guru merotan murid oleh mohd azri bin jamili

21
PENDAHULUAN Isu kewajaran guru menukul murid telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar. Dengan timbulnya kes-kes seperti di atas, ada yang beranggapan bahawa hukuman perlu dikaji semula terhadap mekanisme pelaksanaannya. . Timbul persoalan tentang kewajaran hukuman merotan yang pernah diberikan kuasanya kepada guru tetapi telah dilarang mulai tahun 1983 ketika Tan Sri Murad Mohamed Noor menjadi Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia. Beliau dengan tegasnya mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh hemah tetapi kesannya apa yang dapat kita lihat sehingga hari ini ialah pelajar semakin berani mempertikaikan tentang peraturan dan disiplin sekolah. Pelbagai isu negatif yang melibatkan perlakuan negatif pelajar terhadap guru antaranya pelajar mencekik seorang guru perempuan di Pulau Pinang, isu pelajar tumbuk guru di Sabah, isu kereta guru dirosakkan pelajar di Terengganu dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, guru dalam dilema samada ingin menggunakan hukuman rotan atau tidak di sekolah.

Upload: samugam

Post on 21-Dec-2015

97 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

 

PENDAHULUAN

Isu kewajaran guru menukul murid telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan

media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang

menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani

salah laku pelajar. Dengan timbulnya kes-kes seperti di atas, ada yang beranggapan

bahawa hukuman perlu dikaji semula terhadap mekanisme pelaksanaannya. . Timbul

persoalan tentang kewajaran hukuman merotan yang pernah diberikan kuasanya

kepada guru tetapi telah dilarang mulai tahun 1983 ketika Tan Sri Murad Mohamed

Noor menjadi Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia. Beliau dengan tegasnya

mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa guru dari merotan pelajar

dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh hemah tetapi kesannya apa

yang dapat kita lihat sehingga hari ini ialah pelajar semakin berani mempertikaikan

tentang peraturan dan disiplin sekolah.

Pelbagai isu negatif  yang melibatkan perlakuan negatif pelajar terhadap guru

antaranya pelajar mencekik seorang guru perempuan di Pulau Pinang, isu pelajar

tumbuk guru di Sabah, isu kereta guru dirosakkan pelajar di Terengganu dan lain-lain.

Oleh hal yang demikian, guru dalam dilema samada ingin menggunakan hukuman

rotan atau tidak di sekolah.

HUKUMAN ROTAN DITENTANG? MENGAPA?

Denda atau hukuman yang melibatkan jasmani seperti merotan, menengking

dan memukul merupakan amalan biasa di sekolah-sekolah sama ada di negara ini

mahupun di luar negara. Laporan oleh Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa

Bersatu (UNICEF) bertajuk Keganasan Terhadap Kanak-Kanak berpendapat, amalan

itu hanya akan memberikan kesan negatif kepada emosi serta pelajaran mereka.

Page 2: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

Laporan tersebut menyebut, hukuman dalam bentuk fizikal sebenarnya tidak

memberi kesan positif kepada pelajar, malah lebih teruk lagi apabila mereka secara

tidak langsung mula beranggapan bahawa keganasan boleh diterima pakai ketika

berhadapan dengan masalah.

Hanya sedikit nilai positif yang diperoleh oleh pelajar yang pernah menjalani

hukuman fizikal di sekolah. Sebaliknya, apa yang lebih merisaukan pelajar berkenaan

hilang matlamat dalam akademik dan kurang bermotivasi untuk berjaya. Laporan

tersebut dijalankan dalam tempoh lima tahun menerusi lawatan dan pemantauan

intensif daripada sembilan bahagian, termasuk kerajaan, orang awam dan kanak-

kanak. Di samping lawatan dan pemantauan, borang kaji selidik turut diedarkan kepada

133 kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Laporan yang dikeluarkan pada Oktober 2006 mendedahkan skop yang

mengejutkan ke atas keganasan terhadap kanak-kanak, keluarga, komuniti terhampir

mahupun komuniti yang lebih meluas. Kebanyakan kanak-kanak mempunyai

pengalaman merasai hukuman fizikal oleh individu yang sepatutnya melindungi mereka.

