kecenderungan fitrah bonda dalam kumpulan puisi …

25
Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI MENUNGGU PESAWAT Oleh Shamsudin Othman Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan,Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia,Selangor Darul Ehsan [email protected] Abstrak Peranan ibu bapa dalam pembentukan personaliti serta keperibadian anak-anak tidak dapat dinafikan terutamanya dalam menentukan keperibadian kehidupan mereka. Dalam pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, kecemerlangan seorang anak, sama ada dari sudut kejayaan akademik mahupun memiliki budi pekerti tinggi sangat bergantung kepada asuhani tangan kedua ibu bapa. Jika baik asuhan itu maka baik jugalah personaliti anak-anak. Penulisan ini akan memperlihatkan bagaimana pengaruh didikan seorang bonda (ibu/ emak) dapat diterapkan di dalam kumpulan puisi berjudul Menunggu Pesawat (DBP:2021) karya Zurinah Hassan. Isu-isu sosial, politik, ekonomi mahupun agama yang ditimbulkan oleh Zurinah Hassan dalam puisi-puisinya sangat

Upload: others

Post on 21-Oct-2021

13 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

KECENDERUNGAN FITRAH BONDA

DALAM KUMPULAN PUISI MENUNGGU PESAWAT

Oleh

Shamsudin Othman

Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan,Fakulti Pengajian Pendidikan,

Universiti Putra Malaysia,Selangor Darul Ehsan

[email protected]

Abstrak

Peranan ibu bapa dalam pembentukan personaliti serta keperibadian anak-anak

tidak dapat dinafikan terutamanya dalam menentukan keperibadian kehidupan

mereka. Dalam pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”,

kecemerlangan seorang anak, sama ada dari sudut kejayaan akademik mahupun

memiliki budi pekerti tinggi sangat bergantung kepada asuhani tangan kedua ibu

bapa. Jika baik asuhan itu maka baik jugalah personaliti anak-anak. Penulisan ini

akan memperlihatkan bagaimana pengaruh didikan seorang bonda (ibu/ emak)

dapat diterapkan di dalam kumpulan puisi berjudul Menunggu Pesawat

(DBP:2021) karya Zurinah Hassan. Isu-isu sosial, politik, ekonomi mahupun

agama yang ditimbulkan oleh Zurinah Hassan dalam puisi-puisinya sangat

Page 2: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

bergantung kepada kehebatan seoang bonda dan kegagalannya juga sering

dikaitkan dengan kelemahan didikan keluarga. Justeru, tulisan ini bertujuan

menyingkap pengaruh dan peranan bonda terhadap didikan, nasihat mahupun

pandangan dalam bentuk ‘pemikiran kebondaan’ yang dianjurkan oleh Syed Qutb.

Dapatan kajian membuktikan bahawa pengaruh seseorang bonda sangat penting

dalam membina personaliti, keperibadian serta ketokohan seseorang anak dalam

masyarakat. Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi, persepsi positif serta peranan

penting seorang bonda merupakan faktor utama dalam menjamin kejayaan

manusia.

Kata kunci: fitrah, bonda, puisi, keperibadian, insan.

Page 3: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Pendahuluan

BONDA atau sinonimnya disebut ibu, emak, mama, umi dan sebagainya itu merujuk

kepada seorang wanita insan istimewa yang dicipta oleh Yang Maha Pengasih sebagai

perantara lahirnya manusia ke muka bumi ini. Wanita ialah manusia bergender feminis

yang diberi kelebihan mengandung, melahirkan, dan menyusukan serta dapat

melakukan pelbagai kerja sebenarnya tidak sehebat kaum Adam dalam perkiraan juzuk

alami. Makanya dengan kelebihan-kelebihan khusus itu, seorang wanita yang dalam

pengertian tulisan ini disebut bonda diciptakan bukan sekadar untuk menceriakan

kehidupan kaum maskulin, malah lebih penting daripada itu ialah menjadi ikon kepada

masyarakat sejagat.

Fitrah kehidupan seorang bonda pada hakikatnya sangat berat, iaitu dengan ciri-ciri fizikal

yang anggun tetapi memiliki kudrat luar biasa itu mampu menanggung amanah yang

kadang-kala tidak dapat digalas oleh kaum Adam. Secara fizikal dan rohaninya, itulah

kekuatan seorang bonda yang persiapkan dengan kudrat, tanggungjawab, amanah dan

imansipasi yang sukar diterjemahkan dengan logik akal manusia waras.

Sehubungan dengan itu, Sasterawan Negara Zurinah Hassan (ZH), sosok wanita

juga bonda dilihat begitu gigih berusaha menzahirkan pembentukan keperibadian dirinya

sebagai seorang bonda mahupun penyair yang tidak dinafikan telah berjaya

membuktikan keindahan pengucapan buah fikir di dalam puisinya. ZH secara sedar ingin

membuktikan bahawa kehebatan ‘sosok kebondaan’ yang wujud di dalam diri wanita itu

juga tidak dipengaruhi oleh faktor usia. Hal ini telah dirakamkan di dalam pantun Melayu,

yang membayangkan bertapa jasa bonda kesannya hingga ke syurga berbanding kasih

seorang ayah yang hanya dikenang sewaktu hidup di dunia sahaja.

Page 4: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Pucuk pegaga berulam mangga,

Urap kelapa panganan biasa;

Kasih bonda membawa ke syurga,

Kasih bapa sepanjang masa.

Masa depan dan kejayaan manusia, umumnya pembentukan karektisme manusia

adalah sangat dipengaruhi oleh peranan seorang bonda sama ada secara jasmani,

rohani emosi waima fizikal. Hal ini telah dibuktikan daripada pelbagai kajian ilmu yang

membuktikan bahawa tindak balas, sikap dan emosi seorang bonda di dalam

keseluruhan konteks perkembangan rohani dan jasmani anak-anak adalah penting

dalam menentukan pola-pola personalitinya.

Oleh itu, penulisan ini akan menyingkap sejauh mana kecenderungan fitrah

seseorang bonda terhadap pemikiran yang dizahirkan dalam kumpulan puisi berjudul

Menunggu Pesawat (DBP: 2021) karya Zurinah Hassan.

Konsep Fitrah Bonda

Syed Qutb (9 Oktober 1906 – 29 Ogos 1966) ialah seorang tokoh yang tidak asing lagi

dalam bidang kesusasteraan Arab Moden serta sejarah pemikiran gerakan Islam pada

abad ke-20. Beliau antara tokoh Islam yang berusaha membuktikan bahawa sistem

pendidikan terbaik ialah sistem yang mempraktikan gabungan kurikulum pendidikan

umum dengan agama. Pandangan ini akhirnya terbukti berkesan apabila dapat

membuktikan bahawa sistem pendidikan yang berfokus kepada aliran agama dengan

urusan duniawi berjaya melahirkan manusia yang seimbang jasmani dan rohaninya.

Page 5: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Kehebatan beliau bidang kesusasteraan Arab mahupun pemikiran gerakan Islam, telah

meninggalkan pesanan penting tentang konsep seorang bonda, iaitu;

Jiwa manusia yang halus, sensitiviti, memiliki kepekaan yang tinggi, sifat tawadhu’

yang tinggi, berani, mudah mengerti dan faham, lidah yang berterus-terang dalam

menyatakan kebenaran, sangat mencintai ilmu dan amat ringan tulang untuk

menghulurkan bantuan kepada orang lain itu adalah lahir daripada sentuhan

seorang ibu. (Rohana Hamzah, 2010)

Bonda (بوندا) ialah istilah klasik Melayu yang merujuk kepada makhluk berjantina

wanita yang dapat melahirkan zuriat daripada rahimnya sendiri. Istilah bonda mempunyai

darjat kata yang lebih tinggi berbanding perkataan ibu atau emak kerana dalam falsafah

Melayu, istilah ibu atau emak boleh juga dirujuk kepada simpulan bahasa ‘ibu ayam’, ‘ibu

tumpang’, ‘ibu afrit’, ‘ibu lipan’ dan lain-lain yang jika dirujuk dalam Kamus Dewan

Perdana (DBP, 2021, hlm: 798-799) itu lebih banyak membawa konotasi negatif malah

tidak sesuai dengan makna bonda seperti yang dimaklumi dalam pengertian sudut

pandang Islam. Istilah bonda perlu difahami dalam pengertian yang merujuk kepada sifat-

sifat terpuji seperti baik, berbudi pererti mulia, bertanggungjawab, memiliki kesedaran

rasa insaniah tinggi, ikhlas dan bijaksana yang secara umumnya dapat melambangkan

bahawa bonda merujuk kepada wanita yang mulia dan baik budi pekertinya yang menjadi

tunjang dalam kebahagian, keharmonian juga kerukunan hidup di dunia dan akhirat

dalam sesebuah keluarga.

Pembentukan Keluarga menjadi teras utama kejayaan masyarkat mahupun

negara. Kecenderungan berkeluarga merupakan sunnah hidup manusia sehingga setiap

manusia akan terdorong untuk membina hidup berkeluarga. Justeru hidup berkeluarga

sudah menjadi lumrah sehingga segala yang berlaku di dalamnya sudah dianggap

Page 6: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

sebagai satu warisan penting yang perlu dipertahankan dalam usaha melahirkan modal

insan negara yang cemerlang personalitinya.

Pandangan Syed Qutb ini adalah selari dengan konsep Islam dalam memberikan

takrifan kepada istilah dan konsep bonda. Persetujuan dan kesepakatan takrif bonda

dilihat sangat halus takrifannya, iaitu menjelaskan bahawa bonda ialah insan wanita yang

bertanggungjawab mendidik, mengatur dan melentur perwatakan akan-akan dengan

suntikan pendidikan ke arah kebaikan dan masa depan yang cemerlang. Perkara ini

bermakna, tiada seorang pun bonda yang sempuran sanggup melihat anak-anak mereka

berada dalam situasi yang hina atau terabai.

Pandangan Syed Qutb ini dilihat bersetuju dengan pandangan Iman al-Ghazali

yang menjelaskan bahawa bonda merujuk kepada wanita yang berupaya membimbing

anak-anak ke jalan yang diredai Allah SWT, iaitu anak yang taat serta dapat membalas

jasa ibu bapa selaras dengan hadis, ‘syurga itu terletak di bawah telapak kaki seorang

bonda.’ Imam al-Ghazali turut berpesan: “Anak-anak adalah amanah atas ibu bapa. Jika

didikan yang diberikan sudah terbiasa dengan perkara kebaikan, anak itu akan

membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya. Sebaliknya, jika dibesarkan dalam

suasana yang tidak baik dan dipersiakan seperti haiwan, menderitalah dia dan binasa.

Dosa juga akan ditimpakan ke atas orang yang dipertanggungjawabkan itu.” (Sidek Baba,

2009).

Syed Qutb telah menggariskan empat perkara penting yang perlu dimiliki oleh

seseorang bonda ketika mendidik anak-anak. Empat perkara itu ialah, i. mendorong

anak-anak bertanggungjawab atas apa-apa yang dilakukan; ii. mendidik anak-anak ke

Page 7: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

arah kebaikan akhlaknya; iii. mendidik anak-anak suapaya sentuiada bersyukur, dan iv.

memandu kehidupan anak-anak ke arah keimanan. Jika diperhalusi, keempat-empat hal

yang digariskan ini, semuanya menyarankan supaya seseorang bonda itu

bertanggungjawab kepada pembentukan sahsiah anak-anak.

Penekanan Syed Qutb ini sangat serius dalam usaha menggesa seorang bonda

mengambil berat aspek pentarbiahan (didikan) anak-anak selaras dengan tuntuan

dalam Surah al-Tahrim, ayat 6, iaitu Allah SWT berfirman yang maksudnya, “Wahai

orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.”

Ayat itu menjelaskan bahawa perkataan ‘keluargamu’ itu dirujuk kepada ibu bapa

(bonda) perlu menitikberatkan hal berkaitan asuhan, bimbingan serta pendidikan yang

terbaik untuk anak-anak. Tentunya dalam hal ini, ‘peliharalah diri kamu dan keluargamu

daripada api neraka’ itu merupakan satu nasihat terhadap amanah yang

dipertanggungjawabkan bagi memastikan seseorang bonda itu dapat memastikan anak-

anak mereka hidup dalam keadaan yang baik-baik selaras dengan tuntutan agama Islam.

Pemikiran Syed Qutb terhadap konsep bonda ini menemukan kita kepada

tanggapan yang lebih mendalam, iaitu karekter seorang bonda perlu mewajahkan

personaliti bersahsiah atau berakhlak atau bersifat dinamik terhadap faktor kejayaan

yang diperolehi, semangat, pujian, bertaqwa, sabar dan segala sifat yang baik. Hasil

daripada gabungan sifat luaran dan dalaman itu akan dapat menghasilkan seorang

bonda yang berpersonaliti yang kuat menghadapi cabaran mengikut tuntutan Islam.

Justeru, pandangan ini sebenarnya sangat mewakil pandangan sarjana Islam bahawa

setiap bonda perlu bertanya kepada diri mereka sendiri, adakah mereka telah

Page 8: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

membimbing serta mendidik anak-anak dengan akidah sebagai seorang muslim yang

taat kepada agamanya?

Fitrah Bonda dalam Menunggu Pesawat

Sepintas lalu, Zurinah Hassan (ZH) yang dikenali ini bukanlah asing dalam dunia

kepenyairan Malaysia malah Nusantara. Wanita ini yang sentiasa anggun berselendang

ketika tampil di khalayak ramai dan turut memiliki kemerduan suara ketika bergurindam

atau bersyair. Malah dengan bakat alami itu, beliau bukan sekadar dapat menulis puisi

tetapi juga hadir dengan novel, cerpen dan esei-esei yang menampakkan nilai

intelektualnya.

Sebagai penyair prolifik wanita tanah air, ZH sepanjang waktu kepenyairannya

telah berjaya tampil dengan kumpulan puisi berjudul Sesayup Jalan (1974), Di sini Tiada

Perhentian (1977), Keberangkatan (1985), Salasilah, 2005, Menghadap ke Pelabuhan/

Facing the Harbour (2010)/ Frente el Puerto (2012) juga diterjamah ke bahasa Rusia

(2013) dan Jepun (2016), Cerita Dalam Cerita (2014), Puisi Melayu Tradisional- Pantun,

Syair, Gurindam, Seloka (2012), dan Menunggu Pesawat (2021) serta berpuluh-puluh

antologi puisi lain dan mungkin ribuan puisi eceran yang tersiar dalam medium yang lain.

Berdasarkan segugus senarai karya di atas, ada sesuatu kenyataan menarik yang

dimaklumkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara (2016) ketika menobatkan ZH

sebagai penerima gelar Sasterawan Negara ke-13. Panel menjelaskan bahawa karya-

karya ZH lebih cenderung kepada pernyataan sfera diri wanita dan sfera kekeluargaan.

