kata alu-aluan naib canselor usm · kata alu-aluan menteri kesihatan malaysia...

36

Upload: lephuc

Post on 25-Mar-2019

316 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

2 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

KATA ALU-ALUAN MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

BismillahirrahmanirrahimAssalamulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Unit Perubatan Integratif dan Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia kerana memberikan peluang kepada saya untuk merakamkan sepatah dua kata alu-aluan di dalam buku abstrak Seminar Perubatan Integratif 2018.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat peningkatan yang ketara dari segi minat dan penggunaan kaedah rawatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) untuk mencegah atau merawat pelbagai jenis penyakit serta meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan hidup. Ia juga diamalkan sebagai satu cara hidup sihat melalui penggunaan sumber alam semulajadi, aktiviti manipulatif seperti bekam, akupunktur, urut dan sebagainya berasaskan ilmu dan pengalaman yang diwarisi turun-temurun.

Bidang PT&K yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangkumi amalan pengubatan Islam, perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati dan perubatan komplementari (kiropraktik dan osteopati).

Dengan mengambil kira potensi dan implikasi PT&K dari segi kesihatan, ekonomi dan sosial, pihak. Kementerian telah mengambil pendekatan yang proaktif untuk mengintegrasikan PT&K ke dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan. Antara usaha KKM dalam membangunkan dan memperkembangkan bidang PT&K adalah seperti menubuhkan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari pada tahun 2004. Seterusnya, perkhidmatan PT&K telah diperkenalkan di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia bermula pada tahun 2007 dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat sehingga kini. Selain itu, Akta PT&K 2016 (Akta 775) juga telah dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016. Akta ini adalah bertujuan untuk meningkatkan profesionalisme pengamal dan memastikan perkhidmatan PT&K di Malaysia adalah selamat dan berkualiti.

KKM telah melaksanakan pelbagai usaha ke arah memartabatkan PT&K di Malaysia dan ia akan diteruskan demi memastikan perkhidmatan PT&K adalah berkualiti, selamat dan berkesan. Ini turut menunjukkan pengiktirafan pihak Kementerian terhadap sumbangan PT&K dalam pemeliharaan dan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia. Syabas dan tahniah sekali lagi saya rakamkan di atas kejayaan mengadakan seminar ini pada hari ini.

Sekian, wassalam.

DR. DZULKEFLY AHMADMenteri Kesihatan Malaysia

3SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

KATA ALU-ALUAN NAIB CANSELOR USM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Unit Perubatan Integratif dan Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, selaku penganjur Seminar Perubatan Integratif 2018, kerana memberikan peluang kepada saya untuk merakamkan sepatah dua kata alu-aluan di dalam buku abstrak Seminar ini.

Perubatan Integratif adalah perubatan berorientasikan penyembuhan keseluruhan (holistik) yang melibatkan semua aspek kehidupan. Ia menekankan hubungan terapeutik antara pengamal dan pesakit, berasaskan bukti (evidence based), dan menggunakan semua terapi yang sesuai dari amalan perubatan moden, tradisional dan komplementari.

Universiti Sains Malaysia semenjak dulu lagi amat menggalakkan pengajian ilmu perubatan Tradisional dan Komplementari seperti yang diamalkan di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Sains Farmasi, Sains Pergigian dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT). Integrasi ilmu-lmu klasik dan moden menjadikan percambahan ilmu lebih menyeluruh dan menyemarakkan pemikiran keilmuan. Malah integrasi ilmu juga patut berlaku dalam bidang-bidang selain perubatan seperti pertanian, perniagaan, pendidikan dan sebagainya.

USM mengorak langkah untuk mempraktikkan perubatan tradisional ini dengan menubuhkan Pusat Rawatan Tradisional berteraskan Islam di Pusat Islam Induk Pulau Pinang pada Januari 2010. Seterusnya, rawatan Islam ini telah dikembangkan ke Kampus Kesihatan USM di Kubang Kerian. Rawatan ini menyediakan rawatan alternatif terhadap penyakit yang tidak dapat dikesan dan diubati melalui kaedah moden dan saintifik.

USM terus menyokong dan memperkasakan perubatan integratif dengan menubuhkan Unit Perubatan Integratif di Kampus Kesihatan. Unit ini menawarkan Program Traditional Complementary Medicine (TCM) kepada pelajar perubatan supaya pelajar dapat memahami konsep asas penjagaan kesihatan menggunakan kaedah perawatan integratif dan dapat mempraktik pengetahuan tersebut pada masa akan datang.

Akhir kata, saya amat berharap segala perbincangan dan perkongsian ilmu dan pengalaman dalam Seminar ini akan memberi manfaat kepada semua yang hadir dalam memperkasakan perubatan integratif sebagai satu cara rawatan yang semakin popular dan diterima masyarakat negara ini.

Syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Seminar Perubatan Integratif 2018 ini. Sekian, wassalam.

PROFESOR DATUK DR. ASMA ISMAIL, FASc.Naib CanselorUniversiti Sains Malaysia

4 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

KATA ALU-ALUAN PENGERUSI BERSAMA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Kami bagi pihak Jawatankuasa Penganjur Seminar Perubatan Integratif 2018 berbesar hati mengalu-alukan dan mengucapkan ribuan terima kasih, atas kesudian Yang Berhormat Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia untuk hadir dan merasmikan seminar ini. Dalam kesibukan, beliau masih sudi meluangkan masa menghadiri pembukaan seminar ini, jelas mempamerkan keprihatinan dan sokongan beliau terhadap bidang Perubatan Integratif khususnya, terhadap aktiviti

akademik para pensyarah dan pelajar di kampus USM secara amnya. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang dan menyampaikan penghargaan kepada semua penceramah dan peserta antarabangsa dan tempatan, terutamanya yang datang dari luar USM yang hadir memberi sokongan dalam Seminar Perubatan Integratif, yang berlangsung pada 14 dan 15 Ogos 2018 di Kampus Kesihatan USM.

Minat dalam bidang penyelidikan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) mula terserlah dalam kalangan pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan sejak penubuhan Hospital USM seawal tahun 1980an. Penyelidikan pertama yang dijalankan adalah berkaitan penggunaan madu sebagai agen rawatan ulser diabetik. Pada hari ini kita lihat ratusan penulisan dan penerbitan saintifik berkaitan madu dan herba dalam jurnal tempatan dan antarabangsa hasil usaha gabungan pelajar, penyelidik dan pensyarah. Ini meliputi kajian klinikal hingga kajian peringkat molekular.

Objektif penganjuran Seminar Perubatan Integratif kali ini adalah untuk berkongsi ilmu dalam memahami konsep asas penjagaan kesihatan menggunakan kaedah perawatan integratif. Interaksi dan kerjasama antara pelbagai bidang dalam perubatan integratif membolehkan penyelidikan translasi, yang merupakan langkah penting ke arah mengekalkan kesihatan manusia, pada kadar yang mampu, dan menjadikannya boleh dicapai oleh segenap populasi dalam masyarakat kita.

Seminar ini melibatkan sembilan penceramah jemputan dalam pelbagai komponen perubatan integratif dan lebih 350 peserta daripada pelbagai lapisan peringkat yakni dalam kalangan mahasiswa, calon pasca siswazah, ahli akademik, doktor perubatan awam dan swasta, pengamal perubatan tradisional serta masyarakat umum dari dalam dan luar negara, seperti dari Brunei menghadiri seminar ini. Selain daripada pengisian sembilan slot ceramah, terdapat juga peserta yang akan berkongsi dan membentangkan hasil kerja penyelidikan mereka sama ada pembentangan oral atau poster. Seminar ini juga turut dimeriahkan dengan pameran serta jualan pelbagai produk daripada syarikat yang mengambil bahagian.

Sekali lagi, kami ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran seminar terutama sekali Menteri Kesihatan Malaysia, Naib Canselor USM, pegawai-pegawai utama universiti dan semua ahli jawatankuasa yang terlibat. Tidak lupa kepada para penaja iaitu Suzy Honey, Young Bees (M) Sdn Bhd, Kolej Polytech Mara (KPTM), Tourism Malaysia, F&N, FAMA, Nestle, Kumpulan Media Karangkraf, Dewan Bahasa & Pustaka, Kelantan Tourism dan Al-Khatiri Hotel. Terima kasih di atas penajaan yang diberikan dalam pelbagai bentuk.

Akhir sekali, bagi pihak jawatankuasa penganjur, kami mengalukan kehadiran tuan/puan ke seminar ini dan berharap akan menghadiri lagi seminar, bengkel dan kursus yang bakal kami anjurkan di masa akan datang. Kami juga amat menghargai maklumbalas dari tuan/puan berkaitan dengan pengurusan seminar ini.

Sekian, wassalam. Profesor Madya Dr. Mahaneem Mohamed & Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain

5SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

Mukadimah

Sistem Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) adalah merupakan komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan masyarakat. Ianya sentiasa wujud bersama Perubatan Moden (PM) ke arah meningkatkan kesihatan dan kualiti kehidupan. Semenjak merdeka, Malaysia telah menubuh dan membangun sistem penjagaan kesihatan moden (PM) yang mana semua rakyat boleh berbangga dengannya. Sementara itu Perubatan Komplementari (PK) juga mula bertapak. Minat dan permintaan untuk penjagaan kesihatan secara semulajadi dan menyeluruh terus meningkat secara global dan mendapat perhatian Pertubuhan Kesihatan Se Dunia (WHO). Ini menuntun anjakan paradigma dalam sistem penjagaan kesihatan untuk menggabung ketiga-tiga sistem supaya lebih holistik yang dipanggil Perubatan Integratif (PI). Malaysia agak terkedepan dalam hal ini dengan menubuhkan Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari (TCM Division) dan Akta PTK 2016 (Akta 775) dan sedang berusaha untuk melaksanakan sepenuhnya. Akta ini bakal melindungi orang ramai dan para Pengamal. Diperingkat Universiti berbagai penyelidikan telah dijalankan terkait amalan PTK seperti herba, madu, urut, bekam, akupuntur dan lain-lain. Kini tibalah masanya untuk semua pihak membuka minda dan hati nurani berusaha bersama dan bersungguh dalam merialisasikan perintegrasian ini. Dengan slogan USM memimpin, Pusat Pengajian Sains Perubatan mengambil inisiatif menganjurkan seminar Perubatan Integratif Pertama (2018) yang di hoskan bersama oleh Unit Perubatan Integratif dan Unit Perkembangan Kesihatan Wanita. Seminar ini terbuka untuk semua lapisan masyarakat dan pengamal dari dalam dan luar Negara.

