sejarah perlombongan emas pahangl: dengan rujukan ......sejarah perlombongan emas di pahang dengan...

16
115 SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG:DENGAN RUJUKAN KHAS SYARIKAT LOMBONG EMAS AUSTRALIA RAUB, 1892- 1960 Sivachandralingam Sundara Raja* PENGENALAN Artikel ini akan mengkaji sejarah perlombongan emas di Raub, Pahang dengan tumpuan khas kepada Syarikat Lombong Emas Australia Raub (Raub Australian Gold Mining Ltd.) (R.A.G.M.), antara 1892-1960. Perbincangan akan difokuskan kepada penubuhan, perkembangan dan senario yang membawa kepada penutupan syarikat. PERLOMBONGAN EMAS DI NEGERI-NEGERI MELAYU. Perlombongan emas di Negeri-Negeri Melayu pada tahap awal terbatas di kawasan jalur emas yang sebahagian besarnya terdiri dari negeri Pahang. Ahli geologi telah membahagikan Semenanjung Tanah Melayu kepada tiga jalur, pertama, jalur tengah (Pahang) yang dikenali sebagai jalur emas; dan kedua jalur barat dan timur yang dikenali sebagai jalur timah. 1 Pahang Gold-Belt meliputi kawasan perlombongan yang terdapat di Raub dengan berkeluasan 14,000 batu persegi (lihat peta 1). Sejarah perlombongan emas di Semenanjung Tanah Melayu telah bermula sejak abad Masihi dan pengeluaran emas dalam kuantiti yang besar dari Tanah Melayu menyebabkan negara ini dikenali sebagai kawasan wilayah emas. Mengikut rekod China, emas telah menjadi eksport utama Kelantan dan Pahang sejak abad ke tiga belas Masihi. 2 Newbold pula menjelaskan emas telah dilombong di Tanah Melayu pada abad ke sembilan belas Masihi di Hulu Pahang, Terengganu, Kelantan, Gemencih dan Battan Moring di gunung Ophir. 3 * Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 1 Kamaradin Mad Slar, 1983. Pengwujudan Emas Primer dan Plaser Bagi Negeri Pahang. Kuala Lumpur. Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi Malaysia: hlm. 3. 2 Nicholas N. Dodge. 1977. “Mineral Production on the East Coast of Malaya”. JMBRAS, Jilid. 50, Bahagian 2, hlm. 92. 3 N.Newbold, 1971. British Settlements In The Straits of Malacca. Vol. 1, London: Oxford University Press, hlm. 431.

Upload: others

Post on 21-Oct-2020

73 views

Category:

Documents


10 download

TRANSCRIPT

  • 115

    SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG:DENGAN RUJUKAN KHAS

    SYARIKAT LOMBONG EMAS AUSTRALIA RAUB, 1892- 1960

    Sivachandralingam Sundara Raja*

    PENGENALAN Artikel ini akan mengkaji sejarah perlombongan emas di Raub, Pahang dengan tumpuan khas kepada Syarikat Lombong Emas Australia Raub (Raub Australian Gold Mining Ltd.) (R.A.G.M.), antara 1892-1960. Perbincangan akan difokuskan kepada penubuhan, perkembangan dan senario yang membawa kepada penutupan syarikat. PERLOMBONGAN EMAS DI NEGERI-NEGERI MELAYU. Perlombongan emas di Negeri-Negeri Melayu pada tahap awal terbatas di kawasan jalur emas yang sebahagian besarnya terdiri dari negeri Pahang. Ahli geologi telah membahagikan Semenanjung Tanah Melayu kepada tiga jalur, pertama, jalur tengah (Pahang) yang dikenali sebagai jalur emas; dan kedua jalur barat dan timur yang dikenali sebagai jalur timah.1 Pahang Gold-Belt meliputi kawasan perlombongan yang terdapat di Raub dengan berkeluasan 14,000 batu persegi (lihat peta 1).

    Sejarah perlombongan emas di Semenanjung Tanah Melayu telah bermula sejak abad Masihi dan pengeluaran emas dalam kuantiti yang besar dari Tanah Melayu menyebabkan negara ini dikenali sebagai kawasan wilayah emas. Mengikut rekod China, emas telah menjadi eksport utama Kelantan dan Pahang sejak abad ke tiga belas Masihi.2 Newbold pula menjelaskan emas telah dilombong di Tanah Melayu pada abad ke sembilan belas Masihi di Hulu Pahang, Terengganu, Kelantan, Gemencih dan Battan Moring di gunung Ophir.3

    * Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 1 Kamaradin Mad Slar, 1983. Pengwujudan Emas Primer dan Plaser Bagi Negeri Pahang. Kuala

    Lumpur. Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi Malaysia: hlm. 3. 2 Nicholas N. Dodge. 1977. “Mineral Production on the East Coast of Malaya”. JMBRAS, Jilid. 50,

    Bahagian 2, hlm. 92. 3 N.Newbold, 1971. British Settlements In The Straits of Malacca. Vol. 1, London: Oxford University

    Press, hlm. 431.

  • 116

    MALAYSIA DARI SEGI SEJARAH

    Sumber: J.B. Scrivenor, “The Production and Occurance of Gold In Malaya”, The Gold Resources of the World, XV, International Geological Congress, South Africa, 1929, hlm. 232.

    Peta 1 : Kawasan Perlombongan Emas di Tanah Melayu

  • 117

    SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG: DENGAN RUJUKAN KHAS SYARIKAT LOMBONG EMAS

    Empat pusat perlombongan emas yang utama pada abad ke sembilan belas Masihi ialah di Hulu Sai (dalam negeri Patani di sempadan Kelantan), Sokor (Kelantan Tengah), Galas (Hulu Kelantan) dan di Raub (Hulu Pahang).4 Adalah dipercayai lombong-lombong ini telah diusahakan oleh orang Cina tempatan dan jumlah pengeluaran emas dianggarkan berjumlah 19,800 auns troy.5 Pahang mengeluarkan 3,600 auns troy pada 1830-an yang bernilai sepertiga daripada pengeluaran Pantai Timor dan selebihnya dihasilkan oleh Kelantan, Trengganu dan Patani.6 Mengikut para pengkaji pada abad kesembilan belas Masehi, pengeluaran emas Kelantan lebih tinggi dari negeri-negeri lain.

    Beberapa faktor membantu kemunculan Kelantan sebagai pengeluar emas yang utama di Tanah Melayu.7 Pertamanya dua dari empat lombong emas utama iaitu Galas dan Sokor terdapat di Kelantan. Lombong emas Hulu Sai juga terletak di bawah kawalan Kelantan. Kedua, Kelantan mempunyai pelombong-pelombong Cina yang ramai lebih ramai dari negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Ketiga pelombong Cina yang berangkat ke Hulu Sai terpaksa melalui Sungai Kelantan dan Pergau untuk memendekkan perjalanan. Oleh itu mereka terpaksa membayar cukai dalam bentuk emas kepada kerajaan Kelantan dan ini memesatkan bgi eksport emas Kelantan.

    Dalam masa yang sama, kestabilan poIitik Kelantan dan dasar perdagangan liberal yang diamalkan oleh Kelantan berbanding dengan negeri-negeri Pantai Timur yang lain menyebabkan emas dari negeri-negeri lain dieksport melalui Kelantan. Semua keadaan ini menyebabkan Kelantan menjadi pengeksport emas yang utama di Tanah Melayu pada abad kesembilan belas dan bejaya menarik ramai kapitalis asing. Menjelang abad kedua puluh Masihi, Pahang mengambilalih kedudukan Kelantan sebagai pengeluar utama emas Semenanjung.8 PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG Satu-satunya negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang terkenal dengan penghasilan emas ialah Pahang. Kepentingan Pahang sebagai salah sebuah negeri yang kaya dengan hasil emas pernah dibayangkan oleh seorang pedagang Portugis. Menurut beliau,

    Pahang [is] frequented by merchants because of its gold mines, for it possesses the largest and finest in the peninsula, from where we may pressume it was this gold that formed the ancient trade of Alexandria or Grand Cairo. 9

    Kawasan-kawasan yang penting untuk perlombongan emas di Pahang ialah Raub, Tui, Tersang, Selinsing, Penjom, Kechau, Budu dan Hulu Dong. Jumlah pengeluaran emas Pahang antara 1892-1938 adalah sebanyak 811,614 auns troy dan dari jumlah ini 667,597 auns troy (88%) diperolehi dari Syarikat Lombong Emas Australia Raub (RA.G.M.). Pengeluaran emas

    4 Dodge, “Mineral Production on the East Coast’, hlm. 95. 5 Newbold, British Settlements In The Straits of Malacca, hlm. 95. 6 Dodge, “Mineral Production on the East Coast”, hlm. 95. 7 Ibid. 8 Robert Leslie Ratnasingam, 1973. “Kelantan 1890-1939, Government In Transition”, Tesis Sarjana,

    Universiti Malaya: hlm. 226. 9 Arnold Wright, 1913. The Malay Peninsula ( A Record of British Progress In The Middle East).

    London: T. Fisher Unwim, hlm. 259.

  • 118

    MALAYSIA DARI SEGI SEJARAH paling tinggi yang dicatatkan oleh Pahang ialah 733,385 auns troy pada 1939, daripada jumlah tersebut R.A.G.M. menyumbangkan sebanyak 28,377 auns troy.10 PENUBUHAN SYARIKAT LOMBONG EMAS AUSTRALIA RAUB11 Sebelum pelombong-pelombong bangsa Australia menjalankan perusahaan perlombongan di Raub, Sultan Ahmad (1882-1914), iaitu Sultan Pahang pada masa itu telah membenarkan Raja Impi, seorang pembesar dari Klang untuk membuka konsesi di Raub. Perlombongan Raja Impi tidak berjaya dan beliau juga tidak membayar cukai. Ini mendorong Sultan Pahang untuk tidak membenarkan Raja Impi meneruskan perlombongan.12 Seterusnya Sultan telah memberi kebenaran kepada Syed Mohammad Al Sagoff, seorang saudagar yang kaya dari Singapura untuk menjalankan perusahaan perlombongan di Raub. Raja Impi yang marah dengan tindakan Sultan, telah menyerang Syed Mohammad Al Sagoff. Sultan Pahang bertindak segera dengan menghantar pengikut-pengikutnya seramai dua ratus orang untuk memerangi dan menghalau Raja Impi dari negeri Pahang.13 Perselisihan antara Raja Impi dan Sultan diselesaikan oleh seorang peniaga Singapura yang bertindak sebagai orang tengah. Keputusan dicapai antara kedua pihak untuk membahagikan wang dan saham yang dikumpulkan hasil penjualan konsesi dengan syarat-syarat tertentu.

    Selepas kejadian ini, Almeida salah seorang pengikut Syed Mohammad telah berangkat ke Borneo dan berjumpa dengan pencari emas berbangsa Australia bemama Sefton yang berkhidmat untuk Syarikat Borneo Utara. Sefton yang tertarik dengan cerita emas di Raub yang diperihalkan oleh Almeida, telah membeli konsesi di Raub dan memindahkan ke dalam sebuah syarikat Singapura bemama Malay Peninsula Prospecting Company.14 Setelah mendapat kebenaran daripada Sultan Pahang untuk menjalankan perusahaan perlombongan emas di Raub, Sefton kembali ke Australia dan menubuhkan sebuah sindiket yang kemudiannya memeteri perjanjian membeli kawasan seluas dua puluh batu persegi di Raub dengan harga 10,000 pound sterling. Sindiket ini bermodal besar dan mempunyai saham bernilai l,000,000 pound sterling.15 Sindiket ini didaftarkan pada 12 November 1889, di Queensland Australia dan pada awalnya dikenali sebagai Raub Australian Syndicate Li-mited dan Wiliam Bibby menjadi pengurus yang pertama. Pada 1892, nama Syarikat ini ditukar kepada Australian Gold Mining Company Limited.16

    10 R.G Cant, 1972. “A Historical Geography of Pahang”, JMBRAS, Monograf No. 4, hlm. 29. 11 Raub ialah sebuah dari enam daerah yang terdapat di Pahang. Daerah Raub terdiri dari tujuh buah mukim,

    iaitu Batu Talam, Sega, Semantan Hulu, Dong, Hulu Dong Gali dan Tras. Perkataan “Raub” dalam bahasa Malaysia bermakna genggam. Menurut sejarah, pusat perlombongan ini dinamakan Raub selepas pelombong-pelombong menjumpai seraub emas pada setiap dulang pasir “People found that for every ‘dulang’ of sand there was a handful (raub) of gold” (Malaysiana, 78/79, Official Yearbook, Kuala Lumpur, Percetakan Negara, 1979, hlm. 22).

