berada di bawah lengan lawan. Dengan pantas, pemain ini membuat jaringan yang ditujukan ke sebarang bahagian di bawah palang pintu gol pihak lawan.

2.3.4 Jaringan Sisi

Selain daripada membuat jaringan tinggi atau rendah untuk menewaskan pertahanan lawan, penjaring juga boleh membuat jaringan daripada sisi pemain yang mengawal. Pemain tangan kanan berpura-pura membuat jaringan pada arah kiri pemain lawan. Secara tiba-tiba , dia akan mengangkat kaki kanannya, menggerakkan badannya ke kiri dan berdiri pada kaki kiri. Apabila mendarat di sisi, pemain berkenaan memusingkan sedikit badan dan bahunya, membawa bola lebih rendah lalu membuat jaringan di bawah lengan pemain lawan. Jaringan ini lebih berkesan jika dilakukan secara mengejut.

2.3.5 Jaringan Junam dan Jaringan Jatuh

Walaupun dianggap berbahaya dan sukar dilakukan terutama oleh pemain-pemain baru, jaringan junam jika dilakukan dengan baik, hasilnya amat menarik, khasnya pada aksi dan gerakannya. Ia selalunya dilakukan dalam kawasan balingan percuma. Jaringan dari arah kedua-dua tepi kawasan memerlukan pemain membengkokkan badan supaya dapat membesarkan lagi sudut jaringan.

Teknik melakukan jaringan junam adalah seperti berikut:1. Pemain berada di luar garisan kawasan gol.2. Dengan menggunakan kaki kiri, pemain melonjakkan badannya ke udara menuju ke kawasan gol.3. Semasa melonjak, pemain membuat jaringan ke sasaran, iaitu jaringan dibuat semasa berada di udara sebelum mendarat.4. Pemain mendarat dengan mempertahankan badan menggunakan tangan atau menggulingkan tangan.

2.3.6 Jaringan Penalti

Jaringan penalti dibuat dari garisan 7 meter. Jaringan ini terhad mengikut undang-undang penting, iaitu kaki penjaring tidak boleh terkena atau melepasi garisan balingan. Jaringan hendaklah dilakukan dalam masa 3 saat selepas pengadil meniupkan wisel.

Teknik dalam melakukan jaringan penalti adalah seperti berikut:1. Pemain berada di tempat penalti bersama-sama dengan bola. Pandangan hendaklah fokus pada penjaga gol untuk memerhatikan kemungkinan pergerakan yang bakal dilakukan.2. Pemain melakukan jaringan pada sebarang sudut gol pihak lawan.3. Jika penjaga gol ke depan, pemain menggunakan teknik membuat jaringan melambung untuk menjaring.4. Pemain melakukannya mengikut lajak.

2.3.7 Jaringan Lambung

Jaringan lambung (lob) digunakan untuk menewaskan penjaga gol yang telah bergerak ke depan golnya. Umumnya, terdapat 3 situasi berlakunya keadaan begini, iaitu:1. Apabila penjaga gol berada jauh di depan golnya dengan tujuan mengecilkan sudut pemain lawan daripada lontaran penalti.2. Apabila penjaga gol meluru ke depan untuk menandingi pemain lawan yang memperoleh bola untuk membuat jaringan.3. Apabila penjaga gol keluar untuk mengecilkan sudut terhadap pemain lawan ketika terjadi serangan pantas.

2.3.8 Jaringan Voli

Jaringan Voli adalah sama dengan jaringan lompat.Teknik melakukan jaringan Voli adalah seperti berikut:1. Jaringan ini dimulakan dengan pemain melompat ke arah bola hantaran.2. Semasa melompat, pemain menangkap bola dengan kedua-dua belah tangan.3. Pemain membuat jaringan sebelum mendarat.

Gambar pemain menjaringkan gol

2.4 Kemahiran Mengadang

Mengadang ialah kemahiran mengawal gerakan pemain daripada menyerang atau menjaringkan gol. Mengadang khususnya semasa menjaringkan gol, adalah kemahiran pertahanan bagi setiap pemain secara individu. Dalam permainan bola baling, mengadang mempunyai 2 matlamat atau tujuan. Disamping dapat menhalang atau mengelak lawan daripada melakukan serangan, ia juga bertujuan merampas bola daripada kawalannya. Dengan demikian, pemain dapat memiliki bola dan seterusnya membolehkan ia membina pergerakkan untuk menyerang. Pergerakkan sebegini sering diistilahkan sebagai serangan balas.

