peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

18
81 Masalah Pendidikan, 34, 2011 PERANAN KESUSASTERAAN PELBAGAI BUDAYA DALAM PEMBENTUKAN PERPADUAN KEBANGSAAN DI MALAYSIA Mahzan Arshad Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris Abdul Jalil Othman Nurfatimah Awang Da Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Makalah ini membincangkan tentang peranan bahan kesusasteraan pelbagai budaya dalam membina semangat perpaduan dalam kalangan penduduk di Malaysia yang mempunyai penduduk berasal dari pelbagai keturunan kaum. Bahagian pertama makalah ini membincangkan definisi kesusasteraan pelbagai budaya dengan memberikan penekanan terhadap konsep kesusasteraan yang ditulis oleh penulis yang berbeza latar belakang budaya dan amalan hidup sehariannya. Bahagian kedua menganalisis secara deskriptif beberapa kajian yang berkaitan penggunaan bahan kesusasteraan pelbagai budaya dalam menerapkan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Pada bahagian akhir, makalah ini membincangkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk memperkukuh penggunaan bahan kesusasteraan tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memupuk perpaduan kebangsaan dalam kalangan generasi muda dengan lebih berkesan. Kajian tentang penghayatan nilai masyarakat pelbagai budaya melalui bahan kesusasteraan telah lama mendapat perhatian serius di negara barat khususnya di Amerika Syarikat sejak beberapa dekad yang lalu. Senario politik negara tersebut yang memperlihatkan pertumbuhan penduduk yang pelbagai keturunan kaum dan status sosial sejak tiga dekad kebelakangan ini menyebabkan mereka terpanggil untuk mencari jalan ke arah melahirkan sebuah masyarakat yang dapat hidup aman dan harmoni serta mempunyai tujuan dan matlamat yang sama sebagai satu negara bangsa yang besar. Di samping itu mereka tidak berhasrat meminggirkan amalan dan budaya

Upload: duongcong

Post on 31-Dec-2016

258 views

Category:

Documents


7 download

TRANSCRIPT

Page 1: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

81

Masalah Pendidikan, 34, 2011

PERANAN KESUSASTERAAN PELBAGAI BUDAYA DALAM PEMBENTUKAN PERPADUAN KEBANGSAAN

DI MALAYSIA

Mahzan Arshad Fakulti Bahasa dan Komunikasi

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Abdul Jalil Othman Nurfatimah Awang Da

Fakulti PendidikanUniversiti Malaya

Makalah ini membincangkan tentang peranan bahan kesusasteraan pelbagai budaya dalam membina semangat perpaduan dalam kalangan penduduk di Malaysia yang mempunyai penduduk berasal dari pelbagai keturunan kaum. Bahagian pertama makalah ini membincangkan definisi kesusasteraan pelbagai budaya dengan memberikan penekanan terhadap konsep kesusasteraan yang ditulis oleh penulis yang berbeza latar belakang budaya dan amalan hidup sehariannya. Bahagian kedua menganalisis secara deskriptif beberapa kajian yang berkaitan penggunaan bahan kesusasteraan pelbagai budaya dalam menerapkan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini. Pada bahagian akhir, makalah ini membincangkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk memperkukuh penggunaan bahan kesusasteraan tersebut dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memupuk perpaduan kebangsaan dalam kalangan generasi muda dengan lebih berkesan.

Kajian tentang penghayatan nilai masyarakat pelbagai budaya melalui bahan kesusasteraan telah lama mendapat perhatian serius di negara barat khususnya di Amerika Syarikat sejak beberapa dekad yang lalu. Senario politik negara tersebut yang memperlihatkan pertumbuhan penduduk yang pelbagai keturunan kaum dan status sosial sejak tiga dekad kebelakangan ini menyebabkan mereka terpanggil untuk mencari jalan ke arah melahirkan sebuah masyarakat yang dapat hidup aman dan harmoni serta mempunyai tujuan dan matlamat yang sama sebagai satu negara bangsa yang besar. Di samping itu mereka tidak berhasrat meminggirkan amalan dan budaya

Page 2: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

82

Masalah Pendidikan, 34, 2011

kelompok kecil masyarakat yang berbeza latar belakangnya dan diwarisi daripada nenek moyang masing-masing di negara asal mereka.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bidang kajian begini turut mendapat tumpuan negara-negara di sekitar Asia Tenggara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan negara-negara lain di rantau ini dalam usaha memupuk semangat perpaduan masyarakat di negara mereka. Makalah ini akan menganalisis beberapa kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji tempatan bagi melihat peranan bahan kesusasteraan pelbagai budaya dalam mewujudkan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Masalah perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum bukanlah mudah ditangani oleh pihak pemerintah. Nilai-nilai toleransi dan persefahaman antara masyarakat yang mengamalkan kepelbagaian budaya dan gaya hidup tidak mudah diterapkan dalam jiwa dan sanubari generasi muda sekiranya tidak diterap sejak awal lagi. Peranan sekolah adalah penting bagi menerapkan nilai toleransi dan persefahaman ini, khususnya menerusi mata pelajaran yang bercorak kemanusiaan seperti mata pelajaran bahasa dan kesusasteraan Melayu. Penerapan nilai-nilai hormat menghormati dan saling memahami antara budaya dapat ditegaskan dengan mudah dalam mata pelajaran tersebut. Menerusi bahan-bahan kesusasteraan pelbagai budaya nilai yang amat penting dalam memupuk perpaduan dapat ditanam ke dalam jiwa generasi muda di negara ini dengan pelbagai pendekatan pengajaran yang berkesan. Masalahnya, adakah pemilihan bahan kesusasteraan yang digunakan di sekolah untuk mata pelajaran Kesusasteran Melayu dan Komponen Sastera dan Bahasa Melayu (KOMSAS) mengambil kira bahan yang menonjolkan kepelbagaian dalam kehidupan masyarakat yang pelbagai budaya di negara ini?

Definisi Kesusasteraan Pelbagai BudayaKesusasteraan pelbagai budaya bermaksud semua karya sastera (baik lisan mahu pun penulisan) hasil golongan minoriti dalam sesuatu masyarakat yang ditulis dalam bahasa asal mereka (Chew Fong Peng, 2007). Apabila membicarakan tentang kesusasteraan pelbagai budaya, maka tidak boleh tidak kita akan membicarakan tentang kesusasteraan pelbagai etnik kerana kedua-dua jenis kesusasteraan ini berkait rapat antara satu sama lain. Kesusasteraan pelbagai budaya merupakan hasil karya sastera yang dinukilkan atau dihasilkan oleh penulis yang bukan daripada golongan majoriti penduduk sesebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang

Page 3: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

83

Masalah Pendidikan, 34, 2011

kaum. Apa yang membezakan antara kedua-dua jenis bahan kesusasteraan tersebut ialah kesusasteraan pelbagai budaya dihasilkan oleh penulis yang berasal dari kaum yang bukan majoriti dalam sesebuah negara, manakala kesusasteraan pelbagai etnik pula dihasilkan oleh golongan (etnik) minoriti dalam sesebuah masyarakat yang terdapat dalam sesebuah negara. Hal ini bermaksud bahawa kesusasteraan pelbagai budaya mewakili kaum minoriti dalam sesebuah negara, manakala kesusasteraan pelbagai etnik pula mewakili etnik yang terdapat dalam kaum minoriti tersebut.

Apabila membicarakan tentang kesusasteraan pelbagai budaya, maka tidak boleh lari daripada membincangkan kesusasteraan pelbagai etnik kerana etnik merupakan komponen kecil dalam sesebuah kaum. Dalam makalah ini, kedua-dua konsep kesusasteraan tersebut akan disepadukan kerana matlamat dalam penghasilan kedua-duanya ini adalah sama iaitu ingin mengungkap ciri-ciri budaya, tradisi, kepercayaan, amalan dan apa saja tentang perihal kehidupan dalam senario kehidupan yang diwakili oleh penulis. Beberapa pendapat para pengkaji sastera telah menegaskan bahawa bahan kesusasteraan pelbagai budaya adalah bahan kesusasteraan yang bukan dihasilkan oleh golongan kaum majoriti dalam sesebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum (Goldberg, 2009; Norton & Norton, 2010). Dengan kata lain, kesusasteraan pelbagai budaya ini boleh diklasifikasikan sebagai bahan kesusasteraan yang mengenengahkan agenda budaya, bahasa, tradisi, kepercayaan dan amalan dalam senario kehidupan sesebuah masyarakat minoriti dalam sesebuah negara.

Secara global, Mahzan Arshad (2003) telah mendefinisikan kesusasteraan pelbagai budaya sebagai bahan kesusasteraan oleh dan tentang kumpulan penduduk yang di luar masyarakat arus perdana dalam sesebuah negara majmuk. Pendapat Mahzan Arshad diperkukuhkan lagi oleh Hinton dan Dickson (2007) dan Douglas (2009) yang mengatakan bahawa bahan kesusasteraan pelbagai budaya ini merupakan bahan yang mewakili budaya, sejarah, dan tradisi yang berasal dari luar sempadan sesebuah negara. Definisi ini menjelaskan bahawa kesusasteraan pelbagai budaya itu sebagai wakil bagi mengenengahkan corak kehidupan dan amalan dalam kehidupan masyarakat golongan minoriti untuk ditonjolkan dalam arus perdana masyarakat majoriti dalam sesebuah negara. Wujudnya kesusasteraan pelbagai budaya akan menjadi wadah bagi menghubungkan pengetahuan dari aspek budaya dan corak kehidupan yang menjadi amalan dan pegangan sesuatu kaum kepada dunia luar. Hal ini ditegaskan oleh Lee (2008) bahawa membaca bahan kesusasteraan mereka akan memberikan kesan kepada pembaca untuk memahami perasaan dan kehidupan watak-watak yang ditonjolkan dalam sesebuah karya tersebut.

Page 4: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

84

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Berdasarkan definisi di atas maka hasil penulisan bahan kesusasteraan pelbagai budaya mengandungi isu-isu yang berkaitan dengan budaya, amalan, cara hidup, kepercayaan, keturunan, sejarah, agama, dan apa jua isu yang berkaitan dengan perihal kehidupan yang diwakili oleh seseorang penulis yang berasal dari satu keturunan kaum minoriti. Hasil penulisan atau tema dan persoalan yang hendak ditonjolkan mempunyai perbezaan dalam pelbagai aspek kehidupan yang dimainkan oleh watak-wataknya, latar budaya, latar tempat, pemikiran, kepercayaan hidup, kesukaan dan kedukaan kumpulan kaum mereka berbanding hasil penulisan golongan arus perdana yang memberikan gambaran kehidupan biasa berlaku di dalam masyarakat yang lebih dominan.

Namun begitu, terdapat juga sarjana sastera yang mentakrifkan kesusasteraan pelbagai budaya itu dari sudut yang berbeza berbanding dengan takrifan yang disebutkan tadi. Contohnya Gopalakrishnan (2010) mendefinisikan bahan kesusasteraan pelbagai budaya sebagai bahan yang dihasilkan oleh penulis yang berbeza dari beberapa segi seperti bahan oleh penulis dari pelbagai jantina, penulis cacat, penulis yang berasal dari kelas masyarakat yang berbeza, dan golongan dari kecenderungan seks yang berbeza. Definisi ini membayangkan bahawa segala hasil penulisan yang dihasilkan oleh pelbagai golongan yang di luar kebiasaan atau membatasi norma kehidupan adalah dianggap sebagai bahan kesusasteraan pelbagai budaya.

