strategi pengantarabangsaan bahasa melayu: …

24
1 STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: INOVASI TEKNOLOGI Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit (Brunei Darussalam) Abstrak Bahasa menjadi salah satu alat utama dalam pembentukan keperibadian negara yang khas, untuk membezakannya daripada keperibadian negara-negara lain walaupun pada asalnya ia serumpun. Selain itu, bahasa juga berperanan sebagai alat perpaduan yang paling efektif bagi sesebuah negara bangsa. Jika ia berkembang maju dan kukuh, sudah pasti ia juga berperanan sebagai bahasa perpaduan di seluruh dunia. Bahasa Melayu mampu bersaing dengan bahasa utama dunia yang lain kerana peranannya sebagai bahasa perpaduan. Usaha untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu mesti terus diperjuangkan. Kita semua berperanan besar dalam mengatur strategi bagaimana mengantarabangsakannya. Usaha besar ini bukanlah semata-mata disandarkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atau Lembaga Bahasa, kerana ia merupakan satu agenda negara yang perlu diteliti dan ditanai sebaik-baiknya. Justeru, kerjasama strategik dan sinergi dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu sangat penting untuk kita melihat sejauh manakah bahasa ini boleh berkembang dan tersebar. Perkembangan teknologi menyajikan perubahan yang drastik terhadap kehidupan mencakupi bahasa. Melalui inovasi teknologi yang semakin berkembang maju dan canggih dengan pantasnya, bahasa Melayu mampu tersebar luas ke peringkat antarabangsa. Usaha mengantarabangsakan

Upload: others

Post on 23-Oct-2021

24 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

1

STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU:

INOVASI TEKNOLOGI

Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit

(Brunei Darussalam)

Abstrak

Bahasa menjadi salah satu alat utama dalam pembentukan keperibadian negara

yang khas, untuk membezakannya daripada keperibadian negara-negara lain

walaupun pada asalnya ia serumpun. Selain itu, bahasa juga berperanan sebagai

alat perpaduan yang paling efektif bagi sesebuah negara bangsa. Jika ia

berkembang maju dan kukuh, sudah pasti ia juga berperanan sebagai bahasa

perpaduan di seluruh dunia. Bahasa Melayu mampu bersaing dengan bahasa

utama dunia yang lain kerana peranannya sebagai bahasa perpaduan. Usaha

untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu mesti terus diperjuangkan. Kita

semua berperanan besar dalam mengatur strategi bagaimana

mengantarabangsakannya. Usaha besar ini bukanlah semata-mata disandarkan

kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atau Lembaga Bahasa, kerana ia merupakan

satu agenda negara yang perlu diteliti dan ditanai sebaik-baiknya. Justeru,

kerjasama strategik dan sinergi dalam usaha mengantarabangsakan bahasa

Melayu sangat penting untuk kita melihat sejauh manakah bahasa ini boleh

berkembang dan tersebar. Perkembangan teknologi menyajikan perubahan yang

drastik terhadap kehidupan mencakupi bahasa. Melalui inovasi teknologi yang

semakin berkembang maju dan canggih dengan pantasnya, bahasa Melayu

mampu tersebar luas ke peringkat antarabangsa. Usaha mengantarabangsakan

Page 2: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

2

bahasa Melayu melalui inovasi teknologi ini akan memberikan impak yang besar.

Inovasi teknologi apabila digunakan sepenuhnya sehingga ke tahap maksima dan

menyeluruh, sudah pasti membawa kepada kebaikan dan penyebaran bahasa.

Namun, ini tidak bererti kita sebagai negara-negara pengguna teknologi tidak

dapat memaksimumkan faedah daripada inovasi teknologi. Terdedah kepada

cabaran dan hambatan, para penggiat bahasa Melayu selaku pengguna inovasi

teknologi mestilah lebih berani dan dinamika menggunakannya dengan sebaik-

baiknya. Sejarah juga menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu pernah menjadi

bahasa lingua franca atau bahasa perhubungan Nusantara. Oleh itu, melalui

inovasi teknologi bahasa Melayu lebih mudah diperluaskan penggunaannya,

malah mampu meneruskan kesinambungan penggunaannya melangkaui

Nusantara.

Kata kunci: agenda, strategik, sinergi, inovasi, dinamika, lingua franca.

PENGENALAN

‘Bahasa menunjukkan bangsa’ merupakan ungkapan ‘keramat’. Salah satunya

ialah tentang kepentingannya dalam menentukan identiti sesuatu bangsa. Bahasa

dapat dijadikan ciri mengenali kelompok masyarakat termasuklah tingkah laku,

pemikiran dan keperibadian golongan penuturnya. Justeru, bahasa memainkan

peranan penting dalam pembentukan keperibadian negara yang khas, untuk

membezakannya daripada keperibadian negara-negara lain walaupun pada

asalnya serumpun. Dalam konteks yang dibincangkan sekarang, ialah bahasa

Melayu yang telah menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan antarabangsa

di Nusantara. Sehingga kini, bahasa Melayu semakin tersebar luas.

Berdasarkan statistik penggunaan bahasa di dunia, jumlah penutur bahasa

Page 3: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

3

Melayu sudah dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (termasuk penutur Bahasa

Indonesia). Secara geopolitik sempadannya sudah menjangkau ke selatan Filipina,

selatan Thai, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka, dan Afrika Selatan. Oleh yang demikian,

bahasa Melayu diberi kedudukan bahasa keempat dalam urutan jumlah penutur

terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, Inggeris, dan

Hindi/Urdu. Implikasinya, bahasa Melayu merupakan bahasa persuratan dan

kebudayaan yang terbesar dan terkemuka di Asia Tenggara.