Kenyataan daripada laporan begitu membuktikan bahawa karya-karya ZH pada

Page 9: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

hakikatnya tidak dapat lari atau keluar daripada kepompong fitrah bonda yang ada di

dalam dirinya.

Pada diri ZH, setiap bonda mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan

kejayaan masa depan anak-anak. Hal ini bermakna, jika seorang anak atau cucu

mendapat pendidikan yang sewajarnya, maka anak itu akan menjadi seorang manusia

yang dihormati, disanjungi atau memiliki masa depan yang baik pada masa depan. Hal

ini secara sedar dipaparkan dalam puisi berjudul ‘Benang Senja’ (hlm: 51). Metafora

seperti ‘lampu hayat’ dan ‘benang usia’ sangat menduga ingatan tentang kejayaan masa

depan yang sukar diramalkan. Rasa kebimbangan terhadap masa depan generasinya itu

merupakan nasihat paling berharga dalam setiap doa diri ZH.

Ketika suamiku menghayun buaian cucu

Senja menghulurkan benang usia

Memasuki jendela

Benang itu berjurai di lengan, pipi dan bahu

Demikainlah seperti selalu

Kami mendodoi cucu

Sambil mengajar mereka

Menyalakan lampu hayat

Agar kamar tidak gelap

Setelah kami berangkat

Impian tinggi naluri seorang bonda terhadap rasa simpati itu amat sukar

dipisahkan dalam puisi-puisi ZH. Oleh itu, atas dasar kesedaran inilah ZH memilih untuk

mengutarakan nilai-nilai insaniah yang terdapat di dalam diri seseorang bonda ke dalam

puisi ciptaannya. Fitrah bonda yang diketengahkan dalam tulisan ini bertolak daripada

Page 10: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

naluri imansipasi seperti yang dimaklumi secara umum bahawa naluri seorang bonda

ialah sangat dekat dengan tindak-tanduk yang memberikan penekanan kepada unsur

nasihat, didikan, dan bimbingan ke arah berbuat kebaikan berbanding melakukan

kemungkaran.

Kumpulan puisi Menunggu Pesawat (MP) yang menjadi fokus perbincang ini dilihat

berjaya menjelmakan kehadiran unsur fitrah bonda dalam puisi-puisi yang dihidangkan.

Sejumlah 54 buah puisi yang ditekuni dalam Bahagian pertama buku ini membawa

pembaca jauh kepada kesan nasihat dan pesanan seorang bonda. Walaupun ZH tidak

memberi nasihat dalam bentuk sentuhan langsung kepada anak-anaknya tetapi daripada

ketersiratan puisi tersebut dapat difahami bahawa perenungan yang dimaksudkan itu

ditujukan kepada golongan tertentu yang lebih difahami sebagai dorongan kepada

pembaca supaya sentiasa sedar diri dalam semua tindak-tanduk yang diambil. Penulisan

ini tidak akan menyentuh puisi-puisi yang terdapat dalam Bahagian kedua (50 puisi)

kerana puisi-puisi tersebut merupakan puisi pilihan daripada kumpulan puisi terdahulu

serta telah banyak dibicarakan, sementelahan persoalan yang dikemukakan pula lebih

kepada kesan sosial yang tidak menjurus kepada saranan sfera kekeluargaan.

Puisi ‘Menunggu Pesawat’ (hlm: 13) yang menjadi judul kumpulan puisi

memperlihatkan konotasi yang sangat mendalam terhadap konteks perkataan

‘menunggu’ dan ‘pesawat’. Menunggu boleh sahaja ditanggapi sebagai penantian

pembaca yang setia menanti sesuatu. Sementara maksud ‘pesawat’ boleh juga dikaitkan

dengan kenderaan besar yang boleh bergerak di darat juga di udara itu boleh

dianalogikan sebagai nasihat atau pesanan yang penting, besar, yang mempunyai nilai

keagamaan/ keimanan mahupun yang bersandar kepada nasihat daripada impak adat

Page 11: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

dan budaya. Oleh itu, frasa ‘menunggu pesawat’ boleh difahami sebagai metonimi kiasan

nasihat yang boleh membawa manusia ke arah kebaikan, kedamaian waima kebaikan.

Hal ini bermakna, jika pengertian ini difahami dalam konteks Islam, maka setiap manusia

yang percaya kepada hari pembalasan maka kehidupan mereka di dunia ini ialah seperti

seorang pengembara (musafir) yang sedang menunggu kenderaan (pesawat takdir)

untuk pulang ke negeri kematian. Dan tentunya, untuk pulang ke negeri abadi itu,

manusia perlu membawa bekalan (dokumen pengenalan/ tiket) yang dapat

menyelamatkan dirinya daripada sebarang kemungkinan yang pasti (tanpa mungkir).

