proposal penanaman pisang

16
USAHAWAN MUDA PKS PEMEGANG IJAZAH PROJEK TANAMAN UBI KAYU PPK SEPANG TANAMAN PISANG SECARA BERKE LOMPOK SISTEM KAWALAN DALAMAN PERTUBUHAN PELADANG

Upload: kierah87

Post on 19-Jul-2016

357 views

Category:

Documents


44 download

DESCRIPTION

proposal penanaman pisang

TRANSCRIPT

USAHAWAN MUDA PKS PEMEGANG IJAZAHPROJEK TANAMAN UBI KAYU PPK SEPANGTANAMAN PISANG SECARA BERKELOMPOKSISTEM KAWALAN DALAMAN PERTUBUHAN PELADANG

Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Memegang segulung ijazah bukan bermakna

ianya mesti berada dalam pasaran pekerjaan yang sentiasa terbuka untuk dimasuki samada dengan kerajaan atau swasta. Sungguhpun pekerjaan tetap di pejabat biasanya menjanjikan pendapatan yang tinggi terutamanya bagi pemegang ijazah, namun belum tentu pendapatan yang diperolehi boleh menjamin kepuasan bekerja.

Begitulah terjadinya dengan Noor Aini binti Abdullah, yang memilih untuk membangun dan meningkatkan kerjaya dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Anak muda yang cukup mesra bila disapa, begitu selesa dengan panggilan Noor Aini, membuat keputusan menceburi bidang pemprosesan makanan dalam perusahan kecil dan sederhana. Bagi kebanyakan masyarakat tentunya merasa amat rugi bagi Noor Aini mensia-siakan ijazah yang diperolehi olehnya, apatah lagi beliau pernah menjawat jawatan tetap disebuah syarikat swasta.

Namun bagi Noor Aini, beliau gemar kepada cabaran dan sanggup berdepan dengan risiko. Beliau sedar

tidak ramai anak muda terutamanya yang sebangsa dengannya sanggup bekerja sendiri, tambahan bidang yang diceburinya dimonopoli oleh Bangsa Cina. Sebagai seorang Muslim, beliau berpegang kepada Qada’ dan Qadar, di mana setiap usaha yang dilaksanakan dan disertakan dengan doa, memohon kemurahan rezeki dalam perniagaannya, insyaallah usaha ini akan diberkati oleh Allah S.W.T. Beliau bersyukur sepanjang penglibatan sehingga ke hari ini, tidak banyak masalah besar yang perlu dihadapinya dan kalau ada pun telah berjaya diselesaikan dengan sempurna.

Usia bukan ukuran kematangan seseorang. Noor Aini terasa dirinya kini lebih matang berbanding umurnya. Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Semiar, Jalan Jeneri, Sik, Kedah dan baru berusia 25 tahun. Noor Aini merupakan pemegang Ijazah

Oleh: Che Taman binti Omar (LPP Negeri Kedah)

USAHAWAN MUDA PKS PEMEGANG IJAZAH

2

Sarjana Muda Sains dengan kepujian dalam jurusan Bioteknologi daripada Universiti Malaysia Sarawak. Beliau menamatkan pengajian dalam tahun 2004. Jarak perjalanan beliau untuk memperolehi ijazah, tambahan berjauhan dengan keluarga semata-mata untuk mencari ilmu telah mengajar erti kehidupan dan menjadikannya lebih tabah menjalani liku-liku hidup selepas alam pengajian. Kerjaya sebagai usahawan tani yang dipilih membuat dirinya lebih cekal bagi menghadapi persaingan terbuka terutama dengan pengusaha-pengusaha lain yang telah lama berkecimpung, lebih berpengalaman dan maju.

Tidak pernah termimpi sebelum ini oleh beliau untuk menceburi bidang perniagaan sekarang. Seperti kebanyakan rakan yang lain, beliau mimpikan pekerjaan tetap dan mempunyai pendapatan yang lumayan. Namun impian dan realiti cukup berbeza pada hari ini. Minatnya tiba-tiba berubah untuk menjadi usahawan. Semuanya bermula semasa beliau menuntut di Universiti Malaysia Sarawak.

Noor Aini tidak tahu duduk diam sepanjang berada di Sarawak. Digunakan masa yang ada bagi menjalankan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Salah satu aktiviti yang memberi beliau pengalaman amat berguna adalah melalui aktiviti perniagaan. Pengalaman menjalankan perniagaan secara sambilan sewaktu menuntut di pusat pengajian tinggi dalam kerja-kerja kebajikan agama bagi mengumpul dana merupakan titik tolak ke arah minat yang mendalam untuk menjadikan bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan. Beliau baru sedar bahawa perniagaan boleh memberikan pulangan dan pendapatan lumayan.

Setelah tamat pengajian, beliau bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai Pengurus Akaun dan Pengurus Projek selama 2 tahun. Dalam tempoh bekerja, beliau berazam untuk mempunyai perniagaan sendiri dan mula mengumpul dana untuk dijadikan modal. Setelah beroleh keyakinan yang tinggi, akhirnya beliau mengambil keputusan berhenti kerja dan membuka kedai roti dan kek.

Melihatkan kesungguhan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sik, Kedah dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi dan pendapatan peladang-peladang dengan membantu ahli-ahlinya dalam bidang yang diusahakan, telah mendorong Noor Aini mendaftar menjadi ahli pada tahun 2006. Beliau juga selalu membaca mengenai peranan yang dimainkan

oleh PPK melalui laman web, risalah dan Berita Transformasi terutamanya ke arah membangunkan peladang muda dan yakin bahawa PPK juga mampu membantunya bila diperlukan.

