lmbaran kerja ciri-ciri haiwan
DESCRIPTION
sains tahun 3TRANSCRIPT
Lembaran kerja
Alat pentaksiran kedua yang dipilih adalah lembaran kerja. Lembaran kerja adalah salah
satu aset penting di mana salah satu fungsinya adalah untuk mengukur keupayaan murid,
menguasai dan memahami kemahiran satu-satu mata pelajaran yang diajar.
Tujuan penggunaan lembaran kerja sebagai alat pentaksiran ialah untuk mengesan
perkembangan murid secara menyeluruh serta mengesan keberkesanan pengajaran guru di
dalam kelas. Berpandukan lembaran kerja yang dijawab oleh murid, guru dapat mengetahui
samaada murid dapat memahami dan menguasai topik yang telah diajar ataupun tidak.
Kemudian, guru perlu menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta seperti
memperbaiki pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan kaedah, strategi dan teknik
lain yang lebih menarik dan sesuai mengikut perkembangan dan pertumbuhan murid. Selain itu,
guru juga boleh mengulangi semula pengajaran topik tersebut agar murid dapat memahaminya
dengan lebih berkesan.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, murid memerlukan
lembaran kerja sebagai pandu-arah mereka selain dapat mengukuhkan pemahaman mereka
terhadap tajuk atau topik yang diajar guru pada hari berkenaan.
Kebiasaannya, lembaran kerja menjadi pilihan utama guru untuk digunakan di dalam
kelas. Hal ini kerana lembaran kerja yang disediakan bersifat menarik dari segi ilustrasi yang
ada, bentuk dan saiz tulisan yang mudah difahami dan boleh dibaca. Lembaran kerja yang
dibuat sendiri oleh guru adalah sebagai daya penarik untuk murid menikmati pelajaran pada
hari berkenaan. Jika pembelajaran tanpa sebarang bahan bantu mengajar seperti lembaran
kerja dan sekadar teori semata-mata akan membosankan murid dan menyebabkan murid
tertidur, tersengguk-sengguk atau berkata bosan semasa guru mengajar.
Terdapat beberapa ciri untuk membuat lembaran kerja iaitu mempunyai arahan yang
ringkas, jelas dan mudah difahami yang bertujuan agar murid lebih faham akan apa yang perlu
dilakukan mereka. Hal ini kerana kadang-kadang murid-murid tidak mendengar dan memberi
sepenuh perhatian semasa guru membaca arahan kepada murid kerana mereka terlalu seronok
dan teruja untuk menjawab latihan dalam lembaran kerja tersebut. Dengan adanya arahan
tersebut, murid dapat membacanya kemudian tanpa perlu bertanya kepada guru.
Ciri lain pada lembaran kerja ialah perlu mempunyai gambar yang jelas dan terang.
Sebaik-baiknya gambar tersebut perlu berwarna agar dapat menarik minat murid. Sebaliknya
jika tidak berwarna, gambar tersebut haruslah dapat menggambarkan sesuatu objek seperti
yang dilihat oleh murid di alam nyata. Jenis tulisan yang dicadangkan untuk membuat lembaran
kerja adalah ‘century gothic’ dan saiz tulisan pula adalah bersaiz 14. Ciri ini adalah amat
penting kerana murid adalah sukar untuk membaca jenis tulisan yang berangkai serta
bersambung terutamanya dan saiz tulisan yang besar memudahkan mereka membaca dengan
lebih jelas dan nyata. Lembaran kerja juga perlu mempunyai contoh sebagai rujukan murid. Hal
ini perlu kerana dengan adanya contoh, murid akan mendapat petunjuk ataupun arah
bagaimana untuk menjawab latihan dalam lembaran kerja tersebut.
Ciri seterusnya ialah setiap satu lembaran kerja perlu mempunyai satu kemahiran
sahaja. Ia tidak digalakkan mencampur-adukkan pelbagai kemahiran dalam satu lembaran
kerja. Ia bertujuan agar murid dapat menguasai satu-satu kemahiran sahaja dan tidak
mengelirukan mereka. Sebaiknya, lembaran kerja yang diedarkan mestilah disiapkan oleh
murid pada hari berkenaan juga. Hal ini bagi mengelakkan murid daripada membawa balik
lembaran kerja ke rumah kerana dikhuatiri bukan murid yang akan menyiapkan latihan
berkenaan tetapi ibu bapa mahupun abang dan kakak mereka yang menyiapkannya. Disamping
sekiranya lembaran kerja dibawa balik oleh murid ke rumah, risiko untuk hilang dan tidak siap
adalah tinggi.
Pentaksiran ini sebagai pentaksiran formatif iaitu dijalankan selepas pembelajaran
sesuatu topik sepanjang tahun. Ia membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid
menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada
bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid. Pentaksiran ini adalah
berfokus kepada untuk meningkatkan pembelajaran murid. Ia dapat membaiki kelemahan murid
dengan serta merta dengan mengulangi topik (pemulihan) dan pengukuhan (pengayaan).
