refleksi bina insan guru fasa 6.docx

7
REFLEKSI BINA INSAN GURU FASA 6 NAMA : NURLIANA BINTI MAHDOM NO. MATRIKS : 0610 / 1817 Alhamdulillah, syukur tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan masa dan ruang bagi saya dan rakan- rakan untuk melaksanakan program wajib kami, iaitu Program Bina Insan Guru (BIG) Fasa 6. Sesungguhnya program ini benar-benar memberikan saya 1001 pengetahuan dan pengalaman baru. Proses pembinaan insan guru terbina berlandaskan kepada aspek kesedaran bahawa profesion perguruan adalah mulia. Insan guru dilihat sebagai golongan yang dapat membina generasi yang cemerlang di samping menjadi role model kepada masyarakat. Justeru itu, guru memerlukan kekuatan dan kemantapan dalam diri mereka dari semua aspek sama ada jasmani, emosi, rohani atau intelek. Sebagai insan yang bergelar guru juga adalah suatu kewajipan untuk menampilkan peribadi dan jati diri yang baik di samping meningkatkan kualiti dan keterampilan diri. Oleh itu, pengisian-pengisian positif, penerapan nilai-nilai murni dan pengalamannya juga perlu dalam diri guru agar ia menjadi contoh dan ikutan kepada anak didik khususnya dan masyarakat amnya dalam mengharungi cabaran di era globalisasi.

Upload: elyn

Post on 02-Oct-2015

122 views

Category:

Documents


13 download

DESCRIPTION

BIG Fasa 6

TRANSCRIPT

REFLEKSI BINA INSAN GURU FASA 6NAMA: NURLIANA BINTI MAHDOMNO. MATRIKS: 0610 / 1817

Alhamdulillah, syukur tidak terhingga ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan masa dan ruang bagi saya dan rakan-rakan untuk melaksanakan program wajib kami, iaitu Program Bina Insan Guru (BIG) Fasa 6. Sesungguhnya program ini benar-benar memberikan saya 1001 pengetahuan dan pengalaman baru.

Proses pembinaan insan guru terbina berlandaskan kepada aspek kesedaran bahawa profesion perguruan adalah mulia. Insan guru dilihat sebagai golongan yang dapat membina generasi yang cemerlang di samping menjadi role model kepada masyarakat. Justeru itu, guru memerlukan kekuatan dan kemantapan dalam diri mereka dari semua aspek sama ada jasmani, emosi, rohani atau intelek. Sebagai insan yang bergelar guru juga adalah suatu kewajipan untuk menampilkan peribadi dan jati diri yang baik di samping meningkatkan kualiti dan keterampilan diri. Oleh itu, pengisian-pengisian positif, penerapan nilai-nilai murni dan pengalamannya juga perlu dalam diri guru agar ia menjadi contoh dan ikutan kepada anak didik khususnya dan masyarakat amnya dalam mengharungi cabaran di era globalisasi.

Bagi semester 6, kami perlu memenuhi proforma kursus iaitu melaksanakan Lawatan Penanda Aras (Benchmarking) bagi guru cemerlang Matematik. Setelah melantik ahli-ahli jawatankuasa dan berbincang bersama rakan sekelas yang lain, kami bersetuju untuk membuat lawatan di SK Guar Jentik. Hal ini kerana di sekolah ini terdapat seorang guru cemerlang Matematik iaitu En. Musra Bin Mat Saman.

Lawatan kami dijadualkan pada hari Khamis bersamaan dengan 2 Oktober 2014. Kami bertolak ke SK Guar Jentik pada sekitar jam 7.30 pagi dan tiba di sana pada jam 8.15 pagi. Setibanya kami di sana, kami disambut oleh dua orang guru dari sekolah tersebut. Kemudian kami dibawa ke bilik mesyuarat sekolah bagi mendengar taklimat dan sesi bersama guru cemerlang Matematik SK Guar Jentik sepanjang hari tersebut.

Bagi sesi pertama iaitu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), En. Musra telah memberi penerangan dan tayang slaid powerpoint mengenai pelaksanaan KBAT dalam kurikulum Matematik. KBAT ini telah dilaksanakan mulai tahun ini bagi murid Tahun 4. Menurut En. Musra, pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik mempunyai pelbagai aspek yang perlu sentiasa diambil kira dan dititikberatkan oleh para guru. Apatah lagi dengan kehendak dan keperluan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar PdP yang dilaksanakan lebih menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Murid perlu didedahkan dengan bentuk-bentuk soalan Matematik yang lebih mencapah pemikiran mereka. Mereka seharusnya mampu berfikir secara luar biasa (thinking out of the box) dalam menyelesaikan apa jua soalan Matematik. Bagi setiap soalan pula, kemahiran atau operasi yang terlibat bukanlah tambah, tolak, darab dan bahagi semata-mata sebaliknya melibatkan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang perlu diaplikasikan oleh murid.

Menurut Benjamin Bloom (1981), terdapat enam aras yang boleh digunakan untuk meningkatkan pembelajaran iaitu aras pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Mahani Razali pula menulis dalam bukunya Psikologi Pendidikan bahawa guru boleh membentuk soalan mengikut Taksonomi Bloom iaitu soalan dibina mengikut aras kesukaran iaitu daripada aras kesukaran rendah kepada aras kesukaran tinggi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa teori Taksonomi Bloom sememangnya mempunyai perkaitan dengan KBAT yang dinyatakan oleh KPM kepada semua warga pendidik agar dapat meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa.Penekanan terhadap aspek KBAT yang berteraskan penyelesaian masalah matematik berbentuk perkataan juga dimasukkan ke dalam standard pembelajaran Matematik. Oleh itu, penyelesaian masalah berbentuk perkataan adalah salah satu teras yang membantu pencapaian fokus dan matlamat kurikulum Matematik sekolah rendah. Penyelesaian masalah bukanlah satu topik pengajaran yang berasingan tetapi satu proses yang meliputi seluruh sesi pengajaran. Penyelesaian masalah juga merupakan satu bidang matematik yang tersendiri dan istimewa kerana lebih berkait rapat dengan situasi dan pengalaman harian serta memerlukan murid mengaplikasikan segala pengetahuan dan kefahaman mereka untuk mendapatkan penyelesaian.

En. Musra juga telah memberikan beberapa jenis lembaran soalan kepada kami untuk dijawab. Lembaran-lembaran tersebut memfokuskan kepada soalan matematik berbentuk KBAT. Sedikit sebanyak kami diberi penekanan tentang bagaimana untuk membina soalan KBAT dan menerapkan kemahiran ini dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik di sekolah rendah. Dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang lalu, terdapat satu soalan KBAT dan kami telah diberi peluang untuk menjawab soalan tersebut.

Kemudian, program kami diteruskan lagi dengan sesi kedua bertajuk Strategi Mengajar Abad Ke 21. En. Musra telah memberikan penerangan panjang lebar mengenai teknik dan kaedah pengajaran yang lebih sesuai dan selari dengan peredaran zaman masa kini. Antaranya adalah mengenai pengurusan papan tulis Bansho. Sesebuah papan tulis seharusnya memaparkan segala maklumat atau input yang dipelajari pada hari tersebut dan membolehkan murid merujuk sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan. Guru perlu mengurangkan kaedah tulis dan padam kerana murid mudah lupa apa yang dipelajari. Oleh itu, melalui pengurusan papan tulis Bansho, murid mudah untuk merujuk pembelajaran seterusnya mengingati input-input dengan lebih mudah lagi.

Selain itu, terdapat juga strategi mengajar matematik menggunakan rekenrek. Rekenrek merupakan satu alat yang ringkas tetapi dapat membina kemahiran berfikir dan merangsang pemahaman Matematik. Penggunaan rekenrek ini adalah berdasarkan kefahaman dan kepakaran menambah dan menolak nombor berdasarkan sistem asas sepuluh. Rekenrek juga boleh digunakan bagi operasi darab dan bahagi yang asas dan mudah.

Sesi ketiga adalah sesi terakhir bertajuk Inovasi Pedagogi dan Amalan PdP Guru Cemerlang. En. Musra telah memperkenalkan kaedah Bijak Sifir, iaitu membina sifir 6, 7, 8 dan 9 dengan menambah daripada sifir sebelumnya. Selain itu, kaedah Sifir Garis juga diperkenalkan bagi memudahkan murid membuat bahagi. Berdasarkan penerangan berserta contoh-contoh soalan yang telah diberi, sememangnya kaedah sifir yang digunakan amat menggalakkan murid untuk menyelesaikan soalan matematik tanpa melakukan kesilapan.

Majlis penutup dimulakan sekitar jam 12.00 tengahari. Wakil kumpulan lawatan kami telah menyampaikan sedikit cenderahati kepada En. Musra sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas kesudian mereka menerima kunjungan kami. Harapan saya semoga dengan laksananya lawatan penanda aras ini, saya dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai pengurusan dan pentadbiran sekolah, kurikulum dan kokurikulum sekolah serta perkara lain yang berkaitan dengan dunia pendidikan. Semoga segala ilmu dapat saya aplikasikan pada masa hadapan kelak.