laporan big semester 6

26
1 BINA INSAN GURU SIRI 6 WAJ 3115 1. PENGENALAN PROGRAM 1.1. PENGENALAN Program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang dirangka khas bagi memenuhi keperluan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) bagi memenuhi syarat mendapat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Program ini diletakkan di bawah komponen Asas Dinamika Guru (ADG) bagi kumpulan PISMP Pendidikan Khas/ Bahasa Melayu Semester 6, melalui penyertaan dan penglibatan guru-guru pelatih, matlamat program dalam menerapkan nilai-nilai hidup bermoral dan beragama sebagai fokus utama dalam proses pembinaan insan guru dapat dipenuhi. Segala pengisian program tersebut juga selaras dengan asas pembinaan insan guru yang berpaksikan kepada pegangan Prinsip Rukun Negara sekaligus menjadi asas pembentukan masyarakat dan menjadi kerangka kepada pembentukan negara bangsa. Proses pembinaan insan guru terbina berlandaskan kepada aspek kesedaran bahawa profesion perguruan adalah mulia. Insan guru dilihat sebagai golongan yang dapat membina generasi yang cemerlang di samping menjadi role model kepada masyarakat. Justeru itu, guru memerlukan kekuatan dan kemantapan dalam diri mereka dari semua aspek sama ada jasmani, emosi, rohani atau intelek. Sebagai insan yang bergelar guru juga adalah suatu kewajipan untuk menampilkan peribadi dan jati diri yang baik di samping meningkatkan kualiti dan keterampilan diri. Oleh itu, pengisian-pengisian positif, penerapan nilai-nilai murni dan pengalamannya juga perlu dalam diri guru agar ia menjadi contoh dan ikutan kepada anak didik khususnya dan masyarakat amnya dalam mengharungi cabaran di era globalisasi.

Upload: lin-fiqa

Post on 18-Dec-2014

550 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

LAPORAN

TRANSCRIPT

BINA INSAN GURU SIRI 6 WAJ 311525

1. PENGENALAN PROGRAM

1.1. PENGENALANProgram Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu program yang dirangka khas bagi memenuhi keperluan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) bagi memenuhi syarat mendapat Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Program ini diletakkan di bawah komponen Asas Dinamika Guru (ADG) bagi kumpulan PISMP Pendidikan Khas/ Bahasa Melayu Semester 6, melalui penyertaan dan penglibatan guru-guru pelatih, matlamat program dalam menerapkan nilai-nilai hidup bermoral dan beragama sebagai fokus utama dalam proses pembinaan insan guru dapat dipenuhi. Segala pengisian program tersebut juga selaras dengan asas pembinaan insan guru yang berpaksikan kepada pegangan Prinsip Rukun Negara sekaligus menjadi asas pembentukan masyarakat dan menjadi kerangka kepada pembentukan negara bangsa.Proses pembinaan insan guru terbina berlandaskan kepada aspek kesedaran bahawa profesion perguruan adalah mulia. Insan guru dilihat sebagai golongan yang dapat membina generasi yang cemerlang di samping menjadi role model kepada masyarakat. Justeru itu, guru memerlukan kekuatan dan kemantapan dalam diri mereka dari semua aspek sama ada jasmani, emosi, rohani atau intelek. Sebagai insan yang bergelar guru juga adalah suatu kewajipan untuk menampilkan peribadi dan jati diri yang baik di samping meningkatkan kualiti dan keterampilan diri. Oleh itu, pengisian-pengisian positif, penerapan nilai-nilai murni dan pengalamannya juga perlu dalam diri guru agar ia menjadi contoh dan ikutan kepada anak didik khususnya dan masyarakat amnya dalam mengharungi cabaran di era globalisasi.

2. MATLAMAT PROGRAM PENANDA ARAS GURU CEMERLANGMatlamat Program Bina Insan Guru (BIG) Fasa VI/ 2012 ini ialah bagi memupuk kesedaran tentang perkembangan kemahiran latihan dan penandarasan. Program ini bertujuan bagi mendedahkan pelajar kepada guru dan lawatan benchmarking, ciri-ciri kepimpinan, pengurusan sekolah, iklim sekolah, infrastruktur sekolah serta infrastruktur kurikulum di sekolah. Pelajar diharap dapat membina pemikiran dan motivasi kendiri terhadap kerjaya keguruan serta menghayati konsep kerja sebagai satu ibadat dalam hidup berbakti.3. OBJEKTIF PROGRAM PENANDA ARAS GURU CEMERLANG

Setelah tamat program ini, peserta diharapkan akan dapat mencapat objektif berikut :3.1. Membina kemahiran berfikir aras tinggi dalam menganalisis masalahdan situasi untuk membuat keputusan yang jitu dan menyelesaikan masalah serta berupaya berfikir secara reflektif untuk melaksanakan penambahbaikan secara berterusan.

3.2. Menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan perkhidmatan kepada komuniti.

3.3. Bertindak balas secara positif kepada keadaan dan keperluan persekitaran yang berbeza dan mengembangkan kemahiran berkomunikasi dalam kepelbagaian budaya.

3.4. Menghayati dan menampilkan ciri-ciri kerohanian, nilai, etika dan akhlak keguruan.

3.5. Merancang, melaksanan, memimpin program, bekerjasama dan mengambil peranan secara aktif dalam kumpulan.

3.6. Mempamerkan daya ketahanan dan kekuatan fizikal, mental, emosi, rohani dan sosial.

4. MATLAMAT BENGKEL GURU INOVATIFProgram ini diharap dapat membantu guru-guru pelatih memahami bentuk-bentuk pengurusan cemerlang. Selain itu, program ini juga dapat membantu guru-guru pelatih memahami dan menghayati kerja cemerlang dan dapat diaplikasikan dalam pengurusan pendidikan seharian.

5. OBJEKTIF BENGKEL GURU INOVATIF

Selepas mengikuti Program Bina Insan Guru, para guru pelatih PISMP diharapkan dapat :

5.1. Mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

5.2. Memiliki semangat berpasukan, semangat juang yang tinggi serta memiliki ketahanan fizikal dan mental yang teguh.

5.3. Menyesuaikan diri dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang pendidik.

5.4. Memperkembangkan potensi diri sebagai pendidik dengan mengamalkan refleksi dan penilaian kendiri dalam semua aspek kehidupan.

6. LAPORAN REFLEKTIF

LAPORAN PROGRAM PENANDA ARAS GURU CEMERLANGSEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI KOROK LAMA, ALOR SETAR, KEDAH.

