ekonomi malaysia
TRANSCRIPT
EKONOMI MALAYSIA(SEED 1013)
TAJUK :DASAR WAWASAN NEGARA DAN WAWASAN 2020
KUMPULAN B
DISEDIAKAN OLEH :FARAH AFIQAH BT BORHANNUDIN (203972)
SITI MASITA BT ABDULLAH (204629)ROIHAN BT MAT GHANI (204741)SITI SARAH BT RAMLI (205265)
DISEMAK OLEH :EN. AZRAIE B. ZAINUL
ISI KANDUNGAN
NO KANDUNGANMUKA SURAT
1 Isi kandungan 22 Penghargaan 33 Pengenalan 44 1.0 Dasar Wawasan Negara
1.1 Latar belakang5
5 1.2 Objektif 5-66 1.3 Teras kritikal DWN 6-77 1.4 Strategi menangani cabaran DWN 7-108 2.0 Wawasan 2020
2.1 Latar belakang10-11
9 2.2 Cabaran strategik Wawasan 2020 11-1310 2.3 Perspektif Wawasan 2020 13-1511 2.4 Strategi pelaksanaan 15-1612 2.5 Dimensi wawasan 2020 17-1813 3.0 Kenapa perlunya satu wawasan 1814 4.0 Kenapa tahun 2020 19-2015 5.0 Realistik 2016 6.0 Analitikal 21
2
PENGHARGAAN
Bismillahirahmannirahim…
Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia Nya dapat kami menyiapkan tugasan
yang telah dipertanggungjawabkan kepada kumpulan kami. Tugasan yang
dipertanggungjawabkan itu ialah Dasar Wawasan Nasional dan Wawasan 2020. Masa yang
diambil untuk menyiapkan tugasan ini ialah selama sebulan selepas pemberian tugas kepada
kumpulan kami. Kami bekerjasama antara ahli kumpulan dengan cara mengagih-agihkan tugas
secara sama rata bagi menyempurnakan tugasan ini. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan
kepada En Azraei Bin Zainol selaku pensyarah dan pembimbing kepada kumpulan kami dalam
menyiapkan tugasan. Segala sokongan dan tunjuk ajar yang diberikan terhadap kumpulan kami
amat dihargai. Selain itu, ribuan terima kasih juga ditujukan kepada semua ahli kumpulan, rakan-
rakan sekuliah dan pihak-pihak yang terlibat. Segala sokongan kali dari segi pemberian
maklumat, tunjuk ajar, pendapat dan sebagainya amat kami hargai.
3
PENGENALAN
Perkembangan ekonomi di Malaysia mula berkembang sejak tahun 1955 iaitu sebelum era
kemerdekaan lagi. Pada masa ini, British masih lagi menjajah Tanah Melayu. British telah
merangka satu rancangan jangka pendek di Tanah Melayu yang dikenali sebagai Rancangan
Malaya Pertama pada tahun 1955 hingga 1960. Kemudian, British telah merangka satu lagi
Rancangan Malaya Kedua pada tahun 1961 hingga 1965 bagi menyambung Rancangan Malaya
Pertama. Rancangan Malaya ini memberi tumpuan kepada sektor pertanian yang menjadi
tunjang ekonomi pada masa itu. Selepas kemerdekaan, telah dirangka satu rancangan jangka
panjang yang dikenali sebagai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang meliputi Rancangan Malaysia
Kedua hingga Kelima bermula dari tahun 1971 sehingga 1990. Objektif utama dalam DEB ialah
membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Seterusnya, rancangan jangka pajang
kedua dirangka iaitu Dasar Pembangunan Nasional (DPN) telah diperkenalkan bermula pada
tahun 1991 hingga 2000 yang meliputi Rancangan Malaysia Keenam dan Ketujuh. Dasar ini
telah dirangka oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang Keempat iaitu Tun Dr Mahathir bin
Mohamed. Bermula tahun 2001 sehingga 2010 dasar jangka panjang telah digubal iaitu Dasar
Wawasan Negara yang meliputi Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan. Matlamat dasar
ini diperkenalkan bagi meneruskan pembangunan alam sekitar yang mampan dan membina
negara bangsa yang berdaya tahan. Menjelang 2011 hingga 2015 satu perancangan jangka
panjang telah dirangka oleh Perdana Menteri Malaysia sekarang iaitu Dato’ Sri Najib Bin Tun
Abd Razak berasaskan DEB. Dasar ini dikenali sebagai Model Baru Ekonomi (MBE) yang
bermatlamat menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpendapatan tinggi serta mewujudkan
perpaduan antara kaum dan usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bangsa’.
4
1.0 DASAR WAWASAN NEGARA
1.1 LATAR BELAKANG
Dasar Wawasan Negara merupakan gabungan teras kritikal dasar pembangunan yang lepas. Ia
meliputi dua rancangan jangka panjang Malaysia iaitu Dasar Ekonomi Baru dan Dasar
Pembangunan Nasional. Objektif kedua-dua dasar tersebut adalah untuk mencapai perpaduan
nasional, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, penyusunan semula masyarakat dan
pembangunan yang seimbang. DWN berteraskan kepada cabaran strategik Wawasan 2020
yang menyediakan hala tuju Malaysia bagi menjadi sebuah negara maju secara sepenuhnya
menjelang 2020. DWN merupakan gabungan semua usaha pembangunan yang lepas bagi
tujuan mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, progresif dan makmur agar dapat
hidup dalam suasana yang harmoni dan ikatan perkongsian yang saksama. Bagi menangani
cabaran yang bakal dihadapi bagi menjadi sebuah negara maju mengikut haluan sendiri
penekanan diberikan kepada membina negara yang berdaya tahan dan berdaya saing serta
masyarakat yang bersatu padu dan saksama bagi memastikan perpaduan dan kestabilan sosial.
Teras kritikal telah dirangka bagi merealisasikan DWN. Rancangan ini telah dirangka oleh
mantan Perdana Menteri Malaysia keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed. Tema utama
dasar ini adalah ‘Meningkatkan keutuhan dan daya saing negara’. DWN akan menentukan
arah pembangunan negara dalam dekad pertama abad ke-21. RMK-8 menggabungkan strategi,
program dan projek yang dirangka bagi mencapai objektif DWN.
1.2 OBJEKTIF
Objektif utama DWN ialah pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat serta
pembangunan seimbang. Objektif ini merupakan kesinambungan daripada objektif DEB dan
5
DPN. Setelah mengkaji semula dasar-dasar yang lepas kerajaan telah memperbaiki kelemahan
perlaksanaan strategi dan program sedia ada melalui pengukuhan program pembasmian
kemiskinan. Program ini adalah untuk mengurangkan kadar kemiskinan mutlak kepada 0.5 %
pada tahun jangkaan 2005. Pertumbuhan ekonomi yang dijangka pesat dalam tempoh
rancangan akan mewujudkan lebih banyak peluang kepada golongan miskin untuk
meningkatkan pendapatan dan keluar daripada belenggu kemiskinan. Kerajaan juga terus
berusaha menangani isu ketidakseimbangan pendapatan antara kumpulan etnik, bandar dan
luar bandar serta wilayah. Aktiviti yang dapat menjana pendapatan diperkenalkan untuk
meningkatkan pendapatan isi rumah miskin dan kumpulan yang berpendapatan rendah. Selain
itu, meneruskan agenda penyusunan semula masyarakat dengan memberi peruntukan saham,
skim unit amanah dan penswastaan bagi meningkatkan dan mengekalkan pemilikan modal
dan kawalan bumiputera ke atas syarikat. Selain itu, objektif DWN juga adalah pertumbuhan
mampan dan pengukuhan daya tahan ekonomi serta mewujudkan masyarakat yang bersatu
padu dan saksama.
1.3 TERAS KRITIKAL DASAR WAWASAN NEGARA
Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu progresif dan makmur yang dapat hidup
dalam suasana harmoni dan perkongsian yang saksama merupakan gabungan usaha
pembangunan dasar-dasar yang lepas bagi menghasilkan objektif utama Dasar Wawasan
Negara. Bagi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri
telah menekankan kepada pembinaan negara yang berdaya tahan dan berdaya saing serta
masyarakat yang bersatu padu dan saksama bagi memastikan perpaduan dan kestabilan sosial.
Bagi merealisasikan objektif ini Dasar Wawasan Negara telah merangkumkan pelbagai teras
kritikal. Teras yang pertama ialah membina bangsa yang berdaya tahan melalui pemupukan
6
perpaduan antara kaum, menyemarakkan semangat patriotik, membentuk kematangan politik,
membina masyarakat supaya lebih bertolak ansur dan penyayang dengan tersematnya nilai-
nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan keutuhan ekonomi. Teras yang kedua ialah
menggalakkan perwujudan masyarakat yang saksama melalui pembasmian kemiskinan dan
pengurangan ketidakseimbangan dalam kalangan etnik dan wilayah di negara ini. Selain itu,
teras yang ketiga ialah mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dengan
memperkukuhkan sumber pertumbuhan ekonomi, institusi kewangan, korporat dan
pengurusan ekonomi makro. Seterusnya teras keempat menjelaskan tentang usaha
mempertingkatkan daya saing bagi menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.
Membangunkan nilai ekonomi berasaskan pengetahuan bagi meningkatkan nilai ditambah
untuk semua sektor dan mengoptimumkan pemikiran rakyat merupakan teras yang kelima.
Teras yang keenam ialah memperkukuhkan pembangunan sumber manusia bagi
menghasilkan tenaga kerja yang cekap, produktif dan berpengetahuan. Teras yang terakhir
iaitu teras yang ketujuh menjelaskan tentang penerusan pembangunan alam sekitar yang
mampan bagi meneguhkan pertumbuhan dalam jangka masa yang panjang.
1.4 STRATEGI MENANGANI CABARAN DASAR WAWASAN NEGARA
Strategi utama telah dilaksanakan melalui jentera penyelarasan pelaksanaan bagi menangani
cabaran yang dihadapi oleh Malaysia. Strategi pertama ialah meneruskan pengurusan
ekonomi makro yang mantap dan memastikan dasar kewangan dan fiskal yang berhemah
serta dapat meningkatkan usaha membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Usaha ini
adalah selaras dengan aliran global, peningkatan kandungan pengetahuan dalam semua
aktiviti ekonomi amat perlu bagi meningkatkan nilai ditambah dan guna tenaga. Ia merupakan
strategi penting untuk meningkatkan produktiviti dari segi TFP dan tahap potensi keluaran
7
serta menyediakan asas untuk mengekalkan daya saing negara di peringkat antarabangsa
dalam jangka masa pendek dan sederhana. Strategi yang kedua adalah memperkukuhkan dan
menyelaras program serta strategi pengagihan bagi memastikan penyertaan yang seimbang
dalam kalangan etnik, kumpulan pendapatan dan wilayah. Ia berhubung dengan penyusunan
semula pemilikan, pelbagai program seperti peruntukan saham, skim unit amanah dan
penswastaan. Program tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan dan mengekalkan pemilikan
modal dan kawalan Bumiputera ke atas syarikat. Contohnya, pemilikan ekuiti Bumiputera
dalam sektor korporat akan ditingkatkan sekurang-kurangnya 30% pada tahun 2010. Strategi
seterusnya atau yang ketiga adalah meningkatkan pertumbuhan produktiviti melalui
pemantapan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pekerja serta mengukuhkan penyelidikan
dan pembangunan(R&D) dan sains dan teknologi(ICT). Ia adalah penting bagi mencapai
pertumbuhan yang tinggi pada paras harga yang stabil. Hal ini kerana, sumber dan keupayaan
pengumpulan modal terhad dan persaingan sengit dalam menarik kemasukan pelabur asing,
peralihan strategi pembangunan ekonomi daripada strategi pertumbuhan yang didorong oleh
input kepada strategi pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti melalui sumbangan TFP
iaitu modal dan tenaga buruh. Penekanan yang diberikan oleh TFP antaranya meningkatkan
R&D dan ICT bagi mendorong produktiviti yang bergantung pada tenaga kerja yang
berkualiti dan berkebolehan. Seterusnya strategi yang keempat adalah meningkatkan daya
saing dan daya tahan ekonomi dengan mempercepatkan peralihan sektor ekonomi utama
kepada proses pengeluaran yang lebih cekap dan aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi. Ia
perlu bagi meningkatkan persaingan sektor ekonomi yang utama di Malaysia dalam pasaran
global seperti di peringkat antarabangsa. Daya saing ini berlaku kesan daripada kemajuan
pesat teknologi yang telah mempengaruhi pembangunan sesebuah industri. Pakatan strategik
8
dengan syarikat asing dibentuk bagi meningkatkan daya saing dan menambah peluang di
pasaran global. Industri di Malaysia juga perlu beralih kepada aktiviti yang berasaskan
rantaian nilai yang lebih tinggi dengan penumpuan kepada peningkatan inovasi dan
penggunaan teknologi baru. Ia meliputi proses R&D antaranya reka bentuk pembangunan
produk. Sektor ekonomi Malaysia juga perlu beralih daripada proses pengeluaran berintensif
buruh kepada penggunaan proses pengeluaran yang berteknologi baru yang akan
menggalakkan aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi. Memperluaskan
penggunaan ICT dalam semua sektor ekonomi bagi mempercepatkan proses pertumbuhan
merupakan strategi yang kelima. Ia untuk mempercepatkan pelaksanaan program dan projek
berkaitan ICT seluruh negara dengan penyebaran dan penggunaan ICT secara meluas untuk
semua sektor. Contohnya, mempercepat pembangunan Koridor Raya Multimedia(MSC) dan
membantu melaksanakan aplikasi perdana MSC. Malaysia juga akan dibangunkan sebagai
sebuah negara yang mempunyai hub ICT dan multimedia global. Bagi sektor PKS juga
dibangunkan berasaskan ICT bagi menyokong ekonomi berasaskan pengetahuan. Yang
keenam ialah memperkukuhkan asa sumber manusia bagi memastikan bekalan tenaga
manusia yang mempunyai tahap pengetahuan, kemahiran teknikal dan kemahiran berfikir
yang tinggi. Ia dilaksanakan dengan membangunkan sistem pendidikan latihan yang cekap
dan responsif bagi memenuhi permintaan tenaga buruh berpengetahuan, berkemahiran tinggi
dan mempunyai nilai positif. Berikutnya adalah strategi yang ketujuh iaitu melaksanakan
pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu sumber asli dan alam
sekitar bagi mengekalkan pembangunan yang mampan. Langkah akan diambil bagi mengenal
pasti pendekatan pengurusan yang berhemat, kos yang berkesan dan sesuai yang memberi
manfaat bagi memastikan pembangunan mampan dan berdaya tahan. Ia meliputi aspek
9
pengurusan alam sekitar, sumber semula jadi dan sumber-sumber asli. Strategi yang kelapan
adalah meningkatkan kualiti hidup melalui pendekatan akses kepada perkhidmatan sosial serta
membangunkan aspek estetik dalam kehidupan. Ia menyediakan peluang yang lebih baik
kepada rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Peningkatan kualiti hidup yang
dilaksanakan oleh kerajaan kepada rakyat di Malaysia seperti penyediaan dan akses kepada
perkhidmatan sosial, penyediaan dan membaiki kemudahan pendidikan status kesihatan
penduduk, penyediaan perumahan, penglibatan dalam aktiviti seni dan kebudayaan seta
memberi perlindungan dan pendidikan kepenggunaan. Strategi yang terakhir ialah
mempergiatkan usaha memupuk dan menyemai nilai-nilai positif dan sifat murni dalam
kalangan rakyat menerusi sistem pendidikan pertubuhan sosial, agama dan peranan media.
2.0 WAWASAN 2020
2.1 LATAR BELAKANG
Pada 28 Februari 1991 bekas perdana menteri Malaysia keempat Tun Dr. Mahathir
Mohamed telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk “Malaysia Melangkah Ke
Hadapan” yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia
menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ia digelar “WAWASAN 2020” yang
merupakan tindak balas kepada perkembangan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di
peringkat nasional dan antarabangsa. Wawasan ini sebagai satu garis panduan dan rangka
kerja mengenai pendekatan yang harus di ambil dalam memulakan langkah bagi menempuh
cabaran pada masa akan datang. Matlamat terakhir Wawasan 2020 adalah pembentukan
sebuah negara yang benar-benar maju menjelang 2020. Ia meliputi seluruh aspek kehidupan
seperti politik, ekonomi, sosial, kerohanian, kebudayaan dan kejiwaan. Menjelang tahun
10
2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang benar-benar
maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati kehidupan
yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil,
mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi. Ini bermakna
Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi
negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju
yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak
semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan
meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang
tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.
2.2 CABARAN STRATEGIK WAWASAN 2020
Pada tahun 1991, kerajaan telah mengumumkan objektif negara bagi menjadi negara maju
atas usaha sendiri menjelang 2020. Ia memberi wawasan kepada Malaysia bagi mencapai
status negara perindustrian dan negara maju secara sepenuhnya dengan mengekalkan
perkembangan pada kadar 7% setahun. Ia juga merupakan satu permulaan kepada perubahan
kepada struktur ekonomi dan sektor pembuatan. Bagi merealisasikan objektif tersebut
Malaysia perlu mengatasi 9 cabaran strategik. Cabaran yang pertama ialah mewujudkan
negara Malaysia sebuah negara yang bersatu mempunyai matlamat yang serupa dan dapat
dikongsi bersama. Malaysia haruslah menjadi sebuah negara yang aman dan berintegrasi di
peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuhnya secara adil dan
di dokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan berdedikasi
kepada negara. Cabaran kedua ialah mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram
dan maju dengan penuh keyakinan terhadap diri, bangga dengan apa yang dicapai dan gagah
11
menghadapi masalah. Masyarakat Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai
kecemerlangan, menyedari setiap kemampuan yang ada, tidak mudah mengalah kepada
sesiapa sahaja dan dihormati oleh rakyat negara lain. Cabaran yang ketiga mewujudkan dan
membangunkan sebuah masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk
persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi
contoh kepada negara membangun yang lain. Cabaran yang keempat ialah mewujudkan
masyarakat yang bermoral dan beretika secara sepenuhnya iaitu sebuah warganegara yang
kukuh dan mantap dalam agama dan kejiwaan serta didorong oleh tahap etika yang paling
tinggi. Cabaran yang kelima ialah mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur iaitu
rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama
masing-masing. Pada masa yang sama ia dapat meletakkan kesetiaan mereka kepada sebuah
negara. Cabaran keenam iaitu mewujudkan masyarakat yang saintifik dan progresif,
mempunyai daya perubahan yang tinggi serta memandang ke hadapan bukan sebagai
penggunaan teknologi sahaja tetapi sebagai penyumbang kepada tamadun saintifik dan
teknologi masa depan. Cabaran yang ketujuh iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan
budaya menyayangi antara satu sama lain. Ia merupakan satu sistem sosial yang
mengutamakan kepentingan masyarakat melebihi diri sendiri dan kebajikan insan tidak
berkisar pada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.
Cabaran yang kelapan ialah memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu
masyarakat yang dapat melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama
di mana wujudnya perkongsian secara sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan
ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum
berdasarkan fungsi ekonomi dan semua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum. Cabaran
12
kesembilan dan merupakan cabaran yang terakhir ialah mewujudkan masyarakat makmur
yang mempunyai ekonomi yang berdaya saing, dinamik, giat dan kental.
2.3 PERSPEKTIF WAWASAN 2020
Cabaran–cabaran di atas sebenarnya telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus
dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju menjelang 2020.
Perspektif membawa kepada isu-isu utama seperti pembentukan satu negara bangsa
Malaysia. Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang cukup mendalam kerana ia
berdefinisikan sebagai sebuah negara yang berdaulat dan rakyatnya tidak dapat
diidentifikasikan mengikut kaum, keturunan dan warna kulit. Pembentukan satu negara
bangsa menjadi prasyarat utama kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu
pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang kerjasama untuk maju tidak akan
dapat dijalinkan. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan, kesetiaan kepada
negara, keharmonian dab toleransi perlulah difahami dan diamalkan oleh seluruh penduduk
di negara ini. Isu yang kedua ialah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara
perindustrian. Negara Malaysia yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan
kehidupan daripada pertanian kepada perindustrian telah mempunyai negara maju. Melalui
hal ini, Wawasan 2020 bermatlamat agar rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi
tersebut yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi
di pertengahan jalan. Hal ini kerana, proses tersebut melibatkan transformasi daripada
kehidupan bertani kepada perindustrian dan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan
kebudayaan. Masyarakat negara maju merupakan sebuah masyarakat yang mempunyai
kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi. Masyarakat tidak hanya
mencedok atau mengubah suai sesuatu teknologi tetapi mencipta, menambah dan
13
memperbaharuinya. Oleh itu, untuk mencapai tahap negara perindustrian pertumbuhan
ekonomi yang pesat amat penting kerana berkait rapat dengan sumbangan kepada sektor
perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya
saing, kualiti tenaga kerja, kemampuan berdikari dan kekentalan dalam menghadapi
cabaran. Peranan sektor swasta amat digalakkan kerana ia bertindak sebagai jentera
pertumbuhan. Selain itu, isu yang dibangkitkan ialah mewujudkan keadilan ekonomi dan
sosial. Ia akan terlaksana dengan perwujudan sebuah masyarakat yang adil dalam bidang
ekonomi dan sosial. Hal ini kerana, dalam negara maju tidak seharusnya wujud keadaan di
mana dua golongan rakyat iaitu golongan yang mempunyai segala-galanya dan golongan
yang tercicir. Pernyataan ini merupakan penegasan ke atas isu yang sentiasa mendapat
perhatian utama dalam sesebuah penggubalan dasar negara iaitu pembasmian kemiskinan,
keseimbangan ekonomi antara kaum, wilayah, negeri dan antara bandar dan luar bandar.
Dalam konteks ini, wawasan 2020 telah meminta agar semua rakyat Malaysia tidak
menyalah tafsir terhadap bantuan yang diberikan terhadap sesuatu kaum sebagai tidak adil,
sebaliknya menganggap sebagai usaha memperbaiki ketidakadilan. Bagi mencapai tahap
keseimbangan ini ia telah di terjemah dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan
dilaksanakan melalui program dan projek RMK 6. Seterusnya isu yang berkaitan dengan
kepatuhan terhadap moral dan etika. Konsep ini berlainan dengan konsep negara maju
yang wujud pada masa kini kerana lebih bercirikan kebendaan. Negara maju yang dicita-
citakan oleh Malaysia mestilah berpegang kepada falsafah kepatuhan moral dan etika yang
tinggi berasaskan kepercayaan agama masing-masing. Falsafah ini penting kerana,
kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai kepatuhan moral dan etika tidak akan mewujudkan
kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan bahkan membawa kepada keburukan.
14
Pengamalan nilai-nilai murni (seperti dalam dasar Penerapan Nilai-nilai Islam) telah
menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalah gunakan kemahiran dan
kekayaan yang dimiliki. Selanjutnya isu terakhir yang dibangkitkan ialah pembangunan
masyarakat berasaskan sistem kekeluargaan. Wawasan ini telah mengetengahkan perkara
pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga
menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat menjadi asas pembinaan negara. Ini
bererti kekuatan dan kemajuan sesebuah negara bermula dan terletak kepada keluarga dan
masyarakat. Hal ini amat jelas kerana keluarga dan masyarakat yang bercorakkan kualiti
individu akan menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang
merangkumi sistem nilai dan cara hidup (masyarakat penyayang dan budaya menyayangi)
adalah dicita-citakan dalam wawasan ini. Ia digerakkan sejak lagi awal lagi dan
memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara
serta mengambil langkah yang perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang
sempurna.
2.4 STRATEGI PELAKSANAAN WAWASAN 2020
Strategi pelaksanaan Wawasan 2020 ini adalah berasaskan kepada 9 cabaran dalam
objektif Wawasan 2020. Bagi mencapai hasrat cabaran yang pertama iaitu negara bersatu
adalah dengan mewujudkan sekolah wawasan. Melalui penubuhan sekolah ini adalah untuk
seluruh kaum di Malaysia bagi memupuk perpaduan. Ia dilakukan dengan perkongsian
kemudahan sama ada di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan dalam satu kawasan.
Selain itu, hasrat negara bersatu juga dapat dicapai dengan mewujudkan Program Latihan
Khidmat Negara(PLKN) bagi menanam semangat patriotik dalam kalangan golongan
muda. Seterusnya, dalam membentuk masyarakat berjiwa bebas kerajaan telah
15
memperkenalkan cogan kata ‘Malaysia Boleh’ dan terdapat juga rakyat negara yang telah
membuktikan bahawa mereka dengan berjaya menawan gunung Everest, mengelilingi
dunia secara solo dan berjaya merenangi Selat Inggeris. Selain itu, bagi melahirkan
masyarakat demokratik, kerajaan telah mewujudkan MAPEN iaitu suatu landasan untuk
membincangkan pendapat rakyat mengenai dasar ekonomi yang diperkenalkan.
Masyarakat bermoral dan beretika dengan menekankan kepada subjek pengajian Islam dan
moral sebagai cabaran untuk memenuhi hasrat cabaran Wawasan 2020. Di samping itu
cabaran yang perlu dicapai ialah melahirkan masyarakat liberal. Ia dilaksanakan melalui
Program Citrawarna yang menggambarkan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia.
Seterusnya masyarakat saintifik dan progresif. Ia dilaksanakan menerusi perwujudan
Multimedia Super Corridor(MSC), melancarkan program sekolah bestari yang mempunyai
aplikasi Rangkaian Kawasan Tempatan(LAN) dan Rangkaian Kawasan Meluas(WAN),
menambah subjek teknologi maklumat di peringkat SPM serta menambah institut latihan
yang berteraskan kemahiran. Selanjutnya cabaran dalam melahirkan masyarakat
penyayang melalui kewujudan Hotline untuk membantu mangsa penganiayaan,
penggubalan Rang Undang-undang Rumah Tangga 1955, menubuhkan Yayasan
Penyayang Malaysia(CARE) dan PERKIM untuk golongan yang memerlukan bantuan.
Cabaran yang harus dicapai juga bagi melahirkan masyarakat yang adil dalam bidang
ekonomi. Ia dapat dilaksanakan melalui penumpuan kepada Program Pembangunan
Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Akhir sekali ialah melahirkan
masyarakat yang makmur. Contohnya, semasa kegawatan ekonomi semua lapisan
masyarakat yang pelbagai kaum bersatu menanganinya secara bersama.
2.5 DIMENSI WAWASAN 2020
16
Strategi dasar pembangunan yang lepas iaitu anti kemiskinan telah beralih kepada
penghapusan kemiskinan tegar serta mengurangkan kadar kemiskinan relatif. Penekanan
telah dilakukan ke atas komuniti perdagangan dan industri Bumiputera bagi meningkatkan
kadar penyertaan bumiputera ke dalam sektor ekonomi. Bagi merealisasikan penekanan
tersebut harapan yang lebih besar diletakkan kepada penglibatan sektor swasta dalam
proses penstrukturan. Pembangunan sumber manusia yang meliputi nilai moral dan etika
adalah untuk mencapai objektif perkembangan dan pengagihan. Di pertengahan tahun
1990, prestasi ekonomi amat menggalakkan namun wujud kemelesetan ekonomi telah
melanda negara-negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan Thailand pada
tahun 1997-1998. Kemelesetan ekonomi melanda kesan daripada serangan spekulatif
terhadap mata wang Asia Timur termasuk ringgit.
Hal ini kesan daripada tindakan Al-Gore dan Jose Soros yang memperdagangkan nilai
mata wang Asia dengan membeli pada harga yang murah dan melaburkan dalam dolar
Amerika. Wujud beberapa kesilapan dalam pelaburan tersebut menyebabkan keadaan
ekonomi semakin tenat seterusnya membawa kepada kemelesetan ekonomi. Namun begitu,
wujud juga faktor-faktor lain yang membawa kepada terjadinya kemelesetan ekonomi.
Salah satu ialah sistem pengurusan ekonomi yang tidak cekap. Dalam menangani isu
kemelesetan ekonomi pelbagai inisiatif yang dilakukan seperti peminjaman wang yang
dilakukan oleh negara Korea Selatan dengan IMF(Tabung Kewangan Antarabangsa).
Namun begitu Malaysia tidak melaksanakan inisiatif yang dilakukan oleh Korea Selatan
kerana peminjaman daripada IMF akan menjejaskan struktur ekonomi pada masa akan
datang. Hal ini kerana, IMF mengenakan kadar faedah yang tinggi dan akan menguasai
ekonomi sesebuah negara penghutang. Pelaksanaan bijak telah dilakukan melalui
17
penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara(MTEN) pada Januari 1998 dan diikuti
dengan penubuhan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara yang komprehensif enam bulan
kemudian. Inisiatif ini telah dirangka oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed. Pengenalan kepada
inisiatif atau polisi tersebut membawa kepada kejayaan. Selain itu, Tun Dr. Mahathir
Mohamed telah mengenakan kawalan pertukaran mata wang terpilih serta menambat nilai
mata wang ringgit Malaysia. Penubuhan institusi kewangan seperti Danaharta dan
Danamodal bagi mengemukakan isu-isu krisis kewangan yang menyebabkan ekonomi
negara terpaksa diberi nafas baru setelah merekodkan pertumbuhan negatif pada kadar
7.4% pada tahun 1998. Polisi fiskal dan kewangan turut diperkenalkan bagi membantu
merangsang penggunaan dan mengekang tekanan inflasi.
3.0 MENGAPA PERLUNYA SATU WAWASAN
Keperluan satu wawasan adalah untuk keamanan dan perpaduan dalam sesebuah negara ia
meliputi National Focus, Konsensus Nasional, Perjanjian Sosio Politik dan Agenda
Pembangunan Nasional. National Focus menekankan kepada satu penumpuan yang
bersepadu ke arah mencapai matlamat supaya ia dapat bergerak ke hadapan dengan tumpuan
yang lebih jelas yakin dan serentak. Manakala Konsensus Nasional bermaksud persetujuan
penduduk yang berbilang kaum terhadap satu matlamat bagi mengelakkan perselisihan
mengenai masa depan negara serta membolehkan negara bergerak dengan lebih cergas.
Seterusnya Perjanjian Sosio Politik iaitu panduan utama di mana setiap rakyat bersetuju
menerima secara dasar arah dan matlamat yang sama. Agenda Pembangunan Sosial
meliputi kepada garis panduan umum untuk membentuk pembangunan Nasional.
4.0 MENGAPA TAHUN 2020?
18
Tahun 2020 dipilih kerana ia dapat memberi ruang dan masa kepada negara dalam pembentukan
generasi baru dalam tempoh 30 tahun melalui rancangan dan persekitaran yang baik ke arah
pembangunan negara. Di samping itu, jangkaan terhadap ekonomi dapat diramal. Contohnya,
kadar dalam negara kasar(KDNK) pada tahun 2003 meningkat kepada 5.7% pada tahun 2007.
Hal ini menunjukkan keadaan ekonomi dapat diramal akan meningkat sehingga menjelang tahun
2020. Tahun 2020 dipilih kerana tahun tersebut merupakan suatu jangka masa yang munasabah
dan praktikal untuk mencapai matlamat negara iaitu menjadi sebuah negara maju dari segi
keseluruhan aspek seperti ekonomi, politik, sosial, kebudayaan dan sebagainya. Ia juga
membolehkan negara merancang pelbagai strategi untuk merealisasikan Wawasan 2020. Selain
itu, tahun ini dipilih bagi menetapkan satu wawasan yang ambitious tetapi munasabah agar tidak
ketinggalan dalam pembangunan arus dunia sejagat. Tahun ini dipilih juga bagi memastikan
negara tidak ketinggalan kerana masa menjadi penentu kepada kemajuan sesebuah negara. Pada
dekad 1960-an, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar purata sebanyak 5.1%
setahun. Pertumbuhan purata ini dinaikkan menjadi 7.8% semasa dekad pertama Dasar Ekonomi
Baru dalam dekad 1970-an, dan 5.9% setahun pada dekad 1980-an, akibat kemelesetan bertahun-
tahun. Pertumbuhan KDNK pada 30 tahun tersebut dalam nilai sebenar adalah pada kadar purata
6.3 peratus setahun, dengan kadar pada 20 tahun yang lalu merupakan 6.9 peratus setahun pada
puratanya. Oleh itu, yang diperlukan ialah tambahan pertumbuhan sebanyak 0.1 peratus untuk
mencapai matlumat ekonomi Wawasan 2020, sesuatu matlamat yang bukannya tidak mungkin.
KDNK Malaysia pada tahun 1990 ialah $115 bilion, dengan sasaran kira-kira $920 bilion dalam
nilai sebenar (ringgit pada 1990) menjelang tahun 2020. Pertumbuhan pesat ini memerlukan
pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7.0% (dalam nilai sebenar) setahun untuk 30 tahun
akan datang. Jika ini dapat dicapai, dan diandaikan kadar pertumbuhan penduduk tahunan ialah
19
2.5%, menjelang tahun 2020, rakyat Malaysia akan kaya empat kali ganda (dalam nilai sebenar),
berbanding dengan tahun 1990. Inilah ukuran masyarakat makmur yang dimaksudkan oleh
Wawasan 2020. Dengan itu, KDNK Malaysia akan menjadi lapan kali lebih besar menjelang
tahun 2020 berbanding 1990.
5.0 ADAKAH MATLAMAT UNTUK MENJADI NEGARA MAJU DARI SEGI
EKONOMI ITU REALISTIK?
Pada tahun 1960-an pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar purata sebanyak
5.1% setahun. Namun begitu, pertumbuhan purata ini meningkat menjadi 7.8% semasa
dekad pertama dasar ekonomi negara pada tahun 1970-an. Peratus mula menurun pada tahun
1980-an kesan daripada kemelesetan ekonomi iaitu sebanyak 5.9%. Pertumbuhan KDNK
pada 30 tahun tersebut dalam nilai sebenar adalah pada kadar purata 6.3% setahun dengan
kadar pada 20 tahun yang lalu iaitu 6.9% setahun. Oleh itu, Malaysia perlu berusaha
meningkatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.1% untuk mencapai matlamat ekonomi
Wawasan 2020 yang merupakan matlamat yang pasti. KDNK Malaysia pada tahun 1990-an
adalah sebanyak $115 bilion dengan sasaran kira-kira $920 bilion dalam nilai ringgit
sebenar(ringgit pada 1990) menjelang 2020. Pertumbuhan pesat ini memerlukan
pertumbuhan pada kadar purata kira-kira 7.0% (dalam nilai sebenar) setahun untuk 30 tahun
akan datang. Jika ini dapat dicapai dan andaian kadar pertumbuhan penduduk tahunan ialah
2.5% menjelang 2020 rakyat Malaysia akan kaya empat kali ganda (dalam nilai sebenar)
berbanding dengan tahun 1990. Inilah ukuran masyarakat makmur yang dimaksudkan oleh
Wawasan 2020. Dengan itu, KDNK Malaysia akan menjadi lapan kali besar menjelang
tahun 2020 berbanding 1990.
20
6.0 ANALITIKAL
Bagi pendapat kumpulan kami penggubalan Dasar Wawasan Negara dan Wawasan 2020
merupakan satu langkah yang amat bijak. Penggubalan dasar tersebut adalah sebagai cara untuk
membangunkan sesebuah negara dan menyeimbangkan keseluruhan aspek iaitu ekonomi, politik,
sosial, kebudayaan, kepatuhan, teknologi, tahap pengetahuan yang tinggi serta penerapan nilai-
nilai moral yang positif. Selain itu, dasar ini merupakan salah satu penyelesaian bagi sesuatu
masalah ekonomi. Contohnya, kemelesetan ekonomi yang berlaku pada 1997-1998 telah
memantapkan lagi strategi dalam dasar tersebut. Kami juga berpendapat bahawa cabaran-cabaran
yang terdapat dalam Wawasan 2020 amat jitu bagi mencapai matlamat negara maju mengikut
acuan sendiri dan negara perindustrian. Buktinya, sektor petroleum merupakan menyumbang
terbesar dalam sektor perlombongan kepada KDNK dalam negara. Malaysia juga telah
menerapkan nilai-nilai positif seperti etika, moral dan keagamaan serta tidak hanya menekankan
kepada aspek kebendaan semata-mata seperti yang diamalkan oleh negara-negara Barat. Itulah
yang dikatakan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang mengikut acuan sendiri. Melalui
dasar ini juga hasrat untuk melahirkan rakyat berilmu pengetahuan, progresif, kreatif, daya
berfikir yang tinggi, berkemahiran, inovatif dan sebagainya akan dapat dicapai. Di samping itu,
peningkatan kualiti hidup juga akan dapat dicapai jika usaha-usaha yang telah dirancang
terlaksana dengan berkesan. Contohnya, usaha menyediakan peluang yang lebih baik kepada
seluruh rakyat dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan sosial, meningkatkan tahap
kesihatan pendudukan serta memberi pelindungan dan pendidikan kepenggunaan dan pelbagai
lagi.
21