prosedur dan tempoh masa perbicaraan kes permohonan...
TRANSCRIPT
454
Prosedur Dan Tempoh Masa Perbicaraan Kes Permohonan Kebenaran Poligami Di
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor
Ana Faiza Md Nor & Zuliza Mohd Kusrin
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Rungutan sebahagian pelanggan di Mahkamah Syariah menyatakan bahawa permohonan
kebenaran untuk berpoligami dikatakan lambat dan rigid. Hal ini menyebabkan sebahagian
pasangan bernikah di sempadan walaupun telah wujud peruntukan undang-undang di setiap
negeri-negeri di Malaysia berkenaan prosedur yang perlu dipatuhi untuk berpoligami. Justeru
itu, matlamat kertas kerja ini ialah menganalisis prosedur dan tempoh masa permohonan
kebenaran poligami di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. Objektif perbincangan juga
mengenalpasti kesesuaian faktor keterangan yang perlu diambil bagi perbicaraan kes
permohonan kebenaran poligami di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. Metodologi kajian
adalah secara analisis dokumen dengan merujuk kepada peruntukan undang-undang dan kes-
kes yang berkaitan. Data-data yang diperolehi dianalisis secara diskriptif dan disusun secara
tematik. Hasil penulisan kertas kerja ini mendapati terdapat prosedur permohonan khusus yang
perlu dipatuhi dalam permohonan kebenaran poligami di mahkamah. Justeru tempoh masa
perbicaraan kes permohonan poligami adalah relevan dan bersesuaian dengan faktor
keterangan yang perlu diambil bagi perbicaraan sesuatu kes tersebut. Adalah tidak adil
sekiranya tempoh masa yang panjang tersebut disandarkan kepada masalah birokrasi kerana
kajian mendapati ianya berlaku kerana mengikut prosedur permohonan yang berpandukan
peruntukan undang-undang berkaitan, bertujuan memberi keadilan pada isteri dan juga bakal
isteri. Tempoh perbicaraan tersebut juga tertakluk kepada faktor keizinan isteri, keupayaan
suami memenuhi syarat ‘patut atau perlu’ untuk berpoligami, kegagalan Plaintif dan Defendan
hadir pada tarikh perbicaraan ditetapkan dan permohonan tersebut dicabar di mahkamah.
Kata kunci: poligami, kebenaran, mahkamah Syariah, keizinan, keupayaan.
Pengenalan
Institusi keluarga merupakan suatu tahap yang penting dalam pembentukan masyarakat dan
negara yang terlaksana melalui proses perkahwinan yang membentuk rumahtangga.
Sebagaimana masyarakat yang besar memerlukan penyusunan yang rapi, begitulah juga
masyarakat rumahtangga memerlukan juga penyusunan. Rumahtangga dibentuk menerusi
perkahwinan yang bertujuan menjalinkan ikatan teguh antara lelaki dan perempuan melalui
akad yang sah. Mendirikan rumahtangga dalam Islam bukan urusan individu seperti yang
difahami dalam kehidupan bangsa lain terutama bangsa Barat. Ini kerana rumahtangga dalam
Islam merupakan bahagian penting dalam masyarakat. Justeru proses pembentukan
rumahtangga perlu akur dengan Sistem Undang-Undang Keluarga Islam sesebuah negara, bagi
menjamin syariat dan maslahah pembentukan keluarga tercapai.
Begitu jugalah dengan poligami yang berasaskan sebuah perkahwinan di antara lelaki yang
telahpun mempunyai isteri atau isteri-isteri dengan seorang wanita yang lain pula. Isu poligami
dilihat sebagai isu yang sering menimbulkan tanggapan negatif bagi sesetengah pihak di
455
Malaysia terutamanya bagi kaum wanita. Ini kerana, mereka enggan berkongsi kasih dan
dimadukan dengan memberi berbagai-bagai sebab dan alasan. Pensyariatan poligami dalam
Islam adalah berdasarkan al-Quran, ayat 3 Surah al-Nisa’, maksudnya;
“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu
berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari
perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan
berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau
(pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat
(untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
Ayat di atas diturunkan selepas berlakunya Perang Uhud yang telah mengorbankan banyak
orang Islam dan menyebabkan isteri mereka menjadi janda serta anak-anak mereka kehilangan
kasih sayang seorang bapa. Ini menunjukkan bahawa poligami disyariatkan untuk memenuhi
keperluan-keperluan individu dalam masyarakat dan sebagai jalan penyelesaian masalah
masyarakat dalam keadaan-keadaan tertentu. Ayat ini juga menunjukkan bahawa hukum
poligami adalah harus jika tidak mendatangkan kemudaratan dan penganiayaan ke atas isteri
yang dikahwini. Sekiranya suami tidak dapat berlaku adil dan memudaratkan isteri, memadai
untuk suami beristeri hanya seorang sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa keharusan
berpoligami dalam Islam adalah berkait rapat dengan keadilan serta kemampuan pihak suami
membimbing isteri-isteri jika berpoligami.
Walau bagaimanapun, dewasa ini dalam isu poligami, sebahagian masyarakat lebih melihat
kepada perkahwinan sebagai satu yang menyeronokkan tanpa mengambil berat hakikat
perkahwinan yang mengikat suami isteri kepada tugas dan tanggungjawab tertentu. Merujuk
kepada ayat di atas dengan jelas menerangkan bahawa poligami lebih dilihat kepada satu
tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap balu dan anak-anak yatim.
(Mohd Syarifuddin Sajimin 2006 )
Sejajar dengan pensyariatan keharusan perkahwinan poligami, terdapat peruntukan-peruntukan
khusus dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri berkenaan permohonan
untuk berpoligami, bagi memastikan poligami yang dilaksanakan tidak bertentangan dengan
prinsip keadilan dan tidak menyebabkan hak wanita diabaikan. Namun demikian, sikap
sesetengah suami yang berpoligami tanpa mengikut saluran perundangan menyebabkan isu
perkahwinan poligami banyak dikaitkan dengan perkahwinan diluar Malaysia atau di
sempadan. Mohd Nasran Mohamad et. al. (2008) dalam kajiannya mendapati faktor poligami
merupakan faktor kedua terbanyak dan antara isu mengapa responden melakukan pernikahan
tanpa kebenaran di luar negara, iaitu Yala Thailand. Hasil kajian ini juga sama dengan kajian
Hamidah Harun (2013) yang bertajuk “ Perkahwinan Tanpa Kebenaran Di Mahkamah Syariah
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur”.Di dalam kajian ini penulis mendapati bahawa faktor
untuk berpoligami merupakan antara faktor utama yang menyebabkan pasangan terlibat
dengan Kahwin Lari yang dilangsungkan sama ada melalui sindikit dalam negara mahupun di
negara luar seperti di sempadan Thailand.