SEBELUMSebelum program tersebut dilaksanakan, terlebih dahulu kami berkumpul tiga kumpulan yang dinaungi oleh Muhamad Asyraf Bin Muhamad Ludin bagi mengadakan beberapa mesyuarat membincangkan masalah-masalah yang dihadapi serta memikirkan jalan penyelesaian bagi setiap masalah tersebut. Ahli jawatankuasa ditubuhkan yang mana melibatkan ketiga-tiga kumpulan Pendidikan Khas PISMP Ambilan Januari 2010 ini.

SEMASA

Pada 14 Oktober 2012 yang lalu iaitu bersamaan dengan hari Ahad, seramai 61 orang pelatih guru daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman telah menjalankan Lawatan Penanda Aras bagi Guru Cemerlang di Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama, Persiaran Sultan Abdul Hamid, 05050 Alor Setar, Kedah Darul Aman. Kami bertolak pada jam 7.30 pagi dan tiba di SK Sungai Korok Lama pada jam 8.00 pagi. Kami disambut mesra oleh beberapa orang guru Pendidikan Khas. Mereka begitu ramah dan juga bersopan santun. Kami berasa sungguh bertuah kerana mereka sudi menerima kunjungan besar daripada kami tiga kumpulan ini. Terdapat dua orang guru perempuan, dua orang guru lelaki dan juga Pengerusi PKG Telok Kechai, Alor Setar, Kedah. Kemudian, kami kedatangan kami dilau-alukan oleh Puan Norzaini selaku pengerusi majlis bagi program inimalah kami dipersembahkan pula dengan persembahan nyanyian nasyid oleh anak-anak khas yang disayangi iaitu lagu yang berjudul Umiku Sayang. Kami berasa sangat teruja kerana apabila kami menghayati lagu yang dipersembahkan tersebut, kami dapati liriknya begitu bermakna dan kanak-kanak khas ini mempunyai bakat dalam nyanyian. Sebutan dan intonasi nyanyian mereka sungguh baik dan tidak menunjukkan sedikit pun bahawa mereka itu mempunyai kekurangan. Seramai 6 murid khas yang membuat persembahan nyanyian bagi menyambut kedatangan kami ke sekolah tersebut. Kemudian, kami disajikan dengan beberapa sedutan aktiviti Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama sepanjang tahun 2012. Sungguh mengagumkan bahawa kanak-kanak khas ini telah pun menyeberangi ke Kepulauan Borneo iaitu Negeri di Bawah Bayu, Negeri Sabah. Para waris juga dijemput untuk memeriahkan lagi lawatan selama enam hari di sana. Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2012. Jangan sangkakan kanak-kanak khas tidak boleh menjaga diri, malah mereka lebih bijak mengatur langkah keselamatan kerana sikap mereka yang begitu takut dan risau akan persekitaran baharu yang mereka belum fasih lagi. Antara aktiviti yang mereka telah jalankan ialah berkebun, terapi boling, terapi berkuda, terapi renang, perkhemahan pengakap, projek kemahiran memasak, Program Mutiara Kasih, Program Permata Hati serta rekreasi sosial di Cameron Highlands.

Setelah selesai sedutan slaid persembahan yang dipersembahkan sebentar tadi, Puan Norzaini menjemput Encik Mohamad Kasran selaku guru Kanan Pendidikan Khas sekolah tersebut untuk memberikan ucapan aluan. Encik Mohamad Kasran atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Mad telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada kami kerana sudi memilih sekolah mereka sebagai tempat kami menjalankan program BIG pada semester ini. Selain itu, beliau juga berasa terkejut kerana pada awalnya beliau hanya dimaklumkan hanya satu kelas sahaja yang akan datang tetapi pada beberapa hari sebelum program tersebut dijalankan, beliua dimaklumkan oleh pengerusi program bahawa terdapat tiga kelas yang akan datang pada hari Ahad tersebut. Walau bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa perkara tersebut tidak menjadi masalah bagi mereka kerana setiap masalah pasti mempunyai jalan penyelesaian masing-masing.

Seterusnya ucapan daripada pengerusi program BIG pada kali ini iaitu Muhamad Asyraf Bin Ludin telah merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sanggup menerima kedatangan kami yang ramai ini. Beliau mengatakan bahawa kami ketahui sedikit sebanyak tentang selok belok sekolah tersebut kerana setiausaha program BIG ini yang telah memperkenalkan sekolah ini kepada kami. Sepanjang pemerhatian kami di sekolah ini, kami dapati sekolah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Hal ini memandangkan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Telok Kechai berada di dalam kawasan sekolah tersebut. Malah, sekolah ini juga telah beberapa kali telah melakarkan sejarah yang mengharumkan nama sekolah dan warga sekolah itu sendiri. Memang tidak di sangkal lagi bahawa dengan adanya kerjasama daripada pihak pentadbiran sekolah dengan guru-guru sekolah mampu melahirkan anak-anak didik yang berjaya dalam waktu yang terdekat atau pada masa hadapan. Terdapat banyak keluarga yang menaruh harapan tinggi terhadap guru-guru di sekolah ini dengan harapan anak-anak mereka dapat menimba ilmu sebanyak mungkin dan mampu menjadi insan yang berguna kepada negara suatu hari nanti.

Setelah selesai Muhamad Asyraf memberikan ucapan, Puan Norzaini menjemput Encik Noor Azhar Bin Ahmad iaitu guru cemerlang Pendidikan Khas atau lebih khusus dalam bidang kokurikulum Pendidikan Khas bagi menyampaikan slot ceramah bagi sesi pertama. Beliau menyediakan slot ceramah yang berkaitan dengan Amalan Pengajaran dan Pembelajaran (teknik, rutin, pendekatan dan kaedah yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran). Kecemerlangan beliau terserlah dengan penyediaan salaid perbentangan yang begitu lengkap dan sangat bermakna kepada pelatih-pelatih guru. Beliau juga menceritakan perihal kejayaan yang telah membuka ruang atau jalan kepadanya untuk menerima anugerah Guru Cemerlang. Antara kejayaan yang beliau telah lakarkan sepanjang berkhidmat di sekolah ini ialah melatih murid-murid khas dalam sukan olahraga mewakili negeri Kedah. Antara murid-murid khas yang dilatihnya ialah murid yang mengalami masalah Celebral Palsy. Hal ini kerana menurut beliau, jika benar kanak-kanak istimewa ini mempunyai bakat yang luar biasa, apa salahnya jika kita menggilap bakat tersebut hingga dapat membantu kehidupan murid itu sendiri. Bagi murid khas yang bernama Ismadi yang mewakili negeri Kedah bagi acara padang, lontar peluru mendapat insentif sebanyak RM 80,000.00 dalam masa setahun. Namun, Encik Noor Azhar berasa sedikit terkilan dengan sikap ahli Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengambil kesempatan ke atas kebolehan kanak-kanak ini. Namun begitu, sebagai rakyat Malaysia, seharusnya akur dengan tindakan pihak atasan yang lebih berkuasa daripada pihak bawahan.

Selain itu, Encik Noor Azhar juga menyatakan bahawa jika seseorang guru itu ingin memastikan bahawa anak murid mereka dapat menerima serta mengingati apa yang telah dipelajari seharusnya guru tersebut fleksibel dengan keadaan murid. Guru boleh mengubah rancangan pengajaran pada hari tersebut jika didapati murid-murid mengalami masalah di luar jangkaan. Hal ini kerana guru mengajar murid-murid khas ini supaya mereka dapat mengurus diri sebagai contoh, pihak sekolah telah mengadakan aktiviti perkhemahan yang melibatkan aktiviti murid untuk menyiang ikan, ayam serta sayur. Malahan, guru juga harus melihat latar belakang murid itu bagaimana agar guru dapat mengatur pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran yang tepat bagi setiap orang murid. Penyediaan rancangan pengajaran individu (RPI) juga memainkan peranan penting dalam memastikan perkembangan murid dari semasa ke semasa. Selain itu, hubungan antara guru juga perlu akrab dan mantap supaya dapat membina satu kumpulan yang kuat bagi mengadakan sesuatu aktiviti. Sebagai contoh, program rekreasi awam ke Sabah banyak menelan perbelanjaan namun dengan berkat usaha guru-guru mencari penaja akhirnya murid-murid khas berjaya diterbangkan ke Sabah dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman sepanjang berada di sana enam hari, lima malam. Menurut Encik Noor Azhar, pada tahun ini murid-murid khas daripada sekolah ini akan mewakili negeri Kedah ke Kuantan bagi acara renang paralimpik. Walaupun pihak media kurang memberi penekanan kepada sukan paralimpik tetapi sukan ini mampu memberi saingan hebat kepada sukan normal di Malaysia ini kerana kanak-kanak khas juga mempunyai semangat sukan yang jitu seperti kanak-kanak normal yang lain. Encik Noor Azhar juga pernah menjadi jurulatih bagi sukan Futsal pada tahun 2001 bagi kanak-kanak normal.

Setelah tamat sesi ceramah tentang Amalan Pengajaran dan Pembelajaran oleh Encik Noor Azhar, Puan Norzaini pula berkongsi sedikit pengalaman pengajarannya kepada kami. Beliau memberi rahsia untuk mengajar subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dengan cepat dan berkesan kepada murid-murid khas. Kami sangat teruja apabila mendengar pengalaman beliau dan kami membuat catatan supaya kami dapat mempraktikkan cara tersebut pada masa akan datang. Antara buku yang beliau gunakan untuk pengajaran Bahasa Melayu ialah buku Bacalah Sayang manakala bagi pengajaran Bahasa Inggeris pula ialah buku Ladybird. Kemudian, Puan Norzaini menjemput kami menikmati jamuan pagi yang telah disediakan di luar bilik mesyuarat PKG.

Setelah tamat 30 minit waktu rehat, kami masuk kembali ke dalam bilik mesyuarat PKG bagi slot yang seterusnya. Slot yang seterusnya ialah lawatan ke kelas. Kelas Pendidikan Khas ini dibahagikan kepada beberapa stesen matapelajaran memandangkan dua blok bangunan telah diperuntukkan bagi Program Pendidikan Khas Integrasi sekolah ini. Antara stesen matapaelajaran yang ada ialah stesen Bahasa Inggeris/Kemahiran Manipulatif, stesen Pendidikan Islam/Sains, stesen Bahasa Melayu/Matematik dan stesen Pengurusan Diri/Kemahiran Hidup/Tingkah Laku. Setiap stesen ini dibekalkan dengan kemudahan televisyen dan pemancar LCD.

Setelah tamat sesi lawatan kelas, kami masuk semula ke dalam bilik mesyuarat untuk slot yang terakhir. Slot ini memerlukan kami menemuramah seorang murid Pendidikan Khas bagi mendapatkan maklumat yang tertera pada kertas yang telah diedarkan sebentar tadi. Sesi temubual ini dijalankan secara berpasangan. Setiap pasangan akan diberikan satu nama murid dan pasangan tersebut haruslah mencari murid berkenaan. Sesi temubual ini diberi masa selama 20 minit. Setelah selesai temubual murid tersebut, kami bergerak ke dewan besar untuk aktiviti music chair dan tiup warna atas kertas menggunakan straw. Aktiviti ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama-sama guru Pendidikan Khas, Pensyarah dan staf Unit Gerko, Pelatih-pelatih guru dan murid-murid Pendidikan Khas. Kemudian, sesi terakhir ialah upacara penyampaian cenderahati daripada IPG Kampus Darulaman kepada pihak sekolah serta daripada pihak sekolah kepada pelatih guru IPG Kampus Darulaman. Sebelum program ini tamat, Guru Besar SK Sungai Korok Lama iaitu Puan Norlia telah memberi ucapan sekaligus merasmikan upacara penutup program BIG siri 6 ini dengan jayanya.

SELEPASSelepas program ini selesai, kami mengadakan mesyuarat post-mortem bagi meneliti setiap masalah yang timbul sewaktu program dilaksanakan. Selain itu, setiap AJK harus membentangkan hasilakan atau kerja yang telah mereka laksanakan sebelum dan semasa program dijalankan. Kami juga dikehendaki membuat laporan secara bertulis serta menyiapkan refleksi berkenaan program ini dan menganalisis kelemahan, kekuatan dan berikan cadangan penambahbaikan bagi setiap masalah yang timbul.

LAPORAN BENGKEL INOVASI GURUBERTEMPAT DI IPG KAMPUS DARULAMAN, JITRA, KEDAH.

