pengajaran sains dlm makmal

29
GE2253 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal 5 PENGAJARAN SAINS DI DALAM MAKMAL 5.0 Pengenalan Aktiviti makmal merupakan satu kemestian dalam pendidikan sains. Kaedah makmal adalah satu-satunya kaedah yang melatih pelajar menguasai kemahiran saintifik, khususnya melalui aktiviti amali atau eksperimen. Bab ini memberi tumpuan kepada strategi pelaksanaan kaedah eksperimen dan demonstrasi kerana lazimya, kedua-dua kaedah inilah yang dominan digunakan oleh guru semasa mengajar di dalam makmal. Supaya aktiviti makmal berjalan dengan lancar dan selamat, anda perlulah mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentang pengurusan makmal sains. Anda juga perlu menguasai kemahiran-kemahiran pengajaran seperti kawalan kelas, pengesanan, pertuturan, penyoalan, penerangan, penggunaan papan hitam/putih dan penggunaan media bantu mengajar. Aspek-aspek ini telahpun dihuraikan dalam kursus GE5112 Kaedah Am, iaitu dalam Bab 7 : Pengurusan Makmal Sains dan latihan Pengajaran Mikro. 5.1 Objektif Bab

Upload: krull-hzm

Post on 06-Jun-2015

10.390 views

Category:

Documents


7 download

TRANSCRIPT

Page 1: pengajaran sains dlm makmal

GE2253 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5 PENGAJARAN SAINS DI DALAM MAKMAL

5.0 Pengenalan

Aktiviti makmal merupakan satu kemestian dalam pendidikan sains. Kaedah makmal

adalah satu-satunya kaedah yang melatih pelajar menguasai kemahiran saintifik,

khususnya melalui aktiviti amali atau eksperimen. Bab ini memberi tumpuan kepada

strategi pelaksanaan kaedah eksperimen dan demonstrasi kerana lazimya, kedua-dua

kaedah inilah yang dominan digunakan oleh guru semasa mengajar di dalam makmal.

Supaya aktiviti makmal berjalan dengan lancar dan selamat, anda perlulah

mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentang pengurusan makmal sains. Anda juga

perlu menguasai kemahiran-kemahiran pengajaran seperti kawalan kelas, pengesanan,

pertuturan, penyoalan, penerangan, penggunaan papan hitam/putih dan penggunaan

media bantu mengajar. Aspek-aspek ini telahpun dihuraikan dalam kursus GE5112

Kaedah Am, iaitu dalam Bab 7 : Pengurusan Makmal Sains dan latihan Pengajaran

Mikro.

5.1 Objektif Bab

Bab ini bertujuan:

1. Menghuraikan tentang kepentingan kemahiran saintifik dalam Sains KBSM.

2. Menerangkan strategi melaksanakan kaedah eksperimen di dalam makmal sains.

3. Menyatakan strategi melaksanakan kaedah demonstrasi dalam pengajaran sains.

4. Melatih bakal guru merancang pengajaran dan pembelajaran di dalam makmal sains.

5. Memberi kemahiran mengurus sesuatu aktiviti makmal sains supaya bakal guru dapat

melaksanakannya dengan betul dan berkesan semasa menjalani Latihan Mengajar.

Page 2: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5.2 Pengajaran dan Pembelajaran Sains KBSM

Pendidikan Sains di Malaysia, sama ada di peringkat rendah mahupun di peringkat

menengah, adalah berteraskan falsafah Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)

dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), iaitu melahirkan insan yang

seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Untuk mencapai matlamat ini,

pendidikan sains dirancang untuk memberi penekanan ke atas kesepaduan antara ilmu

pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Secara ringkas, tuntutan-tuntutan

pendidikan sains ditunjukkan dalam Rajah 5.1.

Rajah 5.1 Tuntutan pendidikan sains dalam KBSM

INSAN SEIMBANG

INTELEK ROHANI EMOSI JASMANI

ILMU KEMAHIRAN NILAI PENGETAHUAN MURNI

SAINTIFIK MANIPULATIF LAIN-LAIN

MENGUMPUL

MAKLUMAT

MEREKOD

PEMERHATIAN

MEMBUAT

PENGELASAN

MENILAI DAN MENTAFSIR DATA MEMBUAT

KESIMPULAN

PENGGUNAAN ALAT

DAN BAHAN SECARA

BETUL DAN SELAMAT

BAHASA

MENULIS DAN

MENGIRA DENGAN

TEPAT DAN JELAS

82

Page 3: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

Proses pengajaran dan pembelajaran KBSM memberi penekanan kepada kaedah-

kaedah pusatan pelajar iaitu pemerolehan pengetahuan dan kemahiran adalah melalui

penglibatan pelajar secara aktif. Bersesuaian dengan sifat sains itu sendiri, strategi

pengajaran dan pembelajaran bagi mata-mata pelajaran sains (Sains, Kimia, Biologi,

Fizik dan Sains Tambahan) mengutamakan pendekatan inkuiri-penemuan, sama ada

secara induktif ataupun secara deduktif.

Kaedah Pengajaran Dalam Makmal

Pengajaran di dalam makmal tidak hanya terbatas kepada kaedah eksperimen sahaja.

Rashidi Azizan dan Abdul Razak Habib (1996) menegaskan bahawa, dalam sesuatu sesi

pengajaran, wujud gabungan beberapa kaedah pengajaran Ini bermakna, kaedah

eksperimen tidak boleh berdiri sendiri. Keberkesanannya bergantung juga pada kaedah-

kaedah yang lain seperti kuliah, demonstrasi, perbincangan, dan soal-jawab. Contoh

yang berikut memperjelaskan integrasi pelbagai kaedah pengajaran dalam proses

pengajaran dan pembelajaran sains di makmal:

Dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran sains selama dua waktu (80 minit)

guru memilih kaedah eksperimen bagi mencapai salah satu atau beberapa

objektif pengajaran yang telah ditentukan. Para pelajar tidak terus melakukan

eksperimen. Sebenarnya beberapa proses terlibat sebelum, semasa dan selepas

pelajar-pelajar melakukan eksperimen.

Sebelum melakukan amali, para pelajar perlu memahami konsep yang terlibat,

langkah-langkah amali, teknik-teknik menggunakan alat radas, aspek

keselamatan dan cara-cara pengumpulan, persembahan, penganalisisan dan

perbincangan data yang diperolehi. Aspek ini boleh dicapai melalui beberapa

pendekatan, misalnya:

(a) Guru sendiri menerangkan konsep yang terlibat dan bagaimana

eksperimen berkenaan dijalankan (langkah-langkah eksperimen,

83

Page 4: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

aspek keselamatan, persembahan data, pembersihan dan

sebagainya), atau,

(b) Sebelum memulakan amali, para pelajar diberi masa membaca

prosedur amali berkenan, atau,

(c) Para pelajar diarah membaca prosedur amali yang berkenaan di

rumah.

Sering kali juga guru melakukan demonstrasi, terutamanya bagi menunjukkan

aspek-aspek khusus (misalnya teknik pemasangan alat/radas, cara penggunaan

alat/radas tertentu dan cara membuat pemerhatian/pengukuran yang tepat.

Seterusnya, pelajar-pelajar melakukan eksperimen sama ada secara individu

ataupun berkumpulan. Data yang diperolehi kemudiannya dibincangkan (sama

ada oleh guru atau oleh setiap kumpulan pelajar). Pelajar-pelajar kemudiannya

dikehendaki menyediakan satu laporan bertulis atau menjawab soalan-soalan

tentang eksperimen yang dilakukan.

Ini bermakna, guru mestilah mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam

berbagai-bagai kaedah pengajaran supaya dapat mengenal pasti dan seterusnya

menggunakan kaedah-kaedah yang paling sesuai dan berkesan dalam sesuatu unit

pengajaran.

5.3 Kepentingan Amali

Kajian sains adalah berasaskan pemerhatian terhadap fenomenon semula jadi.

Tujuan pemerhatian adalah untuk mendapatkan data yang kemudiannya diorganais dalam

bentuk yang bermakna dan dibincangkan. Hasil perbincangan membolehkan kita

membuat generalisasi tentang fenomenon yang dikaji itu. Secara amnya, proses yang

terlibat boleh diringkaskan seperti berikut:

84

Page 5: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

FENOMENON Perkara biasa, tidak menghairankan, tidak perlu dikaji

Mencetuskan kehairanan dan perlu dikaji

LANGKAH-LANGKAH KAJIAN (KEMAHIRAN PROSES SAINS)

1. MEMBUAT ANDAIAN (HIPOTESIS)2. MENGUMPUL DATA3. MEREKOD DATA4. MENGANALISIS DAN MENTAFSIR DATA5. MEMBUAT INFERENS ATAU PERBINCANGAN6. MEMBUAT KESIMPULAN7. KOMUNIKASI

1. MEMBUAT ANDAIAN (HIPOTESIS)

Sesuatu fenomenon atau kejadian yang mencetuskan kehairanan sudah

tentulah menimbulkan persoalan seperti apa, mengapa dan bagaimana.