Objektif

Peserta Memahami Konsep Asas Penjagaan Kesihatan Menggunakan Kaedah Perawatan Integratif Dan Mempraktik Pengetahuan Tersebut.

TemaKe Arah Kelestarian Kesihatan

6 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

Penceramah

7SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

Program

HARI PERTAMA : 14/8/18 (Selasa)

HARI KEDUA : 15/8/18 (Rabu)

8 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

ABSTRAK PENCERAMAH

Dr. Goh Cheng Soon•Pengarah•Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplimentari, Kementerian Kesihatan Malaysia•MBBS (Kasturba Medical College, India), Master of Laws in Medical Law (University of Kent, UK), PhD in Law (University of Leeds, UK)•Bidang Polici dan Peraturan (policy and regulation), Medico-Legal

Tajuk: KONSEP DAN PENDEKATAN PERUBATAN TRADISIONAL & KOMPLEMENTARI (PT&K) DI MALAYSIA

Perubatan moden merupakan sistem penjagaan kesihatan utama di Malaysia. Namun, minat dan permintaan yang tinggi daripada rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan menyumbang kepada penerusan amalan PT&K. Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berusaha untuk membangunkan PT&K di Malaysia berpandukan visi bahawa PT&K dan perubatan moden dapat wujud bersama secara harmoni dalam meningkatkan tahap kesihatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia. Akan tetapi, konsep PT&K yang diketengahkan di KKM adalah sebagai pelengkap atau komplementari kepada perubatan moden dan bukan merupakan rawatan alternatif.KKM telah mengambil pendekatan yang positif dan proaktif dalam memastikan kualiti dan keselamatan PT&K kepada orang awam. Pendekatan tersebut meliputi pelbagai aspek termasuk pengawalseliaan sektor-sektor di bawah bidang PT&K seperti pendaftaran produk PT&K, pengamal PT&K, pendidikan, kaji selidik dan pengintegrasian PT&K ke dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan. Akta PT&K 2016 [Akta 775] yang dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016 merupakan satu batu lonjakan terbesar dalam perkembangan dan professionalisme industri PT&K. Akta ini mengawalselia segala aktiviti berkaitan dengan bidang amalan dan para pengamal PT&K di Malaysia serta memastikan perkhidmatan yang berkualiti disediakan untuk orang awam.Sehubungan itu, Kementerian ini berharap usaha yang berterusan dengan kerjasama semua pihak berkepentingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, perkhidmatan PT&K yang berkualiti, selamat dan berkesan untuk pemeliharaan dan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia dapat direalisasikan kelak.

Dr S Praveena Seevaunnamtum•Pensyarah Perubatan & Pakar Bius•Jabatan Anesthesiologi & Rawatan Rapi, PPSP, USM•MBBS (IMU), M.Med [Anaestesiology] (USM)•Kapakaran: Anesthesiologi

Tajuk: AKUPUNKTUR : SEBELUM DAN SELEPAS PEMBEDAHAN, SEJAUH MANA IANYA BERKESAN

Akupunktur, salah satu modaliti Perubatan Traditional Cina yang sudah lama digunakan untuk manfaat kesihatan. Apa yang aneh ialah penggunaan jarum-jarum akupunktur tidak menyebabkan sakit pada para pesakit tetapi membawa kebaikan dari segi penggurangan sakit di seluruh badan. Adakah penggunaan akupunktur ini berasakan penyelidikan perubatan yang kukuh atau kepercayaan semata mata? Dari segi perubatan perioperatif, akupunktur digunakan untuk mengurangkan rasa sakit, memberi kesan sedatif dan menggurangkan kesan loya muntah selepas pembedahan. Ini bukan sahaja mengurangkan penngunaan ubat bius dan ubat tahan sakit, malah menggurangkan kesan sampingan ubat tersebut. Universiti Sains Malaysia menerajui pengunaan ubat elektroakupunktur sebagai model perubatan integratif semasa waktu pembedahan untuk keselesaan pesakit.

9SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

Dr. Mohamad Najib Bin Mat Pa•Pensyarah Perubatan•Jabatan Pendidikan Perubatan, PPSP, USM•MD (USM), MSc [Medical Education] (USM)•Kepakaran: Pendidikan Perubatan, Akupunktur, Pengubatan Islam

Tajuk: AKUPUNTUR UNTUK KESIHATAN

Rawatan akupuntur pada lazimnya lebih dikenali di Negara China dan merupakan rawatan yang telah lama diamalkan. Rawatan ini berkembang dengan pesat di seluruh dunia dan terbukti mampu memberikan rawatan yang komplimen kepada perubatan moden. Namun majoriti masyarakat di Malaysia masih belum mampu menerima rawatan ini sebagai salah satu rawatan komplimen di dalam usaha mencari penyembuhan dalam masalah kesihatan.Perkara yang akan dibincang: Diakhir kuliah, peserta akan dapat:1. Mengetahui amalan akupuntur secara umum2. Mengetahui peranan akupuntur untuk kegunaan bidang kesihatanPenutup:Rawatan akupuntur adalah salah satu usaha rawatan untuk mencari kesembuhan dalam keadaan-keadaan tertentu dan masyarakat perlu membuka minda dan kesedaran tentang peranan akupuntur dalam membantu kesembuhan terhadap sesuatu masalah dan membantu meningkatkan tahap kesihatan individu.

Profesor Dr Nik Hazlina Nik Hussain•Pensyarah Perubatan•Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, PPSP, USM•MD (UKM), M.Med [Obstetric & Gynecology] (USM)•Kepakaran: Endokrinologi Reproduksi dan Kesihatan Seksual, Perubatan Tradisional & Komplimentari, Trial Klinikal Madu dan Herba

Tajuk: MADU DAN WANITA

Pengambilan madu dan produk lebah telah diamalkan selama berabad lamanya oleh masyarakat yang berbeza dalam merawat pelbagai penyakit. Sejak 10 tahun yang lalu, banyak kajian dan penyelidikan untuk melihat manfaat madu sebagai rawatan atau makanan tambahan untuk pelbagai penyakit termasuklah menopaus. Terdapat lebih kurang 80% daripada wanita menggunakan pengambilan madu dan produk lebah, ubat-ubatan herba, vitamin dan mineral, ubat-ubatan homeopati, akupunktur dan meditasi dalam usaha mengurangkan gejala menopaus.Setelah menopaus, wanita akan mengalami perubahan fisiologi dan biologi yang mendedah mereka kepada ancaman kesihatan. Terdapat pertambahan jumlah wanita yang mengalami masalah osteoporosis, obesiti, diabetes mellitus, hipertensi, penyakit kardiovaskular dan berisiko untuk menghidap pelbagai jenis kanser. Sebelum ini, terapi penggantian hormon (TPH) telah menjadi asas kepada rawatan berkaitan dengan masalah menopaus, namun hanya 8.1% wanita di Malaysia menggunakannya.Kebimbangan terhadap kesan sampingan terapi, keselamatan dan keberkesanan rawatan menjadi punca ramai yang beralih kepada rawatan alternatif untuk mengurangkan gejala menopaus mereka. Dapatan kajian membuktikan bahawa madu bermanfaat kepada wanita menopaus.

10 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

Prof Madya Dr Mahaneem Mohamed•Pensyarah Perubatan•Jabatan Fisiologi & Unit Perubatan Integratif, PPSP, USM•MD (UKM), M.Med [Physiology] (USM), PhD [Physiology] (USM)•Kepakaran: Reproduktif fisiologi & toksikologi, Natural products, Perubatan Komplimetari & Integratif

Tajuk: URUT UNTUK KESIHATAN

Urut adalah salah satu modaliti yang terdapat dalam Perubatan Tradisional dan Komplementari. Terdapat berbagai jenis dan teknik urut yang diamalkan oleh pelbagai kaum di Malaysia dan di luar negara. Di antara tujuan utama urut diamalkan adalah untuk mencegah dan merawat keadaan yang berkaitan dengan otot, dan juga keadaan yang berkaitan dengan sakit yang kronik. Kajian klinikal yang kurang, bilangan peserta yang kecil dalam kajian dan juga terdapatnya kepelbagaian teknik, tekanan dan tempoh urut yang diamalkan menyebabkan terdapat kesukaran untuk membuktikan keberkesan urut secara saintifik. Walaubagaimanapun, amalan urut yang masih kekal sejak dahulu sehingga kini menunjukkan bahawa urut dapat memberi kesan yang positif kepada pesakit. Beberapa mekanisma telah dicadangkan mengenai kesan urut kepada fisiologi badan. Terdapat juga beberapa langkah berjaga-jaga yang perlu diambil untuk mengelakkan kesan sampingan kepada pesakit.

Dr Rehanah Mohd Zain•Pensyarah Kanan •Unit Interdisiplinari, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM•Ba. Mass Communication [Public Relations](UiTM), M.Sc [Health Education](UKM), Ph.D [Epidemiology and Public Health] (USM)•Kepakaran: Epidemiologi & Kesihatan Awam, Promosi Kesihatan, Komunikasi, Perubatan Komplimentari (Pengubatan Islam, Terapi Bekam, Akupunktur)

Tajuk: BEKAM UNTUK KESIHATAN

Bekam merupakan rawatan tradisional yang tertua di dunia yang digunakan untuk merawat di Mesir semenjak 1550 Sebelum Masehi. Namun rawatan Sunnah Rasulluah (SAW) kian popular sehingga kini untuk mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit seperti sakit kepala, angin ahmar, diabetis, gout dan lain-lain. Pelbagai peralatan digunakan di antaranya tanduk, kayu, buluh, kaca dan plastik untuk rawatan bekam. Hasil penyelidikan mendapati manfaat berbekam banyak sekali di mana boleh meningkatkan sistem daya tahan badan, melancarkan sistem peredaran darah, membantu membuang angin dan melegakan sistem pernafasan, perkumuhan dan lain-lain lagi. Prosedur bekam yang merangkumi pre(sebelum) dan pos(selepas) perlu dipatuhi untuk keselamatan pesakit dan juga jurubekam. Kebersihan peralatan bekam (sterilisasi) dan tempat diutamakan dan kemahiran jurubekam sangat penting untuk mengelak daripada jangkitan kuman hasil pembuangan darah yang bertoksid yang boleh memberi kemudaratan kepada kedua-dua belah pihak dan alam sekitar. Titik-titik bekam perlu dikenalpasti, teknik berbekam yang betul dengan menggunakan peralatan tradisional mahu pun moden oleh jurubekam yang profesional untuk membekam pesakit bergantung kepada masalah kesihatan yang dialami oleh pesakit. Tidak semua orang boleh menjalani rawatan bekam dan terdapat larangan berbekam untuk mengelak kesan sampingan yang boleh memudaratkan pesakit, di antaranya ialah pesakit terlalu lemah, tua, mengalami penyakit kulit alergi yang serius, wanita yang sedang dalam haid, nifas dan kanak-kanak yang badannya lemah dan di bawah umur tiga tahun. Selepas berbekam, galakkan cara hidup sihat seperti pemakanan sihat dan bersenam perlu diamalkan oleh pesakit untuk penjagaan kesihatan sepanjang hayat.

11SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

Ustaz Ikmal Zaidi bin Hashim•Pensyarah•Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor•Sarjana Muda Al-Qiraat dan Ulum Al-Quran (Universiti Al-Azhar), Sarjana Usuluddin (UM), Doktor Falsafah Islamiyyat [Usuluddin] (KUIS)•Kepakaran: Pengubatan Islam, Ilmu Qiraat

Tajuk: PERANAN RUQYAH MERAWAT PENYAKIT

Dewasa ini umat Islam di Malaysia semakin mengetahui bahawa terdapat kaedah dalam mencari kesembuhan penyakit melalui doa. Oleh kerana itu semakin banyak pihak yang menawarkan rawatan berteraskan doa yang lebih sinonim dengan Ruqyah. Disebabkan asas rawatan ini ialah aplikasi bacaan dan doa-doa yang terdiri daripada ayat-ayat suci Al-Quran, hadis-hadis Nabi s.a.w dan amalan-amalan para ulama maka masyarakat lebih senang memberikan label Pengubatan Islam kepada rawatan penyakit yang berteraskan ruqyah ini. Persoalannya sejauh mana Ruqyah berperanan dalam merawat pelbagai penyakit yang dihidapi oleh manusia? Adakah semua penyakit boleh dirawat dengan kaedah Ruqyah? Apakah fungsi sebenar Ruqyah dalam Pengubatan Islam?

Dr. Siti Amrah Sulaiman •Pensyarah Kehormat•Unit Perubatan Integratif, PPSP, USM•MD (USM), MMedSci [Pharmacology] (UKM), PhD (USM)•Kepakaran: Farmakologi, Toksikologi Reproduktif, Penyelidikan Bahan Asli (Madu dan Herba), Perubatan Tradisional (Akupuntur, Bekam, Apiterapi)

Tajuk: MAKANAN SIHAT UNTUK MERAWAT PENYAKIT

Manusia adalah sebaik-baik kejadian hasil gabungan roh dan jasad yang masing-masing memerlukan makanan atau santapan rohani dan jasmani untuk hidup sihat, seimbang dan sejahtera. Makanan rohani memacu kepada pemusatan tumpuan terhadap Yang Maha Pencipta. Hubungan intim antara makhluk dengan Sang Pencipta melahirkan jiwa yang tenang dan akal yang waras. Jasad merupakan gabungan berbagai unsur api (haba), angin (udara), tanah, air dan logam (bahan galian) yang diciptakan dengan begitu indah dan penuh keajaiban selepas bergabungnya benih (DNA) ibu dan ayah. Jasad yang sihat dan sempurna pembentukannya berada dalam keadaan keseimbangan (panas, sejuk, basah dan kering) lalu ditiupkan roh sebelum dilahirkan ke dunia. Semasa hidup di alam dunia, manusia akan terus membesar menjadi remaja, dewasa dan akhirnya menua sebelum roh dipisahkan semula daripada jasad. Perpisahan antara roh dengan jasad juga berlaku secara berkala ketika kita tidur bagi memberi ruang dan peluang kepada jasad berehat dan menjalani proses tumbesaran dan pemulihan. Kesihatan jasmani dipengaruhi oleh berbagai faktur seumpama pemakanan, perkumuhan, rehat, pergerakan, persekitaran, pemikiran dan emosi. Paska modenisasi menyaksikan pengambilan jumlah dan jenis pemakanan yang tidak seimbang, berlebihan dalam pengambilan makronutrian tertentu seperti karbohidrat dan protein haiwan dan kurang serat dan mikronutrian yang mengundang kepada hilangnya keseimbangan lalu melahirkan berbagai penyakit. Pinggan sihat Malaysia, suku-suku separuh anjuran Kementerian Kesihatah Malaysia adalah suatu amalan pemakanan yang sihat. Namun bagi mereka yang mengalami berbagai penyakit perlu kepada pendekatan yang lebih serius umpama berpuasa dan memilih dengan teliti jenis pemakanan yang diambil. Kaedah dan amalan pemakanan yang disyor untuk menyembuh penyakit akan dibincangkan.

12 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

Puan Mazni Yusoff•Pengajar Klinikal•Unit Perubatan Integratif, PPSP, USM•BSc in Nursing [Clinical] (UM), MSc Clinical [Traditional Complimentary Medicine] (USM)•Kepakaran: Perubatan Tradisional Komplimentari

Tajuk: PERANAN PARAMEDIK DALAM PERUBATAN INTEGRATIF

Perubatan Integratif merupakan satu bidang perubatan yang menggabungkan kaedah perubatan tradisional dan perubatan moden untuk merawat pesakit berlandaskan ‘evidence-based’.

Bermula 6 Mac 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah perkasakan penyelidikan tentang perubatan tradisional dan integratif sebagai sebahagian daripada kearifan tempatan dan juga pemindahan ilmu untuk masyarakat supaya perkhidmatan ini digunapakai dalam proses rawatan dan kesembuhan penyakit.

Pada 15 Julai 2017 – Unit Perubatan Integratif ditubuhkan bagi mengurus program Pengajaran Pelajar Perubatan tahun 4 dan Pembelajaran Klinikal supaya para doktor terlantik mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk membantu pesakit kronik mempunyai peluang sembuh yang lebih tinggi menggunakan Perubatan Integratif.

13SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

SENARAI PEMBENTANG ORAL No. Tajuk & Pembentang

L01 Kesan jangka panjang Madu Tualang dan Madu Koktail terhadap parameter kardiovaskular dan profil keselamatan dalam kalangan wanita selepas menopausSiti Zubaidah Ab Wahab

L02 Program Berstruktur Bagi Perubatan Tradisional Melayu (PTM) di MalaysiaNornizam Ngadeni

L03 Penggunaan Madu Lebah Tualang dalam Kalangan Pesakit HIV: Selamatkah Ia?Wan Nazirah Wan Yusuf

L04 Aspek-aspek Penyelidikan Ilmu Perubatan Melayu Berdasarkan Kitab Tib MelayuHarun Mat Piah

L05 Ulasan Sistematik: Kedudukan Propolis Kelulut dalam Perubatan Integratif AntarabangsaYeoh Boon Seng

L06 Keberkesanan pengambilan secara oral Aloe barbadensis miller yang distabilkan untuk mempercepatkan proses pemulihan sistem badan melalui kaedah AloetherapySiti Aishah Binti Mohamed Ali

SENARAI PEMBENTANG POSTERNo. Tajuk & Pembentang

P01 Amalan berpantang selepas bersalin secara tradisional MelayuRita Surianee Ahmad

P02 Propolis lebah kelulut mencegah angiopati dalam kalangan tikus diabetes: tindakan bersepadu antioksidan dan antihiperglisemia produk sarang kelulut terhadap aortaYeoh Boon Seng

P03 Kesan jangka panjang madu tualang dan madu koktail terhadap profil hormon dan densiti tulang dalam kalangan wanita selepas menopausSiti Zubaidah Ab Wahab

P04 Ulasan kepustakaan: manfaat propolis kepada jantungOon Zhi Lim

P05 Kesan terapeutik madu dalam perubatan integratifRita Surianee Ahmad

P06 Penghasilan dan penerimaan sensori bagi karipap daging landak rendah lemak dan tinggi serat yang ditambah dengan Oxalis barrelieriNorfarizan Hanoon Noor Azmi

P07 Perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (Pt&k) di peringkat kesihatan primer: Program Penjagaan Tradisional Posnatal di Klinik Kesihatan Meranti, Pasir Mas, KelantanNor Asmah Hasan

P08 Model umum pembangunan Perubatan Melayu berasaskan manuskrip kitab-kitab Perubatan MelayuNorhissam Mustafa

P09 Peranan air kelapa (Cocos nucifera L.) terhadap kualiti spermaNoor Hashida Hashim

P10 Kesan roti lebah Malaysia pada perubahan histologi hepar dalam tikus aruhan obesiti secara diet tinggi lemak: kajian rintisZaida Zakaria

P11 Urutan postnatal perkhidmatan traditional dan komplementari Pejabat Kesihatan Daerah Machang Tahun 2017 hingga Jun 2018Nor Eda Wati Ahmad @Abdul Razak

P12 Madu lebah Tualang berpotensi sebagai agen neuroprotektif dalam model tikus penyakit neurodegeneratifNur Shafika Mohd Sairazi

P13 Histeria dari perspektif biopsikososial spiritual: bukan sekadar rasukan JinNorili Farhana Ahmad Saberia

P14 Gangguan pemilikan jin: nosologi baru untuk penyakit perubatanWan Mohd Azizi Bin Wan Sulaiman

14 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

Abstrak Peserta

15SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

L01KESAN JANGKA PANJANG MADU TUALANG DAN MADU KOKTAIL

TERHADAP PARAMETER KARDIOVASKULAR DAN PROFIL KESELAMATAN DALAM KALANGAN WANITA SELEPAS MENOPAUS

Siti Zubaidah Ab Wahaba, b*, Nik Hazlina Nik Hussaina, Rahimah Zakariac, Azidah Abdul Kadird, Norazlina Mohamedb, Noorlaili Mohd Tohite, Norhayati Mohd Noord,