Selain menjadi bahasa perhubungan, bahasa Melayu juga menjadi bahasa

perpaduan. Kedudukan bahasa Melayu di Negara Brunei Darussalam ini pernah

dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji

Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara

Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda

yang Ke-44 Tahun di Daerah Belait pada 21 Julai 1990.

“…Siapa pun tidak boleh menyangkal, bahawa bahasa Melayu itu

adalah satu-satunya alat perpaduan kita paling efektif. Tanpa

bahasa ini, kita tentunya tidak akan dikenali sebagai satu bangsa

yang berdaulat lagi mempunyai identiti.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal

Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei

Darussalam sebagai pemimpin negara dan bangsa sendiri berasa yakin dan tidak

meminggirkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan

yang selama ini dikecapi dan dinikmati di Negara Brunei Darussalam, iaitu bumi

yang aman sejahtera. Ini bererti bahasa Melayu boleh lagi melangkah jauh

kehadapan. Menurut Wikipedia, kedudukan bahasa Melayu sudah berada di

tangga keempat bahasa di dunia yang ramai penuturnya.

Page 4: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

4

Memetik titah baginda selanjutnya semasa Sambutan Jubli Emas 50 Tahun

Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (1961- 2011) pada hari Sabtu, 19 Syawal

1432H/ 17 September 2011.

“Tidakkah kita sedang menyaksikan, berapa banyak bangsa-

bangsa di dunia yang sangat kuat dan patuh menggunakan bahasa

mereka, dan mereka itu adalah lebih maju daripada kita. Mereka

membangun dan berkembang dengan bahasa mereka. Apakah

kita tidak tersuntik untuk maju seperti juga mereka, melalui

bahasa kita sendiri? Bukankah kita sudah mengenal pasti, bahawa

bahasa kita bahasa Melayu adalah bahasa yang berstatus lingua

franca semenjak dari enam ratus tahun lagi?

Demikianlah, berdasarkan sejarah, tidak diragui lagi, Bahasa

Melayu adalah ‘bahasa besar’, bahasa yang cukup syarat serta

berpotensi untuk menjadi salah satu bahasa dunia. Mengapakah

kita ketandusan usaha dan cita-cita ke arah itu?

Pada hemat beta, inilah ketikanya Majlis Bahasa Brunei

Darussalam Indonesia-Malaysia (MABBIM) memikir dan melakar

gagasan, bagaimana untuk menaik taraf Bahasa Melayu menjadi

bahasa dunia. Ini bukanlah angan-angan, tetapi keyakinan yang

diasaskan kepada fakta dan disokong pula oleh pendapat para

sarjana mengenainya.”

Prof. Dr Haji Awang Sariyan (2000), pernah menegaskan bahawa upaya

merealisasikan bahasa Melayu supranasional ini patut menjadi antara agenda

dalam peluasan bidang kerja MABBIM, sesudah hampir 30 tahun menumpukan

perhatian hanya kepada aspek ejaan dan peristilahan. Apa yang dimaksudkan

beliau itu ialah, bahasa Melayu supranasional, iaitu bahasa Melayu yang dapat

memaksimumkan darjah keadaan saling faham di kalangan pengguna bahasa

Melayu di semua negara berbahasa Melayu dan juga di negara bukan berbahasa

Melayu.

Page 5: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

5

Dalam hal ini, bahasa Melayu juga boleh menjana perpaduan bangsa

terutama dalam era teknologi maju. Kemunculan teknologi maju telah merubah

segala aspek kehidupan manusia termasuk bangsa Melayu. Teknologi menjadikan

dunia semakin mengecil, memberi pelbagai kemudahan dan menjimatkan masa.

Invensi teknologi banyak membantu perjalanan kehidupan manusia di mana-

mana sahaja. Begitu juga dengan inovasi yang tercetus daripada teknologi yang

semakin berkembang maju dari semasa ke semasa. Dalam keadaan ini, sudah

tentu membuka ruang dan masa terhadap bahasa Melayu untuk memanfaatkan

produk yang lahir dari inovasi teknologi.

1. Inovasi Teknologi

Umumnya inovasi teknologi difahami dalam makna “technological innovations

comprise new products and processes and significant technological changes of

products and processes”. Akan tetapi secara relatifnya bermaksud:

‘Technological innovation is the process where an organization (or

a group of people working outside a structured organization)

embarks in a journey where the importance of technology as a

source of innovation has been identified as a critical success

factor for increased market competitiveness. The wording

“technological innovation” is preferred to “technology innovation”.

“Technology innovation” gives a sense of working on technology for

the sake of technology. “Technological innovation” better reflects the

business consideration of improving business value by working on

technological aspects of the product or services’.

(sumber: https://en.wikipedia.org/wiki/Technological_innovation#Definition)

Berdasarkan definisi di atas dan menghubungkannya dengan bahasa

khususnya bahasa Melayu bukannya sesuatu yang mudah untuk menembusi

dunia pasaran yang diertikan dalam perbincangan ini, iaitu

Page 6: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

6

mengantarabangsakan bahasa Melayu. Pentingnya teknologi sebagai sumber

inovasi dalam mencapai kejayaan ke arah matlamat itu. Secara dasarnya, inovasi

itu memberi makna sebagai proses pengubahsuaian dan penambahbaikan kepada

produk yang sedia ada. Jika bahasa Melayu ini didudukkan dalam peringkat

komersial, ada sesuatu yang dapat memproses dan membangunkan produk

dengan unsur kreatif dan berdaya saing dalam pasaran.