2.2.1 Teknik Mengadang

Terdapat beberapa teknik mengadang pihak lawan daripada meneruskan serangannya. 1. Mengadang dari jarak dekat 2. Mengadang dari jarak jauh 3. Menghentikan gerakan lawan 4. Mengadang bola hantaran tinggi 5. Melindungi rakan daripada serangan lawan

Gambar pemain mengadang pihak lawan

3.0 LATIHAN ANSUR MAJU / JUSTIFIKASI LATIHAN

3.1 Ansur Maju Kemahiran Menghantar Bola

Buat satu tempat sasaran pada tembok. Berdiri dalam jarak 3 meter dari tempat sasaran. Lakukan 10 kali hantaran bola secara hantaran aras dada. Setiap hantaran yang tepat mengenai sasaran, pemain dianggap memperoleh dua mata. Pastikan kamu memperolehi 20 mata selepas membuat 10 hantaran. Berdiri pada jarak 3 meter menghadap rakan kamu. Lakukan hantaran bola secara hantaran dada berganti-ganti selama 30 saat. Catatkan bilangan hantaran yang kamu buat dalam jangka masa tersebut. Berdiri pada jarak lima meter dari rakan kamu. Minta seorang seorang lagi rakan kamu berdiri di tengah-tengah jarak tersebut. Buat hantaran melepasi kepala rakan kamu yang berada di tengah. Ulang hantaran sebanyak 30 kali sacara bertukar ganti. Semasa hendak melakukan hantaran, pemain yang berada di tengah-tengah mendepakan tangan seolah-olah hendak menghalang hantaran bola. Bola yang dihantar hendaklah melepasi halangan dan dapat disambut oleh rakan kamu. Latihan-latihan di atas boleh diulang menggunakan hantaran: Hantaran aras bahu Hantaran lantun Hantaran sisi Hantaran lompat

Keberkesanan sesuatu hantaran bola oleh seorang pemain bola dilihat dari sejauh mana hantaran itu memenuhi prinsip-prinsip asas yang berikut:a) Suai-masa (timing) bilakah bola patut dilepaskan?b) Ketepatan adakah bola ditujukan kepada sasarannya?c) Arah ke manakah bola dihantar supaya permainan menjadi positif?d) Kekuatan sekuat manakah bola patut dibaling dalam situasi yang dihadapi oleh pemain supaya sesuai dengan jarak dan kedudukan pemain yang menerima bola?

Latihan yang dicadangkan ini mampu meningkatkan kemahiran pemain menangkap bola. Pemain akan membuat hantaran menggunakan daya yang terdapat di lengannya. Apabila bola berada di tapak tangan pemain, lengan menjadi daya kepada bola tersebut untuk bergerak manakala siku sebagai fulkrum atau sendi yang berfungsi untuk menggerakkan bola tersebut. Oleh itu, jika lengan mengenakan daya yang kuat ke atas bola tersebut maka bola itu akan bergerak dalam kelajuan yang tinggi dan menyebabkan hantaran bola itu berlaku dengan cepat. Pelbagai jenis hantaran boelh diaplikasi semasa bermain bola baling. Jenis hantaran tersebut haruslah bersesuaian dengan situasi yang dihadapi oleh pemain. Oleh yang demikian, pemain akan lebih mahir mengenai kemahiran hantaran dan mampu menghadapi lawan dengan ilmu dan latihan yang mereka ada.

3.2 Ansur maju kemahiran menangkap bola

Secara individu lambung bola ke atas dan sambut. Buka jari semasa menangkap bola. Tangan dan mata melihat bola. Lakukan aktiviti ini berulang kali. Lakukan latihan secara berkumpulan lebih kurang 2-3 orang pemain. Dengan menghadap tembok, seorang pemain melontar bola ke tembok dan biarkan bola itu melantun ke arah pemain lain. Pemain itu akan cuba menangkap bola yang melantun ke arahnya. Buat latihan secara berpasangan. Anggarkan jarak antara kamu dan rakan kamu dalam 3 meter. Suruh rakan lontar bola ke arah kamu dan cuba tangkap bola itu. Lakukan latihan secara berulang-ulang selama 30 saat. Cacatkan jumlah tangkapan yang kamu buat dalam 30 saat.

Prinsip utama dalam menangkap bola ialah mengawal, mematikan kelajuan bola, memegangnya dengan baik dan terus mengawalnya dengan menggunakan kedua-dua belah tangan yang berkedudukan relaks. Pelbagai cara tangkapan boleh dilakukan dengan paling penting ialah setiap tangkapan hendaklah dilakukan dengan tepat tanpa mengira kelajuan atau jenis hantaran yang dibuat oleh rakan. Bagaimanapun, tangkapan yang tepat dan betul bermula daripada lontaran atau hantaran yang tepat atau sempurna.