Intan Idiana Hassanf

aUnit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

bJabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, 56000,Kuala Lumpur, Malaysia

cJabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

dJabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

eJabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras,56000, Kuala Lumpur, Malaysia

fPusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Pelbagai kajian telah dilakukan di seluruh dunia untuk menentukan khasiat perubatan menggunakan madu lebah dan produk lebah seperti jeli raja dan roti lebah. Namun begitu, laporan tentang kesan jangka panjang pengambilan madu dan produk lebah tersebut daripada segi sistem kardiovaskular dan tahap keselamatan masih terhad. Kajian ini dijalankan untuk menyiasat kesan jangka panjang pengambilan Madu Tualang berbanding Madu Koktail (campuran madu, jeli raja dan roti lebah) terhadap parameter kardiovaskular dan profil keselamatan dalam kalangan wanita selepas menopaus. Satu kajian klinikal rabun dwi-pihak secara rambang yang membandingkan pengambilan 20 g sehari Madu Tualang dan 20 g sehari Madu Koktail dalam kalangan wanita selepas menopaus (yang berusia 45 hingga 65 tahun) selama dua belas bulan telah dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia. Parameter kardiovaskular dan profil keselamatan diukur sebanyak tiga kali iaitu semasa saringan, bulan ke enam dan bulan ke dua belas. Seratus orang subjek telah berjaya menyertai kajian dan dirambangkan ke dalam kedua-dua kumpulan. Terdapat penurunan yang signifikan dalam kumpulan Madu Tualang daripada segi tekanan darah diastolik (p = 0.047) dan aras glukosa dalam darah sewaktu berpuasa (p = 0.021). Manakala dalam kumpulan Madu Koktail, terdapat pengekalan indeks jisim tubuh yang signifikan (p = 0.010). Berdasarkan profil keselamatan, tiada sebarang perubahan yang signifikan ditemui dalam semua ujian fungsi hati (hepar) dan fungsi ginjal. Pengambilan Madu Koktail atau Madu Tualang selama setahun dalam kalangan wanita selepas menopaus menunjukkan kesan positif bagi beberapa parameter kardiovaskular dalam kalangan wanita selepas menopaus. Selain itu, kedua-dua jenis madu turut terbukti selamat untuk diamalkan pada jangka masa panjang.

Kata kunci: Madu Tualang, Madu Koktail, Wanita Selepas Menopaus, Parameter Kardiovaskular, Profil Keselamatan

16 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

L02PROGRAM BERSTRUKTUR BAGI PERUBATAN TRADISIONAL

MELAYU (PTM) DI MALAYSIA

Nornizam Ngadeni*, Norhissam Mustafa, Abdul Hadi Mohd Isa, Muhammad Nasiruddin Mohd Sobri, Md Asri Ngadi, Suriani Sanusi

Akademi Perubatan Melayu Malaysia (APMM), Pertubuhan Perubatan Melayu Malaysia (PPMM), 81300, Johor Bharu, Johor, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Amalan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT & K) semakin popular diserata dunia khususnya dikalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Malahan, penggunaan kaedah rawatan PT & K juga adalah tinggi dikalangan penduduk di Malaysia. Perubatan Tradisional Melayu (PTM) adalah merupakan salah satu komponen amalan Perubatan Tradisional dan Komplementari, ianya juga merupakan bidang amalan yang diiktiraf yang telah diwartakan oleh Kerajaan Persekutuan (Federal Government Gazette). Sejumlah 1963 pengamal Perubatan Tradisional Melayu (PTM) telah berdaftar di pengkalan data Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (GAPERA). Maka telah didapati 93% daripada pengamal PTM tersebut tidak melalui sistem pembelajaran dan latihan secara formal atau pun berstruktur. Perlunya suatu sistem latihan dan pembelajaran yang efektif yang dapat mengintegrasikan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT & K) dalam arus perdana perubatan di Malaysia. Sehubungan dengan itu satu respon yang sangat menggalakkan dikalangan pengamal Perubatan Tradisional Melayu, agar mereka mengikuti satu program pembelajaran dan latihan yang berstruktur bagi meningkatkan tahap profesionalime mereka. Satu kajian secara kuantitatif dijalankan ke atas pengamal-pengamal Perubatan Tradisional Melayu (PTM) bagi program pembelajaran berstruktur tersebut. Objektif kajian tersebut adalah untuk mengenal pasti dikalangan pengamal-pengamal PTM komitmen dan kesungguhan mereka untuk mengikuti satu program pembelajaran dan latihan yang berstruktur.

Kata kunci: Perubatan Tradisional Melayu, Program Berstuktur PTM, Program PTM, Akademi Perubatan Melayu, Perubatan Melayu

17SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

L03PENGGUNAAN MADU LEBAH TUALANG DALAM KALANGAN

PESAKIT HIV: SELAMATKAH IA?

Wan Nazirah Wan Yusufa*, Siti Amrah Sulaimanb, Che Badariah Abd Azizc

aJabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia bUnit Perubatan Integratif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia cJabatan

Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia

*E-mel: [email protected]

Penyakit HIV boleh membawa maut dan penderita penyakit ini akan mengalami pelbagai gejala yang mengurangkan taraf kualiti hidup mereka seperti lemah sistem daya tahan badan. Hal ini menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai jangkitan kuman, malnutrisi dan cirit- birit yang berpanjangan. Madu merupakan “superfood” yang mengandungi bahan seperti gula untuk tenaga, kompoun fenolik yang tinggi kandungan antioksida, vitamin, mineral dan probiotik yang diperlukan oleh badan. Kajian kami sebelum ini mendapati madu dapat membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit HIV dan terdapat tren pengurangan kandungan virus (viral load). Objektif kajian ini adalah untuk memastikan sama ada madu lebah tualang selamat digunakan untuk pesakit HIV. Subjek merupakan penghuni Penjara Pengkalan Chepa yang didapati positif HIV dengan paras CD4 antara 250-600 sel/ml. Subjek dibahagikan kepada empat kumpulan secara rawak: Kumpulan A diberikan madu lebah tualang 20 g sehari, kumpulan B, 40 g sehari, Kumpulan C, 60 g sehari selama 6 bulan dan kumpulan D tidak diberikan madu (kawalan). Sampel darah diambil pada 3 dan 6 bulan untuk menilai keselamatan madu termasuk ujian fungsi hati, ujian fungsi buah pinggang, pengiraan sel darah serta paras glukosa dan hemoglobin. Kajian ini diluluskan oleh Jawatankuasa Etika Universiti Sains Malaysia. Seramai 95 orang subjek telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Hasil ujian darah menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan dalam fungsi hati, buah pinggang, hemoglobin dan sel darah dalam kalangan kumpulan yang mengambil madu berbanding kumpulan kawalan yang tidak mengambil madu. Paras glukosa didapati meningkat sedikit dalan kalangan kumpulan C yang mengambil madu 60 g sehari, tetapi nilai tersebut masih dalam paras normal. Sebagai kesimpulannya, madu Tualang selamat digunakan dalam kalangan pesakit HIV.

Kata kunci: madu tualang, pesakit HIV, keselamatan madu

18 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

L04

ASPEK-ASPEK PENYELIDIKAN ILMU PERUBATAN MELAYU BERDASARKAN KITAB TIB MELAYU

Harun Mat Piah

Akademi Perubatan Melayu Malaysia (APMM)

E-mel: [email protected]

Kini, ilmu dan amalan Perubatan Tradisional Melayu (PTM) diterima sebagai sistem perubatan integratif di Malaysia. Pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan, institusi pengajian tinggi, organisasi bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan untuk memperkasakan PTM bersesuaian dengan keperluan semasa masyarakat Malaysia. Salah satu daripada usaha itu adalah merancang pelbagai program pembelajaran dari peringkat pensijilan, diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah dalam ilmu perubatan Melayu. Artikel ini menumpukan aspek penyelidikan yang boleh dikembangkan daripada manuskrip dan buku-buku perubatan Melayu yang telah dihasil dan dimanfaatkan dalam masyarakat dan tamadun Melayu semenjak ratusan tahun yang lalu. Aspek penyelidikan ini termasuk teori dan amalan perubatan Melayu, sejarah dan falsafah, etika dan kaedah, proses pengecaman (diagnosis) penyakit, proses pembuatan ubat, kaedah pengubatan herba dan bukan herba, penelitian dalam sub-bidang urutan, bekam, terapi mandian, rukyah dan zikir, serta rawatan kebatinan berdasarkan al-Quran dan sunah. Pengkajian juga boleh berupa pembinaan edisi, transliterasi dan kajian teks dari puluhan manuskrip dalam bidang ini dan lain-lain bidang yang berkaitan seperti ilmu ramalan, ilmu perkasihan, pemakanan, kecantikan dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa ilmu daripada bidang PTM masih luas untuk diterokai.

Kata kunci: Perubatan Tradisional Melayu, perubatan integratif

19SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

L05ULASAN SISTEMATIK: KEDUDUKAN PROPOLIS KELULUT

DALAM PERUBATAN INTEGRATIF ANTARABANGSA

Boon Seng Yeoh*, Norsuhana Omar, Mahaneem Mohamed, Rozaziana Ahmad

Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Ulasan sistematik ini merupakan usaha perintis untuk mengemaskinikan bukti kajian saintifik terhadap bioaktiviti propolis kelulut. Pendekatan PRISMA (Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta-Analyses) telah dijadikan panduan dalam kajian ini. Pangkalan data Google Scholar, EBSCOhost, Scopus dan PubMed telah disemak seimbas berdasarkan kunci gelintar “‘propolis OR geopropolis OR cerumen’ AND ‘stingless bee*’ NOT Apis NOT ‘honey bee*’ ”. Sejumlah 1057 artikel telah ditemui dan disusutkan kepada 723 selepas menyisihkan pendua. Penapisan seterusnya adalah berdasarkan tajuk serta kesesuaian bahasa, yakni Inggeris, Malaysia dan Indonesia. Selanjutnya, sebanyak 135 artikel telah dikenal pasti bagi penerokaan teks penuh dan 88 artikel didapati layak dirangkumi dalam ulasan sistematik ini. Mutakhir, propolis daripada 15 genus lebah kelulut dari 15 buah negara telah diterokai manfaat perubatannya. Propolis telah diproseskan dengan pengekstrakan kasar (52.7%), pemecahan dan penulenan (28.0%) serta pengasingan molekul (9.6%). Alpha mangostin, artepillin C, cardol, cinnamoyloxy-mammeisin, ent-kaurene, gamma mangostin, glyasperin A, propolin A dan propolin E merupakan bahan eksplorasi farmakologi masa hadapan. Sifat antibakteria (25.8%), antipengoksidaan (19.7%) dan sitotoksin (18.9%) adalah bioaktiviti utama yang dilaporkan. Kajian pra-klinikal propolis kelulut melibatkan kaedah in silico (0.1%), in vitro (74.4%) dan in vivo (24.5%) sahaja. Malah, daripada keseluruhan reka bentuk penyelidikan, hanya 16.2% mengandungi kedua-dua kumpulan kawalan positif dan negatif; dua kali ganda lebih rendah berbanding dengan kajian yang tidak mempunyai kumpulan kawalan (32.5%). Secara kesimpulannya, penyelidikan propolis kelulut dalam perubatan integratif antarabangsa perlu digiatkan seiring dengan peningkatan piawaian bagi mendorongkan penjanaan bukti yang jitu dan bermutu.

