pesawat mas mh370 ke beijing dilaporkan hilang

87
Pesawat MAS MH370 ke Beijing dilaporkan hilang KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan menara kawalan udara di Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal hari ini. Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal. Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat Boeing 777 itu tersebut berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi tadi. "Malaysia Airlines sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa yang telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat berkenaan," kata kenyataan itu. Syarikat penerbangan itu juga memberitahu akan memaklumkan perkembangan dari masa ke masa. Ia menasihatkan orang ramai untuk menghubungi talian +603 7884 1234 untuk mendapatkan maklumat lanjut. Berita Harian 8 Mac 2014 Insiden Kehilangan Pesawat MH370: Alat Pemancar Kecemasan Dikesan 300km Dari Pantai Vietnam PETALING JAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat pesawat MAS MH370 yang hilang di Laut China Selatan dikatakan telah mengesan isyarat Alat Pemancar Kecemasan (Emergency Locator Transmiter) kurang lebih 300 kilometer dari pantai Vietnam. Menurut sumber-sumber, pasukan menyelamat kini menjurus ke arah isyarat yang dipancarkan dari alat tersebut. Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya dalam satu sidang akhbar khas di KLIA lewat pagi Sabtu berkata, kali terakhir penerbangan MH370 berhubung dengan menara kawalan adalah pada posisi 120 batu nautika dari Kota Bharu, merentasi Laut China Selatan. "Ia merupakan kawasan sempadan laut Malaysia - Vietnam," katanya pada sidang media khas di KLIA, Sabtu. Beliau berkata, kerjasama akan dilakukan dengan pihak berkuasa Vietnam dalam usaha menjejaki pesawat tersebut.

Upload: awangku70

Post on 16-Dec-2015

67 views

Category:

Documents


8 download

DESCRIPTION

MH370(B)

TRANSCRIPT

Pesawat MAS MH370 ke Beijing dilaporkan hilangKUALA LUMPUR: Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan menara kawalan udara di Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal hari ini.

Penerbangan MH370 itu membawa 227 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal.Malaysia Airlines dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat Boeing 777 itu tersebut berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu dan dijangka mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi tadi.

"Malaysia Airlines sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa yang telah menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat bagi mengesan pesawat berkenaan," kata kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu juga memberitahu akan memaklumkan perkembangan dari masa ke masa.

Ia menasihatkan orang ramai untuk menghubungi talianGambar anak kapal pesawat MH370 yang terputus hubungan dengan menara kawalan awal pagi semalam (dari kiri atas) Zaharie Ahmad Shah (Kapten), Fariq Ab. Hamid (Pembantu), (bawah dari kiri) Goh Sock Lay (Ketua pramugari), Andrew Nari (Ketua pramugara)

PUTRAJAYA 8 Mac - Industri penerbangan Malaysia dikejutkan dengan kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada pukul 2.40 pagi ini.

Walaupun pelbagai spekulasi dibuat termasuk pesawat itu telah mendarat di Nanning di selatan China selain laporan bahawa ia terhempas di kawasan perairan Vietnam, namun pihak berkuasa termasuk pihak MAS telah menafikan dakwaan tersebut.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam dan dijadualkan mendarat di Beijing, China pada pukul 6.40 pagi.

Kali terakhir pesawat itu dikesan adalah pada kedudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara dan latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur.

Selain 38 warganegara Malaysia, lebih 150 warganegara China selain warganegara Indonesia, Australia, India, Perancis, Amerika Syarikat, New Zealand, Ukraine, Kanada, Itali, Belanda, Rusia dan Austria turut menaiki pesawat itu.

Kapal terbang tersebut dikemudi Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, yang mempunyai pengalaman terbang selama selama 18,365 jam dengan dibantu oleh Fariq Ab. Hamid

Cuaca dilaporkan baik ketika kejadian kehilangan dan juruterbang tidak pernah menghantar isyarat kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya turut menyatakan, syarikat itu menolak kemungkinan bahawa pesawat tersebut kehabisan bahan bakar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kerana ia memiliki kapasiti mencukupi untuk terbang sehingga pukul 8.30 pagi.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut mengumumkan penubuhan pusat koordinasi bagi menyalurkan maklumat mengenai kejadian itu dengan diketuai Jabatan Penerbangan Awam.

Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan dengan disertai oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain mendapat bantuan daripada Vietnam, Singapura, China dan Amerika Syarikat.

Beberapa laporan dalam laman sosial yang memetik laporan agensi berita asing turut mendakwa pesawat ditemui di Vietnam namun pihak berkuasa negara itu menafikan perkara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengesahkan untuk memperluaskan kawasan mencari pesawat MH370 dengan menambah bilangan aset yang dikerahkan melibatkan sejumlah 15 pesawat.

Dalam pada itu, suasana hiba menyelubungi KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing apabila saudara-mara penumpang MH370 tiba di kedua-dua lapangan terbang itu untuk menunggu berita terkini mengenai kejadian misteri tersebut.

Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut melawat keluarga penumpang di Anjung Tinjau di KLIA.

Utusan 8 Mac 2014

Ibu amat berharap anak perempuan ditemui selamat

JERLUN 9 Mac - Ibu seorang daripada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilapor hilang hari ini, amat berharap anak perempuannya itu ditemui dalam keadaan selamat.

Tan Tuan Lay, 53, berkata, anaknya Chew Kar Mooi, 31, ke Beijing atas urusan kerja dan beliau hanya mengetahui mengenai kehilangan pesawat itu pada kira-kira 9 pagi tadi melalui anak sulungnya, Chew Kar Hui, 33 .

"Sebelum Kar Mooi menaiki pesawat dia ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kakaknya bahawa pesawat yang dinaikinya akan berlepas.

"Selepas itu, kami tidak dapat apa-apa berita mengenainya sehinggalah anak

sulung saya beritahu pihak MAS mengarahkannya membawa pasport ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kami sekeluarga amat mengharapkan pesawat itu dijumpai dan anak kami selamat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat, Kerpan dekat sini, semalam.

Tan berkata, anak keduanya itu, yang bekerja sebagai pegawai bahagian pinjaman di Maybank Kuala Lumpur, merupakan seorang anak yang periang dan sering berkongsi masalah dengan keluarga.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah pada Tahun Baharu Cina lepas," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang pesawat itu Jee Jing Hang, 41, menghubungi ibunya yang tinggal di Jitra sebelum bertolak ke Beijing, pada kira-kira 11 malam tadi.

Abang mangsa, Jee Jing Hong, 42, berkata bagaimanapun adik lelakinya itu yang juga pengatur cara komputer dan memiliki syarikat sendiri di Seremban, tidak memaklumkan tujuannya ke Beijing. - BERNAMA

9 Mac 2014

Hasrat bulan madu di Beijing tidak kesampaian

GAMBAR kenangan majlis persandingan Mohd. Razahan (kiri) dan Norli Akmar. Mereka berdua antara penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang semalam.

KUALA LUMPUR - Hasrat sepasang suami isteri untuk berbulan madu di Beijing, China tidak kesampaian selepas pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang mereka naiki dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan awal pagi semalam.

Pasangan berkenaan pada mulanya merancang untuk berbulan madu di Cameron Highlands, Pahang namun menukar destinasi tersebut ke Beijing.

Mohammad Razahan Zamani, 29, dan Norliakmar Hamid, 33, yang mendirikan rumah tangga sejak Oktober dua tahun lalu merupakan antara 227 penumpang yang menaiki penerbangan berkenaan.

Bapa Norliakmar, Hamid Ramlan, 54, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu baru sahaja mengalami keguguran ketika usia kandungan mencecah dua bulan.

"Mereka ke Beijing untuk berbulan madu sambil mengubat luka hati yang dialami akibat keguguran itu," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Kosmo 9 Mac 2014

Kakak sudah lama rancang cuti ke China

Gambar ihsan daripada Hamid Ramlan ini menunjukkan anaknya, Norli Akmar Hamid (dua dari kanan) dan Muhd. Razahan Zamani (kanan) merakamkan kenangan bersama ahli keluarga mereka sebelum berlepas ke Beijing dari KLIA, pada malam 7 Mac lalu. - AFP

KUALA TERENGGANU 8 Mac - Pasangan Norli Akmal Hamid dan Muhd. Razahan Zamani antara penumpang pesawat Malaysia Airlines yang masih gagal dikesan lokasinya setakat ini, dikatakan telah lama merancang berbulan madu kali kedua di China.

Norli, 33, dan Muhd. Razahan, 23, yang belum mempunyai anak itu melangsungkan perkahwinan pada 6 Oktober 2012 dan mengimpikan percutian berkenaan setelah Norli mengalami keguguran.

Adik Norli, Mohd. Lokman, 31, memberitahu, kakak dan abang iparnya yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur telah lama merancang bercuti di Beijing.

"Bagaimanapun saya hanya tahu mereka berlepas pun melalui status (Facebook) kakak saya tengah malam tadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kokitab, Gong Badak dekat sini hari ini.

Pasangan itu adalah antara 227 penumpang termasuk dua bayi selain 12 anak kapal dalam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilapor hilang di perairan Laut China Selatan pada pukul 2.40 pagi tadi.

Kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu berkata, percutian itu boleh diibaratkan sebagai bulan madu yang dirancang selepas kakaknya mengalami keguguran sebelum ini.

Menurut Mohd. Lokman, dia mengetahui berita kehilangan itu melalui status yang dimuat naik salah seorang rakannya di Facebook awal pagi tadi sebelum memutuskan untuk menghubungi syarikat penerbangan untuk perkembangan lanjut.

"Masa saya menghubungi pada awalnya, syarikat penerangan belum dapat sahkan status tersebut (kehilangan pesawat MH370).

"Bila sudah terima pengesahan, hati saya rasa tak menentu dan saya cuba telefon mak dan adik-beradik lain yang menetap di Kuala Lumpur. Kini, saya cuma mampu doakan mereka berdua serta penumpang lain berada dalam keadaan selamat," ujarnya.

Kata Mohd. Lokman, spekulasi yang didengarnya melalui internet, televisyen dan media lain menimbulkan pelbagai perasaan yang sangat meresahkan.

"Ada yang kata dah mendarat di Naning (China), ada kata sebab masalah GPS (sistem penentu kedudukan global), jatuh di laut dan macam-macam lagi. Apa pun, saya harap semuanya dalam keadaan selamat," ujarnya.

Utusan 8 Mac 2014

Bulan madu pilu

Kuala Lumpur: Anak saya baru mengalami keguguran bulan lalu dan pemergian dia bersama suami ke Beijing, China pun kerana ingin berbulan madu selepas rancangannya untuk bercuti di Cameron Highlands dibatalkan.

Demikian kata Sarjan Hamid Ramlan, bapa kepada Norli Akmar Hamid, 33, yang terbabit dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, China awal semalam.

Norli Akmar bersama suaminya, Mohd Razahan Zamani, 23, yang berkahwin pada Oktober 2012 menaiki pesawat terbabit untuk bercuti di Beijing selama empat hari.

Hamid berkata, anak dan menantunya tidak menunjukkan perubahan dan ceria untuk berbulan madu ke sana.

Saya pula tersesat ketika menghantar mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan itu kali terakhir berjumpa anak saya dan menantu, katanya yang bertugas di Bahagian Tatatertib Bukit Aman.

Kosmo 9 Mac 2014

Hilang 29 rakan sekali gus

Petaling Jaya: Macam tak percaya apabila kami kehilangan ramai kakitangan pengurusan sekali gus. Sebaik tiba di kilang untuk memulakan syif pagi tadi (semalam) semuanya seperti biasa, sehinggalah kami mendapat e-mel daripada pengurusan.

Saya simpati dengan apa yang berlaku. Kebiasaannya memang syarikat menghantar pengurusan untuk urusan perniagaan ke China, tak sangka kali ini berakhir dengan berita sedih, kata kakitangan kilang Freescale Semiconductor yang mahu dikenali Amin.

Katanya, dia dimaklumkan rakan ketika tiba di tempat kerja pagi semalam dan terkejut apabila mendengar salah seorang daripada pengurus pengeluaran terbabit dalam nahas.

Menurutnya, dia mengenali pengurusnya itu sebagai seorang yang baik malah disenangi pekerja dan bersimpati dengan nasib menimpanya.

Semua staf menerima emel mengenai kejadian dan pengurusan menjelaskan masih menunggu perkembangan terkini mengenai kejadian itu, katanya.

myMetro 9 Mac 2014

Keluarga bekas CEO Celcom antara penumpang MH370

KUALA LUMPUR 9 Mac - Isteri dan anak pengerusi Kumpulan Modal Perdana, Datuk Mohamed Ramli Abbas merupakan antara 239 penumpang yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang semalam.

Adik ipar Mohamed Ramli, Salmy Hashim berkata, isteri bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom itu, Datin Biby Nazli Mohd. Hassim bersama dua anak perempuan mereka Maria dan Dina telah menaiki pesawat itu untuk bercuti ke Beijing.

Salmy yang merupakan pemberita sambilan Bernama di Washington, Amerika Syarikat memberitahu BernamaTV, turut serta bersama Biby dan keluarganya dalam penerbangan itu adalah kakaknya, Noorida.

Salmy berkata, beliau tidak menyangka perbualan menerusi laman sosial skype bersama dua kakak dan dua anak buahnya minggu lepas merupakan detik terakhir mereka berhubung sebelum dilaporkan hilang.

Beliau ketika dihubungi tidak dapat menahan sebak berikutan insiden yang menimpa keluarganya dan berkata: "Saya dapat tahu tentang kejadian ini malam tadi (waktu tempatan) bila anak saudara saya memanggil saya."

"Mak dia iaitu kakak saya, dengan dua orang anak dan kakak lagi seorang dalam pesawat. Jadi saya cuma tahu melalui telefon," kata Salmy yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik.

Salmy turut berharap agar pesawat itu ditemui dan kesemua penumpang berada dalam keadaan selamat.

Pesawat MH370 itu hilang daripada radar setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 pagi semalam menuju ke Beijing, China. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi waktu tempatan. - BERNAMA

9 Mac 2014

Pegawai Miti sah dalam pesawat MH370

Mohamad Sofuan Ibrahim bergambar bersama ibunya sebelum menaiki penerbangan pesawat MAS B777-200 dari Kuala Lumpur ke Beijing, China yang dipercayai hilang dari radar awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR - Pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Sofuan Ibrahim, disahkan berada di dalam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing.

Senarai nama terkini yang dikeluarkan Malaysia Airlines mendapati Sofuan merupakan antara 227 penumpang pesawat yang masih belum dikesan itu.

Terdahulu, seorang pegawai komunikasi korporat kementerian itu, Rashid Omar berkata Sofuan mempunyai tugasan rasmi di Beijing.

"Beliau mempunyai tugasan rasmi dan tidak melaporkan diri hari pertama bertugas di Beijing seperti yang dikhabarkan di media sosial," katanya kepada Bernama.

"Itu sahaja maklumat yang boleh saya berikan setakat ini. Sebagai rakan sekerja saya amat mengharapkan beliau selamat," katanya.

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi. Ia sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi. - Bernama

8 Mac 2014

Pegawai tadbir diplomatik MITI antara penumpang MH370

KUALA LUMPUR 8 Mac - Penolong Pengarah Dasar Pelaburan dan Fasilitasi Perdagangan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamad Sofuan Ibrahim adalah antara 239 orang yang berada dalam penerbangan MH370, pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan awal pagi ini.

Difahamkan, Mohamad Sofuan, 33, sepatutnya berlepas ke Beijing pada 7 Februari lalu atas urusan kerja namun terpaksa ditangguhkan kira-kira sebulan berikutan lapangan terbang di negara berkenaan ditutup kerana diliputi salji tebal.

Menurut rakan rapatnya yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, Mohamad Sofuan ditugaskan membuat kajian mengenai perniagaan selama enam bulan di Beijing.

Katanya, selepas itu Mohamad Sofuan akan pulang untuk menghantar laporan kepada MITI yang kemudian akan membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan beliau di China atau sebaliknya.

"Pada 6 Februari lalu, Mohamad Sofuan ada menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya mengatakan bahawa dia tidak jadi berlepas ke Beijing pada 7 Februari kerana tidak mendapat kebenaran daripada Kementerian Luar China.

"Dia kata Wisma Putra tidak benarkan dia pergi sehingga perkara itu diselesaikan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Shah, kali terakhir dia bertemu dengan Mohamad Sofuan adalah ketika keluar minum pada akhir Februari lalu dan ketika itu, mereka hanya berbual biasa sahaja dan tidak menyentuh langsung urusan kerja.

"Pagi ini saya amat terkejut selepas diberitahu oleh rakan-rakan bahawa Mohamad Sofuan merupakan antara penumpang dalam pesawat MH370 yang hilang itu.

"Saya nampak status terakhir dia di Wechat iaitu on board to Peking (di atas penerbangan ke Peking) kira-kira pukul 1 pagi dan kali terakhir dia aktif di WhatsApp adalah pukul 12.43 tengah malam," katanya.

Utusan 8 Mac 2014

Anak saudara KPD Kuching dalam pesawat

SUHAILI

KUCHING 8 Mac - Salah seorang daripada 227 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang hilang adalah anak saudara Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad.

Menurut Roslan, perkara itu disahkan oleh kakaknya, Rohani Ahmad yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menunggu perkembangan terkini.

"Saya diberitahu oleh kakak bahawa anak saudara saya, Suhaili Mustafa adalah antara penumpang pesawat MAS yang hilang itu. Mohon doakan semoga semuanya selamat," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Roslan, beliau akan mengambil cuti kecemasan untuk memberi sokongan moral dan membantu kakaknya yang merupakan ibu tunggal tersebut.

Sementara itu, Catherine Tamoh Liong, ibu kepada anak kapal MH370 berkenaan, Andrew Nari ketika dihubungi berkata, dia sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang Sibu untuk ke Kuala Lumpur.

Catherine yang enggan mengulas lanjut memberitahu, dia akan berjumpa dengan isteri dan anak-anak Andrew yang tinggal di sana.

Utusan 8 Mac 2014

Pasport curi dua individu diguna penumpang pesawat MH370

VIENNA/ROM 9 Mac - Dua individu masing-masing dari Itali dan Austria yang tersenarai sebagai mangsa yang menaiki pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang didapati hilang di Laut China Selatan awal hari ini, dipercayai masih hidup dan tidak menaiki pesawat berkenaan.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Itali, tiada rakyatnya menaiki pesawat itu, sebaliknya Luigi Maraldi, 37, disahkan tidak berada di dalam jet penumpang tersebut seperti disenaraikan oleh syarikat penerbangan berkenaan.

Sebuah akhbar Itali, Corriere Della melaporkan bahawa pasport milik Maraldi dipercayai hilang di Thailand pada bulan Ogos lalu.

Agensi berita ANSA pula melaporkan, ibu bapa Maraldi telah pun menghubunginya yang kini berada di Thailand dan mengesahkan anak mereka selamat.

Sementara itu, seorang warga Austria, Christian Kozel, 30, yang turut dilaporkan menaiki pesawat tersebut, dilaporkan selamat. - REUTERS

9 Mac 2014

Susulan kehilangan pesawat MH370

Sepang: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) belum dapat mengesahkan tumpahan minyak berhampiran perairan Vietnam mempunyai kaitan dengan pesawat MAS MH370 Boeing 777-200 yang hilang, awal pagi semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, laporan itu hanya dikeluarkan media Vietnam tetapi tiada pengesahan mana-mana pihak.

"Memang ada dilaporkan dalam media tetapi belum disahkan," katanya sambil memberitahu namun siasatan berhubung perkara itu dijalankan.

Dalam sidang media pagi ini, beliau turut menyatakan operasi diteruskan semula jam 7 pagi tadi menggunakan tiga pesawat.

Setakat ini operasi sepanjang malam semalam, katanya, tidak ada apa yang dapat dilaporkan, tiada yang dijumpai oleh pasukan yang berada di perairan sebelah Laut Cina Selatan atau tempat di mana dilaporkan pesawat hilang daripada radar.

"Seperti yang diberitahu, kita sudah meluaskan kawasan pencarian sehingga bahagian Timur Semenanjung Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai ketepatan sebenar pesawat itu hilang dari radar kerana MAS pada mulanya mengeluarkan kenyataan pada jam 2.40 pagi, katanya, waktu sebenar pesawat gagal dihubungi adalah jam 1.30 pagi.

Bagaimanapun, katanya, pihak DCA perlu memastikan maklumat itu terlebih dahulu dengan negara jiran iaitu Vietnam dan Singapura.

"Kita perlu sangat berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.

"Itulah sebab mengapa perlu mengambil sedikit masa.

Mengenai isu dua pasport penumpang didapati dicuri, katanya, siasatan dijalankan berhubung perkara itu.

Beliau turut ditanya mengenai dakwaan pesawat itu pernah terbabit nahas pada 2010 di China dan adakah ia kemungkinan penyebab insiden Sabtu lalu, katanya, siasatan akan dijalankan segenap aspek.

Azharuddin juga tidak mengesahkan dakwaan itu sebaliknya menyatakan siasatan juga menjurus ke arah itu.

"Ini antara aspek siasatan yang sedang kita jalankan. Saya tak boleh mengesahkan sekarang kerana sedang disiasat.

Wartawan: Adakah dokumen pesawat itu disiasat?

Azharuddin: Itu antara aspek yang disiasat. Kita ada semua rekod dari MAS tetapi siasatan sedang berjalan.

Wartawan: Berkenaan penemuan tumpahan minyak di perairan itu?

Azharuddin: Itu belum disahkan lagi, memang ada dilaporkan dalam media tetapi belum disahkan.

Beliau turut menjawab adakah operasi menggunakan kapal selam, katanya, setakat ini ia belum digunakan.

Katanya, operasi malam tadi hanya menggunakan kapal laut namun hari ini tiga pesawat turut digunakan.

Beliau turut menjelaskan data pesawat sememangnya dihantar mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) setiap masa dan tiada sebarang tanda tidak normal sebelum kejadian itu.

Sementara itu, mengenai keluarga penumpang yang menjadi mangsa, pihak MAS sudah mengambil langkah sewajarnya tanpa mengira warga negara.

Mengenai soalan kononnya pihak polis antarabangsa (INTERPOL), dua pasport tidak diperiksa, beliau membidas wartawan asing itu supaya mengesahkan dari mana maklumat itu diterima tetapi gagal dijawab wartawan asing terbabit.

myMetro 9 Mac 2014

Teori kehilangan pesawat MH370

Masalah teknikal

Pesawat MH370 mungkin mengalami masalah teknikal pada enjin yang kemudian melemahkan seluruh sistem pesawat sebelum menyebabkannya terhempas.

Kemungkinan besar pesawat itu menjunam ke laut dan sehingga kini belum dikesan pasukan penyelamat.

Antara masalah teknikal pada enjin yang boleh mengundang malapetaka ialah pesawat kehabisan minyak atau kehilangan kuasa enjin dan tujahan semasa terbang.

Kebakaran

Pesawat kemungkinan mengalami kebakaran yang boleh berpunca daripada enjin atau dari dalam kabin.

Kebakaran dari dalam kabin mungkin boleh berpunca daripada litar pintas atau peralatan elektronik dalam pesawat.

Pesawat juga boleh berdepan dengan gangguan telekomunikasi jika penumpang menggunakan gajet-gajet elektronik yang dibawa bersama semasa penerbangan.

Semua gangguan itu boleh mengundang malapetaka.

Cuaca buruk

Faktor ribut dan kilat boleh menjadi salah satu punca pesawat MH370 ditimpa kemalangan.

Sistem pada pesawat boleh terganggu sekiranya berlaku bencana seperti ribut yang menyebabkan hilangnya imbangan sebelum pesawat kemudian terhempas.

Tersasar penerbangan

Juruterbang mungkin tersasar daripada mengikuti radar semasa penerbangan hingga menyebabkan pesawat MH370 terputus hubungan dengan menara kawalan.

Juruterbang berkemungkinan tidak kembali kepada panduan penerbangan yang diberi oleh menara kawalan atau tidak kembali kepada sistem pengesanan global (GPS) yang terdapat pada pesawat hingga memungkinkan ia terhempas.

Rampasan

Pesawat mungkin dirampas oleh pihak pengganas yang kemudian telah meletupkannya.

Pengganas biasanya akan membuat sesuatu tuntutan jika mereka merampas pesawat dan tidak melakukan perkara itu jika tiada tujuan.

Kosmo 9 Mac 2014

Pesawat MH370 patah balik?

SEPANG 9 Mac - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan pesawat MH370 yang hilang pada pukul 1.30 pagi semalam berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum terputus hubungan.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud (gambar) berkata, perkara tersebut berdasarkan isyarat diterima oleh radar tentera yang mengesan kedudukan pesawat itu sebelum hilang.

"Salah satu kemungkinan mengenai kehilangan pesawat ini adalah berpatah balik ke KLIA berdasarkan isyarat diperoleh radar tentera dan buat masa ini kita akan bekerjasama dengan agensi antarabangsa bagi mendapatkan gambaran lebih jelas," katanya dalam sidang akhbar mengenai insiden kehilangan pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd., Ahmad Jauhari Yahya.

Sehubungan itu, Rodzali berkata, operasi menyelamat dan mencari akan diperluaskan di kawasan Laut China Selatan.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya juga telah mendapatkan bantuan dari Indonesia untuk menjalankan kerja mencari dan menyelamat itu.

Dalam pada itu, Zulkifeli berkata, pihaknya sedang menggiatkan kerja mencari dan menyelamat di kawasan perairan timur serta barat Semenanjung dengan bantuan pelbagai agensi dalam dan luar negara.

"Berikutan terdapat kemungkinan pesawat ini berpatah balik kita akan menggiatkan lagi operasi ini termasuk menggunakan helikopter dan fokus pada kawasan perairan di timur dan barat terutama Pulau Pinang," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifeli berkata, sebanyak 22 pesawat dan 40 kapal digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Beliau berkata, antara pesawat yang digunakan ialah milik TUDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Selain itu, kita juga mendapat bantuan pesawat dari negara jiran iaitu Thailand, Singapura dan Amerika Syarikat.

"Operasi menyelamat menggunakan kapal pula digerakkan oleh kapal milik TUDM, Maritim Malaysia dan 13 kapal milik negara jiran serta sebuah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya juga mendapat bantuan dari Vietnam yang menggerakkan pesawat sendiri untuk menjalankan operasi tersebut di kawasan perairan mereka.

Sumber Utusan dan myMetro 9 Mac 2014

Firma AS sahkan 20 kakitangannya adalah penumpang MH370

WASHINGTON: Syarikat semikonduktor Texas mengasahkan 20 kakitangannya adalah antara penumpang yang menaiki pesawat MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Freescale Semiconductor, Gregg Lowe berkata, 12 kakitangannya berasal dari Malaysia dan lapan lagi dari China.

Berita Harian 9 Mac 2014

Penumpang misteri dalam pesawat

Kuala Lumpur: Dua penumpang, masing-masing warga Itali dan Austria yang turut disenaraikan Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai penumpang yang hilang bersama pesawat MH370 di perairan sempadan Malaysia/Vietnam, pagi semalam, dipercayai tidak berada di atas pesawat itu.

Penggunaan identiti mereka oleh dua p enumpang MH370 menimbulkan persoalan sama ada kehilangan pesawat berkenaan ada unsur jenayah.Tiada dalam pesawat

Menurut Kementerian Luar Itali, warganya Luigi Maraldi, 37, yang disenaraikan sebagai penumpang MH370 seperti dikeluarkan oleh MAS, pagi semalam, tidak berada di dalam pesawat berkenaan.

Berita Harian 9 Mac 2014

Empat penumpang MH370 guna pasport palsu - Hishammuddin

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media di Hotel Sama-Sama, KLIA, hari ini berhubung pesawat MAS MH370 yang hilang. - Foto Abd Rahim RahmatSEPANG: Empat penumpang MH370 disahkan guna pasport palsu dan Unit Anti Pengganas dari negara terbabit serta FBI akan siasat secara bersama.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkembangan lanjut mengenai empat penumpang itu akan didedahkan dari semasa ke semasa selepas siasatan dijalankan.

Sementara itu, katanya, penyiasat Malaysia sudah bertemu rakan sejawat dari Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan fokus siasatan adalah terhadap seluruh senarai penumpang MH370.

Berita Harian 9 Mac 2014

Temui tumpahan minyak di Teluk Siam

Hong Kong: Tumpahan minyak sepanjang hampir 20 kilometer dikesan di perairan di antara Malaysia dan Vietnam petang semalam - dipercayai petanda pertama mengenai pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang.

Pengarah Penerbangan Awam Vietnam, Lai Xuan Thanh berkata kesan itu ditemui oleh tentera laut negara itu dan maklumat mengenainya sudah dimaklumkan kepada Malaysia dan Singapura. Kami masih meneruskan operasi mencari, katanya yang dilaporkan agensi berita antarabangsa, malam tadi. Lai berkata, dia tidak pasti sama ada lokasi tumpahan minyak itu berada berhampiran dengan Malaysia atau Vietnam.

Katanya, ia terletak di laluan masuk Teluk Siam. Sementara itu di Kuala Lumpur, seorang bekas pakar Mencari dan Menyelamat (SAR) berkata, berdasarkan pengalamannya kemungkinan besar pesawat B777-200 itu terjatuh di dalam laut.

Bekas Pegawai Kawalan Trafik Udara dan Pegawai Mencari dan Menyelamat (SAR), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar (B) Murali Bhaskaran berkata, ini kerana usaha mengesannya sukar selain mengambil masa yang lama. Menurutnya, setiap pesawat sudah dipasang dengan sejenis alat dikenali sebagai Transmitor Lokasi Kecemasan (ELT- 406MHz) yang akan memberi isyarat melalui satelit COSPAS SARSAT sekiranya berlaku kemalangan atau pesawat terhempas.

ELT terdapat pada bahagian kokpit dan bahagian ekor pesawat yang berfungsi menghantar isyarat ketika berlaku kemalangan. Isyarat kecemasan akan diaktifkan di satelit COSPAS SARSAT di mana ia akan diproses dan dihantar ke Local User Terminal (LUT) di darat dan diproses.

Isyarat itu kemudian dihantar ke Mission Control Centre (MCC) seterusnya ke Rescue Coordination Centre (RCC) untuk menghantar pesawat bagi penugasan menyelamat, katanya.

Katanya, isyarat itu akan diterima oleh satelit COSPAS SARSAT dan akan disalurkan kepada semua negara yang mempunyai sistem LUT dan SAR point of Contact ( SPOC) ke seluruh dunia sekali gus membolehkan mereka mengesan kedudukan sebenar pesawat.

Pesawat B777-200, penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing dilaporkan hilang ketika berada di ruang angkasa Ho Chi Minh pada 2.40 pagi semalam.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang, dua daripadanya bayi dan 12 anak kapal dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi semalam (waktu Beijing).

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Murali Bhaskaran berkata, sekiranya benar pesawat hilang di lautan, pasukan mencari dan menyelamat boleh mengesan kedudukannya berdasarkan kesan tompokan minyak atau serpihan pesawat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) boleh dilakukan di lokasi terakhir (Last Known Position) pesawat berkenaan berhubung dengan Pusat Kawalan Trafik Udara. Dalam kejadian ini, pasukan SAR dari Pusat Penyelamat Kecemasan Vietnam akan diaktifkan.

Manakala Agensi SAR Kebangsaan (Malaysia) akan memberi bantuan dan kerjasama dari pelbagai sudut. Operasi ini (Mass Rescue Operation) memerlukan perancangan yang sangat teliti, katanya.

Beliau yang juga Pengarah Global SAR Resources Sdn Bhd berkata, pesawat tersebut yang berdepan dengan masalah hanya mampu bertahan di udara selama tujuh jam sebelum kehabisan minyak atau melakukan pendaratan kecemasan.

myMetro 9 Mac 2014

Bekal untuk suami

Banting: Saya sempat masakkan sambal ikan bilis untuk abang sebagai bekal sepanjang dia di Beijing kerana dia akan bertugas di sana selama sebulan, kata isteri kepada Muzi Yusop, 50, antara penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Haniza Bachik, 47, berkata, dia banyak menyediakan kelengkapan makanan kerana khuatir perihal makan minum suaminya kerana ini kali pertama Muzi ke luar negara.

Difahamkan, Muzi yang bertugas sebagai pengurus pengeluaran di kilang Freescale Semiconductor di Petaling Jaya antara 29 kakitangan syarikat berkenaan yang dihantar berkursus di China selama sebulan.

Saya takut abang susah mendapat makanan yang sesuai di sana kerana ini kali pertama dia keluar negara.

Sebelum ini dia pernah bekerja luar, tetapi biasanya hanya di dalam negara, katanya yang menitiskan air mata ketika melihat gambar Muzi di kediamannya di Kampung Jenjarom, dekat sini, semalam.

myMetro 9 Mac 2014

Kapten MH370

Kuala Lumpur: Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang dalam perjalanan ke Beijing semalam dipandu oleh Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya.

Beliau berkata, Zaharie menyertai MAS pada 1981 dan mempunyai pengalaman terbang 18,365 jam.Katanya, pembantu juruterbang penerbangan MH370 ialah Fariq Ab Hamid, 27.

Fariq berpengalaman terbang 2,763 jam dan menyertai MAS pada 2007.

Pesawat Boeing 777-200 yang hilang itu berusia 11 tahun 10 bulan, kata Ahmad Jauhari.

Pesawat berlepas dari Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 6.30 pagi (waktu Beijing).

myMetro 9 Mac 2014

Sambut ulang tahun semalam

Sepang: Semalam adalah ulang tahun kelahiran beliau (mangsa) yang ke-52 dan saya sempat mengucapkan selamat hari jadi menerusi telefon bimbit.

Namun, saya terkilan kerana tidak berpeluang bertemu dan keluar untuk meraikannya bersama rakan lain, kata Ronnie Liu, 50-an, rakan kepada seorang penumpang pesawat MH370, Wong Sai Song, 52.

Menurut beliau yang juga bekas Exco Selangor, dia kali terakhir menemui sahabat baiknya yang berasal dari Raub, Pahang itu, dua minggu lalu.

Saya difahamkan beliau pergi ke Beijing, China, bersendirian atas urusan perniagaan.

Ketika menghadiri satu mesyuarat di Shah Alam, saya terbaca insiden pesawat itu di laman sosial Facebook dan terkejut mendapati nama rakan saya itu turut berada dalam senarai penumpang, katanya di perkarangan Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Ronnie berkata, mangsa bekerja sebagai pengurus kanan pemasaran di sebuah syarikat dan mempunyai isteri serta dua anak.

Menurutnya, dia bergegas ke KLIA untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai insiden berkenaan.

Keluarga mangsa juga akan datang seperti diminta Malaysia Airlines, katanya.

myMetro 9 Mac 2014

Ketua Polis Kuching risau nasib anak saudara

Sepang: Dia (adik) sepatutnya berada di sana (China) selama sebulan atas urusan kerja dipercayai berkaitan pembinaan sebuah kilang baru.

Selain itu, dia dikatakan turut membawa beberapa bekalan makanan seperti mi segera dan paket rendang segera, kata Lokman Mustapa, 40, abang kepada seorang penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di Vietnam.

Adiknya, Suhaili, 31, antara 38 warga tempatan yang menaiki pesawat berkenaan dalam perjalanan ke Beijing, China.

Menurut Lokman, adiknya yang bekerja di sebuah syarikat semikonduktor di Petaling Jaya itu masih bujang dan sentiasa menjaga ibu mereka.

Saya difahamkan dia pergi ke China bersama 15 rakan setugas atas urusan kerja, katanya yang terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, awal pagi semalam.

Beliau berkata, dia juga difahamkan ada satu keluarga lain yang mempunyai empat ahli keluarga turut menaiki pesawat sama dengan adiknya itu.

Sehingga kini, tiada apa-apa maklumat lagi dan keluarga kami masih menunggu berita mengenai adik saya itu, katanya di perkarangan Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Bapa saudaranya, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, semua ahli keluarganya masih trauma sebaik mengetahui pesawat dinaiki Suhaili hilang.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh kakaknya yang juga ibu Suhaili, Rohani Ahmad yang tinggal di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Saya masih terkejut dengan berita ini dan akan pulang ke Kuala Lumpur untuk memberi semangat kepada kakak yang juga ibu tunggal kerana difahamkan dia dalam keadaan trauma selepas mendapat berita insiden itu.

Saya belum dapat apa-apa maklumat kejadian ini dan difahamkan dua ahli keluarga setiap penumpang akan dibawa ke lokasi kejadian untuk perkembangan lanjut, katanya.

Roslan berharap semua penumpang dalam keadaan selamat selain meminta orang ramai jangan buat sebarang spekulasi kerana ia hanya mengganggu perasaan keluarga mangsa.

Katanya, apabila ada spekulasi mendakwa pesawat itu selamat mendarat di Namning, China, pagi semalam, dia sudah menarik nafas lega, tetapi sebaik mengetahui semuanya hanya khabar angin, perasaan risau itu semakin bertambah.

Perkara seperti ini tidak boleh dibuat main kerana ia serius terutama apabila mengetahui ada ahli keluarga menjadi penumpang pesawat yang hilang, katanya.

Menurutnya, ketika ini keluarganya berada di KLIA bagi menunggu perkembangan terkini berhubung nasib pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

myMetro 9 Mac 2014

Dia menantu baik

Sepang: Menantu saya pergi ke sana (Beijing, China) seorang diri atas urusan kerja. Saya tidak menyangka perkara sebegini menimpa keluarga kami, kata Puteh Idris, 68 ibu mentua Norfadzilah Mad Rahim, 37, penumpang MH370.

Puteh yang ditemui di Anjung Tinjau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini berkata, dia dihubungi Penerbangan Malaysia (MAS) jam 6.30 pagi semalam untuk memaklumkan mengenai insiden berkenaan.

Dia seorang menantu yang baik. Mereka mempunyai tiga anak lelaki dan seorang perempuan yang masih kecil, katanya yang tinggal di Kajang, Selangor.

Seorang lagi ahli keluarga penumpang iaitu abang kepada Suhaili Mustafa, berkata mereka diminta pihak MAS untuk bersedia dengan pasport masing-masing untuk berlepas ke lokasi nahas jam 6 petang semalam.

Dia yang enggan dikenali berkata, ibu dan abangnya yang bersetuju ke lokasi memandangkan hanya dua ahli keluarga yang dibenarkan.

myMetro 9 Mac 2014

SMS terakhir untuk ibu

Kuching: Kali terakhir dia menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya tengah malam tadi (semalam) memaklumkan sudah memasukkan wang ke dalam akaun bank, kata Tuai Rumah Tamoh Catherine Tamoh, 70, ibu kepada Andrew Nari, 50, seorang daripada 12 anak kapal pesawat MAS MH370 yang hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, semalam.

Menurut Catherine, dia tidak membalas SMS itu kerana mahu terus menghubungi anak sulung daripada empat beradik itu pagi semalam, tetapi gagal selepas beberapa kali mencuba.

Kira-kira jam 9 pagi, anak kedua yang berada di Kuala Lumpur menghubungi dan memaklumkan mengenai sebuah pesawat MAS dalam penerbangan ke Beijing gagal dikesan.

Apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu, saya tidak sedap hati dan terus menghubungi Andrew. Biasanya walaupun di luar negara, Andrew tidak pernah gagal menjawab panggilan telefon daripada keluarga, tetapi kali ini dia tidak dapat dihubungi.

Saya periksa waktu SMS dihantar iaitu jam 12 tengah malam, mungkin sebelum dia berlepas ke Beijing, katanya ketika dihubungi.

myMetro 9 Mac 2014

Rancang tamat zaman bujang

Kuala Lumpur: Pembantu juruterbang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, Fariq Ab Hamid, 27, dikatakan merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya yang juga juruterbang sebuah syarikat penerbangan swasta dalam masa terdekat.

Rakan baiknya, Edrin Nordin, 28, berkata perkara itu disuarakan Fariq ketika ketika mereka keluar bersama di sebuah pusat beli-belah di sini pada penghujung Februari lalu.

Pada pertemuan itu, dia (Fariq) ada memaklumkan perancangannya untuk menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihannya itu dalam tempoh terdekat.

Saya kenal kekasihnya itu yang juga juruterbang sebuah syarikat penerbangan swasta dan saya sangat gembira mendengar perancangannya itu. Tapi di tak beritahu lebih mendalam mengenai hal perkahwinan itu termasuk bila tarikh dirancang, katanya.

Menurutnya, Fariq yang berpengalaman terbang selama 2,763 jam dan menyertai Penerbangan Malaysia (MAS) pada 2007 memberitahu kerjayanya berjalan lancar dan tiada sebarang masalah.

Keadaan dia (Fariq) ketika itu juga tenang dengan wajah ceria. Sepanjang mengenalinya sejak lebih enam tahun lalu Fariq adalah seorang peramah, senang didekati dan rajin bekerja. Saya sungguh terkejut apabila diberitahu mengenai kehilangan pesawat MH370 kira-kira jam 10 pagi (semalam) dan saya rasa macam nak pengsan kerana hubungan saya dengan dia sudah seperti adik-beradik, katanya.

Edrin berkata, dia juga tidak menyangka tindakannya untuk menonton filem berjudul Non-Stop yang mengisahkan situasi pesawat terhempas pada malam sebelum kejadian akan membawa kepada insiden malang membabitkan rakannya itu.

Ketika menonton filem itu saya sedang terbayangkan dia kerana situasi dan jalan penceritaan yang dibawakan filem itu menyamai kerjaya Fariq sebagai juruterbang, katanya.

Menurutnya, Fariq adalah seorang penggemar kereta baru di mana dia dan rakannya itu akan bertemu pada hujung minggu termasuklah membincangkan mengenai perkembangan kereta sport dan kerjaya.

Saya juga rapat dengan adik Fariq iaitu Ariff Abdul Hamid, 26, serta mengenali keluarganya dan apabila ada kejadian seperti ini sukar untuk saya terima. Saya berdoa supaya Fariq dan penumpang lain ditemui dalam masa terdekat, katanya.

myMetro 9 Mac 2014

Laluan KL-Beijing paling sibuk

Kuala Lumpur: Laluan Kuala Lumpur-Beijing, adalah laluan yang dikira agak sibuk kerana setiap 10 minit akan ada pesawat dilihat di dalam radar.

Menurut seorang juruterbang yang 15 tahun berpengalaman menerbangkan pesawat komersial, selepas laluan Kota Bharu, setiap pesawat akan melepasi pusat menara kawalan di Igari dan Ho Chi Minh, Vietnam.

Saya selalu menggunakan laluan berkenaan ketika menerbangkan pesawat ke Beijing, katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebagai juruterbang jika berlaku sesuatu kecemasan, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sedia ada namun ia bergantung kepada situasi.

Katanya, situasi dihadapi berlandaskan kepada kiraan dilakukan berdasarkan bacaan meter bagi mengenal pasti tindakan susulan yang perlu diambil.

Beliau berkata, seseorang juruterbang juga terikat dalam undang-undang syarikat, pemerintah dan penerbangan.

Buku manual yang ada hanyalah sebagai panduan kerana teori dan praktikal adalah berbeza.

Namun apa saja tindakan seseorang kapten pesawat semasa menghadapi situasi genting bergantung kepada situasi dihadapi, katanya ketika dihubungi.

Menurutnya yang juga juruterbang terlatih Boeing, jika berlaku kecemasan untuk mendarat, kapten akan berbincang dengan krew sebelum membuat pengumuman kepada penumpang.

Selepas itu, kapten akan membuat kiraan kesan dan jangkamasa mendarat serta semua ini bergantung kepada keadaan serta bacaan semasa.

Di dalam kes pesawat B777-200, cuma kapten saja tahu apa berlaku kerana pesawat terhempas boleh jadi dirancang atau tidak dirancang, katanya.

Juruterbang itu berkata, bila berlaku kecemasan, terdapat dua jenis pendaratan iaitu mendarat di daratan dan di laut.

Selalunya sebuah pesawat boleh mengalami masalah kehilangan tenaga elektrik dan kuasa ketika berada di udara, katanya.

myMetro 9 Mac 2014

Hilang dari radar jika transponder dimatikan

JOHOR BAHRU 9 Mac - Radar pesawat MH370 yang terputus hubungan dengan menara kawalan kira-kira dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanya akan berlaku sekiranya sistem transponder pesawat itu dimatikan sama ada secara sengaja atau sebaliknya.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Ir. Istas Fahrurazzi Nursyirwan berkata, sistem transponder tersebut berfungsi sebagai radar yang membolehkan menara kawalan mengesan jejak sesebuah pesawat yang dalam penerbangan.

"Sistem transponder ini akan beroperasi sebaik sahaja sesebuah pesawat itu memulakan penerbangan dan mustahil (radar) boleh hilang begitu sahaja melainkan sistem tersebut dimatikan secara sengaja.

"Selain itu, sesebuah pesawat itu boleh gagal dikesan oleh radar sekiranya meletup di udara sehingga menyebabkan sistem transponder rosak dan tidak berfungsi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) yang dalam perjalanan ke Beijing, China dan membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pukul 2.40 pagi semalam setelah berlepas dari KLIA pukul 12.41 tengah malam.

Kali terakhir pesawat itu dikesan adalah pada kedudukan longitud 06 darjah 55 minit 15 saat Utara dan latitud 103 darjah 34 minit 43 saat Timur atau kira-kira 120 batu nautika di timur Kota Bharu di Laut China Selatan.

Istas yang berpengalaman dalam bidang kawalan kapal terbang dan trafik udara berkata, sekiranya pesawat itu menghadapi masalah atau terhempas, kapten pesawat masih sempat menghantar isyarat kecemasan kepada menara kawalan.

Utusan 9 Mac 2014

'Mak, jom!', ajak Muzi

Yusop dan Semah melihat gambar anak mereka, Muzi.

BANTING - "Mak, jom! Saya pergi dulu, ya," demikian kata-kata terakhir dilontarkan Muzi Yusop, 50, salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dilaporkan hilang kelmarin kepada ibunya sebelum dia bertolak ke KLIA.

Muzi bertemu kedua ibu bapanya di Kampung Jenjarom, dekat sini, sebelum berlepas ke KLIA bagi mengikuti rombongan kerja bersama rakan-rakan setugasnya ke Beijing.

Ibu Muzi, Semah Sidik, 70, berkata, dia tidak menyangka itulah kata-kata terakhir yang diungkapkan Muzi kerana sudah menjadi kebiasaan anaknya itu akan bergurau mengajak dia ke mana-mana.

"Rumah anak saya hanya lima meter dari rumah kami. Memang dah jadi kebiasaan Muzi kalau nak ke mana-mana dia akan singgah ke rumah kami dulu dan cakap pada saya, 'mak, jom'.

"Tapi saya memang tak sangka itu kata-kata terakhir selepas dapat tahu kapal terbang dia naiki hilang," katanya.

Menurut Semah, setiap kali anaknya mengajak, dia memang tidak akan ikut kerana perlu menguruskan suaminya, Yusop Tahir, 76, berulang alik ke pusat rawatan dialisis.

"Kelmarin bila dapat berita tentang pesawat tu, kami baru saja pulang dari pusat dialisis. Suami saya terus pengsan kerana terkejut," katanya yang masih sedih dengan kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.

Semah berdoa dan berharap semua di dalam pesawat itu selamat.

Sementara itu, isteri Muzi, Haniza Bachik, 47, ketika ditemui masih lagi diselubungi kesedihan dan tidak mampu berkata apa-apa.

Adik bongsu Muzi, Mohd Ezhar, 25, pula berkata, dia orang pertama yang memaklumkan kehilangan pesawat berkenaan kepada kakak iparnya.

"Saya bergegas ke rumah kakak nak maklumkan berita itu. Kami semua memang tak sangka pemergian abang buat pertama kali ke luar negara jadi begitu," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Jenjarom, Mamin Radiman berkata, beliau bersimpati dengan nasib ahli keluarga yang terlibat dalam kehilangan pesawat MH370 ke Beijing itu, lebih-lebih lagi melibatkan orang kampung di sini.

Katanya, Masjid Al Falah Kampung Jenjarom telah mengadakan solat hajat dan doa selamat, malam kelmarin.

Sebagai penduduk, kita harap jiran tetangga dapat doakan kesejahteraan keluarga penumpang yang terlibat dan memberi semangat supaya keluarga mereka dapat bertenang, katanya.

Sinar Harian 10 Mac 2014

'Pesawat terbang rendah dari biasa'

KOTA BHARU - Seorang nelayan di sini mendakwa melihat sebuah pesawat terbang lebih rendah daripada biasa di Laut China Selatan, kira-kira lapan batu nautika dari Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan, awal pagi kelmarin.

Azid Ibrahim, 66, berkata, dia melihat pesawat itu kira-kira jam 1.30 pagi semasa membawa lima kaki pancing di kawasan tersebut.

Menurutnya, pesawat itu terbang rendah menghala keluar dari negara ini menuju ke tengah laut.

Ketika itu hanya saya dan Pak Da (kawannya) sahaja yang melihat kapal terbang itu. Yang lain tidur. Biasalah kami nampak kapal terbang di kawasan ini kerana ia laluan utama, tapi kali ini ia lebih rendah daripada biasa.

"Saya tidak pasti berapa tinggi kapal terbang itu dari muka laut, cuma nampak lampu besar buah kelapa dan di bawah awan. Itu yang saya hairan, katanya ketika dihubungi, semalam.

Azid, yang sudah 10 tahun membawa kaki pancing ke laut berkata, dia hanya mengetahui mengenai kehilangan MH370 selepas mengikuti berita di televisyen, semalam.

Berikutan itu, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, petang semalam.

Saya hanya ingin beritahu apa yang saya nampak malam itu. Mana tahu ia boleh bantu (pasukan mencari dan menyelamat).

Sinar Harian 10 Mac 2014

Anak lelaki tunggal

Alor Setar: Mak dan ayah kami nak sangat anak lelaki sehingga mereka berniat. Alhamdulillah, Tuhan makbulkan, tetapi kini bimbang berlaku sesuatu yang buruk terhadapnya.

Begitu kata Mariza Ibrahim, 43, kakak kepada Mohamad Sofuan Ibrahim, 33, penumpang pesawat MH370 yang hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, awal pagi kelmarin.

Mariza yang juga seorang guru berkata, Mohamad Sofuan anak bongsu daripada lima beradik dan anak tunggal lelaki selain rapat dengan ibunya Wan Tom Wan Chik, 71.

Menurutnya, dia rasa sedih menerima berita kehilangan pesawat itu kerana adiknya antara penumpang, apatah lagi dia satu-satunya adik lelaki mereka.

Saya tak boleh bayangkan perasaan mak dan ayah termasuk kami empat beradik sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepadanya.

Kali terakhir kami adik- beradik berjumpa pada Disember lalu ketika mengadakan majlis kenduri doa selamat untuknya selepas dimaklumkan akan bertugas di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China.

Masa itu kami nampak dia ceria dan tiada perubahan pelik, mungkin dia teruja bekerja di sana (Beijing), katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Kelisa, di sini, sebelum bertolak ke Kuala Lumpur, semalam.

Mariza ke Kuala Lumpur bersama suaminya serta dua anak mereka dan kakaknya, Anita, 48.

Menurutnya, kali terakhir dia menghubungi Mohamad Sofuan beberapa jam sebelum pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Beijing.

Adik saya ditemani mak dan ayah Ibrahim Abd Razak, 72, ke lapangan terbang. Ketika saya menghubungi Mohamad Sofuan, dia berkata, sedang berjalan ke kaunter imigresen, namun saya sempat berpesan suruh jaga diri di sana, katanya.

myMetro 10 Mac 2014

Dia pelajar cerdik walaupun pendiam

Segamat: Pembantu juruterbang penerbangan MH370, Fariq Ab Hamid, 27, ketika di alam sekolah rendahnya pernah bercita-cita menjadi seorang jurutera seperti bapanya pada waktu itu.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggong Abdul Rahman Arbaaiah Masiran, 54, berkata, dia tidak sangka bekas anak muridnya itu memilih kerjaya sebagai juruterbang kerana berdasarkan rekod peribadinya di sekolah itu menyatakannya mahu menjadi seorang jurutera.

Menurutnya, dia tidak mengenali sesiapa yang berada dalam pesawat terbabit ketika peringkat awal kehilangannya dilaporkan.

Katanya, selepas melihat gambar Fariq disebarkan di laman sosial, dia mula menyedari pembantu juruterbang berkenaan mirip bekas anak muridnya.

Selepas itu, saya mula mencari beberapa rekod peribadi dalam simpanan dan meneliti gambar lama di galeri sekolah.

Kemudian baru saya dapat sahkan pembantu juruterbang terbabit Fariq, pernah bersekolah di sini, katanya ketika ditemui di pejabat SK Temenggong Abdul Rahman, di sini, semalam.

Hadir sama, Guru Besar SK Temenggong Abdul Rahman Ramlee Ramlan dan beberapa guru lain.

Menurut Arbaaiah, berdasarkan rekod yang ada didapati Fariq berada di Kelas 1 Matahari pada 1 Disember 1993 dengan nombor rekod pendaftaran murid 6,348 dan tarikh lahirnya pada 1 April 1987.

Menyemak kembali gambar lama kelas, terdapat seramai 25 murid di kelas terbabit dan kemudiannya mendapati seorang pelajar yang duduk di barisan hadapan sebelah kiri ketika itu Fariq.

myMetro 10 Mac 2014

Fariq teliti, berpengalaman

Kuala Lumpur: Personaliti terkenal CNN Richard Quest menyifatkan pembantu juruterbang pesawat MH370, Fariq Ab Hamid, 27, yang hilang awal pagi Sabtu lalu sebagai seorang yang sangat teliti dan berpengalaman dalam dunia penerbangan.

Quest mengimbau kembali pengalamannya menaiki pesawat Boeing 777-200 dikendalikan Fariq pada 19 Februari lalu menerusi penggambaran dalam program CNN Bussiness Traveler.

Menurut Quest yang juga wartawan perniagaan antarabangsa CNN dan penyampai Quest Means Business, ketika itu Fariq membantu menerbangkan pesawat dari Hong Kong ke Kuala Lumpur.

Jujur, saya amat suka cara dia (Fariq) mengendalikan pesawat di awan biru sehingga mendarat.

Ini kerana dia dapat melakukan pendaratan selamat dengan hanya di bawah pengawasan seorang juruterbang kanan serta kapten keselamatan, katanya yang dipetik menerusi CNN, kelmarin.

Mengikut rekod, Fariq pegawai pertama yang berpengalaman melakukan penerbangan 2,763 jam sejak menyertai Penerbangan Malaysia (MAS) pada 2007.

Dia sudah berjaya menerbangkan pelbagai pesawat dan beralih kepada Boeing 777-200 selepas tamat latihan dalam simulasi penerbangan.

Tambah Quest lagi, dia turut menggambarkan Fariq sebagai seorang yang sangat teliti kerana setiap apa yang dilakukan ketika itu seperti menuruti kehendak buku teks yang cukup sempurna.

Saya dimaklumkan, pegawai pertama dilatih dengan piawaian sama dengan kapten penerbangan.

Kapten lebih kepada mengawal, namun pegawai pertama sebenarnya berperanan menerbangkan pesawat, katanya.

myMetro 10 Mac 2014

Peniaga lihat pesawat terbang rendah

Pasir Puteh: Seorang peniaga mendakwa turut melihat sebuah pesawat terbang rendah di Kampung Kadok, Ketereh, dekat sini, seperti dua nelayan yang dipercayai menyaksikannya berhampiran Kuala Besar, Kota Bharu.

Alif Fathi Abdul Hadi, 29, mendakwa melihat cahaya putih lampu dipercayai milik pesawat yang kelihatan menjunam ke Laut China Selatan berdekatan Bachok, jam 1.45 pagi Sabtu lalu.

Berikutan itu, beliau tampil membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, di sini, jam 11.30 pagi semalam.

Ketika berada di pekarangan rumah di Kampung Kadok, saya nampak cahaya putih dipercayai lampu pesawat dalam kira-kira lima minit. Sinaran lampu itu kelihatan pelik kerana biasanya saya nampak pesawat di rumah dari arah lain tetapi kali ini dari arah bertentangan.

Walaupun pelik, saya tidak berfikir apa-apa dan terus masuk tidur, katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di pejabat APMM Tok Bali, di sini.

Kelmarin, dua nelayan membuat laporan polis selepas mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah, kira-kira lapan batu nautika dari Pantai Kuala Besar, Kota Bharu, jam 1.30 pagi Sabtu lalu.

Jarak antara Kuala Besar dan Ketereh ialah kira-kira 30 kilometer.

Terkejut dengar berita

Alif Fathi mengakui terkejut mendengar berita kehilangan pesawat MH370 selepas bangun tidur sebelum mengandaikan apa yang dilihat sebelumnya ada kaitan.Berita Harian 11 Mac 2014

Saya harap awak balikPutrajaya: Saya harap awak balik. Isteri, anak dan ibu awak sedang merindui, kata sepupu kepada S Puspanathan, yang juga seorang daripada penumpang pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak Sabtu lalu.

Walaupun sudah lebih 52 jam pesawat itu disahkan hilang, S Puvaneswary, 36, masih bersikap positif dan tetap berharap sepupunya itu serta 226 penumpang dan 12 anak kapal selamat walau di mana mereka berada.

Puspanathan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kecil kami. Beliau amat pentingkepada kami dan sering menjadi sumber rujukan. Dia ibarat jantung hati keluarga kami.

Apa yang saya dengar daripada isterinya, sebelum berlepas ke Beijing, dia berjanji untuk menyambut hari lahir adik perempuannya apabila kembali ke tanah air.

Harap keajaibanJadi, saya mengharapkan keajaiban. Niat itu akan menguatkan semangatnya berjuang menyelamatkan diri walau dalam apa jua keadaan sekali pun, katanya di sini semalam.

Difahamkan, Puspanathan adalah jurutera teknologi maklumat (IT) dari Selangor dan mempunyai dua cahaya mata lelaki, menaiki pesawat MH370 untuk ke Beijing atas urusan kerja.

Puvaneswary berkata, sepupunya itu adalah seorang yang berperwatakan ceria dan tidak mudah marah, malah disenangi setiap anggota keluarga terutama anak pertamanya berusia tiga tahun yang amat rapat dengan beliau.

Kali terakhir kami berjumpa November tahun lalu, kerana dia kerap ke luar negara atas urusan kerja, katanya.

Berita Harian 11 Mac 2014

Doa, terus berharap kakak selamat pulangChng Mei LingAlor Setar: Berdoa dan terus berharap. Itu saja yang dapat kami sekeluarga lakukan ketika ini.

Chng Kai Sing, 30, tetap menaruh harapan kakaknya, Chng Mei Ling, 33, dan semua penumpang serta anak kapal pesawat MH370, selamat pulang ke pangkuan keluarga.

Walaupun menyedari pelbagai kemungkinan dan risiko menunggu, beliau yakin dengan usaha menyeluruh pihak berkuasa dalam mengesan pesawat Penerbangan Malaysia itu.

Peluang melihat kakak kembali ke pangkuan keluarga tetap ada dan kami menunggu pengumuman pihak berkuasa.

Kami tidak akan berhenti berharap. Kami tidak akan putus asa dan terus berdoa supaya kakak dan semua yang berada dalam pesawat itu selamat, katanya ketika dihubungi, semalam.

Kai Sing dari Taman Angsana Sari, Sungai Petani, berkata kakaknya yang bekerja sebagai jurutera di Amerika Syarikat, dalam perjalanan pulang ke sana tetapi mengambil penerbangan ke Beijing sebelum ke destinasi akhir.

Katanya, Mei Ling ditugaskan di sebuah cawangan syarikat tempatnya bekerja di Pahang selama tiga minggu dan sempat menemui ibu bapa mereka di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Beijing.

Sempat berjumpa ibu bapaKakak sempat berjumpa ibu bapa kami di Kuala Lumpur.

Secara kebetulan, orang tua kami juga mahu ke Beijing tetapi menaiki pesawat petang Jumaat, manakala kakak menaiki penerbangan tengah malam Sabtu.

Kami sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan MAS mengenai kehilangan pesawat dinaiki kakak dan ibu bapa kami bergegas pulang ke ibu negara untuk menunggu perkembangan terkini, katanya.

Berita Harian 11 Mac 2014

Adik pulang wajah berseriJitra: Saya mimpi adik pulang dalam keadaan selamat dan wajahnya berseri-seri dan saya berdoa mimpi itu menjadi kenyataan, kata Andrew Jee.

Andrew, 42, abang kepada, Jee Jing Hang, 41, seorang daripada 239 penumpang termasuk 12 kru pesawat MAS MH370 yang dilaporkan hilang selepas gagal dikesan kira-kira jam 2.40 pagi, Sabtu lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga terutama ibu dan bapanya, Tam Giat Gua, 68, dan Jee Teik Min, 75, tidak pernah ketinggalan menonton berita terkini di televisyen untuk mengetahui keadaan semasa mengenai kehilangan pesawat Kuala Lumpur ke Beijing itu.

Kami sekeluarga berharap ada berita gembira dilaporkan walaupun sudah tiga hari pesawat itu masih gagal dikesan meskipun usaha mencarinya giat dijalankan.

Sebagai abang sulung, naluri hati saya kuat mengatakan adik dan semua penumpang termasuk 12 anak kapal pesawat itu masih dalam keadaan selamat kerana belum ada penemuan atau petunjuk mengatakan pesawat itu terhempas, katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Andrew berkata, sejak kehilangan pesawat itu dilaporkan, mereka sekeluarga tidak dapat melelapkan mata setiap malam, malah asyik menonton berita di televisyen sehingga awal pagi untuk mengikuti perkembangan terbaru kejadian itu.

Katanya, disebabkan insiden itu, dia terpaksa mengambil cuti untuk menemani keluarganya dan menunggu sehingga pesawat MH370 itu ditemui.

Macam-macam kemungkinan bermain di fikiran, tetapi saya tabahkan hati untuk menerima apa yang berlaku kerana Jing Hang satu-satunya adik saya dan dia seorang yang sangat baik.

Sebelum ini, adik saya sering berurusan ke luar negara, tetapi ini kali pertama dia ke Beijing malah dia sangat gembira ketika memberitahu ibu saya hajatnya untuk ke sana sehari sebelum kejadian, katanya.

Andrew berkata, adik bongsu daripada dua beradik itu yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan memberitahu mahu ke Beijing, China untuk bercuti bersama rakannya tetapi ketika itu langsung tiada sebarang perubahan berlaku pada dirinya.

myMetro 11 Mac 2014

Minta doa selamat sampaiJakarta: Tiga hari selepas pesawat MH370 Penerbangan Malaysia disahkan hilang, keluarga tujuh warga Indonesia yang berada dalam kapal terbang itu masih berharap semua penumpang dan anak kapal masih hidup.

Keluarga tiga daripada mereka semalam berkumpul di rumah bapa seorang daripada penumpang terbabit, Firman Chandra Siregar, 24, di Medan, Sumatera Utara.

Bapa Firman, Chrisman Siregar berkata, mereka berharap pesawat berkenaan dapat dikesan segera supaya mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Kata Chrisman, dia menghantar mesej pesanan ringkas kepada Firman kira-kira jam 11.20 malam Jumaat lalu - sejurus sebelum pesawat berkenaan berlepas dari Kuala Lumpur.

Firman membalas mesej saya dengan memberitahu dia berada dalam pesawat dan akan berangkat tidak lama lagi.

Saya menasihatinya supaya berdoa supaya selamat sampai ke destinasi, katanya.

Kata Chrisman, Firman pergi ke Beijing kerana dia bertugas di ibu negara China itu Saya cuba menghubungi telefon Firman pada Ahad (kelmarin) kira-kira jam 6 pagi tetapi ia tidak dijawab, katanya.

Firman - lepasan Institut Teknologi Bandung pada 2011 - bekerja dengan sebuah syarikat minyak di Abu Dhabi sebelum menerima tawaran syarikat perkhidmatan petroleum Eropah.

Dua lagi warga Medan yang berada dalam pesawat berkenaan ialah pasangan suami isteri Sugianto Lo, 47, dan Vinny Chynthya Tio, 47.

Empat penumpang lain yang berasal dari Medan ialah Ferry Indra Suadaya, Herry Indra Suadaya, Indra Suria Tanurisam dan Willy Surijanto Wang.

Kelmarin, polis mengambil contoh DNA keluarga Firman sebagai persediaan.

Sementara itu warga Belanda kelahiran Indonesia, Surti Dahlia Simanjuntak, 50, juga berada dalam pesawat MH370 itu.- Agensi

11 Mac 2014

Kait ancaman di TaiwanKuala Lumpur: Maklumat mengenai ancaman serangan di China yang diterima pihak berkuasa Taiwan minggu lalu kini dipercayai ada kaitan dengan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing, sejak Sabtu lalu.

Mengikut laporan laman web South China Morning Post, semalam, Ketua Biro Keselamatan Kebangsaan Taiwan Tsai De-sheng memberitahu, pihaknya menerima maklumat rancangan serangan ke atas lapangan terbang Beijing dan sistem kereta api bawah tanah kepada pihak berkuasa China.

Maklumat itu diperoleh pada 4 Mac lalu. Ada kemungkinan kecil maklumat itu mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, katanya.

Kelmarin, seorang pegawai China Airlines berkata, amaran berkenaan diterima daripada seorang lelaki mendakwa bekerja dengan sebuah pertubuhan antipengganas di Perancis.

Syarikat terbabit juga mengesahkan panggilan berkenaan diterima pada 4 Mac dan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam serta Polis Udara Taiwan.

Berikutan itu, Presiden Taiwan Ma Ying-jeou mengarahkan kementerian pertahanan dan pengawal pantai menghantar pesawat udara dan kapal ke perairan Laut China Selatan bagi membantu operasi mengesan kapal terbang MH370.

Pada 3 Mac pula, China Airlines mengedarkan pekeliling kepada semua kakitangannya mengenai risiko signifikan serangan pengganas dan tindakan ketenteraan terhadap penerbangan.

Harian Metro, semalam melaporkan pihak berkuasa kini meluaskan skop siasatan termasuk unsur pembabitan pengganas selepas mengesan dua penumpang menggunakan pasport milik orang lain di dalam pesawat MH370.

Sumber memberitahu Harian Metro, dua lelaki terbabit dikesan masuk ke negara ini pada 28 Februari lalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.30 malam dengan menaiki pesawat Qatar Airways QR849 dari Doha, Qatar.

Akhbar The Nation di Thailand pula melaporkan satu kumpulan menggelar diri mereka Briged Syuhada China mengaku bertanggungjawab mensabotaj pesawat MH370 yang gagal dikesan selepas berlepas pagi Sabtu lalu.

Menurut laporan akhbar berkenaan semalam, kumpulan yang tidak pernah didengar namanya itu menghantar kenyataan menggunakan format PDF kepada pelbagai wartawan China, kelmarin.

myMetro 11 Mac 2014

8 pemuda dengar bunyi kuat

Marang: Lapan pemuda mendakwa terdengar bunyi yang kuat dari arah Timur Laut Pulau Kapas, Marang pada hari kehilangan pesawat MH370.

Kesemua pemuda itu mendakwa terdengar bunyi letupan yang agak luar biasa dan menakutkan ketika berehat di sebuah wakaf di Kampung Pantai Seberang Marang, Marang kira-kira jam 1.20 pagi pada Sabtu lalu.

Alias Salleh, 36, berkata, sebaik mendengar letupan itu, dia bersama tujuh rakannya bergegas ke tepi laut untuk meninjau dan mencari punca letupan berkenaan tetapi tidak menemui sebarang kejadian pelik.

"Dalam keadaan tertanya-tanya, masing-masing mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah dan mengabaikan bunyi misteri tersebut.

"Bagaimanapun, saya mula mengesyaki bunyi misteri itu mempunyai kaitan dengan kehilangan pesawat itu sejurus menerima berita berhubung insiden berkenaan yang disiarkan di dalam media elektronik secara meluas kira-kira jam 11 pagi, hari yang sama sebelum membuat laporan di Balai Polis Marang pada jam 10.28 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung bunyi misteri itu dan menyerahkan laporan itu kepada Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

"Sehingga kini, kita serahkan kepada Bukit Aman untuk tindakan susulan dan hanya menunggu arahan selanjutnya.

"Ini kerana pengadu mendakwa hanya terdengar bunyi letupan tetapi tidak nampak sebarang objek," katanya.

Dalam pada itu, dua kaki pancing mendakwa turut melihat cahaya lampu putih yang berkelip dipercayai dari sebuah pesawat yang terbang rendah pada awal pagi Sabtu lalu di Pantai Tok Jembal, Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Zaidi Mohamad, 49, berkata, dia melihat lampu putih yang berkelip ketika memancing bersama rakannya, Mohd Jasmin Mokhtar, 46, di pantai berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi sebelum ia hilang.

Katanya, lebih pelik lagi, 10 minit kemudian, Zaidi mendakwa turut melihat cahaya terang berwarna kuning bentuk bulat selama kira-kira setengah jam pada jarak kira-kira 10 batu nautika dari kedudukan tempat dia memancing.

myMetro 11 Mac 2014

Ibu dedah identiti

Sepang: Dua penumpang MH370 yang menggunakan pasport curi dikenal pasti berasal dari Iran dan dipercayai tiada kaitan dengan kumpulan pengganas, namun polis masih memfokuskan siasatan kepada kemungkinan pesawat itu dirampas atau disabotaj.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, seorang daripada mereka dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad yang menggunakan pasport milik warga Austria, Christian Kozel.

Menurutnya, lelaki berusia 19 tahun itu dalam perjalanan ke Jerman dan dipercayai dia mahu berhijrah ke negara itu.

Maklumat ini diperoleh selepas ibunya yang berada di Frankfurt, Jerman menghubungi pihak berkuasa negara ini selepas anaknya tidak muncul di balai ketibaan lapangan terbang di sana.

Hasil maklumat ibunya, kami bekerjasama dengan pihak berkuasa beberapa negara bagi memeriksa profil dan latar belakang Pouria. Setakat ini, tiada maklumat yang boleh mengaitkannya dengan kumpulan pengganas, katanya pada sidang media di sini, semalam.

myMetro 12 Mac 2014

Nampak macam sama

SEPANG: Seorang daripada dua lelaki Iran yang menggunakan pasport curi untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines dimana MH370 didapati memiliki wajah hampir seiras dengan pemegang pasport asal, Luigi Maraldi yang berasal dari Itali.

Ini berdasarkan gambar Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, yang diedarkan menerusi sidang media oleh Interpol di Lyon, Perancis and Polis Diraja Malaysia, di sini, dan foto Luigi Maraldi oleh agensi berita EPA ketika sidang media warga Itali itu di Pattaya, Thailand pada 10 Mac.

Setiausaha Agung Interpol Ronald K Noble berkata, rakaman menunjukkan Delavar Seyed Mohammad Reza, 29, dan Pouri Nur Mehdrad, 19, menaiki pesawat pada masa sama.

Nobel berkata, maklumat setakat ini mendapati lelaki berkenaan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas.

Mereka kemungkinan besar adalah mangsa perdagangan manusia. Apa yang membimbangkan adalah kemungkinan lebih satu bilion kali setiap tahun, mereka yang melewati sempadan atau menggunakan pengangkutan udara, pasport mereka tidak disemak teliti dengan pangkalan data Interpol.

Dua lelaki Iran menggunakan pasport negara asal mereka untuk masuk ke Malaysia menggunakan pasport curi dan menyamar sebagai warga Austria dan Itali ketika mendaftar masuk bagi menaiki pesawat MH370.

Pouri yang menggunakan pasport curi milik warga Austria dipercayai ingin berhijrah ke negara Jerman.

Sebelum ini, Itali dan Austria menafikan rakyat mereka berada dalam pesawat MH370 dan pihak berkuasa berkenaan mendakwa pasport Luigi Maraldi (Itali) dan Christan Kozel (Austria) telah dicuri di Asia Tenggara beberapa tahun lalu.

Tiket dua penumpang ini juga dibeli dengan China Southern Airlines dalam mata wang baht pada masa sama.

Kedua-dua tiket penerbangan itu ditempah bagi destinasi Kuala Lumpur-Beijing sebelum diteruskan ke Amsterdam.

Delavar sepatutnya meneruskan perjalanan ke Copenhagen manakala Pouri akan ke Frankfurt.

Sementara itu, Ketua Polis Wilayah Selatan Thai Lt Jeneral Panya Maman memberitahu AFP: Kami percaya kedua pasport ini dicuri sindiket pemerdagangan manusia yang menghantar mangsa bekerja di negara lain terutama di Eropah.

Katanya, lelaki Iran dikenali sebagai Mr Ali yang menempah tiket di atas nama dua pemegang pasport Eropah dipercayai pernah menetap di Malaysia dan mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa.

Menurutnya, kira-kira 2,000 pasport hilang atau dicuri di Thailand setiap tahun. - Agensi

myMetro 12 Mac 2014

Dengar nada dering

Kuala Lumpur: Ahli keluarga kepada penumpang pesawat MH370 mendakwa mereka dapat menghubungi telefon bimbit anggota keluarga yang berada dalam pesawat berkenaan.

Akhbar Washington Post melaporkan sebahagian ahli keluarga kepada 239 penumpang yang menaiki pesawat itu mendakwa mereka mendengar nada dering ketika membuat panggilan telefon.

Dalam kes lain pula, ada saudara penumpang mendakwa dapat melihat status penumpang yang masih aktif menerusi laman jaringan tempatan China digelar QQ.

Bagaimanapun, panggilan dibuat ahli keluarga tidak dijawab penumpang manakala mesej juga tidak dibalas.

Ahli keluarga turut memaklumkan mengenai akaun QQ yang masih aktif dan maklumat itu disalurkan kepada pegawai MAS di Beijing dengan harapan dapat membantu mengesan kedudukan penumpang dan pesawat itu melalui signal Sistem Pengesanan Global (GPS), lapor akhbar berkenaan.

Selain itu, dilaporkan, seorang ahli keluarga turut meminta anggota polis China untuk datang ke rumahnya untuk ditunjukkan akaun penumpang yang masih aktif, namun pada petang Isnin, status berkenaan ditukar kepada tidak aktif.

myMetro 12 Mac 2014

Penduduk dakwa ekor pesawat berapi

Tumpat: Dua lagi penduduk negeri ini membuat laporan polis mendakwa melihat pesawat dipercayai MH370 yang dilaporkan hilang Sabtu lalu dalam keadaan mencurigakan.

Petani, Ibrahim Konok, 59, mendakwa melihat pesawat berkenaan di kawasan Tumpat manakala pembantu am, Mohd Hisham Seman, 38, pula nampak pesawat melalui ruang udara berhampiran Kubang Kerian, pada awal pagi hari kejadian.

Menurut Ibrahim, dia keluar mencangkul untuk menanam anak cili di kawasan bendang di hadapan rumahnya di Kampung Nechang di sini pada jam 2 pagi kerana cuaca sejuk berbanding siang hari apabila melihat pesawat berkenaan.

Katanya, dia tergamam kerana pesawat itu terbang rendah hingga dapat melihat logo MAS pada badan pesawat.

Saya turut melihat percikan api di bahagian ekor pesawat sebelum ia hilang dari pandangan ke arah Pantai Seri Tujuh, dekat sini.

Saya melihatnya selama kira-kira lima minit dan percikan api itu tidak begitu besar, katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, bukan perkara biasa baginya melihat pesawat melalui kawasan itu pada jam 2 pagi dan menghala ke Pantai Seri Tujuh.

Saya kemudian melihat laporan berita di televisyen pada jam 8 pagi menyatakan ada pesawat hilang dan teringat pesawat yang saya nampak sebelum itu, katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Empat, di sini, pada jam 12.54 tengah hari, kelmarin.

Mohd Hisham pula berkata, dia melihat pesawat berkenaan antara jam 1.30 pagi dan 1.45 pagi di ruang udara Kota Bharu ketika berada di luar rumah mentuanya di Kampung Pasir Kasar, Sering, Pengkalan Chepa.

Saya hairan kerana kapal terbang itu melalui kawasan terbabit pada waktu berkenaan.

Sepatutnya tidak ada pesawat sekitar waktu itu.

Kebiasaannya pesawat membelok atau menghala ke kanan, namun pada hari kejadian ia menghala ke arah laut, katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Pengkalan Chepa, jam 5 petang kelmarin.

myMetro 12 Mac 2014

Enam sebab mungkin punca MH370 'hilang'

KUALA LUMPUR - Kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 sejak Sabtu terus membingungkan pakar-pakar penerbangan serata dunia.

Di tahap ini, seorang pakar penerbangan mengemukakan bukti sejarah yang boleh menjadi penyebab kepada kehilangan pesawat Boeing 777-200ER berusia 11 tahun itu.

Sebab-sebab itu merupakan gabungan kesilapan teknikal dan juruterbang hingga membawa kepada kesan-kesan terkumpul, kerosakan struktur, faktor kemanusiaan, cuaca buruk, kegagalan total elektrik dan rampasan pesawat.

Menurut Perunding Ruang Angkasa dan Pertahanan Frost and Sullivan Asia Pacific, Ravi Madavaram, tidak wujud faktor tunggal yang umumnya menyebabkan pesawat terhempas, tetapi gabungan kerosakan teknikal dan keputusan juruterbang.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata kerosakan dan keputusan jika berlaku bersendirian tidak membahayakan.

"Ini yang berlaku kepada Air France 447. Tidak ada isyarat kecemasan dari Air France 447 kerana pilot (juruterbang) tidak sedar bahawa mereka akan terhempas hinggalah 10 saat sebelum ia berlaku," jelas beliau.

Mengenai kerosakan struktur, Madavaram berkata kegagalan struktur pesawat boleh menyebabkan pilot hilang kawalan.

"Ini yang berlaku kepada China Airlines Penerbangan 611, semasa terbang di ketinggian 35,000 kaki pada 2002 bila Boeing 747 (Penerbangan 611) terhempas akibat kesilapan dalam pembaikan kerosakan.

Menyentuh faktor kemanusiaan, beliau menegaskan tindakan yang disengajakan seumpamanya oleh penumpang atau pilot hingga menyebabkan pesawat terhempas telah ditonjolkan dalam insiden World Trade Centre 9/11.

Pakar itu menyatakan keadaan cuaca buruk seperti salji, kabus, hujan, dan ais boleh menjejas prestasi pesawat, yang berkemungkinan mengakibatkan pesawat terhempas.

"Ini berlaku pada penerbangan sebuah pesawat Qantas pada 2008 di Bangkok. Pesawat itu mendarat dengan selamat dengan tenaga sokongan dari Auxiliary Power Unit (APU)," katanya.

Madavaram menolak kemungkinan MH370 dirampas, kerana adalah mustahil bagi pesawat itu terlepas dari semua imbasan radar dalam kawasan penerbangannya.

Menjelas lanjut, beliau berkata setiap pesawat sivil komersial mempunyai alat pengesan, Emergency Locator Transmitters (ELT), dan ia akan diaktifkan semasa pesawat terhempas bergantung pada kekuatan hentakan atau maklumat diberikan juruterbang.

Beliau berkata satu lagi lampu isyarat (beacon) dilekatkan pada alat perakam penerbangan atau kotak hitam dipanggil Underwater Locator Beacon (ULB), dan lampur isyarat ini akan diaktifkan sebaik saja ia bersentuh dengan air.

"Andainya pesawat terhempas di air, ELT akan menghantar isyarat, tetapi ia tidak kalis air. ULB mula menghantar isyarat sebaik saja ia tersentuh dengan air," kata beliau.

ELT dan beacon menggunakan bateri sendiri dan kegagalan elektrik tidak menjejas alat-alat ini.

"Bateri beacon atau beacon kotak hitam direka untuk hayat 28 hari. Jika beacon kotak hitam padam dan pesawat tidak dikesan dalam tempoh tersebut, maka satu-satunya harapan ialah mencari serpihan dan dari situ cuba mengesannya dengan gerak berundur," kata beliau. - Bernama

12 Mac 2014

'Ucapan terakhir' Kapten Zaharie

SUBANG - Good Day, itulah ucapan terakhir diberikan Kapten Zaharie Ahmad Shah, kepada Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) Lapangan Terbang Subang, sebelum pesawat yang dipandunya MH370 hilang daripada radar.

Penolong Pengarah NATCC, Siti Sarah Lebai Abu berkata, beliau merupakan penyelia bertugas pada malam kejadian dan menegaskan di awal penerbangan semuanya berjalan lancar dan tiada masalah berlaku.

Selepas pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 12.40 awal pagi Sabtu, di awal 40 minit pertama semuanya berjalan lancar.

Bagaimanapun, kami gagal mengesan isyarat radar pesawat terbabit selepas menyerahkan tugas kawalan kepada pangkalan Ho Chi Minh (Vietnam) beberapa minit kemudian, katanya kepada Sinar Harian di NATCC, semalam.

Siti Sarah berkata, sepanjang 18 tahun beliau berkhidmat itulah kali pertama keadaan terputus hubungan itu berlaku.

Ketika mahu menyerahkan kepada Ho Chi Minh, saya memaklumkan kod talian kepada juruterbang terbabit (Zaharie), beliau memberi respons yang baik.

Okey roger, Good Day (sekian terima kasih), itulah kata-kata terakhir yang diberikan kepada kami di sini sebelum radar kedudukan pesawat itu gagal dikesan selepas memasuki zon (kepulauan) Igari, katanya.

Menurut beliau, petugas di NATCC dilatih untuk fokus semasa menjalankan tugas, jadi tidak timbul ada kecuaian berlaku di pusat kawalan itu.

Ini bukan tugas main-main, kami memegang nyawa sehingga 800 orang dalam satu masa, tak kan lah nak buat sambil lewa.

Kita diarah untuk fokus dan memastikan keadaan di laluan udara itu selamat dilalui oleh pesawat yang memasuki zon kita, katanya.

Kata-kata terakhir ini merupakan petunjuk jelas bahawa sebelum juruterbang pesawat MH370 bertukar kawalan dari Subang ke Ho Chi Minh, keadaan beliau adalah baik.

Zaharie dilihat masih lagi dalam keadaan tenang dan tidak berhadapan dengan tekanan dari sesiapa dalam pesawat tersebut.

Pendedahan suara terakhir juruterbang MH370 ini juga membuktikan bahawa tiada sebarang kerosakan teknikal dalam pesawat ataupun sebagainya.

Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu hilang daripada radar kira-kira jam 1.30 pagi .

Pesawat itu membawa penumpang terdiri warganegara 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.

Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang dalam perjalanan ke Beijing itu dipandu oleh Zaharie bersama pembantu juruterbang Fariq Ab Hamid, 27.

Zaharie menyertai MAS pada 1981 dan mempunyai pengalaman terbang 18,365 jam, dan Fariq berpengalaman terbang 2,763 jam dan menyertai MAS pada 2007.

Sinar Harian 12 Mac 2014

MH370 hilang akibat poket udara

GEORGE TOWN - Seorang pensyarah semalam mengemukakan satu teori baharu mengenai misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan menyatakan ia mungkin berpunca daripada fenomena super air pocket atau poket udara berskala luar biasa.

Pensyarah dari Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd. Omar Ab. Kadir memberitahu, terdapat kemungkinan pesawat tersebut telah menempuh fenomena poket udara luar biasa dan mungkin saiznya 10 kali ganda daripada poket udara biasa sehingga menyebabkan pesawat berkenaan gagal berfungsi.

Menurut beliau yang pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di US Naval Academy ketika melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat memberitahu, kejadian pesawat berkenaan yang gagal dikesan oleh radar adalah disebabkan oleh vakum yang wujud di dalam poket udara tersebut.

"Dalam keadaan vakum, sebarang bentuk isyarat serta gelombang tidak dapat berfungsi dan keadaan itu menyamai situasi yang dihadapi oleh pesawat MH370 kerana menara kawalan tidak menerima sebarang isyarat kecemasan semasa pesawat itu dilaporkan terputus hubungan pada pagi Sabtu lalu," katanya.

Mohd. Omar yang merupakan pemegang Sijil Pemprosesan Signal dan Getaran dari University of Southamton, England berkata, ketika pesawat itu melalui kawasan poket udara itu juga, ia telah jatuh dengan kelajuan 10 meter setiap saat atau kira-kira 900 kilometer sejam (km/j).

Jelas beliau, keadaan itu mungkin menyebabkan juruterbang dan penumpang di dalamnya mungkin tercampak atau melambung.

Ekoran kejadian itu, katanya, juruterbang dan pembantunya mungkin mengalami simptom tidak sedarkan diri sama ada disebabkan oleh pengsan ataupun telah meninggal dunia akibat komplikasi pada organ dalaman badan.

Kosmo 13 Mac 2014

Satelit China kesan tiga objek terapungFOTO satelit China di koordinat longitud timur 105,63, 6.7 latitud utara. FOTO AFP

Kuala Lumpur : Satelit China yang mencari pesawat MH370 yang hilang pada Sabtu menemui kawasan disyaki pesawat terhempas", lapor CNN memetik agensi kerajaan China, berkemungkinan menjadi petunjuk baru dalam misi mencari dan menyelamat hari keenam ini.

Jabatan Sains, Teknologi dan Industri untuk Kementerian Pertahanan China mengumumkan penemuan itu termasuk imej yang dikatakan "tiga objek disyaki terapung dan saiz mereka."

Objek ditemui satelit tidak kecil: 13 x 18 meter, 14 x 19 meter dan 24 x 22 meter.

Sebagai rujukan, lebar sayap Boeing 777-200ER yang hilang adalah kira-kira 61 meter (200 kaki) dan panjang keseluruhannya adalah kira-kira 64 meter (210 kaki).

Imej diambil pada 9 Mac, sehari selepas pesawat hilang, tetapi tidak didedahkan sehingga awal pagi ini.

Agensi China memberikan koordinat longitud timur 105,63, 6.7 latitud utara, yang akan meletakkannya di perairan timur laut di mana ia berlepas dari Kuala Lumpur dan selatan Vietnam, berhampiran Laut China Selatan bertemu Teluk Siam.

Sementara itu, Bekas Pengarah Urusan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Peter Goelz berkata kepada CNN, "ia berada di kawasan yang sepatutnya," serta menambah terdapat mereka yang ragu-ragu terhadap laporan pesawat berkenaan berpatah balik ke Malaysia.

"Saya berpendapat kapal laut dan pesawat udara perlu digerakkan segera ke sana," katanya.

myMetro 13 Mac 2014

Sempat hantar maklumat

Kuala Lumpur: Pesawat MH370 jenis Boeing 777-200 dikatakan ada menghantar sekurang-kurangnya dua data teknikal kepada menara kawalan sebelum hilang.

Majalah New Scientist melaporkan data itu mungkin dapat membantu pasukan penyiasat memahami apa yang tidak kena terhadap pesawat itu dengan tiada sebarang petanda sejak hilang, awal pagi Sabtu lalu.

Menurut laporan berkenaan, data itu boleh dihantar melalui gelombang radio VHF atau satelit di lokasi berlepas, ketika terbang atau mendarat.

Penerbangan Malaysia (MAS) dalam kenyataan sebelum ini menyebut semua pesawat MAS dilengkapi Sistem Laporan dan Komunikasi Pesawat (Acars) yang menghantar data secara automatik.

Berkaitan itu, New Scientist difahamkan syarikat pengeluar enjin Trent 800 Boeing 777, Rolls Royce menerima dua laporan data daripada penerbangan MH370.

myMetro 13 Mac 2014

Datuk simpan rahsia

Georgetown: Anak sulung mangsa berusia empat tahun masih tidak mengerti apa-apa dan tidak tahu mengenai kejadian menimpa ibunya, malah menyangka ibunya tidak pulang ke rumah kerana bekerja di luar kawasan, kata Guan Kak Hueng, 50-an, ketika dihubungi, semalam.

Kak Hueng adalah bapa kepada Guan Hua Jin, 34, seorang daripada penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang awal pagi Sabtu lalu, kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk mengikuti perkembangan semasa mengenai kejadian berkenaan.

Beliau yang berasal dari Bayan Baru setia menunggu perkhabaran terkini dengan penuh harapan bersama semua semua ahli keluarga, termasuk dua anak mangsa dan menginap di hotel berdekatan KLIA sejak Ahad lalu.

Kami akan mengunjungi KLIA setiap hari untuk menanti berita terkini mengenai perkembangan pesawat berkenaan. Walaupun masih kabur mengenai status pesawat berkenaan, setiap ahli keluarga tetap positif mengharapkan kepulangan Hua Jin dengan selamat.

Saya tidak akan pulang ke Pulau Pinang dan akan setia menunggu di KLIA sehingga pesawat MH370 dijumpai, begitu juga dengan ahli keluarga lain.

Malah, saya tidak memaklumkan kepada cucu saya mengenai kejadian yang menimpa ibunya kerana dia terlalu kecil untuk memahami situasi berlaku, katanya.

Kak Hueng berkata, dia berharap Hua Jin akan segera pulang ke rumah dalam keadaan selamat supaya dia tidak perlu menceritakan kepada cucunya perkara sebenar yang menimpa ibu kanak-kanak itu.

Hua Jin iaitu ibu kepada dua anak berusia empat dan satu tahun adalah antara 227 penumpang yang menaiki pesawat MH370 untuk ke Beijing, China bagi mengikuti kursus anjuran syarikat tempat kerjanya selama tiga minggu, sebelum dijangka pulang awal April depan.

myMetro 13 Mac 2014

Wasiat cincin kahwin, jam

Kuala Lumpur: Seorang jurutera mekanikal berasal dari New Zealand dikatakan sempat meninggalkan cincin kahwin dan jam tangannya sebagai hadiah untuk dua anak lelakinya sebelum menaiki pesawat MH370.

New York Daily News melaporkan penumpang berkenaan, Paul Weeks menyerahkan cincin dan jam tangannya kepada isterinya Danica sebelum menaiki pesawat sambil meminta wanita itu menghadiahkannya kepada anak lelaki mereka Lincoln, 3, dan Jack Weeks, 11 bulan.

Berikan ini kepada mereka (anak-anak) jika sesuatu berlaku kepada saya, kata Danica kepada New York Daily News selepas mengimbas kembali kata-kata terakhir suaminya.

Jika sesuatu berlaku kepada saya, cincin itu patut diberikan kepada anak yang pertama melangsungkan perkahwinan, manakala jam tangan untuk yang kedua, kata Paul kepada Danica.

Paul, 39, menaiki pesawat MH370 dari Kuala Lumpur untuk ke Beijing sebelum Mongolia bagi memulakan kerjaya idamannya di Transwest Mongolia.

Dia yang juga bekas tentera di New Zealand sudah berpindah ke Australia bersama keluarganya selepas rumah keluarganya di Christchurch, New Zealand musnah dalam gempa bumi.

Ia sesuatu yang sukar.

Kami doakan untuk keajaiban, tetapi tidak tahu apa yang akan berlaku.

Namun, saya tidak akan berputus asa, kata Danica di Perth.

myMetro 13 Mac 2014

Razahan, isteri sepatut pulang hari ini

Putrajaya: Anak dan menantu saya sepatutnya pulang dari Beijing esok (hari ini), tapi sehingga sekarang tiada sebarang khabar mengenainya.

Isteri saya terlalu rindukan mereka kerana itulah dia asyik menangis, kata Zamani Zakaria, 56, bapa kepada Mohd Razahan, 23, seorang daripada 227 penumpang pesawat malang itu.

Zamani berkata demikian apabila ditanya mengenai isterinya, Kamariah Sharif, 55, yang menangis teresak-esak di luar lobi hotel, sebelum meluru masuk ke dalam hotel, tengah hari semalam.

Katanya, ketika itu mereka berdua sedang berbual dan menatap gambar Razahan di telefon bimbit, sebelum isterinya tiba-tiba menangis kerana tidak dapat menahan kesedihan.

Razahan adalah anak sulung pasangan itu. Dia dan isterinya, Norli Akmar Hamid, 33, berlepas ke Beijing menaiki pesawat MH370 yang hilang sejak jam 1.30 pagi Sabtu lalu.

Pasangan itu ke Beijing untuk berbulan madu selepas berkahwin hampir dua tahun.

Teringat anak

Semalam isteri saya okey, tapi hari ini dia rasa sebak dan kembali teringatkan anak kami kerana sudah masuk hari kelima namun tiada berita mengenai mereka, katanya ketika ditemui di lobi hotel di sini, semalam.

Mengulas mengenai anaknya, Zamani berkata, Razahan menghubungi ibunya setiap hari untuk bertanyakan khabar, malah sering bergurau senda.

Jika dia selamat, saya masih tertanya-tanya bagaimana kehidupan dia ketika ini di sana, katanya.

Sebelum ini, bapa Norli, Sarjan Hamid Ramlan, 54, berkata anak dan menantunya yang mendirikan rumah tangga pada 6 Oktober 2012 ke Beijing selepas rancangan berbulan madu ke Cameron Highlands sebelum ini tidak kesampaian.

Berita Harian 13 Mac 2014

Radar TUDM kesan pesawat tak dikenali

Sepang: Radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan pesawat tidak dikenali di lokasi terakhir kira-kira 200 batu nautika di barat laut Pulau Pinang pada jam 2.15 pagi Sabtu lalu.

Walaupun tidak disahkan, ia mungkin pesawat MH370 yang melakukan air turn back atau berpatah balik selepas memasuki ruang udara Laut China Selatan sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, bagaimanapun berkata plot (titik) pada radar itu tidak semestinya pesawat MH370.

Saya tidak katakan ini MH370, ini adalah plot yang tidak dikenal pasti oleh radar. Kita kini sedang menganalisis kemungkinan ini dengan memeriksa data radar tentera dan penerbangan awam menerusi kerjasama dengan FAA serta NTSB.

Sebab itu kita perluaskan carian merangkumi Selat Melaka, katanya.

Teliti semula

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (