pembentukan ilmu diplomatik melayu dalam ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek...

13
1 PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM MENJALIN HUBUNGAN ANTARA KERAJAAN Dr. Salmah Jan Noor Muhammad Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa Dr. Rozita Che Rodi Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia Abstrak Ilmu diplomatik Melayu merupakan pemikiran atau pengetahuan orang Melayu dalam mencipta atau membentuk, menyusun, menguruskan, dan mengawal jalinan perhubungan dengan kerajaan lain. Ia juga memberi gambaran tentang cara orang Melayu dahulu menggunakan daya fikir, budi, dan fizikal dalam mengukuhkan kedaulatan raja, mempertahankan tanah air dan meluaskan pengaruh dengan cara mewujudkan suatu hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan untuk melindungi sesebuah negara atau kerajaan daripada ancaman musuh luar bagi memelihara kebajikan dan keselamatan para penduduknya di samping menggunakan helah diplomatik untuk meluaskan pengaruhnya atas alasan untuk mengukuhkan, meninggikan imej, dan prestij sesebuah kerajaan. Oleh hal yang demikian, pelbagai mekanisme diplomatik tertentu digunakan untuk merealisasikan matlamat tersebut, iaitu perkara yang menjadi intipati penting dalam pembentukan ilmu diplomatik Melayu dan ianya dapat dihayati melalui kajian terhadap manuskrip Melayu lama. Kata Kunci : ilmu, diplomatik, Melayu, mekanisme, manuskrip Melayu Pendahuluan Usaha mengadakan hubungan antarabangsa merupakan langkah yang paling asas untuk mewujudkan perhubungan diplomatik. Hubungan diplomatik yang tersusun akan memudahkan terjalinnya hubungan kerjasama yang erat antara sesebuah kerajaan sama ada dari sudut hubungan sosial, budaya, agama, ekonomi mahupun politik. Menurut Mokhtar Muhammad (2005:14), sebelum hubungan diplomatik dapat diadakan, persetujuan antara dua buah negara amat diperlukan. Justeru, pelbagai daya cara digunakan untuk membentuk atau membina hubungan diplomatik sejagat dan seterusnya membawa kepada pembentukan mekanisme-mekanisme diplomatik tertentu bagi memastikan hubungan yang dijalinkan berjaya dan mendapat manfaat bersama. Mekanisme diplomatik yang digunakan dalam pembentukan ilmu diplomatik melibatkan manusia dan benda. Mekanisme yang dimaksudkan di sini ialah orang perantaraan atau lebih dikenali sebagai utusan, warkah dan bingkisan. Tiga bentuk mekanisme diplomatik ini masing-masing memainkan peranan penting dalam membina hubungan diplomatik antara kerajaan. Ada kalanya, mekanisme ini juga turut digunakan sebagai penyelesaian kepada kerencatan sesebuah hubungan diplomatik. Oleh itu, dalam kertas kerja ini, akan Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Upload: others

Post on 12-Dec-2020

5 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

1

PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM MENJALIN HUBUNGAN ANTARA KERAJAAN

Dr. Salmah Jan Noor Muhammad Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa

Dr. Rozita Che Rodi

Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi

Universiti Putra Malaysia

Abstrak

Ilmu diplomatik Melayu merupakan pemikiran atau pengetahuan orang Melayu dalam mencipta atau membentuk, menyusun, menguruskan, dan mengawal jalinan perhubungan dengan kerajaan lain. Ia juga memberi gambaran tentang cara orang Melayu dahulu menggunakan daya fikir, budi, dan fizikal dalam mengukuhkan kedaulatan raja, mempertahankan tanah air dan meluaskan pengaruh dengan cara mewujudkan suatu hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan untuk melindungi sesebuah negara atau kerajaan daripada ancaman musuh luar bagi memelihara kebajikan dan keselamatan para penduduknya di samping menggunakan helah diplomatik untuk meluaskan pengaruhnya atas alasan untuk mengukuhkan, meninggikan imej, dan prestij sesebuah kerajaan. Oleh hal yang demikian, pelbagai mekanisme diplomatik tertentu digunakan untuk merealisasikan matlamat tersebut, iaitu perkara yang menjadi intipati penting dalam pembentukan ilmu diplomatik Melayu dan ianya dapat dihayati melalui kajian terhadap manuskrip Melayu lama. Kata Kunci : ilmu, diplomatik, Melayu, mekanisme, manuskrip Melayu Pendahuluan Usaha mengadakan hubungan antarabangsa merupakan langkah yang paling asas untuk mewujudkan perhubungan diplomatik. Hubungan diplomatik yang tersusun akan memudahkan terjalinnya hubungan kerjasama yang erat antara sesebuah kerajaan sama ada dari sudut hubungan sosial, budaya, agama, ekonomi mahupun politik. Menurut Mokhtar Muhammad (2005:14), sebelum hubungan diplomatik dapat diadakan, persetujuan antara dua buah negara amat diperlukan. Justeru, pelbagai daya cara digunakan untuk membentuk atau membina hubungan diplomatik sejagat dan seterusnya membawa kepada pembentukan mekanisme-mekanisme diplomatik tertentu bagi memastikan hubungan yang dijalinkan berjaya dan mendapat manfaat bersama. Mekanisme diplomatik yang digunakan dalam pembentukan ilmu diplomatik melibatkan manusia dan benda. Mekanisme yang dimaksudkan di sini ialah orang perantaraan atau lebih dikenali sebagai utusan, warkah dan bingkisan. Tiga bentuk mekanisme diplomatik ini masing-masing memainkan peranan penting dalam membina hubungan diplomatik antara kerajaan. Ada kalanya, mekanisme ini juga turut digunakan sebagai penyelesaian kepada kerencatan sesebuah hubungan diplomatik. Oleh itu, dalam kertas kerja ini, akan

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 2: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

2

dibincangkan mekanisme diplomatik yang dinyatakan dalam membantu kepada pembentukan ilmu diplomatik Melayu. Utusan Kerajaan Sebagai Perantaraan Kerajaan Pada zaman kesultanan Melayu, sistem perhubungan yang terhad menyebabkan pergantungan tanggungjawab seratus peratus terletak kepada utusan. Utusan diberikan amanah yang besar dalam memastikan hubungan diplomatik yang ingin dijalinkan itu berjaya dan membawa hasil yang bermanfaat kepada kedua-dua kerajaan. Ia diibaratkan seperti ‘berat beban senggulung batu’ kerana tanggungan yang diberikan kepada seorang utusan kerajaan itu sangat berat. Kegagalannya dalam melaksanakan tugas akan memberi aib kepadanya dan akan dianggap oleh sultan sebagai orang yang tidak bijak dan tidak boleh diharapkan. Justeru, sebagai pencetus interaksi antara kerajaan, utusan yang dihantar itu semestinya seseorang yang berkredibiliti dan berkeyakinan tinggi khususnya dalam menyelesaikan masalah yang wujud apabila menghadapi pelbagai cabaran dalam fasa awal menjalinkan hubungan diplomatik. Annabel Teh Gallop (1994: 104) mengatakan kejayaan seseorang utusan yang mahir ialah perlu mengajukan secara halus kepentingan dan nama baik rajanya dan pada masa yang sama tidak menyinggung perasaan tuan rumahnya. Setiap butir katanya (utusan) sangat bermakna dan akan membawa kejayaan ataupun kemusnahan hubungan diplomatik antara kerajaan. Nuruddin al-Raniri pada bab yang ke III, fasal ke-5 dalam Bustan al-Salatin atau ‘Taman Raja-Raja’ telah mencatatkan 10 sifat seorang utusan seperti contoh petikan di bawah:

Kata hukama, bahawa syarat utusan itu sepuluh syarat. Syarat yang pertama, hendaklah ia takut akan Allah Taala lagi teguh agamanya. Syarat yang kedua, hendaklah ia ada pengetahuan. Syarat yang ketiga, hendaklah ia elok parasnya. [Syarat yang keempat, hendaklah ada ia kepercayaan dan jangan ia berbuat khianat akan rajanya kerana hawa nafsunya.] ...Syarat yang kelima, hendaklah utusan itu fasih lidahnya dan baik suaranya, syarat yang keenam hendaklah ada ia bijaksana...Syarat yang ketujuh, hendak ada wazir itu utusan berani pada barang melakukan pekerjaan rajanya. Syarat yang kedua lapan, hendaklah ia baik kelakuannya lagi aqil...Syarat yang kesembilan, hendaklah utusan itu murah lagi bangsawan. Syarat yang kesepuluh, hendaklah ia jangan sangat tamak, jika sangat tamak ia, nescaya aiblah nama rajanya (Jelani Harun, 2009:275-79).

Penekanan terhadap ciri utusan yang dibuat oleh Nuruddin al-Raniri pada fasal tersebut adalah untuk memberi nasihat kepada golongan raja bahawa pemilihan utusan perlu dilakukan secara rinci seperti dengan mengenal pasti rakyatnya yang memenuhi kriteria disebutkan sebelum ini serta mendapatkan pandangan para pembesar tentang ketepatan pemilihan tersebut. Ketepatan dalam pemilihan utusan sebagai pemangkin hubungan diplomatik kerajaan, akan dapat membantu raja menyampaikan hajatnya dengan betul di samping dapat memperkembangkan serta memperkukuhkan jalinan hubungan diplomatik kerajaannya dengan kerajaan lain. Memperkukuhkan jalinan hubungan diplomatik kerajaan yang dimaksudkan dalam kajian ini ialah melalui perhubungan persaudaraan, mengeratkan hubungan dua hala menerusi perkahwinan, perdagangan dan sebagainya. Sementara itu,

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 3: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

3

pemilihan utusan yang salah dan perlantikan utusan secara terburu-buru akan membawa aib kepada nama baik raja dan kerajaan. Justeru, dengan adanya garis panduan tentang pemilihan seorang utusan kerajaan seperti yang dibicarakan oleh Nuruddin al-Raniri akan memudahkan raja memilih utusan yang benar-benar layak dihantar berurusan dengan kerajaan serantau. Menurut Jelani Harun (2003:182), bahagian tentang utusan dipaparkan dalam naskhah ini adalah sebagai menunjukkan kepada raja peri pentingnya memilih utusan yang sesuai, amanah, dan bertanggungjawab sebagai duta yang akan memuliakan nama raja dan negara. Dalam sastera tradisional Melayu seperti Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah, acapkali disebutkan nama utusan seperti Seri Bija Pikrama, Tun Sura Diraja, Tun Bija Sura, Menteri Jana Putera, Tun Telanai, Hang Nadim, dan Hang Tuah dihantar untuk melaksanakan misi diplomatik. Kesemua utusan ini mempunyai kredibiliti masing-masing dalam menarik perhatian kerajaan lain untuk berhubungan diplomatik dengan kerajaan Melaka. Selain kredibiliti, gerak laku dan tutur kata yang baik serta beradab sopan merupakan kunci utama kepada daya tarikan pemerintah luar untuk bersetuju menjalinkan hubungan dengan kerajaan Melayu. Dengan kata lain, segala yang ada pada diri seorang utusan itu menjadi titik tumpuan dan seterusnya mampu merangsang kepada pembentukan ilmu diplomatik. Rangsangan seorang utusan itu dapat dilihat apabila mereka mengeluarkan atau mengaplikasikan ilmu diplomatik itu menerusi ciptaan pelbagai strategi yang ada kalanya terbina dalam keadaan tidak terancang. Satu tugas yang berat, namun sebagai utusan, mereka perlu bersedia menghadapinya. Antara strategi yang dikenalpasti ialah: a) menambat hati pemerintah raja kerajaan luar, b) menguasai bahasa asing, c) menggunakan kata sapaan yang baik dan d) menggunakan taktik jawapan berhelah. Kertas kerja ini hanya membincangkan dua strategi yang dikemukakan iaitu startegi (b) dan (c) sahaja. Strategi menguasai bahasa asing dapat merungkaikan batas sempadan. Hal ini turut memudahkan bual bicara dan komunikasi dua hala terjadi. Misalnya Hang Tuah sebagai utusan Melaka dihantar ke Benua Keling untuk menjalinkan hubungan diplomatik dari aspek ekonomi. Benua Keling merupakan kerajaan besar dan telah mempunyai hubungan perdagangan dan keagamaan dengan Nusantara (Mohd Jamil Mukmin, 2011:114-15). Kefasihan Hang Tuah berbahasa dalam bahasa Nagaram begitu mengejutkan dan memukau raja, pembesar serta menteri Benua Keling. Mereka tidak menyangka bahawa seorang Melayu dapat menguasai bahasa mereka dengan mudah dan bahasa yang diucapkan oleh Hang Tuah itu hanya boleh dikuasai oleh golongan raja dan bangsawan terpilih sahaja. Hal ini telah menimbulkan rasa kekaguman pihak istana Benua Keling terhadap Hang Tuah. Berikut contoh petikan tersebut:

Maka titah baginda dengan bahasa Bijaya Nagaram, “Siapa namanya utusan Melayu ini?” Maka Nala Sang Guna pun memandang kepada Laksamana, Laksamana pun berdatang sembah dengan bahasa Bijaya Nagaram, “Daulat Tuanku Syah Alam, patik ini hamba yang hina ke bawah Duli Kisna Rayan, Laksamana, dan patik ini Maharaja Setia, hamba ke bawah Duli Kisna Rayan.” Mendengar sembah Laksamana dalam bahasa Nagaram itu, maka Kisna Rayan dan bendahara mangkabumi dan segala raja-raja dan menteri yang mengadap itu pun hairan tercengang-cengang, kerana melihat Laksamana tahu bahasa Nagaram itu, kerana segala raja-raja dan menteri yang banyak itu berpilih yang tahu akan bahasa Nagaram itu. Maka Kisna Rayan pun gemar melihat laku Laksamana berkata-kata itu dengan

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 4: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

4

bahasa Keling itu fasih lidahnya dan manis mukanya dan dengan merdu suaranya, patut ia berkata-kata itu (Kassim Ahmad, 1997: 392-93).

Selain itu, menggunakan kata sapaan yang betul turut membantu menjayakan strategi dalam membentuk hubungan diplomatik. Menurut Awang Sariyan (2007:36) kata sapaan ialah kaedah yang digunakan oleh sesebuah masyarakat atau bangsa untuk menegur atau menyapa seseorang, baik dalam konteks yang rasmi mahupun yang tidak rasmi. Bentuk sapaan menjadi unsur wacana yang penting dalam pelbagai komunikasi manusia dan perlu digunakan dengan tepat menurut sistem yang diterima oleh masyarakat atau oleh pihak yang diberi wibawa menentukannya. Hal ini untuk memastikan sesuatu urusan dan majlis berlangsung dengan teratur dan rapi di samping memelihara satu sistem kesantunan yang berada dalam sistem kemasyarakatan. Hang Tuah, Tun Perpatih Putih dan Seri Bija Pikrama menggunakan gelaran tanda hormat kepada pemerintah sebagai salah satu kata sapaan semasa mereka bertugas sebagai utusan. Antaranya :

Contoh Pertama : Gelaran Tanda hormat yang diberikan oleh Hang Tuah kepada Kisna Rayan (Pemerintah Benua Keling)

...Laksamana pun berdatang sembah dengan bahasa Bijaya Nagaram, “Daulat Tuanku Syah Alam, patik ini hamba yang hina di bawah Duli Kisna Rayan, ... (Kassim Ahmad, 1997:392).

dan, Maka Laksamana pun menyembah lalu duduk. Maka titah Kisna Rayan, “Lain daripada Laksamana tiada kita bawa masuk ke dalam taman kita bermain dengan permaisuri ini.” Maka sembah Laksamana, “Daulat tuanku, patik ini hamba yang hina” (Kassim Ahmad, 1997: 402).

Contoh Kedua : Gelaran Tanda hormat yang diberikan oleh Hang Tuah kepada Phra Cau (Pemerintah Benua Siam)

Setelah sudah maka Laksamana pun berdatang sembah, “Ya Tuanku Syah Alam, ada suatu patik hendak persembahkan. Adapun pada penglihatan patik, Phra Cau raja besar, rakyat pun banyak... ( Kassim Ahmad, 1997: 440).

Contoh ketiga : Gelaran tanda hormat Seri Bija Pikrama (utusan Melaka) kepada pemerintah Mengkasar (Makasar)

Maka sahut Seri Bija Pikrama, “Khabar baik keraeng. Tidak apa kehendak paduka adinda menyuruh mengadap tuanku, sekadar hendak muafakat juga, keraeng (A.Samad Ahmad, 2010: 101).

Contoh Keempat: Gelaran tanda hormat Tun Perpatih Putih (utusan Melaka) kepada pemerintah China

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 5: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

5

Maka sembah Tun Perpatih Putih, “Digelek tuanku, Pada seorang sebiji disuruhkan oleh raja kami pada seorang rakyat, hingga sarat sebuah pilau... Samad Ahmad, 2010:132).

Menurut Amat Juhari Moain (1989:64) bahawa terdapat beberapa kata sapaan dan panggilan oleh rakyat dan orang besar kepada raja atau pemerintah seperti perkataan ‘Tuanku’ yang merupakan kata yang paling lumrah digunakan. Selain daripada perkataan ‘Tuanku,’ terdapat kata sapaan lain yang turut digunakan seperti ‘Tuanku Syah Alam,’ ‘Syah Alam,’ ‘Sultan,’ ‘di-Pertuan,’ ‘YamTuan,’ dan ada juga sapaan yang diberi rujukan kehormat Duli seperti ‘Duli Tuanku,’ dan ‘Duli Yang di-Pertuan’ serta ada juga rujukan kehormat Paduka seperti ‘Paduka Shah Alam,’ dan ‘Paduka Kekanda Duli Yang di-Pertuan.’ Dengan adanya kata sapaan atau gelaran tanda hormat ini, akan membantu rakyat atau pembesar berhadapan dengan pemerintah kerajaan dan memulakan bicara dengan bersopan dan berprotokol. Dalam konteks kajian ini, gelaran tanda hormat yang digunakan oleh para utusan berfungsi sebagai:

a) Menghargai dan menyanjung tinggi pemerintah kerajaan berkenaan b) Mengakrabkan hubungan c) Melancarkan komunikasi d) Mempromosikan adat dan budaya orang Melayu

Fungsi di atas yang dinyatakan berkaitan dengan usaha kerajaan Melayu dalam menjalinkan hubungan diplomatik dan seterusnya dapat mewujudkan hubungan sosial secara berterusan. Sebagai seorang utusan Melayu yang kaya dengan adat resam, menyapa atau memanggil dengan menggunakan gelaran tanda hormat kepada pemerintah kerajaan lain merupakan suatu kemestian yang perlu dilakukan oleh mereka. Dalam masa yang sama, para utusan perlu menyesuaikan gelaran tersebut dengan pemerintah berkenaan bagi mengelakkan wujudnya rasa tidak selesa dan menyebabkan perasaan mereka tersinggung. Kesalahan menggunakan gelaran tanda hormat boleh menimbulkan suasana yang tegang dan tidak harmoni di antara penutur dan lawan tutur. Oleh itu, dalam hal ini, seorang utusan Melayu perlu peka dan mengambil berat tentang perkara ini. Warkah Melayu Warkah Melayu merupakan manuskrip terawal yang dihasilkan oleh masyarakat zaman silam untuk pelbagai tujuan dan kepentingan (Siti Mariani S.M Omar, 2001:1). Menurut catatan sejarah, Sultan Muzaffar Syah merupakan raja Islam pertama di Melaka yang telah memulakan tradisi mengirim warkah. Peranannya (warkah) yang dapat mewujudkan satu persembahan informasi yang menarik khususnya dalam mengutarakan pendapat, cadangan, pemikiran dan kehendak pengirim warkah, maka ia dijadikan sebagai medium utama dalam menjalinkan hubungan diplomatik. Adib Imran (1999:24) bersetuju bahawa warkah merupakan landasan perhubungan antara seteru mahupun sahabat. Justeru, seseorang raja perlu berhati-hati dan bersikap lebih teliti dalam menzahirkan niatnya serta memilih golongan yang mempunyai kecekapan dalam bidang persuratan agar masalah yang tidak diingini berlaku. Hal ini kerana, kejadian tersebut hanya akan merencatkan sesebuah hubungan diplomatik.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 6: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

6

Sehelai warkah itu akan kelihatan sempurna dan hebat apabila ia menggunakan kata-kata yang baik, lenggok bahasa yang halus dan sopan serta memiliki reka bentuk dan hiasan yang indah serta kreatif. Sebagai contoh surat Sultan Iskandar Muda, iaitu sultan Aceh kepada Raja James I dari England. Menurut Annabel Teh Gallop (1994:39), surat tersebut bukan sahaja surat berhias Melayu yang paling tua diketahui, tetapi ia merupakan surat berhias yang paling besar dengan ukuran hampir satu meter, dan juga yang paling cantik. Kandungannya memerihalkan tentang keagungan pemerintahan Aceh pada masa itu. Dalam topik ini, surat Paduka Seri Sultan Ahmad Ibn Sultan Zain Al-‘Abidin dari negeri Terengganu kepada Jenderal Baron van der Capellen di Betawi (Jakarta) yang bertarikh 18 Rajab 1239 Hijrah atau 19 Mac, 1824 dijadikan sebagai contoh untuk membincangkan penggunaan warkah sebagai salah satu mekanisme pembentukan ilmu diplomatik Melayu. Pembentukan ilmu diplomatik itu dapat dilihat dari pelbagai sudut sama ada secara dalam mahupun luaran sehelai warkah itu seperti kata puji-pujian, doa, iluminasi warkah dan juga penggunaan cop mohor. Kesemua aspek ini memberi kesan yang besar terhadap sesebuah hubungan diplomatik. Namun, dalam kertas kerja ini akan menumpukan perbincangan kepada aspek puji-pujian dan doa. Surat Paduka Seri Sultan Ahmad Ibn Sultan Zain Al-‘Abidin menggunakan kata puji-pujian di awal perenggan. Menurut Abdul Razak Abdul Karim (2006:26), kata puji-pujian merupakan perkara yang penting dalam struktur warkah Melayu lama. Beliau turut menyatakan bahawa kata puji-pujian merupakan lakuan bahasa, iaitu sebagai phatic communion yang bermakna pembuka komunikasi. Penggunaan kata puji-pujian yang meleret-leret dan panjang merupakan suatu bentuk pujian untuk membuka jalan kepada penulis mengutarakan permintaan atau hajatnya dalam sesebuah warkah. Selain itu, kata puji-pujian juga merupakan perkara asas kepada pengenalan diri sesebuah kerajaan kepada pihak pengirim. Pengenalan diri menurut Koentjoro (1989) merupakan langkah yang diperlukan oleh seseorang untuk dapat menjalankan kehidupan secara efektif. Namun dalam hal ini, pengenalan diri ialah langkah yang diambil oleh sesebuah kerajaan untuk mempromosikan sultan dan kerajaannya secara efektif dan seterusnya mengangkat martabat penerima warkah bagi mengikat tumpuan mereka untuk terus menerus membaca kandungan yang dibicarakan sehingga pengakhiran isi warkah. Hal ini penting kerana ‘pertemuan pertama secara tulisan’ itu akan memberikan cerminan kepada latar belakang secara keseluruhan dan niat pihak pengirim. Contoh berikut merupakan kata puji-pujian yang digunakan oleh Sultan Ahmad I Terengganu semasa menghantar surat kepada Jeneral Belanda di Betawi:

Ke hadapan Tuan Jenderal yang amat kuasa di dalam mashriq dan maghrib, yang mendiami di atas takhta kerajaan dan kebesaran di dalam negeri Betawi, yang telah termasyhur dengan segala daerah takluknya semuanya di bawah perintah hukumnya, yang amat setiawan dan lagi dermawan, bertambah2 pula dengan budi pekerti yang amat ramah perangai yang lemah lembut dengan sempurnanya serta arif bijaksana pada melakukan atas jalan berkasih-kasihan dan bertolong-tolongan dengan segala handai taulannya, karib dan ba`id. Dan lagi ialah yang teramat teguh setianya selama-lamanya yang tiada berubah2.

Kata puji-pujian yang digunakan oleh Sultan Ahmad I Terengganu ini sangat menarik kerana selain memuji keperibadian Jeneral Belanda, baginda juga turut menonjolkan kehandalan keupayaan si penerima warkah dengan memberikan pengiktirafan terhadap pemerintahan

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 7: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

7

yang tiada tolok bandingnya dengan orang lain pada masa itu. Dengan penilaian positif sudah tentu akan dapat menyukakan hati penerima dan hal ini akan dapat meningkatkan keyakinan dan keupayaan dirinya serta berusaha untuk terus meninggikan lagi prestasi diri. Seterusnya akan dapat membantu mempengaruhi penerima dalam membuat keputusan menjalinkan hubungan lebih serius serta memenuhi permintaan atau hasrat pengirim yang diungkapkan dalam isi warkah tersebut. Pujian-pujian yang paling indah menurut Annabel Teh Gallop (1994: 62) merupakan cerminan kecekapan seni surat-menyurat Melayu, yang membayangkan keagungan dan keunggulan tamadun istana kerajaan-kerajaan Melayu, tempat asal usul surat ini. Kata-kata pujian yang berbunga-bunga dan panjang lebar ini merupakan salah satu inisiatif orang Melayu dalam memulakan langkah diplomatik sebelum mempersembahkan kandungan warkah yang lebih bernada serius. Oleh itu, sebagai daya penarik, pihak pengirim akan sedaya mampu mengarang kata puji-pujian yang lebih berfokus kepada ciri peribadi penerima. Hal ini kerana ciri-ciri peribadi akan mudah mendekati jiwa dan menyenangkan hati penerima warkah tersebut . Selain itu, penerima warkah bukan sahaja merasakan dirinya dihargai malahan kekuatan kerajaan serta pentadbirannya turut diperakui kehebatannya. Apatah lagi yang memberi kata-kata pujian tersebut adalah daripada pihak raja Melayu. Umum mengetahui bahawa raja Melayu ialah raja berdaulat. Setiap kata-kata yang diungkapkan baginda merupakan suatu doa dan kata puji-pujian tersebut akan dapat menambahkan kerahmatan kepada diri pihak penerima. Justeru, langkah ini bukan sahaja menyenangkan hati pihak penerima malah turut menimbulkan rasa kekaguman kepada sikap kesederhanaan golongan raja yang tidak bongkak walaupun mempunyai darjat dan daulat yang tinggi. Di samping itu, ia turut menyerlahkan sikap raja yang tidak kedekut dan tidak ego dengan memberikan kata puji-pujian kepada mereka. Kata-kata pujian yang diadunkan dengan nilai-nilai peribadi dan dicernakan dengan gaya bahasa yang cukup estetik sebelum menyampaikan mesej yang sebenar kepada pihak penerima akan menciptakan suatu suasana kemesraan, keselesaan, keakraban, dan muhibah antara dua bangsa ini. Di sinilah kepintaran raja Melayu terbukti, apabila dengan menggunakan kata puji-pujian dapat mengikat hati penerima untuk terus membaca dan ingin mengetahui hasrat hati raja secara keseluruhan melalui warkah tersebut. Seterusnya, kaedah doa digunakan untuk mendoakan penerima agar hidup sejahtera dan antara pendekatan dalam Islam untuk melembutkan hati seseorang. Ab. Razak Ab. Karim (2006: 97) menyatakan bahawa kaedah doa digunakan oleh pengirim untuk mendoakan seseorang menerima. Kebanyakan doa yang digunakan oleh pengirim ditujukan kepada pegawai Inggeris dan Belanda yang mempunyai taraf sosial yang tinggi pada kaca mata pengirim. Manakala Asmah Omar (1982: 31) pula berpendapat bahawa kaedah ini akan menggunakan kata ‘agar’ yang mengambil alih tempat semoga, moga-moga, atau mudah-mudahan. Kaedah doa yang telah digunakan oleh Sultan Ahmad I Terengganu dapat dilihat pada perenggan awal warkah ini. Contohnya:

Maka barang dikekalkan Tuhan Allah apalah kiranya yang demikian itu, serta barang dilanjutkan daripada usia umur zamannya serta bertambah2 kebesaran dan kekayaan di dalam șihat dan `ȃf iyat pada selagi ada peredaran cakerawala matahari dan bulan pada tiap2 perkitaran malam dan siang.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 8: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

8

Selain menunjukkan rasa hormat Sultan Ahmad I Terengganu kepada Jeneral Belanda itu, baginda berharap agar Jeneral Belanda akan terbuka hati mentafsir hasrat hati baginda dari sudut positif dan seterusnya membantu baginda menyelesaikan masalah yang timbul. Di samping itu, secara tersiratnya, kaedah ini dapat membantu Jeneral Belanda melihat hati murni Sultan Ahmad I Terengganu yang ikhlas mendoakannya dan seterusnya membuka pintu diplomasi kepada kerajaan Terengganu. Bingkisan Hadiah Bingkisan selalunya dihantar pada peringkat permulaan hubungan mesra antara dua pihak. Sementara bagi hubungan diplomatik yang sedia terjalin, pemberian bingkisan tersebut akan dijadikan sebagai pengukuh hubungan antara kerajaan. Misalnya, Sultan Iskandar Muda Johan Pahlawan Mahkota Alam (1590-1636), iaitu pemerintah kerajaan Aceh Darussalam telah menghantar utusannya ke Turki (Rom) dengan membawa hadiah. Kunjungan tersebut diterima baik oleh Khalifah Turki uthmaniyah dan baginda telah mengirim hadiah balasan berupa sebuah meriam dan penasihat militer untuk membantu memperkuatkan angkatan perang kerajaan Aceh (Fadhullah Jamil, 1984:40). Tindakan Sultan Iskandar Muda Johan Pahlawan Mahkota Alam tersebut adalah untuk menguatkan ketahanan dan pertahanan kerajaan baginda daripada ancaman musuh. Dalam hal ini, ternyata bahawa hubungan diplomatik merupakan suatu aspek penting dalam membantu perkembangan pembangunan sesebuah kerajaan khususnya dari aspek politik, ekonomi, dan sosial. Antara bingkisan hadiah yang sering dijadikan sebagai hantaran bingkisan ialah bunga emas dan bunga perak. Bunga Emas dan Perak dihasilkan oleh tukang Melayu di istana raja. Perbelanjaan menghasilkan sepohon bunga emas dan perak diperolehi melalui kutipan cukai banci yang dikenakan oleh sultan ke atas rakyatnya. Menurut Buyong Adil (1974:144), setiap orang dewasa di Terengganu dimestikan membayar seringgit setahun melalui sistem cukai banci. Di Kelantan dalam tahun 1801, sultan menitahkan setiap rakyatnya membayar sebanyak sekupang seorang (Ismail Bakti, 1960:40) sementara di Kedah, menjelang akhir abad ke-19, orang Melayu atau Siam perlu membayar cukai sebanyak 56 sen seorang, orang Cina (peniaga) dikenakan bayaran cukai sebanyak $ 2.25 sen seorang dan orang Cina (pekerja) pula dikenakan cukai sebanyak 62 sen seorang (Che’ Mustaffa Tam dan Tuanku Nong Jewa, 1960:43).

Di dalam naskhah Undang-Undang Kedah khususnya pada bahagian keempat, pengarang naskhah ini telah memberikan keterangan tentang cara membuat bunga emas dan bunga perak untuk penghantaran ufti ke Benua Siam. Ufti bermaksud persembahan (wang, emas, dan lain-lain) yang wajib dibayar kepada raja atau negara yang berkuasa (menaklukkan). Menurut Siti Hawa Salleh (2009:285), terdapat beberapa peraturan tentang cara membuat bunga emas dan bunga perak. Antara peraturan tersebut ialah:

Sebermula banyak emas ditempa, bunga emas dihantar ke Benua Siam, dua puluh emas masa raja dahulu-dahulu. Pada masa Sultan Muhammad Jiwa, tambah sepuluh emas, sebab sukar ia tempanya, sudah tempa lebih itu diambil pulangkan pada raja. Pertama ditempa itu sampak tombak dua panjangnya sejengkal telunjuk orang yang ugahari dan lebar pangkalnya empat jari dan lebar kakinya tiga jari ujung, lalu dipeterinya... panjangnya ranting yang di bawah ... maka

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 9: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

9

banyaknya ranting dua pangkat itu delapan ... fasal alat semerap bunga emas itu, perisai empat bertulis ... Maka dipahat pula kutum kemuncak itu berkelopak berpucuk rembang. Maka sekalian daun dan bunga lawang itu kesemuanya diguris seperti keadaan urat daun kayu, jumlah sekalian dan dengan daun sonak dan yang tergantung pada bunga lawang kemuncak itu, jadi seratus dua puluh lapan helai dan jumlah, dan bunga lawang sekalian kecil besar dengan di atas sekali jadi tiga puluh tujuh. Demikian lagi kemuncak kutum ranting dan kemuncak yang di atas jadi ia tiga puluh juga dan jumlah buluhnya jadi seratus enam belas panjang kesemuanya itu. (Selesai tentang seni pembuatan bunga emas)

Ciri kemewahan yang terdapat pada sepohon bunga emas dan bunga perak merupakan lambang penghormatan dan penghargaan yang tinggi daripada pemberi hadiah kepada penerima hadiah. Keekslusifan hadiah tersebut menyebabkan penerima hadiah rela menerima apa juga bentuk hubungan yang diinginkan oleh pemberi hadiah. Sehubungan dengan itu, dalam naskhah Hikayat Merong Mahawangsa, pengarangnya menceritakan tentang peristiwa bermulanya pemberian hadiah bunga emas dan perak oleh kerajaan Kedah. Idea pemberian sepohon bunga emas dan bunga perak sebagai hadiah diplomatik tercetus apabila Raja Seri Mahawangsa, iaitu raja Kedah memperolehi pelbagai bingkisan yang indah serta mendapat warkah pemberitahuan daripada raja Siam yang mengatakan baginda telah mendapat seorang putera yang kini berumur tujuh tahun. Raja Siam merupakan kekanda sulung kepada Raja Seri Mahawangsa (hasil perkahwinan Raja Merong Mahapudisat dengan anak raja perempuan [tidak dinyatakan namanya] ; Siti Hawa Salleh, 1998:34). Oleh itu, Raja Seri Mahawangsa mengambil keputusan untuk membalas bingkisan tersebut dengan hadiah yang bernilai dan bermutu tinggi untuk menggembirakan kekanda sulungnya itu di samping dapat mengakrabkan lagi jalinan kekeluargaan antara dua buah kerajaan. Lalu baginda pun memerintahkan menterinya untuk membuat persediaan bagi merealisasikan idea baginda itu. Perkara ini jelas tergambar menerusi petikan di bawah:

Maka Raja Seri Mahawangsa pun terlalulah kesukaan di dalam hatinya oleh melihat segala bingkisan itu dengan berbagai-bagai jenis perbuatan segala permainan kanak-kanak dan orang tua dan banyak pula hartanya itu. Maka ia pun berfikir di dalam hatinya itu, ‘Apa juga yang baik aku hendak membalaskan akan anak saudaraku itu,’ dengan tilik nazarnya dan fikirnya yang putus di dalam hatinya, ‘biarlah jangan lagi tersebut nama kejahatan pada seisi alam dunia ini, supaya jangan jadi berputusan daripada umur aku ini boleh sampai pada anak cucu hingga sampai pada kemudian harinya, datang pada akhir zaman jangan tersebut nama kejahatan pada segala raja-raja dan pada khalayak sekalian... Maka titah Raja Seri Mahawangsa pada menteri keempat , “Hendaklah tuan hamba suruh berhimpun segala tukang emas dan perak, beta hendak suruh kerjakan emas dan perak kepada tukang ini.” Dan tukang kayu pun disuruh berhimpun dengan tukang besi sekaliannya (Siti Hawa Salleh, 1998: 42-43).

Pengorbanan Raja Seri Mahawangsa dan rakyat baginda dalam menyiapkan sepohon bunga emas dan bunga perak tersebut berbaloi apabila raja Siam menunjukkan reaksi positif

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 10: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

10

terhadap pemberian hadiah yang bernilai tinggi itu. Raja Siam sangat gembira dan memohon agar Raja Seri Mahawangsa menghantar ‘hadiah sedemikian rupa’ apabila baginda mendapat zuriat lagi. Kegembiraan raja Siam itu jelas tergambar menerusi petikan di bawah:

Tiada berapa lamanya setelah lengkap segala kelengkapan dan bingkisan serta beberapa pakaian yang akan dibalasnya kepada saudaranya negeri Kedah itu, setelah diperbuat surat lalu diserahkan kepada utusan itu serta berpesan kepada saudaranya, “Barangkali kita beroleh putera, maka hendaklah saudara kita perbuat beri seperti bunga emas dan perak ini, antarkan mari kepada kita kerana pekerjaan itu terlalu amat kesukaan bermain akan dia” (Siti Hawa Salleh, 1998: 44).

Setelah raja Siam menerima hadiah bunga emas dan bunga perak daripada Raja Seri Mahawangsa, baginda telah membuka sempadan politik kerajaannya kepada kerajaan Kedah. Raja Siam turut berjanji akan membantu kerajaan Kedah dalam semua aspek. Baginda tidak akan membiarkan Kedah menghadapi pelbagai musibah atau masalah secara bersendirian. Justeru, keadaan ini telah mewujudkan situasi ‘kesepakatan bersama’ antara kedua buah kerajaan. Janji yang diberikan oleh raja Siam tersebut bukanlah berdasarkan kejadian masa kini (pada waktu itu) namun ia lebih berfokus kepada peristiwa yang berlaku pada masa akan datang. Hal ini terbukti, apabila berlakunya peristiwa percubaan merebut kuasa oleh Raja Kelana Hitam semasa kerajaan Kedah tidak mempunyai raja buat sementara waktu. Kelana Hitam merupakan raja di Pulau Air Tawar (Siti Hawa Salleh, 1998:67). Oleh itu, baginda ingin mengambil kesempatan untuk menakluki Kedah semasa proses pencarian waris raja kedah sedang berjalan. Niat Raja Kelana tersebut telah sampai kepengetahuan menteri raja Siam yang bernama Kelahum. Kelahum merupakan wakil raja Siam dalam membantu kerajaan Kedah mencari waris kerajaan (Siti Hawa Salleh, 1998: 68-69). Oleh itu, Kelahum merasakan sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk menghalang niat Raja Kelana Hitam itu memandangkan Kedah pada masa itu tidak mempunyai pemerintah. Tanpa pemerintah, sudah pasti benteng pertahanan Kedah longgar dan hal ini akan menyebabkan keselamatan kerajaan Kedah terancam. Menurut Omardin Ashaari ( 2008:347 ) dengan adanya pemimpin kerajaan, akan menyebabkan benteng pertahanan menjadi kuat dan ia akan dapat menentukan wujudnya keamanan dalam sesebuah negara itu.

Keengganan pihak Raja Kelana Hitam untuk berundur diri telah menyebabkan berlakunya peperangan dengan tentera pimpinan Kelahum. Akhirnya, peperangan tersebut telah berpihak kepada tentera menteri Kelahum dan beliau juga telah berjaya menawan Raja Kelana Hitam. Dalam hal ini, jelas kelihatan kesungguhan pihak Siam dalam membantu menyelamatkan Kedah daripada dicerobohi oleh pihak asing. Peristiwa ini ada kaitannya dengan pemberian hadiah diplomatik, iaitu sepohon bunga emas dan bunga perak oleh Raja Seri Mahawangsa kepada raja Siam dan janji raja Siam yang akan membantu Kedah untuk menghadapi musibah atau masalah. Walaupun janji tersebut berlaku pada zaman pemerintahan Raja Seri Mahawangsa, Siam tetap berpegang kepada janjinya dan telah mengotakan janjinya pada zaman pemerintahan Raja Phra Ong Mahaputisat, iaitu cucu kepada Raja Seri Mahawangsa. Keterikatan hubungan diplomatik sosial itu telah membantu Kedah mengembangkan hubungan diplomatiknya dengan Siam dari sudut politik khususnya dari aspek pertahanan dan keselamatan kerajaan. Berdasarkan penelitian yang dilakukan, menunjukkan Raja Seri

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 11: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

11

Mahawangsa seorang pemikir yang hebat dan berstrategi dalam menentukan hala tuju hubungan diplomatik kerajaannya. Hal ini jelas tergambar apabila baginda berfikir untuk menghadiahkan sepohon bunga emas dan bunga perak yang tidak pernah dibuat oleh raja lain. Menurut Mohd Jamil Mukmin (2011:83) sejarah penghantaran bunga emas telah dimulakan oleh Kedah kepada Siam sejak abad ke-14. Selain itu juga, pengorbanan baginda dari aspek masa dan tenaga serta mengabaikan perkara lain semata-mata untuk kepentingan kerajaan baginda pada masa akan datang terbalas setelah kemangkatan baginda, iaitu apabila Siam bersedia membantu Kedah mempertahankan kedaulatan waris baginda daripada diganggu gugat oleh pihak lain. Buktinya Siam memerangi pihak Raja Kelana Hitam seperti yang dibincangkan sebelum ini. Pemberian hadiah berupa sepohon bunga emas dan bunga Perak yang diilhamkan oleh Raja Seri Mahawangsa dalam mengukuhkan hubungan diplomatik kerajaannya telah membuka suatu wajah baru dalam hubungannya dengan Siam. Hasilnya, kerajaan Kedah dan Siam terus berhubungan dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Perkara ini terbukti menerusi petikan di bawah:

Hatta, tiadalah berputusan raja Benua Siam menghantarkan surat utusan ke negeri Kedah, tiadalah lagi berselang tahun tanda berkasih, pergi datang pada tiap-tiap tahunnya (Siti Hawa Salleh, 1998: 79).

Kesimpulan Ilmu diplomatik Melayu merupakan antara gambaran kemajuan keintelektualan kerajaan Melayu dalam mengaplikasikan pelbagai cara untuk berhubung atau berkomunikasi dengan kerajaan luar yang diterjemahkan ke dalam bentuk naskhah. Penggunaan mekanisme diplomatik yang dibincangkan merupakan antara perangsang kepada pembentukan ilmu ini yang bertujuan untuk mewujudkan hubungan damai dengan kerajaan atau keamanan, mendapatkan sokongan bersama, kerjasama selain membentuk rasa tasamuh (toleransi), menghormati dan memenuhi iltizam bersama-sama. Mekanisme yang tercipta seperti utusan, warkah dan bingkisan hadiah merupakan aset penting kepada sebuah kerajaan dalam menjayakan sebuah hubungan. Dengan adanya mekanisme ini, akan dapat menonjolkan kebitaraan orang Melayu melalui cara pengaplikasiannya dalam menarik perhatian kerajaan luar. Cara pengaplikasian mekanisme ini perlulah bersistem dan terancang agar matlamat untuk menjalinkan hubungan diplomatik tercapai dan berjalan lancar tanpa mewujudkan implikasi negatif.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 12: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

12

Bibliografi

Ab. Razak Ab. Karim. (2006). Warkah Melayu Lama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Samad Ahmad (Penyl.). (2010). Sulalatus Salatin: Sejarah Melayu (Edisi Kesepuluh).

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Adib Imran. (1999, September). Warkah Lama Pengungkap Peradaban Bangsa. Dewan

Budaya, 24-25. Amat Juhari Moain. (1989). Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu: Suatu Analisis

Sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Asmah Omar. (1982). Nahu Melayu Mutakhir (Edisi Kedua.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka. Awang Sariyan. (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Buyong Adil. (1974). Sejarah Terengganu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan

Kementerian Pelajaran Malaysia. Che’ Mustaffa Tam & Tuanku Nong Jewa. (1960). The Last Kedah Bunga Emas. Malaysian

in History, 6, 41-53. Fadhulullah bin Jamil. (1984). Perhubungan antara Kerajaan Aceh dengan Semenanjung

Tanah Melayu. Satu tinjauan sejarah di sekitar abad ke-16 hingga abad ke-17 Masihi. Nusantara, 12, 37-58.

Gallop, Annabel.T. (1994). Warisan Warkah Melayu. London: The British Library. Ismail Bakti. (1960). Bunga Emas Golden Flower, Gift or Tribute. Malaysian in History, 6,

40-53. Jelani Harun. (2003). Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka. Jelani Harun. (2009) Bustan al-Salatin: A Malay Mirror for Rulers. Pulau Pinang: Penerbit

Universiti Sains Malaysia. Kassim Ahmad (Penyl.). (1997). Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka dan Yayasan Karyawan. Koentjoro. (1989). Konsep Pengenalan Diri dalam AMT. Yogyakarta: Fakulti Psikologi

UGM. Mohd Jamil Mukmin. (2011). Sejarah Hubungan Diplomasi Kerajaan Melayu: Satu Tinjauan.

Jurnal IKSEP, 2, 71-90.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Page 13: PEMBENTUKAN ILMU DIPLOMATIK MELAYU DALAM ......hubungan baru dengan kerajaan lain daripada aspek politik, ekonomi, budaya, dan sosial. Selain itu juga, ilmu ini terbentuk bertujuan

13

Mokhtar Muhammad. (2005). Perhubungan Antarabangsa: Konsep dan Konteks. Kuala Lumpur: Anzagain Sdn. Bhd.

Omardin Ashaari. (2008). Sistem Politik dalam Islam. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah

Islamiah Malaysia. Siti Hawa Salleh (Penyl.). (1998). Hikayat Merong Mahawangsa. Kuala Lumpur: Yayasan

Karyawan dan Penerbit Universiti Malaya. Siti Hawa Salleh. (2009). Hikayat Merong Mahawangsa dan Al-Tarikh Salasilah Negeri

Kedah: Paparan Ketuanan dan Kekuasaan Melayu Zaman Silam. Kertas kerja dalam Seminar Kebangsaan Kekuasaan Dalam Sastera Melayu Nusantara. Dewan Kulian A, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 25 - 26 Julai.

Siti Mariani S.M Omar. (2001). Warkah Raja-Raja Melayu di Pusat Manuskrip Melayu.

Kertas Kerja dalam Bengkel Kajian Naskhah Kesultanan Melayu. Hotel Quality, Kuala Lumpur. 2-5 Julai.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia