Transcript
Page 1: Teknik baiki kereta jimat kos

Teknik baiki kereta jimat kos

CARA mudah baiki kenderaan.– Gambar oleh Rozainah Zakaria

KEMEK dan calar-calar mencacatkan pandangan pada sebuah kereta. Dalam banyak keadaan kita terpaksa hidup dengannya kerana kemek dan calar kecil sedemikian sering kali dirasakan tak berbaloi untuk dihantar ke bengkel ketuk dan cat lantaran kos pembaikannya agak tinggi dan memakan masa beberapa hari.

Tetapi sebenarnya tanpa kebanyakan kita sedar, ada kaedah pembaikan yang lebih mudah dan murah. Kaedah pembaikan kemek dan calar kecil sebegini kini sedia ditawarkan di pasaran menerusi perkhidmatan Dr Dent. Ia adalah perkhidmatan pembaikan kemek dan calar tanpa memerlukan kereta dicat semula.

Menerusi kaedah pembaikan PDR yang sudah diamalkan di Amerika Syarikat sejak berpuluh-puluh tahun lalu itu, kemek dan calar kecil pada kenderaan boleh dihilangkan dengan mudah tanpa pemilik kenderaan perlu menghantar kereta ke bengkel. Sebaliknya, Dr Dent akan datang membaiki masalah itu pada kos yang munasabah di mana-mana lokasi yang diminta pelanggan.

Pembaikan bagi kemek tanpa kerosakan cat sebesar hingga satu inci (2 1/2 cm) akan dicaj RM80 dan mengambil masa 30 minit hingga sejam untuk disiapkan. Sedangkan ketuk dan cat seluruh panel yang boleh membabitkan kos sehingga RM200 dan perlukan satu hingga dua hari untuk disiapkan.

“Menerusi perkhidmatan ini, pelanggan tidak perlu bimbang kemungkinan cat panel yang baru diketuk tidak sama dengan cat asal kereta mereka,” kata Will Yong, Pengarah Urusan Dr Dent.

Dr Dent juga membaiki calar kecil terutama pada bamper. Sentuhan kemasan yang dilaksanakan dapat disiapkan dalam tempoh antara empat hingga lima jam dan dikenakan bayaran RM240.

“Kami juga menawarkan perkhidmatan mengembalikan sinar lampu depan dan sistem penjimat bahan api,” katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Minggu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yong berkata, industri membaik pulih kenderaan masih baru di Malaysia dan sebahagian besar Asia, tetapi ia mempunyai potensi pertumbuhan besar sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi serantau.

“Dengan persekitaran yang semakin berdaya saing, menghantar kereta ke bengkel bukanlah antara perkara yang digemari, justeru perkhidmatan Dr Dent mengatasi masalah itu,” katanya.

Perkhidmatan itu setakat ini hanya ditawarkan di sekitar Lembah Klang, tetapi rancangan sudah disusun untuk dikembangkan ke kawasan lain.

©The New Straits Times Press (M) Berhad

Top Related