persepsi majikan kejuruteraan terhadap kemahiran...

15
41 EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55 ISSN 2289-7070 Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar Kejuruteraan: Satu Kajian Kes Engineering Employers Perceptions towards the Employability Skills of Engineering Students: A Case Study Ramlee Mustapha 1* , Mohd Yusof Husain 2 , Syed A. Malik Syed Mohamad 3 dan Seri Bunian Mokhtar 4 1,3 Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak 2 Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia, 62200, Putrajaya 4 Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak * e-mail: [email protected] Abstrak Kajian ini bertujuan meninjau kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan di politeknik daripada perspektif majikan. Kajian kes ini menggunakan pendekatan kualitatif. Untuk mengumpul data, satu set protokol temu bual telah dibina berdasarkan objektif kajian dan tinjauan literatur. Sebanyak sepuluh elemen kemahiran employabiliti yang telah dikenal pasti antaranya kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, etika dan moral, kerohanian, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, menggunakan teknologi, keusahawanan dan kemahiran sosial. Seramai sembilan orang majikan di sekitar Lembah Klang, Kota Bharu dan Ipoh telah dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Majikan percaya bahawa kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik harus dipertingkatkan. Data temu bual menunjukkan majikan tidak begitu berpuas hati terhadap penguasaan kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik terutamanya daripada aspek komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, penggunaan teknologi dan keusahawanan. Kata kunci employabiliti, pelajar kejuruteraan, politeknik, Malaysia Abstract This study was conducted to explore the employability skills of Polytechnic engineering students from the employers’ perspective. A qualitative approach was employed in this case study. To collect the data, a set of interview protocol was developed based on the objectives of the study and the reviews of the relevant literature. A total of ten elements of employability skills were identified including communication, teamwork, leadership, ethics and morality, spirituality, lifelong learning and information management, critical thinking and problem solving, technology used, entrepreneurship and social skills. Nine employers in Klang Valley, Kota Bharu and Ipoh were selected based on the predetermined criteria. In general, the employers believed that the employability skills of the engineering students should be enhanced. The findings also showed that the employers were not satisfied with the mastery of employability skills of the engineering students in the areas

Upload: danghanh

Post on 31-Jan-2018

281 views

Category:

Documents


8 download

TRANSCRIPT

Page 1: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

41EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar Kejuruteraan: Satu Kajian Kes

Engineering Employers Perceptions towards the Employability Skills of Engineering Students: A Case Study

Ramlee Mustapha1*, Mohd Yusof Husain2, Syed A. Malik Syed Mohamad3

dan Seri Bunian Mokhtar4

1,3Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak2Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Malaysia, 62200, Putrajaya

4Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak *e-mail: [email protected]

Abstrak

Kajian ini bertujuan meninjau kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan di politeknik daripada perspektif majikan. Kajian kes ini menggunakan pendekatan kualitatif. Untuk mengumpul data, satu set protokol temu bual telah dibina berdasarkan objektif kajian dan tinjauan literatur. Sebanyak sepuluh elemen kemahiran employabiliti yang telah dikenal pasti antaranya kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, etika dan moral, kerohanian, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, menggunakan teknologi, keusahawanan dan kemahiran sosial. Seramai sembilan orang majikan di sekitar Lembah Klang, Kota Bharu dan Ipoh telah dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Majikan percaya bahawa kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik harus dipertingkatkan. Data temu bual menunjukkan majikan tidak begitu berpuas hati terhadap penguasaan kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik terutamanya daripada aspek komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, penggunaan teknologi dan keusahawanan.

Kata kunci employabiliti, pelajar kejuruteraan, politeknik, Malaysia

Abstract

This study was conducted to explore the employability skills of Polytechnic engineering students from the employers’ perspective. A qualitative approach was employed in this case study. To collect the data, a set of interview protocol was developed based on the objectives of the study and the reviews of the relevant literature. A total of ten elements of employability skills were identified including communication, teamwork, leadership, ethics and morality, spirituality, lifelong learning and information management, critical thinking and problem solving, technology used, entrepreneurship and social skills. Nine employers in Klang Valley, Kota Bharu and Ipoh were selected based on the predetermined criteria. In general, the employers believed that the employability skills of the engineering students should be enhanced. The findings also showed that the employers were not satisfied with the mastery of employability skills of the engineering students in the areas

Page 2: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

42

of communication, leadership, critical thinking and problem solving, technology used and entrepreneurship.

Keywords employability, engineering students, polytechnic, Malaysia

PENGENALAN

Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan pada tahun 2010 bertujuan untuk melonjakkan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Bagi mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi, pembangunan sumber manusia merupakan elemen yang perlu diambil perhatian yang serius (Unit Perancang Ekonomi, 2010). Dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), pembangunan modal insan merupakan elemen yang kritikal dalam mentransformasikan negara. Keupayaan memanipulasi pembangunan sumber manusia (modal insan) dengan baik akan membolehkan sesebuah negara mampu bersaing dengan negara maju yang lain walaupun tidak mempunyai sumber fizikal yang baik (Rahmah, 2000). Maran et al., (2009) menegaskan firma yang menyediakan latihan, pengetahuan, kemahiran dan pendidikan kepada sumber manusia akan menyebabkan pencapaian syarikat menjadi bertambah baik. Sesebuah organisasi yang memiliki sumber manusia (modal insan) yang dapat menangani perubahan persekitaran seperti k-ekonomi dan globalisasi akan memudahkan matlamat sesebuah organisasi dicapai (Kamaruddin, 2010). Hakikat ini diperkukuhkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa’i menyatakan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda bahawa modal insan (mukmin) yang berkemahiran lebih dicintai oleh Allah Ta’ala.

Berdasarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (2011-2015), menjelang tahun 2015, negara memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 23% kepada 37%. Justeru sebagai langkah untuk merealisasi sasaran negara, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (Technical Education and Vocational Training - TEVT) perlu diarus perdanakan dan dipertingkatkan keupayaannya termasuk meningkatkan imej TEVT pada pandangan masyarakat (PSPTN, 2011-2015). Kamaruddin (2010) serta Tan dan Nor Hazwin (2010) mempersoalkan sama ada graduan-graduan yang dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi dapat memenuhi kehendak majikan pada masa kini.

Oleh itu, untuk menjadi institusi pilihan dalam pendidikan teknikal dan vokasional, pihak pengurusan politeknik haruslah berusaha untuk menjadikan politeknik sebagai satu institusi yang ulung dan seterusnya graduan yang dihasilkan memenuhi kehendak majikan serta juga pasaran kerja pada masa kini. Graduan yang diingini oleh majikan pada masa kini ialah tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan kemahiran employabiliti. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menilai kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik daripada perspektif majikan.

Latar Belakang Masalah Kajian

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN 2011-2015) menggariskan tujuh teras strategik yang didalamnya terdapat beberapa agenda kritikal dalam ketujuh-tujuh teras tersebut. Salah satu daripadanya ialah kebolehpasaran graduan yang perlu ditangani oleh pihak institusi pengajian tinggi. Persaingan dalam kalangan graduan bagi mendapat

Page 3: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

43EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

pekerjaan yang diinginkan selepas tamat pengajian memberi kesan kepada kebolehpasaran graduan kerana majikan memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan (Ahmad Muhaimin et al., 2008). Data yang diperoleh daripada laporan pengesanan graduan Kementerian Pengajian Tinggi 2011 (KPTM, 2012) mendapati kesemua bidang pengajian menghadapi masalah pengangguran bermula dari peringkat sijil, diploma dan ijazah pertama.

Beberapa kajian mendapati antara masalah yang menyebabkan pengangguran ini ialah faktor kebolehpasaran yang sering dikaitkan dengan kesesuaian program yang tawarkan di Institut Pengajian Tinggi dan tahap kemahiran employabiliti yang dimiliki oleh graduan (Bank Negara 2011, IPPTN 2003; PSPTN, 2011-2015; Wu, 2011; Wan Azlinda & Mime Azrina, 2009, Mohd Yusof et al., 2014). Kajian lepas menunjukkan majikan tidak berpuas hati terhadap penguasaan kemahiran employabiliti berbanding kemahiran teknikal (Ashari et al., 2010; Burgaz, 2008; Mohammad Sattar et al., 2008; Mohamad Zaid et al., 2010; Ramlee, 1999; Zainudin, 2004; Mohd Yusof, 2014).

Menurut Imran (2010), hasil dialog antara politeknik dengan industri mendapati pihak industri memberi penekanan yang khusus terhadap kemahiran employabiliti kepada bakal graduan untuk diambil bekerja. Kajian ke atas lulusan teknikal oleh Ahmad Zaini (2005) mendapati seramai 80,000 lulusan yang masih menganggur. Kajian tersebut juga mendapati lulusan politeknik masih kurang kemahiran employabiliti yang diperlukan oleh majikan dan masih bergantung kepada kelayakan akademik bagi mendapat pekerjaan. Antara kemahiran employabiliti yang kurang dikuasai oleh graduan ialah kemahiran berkomunikasi, penguasaan berbahasa Inggeris dan penggunaan teknologi maklumat. Kemahiran berkomunikasi secara lisan dan bertulis merupakan kemahiran yang kurang diberi tumpuan oleh graduan (IPPTN 2004). Majikan mengutamakan kemahiran berkomunikasi dan kemahiran kerja berkumpulan. Justeru, graduan perlu menguasai kemahiran komunikasi, kemahiran penyelesaian masalah, pengetahuan IT, pengurusan maklumat, kemahiran pembentangan dan kemahiran berbahasa Inggeris bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa kini (Warraich & Ameen, 2011). Tenaga kerja yang fleksibel, berkemahiran teknikal dan berkemahiran employabiliti yang tinggi seperti pemikiran kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah serta berkemahiran analitikal diperlukan oleh pihak industri bagi menghadapi cabaran globalisasi dan ekonomi yang semakin mencabar (2nd International TT-TVET EU-Asia Link project Meeting, 2005). Graduan yang menguasai kemahiran employabiliti dan mempunyai daya saing menjadi pilihan majikan masa kini (Mohd Izham et al., 2011; Azami et al., 2009; Yusoff et al., 2010).

Oleh itu, Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia perlu membincangkan isu seperti kualiti graduan dan kemahiran employabiliti kerana salah satu kriteria kecemerlangan sesebuah institusi pendidikan diukur berdasarkan kepada modal insan yang dihasilkan memenuhi permintaan pasaran kerja (Mohamed Khaled, 2008). Modal insan yang dihasilkan institusi pendidikan perlu berupaya memenuhi permintaan dan persaingan yang berlaku dalam dunia pekerjaan. (Maclean & Ordonez, 2007; Khaled, 2011; Unit Perancang Ekonomi, 2010). Graduan yang berkualiti dijangka akan berjaya dalam persaingan pasaran kerja kerana permintaan kepada tenaga kerja lebih rendah berbanding jumlah keluaran graduan yang dihasilkan oleh institusi pengajian (Mohd Lazim, 2009). Institusi pendidikan perlulah memberi perhatian yang serius terhadap penguasaan kemahiran employabiliti dalam kalangan graduan. Keupayaan institusi pendidikan untuk menghasilkan modal insan yang

Page 4: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

44

berpengetahuan dan berkemahiran yang akan dapat memberi pulangan yang baik kepada syarikat dan negara di masa hadapan (Schultz, 1961; 1963).

Tujuan Kajian

Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meninjau kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik daripada persepsi majikan industri. Majikan terdiri daripada majikan yang menyediakan latihan industri kepada pelajar kejuruteraan institusi teknikal.

METODOLOGI KAJIAN

Reka Bentuk dan Peserta Kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang melibatkan pengumpulan maklumat secara sistematik dan mendalam mengenai tingkah laku individu tertentu, keadaan sosial atau peristiwa khusus untuk mengetahui bagaimana tingkah laku individu atau perubahan keadaan sosial berlaku (Chua, 2006). Dalam pengumpulan data kualitatif, sampel diperoleh dengan mengguna kaedah pensampelan bertujuan. Menurut Creswell (2005) serta Bogdan dan Biklen (1992), pensampelan bertujuan digunakan untuk memilih beberapa individu dan lokasi mereka untuk memahami dengan lebih mendalam sesuatu fenomena. Oleh kerana protokol temubual adalah pengumpulan data secara kualitatif maka pengumpulan data boleh dihentikan apabila data yang diperoleh telah mencapai tahap tepu (Neuman, 2000; Creswell, 2005).

Peserta kajian terdiri daripada sembilan orang majikan di sekitar Lembah Klang, Kota Bharu dan Ipoh yang terdiri daripada majikan kejuruteraan awam (3 orang), kejuruteraan elektrik (3 orang) dan kejuruteraan mekanikal (3 orang). Kesemua majikan terdiri daripada majikan yang menyediakan latihan industri kepada pelajar kejuruteraan institusi teknikal. Untuk menjaga kerahsiaan identiti peserta dan untuk memudahkan analisis, kod M1 sehingga M9 digunakan untuk mengganti nama peserta (Nurulhuda & Ramlee, 2009; ). Bilangan peserta kajian kes iaitu sembilan orang yang sedia ada dikira memadai untuk tujuan kajian kes berbentuk kualitatif ini. Di samping itu, pemilihan peserta juga adalah berdasarkan kerelaan dan kesanggupan kesemua majikan ini untuk melibatkan diri dalam kajian ini. Kajian kes berbentuk kualitatif dengan saiz sampel yang kecil (n = 9) ini tidak bertujuan untuk menggeneralisasikan hasil dapatan kajian kepada mana-mana populasi (Mohd Yusof et al., 2014; Vishalache, 2013). Namun begitu, dapatan kajian yang menggunakan reka bentuk ini dapat memberikan gambaran, maklumat, penerangan, pentafsiran dan pemahaman yang mendalam bagi menjawab persoalan-persoalan kajian yang telah dibentuk khusus untuk kajian ini (Nurulhuda & Ramlee, 2009; Vishalache, 2013).

Instrumen Kajian

Protokol temu bual merupakan instrumen yang digunakan untuk mengumpul data kualitatif. Ia bertujuan untuk memperoleh maklumat yang lebih mendalam mengenai kemahiran employabiliti pelajar daripada perspektif pelajar, pensyarah dan majikan. Dapatan daripada

Page 5: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

45EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

temu bual tersebut dapat memperkukuhkan lagi dapatan daripada soal selidik. Menurut McMilan dan Schumacher (1984) temu bual adalah merupakan suatu instrumen kajian untuk mengukur perubahan tingkah laku pelajar dalam kelas kesan dari pengajaran guru. Kaedah ini juga dapat menterjemahkan makna yang menyebabkan perubahan tingkah laku pelajar. Dalam pengumpulan data kualitatif, sampel diperoleh dengan mengguna kaedah pensampelan bertujuan.

Temu bual merupakan satu kaedah untuk mendapatkan data secara berhubung terus dengan responden secara bersemuka, menggunakan telefon atau e-mel (Creswell, 2005). Antara kelebihan data ini adalah pengkaji akan memperoleh data yang lebih mendalam dan terperinci yang tidak dapat diperoleh daripada soal selidik seperti respons tingkah laku, menerangkan perkara yang tidak difahami dan memperoleh maklumat luar jangkaan yang dapat membantu menyelesaikan masalah kajian (Najib, 1999). Dalam kajian ini pengkaji menggunakan temu bual separa struktur dengan menyediakan soalan dan merakam serta menulis jawapan yang diberikan oleh responden bagi mengetahui persepsi majikan terhadap kemahiran employabiliti pelajar. Dalam kajian ini penyelidik menemu bual responden (majikan) dengan mengajukan soalan-soalan yang khusus kepada responden melalui pembacaan daripada sesuatu senarai soalan yang telah tersedia. Walau bagaimanapun, penyelidik tidak hanya terikat dengan soalan-soalan tersebut malah penyelidik boleh mengemukakan soalan-soalan secara bebas dan relevan semasa sesi temu bual dijalankan (Kamaruddin, 2010). Penyediaan soalan yang lebih awal akan menjadikan perbualan yang lebih fokus dan mudah dianalisis.

Analisis Data

Transkrip temu bual dihasilkan berdasarkan temu bual yang dijalankan. Transkrip temu bual yang dihasilkan disemak oleh responden bagi mengesahkan kandungan transkripsi tersebut (Ghazali et al., 2012). Data temu bual dianalisis berdasarkan kepada tema-tema yang terdapat dalam temu bual bagi menjawab soalan yang dikemukakan. Seterusnya data temu bual dianalisis dengan mengguna pendekatan Bogdan dan Biklen (1992) yang melibatkan proses pengurangan data, mempamerkan data dan membuat kesimpulan.

DAPATAN DAN PERBINcANGAN

Analisis deskriptif telah dijalankan terhadap data daripada menemu bual sembilan orang majikan di sekitar Lembah Klang, Kota Bharu dan Ipoh: majikan kejuruteraan awam (3 orang), kejuruteraan elektrik (3 orang) dan kejuruteraan mekanikal (3 orang). Hasil temu bual mengenai kemahiran employabiliti pelajar yang diberikan oleh majikan adalah seperti berikut:

i. Elemen kemahiran komunikasi

Majikan pelajar kejuruteraan politeknik berpendapat pelajar politeknik boleh berkomunikasi serta melaksanakan arahan. Namun belum mencapai tahap sebenar kerana faktor pengalaman, contohnya seperti berikut:

Page 6: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

46

... tapi oleh sebab dia tak ada pengalaman mungkin tak sampai tahap. Tapi boleh lah komunikasi tu. Boleh dengar arahan (M4).

Hasil daripada temu bual ini juga menunjukkan majikan berpuas hati dengan kemahiran berkomunikasi pelajar politeknik, namun tidak berpuas hati ketika pelajar membuat pembentangan, contohnya seperti di bawah:

... saya rasa tak ada masalah daripada segi komunikasi. Komunikasi daripada segi pembentangan kurang memberangsangkan lagi (M7).

Di samping itu, temu bual ini juga menunjukkan kebolehan berkomunikasi dalam kalangan pelajar bergantung kepada pelajar itu sendiri. Sesetengah pelajar boleh berkomunikasi dengan baik, namun ada yang pendiam atau malu seperti bukti berikut:

Komunikasi berdasarkan pelajar sebab ada pelajar yang datang boleh berkomunikasi well, ada yang setengah malu-malu, tidak biasa so dia depends on student (M9).Ada budak yang pandai bercakap, pandai lah. Kalau budak cakap banyak, dia mesti boleh, kalau budak yang jenis pendiam sikit, dia itulah (M1).

Sesetengah majikan berpendapat pelajar politeknik boleh berkomunikasi dengan baik serta berupaya melaksanakan arahan dengan baik. Contoh berikut membuktikannya.

... bila kita berhubung balik dengan bos-bos workshop, macam mana mereka punya komunikasi, dia orang kata ‘ok, everything is settle, normal, tiada masalah’. Average ok, tiada masalah (M5).

ii. Elemen kemahiran kerja berpasukan

Kebanyakan majikan bersetuju bahawa pelajar politeknik boleh bekerja sesama rakan. Ini jelas dinyatakan dalam contoh temu bual di bawah:

Memang tak dinafikan semua bagus. Yang tu boleh saya katakan hampir semua good. Bekerja dalam pasukan dia orang tiada masalah (M5).

Majikan juga berpendapat bahawa pelajar politeknik juga berkebolehan bekerja dengan sesiapa saja asalkan diberi panduan seperti bukti berikut:

Tiada masalah sebab dia boleh bekerja dengan sesiapa sahaja asal diberi arahan untuk membuat sesuatu (M9).

Selain daripada dapat bekerja dalam pasukan dengan baik serta dapat bekerja dengan sesiapa saja, majikan berpendapat pelajar boleh memberi komitmen kepada majikan dengan datang bekerja pada hari Sabtu jika ada keperluan, seperti bukti temu bual di bawah.

... kalau saya suruh stay back pun dia orang boleh stay back, kalau ada urgent, hari sabtu mereka boleh datang kerja (M2).

Walaupun begitu, ada majikan berpendapat pelajar politeknik boleh bekerja sesama rakan tetapi perlu diperbaiki, contohnya ketika memberi arahan kepada staf bawahan yang lebih senior, seperti mana hasil temu bual menyatakan:

Page 7: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

47EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

... dia bergerak dalam pasukan. Cuma perlu diperbaiki, perlu ditekankan di pihak institusi teknikal. Masa dia masuk alam pekerjaan ni, kita kena dedahkan kerana komunikasi contohnya dia diploma kalau dia masuk KTM dia akan jadi pegawai bermakna dia akan menjaga ramai kakitangan staf bawahan. Jadi dengan staf bawahan dia tak boleh nak bagi arahan secara direct, kalau baru bekerja (M6).

iii. Elemen kemahiran kepimpinan

Kebanyakan majikan berpendapat bahawa pelajar politeknik mempunyai ciri-ciri dipimpin berdasarkan temu bual ini:

... kebanyakan ada ciri-ciri dipimpin sahaja (M7).

Majikan berpendapat antara penyebab pelajar politeknik tidak mempunyai daya kepimpinan adalah tahap kelayakan akademik. Hasil temu bual ini membuktikannya.

Tak, peringkat diploma ni dia tak boleh lagilah (M2).

Sesetengah majikan berpandangan bahawa pelajar politeknik boleh memimpin untuk kerja-kerja yang tidak kompleks seperti berikut:

... ada sorang dua yang boleh bila diberikan tanggungjawab memimpin . Kita bagi kerja yang mudah. (M8).

Majikan juga berpendapat, ada pelajar politeknik yang boleh memimpin tetapi berada pada tahap sederhana. Pelajar perlu mempamerkan akhlak yang baik kepada kakitangan seperti bukti berikut.

Saya lihat perlu juga ada perubahan, mungkin penerapan nilai-nilai nak memimpin pasukan atau team di tempat kerja contoh akhlak yang baik pada kakitangan, itu yang saya nampak. Tahap memimpin di tahap pertengahan (M6).

Walaupun begitu, ada majikan yang berpendapat bahawa pelajar politeknik boleh memimpin. Ini jelas dinyatakan dalam contoh temu bual di bawah.

Sebahagian tu ada, contohnya bila kita bagi satu kertas kerja yang kerap kami lakukan, ‘ you punya kumpulan, I nak you dapatkan information daripada pihak loco mungkin dari segi sistem kerja elektronik di kawasan bengkel’. Di situ kita boleh nampak team tu, ‘you lead’ then kita lihat bagaimana dia lead kumpulan itu. Memang boleh memimpin di situ (M5).

iv. Elemen kemahiran etika dan moral

Kebanyakan majikan mendapati pelajar politeknik boleh mematuhi peraturan, berdisiplin serta menepati masa seperti hasil temu bual ini:

Page 8: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

48

Disiplin tiada masalah, punctual rasa tiada masalah. Boleh ikut peraturan di tempat kerja (M9).

Majikan juga berpandangan bahawa pelajar politeknik mempunyai moral yang baik serta memberi komitmen yang tinggi terhadap kerja, walaupun tidak ada kerja yang perlu dibuat seperti bukti berikut:

Daripada segi moral ok. Daripada segi masa kerja ok. Kalau tak ada kerja pun, mereka datang (M1).

Menurut sesetengah majikan terdapat segelintir pelajar politeknik yang tidak mematuhi peraturan. Pelajar telah memberi komitmen jika pemantauan dilakukan, seperti hasil temu bual berikut:

Datang lambat tu biasa lah. kadang-kadang balik awal, setengah hari. Itu lebih kepada punctuality lah. Disiplin tu atas kita juga (M2).

v. Elemen kemahiran kerohanian

Kebanyakan majikan memberi pandangan pelajar politeknik boleh mematuhi ajaran agama dengan baik seperti hasil temu bual di bawah:

... memang kesedaran agama tu memang adalah, sembahyang belaka. Kalau yang tak sembahyang tu tak adalah (M1).

Selain daripada mendirikan solat, majikan juga berpuas hati dengan pergaulan dan menutup aurat pelajar politeknik semasa menjalani latihan industri. Pelajar politeknik yang menjalani latihan industri di firma-firma mengamalkan pergaulan yang baik dan berpakaian yang menutup aurat. Ini dinyatakan melalui temu bual berikut:

Setakat ini, daripada segi menutup aurat tiada masalah yang datang ke sini (M7).

Pergaulan mereka lebih kepada dengar cakap. Mereka sembang-sembang mengenai kerja (M8).

Pelajar politeknik juga mengambil bahagian semasa sesi tazkirah dijalankan dengan menyampaikan hadis. Ini jelas dinyatakan dalam contoh temu bual di bawah.

Kami ada tazkirah dan sebagainya, mereka duduk di hadapan dan mereka diberi bahagian untuk menyampaikan hadis, dari sudut tu ok, tiada masalah (M9).

Namun, terdapat juga majikan yang tidak berpuas hati dengan segelintir pelajar politeknik daripada segi pergaulan, solat, cara berpakaian dan percakapan. Bukti pendapat majikan dinyatakan di bawah:

... hanya segelintir sahaja yang ok, yang kita nampak daripada segi solat, pergaulan dengan kawan, sembang. Cara cakap dia pun kita boleh tahu, ataupun cara pemakaian (M6).

Page 9: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

49EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

vi. Elemen Kemahiran Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Pengurusan Maklumat

Kebanyakan majikan mendapati pelajar politeknik berminat untuk belajar sesuatu yang baharu semasa menjalani latihan industri seperti hasil temu bual berikut:

...majoriti amat berminatlah, lebih-lebih lagi kerja-kerja dekat tapak. Ia lebih kepada perbandingan antara belajar teori dengan yang real situations (M3).

Terdapat pelajar politeknik yang berminat mempelajari sesuatu yang baharu dengan men-cuba perisian baharu, yang mana perisian ini tiada lagi di institusi teknikal. Pelajar ini akan bertanya kepada majikan jika terdapat masalah yang tidak dapat diselesaikan seperti temu bual ini:

…minat belajar bila kita bagi software yang tiada di institusi teknikal. Bila kita bagi masalah untuk cuba buatkan, memang mereka buatlah. Bila ada masalah mereka tanya (M2).

Walau bagaimanapun, terdapat majikan yang tidak berpuas hati dengan pelajar politeknik yang tidak proaktif dan hanya menunggu arahan sahaja. Pelajar politeknik hanya mengharap dan menerima apa sahaja yang diberi oleh pensyarah serta tiada inisiatif untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Ini dibuktikan dengan temu bual di bawah:

...daripada segi proaktif, fikir out of box tiada. Mereka tidak akan menyatakan keinginan mereka, mereka hanya mengharapkan arahan dan mereka akan buat itu sahaja (M9).

...kita di sini tidak mengamalkan strict macam di dewan kuliah. Jadi mungkin memerlukan masa sedikit penyesuaian untuk mereka mengadaptasi daripada politeknik sendiri dan ke sini (M7).

...kalau ada apa-apa dia tak faham, sejujurnya dia tak datang, rujuk kepada kitalah. Dia tengok saja (M4).

Daripada segi pengurusan maklumat berkaitan kerja, majikan berpendapat pelajar politeknik boleh menguruskannya tetapi perlu kepada tunjuk ajar, seperti ungkapan berikut:

...lebih bagi dorongan dan tunjuk ajar, untuk dia dapatkan sendiri tu mungkin ada masalah sikitlah, kena melalui tunjuk ajar la (M3).

Dari segi pengurusan maklumat seperti menulis buku log dan laporan latihan industri kebanyakan majikan berpuas hati seperti hasil temu bual di bawah:

Saya sendiri yang menyemak report-report mereka, dan saya lihat tiada masalah (M5).

vii. Elemen kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah

Pendapat kebanyakan majikan agak condong ke arah ketidak upaya pelajar berfikir secara kritikal bagi menyelesaikan permasalahan semasa menjalani latihan industri, seperti kata mereka:

Page 10: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

50

… masih lagi peringkat kepada akademik, dia masih belajar di Kolej. Bila banyak masalah dia macam stuck, tak boleh nak buat, dia report kita (M2).

… tak adalah approach kata datang jumpa kita, masalah ni dia ada suggestion nak bagi idea, so far tak adalah. Tak pernah (M4).

… mereka tidak pernah menyuarakan apa-apa pun. Mungkin mereka takut atau tidak confident (M9).

Akan tetapi terdapat juga majikan yang menyatakan pelajar politeknik berupaya menerangkan idea-idea melalui pembentangan. Ini jelas melalui temu bual yang dijalankan di bawah.

Mereka buat dengan baik...kita nak penyelesaian masalah itu dibuat secara slide presentation dan kita kerap buatlah. Dan kita lihat bagaimana mereka menjelaskan idea-idea tu melalui presentation (M5).

Daripada segi penyelesaian masalah, majikan berpendapat pelajar politeknik tidak berupaya menyelesaikan masalah di tempat kerja. Antara faktor-faktor penyebab adalah tiada pengalaman, tidak dapat mengaitkan antara teori dan praktikal serta polisi syarikat. Ini ditunjukkan dengan temu bual berikut:

... mereka masih lagi baru. Benda ni dia first time kalau ikutkan dia kerjakan, jadi dia tak boleh nampak apa nak kait dengan apa yang dia belajar dengan kerja. Dia tak boleh nampak (M1).

…dia tak involve secara terus dengan proses kerja dekat sini sebab kalau dia buat kerja , jika berlaku kecederaan kita takut…jadi nak involve secara terus mungkin tak boleh (M6).

Terdapat sesetengah majikan berpendapat pelajar politeknik boleh menyelesaikan sesuatu permasalahan jika di beri panduan seperti temu bual ini.

Kita perlu guard contoh you kena buat A, B, C… so everything for that kind of instructions (M9).

Majikan juga memberi pujian kepada pelajar politeknik kerana berupaya memberi input kepada syarikat. Ini dibuktikan dengan temu bual di bawah:

...dia orang sendiri yang kena buat survey dan dia akan buat presentation pada saya macam mana dari segi pandangan orang luar, iaitu bukan staf kereta api, menyelesaikan masalah dalaman kereta api. So far, so good lah. Kita dapat extra idea daripada orang luar (M5).

viii. Elemen kemahiran menggunakan teknologi

Keupayaan menggunakan teknologi dalam kalangan pelajar politeknik perlu dipertingkatkan dengan memberi tunjuk ajar, seperti kata majikan berikut:

Page 11: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

51EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

Penggunaan teknologi kalau di guard mereka boleh, tetapi masalahnya mereka tidak fikir ‘why’, ‘how’, mereka cuma spoon feed (M9)

Terdapat juga majikan yang berpandangan pelajar politeknik kurang yakin, takut-takut dan tidak mahir sepenuhnya dalam menggunakan teknologi. Ini dinyatakan oleh majikan melalui temu bual berikut:

kebanyakan masih ada takut-takut atau kurang keyakinan. Mahir belum sepenuhnya, masih average (M7).

Majikan berpendapat penggunaan teknologi seperti penggunaan software bergantung kepada minat pelajar. Pelajar yang berminat untuk mendalami sesuatu teknologi lambat laun akan mahir menggunakan teknologi tersebut seperti kata-kata berikut:

...kalau jenis yang kurang berminat tu, memang dia akan slow. Semua bergantung kepada minat seseorang (M3).

Terdapat juga majikan yang berpuas hati terhadap pelajar politeknik dalam menggunakan teknologi terutamanya dalam penggunaan perisian aplikasi dalam komputer. Ini dibuktikan melalui temu bual ini.

Mereka ada kemahiran, jadi dia boleh buat. Sebab dia access kita, kita bagi dia buat format ke apa, apa-apa perisian komputer (M4).

ix. Elemen kemahiran keusahawanan

Majikan mendapati pelajar politeknik tidak menunjukkan minat dalam perniagaan, seperti mana pandangan majikan di bawah:

Mereka minat bekerja, tapi mereka tidak nampak untuk menjadi usahawan (M8).

...berdepan dengan kontraktor dan sebagainya tidak pernah ada kata nak jadi kontraktor atau engineer, tidak pernah. Kami suruh dia buatkan sebut harga, dia tak pernah tanya. Jadi keusahawanan tu mereka tidak fikir (M9).

Terdapat juga majikan berpendapat, pelajar politeknik berkebolehan menjadi usahawan jika kerajaan memberi bantuan seperti modal, seperti kata-kata berikut:

...lebih kepada ingin tahu macam contohnya punca mana-mana dia memang ambil tahulah, cuma bila kita cakap-cakap ni, modal. Mungkin kalau kerajaan bagi dorongan modal, mungkin bolehlah (M3).

Kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar politeknik boleh menjadi kenyataan jika pelajar berkeupayaan mengenali orang-orang yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Menurut majikan kerja di tapak pembinaan mempunyai potensi yang besar untuk berjaya dalam bidang keusahawanan seperti hasil temu bual ini:

...dia boleh bina dia punya konteks, lebih banyak dia belajar lagi-lagi duduk di site. Kerja di site tu potensi kerja sendiri tu lebih besar (M2).

Page 12: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

52

x. Elemen kemahiran sosial

Melalui temu bual seterusnya, kajian ini mendapati pelajar politeknik boleh berhubung dan bergaul dengan rakan. Ini jelas melalui temu bual majikan ini:

...kira rapat dengan staf-staf yang lain. Tak ada masalah (M2).

Terdapat sesetengah majikan yang menyatakan ada pelajar politeknik kurang mahir bersosial seperti hasil temu bual ini:

...tapi still depends on people yang datang. Ada yang datang takut-takut, jenis tak bersosial sangat (M9).

Kebanyakan majikan berpuas hati dengan kemahiran sosial pelajar politeknik. Pelajar ini berkebolehan bergaul dan berkomunikasi dengan kakitangan dan orang luar dengan baik. Ini dinyatakan oleh majikan melalui temu bual di bawah:

Boleh bergaul dengan kakitangan, boleh berkomunikasi dengan orang luar (M6).

KESIMPULAN

Beberapa kesimpulan boleh dibuat daripada kajian ini. Secara keseluruhannya tahap penguasaan kemahiran employabiliti pelajar kejuruteraan politeknik perlu dipertingkatkan. Antara elemen-elemen kemahiran employabiliti yang perlu diberi penekanan adalah kemahiran komunikasi, kepimpinan, pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, penggunaan teknologi dan keusahawanan. Berdasarkan temu bual dengan responden, antara perkara-perkara yang perlu diperbaiki oleh pelajar politeknik bagi mencapai tahap berkomunikasi yang baik, adalah semasa membuat pembentangan serta membuang sifat malu dan pendiam. Bagi elemen kepimpinan pula, majikan berpandangan pelajar politeknik kurang berkebolehan memimpin disebabkan oleh kelayakan akademik yang dimiliki oleh pelajar dan hanya mampu memimpin pada tugas-tugas yang mudah sahaja. Bagi elemen pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah, majikan berpandangan ada pelajar politeknik tidak berupaya menjana idea-idea bagi menyelesaikan masalah berkaitan kerja.

Pelajar politeknik berkebolehan dan mahir menggunakan teknologi kalau diberi tunjuk ajar. Bagi elemen keusahawanan pula, majikan berpandangan pelajar politeknik tidak berminat menceburi bidang keusahawanan berbanding dengan kerja makan gaji. Hanya segelintir yang berminat menjadi usahawan dengan syarat perlu diberi tunjuk ajar, modal dan juga berkeupayaan membina kenalan dalam bidang keusahawanan. Pihak pengurusan politeknik perlu memantapkan persekitaran politeknik (kemudahan prasarana, interaksi pensyarah dan interaksi rakan) serta latihan industri. Faktor-faktor penyumbang terhadap pembangunan kemahiran employabiliti di institusi teknikal termasuklah persekitaran politeknik dan latihan industri.

RUJUKAN

Abu Daud & al-Nasa’i. (n.d.). Sabda Rasulullah s.a.w (140 - 141). Dalam: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (2007), Himpunan hadis modal insan. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd.

Page 13: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

53EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

Ahmad Muhaimin, M., Jamaluddin, H. & Baharudin, A. (2008). Kelemahan penguasaan kemahiran di kalangan pelajar: pedagogi dan teknologi sebagai pendekatan penyelesaian. Dalam:. Seminar Penyelidikan Pendidikan Pasca Ijazah 2008, 25 - 27 November 2008. Universiti Teknologi Malaysia.

Ahmad, Z. (2005). Students and Employers as Customers of Multimedia College.Dalam:. Proceedings of National Seminar “The Development of Technology And Technical-Vocational Education And Training In An Era of Globalization: Trend and Issues”. Kuala Lumpur.

Ashari, S., Nurul Asmida, M. R., Razali, H & Ahmad Rizal, M. (2010). Penguasaan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar Politeknik Kota Bharu. Dalam Ahamd Esa dan Muhamad Zaid Mustafa. Kemahiran Insaniah: Kajian di Institusi - institusi Pengajian. hlm 125 - 152. Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn.

Azami Zaharim, Yuzainee Md Yusoff, Mohd. Zaidi Omar, Azah Mohamed, Norhamidi Muhamad & Ramli Mustapha. (2009). Employers Perception towards Engineering Employability Skills In Asia. WSEAS TRANSACTIONS on ADVANCES in ENGINEERING EDUCATION, 306-315.

Bank Negara Malaysia. (2011). Annual Report 2010. Kuala Lumpur: Bank Negara.Bogdan, R. C., & Biklen, S. K. (1992). Qualitative Research for Education (2nd ed.). Boston: Allyn and Bacon.

Burgaz, B. (2008). Employability competences of vocational secondary school. Egitim Arastirmalari-Eurasian Journal of Educational Research, 31, 17-34.

Chua Y. P. (2006). Asas statistik penyelidikan Buku 2. Kuala Lumpur: McGraw Hill.Creswell, J. (2005). Educational Research - Planning, conducting, and evaluating quantitative and

qualitative (2nd Ed). University of Nebraska - Lincoln: Pearson Education International.Ghazali, Y., Nik Mohd Rahimi, Parilah, M. S., Wan Haslina, W. & Ahmed Thalal, H. (2012).

Penggunaan strategi belajar bersama rakan dalam kalangan pelajar Kursus Bahasa Arab di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Asia Pacific Journal of Educators and Education, Vol. 27, 37-50.

Imran, I. (2010). Amanat Tahun 2010. Seri Kembangan: Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN). (2003). Kurikulum universiti dan literasi tempat kerja.

Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN). (2004). Daya saing graduan lepasan tempatan dengan graduan lepasan luar Negara Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Kamaruddin, M. T. (2010). Penilaian pembangunan kemahiran generik dalam kalangan pelajar tahun akhir Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Tesis PhD: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. (2012). Kajian Pengesanan Graduan KPT. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Kerajaan Malaysia. (2010). Rancangan Malaysia Kesepuluh 2011-2015. Putrajaya: Government Press.

Khaled, N. (2011). Meneraju kegemilangan ilmu. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi.Maclean, R. & Ordonez, V. (2007). Work, skills development for employability and education for

sustainable development. Educational Research for Policy and Practice, 6, 123-140.Maran, M., Lawrence, A. & Maimunah, I. (2009). Human capital development and its impact on

firm performance:Evidence from development economics. The Journal of International Social Research, 2(8), 265-272.

McMillan, J. H. & Schumacher, S. (1984). Research in Education. Boston: Littel, Brown & Company Limited.

Mohamad Sattar Rasul, Md Yusof Ismail, Napsiah Ismail, Muhammad Rashid Rajuddin, & Rose Amnah Abdul Rauf. (2008). Pembangunan Standard Pengukuran Kemahiran Employabiliti. Jurnal Teknologi, 49(E) Dis. 2008:, 15–30.

Page 14: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

54

Mohamad Zaid, M., Nordiana, M. N., Ali, S. & Rosnee, A. (2010). Kemahiran soft skills di Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Dalam Ahmad Esa dan Muhamad Zaid Mustapha. Kemahiran Insaniah: Kajian di Institusi-Institusi Pengajian. hlm 21 - 44. Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Mohamed Khaled Nordin. (2008). Mengubah Senario Global Dalam Pengajian Tinggi. Seminar pengurusan akademik IPT 2008. Bella Vista, Langkawi.

Mohd Izham, M. H., Juriah, L., Khalid, A., Zaini, M., Hamidah, Y., Zarin, I. & Rosima, A. (2011). Dalam: Zamri Mahamod, Jamalul Lail Wahab & Mohammed Sani Ibrahim Transformasi dan Inovasi dalam Pendidikan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Lazim, A. (2009). Identifying the generic skills amongst Malaysian undergraduate students: An analysis of gender differences. Jurnal Teknologi, 50(E), 11-20.

Mohd Najib, A. G. (1999). Penyelidikan Pendidikan. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.Mohd Yusof, H. (2014). Penilaian Kemahiran Employabiliti dalam Kalangan Pelajar Kejuruteraan

Politeknik di Semenanjung Malaysia. Thesis Doktor Falsafah: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Yusof, H., Ramlee, M., Syed A. Malik, S. M. & Seri Bunian, M. (2014). Persepsi Pensyarah Kejuruteraan Terhadap Tahap Kemahiran Empolyability Pelajar Kejuruteraan Institusi Teknikal : Satu Kajian Kes. First Technical and Vocational Education International Seminar 2014 (TVEIS 2014) (pp. 157-169). Skudai: Universiti Teknologi Malaysia.

Neuman, W. (2000). Sosial research methods: Qualitative and Quantitative approaches. Needham Heights: Allyn and Bacon.

Nurulhuda, C. A. & Ramlee, M. (2009). Kajian Kes Usahawan Tani Industri Kecil Sederhana (IKS) Bumiputera di Negeri Terengganu (A Case Study of SMI Bumiputera Agropreneurs in Terengganu). Jurnal Pendidikan Malaysia 34(2), 143 - 165.

Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). (2011 - 2015). Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara Fasa 2. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Rahmah, I. (2000). Situasi semasa pembangunan sumber manusia di Malaysia. Dalam Hashim Fauzy Yaacob. Pembangunan sumber manusia di Malaysia. hlm 27 - 59. Skudai Johor: Universiti Teknologi Malaysia.

Ramlee, M. (1999). The Role of Vocational and Technical Education in the Industrialization of Malaysia as perceived by Educators and Employers. Purdue University: Tesis Doktor Falsafah.

Schultz T.W. (1961). Investment in Human Capital. (pp. 1-16). American Economic Review.Schultz T.W. (1963). The economic value of education. New York: Columbia University Press.Tan, K. H. & Nor Hazwin Solehah, A. H. (2010). Profil Kemahiran generik untuk graduan hospitaliti:

perspektif pensyarah politeknik. Dalam:. 2nd World Congress on teacher education for TVET 2010 (pp. 126-137). Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn.

Unit Perancang Ekonomi. (2010). Rancangan Malaysia Kesepuluh (2010 - 2015) Ringkasan Eksekutif. PutraJaya: Jabatan Perdana Menteri.

Vishalache, B. (2013). Penilaian Program Latihan Khidmat Negara dari Perpektif Pelatih: Satu Kajian Kes. Asia Pacific Journal of Educators and Education, Vol. 28, 69-80.

Wan Azlinda, W. J., & Mime Azrina, M. (2009). Using cooperative learning to improve generic skills among university students. Dalam: International Conference on Teaching and Learning in Higher Education 2009 (ICTLHE09), 23-25 November 2009. Kuala Lumpur.

Warraich, N. F. & Ameen, K. (2011). Employability skills of LIS graduates in Pakistan: needs and expectations. Emerald Library Management , 32(3), 209-224.

Wu, C. C. (2011). High graduate unemployment rate and Taiwanese undergraduate education. International Journal of Educational Development , 31, 303-310.

Yusoff, Y., Omar, M., Zaharim, A., Mohamed, A., Muhamad, N. & Mustapha, R. (2010). Enhancing Employability Skills through Industrial Training Programme. Engineering Education, 398-403.

Page 15: Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran ...pustaka2.upsi.edu.my/eprints/1089/1/PERSEPSI... · Persepsi Majikan Kejuruteraan Terhadap Kemahiran Employabiliti Pelajar ... dan

55EDUCATUM - Journal of Science, Mathematics and Technology Vol. 1 No.2 (2014) 41 - 55ISSN 2289-7070

Zainudin, H. (2004). Penerapan kemahiran generik dalam pengajaran kejuruteraan di Sekolah Menengah Teknik di Kuala Terengganu. Thesis Ijazah Sarjana Pendidikan: Universiti Teknologi Malaysia.