2. Senario Bahasa Melayu: Beberapa Buah Negara Jiran

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Negara Brunei Darussalam. Negara

Brunei Darussalam telah memaktubkan dalam Perlembagaan Negeri Brunei 1959,

iaitu Bab 82(1) Bahasa Melayu adalah Bahasa Rasmi Brunei. Langkah pelaksanaan

ini merupakan usaha memartabatkan bahasa Melayu sesuai dan sejajar dengan

ungkapan ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’, ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dan sebagainya.

Senario ini juga berlaku di negara-negara jiran dalam memartabatkan bahasa

Melayu.

Di negara Indonesia, bahasa Indonesia mempunyai kedudukan tertinggi,

iaitu sebagai bahasa negara sejak pengisytiharan kemerdekaan Republik

Indonesia pada tahun 1945. Mulai saat itu, bahasa Indonesia digunakan dalam

segala upacara, peristiwa, dan kegiatan kenegaraan, baik dalam bentuk lisan

mahupun tulisan. Bahasa Indonesia menjadi bahasa pengantar di lembaga

pendidikan dari taman kanak-kanak, maka material pelajaran yang berbentuk

media cetak juga berbahasa Indonesia. Cara ini sangat membantu dalam

meningkatkan perkembangan bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu

pengetahuan dan teknologi (iptek).

Begitu juga halnya di Malaysia, di bawah Perkara 152 Perlembagaan

Page 7: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

7

Persekutuan, bahasa Melayu dijulang sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia.

Bahasa Melayu mempunyai kedudukan tertinggi sebagai bahasa kebangsaan.

Namun begitu, pada 4 Jun 2007, Kabinet Malaysia telah membuat keputusan

untuk menukar penggunaan "Bahasa Melayu" kepada "Bahasa Malaysia" dan

perkara ini telah menjadi muktamad.

Dari kenyataan-kenyataan tersebut, memperlihatkan ketetapan telah

dimaklumi bersama, iaitu bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi di Negara

Brunei Darussalam, bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan di Republik

Indonesia dan bahasa Malaysia juga menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia.

Menurut Dr. Hashim Hamid (2000), Negara Brunei Darussalam, Indonesia, dan

Malaysia merupakan tiga buah negara yang dianggap sebagai bumi leluhur bahasa

Melayu, sastera Melayu, dan kebudayaan Melayu.

3. Perkembangan Bahasa Melayu pada Masa Kini

Memartabatkan bahasa Melayu tidak berhenti setakat memaktubkannya dalam

perlembagaan bertulis. Tidak juga tersepit dalam lingkungan bahasa Melayu

bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu berkembang mengikut peredaran

zaman dan yang masa kini ditulangbelakangi oleh perkembangan teknologi.

Perkembangan teknologi dunia telah memberikan impak kepada bahasa Melayu

sama ada dari aspek penggunaannya, istilah, dan korpus termasuklah dari segi

fungsi mahupun kedudukannya di dunia. Justeru, bahasa Melayu perlu

diposisikan di persada dunia dan maya sebagai langkah lebih kehadapan

pemartabatannya. Hal ini tidak akan tercapai jika peluang-peluang tersedia, iaitu

teknologi tidak dimanfaatkan.

Page 8: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

8

Dunia sekarang yang penuh berdaya saing ini tidak hanya menitikberatkan

atau tertumpu terhadap invensi. Dunia perlu diisi dengan pencetusan fikiran, idea,

pengubahsuaian, dan sebagainya, iaitu inovasi ‘to make something new’. Oleh

sebab itu, inovasi teknologi menjadi penting dan diperkatakan secara global

terutama dalam dunia pasaran perdagangan. Perlu diingat juga bahawa inovasi

teknologi bukan hanya tertutup atau terbatas pada teknologi seperti komputer

sahaja.

“a technological innovations for instance, is not as many people

believe, concerned specifically with computers or electronic

products such as cellular telephones or international networks…

Technology influences our lives in many ways every day, and by

thinking of technology only as electronics or computers, one would

be badly misjudging the concept of technological innovation”

(sumber:https://repository.up.ac.za/bitstream/handle/2263/30490/02chapter

2.pdf?sequence=3&isAllowed=y)

Akan tetapi dalam konteks Negara Brunei Darussalam khususnya Dewan

Bahasa dan Pustaka Brunei (DBP), inovasi teknologi lebih cenderung melihat

peluang-peluang yang terbuka dalam teknologi, iaitu internet yang dimanfaatkan

untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu.

“Neither does technological innovation only occur in complex products, processes or systems. Technological innovation does not have to be complex, but it has to be new and aim to implement the technology it embodies, in the marketplace.”

(sumber:https://repository.up.ac.za./bitstream/handle/2263/30490/02chapter2.pdf?sequence=3&isAllowed=y)

Memang disedari usaha, langkah, perancangan, dan pelaksanaan untuk

memartabatkan bahasa Melayu ini bukan terbeban pada bahu DBP sahaja, malah

perlu juga melihat kemampuan DBP daripada pelbagai aspek seperti tenaga yang

Page 9: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

9

berkemahiran teknologi, peruntukan kewangan, peralatan, dan sebagainya.

Justeru, perlunya sebuah badan atau kumpulan tertentu yang berperanan dan

menanggungjawapi bagi melaksanakannya. Badan ini perlu kerana merekalah

yang menjana atau memberikan idea baharu secara kreatif, memperkembangkan

idea baharu tersebut menjadi realiti dan penghasilan, dan melaksanakannya

hingga ke persada dunia pasaran.

4. Impak Teknologi: Ekonomi dan Bahasa

Sepuluh negara teratas pencipta teknologi dan inovasi membawa bahasanya ke

peringkat antarabangsa, impak teknologi yang dihasilkan sekali gus

memanfaatkan bahasa rasmi masing-masing. Inovasi teknologi berjaya

membantu menaikkan sosioekonomi negara masing-masing di samping

membawa kemajuan dalam aspek bahasanya.

Dalam konteks ini untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu dan

seterusnya menjadikannya sebagai bahasa utama dunia, kita perlu bersedia dalam

segala aspek. Misalnya dengan memperbanyakkan istilah teknikal yang terkini

dan boleh diguna pakai dalam segenap aspek kehidupan. Usaha

memperbanyakkan istilah ini sudah tentu memudahkan perhubungan dan segala

urusan yang berkaitan.

Ini termasuklah dalam hubungan politik, pendidikan, penerbitan buku,

atau jurnal, perdagangan, dan penterjemahan. Selain itu, mengadakan kolaborasi

merupakan sesuatu yang harus dibuat bersama negara-negara teratas pencipta

teknologi, contohnya dalam hal penterjemahan buku, misalannya buku bahasa

Melayu diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun dan buku Jepun dengan tajuk yang

lain diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Apabila buku dalam bahasa Melayu

Page 10: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

10

diterjemahkan ke dalam bahasa asing, ia akan menarik pembaca untuk mencari

buku asal dalam bahasa Melayu. Begitu juga halnya dengan manuskrip Melayu jika

diedarkan hingga ke luar negara, pengkaji-pengkaji sejarah dunia akan

memanfaatkan manuskrip asal ini dan secara tidak langsung mempelajari bahasa

Melayu untuk mendalami lagi kajiannya.

Jika di negara-negara maju seperti Jepun, kita sedia maklum bahawa

mereka tetap mengekalkan penjenamaan produk-produk dalam bahasa Jepun,

misalannya dalam industri automobil seperti Toyota dan Honda, padahal pencipta

atau invensinya adalah daripada Henry Ford. Begitu juga dalam industri yang

invensinya daripada Thomas Edison, tetapi di Negara Jepun diberi nama Sony dan

Hitachi tanpa perlu mengubah kepada bahasa lain atau bahasa Inggeris yang lebih

popular dari bahasa Jepun di dunia. Selaku masyarakat pengimport dan pengguna

besar inovasi teknologi Jepun di Asia, kita sudah sinonim dengan jenama-jenama

tersebut adalah produk-produk Jepun.

Selain itu, Amerika juga adalah negara yang dianggap paling maju di dunia

kerana mempunyai teknologi yang sangat moden. Kita semua maklum, bahawa

Amerika memiliki kemajuan dalam pelbagai bidang, bermula dari pertahanan,

farmasi, telekomunikasi, dan tentu saja teknologi. Amerika memiliki banyak

perusahaan besar, seperti Google, Apple, Intel, Microsoft, dan Facebook.

Perusahaan-perusahaan ini turut mengubah peradaban teknologi, iaitu menjadi

sangat maju. Dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi

dalam perdagangan menjadikannya sebagai satu bahasa yang semakin kuat,

diguna pakai, dan tersebar luas di setiap ceruk. Selain maju dalam dunia teknologi,

Amerika juga menyebarluaskan penggunaan bahasanya dengan mengadakan

program-program pembelajaran bahasa Inggeris di pusat-pusat Amerika di

Page 11: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

11

seluruh dunia. Pusat-pusat ini menyediakan dan menggunakan inovasi teknologi

terkini untuk digunakan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Tutorial dalam

bahasa Inggeris dalam talian disediakan untuk menarik rakyat di negara-negara

terbabit mempelajarinya dengan lebih efektif.

Begitu juga dengan negara China yang berjaya menghasilkan banyak

produk berkualiti dari hasil inovasi teknologi yang dapat memudahkan kehidupan

masyarakat setiap hari. Dengan jumlah penutur bahasa China sekarang seramai

1.2 billion, negara China telah menjadi kekuatan ekonomi utama dunia. Realitinya,

ekonomi China lebih besar dari Amerika. China memproduksi barang dan

perkhidmatan lebih besar dari Amerika.

Dalam hal ini, kejayaan inovasi teknologi memberikan impak yang sangat

penting terhadap kemajuan sesebuah negara. Pada masa yang sama mengangkat

dan menyebarluaskan bahasanya, selagi mana produk-produk negara berkenaan

dipasarkan dan digunakan. Peluang inilah yang cuba diambil dalam

memposisikan bahasa Melayu di persada dunia melalui persada maya.

5. Bahasa Melayu dan Inovasi Teknologi

Inovasi teknologi sangat penting bagi perkembangan peradaban manusia. Pada

zaman yang serba terhubung dengan teknologi, setiap negara dituntut menjadi

lebih inovatif agar masyarakatnya terus maju dan bersaing secara global. Melalui

inovasi teknologi jugalah, bentuk komunikasi masyarakat dunia kini semakin

berubah, tanpa perlu mengadakan perjumpaan dan perhubungan secara fizikal.

