isu warga emas

30
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang peranan anak-anak untuk menjaga ibu bapa mereka dan kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh warga tua. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. Warga tua atau dikenali juga sebagai warga emas merujuk golongan yang umurnya sudah melewati 60 tahun. Mereka biasanya telah bersara daripada pekerjaan utama sama ada sektor perkhidmatan awam atau sektor swasta. Terdapat juga warga tua yang telah bersara daripada pekerjaan utama, tetapi masih bekerja dalam bidang lain, namun bilangannya tidaklah begitu banyak. Yang selebihnya menghabiskan masa di rumah untuk berehat dan beribadat. Tidak semua warga tua dapat menikmati kehidupan yang baik. Terdapat juga warga tua yang hidup susah, terutamanya mereka yang bekerja sendiri di kampung-kamoung. Mereka tidak mempunyai simpanan untuk hari tua. Sebenarnya, banyak masalah yang dihadapi oeh golongan tua. Mereka biasanya uzur, iaitu mengalami kelemahan fizikal sehingga menyukarkan mereka bergerak bebas. Terdapat juga warga tua yang menghadapi masalah kurang pendengaran, kurang penglihatan, di samping mengalami penyakit nyanyuk. Selain itu, terdapat juga warga tua yang menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, dan sebagainya. Segelintir warga tua pula mengalami tekanan emosi kerana tiada pendapatan tetap, tidak dipedulikan oleh anak-anak, dan berasa kesunyian akibat kematian pasangan. Dalam hubungan ini, anak-anak perlu memainkan peranan mereka untuk menjaga dan menggembirakan ibu bapa masing-masing. Anak-anak wajib menjaga ibu bapa mereka yang telah tua dengan cara tinggal bersama mereka. Kalau itu tidak dapat dilakukan kerana bekerja di tempat yang jauh, mereka mesti mengambil inisiatif untuk mengupah orang menjaga ibu bapa dan mereka perlu sering pulang untuk melihat keadaan ibu bapa yang telah tua. Oleh sebab kebanyakan ibu bapa yang telah tua tidak bekerja lagi, maka sudah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk

Upload: ainee-ahmad

Post on 02-Jan-2016

594 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

bahan-bahan untuk latihan merumuskan karangan

TRANSCRIPT

Page 1: Isu Warga Emas

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang peranan anak-anak untuk menjaga ibu bapa mereka dan kesukaran-kesukaran yang dihadapi oleh warga tua. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Warga tua atau dikenali juga sebagai warga emas merujuk golongan yang umurnya sudah melewati 60 tahun. Mereka biasanya telah bersara daripada pekerjaan utama sama ada sektor perkhidmatan awam atau sektor swasta. Terdapat juga warga tua yang telah bersara daripada pekerjaan utama, tetapi masih bekerja dalam bidang lain, namun bilangannya tidaklah begitu banyak. Yang selebihnya menghabiskan masa di rumah untuk berehat dan beribadat.

Tidak semua warga tua dapat menikmati kehidupan yang baik. Terdapat juga warga tua yang hidup susah, terutamanya mereka yang bekerja sendiri di kampung-kamoung. Mereka tidak mempunyai simpanan untuk hari tua. Sebenarnya, banyak masalah yang dihadapi oeh golongan tua. Mereka biasanya uzur, iaitu mengalami kelemahan fizikal sehingga menyukarkan mereka bergerak bebas. Terdapat juga warga tua yang menghadapi masalah kurang pendengaran, kurang penglihatan, di samping mengalami penyakit nyanyuk. Selain itu, terdapat juga warga tua yang menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, dan sebagainya. Segelintir warga tua pula mengalami tekanan emosi kerana tiada pendapatan tetap, tidak dipedulikan oleh anak-anak, dan berasa kesunyian akibat kematian pasangan. Dalam hubungan ini, anak-anak perlu memainkan peranan mereka untuk menjaga dan menggembirakan ibu bapa masing-masing. Anak-anak wajib menjaga ibu bapa mereka yang telah tua dengan cara tinggal bersama mereka. Kalau itu tidak dapat dilakukan kerana bekerja di tempat yang jauh, mereka mesti mengambil inisiatif untuk mengupah orang menjaga ibu bapa dan mereka perlu sering pulang untuk melihat keadaan ibu bapa yang telah tua.

Oleh sebab kebanyakan ibu bapa yang telah tua tidak bekerja lagi, maka sudah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk menyediakan segala keperluan ibu bapa seperti makan, minum,dan pakaian. Jika dahulu ibu bapa membanting tulang untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak, kini tibalah giliran anak-anak menampung segala keperluan ibu bapa mereka. Anak-anak juga berperanan menjaga kesihatan ibu bapa dengan membawa mereka mendapatkan rawatan jika sakit dan menyediakan perbelanjaan untuk membeli ubat jika ibu bapa yang sakit memerlukan ubat secara berterusan.