Pentaksiran Sekolah adalah komponen utama dalam proses pengajaran dan
pembelajaran kerana ia berperanan mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan
pengajaran guru serta mampu memberi maklumat yang sah tentang apa yang telah
dilaksanakan atau dicapai dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran
ini dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula daripada aspek
perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan atau
penskoran, perekodan dan pelaporannya. Justeru, pentaksiran ini amat penting untuk
menentukan keberkesanan guru dan pihak sekolah dalam usaha menghasilkan insan yang
harmoni dan seimbang. Selain daripada itu, ianya merupakan aktiviti yang berterusan yang
menagih komitmen yang tinggi serta hala tuju yang jelas daripada guru dan pihak sekolah
untuk memperkembangkan potensi setiap murid ke tahap maksimum.
Aplikasi alat pentaksiran dalam P&P
Bentuk pentaksiran ini bertujuan mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
dalam mencapai hasil pembelajaran yang diharapkan. Merujuk kepada Dokumen Standard
Dunia Sains dan Teknologi Tahun 3, alat pentaksiran yang digunakan haruslah menguji sejauh
mana murid menguasai standard kandungan yang telah ditetapkan dibawah standard
kandungan 3.1 iaitu memahami ciri haiwan. Standard pembelajaran yang diuji melalui alat
pentaksiran ini adalah seperti berikut:
3.1.2 Mengelaskan haiwan berdasarkan ciri pengelasan yang dipilih.
3.1.3 Mengenal pasti ciri-ciri yang terdapat pada satu haiwan yang dipilih.
Pentaksiran ini lebih berfokus untuk mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
terhadap penguasaan isi pelajaran. Dalam pentaksiran ini, murid akan menggunakan
kemahiran saintifik yang terdiri daripada kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif
untuk mengelas dan mengenalpasti ciri-ciri haiwan yang terdapat dalam gambar pada lembaran
kerja tersebut. Murid juga akan menggunakan kemahiran berfikir mereka untuk menyenaraikan
ciri-ciri yang sesuai untuk haiwan tersebut. Mereka perlu membanding beza berdasarkan
kriteria tertentu seperti ciri, kualiti atau sifat sepunya. Melalui pentaksiran ini, murid juga boleh
membuat hubungkait tentang ciri-ciri haiwan dan cara pergerakan haiwan tersebut. Contohnya
murid menghubungkaitkan ciri pada burung iaitu mempunyai kepak yang menunjukkan burung
terbang untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Pentaksiran ini dapat mendedahkan murid kepada Awal Sains yang menyediakan
peluang kepada murid untuk meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria. Dalam
proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif seperti sifat ingin tahu, sistematik dan teliti
akan terbentuk. Semasa proses penerokaan ini, kemahiran asas proses sains seperti
kemahiran memerhati, membanding dan mengelas juga akan dikembangkan. Penerokaan
dijalankan ke atas alam hidupan iaitu haiwan.
Melalui pentaksiran dalam bentuk lembaran kerja, guru boleh menilai kemahiran saintifik
seperti kemahiran mengelas dan mencirikan yang terdapat pada murid tersebut. Kemahiran
mengelas bermaksud mengasing dan mengumpulkan objek atau fenomena kepada kumpulan
masing-masing berdasarkan kriteria tertentu seperti ciri, kualiti atau sifat sepunya. Kemahiran
mencirikan pula bermaksud mengenalpasti kriteria seperti ciri, sifat, kualiti dan unsur sesuatu
konsep atau objek. Melalui lembaran kerja, murid dapat mengembangkan kemahiran-kemahiran
saintifik mereka serta dapat mengukuhkan pemahaman mereka terhadap sesuatu kemahiran
tersebut.
Bagi melaksanakannya di dalam kelas, guru perlu mengedarkan lembaran kerja kepada
murid. Guru akan membaca serta menerangkan arahan berkaitan lembaran kerja tersebut iaitu
apa ynag perlu dilakukan oleh murid. Sebelum murid melengkapkan lembaran kerja, guru akan
bertanya sekira terdapat murid yang kurang faham dan jelas tentang lembaran kerja itu.
Kemudian, murid akan mula melengkapkan lembaran kerja secara individu. Seperti aktiviti
lukisan dan gambar rajah berlabel, lembaran kerja juga adalah bersifat fleksibel kerana guru
boleh menjalankan aktiviti lembaran kerja di mana-mana samaada di dalam kelas atau di dalam
makmal sains.
Cara menggunakan dapatan pentaksiran
Pentaksiran untuk pembelajaran merujuk kepada semua aktiviti dan tugasan yang
diberikan kepada murid untuk membolehkan guru menilai perkembangan dan masalah
pembelajaran murid seperti lembaran kerja. Oleh itu, maklumat yang diperoleh daripada
lembaran kerja tersebut berupaya memantau dan membantu proses pembelajaran. Maklumat
tersebut diguna sebagai maklum balas dalam mengubahsuai aktiviti pengajaran dan
pembelajaran bagi memenuhi keperluan semua murid. Keperluan setiap murid berbeza antara
satu sama lain.
Pentaksiran lembaran kerja adalah bukan semata-mata merekod skor tetapi dengan
memberi tumpuan terhadap analisis, perkembangan pembelajaran murid dan maklumbalas, .
Oleh itu, pelaporan bertulis tidak perlu dibuat secara berkala sebaliknya, guru mestilah mampu
memberinya secara bertulis atau verbal apabila dikehendaki pada bila-bila masa oleh mana-
mana pihak berkepentingan seperti ibu bapa, guru besar atau nazir.
Cara lembaran kerja ditafsir adalah dengan menganalisis kandungan lembaran kerja
yang telah dilengkapkan oleh murid tersebut. Hasil lembaran kerja menunjukkan bukti yang
kukuh tentang tahap pemahaman dan penguasaan pelajar terhadap isi pelajaran pada hari
tersebut. Lembaran kerja murid dianalisis dari segi kandungnya iaitu cara murid mengelas serta
mencirikan haiwan tersebut. Misalnya, adakah murid berjaya mengelaskan haiwan tersebut
berdasarkan ciri luaran atau ciri dalaman. Tambahan pula, pentaksiran lembaran kerja dapat
membantu guru menganalisis kesalahan-kesalahan yang biasa dilakuakn oleh murid yang
terdapat dalam lembaran kerja.
Pentaksiran lembaran kerja boleh menjadi alat yang sangat berkesan untuk membantu
semua murid sekiranya maklumbalas disampaikan kepada murid dengan cara yang betul.
Maklumbalas tidak sepatutnya mengandungi pernyataan perbandingan antara murid tentang
kebolehan, kedudukan atau persaingan. Maklumbalas perlu mengandungi tiga elemen berikut
iaitu kedudukan murid dalam pembelajaran merujuk kepada standard prestasi yang ditetapkan,
tahap pembelajaran yang diharapkan, dan maklumat untuk merapatkan jurang antara
kedudukan sedia ada dan tahap pembelajaran yang diharapkan.
Satu aspek penting dalam memastikan keberkesanan pentaksiran untuk membantu
pengajaran dan pembelajaran ialah penggunaan maklumat pentaksiran oleh guru untuk
memberi respon atau maklum balas yang sesuai dan berguna kepada murid. Maklum balas
guru yang merujuk kepada pernyataan standard dan kriteria yang jelas boleh disampaikan
dalam bentuk pujian, teguran dan nasihat. Selain pengakuan guru sama ada hasil kerja murid
itu boleh dikatakan baik, perlu dibaiki, ada kemajuan atau sebagainya, murid perlu diberitahu
kenapa kerja atau prestasi mereka dinilai sedemikian. Murid juga perlu diberitahu apakah
langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk menambah baik prestasi mereka.
Maklum balas yang berkesan ialah apabila guru memberi maklum balas yang tepat
tentang kekuatan, kesilapan, apa yang perlu diperbaiki, bagaimana untuk memperbaiki dan
bagaimana untuk membuat lebih baik. Maklum balas yang diberikan dalam bentuk maklumat
yang memberi makna (bukan dalam bentuk gred semata-mata) boleh membantu murid lebih
memahami tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi
motivasi kepada murid untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa akan
datang. Maklum balas yang segera, konstruktif dan tidak menggerunkan juga membuat mereka
lebih teruja untuk dinilai semula untuk mengetahui perkembangan mereka seterusnya.
Kemudian setelah lembaran kerja ditafsir, ia perlu direkodkan dengan membuat laporan
yang perlu dihantar ke pihak atasan. Perekodan dan pelaporan memerlukan data yang telah
dikumpul semasa pentaksiran supaya ia boleh dianalisa secara logik dan dilaporkan dalam
bentuk yang mudah difahami dan tepat. Pelaporan prestasi dan pencapaian memberi gambaran
tentang apa yang murid telah capai. Ia juga menunjukkan kedudukan murid dalam lengkung
pembelajaran dan jenis intervensi yang diperlukan, sebagai contoh maklumat ini (merujuk
kepada prestasi) boleh digunakan untuk merancang program intervensi dan memaklumkan
strategi intervensi.
Panduan penskoran perlu disediakan oleh guru semasa pentaksiran agar semua murid
dinilai secara adil semasa melakukan aktiviti tersebut. Aspek-aspek yang dinilai dalam
lembaran kerja itu adalah murid dapat mengelaskan ciri haiwan berdasarkan pemerhatian
mereka terhadap gambar haiwan tersebut. Murid akan diberi markah berdasarkan jumlah ciri
yang betul bagi setiap haiwan tersebut.
Lembaran kerja
Nama : ________________________________________ Kelas : _____________
Arahan : Senaraikan ciri-ciri luaran yang terdapat pada haiwan di bawah.