Jika kita ingin mencari jawapan kepada sesuatu persoalan, langkah

pertama adalah mengenal pasti persoalan atau masalah yang hendak dikaji.

Lazimnya, masalah yang hendak dikaji dinyatakan dalam bentuk soalan

yang dikenali sebagai pernyataan masalah. Langkah kedua adalah

mengemukakan beberapa andaian atau jawapan-jawapan awal yang

munasabah bagi menjawab soalan yang berkaitan. Andaian-andaian ini

dinamakan hipotesis. Di peringkat sekolah menengah, lazimnya satu

hipotesis sahaja yang dipilih, iaitu yang paling munasabah antara beberapa

hipotesis yang dibuat. Setelah dikenal pasti hipotesis, langkah

85

Page 6: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

selanjutnya adalah menjalankan kajian bagi mendapatkan maklumat dan

data untuk menyokong atau menolak hipotesis yang dibuat itu.

Membuat hipotesis merupakan salah satu komponen kemahiran berfikir

secara kritis (Sila rujuk Kursus GE5112 Kaedah Am (Bab 10 :

Kemahiran Berfikir). Malangnya, kemahiran ini kurang diberi perhatian

dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sebaliknya, setiap

eksperimen dalam buku teks bermula dengan “Tujuan”. Contoh :

1. Tujuan : Menunjukkan gerakan zarah-zarah dalam cecair dan gas.

2. Tujuan : Mengkaji hasil tindak balas antara logam

dengan asid cair.

2. MENGUMPUL DATA

Tujuan mengumpul data adalah bagi menyokong atau menolak sesuatu

hipotesis yang dibuat. Terdapat pelbagai cara dan alat yang digunakan

untuk mengumpul data, bergantung pada bidang kajian dan bentuk

hipotesis. Di sekolah, lazimnya kaedah pemerhatian melalui eksperimen

digunakan untuk mendapatkan maklumat dan data yang diingini.

3. MEREKOD DATA

Data yang diperolehi melalui pemerhatian atau eksperimen perlulah

direkod dalam bentuk tertentu supaya mudah difahami dan diolah.

Lazimnya, data daripada eksperimen direkodkan dalam bentuk jadual.

4. MENGANALISIS DAN MENTAFSIR DATA

Data yang diperolehi perlulah diolah supaya mudah ditafsir. Sering kali

kaedah statistik digunakan dalam pengolahan data. Contohnya, dalam

bentuk purata, peratus dan graf. Analisis dan pengolahan data di peringkat

yang lebih tinggi menggunakan kaedah statistik yang lebih kompleks.

86

Page 7: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5. MEMBUAT INFERENS atau PERBINCANGAN

Data yang telah dianalisis atau diolah seterusnya dibincangkan.

Perbincangan mestilah berasaskan data yang diperolehi, walaupun secara

teorinya data berkenaan kurang tepat ataupun tidak menepati jangkaan. Ini

dikenali sebagai ‘membuat inferens’. Dalam perbincangan ini dinyatakan

juga punca-punca yang menyebabkan data yang diperolehi tidak tepat,

misalnya ketidaktepatan pemerhatian, pengukuran, atau alat kajian yang

digunakan. Diperingkat yang lebih tinggi, perbincangan sering dikaitkan

dengan dapatan kajaian-kajian yang lain atau dengan teori-teori yang

berkaitan.

6. MEMBUAT KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan dan inferens, kesimpulan dibuat sama ada

menerima atau menolah andaian (hipotesis) yang dibuat sebelum

eksperimen atau kajian dijalankan.

7. KOMUNIKASI

Dapatan kajian disebarkan kepada masyarakat atau kepada kumpulan

tertentu, misalnya ahli-ahli dalam bidang yang berkenaan. Walaupun

terdapat pelbagai cara dan media penyebaran maklumat (misalnya,

suratkhabar dan tv), lazimnya laporan bertulis yang disiarkan dalam jurnal

bidang berkenaan adalah lebih diiktiraf.

Di peringkat sekolah, bentuk komunikasi yang diamalkan ialah laporan

amali. Pelajar mestilah diajar tentang tatacara yang betul menulis laporan

amali kerana komunikasi merupakan salah satu komponen penting dalam

kemahiran saintifik.

87

Page 8: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5.4 MERANCANG DAN MELAKSANAKAN AMALI

Aktiviti amali melibatkan lima aspek penting, iaitu:

1. PERANCANGAN

2. PERSEDIAAN AWAL

3. KOMPONEN-KOMPONEN PENGAJARAN

4. PEMBERSIHAN

5. PERTIMBANGAN KHAS

Mari kita bincangkan setiap aspek ini secara lebih terperinci.

1. PERANCANGAN

Perancangan sesuatu amali bermula dengan mengenal pasti:

APAKAH TUJUAN ATAU OBJEKTIF AMALI BERKENAAN ?

Setelah menentukan tujuan atau objektif amali, langkah-langkah perancangan

berikutnya ialah:

(a) PEMILIHAN AKTIVITI-AKTIVITI YANG SESUAI

Lazimnya aktiviti amali di sekolah telahpun dikenal pasti dan terkandung di dalam

buku teks dan bertujuan meneguhkan konsep atau prinsip tertentu yang dipelajari di

dalam bilik darjah.

88

Page 9: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

(b) PERSEDIAAN AWAL BAHAN/ALAT/RADAS

Bahan, radas dan alat mestilah dipastikan mencukupi untuk sesuatu kelas (dan

seterusnya satu tingkatan). Pertimbangan penting ialah berapa set bahan/alat yang

diperlukan, iaitu bergantung pada strategi pengajaran, sama ada amali atau

eksperimen berkenaan dilakukan secara berseorangan atau dalam kumpulan kecil.

Dalam Biologi, terutamanya, perancangan awal sangat mustahak kerana sering kali

bahan-bahan yang diperlukan terpaksa disediakan beberapa hari atau beberapa

minggu lebih awal, misalnya mendapatkan anak benih jagung, lipas dan tumbuh-

tumbuhan yang khusus.

(c) PENULISAN RANCANGAN PENGAJARAN

Penulisan rancangan pengajaran merangkumi huraian terperinci tentang aspek-aspek

pengajaran dan pembelajaran serta mengikuti format yang telah anda pelajari dalam

kursus GE2113 Kurikulum & Pedagogi. Khususnya bagi tujuan Latihan Mengajar,

anda dikehendaki menulis rancangan pengajaran untuk setiap kelas yang anda ajar.

2. PERSEDIAAN

Adalah menjadi tanggungjawab anda sepenuhnya memastikan kejayaan sesuatu

amali atau eksperimen. Lazimnya, kegagalan sesuatu aktivti makmal adalah berpunca

daripada kecuaian anda. Anda tidak boleh menyalahkan Pembantu Makmal sekiranya

aktiviti yang dirancangkan gagal dilaksanakan dengan lancar.

Aspek persediaan meliputi dua perkara penting, iaitu:

(a) Peranan Pembantu Makmal; dan

(b) Anda mencuba sendiri amali sebelum dilakukan oleh pelajar.

(a) Peranan Pembantu Makmal

Pembantu Makmal tidak dipertanggungjawab secara langsung terhadap proses

pengajaran dan pembelajaran di dalam makmal. Pembantu Makmal hanya membantu

89

Page 10: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

anda dalam persediaan bahan atau radas yang diperlukan dan pembersihan, termasuk

pembersihan peralatan dan makmal. Untuk mengelak sebarang salah sangka, arahan dan

pesanan kepada Pembantu Makmal mestilah dilakukan secara bertulis menggunakan

borang pesanan yang khusus. Contoh borang pesanan yang dimaksudkan adalah seperti

berikut:

BORANG PESANAN/ARAHAN MAKMAL

Tarikh Diperlukan : ……………………………………….

Tingkatan : …………………………………………………

Hari/Masa : ………………………………………………...

Tajuk : ……………………………………………………...

Bil. Bahan/Radas Kuantiti

Arahan Tambahan :

T/Tangan Anda: ………………………………………….

T/Tangan Pembantu Makmal : …………………………

Tarikh : ……………………….

Setiap borang pesanan ini hendaklah difailkan untuk rujukan.

(b) Anda mencuba dahulu amali

Sebelum sesuatu amali atau eksperimen dijalankan oleh pelajar, anda mestilah

terlebih dahulu mencuba sendiri eksperimen berkenaan. Langkah ini penting kerana anda

90

Page 11: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

akan mendapat banyak maklumat yang dapat membantu anda mengendalikan eksperimen

secara berkesan. Melalui percubaan ini, anda dapat mengenal pasti:

Kelemahan amali

Masa yang dihadkan

Bahaya yang mungkin berlaku

Kesesuaian amali, bahan serta radas. Anda dapat

mengubahsuaikan amali atau radas, jika perlu

Aspek keselamatan

Ketepatan hasil

Sebelum mencuba amali berkenaan, anda perlulah membuat anggaran tentang:

Masa yang diperlukan untuk menyelesaikan eksperimen

Masa sebenar yang anda ambil untuk menyelesaikan amali

Masa yang diperlukan oleh pelajar

Jika anda mengambil masa 20 minit menyelesaikan amali berkenaan, pelajar

tentulah memerlukan masa yang lebih, misalnya 30 minit. Jadi, semasa memberi arahan

kepada pelajar, anda hendaklah menyatakan masa yang dihadkan kepada mereka untuk

menyelesaikan eksperimen. Walaupun mereka bermain atau berbual-bual (sememangnya

kebanyakan pelajar akan melakukan perkara-perkara ini !), mereka mesti mematuhi masa

yang diperuntukkan itu.

Semasa anda melakukan eksperimen itu, tentukan :

Bagaimana anda akan memperkenalkan amali

Idea, konsep atau kemahiran utama yang akan dipelajari oleh pelajar

Mengapa eksperimen itu dilakukan, iaitu objektif-objektif penting yang akan dicapai

Strategi pengajaran supaya pelajar memahami tujuan amali dan bermotivasi

melakukan eksperimen.

Perkara-perkara yang mungkin menjadi kesukaran kepada pelajar

91

Page 12: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

Perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pelajar, misalnya teknik-

teknik khas dan aspek-aspek keselamatan

Bagaimana keputusan eksperimen dikumpul dan dibincangkan

3. KOMPONEN-KOMPONEN PENGAJARAN

Aspek ini merangkumi langkah-langkah mengendalikan sesuatu aktiviti makmal,

khususnya eksperimen. Secara amnya, ini meliputi empat langkah utama, iaitu (a)

Pengenalan kepada amali; (b) Pengesanan amali; (c) Penterjemahan data atau

pemerhatian dan perbincangan; dan, (d) Aktiviti lanjutan.

(a) Pengenalan kepada amali

Ini merupakan peringkat permulaan amali, iaitu anda memperkenalkan konsep atau

prinsip yang terlibat. Di peringkat ini juga anda memberi penerangan dan arahan

yang berkaitan dengan amali yang akan dilakukan oleh pelajar. Tujuan

memperkenalkan amali ialah :

1. Meletakkan pemikiran pelajar dalam konteks, iaitu memberi maklumat latar

belakang dan rasional amali, hubungkait amali dengan kehidupan harian serta

membangkitkan minat pelajar terhadap amali.

2. Memberi arahan tentang pelaksanaan amali seperti prosedur amali, pemasangan

radas, teknik-teknik khas, aspek keselamatan, had masa, cara merekod data,

pembahagian kumpulan, penyediaan laporan dan pembersihan. Anda tidak perlu

menerangkan secara terperinci prosedur amali. Sebaliknya, anda boleh

mengarahkan pelajar membaca sendiri prosedur berkenaan, sama ada di dalam

makmal ataupun sebelumnya di rumah.

(b) Pengesanan amali

Semasa pelajar menjalankan amali, anda perlu memantau dan mengesan perjalanan

amali supaya dikendalikan dengan cara yang baik dan selamat. Peranan anda semasa ini

termasuklah melayani soalan pelajar, merangsang pemikiran pelajar tentang aktiviti yang

dijalankan, memastikan pelajar patuh kepada arahan keselamatan dan berwaspada tentang

92

Page 13: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

masalah yang mungkin timbul. Jangan tinggalkan makmal semasa amali. Jika benar-

benar perlu meninggalkan makmal, pastikan ada guru lain ataupun pembantu makmal

mengambil alih tugas anda untuk sementara waktu.