Kata kunci: Propolis, Kelulut, Ulasan sistematik, Perubatan integratif

20 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

L06KEBERKESANAN PENGAMBILAN SECARA ORAL Aloe barbadensis miller YANG DISTABILKAN UNTUK MEMPERCEPATKAN PROSES PEMULIHAN SISTEM BADAN MELALUI KAEDAH ALOETHERAPY

Siti Aishah Binti Mohamed Ali

Pusat Pakar Perubatan Komplementari SAM Shifa, 40100, Shah Alam, Selangor, Malaysia

E-mel: [email protected]

Aloetherapy merupakan satu metodologi dalam sistem perubatan integratif yang menggunakan Aloe vera spesis Aloe barbadensis miller untuk pesakit yang dirawat dengan pemerhatian kepada dos yang betul, pada masa yang tepat mengikut simptom pesakit yang dirawat. Salah satu bahan aktif yang dikenalpasti dalam bahagian daun A. barbadensis miller ini adalah saponin yang bertindak sebagai pembersih semulajadi yang mempunyai sebatian antibakteria dengan menghasilkan sifat antibiotik semulajadi. Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji sama ada kadar proses pemulihan pesakit berlaku dengan lebih cepat apabila menggunakan A.barbadensis miller menggunakan kaedah Aloetherapy terhadap kes yang dirujuk. Jenis kajian ini adalah kualitatif dan kuantitatif secara eksperimen. Dalam kajian ini, A. barbadensis miller yang digunakan telah melalui proses penstabilan dan diberi secara oral kepada pesakit kulit, tangan, kaki dan mulut (HFMD) dan diabetis melitus jenis 2. Dos yang diberikan di antara 100 ml sehingga 500 ml dari 3 kali hingga 5 kali sehari bergantung kepada simptom yang ditunjukkan. Hasil kajian menunjukkan bahawa pesakit yang menerima A. barbadensis miller menggunakan protokol Aloetherapy menunjukkan pemulihan dengan pantas yang diukur menggunakan ujian Tenaga Kuantum. Parameter indeks toksik dan indeks sistem immuniti dalam badan manusia menunjukkan penurunan indeks toksik di antara julat indeks 0.013 hingga 180.97. Manakala indeks sistem imuniti pesakit meningkat di antara julat indeks 4.111 hingga 140.47 menunjukkan keputusan yang positif terhadap proses pemulihan pesakit. Secara kesimpulannya, A. barbadensis miller melalui kaedah Aloetherapy dapat meningkatkan kadar proses pemulihan pesakit secara holistik. Hasil kajian mencadangkan penyediaan peralatan kaedah ujian yang lebih mendalam dengan menambahkan parameter kajian dalam indeks fungsi gastrointestinal untuk mengukur kadar penyerapan usus kecil manusia dengan mengambil kira aspek keselamatan yang tidak memberi risiko kepada pesakit.

Kata kunci: Aloe barbadensis miller, Saponin, Aloetherapy

21SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P01AMALAN BERPANTANG SELEPAS BERSALIN SECARA

TRADISIONAL MELAYU

Rita Surianee Ahmad a, b*, Mahaneem Mohamedc, Nik Hazlina Nik Hussaind

aUnit Perkembangn Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150,Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

b Kolej Poly-tech MARA, Kota Bharu, 15050 Kelantan, Malaysiac Jabatan Fisiologi & Unit Perubatan Integratif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia,

16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysiad Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150,

Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Secara amnya, amalan tradisional Melayu selepas bersalin bertujuan untuk memulihkan keseimbangan elemen badan yang digambarkan dalam empat unsur iaitu unsur tanah yang bersifat kering, unsur api yang bersifat panas, unsur udara yang bersifat sejuk dan unsur air yang bersifat basah. Darah dianggap sebagai unsur ‘panas’. Proses kelahiran melibatkan kehilangan darah sebagai kehilangan unsur panas dari badan yang menyebabkan keseimbangan badan terganggu. Tinjauan kesusasteraan ini adalah untuk memahami konsep amalan dan fungsi penjagaan ibu selepas bersalin secara tradisional Melayu. Proses selepas bersalin yang dikenali sebagai tempoh berpantang yang biasa diamalkan adalah selama 30 hingga 44 hari, merupakan tempoh untuk pulih dari beban kehamilan dan proses bersalin. Mengikut amalan tradisional, selama tempoh berpantang, seorang wanita mesti tinggal di rumah dan perlu mengikut amalan yang tertentu dengan bantuan bidan kampung atau penjaga yang terdiri dari ahli keluarga perempuan. Sebagai contoh, amalan tradisional berpantang adalah seperti bertungku, bersalai, mengurut badan, barut, minum air herba dan pantang dalam amalan makan dan minum. Mengikut kepercayaan, bertungku dan bersalai adalah unsur panas yang bertujuan untuk memanaskan badan bagi membantu pengaliran darah. Urutan dilakukan selepas bertungku bertujuan membantu peredaran darah, mengurangkan cecair badan yang berlebihan dan mengurangkan pembengkakan anggota tubuh. Barut dipercayai boleh membantu wanita untuk mendapatkan semula bentuk badan yang langsing. Herba pula dipercayai boleh meningkatkan peredaran darah. Terdapat amalan seperti kepercayaan kepada makanan jenis ‘sejuk’ dan ‘panas’ dan larangan dari makanan dan minuman tertentu. Selain memulihkan keseimbangan badan akibat proses kehamilan dan bersalin, amalan tradisional ini bertujuan untuk memulihkan fungsi normal seksual dan organ pembiakan, memulihkan tenaga, menggalakkan penyembuhan luka dan penurunan berat badan.

Kata kunci: Amalan melayu, tradisional, berpantang, selepas bersalin

22 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P02PROPOLIS LEBAH KELULUT MENCEGAH ANGIOPATI DALAM

KALANGAN TIKUS DIABETES: TINDAKAN BERSEPADU ANTIOKSIDAN DAN ANTIHIPERGLISEMIA PRODUK SARANG

KELULUT TERHADAP AORTA

Boon Seng Yeoh, Norsuhana Omar*, Mahaneem Mohamed, Rozaziana Ahmad, Aminah Che Romli

Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia.

*E-mel: [email protected]

Propolis lebah kelulut, Heterotrigona itama (MP) mengandungi polifenol dan flavonoid yang menjaga kesihatan jantung. Keupayaan MP melindungi pembuluh darah masih belum diterokai. Penyelidikan ini bertujuan untuk membuktikan mekanisme antioksidan MP terhadap patogenesis awal angiopati dalam kalangan tikus diabetes. Tikus jantan Sprague Dawley dewasa telah dibahagikan secara rambang kepada empat kumpulan iaitu, n=8/kumpulan: normoglisemia (NG), diabetes mellitus (DM), DM dirawat dengan metformin (DM+Met, 300 mg/kg/hari) dan DM dirawat dengan MP (DM+MP, 300 mg/kg/hari). Induksi diabetes dijalankan dengan menggunakan streptozotosin (60 mg/kg, IP). Intervensi menerusi gavaj oral telah dijalankan sepanjang empat minggu sejurus selepas pencapaian tahap diabetes [gula darah berpuasa (FBG) > 11.1 mM]. Pada hujung eksperimen, plasma tikus dikumpulkan bagi menentukan FBG dan tahap lipid; aorta diproseskan kepada tisu homogenat, 10% untuk menilai paras superoksida dismutase (SOD), katalase (CAT), glutation peroksidase (GPx), reseptor boleh larut advanced glycation end-products (sRAGE) dan malondialdehyde (MDA). Walaupun kadar pembaikan kawalan gula darah adalah lebih lambat dalam kalangan kumpulan DM+MP berbanding dengan kumpulan DM+Met, tiada jurang nilai FBG akhir signifikan di antara kumpulan-kumpulan DM+Met dan DM+MP. Malah, hanya kumpulan DM+MP mampu meningkatkan tahap HDL-c dalam darah. Kumpulan DM+MP mencegah pengumpulan hidrogen peroksida sebagai tekanan oksidatif dengan merendahkan nisbah [SOD/(CAT+GPx)] dan meningkatkan bioavailabiliti sRAGE dalam aorta. Namun, tiada perbezaan ketara pada tahap MDA dalam aorta, menandakan patogenesis awal aterosklerosis. Penyelidikan pembuktian konsep pra-klinikal ini menunjukkan sifat perlindungan MP terhadap aorta tikus diabetes melalui mekanisme antioksidan dan antihiperglisemia, serta berpotensi memodulet laluan transduksi AGE-RAGE. Kajian klinikal selanjutnya wajar menerokai potensi MP sebagai terapeutik diabetes yang berkesan dan lestari.

Kata kunci: Propolis lebah kelulut, Angiopati, Antioksidanpengoksidaan, Anti-hiperglisemia

23SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P03KESAN JANGKA PANJANG MADU TUALANG DAN MADU KOKTAIL

TERHADAP PROFIL HORMON DAN DENSITI TULANG DALAM KALANGAN WANITA SELEPAS MENOPAUS

Siti Zubaidah Ab Wahaba, b*, Nik Hazlina Nik Hussaina, Rahimah Zakariac, Azidah Abdul Kadird, Norazlina Mohamedb, Noorlaili Mohd Tohite, Norhayati Mohd Noord,

Intan Idiana Hassanf

aUnit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

bJabatan Farmakologi, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, 56000,Kuala Lumpur, Malaysia

cJabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

dJabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

eJabatan Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras, 56000, Kuala Lumpur, Malaysia

fPusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Madu lebah dan produk lebah seperti jeli raja dan roti lebah didapati bermanfaat untuk diamalkan oleh wanita selepas menopaus. Walau bagaimanapun, laporan tentang keberkesanan pengambilan madu dan produk lebah tersebut dari segi profil hormon dan densiti tulang masih terhad. Kajian ini dijalankan untuk menyiasat kesan jangka panjang pengambilan Madu Tualang berbanding Madu Koktail (campuran madu, jeli raja dan roti lebah) terhadap profil hormon dan densiti tulang dalam kalangan wanita selepas menopaus. Satu kajian klinikal rabun dwi-pihak secara rambang yang membandingkan pengambilan 20 g sehari Madu Tualang dan 20 g sehari Madu Koktail dalam kalangan wanita selepas menopaus (yang berusia 45 hingga 65 tahun) selama dua belas bulan telah dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia. Profil hormon dan densiti tulang diukur sebanyak tiga kali iaitu semasa saringan, bulan ke enam dan ke dua belas. Seratus orang subjek telah berjaya menyertai kajian dan dirambangkan ke dalam kedua-dua kumpulan. Terdapat kesan kenaikan signifikan dalam aras hormon estrogen (p = 0.043) dalam kumpulan Madu Koktail. Manakala dalam kumpulan Madu Tualang, terdapat penurunan yang signifikan dalam aras hormon perangsang folikel (p = 0.006). Tiada perubahan yang signifikan ditemui dalam densiti tulang semua subjek dalam kedua-dua kumpulan. Pengambilan Madu Koktail atau Madu Tualang selama setahun dalam kalangan wanita selepas menopaus menunjukkan kesan positif terhadap profil hormon dalam kalangan wanita selepas menopaus. Namun begitu kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan untuk menentukan kesan pengambilan madu ke atas densiti tulang.

