kamusdewan vs kamusbesar jurnal

Upload: naldo169

Post on 17-Oct-2015

45 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

untuk rujukan

TRANSCRIPT

Kamus Dewan dan Kamus Besar: PerbandinganAspek Kandungan Medan Maklumat

Pendahuluan

Mengikut C.O. Blagden dalam tulisannya bertajuk A Chinese Vocabulary of Malacca Malay Word and Phrases Collected Between A.D. 1403 and 1511, sejarah perkembangan perkamusan Melayu telah bermula sejak awal abad ke-15 lagi. Kamus terawal tersebut berupa senarai kata Melayu-Cina yang berjumlah sebanyak 582 butiran (Liang Liji, 1994). Manakala senarai kata kedua tertua yang diketahui ialah senarai kata Melayu-Itali yang berjumlah sebanyak 426 kata entri yang telah disusun oleh Pigafetta. Sesudah senarai Pigafetta itu muncul banyak lagi senarai kata dan kamus dwibahasa bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Perancis, Inggeris dan Belanda. Manakala dalam abad ke-20 kamus dwibahasa Melayu yang terbanyak diterbitkan ialah kamus bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan bahasa Arab.

Sejarah perkembangan perkamusan Melayu dikatakan mempunyai sedikit perbezaan berbanding dengan sejarah perkembangan perkamusan di Barat. Menurut Asmah Hj. Omar (1987:4) sejarah lahirnya perkamusan Melayu dalam bentuk dwibahasa dan bukan ekabahasa, menunjukkan kepada kita bahawa faktor yang mendorong lahirnya kamus Melayu ialah keinginan mengetahui bahasa Melayu, dan ini tentunya oleh orang-orang asing yang mengembara ke sini. Keinginan mengetahui bahasa yang lain itulah juga yang merupakan dorongan lahirnya kamus pada amnya. Keadaan ini berbeza dengan perkembangan di Barat, di mana ada pendapat yang mengatakan bahawa tradisi penyusunan kamus bermula dengan kamus ekabahasa atau monolingual dictionary dan selepas adanya kamus-kamus ekabahasa tersebut barulah penyusunan kamus berbentuk dwibahasa atau bilingual dictionary dibuat. Namun walau apa tanggapan sekalipun, ternyata tradisi perkamusan di Barat melalui transisi yang agak lama sehingga mampu melahirkan pelbagai jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa yang jauh lebih banyak dan mempengaruhi arah perkembangan leksikografi dunia (Ibrahim Ahmad, 1994:4).

Manakala kelahiran kamus bahasa Arab merupakan keperluan kepada orang Islam, terutamanya kepada orang bukan Arab (Ajam), iaitu apabila umat Islam mula berusaha untuk mentafsirkan al-Quran. Ini menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk mentafsirkan, maka dari situ timbullah pemikiran untuk melahirkan kamus bahasa Arab, iaitu dengan mengumpulkan semua perkataan Arab dalam sebuah buku dan diberikan erti, maksud huraian dan sebagainya untuk dijadikan rujukan dalam kebahasaan. Dari situ, bermulalah usaha penulisan kamus Arab-Arab seperti Muhit al-Muhit oleh al-Bustani, Mukhtar al-Sihah oleh al-Razy, al- Muhit oleh Fairuf al-Abady, al-Tahzib oleh al-Azhary, Lisan al-Arab oleh Ibn Manzur, al-Ayn oleh Khalil Ahmad dan lain-lain lagi. Kamus Arab-Melayu yang dianggap terulung dan tersohor di negara kita semenjak tahun 1950-an di negara kita ialah Kamus al-Marbawi oleh al-Syaikh Idris Abdul Rauf al-Marbawi (Ahmad Hj. Hasbullah dan rakan-rakan, 2006: 35).

Di Malaysia dan Indonesia sejarah perkamusan Melayu dibuktikan bermula dengan penyusunan kamus-kamus dwibahasa terlebih dahulu disebabkan kecenderungan para sarjana Barat untuk menguasai bahasa Melayu bagi tujuan perdagangan dan penyebaran agama pada ketika itu. Di antara kamus-kamus dwibahasa utama yang terdapat di Malaysia pada hari ini ialah Kamus Dwibahasa (Inggeris-Bahasa Melayu) susunan Khalid M. Hussein dan rakan-rakan, Kamus Sistem Bahasa Malaysia-Inggeris, Kamus Pustaka Melayu-Arab, Kamus Inggeris-Melayu Dewan dan lain-lain lagi.

Penyataan Masalah

Dalam memperkatakan tentang lengkap atau tidaknya sesebuah kamus itu para pengguna selalu terkeliru dengan label-label yang digunakan pada nama-nama kamus yang pada akhir-akhir ini terbit dengan pesat sekali. Kepesatan penerbitan kamus-kamus tersebut merupakan persaingan sengit para penyusun dan para penerbit dalam usaha menyediakan perkhidmatan dalam bidang ilmu khususnya bidang bahasa melalui perkamusan. Jesteru itu muncullah pelbagai istilah pada nama kamus seperti lengkap, terkini, mutakhir, serbaguna dan sebagainya yang menunjukkan kesempurnaan sesebuah kamus tersebut.

Kebanyakan para pengguna kamus khususnya para pelajar tidak mengetahui apakah ciri-ciri atau kriteria-kriteria yang perlu ada pada sesebuah kamus yang baik. Ketebalan dan kecantikan ilustrasi kulit biasanya menjadi ukuran kepada pengguna khususnya para pelajar meskipun kamus tersebut belum tentu melengkapi ciri-ciri atau kriteria-kriteria tertentu yang boleh dianggap sebagai kamus yang baik atau lengkap. Untuk tujuan tersebut adalah menjadi satu tanggungjawab para pendidik untuk mendedahkan pengetahuan ini kepada pelajarnya dalam usaha memiliki sebuah kamus yang baik sekaligus dapat mempertingkatkan penguasaan dan pengetahuan dalam bidang bahasa khususnya bahasa Melayu.

Objektif Kajian

Penulisan ini dikemukakan dengan tujuan:1. untuk melihat dari aspek kandungan medan maklumat yang terdapat dalam dua kamus yang dikaji iaitu Kamus Dewan Edisi Ketiga dan Kamus Besar Utusan dengan cara menganalisis secara perbandingan kategori-kategori maklumat yang terdapat di dalam kedua-dua kamus tersebut.2. untuk mendedahkan kepada pengguna khususnya para pendidik, para pelajar dan ahli-ahli akademik tentang kepentingan maklumat yang terdapat dalam setiap kamus yang selama ini dirasakan masih ramai di kalangan mereka yang tidak terdedah kepada kepentingan maklumat-maklumat tersebut.

173. untuk memberi kefahaman kepada para pengguna tentang ciri-ciri yang perlu diketahui sebelum memiliki sesebuah kamus bagi memenuhi kehendak mereka sebagai pengguna kamus di samping dapat membantu memperkayakan pengetahuan mereka dalam bahasa Melayu.

Prosedur Kajian

Kajian ini dibuat dengan cara menganalisis kategori-kategori maklumat yang terdapat dalam kedua-dua kamus yang telah dipilih iaitu Kamus Dewan Edisi Keempat (selepas ini disebut Kamus Dewan sahaja). Kategori-kategori maklumat yang terdapat dalam kedua-dua kamus tersebut akan dibandingkan antara astu sama lain di samping menilai keistimewaan-keistimewaan atau kelebihan-kelebihan yang terdapat di dalamnya. Hasil daripada analisis secara perbandingan ini, satu rumusan dapat dibuat berlandaskan ciri-ciri perbezaan medan maklumat tersebut dan boleh dimanfaatkan kepada semua pengguna kedua-dua kamus ini khususnya para pelajar. Di antara kategori-kategori maklumat yang akan ditelitikan dalam kajian ini ialah ejaan, kata masukan (entri), sebutan, takrif/pemerian makna, ilustrasi, nama saintifik, etimologi (asal usul kata) dan rujuk silang.

Kamus Dewan

Kamus Dewan ialah sebuah kamus ekabahasa yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1970. Ini adalah merupakan kamus ekabahasa yang pertama disusun semenjak Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada tahun 1956. Kamus yang mempunyai 28,000 perkataan ini telah diulangcetak sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1984 dengan penambahan 900 kata masukan (entri) dan cetakan ketiga pada tahun 1986. Kamus ini pada asalnya disusun oleh Dr. Teuku Iskandar dan dibantu oleh Baharuddin Zainal serta para pengawai Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Manakala dalam cetakan kedua penyediaan manuskripnya telah dibuat oleh Sheikh Othman Sheikh Salim dan Aishah Mahdi.

Pada tahun 1989 Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan Kamus Dewan Edisi Baru yang mana penyediaan manuskripnya sekali lagi diketuai oleh Sheikh Othman Sheikh Salim sebagai Ketua Editor dan dibantu oleh Md. Nor Hj. Ab. Ghani dan Ibrahim Ahmad sebagai Editor. Kamus Dewan Edisi Baru telah diterbitkan dengan beberapa perubahan iaitu penambahan kira-kira 2,000 kata masukan yang hampir kesemuanya merupakan kata umum, pembaikan dari segi pengolahannya dan pembaikan sederhana terhadap beberapa banyak kata masukan kata dasar, kata terbitan atau rangkai kata.

Kamus Dewan Edisi Ketiga pula diterbitkan pada tahun 1994 dengan tambahan entri sebanyak 6,000 kata masukan iaitu 3,972 kata dasar dan 2,028 kata turunan atau kata terbitan. Semua kata tersebut berupa kata dan ungkapan baru (baik yang asli Melayu mahupun yang dipinjam), kata-kata dialek, termasuk bahasa sukuan dari Sabah dan Sarawak, istilah umum dalam pelbagai bidang ilmu seperti kewangan, ekologi, perubatan serta kata slanga. Penyusunan Kamus Dewan Edisi Ketiga ini telah diketuai oleh Hajah Noresah bt Baharom sebagai Ketua Editor dan dibantu oleh para editor yang terdiri daripada Rusli Abdul Ghani, Mohd Nor Abd. Ghani, Ibrahim Ahmad, Aziah Tajuddin Salmah Jabbar, Mariam bt Mahmud, Diarani Mat Adam dan Rahamah Othman.

Kamus Besar Utusan

Kamus Besar Utusan merupakan sebuah kamus ekabahasa yang telah disusun oleh Haji Zainal Abidin Safarwan dan dibantu para editornya yang terdiri daripada Mokhtar Haji Razali, Zulkiflee Daud, Abdul Karim Kasman dan Faridah Shamsuddin @ Sani. Manakala Perunding Bahasa dalam penyusunan kamus ini ialah Professor Abdullah Hassan dan diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd. pada tahun 1995. Jumlah halaman kamus ini ialah 2196 muka surat. Menurut penyusunannya, Kamus Besar Utusan ini pada hakikatnya adalah edisi baru kepada Kamus Sinonim yang telah diterbitkan pada tahun 1984. Memandangkan kata masukannya (entri) agak terbatas, maka dengan segala pembaharuan kamus ini memuatkan sebanyak 100,000 perkataan entri bagi memenuhi keperluan penggunanya dan sekaligus kamus ini merupakan kamus yang mendahului kamus-kamus ekabahasa bahasa Melayu yang lain pada masa ini dari segi kuantiti entrinya.

Bilangan sinonim dan ungkapan serta padanan yang diberi sebagai maknanya jelas menunjukkan kesarjanaan penyusunnya. Keistimewaan kemus ini terletak pada sumber perkataan entri dan maklumat yang terkandung di dalamnya. Semua perkataan yang diambil adalah terdiri daripada bahasa Melayu yang digunakan di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang telah dikumpulkan oleh penyusun selama 36 tahun.

Penganalisisan Hasil Kajian

Analisis Kategori Maklumat Dalam Kamus Besar dan Kamus Dewan

Kategori maklumat dalam sesuatu kamus ialah istilah yang merujuk kepada maklumat yang pengguna boleh dapati daripada sesuatu kamus seperti ejaan, sebutan, makna tatabahasa, etimologi, penggunaan kata dan lain-lain yang dikira penting oleh penyusun dan berguna untuk pengguna kamus berkenaan. Edgar Dale et. Al (1971) telah menyenaraikan sebanyak 15 kategori maklumat yang perlu ada dalam sesebuah kamus iaitu kata kepala(entri) atau entri dasa, bentuk kata, ejaan dan ucapan, jenis kata, sinonim dan antonim, konteks penggunaan kata, takrif, catatan penggunaan kata, ilustrasi penjelas takrif, penerbitan kata turunan, contoh penggunaan kata, frasa, petikan, kata asing dan rujuk silang. Manakala bagi Lawrence Johnson (1984) dalam tulisannya yang bertajuk Some Foundation of Lexicography in SEA Englishes, beliau hanya menyenaraikan 5 kategori maklumat yang harus ada dalam sesebuah kamus iaitu ejaan, sebutan, maklumat morfologi, etimologi dan ilustrasi.

Dalam kajian ini analisis akan dibuat secara perbandingan terhadap kedua- dua kamus tersebut yang merangkumi ejaan, susunan kata masukan (entri), sebutan, takrif/pemerian makna, ilustrasi, nama saintifik, etimologi (asal usul kata) dan rujuk silang.

Ejaan

Sistem ejaan ialah salah satu maklumat penting yang memberitahu pengguna tentang bagaimana sesuatu kata dalam sesuatu bahasa itu ditulis dalam bahasa tersebut. Oleh itu, kamus bukan sahaja bahan rujukan yang semata-mata untuk

merujuk sebutan, semantik dan struktur bahasa yang betul, tetapi juga sebagai bahan rujukan ejaan yang betul.

Kamus Dewan

Kamus Dewan edisi pertama yang diterbitkan pada tahun 1970 telah menggunakan Ejaan Zaaba serta ejaan umum Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam edisi1984 kamus ini telah mengalami perubahan yang besar di mana sistem ejaan rumi baru telah digunakan setelah lahirnya Sistem Ejaan Baru yang diisytiharkan pemakaiannya secara rasmi pada 16 Ogos 1972 dengan berpandukan kepada Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Kamus Dewan Edisi Baru ini sistem ejaan yang digunakan ialah berdasarkan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (Edisi Kedua, 1988). Manakala Kamus Dewan Edisi Ketiga dan Keempat pula menggunakan sistem ejaan yang berpandukan kepada Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu (DBP, 1991).

Dari segi pengejaan kata majmuk, penyusun kamus ini telah sedaya upaya cuba akur dengan keputusan yang telah ditetapkan oleh buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu terbitan 1993. Ini bermakna jika dahulunya kata-kata jalanraya, pilihanraya dan keretapi masing-masing dieja rapat, tetapi supaya selari dengan penetapan yang terbaru ini, ejaan semua kata majmuk dieja terpisah, kecuali beberapa perkataan yang juga telah ditetapkan oleh Tatabahasa Dewan Edisi Baru seperti tanggungjawab, pesuruhjaya, olahraga, tandatangan, warganegara, antarabangsa, matahari, kerjasama, dan beritahu.

Ekoran daripada keputusan mengeja kata majmuk secara terpisah, dua pendekatan telah diambil dalam kamus ini bagi menentukan kedudukan kata majmuk iaitu pertama, kata majmuk berketurunan sama ada yang sedia ada dalam edisi lalu mahupun yang baru dimasukkan, contohnya aneka warna yang mempunyai turunan, seperti beraneka warna, menganekawarnakan dan keanekawarnaan, dijadikan kata masukan yang tersendiri. Keduanya, kata majmuk yang tersendiri.

Manakala suatu senarai kata yang bertujuan untuk membantu pengguna mendapatkan ejaan kata yang betul bagi kata-kata yang variasinya dalam ejaan lama diberikan di bahagian akhir kamus ini iaitu pada halaman 1560 hingga 1564 di bawah tajuk Senarai Perkataan Yang Sering Dieja Salah. Di antara contoh-contohnya ialah:adigan adeganbahru baru/baharu durhaka derhaka institiut institut gulong gulung kastad kastard kelumpang kelompang vokesyenal vokasional dan lain-lain lagi

Selain itu diperturunkan kelainan ejaan vokal/konsonan yang terdapat dalam pelbagai terbitan dengan rujukan kepada bentuk ejaan yang standard, seperti

variasi bentuk standard kadondong kedondong haibah hebahtauladan teladan heran hairan endah indah pesaka pusaka rembia rumbia pamir pamer anika aneka tobat taubat dan lain-lain lagi.

Kamus Besar

Dalam aspek ejaan, Kamus Besar menggunakan sistem ejaan yang digubal oleh MABBIM (Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia) yang diisytiharkan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka dan Panduan Ejaan Rumi Bahasa Melayu oleh Abdullah Hassan dan Ainon Mohamad. Penyusunannya telah menggunakan kemudahan rujuk silang bagi tujuan untuk merujuk ejaan rasmi bagi kata-kata yang berupa perkataan klasik atau kata-kata pinjaman daripada bahasa Indonesia, Arab, Inggeris dan lain-lain. Kamus ini juga membantu penggunanya menentukan ejaan rasmi bagi kumpulan perkataan yang kadang-kadang dieja dengan huruf h di pangkal. Makna perkataan entri itu diberi di bawah perkataan entri yang dieja secara rasmi, contohnya:

eboh heboh

elat helat

enyak henyak

empap hempap

hampai ampai

heja eja

hisak isak

hinai inai

idap hidap

dan lain-lain lagi.

Susunan Kata Masukan (entri)

Kata masukan atau sebuah kamus biasanya disusun secara bebas menurut cara yang disenangi oleh penyusun kamus yang masing-masingnya mempunyai hasrat untuk memenuhi selera pengguna. Walau bagaimanapun, untuk memenuhi falsafah atau tujuan dalam penyusunan sebuah kamus bahasa Melayu, beberapa pertimbangan sepatutnya diambilkira demi kemudahan dan kemanfaatan pengguna dan kemantapan bahasa Melayu. Entri dasar sesebuah kamus yang baik biasanya disusun menurut abjad sama ada secara mendatar atau secara menegak, dan dicetak

tebal. Secara mendatar, misalnya entri yang mempunyai deretan huruf b.a.c.a diletakkan selepas entri yang memiliki deretan huruf b.a.i.k, manakala secara menegak, huruf b diletakkan di bawah huruf a, huruf i diletakkan di bawah huruf h, dan seterusnya (Sulaiman Masri, 1984:7)

Kamus Dewan

Penyusunan Kamus Dewan telah membahagikan 3 perkara dalam susunan kata masukannya iaitu i.kata dasar, ii.kata terbitan, dan iii. Frasa, ungkapan, kata majmuk. Kata dasar dalam kamus ini disusun mengikut abjad dan dicetak dengan huruf tebal. Kata-kata dasar yang berupa homonim (kata-kata yang sama ejaannya dan sebutannya tetapi berlainan maknanya) diperturunkan berasingan diikuti dengan angka-angka I, II dan seterusnya sebagai penanda yang memisahkan seperti contoh berikut:

Ketam I (tertutup rapat-rapat) Ketam II; mengetam (memotong rumput) Ketam III (alat pelicin kayu) Ketam IV (sejenis haiwan)

Manakala bagi kata terbitan pula, kemus in telah menyenaraikan kata-kata tersebut di bawah kata dasar masing-masing, umpamanya kata terbitan perakuan diletakkan di bawah akuan, ketibaan di bawah tiba. Bagi dua atau beberapa kata terbitan yang membawa makna yang sama ditempatkan bergandingan dan dipisahkan dengan tanda koma, misalnya berbelasan, berbelas-belas, beberapa belas...... kebaratan, kebarat-baratan, maniru-niru adat orang Eropah, berlaku seperti orangEropah.

Kamus ini tidak memasukkan kata terbitan yang hanya membawa makna yang tertentu seperti kata-kata yang bermula dengan ber yang hanya membawa erti ada atau mempunyai (misalnya berduit, berkasut dan sebagainya), ter yang membawa erti superlatif iaitu pangkat atau peringkat yang penghabisan atau tertinggi (misalnya tertinggi, terindah dan lain-lain), ter yang hanya membawa erti pasif dan sama fungsinya dengan awalan pasif di, di yang membentuk kata kerja pasif juga tidak dimuatkan da se yang membawa erti sama.......dengan (sebesar, sebaik, secantik dan sebagainya). Walau bagaimanapun kata terbitan yang berawalan se yang mempunyai maksud tertentu dimasukkan dalam senarai masukan kamus ini seperti sebau, sebaya dan beberapa kata lain. Selain itu rangkai kata yang berupa frasa, ungkapan dan kata majmuk pula dimuatkan di bawah kata pertama pada rangkai kata berkenaan contohnya kerja lembur pada kerja, pelabuhan bebas pada pelabuhan dan sebagainya.

Kamus Besar

Dalam bahagian Susunan Entri/Kata Masukan, Kamus Besar telah membahagikan kepada Kata Dasar/Pokok, Kata Terbitan/Imbuhan, Simpulan Bahasa/Ungkapan, Peribahasa, Rangkai Kata dan Frasa, Bahasa Kiasan, Homonim dan Ejaan. Kata Dasar/Pokok dimasukkan mengikut abjad dengan huruf tebal, contohnya:

Krematorium tempat membakar mayat

Kriminal jenayahKrisis ketegangan, kegentingan, keributan, kemelut, keadaan merbahaya

Manakala dalam Kata Terbitan/Imbuhan pula pada umumnya berbentuk kata terbitan diletakkan berturutan dengan kata dasar/pokok. Dalam kamus ini urutan ialah adalah berdasarkan seperti berikut ....beR-, beR-an, beR-kan, meN-, meN-i, meN-kan, mempeR-, mempeR-i, mempeR-kan, teR-, -an, ke-an, kebeR-an, keteR-an, peR-an, peN-an, peR-, peN-, ke-man, -ita, -wan, -wati (dan akhiran asing yang lain), di- (menunjukkan arah), ke- (menunjukkan arah), menge-kan (menunjukkan arah) dan se-. Di antara contoh-contoh ialah bawa, berbawaan, membawa, membawakan, pembawa, pembawaan dan bawaan dan lain-lain lagi. Dari segi Kata Ulang pula, kamus ini meletakkan kata ulang yang bermakna jamak sebagai kata masukan seperti kedai-kedai, orang-orang, rumah-rumah, sekolah-sekolah dan sebagainya. Manakala kata-kata yang berbentuk kata ulang seperti kupu-kupu, kura-kura, rama- rama dan sebagainya diletakkan di bawah kata masukan turunan mengikut kata dasarnya seperti kupu; kupu-kupu, kura; kura-kura, rama; rama-rama dan sebagainya. Bagi simpulan bahasa pula, contohnya: bawa, bawa adat, bawa agung, bawa alamat, bawa arus dan lain-lain lagi.

Sebutan

Aspek sebutan dalam kamus ekabahasa Melayu tidaklah menjadi satu perkara yang semestinya ada transkripsi fonetiknya memandangkan sebutan kata Melayu adalah fonemik berbanding dengan bahasa Inggeris. Dalam hal ini N. Shashi Kala (1995:32) dalam rencananya bertajuk The Living Dictionary telah memetik kata-kata Frank Foley, Pengarah Urusan, HarperCollins Publishers Asia seperti berikut:

For instance, in Malaysia, Malay words are pronounced quite differently from English words. Cat in Malay (pronounced cha-at) means paint, whereas it refers to the feline species in English, says Foley.The same goes for air (water in BM) and air (udara). Same spelling but vastly different pronounciation. Hence the importance of a standard pronounciation guide.

Kamus Dewan

Dalam aspek ini Kamus Dewan hanya menurunkan transkripsi fonetiknya kepada kata masukan yang ejaannya mengandungi huruf e taling sahaja. Sebutan bagi ejaan yang mengandungi e pepet tidak diberi transkripsi fonetik. Misalnya dalam Kamus Dewan dimasukkan seperti berikut:

enak (enak) 1. sedap, nyaman (rasa dll)

enteng (enteng) ringan, mudah;

empat bilangan tiga dicampur satu (4,IV), -belas bilangan yang sepuluh ditambah empat (14, XIV); -puluh empat kali sepuluh (40,XL);-ratus empat kali seratus (400, CD);.....

enau sejenis tumbuhan (pokok), aren, kabung, Arenga saccharifera;

Kamus Besar

Manakala Kamus Besar tidak memasukkan sebarang tanda transkripsi fonetiknya bagi membezakan kedua-dua bentuk e sebagaimana yang terdapat dalam Kamus Dewan, contohnya:

emak ibu, mami, embok, mak, indung, indu....

elok ranggi, gagah, tampan, anggun, gombang

Takrif/Pemerian Makna

Pengguna kamus akan merujuk kepada sesebuah kamus untuk mendapatkan maknanya. Pengguna juga boleh merujuk kepada sesebuah kamus untuk banyak jenis maklumat lain, tetapi pokoknya ialah untuk mendapatkan makna (Abdullah Hassan, 1987:109). Menurut kajian yang telah dibuat oleh Barnhart (1962), Bejoint (1981) dan Hartman (1984) semua pengguna kamus yang diberi soal selidik meletakkan mencari makna perkataan merupakan tujuan nombor satu mereka menggunakan kamus. Oleh itu salah satu daripada fungsi utama sesuatu kamus itu ialah memberi makna yang tepat terhadap sesuatu kata yang dikehendaki oleh penggunanya. Aspek mencari makna perkataan dalam sebuah kamus menjadi pilihan utama penggunaan kamus. Dalam hal ini kamus yang berbeza akan memberi takrifan yang berbeza terhadap sesuatu kata itu, umpamanya kamus untuk kanak-kanak berbeza daripada takrif yang diberikan dalam kamus dewasa.

Dalam bahagian Prakata Kamus Besar, Professor Abdullah Hassan telah menyatakan:

Makna perkataan entri diberi dalam tiga bentuk iaitu definisi, perkataan sinonim dan antonim, bukan semua perkataan entri perlu diberi definisi. Oleh sebab itu ada perkataan entri yang hanya diberi sinonimnya saja. Sinonim itu sudah mencukupi untuk memberi makna. Bukan semua perkataan juga mempunyai antonim. Oleh itu ada perkataan entri yang tidak diberi antonimnya.

Berikut ialah contoh-contoh kata yang sama dan ditakrifkan mengikut kaedah yang berbeza bagi kedua-dua kamus yang dikaji:

Kamus Dewan

i. candu 1. sejenis bahan yang disediakan drpd biji buah popi (boleh digunakan secara terkawal untuk menghilangkan rasa sakit atau menyebabkan tidur tetapi berbahaya apabila digunakan secara tidak terkawal sbg dadah untuk mengkhayalkan diri dsb); -- mentah candu yg belum dimasak atau diproses sehingga sedia utk digunakan; 2.= -- rokok cecair yg pekat hitam yg keluar drpd rokok atau lubang paipyg dihisap; 3. = mencandu ketagih (suka, gemar) akan sesuatu:

ii. dungu tongong, bebal, bodoh, tolol, dongok; mendungukan menjadikan dungu, membodohkan, membebalkan; kedunguan perihal dungu, kebodohan, kebebalan, ketololan

iii. jawi I Melayu; - pekan (peranakan) orang yg berketurunan Melayu dan India; bahasa bahasa Melayu; huruf huruf Arab dgn beberapa huruf tambahan yg digunakan utk menulis dlm bahasa Melayu; masuk berkhatan, bersunat; padi padi biasa (bukan pulut); tulisan tulisan yang menggunakan huruf jawi.

Jawi II lembu, sapi; anak Mn anak laki-laki yg dikasihi;

Jawi III; jawi-jawi, jejawi sj tumbuhan (pokok), beringin, kelat sega, FicusBenjamina

Kamus Besar

i. candu 1 spb sesuatu yang ditagihi2 tengkoh, tike, apium, madat

ii. dungu sangat bodoh, tolol, bingung, otakayam (spb), otak udang, hamik, dengu, ongkok, pongah, tongong, besar rabu, benak hati beloh, ahmak, tangin, pandir, tidak berotak, bengang, sementung.

iii. jawi I Melayumenjawikan menterjemahkan jawi II lembu, sapi

Ilustrasi

Ilustrasi di sini bermaksud penggunaan kata berdasarkan contoh-contoh mengikut konteks tertentu untuk memberi kefahaman kepada pembaca lain khususnya yang bukan penutur jati sesuatu bahasa tersebut. Maklumat ini penting dalam sesebuah kamus kerana setiap kata itu biasanya mempunyai makna yang lebih daripada satu selain daripada makna asal. Dalam konteks ini Asmah Hj. Omar telah menyatakan:

An entry does not fully fulfil its usefulness if it is only the meaning(s) and the grammatical explaination(s) that are given without the examples which illustrate its usage in certain contexts: sentence, phrase or word (in the case of an affixentry).

Kamus Dewan

2424Kebanyakan daripada entri dalam kamus ini disenaraikan dengan lebih daripada satu ilustrasi dengan konteks penggunaan yang jelas serta tepat menggambarkan makna. Namun terdapat juga sebilangan kata yang ilustrasinya sukat untuk difahami terutama sekali bagi pengguna yang bukan penutur jati bahasa Melayu. Perhatikan contoh-contoh berikut:

melayangkan 1. membuat supaya terbang atau melayang, menerbangkan: Yg bulat digolekkan, yg pipih dilayangkan; 2. mengarahkan (pandangan dll.), menghalakan, mengirimkan (surat dll): Sesudah bersalam-salaman Rosli matanya ke kiri dan ke kanan; -- surat mengirimkan surat;

Ilustrasi yg bulat digolekkan, yg pipih dilayangkan dalam petikan di atas adalah dilihat sukar untuk menerangkan maksud sebenar perkataan melayangkan dalam konteks penggunaannya. Oleh itu ilustrasi itu dirasakan tidak begitu sesuai untuk menggambarkan maksud sebenar membuat supaya terbang atau melayang, menerbangkan dalam konteks tersebut berbanding dengan iluatrasi untuk maksud 2 perkataan tersebut.

Satu lagi contoh ialah ilustrasi untuk mengambarkan kelazatan ialah seperti berikut:

Kelazatan 1. kesedapan, keseronokan: bahagia dan yg sejati hanya bilamana hanya bilamana kita mengingati Allah;

Menurut Asmah Hj. Omar, tidak semua pengguna dapat memahami maksudkelazatan dalam ayat di atas. Lebih-lebih lagi kelazatan kerap kali tidak diberi contoh berdasarkan contoh yang sesuai seperti makanan, dan contoh ayat yang menggambarkan kelazatan makanan adalah lebih tepat dan berguna berbanding dengan yang digunakan dalam kamus tersebut. Meskipun begitu kebanyakan daripada kata-kata lain dalam kamus ini diberi ilustrasi yang tepat dan boleh difahami oleh para pengguna.

Kamus Besar

Kebanyakan kata-kata entri dalam kamus ini tidak diberi ilustrasi kecuali setengah-setengah bagi perkataan yang mempunyai simpulan bahasa/ungkapan atau peribahasa bagi tujuan menjelaskan lagi maksudnya. Bagi perkataankelazatan misalnya, kamus ini juga memberi takrif sahaja tanpa memberi ilustrasi, iaitu I kenikmatan, keenakan, keseronokan, kemanisan 2. terlalu suka/gemar.

Nama Saintifik

Nama saintifik ialah biasanya dimasukkan dalam sesuatu kamus bagi memudahkan para pengguna khususnya yang berkaitan dengan pengajaran, pembelajaran atau pengkajian tentang sains yang melibatkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Dalam entri kamus tertentu nama saintifik dimasukkan bersama-sama denga maksud sesuatu nama tumbuhan dan binatang dalam kata masukan/entri utamanya.

Kamus Dewan

baung sj ikan darat, Mystus nemurus: -- akar sj ikan darat MystusPlaniceps (Macrones nigriceps): -- baru sj ikan darat, Ambluceps Mangois. jejawi sj tumbuhan (pokok), jawi-jawi, Ficus Benjamina; -- jawi ketumbit I 1. sj tumbuhan (herba) ketumbak, Leucas lavandulifolia;

2. sj tumbuhan (pokok) Saurauja tristyla; -- akar sj tumbuhan (herba), rumput anak temot, rumput setandang, rumput setawar, rumput sumpu, rumput susur, Borreria articularis (hispida); -- hitam sj tumbuhan (herba), Polygala venenosa; -- jantan sj tumbuhan (rumpai), tetambak merah, Emilia sochifolia padang sj tumbuhan (rumput), rumput babi, Synedrella nodiflora.

Kamus Besar

Baung ikan sembilang

Jejawi sejenis tumbuhan

Ketumbit tembel, bintit, mata ikan, ketuat

Etimologi (Asal Usul Kata)

Etimologi atau asal usul kata ialah perubahan dari segi bentuk atau makna kata yang dikesan sepanjang tempoh perubahannya dari bahasa sumbernya hingga ke bentuk atau maknanya dalam bahasa sasaran (Fadhilah Jasmani, 1994:5). Kamus Oxford English Dictionary (1928) merupakan kamus perintis yang memasukkan etimologi bagi setiap entrinya.

Kamus Dewan

Kamus ini memuatkan kategori maklumat etimologi dengan cara yang paling ringkas. Dalam bahagian Panduan Kepada Pengguna, penyusunnya telah menjelaskan bahawa keterangan etimologi tidak diberi selengkapnnya tetapi hanya sekadar untuk menyatakan bahasa sumber sesuatu perkataan yang sudah meresap ke dalam perbendaharaan bahasa Malaysia tetapi masih terasa sifat-sifat keasingannya tanpa memperhitungkan taraf atau peringkat kemeresapan perkataan yang berkaitan di kalangan pengguna bahasa. Antara lain bahasa sumber etimologi kata-kata Melayu ditulis dalam singkatan ialah Arab (Ar), Brunei (Br), Cina (C), Eropah (E), Indonesia-Belanda (IB), Indonesia (Id), Inggeris (Ig), Johor (Jh), Jakarta (Jk), Jawa (Jw), Kedah (Kd), Kelantan (Kl), Melaka (Ml), Minangkabau (Mn), Negeri Sembilan (NS), Pahang (Ph), Perlis (Pl), Pulau Pinang (Pn), Perak (Pr), Singapura (Si), Selangor (Sl), Sarawak (Sr) dan Terengganu (Tr).