Dalam konteks ini, kita mengambil dan mengguna pakai definisi yang mengatakan bahawa bahan kesusasteraan pelbagai budaya ialah hasil kesusasteraan yang dihasilkan oleh golongan minoriti yang menonjolkan aspek budaya, kepercayaan, pegangan, adat resam, sejarah, tradisi dan apa saja perihal kehidupan masyarakat kaum tersebut untuk diketengahkan di persada arus perdana sesebuah negara. Oleh hal yang demikian, kesusasteraan pelbagai budaya, jika dilihat dalam konteks negara kita, bermaksud segala hasil kesusasteraan yang dihasilkan oleh kaum-kaum yang bukan dari kaum Melayu. Hal ini demikian kerana kaum Melayu merupakan kaum majoriti negara ini, maka sudah tentulah hasil kesusasteraan mereka tidak boleh diklasifikasikan sebagai bahan kesusasteraan pelbagai budaya. Sebaliknya hasil penulisan karya dari kaum Cina, India, Thai, Portugis dan beberapa kaum minoriti yang terdapat di Sabah dan Sarawak dapat ditakrifkan sebagai bahan kesusasteraan pelbagai budaya yang mempunyai ciri-ciri kelainan dalam tema, persoalan, watak dan latar karya yang diketengahkan. Karya-karya tersebut sama ada yang ditulis dalam bahasa Melayu secara terjemahan dari bahasa mereka atau pun yang secara aslinya ditulis dalam bahasa Melayu. Karya tersebut juga haruslah menggambarkan realiti kehidupan masyakat mereka

Page 5: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

85

Masalah Pendidikan, 34, 2011

yang mengharungi kehidupan dalam masyarakat majmuk di negara ini dan cabaran yang dihadapi oleh golongan minoriti tersebut dalam menyesuaikan diri mereka dalam kehidupan arus perdana masyakarat di Malaysia. Satu persoalan yang mungkin boleh dibincang dengan lanjut ialah adakah bahan yang ditulis oleh penulis Melayu, tetapi mempunyai tema atau kandungan yang menyentuh kehidupan kaum minoriti boleh dianggap sebagai bahan pelbagai budaya?

Kajian Yang Berkaitan Kesusasteraan Pelbagai Budaya di MalaysiaPeranan bahasa sebagai alat penyatuan dalam masyarakat berbilang kaum telah terbukti akan keberkesanannya melalui banyak kajian yang telah dilaksanakan di negara yang penduduknya berasal dari pelbagai keturunan. Namun, kajian tentang peranan kesusasteraan sebagai wadah perpaduan dalam masyarakat majmuk masih tidak banyak dilakukan. Andainya bahasa boleh berperanan sebagai agen penyatuan masyarakat, kenapa tidak kesusasteraan? Hubungan erat antara bahasa dengan kesusasteraan telah diketahui dan disedari umum. Ibarat kuku dan kulit, sastera tidak dapat dipisahkan daripada bahasa. Atas kesedaran tersebut, makalah ini ditulis bagi melihat peranan kesusasteraan dalam mewujudkan perpaduan kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia, sama seperti bahasa menjadi lambang perpaduan dan identiti masyarakat di sesebuah negara majmuk.

Terdapat beberapa kajian yang berkaitan dengan peranan kesusasteraan pelbagai budaya telah dilaksanakan di negara ini sejak beberapa dekad yang lalu. Walaupun kajian yang dijalankan tidak serancak kajian di barat, namun hasil kajian yang sedikit itu memberi impak yang besar bagi membuka jalan kepada pengkaji-pengkaji dalam bidang ini untuk menonjolkan agenda perpaduan melalui bahan kesusasteraan pelbagai kaum yang terdapat di negara ini. Antara pengkaji tersebut ialah Ismail Hussein (1974), Mohd Taib Osman (1976), A. M. Thani (1990), Wong Seng Tong (1990), Krishnan Maniam (1990), Adnan Kamis (1990), B. B. Parnickel (1994), Mahzan Arshad (1998), Asmiaty Amat (2000), Chew Fong Peng (2003, 2007) dan beberapa orang pengkaji yang lain. Kesemua hasil dapatan kajian menunjukkan peranan kesusasteraan dalam memperlihatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai latar bangsa dan budaya.

Beberapa institusi pengajian tinggi dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan agensi yang cuba mengangkat peranan sastera dalam menyatupadukan kaum di negara ini. Kedua-duanya sering kali mengadakan seminar, forum dan bengkel yang menghimpunkan para cendekiawan sastera baik dari dalam mahupun luar negara bagi membincangkan tentang peranan

Page 6: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

86

Masalah Pendidikan, 34, 2011

kesusasteraan dalam menyatupadukan kaum dalam sesebuah masyarakat majmuk. Usaha sedemikian ini memang patut dipuji. Namun begitu, kajian-kajian mahupun program-program yang terancang yang disebutkan di atas hanya melihat peranan sastera kebangsaan secara menyeluruh sahaja, tidak memfokuskan tentang peranan kesusasteraan pelbagai budaya yang mengandungi unsur-unsur kebudayaan sesuatu keturunan kaum tersebut dalam mempupuk nilai perpaduan. Peranan kesusasteraan sebagai pemangkin ke arah mewujudkan perpaduan kebangsaan akan lebih memberi impak yang besar sekiranya kesusasteraan yang terpilih merupakan kesusasteraan yang dihasilkan oleh penulis pelbagai latar kehidupan yang memuatkan sosio-budaya dan rencah kehidupan yang mewakili sesuatu kaum tersebut.

Kesusasteraan sebagai wadah perpaduan kaum telah terbukti dengan kajian yang pernah dijalankan oleh Adnan Kamis dalam tahun 1990. Kajian ini bertujuan untuk melihat tanggapan pelajar terhadap sastera kebangsaan. Di samping itu terlaksananya kajian ini juga adalah untuk melihat minat para pelajar terhadap kesusasteraan serta peranan patriotisme dalam karya-karya sastera Melayu. Sampel kajian ini ialah seramai 2,800 orang pelajar yang terdapat di Lembah Klang. Kajian ini menggunakan kaedah soal selidik bagi mendapatkan data daripada respondennya. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa sebilangan besar responden mempunyai tanggapan yang positif terhadap sastera kebangsaan dalam menyatu padukan masyarakat di negara ini. Hasil kajian itu juga menunjukkan korelasi yang tinggi antara latar belakang sampel dengan pemahaman mereka terhadap peranan sastera dalam memupuk perpaduan bangsa. Kajian ini membayangkan bahawa kesusasteraan boleh memainkan peranan yang besar bagi memupuk kesedaran tentang semangat kekitaan dalam mewujudkan sebuah rumpun bangsa yang saling hormat menghormati, bertoleransi dan bekerjasama antara kaum walaupun terdapat perbezaan yang jelas dalam amalan budaya dan kepercayaan hidup masing-masing.