Setiap kita adalah penunggu pesawat

Harus bersedia di balai berangkat

Kita pun menjadi penumpang

Pesawat yang terbang

Sering juga dihentak awan

Atau berdebat dengan hujan lebat

Namum biasanya kita selesa

Terlupa membaca cuaca

Kerana hidup adalah perjalanan

Kita harus bersedia dengan tiket

Dan dokumen pengenalan

Selebihnya berserah

Kepada kemungkinan

Kerana kita adalah musafir

Diterbangkan pesawat takdir

Tanpa mungkir.

Page 12: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Fitrah Bonda sebagai Pembentuk Karakterisme Insan

Pembentukan peribadi insan dalam pengertian amnya ialah menzahirkan sifat-sifat mulai

selaras dengan tuntutan agama, budaya dan sosial dalam sesebuah masyarakat. Dalam

konteks Malaysia ini, pembentukan insan yang disarankan ialah merujuk kepada manusia

yang taat kepada saranan keimanan atau agama dan patuh kepada undang-undang

negara selaras dengan peribadi manusia, kejadiannya, pembentukannya, faktor-faktor

yang menguatkannya dan menghindari faktor yang meruntuhkan kebijaksanaannya.

Syed Qutb menjelaskan bahwa dalam diri insan itu terdapat lima unsur yang

penting sehingga seseorang itu boleh digolongkan dalam kalangan makam insan. Unsur

tersebut ialah iman, roh, akal, nasfu dan jasad. Kesepaduan kelima-lima unsur ini akan

menjadikan seseorang manusia itu sempurna melalui pembersihan jiwa daripada sifat-

sifat yang kotor atau jahat dan keji dari segi akhlaknya. Oleh itu, dengan adanya iman,

roh dan akal yang diberikan oleh Tuhan, maka insan itu akhirnya dapat mengawal nafsu

dan jasad daripada terjerumus ke aras kepalsuan atau kejahatan (kemungkaran).

Sesungguhnya, ZH sangat berhati-hati menyuntik pemikiran ini ke dalam puisi-puisi yang

dihasilkannya.

Puisi berjudul ‘Suatu Malam Seorang Tetamu Datang’ (hlm: 3) mengisahkan

bagaimana nasib seorang adik yang menjadi mangsa ketidakjujuran anbang kandung

sehingga tanah pusaka hilang ke tangan orang lain. Pengalaman ini sangat biasa berlaku

kepada masyarakat kita setelah sesekorang itu ketiadaan ibu bapa. Warisan tanah

pusaka dijual demi mata duitan yang menjadi hambatan manusia tidak berfikir panjang.

Penyair kongsikan pengalaman ini dengan hastar supaya anak-anak tidak terlalu

mementingkan kebendaan dalam hidup atau mengejar kekayaan sekelip mata dengan

Page 13: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

menafikan hak orang lain. Puisi yang digarap secara naratif ini memperlihatkan sentuhan

halus bagaimana seorang adik yang tidak mampu berbuat apa-apa atas tindak tanduk

abang sulung yang tidak amanah (mungkin?). ZH menulis kesedihan itu begitu;

Suatu hari ada tetamu singgah membawa hadiah

Abang tua melayan mereka berlebihan

Kami dihalu ke belakang

Sedang mereka bersuka ria dengan makanan terhidang

Malam itu abang tengah memasang telinga

Pada dinding yang jarang

Kata tetamu

Kami mahu membeli tanahmu

Dengan harga tinggi

Adik-adikmu boleh tinggal\

Berkerja di sini

Itulah puncanya

Abang sulung menjadi kaya dan mebuang famili

Dan kami menjadi hamba di tanah sendiri.

Puisi ini memperlihatkan kepada kita bahawa sebagai seorang bonda, pesanan

terhadap hukum-hakam mewarisi pusaka perlu disuntik di dalam diri anak-anak. ZH cuba

mengetengahkan hal ini kepada analogi yang lebih besar, iaitu bagaimana sekirannya

hal ini dilakukan oleh serorang pemimpin negara? Tentunya, jika seseorang anak itu tidak

jujur, mata duitan, tamak dan rakus demi kepentingan peribada maka generasi yang

mendatang akan menderita akibat perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab itu.

Nasihat ini diteruskan dalam puisi berjudul ‘Lurah Bilut’ (hlm: 4). Pemikian puisi ini

merupakan penekanan kepada hal yang dijelaskan di atas. Persoalan menguruskan

‘tanah’ bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi dalam situasi ‘tanah’ yang mempunyai

Page 14: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

nilai sangat berharga. Bezanya ialah kerakusan terhadap tanah yang dikaitkan dengan

FELDA.

Jangan kau ajak dia berbincang

Tentang tanah Felda yag menjadi tanda tanya

Tanah-tanah simpanan Melayu yang menghilang

Belantara akan kembali mengaum di kepala

Katanya kini kita telah terlepas dari ancaman haiwan buas

Berhadapan pula manusia dan haloba yang lebih ganas

Kedua-dua puisi ini memberi wajah tentang pemimpin rakus yang tidak berpegang

kepada amanah yang dipertanggungjawabkan. Karakter pemimpin ini sebegini sangat

banyak berlaku dalam masyarkat hari ini. Sebagai seorang bonda yang sayangkan

kedamaian dan kebahagiaan, maka sangat wajar seorang bonda itu mengingtkan anak-

anaknya supaya berpijak di bumi nyata dengan berpegang teguh kepada prinsip

kemenjadian seorang pemimpin sama ada dirujuk sebagai abang atau ketua.