Berdasarkan statistik permohonan kebenaran poligami dan permohonan mendaftarkan
pernikahan poligami bagi 5 tahun dari tahun 2009 sehingga tahun 2013 di Jabatan
Kehakiman Syariah Selangor jelas menunjukkan bahawa pendaftaran nikah poligami lebih
tinggi dari permohonan kebenaran poligami pada tahun 2011 sehingga 2013. Berdasarkan
Jadual 1, seperti dibawah menyatakan pada tahun 2009 permohonan kebenaran poligami
sebanyak 118 kes sahaja dan meningkat sebanyak 155 kes pada tahun 2010. Manakala
456
permohonan daftar nikah poligami pula sebanyak 102 kes pada tahun 2009 dan meningkat
sedikit sebanyak 124 kes pada tahun 2010. Namun permohonan kebenaran poligami masih
lebih tinggi berbanding permohonan daftar poligami pada tahun 2009 dan tahun 2010. Tetapi
wujud perbezaan statistik mulai tahun 2011 sehingga tahun 2013. Pendaftaran permohonan
kebenaran poligami lebih rendah dari permohonan mendaftar poligami iaitu pada tahun 2011
permohonan kebenaran poligami sebanyak 163 kes. Manakala permohonan daftar nikah
poligami sebanyak 406 kes.
Begitu juga tahun 2012 permohonan kebenaran poligami sebanyak 212 kes. Manakala
permohonan daftar nikah poligami sebanyak 375 kes. Tahun 2013 juga mencatat jumlah kes
yang tertinggi sepanjang 5 tahun statistik ini, yang mana permohonan daftar nikah poligami
sebanyak 413 kes. Manakala permohonan kebenaran poligami hanya sebanyak 202 kes sahaja.
Ini menunjukan ramai dikalangan suami-suami rakyat Malaysia lebih selesa pernikahan dibuat
diluar dan kembali ke Malaysia hanya untuk mendaftarkan sahaja atas alasan permohonan
mengambil masa yang panjang selain wujud masalah birokrasi di mahkamah.
Jadual 1: Jumlah Pendaftaran Kes Sekyen 23(1) EUUKIS & Sekyen 23(2)
EUUKIS
Di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor
Sumber: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
Selain daripada perkaitan poligami dengan perkahwinan tanpa kebenaran dan dilangsungkan
di luar negara, kajian Raihanah Haji Abdullah (2009) dengan tajuk Penangguhan Kes Di
Mahkamah Syariah Cabaran Dan Penyelesaian. Analisa beliau untuk keseluruhan kes yang
ada di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia. Hasil kajiannya menjelaskan bahawa kelewatan
dalam menyelesaikan kes permohonan poligami lazimnya jarang berlaku jika isteri bersetuju
dengan permohonan suaminya untuk berpoligami. Dalam situasi sedemikian kes permohonan
poligami dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat kerana lazimnya isteri bersetuju
dengan permohonan suaminya untuk berpoligami atau sekiranya isteri tidak bersetuju, suami
akan berkahwin di tempat yang lain kerana suami tidak mahu memanjangkan prosiding
tersebut.
Seterusnya kajian oleh Amir Husin Md Nor dan Siti Safwati Binti Mohd Shari (2003), di
Mahkamah Syariah Muar mendapati bahawa faktor pernikahan tanpa izin berlaku adalah
kerana poligami yang mendapat tentangan dari isteri pertama atau isteri sedia ada dan
mengelak dari diketahui oleh pihak tertentu seperti majikan, keluarga, pihak berkuasa agama
tempatan dan prosedur yang menyukarkan.
TAHUN 2009 2010 2011 2012 2013
SEK. 23(1) ( Mohon
Kebenaran
Poligami )
118
155
163
212
202
SEK. 23(2) ( Daftar Nikah
Poligami )
102
124
406
375
413
457
Kajian-kajian seperti di atas menggambarkan bahawa permohonan kebenaran poligami agak
menyusahkan atau mengambil tempoh masa yang panjang menyebabkan suami dan
pasangannya bertindak melakukan pernikahan seterusnya berpoligami di luar Malaysia. Justeru
kajian terperinci perlu dibuat bagi menjelaskan berkenaan tempoh masa perbicaraan
permohonan kebenaran poligami. Artikel ini membincangkan prosedur permohonan kebenaran
poligami dan tempoh masa perbicaraannya. Analisis kajian artikel adalah merujuk kepada kes
perbicaraan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.
Prosedur Permohonan Poligami Di Selangor
Perbincangan berkenaan isu tempoh masa permohonan yang didakwa mengambil masa
panjang sehingga menyebabkan para suami yang berhasrat untuk berpoligami tidak patuh
kepada undang-undang, menyebabkan perlunya analisis dibuat berkenaan prosedur
permohonan poligami tersebut. Fokus kajian ini menjurus kepada permohonan poligami di
Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Selangor. Tatacara permohonan poligami di Negeri
Selangor diterangkan dalam seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor)
2003. Permohonan poligami boleh dibuat sebagaimana berikut:-
i- Hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah di tempat pemohon bermastautin atau
tinggal
ii- Permohonan hendaklah dibuat dengan saman ( Borang MS 2 ) kerana ianya adalah tiada
dalam jadual kedua dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ( Negeri
Selangor ) 2003
iii- Permohonan mesti dilampirkan dengan :-
1. Satu ikrar yang menyatakan alasan berpoligami perlu atau patut
2. Pendapatan pemohon ketika permohonan dibuat
3. Butir-butir komitmen dan tanggungan kewangan
4. Bilangan orang yang ditanggung oleh pemohon
5. Bilangan orang yang akan menjadi tanggungan pemohon
6. Sama ada pemohon mendapat keizinan atau pandangan untuk berpoligami daripada
isteri atau isteri-isteri pemohon yang sedia ada
iv- Setelah permohonan tersebut didaftarkan di bawah kod 011. Penyampaian kepada
Defendan iaitu isteri atau isteri-isteri hendaklah dibuat selewat-lewat 7 hari sebelum
tarikh sebutan agar pihak defendan bersedia untuk membuat pembelaan setelah
menerima saman tersebut, ini berdasarkan seksyen 59(1) Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah ( Negeri Selangor ) 2003
Menurut subseksyen 23 (5) Enakmen tersebut yang menyatakan:
458
"Apabila menerima permohonan (suami untuk berpoligami) itu, mahkamah hendaklah
memanggil pemohon, isteri atau isteri-isterinya sedia ada, bakal isteri, wali kepada
bakal isteri, dan mana-mana orang lain yang difikirkan oleh mahkamah memberi
keterangan mengenai perkahwinan yang dicadangkan itu supaya hadir apabila
permohonan itu didengar."