Dalam kemahiran menangkap bola, tangan dihulur keluar ketika menangkap bola dan tangan ditarik ke dada bagi menyerap inersia yang terdapat pada bola tersebut. Perkara ini dilakukan supaya tangkapan bola itu menjadi kemas dan bola tidak mudah terlepas apabila bola berada di tangan pemain. Hal in juga dapat mengelakkan berlakunya kecederaan terhadap pemain ketika bola ditangkap. Hal ini akan mengelakkan pemain melakukan kesilapan dengan tangkapan yang kurang kemas serta memberi peluang kepada pihak lawan untuk merampas bola dan mengawal permainan.

3.3 Ansur Maju Kemahiran Menjaring

Berlari dan melonjak atas sebelah kaki. Berlari, melonjak dan mengangkat sebelah tangan ke atas (jika kaki kiri melonjak, angkat tangan kanan) Seperti latihan (b) sambil melonjak bahu kiri menghala ke sasaran (gol). Tangan kanan (bengkok sedikit) dihayun ke hadapan dari belakang bahu. Ulang latihan (a), (b) dan (c) dengan memegang bola tanpa melemparkannya. Latihan berpasangan berlari, melonjak dan melempar bola kepada kawan di hadapan. Latihan dengan tentangan pasif oleh seorang pengawal (latihan ini memerlukan 3 orang). Latihan menjaring dengan tentangan aktif (seorang menjaga gol).

Jaringan jaringan lain : Latihan membaling pundi kacang, bola sofbol, bola baling antara 2 orang. Latihan membaling bola ke sasaran (tanda di dinding) melalui gelung. Latihan melempar bola ke pintu gol (cara berdiri) Latihan melempar bola ke pintu gol (cara bergerak 3 langkah) Ulang latihan (c) dan (d) dengan tentangan penjaga gol.

Umumnya, terdapat beberapa prinsip utama dalam kemahiran menjaringkan gol dalam permainan bola baling. Antaranya ialah:1. Pemain mempunyai keyakinan diri pada setiap pemain.2. Pemain dapat mengawal imbangan dan pergerakan dalam tempoh permainan.3. Pemain memberikan penumpuan sepenuhnya pada gerakan yang hendak dilaksanakan.4. Pemain mengikut lajak.5. Pemain bijak mengarah dan menepati sasaran tertentu.6. Pemain cekap menilai ruang kosong dan kedudukan penjaga gol.

Semasa hendak menjaringkan bola, kaki akan bergerak 3 langkah ke hadapan untuk memberikan lajak kerana pada ketika ini, daya akan diaplikasikan ke atas kaki dan memberikan daya yang kuat supaya bola dapat bergerak dengan lebih cepat ke arah sasaran dengan tepat.

Ikut lajak penting dalam kemahiran menjaring. Ikut lajak merujuk kepada unjuran pergerakan yang telah dimulakan. Kelajuan terakhir objek berkadar terus kepada jumlah masa daya diaplikasikan. Ikut lajak memastikan daya menggerakkan tubuh badan digunakan dengan sepenuhnya. Pendeknya, ikut lajak memastikan pelepasan objek berlaku bersama dengan pergerakan momentum maksimum tangan. Jika ikut lajak tidak dilakukan, maka daya yang diberi kepada objek adalah kurang.

3.4 Ansur Maju Kemahiran Mengadang Bola

Bola yang dipegang. Pemain A memegang bola dengan kedua-dua tangan sambil menghulurkannya ke atas. Pemain B cuba mengadang bola dengan dua tangan. Ulang perlakuan ini 10 kali dan tukar peranan selepas itu. Bola yang digerakkan. Ulang Latihan 1. Pemain A menggerakkan bola ke kanan dan ke kiri. Pemain B cuba mengadang bola itu dengan dua belah tangan. Ulang 10 kali dan tukar peranan selepas itu. Mengadang tanpa bola. Pemain berdiri di depan dan cuba melompatsetinggi yang boleh untuk melakukan hadangan dengan kedua-dua belahtangan tanpa bola. Kemudian, pemain bergerak ke kanan dan ke kiri sambilmelakukan perlakuan yang sama. Menghadang sendirian : Lakukan lonjakkan menegak dan sentuh tiang gol dengan kedua-dua belah tangan. Lakukan aktiviti ini berulang-ulang. Menghadang berpasangan : Berdiri berhadapan rakan. Lakukan lonjakkan menegak serentak dengan rakan. Cuba tepuk tangan rakan dengan kedua-dua belah tangan. Lakukan berulang-ulang kali.

Semua pemain perlulah mampu untuk menjadi penyerang dan juga bermain sebagai pertahanan. Biasanya, pasukan yang menguasai bola dianggap sebagai pasukan penyerang sementara pasukan lawannya dianggap pasukan pertahanan. Maka, setiap pemain perlu mahir mengadang bola. Setiap gerakan ini hendaklah dilakukan dengan pantas. Ketika bertahan, pemain hendaklah menghalang pasukan lawan daripada membuat hantaran atau jaringan. Sebagai pasukan yang membuat pertahanan, setiap pemain akan mengawal lawan masing-masing dan seboleh-bolehnya cuba untuk merampas semula penguasaan bola. Lazimnya, kawalan dilakukan secara satu lawan satu di mana setiap pemain akan mengawal lawannya sepanjang permainan. Apabila mengawal dan menghalang, pemain hendaklah menjangkakan arah atau haluan bola yang akan dilontar. Ini termasuklah juga menjangkakan kepada siapa dalam pasukan lawan bola tersebut akan dihantar. Latihan yang diberikan menjurus ke arah itu dan sangat berguna semasa pemainan sebenar.

4.0 PERALATAN PERMAINAN

Bola Baling boleh dimainkan sama ada di dalam atau luar dewan. Peralatan yang diperlukan adalah tidak banyak. Apa yang diperlukan ialah padang atau gelanggang (tertutup atau terbuka), sebiji bola baling dan 14 orang pemain (tujuh orang sepasukan). Dua orang pengadil diperlukan untuk mengawal permainan.

4.1 Gelanggang Bola Baling Dan Ukuran

Permukaan gelanggang mestilah keras dan rata. Gelanggang yang digunakan boleh merupakan gelanggang berumput di padang terbuka atau gelanggang bersimen atau berparket di dalam dewan yang tertutup. Gelanggang permainan berbentuk segiempat bujur, 40 meter panjang di garisan tepi dan 20 meter lebar di garisan gol. Gelanggang permainan dibahagikan kepada dua bahagian yang sama luas oleh satu garisan tengah. Setiap kawasan gol mengandungi satu garisan kawasan go yang berjejari 6 meter dari tepi dalam tiang gol. Garisan balingan percuma adalah putus-putus dan berjejari 9 meter dari tepi dalam tiang gol. Panjang garisan penalti ialah 1 meter dan berjarak 7 meter dari tengah garisan gol. Panjang garisan penjaga gol pula ialah 15 cm dan jaraknya dari tengah garisan gol ialah 4 meter. Di dua garisan tepi, terdapat dua garisan pertukaran pemain dengan panjang 15 cm dan jaraknya dari garisan tengah ialah 4.5 meter. Semua garisan dalam gelanggang perlu ditandakan secara jelas dengan ukuran selebar 5 cm.

4.2 Bola

Bola harus berbentuk bulat dan diperbuat daripada kulit atau getah berwarna yang tidak terlalu keras. Berat dan lilitan bola untuk setiap kategori pemain adalah seperti berikut :

1. Lelaki dan remaja lelaki (16 tahun ke atas)Bola saiz 3.Berat antara 425 g sehingga 475 g.Lilitan antara 58 cm hingga 60 cm.2. Wanita dan remaja perempuan (14 tahun ke atas) dan remaja lelaki (12 tahun sehingga 16 tahun)Bola saiz 2.Berat antara 325 g hingga 375 g.Lilitan antara 54 cm hingga 56 cm3. Remaja perempuan (8 tahun hingga 14 tahun) dan remaja lelaki (8 tahun hingga 12 tahun)Bola saiz 1.Berat antara 290 g hingga 330 g.Lilitan antara 50 cm hingga 52 cm.

Biasanya, dua biji bola yang telah diperiksa dan disahkan oleh pengadil akan disediakan bagi setiap perlawanan. Bola yang digunakan dalam sesuatu perlawanan tidak boleh ditukar ganti kecuali dengan sebab-sebab tertentu. Di peringkat antarabangsa, hanya bola yang ditandakan dengan logo IHF (Kesatuan Bola Baling Antarabangsa) dibenarkan dalam sesuatu pertandingan.