Justeru, lahirnya media sosial seperti facebook, e-mel, twiter, dan lain-lain

manusia sejagat yang boleh berhubung dalam sekelip mata tanpa perlu bersua

muka.

Page 12: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

12

Jika diperkirakan kriteria yang dinyatakan oleh Prof. Berthold Damshauser

(Rahardjo, 2011), bahasa Melayu sudah menemuinya. Menurut beliau, syarat

menjadi bahasa antarabangsa itu ialah:

i. harus digunakan dalam diplomasi dan perdagangan internasional;

ii. berperanan besar dalam penyebaran ilmu pengetahuan;

iii. banyak jumlah penuturnya;

iv. tingginya budi dan keagungan budaya penuturnya atau

peradabannya;

v. kesederhanaan sistem bunyi dan gramatikanya, sehingga mudah

dipelajari; dan

vi. pemiliknya harus memiliki rasa percaya diri dan peduli terhadap

bahasanya sendiri.

Manakala menurut Robert Phillipson dalam buku Linguistic Imperalism,

dijelaskan lebih lanjut alasan kenapa bahasa Inggeris menjadi bahasa yang

mendunia kerana:

i. Penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa

asing meningkat drastik menjadi 300 atau 100 juta orang;

ii. Adanya standardisasi bahasa Inggeris (ESL) di negara-negara yang

bahasa nasionalnya bukan bahasa Inggeris tapi bahasa Inggeris

digunakan secara meluas sebagai alat komunikasi dalam lingkungan

pendidikan dan pemerintahan, seperti di Nigeria dan Singapura

(Phillipson, 2008: 24); dan

iii. Bahasa penghubung utama di politik, perdagangan, ilmu

pengetahuan, teknologi, aliansi milter, hiburan, dan turisme,

Page 13: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

13

terutama di Daerah Afrika dan Asia (Phillipson, 2008: 30).

Untuk menjadi bahasa utama dunia, sudah setentunya terdapat beberapa

senarai bahasa yang digunakan di peringkat antarabangsa, misalannya di

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Menurut Wikipedia, ada enam bahasa

yang digunakan dalam pelbagai perjumpaan di Pertubuhan Bangsa-bangsa

Bersatu yang ditulis kesemuanya dalam dokumen rasmi PBB. Bahasa-bahasa

tersebut ialah bahasa Arab, Cina (Mandarin), Inggeris, Perancis, Rusia, dan

Sepanyol. Setiap perwakilan sesebuah negara boleh bertutur dalam mana-mana

satu daripada enam bahasa ini. Selain itu, penyebaran dokumen rasmi PBB juga

menggunakan bahasa-bahasa yang enam ini. Dokumen-dokumen rasmi tersebut

tidak akan dicetak jika ia tidak tersedia dalam kesemua enam bahasa berkenaan.

Dalam konteks ini kita boleh sahaja menambah bahasa Melayu menjadi

bahasa utama dunia, iaitu yang ketujuh di samping enam bahasa yang digunakan

dalam pelbagai perjumpaan dan komunikasi, iaitu bahasa Arab, Cina (Mandarin),

Inggeris, Perancis, Rusia, dan Sepanyol. Di sinilah keutamaannya, kepelbagaian

bahasa sangat dituntut untuk dipelajari dan diketahui oleh masyarakat dunia

supaya lebih mudah berkomunikasi dengan tidak hanya terhad untuk segelintir

masyarakat dunia sahaja.

Dunia tanpa sempadan ini merupakan impak daripada kemajuan

teknologi. Fenomena ini juga memberikan impak yang sangat signifikan kepada

bangsa dan dunia Melayu. Ini merupakan peluang yang besar yang perlu direbuti

kerana pengantarabangsaan bahasa Melayu lebih terbuka dalam sifat dunia tanpa

sempadan. Sebagai sebuah negara yang membangun dan masih dalam kedudukan

pengguna teknologi wajar mencari alternatif dalam mengangkat bahasa Melayu

ke persada dunia. Ilmu teknologi dan penemuan baharu dijadikan sandaran untuk

Page 14: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

14

mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dinamik dan tahan diuji

zaman.

Berkembangnya internet dan dunia maya adalah satu daripada hasil kemajuan

teknologi dan kreativiti yang sehingga kini hampir mampu dinikmati oleh semua

lapisan masyarakat di seluruh dunia. Jumlah pengguna internet di seluruh dunia

berkembang dengan cepat dan pesatnya. Internet ialah sistem komputer umum,

yang berhubung secara sejagat contohnya wikipedia. Tanpa internet, segala

perhubungan terputus, pekerjaan tidak menjadi, dan pelbagai masalah akan

timbul gara-gara sistem internet bermasalah. Internet juga menyediakan

perkhidmatan masa-sebenar (live) seperti radio web dan siar web, yang boleh

dicapai di seluruh dunia. Search engine terbesar seperti google menyediakan

pelbagai perkhidmatan internet untuk mencari informasi (orang atau sesuatu).

Search engine google ini sudah menyediakan beberapa buah bahasa termasuklah

bahasa Melayu. Ini bermakna bahasa Melayu sudah berada di persada maya.

Secara amnya di Asia Tenggara, kemajuan dan perkembangan teknologi

telah memberikan impak yang besar kepada pengguna media sosial. Menurut the

New Digital dalam laporan Global Overview, Negara Brunei Darussalam dengan

penduduk 421,300 (statistik pada tahun 2017) dengan jumlah pengguna media

sosial ialah 370,000 atau 86% daripada jumlah penduduknya. Ini menjadikan

Negara Brunei sebagai negara ketiga tertinggi menggunakan media sosial.

