produk-produk yang dicemari dengan bahan moh.gov.bn/sitecollectiondocuments/pdf/banned medicinal...
Post on 07-Feb-2018
241 views
Embed Size (px)
TRANSCRIPT
PRODUK-PRODUK YANG DICEMARI DENGAN BAHAN RACUN BERJADUAL, UBAT-
UBAT BARAT DAN BAHAN TERKAWAL YANG TIDAK DIISYTIHARKAN
Produk-produk yang tersenarai di dalam buku ini adalah produk-produk yang dilarang
penggunaannya di Negara Brunei Darussalam disebabkan ianya didapati dicemari dengan
bahan racun berjadual, ubat barat atau bahan terkawal yang tidak diisytiharkan.
Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan
penjualan produk-produk tersebut. Sehubungan dengan pencemaran ini, produk-produk
berkenaan adalah dilarang untuk diimport, dijual dan digunakan di negara ini.
Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan
secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ianya
adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana
produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah Akta berkenaan dan boleh
dikenakan denda sebanyak $ 8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.
Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang
membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika dia dapati bersalah,
akan didenda sebanyak $ 16,000 dan duabelas (12) bulan penjara.
Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut adalah
dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka
mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk
berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama dari orang ramai untuk melaporkan
kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan
masih dipasarkan di negara ini.
Untuk senarai yang terkini bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi atau
menyemak laman web Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam. Senarai produk-produk
ini akan sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa.
Untuk maklumat lanjut atau senarai yang terkini, orang ramai boleh menyemak laman web
Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam atau menghubungi Bahagian
Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-
mel kepada [email protected] atau berjumpa terus Pegawai
Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi,
Simpang 433, Lebuhraya Rimba, Kg Madaras, Negara Brunei Darussalam.
Bahan-bahan pencemar yang sering didapati dalam produk-produk kesihatan
Bahan-bahan pencemar yang didapati di dalam produk-produk kesihatan yang dilarang
boleh menyebabkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.Berikut adalah
sebahagian daripada bahan-bahan pencemar yang sering di kesan di dalam produk-produk
kesihatan.
Acetaminophen / Paracetamol
Acetaminophen adalah juga dikenali sebagai Paracetamol. Ia boleh diambil untuk rawatan-sendiri (self-medication) tetapi apabila perubatan tradisional tidak diisytiharkan mengandungi acetaminophen/paracetamol, pengambilannya yang berlebihan tanpa disedari boleh membawa kepada kerosakan hati, kegagalan buah pinggang, koma dan akhirnya kematian.
Aminopyrine Atau Dipyrone
Aminopyrine atau Dipyrone adalah bahan untuk ubat penahan sakit (pain killers) yang
mempunyai risiko tinggi dalam menyebabkan penyakit darah yang serius. Ini juga
mengakibatkan sistem imunisasi badan berkurangan dan seterusnya menyebabkan
jangkitan teruk dan boleh membawa maut.
Azaleic Acid
Produk yang mengandungi azelaic acid adalah digunakan untuk merawat masalah jerawat
dan rosacea dan juga adalah dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik. Produk
yang mengandungi azelaic acid hanya boleh digunakan di bawah pengawasan doktor.
Penggunaan azelaic acid tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang
disapu akan mengalami rasa terbakar, pedih, kering, mengelupas dan kemerahan.
Bisacodyl
Bisacodyl adalah ubat yang dimakan untuk merawat sembelit.Penggunaannya tanpa
pengawasan boleh menyebabkan kekejangan perut, merasa mual, muntah-muntah, cirit-
birit dan hypokalaemia (tahap potassium yang rendah).
Chlorpheniramine
Chlorpheniramine adalah ubat dalam kategori anti-histamine. Penggunaanya tanpa
pengawasan boleh menyebabkan kesan-kesan advers seperti pening, tekanan darah
menurun, denyutan jantung yang tidak menentu, kekeliruan, kemurungan dan sawan
adalah antara yang boleh terhasil dari penggunaan chlorpheniramine.
Cyproheptadine
Cyproheptadine digunakan untuk melegakan gejala-gejala alahan yang mana ianya
mempunyai beberapa kesan advers termasuk merasa mengantuk, kelemahan otot,
tekanan darah menurun, kabur penglihatan, kemurungan, meningkat selera makan dan
menambah berat badan.
Dexamethasone Dan Prednisone
Dexamethasone dan Prednisone adalah kortokosteroid yang mana penggunaannya secara
berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan paras glukosa dalam
darah yang mengakibatkan kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan
tulang, serta meningkatkan risiko jangkitan yang teruk.
Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan Cushings
syndrome yang mana dicirikan dengan muka bulat atau moon face, serta kegemukkan
pada bahagian badan dengan anggota tangan dan kaki yang kecil.
Pengambilan dos steroid yang tinggi dalam tempoh yang lama menyebabkan pengguna
mengalami gejala keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah rendah,
tekanan darah rendah dan dehidrasi.
Hydroquinone
Hydroquinone adalah bahan yang lazimnya digunakan untuk merawat penyakit kulit. Bahan
ini adalah dikawal di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 di mana
Hydroquinone adalah dilarang dalam produk kosmetik yang digunakan bagi penjagaan
kulit.
Penggunaan hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan hipersensitiviti pada
kulit, perubahan kepada warna kulit yang menyebabkan kulit secara beransur-ansur
menjadi kehitaman, dan meningkatnya risiko kanser kulit.
Lidocaine
Lidocaine adalah sejenis anaesthesia (ubat bius) yang mana kesan sampingannya adalah
pening, kebas, kekeliruan, masalah pernafasan, tekanan darah menurun, degupan jantung
yang perlahan dan hipersensitiviti.
Mercury
Tahap mercury yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh meyebabkan kulit kebas,
sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem
saraf. Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan
penggunaan mercury; yang boleh menggangu perkembangan otak kanak-kanak yang
masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.
Phenolphthalein
Phenolphthalein adalah sejenis bahan yang pernah digunakan dalam rawatan sembelit
akan tetapi penggunaannya sekarang telah dilarang kerana ianya boleh mengakibatkan
barah. Penggunaan berpanjangan boleh mengakibatkan cirit-birit serta kehilangan air dan
mineral dari badan secara berlebihan.
Phenobarbital
Phenobarbital adalah sejenis barbiturate yang digunakan untuk mengawal penyakit sawan.
Pengambilan phenobarbital tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan advers yang
serius seperti tekanan darah yang rendah, ataxia, gangguan pada tingkah laku, cepat
meradang, kemurungan, kelesuan, halusinasi, alahan pada kulit, hiperaktif terutamanya
pada kanak-kanak dan orang tua.
Phenylbutazone, Piroxicam Dan Diclofenac
Penggunaan Phenylbutazone, Piroxicam dan Diclofenac tanpa pengawasan boleh
menyebabkan ulser peptik, pendarahan gastro-usus, loya, muntah-muntah, ruam kulit,
kabur penglihatan, edema, penyakit kuning dan kegagalan buah pinggang. Phenylbutazone
juga sering dikaitkan dengan kesan sampingan yang teruk seperti penyakit darah yang
serius.
Salicylic Acid
Salicylic Acid adalah bahan yang boleh digunakan dalam produk kosmetik tetapi dalam had
dan kondisi yang dibenarkan seperti yang ditetapkan didalam Perintah Ubat (Produk
Kosmetik). Penggunaan produk yang mengandungi salicylic acid dengan tahap yang tinggi
boleh mengakibatkan kulit terasa gatal, kering dan merah.
Sibutramine
Sibutramine adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya
dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati.
Pengambilan sibutramine juga boleh menyebabkan kesan advers yang serius seperti
tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan
dalam kes-kes yang paling teruk, ianya boleh menyebabkan kerosakan pada buah
pinggang dan hati.
Sildenafil, Tadalafil dan Vardanafil
Sildenafil, Tadalafil atau Vardanafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk
yang mana pengambilannya memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan
apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan
dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar
biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.
Simvastatin
Simvastatin adalah merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk menurunkan paras kolesterol
dalam darah. Pengambilan simvastatin tanpa pengawasan boleh menyebabkan kesan sampingan
seperti sakit kepala, loya, sembelit, gatal/ruam, keletihan, gangguan tidur, te