Download - warisan puisi

Transcript
Page 1: warisan puisi

Warisan Puisi Melayu di Malaysia.

SIEW CHANG YEE

Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang amat berpegang teguh kepada adat resam

dan tradisi mereka. Dalam kehidupan seharian, ia banyak melibatkan norma-norma hidup,

peraturan, tradisi dan pantang larang yang wajib dipatuhi. Pengabaian terhadap adat resam itu

dianggap sebagai satu kesilapan yang besar sehingga boleh mengakibatkan jatuhnya status

atau maruah si pelaku mahupun keluarganya.

Pepatah Melayu yang mengatakan ‘biar mati anak jangan mati adat’ menunjukkan

betapa tinggi komitmen masyarakat Melayu terhadap adat resam peninggalan moyang

mereka. Kehidupan masyarakat Melayu dilihat berpandukan kepada sistem rasa dan amat

sensitif dengan perasaan orang lain. Mereka diasuh dan diterapkan dengan amalan-amalan

hidup yang penuh dengan sifat bersopan santun, tidak suka menonjol diri dan sentiasa

mengalah sebagai tanda hormat dan toleransi yang tinggi. Oleh yang demikian, sejak zaman

tradisional lagi, orang Melayu telah melengkapkan diri mereka dengan mencipta panduan

hidup dan peraturan-peraturan yang dikenali sebagai sastera Melayu tradisional berbentuk

puisi. Ia dapat dikaitkan dengan insiatif masyarakat dahulu kala dalam menggambarkan

kehidupan mereka. Masyarakat Melayu yang pada ketika itu lebih mementingkan tradisi lisan

telah menggunakan bantuk-bentuk kesusasteraan Melayu tradisional seperti syair, pantun,

peribahasa, pepatah dan perumpamaan bagi menggambarkan pencapaian serta pemikiran

mereka.

Namun begitu, peranan dan kedudukan warisan puisi dalam masyarakat moden hari

semakin ‘sepi’. Ia semakin dipinggirkan oleh generasi muda yang dilihat semakin tidak

1

Page 2: warisan puisi

meminati warisan tradisi ini. Mereka dikatakan hilang ciri-ciri kemanusiaan dan gagal

menghayati keindahan warisan tradisional tersebut. Masyarakat moden yang sarat dengan

konsep logik dan mengutamakan soal-soal fizikal, material dan kejasmanian dikatakan hilang

sifat kerohanian sebaliknya digantikan dengan aspek-aspek logikal dan objek-objek yang

bersifat konkrit.

Dalam penulisan ini, penulis akan cuba mengupas pemikiran masyarakat Melayu dan

mengaitkannya dengan warisan puisi tradisional Melayu. Di samping itu, penulis juga akan

berusaha untuk mengenal pasti dan menyenaraikan beberapa peranan puisi Melayu dalam

kehidupan masyarakat Melayu. Penganalisaan turut akan dilakukan ke atas bentuk-bentuk

puisi tradisional Melayu seperti syair, pantun, gurindam, pepatah, peribahasa dan

perumpamaan memandangkan ia berperanan sebagai sumber kajian yang dapat

menggambarkan pemikiran dan falsafah hidup masyarakat Melayu dari zaman tradisional

sehingga ke hari ini. Ia penting memandangkan bentuk-bentuk puisi ini mengandungi

pelbagai maklumat penting yang tersirat dan tersurat dan berkait rapat dengan pelbagai aspek

kehidupan, warisan, aktiviti serta kegiatan ekonomi masyarakat Melayu.

Fokus penulisan akan bertumpu kepada usaha-usaha untuk mengenal pasti jenis-jenis

puisi Melayu. Di samping itu, kepentingan dan fungsi puisi dalam masyarakat Melayu

tradisional turut akan diteliti. Pada masa yang sama, kesinambungan warisan itu sehingga hari

dan hubungan warisan puisi ini dengan masyarakat Melayu turut akan dikupas. Akhir sekali,

cabaran warisan puisi tradisional dalam dunia moden dan globalisasi turut akan dibincangkan.

Apabila membicarakan mengenai puisi Melayu, ia merangkumi satu aspek yang amat

luas, menakjubkan dan penuh dengan misteri. Masyarakat Melayu tradisional yang dianggap

2

Page 3: warisan puisi

simple, kolektif dan serba kekurangan itu telah menghasilkan puisi-puisi yang begitu banyak

dan berkualiti. Kajian-kajian yang lebih serius dan bersifat akademik terhadap warisan puisi

tradisional dikatakan hanya bermula pada abad ke-19. Ia dipelopori oleh golongan penulis dan

pengkaji Melayu tradisional sebelum diambil alih oleh golongan para sarjana dan pegawai-

pegawai Eropah. Kesedaran terhadap kepentingan warisan ini telah membawa kepada satu

dimensi baru dalam kajian warisan puisi. Ia dilakukan dengan lebih komprehensif dan

mendalam oleh golongan pengkaji yang terdidik dalam disiplin sastera dan akademik.

Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi merupakan tokoh yang banyak memberi

sumbangan dalam bidang penulisan puisi tempatan. Beliau telah menghasilkan beberapa syair

yang penting dan meninggalkan impak yang begitu besar dalam warisan puisi negara.

Antaranya ialah ‘Syair Singapura Terbakar’ ( 1820 ), ‘Syair Kampung Gelam Terbakar’

( 1847 ) dan ‘Kisah Pelayaran Abdullah’ ( 1965 ). Penulisannya beliau banyak mengisahkan

lawatannya ke serata tempat termasuklah Singapura, Kelantan dan negeri-negeri Pantai

Timur. Dalam karyanya, Abdullah banyak membuat kritikan terhadap golongan bangsawan

dan raja-raja Melayu yang dikatakan terlibat dalam aktiviti-aktiviti negatif seperti berjudi,

berhutang dan ketagih candu. Perbuatan-perbuatan itu dianggap merugikan bangsa dan

menjadikan orang Melayu lemah.

Peranan Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad tidak kurang pentingnya dalam karyanya

yang berjudul ‘Gurindam Dua Belas’ (1846 ), beliau berjaya mencipta gurindam-gurindam

yang baik dan juga membincangkan perbezaan antara gurindam dengan syair. Manakala

dalam kitab ‘Sasilah Melayu dan Bugis dan Sekalian Raja’ ( 1956), Raja Ali Haji

menyelitkan syair dalam hampir setiap babak ceritanya dan menjadikannya lebih menarik.

3

Page 4: warisan puisi

Dua sarjana Barat yang banyak menyumbang dalam pengkajian sumber warisan puisi

Melayu ialah R.J. Wilkinson dan R.O Winstedt. Kedua-duanya tokoh ini banyak memberi

tumpuan kepada perkembangan dan pembentukan pantun. Wilkinson misalnya berpendapat

pantun Melayu merupakan satu kebiasaan masyarakat Melayu yang dikongsi bersama

masyarakat Nusantara yang gemar menggunakan kata-kata yang bersajak untuk saranan

kepada bunyi-bunyi yang berhubungan makna. Sumbangan Winstedt pula boleh dilihat

menerusi usahanya mengumpul dan membukukan pantun. Beliau bersama-sama Wilkinson

telah menerbitkan sebuah ‘Kumpulan Pantun Melayu’ pada tahun 1961. Winstedt juga telah

menulis sebuah buku kecil berjudul ‘Malay Proverbs’ yang telah diterbitkan dalam The

Wisdom of The East Series dalam tahun 1950. Ia mengkaji tentang bidalan-bidalan Melayu

dan disertakan ertinya dan dikaitkan dengan kebijaksanaan orang Melayu.

Teeuw seorang lagi sarjana barat yang berminat dalam kajian puisi Melayu. Beliau

menumpukan perhatian kepada struktur bahasa dan puisi dan berpendapat bahawa struktur

puisi sesuatu bangsa ditentukan oleh struktur bahasanya. Antara hasil penulisannya Teeuw

ialah ‘The Malay Sha’ir : Problems of Origin and Tradition’ ( 1966 ) dan ‘Modern Indonesia

Literature’ ( 1986).

Penglibatan tokoh-tokoh tempatan yang lebih serius dan kajian yang lebih konkrit

terhadap puisi Melayu tradisional dipelopori oleh Zainal Abidin bin Ahmad ( Za’ba). Buku-

buku telah membicarakan kesusasteraan Melayu lama dan moden serta memaparkan

kepelbagaian genre termasuklah seloka, gurindam, nazam, bait dan sajak. Antara karya agung

beliau ialah ‘Ilmu Mengarang Melayu’ yang telah diterbitkan pada tahun 1934 dalam versi

4

Page 5: warisan puisi

Jawi. Karya ia mengandungi selok-belok tentang pengajaran menghasilkan karangan yang

baik melalui penggunaan bahasa yang baik dan berkesan. Dalam bahagian cabang-cabang

bahasa yang tinggi, Za’ba telah membincangkan tentang pelbagai bentuk warisan puisi

tradisional masyarakat Melayu termasuklah peribahasa, bidalan, perumpaman, pantun, syair,

nazam, gurindam, seloka dan sajak.

Mohd Taib Osman seorang lain sarjana tempatan yang banyak menjalankan kajian

terhadap kebudayaan Melayu dan puisi Melayu tradisional. Dalam karya ‘Kesusasteraan

Melayu Lama’( 1965 ), beliau membicarakan tentang pantun dan syair berdasarkan

pemerhatian dan interpretasinya sendiri. Manakala dalam karya ‘Warisan Puisi Melayu’

( 1975 ), ia merupakan antologi puisi Melayu lama yang dipetik dari beberapa buah buku

puisi termasuklah pantun dan syair.

Kesimpulannya walaupun kajian bersifat ilmiah terhaap puisi Melayu telah banyak

dilakukan, namun ia dikatakan masih belum lengkap. Para pengkaji masih belum mampu

membentuk satu kaitan antara puisi Melayu tradisional dengan puisi moden. Ia seolah-olah

wujud satu jurang pemisah antara kedua-duanya. Selain itu, bidang kajian hanya terbatas

kepada pantun dan syair sahaja. Manakala bentuk lain seperti gurindam dans seloka masih

belum diberi perhatian yang sewajarnya. Tinjauan terhadap fungsi puisi tradisional juga amat

terhad. Penulis dan kajian sebaliknya lebih cenderung dalam mengumpul puisi Melayu yang

bersifat sastera lisan dan diterbitkan dalam bentuk tulisan.

Lantaran itu, kajian-kajian dan penulisan puisi Melayu perlu diteruskan dan perhatian

perlu diberikan pada aspek-aspek yang telah diabaikan sebelum ini. Ia penting bagi

memastikan kesinambungan warisan itu pada masa hadapan.

5

Page 6: warisan puisi

2.0 PENGERTIAN PUISI

Puisi merupakan satu bentuk kesusasteraan Melayu tradisional yang terdiri daripada pelbagai

genre atau bentuk. Ia meliputi pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, talibun, teromba,

peribahasa. teka-teki, dikir, mantera dan prosa berirama.1 Pada umumnya, puisi merupakan

suatu bentuk karangan berangkap yang mempunyai kalimat yag terikat.

Pengertian sebenar puisi amat luas kerana ia dikatakan hidup mengikut perkembangan

masyarakat dan manusia. Dari segi etimologinya, puisi dikatakan berasal daripada perkataan

Belanda ‘poezie’ yang membawa maksud pantun dan syair hasil daripada pancaran perasaan

dan fikiran.2 Manakala dalam bahasa Inggeris, ia ditulis sebagai ‘poetry’. Dalam bahasa

Melayu pula, perkataan puisi berasal daripada bahasa Indonesia. Pendita Za’ba dalam

karyanya ‘Ilmu Mengarang Melayu’ menterjemahkan puisi sebagai ‘karangan berangkap’. Ia

dapat dilihat dalam bukunya itu, di mana Za’ba mengatakan:

Dalam bahasa Melayu adalah beberapa karangan berangkap itu

dinamakan pantun, shair, bait, gurindam dan seloka iaitu mengikut

masing-masing sifatnya dan jalan rangkapnya.3

Kenyataan itu jelas merujuk kepada puisi yang terdiri daripada pelbagai bentuk termasuklah

pantun, shair, gurindam dan seloka yang mempunyai keistimewaan tersendiri dalam

menunjukkan keindahan warisan tradisional orang Melayu .

1 Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 2004, hlm.1.

2 Harun Aminurrashid, Kajian Puisi Melayu, Pustaka Melayu, Singapura, 1960, hlm. 1. 3 Zainal Abidin Ahmad, Ilmu Mengarang Melayu, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 2002,

hlm.222.

6

Page 7: warisan puisi

Mohd Taib Osman ( 1975 ) dalam ‘Warisan Puisi Melayu’ menyatakan bahawa puisi

Melayu tradisional merupakan pancaran masyarakat Melayu lama yang mempunyai maksud

yang begitu mendalam walaupun penggunaan kata dan perbendaharaannya agak terhad dan

sering kali dianggap beku. Alwi Salim ( 1983 ) dalam ‘Puisi Melayu’ menganggap dunia puisi

Melayu penuh dengan fantasi dan misteri. Ia merangkumi ke semua aspek kehidupan

masyarakat Melayu termasuklah adat istiadat, perundingan, perdukunan, hiburan dan gurau

senda. Pada masa yang sama, beliau turut mengaitkan puisi dengan perkembangan dan liku-

liku sejarah peradaban masayarakat. Shanon Ahmad ( 1978 ) pula dalam ‘Penglibatan Dalam

Puisi’ menegaskan puisi adalah satu cirri perabadan manusia sejak mula dan terus menjadi

titik pusat dalams etiap bangsa. Ia bukan sekadar satu hiburan tetapi juga merupakan satu

media bagi melahirkan perasaan individu, idea-idea kepercayaan agama dan juga prinsip-

prinsip moral.4

Menurut Kamus Dewan ( 1994 ) pula, puisi merupakan karangan yang berbentuk

sajak yang digunakan untuk mengekspresi pemikiran dan perasaan.5 Sarjana-sarjana Barat

turut berminat dalam kajian warisan puisi turut memberi pelbagai pengertian yang berbeza

tentang pengertian puisi. Taylor Coleridge misalnya mengatakan puisi itu adalah kata-kata

yang terindah dalam susunan yang terindah.6 Carlyle pula beranggapan bahawa puisi

merupakan pemikiran yang muzikal sifatnya. 7

4 Shanon Ahmad, Penglibatan Dalam Puisi, Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 1978, hlm.5

5 Kamus Dewan, ( edisi Ketiga ), Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, hlm.1063. 6 Shanon Ahmad, Penglibatan Dalam Puisi, hlm.37 Ibid.

7

Page 8: warisan puisi

Walau apa pun pengertian terhadap puisi, ia tetap dianggap terlalu subjektif

memandangkan puisi itu hidup dan berkembang mengikut peredaran zaman. Namun begitu,

berdasarkan kepada ciri-ciri puisi, kita boleh membahagikannya kepada tiga eleman utama.

Pertama isinya yang tercakup dalam kata-kata pemikiran, idea atau emosi. Kedua ialah

bentuknya yang pelbagai dan meliputi syair, pantun, gurindam, seloka, peribahasa, bidalan,

mantera, ghazal dan sebagainya. Ketiga ialah kesannya yang mendalam serta menusuk

perasaan kerana puisi banyak melibatkan unsur-unsur perasaan seperti gembira, hiba, jenaka,

sindiran dan kasih sayang.

Oleh yang demikian, puisi bolehlah disimpulkan sebagai satu medium manusia

meluahkan perasaan serta pengalaman yang disusun dalam bentuk kata-kata yang indah dan

bermakna. Ia bukanlah sekadar membentuk bunyi-bunyian yang indah tetapi turut melibatkan

ekspresi idea yang tinggi dan mempunyai maksud yang mendalam.

3.0 MASYARAKAT MELAYU DAN WARISAN PUISI

Keakraban masyarakat Melayu dengan warisan puisi sering dikaitkan dengan bangsa dan

pemikiran Melayu tradisi. Perkembangan puisi tradisional dilihat banyak dicorakkan oleh

tradisi pemikiran Melayu yang dapat dikaitkan dengan kaedah teologis-rasional dan kaedah

alegorikal.8 Pemikiran teologis-rasional dikaitakn dengan asapek keagamaan dan kepercayaan

masyarakat Melayu tradisional. Sebelum kedatangan Islam, kepercayaan masyarakat Melayu

bersifat animistik dan banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Hinduisme. Maka lahirlah

mantera, sebagai bahasa magik untuk memuja roh dan memulihkan penyakit. Pada masa yang

sama, gurindam yang berunsurkan agama Hindu turut bermula. Kedatangan Islam yang

8 Worawit Baru@ Haji Ahmad Idris ( pngr. ), Pemikiran Melayu: Tradisi dan Kesinambungan, Dewan bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 2004, hlm.4.

8

Page 9: warisan puisi

berlandaskan soal akidah dan kosmologi Islam berdasarkan wahyu dan hadis mempesatkan

lagi perkembangan puisi tradisional yang menerima bentuk-bentuk puisi Arab-Parsi seperti

syair, nazam, rubai, masnawi. Ghazal dan qit’ah.

Dalam pemikiran alegorikal pula, ia membincangkan persoalan wujudnya Tuhan dan

makhluk.9 Dalam menerangkan hubungan yang kompleks ini, para sarjana Islam seperti

Hamzah Fansuri telah menggunakan syair sebagai alat perantaraannya. Syair seperti ‘Syair

Perahu Dagang’ dan ‘Syair Ikan Tongkul’ dilihat mengandungi makna-makna yang tersirat

dalam memahami hakikat alam ini.

Tradisi lisan telah lama sebati dalam sanubari masyarakat Melayu walaupun telah

wujud sistem tulisan seperti rencong, palava dan kawi sebelum zaman praIslam lagi.

Kedatangan Islam bersama-sama dengan tulisan jawi telah merancakkan lagi perkembangan

ilmu dan sistem catatan masyarakat Melayu tradisional. Namun begitu, tradisi lisan terus

berkembang di kalangan masayarakat Melayu terutamanya masyarakat kampung. Puisi

tradisional seperti pantun, seloka, peribahasa, bidalan dan mentera dilihat begitu sinonim

dengan kehidupan masyarakat Melayu. Pantun misalnya digunakan dalam pelbagai situasi

sama ada formal atau tidak formal. Malahan ia turut diterapkan dalam lagu-lagu Melayu.

Selain itu, amalan kepercayaan perubatan tradisional turut menggunakan puisi lisan.

Mentera dibaca sebagai jampi dan serapahnya dalam mengubati orang yang sakit ataupun

menghalau mahkluk ghaib. Teromba dan teka-teki pula sering digunakan oleh kanak-kanak

bagi tujuan hiburan dan juga memeriahkan suasana. Dalam adat Perpatih pula, teromba dan

perbilangan memainkan peranan yang cukup penting bagi mengingatkan masyarakat tentang

perlunya hidup secara bermaufakat serta saling bertolak - ansur.

9 Ibid, hlm.7.

9

Page 10: warisan puisi

Lantaran itu, hubungan masyarakat Melayu dengan warisan puisi dilhat begitu rapat

bak pepatah seperti ‘isi dengan kuku’ dan sukar dipisahkan lagi. Malahan puisi-puisi seprti

pantun, syair, sekola, perumpamaan serta peribahasa turus hidup dan diamalkan sehingga ke

hari ini.

4.1 FUNGSI WARISAN PUISI MELAYU TRADISIONAL

4.1.1 Nasihat Dan Pengajaran

Salah satu fungsi utama warisan puisi ialah sebagai sebagai nasihat dan pengajaran kepada

generasi muda. Di mana nasihat dan pengajaran itu wujud dalam pelbagai bentuk puisi seperti

pantun, syair, seloka, peribahasa berirama, nazam, talibun dan teromba. Di mana unsur-unsur

nasihat dan pengajaran yang diselitkan dalam puisi itu biasanya bersifat ‘lembut’ demi untuk

menjaga hati individu dan pada masa yang sama memberi kesedaran serta mendatangkan

kesan yang mendalam.

Harun Mat Piah ( 2004 ) dalam penulisannya Puisi Melayu Tradisional : Nasihat dan

Pengajaran telah mengemukakan kepelbagaian fungsi puisi Melayu tradisional dalam

masyarakat tersebut. Antaranya ialah nasihat dan pengajaran untuk kanak-kanak, nasihat dan

pengajaran menegenai adapt dan etika, nasihat dan pengajaran dalam aspek budi bahasa,

nasihat dan pengajaran dalam aspek pendidikan agama dan akhlak serta nasihat dan panduan

dalam aspek ekonomi dan sosial. Nasihat dan pengajaran itu ditujukan kepada semua

golongan tanpa mengira usia dan status. Misalnya dalam nasihat dan pengajaran kanak-kanak,

10

Page 11: warisan puisi

wujud pantun yang mengingatkan golongan kanak-kanak agar tidak bersikap tamak dan

menghormati orang tua. Ia digambarkan seperti berikut:

Burung kenek-kenek,

Terbang dalam semak,

Pesan datu nenek,

Cari harta jangan tamak.

Burung kenek-kenek,

Terbang dalam hutan,

Pesan datuk nenek,

Emak marah jangan lawan.10

Dalam mengingati masyarakat Melayu tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing,

nazam yang lebih mengkhusus kepada pengajaran agama, ibadat, akidah dan akhlak sering

digunakan untuk tujuan mewujudkan keinsafan. Eleman ini dapat dilihat dalam Nazam:

Nasihat dan ingatan tentang mati dan balasan di akhirat:

Hai saudara ini satu nasihat akhir,

Faham kamu baik-baik ambil fakir.

Kita ini akan mati dudahnya,

Tiada tahu bila datang ajalnya.

Kalau sungguh kamu yakin pada mati,

Jangan pula kamu lalai pada hati.

10 Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran , hlm. 35.

11

Page 12: warisan puisi

Kepelbagaian fungsi puisi tradisional dalam nasihat dan pengajaran turut dikesan dalam

pantun dan syair yang menekankan kepentingan ilmu kepada setiap insan. Ia digambarkan

dalam pantun” Rejang Sindir Ilmu”: Menuntut ilmu sebagai panduan dan pegangan hidup.

Kuda aman dari Pasai,

Dipacu lalu ke bandar Selan,

Akhir zaman muda dan bisai,

Tuntutlah ilmu mengenal Tuhan.11

Manakala dalam syair : Kelebihan ilmu pula. Ilmu digambarkan sebagai penerang jalan ke

syurga dan ia merangkumi pelbagai aspek ilmu sehinggakan dibandingkan dikiaskan sebagai

hamparan luas dan sempadannya adalah di tepi ajal. Lantaran itu, ilmu sering

menjadi buruan golongan bijaksana kerana dikatakan mampu mendatangkan kepuasan

kepada pemiliknya.12

Unsur-unsur nasihat serta pengajaran turut dalam dikesan melalui penggunaan

peribahasa, kiasan dan ibarat. Misalnya peribahasa ‘buat baik berpada-pada, buat jahat

jangan sekali’. Erti peribahasa ini ialah jika kita membuat sesuatu perkerjaan yang baik

biarlah berbatas janganlah berlebih-lebihan pada yang bukan tempatnya, tetapi jika perbuatan

jahat usahlah sekali-kali dibuat.13 Manakala peribahasa ‘malang tidak dapat ditolak, mujur tak

dapat diraih.’14 Merupakan falsafah yang harus dijadikan pedoman oleh kita semua. Ia

menjelaskan bahawa semua perkara yang menimpa kita merupakan takdir Tuhan yang tidak

dapat dielakkan. Sebagai manusia beriman, kita haruslah sentiasa bersabar dan bersyukur.15

11 Ibid, hlm. 146. 12 Ibid, hlm 152. 13 Suradi Parjo, Peribahasa Warisan, Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, 1990, hlm. 49.14 Ibid, hlm. 182. 15 Ibid.

12

Page 13: warisan puisi

Kewujudan pelbagai bentuk puisi yang berperanan dalam memberi nasihat dan

pengajaran kepada masyarakat jelas menunjukkan betapa lengkapnya warisan puisi Melayu

tradisional dan mendidik serta menasihati generasi muda agar berkelakuan baik dan berusaha

untuk membentuk jati diri yang positif. Ia jelas bertepatan dengan budaya masyarakat Melayu

yang gemar tegur-menegur demi kesejahteraan bersama.

4.1.2 Alat Berkomunikasi

Puisi berfungsi sebagai alat komunikasi bagi masyarakat Melayu dan ia ketara di kalangan

rakyat jelata yang lebih cenderung kepada tradisi lisan. Mereka sering menggunakan pantun

sebagai puisi yang diungkap untuk mengindahkan lagi ucapan secara berseloroh hinggalah

majlis-majlis yang lebih formal seperti pertunangan dan perkahwinan. Ia dapat dilihat dalam

pantun orang muda yang sering dikaitkan dengan pantun berkenalan dan pantun berkasih-

kasihan.16 Ia berfungsi sebagai wadah dalam memulakan bicara bagi mengenali seseorang

atau untuk menyatakan perasaan yang terpendam.Berikut diberi contoh-contoh pantun muda

yang tergolong sebagai pantun berkenalan dan pantun berkasih-kasihan.

Suji-suji daun delima,

disuji anak Sultan Bantam.

Kalau sudi minta terima,

Diharap jangan tuan lupa.17

Maksud: Rangkap pantun di atas membawa maksud salam persahabatan yang dihulurkan itu

adalah secara ikhlas dan diharap ia diterima dan persahabatan itu kekal abadi.

16 Senu Abdul Rahman, Revolusi Mental, Utusan Publication, Kuala Lumpur, 2004, hlm.26-27. 17 Pantun Melayu, Balai Pustaka, Perchetakan Balai Pustaka, Jakarta, 1984, hlm. 67.

13

Page 14: warisan puisi

Dari Jepang ke Bandar China,

singgah berlabuh di Singapura.

Bunga yang berkembang siapa bunya,

Kami beringin memetiknya.18

Maksud: Rangkap pantun di atas biasanya digunakan semasa merisik dan merupakan cara

untuk mendapat maklumat tentang status gadis yang ingin dipinang. Ia dijadikan wadah oleh

rombongan lelaki dalam merisik seseorang gadis yang diminati.

Di samping itu, pantun turut digunakan untuk memberi pendapat serta menjelaskan

maklumat. Ia sangat berkesan apabila berhujah supaya pendapat itu menjadi lebih berasas.19

Misalnya dalam mempertahankan sesuatu pendapat, seseorang individu itu cuba untuk

mendapatkan keyakinan audiens menyatakan :

Ditenun kain dengan kapas,

bermacam-macam warna lagi.

Perahu lilin layar kertas,

berani kulanggar lautan api.20

Dalam komunikasi harian, pantun juga sering digunakan untuk mencabar fikiran dan

juga hiburan. Pantun teka-teki misalnya digunakan untuk menguji minda kanak-kanak

manakala amalan berbalas pantun dan nyanyian rakyat yang berunsur jenaka pula digunakan

18 Ibid, hlm. 69. 19 Alwi Salim, Puisi Melayu, Fajar Bakti, Petaling Jaya Sdn Bhd, 1983, hlm.11.20 Ibid, hlm.13.

14

Page 15: warisan puisi

untuk tujuan hiburan. Ia dapat dilihat dalam pantun jenaka yang bukan sahaja untuk bergurau

senda tetapi turut menyelitkan unsur- unsur nasihat. Tindakan ini bertujuan untuk memelihara

hati individu sasaran supaya tidak berkecil hati apabila dikritik. Berikut merupakan beberapa

contoh pantun jenaka yang diselitkan dengan unsur-unsur nasihat.

Elok rupanya pohon belimbing,

tumbuh di dekat limau tungga.

Elok berbini orang sumbing,

bila marah tertawa juga.

Bawa perahu ke Tanjung Badar,

juru mudi duduk berkemas.

Tak tahu akan untung badan,

awak tembaga dikatakan emas.

Pantun sebagai cara berkomunikasi dilakukan secara tidak berterus terang tetapi berkias. Cara

berkomunikasi ini dapat dilihat dalam amalan bertegur sapa yang dapat diertikan sebagai

perhubungan sosial apabila dua anggota budaya bertemu.21 Komunikasi secara tidak langsung

ini juga terdapat dalam budaya Melayu seperti kiasan, perumpamaan yang mempunyai ciri

tersendiri dan lebih bersifat sindiran . Walaupun ia bertujuan untukmenyindir ataupun

mengejek tetapi pemilihan perkataan yang sesuai dan tepat sering mewujudkan satu situasi

yang humor dan dapat mengelakkan ketagangan hubungan.

4.1.3 Menyerlahkan Kreativiti Masyarakat Melayu Tradisional.

21 Wan Ab. Kadir Wan Yussoff ( pngr.), Pantun Manifestasi Minda Masyarakat, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1996, hlm. 7.

15

Page 16: warisan puisi

Masyarakat Melayu sememangnya kreatif dan telah dapat melahirkan beberapa jenis puisi. Ia

termasuklah pantun, gurindam, seloka, talibun, teromba, mantera dan peribahasa. Menurut

Za’ba, pantun adalah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan Melayu

betul.22 Ia digunakan oleh masyarakat kampung bagi menggambarkan fikiran-fikiran hiba

sayu dan warna-warna perasaan yang indah-indah seperti hal-ehwal berkasih sayang dan

pujuk raya yang lemah lembut antara pasangan kekasih.

Manakala gurindam pula dikatakan lahir pada era Hindu dan berasal dari bahasa Tamil

iaitu Kirandan.23 Antara cirinya ialah bahasanya yang berirama dan dinyanyikan dengan

menggunakan bahasa kiasan dan ibarat. Za’ba mendefinisikan peribahasa sebagai segala

susunan cekap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama

oleh sebab sedap dan bijak perkataan, luas dan benar tujuannya.24 Beliau juga menggolongkan

bidalan, perbilangan, pepatah dan perumpamaan ke dalam keluarga peribahasa kerana setiap

itu mengandungi segala sifat-sifat peribahasa.

Seloka yang sarat dengan unsur-unsur humor dikatakan berasal daripada bahasa

Sanskrit dan merujuk kepada perkataan menyindir atau mengejek yang diperkatakan dengan

cakap yang berangkap. Ia juga merujuk kepada percakapan gurau senda dan jenaka semata-

mata istimewa jika bercampur dengan rangkap atau pertentangan bunyi di mana-mana.25

Talibun pula, ia dikatakan mempunyai persamaan dengan gurindam, seloka dan teromba.

Namun dari segi fungsi, ia lebih umum sebagai selipan, berupa pemerian puitis dalam cerita

22 Zainal Abidin Ahmad, Ilmu Mengarang Melayu, hlm.223.23 Ibid, hlm.245. 24 Ibid, hlm. 170. 25 Ibid, hlm.250.

16

Page 17: warisan puisi

lipur lara yang berbentuk prosa.26 Talibun turut dikenali sebagai bahasa berirama dan terdiri

daripada bentuk tidak terikat sama ada berangkap atau tidak.

4.1.4 Amalan Dalam Perubatan Tradisional.

Masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat yang amat akrab dengan alam.

Kehidupan mereka banyak dikaitkan dengan fenomena alam termasuklah aspek kelahiran,

penyakit dan kematian. Warisan puisi berbentuk mantera biasanya digunakan dalam amalan

perubatan tradisional. Mantera atau jampi merupakan ucapan untuk menimbulkan kuasa sakti

dan ia dicipta oleh dukun atau pawang yang bertindak sebagai perantaraan antara manusia

dengan makhluk ghaib.27 Mantera merupakan puji-pujian, harapan, permohonan atau kata-

kata keras yang menyeramkan dan ia merujuk kepada puisi bebas dan tidak terikat kepada

jumlah baris atau rima tertentu.28

Terdapat pelbagai jenis mantera yang mempunyai kegunaan yang berbeza-beza.

Misalnya mantera untuk menghalau hantu, semangat syaitan atau manusia halus, mantera

menjaga diri untuk mengelakkan buatan orang dan mentera minyak pengasih yang digunakan

untuk mendapatkan seseorang yang diminati. Berikuta adalah contoh mantera pengasih

dengan menggunakan asap rokok;

Tembakau Si Raja Ali,

Rendang kuali sudu,

Aku pintal engkau seperti tali,

Aku memakai kasihan rindu,

26 Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisionl: Nasihat dan Pengajaran, hlm.6.27 Alwi Salim, Puisi Melayu, hlm.30.28 Ibid.

17

Page 18: warisan puisi

Terindu-rindu aku,

Terendang-rendangkan aku,

Tidur siang terlihat-lihat aku,

Tidur malam termimpi-mimpikan aku,

Berkat akau memakai kasihan rindu.29

4.1.5 Artifak Budaya

Puisi merupakan sumber warisan bukan artifak yang mempunyai fungsi yang penting dalam

masyarakat Melayu tradisional. Ia merupakan pernyataan melalui bahasa indah dalam

membentuk satu lingkaran pemikiran tentang kehidupan manusia, mengutarakan nasihat,

menyatakan isi hati atau sekadar untuk menyerikan majlis.30 Ia menjadi pegangan hidup

masyarakat tradisional malah merupakan satu kelaziman dalam kehidupan harian masayarakat

Melayu.

Sesunguhnya warisan puisi tradisional memberi satu gambaran kasar tentang

persoalan hidup masyarakat Melayu pada masa lampau. Misalnya Hikayat Raja-raja Pasai

dapat menggambarkan keadaan ekonomi serta strategi orang Melayu menghadapi ancaman

Majapahit. Malah ia turut menggambarkan masyarakat melayu pada ketika itu memilik minda

yang canggih.31

5.1 KEPENTINGAN WARISAN PUISI

29 Prof. Mohd Taib Osman, Warisan Puisi Melayu, hlm. 163. 30 Wan Ab. Kadir Wan Yussoff ( pngr.), Pantun Manifestasi Minda Masyarakat, hlm. 5. 31 Profesor Diraja Ungku Aziz, Kertas Kerja, Tragedi Pemikiran Melayu, Konvensyen Perdana

Melepasi 2020 pada 14-16 Disember 2004, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC ).

18

Page 19: warisan puisi

5.1.1 Sumber Kajian Autentik Tentang Sejarah Kemasyarakatan Melayu

Era kolonialisasi yang begitu panjang, bermula dari tahun (1515) sehingga kemerdekaan

Negara pada 1957 menyaksikan keterbergantungan kita kepada hasil-hasil kajian orintalis

Barat yang secara terang-terang menulis sejarah Negara berdasarkan kaca mata penjajah tanpa

mengambil kira faktor budaya setempat. Malahan sebahagian besar daripada golongan sarjana

tersebut merupakan golongan pentabdir yang mempunyai motif yang tersembunyi dalam

kajian dan penulisan mereka. Penulisan-penulisan Barat ini sering kali memperkecilkan

peranan tokoh dan masayarakat setempat sebaliknya cuba untuk menonjolkan peranan, jasa

serta sumbangan golongan penjajah. Ia ternyata satu propaganda Barat dalam menghalalkan

penjajahan mereka dan mengagung-agungkan kedudukan serta imej penjajah.

Frank Swettenham misalnya menyatakan faktor kemanusiaan merupakan salah satu

faktor utama British campur tangan di negeri-negeri Melayu pada tahun 1874 ternyata sukar

diterima. Sebaliknya faktor ekonomi dan persaingan kuasa Barat di Asia merupakan faktor

pendorong utama ke arah kolonialisasi British di rantau ini. Menurut Profesor Diraja Ungku

Aziz:

“… dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak British menolak apa-apa

yang datang daripada orang melayu, termasuklah pantun sebagai fort art, menjadikan

apa yang dihasilkan oleh orang melayu sebagai second class.32

Oleh itu, sudah tiba masanya, para sarjana tempatan membuat pengkajian, penganalisaan serta

menulis semula sejarah Negara dari kaca mata sendiri. Ia bertujuan untuk menghasilkan

pensejarahan Malaysia yang lebih seimbang, berorentasikan sumber tempatan dan bersifat

32 Ibid.

19

Page 20: warisan puisi

sentrik Malaysia. Untuk itu, warisan puisi seperti syair, gurindam, pantun, seloka, bidalan

dan sebagainya ternyata memenuhi kriteria yang diperlukan.

Warisan puisi tradisional Melayu bukan sahaja kaya dengan aspek-aspek adat dan

budaya sahaja. Malahan ia sarat dengan pelbagai maklumat penting yang berkaitan dengan

corak hidup masyarakat, kegiatan ekonominya, undang-undang serta peraturan, dan juga

aspek keagamaannya. Misalnya Syair Haji Abdul Rahman yang ditulis oleh Haji Mohamad

Nor merupakan sebuah sumber syair yang masih dalam bentuk asli tulisan tangan Jawi. Ia

merupakan sebuah syair yang telah menonjolkan pelbagai fakta dan peristiwa sejarah semasa

dan tahap-tahap zaman yang dilalui oleh perantau Jawa. Dari segi ilmu dan pensejarahan,

syair ini sangat bernilai kepada para sejarawan dan ahli sains sosial. Ia memaparkan cara

pemikiran, sikap, tindakan dan motivasi perantau Jawa untuk mengubah kehidupan,

merancang masa hadapan, menolak unsur negatif dan mengamalkan cara hidup yang rasional,

terbuka, positif, progresif, berdaya saing, berikhtiar dan sanggup berkorban. 33

Syair Haji Abdul Rahman telah merakamkan proses pembinaan kampong dari

peringkat membuka hutan sehinggalah ke proses penanaman padi, sayur dan buah-buahan

yang diusahakan oleh masyarakat Jawa di Kampung Parit Jawa, Johor. Di mana, kumpulan-

kumpulan penghijrah ini telah membuka hutan, membina parit, menubuhkan kampong dan

menyusun semula kehidupan bermasyarakat.34 Dari segi ekonomi, masyarakat Jawa cukup

rajin dan mahir dalam kegiatan pertanian dan hasil-hasil seperti kelapa, pisang, kopi, pinang

dan buah-buahan yang dihasilkan akan dieksport ke Singapura.

33 Khazin Mohd Tamrin, Tradisi Merantau dan Syair Hj. Ahmad Rahman, Persidangan Pengajian Melayu Ke-2, Peking Universiti China, 7-14 Oktober, 2002, hlm.1.

34 Ibid, hlm.2

20

Page 21: warisan puisi

Syair setebal 370 halaman ini ternyata dapat memberi memberi gambaran sebenar

tentang corak hidup masyarakat Melayu tradisional yang berpegang teguh kepada konsep

mencari rezeki dengan menggariskan kewajipan memakmurkan bumi Allah.35 Mereka turut

beranggapan rezeki itu tidak datang bergolek tanpa berikhtiar untuk mencari rezeki yang halal

dan ia merupakan amalan yang soleh. Ia seterusnya menangkis pendapat bahawa orang

Melayu malas berusaha dan tiada tabiat mengumpul kekayaan.

Pada masa yang sama, syair Haji Abdul Rahman ini turut menunjukkan kemampuan

sebenar orang Melayu dalam membuka penempatan dan seterusnya memajukannya. Ia dapat

dilihat dalam pembangunan di kawasan-kawasan sekitar Muar, Batu Pahat sehinggalah Johor

Bharu. Dengan wujudnya sumber autentik ini, para sarjana tempatan dengan mudah dapat

menangkis pandangan negatif sarjana Barat yang dengan lantang dan sinis mengkritik serta

memperlekehkan sumbangan masyarakat tempatan dalam pembangunan negara. Ini

seterusnya akan membawa satu dimensi baru dalam pensejarahan Malaysia dan seterusnya

mampu mengembalikan nostalgia kegemilangan negara pada masa silam.

5.1.2 Memupuk Perpaduan Masyarakat

Perpaduan merupakan satu elemen yang menonjolkan identity masyarakat Melayu. Ia banyak

dikaitkan dengan sifat bersopan-santun, permuafakatan dan saling bekerjasama

35 Khazin Mohd. Tamrin dan Rahmat Saripan, Kongres Sejarah Malaysia II, Anjuran Persatuan Sejarah Malaysia, 26-28 November 1996 ( Bahagian pertama), hlm 3.

21

Page 22: warisan puisi

antara anggota dalam komuniti. Peranan warisan puisi dalam memupuk perpaduan

masyarakat Melayu dapat dilihat dalam petikan teromba yang bertajuk Hidup bermuafakat:

Seikat seperti sirih, serumpun seperti serai,

Seciap seperti ayam, sedencing seperti besi,

Malu tidak boleh diagih, suka tidak boleh dianjal,

Melompat sama patah, menyerudup sama bengkok,

Jalan sedondon, selenggang seayun.36

Kepentingan perpaduan turut diterapkan dalam syair dan ia jelas dalam Syair Haji Abdul

Rahman. Ia menggmbarkan kehidupan Muhamad Nor yang sentiasa mementingkan sistem

rasa, nilai-nilai dan norma budaya muafakat dan gotong-royong. Di mana nilai-nilai ini

dikatakan kunci kejayaan sesebuah keluarga, masyarakat dan bangsa. 37Malahan kepentingan

perpaduan turut dititikberatkan dengan kata-kata seperti ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita

roboh.’ Ia memperjelaskan betapa pentingnya perpaduan dalam mencapai kejayaan kerana

apabila kita bekerjasama, sesuatu tugasan yang sukar itu akan dapat diselesaikan dengan

mudah berbanding dengan situasi di mana kita berbalah semasa sendiri dan seterusnya

mendatangkan kemudaratan kepada diri dan masyarakat.

5.1.3 Mempertahankan Sistem Nilai Masyarakat Melayu

Di dalam mana-mana sistem sosial, norma dan nilai yang menentukan identiti sesuatu sesuatu

bangsa. Kepelbagaian adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dapat menampilkan satu

36 Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran, hlm.64. 37 Khazin Mohd Tamrin, Tradisi Merantau dan Syair Hj. Ahmad Rahman, hlm. 3.

22

Page 23: warisan puisi

sistem nilai yang dapat membentuk identiti mereka. Menyedari hakikat ini, warisan puisi

memainkan peranan penting dalam melahirkan serta memperkukuhkan system nilai

masyarakat melayu tradisional. Ia dapat dilihat menerusi karya-karya puisi yang dicipta dan

bertemakan adapt dan etika serta aspek budi dan bahasa. Dalam teromba yang bertajuk

Persefahaman dan tolong-menolong ia menegaskan:

Bulat air kerana pembentung,

Bulat manusia kerana muafakat,

Faham sesuai, benar seukur,

Bulat segolek, pipih selayang,

Rundingan juga selisih,

Muafakat jangan bersanggah.38

Manakala dalam memperkatakan pentingnya adat dan etika, pantun berikut cukup jelas dalam

menerangkan pentingnya nilai itu dalam sistem kehidupan masyarakat Melayu:

Apalah tanda batang putat,

Batang putat bersegi buahnya,

Apalah tanda orang yang beradat,

Orang beradat tinggi maruahnya.

Justeru itu, warisan puisi dilihat memainkan peranan yang penting dengan sentiasa

mengingatkan generasi muda untuk mengamal nilai dan norma hidup yang telah dibentuk

oleh masyarakat tradisional dalam usaha membentuk jati diri yang utuh. Ia jelas dalam

peribahasa yang berbunyi ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’.

38 Harun Mat Piah, Puisi Melayu Tradisional: Nasihat dan Pengajaran, hlm.56.

23

Page 24: warisan puisi

Dalam memahami peribahasa ini, kita digalakkan agar bersopan-santun dan berbudi

bahasa dalam pergaulan seharian dengan bermanis wajah dan berterima kasih kepada mereka

yang membantu kita.39 Walaupun, kita perlu mengamalkan sikap menerima dan memberi

dalam kehidupan seharian kita namun perlu ditegaskan bahawa tangan yang memberi itu lebih

mulia daripada tangan yang menerima.

5.1.4 Membina identiti Bahasa Melayu

Warisan puisi Melayu tradisonal menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu pada masa

silam menerusi ungkapan-ungkapan peribahasa, pantun, bidalan, gurindam dan sebagainya

berjaya membina satu identiti Bahasa Melayu yang mantap. Ungkapan-ungkapan yang

mengandungi falsafah tersendiri disebalik cerminan makna yang tersirat dan begitu indah

bahasanya ternyata berjaya mengangkat martabat Bahasa Melayu selaku ‘lingua franca’

masyarakat di Alam Melayu.

Pada masa yang sama, penyerapan unsur-unsur luar dari Arab-Parsi dan Hindu berjaya

memperkayakan perbendaharaan kata Bahasa Melayu dan menjamin kesinambungan bahasa

itu dalam masyarakat Nusantara. Selain itu, ia juga berjaya mewujudkan satu rangkaian atau

persamaan di kalangan penduduk Nusantara. Walaupun ungakapan-ungkapan yang digunakan

berlainan dari aspek dialek mengikut tempat dan persekitaran namun pemikiran yang

dicernakan itu tetap mempunyai persamaan maksud dan tujuan. Misalnya dalam pepatah

Minangkabau yang berbunyi ‘Rajo bana disambah, Rajo nana disanggah’ adalah sama

maksudnya dengan ungkapan pepatah Melayu ‘ Raja adil raja disembah, Raja zalim raja

disanggah’.

39 Suradi Parjo, Peribahasa Warisan, hlm. 203.

24

Page 25: warisan puisi

Puisi tradisional bukan sahaja berperanan dalam membina identiti Bahasa Melayu

malah ia turut memainkan peranan penting dalam memastikan ia tidak luput ditelan zaman

agar ia tidak senasib dengan bahasa-bahasa kuno yang lain seperti Sanskrit dan pallava yang

telah pun lesap entah ke mana. Malahan hari ini, Bahasa Melayu seolah-olah ‘ tak hilang

cahaya manikam, walau jatuh ke limbahan sekalipun. Merujuk kepada peribahasa ini, ia

menjelaskan kukuhnya kedudukan Bahasa Melayu dalam masyarakat kita. Di mana

kewibawaannya tidak akan terjejas dalam apa situasi sekalipun walaupun ia menghadapi

saingan yang begitu sengit dari bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris.

6.1 KESINAMBUNGAN WARISAN PUISI DALAM MASYARAKAT MELAYU

Kemampuan puisi tradisional dalam memancarkan minda masyarakat Melayu

membolehkannya terus ‘hidup’ sehingga ke hari ini. Puisi tradisional mencerminkan tabiat,

fikiran dan perasaan Melayu. Ia sering mendapat tempat di kalangan masyarakat Melayu

ketika merakamkan perasaan hiba, kasih sayang, cemburu, bersyukur atau didorong untuk

memberi nasihat, memperkukuhkan pegangan adat dan agama.40 Kesinambungan warisan

puisi dalam masyarakat Melayu menyaksikan warisan puisi terus diamalkan dan berkembang

mengikut araus perdana. Masyarakat Melayu yang mengadaptasikan warisan puisi dalam

kehidupan harian mereka telah mencipta puisi moden yang muncul pada awal-awal tahun

1930an dan berkembang pesat pada tahun 1950an.41

Perkembangan ini membawa kepada lahirnya sajak yang bergerak seiring dengan

kebangkitan dan perkembangan kesedaran kebangsaan. Sajak merupakan satu lambang

pengucapan yang digunakan oleh penyair-penyair Melayu untuk menyuarakan kesedaran ke

40 Wan Ab. Kadir Wan Yussoff ( pngr.), Pantun Manifestasi Minda Masyarakat, hlm. 941 Kamaruzzaman Abd. Kadir, Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden, Dewan Bahasa Pustaka,

Kuala Lumpur, 1982, hlm. 124.

25

Page 26: warisan puisi

arah penentuan untung nasib bangsa dan tanah air mereka sendiri. Peranan penyajak-penyajak

seperti Masuri S.N, Tongkat Warrant, Asmara, Afrini Adham, Halim Anuar, A.S Amin, M.

Ghazali, A. Samad Said dan Suria Negara telah merancakkan perkembangan sajak dan

berjaya menyemarakkan semangat orang Melayu dalam memperjuangkan kedudukan dan

kepentingan mereka. Ia dapat digambarkan dalam sajak ‘Masyarakat ‘Sawa Matang’, karya

Nhmar Jamil:

Engkau lihat pada masyarakat

masyarakat sawo matang

segala kemiskinannya

segala himpitannya

segala penderitaannya.42

Kesedaran yang diperlihatkan oleh penyair ini membayangkan bahawa sajak akan terus

menjadi lambang pengucapan mereka untuk memperjuangkan nasib bangsa. Pada masa yang

sama, ia turut menanam kesedaran di kalangan masyarakat Melayu untuk berusaha dengan

lebih gigih dan tidak lagi terus lalai dan ketinggalan.

7.1 CABARAN DAN HALA TUJU

Walaupun puisi terus berkembang hari ini, namun kewujudan pelbagai cabaran dan rintangan

yang sering mengancam kehadirannya. Lantaran itu, sejauh manakah warisan itu masih

dihayati oleh generasi kini mula dipersoalkan. Selain itu, hala tuju warisan puisi tradisional

yang telah bertapak ratusan tahun itu juga menjadi tanda tanya.

42 Ibid, hlm. 128.

26

Page 27: warisan puisi

Sikap memandang rendah nilai dan peranan Bahasa Melayu merupakan cabaran utama

bagi meneruskan kesinambungan warisan puisi. Penggunaan Bahasa Inggeris di sekoalh dan

institusi pengajian tinggi terutamanya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah

melemahkan penggunaan Bahasa Melayu. Peribahasa ‘bahasa menunjukkan bangsa’ gagal

bertapak di sanubari masyarakat Melayu moden yang lebih cenderung mengagung-agungkan

bahasa asing dan ini mengikis identiti Bahasa Melayu dan seterusnya membantutkan

perkembangan dan penghayatan warisan itu.

Dasar Pendidikan Negara juga dilihat gagal berperanan dalam memartabatkan

kedudukan warisan puisi tradisional. Para pelajar lebih cenderung ke arah sains dan teknologi

berbanding dengan kesusasteraan. Penekanan terhadap mata pelajaran Sains, Matematik dan

Bahasa Inggeris ‘melemaskan’ Kesusasteraan Melayu dan menghalang penerapan nilai dan

pemahaman tentang fungsi dan peranan warisan puisi dalam perkembangan diri, bangsa mahu

pun masyarakat.

Para sasterawan pula berada dalam dilema antara materialisme dengan dunia kreatif

yang semakin malap. Ketidakpekaan masyarakat kini terhadap nilai warisan puisi menghalang

mereka daripada terus berkarya. Masyarakat telah hilang minat terhadap karya puisi

sebaliknya begitu rakus mengejar kekayaan duniawi. Lantaran itu, kemunculan karyawan-

karyawan muda dan berbakat begitu dirasai dan kita masih bergantung harapan terhadap

karyawan veteran yang semakin luput ditelan zaman. Perkembangan yang tidak sihat ini bakal

melelapkan sinar warisan puisi tradisional kita.

Kebanjiran budaya Barat turut menyumbang kepada kesuraman warisan puisi

tradisional. Unsur-unsur hiburan yang rancak dan melalaikan diterap pula dengan budaya

27

Page 28: warisan puisi

kuning seperti ‘punk’ dan ‘skin head’ bukan sahaja membinasakan identiti serta jati diri

generasi muda malah membutakan hati mereka terhadap nilai-nilai estetika warisan puisi

tradisional.

Lantaran itu, hala tuju warisan puisi tradisional berada di persimpangan. Ia bakal

menempuh era kegelapannya sekira masyarakat terus mengamalkan sikap buta hati dan tidak

peduli. Kehancuran kemanusiaan akibat peperangan, kesesatan dalam ideologi, kepentingan

kebendaan,dan kepuasan sementara akan memudaratkan warisan puisi. Warisan peninggalan

moyang kita itu akan terus dilupakan dan itu merupakan satu kerugian yang cukup besar

kepada bangsa kita kerana warisan puisi itu merupakan satu amalan ciptaan yang penuh

dengan ciri-ciri imaginasi dan dikaitkan dengan kemesraan kita dengan aspek-aspek simbol,

kata-kata, warna, dan alam yang tidak mungkin boleh dijual beli dengan wang ringgit.

KESIMPULAN

Warisan puisi Melayu tradisional merupakan satu cabang utama dalam kesusasteraan Melayu.

Ia dikatakan lahir hasil daripada sistem rasa masyarakat Melayu tradisional yang banyak

menggunakan tradisi lisan dalam kehidupan mereka. Penyusunan kata, pemilihan perkataan

yang sesuai, tepat dan indah serta penggunaan tema yang disesuaikan dengan sitausi telah

melahirkan warisan puisi tradisional yang telah pun bertapak di negara kita sebelum

kedatangan pengaruh Islam lagi.

Fungsi puisi pelbagai dan sering dijadikan perantaraan antara interaksi minda dengan

naluri manusia pada sebelah pihak dengan interaksi antara minda dan alam semesta ciptaan

Tuhan. Malahan ada yang beranggapan puisi itu bertujuan untuk membersihkan kerohanian

28

Page 29: warisan puisi

kita melalui rasa simpati atau keinsafan. Manakala puisi yang bersifat humor pula dikatakan

untuk membetulkan manusia ke arah jalan yang lurus di samping menggelikan hati. Namun

begitu, semua bersetuju puisi itu bertujuan untuk menyemarakkan kesedaran agar manusia

sedar tentang hidup yang kompleks dan hubang kait antara manusia dengan alam dan

penciptaanNya.

Dalam membincangkan kesinambungan puisi dalam masyarakat kini ia dilihat masih

terus berkembang tetapi ruang lingkupan semakin terhad. Budaya ini hanya dapat dilihat di

majlis-majlis tertentu sahaja dan hanya dipraktikkan oleh segelintir masyarakat. Selain itu,

kita juga bersifat ‘selective’ dalam penghayatan terhadap warisan puisi di mana bentuk-bentuk

puisi seperti syair, pantun, peribahasa serta sajak masih terus berkembang tetapi pada masa

yang sama kita telah mengenepikan bentuk-bentuk puisi lain seperti mantera, gurindam,

nazam, maszawi, rubai mahupun ghazal.

Namun begitu, warisan puisi Melayu sebagai sumber kajian mengenai pemikiran

falsafah hidup masyarakat Melayu tidak dapat dinafikan. Peranannya itu dapat disokong

dengan kukuh berdasarkan perkembangan warisan itu, kesinambungannya sehingga hari ini,

serta fungsi serta kepentingannya kepada masyarakat Melayu.

29


Top Related