Pesanan terhadap pentingnya menjaga tanah air ini dipanjagkan lagi dalam dalam

puisi berjudul ‘Seorang Tuan Bernama Melayu’ (hlm: 8). Dalam puisi ini ZH dilihat lebih

yakin dan berani apabila melontarkan kritikan tajam kepada sesiapa sahaja yang berasa

diri mereka itu adalah pemimpin. Puisi yang disampaikan dengan teknik sudut pandang

orang ketiga itu sangat jelas menyindir pemimpin yang tidak sayang akan negeri sendiri

boleh membawa kepada penyesalan yang selamanya tidak boleh dimaafkan. Seorang

bonda yang terdidik biasanya mempunyai kekuatan sindiran yang baik kerana pekerjaan

sindiran seorang bonda itu penuh di dalamnya nasihat bukannya marah yang bertele-

tele.

Page 15: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Seorang tuan bernama Melayu

Hatinya dihiris sembilu

Menangis anak cucu

Bertukar menjadi burung garuda

Melanggar bertubi-tubi sebuah negeri

Sehingga segalanya hancur lebur

Menjadi padang jarak padang tekukur

Orang tua bernama Melayu itu

Menangis tiada henti

Kerana negeri yang mereka hancurkan itu

Adalah satu-satunya

Negeri mereka sendiri.

Dalam puisi berjudul ‘Rumahku di Padang Pasir’ (hlm: 37), dan ‘Membaca Sejarah’

(hlm: 36), nada dan perasaan yang sama ditemukan. ZH meminta kita membaca sejarah

supaya kita menjadi anak-anak yang kenal asal-usul, kenal semangat perjuangan dan

kenal jati diri sebagai bangsa yang hebat suatu waktu dahulu. Pesanan ini merupakan

satu seruan kepada generasi muda bahawa bangsa yang kuat dan bertamadun adalah

bangsa yang sentiasa berpegang kepada prinsip jati diri, tidak mudah menyerah atau

mengaku kalah. Malah lebih penting daripada itu ialah bagaimana ZH menekankan

tentang perlunya waspada terhadap kemungkian menjadi mangsa penipuan yang

dilakukan oleh bangsanya sendiri. Di bawah ini disisipkan puisi berjudul ‘Membaca

Sejarah’ bagi membuktikan kehadiran pesan seorang bonda terhadap pentingnya

memiliki kekuatan jati diri.

Membaca sejarah

Penuh peperangan dan penakhlukan

Bangsa-bangsa lemas ditindas

Page 16: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Membaca sejarah

Rasanya aku tidak pernah menemui

Kisah bangsaku menjarah

Tidak pernah tertulis

Bangsaku menzalimi bangsa lain

Selain bangsanya sendiri.

ZH tidak sekadar ingin menampilkan suara resah seorang bonda dalam dirinya,

namun turut juga menyuarakan harapan tinggi terhadap kejayaan masa depan anak-

anaknya yang dibelenggu pesimisme. Pengalaman dan pemahaman dirinya terhadap

kehidupan dunia yang penuh tipu daya ini telah membentuk daya fikirnya menjadi lebih

proaktif. Kebimbangan yang dirasakan itu ditumpahkan secara melankolik dalam puisi

berjudul ‘Di Hari Tua’ (hlm: 60).

Di hari tua

Senja melabuhkan langit

Ke dada laut

Berat tirai kesumba

Menghimpit ke dada

Di hari tua

Udara tak berkata

Daratan menghilang

Dan ombak pun surut

Tidak lagi garang

Manusia sebagai insan yang bernama bonda memiliki keupayaan berfikir (berakal)

dan kemampuan berkreativiti (berseni) akan sentiasa berusaha merakam, mencatat,

mengungkap dan mengucap segala yang dipandang, didengar, dirasa dan dialami.

Page 17: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Segala-galanya yang lahir daripada persekitaran kehidupan manusia itu telah menjadi

pencetus kepada aspek keinsanan itu sendiri. Tegasnya, penglahiran puisi di tangan ZH

adalah hasil daripada proses interaksi antara fitrah kebondaan seorang manusia dengan

alam dan antara seorang manusia dengan manusia lainnya. Malah yang paling penting,

ia bersumberkan adunan unsur-unsur luaran dan dalaman dalam fakulti diri manusia

seperti alamiah, inderawi, hati nurani, akal dan rohani. Keseluruhan dalam kesawatuan

fakulti itu tanpa disedari telah mengadun kata-kata menjadi puisi yang indah, berkualiti

dan berhikmah. Atas pertimbangan inilah, ZH menulis puisi berjudul ‘Andai Esok Masih

Ada’ (hlm: 39) dan kemudiannya wajar dihalusi inti maknanya kerana baris-baris ayat

yang terungkap itu sangat dekat dengan manifestasi realiti kehidupan masyarkat hari ini.