Dalam seksyen ini menjelaskan bahawa prosedur dalam permohonan kebenaran poligami
mengkehendaki keterangan pemohon perlu diberikan di hadapan hakim bagi membuktikan
kemampuan pemohon dalam berpoligami. Selain dari itu keterangan Defendan iaitu isteri atau
isteri-isteri sedia ada diperlukan oleh pihak Mahkamah. Di samping itu keterangan bakal isteri
dan wali kepada bakal isteri akan turut diambil keterangannya oleh pihak Mahkamah.
Berdasarkan peruntukan perundangan tersebut, terdapat empat perkara yang perlu diberi
perhatian dalam permohonan poligami dalam memenuhi kehendak tersebut. Pihak suami perlu
pertamanya membuktikan keupayaannya dengan mengemukakan bukti bertulis seperti laporan
perubatan tentang ketidak upayaan isteri. Keduanya suami perlu mengemukakan penyata gaji
yang menunjukkan beliau layak dari segi kewangan untuk menanggung kesemua isteri dan
anak-anak. Seterusnya, perkara ketiga dan keempat memerlukan keterangan pihak suami
sendiri atau dikemukakan dua saksi lelaki untuk mengesahkan keupayaan pihak suami untuk
memberikan layanan saksama terhadap isteri-isteri.
Beban pembuktian syarat-syarat permohonan poligami ini adalah terletak pada suami dan
suami perlu membuktikannya bukan sekadar secara lisan di hadapan Hakim tetapi juga seperti
yang telah dinyatakan, disokong dengan dokumen bertulis dan saksi-saksi yang dapat
mengesahkan kedudukan dan keterangannya. Berdasarkan setiap langkah-langkah yang perlu
dipatuhi dalam permohonan tersebut jelas menunjukkan permohonan poligami dibuat
mengikut prosedur permohonan yang lazim bagi semua kes-kes di mahkamah Syariah
mahupun mahkamah sivil. Selepas perkara-perkara asas dalam permohonan poligami telah
dipenuhi, barulah mahkamah boleh membicarakan permohonan kes poligami tersebut.
Persetujuan Isteri Dan Syarat ‘Patut Atau Perlu’ Dalam Permohonan Kes Poligami
Antara elemen penting yang ditekankan dalam permohonan poligami adalah item persetujuan
isteri memberi keizinan untuk suami berpoligami. Keupayaan suami memenuhi syarat ‘patut
atau perlu’. Isu persetujuan isteri memberi keizinan kepada suami untuk berpoligami boleh
dilihat dalam kes di antara Muhammad Asraf Mokhtar lwn Zuraini Mohamed Sohor (10400-
011-0467-2012) di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Defendan telah tidak bersetuju dengan
permohonan poligami Plaintif atas faktor ekonomi yang tidak stabil. Plaintif juga gagal
mengemukakan saksi untuk menyokong kes beliau dan Mahkamah telah menolak permohonan
tersebut.
Walau bagaimanapun, keizinan isteri sahaja bukanlah alasan kukuh untuk menyebabkan
Mahkamah meluluskan permohonan suami untuk berpoligami. Sekiranya isteri telah memberi
keizinan tetapi didapati suami tidak mampu dari aspek ekonomi atau memenuhi nafkah isteri-
isteri, Mahkamah berhak memutuskan untuk tidak meluluskan permohonan tersebut. Menurut
Seksyen 23 (1) “Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali
dengan mendapat kebenaran Mahkamah." .Jelas disini , kelulusan kebenaran poligami adalah
bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Mana-mana pihak yang ingin berpoligami perlulah
459
memenuhi kehendak Enakmen untuk mendapat kelulusan. Penghakiman sedemikian didapati
dalam kes antara Che Muhammad Hafizi lwn Nurul Aini (Kes bil: 10300-011-0437-2011) di
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor berkenaan permohonan Plaintif untuk berpoligami.
Walaupun Defendan bersetuju dengan permohonan Plaintif namun dengan pendapatan
sebanyak RM3,500.00 sebulan belum boleh melayakkan Plaintif untuk menanggung seorang
lagi isteri kerana Mahkamah bimbang akan kemampuan Plaintif dan untuk berlaku adil kepada
keduanya.
Seterusnya dalam kes antara Badrol Hisham Hj Muhamad Rashidi lwn Sappiah Salaton (Kes
bil: 10100-011-0246-2010) di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor berkenaan permohonan
Plaintif untuk berpoligami. Namun Defendan tidak bersetuju kerana ragu dengan kemampuan
Plaintif dalam menanggung nafkah. Plaintif juga gagal memenuhi keperluan berpoligami
berdasarkan perkara (a), (b), (c) dan (d) iaitu:
(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu, memandang
kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani,
tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah
untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang
sedia ada;
(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung,
sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syarak, semua isteri dan orang tanggungannya,
termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan
perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya
mengikut kehendak Hukum Syarak; dan
(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari’e
kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Oleh itu apabila Plaintif tidak dapat memenuhi kehendak Enakmen tersebut maka, Mahkamah
boleh menolak permohonan Plaintif untuk berpoligami.
Terdapat juga contoh penghakiman kes yang menunjukkan keizinan isteri yang diperolehi serta
keupayaan suami memenuhi syarat ‘patut dan perlu’, telah menyebabkan hakim meluluskan
permohonannya. Merujuk kepada kes di antara Mohd Safian Abdul Rais lwn Suhaila Mohamad
Anuar (kes bil: 10100-011-0248-2011) di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Defendan telah
memberi kebenaran kepada Plaintif untuk berpoligami dan disokong pula faktor ekonomi
Plaintif yang kukuh. Plaintif telah memenuhi syarat kehendak dalam Enakmen seperti ‘patut
atau perlu’, berkemampuan, adil dan tidak menyebabkan darar syarie. Oleh itu Mahkamah telah
meluluskan permohonan poligami Plaintif.
Perkataan ‘patut’ itu adalah dengan merujuk kepada penilaian kepada diri si isteri sedia ada
dengan melihat kekurangan yang wujud sepertimana yang dinyatakan dalam subseksyen 23 (5)
(a) EUUKIS 2003 berkaitan dengan kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi
jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak
persetubuhan, atau gila dipihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada. Bagi perkataan ‘perlu’
pula adalah dengan merujuk kepada penilaian diri si suami iaitu sebab atau alasan si suami
tersebut yang berkehendakkan kepada poligami tersebut.
Salah satu contoh yang menilai alasan ‘perlu’ ini sepertimana keputusan yang dibuat oleh
Jawatankuasa Rayuan Selangor dalam kes Aishah Binti Abdul Rauf lwn. Wan Mohd Yusof Bin
Wan Othman, JH 7 (2), hlm. 159 iaitu; (thn)
460
“Sungguhpun di dalam borang akuan dan juga kenyataan di hadapan YA Hakim,
Wan Mohd. Yusof memberi alasan untuk berpoligami bagi maksud menghalalkan
pertalian kasih sayang beliau dengan Noorkumalasari, alasan ini mungkin
mencukupi untuk memenuhi syarat "keperluan” beliau untuk berpoligami, tetapi
pada pendapat kami. ianya tidak ada kena mengena dengan soal "kepatutan" iaitu
justifikasi beliau untuk berbuat demikian tanpa sebab yang munasabah”
Jika berpandukan kepada kes tersebut, alasan yang dikemukakan untuk berpoligami tersebut
telah memenuhi syarat ‘keperluan’ untuk berpoligami. Namun begitu, keperluan itu mesti
dilihat bersama dengan ‘kepatutan’ untuk berpoligami sepertimana berikut ;
“Tidak ada justifikasi atau kepatutan diberi mengapa pemohon patut berpoligami.
Oleh yang demikian. kami berpendapat bahawa pemohon/responden telah gagal
memenuhi syarat (a) di bawah s. 23(4). dan dengan kegagalannya mematuhi syarat
yang satu ini pun sudah cukup bagi YA Hakim menolak permohonan Wan Mohd.
Yusof”
Kes tersebut telah diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan Selangor berdasarkan Enakmen
Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) tahun 1984, di mana subseksyen 23 (4)(a)
menyatakan bahawa ;
“bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang
kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut; iaitu, kemandulan, keuzuran
jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar
mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri
atau isteri-isteri yang sedia ada”
Dalam kes Aisyah tersebut, Jawatankuasa Rayuan Syariah telah memutuskan permohonan
poligami perlu memenuhi kehendak ‘patut dan perlu’ kedua-duanya sekali. Sekiranya suami
hanya didapati patut untuk berpoligami tetapi tidak perlu berbuat sedemikian, maka mahkamah
berhak untuk tidak meluluskan permohonan tersebut.
Walau bagaimanapun perubahan undang-undang yang berlaku menyebabkan peruntukan
subseksyen 23 (5)(a) EUUKIS 2003 yang tertera phrasa ayat ‘patut atau perlu’ menyebabkan
mahkamah hanya menilai salah satu daripada kriteria samada patut atau perlu sahaja bagi
memenuhi kehendak peruntukan subseksyen 23 (5)(a) EUUKIS 2003. Hal ini juga
diperjelaskan oleh Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Melaka di dalam kes Noor
Kamal Bin Mohammad lwn. Rusnah Bt Drauh, (Kes Rayuan Mal No. : 04000-011-0003-2011)
yang menyatakan :
“Soal pembuktian tentang keperluan dan kepatutan perlu dibukti bersama-sama
dalam kes Aisyah perlu dibezakan dari kes di hadapan kami sekarang ini kerana
telah berlaku perubahan dari segi perundangan. Perundangan Negeri Melaka 2002
melonggarkan keperluan subseksyen 23(5) (a) dengan memerlukan salah satu dari
soal ‘patut’ atau ‘perlu’ sahaja dibuktikan. Ironinya, kes Aishah sendiri memberi
panduan bahawa ‘perlu’ itu mencukupi dengan membuktikan “menghalalkan
pertalian kasih sayang”.
Dalam kes Mohammad Shahree Samsuddin lwn Hanita Mohamad Talib (kes bil: 10100-011-
0601-2013) dalam Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, Defendan telah tidak bersetuju dengan
permohonan Plaintif untuk berpoligami kerana alasan ekonomi Plaintif yang tidak kukuh. Oleh
461
itu Mahkamah telah tidak meluluskan permohonan poligami Plaintif kerana tidak memenuhi
seksyen 23(5)(a),(b),(c) dan (d) seperti patut atau perlu, berkemampuan, adil dan tidak
menyebabkan darar syarie.
Elemen lain yang dipertimbangkan juga dalam permohonn poligami adalah kemampuan suami
berlaku adil terhadap isteri-isteri dan juga perkahwinan poligami tersebut tidak akan
menyebabkan berlaku dharar syarie terhadap isteri-isteri.
Seterusnya berdasarkan Seksyen 23 (6) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri
Selangor telah memperuntukan supaya satu salinan permohonan dan akuan berkanun yang
telah dinyatakan di atas hendaklah diserahkan bersama dengan saman kepada tiap-tiap isteri
sedia ada. Prosedur menetapkan setiap permohonan poligami, saman perlu diserahkan kepada
pihak isteri. Lulus atau tidak adalah kuasa Mahkamah. Namun, jika terdapat mana-mana pihak
yang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan Mahkamah maka rayuan boleh dibuat ke
atas keputusan itu.
