Transcript

ISU SOSIAL DALAM NOVEL ALUN HIDUP MENERUSI TEORI SOSIOLOGIDisediakan Oleh WAN MOHAMMAD FAIQ IBTISAM BIN WAN ALIBacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama)Jabatan Bahasa dan KemanusiaanFakulti Pengajian PendidikanUniversiti Putra [email protected]

Makalah ini menumpukan penganalisisan karya yang bersifat kemasyarakatan yang melihat kehidupan manusia dan lingkungan isu sosial. Analisis bersasaskan teks novel yang berjudul Alun Hidup karya Khadijah Hashim menerusi teori sosiologi. Pendekatan ini adalah kaedah yang digunakan bagi melihat pengaruh masyarakat, isu sosial dan nilai terhadap kehidupan masyarakat dalam novel Alun Hidup. Hasil telitian mendapati isu sosial masyarakat dan pengaruh nilai kemasyarakatan terpancar di dalam novel ini. Novel ini mampu membentuk suatu pegangan masyarakat yang ingin berjuang kepada kehidupan yang berjaya dalam melalui liku-liku keperitan hidup. Kajian menumpukan juga kepada aspek sosiologi yang melibatkan hubungan penulis, masyarakat dan kesusasteraan itu sendiri.

Kata kunci: teori sosiologi, isu sosial, nilai kemasyarakatan.

PENGENALANPerkembangan yang dinamik dalam dunia sastera kini memperlihatkan kehadiran penulis daripada pelbagai bidang. Penulis yang tersedia ada dan juga kehadiran penulis baru telah menambah rencah dan warna-warni dalam karya kreatif. Penulis mempunyai sumbangan yang tertentu dalam masyarakat kerana setiap manusia mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing terhadap masyarakat. Realiti kehidupan manusia dan alam persekitaran penulis yang diadun bersama pengalaman merupakan luahan penulis dalam menghasilkan sesebuah karya melalui daya kreativiti dan imaginasinya.Hasil karya tidak tercipta dalam kekosongan, ini bermakna sastera bukan hasil seseorang penulis sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah hakikatnya penulis juga terikat dengan ruang dan waktu serta bertanggung jawab terhadap masyarakatnya (Scott,1972). Menurut Sugihasti (2002), penulis berusaha untuk memahami lingkungan sosialnya dan mengkaji tindak balas dengan alam persekitarannya. Kelompok pembaca juga berusaha untuk memahami dan menyatakan makna yang dimaksudkan oleh penulis melalui karya.Kehidupan masyarakat yang pelbagai bentuk dan ragam menjadi ilham penulis untuk berkarya. Karya yang dicipta merupakan fenomena sosial yang menggambarkan kehidupan dalam sesebuah masyarakat. Pelbagai teori dan pendekatan yang diterapkan banyak memberi manfaat kepada para pengkaji yang mahu melakukan penyelidikan berkaitan sosial masyarakatnya. Teori sosiologi dilihat sebagai pendekatan yang mampu mengkaji dan melihat aspek kemasyarakatan dalam sesebuah karya.

TEORI SOSIOLOGISosiologi merupakan salah satu bidang sains sosial. Walaupun sosiologi bersumberkan bidang sains sosial, namun ia tetap mempunyai hubungkait dengan kesusasteraan. Sosiologi melibatkan pelbagai perkara yang melibatkan latar sosial masyarakat baik di dalam teks mahupun di luar teks. Aspek-aspek yang menjadi teras kemanusiaan dan kemasyarakatan seperti ekonomi, politik, budaya dan etika sosial akan turut dilihat sebagai unsur-unsur penting yang mempengaruhi penulisan sesebuah karya. Teori sosiologi atau pendekatan kemasyarakatan merupakan teori bercorak kontekstual atau ekstrinsik. Teori ini membicarakan aspek luaran teks seperti sudut latar belakang pengarang, meneliti hubungan, peranan dan fungsi sastera terhadap masyarakat. Menurut Mana Sikana dalam Koleksi Teori Sastera, teori sosiologi menilai sastera dengan meneliti aspek sosial atau kemasyarakatannya dan menganalisis hubungan teks dengan isu politik, ekonomi, budaya dan aspek-aspek lainnya yang membangunkan sesebuah masyarakat. Teks juga dilihat sebagai kesan pengaruh masyarakat terhadap kehidupan manusia. Masyarakat membentuk sistem dan pelbagai kelaziman yang kemudian turut membentuk ideologi dan fahaman yang diikuti oleh sesebuah komuniti, masyarakat dan negara.Pendekatan sosiologi tidak dapat lari dari turut membicarakan tentang pengkarya. Aspek sosiologi pengkarya akan diteliti sama. Sebelum memasuki perbicaraan intrinsik karya, riwayat hidup pengarang termasuk tempat lahir, sosialisasi, pendidikan, alam sekitar, status sosial, nilai-nilai kehidupan dan sebagainya hendaklah ditinjau dahulu (Mana Sikana, 1983:110) Menggunakan teori sosiologi dalam kritikan kesusasteraan, pengkritik perlu mendalami ilmu sosiologi. Pengkritik perlu mahir dalam aspek-aspek sosiologi yang berkait dengan teks dan pengkarya di samping mampu menghubungkan sosiologi itu dengan kesusasteraan.Teori sosiologi menegaskan bahawa hasil sastera mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat, terutama masyarakat pembaca. Di antara satu dengan yang lain, saling memerlukan dan bekerjasama. Dalam konteks hubungan sastera dengan masyarakat jika dilihat dari sudut sosiologi adalah lebih intim dan kompleks seperti antara teori dan praktis. Ini membuktikan pengaruh masyarakat terhadap sesebuah karya sastera itu amat kuat. Masyarakat mempunyai pengaruh terhadap penciptaan dan nilai sastera. Walaupun kehidupan masyarakat dijadikan bahan untuk berkarya, namun bahan tersebut telah dipilih dan disaring derta diberi tanggapan sendiri oleh penulis. Semasa berkarya, mereka juga masih terikat dengan ruang dan waktu. Oleh itu, seseorang penulis perlu bertanggungjawab untuk menyampaikan mesej sama ada dalam bentuk peringatan, nasihat atau panduan kepada pembaca. Pemikiran perlu berhubung dengan persoalan masyarakat dan kemasyarakatan terungkap dalam aspek sosiobudaya, sosiopolitik dan sosioekonomi.Menurut Mana Sikana (1986:106-107) pula, terdapat dua konsep pendekatan sosiologi. Pertama adalah melihat karya sastera sebagai cerminan sejarah, terutama mengenai sejarah perkembanagn ekonomi, teknologi dan perhubungan kelas. Tegasnya pendekatan ini melihat konfrantasi dan pertikaian yang berlaku dalam masyarakat sebagai sumber inspirasi penulis dan tugas mereka ialah mencerminkan atau menggambarkan peristiwa yang terjadi, di samping aspek perwatakan turut di rakamkan. Watak-watak perlu mengammbarkan sifat individu, personal dan berperibadi seperti yang telah ditentukan dalam masyarakat. Sebuah karya sastera tidak akan menjadi agung dan bermutu tinggi sekiranya menjelajahi masyarakat serta kehidupan manusia sedalam-dalamnya. Keterlibatan penulis selalunya akan menolong penciptaan sesebuah karya yang lebih serius, kerana teori ini amat mengambil kira latar pengarangnya. Pencipta tidak boleh terasing daripada masyarakatnya. Mereka mestilah hidup bersama. Hal ini memperlihatkan bahawa karya sastera dalam apa jua bentuk mempunyai pertalian yang rapat dengan masyarakatnya.

BIODATA PENULISNama sebenar penulis novel Alun Hidup ialah Khadijah binti Hashim yang lahir pada 20 April tahun 1942 di Batu Pahat Johor. Beliau menerima pendidikan awalnya di Johor dan kemudian buat beberapa waktu menjadi seorang guru agama. Selepas itu beliau berkhidmat di Utusan Melayu kerana minatnya terhadap kerjaya wartawan kemudiannya berpindah ke Berita Harian.Jumlah penulis wanita amat sedikit bilangannya dan penulis-penulis wanita amat mudah diingati. Antaranya Zurinah Hassan, Adibah Amin, Fatimah Busu, Salmah Mohsintermasuk juga Khadijah Hashim. Khadijah Hashim merupakan salah seorang penulis daripada penulis wanita yang paling aktif menghasilkan berbagai bentuk sastera kreatif. Beliau juga pernah mencipta beberapa buah drama radio sebelum menceburi bidang penulisan cerpen dan novel.Beliau lebih dikenali sebagai penulis novel dan telah menghasilkan 19 novel. Novel Badai Semalam merupakan novel sulungnya yang terbit pada tahun 1968, diikuti oleh Jalan Ke Kubur pada tahun 1969, Pelangi Pagi (1971) dan Di Tengah Kabus (1980). Sejak 1968, Khadijah Berjaya menerbitkan novel demi novel termasuk novel yang dikaji dalam kajian ini iaitu novel Alun Hidup.Sebagai penulis cerpen pula, Khadijah lebih menekankan persoalan mengenai keluarga. Khadijah memperlihatkan sikapnya terhadap keharmonian dan kedamaian hidup di desa dan membenci kekalutan hidup. Dalam kebanyakan cerpen Khadijah, meskipun menggambarkan susasana biasa tentang keluarga, namun masih terasa tujuan penulis yang menghendakkan pembacanya berfikiran jauh dan dalam terhadap amanat yang cuba disampaikan. Di sinilah terlihatnya keistimewaan Khadijah Hashim dalam bercerita. Kelihatan sederhana tetapi penuh bermakna.Novel pertama dan paling terkenal hasil karyanya iaitu novel Badai Semalam (1968) yang digunakan sebagai buku teks di Singapore dan Malaysia. Novel ini telah diterjemah ke bahasa Inggeris, Storms of Yesterday, oleh Mahani Abdul Hamid pada 1991 danbahasa Sepanyol, "Tormentos del ayer", oleh Alberto Balanza dan Yahia pada 2010. Badai Semalam diterbitkan beberapa kali dan terkini adalah pada 2006 oleh Alaf21 dalam siri novel nostalgik. Versi Inggeris turut diterbitkan semula pada 2009 oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah Siri Penulisan Malaysia (Malaysian Literature Series).Novel Merpati Putih Terbang Lagi memenangi hadiah sagu hati dalam peraduan menulis sepuluh tahun kemerdekaan Malaysia. Novel ini turut diterjemahkan ke bahasa Jepun oleh Tatsun Hoshino. Novel Exiled telah dicalonkan bagi Anugerah Penulisan Dublin IMPAC Antarabangsa ("International IMPAC Dublin Literary Award") pada 1997. Novel Langkah Pertamanya telah memenangi Anugerah Buku Kanak-kanak Mobil-MABOPA pada tahun 1995. Khadijah merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara pada 1999 dan menamatkan Program Penulisan Antarabangsa di Universiti Iowa pada tahun 1994. Siri buku kanak-kanaknya, Siri Lagenda, Siri Aura dan Fauna dan Siri Teladan dari Rimba telah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (2009).Daripada sumbangan yang diberikan oleh penulis wanita yang pemalu ini, kita melihat bahawa beliau mempunyai potensi besar untuk memberikan karya yang lebih baik dan indah dari apa yang pernah diberikan. Khadijah Hashi merupakan tokoh yang agung dalam bidang penulisan dan juga sebagai seorang penulis wanita yang matang.

SINOPSIS NOVEL ALUN HIDUPNovel Alun Hidup hasil karya Khadijah Hashim bertemakan kehidupan manusia yang penuh cabaran. Novel ini mengisahkan mengenai kehidupan Awang dan Milah sekeluarga yang ingin berhijrah dari Kesang ke Sungai Berembang untuk berdikari mencari kehidupan yang lebih baik dan selesa. Awang yang dulunya menumpang hidup sekeluarga bersama ibu mertuanya. Dia bekerja sebagai nelayan untuk menyara keluarga. Awang sedar bahawa sudah sampai masanya untuk berhijrah dan hidup sendiri. Dia malu kerana asyik menumpang tinggal dengan ibu mertuanya. Awang nekad untuk berhijrah ke Sungai Berembang dan menjadi seorang petani.Hasrat Awang untuk berpindah keluar dari rumah itu ditentang oleh ibu mertuanya kerana ibun mertuanya tidak mahu berpisah dengan anak dan cucunya. Pelbagai tentangan yang diterima oleh Awang tetapi dia tidak menghiraukannya. Awang tetap juga ingin berdikari sebagai seorang petani di Sungai Berembang. Isterinya Milah berat hati untuk meninggalkan tempat asalnya dan ibunya yang tercinta tetapi perlu juga ikut kerana taat dan kasih kepada suami. Awang sedar bahawa penghijrahannya in akan mendapat pelbagai cabaran dan dugaan untuk memulakan hidup baru. Banyak liku-liku yang ditempuhi untuk menjadi petani di Sungai Berembang. Walau bagaimanapun, Awang banyak di tolong oleh Abang Malim dan Kak Joyah. Permulaannya Awang menumpang di tanah Abang Malim sementara dapat membina rumah baru di tanahnya sendiri.Pelbagai suka duka Awang lalui bersama keluarganya yang tersayang. Isterinya Milah bersama anak-anaknya Asmah, Zaitun, Yusuf, Adam dan Husin bersama-sama berusaha untuk mencipta kesenangan hidup di Sungai Berembang. Awang yang kuat berusaha sedaya upaya menjadi seorang petani dan sesekali berlayar dan menceburi dalam bidang perniagaan. Orang-orang kampong Sungai Berembang turut membantu Awang sekeluarga walaupun ada juga ada yang mencela. Begitu banyak keperitan, suka dan duka awang sekeluarga menempuh cabaran untuk menyara hidup di dalam kehidupan yang penuh pancaroba. Terpampang detik-detik kesusahan dan kesayuan Awang sekeluarga dalam menepuhi ranjau perjalanan dan liku-liku untuk mendapat kesenagan dalam hidup. Begitulah Alun Hidup seorang manusia.

ISU SOSIAL DALAM NOVEL ALUN DARI SUDUT TEORI SOSIOLOGI

i) Pengaruh Latar Belakang Sosial Pengarang Terhadap Novel Alun Hidup

Kehidupan penulis yang berasal daripada masyarakat kampung yang sederhana di Sungai Tongkang mempengaruhi setiap penciptaan karyanya. Khadijah banyak menulis karya berkaitan dengan kemasyarakatan dan mempengaruhi dalam menghasilkan karya Alun Hidup. Alun Hidup yang memaparkan masyarakat kampung yang tinggal berdekatan dengan sungai untuk berkebun dan sungai pula yang dijadikan sebagai sumber mencari rezeki. Awang yang dulunya menumpang ibu mertuanya yang tinggal dilaut berpindah ke Sungai Berembang untuk membina kehidupan baru disana. Rancangan untuk berpindah ditentang oleh ibu mertuanya.

Awang menarik nafas panjang sambil menyedut udara malam yang nyaman mengingatkan kata-kata ibu mentua. Tetapi matanya tegak ke hadapan. Tangannya kejap memegang tali layar menjaga kemudi melayan angin. Hatinya sudah bulat untuk menetap di Sungai Berembang yang bertanah subur. Meninggalkan kampung halaman bukan kerana merajuk, tetapi ingin mencuba penghidupan baru. Ingin memiliki sebidang tanah untuk dijadikan tapak tempat berteduh. Hampir empat belas tahun tinggal bersama ibu mentua sudah dirasa pahit manisnya. (Novel Alun Hidup: 2)

Khadijah Hashim merupakan pernah manjadi guru agama. Hal ini menyebabkan novel Alun Hidup mempamerkan masyarakat yang beragama Islam dan hidup berlandaskan kepada agama. Kampung Sungai Berembang mempunyai surau untuk penduduk solat berjemaah. Haji Syawal selaku ketua kampung dan juga imam di sana.

Sebelah rumah haji Syawal tu rumah siapa? tanya Milah. Itu surau, abang dah pernah sembahyang di surau itu sekali. (Novel Alun Hidup: 12)

Walaupun penulis dikatakan mempunyai latar belakang agama. Masyarakat dan watak yang ditonjolkan mempunyai perwatakan agama, namun terdapat kelemahan pada perwatakan yang masih lagi mempercayai perkara kurafat. Bertentangan dengan penulis yang mempunyai latar belakang agama. Masyarakat dalam novel Alun Hidup sepatutnya dilihat sebagai masyarakat yang patuh pada ajaran agama, namun longgar dengan adanya adegan kurafat seperti Kak Joyah yang menggunakan tepung tawar untuk menghalau jin daripada rumah yang baru diduduki oleh Awang. Kak joyah sudah jauh ke hadapan.peranannya ialah hendak menepung tawar rumah itu sebelum dimasuki orang baru.Buang hantu syaitan, kata Pawang Busu. (Novel Alun Hidup: 43)

Apabila sampai di halaman rumah, masing-masing menunggu Joyah selesai menyempurnakan acara tepung tawar di sekeliling rumah. Tepung tawar yang cair seperti tepung menggoreng pisang itu direnjis-renjis dengan menggunakan daun ribu-ribu dan daun sepulih. Akhirnya daun itu diletakkan di penjuru rumah. (Novel Alun Hidup: 43)

Dilihat Awang yang juga mempercayai kepada perkara kurafat walaupun diceritakan bahawa Awang mempunyai pegangan agama. Dalam novel ini, Awang mengambil batu daripada perut buaya yang dipercayai buntat untuk mendatangkan rezki yang banyak. Sedangkan kepercayaan agama Islam yang meletakkan rezeki itu hanya datang daripada Allah jika kita berusaha.buat main-main saja, Abang Delip, jawab Awang tersipu-sipu. Tetapi di dalam hatinya sudah terpaku malah yakin bahawa batu itu akan jadi tangkal, mana tahu! Fikirnya penuh harap. Lagipun bikan senang hendak dapat batu dari perut buaya. Batu sungai pun siapa pun boleh pungut. (Novel Alun Hidup: 69)

Milah menurut saja apa kata suami. Hatinya riang tidak terkira kerana sudah dapat buntat buaya.Ini tentu petanda baik, alamat murah rezeki, detiknya. (Novel Alun Hidup: 70)

ii) Isu Sosial Dalam KaryaIsu sosial dalam novel Alun Hidup dilihat melalui situasi sesebuah masyarakat yang dipaparkan dalam mengambarkan sesuatu masyarakat. Hal ini juga diterangkan keadaan masyarakat yang mengalami perubahan sosial dan segala anjakan masyarakat termasuklah pengorbanan dan perjuangan untuk melahirkan masyarakat yang berjaya. Pada permulaan novel Alun Hidup yang berkisar tentang masyarakat yang hidup di laut iaitu Awang yang menumpang ibu mertuanya dalam menjalani kehidupan seharian. Awang tidak sanggup untuk hidup menumpang dan terperuk dalam situasi sebegitu kerana sudah berkeluarga dan ingin hidup berdikari. Awang dianggap sebagai individu dalam masyarakat yang ingin berubah dan berjuang untuk kejayaan dalam keluarganya. Awang mengambil risiko berpindah ke Sungai Berembang dan ingin memulakan hidup sebagai petani kerana dia melihat masyarakat di Sungai Berembang hidup selesa dengan hasil berkebun. Hal ini diceritakan dalam novel ini melalui petikan berikut:Awang menarik nafas panjang sambil menyedut udara malam yang nyaman mengingatkan kata-kata ibu mentua. Tetapi matanya tegak ke hadapan. Tangannya kejap memegang tali layar menjaga kemudi melayan angin. Hatinya sudah bulat untuk menetap di Sungai Berembang yang bertanah subur. Meninggalkan kampung halaman bukan kerana merajuk, tetapi ingin mencuba penghidupan baru. Ingin memiliki sebidang tanah untuk dijadikan tapak tempat berteduh. Hampir empat belas tahun tinggal bersama ibu mentua sudah dirasa pahit manisnya. (Novel Alun Hidup: 2)

Sungai Berembanglah kampung baruku anak-beranak, detiknya riang. Kemudian memandang ke arah Milah yang duduk di bawah kajang menjaga anak-anak yang nyeyak tidur. Awang tidak mahu menganggu Milah yang sedih kerana berpisah dengan ibu dan kaum keluarga. Milah membantah pada mulanya, tetapi dapat diyakinkan oleh Awang bahawa untuk masa depan anak-anak dia mesti cuba hidup sendiri, bukang bernaung di bawah ketiak ibu aoalagi memikirkan keluarga empat orang adik-beradiknya yang tinggal sama di rumah itu semakin membesar. (Novel Alun Hidup: 4)

Petikan tersebut jelas menunjukkan kepada masyarakat yang ingin berubah kehidupannya mejadi lebih baik. Awang berusaha dan memberanikan diri menanggung risiko berpindah ke Sungai Berembang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik walaupun dia tahu pelbagai cabaran yang akan menimpanya kelak.

Seterusnya, isu sosial masyarakat dibangkitkan dalam novel ini berkait rapat dengan kesusahan dan kepayahan dalam menjalani kehidupan untuk berubah kepada kehidupan yang lebih baik. Novel ini melukiskan begitu banyak usaha dan pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menjalani kehidupan dalam kemiskinan. Awang digambarkan bersusah payah mengerjakan kebun miliknya supaya mendapat hasil seperti Abang Malim dan jiran-jiran yang lain yang sudah hidup senang dengan hasil kebun masing-masing. Kegigihan Awang ditonjolkan dalam petikan tersebut:Kita tebang yang ini dulu, kemudian yang tengah. Akhir sekali, yang itu, Abang Malim mengarahkan. Awang mengikut saja. Kapak bermata tajam selebar tapak kaki sudah dicapai lalu dihayunkan dengan kalimah Bismillah. (Novel Alun Hidup: 74)

Kalau dah kejap, turun. Kita mula menebang, kata Abang Malimyang sudah bersedia dengan kapak di tangan. Setelah menakuk batang leban yang ketiga ini separih dalamnya, abang amlim punberhenti untuk merokok. Asap rokok daun itu sekurang-kurangnya menghalau nyamuk,agas yang menghurung mukanya. Dia mengelap muka yang terasa rimas dan panas dengan kain ikat kepala. Baju sudah basah dek peluh. Muka Awang sudah merah padam. Dia duduk di tunggul melepas lelah sementara menunggu arahan seterusnya. (Novel Alun Hidup: 77)

Petikan ini memaparkan kesungguhan dan kegigihan Awang untuk berkebun. Semangat yang kental untuk awal kerjanya membersihkan hutan bersama Abang Malim untuk dijadikan tapak kebun nanti. Selain itu, Awang juga mnunjukkakn kegigihan dan usaha untuk menyara keluarga dengan mencari pendapatan yang lain. Awang yang masih mengerjakan kebunnya tetap juga ingin ikut belayar ke Singapura untuk mendapatkan duit lebih dan mendapatkan keperluan untuk sekeluarga. Awang juga keluar belayar untuk mencari modal berniaga sementara menunggu kelapanya berbuah untuk mcncari duit lebih bagi menampung kehidupan sekeluarga. Masyarakat Sungai Berembang dikatakan tidak hidup dengan hasil berkebun sahaja tetapi juga hasil daripada belayar menjual kelapa kering di Singapura. Contohnya di dalam petikan berikut:Kata Endut dan Kemat, untung lagi ambil upah belayar ke Singapura membawa kelapa kering Tauke Guan di Sungai Labu. Kata Kemat sepuluh atau dua belas hari paling lewat sudah balik. Dapat upah boleh beli beras, mancis, tepung dan kain pelikat sehelai dua. (Novel Alun Hidup: 4)

Petikan berikut mengenai Awang yang turut mengikut Endut dan Kemat belayar ke Singapura untuk mendapat pendapatan yang lebih.Apa pun ramalan Milah, Awang tetap pergi mengikut Kemat Belayar ke Singapura malam itu. Milah sibuk membungkuskan bekal apa yang ada. (Novel Alun Hidup: 170)

Milah tidak dapat menahan Awang daripada berkawan rapat dengan Kemat dan Endut. Mereka adalah rakan belayar yang rapat. Kalau tidak berlayar mana nak cari duit untuk membeli beras. (Novel Alun Hidup: 175)

Di samping itu, novel Alun Hidup juga membincangkan mengenai falsafah dan budaya kemasyarakatan yang menggambarkan masyarakat di Sungai Berembang yang hidup saling tolong menolong dan bekerjasama antara satu sama lain. Kesusahan yang menimpa ahli masyarakat akan terus dibantu oleh ahlinya. Diceritakan dalm novel ini bahawa masyarakat Kampung Sungai Berembang bekerjasama membantu Awang mendirikan rumah baharu. Hal ini dipaparkan dalam petikan berikut:Selapas sembahyang jumaat minggu lepas sudah diberitahu bahawa hari khamis ini Awang akan berpindah ke hulu dan minta sekalian ahli jemaah datang bergotong-royong mendirikan rumah. (Novel Alun Hidup: 320)

Selain itu, dalam novel ini juga menunjukkan sesuatu peristiwa atau kesusahan yang menimpa ahli masyarakat akan dimaklumkan kepada ketua kampung yang merupakan ahli yang tertinggi dalam masyarakat Kampung Sungai Berembang. Awang yang ingin berpindah ke Sungai Berembang juga meminta izi daripada Haji Syawal yang merupakan ketua kampung di situ. Awang berjumpa dengan Haji Syawal sebagai tanda hormat kepada ketua yang merupakan ahli tertinggi dalam masyarakat. Kata Abang Malim:Adat hidup di kampung, mestilah tahu siapa ketua, siapa imamnya, cetus Abang Malim tenang, setenang air Sungai Berembang.Hidup sekampung ni macam aur dengan tebing. Erat. Rapat. Bersatu.berpakat, tambahnya. (Novel Alun Hidup: 23)

Permasalahan yang menimpa kepada penduduk masyarakat juga didahulukan kepada ketua dalam ahli masyarakat kerana tanggungjawab seorang ketua untuk berbakti kepada ahli masyarakat. Dikisahkan dalam novel mengenai Pak Ngah Kasah yang dibaham buaya turut diadu kepada Haji Syawal kerana beliau merupakan ketua kampung dan juga mahir dalam perubatan Islam. Hal ini digarap dalam petikan berikut:Awang sama bangun ke tangga. Di kala itu nampak Munip berlari-lari mendapatkan Haji Syawal yang sudah pun turun tangga.Ada apa , Munip?Pak Ngah Kasah dibaham buaya.Buaya?Di mana dia? Abang Malim Terkejut sama. (Novel Alun Hidup: 31)

Dengan kalimah Bismillah, Haji Syawal memulakankerja membuka balutan yang basah dengan darah itu. Pak Ngah Kasah mengerang kecil menahan sakit. Dengan berhati-hati Haji Syawal membuangkan balutan itu hinggalah ke balutan yang akhir (Novel Alun Hidup: 35)

Isu sosial kemasyarakatan dilihat juga berdasarkan kepada masyarakat melayu yang masih percaya kepada pantang larang yang diwarisi sejak turun temurun. Adat dan pantang larang merupakan kebiasaan dalam masyarakat melayu. Adat dan pantang larang ini merupakan teguran kepada tabiat atau perkara yang tidak baik untuk dilakukan. Oleh itu, masyarakat mencipta perkara ini disebabkan kepada kebiasaan berlakunya kejadian disebabkan perkara-perkara yang tidak baik. Milah merupakan ahli dalam masyarakat yang mempercayai lagi adat dan pantang larang dalam kehidupan. Pantang larang ini diikuti oleh anak-anaknya yang telah masak dengan pantang-larang yang diajar oleh Milah. Teguran Milah yang menyebut kepada pantang larang masayarakat melayu pada masa itu menjadi pegangan dalam hidupnya dan anak-anak. Tegur Milah kepada anaknya di dalam novel ini:Asmah mahu meragut buah berembang yang bergayut di tepi sungai, tetapi dilarang oleh Milah.Jangan! Jangan dulu. Kita baru di sini. Jangan buat peranagi tak tentu, tegah Milah yang masih kuat dengan pantang larang. (Novel Alun Hidup: 10)

Siapa cakap? tengking Milah yang tidak berkenan anak dara suntinya bercakap tentang orang lain.Kak cempaka kata,Kak Mah pun tahu.Zainab menggosok paha yang lebam. Asmah mengetap bibir geram. Aku pula yang dikaitnya! Asmah cemas.jangan masuk campur hal orang tua-tua, tak baik, tegah Milah, seperti memberi amaran. (Novel Alun Hidup: 139)

Milah yang menjaga pantang larang menegur setiap perkara yang dilarang apabila dibuat oleh anaknya. Perkataan tak baik merupakan suatu sumpahan atau kata keramat yang memberikan amaran yang tidak baik menjadi pegangan dalam diri anak-anaknya. Hal ini menyebabkan Milah juga terikut akan pantang larang yang diajarkan oleh Milah. Kata Asmah dalam menegur soal pantang larang:Jangan menyanyi di dapur, nanti dapat laki orang tua! Tegur Asmah apabila mendengar cempaka menyanyi.Cempaka serta- merta berhenti menyanyi lalu bertanya, siapa kata? Suaranya cemas dan Asmah dengan Zainab ketawa terkekeh-kekeh seperti amat geli hati.Mak kata, sahut Asmah. (Novel Alun Hidup: 53)

iii) Aspek Nilai Dalam KaryaTeori sosiologi menelti aspek nilai, iaitu teks yang dihasilkan dinilai dalam konteks sosialnya. Dalam novel ini, nilai ketabahan dalam masyarakat dibentuk melalui penceritaan kegigihan Awang sebagai watak utama berjuang untuk membela nasib keluarga di Sungai Berembang. Ketabahan diri Awang diceritakan di setiap genap penceritaan dari awalnya sehingga akhir novel ini. Kata Awang:Aku bekerja keras siang malam itu semata-mata hendak melihat anak-nak hidup senang. Bukan macam aku merempat sebatang kara. Kebun di hulu itu akan aku luaskan. Bukan setakat itu saja. Kalau boleh setiap orang anak kita ada tanah untuk tapak rumah masing-masing, kata Awang, penuh azam. (Novel Alun Hidup: 255)

Namun, ketabahan hati seorang ibu yang menerima ketiadaan anaknya. Milah redha kepada Allah di atas pinjaman sementara anaknya Husin yang meninggal dunia akibat demam panas. Ketabahan dilihat daripada rasa syukurnya kerana masih memilik suami yang bertanggungjawab dan anak-anaknya yang lain. Sedutan di dalam novel seperti berikut:Milah termanggu pilu. Hatinya ngilu bagai dihiris sembilu. Dan air mata tidak dapat dibendung lagi. Di kala dia menoleh ke belakang dilihat Asmah dan Zainab terpaku memerhatikannya dengan wajah sedih dan bingung. Dipeluknya anak-anak itu seerat seperti tidak mahu berpisah. Asmah masih ada, detiknya. Zainab masih sihat, Yusuf, Adam. Tidak bersyukurkah aku? soalnya seperti mencari kekuatan baru. Sekali lagi dia melempa pandang ke halaman. Awang dan anak-anak menjirus batas-batas terung yang baru ditanam. Milah mengesat air mata dan turun ke halaman. Pada saat itu dia ingin sekali bersama mereka.(Novel Alun Hidup: 339)

Nilai kasih sayang dalam masyarakat di tonjolkan melalui kasih sayang kepada anggota masyarakat, sayang akan tempat tinggal dan kasih sayang ibu kepada anak. Dipaparkan dalam cerita Zainab yang sudah sayang untuk meninggalkan tempat baru dan tanamannya. Kasihnya Milah pada Kak Joyah yang selalu menolongnya dan akhirnya terpaksa berpindah ke tempat lain juga kasih sayang ibu kepada anaknya.Seterusnya, nilai keagamaan yang ditonjolkan dalam masyarakat Sungai Berembang. Masyarakat Sungai Berembang dilihat sebagai anggota masyarakat yang beragama dan menerapkan nilai-nilai keislaman dalam kehidupan. Mereka berkumpul untuk mendengar ceramah agama dan setiap perkara yang ingin dilakukan pada hari-hari yang istimewa dalam Islam supaya pekerjaan mendapat keberkatan.Bila pula pindah?Cadangnya esok, sebelum matahari tegak, kata Awang.Esok Jumaat. Sangat baik berpindah pada pagi Jumaat yang mulia. Mudah-mudahan selamat kau anak beranak. (Novel Alun Hidup: 29)Beberapa orang lelaki sudah ada menunggu Pak Kiai Kudus tiba dari rumah Haji Syawal. Malam semalam dia membaca kitab di surau dekat rumah Haji Syawal. Petang ini diundang ke rumah Abang Malim pula. Begitulah orang alim dari seberang ini disambut oleh ahli kampung sehingga seminggu lamanya kemudian baru beredar ke kampung sebelah. (Novel Alun Hidup: 105)

Dilihat pula dari sudut perubahan kepada kehidupan beragama. Milah yang dulunya hidup di Kesang begitu leka dan melupakan suruhan Allah. Apabila berpindah ke Sungai Berembang yang dekelilingi oleh masyarakat yang kuat beragama dan orang alim, Milah berubah dan lebih bagus dalam menunaikan solat. Berikut seperti dalam petikan:Tertegun Milah mendegarnya sambil berfikir-fikir. Betul aku sudah bekerja kuat membuat kebun, tetapi belunlah semewah abang Malim, cukuplah makan anak-beranak lebih-lebih lagi setelah Awang berniaga. Tetapi bekal di akhirat itu rasanya sikit sangat, sembahyangku ambil sempat saja. Dulu waktu di Kesang lagi dahsyat, tidak pernah kenal tikar sembahyang. Sekarang setelah diajar, tahu juga mendirikan sembahyang, syukurlah, detiknya. (Novel Alun Hidup: 261)

iv) Aspek Kesan Dan Pengaruh Karya Terhadap MasyarakatTeori sosiologi sangat memberikan penekanan dalam aspek kesan dan pengaruh. Sesebuah karya yang dibaca seharusnya memberi kesan kepada pembaca. Aspek pengaruh berbeza dengan kesannya. Terdapat perbezaan antara kesan dan pengaruh. Kesan menekankan reaksi atau implikasi karya terhadap pembacanya. Pengaruh juga melihat aspek implikasi dan reaksi, tetapi tidak sahaja kepada pembaca malah kepada kesusasteraan itu sendiri.Kesan novel Alun Hidup kepada pembaca iaitu Alun Hidup menerapkan sikap ketabahan dan kegigihan sesebuah masyarakat berjuang dalam meneruskan hidup. Dari awal hingga akhirnya diceritakan kesungguhan dan keperitan hidup Awang sekeluarga membela nasib keluarga. Selain itu, Alun Hidup juga menerapkan dan menceritakan masyarakat yang hidup di dalam komuniti bersama. Kesusahan yang menimpa ahli masyarakat akan dibantu sesama mereka. Kesenangan yang dimiliki juga dikongsi bersama. Petikan menujukkan kerjasama yang ditunkkan dalam masyarakat Sungai Berembang yang bersama-sama ingin membunuh buaya yang menyerang Pak Ngah Kasah dan juga gotong royong mendirikan rumah Awang:Semua ahli Kampung Sungai Berembang dan kampung berdekatan yang berjemaah pada hari itu bersetuju hendak membunuh buaya yang mencakup jari Pak Ngah Kasah. (Novel Alun Hidup: 58)

Selapas sembahyang jumaat minggu lepas sudah diberitahu bahawa hari khamis ini Awang akan berpindah ke hulu dan minta sekalian ahli jemaah datang bergotong-royong mendirikan rumah. (Novel Alun Hidup: 320)

Seterusnya ialah kesan kepada masyarakat yang menunjukkan kepentingan pendidikan dalam ahli masyarakat. Masyarakat Sungai Berembang tidak mempunyai ahli masyarakat yang mempunyai latar belakang pendidikan kecuali pendidikan agama. Sungai Berembang tidak memilik sekolah untuk anak-anak warga Kampung Sungai Berembang. Kepentingan pendidikan diterap dalam kisah Awang yang ingin berpindah ke Sungai Labu kerana ingin menyekolahkan anak-anak lelakinya. Diceritakan dalam petikan berikut: Mereka duduk di tangga dengan papan batu yang dibawa sama dari Kesang. Umur sepuluh tahun baru masuk ke sekolah maka sempatlah belajar tiga tahun untuk mengenal huruf dan mengira. Yusuf yang berumur sepuluh tahun itu sempat belajar beberapa bulan saja dan tidak dapat bersekolah semula kerana Sungai Berembang tidak ada sekolah. (Novel Alun Hidup: 94)

Cepat kita pindah ke hulu lebihlah baik. di hulu sekat dengan jalan simen. Di hulu dekat dengan sekolah di Kampung Sungai Labu. Anak-anak yang tiga orang itu mesti sekolah, kata Awang, seperti mengingatkan Milah supaya tabah dan kerja keras untuk mengumpul wang membeli papan dan zink. (Novel Alun Hidup: 266)

Aku tidak mahu anak-anakku buta huruf seperti kita. Aku tidak mahu anak-anak Cuma setakat tahu mengaji dan mengira sampai sepuluh. (Novel Alun Hidup: 266)

Namun begitu, pendidikan pada waktu dan di Sungai Berembang tidak seperti mana pada masyarakat lain. Kesan yang mencacatkan apabila perempuan tidak perlu disekolahkan dan dipinggirkan daripada pendidikan pada ketika itu di Sungai Bembang. Di tempat lain telah ada pendidikan bagi anak-anak perempuan. Seperti dalam petikan:Di Singapura, Milah, anak-anak perempuan pun pergi sekolah, jelasnya. Milah diam mendengarnya, tetapi dalam hati merungut. Mentang-mentanglah dia selalu ke Singapura, kita yang di tepi hutan ini hendak dibandingkan dengan orang bandar besar! (Novel Alun Hidup: 266)

Anak-anak perempuan hanya diberi pendidikan agama dan belajar untuk menguruskan rumahtangga dan menunggu untuk dipinang oleh mana-mana lelaki. Seperti dalam petikan berikut:Ah, anak perempuan buat apa disekolahkan! Sampai umur akan dipinang orang dan tinggal di ceruk dapur juga, kata Kak Joyah. Benar juga itu, fikir Milah. Tidak lama lagi dia akan mempunyai anak dara seperti Cempaka dipinang orang. Anak itu perlu tahu mengaji, menjahit dan memasak. (Novel Alun Hidup: 95)

Pengaruh novel ini diteliti dari sudut nilai keagamaan. Penceritaan mengenai masyarakat yang hidup dalam keagamaan yang utuh iaitu masyarakat yang beragama Islam. Diterapkan dalam novel setiap kehidupan yang mengikut norma-norma agama. Diselitkan dengan pesanan-pesanan agama secara terangan.Oleh itu, novel Alun Hidup sempat menyelitkan mesej-mesej agama dimana Awang yang menasihati Milah supaya hidup tidak hanya mengejar dunia tetapi juga akhirat. Kata Awang:Kita hidup ni bukan setakat hendak senang di dunia. Siang malam cari duit saja, tapi kita hendak senang di akhirat nanti. Awang selalu bersyarah balik apa yang didengarnya di surau. (Novel Alun Hidup: 261)

Begitu juga pesan Kak Joyah kepada Milah semasa ketiadaan Awang di rumah. Milah dipaksa untuk balik di Kesang tanpa kebenaran. Kak Joyah menegas Milah berbuat demikian dengan nasihat-nasihat agama. Seperti di dalam petikan berikut:Berdosa meninggalkan rumah semasa suami tidak ada, kata Kak Joyah yang sedikit sebanyak tahu hukum agama kerana rajin mendengar tuk guru membaca kitab.125

Juga mengenai nasihat agama yang diterangkan oleh Pak Kiai Kudus di dalam novel sewaktu memberi ceramah agama:Ibadat itu bukanlah khas kepada sembahyang lima waktu sahaja. Bekerja mencari nafkah anak isteri dikira ibadat juga. Balasan daripada Allah ialah pahala. Tetapi yang penting mestilah ikhlas, tidak menipu orang. Allah menyuruh umatnya mencari rezeki di muka bumi ini, di laut atau di hutan asalkan jangan lupa mentaati hukum Allah, nasihat Pak Kiai Kudus dengan suara besar parau. (Novel Alun Hidup: 109) KESIMPULAN Sosiologi adalah suatu telaah yang objektif dan ilmiah tentang manusia dalam masyarakat dan tentang sosial dan proses sosial itu tumbuh dan berkembang. Pendekatan ini bertolak daripada pandangan bahawa sastera merupakan pencerminan kehidupan suatu masyarakat. Dalam analasis novel yang dilakukan oleh penulis dengan pendekatan sosiologi lebih menitik beratkan terhadap perkara-perkara sosial yang terdapat dalam novel ini. Dari sudut teori sosiologi, Khadijah Hashim mencipta Alun Hidup dengan memaparkan gaya hidup masyarakat dalam novel ini yang menggambarkan pelbagai permasalahan dan keadaan masyarakat yang menepati dengan keadaan masyarakat hidup pada masa itu. Penulis begitu teliti menceritakan keadaan semasa masyarakat berkaitan dengan kepercayaan, suasana, perasaan dan sebagainya menepati dengan alam melayu pada masa itu.Akhir kata, penelitian novel ini dari sudut teori sosiologi sedikit sebanyak memberi kesan kepada pembaca yang mengamati setiap yang berlaku di dalam novel ini. Semoga apa yang dibaca dapat diamati dan dijadikan sebagai bahan dan pengajaran dalam hidup untuk menjalani kehidupan yang sebenar bagi melalui cabaran hidup pada waktu ini dan dalam masa yang akan datang. Semoga novel Alun Hidup menjadi suatu pegangan masyarakat untuk menjalani penghidupan dan perubahan kepada masyarakat yang lebih berjaya.

RUJUKANAbdul Halim Ali, 2011. Pengantar Teori & Krtitikan satera Barat dan Malaysia: Persatuan Penulis Budiman Malaysia.Arbaie Sujud, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, 2006. Sastera Melyu Suatu Pengantar. KualaLumpur: Tinta Press Sdn Bhd.Khadijah Hashim, 2012. Alun Hidup. Selangor: K Publishing Sdn. BhdMana Sikana, 1983. Aliran dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Mana Sikana, 1986. kritikan Sastera : Pendekatan dan Kaedah, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Mana Sikana, 2013. Koleksi Teori Sastera. Selangor: Pustaka Karya.

RUJUKAN LAMAN SESAWANGhttp://www.mykarya.net/2012/11/biodata-khadijah-hashim.htmlhttp://teorisastera.blogspot.com/2010/05/pendekatqan-sosiologi.htmlhttp://www.slideshare.net/momeetry/dr-nik-sem-6http://mimbarkata.blogspot.com/2013/02/perkembangan-kritikan-sastera-malaysia_28.html

21


Top Related