PENGHASILAN MANUAL GURU : MENEROKA IDEA MATEMATIK SECARA BEREKSPERIMEN
ABDUL HALIM BIN ABDULLAH
Laporan projek ini dikemukakan sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat penganugerahan
Ijazah Sarjana Muda Sains dan Komputer Serta Pendidikan (Matematik)
Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia
APRIL, 2006
iii
Bonda Jamiah Bt Yusof dan Ayahanda Abdullah Bin Mohd Lani
yang sentiasa mendoakan kejayaan dan kebahagiaan anakanda
Saudara-saudara kandung, Noorsyawaliah dan Mohd Safwan
pendorong yang tidak pernah kenal erti jemu
Sahabat-sahabat seperjuangan tersayang
terutamanya rakan-rakan SPT
Rodzi, Rubiah
kenangan bersama kalian akan sentiasa segar dalam jiwa dan ingatan
Terima kasih atas kebaikan dan kesetiaan serta doa yang berpanjangan
Hanya Allah S.W.T yang dapat membalasnya
iv
PENGHARGAAN
Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan
kurniaNya, selesai juga saya menyiapkan projek sarjana muda saya ini hingga ke
lembaran yang terakhir. Pertama sekali saya ingin merakamkan jutaan penghargaan yang
ikhlas kepada penyelia projek sarjana muda saya iaitu Profesor Madya Dr Hajah Zaleha
Binti Ismail atas bimbingan dan tunjuk ajar yang beliau berikan sepanjang saya
menyiapkan projek sarjana muda saya ini. Tidak lupa juga kepada pensyarah-pensyarah
dan staf sokongan Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia terutama sekali
penasihat akademik saya iaitu Profesor Madya Dr Haji Shaharom Bin Noordin dan Tuan
Haji Muslim Joned atas dorongan dan bantuan yang telah diberikan.
Buat bonda dan ayahanda tercinta, terima kasih kerana merestui perjuangan
anakanda ini. Insya Allah berkat doa kalian, anakanda berjaya menamatkan pengajian di
bumi UTM ini dengan jayanya.
Buat rakan-rakan seperjuangan terutamanya saudari Rodzi dan saudari Rubiah
yang bersama-sama mengharungi suka dan duka menyiapkan projek ini, terima kasih
atas segala nasihat dan motivasi yang telah diberikan.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada
semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung membantu saya sepanjang saya
menyiapkan projek sarjana muda saya ini. Sesungguhnya jasa kalian akan saya kenang
selagi hayat di kandung badan.
v
ABSTRAK
Pendekatan pengajaran guru matematik pada hari ini lebih menjurus kepada
peperiksaan semata-mata. Terdapat sebahagian guru lebih cenderung menghabiskan
sukatan pelajaran dengan berpandukan kepada buku teks sahaja. Proses pengajaran dan
pembelajaran matematik juga lebih kepada berpusatkan guru yang mana guru selalunya
mengemukakan fakta matematik. Sepatutnya seperti mana ahli matematik bergiat dalam
membuat penemuan, pelajar juga patut diberi peluang mengikuti proses matematik
melalui kegiatan bereksperimen. Jadi Manual Guru : Meneroka Idea Matematik Secara
Bereksperimen ini disediakan supaya guru mendapat pendedahan bagaimana
menerapkan aktiviti membuat eksperimen. Manual ini juga dapat dijadikan sebagai
sumber rujukan kepada guru dalam usaha untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran
mereka. Eksperimen matematik yang disediakan terbahagi kepada tahap menengah
rendah dan menengah atas. Perkara-perkara yang terdapat dalam setiap eksperimen
adalah pengenalan, kumpulan sasaran, objektif, bahan/radas, prosedur dan perbincangan.
Manual ini diberikan kepada beberapa orang bakal guru sekolah menengah untuk
mendapatkan komen dan pendapat mereka terhadap manual ini dengan menggunakan
borang soal selidik ringkas.
vi
ABSTRACT
The teaching of mathematics approach today is very examination-centered.
Majority of teachers prefer to cover syllabus as soon as possible by depending on text
books. The process of teaching and learning is mainly teacher-centered because they
frequently deliver mathematical facts. On the other hand, it would have been better if
students are given the opportunity to discover mathematical knowledge by doing
experiments the way mathematicians practice in their quest for new knowledge. So, this
small manual is designed so that teachers know how to integrate experimental activities
for the purpose of teaching and learning. This manual can also provide source of
references for teachers to use various teaching approaches. The mathematical
experiments are divided to lower form level and upper form level. Each experiment is
specified with an introduction, target group, objectives, apparatus, procedures and
discussion. Finally this manual is examined by a group of pre service secondary school
teachers who then give their feedback by answering a simple questionnaire.
vii
KANDUNGAN
BAB PERKARA MUKA SURAT
JUDUL i PENGAKUAN ii DEDIKASI iii PENGHARGAAN iv ABSTRAK v
ABSTRACT vi KANDUNGAN vii
SENARAI RAJAH x SENARAI LAMPIRAN xi
BAB 1 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan 1
1.2 Latar Belakang Masalah 3
1.3 Pernyataan Masalah 6
1.4 Objektif Projek 7
1.5 Rasional Projek 7
1.6 Skop dan Batasan Projek 9
1.7 Kerangka Teori 10
1.9 Penutup 11
2 SOROTAN LITERATUR
2.1 Pengenalan 12
2.2 Objektif dan Matlamat Pengajaran dan
Pembelajaran Matematik 12
2.3 Menghargai Matematik 16
2.4 Pembelajaran Aktif 17
2.5 Kaedah Penemuan 19
2.6 Matematik Bereksperimen 19
viii
2.6.1 Kebaikan Matematik Bereksperimen 21
Kepada Pelajar
2.6.2 Kebaikan Matematik Bereksperimen 22
Kepada Guru
2.7 Penutup 22
3 METODOLOGI KAJIAN
3.1 Pengenalan 23
3.2 Pelaksanaan Projek 24
3.2.1 Pemilihan Dan Pengubahsuaian 25
Eksperimen
3.2.2 Pembinaan Bahan dan Radas 26
Eksperimen
3.2.2.1 Matlamat Penyediaan Bahan 27
3.2.2.2 Objektif Penyediaan Bahan 27
3.2.3 Penyediaan Manual 27
3.2.3.1 Matlamat Pembinaan Manual 28
3.2.3.2 Objektif Pembinaan Manual 28
3.2.4 Membuat Penilaian ke Atas Manual 29
3.3 Penutup 29
4 MANUAL GURU : MENEROKA IDEA MATEMATIK
SECARA BEREKSPERIMEN
4.1 Pengenalan 31
4.2 Isi Kandungan Manual 31
4.3 Bahagian 1 Manual 33
4.4 Bahagian 2 Manual 34
4.5 Penghasilan Radas dan Bahan Eksperimen 38
Matematik
4.6 Penyediaan Manual di Dalam Bentuk Dokumen 38
HTML
ix
4.7 Analisis Data 40
4.8 Penutup 40
5 KESIMPULAN DAN CADANGAN
5.1 Pengenalan 42
5.2 Perbincangan dan Kesimpulan 42
5.3 Masalah-Masalah Yang Dihadapi 43
5.3.1 Masalah Mencari Eksperimen Yang 44
Bersesuaian Untuk Dimasukkan ke Dalam
Manual Ini
5.3.2 Menterjemah Eksperimen ke Bahasa Melayu 44
5.3.3 Masalah Membina Radas dan Bahan 44
Eksperimen
5.4 Kekuatan Manual 45
5.4.1 Susunan Maklumat Yang Jelas 45
5.4.2 Pengenalan dan Perbincangan Untuk Setiap 45
Eksperimen
5.4.3 Aktiviti Pembelajaran Yang Menarik 46
5.5 Kelemahan Manual 46
5.5.1 Skop Pelajaran Yang Pendek 46
5.6 Cadangan 47
5.7 Penutup 48
RUJUKAN 49
LAMPIRAN 52
x
SENARAI RAJAH
NO. RAJAH TAJUK HALAMAN
1.1 Kerangka teori projek 10
3.1 Rangka kerja pembangunan Manual Guru : 25
Meneroka Idea Matematik Secara Bereksperimen
4.1 Eksperimen mencari nilai Π 34
4.2 Eksperimen mencari formula keseimbangan 36
4.3 Contoh dokumen HTML yang telah dihasilkan 39
xi
SENARAI LAMPIRAN
NO. LAMPIRAN TAJUK HALAMAN
A Surat Akuan Fakulti Pendidikan 52
B Borang Soal Selidik 53
C Manual Guru : Meneroka Idea Matematik 55
Secara Bereksperimen
1
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Matematik merupakan salah satu matapelajaran teras yang diajar di semua
sekolah menengah. Matapelajaran ini bertujuan untuk melahirkan individu yang
berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam kehidupan seharian
secara berkesan dan bertanggungjawab semasa menyelesaikan masalah dan membuat
keputusan. Jadi tidak hairanlah mengapa sejak dari peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR) sehinggalah ke peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),
matematik menjadi matapelajaran wajib yang harus diambil oleh setiap pelajar. Malah
sehingga ke peringkat universiti, matapelajaran ini masih diajar kepada mahasiswa
universiti.
Walaubagaimanapun, golongan pendidik pada masa kini lebih mementingkan
pencapaian akademik pelajar berbanding memberi peluang dan ruang kepada pelajar
untuk menghargai dan menikmati keindahan matematik itu sendiri. Buktinya, senario
yang berlaku di sekolah menengah umpamanya, guru-guru yang mengajar kelas-kelas
peperiksaan iaitu tingkatan tiga, tingkatan lima dan tingakatan enam lebih cenderung
untuk mengajar matapelajaran matematik dengan pantas. Mereka sibuk mengejar masa
menamatkan segala isi kandungan yang terdapat di dalam buku teks. Bagi mereka,
tindakan mereka adalah wajar kerana apabila sukatan matapelajaran matematik dapat
dihabiskan, mereka seolah-olah telah melaksanakan satu beban berat yang dipikul di
2
bahu mereka. Mereka juga beranggapan bahawa tindakan mereka adalah wajar kerana
apabila sukatan pelajaran ditamatkan awal, para pelajar akan mempunyai lebih banyak
masa untuk membuat latihan seperti gerak gempur dan latih tubi dan ini seterusnya
menjadikan pelajar lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan penting. Impaknya,
para pelajar merasakan yang mereka belajar matematik semata-mata untuk memenuhi
kehendak sukatan pelajaran yang terdapat di dalam buku teks dan seterusnya untuk
mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Situasi ini sebenarnya bertentangan dengan matlamat sukatan pelajaran
matematik sekolah menengah yang menyatakan bahawa matlamat pendidikan matematik
menengah adalah untuk memperkembangkan pemikiran mantik, analitis, bersistem dan
kritis, kemahiran penyelesaian masalah serta kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan
matematik supaya seseorang individu itu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian
dengan berkesan dan penuh bertanggungjawab serta menghargai kepentingan dan
keindahan matematik.
Pengajaran dan pembelajaran matematik perlu memberi peluang kepada semua
murid untuk mengalami pembelajaran yang seronok, bermakna, berguna dan mencabar.
Bagi tujuan ini, penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran dan latihan
perlu berperingkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman serta minat
murid. (Ahmad Hozi H.A Rahman, 1999)
Jadi golongan pendidik masa kini perlu berfikir sejenak adakah tindakan mereka
yang terburu-buru menghabiskan sukatan pelajaran matematik serta mementingkan
peperiksaan semata-mata berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik serta
memberi peluang kepada para pelajar untuk menghargai kepentingan dan keindahan
matematik. Sekiranya mereka terus bersikap sebegini, matlamat sukatan matematik
sekolah menengah iaitu untuk menghargai kepentingan dan keindahan matematik tidak
akan tercapai sampai bila-bila.
3
Kepelbagaian penggunaan strategi pengajaran guru harus diperluaskan lagi
penggunaannya dalam matapelajaran ini. Selain menggunakan kapur dan papan hitam,
aktiviti matematik bereksperimen seharusnya dilaksanakan oleh para guru dalam usaha
memberi peluang kepada para pelajar menerokai sendiri dunia matematik yang penuh
dengan misteri dan keindahannya. Pelajar akan dapat meneroka idea-idea matematik
yang ungkin tidak dinyatakan secara terperinci di dalam buku teks dan buku rujukan.
Aktiviti matematik bereksperimen sebegini pastinya akan meninggalkan seribu satu
keseronokan belajar di samping tidak mengabaikan akan kepentingan peperiksaan.
1.2 Latar Belakang Masalah
Rancangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang
dilaksanakan secara menyeluruh mulai awal tahun 1989 telah memberi fokus terhadap
perkembangan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu. Keberkesanan
rancangan ini banyak bergantung kepada faktor guru. Perubahan yang diharapkan hanya
akan berlaku dengan sebenarnya apabila para guru yakin tentang keperluan untuk
berubah dan bersedia membina skim pendekatan pengajaran yang baru.
Daripada kajian Thompson (1982), konsepsi guru tentang matematik tidak
selaras dengan apa yang diamalkan dalam kelas. Kajian Thompson mendapati bahawa
guru percaya bahawa aktiviti bermatematik penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran untuk melatih kemahiran taakulan dalam minda pelajar, tetapi pendekatan
pengajaran mereka masih bercorak memberikan penerangan fakta matematik semata-
mata. Pemindahan ilmu dari guru kepada pelajar dengan selengkapnya memakan masa
dan guru terkejar-kejar untuk menghabiskan silibus yang ditetapkan tanpa memberi
peluang dan ruang kepada pelajar untuk meneroka idea matematik dan seterusnya
menghargai kepentingan matematik itu sendiri. Pelajar pula diberikan latihan secara
bertubi-tubi. Akibatnya, para pelajar sibuk membuat penyelesaian matematik berbentuk
algoritma dan seterusnya pelajar merasakan bahawa konsep yang dipelajari mereka tidak
4
dapat dihubungkaitkan dengan kemahiran yang dimiliknya. Lantas, keciciran berlaku di
kalangan pelajar yang lemah kerana perbezaan kebolehan tidak diambil kira dan
pembelajaran tidak dibina berdasarkan pengalaman dan kemampuan pelajar yang
berlainan.
Perubahan kurikulum bukanlah hanya tertumpu kepada penstrukturan semula
pemilihan dan susunan isi kandungan matematik, tetapi perlu memberikan tumpuan
kepada kebolehan pelajar untuk memahami isi kandungan sesuatu topik yang diajar.
Tumpuan terhadap pendekatan yang digunakan oleh guru untuk mengajar juga
merupakan faktor penting dalam perubahan. Di sini, persoalan timbul dalam konteks
negara Malaysia ialah adakah guru telah didedahkan secukupnya pendekatan pengajaran
yang bersesuaian untuk melahirkan pelajar yang memahami kehendak dan matlamat
KBSM baru?
Pandangan guru matematik telah jauh tersasar daripada perspektif pendidikan
matematik KBSR dan KBSM. Pendidikan KBSR dan KBSM telah menyarankan
pandangan konstruktif tentang pembelajaran matematik di mana matematik disifatkan
sebagai idea yang perlu dibina oleh individu melalui pengalaman. Matematik dipelajari
melalui aktiviti konstruktif dan bukan melalui aktiviti pasif di dalam kelas.
Permasalahan yang paling ketara yang masih wujud dalam proses pengajaran dan
pembelajaran matematik di negara kita ialah guru masih mengajar dengan terikut-ikut
oleh prosedur tertentu dalam matematik (algoritma) yang secara langsung membantut
pemikiran kreatif pelajar (Md. Nor,1998). Akibatnya, pembelajaran matematik kelihatan
terpisah daripada budaya hidup seharian sekaligus menghilangkan minat pelajar untuk
mempelajarinya. Hal ini jelas dipaparkan dalam kajian William (1969) yang
menunjukkan bahawa terdapat 82% daripada pelajar sekolah menengah atas di negara
England lebih menyukai matapelajaran sains berbanding matematik atas sebab sains
boleh dibuat dan diuji keputusannya tetapi matematik hanya dihafal fakta dan
formulanya menyebabkan pembelajaran amat membosankan.
5
Pengetahuan matematik tidak boleh dianggap sebagai satu himpunan fakta
terpisah yang perlu dihafal oleh pelajar, sebaliknya perlu membabitkan kebolehan
pelajar untuk menghasilkan keputusan dan penyelesaian yang baru. Kaedah pengajaran
tradisional di mana guru menyuapkan fakta matematik ke dalam pemikiran pelajar tanpa
mengambilkira keperluan kognitif dan afektif pelajar yang sedia ada ini sangat
ketinggalan dalam pengajaran matematik abad ke-21. Cara yang paling berkesan ialah
sebagaimana yang dicadangkan oleh Whitney (1985) iaitu guru harus membekalkan
pengalaman belajar matematik yang sesuai kepada pelajar sendiri untuk mentafsir
pengalaman pembelajaran. Proses pengajaran dan pembelajaran matematik pada asasnya
menekankan keseimbangan antara pemahaman konsep dan penguasaan pelbagai bidang
yang berkaitan dengan matematik (integrated curriculum). Bagi mencapai matlamat ini,
aktiviti pembelajaran hendaklah bersifat menyeronokkan dan mencabar minda pelajar
supaya lebih kreatif, sesuai dengan kebolehan dan minat mereka. Salah satu daripada
aktiviti pembelajaran yang dimaksudkan ialah aktiviti matematik bereksperimen.
Sistem pendidikan matematik memerlukan perancangan yang rapi, sama ada dari
segi persediaan pelajar mahupun persediaan guru. Namun demikian, keberkesanan
pendidikan matematik adalah bermula dengan kaedah yang digunakan semasa
berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran di mana guru sebagai pelaksana.
Adalah tidak dinafikan akan kepentingan peperiksaan. Peperiksaan penting untuk setiap
pelajar demi masa depan mereka. Walaupun begitu, kaedah pengajaran yang digunakan
di dalam bilik darjah tidak seharusnya berpusatkan kepada guru semata-mata. Senario
yang sama berlaku setiap tahun tidak kiralah di sekolah harian biasa, sekolah berasrama
penuh mahupun di Maktab Rendah Sains Mara. Guru mengajar di hadapan kelas dan
pelajar mendengar sambil mencatat. Di akhir kelas, guru memberi latihan kepada pelajar
untuk disiapkan di rumah. Hal ini berterusan sehinggalah tiba masa peperiksaan yang
sebenar. Selepas musim peperiksaan tamat, pelajaran yang telah disampaikan mungkin
mula dilupakan oleh pelajar kerana mereka beranggapan bahawa mereka belajar
matematik hanya kerana untuk menghadapi peperiksaan.
6
Jadi untuk mengelakkan masalah ini daripada terus berlaku, aktiviti eksperimen
matematik boleh dijadikan satu platform kepada pelajar bahawa selain belajar matematik
untuk menghadapi peperiksaan, mereka perlu tahu untuk menerokai keindahan
matematik serta menghargai matematik. Eksperimen matematik adalah satu alat, aktiviti
atau masalah terancang yang membina, menyeronokkan dan memerlukan pemikiran
yang analitis, bersistem dan kritis untuk menyelesaikannya. Kewujudan eksperimen
matematik dalam pengajaran akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran itu
lebih bermakna, berkesan, menyeronokkan serta dapat mempertingkatkan pemikiran
kritis dan kreatif yang sedia tersemai di dalam pemikiran pelajar (Mat Rofa Ismail,
1995)
Jadi Manual Guru : Meneroka Idea Matematik Secara Bereksperimen ini
dibangunkan untuk membantu para guru untuk memastikan bahawa para pelajar belajar
matematik bukan hanya kerana mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan, bahkan
mereka dapat menghargai akan kepentingan dan keindahan matematik. Projek ini juga
dapat dijadikan platform kepada guru dan pelajar dalam usaha memenuhi salah satu
objektif kurikulum matematik sekolah menengah iaitu membolehkan pelajar menghargai
kepentingan dan keindahan matematik.
1.3 Pernyataan Masalah
Matematik ialah satu bidang ilmu yang melatih minda supaya befikir secara
mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Matematik juga merupakan jentera atau penggerak kepada pembangunan dan
perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Jadi kaedah pengajaran yang
digunakan dalam menyampaikan ilmu matematik ini perlulah selaras dengan
kepentingan matematik itu sendiri. Kaedah pengajaran yang digunapakai oleh rata-rata
golongan pendidik masa kini hanyalah bertujuan untuk memastikan pelajar mendapat
keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan bukannya untuk mencapai kesan
7
jangka panjang. Disebabkan oleh itu, guru kesuntukan masa untuk merekabentuk
pengalaman yang lebih motivatif. Kajian menunjukkan bahawa pembelajaran aktif
seperti eksperimen matematik sangat berkesan untuk pembelajaran matematik.
Jadi dengan adanya Manual Guru : Meneroka Idea Matematik Secara
Bereksperimen ini, diharapkan dapat membuka pihak-pihak tertentu terutamanya tenaga
pengajar akan kepentingan matematik di sekolah menengah bukan sahaja untuk
peperiksaan semata-mata, bahkan projek sebegini dapat membantu pelajar menimba
pengalaman belajar matematik dengan cara menerokai segala keindahan yang terdapat
dalam matematik. Usaha ini seterusnya akan dapat memberangsangkan minat murid
terhadap sesuatu tajuk dalam matapelajaran ini.
1.4 Objektif Projek
Objektif projek ini adalah seperti berikut :
1. Menghasilkan manual sebagai panduan untuk melaksanakan eksperimen
matematik di dalam pengajaran
2. Menghasilkan manual dalam bentuk dokumen HTML untuk disebarkan
menerusi internet
3. Menghasilkan bahan dan radas yang akan digunakan semasa menjalankan
eksperimen matematik
1.5 Rasional Projek
Terdapat beberapa rasional mengapa Manual Guru : Meneroka Idea Matematik
Secara Bereksperimen ini perlu dilaksanakan. Pertama ialah untuk mengubah paradigma
8
sistem pendidikan kini. Sistem pendidikan kini lebih menjurus kepada examination-
oriented. Jadi melalui modul ini, ianya dapat dijadikan landasan untuk mengubah
senario sebegini. Peperiksaan seharusnya dijadikan satu bentuk penilaian mengenai ilmu
pengetahuan yang telah dicurahkan oleh guru kepada para pelajar. Kaedah pengajaran
yang digunakan untuk mencurahkan ilmu perlulah pelbagai. Guru tidak seharusnya
hanya menggunakan hanya satu pendekatan untuk mengajar. Mereka perlu kreatif dalam
memastikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan
menyeronokkan. Mereka juga tidak harus berfikiran bahawa mereka mengajar
matematik hanya untuk membantu pelajar-pelajar mendapat keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan. Jadi aktiviti matematik bereksperimen ini dapat dijadikan salah satu
alternatif untuk menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. Di samping bertujuan
menyampaikan sesuatu konsep matematik kepada pelajar, ianya bertujuan memberi
peluang dan ruang kepada pelajar untuk menerokai idea matematik.
Rasional kedua mengapa projek sebegini perlu dilaksanakan ialah untuk
menjadikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan. Unsur-unsur
ketenangan dan gembira perlu disemai dalam pembelajaran. Pelajar seharusnya tidak
diberikan tekanan di dalam bilik darjah. Selain belajar untuk menghadapi peperiksaan,
pelajar perlu diberi peluang untuk meneroka keindahan matematik. Jadi melalui Manual
Guru : Meneroka Idea Matematik Secara Bereksperimen ini, guru dapat menjalankan
aktiviti-aktiviti matematik bereksperimen yang bukan hanya dijalankan sewaktu kelas
matematik bahkan boleh dijalankan sewaktu selepas musim peperiksaan ataupun dapat
dijadikan aktiviti kelab matematik sekolah. Di samping pantauan oleh guru, pelajar akan
bekerjasama dengan rakan-rakan mereka menjalankan aktiviti matematik bereskperimen
untuk mencapai objektif eksperimen tersebut. Melalui aktiviti sebegini, pelajar tidak
akan tertekan mengadap buku sepanjang masa sebaliknya aktiviti matematik
bereksperimen ini akan menimbulkan keseronokan belajar matematik di dalam diri
pelajar.
Manual ini juga perlu dibangunkan untuk memberi idea-idea baru kepada para
pendidik supaya mereka lebih kreatif dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada
9
pelajar. Dengan adanya manual sebegini, diharapkan para guru tidak lagi hanya bersikap
seperti ‘katak di bawah tempurung’. Mereka perlu lebih ke hadapan sejajar dengan era
globalisasi yang dikecapi kini. Mereka seharusnya tidak hanya terikat dengan kaedah
tradisional sebaliknya perlu kreatif dalam menyampaikan pengajaran matematik kepada
para pelajar. Menjadikan pengajaran dan pembelajaran matematik itu menarik dan
berkesan adalah satu seni. Seseorang guru perlu mempunyai sifat kreatif yang boleh
dibina melalui pengalaman yang luas. Pengajaran dan pembelajaran matematik menjadi
berkesan jika berpusatkan pelajar. Unsur-unsur kreatif harus diterapkan kepada prinsip
pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan guru, persekitaran dan kaedah
pengajaran. Guru perlu berilmu, berinisiatif dan memahami apa dan bagaimana harus dia
mengajar dan mengapa dan bagaimana harus pelajar mempelajari matematik.
Persekitaran yang ceria dan kondusif akan merangsang pelajar. Aktiviti amali
berdasarkan pengalaman sebenar pelajar dengan penggunaan bahan bantu belajar dapat
menarik minat pelajar melibatkan diri secara aktif. Di samping itu guru perlu
mempelbagaikan kaedah seperti perbincangan, sumbangsaran, bercerita, simulasi,
permainan, menyiasat dan kerja projek. Manual ini boleh dijadikan panduan kepada para
guru untuk menjalankan aktiviti matematik bereksperimen yang merupakan satu idea
baru pendekatan pengajaran yang boleh digunakan oleh para guru pada masa kini.
1.6 Skop dan Batasan Projek
Skop projek ini ialah menghasilkan sebuah manual guru bagi pelajar menengah
rendah dan menengah atas. Isi kandungan yang terdapat di dalam manual ini ialah
beberapa buah eksperimen yang dibahagikan kepada dua tahap iaitu tahap menengah
atas dan menengah rendah. Setiap eksperimen mempunyai pengenalan, objektif,
kumpulan sasaran, bahan/ radas, prosedur dan perbincangan. Beberapa langkah kerja
untuk membina radas dan bahan tertentu turut disertakan sebagai rujukan kepada guru
dan pelajar untuk membina radas dan bahan tersebut untuk digunakan semasa
menjalankan eksperimen nanti.