Dalam laporan yang sama, sekolah turut direkodkan sebagai kawasan hitam kepada

pelajar yang pernah menjalani hukuman fizikal mahupun mereka yang pernah merasai

pengalaman dibuli. Laporan tersebut turut memberitahu, kanak-kanak yang diberi

hukuman jasmani di sekolah mempunyai nilai moral yang lebih rendah dan cepat

menjadi tertekan serta bersikap agresif. Ada kalanya kesalahan kecil seperti tidak

melakukan kerja rumah turut berhadapan dengan hukuman tersebut.

UNICEF percaya bahawa hukuman fizikal ini perlu dihapuskan kerana ia bersifat

penganiayaan dan tidak berkesan dalam mendidik pelajar menjadi lebih baik dan

berdisiplin. Untuk mengukuhkan lagi kajian tersebut, Konvensyen Hak Asasi Kanak-

kanak turut mengharamkan cara hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan tanpa

mengira apa jua keadaan sekalipun.

Page 3: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

Pada tahun 1983, bekas Ketua Penolong Pengarah Pelajaran Malaysia.Tan Sri

Murad Mohamed Noor mempertahankan tindakannya untuk menarik kembali kuasa

guru dari merotan pelajar dengan alasan biarlah pelajar ini dididik dengan penuh kasih

sayang. Antara hujah beliau ialah beliau tidak mahu berlaku suasana pelajar takut

kepada guru dan guru perlu menjadi kawan kepada pelajarnya. Selain itu, larangan

merotan juga adalah untuk merapatkan hubungan guru dengan pelajar sehingga pelajar

boleh membincangkan masalah peribadi dengan guru.

Wajarkah murid dirotan ?

Jika perlu merotan anak, guru dan ibu bapa boleh berbuat demikian selepas

anak berumur 10 tahun. Mengapa pada usia 10 tahun? Ilmuwan Islam berpendapat

anak yang berumur pra baligh iaitu sekitar 9 hingga 12 tahun boleh memahami kesan

hukuman dikenakan. Anak kecil di bawah umur itu selalunya tidak dapat memahami jika

didenda atas kesalahannya. Justeru, jika anak kecil yang didenda, dia mungkin

mengulangi perbuatannya itu tanpa pengetahuan penjaganya. Amaran awal harus

diberi iaitu jika peraturan tertentu dilanggar, anak boleh dirotan. Berikan juga peluang

kedua sebelum mengambil tindakan merotan. Lebih penting ialah menasihati mereka

secara berterusan di samping memantau perkembangan pelajaran, kesihatan dan

pergaulan sosial mereka.

Rusil (1997) berkata, menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’

Dr. Abdul Hamid Othman, adalah wajar memukul sebagai satu hukuman terhadap salah

laku kanak-kanak dan ini dibenarkan sendiri dalam Islam kerana ia adalah kaedah

pengajaran yang berkesan. Beliau juga berpendapat ibu bapa sepatutnya memberi

sedikit kelonggaran kepada guru untuk memukul anak mereka yang melakukan

kesalahan bagi membentuk disiplin dan keperibadian mereka. Ini kerana apabila

seseorang pelajar menerima hukuman seperti rotan, pelajar tersebut akan merasa sakit

dan serik untuk melanggar peraturan sekolah lagi. Manakala pelajar-pelajar lain yang

Page 4: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

melihat hukuman ini dijalankan juga akan merasa ngeri untuk melakukan kesalahan

tersebut. Oleh itu masalah pelanggaran disiplin dapat diatasi.

Oleh itu, hukuman rotan yang dibenarkan Kementerian Pelajaran Malaysia,

dilakukan secara adil ke atas seseorang murid yang melanggar peraturan yang

ditetapkan oleh sekolah, dikenakan hukuman sedemikian atas dasar setelah nasihat,

amaran dan denda yang dikenakan masih tidak merubah tingkah laku negatif murid

tersebut; dilakukan oleh orang yang dipertanggungjawabkan oleh pihak sekolah, tidak

menimbulkan sebarang kecacatan fizikal, dengan penuh rasa kepentingan menjaga

keseimbangan sistem sekolah demi keselamatan murid-murid lain dan juga dilakukan

oleh guru bukan mengikut emosi atau perasaan membalas dendam adalah dibolehkan.

Badan Kajian dan Penyelidikan di London menunjukkan sebahagian ibu bapa

percaya hukuman berat adalah kaedah kawalan berkesan kepada pelajar. Mereka juga

percaya tingkah laku kanak-kanak dan remaja semakin teruk sejak amalan merotan

dihapuskan di bidang pendidikan. Pihak penyelidik menyatakan keputusan

mengharamkan hukuman itu menyumbang kepada peningkatan masalah disiplin di

kalangan pelajar di negara itu. Jika England akan mengembalikan peranan rotan dan

pembaris ke tempatnya, mengapa kita tidak mendahului mereka dalam hal ini.

Oleh itu, kementerian Pelajaran telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.

7/2003 iaitu kuasa guru merotan murid. Merujuk surat pekeliling tersebut, Kuasa

merotan murid telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan sejak sekian lama. Kuasa

merotan yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan berasaskan peruntukan yang

disediakan dalam PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH)

1959, di bawah ORDINAN PELAJARAN 1957. Dalam PERATURAN 6 dinyatakan

dengan jelas bahawa :

Page 5: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

Peraturan 6 : Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa,

tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yang difikirkannya patut, mewakilkan kuasa

disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada guru-guru lain di sekolah itu

atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu, tetapi kecuali yang

disebut di atas tidak seorang pun guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu

melainkan dengan arahan tertentu.

Kuasa yang diberikan pihak sekolah mestilah menurut Peraturan 5 iaitu :

(1) Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan murid-murid, Guru Besar hendaklah

mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana

perlu atau bermanfaat :

Dengan syarat bahawa –

(a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang; dan

(b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang guru atau lain-lain

kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di

tapak tangan atau pun di punggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah

difahamkan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya

dalam hal yang tertentu.

(2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan di bawah perenggan (1)

hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh pendaftar.

Hukuman yang dikenakan hendaklah direkodkan dengan menyatakan jenis salah laku,

bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan perotan dan

saksi semasa hukuman rotan dilaksanakan.

CARA PENYELESAIAN

Isu disiplin dan pelajar ini semakin hari semakin serius dan hangat diperkatakan.

Namun, sehingga kini masalah ini masih tiada jalan penyelesaiannya dan kadang kala

menimbulkan rasa kecewa terutama di kalangan pendidik yang sering

Page 6: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

dipertanggungjawabkan ke atas masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar. Maka

adalah wajar untuk kita sebagai bakal pendidik di masa hadapan , bertanggungjawab

untuk sama-sama cuba memikirkan apakah jalan penyelesaian yang terbaik untuk

menangani masalah ini.

Guru memainkan peranan dan tanggungjawab bukan sahaja setakat mengajar

tetapi juga mendidik. Mereka membentuk sikap, nilai dan akhlak para pelajar melalui

pembentukan disiplin yang baik. Omardin Ashaari (1996) dalam bukunya Pengurusan

Sekolah ada menyatakan bahawa matlamat akhir guru adalah membentuk disiplin

kendiri yang baik. beliau juga ada menyatakan peranan guru dalam melaksanakan

disiplin adalah dengan mengawas disiplin dalam bilik darjah, disekitar sekolah dan

dalam kegiatan luar sekolah.

Ordinan Pelajaran 1957 dan Pekeliling Ikhtisas yang diedarkan oleh Bahagian

Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan 1968 dijadikan landasan untuk membentuk

tatacara disiplin di sekolah-sekolah diseluruh Malaysia. Namun begitu, dari kajian yang

telah dilakukan oleh Jawatan kuasa Disiplin sekolah, didapati bahawa pihak sekolah

mengambil tindakan yang berbeza-beza ke atas kes yang sama. Ini adalah kerana

pentadbir sekolah diberi kuasa menggunakan budi bicara mengikut Buku Panduan

Disiplin yang menimbangkan tindakan yang setimpal dan berdasarkan persekitaran

persekolahan, latar belakang pelajar, kekerapan melakukan kesalahan dan alasan

pelajar melakukan kesalahan tersebut.

Kuasa guru dalam melaksanakan undang-undang disiplin tidak dapat

dipertikaikan lagi kerana ia telah termaktub dalam Ordinan tapi perlu mengikut prosedur

yang telah ditetapkan dalam Peraturan 4, Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) iaitu :

1)    Keadilan hendaklah diamalkan

2)    Seseorang tidak boleh dihukum tanpa belaan dirinya.

Page 7: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

3)    Setiap individu yang dituduh hendaklah diberi peluang dan hak untuk didengar.