Kata kunci: Madu Tualang, Madu Koktail, Wanita Selepas Menopaus, Profil Hormon, Densiti Tulang

24 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P04ULASAN KEPUSTAKAAN: MANFAAT PROPOLIS KEPADA

JANTUNG

Oon Zhi Lim, Boon Seng Yeoh, Norsuhana Omar*

Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia.

*E-mel: [email protected]

Ulasan ini bertujuan untuk mengemaskini maklumat saintifik terhadap manfaat propolis terhadap kesihatan jantung bagi rujukan penyelidik. Kini, kadar kematian penyakit jantung di seluruh dunia telah mencecah 17 juta orang setiap tahun dan langkah pencegahan perlu dipertingkatkan. Punca utama yang menyumbang kepada mortaliti penyakit jantung adalah saluran darah tersumbat. Gaya hidup yang tidak sihat seperti amalan pemakanan yang tidak seimbang, kurang aktiviti kecergasan dan tabiat merokok merupakan faktor utama penyebab penyakit jantung. Pelbagai bahan nutraseutikal mampu menguatkan sistem kardiovaskular, antaranya ialah propolis. Propolis merupakan sejenis sebatian resin pokok yang dihasilkan oleh lebah. Bahan semula jadi ini telah menunjukkan sifat antioxidan, antiradang, antihipertensi dan antiaterosklerosis. Selain itu, propolis dikatakan boleh mengurangkan fibrosis jantung dan mengekalkan fungsi jantung selepas kecederaan iskemik. Beberapa kandungan bioaktif telah dikenalpasti dalam propolis yang memberi kesan positif kepada jantung, antaranya ialah flavonoid, polifenol, asid kafeik fenetil ester (CAPE), krisin dan pinocembrin. Flavonoid mengurangkan pembentukan fibrosis jantung melalui peningkatan ekspresi silent information regulator 1 (SIRT1) dan meningkatkan kontraktiliti jantung. Polifenol mengelakkan perubahan struktur jantung dengan mengurangkan apoptosis jantung. CAPE mencegah hipertrofi jantung akibat penyakit darah tinggi melalui laluan pengisyaratan PI3K/AKT dan merendahkan risiko kegagalan jantung. Krisin mengurangkan kematian sel jantung dan radang jantung. Pinocembrin dapat meningkatkan kontraktiliti jantung, mengurangkan aritmia dan infarksi jantung. Penemuan hasill kajian terdahulu ini telah membuktikan propolis berkesan menambahbaik fungsi jantung. Namun begitu, kebanyakan kajian tersebut dilakukan pada model haiwan. Maka, hal ini telah membuka ruang kepada para penyelidik untuk memperluaskan lagi kajian perubatan intergratif terutamanya melibatkan kajian klinikal dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian.

Kata kunci: propolis, ulasan kepustakaan, jantung, perubatan integratif

25SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P05KESAN TERAPEUTIK MADU DALAM PERUBATAN INTEGRATIF

Rita Surianee Ahmad a, b*, Amran Hassimc, Mahaneem Mohamedd

a Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150,Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

b Kolej Poly-Tech MARA, Kota Bharu, 15050, Kelantan, Malaysiac Jabatan Logistik & Aset, Kolej Poly-Tech MARA, 56100, Kuala Lumpur, Malaysia

dJabatan Fisiologi dan Unit Perubatan Integratif, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Sejarah penggunaan madu bermula sejak zaman purba lagi sebagai sumber pemakanan dan perubatan. Terdapat pelbagai cara penggunaan madu termasuk sebagai pemanis dan agen perisa. Madu dihasilkan dari nektar yang bercampur dengan air liur lebah yang bersengat dan yang tidak bersengat (kelulut). Nutrisi penting yang terdapat dalam madu adalah karbohidrat dalam bentuk monosakarida seperti fruktosa dan glukosa. Madu juga digunakan dalam perubatan kerana mempunyai fungsi dan kesan terapeutik dalam membantu proses penyembuhan. Tinjauan kesusteraan ini adalah untuk memahami dan meneroka sifat biologi, kesan terapeutik dan peranan madu dalam pengubatan. Madu telah diakui dalam kesusasteraan saintifik dan terdapat bukti yang menyokong sifat biologi madu seperti antibakteria, antioksidan, antikanser, antiradang dan aktiviti probiotik. Kandungan hidrogen peroksida dalam madu bertindak sebagai antimikrobial dengan melambat dan menghalang pembiakan kuman. Sifat antioksida madu menghalang radikal bebas yang merosakkan sel badan sebagai salah satu punca penyakit kanser dan hal ini membolehkan madu berpotensi sebagai antikanser. Madu sebagai antiradang membantu mengurangkan keradangan dan merangsang pertumbuhan sel serta membaiki tisu pada luka. Kandungan oligosakarida dalam madu bertindak sebagai prebiotik yang merangsang pertumbuhan bakteria asik laktik probiotik yang berfungsi untuk kesihatan usus. Tindakan biologi madu terbukti memberi kesan terapeutik ke atas penyembuhan luka, kawalan gula dalam darah dan kolesterol, kesihatan gastro-usus, mengurangkan batuk dan meningkatkan kesuburan. Fungsi madu sebagai agen rawatan dan penyembuhan menjadikan madu sebagai sumber semulajadi dalam mencegah dan merawat penyakit. Sehingga kini, di samping penggunaan madu dalam perubatan traditional, pelbagai kajian klinikal telah menunjukkan bahawa madu berpotensi untuk digabungkan dengan perubatan moden yang dikenali sebagai perubatan integratif.

Kata kunci: Madu, sifat biologi, pengubatan, kesan terapeutik

26 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P06PENGHASILAN DAN PENERIMAAN SENSORI BAGI KARIPAP

DAGING LANDAK RENDAH LEMAK DAN TINGGI SERAT YANGDITAMBAH DENGAN Oxalis barrelieri

Norfarizan Hanoon Noor Azmia*, Nazeerah Banu Abdul Majidb, Norsuhana Abdul Hamidb

a Program Pemakanan dan Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

b Bahagian Biologi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang,Malaysia

*E-mel: [email protected]

Malaysia merupakan sebuah negara tropika yang kaya dengan tumbuhan herba yang digunakan dalam perubatan tradisional. Oxalis barrelieri digunakan untuk merawat penyakit darah tinggi, buasir, kencing manis dan keracunan makanan. Daging landak merupakan daging eksotik yang mempunyai khasiat pemakanan yang tinggi. Objektif kajian ini adalah untuk menghasilkan lima jenis formulasi karipap berintikan daging landak dan lembu yang ditambah dengan herba Oxalis barrelieri dan seterusnya menganalisis kandungan proksimat dan penilaian sensori dalam karipap tersebut. Kandungan proksimat (kelembapan, abu, lemak, karbohidrat, protein dan gentian serat) adalah mengikut kaedah AOAC. Ujian penilaian sensori yang terdiri daripada 30 orang guru telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Ayer Itam, Pulau Pinang. Beberapa atribut sensori telah digunakan iaitu warna, aroma, kelembutan, kerangupan, rasa dan penerimaan keseluruhan. Kandungan lemak yang terendah dikenalpasti di dalam karipap daging landak + Oxalis (16.34 ± 0.04%) manakala kandungan lemak yang tertinggi adalah di dalam karipap daging lembu (18.23 ± 0.19%). Protein kasar di dalam karipap daging landak + Oxalis adalah lebih tinggi berbanding dengan karipap daging lembu + Oxalis. Kandungan gentian kasar adalah lebih tinggi dalam karipap daging landak + Oxalis (1.94 ± 0.33 %) berbanding dengan karipap Oxalis, karipap daging lembu, karipap daging landak dan karipap daging lembu + Oxalis. Penerimaan sensori yang dijalankan mendapati bahawa karipap daging landak + Oxalis diterima sama rata dengan karipap daging lembu + Oxalis. Secara kesimpulannya, daging landak dan herba Oxalis barrelieri boleh dijadikan alternatif dalam penghasilan karipap rendah lemak dan tinggi serat.

Kata kunci: Karipap, daging landak, Oxalis barrelieri, kandungan proksimat, penerimaan sensori

27SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P07PERKHIDMATAN PERUBATAN TRADISIONAL DAN

KOMPLEMENTARI (PT & K) PADA PERINGKAT KESIHATAN PRIMER: PROGRAM PENJAGAAN TRADISIONAL POSNATAL DI

KLINIK KESIHATAN MERANTI, PASIR MAS, KELANTAN

Nor Asmah Hasana*, Huraini Huzaimia, Nurdalilah Mohd Daharia, Anees Abdul Hamidb

a Klinik Kesihatan Meranti, 17010 Pasir Mas, Kelantan, Malaysiab Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, 15590 Kota Bharu, Kelantan, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Amalan penjagaan tradisional selepas bersalin adalah satu kelaziman bagi kebanyakan ibu hamil di Malaysia. Pada peringkat jagaan kesihatan primer, Klinik Kesihatan Meranti menjadi klinik perintis pertama di Kelantan yang menawarkan perkhidmatan tradisional posnatal yang dikendalikan oleh pengamal swasta bermula semenjak 2015. Perkhidmatan ini diwujudkan untuk menggalakkan amalan penjagaan posnatal yang selamat di samping mendidik pengamal tradisional swasta mengenai kesihatan pelanggan. Hal ini juga bertujuan untuk mengesan komplikasi ibu dan anak selepas bersalin. Rawatan ini diberikan di rumah dan meliputi perkhidmatan mengurut, bertungku, barut, penjagaan payudara dan penjagaan bayi. Latihan kepada pengamal tradisional, taklimat dan sesi perbincangan diadakan sebelum perkhidmatan dimulakan. Sepanjang pelaksanaan program, promosi berterusan dijalankan untuk ibu semasa sesi klinik antenatal dan posnatal. Langkah keselamatan dan pemantauan berterusan juga telah dibuat. Hanya dua orang pengamal tradisional swasta yang aktif menjalankan perkhidmatan di kawasan operasi Klinik Kesihatan Meranti. Sehingga tahun 2017, lebih separuh daripada pesakit posnatal yang layak mengikut kriteria menerima perkhidmatan tradisional di rumah. Program ini sentiasa ditambahbaik dengan penglibatan pelbagai pihak. Perkhidmatan ini turut diperluaskan ke klinik kesihatan lain di Kelantan bermula 2016.

Kata kunci: posnatal, pengamal swasta, rawatan di rumah

28 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P08MODEL UMUM PEMBANGUNAN PERUBATAN MELAYU

BERASASKAN MANUSKRIP KITAB PERUBATAN MELAYU

Norhissam Mustafa*, Abd Hadi Mohd Isa, Nornizam Ngadeni, Muhammad Nasiruddin Mohd Sobri, Suriani Md Sanusi dan Md Asri Ngadi

Pusat Tahfiz Medik, Akademi Perubatan Melayu M’sia, 81300 Skudai, Johor Bahru, Johor

E-mel: [email protected]

Perubatan Melayu merupakan keseluruhan ilmu, kemahiran dan amalan berdasarkan teori, kepercayaan dan pengamalan secara tradisi warisan nenek moyang terdahulu sama ada boleh dijelaskan atau sebaliknya. Sejarah ketamadunan Perubatan Melayu telah dibuktikan mencapai tahap kegemilangan yang begitu cemerlang, bukan sekadar dari sudut falsafahnya malah merangkumi sudut teori asas serta aplikasi modaliti yang berasaskan penyakit mahupun yang bersifat analisa bersistem. Pengamal Perubatan Melayu yang berdaftar dengan Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (GAPERA) adalah berjumlah 1963 orang. Seramai 93% daripada mereka tidak mempunyai pendidikan yang formal yang diiktiraf oleh pihak berwajib dan lingkungan usia mereka yang berdaftar ini adalah berada di antara umur 25 hingga 45 tahun. Oleh itu, satu kajian tinjuan melalui kaedah pemetaan antara kandungan pengamalan pada manuskrip kitab Perubatan Melayu dan pengamalan semasa dilakukan bagi mengenalpasti model pembangunan Perubatan Melayu secara menyeluruh. Kajian ini telah merumuskan satu cadangan model umum pembangunan Perubatan Melayu meliputi program latihan berstruktur, pusat penyelidikan, pusat inkubator dan pengkalan data induk.

Kata Kunci: perubatan Tradisional Melayu, perubatan Melayu, kitab perubatan Melayu, manuskrip perubatan Melayu

29SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P09PERANAN AIR KELAPA (Cocos nucifera L.) TERHADAP KUALITI

SPERMA

Hashida NHa*, Aisyah Sb, Azia Amira Putri Bb dan Durriyyah Sharifah HAb

aPusat Asasi Sains, Universiti MalayabInstitut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya

*E-mel: [email protected]

Air kelapa, Cocos nucifera L. dikenali sebagai minuman yang menyegarkan dan berkhasiat. Air kelapa mengandungi vitamin dan nutrien yang dapat menggantikan cecair yang telah hilang daripada badan. Perubatan tradisional menghuraikan penggunaan air kelapa sebagai minuman berkhasiat untuk meningkatkan kesihatan manusia. Air kelapa dikatakan mempunyai kesan terapi ke atas sistem pembiakan namun masih kurang pembuktian saintifik. Berdasarkan kajian, lelaki menyumbang sehingga 50% dalam kes ketidaksuburan. Kajian ini dijalankan bagi mengkaji kesan air kelapa terhadap sistem pembiakan tikus jantan. Dua puluh ekor tikus jantan Sprague-Dawley (berumur 11-13 minggu, seberat 250-300 g) dibahagikan secara rawak kepada kumpulan kawalan (air suling), kumpulan 1 (air kelapa 0.3 ml/100 g berat badan), kumpulan 2 (air kelapa 0.6 ml/100 g berat badan) dan kumpulan 3 (air kelapa 0.9 ml/100 g berat badan). Semua tikus diberi makan secara suap-paksa dengan air suling atau air kelapa dengan sukatan yang ditetapkan selama 30 hari. Epididimis telah diperolehi untuk penilaian kualiti sperma. Kajian menunjukkan pergerakan sperma bagi kumpulan 1, 2 dan 3 adalah lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan (p<0.05). Kumpulan 3 (air kelapa 0.9ml/100g berat badan) menunjukkan pergerakan sperma yang paling tinggi. Peratusan sperma hidup bagi kumpulan 3 adalah lebih tinggi berbanding kumpulan 1 dan kawalan (p<0.05) tetapi kelihatan tiada perbezaan dibandingkan dengan kumpulan 2 (p>0.05). Kumpulan 3 juga menunjukkan bilangan sperma normal yang lebih tinggi dan kurang sperma dengan kecacatan kepala dan ekor berbanding kumpulan yang lain (p<0.05). Sebagai kajian awal, penemuan ini memberi maklumat tentang kemungkinan air kelapa digunakan sebagai suplemen kerana ia mempunyai potensi dalam meningkatkan kesuburan lelaki.

Kata kunci: air kelapa, kualiti sperma

30 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P010KESAN ROTI LEBAH MALAYSIA PADA PERUBAHAN HISTOLOGI HEPAR DALAM TIKUS ARUHAN OBESITI SECARA DIET TINGGI

LEMAK: KAJIAN RINTIS

Zaida Zakaria, Zaidatul Akmal Othman, Norsuhana Omar, Mahaneem Mohamed*

Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, 16150, Kubang Kerian, Kelantan, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Roti lebah digunakan secara tradisi untuk mengekalkan dan meningkatkan taraf kesihatan. Walau bagaimanapun, masih belum diketahui sama ada ia mampu mengurangkan perubahan hepar berkaitan obesiti. Objektif kajian ini adalah untuk menentukan kesan roti lebah pada indeks obesiti, ujian fungsi hepar dan perubahan histologi hepar dalam tikus aruhan obesiti secara diet tinggi lemak (HFD). Lima belas tikus Sprague-Dawley jantan dibahagikan kepada lima kumpulan (n=3/kumpulan) iaitu normal (diet biasa), HFD (diet tinggi lemak), HFD + 0.5BB (HFD dan 0.5 g/kg/hari roti lebah), HFD + 1.0BB (HFD dan 1.0 g/kg/hari roti lebah) dan kumpulan HFD + 1.5BB (HFD dan 1.5 g/kg/hari roti lebah). Semua rawatan diberi secara oral gavaj selama enam minggu dan penilaian dilakukan untuk indeks obesiti Lee, ujian fungsi hepar dan histologi hepar. Indeks obesiti Lee, serum alanine transaminase (ALT), aspartate transaminase (AST) dan alkaline phosphatase (ALP) adalah lebih tinggi dalam kumpulan HFD berbanding normal. Kumpulan HFD + 0.5BB menunjukkan indeks obesiti Lee, ALT, AST dan ALP yang lebih rendah berbanding kumpulan HFD, HFD + 1.0BB dan HFD + 1.5BB. Pewarna hematoxylin-eosin menunjukkan vakuol sitoplasma yang teruk dan pembengkakan hepatosit dalam kumpulan HFD. Walau bagaimanapun, kumpulan HFD + 0.5BB menunjukkan jumlah dan saiz vakuol sitoplasma dan hepatosit yang lebih kecil berbanding kumpulan HFD, HFD + 1.0BB dan HFD + 1.5BB. Sebagai kesimpulannya, roti lebah pada dos 0.5 g/kg/hari selama enam minggu mungkin dapat mengurangkan perubahan hepar berkaitan obesiti dalam tikus aruhan obesiti secara HFD. Kajian lanjut diperlukan untuk menentukan mekanisma tindakan yang lebih tepat.

Kata kunci: Roti lebah, obesiti, fungsi hepar, histologi

31SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P011URUTAN POSTNATAL PERKHIDMATAN TRADITIONAL DAN

KOMPLEMENTARI PEJABAT KESIHATAN DAERAH MACHANG TAHUN 2017 HINGGA JUN 2018

Nor Eda Wati Ahmad @Abdul Razak*, Rokiah Abdullah, Siti Juairiah Will

Pejabat Kesihatan Daerah Machang,18500 Machang, Kelantan

*E-mel: [email protected]

Perkhidmatan Traditional dan Komplementari (PT&K) mula diperkenalkan di Klinik Kesihatan Pulai Chondong pada tahun 2012 dengan perkhidmatan rawaatan tradional, urutan dan sauna yang dijalankan oleh bidan kampung terlatih di klinik kesihatan. Mulai tahun 2017, perkhidmatan hanya tertumpu kapada urutan postnatal yang dijalankan oleh pengamal bidan kampung berdaftar dan terlatih di rumah ibu postnatal dan dijalankan di 7 buah Klinik Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Machang. Objektif PT&K adalah untuk memperkenalkan amalan yang berkonsepkan kesejahteraan dan terapeutik kepada ibu postnatal dan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sediaada dengan melibatkan komponen tradisional dan komplimentari oleh bidan kampung terlatih. Berdasarkan reten PT&K kesihatan primer dan buku aktiviti PT&K dan pencapaian januari-disember 2017 dan januari- jun 2018, semakan reten dan data dijalankan untuk melihat pencapaian dan sambutan ibu postnatal perkhidmatan ini. Pencapaian tahun 2017 dengan jumlah antenatal sebanyak 623 orang kelahiran, jumlah promosi untuk urutan postnatal semasa sesi rawatan antenatal adalah sebanyak 591 orang. Daripada jumlah tersebut, jumlah postnatal yang layak adalah 523 orang. Jumlah yang mengikuti urutan postnatal 306 (58.5%) daripada 523 orang yang layak. Bagi tempoh Januari-Jun 2018, jumlah antenatal sebanyak dan jumlah kelahiran sebanyak 337 orang, jumlah promosi untuk urutan postnatal semasa sesi rawatan antenatal adalah 242 orang (71.8%). Daripada jumlah tersebut, jumlah postnatal yang layak adalah 205 orang (84.7%). Jumlah yang mengikuti urutan postnatal adalah 104 orang (50.7%) daripada 205 orang yang layak. Kesimpulannya, program urutan postnatal telah berjaya dijalankan di Pejabat Kesihatan Daerah Machang dengan pencapaian melebihi sasaran 30% daripada ibu-ibu yang layak mendapatkan khidmat urutan postnatal dan mendapat kerjasama yang baik daripada pengamal bidan kampung, kakitangan kejururawatan dan ibu postnatal.

32 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P012MADU LEBAH TUALANG BERPOTENSI SEBAGAI AGEN NEUROPROTEKTIF DALAM MODEL TIKUS PENYAKIT

NEURODEGENERATIF

Nur Shafika Mohd Sairazia*, K. N. S. Sirajudeena, Mummedy Swamya, Mohd Asnizam Asarib, Muzaimi Mustaphac, Siti Amrah Sulaimand

aJabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan Malaysia

bJabatan Anatomy, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan Malaysia

cJabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan Malaysia

dJabatan Farmakologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150 Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan Malaysia

*E-mel: [email protected]

Neurodegenerasi adalah disfungsi progresif dan kehilangan struktur dan fungsi neuron yang mengakibatkan kematian sel neuron. Eksitotoksisiti bertindak sebagai faktor penyumbang dalam neurodegenerasi yang biasanya diaruhkan secara eksperimental oleh asid kainic (KA). Di Malaysia, madu lebah Tualang (MLT) dilaporkan mengandungi sejumlah besar sebatian fenolik dan mempunyai sifat antioksida yang kuat. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk menilai kesan neuroprotektif dalam pengambilan MLT terhadap eksitotoksisiti yang diaruhkan oleh KA dalam korteks serebrum, serebelum, dan tangkai otak tikus dan membandingkannya dengan kesan perlindungan yang dihasilkan oleh ubat anti-epileptik, Topiramate (TPM) di dalam keadaan yang sama. Tikus jantan Sprague-Dawley digunakan dan dibahagikan secara rawak kepada empat kumpulan: kumpulan kawalan, kumpulan yang dirawat dengan KA sahaja, kumpulan yang dirawat dengan MLT + KA, dan kumpulan yang dirawat dengan TPM + KA (n = 36/ kumpulan). Tikus telah dirawat secara oral dengan air minuman, MLT (1.0 g / kg), atau TPM (40 mg / kg), setiap 12 jam sebanyak lima kali. Larutan garam atau KA (15 mg / kg berat badan) disuntik di bawah kulit tiga puluh minit selepas rawatan oral yang terakhir. Kesemua tikus dikorbankan pada 2 jam, 24 jam atau 48 jam selepas pemberian KA. Analisis biokima dan penilaian histologi dilakukan pada korteks serebrum, serebelum dan tangkai otak. Daripada kajian ini, pengambilan MLT telah mengurangkan tekanan oksidatif, keradangan dan apoptosis serta perkembangan kerosakan neuron di kawasan otak tikus yang terpilih pada masa yang berlainan. Sebagai kesimpulannya, MLT mempunyai potensi sebagai agen neuroprotektif dalam model tikus penyakit neurodegeneratif melalui sifat antioksida, anti-radang dan anti- apoptosis.

Kata kunci: Madu Tualang, Neurodegenerasi, Tikus, Otak, Eksitotoksisiti

33SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P013HISTERIA DARI PERSPEKTIF BIOPSIKOSOSIAL SPIRITUAL:

BUKAN SEKADAR RASUKAN JIN

Norili Farhana Ahmad Saberiaa*, Asrenee Ab Razaka, Suria Hussinb

a Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, 16150, Kubang Kerian,Kelantan, Malaysia

b Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Raja Perempuan Zainab II, 15586, Kota Bharu Kelantan, Malaysia

E-mel: [email protected]

Histeria merupakan topik yang menjadi dilema klinikal dan cabaran sehingga kini. Histeria dalam masyarakat Melayu selalu dikaitkan dengan kerasukan jin atau makhluk halus. Namun, dari sudut perubatan moden, ia mempunyai kaitan rapat dengan status kesihatan mental mereka yang mendapat gejala histeria. Objektif kajian ini adalah untuk menjelaskan konsep histeria dari perspektif biopsikososial dan spiritual. Kajian ini berbentuk analisis kandungan kajian literatur terdahulu yang membincangkan tentang histeria dari sudut biopsikososial dan spiritual. Hasil tinjauan literatur yang diterbitkan dari tahun 2002 hingga 2015 menunjukkan masyarakat Melayu mempunyai kepercayaan terhadap animistik dan pengaruh makhluk halus. Oleh itu, mereka banyak mengaitkan histeria dengan rasukan makhluk halus. Kepercayaan ini telah diturunkan dari generasi sebelum ini dan masih menjadi kepercayaan yang kuat. Walau bagaimanapun, pelbagai faktor psikologi seperti gangguan emosi, konflik mental tekanan psikososial boleh menyumbang kepada histeria. Histeria juga dikatakan boleh terjadi akibat daripada trauma psikologi. Selain itu, histeria juga selalu terjadi kepada individu yang mempunyai masalah kecelaruan mental seperti kemurungan dan kerisauan yang berlebihan. Kepercayaan dan kefahaman terhadap gejala histeria akan mempengaruhi rawatan dan langkah pencegahan yang diambil. Sebagai kesimpulan, histeria mungkin merupakan salah satu gejala gangguan kesihatan mental yang sedia ada. Oleh itu, penekanan terhadap patogenesis dari aspek biopsikososial dan spiritual dalam histeria adalah penting. Hal ini perlu diberi perhatian oleh para pengamal perubatan tradisional dan juga para pengamal perubatan moden.

Kata kunci: histeria, rasukan, psikososial

34 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

P014GANGGUAN PEMILIKAN JIN: NOSOLOGI BARU UNTUK

PENYAKIT PERUBATAN

Wan Azizi, W.S.*, Farahi

Jabatan Sains Perubatan Asas, Kuliah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan, Malaysia

*E-mel: [email protected]

Diagnosis gangguan pemilikan adalah subjek perbincangan dalam mengenali perbandingan garis panduan ICD-10 dan DSM-V terkini. Satu set simptom yang diklasifikasikan sebagai “gangguan penglihatan dan kepunyaan” di bawah ICD-10 dikelaskan sebagai “ gangguan identiti disosiatif “ di bawah DSM-V. Kerumitan untuk memahami punca dan ciri bertindih gangguan ini telah membawa kepada beberapa definisi, klasifikasi dan diagnosis pembezaan. Bagi Muslim, kami percaya kewujudan jin sebagai sebahagian daripada asas iman berdasarkan bukti daripada al-Quran dan hadis. Hal ini boleh menyebabkan penyakit mental termasuk gangguan pemilikan. Terdapat juga bukti gangguan jin dengan penyakit fizikal dan mental dengan tafsiran ulama Islam. Dari sudut pandangan Islam, sebarang penyakit harus dianggap sebagai paradigma biologi-psikologi-sosial-rohani. Amalan perubatan Islam yang berasaskan Ruqyah sudah menjadi terapi pelengkap yang diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia. Ruqya shariya (incantation yang sah) adalah satu bentuk psikoterapi yang cepat mendapat populariti global dan diamalkan secara meluas oleh ahli terapi rohani tradisional Islam tempatan. Kertas kajian ini diharap menjadi platform integrasi bagi kedua-dua amalan perubatan arus perdana semasa dan Terapi Spiritual (Ruqyah psychotherapist) Islam. Integrasi ini diharap dapat memberi satu asas pengubatan bagi membantu diagnosis memahami ciri klinikal, menghasilkan satu garis panduan amalan dan rawatan terapi Ruqyah yang terbukti berkesan secara klinikal.

Kata kunci: Nosologi, Penguasaan Jinn, Terapi Ruqya

35SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

SENARAI AHLI JAWATANKUASA

Penaung Profesor Datuk Dr. Asma Ismail

Penasihat Bersama Profesor Dr. Shaiful Bahari IsmailDr. Siti Amrah Sulaiman (Profesor Kehormat)

Pengerusi Bersama Prof. Madya Dr. Mahaneem MohamedProfesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain

Setiausaha Bersama Dr. Norsuhana Omar Pn. Mazni Yusoff

Bendahari Bersama Dr. Ahmad Filza IsmailPn. Nur Izzati Fikri

Sekretariat Encik Amyrulhan Azhari (Pengurus Acara)Puan Norzilawati AbdullahPuan Siti Arbaiyah MustafaPuan Nor Shazwani Che Yusof@ SabriPuan Nor Aizan Harun Cik Suriani Berhim

Saintifik Dr. Zaharah SulaimanDr. Norhasmah Mohd ZainDr. Rehanah Mohd ZainDr. Norul Badriah HassanDr. Tang Suk Peng

Publisiti & Multimedia Dr. Yeoh Boon SengPPKT Encik Mohd Hisham M Yacob CDHPuan Faridah ZakiriaEncik Mohamad Zafrualam Mohd ZainEncik Mohd Nazif Saadon

Logistik & Teknikal Dr. Mohamad Najib Mat PaUstaz Rosdian HassanEncik Zamri HusainEncik Rosdi YahyaEncik Khairul Ithmal MahdiEncik Engku Nazli Engku Mohd AriffinEncik Nik Azhari Nik Ariffin Encik Mohd Nasir HusainEncik Mohd Yusof Ahamad PataniEncik Muhammad Kasni IsmailPn. Nor Zarinah IsmailPn. Nur Maria Hashim

Perasmian Puan Alamiah ZakariaPuan Noral Wiah Haji Abd KarimEncik Mohamad Iqmal MathlanPuan Lailatul Hafiza Abdul RashidPuan Nik Sheila Erini Che Mat Kamal

Pendaftaran Dr. Nur Shafika Mohd SairaziPuan Nordia Idayu Ibrahim @ IsmailPuan Wan Bazliza Sulaiman Puan Rita Surianee AhmadPuan Siti Zubaidah Ab Wahab

Persegaran Puan Hartini MuhamadPuan Nik Nor Azlina Abd KadirCik Zaida Zakaria

36 SEMINAR PERUBATAN INTEGRATIF 2018

PenghargaanPenaja

Dewan Bahasa dan Pustaka

design by: