penderaan

Upload: hazel04

Post on 07-Jan-2016

14 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

penderaan

TRANSCRIPT

Budak lelaki cedera dipercayai didera keluarga angkat

Budak lelaki cedera dipercayai didera keluarga angkat

KUANTAN 2 April - Seorang murid lelaki tahun dua bengkak dan lebam di seluruh badan dipercayai didera ibu bapa angkatnya di Kampung Seberang Sungai Ular di sini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Nordin Mustapha berkata, kes itu terbongkar apabila polis menerima aduan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.

''Melalui keterangan pihak hospital, kanak-kanak itu bengkak dan lebam di dahi, kepala dan beberapa anggota badan lain. Ada kesan lebam baru dan ada yang sudah lama," katanya semasa ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Menurut Nordin, siasatan awal mendapati murid Sekolah Kebangsaan Seberang Sungai Ular itu didera dan dipukul dengan penyangkut baju sejak dijaga pasangan terbabit yang turut mempunyai dua orang anak kandung.

"Kanak-kanak itu masih dirawat di HTAA dan kes ini akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk urusan penjagaan," jelasnya.

Nordin memberitahu, mangsa tinggal bersama keluarga angkatnya selepas ibu bapa kandungnya berpisah sejak dua tahun lalu.

Tambahnya, bapa kandung mangsa kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah manakala ibu kandungnya pula tidak dapat dikesan namun dipercayai bekerja di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Nordin memberitahu, ibu bapa angkat mangsa yang masing-masing berumur 24 tahun kini disoal siasat dan direman lima hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ini merupakan kes penderaan kedua selepas kejadian di Felda Bukit Goh pada 20 Mac lalu apabila seorang bayi perempuan berumur setahun mati dipercayai didera dan siasatan masih dijalankan.