Sebelum membuka perniagaan, beliau terlebih dahulu membuat sedikit kajian pemasaran. Selain peluang, semangat yang tinggi serta dorongan yang berterusan daripada keluarga dan PPK telah menjadikan beliau usahawan muda dengan mengusahakan kedai memproses roti dan kek di Pekan Sik, Kedah. Walaupun Daerah Sik telah diisytiharkan sebagai daerah bagi membangunkan produk pemprosesan berasaskan pertanian oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, namun tidak banyak kedai-kedai yang menjual roti, kek dan biskut. Memandangkan di Pekan Sik masih belum ada pengusaha kedai roti, kek dan biskut buatan orang Islam, maka beliau mengambil keputusan untuk menjadi pengusaha pertama. PPK melihat kebolehan, kesungguhan dan kekuatan ada pada Noor Aini dan berusaha membantunya.

Ilmu yang ada perlu dikembang dan ditambah. Jaringan (networking) perlu dicari. Sebelum memulakan perniagaannya, beliau terlebih dahulu menghadiri latihan dan kursus yang berkaitan bagi memantapkan daya usaha dalam bidang yang diceburi. PPK juga turut memberi peluang dan informasi mengenai kursus-kursus yang ditawarkan. Antara program kursus awal yang diikuti adalah Kursus Bakery pada Jun 2006 di Kolej Komuniti Sg. Petani. Seterusnya beliau mengikuti Kursus Asas Keusahawanan, Kursus Pemasaran, Kursus Pembungkusan dan Kursus Pengawalan Kualiti yang dianjurkan oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Ini secara langsung tambah membakar semangatnya untuk tidak berganjak daripada hasratnya memiliki perniagaan sendiri. Selain itu beliau juga telah menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta.

Setakat ini beliau amat gembira dengan komitmen pengurusan PPK dalam membantunya. Melalui PPK, Lembaga Pertubuhan Peladang telah menyalurkan bantuan kewangan berupa pinjaman peralatan sebanyak RM10,000. Segala kemudahan yang diperolehi digunakan sebaik mungkin untuk memajukan kedai memproses roti, kek dan biskut

3

tersebut. Pemberian bantuan yang diterima melalui PPK berupa peralatan seperti oven, pemerap doh, pembancuh adunan dan gondola (display showcase).

Apabila keyakinan diri mula menebal dan semua aspek negatif dibuangkan jauh-jauh, akhirnya dengan modal permulaan sendiri berjumlah RM10,000, beliau berjaya memulakan perniagaan pemprosesan roti dan kek. Dengan menyewa ruang niaga di No. 4, Perkarangan Stesen Bas, Pekan Sik, Kedah di mana lokasi kedainya yang agak strategik telah menjadikan kedai Srikanis Maju Enterprise menjadi tumpuan penduduk sekitar mendapatkan bekalan roti dan kek “halal” yang selama ini sukar diperolehi. Mulai bulan Mei 2007, Srikanis Maju Enterprise telah mula menjalankan perniagaan dengan menghasilkan kek, roti dan bun. Pelbagai jenis produk telah dihasilkan antaranya mini pizza, bun sardin, bun sambal ikan bilis, bun kaya, bun kelapa, bun coklat, bun kacang merah, bun jagung, bun mexico, kek, roti, muffin dan kuih-kuih moden.

Walaupun ruang niaga yang agak terhad tetapi kedainya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan untuk membeli dan membuat tempahan. Naluri seorang perempuan memang tersemat kuat di mana di bahagian dalam kedai telah dihias rapi dan bersih. Produk kek, biskut, roti dan makanan ringan disusun rapi di dalam gondola bagi memudahkan pelanggan memilih. Bahagian belakang kedai adalah ruang memasak. Beliau tidak membenarkan pelanggannya masuk atas faktor kebersihan. Peralatan yang digunakan sentiasa berkeadaan bersih dan kemas.

Beliau juga turut menjual hasil-hasil keluaran berasaskan pertanian lain daripada pengusaha sekitar Sik tetapi dalam kuantiti yang terhad. Antara jenis makanan ringan dan kuih tradisional buatan pengusaha industri kecil tempatan yang dipasarkan oleh Noor Aini di kedainya seperti baulu, buah rotan, bunga pudak, maruku, dan lain-lain. Kedai Srikanis

Maju Enterprise ini secara tidak langsung telah menjadi tempat dan harapan kepada pengusaha-pengusaha kecil berasaskan pertanian untuk memasarkan hasil mereka.

Selain menjual roti dan kek, Noor Aini juga menerima tempahan daripada pelanggan yang inginkan produknya. Dengan menggaji hanya 2 orang pekerja, mereka berjaya memenuhi tempahan yang tidak putus-putus diterima daripada pelanggan. Melihat kepada kegigihan dan komitmen untuk memajukan diri dan keluarga, beliau boleh dijadikan model kepada golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Sungguhpun baru setahun berada dalam perniagaan, Noor Aini merasa amat puas dengan apa yang dicapainya. Di sebalik kepuasan itu, beliau menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T yang memberikan rezeki buatnya. Beliau amat berterima kasih dan tidak akan melupai jasa serta peluang yang diberikan oleh PPK Sik dalam membantunya menjalankan perniagaan. Kini pendapatan bersih yang diperolehi adalah sekitar RM1,500.00 sebulan.

Beliau berhasrat membesarkan perniagaannya kerana kemampuan masa kini untuk mengeluarkan hasil agak terbatas berbanding permintaan yang tinggi. Beliau akan pastikan hasrat ini tercapai sebelum ada pesaing lain yang merebut peluang tersebut. Harapan Noor Aini yang menerajui Srikanis Maju Enterprise di masa hadapan ialah mengembangkan perniagaan dengan lebih cepat di samping memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan sedia ada dan baru. Selain itu Srikanis Maju Enterprise akan memfokuskan perniagaan mereka kepada penjualan kek dan kuih moden bagi memenuhi permintaan pelanggan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran roti di masa hadapan. Apabila semua ini tercapai, Srikanis Maju Enterprise akan memastikan pasaran diperluaskan lagi di seluruh Daerah Sik dan daerah-daerah berdekatan.

4

Projek Tanaman Ubi Kayu PPK Sepang

Oleh: Abdul Razak Mat Yusuff (PPK Sepang)

Ubi kayu mengembalikan nostalgia kita ke zaman pemerintahan Jepun di Tanah

Melayu dahulu. Masa itu ubi dimakan sebagai pengalas perut kerana beras amat sukar diperolehi akibat perang. Walaupun 6 dekad telah berlalu yang pastinya ubi kayu masih relevan dalam diet pemakanan kita hari ini. Ubi kayu yang menjadi satu industri disekitar tahun 1970an untuk menghasilkan tepung ubi telah ditambah nilai menjadi kudapan eksklusif di hotel dan daripada proses bioteknologi, ubi kayu menjadi bahan yang paling berharga untuk kehidupan moden kini.

Daripada sifat biologi yang diketahui, ubi kayu sesuai ditanam di kawasan iklim tropika. Bagaimanapun ia boleh tumbuh dengan baik diiklim sub tropika. Dengan kata lain tanaman ini tidak memerlukan iklim yang spesifik untuk pertumbuhannya. Namun demikian ubi kayu akan tumbuh dengan baik pada iklim dan tanah yang mendapat taburan hujan 750 -1000 mm/setahun dengan ketinggian di bawah 1500 meter dari paras laut serta suhu 25 -30 darjah Celcius.

Jika diteliti ubi kayu adalah antara tumbuhan amat mudah ditanam. Dengan keadaan tanah di Malaysia, cuma patahkan batang pokok tersebut dan cacak

ke bumi

nescaya ia akan hidup tetapi untuk menghasil ubi yang berkualiti amalan agronomi pertanian mesti dipatuhi. Kalau tanam sekadar untuk dimakan pucuk mungkin tiada masalah.

Ubi kayu boleh dipelbagaikan dalam masakan. Selain dijadikan juadah seperti ubi rebus, pengat ubi, tapai dan sebagainya, pucuknya juga boleh dijadikan sayuran serta dipelbagaikan dalam masakan. Khasiat yang diperolehi menyebabkan ia kini dijadikan sayuran eksotik dan telah mula memasuki hotel-hotel dan restoran eksklusif (From farm to table).

Dengan hanya menanam ubi kayu atau mempelbagaikan kegunaanya melalui amalan pertanian yang baik seseorang mampu menjadi usahawan dan jutawan. Buktinya di Daerah Sepang terdapat 57 pengusaha makanan ringan yang menggunakan bahan mentah daripada ubi kayu dan ada diantara mereka menggunakan kira-kira 5 metrik

5

tan ubi sehari bagi menghasilkan kerepek. Cuba kita bayangkan 5 metrik tan ubi kayu apabila diproses akan menghasilkan 1.75 metrik tan kerepek dan setan kerepek dipasarkan dengan harga RM6,000.00 setan, agak lumayan, bukan!

Di Daerah Sepang penanaman ubi kebanyakannya digunakan untuk industri pembuatan kerepek. Untuk menghasilkan kerepek, ubi kayu jenis medan atau jenis ubi kuning (Manihot esculenta) digunakan. Ubi kayu yang ditanam di tanah gambut lebih sesuai untuk dibuat kerepek kerana hasilnya lebih rangup dan menghasilkan warna menarik. Walaupun menanamnya mudah tetapi sekiranya aspek kualiti ubi tidak diambil kira kerepek yang dihasilkan akan berwarna coklat dan bukan kuning keemasan.

Memandangkan kerepek mendapat permintaan yang tinggi di luar negara kerana keasliannya berbanding cip kentang, maka kualiti perlu dijaga. Kerepek ini pula telah dipelbagaikan dari segi bentuk dan rasa untuk menarik pengguna mencubanya mengikut citarasa masing-masing. Oleh itu tidak hairanlah mitos yang mengatakan makan ubi kayu boleh kembung perut dan makanan orang kampung adalah tidak tepat kerana ianya telah dijadikan kudapan di hotel-hotel dan telah dieksport keluar negara. Dalam industri bioteknologi, ubi kayu banyak digunakan untuk menghasilkan bahan perisa makanan seperti mononatrium glutamate dan penghasilan glukos. Kanji daripada ubi yang dihasilkan selain dijadikan tepung untuk penghasilan bahan makanan terutamanya bihun

dan kuih-muih, ia juga boleh menghasilkan bahan sampingan daripadanya seperti dijadikan kertas dan makanan ternakan.