Andai esok masih ada

Mungkin kita dapat berjumpa

Berjalan-jalan di taman

Mengumpul daun-daun kering

Dari pohon kenangan

Andai esok masih ada

Mungkin kita dapat berbicara

Selepas itu seperti biasa

Aku akan pulang membawa suaramu

Yang penuh ungkapan kata-kata

Selepas itu seperti biasa

Aku akan pulang membawa kata-katamu

Yang tidak terungkap oleh suara

Seperti biasa

Bicaramu denga kata yang beragam

Diamku dengan makna yang lebih dalam

Page 18: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Kesimpulan

Oleh itu, apabila melihat puisi ZH dengan lebih jauh dan mendalam, persoalan yang

sering dikaitkan dengan masyarakat ialah apakah puisi itu boleh mengubah peribadi atau

kesedaran kemanusiaan daripada fitrah akal seorang bonda? Hakikat daripada

persoalan ini merupakan pertanyaan yang perlu ditangani segera. Menyedari hal inilah,

maka interaksi manusia dengan alam, manusia dengan sesama manusia, dan manusia

dengan Tuhan perlu direnung kembali supaya permasalahan kehidupan insan itu tidak

tersesat daripada landasan amar maaruf nahi mungkar. ZH telah mencuba dengan

sebaiknya untuk menimbulkan kesedaran ini meskipun fitrah bonda dalam dirinya tidak

sehebat sosok Siti Khadijah, isteri Rasulullah SAW atau pun Siti Fatimah Az-Zahra, puteri

kesayangan Rasulullah SAW. Malah tidak wajar membuat perbandingan sebeuini kerana

pendekatan fitrah bonda itu tidak berada pada landasan yang sama. Tetapi, sekurang-

kurangnya, ZH berani memilih puisi sebagai senjata dakwah dan fitrah bonda sebagai

pendekatan yang dapat mempamerkan nilai-nilai keindahan puisi seperti saranan Syed

Qutb.

Kesimpulan yang boleh dibuat daripada perbincangan yang berkaitan dengan

peran seorang bonda terhadap kemaslahatan umat pada dasarnya ialah tidak semua

unsur insaniah tersebut hadir serentak di dalam sesebuah puisi. Walau bagaimanapun,

daripada sudut yang lain, unsur-unsur nasihat, pesanan, sindiran atau teguran itu adalah

unsur yang menjadi pelengkap kepada rasa cinta, rasa kasih, rasa insaf yang terpaksa

dipikul oleh seorang bonda. Fitrah bonda yang ikhlas dan bijaksana akhirnya akan dapat

menentukan kehebatan masa depan sesebuah generasi. Dan, ZH selama era

Page 19: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

kepenyairan telah memilih pendekatan fitrah bonda dalam sfera kekeluargaan sebagai

mewakili pengucapan puisi-puisinya.

Waallahhuwalam.

Page 20: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

RUJUKAN

Abd. Rahim, Suffean Hussin, Jamaludin Tubah. (2006). Institusi Keluarga Menghadapi

Cabaran Alaf Baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Abd. Razak Zakaria dan Norani Mohd Salleh. (2011). “Konteks Keluarga dan

Hubungannya dengan Penglibatan Ibu Bapa dalam Pendidikan Anak-anak di

Sekolah Menengah”. Jurnal Pendidikan Malaysia, 36(1)(2011): 35-44

Abdullah Nasih Ulwan. (2015). Tarbiyatul Aulad (Terj.). Kuala Lumpur: PTS Publications.

Ahmad Sonhadji Muhammad. (1976). Tafsir al-Quran. Singapura: Pustaka Nasional.

Ahmad

Syarifuddin. (2004). Mendidik Anak: Membaca, Menulis dan Mencintai Al-Quran.

Jakarta: Gema Insani.

Ajmain Safar. (2006). Pelaksanaan Program Pembudayaan al-Quran Peringkat Negeri

Johor. Monograf Penyelidikan: Universiti Teknologi Malaysia Skudai.

Al-Qarni, A.Abdullah. (2007). Membangun Masyarakat Mithali. Kuala Lumpur: al-

Hidayah Publications.

Page 21: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Deborah Davis. (2000). Supporting Parent, Family, and Community Involvement in Your

School. Portland: Northwest Regional Educational Laboratory.

Faridah Jalil & Muhamad Helmi Md Said. (2109). Isu Kekeluargaan Islam dan Undang-

Undang Malaysia. Bangi: UKM Press

Habibah & Noran Fauziah. (2006). Psikologi Personaliti. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haron Din. (2007). Islam Panduan Komprehensif Keluarga Bahagian. Kuala Lumur: PTS

Publishing House

Lukman Hakimi (2014). Persepsi Pelajar terhadap Kurikulum Pendidikan Islam

Politeknik dalam Pembentukan Sahsiah Muslim. Jurnal Pendidikan Malaysia

39(2)(2014): 133-140.