Di antara contoh-contoh kata yang mempunyai tanda etimologi yang terdapat dalam kamus ini ialah:

AljabarAr algebra(asal bahasa Arab)

AmbenJw emban, ikat pinggang(asal bahasa Jawa)

analogiIB kias, perbandingan(asal bahasa Indonesia Belanda)

individuE orang perseorangan(asal bahasa Eropah)

keruaiBr sj burung, kuang, kuau(asal bahasa Brunei)

lenditKd tertib (kelakuan)(asal bahasa Kedah

locohKl Tr tercabut(asal dialek Kelantan dan

Terengganu)

ongjiC izin, lesen(asal bahasa Cina)

kartuId 1. kad; 2. daun terup(asal bahasa Indonesia)

repot Ig lapor; (asal bahasa Inggeris)dan lain-lain lagi.

Kamus Besar

Kamus ini tidak memberikan nama bahasa sumber atau bahasa asal usul sesuatu kata bagi kata masukannya.

Rujuk Silang

Rujuk silang ialah salah satu kategori maklumat yang agak penting dan perlu ada dalam sesebuah kamus. Ia merupakan nota arahan kepada pengguna supaya merujuk ke bahagian atau perkataan lain yang tertentu bagi tujuan menjelaskan lagi makna atau mungkin sesuatu perkataan tertentu mempunyai makna yang sama. Rujuk silang dapat dibahagikan kepada 2 iaitu Rujuk Silang Eksplisit dan Rujuk Silang Implisit. Kebanyakkan kamus menggunakan Rujuk Silang Eksplisit kerana ia lebih tepat dan boleh menjimatkan penggunaan ruangan dan perkataan dalam sesuatu kamus.

Kamus Dewan

Rujuk silang yang digunakan dalam kamus ini ditulis dalam bentuk simbol dan keterangannya telah dimasukkan dalam bahagian Tanda-tanda pada muka surat xxxi bersama-sama dengan tanda-tanda lain. Simbol yang digunakan bagi rujuk silang ialah beerti lihat; dan penggunaannya dalam kamus ini ialah seperti berikut:

peraga raga

ala alah

akasa angkasa

khabuli kabuli

Dalam konteks di atas, bagi mencari makna perkataan peraga pengguna kamus hendaklah merujuk kepada perkataan raga. Begitu juga dengan perkataan- perkataan lain. Selain itu ada juga rujuk silang dimasukkan selepas pemberian makna sesuatu kata, contohnya:

angah Mn; terangah payah, tercengang (tidak dapat berkata-kata); engah

arakian sesudah itu, maka arkian

nitis Jw menjelma; titis kutilang sj burung ketilanglanglai longlai; lemah--; lemah, longlai.

berkutu berkumpul, bersyarikat, bersekutu sekutu

merajalela (merajalela) 1. berbuat sekehendak hati; 2. menjangkit (penyakit); maharajalela

Kamus Besar

Rujuk silang dalam yang digunakan dalam kamus ini bertujuan untuk membantu para penggunanya untuk mengetahui ejaan rasmi sesuatu kata khususnya kata-kata klasik atau kata-kata pinjaman. Misalnya:

bangi I 1. derhaka 2. keras (kopi)

bangi II banjiIni bermakna untuk mengetahui maksud dan ejaan rasmi perkataan banggipengguna hendaklah merujuk kepada i. Perkataan derhaka dan ii. perkataanbanji.

Perbincangan Hasil Kajian Dan Cadangan

Setelah dianalisis kedua-dua kamus tersebut didapati terdapat beberapa perbezaan ketara dalam aspek medan maklumat yang terkandung di dalam kedua-duanya. Hasil daripada analisis yang dibuat dalam kajian berkenaan didapati Kamus Dewan Edisi Ketiga mempunyai kesemua kategori maklumat tersebut iaitu aspek ejaan, kata masukan(entri), sebutan, takrif/pemerian makna, ilustrasi, nama saintifik, etimologi (asal usul kata) dan rujuk silang. Manakala Kamus Besar Utusan pula hanya mempunyai 4 kategori maklumat sahaja daripada jumlah tersebut iaitu ejaan, kata masukan(entri), takrif/pemerian makna dan rujuk silang.

Kamus Besar Utusan mempunyai alasan tersendiri mengapa kategori-kategori maklumat tersebut tidak dimasukkan khususnya maklumat etimologi. Mengikut penyusunnya kata-kata yang dipinjamkan daripada bahasa lain dan telah sebati dengan sebutan atau pengetahuan masyarakat khususnya masyarakat Melayu tidak perlu lagi dimasukkan asal usul katanya kerana sudah diketahui umum. Meskipun begitu Kamus Dewan memasukkan kategori maklumat tersebut adalah bertujuan untuk memudahkan pengguna kamus khususnya kepada pengkaji bahasa.

Namun yang menjadi persoalannya sejauhmanakah etomologi yang terdapat dalam kamus itu dapat membantu penggunanya dari segi sejarah asal usul sesuatu kata kerana sudah banyak kata-kata pinjaman yang sudah sebati dengan masyarakat Melayu dan telahpun dimelayukan dan tidak pula dimasukkan etimologinya dalam kamus? Perkara-perkara seperti ini perlu kepada penelitian pihak penyusunnya.

Selain itu terdapat perbezaan-perbezaan khususnya dalam aspek takrif/pemerian makna yang mana dalam keadaan tertentu Kamus Dewan Edisi Ketiga menyediakan pemerian makan yang lebih lengkap berbanding Kamus Besar Utusan dan dalam keadaan tertentu pula Kamus Besar Utusan memberi takrif yang lengkap berbanding Kamus Dewan Edisi Ketiga.

Sebuah kamus yang baik perlu menggarapkan hubungan yang akrab antara aspek semantik, aspek morfologi dan aspek sintaksis. Sesuatu hubungan yang

longgar antara ketiga-tiga aspek tersebut menjadikan sesuatu kamus itu tidak sempurna dan kemas. Penyusun atau penyunting sesebuah kamus bahasa Melayu hendaklah berhati-hati dalam memerikan kategori-kategori maklumat yang perlu ada dalam sesebuah kamus itu.

Ketelitian dalam memerikan kategori maklumat ini penting bagi menjelaskan lagi fungsi sesebuah kamus itu, yang bukan sahaja terhad sebagai bahan yang menghuraikan makna perkataan tetapi juga mempunyai maklumat-maklumat lain yang berhubung dengan sesuatu kata berkenaan. Para pengguna kadang kala bukan sahaja mencari makna perkataan, tetapi juga mungkin untuk memastikan sesuatu kata itu dieja dengan betul, penggunaan sintaksis yang betul, imbuhan yang betul, untuk mencari sinonim dan antonim yang tepat atau mencari ungkapan-ungkapan yang sesuai dengan perkataan tertentu. Jesteru itu penggarapan aspek-aspek tersebut adalah perlu ada dalam setiap kamus yang baik.

Pengguna bukan penutur jati bahasa Melayu misalnya, mungkin memerlukan maklumat yang lebih jelas dan lengkap dalam sesuatu kamus bagi membantu mereka memperkayakan perbandaharaan kata bahasa Melayu. Oleh sebab itu, penyusunan dan penyuntingan kamus perlu kepada ketelitian kerana aktiviti penyusunan dan penyuntingannya adalah perlakuan yang intelektual dan akademik sifatnya. Para penyusun dan penyunting kamus bukan sahaja sebagai pakar dalam bidang dan subbidang ilmu tertentu, tetapi juga hendaklah sebagai penulis yang berkebolehan, ahli bahasa Melayu yang berwibawa, guru yang berkemampuan, penterjemah yang teliti, pengguna kamus yang tekun, pengkritik yang bijak, penyunting (editor) yang hebat dan menguasai beberapa bahasa dan dialek tertentu.

Dengan lengkapnya kategori-kategori maklumat dalam sesuatu kamus dan terdedahnya pengetahuan umum terhadap maklumat ini adalah diharapkan para pengguna kamus tidak lagi memiliki kamus dengan hanya terpengaruh pada nama dan gambaran fizikal sesebuah kamus itu sahaja, tetapi sebaliknya mereka berhak dan mampu menilai kategori-kategori maklumat yang terkandung dalam sesebuah kamus itu.

Kesimpulan

Berdasarkan analisis yang telah dibuat ke atas kedua-dua kamus tersebut, Kamus Dewan sememangnya didapati lebih melengkapi kehendak sebuah kamus yang sempurna berbanding Kamus Besar. Walau bagaimanapun kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan sasaran pengguna masing-masing serta memenuhi ciri sebagai sebuah kamus yang memuatkan banyak maklumat tentang kata dan maklumat ensiklopedis yang lain. Bagi Kamus Dewan, kamus ini boleh dianggap sebagai sebuah kamus ekabahasa Melayu yang lengkap. Namun demikian beberapa ilustrasi untuk penjelasan takrif perlu dikaji semula sebagaimana yang telah dibincangkan dalam kertas ini, kerana sesuatu ilustrasi yang tidak tepat akan lebih menyukarkan lagi pengguna untuk memahami takrif sesuatu kata itu.

Meskipun terdapat sedikit kekurangan dari segi kategori maklumat, Kamus Besar boleh dianggap sebagai sebuah kamus ekabahasa yang sesuai untuk seluruh pengguna khususnya penutur jati bahasa Melayu untuk meluaskan perbendaharaan

kata khususnya dalam aspek kata-kata pinjaman daripada bahasa serumpun. Ada beberapa kata masukan yang perlu diperluaskan lagi makna atau takrifnya bagi tujuan memberi pengetahuan yang lebih kepada pengguna, khususnya para pelajar. Sesebuah kamus yang baik dan lengkap sudah pasti dapat membantu penggunanya dengan lebih sempurna dalam mendapatkan maklumat daripada kamus tersebut.

Bibliografi

Abdullah Hassan. 1987. 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Hj. Hasbullah, Abd Rauf Hj. Hassan & Radiah Mezah. 2006. Kamus dan Penggunaannya Dalam Proses Pembelajaran Bahasa: Satu Tinjauan Terhadap Pelajar Menengah Tinggi Agama/Arab Dalam Penggunaan Kamus Arab. Dlm. Siti Khatijah Johari & Veronica P. Atin. Language Teaching Policies Methodology & Research, Proceeding From The National Seminar on Language Teaching. Kota Kinabalu, Sabah: Penerbit UMS.

Ali M. Al-Kasimi. 1977. Linguistics and Bilingual Dictionaries.

Asmah Hj. Omar. 1971. The Desdriptive Prescriptive Dictionary: A Review Article ofKamus Dewan. Brunei Museum Journal.

Asmah Hj. Omar. 1987. Perkamusan Melayu: Satu Penilaian. Kertas Syarahan Memperingati Ulang Tahun Kesepuluh Koleksi Kebangsaan, Perpustakaan Universiti Malaya.

Bo Svense. 1993. Practical Lexicography: Principles and Methods of DictionaryMaking. Oxford: Oxford University Press.

Fadilah Jasmani. 1994. Kategori Maklumat Dalam Kamus. Kertas Kerja SeminarPerkamusan Melayu. 20 21 Disember 1994.

Haji Zainal Abidin Safarwan (Penyusun) 1995. Kamus Besar Bahasa MelayuUtusan. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Ibrahim Ahmad. 1994. Perkamusan Melayu: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Johnson, L. 1984. Some Foundation of Lexicography in SEA Englishes. Kertas Berkala, Singapura: Regional English Language Centre (RELC).

Kamus Dewan (Edisi Baru). 1989. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan (Edisi Ketiga). 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Laurie Baker. 1983. English Word Formation. Cambrige: Cambrige University Press.Shanmuganar, P. Sundara. 1967. History of Tamil Lexicoography.Pondicherry,India: Puthuvai Painthamizh Pathippakam.

Shashi Kala, N. 1995. The Living Dictionary. The Sun Megazine, December 27.

Sulaiman Masri. 1994. Apakah Kamus Bahasa Melayu Yang Baik?. Kertas Kerja SeminarPerkamusan Melayu. 20 21 Disember 1994.