Oleh itu, guru mestilah adil dalam menjatuhkan hukuman kepada pelajar dan

pelajar juga perlu diberi peluang untuk mengemukakan alasan-alasan terhadap

perlanggaran disiplin itu untuk membela diri mereka.Dendaan yang boleh diamalkan

untuk mengatasi masalah disiplin terdiri daripada hukuman biasa dan berat. Hukuman

biasa yang boleh dikenakan kepada pelajar yang didapati melakukan kesalahan kecil

adalah seperti rotan, amaran, dan penahanan. Jikalau pelajar melakukan kesalahan

yang serius dengan mengancam guru, merosakkan harta benda, penggantungan bagi

tempoh tertentu dan pembuangan sekolah dikenakan ke atas diri mereka. Pada masa

penggantungan pelajar tidak dibenarkan memasuki kawasan dan menggunakan

kemudahan sekolah.

Prosedur yang telah ditetapkan oleh Ordinan Dalam Peraturan Pelajaran

(Disiplin Sekolah) 1959 telah menyatakan bahawa hukuman dera yang hendak

dijalankan perlu menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada

tapak tangan atau bahagian punggung yang dilapik dengan pakaian. Dalam

melaksanakan proses hukuman, untuk mengelakkan guru yang melaksanakan

hukuman teraniaya , Peraturan 5 ada menyebut bahawa guru perlu merekod jenis

hukuman, ditandatangani oleh Guru Besar dan disaksikan oleh seorang guru lain

sebagai saksi. Oleh itu selagi guru yang melaksanakan hukuman mematuhi tatacara

yang telah ditetapkan dalam Ordinan dan undang-undang sekolah maka guru

berkenaan terselamat daripada segala tindakan yang diambil oleh pihak pelajar yang

bersalah termasuk tindakan mahkamah.

Kenapa Guru Bertindak Kasar dan Ganas?

“Biasanya bukan sengaja guru ingin menimbulkan masalah, sudah tentu punca

datang daripada kenakalan atau kedegilan kanak-kanak itu sendiri. Bukan semua murid

itu baik dan patuh pada peraturan sekolah. Itulah naluri kanak-kanak yang perlu kita

Page 8: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

fahami”. Begitulah yang dikatakan oleh pakar psikologi kanak-kanak dan remaja, Dr.

Mohd. Amin Shariff.

“Kita sememangnya tidak boleh memaafkan guru yang sudah dewasa dan

berfikiran matang terlibat dalam insiden itu, tetapi dalam sesetengah kes mereka

mungkin hilang pertimbangan”, ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa segelintir guru yang berhadapan dengan masalah

disiplin mahupun masalah pencapaian akademik murid yang lemah, membuat penilaian

bahawa murid perlu dihukum sebagai peringatan, pengajaran dan kesedaran kepada

mereka. Mungkin guru tersebut termasuk dalam golongan yang yakin bahawa hukuman

fizikal seperti merotan dan mendera akan memberi manfaat. Tetapi akibat daripada

tindakan fizikal itu, kecederaan hingga luka dan lebam sudah tentu merisaukan ibu

bapa. Mungkin guru berkenaan tidak berniat berbuat demikian hingga perlu

mendapatkan rawatan perubatan, tetapi jika emosi turut memainkan peranan dalam

menjalankan hukuman, biasanya kesan negatif yang berlebihan sebegitu akan terjadi.

Pada masa lalu memang banyak ibu bapa menyerahkan tanggungjawab

mendidik kepada guru. Jika guru menghukum murid, murid tidak berani mengadu

kepada ibu bapa sebab ibu bapa akan memihak kepada guru. Kini banyak ibu bapa

berpelajaran tinggi dan mengubah cara keibubapaan daripada penggunaan kekerasan

kepada psikologi. Cara kekerasan pada mereka adalah kuno dan kolot yang tidak

sesuai lagi pada zaman ini. Tetapi hakikatnya, bukanlah mudah untuk meninggalkan

cara kekerasan dalam mendidik pelajar.

Menurut pakar pendidikan, Prof. Dr. Robiah Sidin, guru sekarang berdepan

dengan bilangan pelajar yang terlalu ramai ditambah dengan pelbagai karenah. Ini

berbeza dengan murid yang diajar oleh rakan sejawat mereka sedekad dua yang lalu.

Ketika itu murid lebih patuh kepada guru dan ia wajar dicontohi .

Prof. Dr. Robiah Sidin berpendapat punca guru bertindak keterlaluan mungkin

kerana menghadapi tekanan jiwa akibat beban kerja yang terlalu banyak,

Page 9: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

tanggungjawab semakin berat dan tuntutan masyarakat yang menggunung terhadap

guru.

Ahli sosiologi UKM, Dr. Sarifa Zaleha Syed Hassan pula berkata, punca guru

bertindak agak kasar mungkin kerana hilang kesabaran. Mungkin jika seorang murid

yang nakal, guru dapat kawal tetapi kalau terlalu ramai, ia boleh menghilangkan

kesabaran guru. “Guru juga manusia biasa, jika terlalu tertekan, sesekali kesabaran

tidak boleh dikawal”, jelas beliau.

Walau bagaimanapun, munurut seorang kaunselor Universiti Islam

Antarabangsa, Asniza Mamat, salah satu andaian punca guru bertindak ganas terhadap

murid ialah guru itu sendiri tidak berminat kepada profesion perguruan .

“Bila tidak minat, bagaimana seseorang guru itu hendak menyesuaikan diri

dengan karenah murid. Sudah tentu mereka tidak punya perasaan sabar. Mereka

mudah merasa marah. Guru juga adalah manusia biasa yang mempunyai emosi,

kadangkala perasaan marahnya sampai ke tahap lupa bahawa dia adalah guru dan

berhadapan dengan anak orang lain”, jelas beliau.

Menurut beliau juga, sesetengah guru menghukum dengan tujuan untuk

mendidik kerana kenakalan murid berkenaan. “Jangan salahkan guru sahaja kerana ibu

bapa juga terlibat kerana kurang menekankan pendidikan moral kepada anak masing-

masing. Ada juga murid yang berperangai baik di rumah tetapi nakal di sekolah”, tegas

beliau.

Menurut Asniza lagi, kebanyakan guru kini yang dikeluarkan dari maktab atau

universiti bukan sebenarnya bercita-cita untuk menjadi guru. Apabila bilangan guru

amat berkurangan, kita menerima sahaja golongan yang sebenarnya tidak begitu

sesuai menjadi guru. Mereka yang dilatih di maktab dan universiti inilah ada yang

bersifat negatif dan orang begini tidak sesuai sebagai guru.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah menunjukkan bahawa kita harus menyokong

keganasan yang dilakukan guru. Sebaliknya kita sama-sama perlu memikirkan jalan

Page 10: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

terbaik untuk menyelesaikan masalah agar perkara yang sama tidak berulang lagi dan

bukan hanya menuding jari kepada mana-mana pihak.

Pendedahan kes guru mendera murid ini juga ada kebaikan untuk masyarakat

menilai semula peranan masing-masing dalam mencari penyelesaiannya. Gejala ini

perlu dibendung dan semua pihak adalah terlibat.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof. Dr. Awang Had Salleh mencadangkan agar

Jabatan Pendidikan Negeri mengenalpasti guru-guru yang menghadapi masalah

psikologi dan mengatasinya dengan segera. Beliau juga mencadangkan supaya

bengkel-bengkel diadakan bukan sahaja untuk menaikkan imej dan kualiti guru, tetapi

membantu mereka menghadapi situasi kerja yang semakin rumit serta mengendalikan

perasaan tertekan.

“Cara mengatasi guru ganas bukan sekadar menukarkan mereka ke tempat lain

semata-mata. Sebaliknya jika mereka tidak berminat mengajar, lebih baik diambil

tindakan tegas dengan memberhentikan guru tersebut”,  jelasnya lagi.

Beliau turut mencadangkan untuk mengatasi masalah guru ganas ialah dengan

menapis calon guru dari peringkat awal melalui ujian psikologi. Ujian ini berguna untuk

menguji kesesuaian seseorang sebagai guru.

“Guru perlu sedar bahawa pelajar adalah manusia biasa yang memerlukan

bimbingan dan tunjuk ajar. Oleh itu murid patutlah mendapat layanan yang beradab.

Dengan cara inilah boleh mendorong murid memberi penghormatan yang setimpal

dengan layanan yang diberikan oleh guru kepada mereka. Sikap guru yang bengis dan

garang hanya menakutkan murid untuk ke sekolah”, ujar beliau lagi.

              Justeru itu, guru sewajarnya sentiasa menghayati dan mengamalkan

Tatasusila Profesion Penguruan. Guru perlu mengelakkan diri daripada nafsu marah

dan jauhkan diri daripada membuat kesimpulan terburu-buru tanpa penyelidikan terlebih

dahulu seperti yang digariskan dalam buku Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk

Guru Besar dan Guru.

Page 11: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

Peranan Sebenar Guru

Golongan guru merupakan anggota sekolah yang terlibat secara langsung dalam

perlaksanaan kurikulum dan program pendidikan di sekolah. Peranan yang dimainkan

oleh seorang guru dalam sesebuah sekolah amat penting terutama dari segi

pencapaian aspirasi dan matlamat sekolah. Menurut Mok Soon Sang (1988), antara

peranan guru yang penting ialah sebagai pengarah pembelajaran dengan membimbing

pelajar supaya mereka berusaha belajar secara individu atau berkumpulan dan

bertindak sebagai ibu bapa kepada pelajar, demi menjaga keselamatan dan kebajikan

pelajar. Peranan ini akan membantu pelajar menyesuaikan diri dan menganggap

sekolah sebagai sebahagian keluarga mereka. Selain itu, guru juga sebagai pendisiplin

yang bertanggungjawab menjaga disiplin pelajar serta membantu mereka membentuk

sahsiah dan kelakuan yang sejajar dengan nilai dan norma masyarakat. Guru juga

sebagai contoh model hidup di mana tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada

pelajar.

 Dengan ini, nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah dapat diterapkan

dalam jiwa pelajar. Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini

harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik

generasi yang akan menjadi dewasa kelak.

Larangan mendera dan mencela pelajar

“Guru tidak boleh mengenakan hukuman atau denda kepada pelajar yang

melakukan kesalahan kecil dengan cara mendera atau mencela”, begitulah kata

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar.

 

Beliau berkata guru sebaliknya perlu mendidik pelajar yang melakukan

kesalahan kecil, seperti membuat bising dalam bilik darjah, tidak memberikan perhatian

sewaktu guru mengajar dan berkeliaran semasa waktu persekolahan.

 

Page 12: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

“Macam-macam cara boleh dibuat. Guru boleh paksa murid menulis karangan di

rumah, bagi kerja-kerja yang boleh memberikan nilai murni kepada pelajar,” kata beliau.

Menurut beliau juga, semua hukuman dan denda yang berbentuk pendidikan telah

dinyatakan secara jelas dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1983 di bawah

Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid Yang Melakukan Perbuatan Salah

Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran.

 

“Dalam pekeliling ini diberitahu tindakan hukuman seperti mengetuk dan

menyekel kepala murid, menampar, mencubit hingga lebam, memulas telinga,

membuat henjutan sambil memegang telinga, mencela, mendera seperti berlari keliling

padang, menjemur atau menghukum murid secara berkumpulan tidak dibenarkan,”

tegasnya.

 

Beliau juga berkata guru perlu memahami peraturan dan panduan yang telah

digariskan. Sesungguhnya kebanyakan guru menghendaki murid-muridnya mematuhi

segala arahan sekolah, tetapi pada masa yang sama ada segelintir guru yang enggan

mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian. Ada segelintir guru

menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara sendiri.

Menurut Presiden Persatuan Penguam Muslim, Zaitoon Datuk Othman, terdapat

beberapa peruntukan undang-undang Kanun Keseksaan disediakan dan telah

menetapkan prosedur dan tindakan terhadap mereka yang mencederakan. Mulai dari

Seksyen 319, ia menyentuh pelbagai perundangan terhadap mereka yang

mencederakan. Antara seksyen yang menarik ialah peruntukan di bawah Seksyen 320

iaitu cedera parah; Seksyen 321 – dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen

322 – dengan sengaja menyebabkan cedera parah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa terdapat peruntukan di bawah

Seksyen 350 iaitu kekerasan jenayah yang menetapkan bahawa barang siapa dengan

sengaja menggunakan kekerasan kepada seorang lain dengan tidak kerelaan, maka ia

telah melakukan atau dikatakan telah menggunakan kekerasan jenayah.

Page 13: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

Sebagai contoh dalam Kanun Keseksaan, jika seorang guru besar telah

menjalankan budi bicaranya dengan munasabah sebagai guru sebat seorang pelajar,

maka guru tersebut tidak menggunakan kekerasan jenayah kepada pelajarnya kerana

guru itu bermaksud hendak menyebabkan ketakutan dan kegusaran, ia tidak

menggunakan kekerasan dengan menyalahi undang-undang. Bagaimanapun, jika

murid berkenaan mengalami kecederaan yang teruk akibat dipukul oleh guru

berkenaan, maka ibu bapa dinasihatkan membawa anaknya berjumpa dengan doktor di

hospital kerajaan untuk tujuan rawatan dan laporan kesihatan. Ini harus disusuli dengan

laporan polis.

Dalam konteks tindakan undang-undang, ibu bapa boleh mengambil tindakan

prosedur undang-undang jenayah (criminal offence) ataupun sivil di bawah Undang-

undang Tort. Di bawah prosedur Undang-undang Tort, tindakan yang dibawa oleh ibu

bapa sebagai plaintif boleh menuntut pampasan bagi pihak anaknya daripada guru

yang memukul di mahkamah sivil.

Hal ini jelas apabila Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

sendiri mengatakan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap guru

yang memukul pelajar sekolah ketika mengajar. Oleh sebab itulah guru-guru

dinasihatkan agar tidak membuat tindakan terburu-buru dan mengikut emosi dalam

menghukum pelajar.

Penyelesaian Bersama

Berita guru memukul murid sering menjadi bahan berita sensasi pihak media

tetapi adakah pihak media dan masyarakat bersimpati dengan guru sekiranya kereta

mereka pula yang dirosakkan oleh pelajar-pelajar?

Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplin dan

menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar sehingga diri sendiri yang tertekan.

Layaknya mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera.

Page 14: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

Justeru itu, semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih

adil dan rasional apabila berdepan dengan kes guru memukul anak mereka. Tidak ada

seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab.

Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul

murid. Ibu bapa dan masyarakat harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar

memberi ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab

mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar

sewaktu di rumah. Oleh itu, isu guru mendera dan bertindak ganas adalah masalah

yang perlu diberi perhatian semua pihak. Seterusnya penyelesaian bersama hendaklah

ada terutama di antara guru, ibubapa, pelajar dan sekolah agar masalah-masalah ini

dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

KESIMPULAN

Walau apapun masalah disiplin yang timbul, pelajar perlu dikenakan hukuman

atau denda baik ringan atau berat bergantung kepada tahap kesalahan yang

dilakukan. Pelaksanaan hukuman ini perlu kerana ia merupakan salah satu daripada

kaedah atau cara pendidikan yang berkesan. Bagaimanapun sebelum pelaksanaan

sesuatu hukuman, pihak ibu bapa hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tidak

timbul sebarang masalah berbangkit selepas sesuatu tindakan dilakukan. Namun begitu

pihak sekolah juga harus bertanggung jawab sepenuhnya terhadap tindakan yang

dibuat. Ini bertujuan mempastikan sesuatu tindakan yang diambil adalah wajar dan

berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan. Secara tidak langsung dapat

mengelakkan daripada timbulnya masalah guru mendera pelajar.

Jadi, jelaslah kepada kita di atas bahawa Islam tidak menyempitkan penggunaan

rotan/sebatan sebagaimana akta yang ada sekarang ini sehingga guru-guru tidak dapat

memberi adab dengan sewajarnya kepada para pelajar. Islam juga tidak

memperluaskan penggunaan rotan sehingga guru boleh memukul sesuka hatinya

dengan syarat tidak melanggar dasarnya iaitu memberi pengajaran dan menolak

kemudaratan.

Page 15: Guru Merotan Murid Oleh Mohd Azri Bin Jamili

BIBLIOGRAFI

Abdullah Nasih Ulwan(1983).Pendidikan Anak-anak Dalam Islam. Pustaka Nasional.

Singapura.

Mohd. Rashid Mohd. Saad(2005). Mengapa Rotan Tidak Berkesan. PTS Professional

Publishing Sdn Bhd.

Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 : Kuasa Guru Merotan Murid

Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959

Tan Sri Murad Mohamed Nor(2007, Julai 29). Didiklah pelajar dengan hemah. Utusan

Malaysia.

Omardin Ashaari (1996). Pengurusan Sekolah, Edisi 1. Siri Pendidikan dan Pengajian

Utusan.

Rusil (1997). Dilema Guru : Disiplin atau Dera. Dewan Masyarakat.

http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com/2008/07/selatan-jpns-siasat-guru-rotan-

pelajar.html. Diakses pada 22 Ogos 2012.

http://www.unicef.org/violencestudy/2.%20World%20Report%20on%20Violence

%20against%20Children.pdf. Diakses pada 25 Ogos 2012.