Facebook merupakan jaringan sosial yang paling popular di seluruh dunia.

Jumlah pengguna facebook di Brunei kini mencecah 190,060 orang. Ini bermakna

dari setiap dua orang di Brunei, seorang daripada mereka memiliki akaun di

facebook. Penyataan ini dapat dilihat dari paparan jadual di bawah:

Page 15: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

15

Gambar rajah kedudukan Brunei dalam penembusan tertinggi media sosial.

(Sumber:https://mediapermata.com.bn/brunei-ke-3-penembusan-media-sosial/).

Dari data yang dikutip KompasTekno di We Are Social, Jumat (2/3/2018),

Indonesia menyumbang jumlah pengguna Facebook terbesar urutan keempat

secara global. Hingga Januari 2018, jumlah pengguna Facebook dari Indonesia

mencapai 130 juta akaun dengan persentase enam persen dari keseluruhan

pengguna di dunia. Di Malaysia, penggunanya dijangka mencecah hingga 13.57

juta berbanding 11.04 juta pada tahun 2016.

Tahun ini, lebih dari setengah penduduk dunia kini sudah terhubung

internet. Kemajuan dalam media sosial telah menarik lebih separuh jumlah

penduduk dunia menggunakan internet. Dari laporan tersebut jua menyatakan

tambahan penggunaan media sosial adalah kerana penyebaran telefon pintar dan

kemudahan internet.

Berdasarkan data-data di atas, Indonesia menduduki pada urutan keempat

pengguna facebook terbesar di dunia. Kedudukan ini secara tidak langsung

membantu pencapaian penyebaran bahasa Indonesia/Melayu di dunia dengan

Page 16: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

16

jumlah melebihi 130 juta akaun facebook di Indonesia iaitu pengguna facebook

berinteraksi dalam bahasa Indonesia. Ini menggambarkan pengguna teknologi

mampu mencapai kedudukan tersebut berdasarkan kuantiti penduduk yang

membantu dalam penyebaran bahasa.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan negara di rantau ini

termasuklah Negara Brunei Darussalam dikategorikan sebagai pengguna inovasi

teknologi, bukannya pencetus atau pencipta teknologi. Justeru dalam situasi ini,

pemanfaatan ilmu teknologi secara menyeluruh wajar dilakukan sebagai alat

bantu untuk menyebarluaskan penggunaannya di arena antarabangsa. Kita boleh

menakluki dunia dengan menggunakan bahasa kita sendiri melalui kemajuan-

kemajuan dan inovasi teknologi dunia yang ada sekarang.

Dari gambaran dan perbincangan di atas memberikan keyakinan kepada

kita bahawa bahasa Melayu tetap mempunyai kekuatan yang mampu

diketengahkan sebagai bahasa perhubungan di peringkat antarabangsa, melalui

usaha dan perancangan strategik negara masing-masing yang penuturnya

berbahasa Melayu, lebih-lebih lagi penutur Bahasa Melayu/Indoneisa ini telah

menjangkau ke selatan Fiipina, selatan Thai, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka, dan

Afrika Selatan.

Dalam konteks Brunei Darussalam, iaitu melalui Dewan Bahasa dan Pustaka

Brunei mengatur strategi pengantarabangsaan bahasa Melayu sendiri

berdasarkan kapasiti yang ada.

6. Strategi Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan agensi unggul yang

bertanggungjawab dalam pemartabatan bahasa Melayu. Namun, DBP tidak

Page 17: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

17

bersendirian dalam usaha mengangkat bahasa Melayu ini. Malah secara

berterusan bersama agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan berusaha

meneruskan penyebarannya secara meluas. Selain itu, anggota masyarakat juga

banyak terlibat sama dalam usaha-usaha berkenaan.

Bahasa Melayu mengalami perubahan yang cukup besar melalui proses

perubahan budaya, bahasa, sastera, sosioekonomi, dan sosiopolitik di samping

perubahan nilai. Perubahan-perubahan terjadi dalam pelbagai aspek termasuklah

linguistik dan korpus bahasa. Kemajuan dan perkembangan dalam bidang sains

dan teknologi dianggap sebagai satu peluang atau ruang untuk

mengantarabangsakan bahasa Melayu. Melalui pelbagai strategi yang dirancang

dan disusun, diyakini usaha-usaha murni akan mampu mengangkat kedudukan

bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

DBP sentiasa berusaha dalam mengantarabangsakan dan menyebarkan

bahasa Melayu tambahan lagi dalam dunia yang serba maju dan era digital.

Dengan teknologi yang ada, antara strategi DBP Brunei dalam

mengantarabangsakan bahasa Melayu yang telah dan dalam proses pelaksanaan

itu ialah:

i. Mengantarabangsakan Jurnal DBP dengan Indeks Scopus

Bahagian Penyelidikan, Dokmentasi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan

Pustaka berinisiatif untuk menaik taraf kedudukan Jurnal Beriga ke

peringkat antarabangsa, iaitu Jurnal Beriga terindeks Scopus. Usaha ini

merupakan platform bagi melahirkan jurnal berimpak tinggi yang sekali

gus mampu meningkatkan peranan bahasa Melayu di negara ini.

Antara objektif mengindeks ke scopus ini ialah untuk:

Page 18: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

18

meningkatkan peranan bahasa Melayu di negara ini ke peringkat

antarabangsa;

Memberikan ruang dan peluang kepada pengkaji dan penulis untuk

menerbitkan penulisan berbahasa Melayu di peringkat

antarabangsa; dan

Memberigakan Jurnal Beriga sebagai saluran untuk

menyebarluaskan hasil-hasil penyelidikan yang dilaksanakan,

sekali gus menarik minat pengkaji tempatan mahupun peringkat

antarabangsa untuk menyumbang penyelidikan ke Jurnal Beriga.

Dengan terwujudnya jurnal berbahasa Melayu di peringkat

antarabangsa, akan meningkatkan lagi imej DBP sebagai sebuah institusi

ilmu yang mampu mengangkat martabat bahasa, sastera dan budaya dunia

Melayu. Pengantarabangsaan ini nanti diharap sebagai wadah pembuka

jalan kepada jurnal-jurnal lain terbitan DBP.

ii. Penyelidikan Persuratan Melayu, DBP Brunei

Pada masa ini, DBP melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan

Pengiktirafan juga sedang mengusahakan penerbitan manuskrip Melayu

lama. Penerbitan dokumen-dokumen khazanah ini merupakan satu

wahana penting yang akan membantu memperkembangkan dan

menyebarkan ilmu dan tamadun bangsa Melayu. Usaha ini akan dilaratkan

sehingga ke tahap e-manuskrip. Para penyelidik dari seluruh dunia akan

mengakses manuskrip-manuskrip Melayu dengan mudah.

Hasil daripada pendokumentasian ke e-manuskrip ini pastinya

Page 19: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

19

akan menjadikannya sebagai bahan dokumentasi dan rujukan umum

dalam pelbagai peringkat melalui teknologi media atau e-manuskrip.

iii. Penerbitan

Sistem penerbitan yang berdaya maju dengan teknologi terkini perlu

menukar strategi dengan cara memuat naik segala bentuk bahan cetak

kepada bentuk digital. Ke arah pendigitalisasian ini, perancangan teliti

diatur agar setiap hasil terbitan sentiasa dalam talian. DBP semasa

pelancaran Pesta Buku Brunei 2019 dengan tema “Lestari Buku Era Digital”

akan terus mengekalkan penerbitan buku secara cetak di samping

mengadakan usaha-usaha agar semua informasi boleh diakses secara dalam

talian termasuk buku elektronik electronic book (e-book). Kita juga boleh

melakukannya melalui kolaborasi dengan menerbitkan terjemahan buku-

buku tertentu.

Perluasan usaha di peringkat maya ini seiring dengan

perkembangan teknologi.

iv. Menyebarkan Bahasa Melayu melalui Bidang Penyiaran

Dalam usaha menghidupkan dan menyegarkan semula lagu-lagu tradisi

kanak-kanak Brunei, DBP juga melalui Bahagian Penyelidikan,

Dokumentasi dan Pengiktirafan telah membuat projek penyelidikan

khusus untuk mengumpul lagu dan glosari lagu kanak-kanak Brunei.

Sejumlah 56 buah lagu telah terkumpul berserta dengan glosari dan not

lagu. Lagu-lagu ini dinyanyikan semula oleh dua orang kanak-kanak

Brunei. Dalam perancangan, sebagai salah satu objektif penyelidikan, iaitu

Page 20: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

20

penyebaran dan pengongsian ilmu untuk generasi baru, maka lagu-lagu ini

akan dimuatkan ke U-tube. Penyebaran ini sudah setentunya sebagai

platform kita mengantarabangsakan bahasa kita ke seantero dunia.

Sebagai masyarakat pengguna, pastinya kita akan mengambil peluang dan

kebaikan daripada perkembangan teknologi.

v. Sistem Pengurusan Kamus

Dalam usaha untuk mengongsikan ilmu dan penambahan maklumat, DBP

melalui Bahagian Perancangan dan Pengembangan Bahasa merancang

mengadakan sistem pengurusan kamus melalui kerjasama dengan

Universiti Teknologi Brunei (UTB). Perkara ini masih di peringkat

perundingan dan penyelarasan dan penandatanganan MOU akan diadakan

apabila kedua belah pihak bersedia. Sistem ini akan menjadi sumber

rujukan dan maklumat bahasa dengan menggunakan teknologi.

7. KESIMPULAN

Selaku bangsa pengguna besar inovasi teknologi, hakikatnya bukan mudah untuk

menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia jika dibandingkan dengan

bangsa pencipta inovasi teknologi. Dalam mengharungi dunia globalisasi,

penyebaran, pengantarabangsaan dan menjadikannya sebagai bahasa utama

dunia, tugasan besar ini tidak akan dapat dicapai tanpa ada komitmen daripada

semua pihak yang berkepentingan. Banyak halangan pasti akan dilalui. Semangat

dan cita-cita sahaja tidak akan membawa bahasa Melayu ke mana-mana

seandainya tidak adanya sinergi dengan mereka yang selayaknya terlibat.

Keazaman politik (political will) sesama negara serumpun sangat penting.

Page 21: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

21

Perancangan-perancangan yang sudah berjalan dan diatur mesti terus

berkesinambungan dan tidak menjadi sia-sia.

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, perlu disedari bahawa, strategi

pengantarabangsaan Bahasa Melayu adalah agenda bersepadu pihak kerajaan,

sektor swasta dan persatuan bukan kerajaan, termasuklah masyarakat dan yang

paling penting para penggubal pendidikan. Ia bukanlah semata-mata tugas

sepihak, iaitu DBP sahaja, tetapi memerlukan kesepakatan semua pihak.