Anak-anak juga perlu menghormati ibu bapa sebagai orang tua. Oleh itu, anak-anak mestilah senantiasa bercakap dengan lemah lembut kepada orang tua. Mereka perlu bersabar menghadapi kerenah orang tua yang kadang kala mudah merajuk umpama kanak-kanak. Mereka juga perlu sabar menghadapi kerenah orang tua yang nyanyuk. Selain itu, anak-anak perlu menghormati pandangan atau nasihat daripada orang tua. Sekiranya pandangan atau nasihat itu

Page 2: Isu Warga Emas

tidak sesuai dengan zaman ini,, anak-anak perlu bijaksana untuk menolaknya.Anak-anak juga tidak seharusnya

membiarkan ibu bapa mereka hidup dalam kesunyian. Oleh itu, anak-anak sewajarnyasering balik ke kampung untuk menziarahi ibu bapa. Terdapat sesetengah orang tua yang tidak mempedulikan sangat harta, wang atau makan minum, tetapi mereka mahu selalu dekat dengan anak, menantu, dan cucu-cucu. Jadi, anak-anak mestilah prihatin terhadap keperluan ibu bapa mereka. Golongan muda sepatutnya sedar, jika tiada orang tua, maka tiadalah orang muda. Tiada ayah dan ibu tiadalah anak-anak. Jasa orang tua sungguh besar, sukar untuk dinilai dengan wang ringgit. Oleh itu, mereka mesti menyedari hal itu dan berusaha untuk membalas jasa mereka dengan menggembirakan mereka yang menjalani sisa-sisa hidup sementara dipanggil ke alam yang kekal nanti.

1. Berikan maksud rangkai kata sabar menghadapi kerenah orang tua. 2m

2. Nyatakan masalah –masalah yang biasa dihadapi oleh seorang warga emas? 3m

3. Pada pendapat anda, mengapakah segelintir warga emas hidup dalam keadaan daif? 4m

Page 3: Isu Warga Emas

SKEMA JAWAPAN:

P: Petikan membincangkan tanggungjawab anak-anak untuk menjaga ibu bapa

Isi tersurat: Peranan

S1: Anak-anak sewajarnya tinggal bersama ibu bapa yang sudah tua dan uzur

S2: Anak-anak boleh mengupah orang lain menjaga ibu bapa yang tua dan uzur sementara mereka pergi bekerja

S3: Anak-anak perlu menyediakan segala keperluan ibu bapa

S4: Anak-anak perlu menjaga kesihatan ibu bapa/ membawa mereka mendapatkan rawatan

S5: Anak-anak perlu sentiasa menghormati ibu bapa

S6: Anak-anak tidak sepatutnya membiarkan ibu bapa hidup dalam kesunyian

Isi tersirat: kesukaran yang dihadapi

T1: memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak

T2: Ibu bapa perlu sentiasa memberikan nasihat kepada anak-anak supaya menjadi orang yang tahu mengenang budi.

T3: Kerajaan mengadakan kempen untuk menggalakkan anak-anak menyayangi / menjaga ibu bapa yang tua dan uzur

T4: Anggota masyarakat perlu memberikan nasihat / bimbingan kepada anak-anak yang lupa diri/membiarkan ibu bapa hidup sendiri

Kesimpulan: Anak-anak mesti menjaga ibu bapa masing-masing dengan penuh kasih sayang supaya mereka menikmati hari tua dalam keadaan bahagia.

Page 4: Isu Warga Emas

Soalan pemahaman

1. …tenang melayani kehendak/tingkah laku warga emas

2. …Tidak mempunyai simpanan hari tua…Uzur…menghidap penyakit kronik

3. …Tidak dipedulikan anak-anak…Berkrisis dengan anak-anak…Kos hidup tinggi dengan kenaikan harga barang dari semasa ke semasa…Sebatang kara

Page 5: Isu Warga Emas

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor pengabaian anak-anak terhadap ibu bapa dan usaha-usaha untuk mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan

Jika kita kenangkan segala pengorbanan ibu bapa membesarkan dan menjadikan kita seperti hari ini, kita sekali-kali tidak akan sanggup berfikir untuk mengetepikan ibu bapa apatah lagi menghantar mereka ke rumah jagaan orang-orang tua pada saat-saat mereka memerlukan kita pada pengakhiran usia mereka. Mengapakah anak-anak zaman ini menjadi “derhaka” dan sanggup menghantar ibu bapa mereka ke pusat-pusat jagaan warga emas ini? Dengan kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya semata-mata bagi membina kejayaan hidup dengan pangkat, gelaran dan jawatan yang bergerak seiring dengan usaha dan komitmen mereka terhadap kerjaya. Keadaan ini menjadikan anak-anak zaman ini tidak ada lagi peruntukan masa untuk ibu bapa di kampung yang sentiasa menantikan panggilan telefon atau menjengah mereka pada hujung minggu.

Kesibukan mengejar kejayaan ini berterusan tanpa hadnya di pihak anak-anak zaman ini sehingga ada yang sanggup menetap di luar negara untuk sesuatu tempoh masa tertentu bagi memastikan kejayaan sentiasa berada dalam genggaman mereka. Apabila ibu bapa semakin tua, terdapat jurang komunikasi dengan anak-anak dan anak-anak yang berpelajaran tinggi dan berjawatan baik pula tidak berinisiatif untuk merapatkan jurang komunikasi antara mereka dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Keadaan ini menyebabkan ada orang tua yang tidak menaruh sebarang kepercayaan bahawa anak mereka akan sanggup menjaga sakit pening mereka lantas sanggup tinggal di rumah orang-orang tua kerana lebih mempercayai orang lain untuk menjaga mereka daripada anak kandung mereka sendiri. Perkara yang menyedihkan hati dan perasaan kita apabila anak-anak yang ditatang macam minyak yang penuh dari kecil sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana desakan, hasutan dan tekanan yang diberkan oleh pasangan hidup yang tidak sanggup hidup serumah dengan ibu bapa atau ibu bapa mertua yang telah tua dengan alasan ‘tidak tahan dengan karenah’ orang tua.

Ada kalanya anak-anak memberi alasan kewangan dalam menyatakan ketidakmampuan mereka untuk selalu menjengah ibu bapa di kampung atau menjaga orang tua sehingga mengambil keputusan menghantar orang tua mereka ke pusat-pusat kebajikan dan rumah warga tua. Proses urbanisasi dan modenisasi yang begitu

Page 6: Isu Warga Emas

pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium yang terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Atas alasan malu dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka, ada anak-anak yang tidak sanggup untuk membawa ibu bapa mereka tinggal bersama-sama kerana ibu bapa yang telah tua atau ‘nyanyuk’ ini akan menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat.

Rugilah ibu bapa kerana memiliki anak-anak yang tidak mengenang budi ini mereka menjadi “Si Tenggang” dan “Malim Kundang” zaman moden serta hanyut dalam dunia khayalan yang akhirnya memakan diri sendiri. Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk kita dan jadilah anak yang memuliakan ibu bapa sehingga akhir hayat mereka.

1. Berikan maksud rangkai kata “hanyut dalam dunia khayalan yang akhirnya memakan diri sendiri”. 2m

2. Apakah kesan urbanisasi dan modenisasi kepada warga tua? 3m

3. Pada pendapat anda, mengapakah anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka? 4m

Page 7: Isu Warga Emas

SKEMA JAWAPAN

P: Petikan membicangkan punca-punca pengabaian anak terhadap ibu bapa

Isi Tersurat : Punca-punca

S1: kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya

S2: terdapat jurang komunikasi dengan anak-anak

S3: Anak-anak yang berpelajaran tinggi dan berjawatan baik pula tidak berinisiatif untuk merapatkan jurang komunikasi antara mereka denga kedua-dua ibu bapa mereka

S4: ada orang tua yang tidak menaruh kepercayaan bahawa anak mereka mampu menjaga mereka

S5: Orang tua lebih mempercayai orang lain untuk menjaga mereka daripada anak kandung sendiri

S6: Anak-anak sanggup membuang ibu bapa mereka hanya kerana desakan, hasutan dan tekanan yang diberikan oleh pasangan hidup

S7: tidak tahan dengan karenah orang tua

S8: ada anak-anak memberi alasan kewangan dalam menyatakan ketidakmampuan mereka untuk selalu menjengah ibu bapa

S9: malu dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka

Isi tersirat: : Usaha-usaha mengatasi

T1: Mengadakan kempen kesedaran akan kepentingan membalas jasa ibu bapa dalam kalangan generasi muda

T2: Media massa perlu memainkan perana aktif dengan menyiarkan ibu bapa yang telah diabaikan oleh anak-anak

T3: Mengadakan pusat jagaan harian untuk warga tua bagi memudahkan anak-anak menghantar ibu bapa semasa mereka pergi bekerja

T4: Ibu bapa perlu menerapkan didikan keagamaan yang kukuh agar anak-anak tidak menderhaka kepada orang tua

Page 8: Isu Warga Emas

Kesimpulan: Anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua ibu bapa mereka agar ibu bapa mereka tidak berasa diasingkan oleh anak-anak

Soalan pemahaman

1. …terus berada dalam dunia imaginasi yang akhirnya akan membawa padah

2. …Proses urbanisasi dan modenisasi yang begitu pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman-taman perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium…Terdapat pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai bangsa…Keadaan menyebabkan anak-anak tidak sanggup membawa ibu bapa tinggal bersama kerana ibu bapa yang telah ‘nyanyuk’ dikhuatiri menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat

3. …ibu bapa telah membesarkan anak-anak menjadi insan yang berguna…ibu bapa telah bersusah payah bekerja keras demi sesuap nasi untuk anak-anak…ibu bapa telah melahirkan anak-anak ke dunia…ibu bapa ialah insan yang paling bernilai dalam diri anak-anak.

Page 9: Isu Warga Emas

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pusat jagaan warga emas dan sebab mereka enggan tinggal di situ. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Warga emas ditakrifkan sebagai golongan yang berusia 60 tahun ke atas. Jumlah warga emas di negara ini semakin bertambah kerana jangka hayat yang kian meningkat. Golongan ini terus mendapat pembelaan daripada kerajaan dan penubuhan pusat penjagaan sama ada yang kekal atau pusat transit harian yang memberikan perlindungan dan penjagaan kepada golongan warga emas. Penubuhan pusat berkenaan dapat memberikan khidmat kepada golongan tersebut menjalani hidup dengan sejahtera.

Kewujudan pusat jagaan warga emas membuktikan bahawa masyarakat begitu prihatin terhadap nasib golongan ini. Namun begitu, kehadiran mereka ke pusat itu atas pelbagai sebab. Antaranya, termasuklah ibu bapa tinggal dengan anak yang tidak mempunyai pembantu rumah sedangkan ibu bapa sudah lanjut usia. Ada sesetengah ibu bapa pula uzur dan memerlukan penjagaan yang sempurna sepanjang ditinggalkan seharian ketika anak bekerja. Dalam keadaan inilah warga emas memerlukan rumah transit bagi memastikan kebajikan warga emas terjaga selain mengelakkan mereka berasa kesunyian. Golongan warga emas yang tinggal di pusat jagaan tidak akan berasa hidup sendirian dan tersisih. Dengan tinggal beramai-ramai mereka akan mempunyai kawan untuk berbual-bual atau ada tempat untuk meluahkan perasaan mereka dan dapat mengatasi masalah kemurungan yang menghantui kehidupan kebanyakan warga emas.

Purata jangka hayat bagi warga emas lelaki mencecah 72.3 tahun manakala bagi wanita pula 76.9 tahun. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjangkakan menjelang 2020, usia lelaki mencecah 75.4 tahun, manakala wanita 80.4 tahun. Pada kadar jangka hayat itu, mereka memerlukan penjagaan dan perlindungan yang selesa dan sempurna. Walau bagaimanapun, kita masih berdepan dengan dilemma apabila warga emas ditempatkan di pusat jagaan kerana anak-anak dituduh mahu mengelak daripada menanggung beban menjaga ibu bapa mereka. Sebaliknya, tujuan sebenar warga emas ditempatkan di situ adalah untuk menjadikan mereka lebih produktif dan tidak pasif. Apabila berada di pusat jagaan tersebut, golongan tersebut dapat mengisi masa sepanjang hari dengan penuh berkualiti menerusi kegiatan yang disediakan selain berinteraksi dengan warga emas yang lain sebelum dijemput oleh anak selepas mereka pulang dari tempat kerja.

Page 10: Isu Warga Emas

Oleh sebab itu, kewajaran menjaga hak dan pembelaan golongan warga emas bukanlah satu perkara yang remeh kerana hal ini dapat menyokong agenda negara dalam usaha mewujudkan masyarakat prihatin dan penyayang.Sehubungan dengan itu, pusat jagaan itu seharusnya mempunyai pekerja yang terlatih, penyabar, dan mempunyai daya tahan yang tinggi untuk melayan kerenah golongan yang sudah meningkat usia itu.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana “Penjagaan Warga Emas Perlu Diselaras” oleh Jamilah Shukri, Berita Harian,26 Disember 2006)

1. Berikan maksud rangkai kata melayan kerenah dalam petikan tersebut. 2m

2. Jelaskan sebab-sebab warga emas perlu ditempatkan di pusat jagaan. 3m

3. Pada pandangan anda, mengapakah kerajaantidak harus mendirikan rumah kebajikan yang banyak untuk mengurus warga emas? 4m

Page 11: Isu Warga Emas

SKEMA JAWAPAN

P: Petikan membincangkan tanggungjawab pusat jagaan warga emas

Isi tersurat: Kepentingan

S1: Pusat jagaan warga emas memberikan perlindungan dan penjagaan kepada warga emas

S2: Pusat jagaan memberikan khidmat kepada golongan tersebut menjalani kehidupan dengan sejahtera

S3: Kewujudannya membuktikan bahawa masyarakat prihatin terhadap nasib golongan ini.

S4: Kebajikan warga emas terjaga selain mengelakkan mereka berasa kesunyian

S5: Golongan ini tidak akan berasa tersisih dan hidup bersendirian

S7: Mereka mempunyai kawan dan dapat mengatasi masalah kemurungan

S8: Pusat jagaan menjadikan warga emas lebih produktif dan tidak pasif

S9: Mereka dapat mengisi masa sepanjang hari dengan penuh berkualiti

S10: Mereka dapat berinteraksi dengan warga emas yang lain

Isi tersirat: Sebab

T1: Mengharapkan anak akan menjaga mereka hingga akhir hayat

T2; Merasakan diri mereka sebagai orang yang terbuang dan tidak dipedulikan

T3: Mereka berasa risau akan dipandang rendah oleh warga emas lain yang dijaga oleh anak-anak.

T4: Mereka tidak selesa kerana tidak dapat bertindak mengikut kehendak sendiri

T5: Beranggapan bahawa hidup mereka bergantung pada belas ihsan pelbagai pihak.

Kesimpulan: Anak-anak hendaklah menjaga ibu bapa merekaa agar tidak dicap sebagai anak derhaka.

Page 12: Isu Warga Emas

Soalan pemahaman:]

1. …memenuhi tuntutan

2. …tinggal dengan anak-anak yang tiada pembantu rumah…uzur…memerlukan penjagaan yang sempurna

3. …anak-anak bertanggungjawab untuk menjaga ibu bapa mereka …membebankan kerajaan…mengetepikan sikap tolak-menolak dalam kalangan anak-anak untuk menjaga ibu bapa mereka…mengurus warga emas yang tidak ada waris atau penjaga sahaja…menyedarkan anak-anak bahawa tanggungjawab mereka tidak boleh diserahkan kepada pihak lain.

Page 13: Isu Warga Emas

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor budaya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau pusat jagaan semakin menular dan kesan-kesannya . Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada hakikatnya sepasang suami isteri mampu dan sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjaga dan mendidik anak-anak, namun amat malang apabila anak yang banyak tidak sanggup membela dan memberi kesenangan apabila ibu bapa mereka telah tua dan tidak bermaya. Anak-anak yang diibaratkan Si Tanggang moden ini akan mengambil jalan mudah dengan menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.

Sebahagian daripada anak yang dikategorikan sebagai anak derhaka ini, berpendapat adalah lebih wajar dan bijak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan atau rumah orang tua agar ada orang lain yang dapat menjaga dan memastikan keselesaan pakaian, makan minum dan tempat tidur ibu bapa mereka. Alasan mereka ialah mereka terlalu sibuk dan tiada masa untuk meluangkan masa bersama-sama ibu bapa. Si Tanggang moden yang tidak bertanggungjawab, kurang prihatin dan tidak berfikir secara waras ini akan mengambil jalan yang tidak berperikemanusiaan dengan menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.Bahkan, ada anak yang bangga bercerita kepada rakan sepejabat bahawa mereka menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua ekoran tidak tahan dengan kerenah orang tua mereka sendiri.

Keadaan akan menjadi lebih parah bagi ibu bapa yang terlalu tua, nyanyuk, bersikap keanak-anakan dan sudah tidak dapat menjaga kebersihan diri. Jalan terakhir yang diambil oleh Si Tanggang adalah dengan menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan, ke rumah waris terdekat atau ditinggal sebatang kara di kampung. Ada anak yang memberikan alasan bahawa gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, anak banyak dan rumah yang kecil untuk mengelak melaksanakan tanggungjawab sebagai anak. Sikap anak-anak yang menjadikan ibu bapa seperti orang gaji dengan senang hati menyuruh dan mengarah ibu bapa menjaga anak, memasak, mencuci, berkebun dan sebagainya tanpa atau dengan bayaran. Hal ini menyebabkan ibu bapa yang tidak tahan dengan sikap anak-anak , meminta anak-anak menghantar mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan.

Page 14: Isu Warga Emas

Malahan, terdapat sebahagian anak-anak yang lebih mengutamakan kerjaya, keluarga dan rakan bersosial berbanding dengan ibu bapa sendiri. Kurangnya didikan agama dan perasaan hormat serta sayang ibu bapa menyebabkan mereka tidak faham dan tidak melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna. Bagi yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau yang sedang bercita-cita menghantar ibu bapa mereka ke sana, maka sudah tentu mereka juga perlu bersedia bahawa pada suatu hari nanti , mereka juga bakal dihantar ke tempat yang sama.

Oleh itu, saranan beberapa orang ahli Parlimen yang prihatin agar tindakan tegas dikenakan ke atas anak derhaka perlu diberi perhatian. Saranan agar kerajaan memotong gaji anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan warga emas dan pada masa yang sama memberikan insentif tertentu seperti potongan cukai kepada mereka yang sanggup menjaga orang tua sendiri perlu dipertimbangkan. Bagi anak-anak yang sedar, peluang berbakti kepada orang tua bukanlah satu pilihan tetapi satu kewajipan yang perlu ditunaikan.

(Sumber: Dipetik dan diubahsuaikan daripada Berita Harian, Oktober 2007)

1. Berikan maksud rangkai kata ditinggal sebatang kara. 2m

2. Mengapakah sesetengah ibu bapa tidak tahan apabila tinggal bersama-sama anak-anak mereka? 3m

3. Pada pendapat anda, bagaimanakah didikan agama dapat mengatasi masalah ibu bapa yang dihantar ke pusat jagaan atau rumah orang tua-tua? 4m

Page 15: Isu Warga Emas

SKEMA JAWAPAN

P: Petikan membincangkan punca-punca budaya menghantar ibu bapa ke rumah orang tua atau pusat jagaan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat.

Isi tersurat: Punca-punca

S1: agar ada orang lain menjaga dan memastikan keselesaan ibu bapa mereka.

S2: anak-anak terlalu sibuk dan tiada masa untuk melapangkan masa bersama-sama ibu bapa

S3: tidak tahan dengan kerenah orang tua

S4: anak-anak tidak mahu menjaga ibu bapa yang terlalu tua, nyanyuk, bersikap keanak-anakan dan sudah tidak dapat menjaga kebersihan diri

S5: gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, anak banyak dan rumah yang kecil untuk mengelak melaksanakan tangungjawab sebagai anak.

S6: ibu bapa yang tidak tahan dengan sikap anak-anak yang menjadikan mereka orang gaji meminta anak-anak mereka menghantar ke rumah orang tua

S7: anak-anak lebih mengutamakan kerjaya, keluarga dan rakan bersosial berbanding dengan ibu bapa sendiri

S8: kurangnya didikan agama dan perasaan hormat serta sayang akan ibu bapa menyebabkan mereka tidak faham dan tidak melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna.

Isi tersirat: Kesan-kesannya

T1: wujud masyarakat yang hanya mementingkan diri

T2: nasib orang tua semakin terabai

T3: anak-anak semakin kurang hormat kepada ibu bapa

T4: runtuhnya sistem kekeluargaan dalam kalangan masyarakat

Kesimpulan: Anak-anak perlu kembali kepada ajaran agama agar nasib warga tua terbela.

soalan pemahaman

Page 16: Isu Warga Emas

1. …hidup sendirian

2. …anak-anak menjadikan ibu bapa sebagai orang gaji…perkhidmatan mereka tidak dibayar…memberikan bebanan khusus kepada mereka yang bekerja

3. …penekanan kepada anak-anak tentang konsep kasih sayang dan hormat-menghormati ibu bapa dalam agama itu sendiri…ibu bapa menunjukkan contoh dan didikan agama yang dipelajari kepada anak-anak…menerangkan hukuman-hukuman yang termaktub dalam agama terhadap anak-anak yang derhaka dan mengabaikan ibu bapa.

Page 17: Isu Warga Emas

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang

punca-punca anak menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan dan langkah-langkah

membendungnya. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah

kata.

Peningkatan taraf hidup lazimnya menyebabkan manusia lalai dan mengabaikan

beberapa tanggungjawab. Hal ini terbukti apabila anak-anak melupakan tanggungjawab

mereka terhadap ibu bapa sendiri. Kini, kerap diperkatakan umum bahawa terdapat

anak-anak yang menghantar orang tua mereka ke rumah kebajikan. Isu ini telah

menjadi semakin serius di negara kita. Mengapakah perkara ini berlaku? Adakah

sesuatu yang tidak kena berlaku dalam sistem kekeluargaan kita?

Apabila kita membicarakan permasalahan yang menyentuh warga tua, maka

kita seharusnya sedar bahawa kebahagiaan mereka terletak pada kerukunan sesebuah

institusi keluarga maka sudah tentu hubungan antara ahli keluarga menjadi renggang

dan membosankan warga tua. Untuk menjamin keselesaan warga tua pada lewat

usianya maka mereka harus membuat persiapan di peringkat awal lagi. Sejak anak-

anak masih kecil, ibu bapa harus membentuk peribadi mereka supaya menjadi insan

yang baik. Dalam hal ini, sebuah institusi keluarga yang penyayang akan dapat

melahirkan anak yang bertanggungjawab , hormat-menghormati , serta bantu-

membantu antara satu dengan yang lain. Ibu bapa tidak perlu bimbang akan masa

depan mereka apabila mencapai usia tua jika suasana begini wujud dalam keluarga

mereka. Sebaliknya, anak-anak yang tidak dididik dan diasuh dengan nilai-nilai murni

akan membiarkan ibu bapa mereka hidup melarat dan terumbang-ambing. Selain itu,

mereka tidak akan melayan ibu bapa mereka dengan sempurna.

Sesebuah institusi keluarga itu hendaklah berfungsi dengan baik. konsep

“Rumah Tangga Aman, Keluarga Bahagia” hendaklah diamalkan oleh setiap keluarga

supaya dapat mewujudkan suasana yang aman dan tenteram. Setiap anak harus

disedarkan akan pentingnya tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. Anak-anak

yang mengahantar ibu bapa ke rumah kebajikan atau rumah orang tua-tua

menunjukkan kejahilan mereka dalam bidang agama. Mereka seharusnya sedar

bahawa selama ini ibu bapalah yang membesarkan dan memberi mereka segala

keperluan sejak tangisan pertama sehingga mereka berjaya dan dapat menjalani

Page 18: Isu Warga Emas

kehidupan sendiri. Namun begitu, bagi sesetengah anak jasa-jasa yang dicurahkan

oleh orang tua mereka sedikit pun tidak dihargai. Bagi anak-anak ini, mereka

beranggapan ibu bapa hanya menjadi beban kepada mereka sahaja. Hal ini ditambah

pula dengan kerenah orang tua yang pelbagai ragam dan kadangkala kebudak-

budakan.

Walau bagaimanapun, kita tetap beranggapan bahawa institusi keluarga

memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan, keperluan, dan jaminan

kehidupan yang selesa kepada orang tua. Ahli keluarga hendaklah menjadikan tugas

menjaga kebajikan orang tua sebagai tanggungjawab yang tidak harus diabaikan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana Keutuhan Institusi Keluarga Menjamin

Masa Depan Warga Tua, oleh Izani Hj. Daud, Dewan Masyarakat, Mac 2002)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan memberi mereka segala keperluan sejak tangisan pertama? 2m

2. Jelaskan punca-punca yang menyebabkan semakin banyak anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan. 3m

3. Pada pandangan anda, wajarkah hukuman berat dikenakan kepada anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa. 4m

Page 19: Isu Warga Emas

SKEMA JAWAPAN

P: Petikan membincangkan kelalaian anak-anak dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap orang tua mereka.

Isi tersurat: Punca-punca

S1: Tidak wujud suasana bahagia dan harmoni dalam sesebuah keluarga

S2: Hubungan antara ahli keluarga tidak rapat dan sering berselisih faham dengan ibu bapa

S3: Semasa anak masih kecil ibu bapa tidak mendidik mereka menjadi insan yang baik

S4: Ibu bapa tidak melayan anak-anak dengan baik

S5: Anak-anak membiarkan ibu bapa mereka hidup melarat

S6: Anak-anak ini jahil dalam selok belok agama

S7: Anak-anak beranggapan bahawa ibu bapa hanya menjadi beban dan menyusahkan mereka sahaja

Isi tersirat : Langkah-langkah

T1: Anak-anak haruslah mengadakan permuafakatan untuk menjaga ibu bapa mereka yang telah uzur

T2: Media massa melancarkan kempen “Sayangi Warga Tua”.

T3: Sejak kecil ibu bapa berkewajipan mendidik anak-anak supaya menjadi seorang yang penyayang dan bertanggungjawab antara satu dengan yang lain

T4: Mewujudkan kurikulum yang berkait dengan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa dalam sistem pendidikan

T5: Menaikkan kadar yuran penjagaan orang tua di rumah kebajikan

T6: Anak-anak yang menyisihkan ibu bapa untuk kesenangan sendiri hendaklah dikenakan hukuman yang berat

Kesimpulan: Walau bagaimanapun, institusi keluarga memainkan peranan penting dalam memberikan perlindungan, keperluan, dan jaminan kehidupan yang selesa kepada warga tua

Page 20: Isu Warga Emas

Soalan pemahaman:

.1. ...ibu bapa telah menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan oleh anak sejak lahir lagi

2. ...ibu bapa tidak mendidik dan mengasuh anak-anak dengan nilai-nilai murni...anak-anak ini jahil tentang ilmu agama...tidak wujud suasana yang harmoni dalam sesebuah keluarga...anak-anak beranggapan bahawa ibu bapa yang uzur menyusahkan mereka

3. ...wajar. Hal ini kerana ibu dan bapa ialah insan yang mendidik dan menyayangi anak-anak dengan mengenepikan kepentingan dirinya, bak kata pepatah, “bagai menatang minyak yang penuh”

Page 21: Isu Warga Emas

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara

terbaik membahagiakan ayah dan ibu dan sikap negatif anak terhadap ibu bapa.

Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

“Kasih ibu membawa ke syurga”. Ungkapan itulah yang sering kita dengar berkaitan

dengan kasihnya ibu. Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu

dalam bentuk kebendaan dan hubungan kasih sayang. Hal ini bersesuaian dengan

fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian. Oleh itu, kita

hendaklah memberi nafkah kepada ibu bapa yang berdepan dengan masalah

kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia.

Kalaupun bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga

yang semakin meningkat. Selain itu, kita perlu menyediakan tempat tinggal. Dalam kes

ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami menjadi

tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.

Seterusnya memberi kasih sayang yang sesuai dengan mereka. Kasih sayang

yang ditunjkkan sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu

bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi

seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya. Pada waktu yang sama

kita perlu memberi perhatian terhadap kesihatan mereka.Mereka terasa disisih dan

seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan

kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan

mental ibu bapa. Kita juga hendaklah menemui permintaan mereka. Ibu bapa sering kali

memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permntaan itu

mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga, dan masa.

Kita juga hendaklah melakukan sesuatu yang disukai oleh ibu bapa. Ibu bapa

sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuau yang baik pada pandangan

mereka. perbuatan melakukan perkara yang tidak disukai ibu bapa bermakna

melakukan perbuatan derhaka. Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat

keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan

balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat. Kita juga perlu bercakap dengan lemah

lembut. Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara

Page 22: Isu Warga Emas

tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri

daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa.

Jika kita berkemampuan, kita digalakkan mengahadiahkan kejayaan. Ibu bapa

sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha

bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar ibu bapa dapat berkongsi

kegembiraan bersama-sama. Ibu juga akan berasa bangga dengan kejayaan yang

diraih oleh anak. Malah, ibu bapa mengharapkan ahli keluarga yang lain mencontohi

kejayaan tersebut. Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat

pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu

bapa. Jika ada terluang, kita perlu meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal

berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu

bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya. Kita jangan

lupa mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapa kita. Amalan mendoakan kebaikan

untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.

(Dipetik daripada rencana “Membahagiakan Ayah dan Ibu Sepanjang Hayat”, oleh

Rajiah Hasan, Utusan Malaysia, 13 Mei 2998)

1. Berikan maksud rangkai kata melaksanakan sesuatu keperluan. 2m

2. Mengapakah kita perlu menyampaikan berita gembira kepada ibu bapa kita? 3m

3. Pada pendapat anda, mengapakah ramai orang kita tergamak melupakan ibu

bapa mereka? 4m

Page 23: Isu Warga Emas

SKEMA JAWAPAN

P: Petikan membincangkan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk membahagiakan

ibu bapa kita .

Isi Tersurat: Cara terbaik

S1: Memberi nafkah kepada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan

S2: Perlu menyediakan tempat tinggal

S3: memberi kasih sayang yang sesuai dengan usia mereka

S4: Memberi perhatian terhadap kesihatan mereka

S5: Hendaklah memenuhi permintaan mereka.

S6: Melakukan sesuatu yang disukai

S7: Bercakap dengan lemah lembut

S8: Digalakkan menghadiahkan kejayaan

S9: Perlu meluangkan masa bersama-sama

S10: Mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapa kita

Isi tersirat : Sikap negatif anak

T1: Membiarkan ibu bapa dalam kesusahan walaupun mempunyai kemampuan

T2: Jarang menjenguk mereka dengan alas an sibuk terhadap kerjaya

T3: Bersikap kasar terhadap ibu bapa sehinggakan hati mereka tersinggung

T4: Tidak mahu memberitahu cerita kejayaan, sebaliknya cerita kesusahan sahaja

Page 24: Isu Warga Emas

Kesimpulan: Kita perlu berusaha membahagiakan ibu bapa kita agar hari-hari tua yang

dilalui amat menggembirakan.

Soalan pemahaman:

1. …menjalankan sesuatu yang dirancang

2. …supaya ibu bapa dapat berkongsi kegembiraan bersama-sama…ibu juga akan

berasa bangga dengan kejayaan yang diraih oleh anak…Ibu bapa mengharapkan ahli

keluarga yang lain mencontohi kejayaan tersebut

3. …kerana sejak kecil mereka tidak menerima kasih sayang yang penuh daripada

kedua-dua orang tua mereka…kemungkinan berasa kecil hati kerana ibu bapa mereka

bersikap pilih kasih kalangan adik-beradik…mereka berasa malu untuk menerima

kenyataan ibu bapa mereka daripada kalangan orang yang miskin…terpengaruh

dengan pujukan isteri yang menganggap memberi perhatian terhadap mentua

merupakan satu beban.