4.3 Tiang Gol

Tiang gol perlu diletakkan di tengah-tengah garisan gol. Tiang gol terdiri daripada dua batang tiang tegak yang panjangnya 3 meter dan tingginya 2 meter. Kedua-dua tiang ini disambungkan oleh sebatang palang empat segi yang panjangnya 3.16 meter. Tiang gol diperbuat daripada kayu atau bahan sintetik yang serupa dan dicat dengan warna yang sama dengan ukuran 28 cm. Di bahagian lain tiang gol dan palang ialah 8 cm.

4.4 Pemain Dan Pakaian

Pakaian untuk pemain lelaki dan pemain perempuan terdiri daripada baju lengan pendek atau panjang, seluar pendek, stoking dan kasut biasa atau but. Semua pemain gelanggang hendaklah berpakaian serupa (seragam) kecuali penjaga gol yang perlu memakai warna pakaian yang berlainan daripada pemain lain dalam pasukannya dan pemain pasukan lawan. Pemakaian segala alat yang dianggap berbahaya kepada pemain-pemain adalah tidak dibenarkan. Setiap pasukan Bola Baling perlu terdiri daripada 12 orang pemain, iaitu 10 orang pemain gelanggang dan dua orang penjaga gol. Pemain-pemain dibenarkan memakai jersi bernombor antara 1 orang hingga 20. No 1, 12 dan 16 dikhaskan untuk penjaga gol sahaja manakala nombor-nombor lain adalah untuk pemain-pemain gelanggang.

5.0 RUMUSAN

Bola Baling merupakan salah satu permainan padang yang terdapat di Malaysia ini. Mengikut sejarahnya, Bola Baling (handball berasal daripada Eropah. Bola Baling boleh dimainkan sama ada di dalam atau luar dewan. Peralatan yang diperlukan dalam Bola baling adalah tidak banyak. Peralatan yang diperlukan ialah padang atau gelanggang (tertutup atau terbuka), sebiji bola baling dan 14 orang pemain (tujuh orang sepasukan). Dua orang pengadil diperlukan untuk mengawal permainan.

Dalam permainan bola baling, teknik kemahiran amat penting. Untuk mendapatkan peningkatan tahap kemahiran, pemain harus melalui teknik pengelolaan latihan yang teratur. Kebolehan deria dan pergerakan motor seseorang pemain juga sangat penting dalam peningkatan pretasi dirinya. Tambahan lagi, disiplin diri dan sikap semula jadi akan menyesuaikan diri pemain untuk menjalani latihan kemahiran dengan bersungguh-sungguh.

Kemahiran asas yang terdapat dalam Bola Baling ialah berlari, melompat, hantaran bola, menangkap bola, mengelecek bola dengan tangan, mengadang, menjaring dan menjaga gol. Setiap kemahiran harus dikuasai dengan cekap oleh setiap pemain. Oleh yang demikian, setiap pemain harus mengikuti setiap latihan yang ada agar menjadi pemain bola baling yang cekap menghantar bola, cekap menangkap bola, bijak menggunakan peluang untuk menjaringkan gol serta mahir mengadang tanpa memberi ruang kepada pihak lawan untuk menghasilkan gerakan mahupun jaringan.

Sungguhpun permainan bola baling popular di seluruh dunia, permainan ini telah menghadapi pelbagai krisis identiti di negara kita. Masih ramai orang tidak mengetahui permainan ini secara terperinci termasuk jurulatih dan pengadil. Sukan bola baling ini adalah sesuatu sukan yang dinamik yang mempunyai keseronokan dan mencabar. Pemain-pemain dan penonton amat tertarik dengan sifat permainan yang pantas dengan aksi-aksi penjaga gol dan pemain gelanggang. Pada pemahaman penonton, sukan bola baling itu adalah seperti bermain bola sepak dengan tangan, tetapi ianya mengandungi elemen-elemen berasaskan permainan bola keranjang, polo air, bola jaring dan hoki ais.

6.0 RUJUKAN

Ahmad Wati (1995). Siri Ke Arah Bintang Sukan Bola Baling. Kuala Lumpur. Goodmark Enterprise.

Lee Chin Choy (2006). Siri Sukan Popular Fajar Bakti: Bola Baling. Shah Alam. Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Reita E. Clanton (1997). Team Handball Step To Success. United States of America. Human Kinetics, Inc.

Teng Boon Tong (1993). Panduan Pengajaran Kemahiran Asas Permainan. Petaling Jaya. Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Wee Eng Hoe (2000). Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Edisi Kedua. Shah Alam. Fajar Bakti Sdn. Bhd.

24