SEBELUM

Sebelum memulakan sesuatu program dilaksanakan, setiap pelajar harus menghadiri perjumpaan kali pertama bagi memilih ahli jawatankuasa yang bertanggungjawab mengurus serta mengagihkan tugas-tugas tertentu kepada anak-anak buah masing-masing. Pengerusi bagi Bengkel Guru Inovatif kali ini ialah Muhammad Nazrin Bin Sulaiman pelajar PISMP Matematik, naib pengerusi ialah Fadilah Binti Mohd Puad pelajar PISMP Pemulihan Bahasa Melayu, setiausaha ialah Maslianna Bte Mohd Zainol pelajar PISMP Pendidikan Jasmani, naib setiausaha ialah Prem Sukcharean A/L Kim Chee pelajar PISMP Sains dan bendahari ialah Afaf Hilyani Binti Munajar pelajar PISMP Pendidikan Islam. Mereka ialah AJK tertinggi bagi Program Bengkel Guru Inovatif bagi BIG Siri 6 ini. Setiap pelajar PISMP Semester 6 telah dikutip wang sebanyak RM 10.00 bagi menampung perbelanjaan untuk makanan. Setiap pelajar yang dilantik sebagai AJK kecil harus menjalankan tugas masing-masing agar dapat memastikan kelancaran program tersebut pada hari pelaksanaannya.

SEMASA

Pada 17 Oktober 2012 yang lalu, semua pelajar PISMP Semester 6 Ambilan Januari 2010 telah terlibat secara langsung dengan Program Bina Insan Guru iaitu Bengkel Guru Inovatif Inovasi Guru dalam Transformasi Pendidikan. Bengkel ini bermula pada jam 2.00 petang. Kami diminta untuk hadir ke Dewan Zaba, IPG Kampus Darulaman pada jam 1.45 petang. Ketika kami hadir ke dewan, penceramah jemputan sudahpun berada di dalam dewan. Hal ini menunjukkan bahawa penceramah tersebut merupakan seorang yang sangat komited terhadap tugas yang telah diberikan. Meor Fakrullah selaku pengacara majlis bagi bengkel petang ini telah membuat ucapan selamat datang kepada beliau dan membacakan sedikit sebanyak sejarah mengenai Tuan Haji Rodzli Bin Haji Hashim. Kemudian, bacaan doa dinaungi oleh Muhammad Anwari. Setelah tamat bacaan doa, Meor Fakrullah menjemput Tuan Haji Rodzli untuk memulakan seminar ini dengan jayanya.

Tajuk seminar pada hari ini ialah Inovasi Guru dalam Transformasi Pendidikan. Guru dan inovasi tidak dapat dipisahkan. Hal ini kerana bertepatan dengan definisi inovasi yang bermaksud kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan. Ia adalah hasil cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi. Idea-idea ini boleh merangkumi apa-apa perubahan dalam bentuk sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja mahupun pengenalan teknologi. Transformasi pula membawa maksud perubahan. Kedua-dua perkataan ini memainkan peranan penting dalam sebuah kehidupan seseorang pendidik. Hal ini kerana bidang ini sendiri yang memerlukan perubahan. Adakah kita hanya perlu berpeluk tubuh dan membiarkan bidang pendidikan dalam takuk yang lama? Tepuk dada, tanya selera.

Tuan Haji Rodzli Bin Haji Hashim telah menyediakan slaid persembahan yang sangat menarik dan memberi manfaat kepada setiap pelajar. Antara pengisian yang telah beliau sampaikan pada petang tersebut ialah berkaitan dengan bagaimana guru dapat menyediakan diri sebagai guru yang inovatif, persediaan kemahiran, amslsn kreativiti dan inovasi P&P, pengalamian inovasi P&P serta strategi meningkatkan minat dan motivasi pelajar. Terdapat unsur-unsur kecindan dalam penyampaia ceramah beliau pada petang tersebut. Jadinya, setiap pelajar tidak berasa tertekan pada petang itu. Sesungguhnya, Tuan Haji Rodzli merupakan seorang pendidik yang berjaya kerana beliau telah banyak mengarang buku ilmiah, buku cerpen dan pelbagai bahan penulisan yang lain. Walaupun beliau mahir dalam bidang Geografi tetapi ilmu beliau lebih menyeluruh kepada pelbagai aspek. Kami juga didedahkan bagaimana untuk mengawal murid terutamanya murid-murid Tahap Satu yang mana umur mereka sekitar tujuh hingga sembilan tahun. Oleh itu, guru tersebut harus merendahkan cara komunikasi supaya boleh difahami oleh murid-murid. Bukannya merendahkan mentaliti hingga murid-murid berjaya memanipulasi guru, bahkan guru tersebut harus bijak memanipulasikan keadaan atau situasi.

Menurut Tuan Haji Rodzli, seseorang guru itu seharusnya membuat persediaan pengetahuan mengenai teori pengajaran, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran. Sememangnya keempat-empat perkara ini telah dipelajari sepanjang pembelajaran di IPG Kampus Darulaman, tetapi beliau telah mengatakan bahawa beliau sering menggunakan pendekatan realistik yang mana mementingkan gambar dua dimensi (2D), bahan maujud (3D) atau ke lapangan. Murid-murid pasti akan tertarik dengan pengajaran guru. Namun demikian, bagi memastikan lagi bahawa murid-murid akan terus memberi tumpuan terhadap pengajaran kita, guru harus bijak meyampaikan maklumat kepada murid-murid. Hal ini kerana yang akan membezakan seseorang pendidik itu ialah gaya serta cara penyampaian maklumat kepada murid-murid. Itulah yang dinamakan inovasi serta transformasi.

Tuan Haji Rodzli juga mengatakan bahawa aspek terpenting dalam P&P ialah sebelum waktu P&P bermula. Hal ini kerana pelbagai tugas yang harus dilakukan sebelum memulakan sesuatu pengajaran. Antaranya ialah membeli barang atau peralatan yang harus digunakan untuk memasak jika ingin jalankan pengajaran masakan, alat pengiraan untuk subjek matematik dan pelbagai lagi. Oleh itu, guru haru membuat persediaan sekurang-kurangnya sehari sebelum memulakan pengajaran. Selain itu, Tuan Haji Rodzli juga menekankan perihal ketrampilan guru. Antara perkara yang dikatakan ketrampilan guru ialah kecekapan ICT, menyediakan bahan pengajaran, amalan kerja yang terancang dan dokumentasi kerja. Sejajar dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang mementingkan penggunaan ICT dalam setiap pengajaran. ICT bermaksud (information and communication technology) ataupun dikenali sebagai teknologi maklumat dan komunikasi adalah teknologi yang dapat menjimatkan masa untuk mengambil, memindahkan, menganalisis, menyimpan dan menyampaikan data menjadi sesuatu maklumat.Maklumat pada asasnya bermaksud data yang mana dengan kehadiran proses pembelajaran menjadikannya pengetahuan. Dengan kata lain proses pembelajaran itu sendiri adalah proses mendapatkan, menggunakan dan menjadikan maklumat itu pengetahuan. Kompetensi Celik Maklumat, kesedaran kepada keperluan kepada maklumat, keupayaan menganalisa maklumat dan menilai kegunaannya, dan berupaya menggunakan maklumat berkenaan bagi tujuan pengetahuan adalah penting bagi membolehkan proses di atas dilaksanakan.

Komunikasi adalah perbuatan berhubungan antara manusia dan budaya, tapi telah melalui dimensi baru setelah dirangkaikan dengan terma maklumat dan teknologi.

Teknologi pula bukanlah terhad kepada internet, rangkaian, CD-ROM, video, TV dan segala yang nampak bersifat teknikal tetapi terma teknologi maklumat yang merangkumi penggunaan internet dan rangkaian komunikasi. Bagi dunia pendidikan teknologi maklumat boleh dibahagikan kepada dua iaitu; Teknologi komputer seperti modul kursus berasaskan komputer, penilaian berkomputer, perisian pemprosesan kata, grafik, lembaran kerja, pangkalan data dan persembahan; Perisian telekomunikasi yang menawarkan pendidikan jarak jauh, penyebaran sumber dalam pendidikan, e-mel, konferen video, papan buletin dan chatting. Seterusnya, jika ingin menjadi guru yang cemerlang, guru tersebut harus mengaktifkan panitia dan persatuan. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah pertandingan kuiz, puisi, mengarang, melukis, penerbitan panitia seperti buletin bulanan atau mingguan, bilik/ sudut/ koridor mata pelajaran serta program peningkatan prestasi.

Terdapat pelbagai cara untuk menjadi guru yang cemerlang. Pertamanya ialah keyakinan. Sebagai seorang guru, seharus mempunyai keyakinan untuk memberi,mengubah,membentuk, mengasuh serta mendidik pelajar mengikut apa yang seperti yang di dasarkan oleh Pendidikan Semasa. Kedua, kesabaran.Kesabaran adalah sifat terpenting dalam mendidik pelajar. Oleh kerana perkembangan dan persekitaran pelajar yang pelbagai memungkinkan pelajar membesar dengan pelbagai cara dan untuk satukan semua dalam institusi pendidikan harusnya memiliki kesabaran yang mantap. Ketiga, penyayang.Apabila menyebut tentang penyayang, tentukan kita tentang kasih dan melindungi. Mengasihi mereka dengan perasaan sayang yang jujur dan ikhlas akan dapat mendidik akal dan hati kita untuk memuliakan pelajar dan memimpin mereka ke jalan yang dikhendaki. Keempat, memahami. Fleksibel dalam pengajaran, dengan tujuan supaya pelajar merasa kesamarataan dalam mendapat perhatian. Pelajar akan lebih terangsang sekiranya mereka merasakan guru dapat memahami dan memenuhi kehendak mereka. Kelima ialah bijaksana. Guru yang bijak akan dapat melontarkan idea yang dapat difahami oleh semua murid dalam kelasnya. Pengalaman dan pembacaan selalunya dapat membantu guru bijak menguruskan idea dalam bilik darjah. Keenam, berdedikasi Memandang sama kepada pelajar dan tidak mengkastakan pelajar.pelajar miskin atau kaya, atau baik atau nakal tidak di jurangkan sewaktu pengajaran di jalankan. Ketujuh ialah pelindung. Guru yang baik dapat memberikan perlindungan emosi, penyemarakkan potensi dan idea pelajar. Tak semua pelajar yang sentiasa positif dan berada dalam keadaan yang stabil.Dalam situasi ini guru yang berkualiti dapat mamantau dan menghilangkan emosi negatif agar pelajarnya merasa gembira dan ceria.

Seterusnya ialah kesungguhan. Kesungguhan dalam membantu pelajar tanpa mengira waktu ,masa dan penatlelah.mendahulukan pelajar sewaktu waktu persekolahan dan sentiasa mencari idea untuk membaiki prestasi pelajar terutamanya kepada pelajar yang lemah. Selain itu, guru juga boleh membanggakan pelajar. Memberi penghargaan kepada pelajar, sama ada dengan ucapan atau material akan dapat membentuk sikap untuk maju di kalangan pelajar.meraka akan berlumba-lumba dalam pelajaran atau kokurikulum untuk mendapat pujian dan sokongan dari guru atau rakan. Tambahan pula, guru perlu cakna dan terkini. Kecaknaan terhadap murid dalam pengajaran atau kehidupan semasa perlu untuk guru kerana ini dapat memberikan input jangka panjang kepada pelajar dalam membentuk cita-cita dan niat yang kuat. Guru yang berkualiti sentiasa dapat memberikan contoh kebanggaan semasa supaya pelajar merasakan mereka juga mampu untuk menjadi seperti yang dibanggakan masyarakat.

Sebelum menamatkan sesi ceramah pada petang itu, Tuan Haji Rodzli telah menyediakan lima soalan yang harus kami bincangkan ketika sesi Perbentangan Kumpulan. Kelima-lima soalan itu berkaitan dengan slaid perbentangan yang telah beliau sampaikan sebentar tadi. Oleh itu, kami harus bergerak dalam kumpulan masing-masing dan membuat perbincangan tentang salah satu soalan yang telah ketua kumpulan cabutkan terlebih dahulu.

Kesimpulan yang Tuan Haji Rodzli simpulkan sebentar tadi, beliau menegaskan bahawa setiap guru harus bersifat inovatif dalam pengajaran agar murid-murid tidak akan berasa bosan dengan corak penyampaian ilmu guru. Seperti beliau, beliau menggunakan pendekatan realistik yang mana melibatkan sedutan-sedutan video dari cerita-cerita di televisyen. Hal ini kerana sedutan-sedutan video inilah yang akan menarik minat serta mencuri tumpuan murid-murid terhadap pengajaran seseorang guru.

SELEPAS

Selepas program ini selesai, kami mengadakan mesyuarat post-mortem bagi meneliti setiap masalah yang timbul sewaktu program dilaksanakan. Selain itu, setiap AJK harus membentangkan hasilakan atau kerja yang telah mereka laksanakan sebelum dan semasa program dijalankan. Kami juga dikehendaki membuat laporan secara bertulis serta menyiapkan refleksi berkenaan program ini dan menganalisis kelemahan, kekuatan dan berikan cadangan penambahbaikan bagi setiap masalah yang timbul.

7. REFLEKSI KENDIRI

REFLEKSI PROGRAM PENANDA ARAS GURU CEMERLANGSyukur Alhamdulillah akhirnya saya dapat menyiapkan laporan ini dengan jayanya. Tanpa hadrat dan inayah daripada-Nya, tidak mungkin saya berjaya menyiapkan tugasan ini bertepatan dengan kehendak pensyarah pembimbing. Menerusi laporan Program Penanda Aras Guru Cemerlang Bagi BIG semester 6 ini yakni BIG yang terakhir bagi pelajar PISMP Ambilan Januari 2010, saya dapati saya mengkaji dengan lebih mendalam mengenai pengurusan sekolah, ciri-cri kepimpinan seorang guru harus ada, iklim dan budaya sekolah, infrastruktur dan infostruktur kurikulum sesebuah sekolah. Memandangkan kami telah memilih Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama sebagai lawatan penanda aras bagi guru cemerlang kali ini, kami berharap kami mendapat pelbagai maklumat mengenai guru tersebut kerana kami mendengar khabar bahawa sekolah tersebut memang sebuah sekolah yang cemerlang dari aspek kurikulum mahupun kokurikulum. Melalui lawatan ini, sedikit sebanyak saya memperoleh input-input yang berguna untuk saya aplikasikan pada masa hadapan kelak. Malah, saya dapat memantau sendiri bagaimana mereka melaksanakan segala perancangan yang telah mereka draf pada tahun lepas. Perancangan yang rapi sangat diperlukan bagi memastikan sesebuah institusi pengajian itu dapat bergerak dengan lancar serta tanpa masalah. Selain itu, saya juga diperkenalkan dengan pelbagai program kecemerlangan bagi memastikan kebajikan serta prestasi murid dapat dikekalkan. Pelbagai nasihat serta kata-kata hikmah yang dibekalkan kepada kami sepanjang lawatan kami ke sekolah tersebut. Saya sangat mengagumi Guru Cemerlang SK Sungai Korok Lama iaitu Encik Noor Azhar Bin Ahmad kerana ketegasannya dalam memberi arahan, idea yang bernas dalam mencadangkan sesuatu perkara, sentiasa berfikir ke hadapan bagi memastikan kecemerlangan milik mereka bersama. Malah beliau juga telah banyak menyumbang kecemerlangan dan dari hasil titik peluh beliau, beliau dianugerahkan Anugerah Guru Cemerlang.Saya sangat berpuas hati dengan layanan yang telah diberikan oleh pihak sekolah tersebut. Mereka sanggup menunggu kami di hadapan pintu bilik mesyuarat PKG sekolah semata-mata ingin menjemput kami serta menyediakan juadah sarapan pagi kepada kami kerana kami datang dari Jitra. Sesungguhnya mereka menjaga kebajikan kami selain daripada menjaga kebajikan anak-anak murid mereka. Saya juga tidak menjangka yang mereka akan menyediakan juadah pada pagi tersebut kerana kami tidak dimaklumkan terlebih awal. Bak kata Puan Norzaini, juadah itu hanya sebagai tanda terima kasih kerana sudi membuat Lawatan Penanda Aras di sekolah mereka. Saya juga sangat kagum dengan pencapaian yang sekolah tersebut capai sepanjang tahun. Saya akui bahawa saya pelajari juga cara-cara untuk menguruskan sesebuah organisasi tetapi cara sebenar untuk mengurus sebuah organisasi yang melibatkan waris, murid dan sebagainya, saya masih terkial-kial. Walau bagaimanapun, saya yakin setiap sekolah mempunyai agenda serta cara yang tersendiri untuk mengurus hal-hal mereka. Sebagai seorang pelajar dan bakal guru, saya harus kumpulkan segala maklumat yang berkaitan dengan sekolah, murid serta waris supaya saya sudah mempunyai bayangan tentang langkah-langkah untuk saya ambil apabila mula melangkah ke alam pekerjaan kelak.Kini, saya berasa berbangga dan gembira kerana saya dapat memahami kesemua perkara tersebut sepanjang proses analisis maklumat-maklumat untuk dimuatkan dalam laporan serta refleksi ini. Hal ini kerana sebelum ini, saya hanya didedahkan sedikit sahaja mengenai pengurusan bilik darjah dan sebagainya oleh para pensyarah, tidak sedalam yang saya kaji baru-baru ini. Bagi pendapat saya, sekiranya tidak ada program seumpama ini mungkin saya tidak akan menimba pengetahuan bak mutiara ini dan saya mungkin tidak berpeluang untuk mengecapi nikmat ilmu tersebut.Adat menuntut ilmu di perantauan, saya sentiasa bergerak ke perpustakaan IPG, berjumpa dengan pensyarah pembimbing serta melakukan sedikit sesi perbincangan bersama-sama rakan sekelas mengenai perkara yang terdapat dalam tugasan bagi menghasilkan tugasan yang berilmiah dan lengkap serta bermanfaat untuk diri sendiri atau orang lain. Saya bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan yang sanggup melayan pertanyaan saya yang bertubi-tubi mengenai cara pengurusan, iklim serta budaya di sekolah dan pelbagai lagi. Hasilnya, saya dapat melaksanakan proses pembikinan tugasan ini dengan lancar dan baik. Dengan berbekalkan tunjuk ajar daripada mentor iaitu Encik Hasim Bin Saari telah memberi tunjuk ajar serta bantuan terhadap proses pelaksanaan Program Lawatan Penanda Aras ini. Encik Hasim Bin Saari sentiasa membimbing saya di samping menerapkan nilai-nilai murni yang dapat saya aplikasikan dalam kehidupan seharian saya.Melalui tugasan ini saya dapat mengatur masa dengan lebih sistematik. Hal ini kerana bagi saya bagi menghasilkan satu tugas yang boleh dianggap cemerlang, ia memerlukan komitmen yang tinggi serta pengurusan masa yang cekap. Dengan adanya perbincangan serta kolaborasi antara pensyarah dapat melatih saya supaya lebih menghargai masa memandangkan terdapat pelbagai tugasan yang harus saya selesaikan dalam masa yang sama. Namun demikian, saya dapat jua akhirnya untuk mengatur masa dan saya berpuas hati dengan hasil tugasan saya.Akhir kalam, saya akui bahawa setiap insan tidak sempurna namun ada kelebihannya tersendiri yang memerlukan diri kita sendiri untuk terokainya, begitu jua dengan hasil tugasan yang telah saya laksanakan. Bagi saya, saya telah memberi sepenuh komitmen serta idea bagi melaksanakan tugasan ini. Tetapi setiap orang mempunyai pandangan dan tafsiran yang berbeza. Namun begitu, saya berharap agar hasilan saya dapat memuaskan hati pensyarah di samping saya memperoleh pelbagai faedah serta maklumat baharu melalui tugasan berasaskan ilmiah ini. Maklumat sedemikian amat berguna bagi saya aplikasikan dalam alam kehidupan saya kelak.KELEMAHANKelemahan yang saya dapat analisis daripada program ini ialah daripada segi peruntukkan pengangkutan. Saya berasa agak terkilan sedikit kerana kumpulan kami tidak dibekalkan pengangkutan bas ke SK Sungai Korok Lama, Alor Setar. Kami bergerak dengan kenderaan masing-masing. Sebanyak 14 buah kereta berkumpul terlebih dahulu di IPG Kampus Darulaman sebelum berkonvoi ke SK Sungai Korok Lama. Namun begitu, ada sebuah kereta yang dipandu oleh Kumpulan PK 2 yang mengalami sedikit kerosakan. Oleh itu, mereka serta beberapa pelatih lelaki yang menolong mereka di tempat kejadian, tiba lewat ke sekolah. Tetapi, kelewatan mereka tersebut telah dimaklumkan kepada pihak sekolah agar pihak sekolah memahami masalah yang dihadapi oleh pelatih-pelatih guru tersebut.Kelemahan yang seterusnya ialah berkaitan dengan pengurusan masa. Saya berasa agak terkilan kerana masih ada rakan-rakan yang hadir lewat ke tempat yang telah ditetapkan. Malah, pihak yang menjanjikan masa iaitu meminta semua pelatih berkumpul di IPG Kampus Darulaman pada jam 7.00 pagi juga lewat hadir ke IPG. Oleh itu, kami bergerak ke sekolah agak lewat dar masa yang dirancangkan. Setelah tiba di sekolah, guru Pendidikan Khas menanyakan sebab kami lewat sampai ke sana. Saya berasa agak malu dengan sikap-sikap sesetangah pelajar yang tidak pandai menjaga nama baik institut. Malahan, air muka diri sendiri juga harus dijaga supaya tiada persepsi negatif yang dilemparkan kepada kita. Namun begitu, hingga semester lima masih ada yang belum berubah. Kelemahan yang seterusnya saya lihat dari segi persekitaran sekolah yang kami jalankan lawatan tersebut. Saya ingin menyatakan bahawa setiap stesen mata pelajaran yang disediakan haruslah lebih menarik dan dapat menarik perhatian murid-murid serta para pelawat, bukan hanya sediakan bahan bacaan semata-mata. Malah, ada kawasan yang begitu kosong, kawasan taman permainan yang tidak terjagaboleh mengakibatkan kemalangan di kalangan murid-murid dan pihak sekolah tidak memanfaatkan sepenuhnya ruangan yang terdapat di dalam kawasan sekolah.Kelemahan yang terakhir pula ialah mengenai bangunan sekolah. Memang saya tidak menyangkal bahawa sekolah ini terdapat banyak bangunan. Ada bangunan lama dan baharu. Namun, apa yang saya perhatikan ialah ada bangunan yang kelihatan sudah tidak cantik. Mungkin pihak sekolah tiada peruntukkan wang bagi mengecat semula bangunan-bangunan. Ada juga bangunan yang tidak terjaga dan kelihatan usang. Tiada sudut membaca di sekitar kawasan sekolah ini. Walhal, sudut ini walaupun dipandang remeh, tetapi impak atau kesannya terhadap murid sangat hebat. Dari sudut-sudut inilah yang akan memberi galakan kepada murid-murid untuk membaca selain menyediakan perpustakaan.

CADANGAN / PENAMBAHBAIKAN

Terdapat beberapa cadangan yang saya ingin cadangkan di sini. Cadangan pertama, pihak atasan perlu mengambil langkah tegas dalam memberi arahan kepada para pelajar supaya mereka lebih tepat pada masa bagi melancarkan semua aktiviti. Hal ini kerana hanya beberapa orang yang lewat, semua pelajar harus tunggu mereka dan pihak di sekolah pula harus tunggu ketibaan kami. Pelajar yang datang lewat tidak mempunyai integriti dalam menunaikan sesuatu tanggungjawab.

Cadangan yang seterusnya mengenai pengangkutan. Pihak IPG Kampus Darulaman seharusnya mengambil kira langkah keselamatan para pelajar sepanjang perjalanan ke sesuatu tempat. Hal ini kerana ketika pergerakan kami beramai-ramai ke SK Sungai Korok Lama, tiada pensyarah pengiring yang mengiring pergerakan kami. Alhamdulillah perjalanan kami pada pagi tersebut selamat walaupun ada sebuah kereta yang mengalami masalah dan semua pelajar berada dalam keadaan yang selamat serta baik.

Cadangan yang seterusnya mengenai sekolah tersebut. Saya cadangkan supaya pihak sekolah adakan sudut permainan bagi setiap stesen mata pelajaran yang mereka sediakan. Hal ini kerana sepanjang pemerhatian saya, saya lihat hanya bahan bacaan sahaja yang mereka sediakan. Memang saya akui bahawa bacaan boleh menambahkan ilmu pengetahuan murid-murid tetapi dengan permainan, murid-murid boleh berfikir secara kreatif dan kritis. Perkembangan kognitif murid-murid lebih tergerak kepada permainan dan keseronokan. Maka dengan itu, murid-murid tidak akan menjadi bosan dengan bahan-bahan yang guru sediakan.

Cadangan yang seterusnya mengenai guru cemerlang tersebut. Saya cadangkan supaya Encik Noor Azhar berkongsi pengalaman beliau secara terperinci mengenai pengajaran murid-murid khas. Hal ini kerana setiap pengalaman seseorang tidak serupa. Ada yang lebih berpengalaman, ada yang kurang berpengalaman. Seperti kami, guru pelatih Pendidikan Khas yang hanya baru menjalani praktikum pada semester 5 dan 6 tidak mempunyai banyak pengalaman lagi dalam bidang keguruan ini. Oleh itu, kami memerlukan cerita pengalaman daripada guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam bidang Pendidikan Khas ini supaya kami dapat membuat rujukan pada masa akan datang dan mengaplikasikannya dalam P&P kelas.