    12 Golden Raub: A Series of Articles on the Raub Mines and Their Prospects with some observations on Pahang, 1897. Singapore, Straits Times Press: hlm. 3.

    13 lbid. 14 lbid. 15 J.A. Richardson, l939. The Geology and Mineral Resources of the Neighbourhood of Raub Pahang,

    Geological Survey Department, Federated Malay States: hlm. 38. 16 Ibid., hlm. 93.

  • 119

    SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG DENGAN RUJUKAN KHAS SYARIKAT LOMBONG EMAS PERKEMBANGAN SYARIKAT LOMBONG EMAS AUSTRALIA RAUB Sejak penubuhan Syarikat Lombong Emas Australia, ia telah mrnghadapi pelbagai cabaran tetapi semuanya berjaya diatasi sehingga syarikat muncul sebagai syarikat lombong emas yang paling berjaya di Pahang. Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kemajuan syarikat ini ialah kestabilan politik yang terdapat di Pahang. Pada zaman awal pentadbiran British, meletus gerakan menentang British pada penghujung tahun 1891 dan pada 1894. Gerakan ini diketuai oleh Orang Kaya Semantan, Dato’ Bahaman dan menyebabkan keadaan tidak tenteram untuk seketika. Para petani terpaksa meninggalkan tanaman mereka dan dalam masa yang sama kampung-kampung dl daerah Raub, Bentong dan Semantan musnah akibat penentangan ini. Penentangan ini secara tidak langsung telah melewatkan permulaan kegiatan perlombongan emas di Raub. Kenyataan dibawah yang dilaporkan oleh akhbar Straits Times menggambarkan keadaan sebenar zaman berkenaan.

    For eighth months, Raub was in a state of siege. Mr. Bibby’s house was turned into a front, and was stockaded with huge timber. The mining staff left their houses and joined Mr. Bibby in his stronghold on the hill, and many men slept with rifle and ammunition by his side.18 Gerakan ini juga telah mengendalakan kegiatan perlombongan. la memberi alasan kepada

    British untuk campur tangan dan melindungi kekayaan negeri Pahang. Dengan perlantikan J.P. Rodger sebagai Residen pertama Pahang, ia telah menjamin kestabilan politik dan syarikat tidak ragu-ragu untuk melabur modal dalam jumlah yang besar.

    British rule tended to stabilize the existing economy and fix the pattern of Malay settlement which existed in 1888. 19 Ketidakstabilan politik pada tahap awal diperburukkan lagi oleh ketiadaan jalan

    pengangkutan yang maju untuk membantu dalam memindahkan peralatan lombong ke kawasan lombong dan pergerakan penduduk dari satu kawasan ke kawasan lain. Sebelum 1895, Pahang tldak mempunyai rangkaian jalanraya mahupun keretapi yang menghubungkan daerah Raub dengan daerah-daerah lain seperti Penjom, Tras dan Selinsing. Alat pengangkutan yang popular pada peringkat ini ialah kereta lembu dan jalan hutan, sungai dan laut. Pada masa hujan, denai menjadi becak dan berlumpur. Tambahan pula, lebar jalan denai biasanya dua atau tiga kaki sahaja dan hanya boleh dilalui oleh seorang yang berjalan kaki dan kereta lembu. Ternyata ini satu kekurangan dalam perkembangan industri perlombongan.

    Kekurangan dalam pengangkutan di Pahang mendorong Warnford-Lock membuat kenyataan bahawa, “Pahang is the most backward state, it has no port and no railway”.20 British yang menyedari perlunya satu sistem pengangkutan yang maju untuk merangsang kegiatan perlombongan, telah membina beberapa batang jalan-raya di daerah Raub. Pada 1897, jalan raya yang pertama dibina menghubungkan Raub dengan Kuala Kubu. Pada 1900, dibina jalanraya menghubungkan Raub dengan Budu, Kechau dan Bentong. Menjelang 1909, jalanraya Raub dihubungkan dengan Kuala Lumpur. Jalanraya bukan sahaja membantu mengangkut penumpang tetapi juga emas dan peralatan perlombongan. Ia juga telah

    18 Golden Raub, hlm.13. 19 Cant, “A Historical Geography of Pahang”, hlm. 56. 20 C.G. Warnford Lock, 1907. Mining in Malaya for Gold and Tin, London. Growther and Goodman: hlm.

    21.

  • 120

    MALAYSlA DARI SEGI SEJARAH menggalakkan pembukaan lebih banyak lombong emas di Raub. Secara tidak langsung ia mewujudkan kestabilan politik.20

    Syarikat Lombong Australia juga telah menghadapi masalah kekurangan buruh mahir. Pada tahap awal masalah ini diatasi dengan menggaji dan melatih pekerja-pekerja Cina untuk bekerja di lombong bawah tanah.21 Buruh murah yang terdiri daripada kaum Cina, India dan Melayu telah menjadi factor penting dalam membantu perkembangan syarikat. Buruh daripada tiga etnik yang berlainan mempunyai kerja pengkhususan masing-masing dan pengusaha Australia telah mengeksploitasi ketiga-tiga kaum dengan cekap. Orang Cina menjalankan kerja perlombongan bawah tanah melalui sistem shaf dan kerja memotong kayu balak. Buruh India pula terlibat dalam pembinaan jalanraya, mengawal motor letrik, feeders dan melombong. Kaun Sikh pula menjadi jaga dan polis. Buruh India mempunyai beberapa kelebihan antaranya tahan cuaca panas, tidak membantah, boleh memikul muatan yang banyak dan jarang diserang penyakit.22

    Buruh Melayu, iaitu Melayu Jawa pula ditugaskan untuk mengendalikan mesin gerudi, pam, motor eletrik dan memandu lori. Pekerja-pekerja Melayu cekap, cermat, tidak suka berbohong, bersopan santun, menurut perintah dan tidak minum arak. Pegangan agama yang kuat menyebabkan orang Melayu menjadi pekerja isrtimewa di R.A.G.M. Syarikat menggaji mereka untuk mengawasi tidak berlaku sebarang penyelewangan dan kemalangan di shaf. Sesunggubnya shaf-shaf yang berada di bawah pengawasan orang Melayu tidak berlaku sebarang kemalangan yang serius.23 Tanpa bantuan buruh dari ketiga-tiga kaum ini, Syarikat Lombong Emas Raub pasti tidak dapat muncul sebagai pengeluar emas yang utama di Pahang.

    Dengan selesainya masalah politik, infrastruktur dan buruh, syarikat telah menumpukan perhatian dalam memajukan kegiatan perlombongan. R.A.G.M. berjaya mengatasi sebahagian besar masalahnya dengan mendirikan stesen janakuasa letrik. Kemampuan syarikat untuk memajukan stesen janakuasa ini sebahagian besarnya kerana R.A.G.M. mempunyai modal yang besar iaitu 1 ,000,000 pound sterling. Dengan modal yang sebegini besar, syarikat juga berjaya menyediakan kakitangan yang mahir, mesin-mesin lombong yang baik seperti alat-alat pelebur bijih, jentera pam dan bateri penghancur emas.

    Syarikat juga telah mcmajukan sebuah stesen jana elektrik di Sempam untuk meningkatkan pengeluaran emas. Stesen ini terletak di tebing Sungai Sempam dan jaraknya antara shaf Bukit Koman ialah lima belas batu. Hak untuk membekalkan elektrik dari Sungai Sempam hingga ke kadar 5,000 volt. diberikan kepada pengurus Syarikat Lombong Emas Australia Raub pada 6 April 1892.24 Air daripada Sungai Sempam dibawa ke stesen janakuasa melalui paip yang diperbuat daripada besi keluli yang panjangnya 5,000 kaki dan aras ketinggian ialah 300 kaki. Tiga enjin yang digerakkan oleh aliran air digunakan untuk menjana pada takat

    20 Amarjit Kaur, 1984. “An Historical Study Of Transport In Malaya”, Muhammad Abu Bakar, Amarjit Kaur dan Abdullah Zakaria

    Ghazali, Historia, Persatuan Sejarah Malaysia: United Selangor Press Sdn. Bhd., hlm. 258.

    21 Zakaria Awang Ali, 1977 “Sejarah Perlombogan di Raub: Satu Kajian Mengenai Sejarah Perkembangan Perlombongan Emas Raub Australia 1892-1961”, Latihan Ilmiah, Sarjana Muda Sastera, Univerti Kebangsaan Malaysia: hlm. 20.

    22 Warnford Lock, Mining in Malaya, hlm.43.

    23 Zakaria Awang Ali, Sejarah Perlombongan di Raub, hlm. 26. Untuk gambaran yang lebih jenis-jenis pekerjaan dan dan kadar upah di

    RAGM, rujuk Golden Raub, hlm. 21-22.

    24 Warnford Lock, Mining in Malaya, hlm. 9.

  • 121

    SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG DENGAN RUJUKAN KHAS SYARIKAT LOMBONG EMAS 5,000 voltan dan dipertingkatkan kepada 10,000 voltan untuk dipindahkan ke lombong. Kuasa eletrik dari stesen janakuasa sempam bukan sahaja dapat menjalankan jentera-jentera lombong tetapi juga menerangi terowong di lombong, rumah-rumah pekerja, kilang dan membekalkan eletrik ke bandar Raub.

    Dengan bekalan modal yang mencukupi, syarikat seterusnya telah mengambil langkah dengan menyediakan kemudahan-kemudahan asas kepada para pekerja bagi mengelakkan timbul rungutan dan tuntutan yang tidak berasas. Antara kemudahan yang disediakan ialah berek tempat tinggal untuk para pekerja lombong, bekalan air, eletrik dan jalanraya yang menghubungkan Bukit Koman dengan bandar Raub. Disediakan juga pengangkutan untuk membawa pekerja ke hospital dan menggalakkan penglibatan pekerja dalam Employee Provi-dence Fund (E.P.F.). Kemudahan-kemudahan ini mewujudkan suasana bekerja yang baik.25 KAEDAH PERLOMBONGAN Kegiatan perlombongan emas di Tanah Melayu dijalankan dengan menggunakan pelbagai kaedah. Antara kaedah yang terkenal ialah melombong di bawah tanah (Lode Mining) yang juga dikenali sebagai lombong shaf. Satu lagi kaedah ialah menggunakan paip air untuk memecahkan tanah yang mengandungi galian. Kaedah ini dikenali sebagai hydraulicing. Pada zaman sekarang, satu jenis perlombongan yang dijalankan secara meluas ialah open cast mining yang menggunakan trak, lori dan tenaga buruh untuk mengangkut tanah yang mengandungi galian emas ke mesin penghancur. Kaedah perlombongan di Syarikat Lombong Emas Australia Raub pula boleh dibahagikan kepada kaedah zaman sebelum dan selepas kedatangan kuasa barat.

    Sebelum kehadiran kuasa barat, kegiatan perlombongan emas di Tanah Melayu dijalankan oleh orang Melayu, orang Asli, orang Minangkabau dan orang Cina. Keempat-empat kaum ini menggunakan kaedah yang agak mundur. Orang Melayu melombong emas dengan menggunakan teknik mendulang. Dulang sesuai digunakan di sungai dan di anak sungai yang airnya tohor. Dengan menggunakan alat ini, bijih emas, ketul-ketul batu kecil, pasir dan lumpur disodok dan kemudian benda-benda ini diayak dalam air. Dengan cara ini bijih emas dapat diasingkan dari material-material lain. Ternyata kaedah orang Melayu amat simpel. Perlu ditegaskan kegiatan perlombongan bagi orang Melayu tidak bermotifkan perniagaan sebaliknya dianggap kerja sambilan sahaja.26

    Di samping itu, sewaktu menjalankan kegiatan perlombongan, orang Melayu berpegang teguh kepada semangat yang dipercayai boleh mengubah kedudukan emas dalam tanah. Mereka juga terikat kepada beberapa pantang larang seperti tidak harus memakai kasut sewaktu melombong, berjudi, berkelahi dan menggunakan payung. Konsep “Biar mati anak jangan mati adat” yang dipegang oleh orang Melayu telah mempengaruhi kuantiti pengeluaran emas.

    Orang Cina juga memainkan peranan yang penting dalam kegiatan perlombongan emas di Pahang. Seperti orang Melayu, orang Cina juga menggunakan kaedah mendulang. Mereka juga terikat kepada sistem adat seperti tidak boleh pakai kasut but atau membuka payung di

    25 1953. Raub Australian Gold Mining Co. Ltd. 1953. Annual Report. Truth and Sportsman Print Ltd.,

    Brisbane: hlm. 11. 26 John Brooke Scrivenor, 1911. The Geology and Mining Industries of Ulu Pahang. Kuala Lumpur:

    Federated Malay States, hlm. 11.

  • 122

    MALAYSIA DARI SEGI SEJARAH kawasan perlombongan yang dipercayai akan menjejaskan pengeluaran atau membawa nasib buruk kepada pengusaha lombong.

    Orang barat yang bertapak di Tanah Melayu mendapati kaedah-kaedah yang digunakan oleh orang Melayu dan Cina amat kuno dan berpendapat mereka tidak mengambil kesempatan merebut hasil yang tersedia di depan mata mereka. Bangsa barat yang menganggap diri mereka lebih superior baik dari segi mental mahupun dari segi teknologi telah menggunakan

    I . Roda Pemusing 6 . Lapisan Batu 2 . Mesin Jana 7. Terowong Pertama 3. Muka Bumi 8 . Baldi 4. Batang Penahan Terowong 9 . Winch/Lif 5. Banjaran Mengandungi Galian l0.Belahan Kayu Balak

    Sumber: 1987. Business World (Majalah Cina), Jilid 40, Kuala Lumpur: Upa Press Sdn. Bhd., hlm. 14.

    Gambar 1: Kaedah Perlombongan Shaf

  • 123

    SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG: DENGAN RUJUKAN KHAS SYARIKAT LOMBONG EMAS tenaga buruh yang minimum dan peralatan lombong yang maksimum dalam menjalankan kegiatan perlombongan. Kaedah perlombongan di lombong emas Raub ialah shaf dan ia melalui beberapa peringkat (lihat gambar 1).

    Pada peringkat pertama iaitu sebelum dimulakan usaha cari-gali emas, para ahli geologi akan menganalisis sampel tanah daripada sesuatu kawasan untuk mengkaji kandungan emas. Seterusnya setelah diselidiki jika didapati kawasan tersebut mempunyai kandungan emas yang banyak, maka mesin-mesin yang asas akan dibawa ke kawasan tersebut. Sebatang rod yang berjejari besar akan ditumbuk ke dalam tanah. Tanah di dalam rod dikorek keluar dan dengan itu terbentuk perigi lombong. Seterusnya dimasukkan winch sejenis alat yang seakan-akan lif. Winch ini digunakan untuk mengangkut pekerja -pekerja lombong, bijih timah, kayu balak dan peralatan lain.

    Biasanya selepas shaf ditebuk sedalam 100 kaki, pekerja akan menggerudi dinding lubang (terowong) untuk melekatkan bahan letupan. Terowong ini ditebuk dalam keadaan mendatar, lebarnya empat kaki dan tingginya enam kaki. Belahan kayu-balak digunakan untuk menongkat terowong daripada runtuh. Serpihan batu yang telah diletupkan akan dimuatkan ke dalam kereta tolak (loko kecil). Serpihan-serpihan batu tersebut seterusnya akan dimuatkan ke dalam baldi dan melalui lubang rod besar ia akan diangkut ke atas permukaan bumi.

    Ketul batu yang diangkut keluar ini akan dibawa ke loji untuk dikisar kepada batu yang sebesar bola tenis. Dalam proses ini batu yang tidak memiliki kandungan emas akan diasingkan. Batu yang dipercayai mengandungi emas dikisar sekali lagi dengan dicampur air sehingga menjadi bubur tanah. Selepas itu proses mengisar dan mencampur air terus dijalankan dalam sebuah mesin yang khas. Bubur tanah yang terhasil dari proses pengisaran akan dialirkan ke dalam sebuah tangki besar untuk manapis air. Seterusnya serbuk zink dicampurkan untuk memisahkan emas dari tanah.

    Ketulan emas akan dihantar ke dalam tangki pelebur. Emas yang cair dituangkan ke dalam acuan. Apabila emas membeku, hablur lain akan timbul di permukaan acuan emas. Hablur-hablur asing ini akan dikisarkan. Pada takat ini bar (bullion) emas sudah terhasil. Bar emas ini masih tidak tulen, ia akan dileburkan sekali lagi dengan ditambahkan gas klorin untuk mengasingkan hablur lain. Selepas itu cecair emas akan dibentuk dalam bentuk bar. Setiap bar berberat 400 auns. Sebagai proses terakhir label loji emas akan dicap pada emas tersebut.27 PENGELUARAN EMAS SYARIKAT LOMBONG EMAS AUSTRALIA, RAUB Dengan langkah-langkah bijak yang diambil oleh R.A.G.M., pengeluaran emas syarikat telah mengalami peningkatan sejak 1900 sehingga 1950-an. Pengeluaran Sebelum Perang Dunia I Kestabilan politik, kemudahan-kemudahan seperti tenaga buruh yang murah, tenaga letrik dan beberapa factor lain telah memungkinkan R.A.G.M. muncul sebagai pengeluar emas yang utama di Pahang sebelum Perang Dunia 1.

    27 1987. Business World (Majalah Cina), Jilid 40, Kuala Lumpur: Upa Press Sdn. Bhd., hlm.14

  • 124

    MALAYSIA DARI SEGI SEJARAH

    Jadual 1 : Pengeluaran Emas R.A.G.M., 1892-I896

    Tahun

    Pengeluaran ( Aun Troy)

    1892 1893 1894 1895 1896

    740 4,886 4,965 4,965 6,713

    Sumber: J.A. Richardson, 1939. The Geology and Mineral Resources of Th e Neighbourhood of Raub Pahang. Geological Survey Department, Federated Malay States. hlm. 89.

    Jadual II: Pengeluaran Emas R.A.G.M., 1898-1914

    Tahun

    Auns Troy

    1898 1899 1900 1901 1902 1903 1904 1905 1906 1907 1908 1909 1910 1911 1912 1913 1914

    11,583 13,758 11,400 13,257 18,658 11,319

    - -

    8,430 10,690 13,844 14,408 14,852 12,138 9,528 11,059 14,236

    Sumber: R.A.G.M. Annual Report, 1898-1914

    Berdasarkan statistik pegeluaran, amat jelas pengeluarau emas bertambah setiap tahun. Kemerosotan dalam pengeluaran dalam tahun-tahun tertentu seperti pada 1900, 1903, 1906, 1911 dan 1913 hanya sementara dan tidak besar dari segi kuantiti.

    Pengeluaran Sebelum Perang Dunia II (1915 - 1939)

    Perang Dunia 1 (1914-1939), tidak meninggalkan sebarang kesan yang besar keatas R.A.G.M., lombong-lombong emas Raub tetap beroperasi dan terus mengeluarkan hasil. Antara 1915- 1941, hasil pengeluaran bertambah, pengambilan buruh juga terus meningkat dan kedalaman kawasan yang dilombong juga terus diperdalami apabila gred galian yang diperolehi didapati berkualiti rendah. Pada zaman sebelum pendudukan Jepun, Tanah Melayu telah melalui dua zaman meleset dunia (Great Depression) 1929- 1930.

  • 125

    SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS D1 PAHANG: DENGAN KHAS SYARIKAT LOMBONC EMAS

    Zaman meleset (192l-1929) telah menyebabkan harga makanan utama melambung naik dan ia telah memaksa syarikat menaikkan upah pekerja. Dalam masa yang sama syarikat juga terpaksa menanggung kos pengeluaran yang tinggi. Untuk mengurangkan kos pengeluaran, syarikat telah mengambil langkah mengurangkan buruh dan peralatan lombong.28 Tindakan syarikat telah menyebabkan kejatuhan dalam pengeluaran. Kejatuhan ini tidak berpanjangan, sebaliknya cuma dirasai pada tahun-tahun tertentu. Sebagai contoh, pengeluaran berjumlah 16,030 auns troy pada tahun 1922 telah jatuh kepada 11,000 auns troy pada tahun 1928. Pada tahun-tahun sebelum dan selepasnya tidak banyak perbezaan dari segi kuantiti pengeluaran. Tegasnya sektor perlombongan tidak menerima impak yang serius seperti yang dialami oleh sektor pertanian.

    Sektor perlombongan emas juga di pengaruhi oleh zaman meleset dunia yang melanda antara 1929-1930. Harga getah mula merosot dan ia memaksa Tanah Melayu menyertai negara-negara pengeluar getah dunia dan mengadakan sistem kuota pada 1931.29 Pada tahun yang sama juga diperkenalkan rancangan sekatan bijih timah. Rancangan ini telah memaksa syarikat-syarikat lombong mengurangkan pengeluaran bijih dan mengurangkan pekerja.30

    Sektor perlombongan emas tidak menerima kesan seburuk seperti yang dialami oleh sektor pertanian dan perlombongan bijih timah. Sebaliknya pengeluaran emas di R.A.G.M. terus meningkat antara 1929-1939. Pada 1930, jumlah pengeluaran ialah 23,363 auns troy,

    Jadual III: Pengeluaran Emas R.A.G.M., 1915-1939

    Tahun

    Auns Troy

    1915 1916 1917 1918 1919 1920 1921 1922 1928 1930 1931 1934 1935 1936 1937 1938 1939

    15,470 16,239 I5,114 17,118 17,438 14,099 11,264 16,030 11,466 23,362 23,911 26,677 20,858 21,581 24,546 20,368 26,392

    Sumber: R.A.G.M. Annual Report. 1915-1939.

    28 1921, The Raub Australia Gold Mining Co. Ltd., The General Managers Annual Report, Jordan and

    Goth (Australia): hlm. 1. 29 Cant, “A Historical Geography of Pahang”, hlm. 111. 30 Ibid., hlm. 123.

  • 126

    MALAYSIA DARI SEGI SEJARAH tetapi ia meningkat kepada 26,392 auns troy pada 1939. Peningkatan yang berterusan pada tahun-tahun yang berikutnya disebabkan oleh tindakan Britain yang memansuhkan stan-dard emas.31 Pengeluaran Zaman Jepun Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 dan berlanjutan hingga 1945. Zaman ini meninggalkan kesan kepada pengeluaran emas di R.A.G.M. Menurut laporan R.A.G.M., “This mine (R.A. G.M.) sufiered seriously as a result of the war and being an under ground mine is unlikely to start productions for many months”.32

    Berdasarkan kajian, tidak ada laporan statistik tentang pengeluaran syarikat antara 1942. 49. Satu-satunya sumber yang membekalkan maklumat tentang pengeluaran emas Pahang antara 1940-45 ialah Buletin of Statistics Relating to The Mining Industry, Jilid. 14, Disember 1946. Ternyata pada tahap ini pengeluaran emas telah jatuh dengan teruk.

    Cant pula menegaskan pengeluaran emas di R.A.G.M. tidak pernah merosot daripada kadar 85%. Jika menerima kenyataan beliau ia bererti tiga perempat daripada hasil emas Pahang antara tempoh 1940-45 adalah dari Raub. Walaupun Raub mengungguli daerah-daerah lain di Pahang, pengeluarannya pada zaman Jepun memang telah merosot. Kemerosotan ini ekoran tindakan Jepun mengambil ramai pekerja di Pahang membina landasan keretapi di Siam.33 Ini menyebabkan lombong-lombong menghadapi masalah kekurangan bekalan makanan. Semua ini menyebabkan kos buruh menjadi tinggi.

    Walaupun tempoh pendudukan Jepun di Tanah Melayu amat singkat, tetapi beberapa kesan sejarah yang memperingati kehadiran mereka masih dapat dikesan di Bukit Koman, Raub. Antaranya terowong pengelak serangan Jepun. Ia berketinggian enam kaki, lima kaki lebar dan seratus kaki panjang. Terowong ini dibina oleh syarikat sebelum kemaraan Jepun untuk menyelamatkan diri bila dibedil oleh kapalterbang Jepun dan untuk menempatkan makanan dan ubat-ubatan.

    Jadual IV: Pengeluaran Emas Pahang, 1940-1945

    Tahun

    Pengeluaran (Auns Troy)

    Nilai (RM)

    1940 1941 1942 1943 1944 1945

    35,689 24,804 1,024 2,113 1,212 2,702

    2,457,045 2,191,805 1,494,203 - - -

    Sumber: 1946 Bulletin of Statistics Relating to The Mining Industry. Jilid 14, Disember; Kuala Lumpur: Federated Malay States Press, hlm. 15.

    31 Ibid. 32 1946. Bullelin of Statistics Relating to The Mining Industry Jilid 14, Disember; Kuala Lumpur: Fede-

    rated Malay States Government Press: hlm. 16. 33 Ibid., hlm.22

  • 127

    SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG: DENGAN RUJUKAN KHAS SYARIKAT LOMBONG EMAS Pengeluaran Zaman Selepas Pendudukan Jepun (1945-1961) Zaman selepas pendudukan Jepun telah membuka peluang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menjalankan aktiviti menentang kerajaan British secara perang gerila. Pada Jun 1948, PKM telah melancarkan pemberontakan bersenjata dengan tujuan untuk rnengambilalih kuasa di Tanah Melayu. Kegiatan Parti Komunis Malaya yang serius menyebabkan kerajaan terpaksa mengistiharkan Darurat pada 1948.

    Suasana politik zaman berkenaan telah mempengaruhi ekonomi negara. Di R.A.G.M., langkah-langkah keselamatan telah diperketatkan. Walaupun ancaman komunis serius di Raub, tetapi R.A.G.M. tetap mengeluarkan emas dan pengeluarannya merosot antara 1950-1960. Kejatuhan ini berpunca daripada beberapa faktor, antaranya ancaman komunis yang bukan sahaja telah mengurangkan tenaga buruh tetapi juga telah memaksa syarikat me-ningkatkan peruntukan perbelanjaan untuk keselamatan.

    Pada 1958, satu kemalangan berlaku di lombong Derrick yang meragut dua belas nyawa. Insiden ini telah menjejas tenaga buruh syarikat dan merosotkan lagi bilangan tenaga buruh.33 Pada 1957, syarikat mempunyai tenaga buruh seramai 615 orang tetapi ia merosot pada 1958 apabila ia hanya mempunyai 267 orang pekerja.34 Tindakan mogok berterusan yang dilancarkan oleh pekerja telah lebih memalapkan masa depan syarikat. Jika dibandingkan jumlah pengeluaran syarikat pada tahun I950-an dengan 30 dan 1940-an, ternyata terdapat perbezaan yang besar. Pada dekad 30 dan 40-an, pengeluaran R.A.G.M. melebihi nilai 20 ribu auns troy. Pada tahun 1950-an, syarikat tidak berjaya mencapai angka dua puluh ribu, walaupun pengeluarannya stabil dalam jangka masa tersebut.

    Berdasarkan statistik pengeluaran emas R.A.G.M. antara ketiga-tiga tahap (zaman sebelum perang, perang dan selepas perang), dapatlah disimpulkan bahawa R.A.G.M. telah melalui zaman kegemilangan pada tahap awal tetapi pada dekad 1950-an ia telah menghadapi pelbagai masalah yang akhirnya memaksa syarikat menutup lombong secara rasmi pada 19 Disember 1961.

    Jadual V: Pengeluaran Emas R.A.G.M., 1950-1960

    Tahun

    Auns Troy

    1952 1953 1954 1956 1957 1958 1959 1960

    12,922 17,226 15,617 17,432 12,973 10,435 19,800 17,821

    Sumber: R.A.G.M. Annual Report, 1950-1960.

    33 Ibid., hlm. 22 34 1957. Raub Australia Gold Mining Co. Ltd., Annual Report. Truth and Sportsman Print Ltd.,

    Brisbane: hlm. 13.

  • 128

    MALAYSIA DARI SEGI SEJARAH PENUTUPAN SYARIKAT LOMBONG EMAS AUSTRALIA RAUB Syarikat Lombong Emas Australia yang berkembang pesat antara 1900 hingga 1950-an telah mengalami kemerosotan menjelang akhir tahun 1950-an. Kemerosotan ini disebabkan oleh pelbagai faktor dan akhirnya syarikat terpaksa ditutup secara rasmi pada 1961.

    Ancaman komunis yang serius pada tahun 1940-an telah memaksa kerajaan British mengistiharkan Darurat pada 1948 dan ia meninggalkan kesan yang negatif kepada perkembangan syarikat. Ini tidak menghairankan kerana daerah Raub memang terkenal sebagai sarang komunis. Ini memaksa syarikat meningkatkan langkah-langkah keselamatan untuk mengawal aktiviti perlombongan.

    Mulai tahun 1950, R.A.G.M. telah menambahkan peruntukan bagi keselamatan dan memasang lebih banyak lampu di kawasan lombong. Berek-berek polis khas juga dibina pada waktu ini. Perbelanjaan keselamatan bagi tahun 1950 ialah 5,652.49 ringgit tetapi ia bertambah kepada 209,487,97 ringgit pada 1953.35 Ini dengan sendirinya membayangkan betapa seriusnya ancaman komunis di Raub.

    Pembunuhan Sir Henry Gurney di Bukit Frazer oleh sekumpulan pengganas yang beroperasi di daerah Raub telah memaksa kerajaan British mempergiatkan lagi langkah-langkah keselamatan. Penduduk Cina di Tras yang dipercayai telah teriibat dalam pembunuhan Henry Gurney telah dipindahkan dengan serta-merta ke penempatan-penempatan baru di Ipoh. Tindakan Bristish ini menimbulkan masalah kekurangan tenaga bumh di lombong.36 Ancaman Komunis juga menimbulkan kebimbangan kepada pekerja untuk bekerja di lombong-lombong yang berlokasi di kawasan pedalaman. Kerja-kerja penebangan kayu balak di hutan yang diperlukan untuk dijadikan penahan terowong dalam lombong terpaksa dihentikan kerana pekerja takut mereka akan diserang oleh pengganas. Secara keseluruhan ancaman Komunis di Malaya dan khususnya di Raub telah menandakan permulaan zaman kemerosotan Syarikat Lombong Emas Australia Raub.

    Di samping ancaman Komunis dan Darurat, kerosakan Stesen Janakuasa Elektrik Sempam dan Bukit Koman turut menyumbang kepada kemerosotan R.A.G.M. Stesen Hidro Elektrik Sempam dan Bukit Koman menjadi sumber bekalan elektrik utama bagi R.A.G.M. Bekalan elektrik ini bukan sahaja digunakan untuk melicinkan kegiatan perlombongan tetapi juga untuk menerangi bandar Raub dengan pembekalan elektrik di sebelah malam hingga enam pagi.37 Pada tahun 1950, Stesen Eletrik Sempam membekalkan tenaga eletrik sebanyak 3,452.154 unit dan Bukit Koman pula sebanyak 852,510 unit.38 Pengeluaran ini merosot pada 1958, apabila Bukit Koman cuma dapat menghasilkan 2,695,202 unit. Kejatuhan yang drastik ini adalah berpunca dari kerosakan teruk yang dialami ekoran serangan pengganas komunis ke atas stesen ini pada penghujung tahun 1957.

    Satu lagi faktor yang menyebabkan penutupan syarikat ialah peristiwa kemalangan perusahaan yang berlaku di seksen Derrick pada 10 Mei 1958 yang telah meragut dua belas

    35 1953. Raub Australian Gold Mining Co. Ltd., Annual Report. Truth and Sportsman Print Ltd. Brisbane:

    hlm. 12. 36 1952. Raub Australian Gold Mining Co. Ltd., Annual Report, Craftman Press Ltd. Brisbane: hlm. 16. 37 1953. Raub Australian Gold Mining Co. Ltd., Annual Report. Truth and Sportsman Print Ltd. Brisbane:

    hlm. 11. 38 1953. Raub Australian Gold Mining Co. Ltd., Annual Report. Truth and Sportsman Print Ltd. Brisbane:

    hlm. 7.

  • 129

    SEJARAH PERLOMBONGAN EMAS DI PAHANG, DENGAN RUJUKAN KHAS SYARIKAT LOMBONG EMAS nyawa.39 Kejadian ini berlaku semasa para pekerja menebuk terowong lama yang dipenuhi air. Air dari terowong ini membanjiri terowong baru dan menyebabkan pekerja-pekerja yang bekerja di lombong ini mati lemas. Insiden ini berlaku kerana pelan-pelan lombong bawah tanah dimusnahkan oleh tentera Jepun semasa mereka menguasai lombong ini. Ini menye-babkan pelombong tidak dapat memastikan terowong yang sudah dan belum ditebuk.40

    Usaha-usaha untuk mengeluarkan air dari lombong memakan masa selama lapan minggu dan hanya empat bulan selepas kejadian, mayat mangsa-mangsa yang terlibat dapat dikesan. Kejadian ini meninggalkan kesan yang amat buruk, pekerja mula merasa bimbang untuk menjalankan kerja lombong shaf. Syarikat juga mula merasa ragu-ragu untuk meneruskan kerja bawah tanah kerana takut kemalangan seperti ini akan berulang lagi.

    Faktor yang mempercepatkan penutupan syarikat ialah tindakan mogok yang dilancarkan oleh pekerja pada 1956. Tindakan para pekeja dipengaruhi oleh sekumpulan pekerja lombong bijih Ipoh yang datang ke Syarikat Lombong Emas Raub dan mempengaruhi pekerja menuntut beberapa kemudahan. Antara kemudahan yang dituntut ialah gaji yang tinggi, bonus dan kemudahan-kemudahan lain. Pada tahun 1956, Kesatuan Sekerja didaftarkan secara rasmi dan diketuai oleh seorang pekerja India.41 Antara tahun 1952-1957, syarikat terpaksa menanggung kos pengeluaran yang tinggi kerana ancaman komunis. Untuk menampung kos, syarikat terpaksa mengurangkan upah dan tindakan ini menyebabkan ramai pekerja syarikat berhenti dan mencari pekerjaan lain. Kejatuhan dalam tenaga buruh begitu ketara antara tahun 1953-1958. Syarikat yang mempunyai buruh seramai 808 orangpada 1953, terpaksa beroperasi dengan hanya scramai 267 orang pada 1958.

    Pekerja-pekerja yang masih bekerja di syarikat tetap mahu melancarkan mogok. Tuntutan-tuntutan kesatuan tidak dapat dipenuhi oleh syarikat atas alasan gaji yang diberikan oleh syarikat melebihi dari gaji yang diterima di jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Elektrik dan jabatan-jabatan lain. Tambahan pula kebanyakan pekerja diberi pelbagai kemudahan seperti tempat tinggal dan di samping itu sesiapa sahaja yang ingin bekerja diberi pekerjaan tanpa memperhitungkan usia mereka walaupun sudah menjangkau 55 tahun ke atas. Satu-satunya syarat yang ditetapkan lalah mereka yang memohon pekerjaan mesti sihat.

    Syarikat juga memberi alasan mereka terpaksa menambah peruntukan untak keselamatan dari 39,176.61 ringgit pada 1955 kepada 44,164.15 ringgit pada 1956. Di samping itu mereka juga terpaksa menempatkan lebih ramai pasukan polis di kawasan-kawasan lombong untuk mengelakkan berlaku kekacauan dari pengganas. Walaupun pelbagai alasan diberikan oleh syarikat, pekerja tidak berganjak dari tuntutan mereka dan mereka tetap melancarkan mogok pada 1957. Pada tahun-tahun pemogokan, nilai pengeluaran jatuh dari 17,432.45 ringgit pada 1956 kepada 10,435.59 ringgitpada 1958.42 Mogok ini menyebabkan kerja-kerja perlombongan terhenti dan shaf dipenuhi air bila tiada pekerja ditugaskan menjaga pam. Air yang memenuhi terowong menyebabkan syarikat terpaksa menanggung kerugian besar. Para pekerja

    39 Zakaria Awang Ali, “Sejarah Perlombongan di Raub”, hlm. 112 40 Ibid. 41 1957. Raub Australian Gold Mining Co. Ltd., Annual Report, Truth and Sportsman Print Ltd.,

    Brisbane: hlm. 15. 42 1958. Raub Australian Gold Mining Co. Ltd., Annual Report, Truth and Sportsman Print Ltd., Brisbane:

    hlm. 17.

  • 130

    MALAYSIA DARI SEGI SEJARAH beranggapan syarikat akan memenuhi tuntutan mereka tetapi syarikat menyedari jika kerja pemulihan dijalankan, ia akan memakan kos yang tinggi dan kos ita bersamaan dengan membuka lombong baru. Akhimya ketetapan diambil untuk menutup syarikat secara rasmi pada 19 Disember 1961. RUMUSAN Berdasarkan perbincangan di atas nyatalah Syarikat Lombong Emas Australia Raub telah melalui zaman kegemilangan dan kemunduran antara tahun 1892-1960. Zaman kemunduran bermula dari pertapakan Jepun dan mulai detik itu syarikat dilanda pelbagai masalah. Kegagalan untuk mengatasi masalah-masalah ini akhirnya membawa kepada penutupan syarikat secara rasmi pada 19 Disember 1961. Tindakan mogok merupakan faktor semerta yang mempercepatkan penutupan lombong.