Kesimpulannya, kejayaan inovasi teknologi dunia, akan memberikan

impak yang sangat penting terhadap kemajuan sesebuah negara termasuklah

bahasa. Dengan memanfaatkannya, bahasa Melayu mampu tersebar luas ke

peringkat antarabangsa. Peluang ini kita ambil dalam upaya untuk memposisikan

bahasa Melayu di persada dunia melalui persada maya.

Page 22: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

22

KEPUSTAKAAN:

A. Aziz Deraman, 1996. Pengembangan Pengajian Bahasa dan Sastera Melayu Di

Dunia. Kertas kerja Persidangan Antarabangsa PengajianMelayu Beijing,

China Anjuran Beijibg Foreign Studies University (BFSU/DBP Malaysia)

Dengan Kerjasama Gapena dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China

*(PPMC) 20-24 Mei 1996.

Awang Sariyan, Dr., 2000. “Ufuk Baharu Dalam Kerjasama Bahasa Melayu

Serantau”. Kumpulan kertas kerja dalam Seminar Kebahasaan Sempena

Sidang Mabbim, Ke-39 Mabbim, 6-11 Mac 2000.

Collins, James, T., 2005. Bahasa Melayu Bahasa Dunia: Sejarah Singkat. Alih Bahasa

Alma Evita Almanar. Jakarta: Yayasan Obor Indonesia.

Dayang Hajah Haireni Haji Awang Damit, 2015. “Kedudukan Sastera Transmedia

Di Brunei dan Sastera Brunei Dalam Industri Kreatif”. Kertas kerja Seminar

Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (Sakat), 7 – 1 September 2015.

Fatimah Chuchu, Dr., 2009. “Pengukuhan Bahasa Melayu: Bahasa Melayu Harus

Berkembang dan Maju Bersama-sama Dengan Bahasa Dunia Lain, Bukan

Disaingi”. Kertas kerja dalam Seminar Mabbim, 25-26 Mac 2009.

Haji Hashim Haji Abd. Hamid, Dr., 2000. “Asterawani dan Bahasa Melayu Di Brunei

Darussalam: Perjuangan Sepanjang Zaman”. Kumpulan kertas kerja dalam

Seminar Kebahasaan Sempena Sidang Ke-39 Mabbim, 6-11 Mac 2000.

Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Pehin Orang Kaya Saiful

Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, 2018. “Industri Pelancongan Sebagai

Wahana Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”. Kertas kerja ucap utama

Seminar Kebahasaan Sempena Sidang Ke-57, Mabbim. 25-26 April 2018.

Md. Hussain bin Abdul Rahman, Haji, 2000. “Peranan dan Sumbangan Media

Page 23: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

23

Elektronik Dalam Memaju dan Mengembangkan Bahasa Melayu: Tinjauan

Prospeknya Dalam Abad Ke-21”. Kumpulan kertas kerja dalam Seminar

Kebahasaan Sempena Sidang Mabbim, Ke-39 Mabbim. 6-11 Mac 2000.

Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Haji, 2014. “Media Baru, Potensi

dan Sumbangan”. Kertas perdana dalam Seminar Antarabangsa

Kesusasteraan Asia Tenggara (Sakat), 17 – 18 September 2014.

Rusli Abdul Ghani, “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Utama Dunia”. Dewan Bahasa

dan Pustaka: Kuala Lumpur. http://www.utusan.com.my/rencana/utama

/memperkasa-bahasa-kebangsaan-1.141917#ixzz5iAGwlYQw dilayari

pada 15 Mac 2019

“Pelestarian Bahasa Melayu Dalam Era Globalisasi”. 2007. Dalam Forum Perdana

Bahasa 2007. Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. 1 Rabiulawal

1428/20 Mac 2007. http://www.researchgate.net/publication/3222

22284 yang dilayari pada 23 Mac 2019.

https://www.liputan6.com/otomotif/read/3684236/vinfast-klara-motor-

listrik-asal-vietnam-yang-sarat-teknologi-terkini yang dilayari pada 26

Mac 2019

http://www.tekno.kompas.com yang dilayari pada 27 Mac 2019.

https://mediapermata.com.bn/brunei-ke-3-penembusan-media-sosial/ yang

dilayari pada 28 Mac 2019.

https://mediapermata.com.bn/pesta-buku-buka-tirai dilayari pada 31 Mac 2019

yang dilayari pada 23 Mac 2019.

http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kedudukan-bahasa-melayu-

bahasa-ibunda-malaysia-1.616387#ixzz5jqiCBvL3 yang dilayari pada 2

April 2019.

Page 24: STRATEGI PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU: …

24

http://bloggersyamil.blogspot.com/2016/08/pengenalan-definisi-bahasa-

1.html yang dilayari pada 2 April 2019.

https://ms.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Melayu yang dilayari pada 2 April 2019.

http://mochinolove.blogspot.com/2011/11/kedudukan-bahasa-indonesia-

sebagai.html dilayari pada 2 April 2019.

https://www.academia.edu/13588718/KEDUDUKAN_BAHASA_MELAYU_DALA

M_NEGARA_MASA_KINI dilayari pada 2 April 2019.

https://en.wikipedia.org/wiki/Technological_innovation#Definition dilayari

pada 3 April 2019

https://repository.up.ac.za./bitstream/handle/2263/30490/02chapter2.pdf?se

quence=3&isAllowed=y dilayari pada 3 April 2019