(c) Penterjemahan data atau pemerhatian dan perbincangan

Setelah pelajar selesai melakukan amali, data atau pemerhatian amali dianalisis dan

dibincangkan. Jangan tangguhkan perbincangan ke waktu atau hari yang lain.

Perbincangan haruslah berdasarkan data yang diperolehi dan mestilah mengambil kira

data daripada semua kumpulan. Selain data kajian, perbincangan juga meliputi ketepatan

data, punca-punca kesalahan, serta cara data disusun dan diolah. Seterusnya, anda perlu

membimbing pelajar membuat generalisasi atau kesimpulan amali berkenaan. Lazimnya

pada peringkat ini pelajar-pelajar dikemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan

amali atau konsep yang dikaji.

(d) Aktiviti lanjutan

Setelah mendapatkan generalisasi atau kesimpulan amali, pelajar bolehlah diberikan

kerja rumah atau latihan yang bersesuaian yang boleh diselesaikan di dalam makmal,

misalnya menulis laporan amali. Para pelajar boleh juga diminta memikir atau

mengaitkan hasil amali dengan kehidupan seharian mereka.

4. PEMBERSIHAN

Anda mestilah memperuntukkan masa supaya pelajar dapat membersihkan meja

serta peralatan yang mereka gunakan. Pastikan pembantu makmal dan pelajar tahu

tanggungjawab masing-masing. Bahan yang berbahaya atau bekas yang mengandungi

bahan yang berbahaya seperti bakteria atau kulat hendaklah dibersihkan oleh pembantu

makmal. Pelajar perlu bertanggungjawab mengemas meja dan membersih peralatan yang

mereka gunakan serta mengembalikan bahan, radas atau spesimen ke tempat asalnya.

Kerjasama ini sangat penting bagi menjamin kelicinan pengajaran di dalam makmal,

kerana kelas-kelas lain pula akan menggunakan makmal berkenaan.

93

Page 14: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5. PERTIMBANGAN KHAS

Selain pengetahuan tentang pengurusan dan pengendalian makmal sains, anda juga

perlu mempunyai pengetahuan tentang:

(a) Pertolongan cemas; dan

(b) Rancangan untuk keadaan kecemasan di dalam makmal.

Kedua-dua aspek ini sangatlah penting bagi mengelak berlakunya sebarang kecelakaan

di dalam makmal. Pengetahuan tentang pertolongan cemas dapat membantu guru

mengambil langkah awal memberi rawatan kecemasan sebelum mendapatkan khidmat

pakar.

5.5 MERANCANG DAN MELAKSANAKAN DEMONSTRASI

Demonstrasi atau tunjukcara adalah satu kaedah pengajaran yang sering dilakukan

baik semasa mengajar di dalam bilik darjah mahupun di dalam makmal. Tujuan kaedah

ini adalah untuk membolehkan para pelajar melihat dan mengikuti satu siri langkah,

peristiwa, atau fenomenon dalam keadaan-keadaan yang tidak memungkinkan pelajar-

pelajar mendapatkan maklumat tanpa penglibatan anda. Kaedah ini sering kali digunakan

bersama-sama dengan kaedah-kaedah pengajaran yang lain seperti kuliah dan amali

(eksperimen). Demonstrasi sesuai dan berkesan digunakan hanya dalam situasi-situasi

seperti berikut:

1. Sesuatu alat terlalu berbahaya untuk dikendalikan sendiri oleh pelajar.

2. Apabila sesuatu aktiviti atau eksperimen melibatkan proses yang boleh

mendatangkan bahaya jika dikendalikan sendiri oleh pelajar.

3. Sesuatu alat terlalu mahal untuk digunakan oleh pelajar.

4. Peralatan yang sangat terhad untuk membolehkan pelajar menjalankan sesuatu

eksperimen, sama ada bersendirian ataupun dalam kumpulan kecil.

5. Sesuatu aktiviti atau eksperimen yang mengambil masa terlalu lama untuk

diselesaikan.

94

Page 15: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

6. Apabila anda ingin mengulangi secara cepat sesuatu prinsip yang telah

dipelajari oleh pelajar.

7. Untuk menyediakan para pelajar melaksanakan sesuatu aktiviti, misalnya

suatu eksperimen. Anda menggunakan kaedah demonstrasi untuk

menunjukkan perkara-perkara penting yang perlu difahami oleh pelajar bagi

menjayakan aktiviti berkenaan, misalnya teknik-teknik khas mengendalikan

sesuatu alat atau radas dan langkah keselamatan yang terlibat.

8. Untuk menunjukkan hubungan sesuatu fenomenon dengan konsep yang

dipelajari semasa kuliah. Misalnya, perubahan warna penunjuk bikarbonat

dalam keadaan asid dan alkali untuk membuktikan bahawa udara yang

dihembus keluar semasa pernafasan mengandungi karbon dioksida.

9. Merangsang pemikiran untuk menjana idea-idea baru. Dalam hal ini, anda

melakukan sesuatu demonstrasi ringkas berhubung dengan suatu konsep atau

prinsip dan meminta pelajar membuat ramalan, hipotesis atau memberi

pendapat tentang konsep atau prinsip berkenaan.

Kita harus ingat: Demonstrasi bukan jalan pintas kepada pengajaran kaedah

saintifik. Sering kali kaedah demonstrasi disalahgunakan, terutamanya dalam sesi amali.

Eksperimen-eksperimen yang sepatutnya dilakukan oleh para pelajar sering kali

digantikan dengan demonstrasi. Hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku, kerana setiap

makmal sains telah dilengkapi dengan peralatan dan bahan yang mencukupi. Keadaan ini

juga menghalang pelajar mempelajari dan memperkembangkan kemahiran saintifik

(kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif). Selain itu, kemahiran proses sains

diuji dalam peperiksaan PMR dan SPM.

Dalam kaedah demonstrasi, peranan anda adalah:

1. Mengenal pasti dengan jelas objektif pengajaran.

2. Memahami nilai atau manfaat demonstrasi berkenaan kepada pelajar.

3. Memahami dan memastikan rasional demonstrasi, iaitu mengapa demonstrasi

itu dilakukan.

95

Page 16: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

4. Menyediakan alat atau bahan yang diperlukan.

5. Merancang supaya demonstrasi memberi manfaat kepada semua pelajar di

dalam kelas.

6. Merancang penglibatan aktif pelajar semasa demonstrasi.

Keberkesanan demonstrasi bergantung pada beberapa perkara, antaranya:

1. Laras bahasa yang anda gunakan semasa menyampaikan demonstrasi. Anda

mestilah menggunakan laras bahasa yang mudah difahami oleh pelajar. Turut

memainkan peranan penting ialah gestur atau komunikasi tanpa berbahasa,

iaitu pergerakan tangan, kepala atau mimik muka anda secara berkesan.

2. Peralatan yang digunakan mestilah cukup besar dan seberapa ringkas yang

boleh. Alat-alat yang kompleks akan melindungi apa yang hendak

ditunjukkan.

3. Demonstrasi mestilah mudah dilihat oleh semua pelajar. Alat atau objek

demonstrasi mestilah diletakkan di atas meja yang tinggi. Pastikan juga

cahaya cukup terang supaya pelajar-pelajar dapat melihat semua aspek

demonstrasi.

4. Kedudukan para pelajar perlu diatur supaya setiap pelajar dapat melihat apa

yang ditunjukkan dan mendengar dengan jelas percakapan anda. Dalam kelas

yang ramai pelajar, pelajar-pelajar yang berdekatan dengan demonstrasi

bolehlah duduk manakala yang lebih jauh pula bolehlah berdiri. Satu cara lagi

adalah dengan membahagikan pelajar-pelajar kepada beberapa kumpulan;

setiap kumpulan mengambil giliran melihat demonstrasi. Untuk mengelak

gangguan, kebisingan atau pelajar bermain, kumpulan-kumpulan yang tidak

melihat demonstrasi diberikan sesuatu tugas, misalnya membaca buku teks,

menjawab soalan atau berbincang tentang sesuatu masalah.

96

Page 17: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

5. Anda perlulah memastikan pelajar terlibat secara aktif dalam demonstrasi.

Pelajar-pelajar disuruh memasang alat, mengambil ukuran, mengisi jadual dan

sebagainya. Anda boleh mengemukakan soalan-soalan yang relevan bagi

membangkitkan minat serta merangsang pemikiran pelajar. Selain itu, anda

hendaklah melayani soalan-soalan yang dikemukakan oleh pelajar. Dalam

keadaan tertentu, pelajar-pelajar melihat demonstrasi, mendengar penerangan

anda, mengambil nota atau melukis gambarajah.

6. Anda sepatutnya berlatih melakukan demonstrasi terlebih dahulu. Ini

memberi peluang kepada anda mengenal pasti masalah-masalah yang

mungkin timbul dan mengawal masa secara berkesan.

5.5 Rumusan

Bab ini telah membincangkan secara terperinci strategi pelaksanaan dua kaedah

pengajaran yang sentiasa digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran sains, iaitu

eksperimen atau amali dan demonstrasi. Pengetahuan yang anda perolehi daripada bab ini

dapat anda gunakan untuk menerapkan kemahiran saintifik di dalam kelas. Pengetahuan

dan kemahiran yang dipaparkan dalam bab ini ada kaitannya dengan pengetahuan dan

kemahiran yang telah anda pelajari dalam GE 5112 Kaedah Am, misalnya pengajaran

mikro dan keselamatan dalam makmal. Oleh itu anda perlulah menggabungkan

pengetahuan dan kemahiran yang telah anda perolehi itu dengan pengetahuan yang

diberikan dalam bab ini.

97

Page 18: pengajaran sains dlm makmal

Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

TUGASAN

Sediakan satu rancangan mengajar untuk 80 minit pengajaran menggunakan kaedah

eksperimen daripada kaedah pertama anda (Biologi, Kimia atau Fizik) atau daripada mata

pelajaran Sains. Gunakan format berikut:

Tingkatan

Mata Pelajaran

Hari

Masa

Tajuk

Tujuan Am

Objektif Pengajaran

Nilai Murni * Senaraikan komponen-komponen

Kemahiran Berfikir pemikiran kritis dan kreatif yang Kritis dan Kreatif (KBKK)* terlibat. (Sila rujuk kursus

GE5112 Kaedah Am: Kaedah/Strategi Pengajaran** Bab 10: Kemahiran Berfikir)

Bahan Bantu Mengajar ** Senaraikan kaedah/strategi yang

Isi Pengajaran akan anda gunakan untuk menyampaikan isi pengajaran

Bahan Rujukan yang berkenaan (misalnya kuliah, demonstrasi, amali,

Pengetahuan Lepas perbincangan)

Langkah Pengajaran

Permulaan

Perkembangan

Penutup

Tugas Lanjutan

Penilaian Kendiri

Catatan Penyelia

98

Page 19: pengajaran sains dlm makmal

GE5362 KAEDAH SAINS Bab 5: Pengajaran Sains Di Dalam Makmal

LATIHAN

1. Huraikan mengapa aktiviti makmal, khususnya eksperimen atau amali sangat

penting dalam pengajaran dan pembelajaran sains.

2. (a) Apakah yang dimaksudkan dengan Kemahiran Saintifik ?

(b) Senaraikan langkah-langkah dalam Proses Sains.

(c) Apakah yang dimaksudkan dengan Kemahiran Manipulatif dan apakah

kepentingannya ?

3. Jelaskan mengapa anda perlu mencuba sendiri sesuatu eksperimen sebelum

eksperimen berkenaan dilakukan oleh pelajar.

4. (a) Huraikan keadaan-keadaan yang sesuai bagi penggunaan kaedah demonstrasi.

(b) Senaraikan perkara-perkara yang mempengaruhi keberkesanan kaedah

demonstrasi.

RUJUKAN

Pengajian Jarak Jauh, Diploma Pendidikan. 1998. GE5112 Kaedah Am (Sains dan

Sastera) : Bab 10 Kemahiran Berfikir. UKM: Pusat Pegajian Jarak Jauh.

Pengajian Jarak Jauh, Diploma Pendidikan. 1998. GE5112 Kaedah Am (Sains dan

Sastera) : Bab 7 Pengurusan makmal sains. UKM; Pusat Pengajian Jarak Jauh.

Rashidi Azizan & Abdul Razak Habib. 1996. Pengajaran dalam bilik darjah : kaedah

dan strategi. Kajang : MASA Enterprise.

99