Ubi kayu juga boleh dijadikan sumber hidrokarbon untuk menghasilkan etanol sebagai bahan bakar. Pada masa depan ubi kayu berpotensi sebagai sumber pengganti bahan api seperti bio diesel daripada minyak kelapa sawit. Penanaman ubi boleh dipertingkatkan sesuai dengan pertumbuhannya yang toleran dengan tingkat kesuburan yang rendah terutamanya kawasan tanah terbiar.

Permintaan ubi kayu untuk industri kerepek ini telah mendorong Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang membantu ahli-ahlinya dalam penanaman ubi kayu. Menurut Encik Abdul Razak Mat Yusuff, Pengurus Besar PPK, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah memperuntukan sebanyak RM93,000 dalam bentuk penyediaan infrastruktur dan input pertanian pada tahun 2007. Seramai 8 orang peserta telah terpilih dengan melibatkan keluasan 20 hektar untuk ditanam di Tapak tanaman Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sungai Blankan, Sepang, Selangor.

Tanah yang disewa oleh peserta dengan kadar RM200.00 setahun daripada pengurusan TKPM telah mula diusahakan pada bulan Mei 2007. Jangkaan pengeluaran hasil memakan masa selama 8 ke 10 bulan. Pada bulan Mac 2008, projek telah mula mengeluarkan hasil. Melihat kepada kejayaan tanaman ubi kayu fasa pertama ini, LPP telah meluluskan peruntukan untuk 6 orang lagi peserta dengan keluasan 7.2 hektar yang

6

melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM40,000.

Walaupun peruntukan daripada LPP terhad tetapi penanaman ubi kayu untuk tujuan kerepek di daerah Sepang semakin berkembang dan tertumpu di kawasan TKPM yang berkeluasan 400 hektar dan kawasan Agrotek seluas 100 hektar. Kawasan ini pada asalnya dikhaskan dengan tanaman tertentu tetapi telah ditanam dengan ubi kayu dan diusahakan oleh ahli PPK Sepang.

Pemasaran ubi kayu diuruskan oleh PPK Sepang. Ini bertujuan untuk membuat potongan kepada kredit yang telah dikeluarkan. Di samping itu pendapatan yang diperolehi akan disimpan sebagai tabungan agar projek terus berkesinambungan dan bakinya akan dipulangkan kepada peserta.

Dengan anggaran pengeluaran 400 metrik tan sepusingan, peserta dijangka akan memperolehi pendapatan sampingan sebanyak RM1800.00 sebulan. Daripada pengeluaran tersebut diharap ianya dapat menampung keperluan pengusaha-pengusaha kerepek setempat.

Bagi memastikan tanaman ubi kayu sentiasa berterusan dan tidak menghadapi masalah pemasaran, satu perjanjian persahaman telah dibuat diantara PPK Sepang yang mewakili pihak peserta dengan pembeli yang terdiri dari pengusaha-pengusaha kerepek daerah Sepang. Seramai 57 orang pengusaha di Daerah Sepang ini adalah terdiri daripada usahawan peladang yang menjadi ahli

dan pernah mendapat peruntukan melalui Program Pembangunan Usahawan Peladang dan Program Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Daripada jumlah tersebut 25 orang darinya adalah pengusaha kerepek yang terletak di kawasan pengendalian PPK Sepang dan program ’Homestay’ iaitu di Unit Peladang Hulu Chucuh, Bukit Bangkong dan Ulu Teris atau lebih dikenali sebagai ’ HOMESTAY BANGHURIS’. Untuk merealisasikan ladang kontrak ini, satu majlis menandatangani Perjanjian Persahaman (M.O.U) untuk program pengeluaran dan pemasaran yang lebih sistematik telah diadakan pada 16 April 2008 di PPK Batu Laut dengan disaksikan oleh pihak FAMA dan Y. Bhg. Dato’ Haji Abd Rahim bin Haji Ahmad, Ketua Pengarah LPP.

Penggunaan hasilan daripada ubi kayu tidak pernah mencukupi untuk kegunaan dalam negara. Hampir 100,000 tan kanji ubi kayu terpaksa diimpot dari Thailand setiap tahun. Penurunan yang ketara daripada 20,000 hektar pada pertengahan tahun 70an kepada 4,000 hektar pada tahun 2000 menunjukkan penggunaan ubi kayu masih relevan untuk permintaan tempatan. Benarlah peribahasa orang dahulu ’Diam-diam Ubi Berisi’. Dengan penggunaan yang dipelbagaikan daripada juadah dan kudapan eksklusif kepada produk bioteknlogi seterusnya sebagai pengganti bahan api, masa depan ubi kayu tidak boleh dipandang ringan seperti ringannya kerepek tetapi telah dikomersialkan sehingga merentasi benua Eropah dan Jepun.

7

TANAMAN PISANG SECARA BERKELOMPOKOleh: Ahmad Farhan bin Kamaradin (LPP Kedah)

Sentiasa gigih berusaha dan akan merebut peluang yang ada merupakan kunci untuk mencapai

kejayaan. Tiada alasan mengapa kejayaan tidak boleh diperolehi setelah segala bentuk kemudahan yang disediakan oleh kerajaan terhidang begitu banyak. Pelbagai jabatan dan agensi kerajaan diwujudkan bagi membantu terutama kepada rakyat yang memerlukan bantuan. Pucuk pangkalnya, tanya diri sendiri samada peluang yang terhidang ingin direbut atau dibiarkan berlalu sahaja.

Demikianlah kata-kata semangat yang menjadi bekalan oleh lima orang sahabat karib. Mereka adalah empat orang anak muda beserta seorang usahawan yang telah lama berkecimpung dalam bidang pertanian. Kelima-lima rakan karib ini bersetuju memilih Mohamad Hassan bin Mohamad Rawther mengetuai mereka dalam usaha tani ini. Pemilihan Mohamad Hassan sebagai ketua disebabkan pengalaman beliau dalam bidang pertanian dan pernah memenangi anugerah Peladang Jaya Muda (PJM) Peringkat Negeri Kedah pada tahun 2005. Mohamad Hassan berumur 43 tahun dan empat lagi rakan peladang yang terlibat ialah Halim bin Ahmad (48), Ziyadi bin Hamid (39), Sulaiman bin Mohamad Rawther (38) dan Mohd Yusof bin Mansor (51).

Semangat yang ditunjukkan dan minat mendalam terhadap bidang pertanian ini cukup membanggakan. Perjalanan hidup sebagai peladang bukan bidang baru yang mereka pilih. Beberapa tahun kebelakangan, mereka telah mengusahakan tanaman ubi kayu dan pisang secara kecil-kecilan di atas tanah masing-masing. Kalau diamati konsep “Pertanian Adalah Perniagaan”, tanah yang kecil tidak ekonomik untuk dimajukan, lebih kepada memenatkan badan daripada memperolehi pendapatan yang baik. Kemudian mereka berusaha membesarkan projek tanaman mereka dan berjaya mendapatkan tanah-tanah kosong untuk disewa.

Kejayaan awal yang mereka kecapi telah memberi rangsangan untuk terus melangkah lebih jauh lagi. Ini sekali gus menjadi motivasi kepada mereka dan menanam azam yang kuat bagi memperluaskan projek tanaman yang mereka sedang usahakan sekarang. Mereka sedar bahawa kerajaan turut menekankan kepada pengeluaran dalam bidang pertanian. Mereka juga tahu bahawa kerajaan telah menjadikan pertanian sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara. Ini membuatkan mereka ingin menyahut cabaran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam melahirkan 10,000 usahawan peladang

8

sebagai pemangkin kepada program pemodenan dan transformasi sektor pertanian menjelang 2010.

Kegigihan dan kesungguhan mereka mendapat perhatian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling, Kedah dan dipilih sebagai usahawan bimbingan PPK. Golongan peladang beginilah yang menjadi perhatian PPK kerana sanggup berusaha memajukan diri sendiri dan tidak mengharapkan bantuan semata-mata. Mereka telah bersetuju untuk mengembangkan daya usaha mereka dengan projek tanaman pisang berangan secara berkelompok di bawah bimbingan pertubuhan peladang melalui pembiayaan LPP.

Mereka merupakan ahli PPK Baling dan mewakili Unit Peladang Kampung Lanai, yang merupakan salah satu unit daripada 59 unit peladang di PPK. Ini menunjukkan mereka begitu yakin dan percaya dengan kepimpinan organisasi yang mereka naungi yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada mereka.

Usaha tani mereka bersama PPK Baling bermula apabila PPK membuat cadangan kepada LPP untuk memajukan tanah dengan tanaman pisang. PPK telah mengenalpasti usahawan-usahawan yang berpotensi yang bersetuju bekerjasama dengannya melalui konsep perladangan kontrak. Setelah dipersetujui, kertas kerja yang dikemukakan menunjukkan projek tersebut berdaya maju, maka projek tanaman pisang berangan ini bermula pada tahun 2007, apabila LPP telah memberi kelulusan peruntukan sebanyak RM70,000 di bawah program peningkatan bahan makanan asas.

Peruntukan yang disalurkan adalah untuk membiayai kemudahan infrastruktur ladang seperti membuat pembersihan kawasan, membina jalan ladang, membuat penyediaan tanah dan membina pagar kawasan. Peruntukan tersebut juga digunakan untuk membeli enjin pam air dan alatan ladang yang berkaitan. Bagi memastikan projek ini berjalan lancar, PPK Baling menyediakan sebahagian dari 10 perkhidmatan yang ditawarkan seperti menyalurkan bantuan input pertanian seperti benih-benih pisang, baja tanaman serta racun kawalan rumpai dan serangga. Bantuan yang diterima ini telah memberikan suntikan semangat kepada mereka untuk meningkatkan usaha dalam bidang pertanian dan menjadi contoh kepada masyarakat sekeliling.

Bagi memastikan pelaksanaan projek tanaman pisang berangan ini berjalan secara berterusan, beberapa langkah telah diambil oleh PPK Baling yang diketuai oleh Encik Ahmad Hanafi bin Ismail sebagai Pengurus Besar dan dipantau secara dekat oleh Pengurus Projek. PPK menekankan kepada kaedah pengurusan yang sistematik dengan mengwujudkan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dalam projek berkenaan bagi memastikan projek berjalan lancar dan berjaya.

Dengan cara ini, terbukti bahawa projek tanaman pisang berangan ini bukan sahaja telah mengeratkan hubungan akrab antara peladang dengan pengurusan PPK, malahan juga telah berjaya menghubungkan semangat kerjasama diantara jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Projek dilaksanakan atas semangat MoA Inc berdasarkan kerjasama bersepadu antara

9

LPP, Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Cara PPK Baling menangani pelaksanaan projek tanaman pisang ini telah menarik minat peserta-peserta projek yang terpilih. Langkah pertama yang dilakukan oleh PPK Baling ialah mengenalpasti lokasi projek dan kesesuaian iklim serta tanah. Apabila tanah telah dikenalpasti, tuan tanah akan dihubungi dan PPK akan berunding bagi menyewa tanah pertanian tersebut untuk diusahakan. PPK Baling dan tuan tanah akhirnya bersetuju dengan kadar sewaan RM100.00 setahun bagi setiap relong dan disertakan dengan surat perjanjian sewa tanah selama 5 tahun. Sewaan tanah tersebut boleh dipanjangkan dengan persetujuan bersama antara PPK dan tuan tanah apabila tempoh sewaan sekarang tamat.

Seterusnya sebelum projek bermula, ilmu yang secukupnya diperlukan supaya peserta-peserta dapat memahami kaedah pengendalian projek. Peserta-peserta didedahkan dengan kursus dan latihan dalam pelbagai aspek terutamanya aspek teknikal tanaman pisang dan pengendalian di ladang. Kursus-kursus ini dijalankan dengan kerjasama antara PPK Baling dengan jabatan dan agensi yang berkaitan. Lawatan ke projek yang berjaya juga dirancang bersama dengan peserta supaya dapat mempelajari aspek sebenar di ladang.

Setelah semua perkara berkaitan pelaksanaan projek diselesaikan, pihak pengurusan PPK Baling akan menyerahkan tanah yang disewakan kepada peladang untuk diusahakan dengan syarat-syarat tertentu. PPK Baling menetapkan supaya projek tanaman pisang berangan yang diusahakan ini dilaksanakan mengikut sistem giliran atau berperingkat. Ini bertujuan bagi membolehkan pengeluaran buah dapat dirancang dengan sempurna. Dengan cara ini, pemasaran dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan sistematik tanpa adanya lambakan. Di samping itu, kaedah ini dipercayai dapat mengurangkan serangan penyakit pada pokok pisang.

Buat masa ini, keluasan projek tanaman pisang yang diusahakan ialah 5 hektar dengan 2,500 hingga 3,000 pokok pisang berangan. Sekiranya diuruskan melalui amalan pertanian baik, ianya akan dapat

10

menghasilkan pendapatan yang agak lumayan kepada pengusaha. Pokok akan matang dan menghasilkan buah yang boleh dipasarkan dalam tempoh 8 hingga 9 bulan.

Sebagaimana projek-projek pertanian lain, PPK Baling akan memastikan projek tanaman pisang ini berjalan dengan sempurna dan berterusan. PPK Baling akan membuat pemantauan dan memberikan khidmat nasihat yang perlu kepada peserta-peserta projek. Pengurus Projek PPK bertanggungjawab dari segi kawalselia projek. Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Projek yang melibatkan peserta-peserta, wakil Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan pihak pengurusan PPK Baling akan diadakan setiap 2 bulan sekali. Melalui mesyuarat berkenaan, ianya dapat mengenalpasti perkembangan projek. Setiap peserta juga dikehendaki melaporkan perkembangan yang berlaku sepanjang tempoh perlaksanaan.

Peserta-peserta akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawasan tanaman mereka dan PPK akan memastikan projek dilaksanakan secara sepenuh masa. Peserta yang gagal mematuhi syarat ini akan diganti dengan peserta yang lain. Setiap peserta perlu terlibat dari peringkat awal tanaman sehingga kepada tuaian hasil. Projek yang dijalankan ini apabila diberi tumpuan secara serius adalah diyakini akan mencapai kejayaan.

Hasil tanaman daripada projek ini akan dipasarkan melalui FAMA sebagai pemasar induk. Di bawah program perladangan kontrak yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, pihak FAMA akan mengurus dan mengkelasifikasikan buah pisang berangan mengikut gred yang ditetapkan. Harga buah pisang ditetapkan atas persetujuan bersama. Pemasaran pisang daripada projek ini akan dikawalselia oleh PPK Baling yang menjadi orang tengah kepada peladang.

Apa yang menarik, PPK juga mempunyai bengkel pemprosesan kerepek yang terletak di Carok Kangar. Oleh yang demikian, sebahagian daripada hasil tanaman pisang ini dirancang akan di hantar keperusahaan kerepek pisang. Dengan kejayaan tersebut, fokus PPK untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat melalui projek pertanian dalam usaha meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat setempat akan tercapai.

11

Sistem Kawalan Dalaman yang efektif adalah sangat penting dalam menangani perubahan

dan pembangunan ekonomi yang berlaku dalam PP. Persaingan perniagaan untuk mendapat keuntungan perolehan yang tinggi telah menyebabkan pengurusan PP kurang memberi tumpuan kepada Sistem Kawalan Dalaman PP yang berkesan. Pengurusan PP hendaklah mengambil tindakan untuk memperbaiki Sistem Kawalan Dalaman PP supaya kesilapan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dapat dapat dielakkan.

Sistem Kawalan Dalaman ialah satu proses berterusan pengurusan sesebuah organisasi bagi memastikan objektif berikut tercapai:

a. Gambaran akaun dan maklumat kewangan PP yang benar, telus dan dipercayai.

b. Kepatuhan kepada undang-undang dan peraturan PP.

c. Dasar dan prinsip perakaunan yang diterimapakai.

d. Mengawal dan menjaga sumber aset dan operasi PP secara cekap dan berkesan.

Tanggungjawab Sistem Kawalan Dalaman PP

Sistem Kawalan Dalaman adalah satu aspek penting di bawah tanggungjawab pengurusan PP. Jemaah Pengarah bersama Pengurus Besar PP

SISTEM KAWALAN DALAMAN PERTUBUHAN PELADANG

Oleh : Wan Salahuldin Wan Mohd Rashdi (PPK Cameron Highlands)

bertanggungjawab mewujudkan Sistem Kawalan Dalaman PP efektif yang dapat dlaksanakan dengan baik.

Sistem Kawalan Dalaman PP adalah termasuk perkara-perkara seperti berikut:

a. Pelan Pengurusan Organisasi PP.b. Manual Prosedur Kerja bagi

menjalankan tugasan pegawai PP.c. Kawalan terancang bagi perlindungan

dokumen, rekod dan aset PP yang bernilai.

d. Penyelenggaraan rekod dan akaun PP yang tepat dan terperinci.

e. Maklumat transaksi dan laporan prestasi aktiviti projek PP.

f. Pematuhan kepada dasar, panduan, amalan tadbir urus dan undang-undang PP.

Jenis Sistem Kawalan Dalaman PP

a. Kawalan Pentadbiran PP

Kawalan Pentadbiran PP mengandungi perancangan organisasi dan semua jenis prosedur kerja yang berkaitan dengan operasi pematuhan kepada sistem rekod dan proses

12

membuat keputusan sehingga ke peringkat membenarkan kelulusan transaksi oleh pengurusan. Ini termasuk kawalan-kawalan lain seperti laporan prestasi kerja, kawalan kualiti dan analisa kewangan PP.

b. Kawalan Pencegahan PP

Kawalan Pencegahan PP adalah untuk mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku. Antara langkah-langkah kawalan pencegahan PP termasuklah menyediakan kawalan pintu keselamatan, peti besi, simpanan barangan berharga, insuran, pembahagian tugas dan tanggungjawab kuasa menandatangani dokumen dan kata laluan akses kepada sistem komputer PP.

c. Kawalan Pengesanan PP

Kawalan Pengesanan PP adalah untuk mengesan punca masalah yang berlaku dan mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab serta membuat penambahbaikan. Kawalan ini termasuk tugas dan tanggungjawab pentadbiran bagi menandatangani dan menyediakan dokumen, melaporkan sesuatu transaksi, laporan prestasi, analisa dan kemasukan di dalam buku daftar dan rekod penggunaan log komputer PP. c. Kawalan Perakaunan PP

Kawalan Perakaunan PP mengandungi perancangan organisasi dan semua jenis prosedur kerja berkaitan dengan keselamatan asas serta kesahihan rekod-rekod. Kawalan ini termasuk kebenaran kelulusan oleh pihak berkuasa, ketepatan merekod transaksi, akauntabiliti, pembahagian tugasan dan operasi, kawalan fizikal aset dan Audit Dalaman PP.

Pemeriksaan Sistem Kawalan Dalaman PP

Tujuan utama pemeriksaan Sistem Kawalan Dalaman PP adalah untuk memastikan perkara-perkara seperti berikut:

a. Keselamatan aset PP.b. Pengesanan kesilapan dan penipuan.c. Pencegahan dan pengesanan salahguna

kuasa.d. Kecekapan dan kepatuhan kepada aliran

kerja dan operasi.e. Kepatuhan kepada dasar pengurusan PP.f. Penyediaan pemerhatian audit bagi

mengesan transaksi dan urusniaga PP.

Ciri-ciri Sistem Kawalan Dalaman PP Yang Berkesan

a. Pelan Pengurusan Organisasi PP

PP perlu mengadakan suatu pelan pengurusan organisasi PP bagi menjelaskan tugas dan tanggngjawab setiap pegawai dan pekerjanya. Perwakilan kuasa dan tanggungjawab hendaklah dibuat dengan jelas bagi mengelakkan pertindihan dan kekeliruan dalam menjalankan tugas.

b. Panduan Prosedur Piawaian PP

Prosedur piawaian di peringkat operasi utama seperti pengurusan tunai, pinjaman, simpanan, pelaburan saham, hartanah dan penyenggaraan rekod adalah satu keperluan bagi mengekalkan konsistensi dan ketelusan. Prosedur piawaian hendaklah diluluskan oleh pengurusan PP dan dimaklumkan kepada semua anggota PP.

13

c. Pembahagian Tugas Pegawai

Pembahagian tugas dan tanggungjawab yang jelas boleh mengelakkan sebarang kesilapan, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan semasa seseorang individu memproses dan merekodkan transaksi. Kriteria penting pengasingan tugas adalah seperti berikut:

i. Pengasingan tugas penjagaan keselamatan simpanan wang tunai dan penyelenggaraan rekod perakaunan hendaklah dibuat oleh pegawai berlainan.

ii. Penurunan kuasa akan memberi tanggungjawab

kepada pemegang kuasa untuk melaksanakan semua transaksi secara berhemat. Penurunan kuasa merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Pengarah PP meluluskan dasar bagi membolehkan seseorang pegawai mengambil tindakan dalam bidang kuasa yang dibenarkan.

iii. Dokumen dan rekod transaksi perlu dibentuk dan dikemaskini dengan baik. Senarai akaun yang menunjukkan tajuk dalam Lejar Am adalah satu cara kawalan dokumen selaras dengan prinsip-prinsip perakaunan standard.

iv. Pengunaan peti keselamatan bagi menyimpan aset seperti wang tunai, sijil saham, geran, dokumen dan surat ikatan adalah kawalan fizikal yang penting.

v. Prosedur pengambilan kakitangan PP yang baik dan berdisplin. Pekerja yang dilantik mesti mempunyai kompetensi dan kemahiran setaraf dengan tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

vi. Sistem kawalan dalaman yang wujud hendaklah termasuk pemantauan oleh pegawai yang bertanggungjawab ke atas operasi harian PP.

vii. Penyeliaan berterusan dan semakan hendaklah dibuat oleh pengurusan PP ke atas perbelanjaan kewangan dengan Belanjawan Tahunan PP dan keberkesanan fungsi Audit Dalam PP.

viii. Seseorang pegawai yang menjalankan pemeriksaan penilaian prestasi ke atas mana-mana pekerja hendaklah bebas daripada pekerja berkenaan yang dipertanggungjawabkan dengan prosedur kerja yang berkaitan.

Tindakan Pengesanan Sistem Kawalan Dalaman PP

a. Ketegasan dan pendirian pihak pengurusan PP untuk melapor dan mengambil tindakan tatatertib ke atas pegawai dan kakitangan yang didapati melanggar peraturan dan undang-undang PP.

b. Peka dan mengambil tindakan susulan ke atas aduan dan laporan penyelewengan yang diterima.

c. Mengiktiraf dan memberi kerjasama kepada kakitangan PP yang melaporkan salahlaku dan penyelewengan.

d. Memikul amanah dan tanggungjawab akauntabiliti untuk memberi keterangan dan penjelasan kepada pihak atasan.

Tindakan Pemulihan dan Khidmat Nasihat

a. Kaunseling dan khidmat nasihat.b. Mentor dan khidmat bimbingan.

14

c. Penyeliaan dan pemantauan rapi.d. Kursus kemahiran dan motivasi.e. Perpindahan tempat kerja baru.f. Putaran kerja dan pembahagian tugas.

Fungsi Juruaudit Dalaman PP

a. Mengkaji secara kerap dan berjadual atas operasi dan Sistem Kawalan Dalaman PP.

b. Menyediakan peningkatan berterusan ke atas kawalan dan prosedur pengurusan risiko kemungkinan ‘fraud’.

c. Penemuan audit sewajarnya dibincangkan diperingkat pengurusan dan tindakan dipersetujui sebagai jawab balas kepada syor yang dibuat oleh Juruaudit Dalaman PP.

Mekanisme Sistem Kawalan Dalaman Berkesan

i. Pegawai Penyelia Daerah LPP hendaklah mempunyai tahap pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk mencegah katidakpatuhan kepada undang-undang.

ii. Lawatan berkala dan tindakan susulan dalam bentuk pengesanan dan pemantauan kepada operasi dan aktiviti PP.

iii. Semak dan pastikan Sistem Kawalan Dalaman diamalkan di PP dengan menitikberatkan beberapa prosedur seperti:

a. Prosedur Pembayaran. b. Prosedur Pembelian. c. Prosedur Penggunaan Cek. d. Pengurusan Buku Tunai. e. Pengurusan Stok dan Inventori. f. Pengurusan Kredit Pinjaman PP.

iv. Penyeliaan dan pemantauan dilakukan melalui mesyuarat-mesyuarat di PP seperti berikut:

a. Membincangkan mengenai isu-isu penting PP.

b. Menyediakan kertas kerja cadangan dengan sempurna dan lengkap.

c. Membuat keputusan yang tidak bertentangan dengan undang-undang PP dan Keputusan Mesyuarat Agung PP.

d. Mencatat Minit Mesyuarat Jemaah Pengarah PP dengan betul berdasarkan keputusan yang telah dibuat.

v. Penyeliaan yang berkesan adalah merujuk

kepada latihan, khidmat bimbingan dan tunjuk ajar yang akan menjurus kepada peningkatan tanggungjawab, amanah dan kemahiran kepada anggota PP.

vi. Kesesuaian penempatan anggota dengan sesuatu tugas dan aktiviti yang dilaksanakan memainkan peranan yang penting dalam memastikan projek pembangunan dan aktiviti PP mencapai kejayaan.

Secara kesimpulannya sistem kawalan dalaman PP merupakan satu mekanisme yang dapat menentukan pergerakan PP itu sendiri samaada terus berdaya saing atau sebaliknya. Jika sistem tersebut diadaptasikan dengan sebaik mungkin PP akan terus melangkah ke hadapan seiring dengan kepercayaan ahli terhadap pihak yang bertanggungjawab akan menjadi lebih padu.

15

Penaung Dato’ Haji Abd. Rahim bin Haji Ahmad

Penasihat Haji Arpan Shah bin Satu

Hajah Mariam Mas bte Yaacob

Ketua Pengarang Haji Abd. Nasir bin Haji Ismail

Penyunting Azizan bin Othman

Rohman bin Jasmani

Edisi InternetHaninah bte Abd. Rahman

Diterbitkan Oleh:Lembaga Pertubuhan Peladang,

Blok C Utara, Pusat Bandar Damansara, Bukit Damansara,

50990 Kuala Lumpur.

Grafik/IllustratorRohman bin JasmaniKamaruzzan bin Hanif

Berita Transformasi Elektronikboleh dilayari di

http://www.lpp.gov.my

Borang Penyertaan dan Keterangan Lanjut Sila Rujuk :

Mohamad Zulkhairi bin Rosli = Bahagian KewanganAhmad Ariff bin Nordin = Bahagian LatihanMohd Faizal bin Mohd Noor = Bahagian KewanganIryan Miafarah bte Mansor = Bahagian Industri Asas Tani

Mihazriza bte Mohd Misli = Bahagian Pengeluaran LadangIbrahim bin Mohamad = Bahagian PerniagaantaniAnita bte Sanie = Bahagian Kewangan

16