REFLEKSI BENGKEL INOVASI GURU

Syukur Alhamdulillah akhirnya saya dapat menyiapkan laporan ini dengan jayanya. Tanpa hadrat dan inayah daripada-Nya, tidak mungkin saya berjaya menyiapkan tugasan ini bertepatan dengan kehendak pensyarah pembimbing. Menerusi Bengkel Inovasi Guru dalam Transformasi Pendidikan bagi memenuhi piawaian BIG Semester 6 ini, saya dapati bahawa saya mendapat pelbagai input yang berguna dan juga baharu. Saya lebih memahami apa yang dimaksudkan dengan inovasi oleh guru. Sebelum ini, saya ada juga ketahui serba sedikit pembaharuan yang sering dijalankan oleh guru-guru memandangkan kedua ibu bapa saya ialah guru namun saya tidak dapat lagi membuat apa-apa pembaharuan kerana saya masih belum memahaminya secara mendalam. Setelah saya menganalisis semua maklumat yang saya dapat, saya muatkan dalam laporan serta refleksi ini. Cara saya apabila saya mendapat sesuatu maklumat yang baharu, saya suka mencatat maklumat tersebut supaya saya tidak lupa akan maklumat-maklumat tersebut. Oleh itu, saya berasa laporan-laporan yang saya hasilkan sangat berguna untuk saya aplikasikan setelah saya melangkah kea lam pekerjaan. Bagi pendapat saya, sekiranya tidak ada program seumpama ini mungkin saya tidak akan menimba pengetahuan bak mutiara ini dan saya mungkin tidak berpeluang untuk mengecapi nikmat ilmu tersebut.Melalui tugasan ini saya dapat mengatur masa dengan lebih sistematik. Hal ini kerana bagi saya bagi menghasilkan satu tugas yang boleh dianggap cemerlang, ia memerlukan komitmen yang tinggi serta pengurusan masa yang cekap. Walaupun saya mempunyai pelbagai komitmen yang lain, namun demikian, saya dapat jua akhirnya untuk mengatur masa dan saya berpuas hati dengan hasil tugasan saya.Akhir kalam, saya akui bahawa setiap insan tidak sempurna namun ada kelebihannya tersendiri yang memerlukan diri kita sendiri untuk terokainya, begitu jua dengan hasil tugasan yang telah saya laksanakan. Bagi saya, saya telah memberi sepenuh komitmen serta idea bagi melaksanakan tugasan ini. Tetapi setiap orang mempunyai pandangan dan tafsiran yang berbeza. Namun begitu, saya berharap agar hasilan saya dapat memuaskan hati pensyarah di samping saya memperoleh pelbagai faedah serta maklumat baharu melalui tugasan berasaskan ilmiah ini. Maklumat sedemikian amat berguna bagi saya aplikasikan dalam alam kehidupan saya kelak.

KEKUATANAntara kekuatan yang saya analisis daripada bengkel Guru Inovatif ini ialah dari segi pengurusan. Saya berasa agak berpuas hati dengan pengurusan AJK tertinggi kerana pihak penceramah datang awal, AJK pendaftaran tunggu di pintu utaman dewan serta mengambil kedatangan para pelajar yang hadir. Brosur juga disediakan kepada setiap orang dan saya berpuas hati kerana lokasi yang selesa dan kondusif sesuai untuk mendengar ceramah ilmu di petang hari.Kekuatan yang seterusnya ialah input-input yang menarik dan bermanfaat mampu menarik minat para pelajar. Tuan Haji Rodzli tidak kedekut ilmu serta pengalaman yang telah beliau alami. Kekuatan yang seterusnya ialah dari aspek penyampaian maklumat oleh Tuan Haji Rodzli. Cara penyampaiannya sangat menarik dan mengagumkan. Walaupun beliau sudah menghampiri usia untuk bersara, namun semangat keguruan dalam dirinya masih muda. Beliau telah mengarang pelbagai buku terutama bagi subjek Geografi bagi Menengah Rendah, Menengah Atas dan juga bagi pelajar STPM. Oleh kerana berkat usaha serta kerajinan beliau, beliau dianugerah Anugerah Guru Cemerlang, Jurusan Sektor Awam Khas C (JUSA C). Kegigihan beliau telah membuat saya bangga dan kagum dengan kejayaannya.

KELEMAHANKelemahan yang saya dapat analisis daripada program ini ialah dari segi pengurusan masa. Masih ada pelajar yang datang lambat bagi menghadiri program tersebut. Para pelajar yang datang lambat ini sepatutnya diambil tindakan yang sewajar agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu lagi.Kelemahan yang seterusnya juga ialah mengenai pengurusan masa. Sepatutnya kami mempunyai perbentangan kumpulan bagi soalan-soalan yang telah dikemukakan tetapi oleh kerana kekangan masa, sesi perbentangan kumpulan tidak dapat dijalankan kerana masa mencemburui kami. Memang saya akui, saya agak terleka mendengar ceramah beliau kerana beliau menggunakan pendekatan realistik seperti gambar, muzik, bunyi dan juga video-video tertentu. Oleh hal demikian, masa untuk beliau menyampaikan ceramah terlajak hingga memakan masa sesi perbentangan kumpulan.

CADANGAN PENAMBAHBAIKANAntara cadangan penambahbaikan yang saya ingin cadangkan ialah pihak atasan iaitu pihak IPG Kampus Darulaman mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap para pelajar yang hadir lambat ke tempat ceramah. Hal ini kerana tindakan mereka ini seperti kebudak-budakan dan akan memalukan nama baik IPG Kampus Darulaman. Seharusnya warga pelajar menjaga nama baik IPG dan menunjukkan sikap yang baik terhadap pihak luar agar persepsi orang luar terhadap pelajar IPG Kampus Darulaman tidak terpesong.Cadangan yang terakhir pula ialah mengenai tanggungjawab masing-masing dalam menjalankan tugas. Setiap pelajar perlu peka terhadap tugas masing-masing. Seharusnya setiap tanggungjawab yang diberi galas bersama-sama dan bukannya dijalankan seorang diri ataupun diberi kepada orang lain. Jika hanya mengharapkan pujian semata-mata itu bermakna kita tidak ikhlas dalam melaksanakan tugasan tersebut. Sikap begini seharusnya tidak perlu ada di dalam diri seorang guru. Kerjasama yang sangat diperlukan dalam menjalankan sesuatu program.

LAMPIRAN