Tempoh masa perbicaraan permohonan kes poligami juga berkait dengan faktor kehadiran
kehadiran Defendan di mahkamah. Contohnya dalam kes bil: 10400-011-0095-2012 di
Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di antara Mohd Daip b. Yar @ Hj. Omar lwn Latifah
Kusni. Dalam kes ini Defendan enggan hadir kerana dikatakan sakit mental. Namun Plaintif
sendiri tidak komited dengan kehadiran ke Mahkamah. Setelah beberapa kali kedua pihak tidak
hadir, akhirnya kes ini telah dibuang. Ini berdasarkan seksyen 121 (1) (a) Enakmen Tatacara
Mal Mahkamah Syariah ( Negeri Selangor ) 2003 apabila tiada satu pihak yang hadir,
Mahkamah boleh membuang tindakan itu.
Apabila saman diterima, pihak defendan mempunyai hak di sisi undang-undang untuk
menjawab permohonan suami tersebut. Seksyen 64 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
(Selangor) 2003 memberi hak kepada defendan yang mempertikaikan keseluruhan atau
sebahagian tuntutan Plaintif, untuk memfailkan suatu pembelaan mengikut cara yang
ditetapkan. Pembelaan itu boleh difailkan sama ada sebelum tarikh sebutan yang mana si isteri
perlu hadir, atau difailkan pada tarikh sebutan berkenaan, atau pada suatu tarikh lain yang
dibenarkan Mahkamah. Kehadiran Defendan bukan semata-mata untuk membela diri, malah
ia juga untuk kepentingan dan masa hadapan anak-anak. Kehadiran Defendan juga boleh
membantu Mahkamah membuat keputusan dengan adil, yang lebih disukai Allah dan lebih
hampir kepada kebenaran.
Subseksyen 121 (1) (b) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003
memperuntukkan: "Jika, apabila mana-mana tindakan dipanggil untuk pendengaran, Defendan
tidak hadir, Mahkamah boleh, tertakluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan
memutuskan tindakan itu tanpa kehadirannya. Mahkamah hendaklah, sebelum membuat apa-
apa penghakiman mengenai tuntutan Plaintif di bawah (1) (b), mengikut mana-mana
berkenaan, mengangkat sumpah istizhar ( Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim 2010 ).
Sebagaimana kes bil: 10300-011-0294-2014 di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di antara
Rozi Ali lwn Rozeiaidawati Ismail. Dalam kes ini Defendan telah menerima saman namun
enggan hadir dan enggan masuk campur urusan Plaintif. Berdasarkan faktor nafkah atau
kewangan Plaintif telah memenuhi syarat menyebabkan Mahkamah telah meluluskan
permohonan tersebut.
462
Tempoh Masa Prosedur Permohonan Poligami Di Selangor
Jadual 2 menunjukkan tempoh perjalanan kes permohonan poligami memakan masa yang agak
lama dan tidak konsisten di antara kes-kes. Sungguhpun pihak isteri memberi izin namun
prosedur perjalanan kes masih perlu dipatuhi bermula dari proses penyampaian sehinggalah
pliding sempurna dan proses perbicaraan bermula dengan keterangan Plaintif dan saksi-saksi,
diikuti pula keterangan Defendan yang terdiri dari isteri atau isteri-isteri, keterangan bakal isteri
dan juga bakal wali. Proses ini diteruskan dengan pihak-pihak memberi hujah penutup sebelum
Hakim memberi keputusan dan di akhiri dengan Mahkamah memberi keputusan kes tersebut.
Jadual 2 menunjukkan kes-kes paling minima tempoh diselesaikan dalam masa 2 bulan 22 hari
seperti dalam kes Shamsul Bahrin lwn Norhayati (kes bil: 10100-011-0326-2013) dan maksima
tempohnya pula selama 9 bulan seperti dalam kes Muhammad Asraf Mokhtar lwn Zuraini
Mohamed Sohor (10400-011-0467-2012). Proses ini merupakan prosedur biasa yang perlu
dilalui oleh pihak-pihak yang membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan
statut yang diperuntukkan bukanlah masalah birokrasi yang sengaja digembar-gemburkan oleh
sebahagian pihak yang menunjukkan kelemahan pihak Mahkamah yang sengaja melewat-
lewatkan kes. Ini semata-mata hanya untuk menjaga keadilan semua pihak, Mahkamah hanya
menurut sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang sahaja.
Jadual 2: Tempoh Kes-Kes Tersebut Semasa Perjalanan Prosiding
Bil: No. Kes Pihak-Pihak Tarikh
Daftar
Tarikh
Selesai
Keputusan Tempoh
Masa
1.
10100-
011-0326-
2013
Shamsul Bahrin lwn
Norhayati
25.6.2013 17.9.2013 Permohonan
diluluskan.
2 bulan 22
hari
2.
10400-
011-0095-
2012
Mohd Daip b. Yar
@ Hj. Omar lwn
Latifah Kusni
30.1.2012 8.8.2012 Kes
dibuang.
6 bulan 8 hari
3.
10100-
011-0601-
2013
Mohammad
Shahree Samsuddin
lwn Hanita
Mohamad Talib
17.12.201
3
17.6.2014 Permohonan
ditolak.
6 bulan
4.
10100-
011-0248-
2011
Mohd Safian Abdul
Rais lwn Suhaila
Mohamad Anuar
29.6.2011 16.11.2011 Permohonan
diluluskan.
4 bulan 17
hari
5.
10100-
011-0246-
2010
Badrol Hisham Hj
Muhamad Rashidi
lwn Sappiah
Salaton
28.7.2010 10.3.2011 Permohonan
ditolak.
7 bulan 12
hari
463
6.
10400-
011-0467-
2012
Muhammad Asraf
Mokhtar lwn
Zuraini Mohamed
Sohor.
27.4.2012 13.2.2013 Permohonan
ditolak.
9 bulan 16
hari
Sumber : Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ( JAKESS )
Kesimpulannya, poligami adalah suatu kelonggaran yang terhad dan bersyarat. Ia bukanlah
hukum asas perkahwinan Islam tetapi jika ada hajat syar’ie sahaja. Lebih besar mudarat
menutup terus pintunya dari membukanya sebagai jalan penyelesaian kepada masyarakat Barat
dan masyarakat lain. Selain daripada itu, Islam juga mengharamkan poligami tanpa batas yang
boleh menimbulkan berbagai masalah keluarga dan penyakit masyarakat. Janganlah poligami
dibenci atas alasan tidak ada lelaki yang mampu berlaku adil, walaupun sebenarnya masih ada
wanita yang rela berkongsi kebahagiaan dengan wanita lain di bawah naungan seorang suami.
Analisis Terhadap Tempoh Masa Perbicaraan Kes Permohonan Kebenaran Poligami
Dari Tahun 2009 Sehingga Tahun 2013
Tempoh masa merupakan lama masa perbicaraan sesuatu kes dari mula pendaftaran sehingga
selesai keputusan diberikan. Isu perbicaraan kes permohonan kebenaran poligami yang sering
dikatakan rigid dan lambat telah mendapat perhatian penulis agar kajian tempoh masa perlu
dijalankan. Dalam analisis terhadap tempoh masa perbicaraan permohonan kebenaran poligami
dari tahun 2009 sehingga 2013 telah mendapati hasil dapatan seperti dalam Jadual 3 yang
menunjukkan statistik antara tahun 2009 – 2013, iaitu dalam tempoh 5 tahun, kebanyakan kes
dapat diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi 3 bulan iaitu sebanyak 44% yang mewakili
210 kes menjalani tempoh perbicaraan tidak melebihi 3 bulan daripada 477 kes
keseluruhannya. Tempoh masa paling singkat kes diselesaikan tidak melebihi 1 bulan sebanyak
20% yang mewakili 95 kes telah menjalani tempoh perbicaraan tidak melebihi 1 bulan
daripada 477 kes keseluruhannya. Kajian mendapati tempoh paling singkat adalah selama 3
hari .Manakala tempoh masa paling lama kes diselesaikan melebihi 1 tahun sebanyak 3% yang
mewakili 13 kes telah menjalani tempoh perbicaraan melebihi 1 tahun daripada 477 kes
keseluruhannaya. Kajian mendapati tempoh paling lama adalah selama 2 tahun 9 bulan 5 hari.
Jadual 3: Tempoh masa perbicaraan permohonan kebenaran poligami
Tempoh
Tahun
< 1 bulan
< 3 bulan
< 6 bulan
< 1 tahun
>1 tahun
Jumlah
2009 2 11 14 13 1 41
2010 8 32 22 15 6 83
2011 12 53 33 5 1 104
2012 52 64 11 13 1 141
2013 21 50 22 11 4 108
Jumlah
Keseluruhan
95
(20%)
210
(44%)
102
(21%)
57
(12%)
13
(3%)
477
(100%) Sumber : Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ( JAKESS )
Carta 1: Tempoh Masa Perbicaraan Kes Permohonan Kebenaran Poligami
464
Carta 1 seperti di atas menunjukkan peratusan tempoh masa paling banyak diselesaikan adalah
dalam tempoh tidak melebihi 3 bulan yang mewakili 44% iaitu sebanyak 210 kes daripada 477
kes keseluruhannya. Manakala tempoh masa perbicaraan paling panjang atau lama adalah
melebihi 1 tahun yang mewakili 3% iaitu sebanyak 13 kes daripa 477 kes keseluruhannya.
Tempoh masa paling cepat diselesaikan adalah tidak melebihi 1 bulan yang mewakili 20% iaitu
sebanyak 95 kes daripada 477 kes keseluruhannya.
Analisis juga dibuat terhadap contoh-contoh perjalanan kes permohonan kebenaran poligami
di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor tahun 2009 hingga tahun 2013. Hasil analisis
menunjukkan tempoh masa perjalanan kes dari mula pendaftaran sehingga selesai keputusan
adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual 4 menunjukkan perjalanan sesuatu kes tersebut
bergantung kepada pihak-pihak itu sendiri. Sekiranya tiada bantahan dari pihak Defendan,
maka perjalanan kes akan jadi lebih mudah dan cepat, seperti kes Norlizan b. Abdullah dan
Defendan- Nurjannah bt. Abdullah (kes bil : 10400-011-0712-2012) . Fakta dalam kes ini
menunjukkan Defendan tiada bantahan terhadap tuntutan Plaintif. Defendan bersetuju dan
mengizinkan permohonan kebenaran berpoligami dari Plaintif. Kes telah didaftarkan pada
22hb. Jun, 2012 dan pada 25hb. Jun, 2012, mahkamah telah mendengar keterangan Plaintif,
Defendan serta bakal isteri dan juga bakal wali. Seterusnya Mahkamah telah memberi
keputusan pada hari yang sama.
Berbeza pula dengan kes Ibrahim b. Ishak dengan Siti Saoyah bt. Ibrahim ( kes bil: 10300-
011-0166-2009), Defendan tidak bersetuju dengan tuntutan Plaintif. Oleh itu perjalanan kes ini
panjang dan lama kerana pliding perlu dilengkapkan untuk keadilan semua pihak. Keterangan
pihak-pihak juga perlu diperhalusi dan direkodkan dengan sempurna kerana Mahkamah akan
meneliti keseluruhan keterangan pihak-pihak dan dokumen yang akan menyokong
permohonan ini. Oleh itu perjalanan kes ini agak panjang kerana kedua pihak perlu
mempertahankan pendirian masing-masing dengan pembuktian yang kukuh. Kes ini
mengambil tempoh masa selama 2 tahun 9 bulan 5 hari untuk diselesaikan dengan keputusan
diluluskan oleh Mahkamah.
Jadual 4 : Perjalanan Kes Permohonan Kebenaran Poligami
20%
44%
21%
12%
3%
Tempoh perbicaraan kes permohonan kebenaran poligami bagi yang diluluskan dan yang ditolak
dari tahun 2009-2013
Dlm masa 1 bulan Dalam masa 3 bulan Dalam masa 6 bulan
Dalam masa 1 tahun Lebih 1 tahun
465
Bil.
No. Kes
Pihak-Pihak
Sebutan / Perbicaraan
1.
10400-
011-0712-
2012
Plaintif- Norlizan b. Abdullah
Defendan- Nurjannah bt.
Abdullah ( setuju )
Daftar- 22.6.2012
Bicara & Keputusan- 25.6.2012 ( Lulus )
Tempoh masa: 3 hari
2.
10400-
011-0298-
2013
Plaintif- Mohd Johari b. Sepet
Defendan- Salina bt. Mohd
Hasim ( x setuju )
Daftar- 11.6.2013
Sebutan- 1.7.2013
Sebutan-19.8.2013
Sebutan- 23.9.2013
Sebutan-13.11.2013
Sebutan-15.1.2014
Sebutan- 19.2.2014
Perbicaraan- 19.5.2014
Perbicaraan- 4.6.2014
Perbicaraan- 7.7.2014
Hujah Penutup- 18.8.2014
Keputusan- 25.8.2014 ( Tolak )
Tempoh masa: 1 tahun 2 bulan 7 hari
3.
10100-
011-0094-
2013
Plaintif- Zulhisyam b. Hashim
Defendan- Nirlawita bt.
Mohamad Lazim ( setuju )
Daftar- 22.2.2013
Perbicaraan- 11.3.2013
Keputusan- 25.3.2013 ( Lulus )
Tempoh masa:1 bulan 3 hari
4. 10300-
011-0799-
2012
Plaintif- Mohd Azri b. Deraman
Defendan- Assnim bt. Abd Samad
( setuju )
Daftar- 1.11.2012
Perbicaraan- 8.11.2012
Perbicaraan- 10.12.2012
Hujah Penutup- 21.1.2013
Keputusan- 31.1.2013 ( Lulus )
Tempoh masa: 2 bulan 30 hari
5.
10400-
011-0200-
2010
Plaintif- Faizal b. Shani
Defendan- Hilda Rozita bt. Mohd
Raffali ( setuju )
Daftar- 24.6.2010
Perbicaraan- 25.6.2010
Keputusan- 28.6.2010 ( Lulus )
Tempoh masa: 4 hari
6.
Daftar- 5.4.2011
466
10100-
011-0129-
2011
Plaintif- Mohamad Zahri b.
Samingon
Defendan- Siti Rohana bt. Saad
( terpaksa setuju & tidak hadir )
Sebutan-19.4.2011
Sebutan- 24.5.2011
Sebutan- 16.6.2011
Tangguh- 13.7.2011 ( MTS pindah )
Sebutan- 16.8.2011
Sebutan- 5.10.2011 ( Dokumen Plantif
tidak lengkap )
Tangguh- 24.10.2011- ( P/D tidak hadir )
Sebutan-14.12.2011- (Hakim Kursus )
Tangguh- 19.1.2012- ( P/D tidak hadir )
Sebutan- 28.3.2012
Perbicaraan- 7.8.2012
Perbicaraan- 24.9.2012
Perbicaraan-22.1.2013
Tangguh -30.4.2013 ( P/D tidak hadir )
Hujah Penutup- 11.6.2013
Keputusan- 29.7.2013 ( Lulus )
Tempoh masa: 2 tahun 3 bulan 24 hari
7.
10300-
011-0143-
2010
Plaintif- S.M. Jamal Asmath
Defendan- Nur Jahan Begum
( setuju & tidak hadir )
Daftar- 5.5.2010
Sebutan- 25.10.2010
Sebutan- 20.12.2010
Tangguh-17.2.2010 ( Hakim mesyuarat)
Sebutan- 13.3.2010
Sebutan- 11.4.2011 ( Mahkamah arah
Plaintif lantik peguam )
Tangguh- 11.7.2011 ( MTS pindah )
Perbicaraan- 15.9.2011
Perbicaraan- 24.10.2011
Hujah penutup- 10.11.2012
Keputusan- 8.12.2011 ( Lulus )
Tempoh masa: 1 tahun 7 bulan 3 hari
8.
Plaintif- Ibrahim b. Ishak
Daftar- 29.6.2009
467
10300-
011-0166-
2009
Defendan- Siti Saoyah bt.
Ibrahim ( x setuju & hadir )
Sebutan- 9.7.2009
Sebutan-17.8.2009
Sebutan-5.10.2009
Sebutan-29.10.2009
Sebutan-8.12.2009
Sebutan-12.1.2010
Perbicaraan- 4.2.2010
Perbicaraan- 13.4.2010
Tangguh- 19.5.2010 ( Hakim periksa )
Perbicaraan- 22.7.2010
Perbicaraan- 26.7.2010
Perbicaraan- 1.9.2010
Perbicaraan- 27.10.2010
Tangguh- 25.11.2010 ( Hakim cuti )
Perbicaraan-16.12.2010
Tangguh-25.1.2011(Hakim mesyuarat)
Perbicaraan-22.2.2011
Perbicaraan-10.3.2011
Perbicaraan-30.3.2011
Perbicaraan-12.4.2011
Perbicaraan-4.5.2011
Tangguh- 1.6.2011 ( Hakim cuti sakit )
Perbicaraan-26.7.2011
Perbicaraan-7.9.2011
Perbicaraan-12.10.2011
Perbicaraan-17.11.2011
Perbicaraan- 1.2.2012
Hujah Penutup- 8.3.2012
Keputusan- 3.4.2012 ( Lulus )
Tempoh masa: 2 tahun 9 bulan 5 hari
Sumber: dari Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
Hasil analisis berkaitan tempoh masa perbicaraan kes permohonan kebenaran poligami
mendapati hanya sebanyak 3% sahaja iaitu mewakili 13 kes yang tempoh perbicaraannnya
melebihi 1 tahun daripada 477 kes. Setelah kajian dibuat keatas fail-fail kes dan temuramah
dengan Yang Arif Tuan Mawardi bin Che Man dan Yang Ariff Tuan Salehan bin Yatim Hakim
Mahkamah Tinggi Syariah (2015), mendapati bahawa faktor-faktor kelewatan dalam
penyelesaian kes permohonan kebenaran poligami adalah seperti kesukaran dalam proses
menyampaian saman terhadap Defendan sebagaimana kes saman no. 10300-011-0143-2010 di
antara S.M. Jamal Asmath dan Nur Jahan Begum. Dalam kes ini Defendan tinggal di
Bangladesh dan proses penyampaian terhadap Defendan memakan masa yang agak lama.
Faktor seterusnya ialah apabila tiada keizinan dari pihak isteri sebagaimana kes saman no.
10400-011-0298-2013 di antara Mohd Johari b. Sepet dan Salina bt. Mohd Hasim. Dalam kes
ini Defendan tidak bersetuju. Oleh itu pliding perlu disempurnakan dan perbicaraan penuh
dijalankan.