Muhd Fauzi Muhamad. (2003). Pembentukan Keluarga. Semenyih,

Selangor: Synergymate Sdn. Bhd

Muhammad 'Uthman El-Muhammady. (2000). Ke Aras Membina Peribadi Insan Kamil.

Kuala Lumpur: Pustaka Mukmin.

Nik Azis Nik Pa dan Noraini Idris. (2008). Perjuangan Memperkasakan Pendidikan di

Malaysia: Pengalaman 50 Tahun Merdeka. Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Nor Musliza dan Mokmin Basri. (2014). Perbandingan Kaedah Hafazan al-Quran

Tradisional dan Moden: Satu Kajian Awal. Proceeding of the Social Sciences

Research ICSSR 2014 (e-ISBN 978-967-11768-7-0). 9-10 Jun pp.827-834.

Kota Kinabalu, Sabah.

Page 22: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Paizah Ismail. (2018). Kekeluargaan Islam Menurut Al-Quran Dan Al-Sunnah. Kuala

Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Rohana Hamzah. (2010). Mengenali Manusia: Asas Pembangunan Pendidikan

Berkualiti. Skudai: UTM Press.

Sayyid Qutb. (2010). Petunjuk Sepanjang Jalan (Terj. Maalim Fit Thoriq). Bandung:

Pustaka Muslimin.

Sayyid Qutb. (1990). Karatersitik Konsepsi Islam. Bandung: Penerbit Pustaka

Salma Ishak. (1988). Penglibatan Ibu Bapa di Prasekolah. Jurnal Pendidik dan

Pendidikan Universiti Utara Malaysia. Jilid 9, 1987/88.

Shamsudin Othman. (2007). “Gapura Diri: Percakapan Nurani dari Sudut Rasa

Insaniah”, dlm Jurnal Pangsua, bil.25/Jilid 13. hlm: 134-147.

Shamsudin Othman. (2012). “Rasa Insaniah dalam Tiga Penyair Nusantara”, tesis

Ijazah Doktor Falsafah, Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Kuala

Lumpur. (Bakal diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka).

Shamsudin Othman. 2019. “Telaah Amanat Alam Muhammad Haji Salleh dalam Sebutir

Zamrud di Debu Selat: Satu Pertimbangan Model Rasa Insaniah”. dlm.

Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Page 23: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Shihab, M.Quraisy. (2010). Tafsir al-Mishbah: Pesan, Kesan dan Keserasian al-Quran.

Jakarta: Lentera Hati.

Sidek Baba. (2009). Acuan Minda. Kuala Lumpur: Alaf 21.

Sufean bin Hussin, Shahril @ Charil Marzuki, Ahmad Zabidi Abdul Razak, Habib Md.

Som dan Alina. (2005). Pentadbiran dan Pembangunan Pendidikan. Kuala

Lumpur: PTS Professional.

Yazid bin Abdul Qadir Jawas. (2015). Buku Panduan Keluarga Sakinah. Jakarta:

Pustaka Imam Asy-Syafi’i

Zainudin Abu Bakar. (2014). Psikologi Pendidikan: Pedoman Untuk Guru dan Ibubapa.

Singapura: Partridge Publishing.

Zurinah Hassan. (2021). Menunggu Pesawat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Page 24: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

Biodata ringkas

Page 25: KECENDERUNGAN FITRAH BONDA DALAM KUMPULAN PUISI …

Kertas Kerja Untuk Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Zurinah Hassan 29 Julai 2021, DBP

SHAMSUDIN OTHMAN dilahirkan di Tangkak, Johor. Mendapat pendidikan awal di

daerah kelahiran sebelum melanjutkan pelajaran di ITM, Shah Alam (1985-86), Maktab

Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur (1987-1989), Institut Bahasa, Kuala Lumpur

(1994) dan Universiti Malaya (Kelas Pertama – 1998) sehingga memperoleh Ijazah

Doktor Falsafah pada tahun 2011 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Pernah memenangi lebih daripada 37 anugerah dalam pelbagai sayembara sastera

peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya, Hadiah Sastera Perdana Malaysia

(HSPM), Anugerah Sastera BH-ITBM, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU),

Anugerah Sastera Darul Ta’zim (ASD), Anugerah Sastera Tun Razak Negerawan Ulung,

Hadiah Sastera Esso-GAPENA, Hadiah Sastera Puisi Islam ASEAN dan lain-lain. Kini

bertugas sebagai seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Pendidikan Bahasa dan

Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Antara karya

yang teleh diterbitkan ialah kumpulan puisi berjudul Taman Percakapan (DBP: 2006),

Tanah Nurani (PIB: 2009), Taman Maknawi (ITBM: 2013), Taman Insaniah (DBP: 2015),

Kudus Kesturi (ITBM: 2015), Segugus Percakapan Cinta di Bawah Matahari (ITBM-

Penerbit Obor: 2017), Apresiasi Sastera (DBP: 2014), Kesusasteraan Melayu

Komunikatif (Oxford Fajar: 2016), Islam dalam Kebudayaan Melayu (OUM: 2015) dan

lain-lain.