Transcript
Page 1: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

115

KEPERLUAN MODUL KAUNSELING

STANDARD KEPADA MUALLAF DI

MALAYSIA

Nor Adibah Ibrahim

Razaleigh Muhamat @ Kawangit

ABSTRAK

Perkhidmatan kaunseling dan keperluan modul

kaunseling standard kepada muallaf sangat penting dan

perkhidmatan ini telah disediakan oleh pelbagai agensi

untuk memelihara kebajikan muallaf untuk meneruskan

kehidupan dalam suasana agama yang baru.

Permasalahan yang timbul adalah apabila penelitian

terhadap rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat

(JKM) menunjukkan bahawa 60% daripada golongan

muallaf yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di

JKM ini sering berulang iaitu muallaf yang sama dalam

tempoh tertentu. Hal ini menunjukkan terdapat

permasalahan dalam menguruskan sesi kaunseling

terhadap klien muallaf. Metodologi yang digunakan

dalam kajian ini adalah tertumpu kepada dua bentuk

kajian iaitu kajian perpustakaan dan kajian lapangan.

Kajian lapangan melibatkan 600 orang responden

muallaf yang berada di seluruh kawasan di Malaysia.

Hasil kajian mendapati kaunselor tidak mempunyai

persiapan yang cukup kerana tidak ada latihan atau

panduan khas untuk mengendalikan kaunseling khusus

untuk klien muallaf. Manakala dapatan kajian bekaitan

dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan

yang positif di mana hasil daripada edaran soal selidik

terhadap responden mencatat nilai skor yang tinggi iaitu

95.3% bersetuju dengan cadangan modul yang

diketengahkan.

Kata kunci: muallaf, cabaran, kaunseling, kaunselor,

modul kaunseling standard

Page 2: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

NOR ADIBAH IBRAHIM RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

116

ABSTRACT

Counselling services to convert is vital and this service is

provided by various agencies to ensure welfare of reverts

to practice the new religion. The problem is apparent

when a study of the records of the department shows that

60% of those who get the services in Social Welfare

Department (SWD) are often repeated converts that

come within a certain period of time. This shows that

there are some problems in managing the counselling

session to the client. The methodology used in this study

is focused on two forms, namely literature review and

field studies. Literature study by analytical assessment of

document which researcher examined in previous studies

related to the subject and then further analysed. A Field

study involving 600 respondents of converts was done

within Malaysia. The study found that counsellors did

not have enough preparation as no training or special

guidelines for handling special counselling cases of

convert. While the findings related to the proposed

construction of the module gives a positive result in the

from of distribution of questionnaires to 600 respondents

noted a high score of 95.3% which agreed with the

proposal to put forward a module pertaining to the target

groups needs.

Keywords: muallaf, challenges, counseling, counselors,

module standard counseling

PENDAHULUAN

Kaunseling amat penting dalam kehidupan manusia kerana

perkhidmatan ini merupakan proses tolong-menolong di antara seorang

dengan seorang yang lain. Agama Islam mewajibkan setiap orang yang

berkuasa membantu saudaranya yang tidak berkuasa dan orang yang

cerdik membantu orang yang lemah. Setiap manusia tidak terlepas

daripada pelbagai masalah hidup. Ini disebabkan fitrah manusia sudah

dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai makhluk yang lemah. Seseorang

yang didapati lemah imannya hendaklah dibantu ke arah jalan

Page 3: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

117

kebenaran atau jalan yang diredhai oleh Allah. Oleh itu, pentingnya

perkhidmatan kaunseling dalam kehidupan bermasyarakat.

Muallaf atau saudara Muslim adalah golongan minoriti yang

terdapat di Malaysia. Dalam 10 prinsip Islam, hak-hak kepada kumpulan

minoriti seperti golongan muallaf perlu diberi perhatian. Hak-hak

mereka dijamin oleh undang-undang negara yang mana ia meliputi

beberapa aspek iaitu nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Muallaf

atau saudara Muslim merupakan istilah yang biasa digunakan dalam

kehidupan masyarakat di Malaysia. Pelbagai definisi muallaf

dikemukakan dalam kamus, pendapat ulama’ dan sebagainya. Menurut

bahasa, perkataan ‘alafa’ membawa maksud cenderung atau jinak.

Menurut pandangan syara’ bermaksud orang kafir yang ada harapan

masuk Islam dan orang baru memeluk agama Islam yang imannya masih

lemah (Kamus al-Muhit: 793)

Menurut T.M Hasbi Ash Shiddieqy (1976), golongan muallaf

juga tidak ketinggalan disebut di dalam al-Quran sebagaimana firman

Allah s.w.t dalam surah at-Taubah ayat 60. Dalam ayat di atas, golongan

muallaf disebut sebagai ‘muallafati qulubuhum’ iaitu orang-orang yang

telah dilembutkan hatinya. Di antara penjelasan ringkas ayat tersebut

menyebut bahawa golongan muallaf adalah salah satu daripada golongan

yang berhak untuk menerima zakat selain fakir, miskin, amil dan ibnu

sabil fi sabilillah. Rasulullah s.a.w. pernah mengarahkan baitul mal

untuk mengeluarkan bantuan bagi mereka yang cenderung kepada Islam

sebagai satu galakan kepada mereka seperti al-Aqra bin Habis, Jubair bin

Mutim, al-Jad bin Qais, al-Hadith bin Hisham dan lain-lain lagi.

Berkenaan perkhidmatan kaunseling pula, ia adalah amat

penting dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan proses tolong-

menolong di antara seorang dengan seorang yang lain. Islam

mewajibkan setiap orang yang berkuasa membantu saudaranya yang

tidak berkuasa dan orang yang cerdik membantu orang yang lemah.

Setiap manusia tidak terlepas daripada pelbagai masalah hidup. Ini

disebabkan fitrah manusia sudah dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai

makhluk yang lemah. Seseorang yang didapati lemah imannya

hendaklah dibantu ke arah jalan kebenaran atau jalan yang diredhai oleh

Allah. Oleh itu, pentingnya perkhidmatan kaunseling dalam kehidupan

bermasyarakat. Kini, perkataan kaunseling semakin dikenali dalam

masyarakat kita hari ini. Hal ini membawa maksud perkhidmatan

kaunseling ini semakin penting dan diperlukan oleh orang ramai.

Page 4: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

NOR ADIBAH IBRAHIM RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

118

Namun, ada juga sesetengah masyarakat di luar sana memandang

serong dan memberi tanggapan yang negatif terhadap perkhidmatan

kaunseling ini. Mereka beranggapan bahawa perkhidmatan kaunseling

ini untuk orang yang mempunyai masalah dan tekanan perasaan.

Perkhidmatan kaunseling sebenarnya bukan sesi bagi kaunselor

menyelesaikan masalah klien bahkan ia adalah satu proses khidmat

nasihat yang mana klien sendiri yang menyelesaikan masalah dan

membuat keputusan untuk dirinya sendiri. Tugas kaunselor adalah

membantu klien berfikir untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Bimbingan kaunseling perlu dijalankan dengan menggunakan modul

standard khas untuk golongan muallaf supaya proses kaunseling dapat

dijalankan dengan jayanya dan menjimatkan masa proses kaunseling itu

sendiri. Hal ini kerana, golongan muallaf mempunyai cara atau

pendekatan kaunseling yang tersendiri berbanding dengan orang Islam

sedia ada. Pada hari ini, kebanyakan sesi kaunseling mengambil masa

yang agak lama dan kurang berkesan ekoran daripada ketiadaan modul

standard kaunseling.

PERKHIDMATAN KAUNSELING KEPADA MUALLAF

Kaunseling merupakan satu khidmat sokongan dan perkhidmatan untuk

menolong seseorang untuk membina jati diri mereka. Menurut Llyod

dan Aminah (1994) perkhidmatan kaunseling mula dikesan di Malaysia

pada tahun 1960-an. Kaunseling yang diamalkan di Malaysia dalam

sektor awam, swasta dan NGO adalah berasaskan kepada model

Amerika. Namun begitu, menurut Hassan (1990) perkembangannya

tidaklah sepesat seperti yang berlaku di negara Eropah (Zainab Ismail

2001:89). Akan tetapi kini, dengan perubahan negara yang begitu

pesat ke arah negara yang membangun menuntut agar perkhidmatan

bimbingan dan kaunseling ini mempunyai kelayakan dan juga

pengkhususan yang lebih tinggi (Mizan Adiliah 2006:1). Perkhidmatan

kaunseling bukan sahaja terhad kepada pelajar di sekolah malah juga

perlu kepada masyarakat awam di negara ini. Nasib sesetiap manusia itu

berbeza terutamanya golongan muallaf yang baru memeluk agama

Islam amat memerlukan bimbingan untuk menyesuaikan diri dalam

mengamalkan agama Islam.

Dalam sejarah Islam golongan muallaf merupakan orang yang

paling penting dalam mengembangkan agama Islam. Antaranya adalah

Page 5: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

119

golongan sahabat yang memeluk Islam dan mengembangkan Islam

dengan sepenuh jiwa dan raga mereka. Adalah menjadi tanggungjawab

orang Islam untuk memberi sokongan dan kekuatan kepada golongan

muallaf yang kini dianggap sebagai saudara dalam agama, terutamanya

dalam bentuk bantuan kebajikan, moral, kewangan dan pembelajaran.

Ianya hendaklah bermula dari seawal proses pengislamannya

sehinggalah kepada pengurusan kematiannya dan ini semua merupakan

satu tuntutan dalam Islam.

Statistik saudara baru yang memeluk Islam meningkat dari

sehari ke sehari dan Malaysia tidak ketinggalan hebatnya dengan

banyak badan kerajaan serta bukan kerajaan membantu kerajaan ke arah

penghayatan agama Islam. Pertukaran agama seorang bukan Islam

kepada Islam adalah satu penghijrahan memberi kesan besar kepada

orang yang memeluk Islam itu sendiri dan keluarganya. Keluarga

bersikap terbuka akan reda dan menghormati keputusan orang yang

memeluk Islam itu tetapi ada juga keluarga tidak dapat menerima

hakikat bahawa saudara mereka mendapat hidayah Allah SWT.

Golongan ini akan melakukan apa saja bagi mengembalikan saudara

mereka kepada agama asal. Memeluk Islam memerlukan pengkajian

teliti, keimanan yang jitu dan boleh dimantapkan sehingga mencapai

tahap tidak dapat digugat (http://www.esyariah.gov.my/. 5 Mac 2006).

Oleh sebab demikian, pendekatan kaunseling Islam merupakan

salah satu pendekatan yang boleh diberi dengan harapan agar

permasalahan yang dialami oleh muallaf dapat menemui jalan

penyelesaian yang memberi kesan yang besar dalam kehidupan mereka.

Pelbagai masalah yang dialami oleh mereka yang memeluk agama

Islam sama ada secara individu atau psikologi sebelum dan selepas

berlakunya penghijrahan besar dalam hidupnya. Perpindahan yang

melibatkan spiritual yang melibatkan keyakinan dan kepercayaan

apabila berlaku pertukaran agama tunjang (core beliefs) individu yang

kemudiannya dimanifestasikan dalam bentuk tingkah laku, iaitu

pengakuan terhadap kebenaran agama baru (Zulkiple Abd. Ghani

2006:72).

Melalui perkhidmatan kaunseling, biasanya muallaf (klien) akan

lebih mudah untuk berkongsi dan menceritakan masalah yang mereka

hadapi. Sebagai kaunselor, perlulah menarik perhatian klien agar

mereka tidak berasa malu dan yakin untuk berinteraksi. Biasanya pada

peringkat awal, kaunselor hanya akan memujuk klien untuk

Page 6: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

NOR ADIBAH IBRAHIM RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

120

menceritakan masalah dan puncanya sahaja. Selepas itu, barulah

kanselor memberi cadangan dan menasihati klien cara untuk mengatasi

masalah tersebut mengikut keadaan dan puncanya (Anuar Puteh

2006:125).

PERMASALAHAN KAJIAN

Golongan muallaf adalah golongan yang dilembutkan hatinya untuk

mendekati agama Islam. Kini, pelbagai cabaran kehidupan yang

semakin kompleks membuatkan golongan muallaf sukar untuk

menempuhinya sehingga sudah putus asa untuk meneruskan hidup.

Oleh sebab demikian, perkhidmatan kaunseling penting dalam

mengendalikan masalah yang berkaitan dengan muallaf dan juga dalam

sesi kaunseling, kaunselor dapat membantu bukan sahaja dari segi

pengurusan dalam kehidupan malah dapat menyebarkan dakwah secara

tidak langsung. Hal ini jelas terbukti apabila meneliti rekod dari Jabatan

Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan bahawa 60% daripada

golongan muallaf yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di JKM

ini sering berulang iaitu muallaf yang sama dalam tempoh tertentu.

Tambahan pula, pihak kebajikan masyarakat tidak mempunyai modul

kaunseling standard bagi sesi kaunseling yang dijalankan. Oleh yang

demikian, ia menimbulkan satu permasalahan kajian tentang

keberkesanan perkhidmatan kaunseling yang dijalankan terhadap

golongan muallaf dan adakah modul kaunseling yang digunakan tidak

mencapai tahap standard muallaf menjadikan golongan ini tidak

berminat terhadap sesi kaunseling yang ditawarkan oleh jabatan ini.

OBJEKTIF KAJIAN

Dalam menjalankan sesuatu kajian, objektif kajian sangat penting bagi

menentukan hasil yang diperolehi diakhir kajian kelak. Oleh itu, kajian

ini telah menggariskan beberapa objektif kajian bagi menyelesaikan

beberapa masalah yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling

untuk golongan muallaf di Malaysia. Antara objektif-objektif kajian ini

adalah:

1) Untuk mengkaji keperluan modul kaunseling kepada muallaf di

Malaysia.

2) Mencadangkan modul yang sesuai bagi klien muallaf yang

mengikuti sesi kaunseling.

Page 7: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

121

PERSOALAN KAJIAN

Golongan muallaf di Malaysia seringkali mendapatkan khidmat

kaunseling berkaitan dengan permasalahan hidup seperti masalah

pertukaran agama, adaptasi dengan agama dan budaya baru, masalah

sumber kewangan, masalah kekeluargaan serta masalah berkaitan

dengan penerimaan masyarakat sekeliling dari Jabatan Kebajikan

Masyarakat, satu-satunya jabatan yang menyediakan perkhidmatan

kaunseling umum diperingkat kebangsaan. Golongan ini menghadiri

sesi kaunseling yang diadakan oleh JKM secara random. Oleh itu,

kajian ini perlu dilakukan bagi menjawab beberapa persoalan yang

menjadi isu dan permasalahan berkaitan dengan sukatan modul

kaunseling khusus kepada golongan muallaf di Malaysia kerana modul

yang sedia ada tidak mencapai standard untuk digunapakai terhadap

golongan ini. Persoalan-persoalan tersebut akan terjawab setelah

penulis menganalisis keseluruhan hasil dapatan kajian yang diperolehi

daripada dokumen-dokumen dan bahan penerbitan yang lepas. Kajian

ini dijalankan bagi menjawab beberapa persoalan yang timbul seperti

berikut:

1) Adakah perlu modul kaunseling standard kepada muallaf di

Malaysia?

2) Apakah cadangan modul kaunseling kepada muallaf?

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian ini adalah penyelidikan kualitatif iaitu kajian yang

bersandarkan kepada kualiti sesuatu konteks yang menjadi fokus utama

penyelidikan. Kaedah keperpustakaan digunakan dalam membentuk

teori penyelidikan terutama berkaitan perkhidmatan kaunseling, latar

belakang muallaf menurut Islam dan dari konteks di Malaysia. Menurut

Ahmad Munawar dan Shahizan (2014) menyatakan bahawa landasan

teori ini akan menjadi asas kepada hasil kajian yang menggunakan

kaedah kerja lapangan selepasnya. Penyelidik membuat analisis

kandungan terhadap kajian dan laporan yang terdahulu dan

menganalisis dengan teliti hasil kajian tersebut. Analisis kandungan ini

merujuk kepada penjelasan secara objektif dan sistematik terhadap

maklumat-maklumat yang wujud secara tersurat dan menjawab

persoalan yang pertama iaitu adakah perlu modul kaunseling standard

kepada muallaf di Malaysia.

Page 8: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

NOR ADIBAH IBRAHIM RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

122

Kajian lapangan pula melibatkan 600 orang responden muallaf

yang pernah mengikuti program kaunseling di mana-mana jabatan atau

pejabat-pejabat agama daerah. Pengkaji memilih enam kawasan bagi

mewakili sebuah negara iaitu kawasan pantai timur, pantai barat, utara,

selatan serta Sabah dan Sarawak. Daripada setiap kawasan yang dipilih,

seramai 100 orang sample dipilih menggunakan teknik rawak. Dalam

konteks ini, kita dapat lihat betapa mudah kaedah persampelan ini

kerana adalah sukar untuk mendapatkan senarai semua muallaf yang

mengikuti sesi kaunseling kerana mengikut Akta Kerahsiaan

Kaunseling. Sampel-sampel dipilih berdasarkan ciri-ciri sampel yang

dikehendaki oleh pengkaji sesuai dengan objektif dan matlamat kajian

dalam kata lain, latar belakang sampel telah diketahui pengkaji dan

dilakukan berdasarkan penilaian dan tujuan kajian penyelidikan

(Ahmad Sunawari Long 2014). Bagi mendapatkan sampel, pengkaji

telah berkunjung ke pusat-pusat pengajian muallaf di mana pusat ini

adalah tempat golongan muallaf berkumpul untuk mengikuti kelas

pengajian agama. Hal ini dapat melancarkan perjalanan penyelidikan

pengkaji kerana mereka berada di satu tempat yang sama diwaktu yang

telah ditetapkan.

KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD KEPADA

MUALLAF DI MALAYSIA

Kaunselor hari ini berdepan dengan pelbagai jenis latar belakang klien,

sehubungan dengan itu mereka perlu melengkapkan dan memantapkan

diri bukan sahaja ilmu kaunseling secara teori sahaja malah perlu

memiliki pelbagai kemahiran dan ilmu lain untuk berhadapan dengan

klien yang pelbagai. Sehubungan dengan itu, perkhidmatan kaunseling

haruslah selaras dengan keperluan semasa klien. Penambahbaikan serta

pengubahsuaian perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan klien

yang pelbagai dan memerlukan pendekatan yang khusus bagi

mengatasinya.

Kaunselor tidak mempunyai persiapan yang cukup untuk

mengendalikan klien muallaf. Menurut kajian yang telah dijalankan

oleh Samsiah Jayos dan Kamarul Azmi Jasmi (2013) mendapati

kaunselor tidak mempunyai persiapan yang cukup kerana tidak ada

latihan atau panduan khas untuk mengendalikan kaunseling khusus

untuk klien muallaf. Oleh sebab itu, saranan daripada kajian lepas

bahawa Model Kaunselor Muallaf penting diwujudkan untuk memberi

Page 9: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

123

garis panduan kepada kaunselor yang mengendalikan klien muallaf

yang mengcangkupi bukan sahaja kemahiran kaunseling tetapi akan

menggabungkan elemen-elemen lain dapatan dari maklum balas

responden seperti pengetahuan agama, silang budaya, akidah, etika,

berperanan sebagai pendakwah dan islah, pengalaman pengislaman,

mahir dalam undang-undang berkenaan pengislaman dan memahami

undang-undang mahkamah syariah dan sivil serta kehakiman yang ada

hubung kait dengan isu-isu klien muallaf (Samsiah dan Kamarul Azmi

2013).

Golongan muallaf perlu diambil berat oleh masyarakat supaya

golongan ini tidak berasa asing meneruskan kehidupan dalam agama

Islam. Menurut Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Abdullah (2013), beliau

menyarankan agar ada pihak yang berusaha untuk mempertingkatkan

kehidupan muallaf serta dapat memberi perhatian agar golongan ini

dapat mengecapi keindahan hidup dalam Islam. Penambahbaikan

terhadap sesuatu program yang dijalankan terhadap golongan muallaf

perlu dilakukan supaya dapat melahirkan muallaf yang berkualiti serta

dapat membantu usaha dakwah di Malaysia. Demi membantu golongan

muallaf di Malaysia, pengkaji akan membina satu modul kaunseling

standard khusus untuk muallaf di Malaysia. Oleh sebab demikian,

modul kaunseling standard perlu diwujudkan bagi memastikan terdapat

penambahbaikan terhadap program yang dijalankan untuk golongan

muallaf di Malaysia selain dapat mempertingkatkan kehidupan muallaf

selepas mengikuti sesi kaunseling berdasarkan modul yang akan

dicadangkan.

Selain itu, Mohd Farid Ravi (2004) juga ada menyatakan untuk

memastikan keberkesanan dakwah terhadap muallaf, setiap pendakwah

atau sesiapa sahaja yang ingin mendidik dan membentuk muallaf

termasuklah kaunselor perlu memahami psikologi muallaf itu sendiri

sama ada orang India, Cina dan orang Asli. Selain itu, pendakwah juga

perlu mengenalpasti sebab utama yang mendorong muallaf memeluk

Islam, mengelakkan daripada paksaan mengikut budaya Melayu serta

mewujudkan elemen sokongan yang boleh merangsang semangat

muallaf untuk meneruskan kehidupan dalam agama Islam. Cara

mendidik dan membentuk muallaf itu memerlukan pendekatan yang

sesuai supaya golongan muallaf ini tidak berasa tertekan dengan

suasana kehidupan yang baru dan memerlukan masa yang sesuai untuk

menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang Muslim. Hal ini

selaras dengan proses kaunseling yang dijalankan di Malaysia malah

Page 10: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

NOR ADIBAH IBRAHIM RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

124

perlu ada sedikit penambahbaikan dalam sesi kaunseling tersebut

supaya selaras dengan keadaan klien kerana proses kaunseling terhadap

orang Islam yang sedia ada sedikit berbeza daripada golongan muallaf

yang baru mengenali agama Islam. Proses yang khusus perlu untuk

memastikan golongan muallaf terus dekat dan mengenali dengan lebih

lanjut tentang Islam serta mendapat keberkesanan yang baik hasil

daripada sesi kaunseling yang dihadiri.

Keperluan modul juga dapat memberi banyak manfaat dan

kebaikannya. Shaharom Noordin dan Yap Kueh Chin (1991)

menyatakan bahawa pembinaan modul dapat mendatangkan banyak

kebaikan kepada penggunanya antaranya boleh mengurangkan saingan

dan ancaman menghadapi kegagalan. Begitu juga dengan keadaan

muallaf yang mana masih berada dalam suasana baru dan mahu

mencapai kemanisan dalam Islam, mereka perlu melalui pelbagai

cabaran dan dugaan dan dengan adanya modul kaunseling standard ini

dapat membantu untuk mencapai apa yang dihajati. Modul juga dapat

meningkatkan motivasi muallaf kerana peluang yang diberikan kepada

mereka untuk memilih melakukan sesuatu aktiviti mengikut keperluan

dan keselesaan yang boleh menarik minat mereka mengikutinya dengan

sempurna. Setiap modul mempunyai objektif yang hendak dicapai.

Aktiviti yang dilakukan lebih santai dan mudah dituruti oleh peserta.

Kajian terhadap cadangan pembinaan modul juga telah

dijalankan yang melibatkan 600 orang responden di seluruh negara

termasuk Sabah dan Sarawak. Sebaik sahaja dapatan daripada kajian

kuantitatif diperolehi, pengkaji akan membina modul kaunseling

standard untuk muallaf di Malaysia. Menurut Sidek Mohd Noah dan

Jamaludin Ahmad (2005), sebelum sesuatu modul dicipta, adalah perlu

mengambil kira faktor perbezaan individu. Hal ini penting untuk

memastikan objektif dan matlamat modul akan mudah tercapai. Oleh

sebab setiap individu berbaza keupayaannya, maka keupayaan mereka

untuk membuat sesuatu tugasan juga berbeza-beza. Memetik kata-kata

Sharifah Alwiah Alsagoff (1981) dalam menegaskan sesuatu bahan

pembelajaran haruslah sesuai dengan tahap kebolehan dan kecerdasan

seseorang bahkan urutan langkah-langkah pembinaan modul harus

dipatuhi. Sidek Mohd Noah dan Jamaludin Ahmad (2005) juga

menegaskan bahawa sesuatu modul yang hendak dibina perlu

mengambil kira perbagai peraturan dan prosedur yang harus diikuti agar

modul yang akan dihasilkan nanti benar-benar boleh mendatangkan

Page 11: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

125

kesan yang baik. Begitu juga dalam kajian ini, untuk memastikan

pembinaan modul yang baik, pengkaji melakukan beberapa proses

penting bagi memastikan keberkesanan modul dan sesuai dengan

muallaf di Malaysia.

Modul yang dicadangkan mempunyai 10 unit yang dipecahkan

berdasarkan matlamat kaunseling dan telah digariskan oleh Aziz Salleh

(1995) dan Mizan Adiliah (2006) antaranya menyelesaikan masalah

yang dihadapi oleh klien, membimbing klien untuk membuat keputusan

yang bijak, mempermudahkan atau menggerakkan perubahan tingkah

laku, membantu klien menjadi lebih produktif, memperbaiki imej diri

dan membantu klien berubah ke arah yang lebih baik. Antara modul

yang dihasilkan ialah modul mengenal potensi diri, modul pembinaan

hubungan sesama manusia, modul perubahan tingkah laku, modul

pemikiran rasional, modul kemahiran membuat keputusan, modul

kemahiran daya tindak, modul perubahan dan pembukaan minda, modul

pembinaan keyakinan diri, modul pengurusan emosi dan modul

perkembangan bakat semulajadi.

Modul kaunseling standard khusus untuk golongan muallaf

sangat penting bagi menjamin keberkesanan perkhidmatan kaunseling

yang disediakan. Melalui hasil kajian yang telah dijalankan terhadap

600 orang responden muallaf yang berada di seluruh negara mendapati

cadangan modul kaunseling standard disokong sepenuhnya oleh

responden. Antara intipati cadangan modul ini adalah berkenaan dengan

modul mengenal potensi diri, modul pembinaan hubungan dengan

keluarga dan masyarakat, modul perubahan tingkah laku, modul pemikiran

rasional, modul membuat keputusan, modul kemahiran daya tindak, modul

perubahan dan pembukaan minda, modul keyakinan diri, modul pengurusan

emosi dan modul perkembangan bakat semulajadi.

Cadangan modul kaunseling standard yang tertingi peratusan

kekerapannya adalah modul berkenaan dengan perkembangan bakat

semulajadi iaitu sebanyak 378 orang (63.0%). Hal ini kerana, kebanyakan

daripada responden tidak mengetahui bakat semulajadi yang ada dalam diri

mereka dan perlu diketengahkan untuk digunakan pada masa tertentu. yang

ada dalam diri mereka dan perlu diketengahkan untuk digunakan pada masa

tertentu. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkenaan dengan

cadangan modul kaunseling standard, boleh dilihat secara terperinci di Jadual

1.

Page 12: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

NOR ADIBAH IBRAHIM RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

126

Jadual 1: Taburan kekerapan dan peratusan cadangan modul kaunseling

standard

Pernyataan STS TS TP S SS

F

(%)

F

(%)

F

(%) F (%) F (%)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul berkenaan

dengan mengenal potensi diri.

1

(0.2)

4

(0.7)

15

(2.5)

239

(39.8)

341

(56.8)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul berkenaan

dengan pembinaan hubungan

dengan keluarga dan masyarakat.

3

(0.5)

3

(0.5)

7

(1.2)

259

(43.2)

328

(54.7)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul berkenaan

dengan perubahan tingkah laku.

1

(0.2)

2

(0.3)

13

(2.2)

246

(41.0)

338

(56.3)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul berkenaan

dengan pemikiran rasional.

1

(0.2)

2

(0.3)

11

(1.8)

232

(38.7)

354

(59.0)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul untuk

membuat keputusan.

1

(0.2)

3

(0.5)

16

(2.7)

225

(37.5)

355

(59.2)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul kemahiran

daya tindak.

1

(0.2)

3

(0.5)

23

(3.8)

223

(37.2)

350

(58.3)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul berkenaan

dengan perubahan dan

pembukaan minda.

1

(0.2)

4

(0.7)

10

(1.7)

229

(38.2)

356

(59.3)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul berkenaan

dengan pembinaan keyakinan

diri.

1

(0.2)

2

(0.3)

12

(2.0)

224

(37.3)

361

(60.2)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul berkenaan

dengan pengurusan emosi stabil.

1

(0.2)

2

(0.3)

10

(1.7)

221

(36.8)

366

(61.0)

Perkhidmatan kaunseling perlu

menyediakan modul berkenaan

dengan perkembangan bakat

semulajadi.

3

(0.5)

2

(0.3)

9

(1.5)

208

(34.7)

378

(63.0)

Sumber: Soal Selidik (2015)

Kesemua 10 modul yang dicadangkan mendapat sambutan yang baik

daripada responden dengan mendapat peratusan sangat setuju melebihi 50%

Page 13: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

127

dan pembinaan modul akan dilakukan oleh pengkaji khusus untuk golongan

muallaf yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling di jabatan-

jabatan yang disediakan.

KESIMPULAN

Secara umumnya, kajian ini merupakan satu kajian yang baru dan

memerlukan sokongan daripada semua pihak demi menjaga kebajikan

golongan muallaf di Malaysia khususnya yang baru memeluk agama

Islam dalam menyesuaikan diri dalam kehidupan Islam supaya dapat

beramal dan menghayati ajaran agama Islam dengan sempurna. Oleh

yang demikian, pengkaji berharap agar kajian ini dapat menjadi satu

tempat rujukan dan maklumat dalam melaksanakan tugasan dakwah

yang lebih berkesan oleh pegawai kaunseling khususnya di jabatan-

jabatan yang menyediakan perkhidmatan bimbingan kaunseling di

seluruh negara. Selain itu juga, penulis juga berharap agar satu modul

kaunseling standard yang terbaik dapat dihasilkan supaya boleh

digunapakai dalam meyakinkan golongan muallaf untuk terus hidup

dalam Islam.

RUJUKAN

Anuar Puteh. 2006. Khidmat Kaunseling dalam Menangani Masalah

Saudara Baru. Dlm. Fariza Md.Sham, Siti Rugayah Hj.Tibek & Othman

Talib (pnyt.). Dakwah dan Kaunseling Islam. Hlm. 118-129. Bangi:

Penerbit UKM.

Ahmad Munawar Ismail & Mohd Nor Shahizan Ali. 2014. Mengenali

Kuantitatif dan Kualitatif dalam Penyelidikan Pengajian Islam. Bangi:

Penerbit Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Ahmad Sunawari Long. 2014. Metodologi Penyelidikan Pengajian Islam.

Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali &

Hanit Osman. 2006. Kaunseling dalam Islam. Nilai, Negeri Sembilan:

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Mohd Farid Ravi bin Abdullah. 2004. Metode Dakwah Kepada Saudara

Baru. Dlm. Koleksi Kertas Kerja Isu Semasa: Menghurai Permasalahan

Islam Semasa. Siri 2. hlm. 55-65. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Page 14: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

NOR ADIBAH IBRAHIM RAZALEIGH MUHAMAT @ KAWANGIT

128

Nur A’thiroh Masyaa’il Tan bt Abdullah @ Tan Ai Pao. 2013. Program

Dakwah Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) kepada Saudara

Baru: Kajian Tentang Perspeksi dan Keberkesanannya. Thesis Ijazah

Doktor Falsafah, Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi

Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Samsiah Jayos & Kamarul Azmi Jasmi. 2013. Perkhidmatan Bimbingan

dan Kaunseling di Kalangan Klien Saudara Baru dlm Prosiding Seminar

Pertama Pendidikan dan Penyelidikan Islam (SePPIM’13). 17-18

September. Hlm. 357-370. Universiti Teknologi Malaysia

Shahrom Nordin dan Yap Kueh Chin. 1991. Ke arah mengindividukan

pengajaran menerusi pengajaran bermodul. Jurnal Pendidikan Guru 7:

89-107. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sharifah Alwiah Alsagoff (1981). Pengenalan Pengajaran Individu dengan

Tumpuan Khas kepada Modul Pengajaran dan Modul Pembelajaran.

Jurnal Pendidik dan Pendidikan 3(1): Hlm 54-62. Pulau Pinang: Universiti

Sains Malaysia.

Sidek Mohd Noah dan Jamaludin Ahmad. 2005. Pembinaan Modul:

Bagaimana Membina Modul Latihan dan Modul Akademik. Serdang:

Penerbit Universiti Putra Malaysia.

T.M Hasbi Ash Shiddieqy. 1976. Beberapa Permasalahan Zakat. Terj.

Salim Bahreisy. Jakarta: Tintamas Indonesia

Zulkiple Abd Ghani. 2006. Konversi Agama: Memahami Psikologi dan

Komunikasi Berkesan kepada Saudara Baru. Dlm. Fariza Md.Sham, Siti

Rugayah Hj.Tibek & Othman Talib (pnyt.). Dakwah dan Kaunseling

Islam. hlm. 72-80. Bangi: Penerbit UKM.

Zainab binti Ismail. 2001. Proses Kaunseling Islam di Kalangan

Pasangan yang Bermasalah: Satu Kajian Kes di Jabatan Agama Islam

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tesis Doktor Falsafah. Universiti

Sains Malaysia.

Page 15: KEPERLUAN MODUL KAUNSELING STANDARD …journal.kuis.edu.my/e-jurnal-pengajian-islam/wp-content/uploads/... · dengan cadangan pembinaan modul memberi keputusan yang positif di mana

JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS

ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015

129

BIOGRAFI

Nama : Nor Adibah binti Ibrahim

Universiti : Calon Ijazah Sarjana Pengajian Islam, Fakulti

Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Emel : [email protected]

Tel : 013-2778459 (h/set)


Top Related