Bagi meneguhkan lagi hasil dapatan kajian yang terdahulu, maka pada tahun 1998, Adnan Kamis sekali lagi telah menjalankan kajian yang berkaitan dengan konsep kesusasteraan dalam menyatupadukan masyarakat majmuk ini. Kajian kali ini dilakukan bersama Chew Fong Peng terhadap 180 orang sampel (Adnan Kamis & Chew Fong Peng, 2002). Sampel kajian ini terdiri daripada pelajar yang mengikuti mata pelajaran Kesusasteraan Melayu elektif. Seperti kajian yang pertama, kajian ini masih mengambil para pelajar dari Lembah Klang sebagai sampel. Kajian ini melibatkan lima buah sekolah menengah, manakala sampel yang dipilih adalah terdiri daripada pelbagai kaum iaitu jumlah antara kaum Melayu dengan bukan Melayu adalah sama rata. Sampel terdiri daripada pelajar yang berasal dari latar belakang status

Page 7: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

87

Masalah Pendidikan, 34, 2011

sosio-ekonomi yang berbeza. Kajian ini menggunakan sepuluh buah cerpen yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara seperti A. Samad Said, Abdullah Hussain, Arenawati, Keris Mas, Shahnon Ahmad dan Usman Awang. Judul-judul cerpen tersebut ialah “Pagi”, “Perang dan Manusia”, “Dosa Pejuang”, “Pengalaman di Sebuah Rumah Sakit”, “Cahaya Langit”, “Politik”, “Syonan To 2604”, “Kedai Sederet di Kampung Kami”, “Riak”, dan “Budi”.

Cerpen-cerpen yang dijadikan sebagai instrumen kajian ini adalah hasil karya sastera yang mempunyai unsur yang berkaitan dengan semangat bantu-membantu, kemesraan, percintaan pasangan antara kaum, semangat perjuangan terhadap tanah air dan persahabatan. Untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai persoalan yang terkandung dalam cerpen-cerpen pilihan tadi, satu sesi soal selidik dijalankan terhadap responden. Hasil kajian menunjukkan bahawa cerpen berperanan sebagai pencetus semangat perpaduan dan saling memahami antara satu kaum dengan kaum yang lain. Responden rata-rata memberi respons bahawa cerpen yang dibaca memberi kesedaran dan mereka dapat merasai dan menghayati setiap mesej dan persoalan yang diketengahkan oleh penulis. Hal ini memberi petunjuk bahawa sekiranya bahan kesusasteraan yang digunakan adalah yang berunsurkan keharmonian, kesepaduan dan keserasian antara kaum dibawa ke dalam bilik darjah, sudah tentu memberi impak yang besar dan membuka satu ruang yang cukup mudah, cepat dan tepat bagi mewujudkan perpaduan kebangsaan dalam kalangan generasi muda di negara kita.

Seterusnya pada tahun 2003, Chew Fong Peng telah menjalankan sekali lagi kajian yang berkaitan dengan sastera dan perpaduan. Kajian ini merupakan pembuka lembaran baru dalam kajian kesusasteraan iaitu beliau telah menjalankan kajian berbentuk empirikal terhadap penerimaan khalayak pembaca terhadap sastera perpaduan secara khusus yang sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana sarjana sastera. Subjek kajian ini ialah 400 orang pelajar Tingkatan 4 dari aliran sastera. Mereka terdiri daripada 200 orang pelajar Melayu dan 200 orang pelajar bukan kaum Melayu. Kajian beliau melibatkan sepuluh buah sekolah di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Menurut beliau, pelajar Tingkatan 4 dipilih sebagai subjek kajian ini kerana pada peringkat usia ini, mereka telah mempunyai fikiran dan pandangan sendiri serta mampu bertindak mengikut keputusan akal dan boleh menerima baik buruk daripada perbuatan sendiri. Ini bersesuaian dengan instrumen kajian iaitu subjek dikehendaki membuat pilihan jawapan melalui soalan yang dikemukakan dalam borang sebagai alat kajian ini.

Alat kajian yang digunakan bagi mendapatkan data ialah set soalan soal selidik yang mengandungi dua bahagian iaitu bahagian A yang memuatkan soalan tentang latar belakang subjek dan Bahagian B pula soalan yang

Page 8: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

88

Masalah Pendidikan, 34, 2011

meminta pendapat subjek terhadap pemupukan semangat perpaduan kaum di negara ini. Terdapat 15 unsur perpaduan yang diukur dalam kajian ini. Unsur-unsur tersebut ialah kemesraan, semangat kebangsaan, kemanusiaan, tanggungjawab bersama, kejiranan, persahabatan, kerjasama ekonomi, kebudayaan kebangsaan, pertolongan, bahasa kebangsaan, pendidikan kebangsaan, kebebasan beragama, kerjasama politik, nilai luhur dan kahwin percampuran antara kaum. Penilaian ini berlandaskan kepada unsur-unsur perpaduan nasional yang terkandung dalam 30 buah cerpen yang telah dipilih iaitu terdiri daripada cerpen-cerpen Sasterawan Negara, antologi Menara, Mercu, dan cerpen-cerpen yang telah memenangi Sayembara Perpaduan.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa kemesraan merupakan unsur utama yang dapat mewujudkan perpaduan antara kaum. Selebihnya diikuti dengan unsur semangat kebangsaan, kemanusiaan, tanggungjawab bersama, kejiranan dan unsur-unsur perpaduan yang lain. Manakala kesan pembacaan cerpen perpaduan terhadap subjek agak kecil iaitu 4.8% sahaja, namun kesan tersebut dirasakan sangat penting kerana unsur perpaduan kebangsaan yang terdapat dalam cerpen pilihan dapat menyumbang ke arah semangat kekitaan. Dapatan kajian ini juga menjelaskan bahawa kesusasteraan yang mengandungi unsur-unsur perpaduan dapat menjadi agen dalam menyatupadukan masyarakat berbilang kaum. Hal yang demikian ini adalah berdasarkan petunjuk yang diperoleh daripada kajian ini. Bahan kesusasteraan yang mengandungi elemen yang boleh mewujudkan persefahaman antara kaum sangat digemari apabila digunakan dalam bilik darjah. Bahan-bahan tersebut dapat meningkatkan perasaan muhibah antara pelajar yang berlainan kaum, dan perasaan saling memahami permasalahan yang berlaku dalam hubungan antara kaum dapat meresapi fikiran, persepsi serta tanggapan mereka.

Mahzan Arshad (1998) pernah menjalankan kajian terhadap sekumpulan pelajar di fakulti pendidikan di negara ini. Kajian ini dijalankan ke atas 164 orang pelajar yang sedang mengikuti program Teaching of English as a Second Language (TESL), di Fakulti Pendidikan, di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Subjek kajian adalah terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu 86 orang (52.4%), Cina 35 orang (21.3%), India 33 orang (20.1%) dan Eropah 10 orang (6.1%). Fokus utama kajian adalah untuk melihat hubungan antara respons pelajar yang mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang mempunyai latar belakang kaum serta budaya yang berbeza terhadap bahan kesusasteraan pelbagai budaya. Kajian ini bertujuan untuk memperkukuhkan pemahaman terhadap hubungan intertekstualiti yang dilakukan pembaca ketika membaca bahan kesusasteraan pelbagai budaya dalam bahasa Inggeris.

Page 9: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

89

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Bahan yang digunakan dalam kajian ini ialah empat buah bahan kesusasteraan yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Bahan kesusasteraan ini telah ditulis oleh penulis yang berasal dari kaum yang berbeza iaitu penulis dari kaum Melayu, Cina, India dan Eropah. Bahan kesusasteraan tersebut menggunakan tema yang sama iaitu tema yang berkaitan tentang adat resam perkahwinan tetapi mempunyai latar belakang, adat, dan budaya yang berbeza, berasaskan keturunan kaum yang berbeza. Setiap bahan disertakan dengan tujuh soalan kefahaman. Soalan tersebut dibina dengan menggunakan teori Respon Pembaca Rosenblatt (1998), yang memberi peluang pembaca memberikan respon berdasarkan keupayaan mereka membuat pengingatan, penaakulan, penghayatan dan penilaian terhadap bahan yang dibaca. Peserta kajian diberi peluang membaca kesemua bahan kesusasteraan tersebut. Setelah selesai membaca setiap bahan tersebut, mereka dikehendaki menjawab soalan kefahaman yang telah dibina mengikut teori yang disebutkan tadi. Teknik kawalan keseimbangan (Gay, Mills, & Airasian, 2008) telah digunakan bagi mengawal kesan pertuturan yang mungkin berlaku ketika prosedur membaca dan membuat respon dijalankan. Respon pembaca terhadap soalan kefahaman ini dijadikan data bagi kajian ini. Tiga kategori pertalian intertekstual telah digunakan bagi mengesan respons pembaca terhadap bahan kesusasteraan pelbagai budaya ini iaitu kategori Endogenius Utama, Endogenius Kedua dan Eksogenius. Hasil kajian ini mendapati tiada perbezaan yang signifikan dikesan pada respons pembaca pada kategori Endogenius Utama dan Kedua bagi karya yang berbeza latar penulisnya. Hal ini demikian kerana pembaca dapat merujuk pada teks yang sama ketika membaca. Namun bagi kategori Eksogenius terdapat perbezaan yang signifikan dalam respons pembaca. Pembaca yang berbeza latar kaum melakukan pertalian intertekstual yang lebih tinggi bagi kategori tersebut bagi karya sastera yang ditulis oleh kaum yang sama dengannya. Hal ini demikian kerana pembaca bukan sahaja merujuk pada teks yang dibaca bagi memberikan respons tetapi mereka merujuk kepada pengalaman peribadi dan pengetahuan yang mereka pelajari menerusi amalan budaya masyarakat mereka sendiri.

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kemampuan pembaca membuat pertalian intertekstual bergantung kepada sejauh mana teks yang dibaca mempunyai kaitan dengan latar belakang dan budaya pembaca. Ini membawa pengertian bahawa latar belakang budaya membantu pembaca membuat perhubungan antara mesej yang hendak disampaikan penulis dengan pengalaman hidup pembaca sendiri. Hasil dapatan ini sangat relevan jika dikaitkan dengan peranan bahan kesusasteraan pelbagai kaum dalam mewujudkan integrasi kebangsaan. Walaupun pembaca memberi tahap respons yang lebih tinggi terhadap kandungan bahan yang ada perkaitan

Page 10: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

90

Masalah Pendidikan, 34, 2011

dengan latar budaya pembaca, namun hasil dapatan kajian juga menunjukkan bahawa pemahaman mereka terhadap budaya dalam teks atau bahan yang ditulis oleh penulis yang berasal dari kaum yang berbeza akan menyumbang dan memberi pengetahuan tentang latar budaya kaum tersebut.

Seterusnya kajian juga telah dilakukan bagi menonjolkan peranan kesusasteraan dalam membentuk personaliti dan daya intelektual para pelajar dalam sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan latar budaya. Azman Wan Chik (1981) menegaskan bahawa bahan kesusasteraan dapat membentuk personaliti, menanam pemikiran positif dan memberi peluang pembaca menghayati nilai dan keindahan serta kesenian yang digambarkan oleh penulis. Menurut beliau lagi, bahan kesusasteraan merupakan perantara yang penting dalam proses seseorang menyesuaikan diri dengan sesebuah masyarakat. Tegas beliau bahawa bahan kesusasteraan bukan sahaja dapat mendidik kemahiran berbahasa, bahkan berperanan sebagai pendidik moral, etika dan sosial pelbagai budaya yang sangat berkesan. Pendapat ini menjelaskan kepada kita sekiranya bahan kesusasteraan yang dibawa ke dalam bilik darjah merupakan bahan kesusasteraan yang memuatkan unsur-unsur budaya yang pelbagai, maka sudah tentulah penyerapan nilai budaya sesama kaum dapat dihayati dan seterusnya dapat membentuk generasi Malaysia yang lebih peka dan sensitif terhadap budaya kehidupan kaum lain.

Borhan Md Zain (1990) pula menambah bahawa karya-karya sastera boleh menjadi sumber inspirasi untuk memupuk dan membina keprihatinan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, khususnya bagi generasi mudanya. Hal ini demikian kerana kebanyakan karya sastera menyatakan perasaan, senario kehidupan dan pemikiran penulis dengan harapan dapat membawa para pembaca dan pengkajinya kepada suatu emosi yang mendalam sebagai mana yang dirasai oleh penulis. Lantaran itu bahan kesusasteraan, khususnya yang ditulis oleh penulis dari latar budaya yang berbeza, berperanan membentuk serta melahirkan insan yang berperikemanusiaan, bertoleransi dan berkesedaran terhadap perlunya menghormati budaya dan tradisi insan lain. Jika bahan ini digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, hasilnya akan terbina sebuah masyarakat yang mempunyai satu jiwa dan satu tujuan dalam pembinaan sebuah negara yang berpadu.

Selain itu, pendapat seorang lagi sarjana kesusasteraan diketengahkan bagi menguatkan lagi fakta tersebut iaitu Chae (2007) yang menyatakan bahawa dari segi budaya, kesusasteraan memberi pendedahan kepada pelajar tentang konteks dan latar budaya penutur jati dan ini membolehkan pembaca memahami sesuatu bahasa dengan mantap. Selain itu, kesusasteraan yang mengandungi nilai-nilai budaya yang tinggi dapat mendedahkan

Page 11: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

91

Masalah Pendidikan, 34, 2011

pelajar kepada budaya, kepercayaan, amalan, adat dan pegangan dalam kehidupan penulis untuk mewujudkan persefahaman dan rasa hormat kepada masyarakat yang diwakili oleh penulis tersebut. Pernyataan ini bermaksud, jika sastera pelbagai budaya dijadikan bahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, para pelajar akan lebih mudah memahami kehidupan dan latar budaya sesuatau kumpulan kaum seperti yang terkandung dalam bahan kesusasteraan tersebut. Manakala memahami akan budaya kaum yang lain pula dapat mewujudkan pengetahuan dan pemahaman dalam diri mereka. Pengetahuan dan pemahaman dalam diri mereka pula akan mewujudkan rasa saling menghormati terhadap budaya dan pegangan kaum lain yang terdapat di sekitar kehidupan mereka.

Sesungguhnya sastera dan budaya tidak dapat dipisahkan. Ini ditegaskan oleh seorang sarjana kesusasteraan Indonesia Nyoman Kutha Ratna (2007) yang menyatakan bahawa karya sastera dan kebudayaan sama ada secara terpisah iaitu ‘sastera’ dan ‘kebudayaan’ ataupun secara kesatuan iaitu ‘sastera kebudayaan’ kerap dikaitkan dengan nilai positif dan hasilnya ialah bagi tujuan kebaikan dan meningkatkan kualiti kehidupan. Oleh yang demikian sekiranya guru pandai mengeksploitasi karya sastera kebudayaan ini, maka hasilnya akan terlahirlah generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam pembangunan materialnya, tetapi juga cemerlang dari segi keharmonian pemikiran dan sahsiahnya.

Othman Puteh (1990) menegaskan bahawa latar budaya yang melibatkan masyarakat dalam karya sastera dapat memberi peluang kepada para pelajar menerokai diri dan persekitaran yang dapat membentuk kehidupan mereka. Tambah beliau lagi, perpaduan amat penting bagi sesebuah negara majmuk kerana perpaduan dapat memberi faedah bagi semua penduduk. Justeru dalam melahirkan perpaduan, maka bahan kesusasteraan dapat dijadikan alat untuk membentuk kesefahaman rakyat yang berbilang kaum. Hal yang demikian ini menggambarkan bahawa peranan bahan kesusasteraan sebagai wadah ke arah mewujudkan perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk tidak boleh dikesampingkan. Oleh sebab sistem pendidikan merupakan saluran yang paling sesuai untuk menyampaikan sesuatu aspirasi negara, maka adalah sangat relevan jika bahan kesusasteraan yang mengandungi unsur-unsur budaya pelbagai kaum diaplikasikan dalam sistem pendidikan negara kita sama ada dalam kurikulum mahupun ko-kurikulum. Sebagai contoh bahan kesusasteraan tersebut bukan sahaja digunakan dalam mata pelajaran bahasa dan kesusasteraan Melayu sahaja, tetapi juga diserapkan dalam mata pelajaran yang lain seperti mata pelajaran Bahasa Inggeris, pendidikan moral, sejarah, serta mata pelajaran lain yang dirasakan relevan.

Page 12: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

92

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Langkah Bagi Memperkukuhkan Penggunaan Bahan Kesusasteran Pelbagai Budaya dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran BahasaPelbagai langkah dapat diambil oleh guru bagi memperkukuhkan penggunaan bahan pelbagai budaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Pertama ialah mewajibkan bahan kesusasteraan pelbagai budaya ini sebagai teks bagi mata pelajaran kesusasteraan Melayu dan Komponen Sastera dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS). Dapatan kajian yang telah dijalankan di negara ini membuktikan bahawa jika bahan yang digunakan dalam bilik darjah merupakan bahan kesusasteraan yang sarat dengan pengisian budaya dari pelbagai kaum akan dapat memberi pengetahuan dan pemahaman budaya antara kaum kepada para pelajar. Bahan tersebut akan membawa pelbagai contoh yang dicerminkan dalam kehidupan yang bertujuan untuk memperjelaskan setiap persoalan pelajar tentang kekaburan terhadap sesuatu budaya yang berbeza dari norma dan amalan budaya yang dominan (Norton & Norton, 2010). Manakala guru pula berperanan meningkatkan lagi pemahaman pelajar terhadap budaya yang terdapat dalam bahan kesusasteraan yang dibaca. Guru juga perlu memberi peluang kepada pelajar membincangkan dengan lebih mendalam tentang kandungan bahan yang dibaca supaya mereka mendapat gambaran yang jelas terhadap kekaburan tentang nilai budaya yang ditonjolkan.

Langkah kedua ialah guru perlu menegaskan aspek penerapan nilai-nilai toleransi dan persefahaman antara kaum dalam pengajaran menggunakan bahan kesusasteraan. Menurut Beach dan Marshall (1991), bahan kesusasteraan adalah merupakan ejen penggerak untuk mencapai pelbagai nilai murni dalam kalangan pelajar. Berdasarkan pendapat ini, bahan kesusasteraan adalah amat sesuai jika dieksploitasikan untuk membina rumpun masyarakat yang berjiwa luhur serta saling bersefahaman dalam menegakkan sesuatu falsafah dalam kehidupan. Pendapat beliau dikuatkan lagi dengan kenyataan yang diberikan oleh Shamsudin Jaafar (1997) yang menegaskan bahawa kesusasteraan sesebuah negara merupakan khazanah budaya penduduknya, semakin beragam karya yang dihasilkan maka semakin kayalah khazanah yang akan diwarisi oleh generasi mudanya. Bahan kesusasteraan dapat membuka minda manusia terhadap ruang lingkup sesuatu budaya, memahami dan menghayati ideologi serta budaya yang berbeza dengan dirinya. Tambah beliau lagi, kesusasteraan juga dapat memupuk sikap toleransi terhadap budaya, fahaman dan pemikiran, konsep, tanggapan, idea, ilmu, kemahuan dan hasrat manusia lain. Berlandaskan kedua-dua pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa melalui bahan kesusasteraan, nilai-nilai murni dalam rumpun sesebuah masyarakat dapat diketengahkan

Page 13: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

93

Masalah Pendidikan, 34, 2011

untuk diwariskan kepada para pembaca. Selain itu, bahan kesusasteraan juga mendedahkan perihal kehidupan masyarakat yang diwakili oleh penulis kumpulan minoriti untuk dikongsi dengan masyarakat arus perdana bagi menambah pengetahuan tentang latar budaya masyarakat yang bertujuan dapat mewujudkan rasa hormat dan faham akan pegangan dan kepercayaan masyarakat yang lain. Secara tidak langsung, ini akan menyumbang ke arah perpaduan nasional yang kita harapkan.

Seterusnya mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan KOMSAS boleh dijadikan bahan bagi memperkenalkan budaya dan cara hidup masyarakat yang berbeza di negara ini. Bagi memantapkan lagi pelbagai pandangan yang berkaitan penggunaan bahan kesusasteraan pelbagai budaya dalam proses pengajaran dan pembelajaran, seorang lagi cendekiawan dalam bidang kesusasteraan, Goldberg (2009), telah menyatakan bahawa kriteria budaya penting bagi membolehkan pelajar mengenal dirinya sendiri dan meletakkannnya dalam situasi latar watak sesebuah karya sastera. Selain daripada itu, pendedahan budaya asing kepada pelajar juga penting bagi membolehkan mereka berkomunikasi, menghayati dan mengenal budaya asing. Natijahnya, akan lahirlah golongan insan yang patuh-mematuhi, hormat-menghormati dan faham-memahami budaya dan amalan masyarakat lain. Hinton dan Dickinson (2007) juga menyatakan bahawa karya sastera dapat membantu para pelajar memberikan satu tanggapan yang positif tentang budaya asing untuk menjalani kehidupan yang sejahtera, harmoni dan bermuafakat dalam masyarakat majmuk. Hal ini demikian kerana menurut Lee (2008) melalui pembelajaran sastera, kita dapat mengenali nilai-nilai estetika, kerohanian dan moral yang diwarisi sesebuah masyarakat sejak turun temurun.

Menurut Chae (2007), sastera dan jiwa masyarakat mempunyai hubungan yang rapat. Konsep ‘conventionalization’ telah menyatakan dengan tepat bahawa seni dan sastera mempunyai pertalian yang rapat. Tanpa seni sastera tidak wujud. Manakala konvensi pula adalah persetujuan yang tidak terucap antara pengarang dengan pembaca. Melalui konvensi, dunia rekaan (fictional world) dan ilusi dapat dilontarkan oleh penulis kepada pembaca. Konvensi ini sebenarnya adalah apa yang berlaku dalam kehidupan sebenar penulis. Ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap yang disampaikan oleh penulis dalam karya mereka merupakan ilusi yang dialami oleh mereka melalui kehidupan yang dilalui. Oleh sebab itu, jika bahan kesusasteraan pelbagai budaya disajikan kepada pembaca dengan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian, maka sudah tentulah para pembaca dapat menyerap kehidupan masyarakat yang diwakili oleh penulis dan secara tidak langsung akan memberi kefahaman tentang budaya kaum dan seterusnya melahirkan

Page 14: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

94

Masalah Pendidikan, 34, 2011

pengertian terhadap pegangan dan kepercayaan terhadap kumpulan kaum yang lain.

Akhirnya, guru boleh mengambil langkah untuk menjadikan bahan sastera sebagai pemangkin ke arah peningkatan daya intelektual dan fikiran yang kritis dan kreatif menerusi teknik dan strategi pengajaran mereka di dalam bilik darjah. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 pada 21 Mei 2004, karya sastera mampu menjana pemikiran bangsa dan meningkatkan tahap intelektual pembaca dalam usaha membantu kerajaan membina negara maju, di samping mengukuhkan bidang ekonomi, politik dan kemajuan prasarana secara berterusan. Menurut beliau lagi, karya sastera dalam pelbagai genre bukan sekadar imaginasi kreatif, sebaliknya penuh dengan unsur pemikiran dan kritikan membina. Beliau menambah, negara mengalu-alukan penglibatan para penulis dari pelbagai kaum bagi mewarnai dunia kesusasteraan tanah air kerana melalui hasil penulisan mereka, masyarakat umum dapat mengetahui corak kehidupan sesebuah kaum itu. Tegasnya, kita memang tidak boleh menolak sastera kerana tamadun sesebuah masyarakat sering kali diukur dari segi mutu budayanya, manakala sastera ialah mercu tanda ketamadunan.

Berdasarkan pendapat yang diberikan itu, dapat disimpulkan bahawa kesusasteraan memainkan peranan untuk melahirkan sebuah negara maju dan bertamadun. Kemajuan dan ketamadunan yang dicipta tidak akan terbina sekiranya sesebuah masyarakat tidak bersatu, saling bermusuhan dan tidak ada persefahaman antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Dengan kata lain, negara yang maju terbina daripada masyarakat yang bersatu, mempunyai matlamat yang satu dan berteraskan satu paksi. Oleh itu, untuk mewujudkan masyarakat sedemikian rupa, negara memerlukan beberapa agen, wadah, jambatan dan apa saja yang semaksud dengannya bagi melahirkan masyarakat yang digambarkan itu. Salah satu daripada agen, wadah dan jambatan tersebut ialah dengan menonjolkan kesusasteraan pelbagai budaya. Penonjolan karya dari kumpulan minoriti ini perlu bagi memahami latar belakang dan kehidupan masyarakat yang merupakan komponen yang terpenting dalam negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.

KesimpulanKesimpulannya, berdasarkan kajian-kajian lepas serta pendapat para pengkaji sastera dan kebudayaan yang tersebut, maka satu lagi wadah perpaduan yang relevan bagi mewujudkan persefahaman antara kaum telah dikenal pasti. Wadah perpaduan yang dimaksudkan ialah dengan menonjolkan bahan

Page 15: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

95

Masalah Pendidikan, 34, 2011

kesusasteraan pelbagai budaya di persada arus perdana dalam sesebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk untuk meningkatkan semangat perpaduan dan persafahaman antara penduduk yang mendukung falsafah perbezaan dalam kesepaduan ini. Hal ini demikian kerana melalui bahan kesusasteraan pelbagai kaum, penulis mencerminkan fenomena masyarakat yang diwakilinya di samping mengakui kewujudan budaya dan amalan hidup berbeza yang diamalkan oleh jiran tetangganya. Sesungguhnya sesebuah karya yang dihasilkan itu merupakan cerminan minda dan lukisan jiwa penulis, namun kesannya adalah untuk dinikmati oleh khalayak yang dapat menghayati karya mereka.

Page 16: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

96

Masalah Pendidikan, 34, 2011

RujukanAbdul Wahab Ali. (1985). The emergence of the novel in modern Indonesia

and Malaysia literature: A comparative study. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Mohd Thani. (1990). Integrasi sosial dalam Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Adnan Kamis. (1990). Kajian cuti sabatikal Perpaduan Nasional di Malaysia (Tidak diterbit). Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Adnan Kamis. (1991). Satu kajian latar belakang sosial dan hubungannya kepada sikap prasangka atau toleransi terhadap integrasi nasional. Tesis Doktor Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Adnan Kamis. (1993). Koperatisme antara etnik dalam ekonomi. Mimiograf. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Adnan Kamis, & Chew Fong Peng. (2002). Kemampuan bahasa dan sastera Melayu dalam pembentukan perpaduan nasional di Malaysia. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Bahasa dan Pemikiran Melayu, Universiti Malaya. 18-19 Jun.

Asmiaty Amat. (2000). Hubungan kaum dalam novel Melayu pascamerdeka 1957-1969. Monograf. Sabah: Penerbit Universiti Malaysia Sabah.

Azman Wan Chik. (1981). Prinsip-prinsip dan kaedah mengajar Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Beach, R., & Marshall, J. (1991). Teaching literature in the secondary school, Orlando, FL: Harcourt Brace.

Borhan Md. Zain. (1990). Pengajaran kesusasteraan Melayu: Masalah dan cabaran. Seminar Bahasa dan Sastera dalam Pendidikan, ke-VI. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chae, Y. (2007). Politicizing Asian American literature: Towards a critical multiculturalism. New York, NY: Routledge.

Chew Fong Peng. (2003). Peranan sastera kebangsaan dalam pembentukan perpaduan nasional di Malaysia. Kajian peringkat Doktor Falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Chew Fong Peng. (2007). Masyarakat berbilang kaum dalam sastera kebangsaan di Malaysia: Analisis deskriptif dan empirikal. Bandung: UPI Press.

Douglas, C. (2009). A genealogy of literary multiculturalism. New York, NY: Cornell University Press.

Gay, L. R., Mills, G. E., & Airasian, P. W. (2008). Educational research: Comptencies for analysis and application. Englewood Cliffs, NJ: Prentice-Hall.

Page 17: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

97

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Goldberg, D. T. (2009). Multiculturalism: A critical reader. Oxford, UK: Wiley-Blackwell.

Gopalakrishnan, A. (2010). Multicultural children’s literature: A critical issues approach. Los Angeles, CA: Sage.

Hinton, K., & Dickinson, G. K. (2007). Integrating multicultural literature in libraries and classrooms in secondary schools. Columbus, OH: Linworth.

Krishnan Maniam. (1990). Penulisan sastera Tamil (cerpen) dalam konteks nasional: Satu pandangan umum. Dalam. A. Rahim Abdullah, Tema hubungan kaum dalam karya sastera di Malaysia. Monograf. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lee, R. (2008). Multicultural American literature comparative black, native/Latino, and Asian American fiction. Mississippi: University Press of Mississippi.

Mahzan Arshad. (1998). Malaysian student teachers’ responses to multicultural literature. Disertasi Doktor Falsafah, University of Pittsburgh, USA.

Mahzan Arshad. (2003). Pendidikan literasi Bahasa Melayu: Satu pendekatan bersepadu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors.

Mohd. Taib Osman. (1976, Januari). Tema antara kaum dalam cerpen Melayu semenjak rusuhan 13 Mei. Dewan Sastera, hlm. 28-31.

Najib Tun Razak. (2004). Ucapan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Utusan Malaysia, 21 Mei, 2004.

Norton, D., & Norton, S. (2010). Through the eyes of a child: An introduction to children’s literature. Columbus, OH: Merrill.

Nyoman Kutha Ratna. (2007). Sastra dan cultural studies representasi fiksi dan fakta. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.

Othman Puteh. (1990). Pengukuran dan penilaian bahan kesusasteraan dalam pendidikan Bahasa Malaysia. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Kesusasteraan dalam Pendidikan Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: 6-7 Okt.

Parnickel, B. B. (1994). Hubungan antara kelompok etnik di Malaysia dan refleksinya dalam prosa Melayu sezaman. Dlm. Ahmad Kamal Abdullah et al. Sempana: Himpunan Esei Penelitian oleh Sarjana Kesusasteraan Melayu Antarabangsa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rosenblatt, L. M. (1998). The reader, the text, the poem: The transactional theory of literary works. Carbondale, IL: Southern Illinois University Press.

Shamsudin Jaafar. (1997). Sastera dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 18: peranan kesusasteraan pelbagai budaya dalam pembentukan

98

Masalah Pendidikan, 34, 2011

Wong Seng Tong. (1990). Perhubungan kaum dalam sastera mahua. Dalam. A. Rahim Abdullah, Tema hubungan kaum dalam karya sastera di Malaysia. Monograf. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.