468
Tempoh masa tersebut juga berkait dengan prosedur perbicaraan yang perlu dipatuhi. Bagi
menentukan atau membenarkan suatu tuntutan kebenaran poligami diluluskan oleh Mahkamah,
maka keperluan penilaian kepada 4 aspek yang termaktub subseksyen 23 (5) (a-d) EUUKIS
2003 adalah perlu dilakukan. Semua aspek yang digariskan tersebut mesti dipenuhi satu persatu
sebelum Mahkamah boleh memberi kebenaran untuk berpoligami. Mahkamah perlu menilai
isu kemampuan, patut atau perlu dan perincian terhadap syarat-syarat atau kriteria bagi seorang
suami untuk berpoligami menurut undang-undang hendaklah diteliti sebelum keputusan dibuat.
Seterusnya, perbicaraan menjadi panjang apabila kes ini tiada persetujuan dan menjadi kes
yang berlawan. Lebih-lebih lagi kedua pihak diwakili oleh peguam masing-masing.
Sebagaimana kes saman no. 10300-011-0166-2009 di antara Plaintif- Ibrahim b. Ishak yang
diwakili oleh Tetuan Juraish & Associates dan Defendan- Siti Saoyah bt. Ibrahim yang
diwakili oleh Pn Norlaili dari Unit Guaman Syarie Bahagian Undang-Undang Jabatan Agama
Islam Selangor.
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan berkaitan prosedur permohonan poligami, dan kajian keatas tempoh
masa perbicaraan kes permohonan kebenaran poligami di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor
mendapati tempoh masa perbicaraan bagi kes permohonan kebenaran poligami majoritinya
selesai dalam masa 3 bulan. Malah ada yang lebih cepat dari itu hanya selama 3 hari sahaja.
Oleh itu isu kelewatan atau lambat seharusnya tidak timbul dan menjadi tohmahan kepada
Mahkamah Syariah dalam mengendalikan kes permohonan kebenaran poligami.
Mahkamah perlu mengadili kedua-dua pihak sama ada pihak suami mahupun pihak isteri.
Sekiranya kemudaratan lebih maksima daripada kehendak perkahwinan itu sendiri maka
mahkamah perlu membuat keputusan adil dan saksama. Di negara kita, selain suami mesti adil
seperti yang ditetapkan oleh syariat, suami yang hendak berpoligami juga perlu mendapat
kebenaran bertulis dari Mahkamah Syariah. Syarat tambahan yang digubal tidak lain bertujuan
bagi melindungi hak wanita yang terlibat dengan institusi kekeluargaan poligami. Oleh sebab
itu, umat Islam baik lelaki mahupun wanita terutama yang sudah berkahwin diharapkan
meneliti sunnah Rasulullah ini sepenuhnya. Namun perlu diingat, tidak semua lelaki layak
berpoligami selagi mereka tidak boleh mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw.
Rujukan
Al-Zarqa’, Sheikh Ahmad Ibn Sheikh Muhammad, 1989. Syarah al-Qawa’id al-
Fiqhiyyah. Beirut: Dar al-Qalam.
Amir Husin Md Nor dan Siti Safwati Binti Mohd . 2003. Faktor Penyebab Perkahwinan Tanpa
Kebenaran Di Luar Negara: Satu Kajian Di Mahkamah Rendah Syariah Muar. Bangi :
Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM )
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor )2003
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor )2003
469
Hamidah Harun. 2013. Perkahwinan Tanpa Kebenaran Di Mahkamah Syariah Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur.Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM )
Imran Yusuf. 2007. Tip-Tip Poligami. Batu Caves: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Intan Nadia Ghulam Khan, Hasnizam Hashim, Haliza A. Shukor dan Nabilah Yusof. 2012.
Nikah Sindiket Di Malaysia. Nilai: Universiti Sains islam Malaysia ( USIM )
Mawardi Che Man. 2015. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. Temubual, 28
Oktober
Mohamad Som bin Sujimon & Abdul Basir bin Mohamad .2006. Fikah Kekeluargaan. Kuala
Lumpur: IIUM Press.
Mohd Nadzri Haji Abdul Rahman Ibrahim. 2010. Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah
Syariah Prinsip dan Amalan. Kuala Lumpur: Anugerah Cekal Sdn. Bhd.
Mohd Nasran Mohamad et.al 2008 Perkahwinan Luar Negara Tanpa Kebenaran Di Selatan
Thailand. Bangi: FPI UKM
Mohd Syarifuddin Sajimon.2006 .Poligami Menurut Perundangan. Majalah MAIS keluaran
bulan Februari . Shah Alam: MAIS.
Raihanah Haji Abdullah. 2009. Penangguhan Kes Di Mahkamah Syariah Cabaran Dan
Penyelesaian. dalam Jurnal Syariah, Jil.17, Bil. 1
Salehan Yatim. 2015. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor. Temubual, 9 Oktober
RUJUKAN KES
Aishah binti Abdul Rauf lwn Wan Mohd Yusof bin Wan Othman[ 1991] 7(2) JH 152 & 159
Badrol Hisham Hj Muhamad Rashidi lwn Sappiah Salaton
10100-011-0246-2010
Muhammad Asraf Mokhtar lwn Zuraini Mohamed Sohor.
10400-011-0467-2012
Mohd Daip b. Yar @ Hj. Omar lwn Latifah Kusni.
10400-011-0095-2012
Mohammad Shahree Samsuddin lwn Hanita Mohamad Talib.
10100-011-0601-2013
Mohd Safian Abdul Rais lwn Suhaila Mohamad Anuar.
470
10100-011-0248-2011
Rozi Ali lwn Rozeiaidawati Ismail.
10300-011-0294-2014
Shamsul Bahrin lwn Norhayati
10100-011-0326-2013
Noor Kamal Bin Mohammad lwn. Rusnah Bt Drauh,
04000-011-0003-2011
Norlizan b. Abdullah lwn Nurjannah bt. Abdullah
10400-011-0712-2012
Mohd Johari b. Sepet lwn Salina bt. Mohd Hasim
10400-011-0298-2013
Zulhisyam b. Hashim lwn Nirlawita bt. Mohamad Lazim
10100-011-0094-2013
Mohd Azri b. Deraman lwn Assnim bt. Abd Samad
10300-011-0799-2012
Mohamad Zahri b. Samingon lwn Siti Rohana bt. Saad
10100-011-0129-2011
Faizal b. Shani lwn Hilda Rozita bt. Mohd Raffali
10400-011-0200-2010
Ibrahim b. Ishak lwn Siti Saoyah bt. Ibrahim
10300-011-0166-2009
S.M. Jamal Asmath lwn Nur Jahan Begum
10300-011-0143-2010