Download - KARANGAN SPM 2014

Transcript

KEPENTINGAN INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS)m

Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini, kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1Malaysia yang berpaksikan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Hal ini juga merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Contoh bagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik dan kilang mi.. Sememangnya, terdapat banyak kepentingan IKS kepada masyarakat dan negara. Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar. Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep Satu Kampung Satu Produk. Sebagai contoh kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf tangan dan lain-lain lagi. Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari ini. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.Selain itu, IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk menjana dan meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini memerlukan pekerja yang ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk mereka. Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut memerlukan antara 15 hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ. Sikap pengusaha IKS yang prihatin dan mengutamakan khidmat sosial kepada masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang diwujudkan di sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti produk kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara mengurangkan masalah pengangguran.Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan negara. Kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara tidak langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan rakyat di negara kita yang tercinta ini.Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah melancong ke separuh dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Apakah kaitan penyataan ini dengan IKS? Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli kraftangan untuk dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar, pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri negara. Para pelancong membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membeli kraf tangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut bahawa tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan kraf tangan Malaysia akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.Konklusinya, terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah terserlah. Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan, swasta, masyarakat serta individu perlulah bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya bagi tujuan memajukan IKS. Diharapkan barangan keluaran IKS mampu bersaing dalam pasaran pada peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga selaras dengan gagasan 1Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan. (992 patah perkataan)

CARA-CARA MENYAYANGI SEKOLAH

Sekolah merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berazam untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak agar mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin mencabar kini. Aspirasi ini dapat direalisasikan jika murid-murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah masing-masing. Pada pendapat saya, pelbagai prakarsa yang pragmatik boleh diimplimentasikan oleh murid-murid untuk menyayangi sekolah.Seseorang murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah jika mereka tidak merosakkan prasarana yang disediakan. Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas, telefon, peralatan sukan dan sebagainya perlu dijaga dengan baik. Hal ini kerana harta benda sekolah merupakan aset negara yang perlu dikongsi secara bersama-sama dengan murid-murid lain selain memerlukan bajet yang tinggi untuk menyediakannya. Jika murid-murid melakukan vandalisme, iaitu merosakkan harta benda sekolah, kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan lain untuk membaiki kerosakan tersebut. Hal ini sudah tentu akan merugikan kerajaan kerana peruntukan yang disalurkan untuk sektor lain terpaksa diambil untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Sebagai bukti, YB Dr. Mohd Puad Zarkashi mantan Timbalan Menteri Pelajaran telah memaklumkan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM12.5 juta pada tahun lalu untuk membaiki kerosakan harta benda sekolah. Keadaan ini sangat mendukacitakan kerana peruntukan tersebut sepatutnya boleh disalurkan untuk menyediakan kemudahan lain kepada murid agar mereka dapat belajar dengan sempurna. Justeru, jelas menunjukkan bahawa menjaga harta benda sekolah dengan sempurna merupakan medium yang boleh dimanfaatkan oleh murid sebagai tanda menyayangi sekolah.Dalam nada yang serupa, murid-murid juga boleh menunjukkan rasa sayang akan sekolah dengan cara mematuhi peraturan sekolah. Peraturan yang digubal oleh pihak sekolah adalah untuk mendidik murid supaya berdisiplin dan menjadi insan yang sempurna. Segelintir murid menganggap peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah untuk menyekat kebebasan mereka sebagai orang muda. Mereka menganggap jiwa remaja tidak harus disekat dan mereka bebas untuk melakukan sesuatu bagi memenuhi tuntutan remaja. Tanggapan sedemikian adalah salah kerana peraturan yang digubal mampu membina jati diri murid yang kukuh. Peraturan yang dirangka oleh pihak sekolah sebenarnya adalah untuk memudahkan pengurusan murid serta mengelakkan murid terlibat dengan salah saku disiplin kerana boleh menjejaskan proses pembelajaran di dalam kelas. Sebagai contoh, jika pelajar bergaduh di asrama dan kes tersebut tersebar di dada-dada akhbar, sudah tentu murid tersebut akan dikenakan tindakan disiplin seperti gantung persekolahan atau buang sekolah. Kes tersebut secara tidak langsung telah mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya. Secara tidak langsung kemelut ini hanya mencalarkan masa depan murid dan pada masa yang sama telah mencemarkan nama baik sekolah. Oleh itu, murid-murid perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah sekali gus menunjukkan rasa sayang pada sekolah.Di samping itu, menaikkan nama sekolah di pentas nasional dan antarabangsa juga merupakan cara yang boleh ditunjukkan untuk menyayangi sekolah. Selain bertanggungjawab menjaga nama baik sekolah, murid-murid juga perlu menaikkan nama sekolah dengan kejayaan-kejayaan sama ada dalam bidang kurikulum atau kokurikulum. Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat menaikkan imej sekolah pada kaca mata komuniti. Sekolah lain akan datang melawat untuk melihat kejayaan-kejayaan yang telah dicapai. Lebih manis lagi, sekolah akan diberikan anugerah oleh pihak kementerian atas kejayaan yang diraih. Sebagai contoh, kejayaan Mohd Ammar Mokhtar mewakili negara ke Cape Town, Afrika Selatan dalam pertandingan berkaitan dengan neurologi telah menaikkan nama Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di pentas antarabangsa. Kejayaan Mohd Ammar itu menyebabkan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra telah dipilih sekolah angkat Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai jaringan dengan institusi pengajian tinggi. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah mereka dengan cara menaikkan nama sekolah.Akhirulkalam, murid-murid bertanggungjawab terhadap sekolah mereka. Mereka perlu menyayangi sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka menimba ilmu dan membina masa depan. Sekolah juga menjadi tempat murid-murid mengaut pengalaman untuk menjadi insan yang seimbang. Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu menjadi keutamaan murid-murid. Lantaran itu, janganlah bersikap seperti kacang lupakan kulit kerana kejayaan seseorang adalah bermula daripada seorang guru sekolah.MELESTARIKAN KHAZANAH HUTAN

Tiada kedinginan embunMelingkar ayunan daun di siniMentari bersembunyiKabut mengaburiRentak dunia berlari.

Baris-baris puitis petikan seni kata lagu Pusaka Rimba nyanyian Ziana Zain bersama-sama Dayang Nurfaizah pada suatu ketika di atas menggambarkan bahawa telah berlaku perubahan sistem ekologi dunia pada era modenisasi ini. Fenomena ini dapat dibuktikan apabila kita menghadapi sedikit kesukaran untuk merasa kedinginan embun pagi, malah penglihatan kita juga semakin terbatas akibat adanya kabut yang menyelimuti ruang udara seperti yang digambarkan menerusi rangkap di atas. Sesungguhnya, ancaman terhadap alam ini berpunca daripada kecuaian manusia dalam menjaga alam sekitar yang mengakibatkan masalah seperti kepanasan dunia, penipisan lapisan ozon, kehilangan pelbagai spesies flora dan fauna, penyalahgunaan bahan kimia, dan pemusnahan hutan tanpa kawalan. Fenomena ini juga terjadi disebabkan oleh kerakusan manusia dalam mengeksploitasi sumber alam semula jadi dalam usaha untuk membangunkan tahap kehidupan mereka. Khazanah hutan pula kelihatan semakin binasa dan hampir pupus akibat penebangan pokok, penggondolan bukit bukau dan aktiviti pembakaran hutan secara terbuka. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha yang drastik lagi pragmatik amat wajar dilaksanakan demi melestarikan khazanah hutan daripada mengalami kebinasaan dan kepupusan.Sikap haloba manusia yang ditunjangi oleh nilai kebendaan menyebabkan terdapat sesetengah anggota masyarakat yang menjadi kabur mata lantaran kehendak untuk mengaut keuntungan dengan mudah sehingga sanggup memusnahkan khazanah alam yang amat berharga. Hutan ditebang sesuka hati, manakala penerokaan dilakukan tanpa batasan akal minda yang rasional. Keuntungan yang diperoleh menerusi kegiatan pembalakan secara haram yang tidak memerlukan modal yang besar telah menyebabkan mereka menyuburkan sikap menurut nafsu, persis maksud peribahasa beraja di hati, bersultan di mata. Dalam konteks ini, tindakan tegas pihak kerajaan amat dialu-alukan. Penggubalan Akta Perhutanan Negara 1984 merupakan satu langkah yang difikirkan amat wajar demi melestarikan khazanah hutan yang kian susut ini. Andai sebelum ini pembalak haram hanya dikenakan denda tidak melebihi RM500 000 dan penjara tidak kurang daripada satu tahun tetapi tidak melebihi dua puluh tahun akibat kesalahan kegiatan tanpa izin ini, pindaan semula akta tersebut diyakini dapat mengurangkan kegiatan tidak bermoral itu. Kini, pembalak haram bakal menerima hukuman dan dendaan yang lebih berat dan setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan, iaitu didenda RM 1 juta dan penjara tidak kurang daripada lima tahun. Natijahnya, hanya dengan tindakan tegas kerajaan menerusi penguatkuasaan undang-undang yang dapat melestarikan khazanah rimba yang amat berharga itu.

Penebangan pokok dan penerokaan hutan yang dilakukan dengan rakus telah meninggalkan landskap alam yang amat hodoh untuk dipandang. Sebagai contoh, kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan yang tidak terkawal telah meninggalkan hutan gondol yang sungguh menyakitkan mata memandang sebagaimana yang dapat dilihat di Bukit Perangin, Changlun, Kedah. Demikian juga dengan perubahan landskap menghijau yang bertukar menjadi jingga kemerah-merahan di kawasan Pos Blau, Gua Musang, Kelantan akibat sikap tamak para pembalak haram. Selain penguatkuasaan undang-undang, pelestarian khazanah hutan dapat dilakukan menerusi kegiatan penanaman semula pokok. Usaha yang dilakukan oleh Jadav Molai Payeng, seorang lelaki berusia 47 tahun dari India Utara amat wajar diteladani. Beliau telah berusaha secara sendirian menanam semula pokok di hutan sejak berusia 16 tahun lagi setelah permohonan mendapatkan bantuan daripada kerajaan India ditolak. Setelah 30 tahun berlalu, Jadev boleh tersenyum lebar kerana beliau telah berjaya memulihkan semula hutan seluas 1360 hektar di Wilayah Assam, India Utara. Ironinya, apabila khazanah hutan telah ditebang dan diteroka, usaha penanaman semula amat wajar dilakukan agar generasi akan datang dapat menerima alam yang sempurna yang telah dipinjamkan oleh mereka kepada kita.Dari sudut yang lain pula, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (PPAM), iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang tidak berasaskan keuntungan bagi pencinta alam sekitar di Malaysia seharusnya bergiat dengan lebih aktif dalam mengetengahkan isu-isu yang berkaitan dengan usaha melestarikan khazanah hutan. Persatuan yang ditubuhkan sebagai Persatuan Pencinta Alam Malaya pada tahun 1940 dan berpusat di Bukit Persekutuan di Kuala Lumpur ini menguruskan beberapa pusat kajian alam sekitar yang terkenal di Malaysia seperti Taman Alam Kuala Selangor, Pusat Pendidikan Persekitaran PPAM-BOH dan rancangan-rancangan pembelajaran di Rimba Ilmu di Universiti Malaya serta di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM). Badan alam sekitar ini telah berjaya memujuk pihak berkuasa untuk mewujudkan Taman Negara Endau-Rompin. Usaha untuk menggazetkan kawasan tersebut tercetus apabila PPAM melakukan satu ekspedisi saintifik ke Endau dan Rompin pada tahun 1985 dan 1986. PPAM juga telah menjalankan kempen untuk menggazetkan kawasan Belum-Temengor sebagai kawasan terpelihara. Sebagai sebuah badan, PPAM turut menerbitkan dua majalah berkala yang berbahasa Inggeris, iaitu Malaysian Naturalist dan Malayan Nature Journal. Sewajarnya lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang menganggotai badan sukarela ini lantaran agensi ini memiliki peranan yang cukup besar dalam menjaga hutan, tanah tinggi, sungai dan laut, di samping haiwan yang hampir mengalami kepupusan. Kempen merupakan wahana yang amat ampuh untuk melestarikan khazanah hutan daripada terus musnah lalu akhirnya pupus dari muka bumi ini. Dalam hal ini, semua pihak, sama ada kerajaan mahupun badan bukan kerajaan sewajarnya mengatur langkah sederap demi memastikan pelbagai kempen yang berkaitan dengan pelestarian khazanah hutan dapat direalisasikan. Antara kempen yang boleh dilaksanakan termasuklah kempen kesedaran yang menjadikan golongan remaja sebagai sasaran utama selain seluruh anggota masyarakat secara umumnya. Pihak kerajaan seharusnya menjalankan kempen di sekolah-sekolah dengan menjelaskan peri pentingnya hutan dalam ekosistem kita terutama ketika dunia sedang mengalami perubahan cuaca global ini. Kelab Alam Sekitar di sekolah sewajarnya memikul tanggungjawab ini kerana usaha menyemai perasaan cinta akan alam dalam kalangan generasi muda hendaklah bermula sejak seseorang itu kecil lagi, bertepatan dengan maksud peribahasa kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Remaja yang sudah memahaminya akan lebih bijak bertindak apabila mereka menjadi dewasa kelak atau terlibat dengan projek pembangunan yang memerlukan sebuah kawasan hutan untuk dimusnahkan. Tuntasnya, kempen dapat dianggap sebagai medium yang amat berkesan untuk membantu melestarikan khazanah hutan di tanah watan ini.Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun bertujuan untuk membangkitkan kesedaran seluruh anggota masyarakat tentang peri pentingnya kita menjaga alam sekitar. Seharusnya masyarakat mengorak langkah menjadikan Hari Alam Sekitar Sedunia sebagai hari mentajdidkan semangat mengharmonikan dan melestarikan khazanah hutan. Cukup banyak isu berhubung dengan alam sekitar yang menjadi paparan utama arus media perdana negara termasuk isu pembakaran hutan secara terbuka yang masih berleluasa. Masyarakat sudah lari daripada fitrah asal yang sepatutnya bertanggungjawab menjadikan hutan sebagai pentas untuk dijaga dan diharmonikan. Kita masih ragu-ragu akan sebab-sebab khazanah hutan yang sewajarnya dilestarikan dengan pelbagai kempen kesedaran masih belum memperlihatkan hasil yang memberangsangkan. Semua anggota masyarakat seharusnya sedar bahawa kita memiliki hak untuk mendapatkan alam semula jadi yang sihat dan selamat. Perkara ini telah termaktub dalam lapan hak pengguna yang telah diisytiharkan oleh International of Consumer Unions (IOUC). Seharusnya hak ini menjadi tanggungjawab bersama dengan agenda yang telah direncanakan dalam buku Panduan Pengguna. Ironinya, kesedaran tentang peri pentingnya setiap anggota masyarakat melestarikan khazanah hutan perlu diterapkan dengan bersama-sama meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia.Ilustrasi di atas memanifestasikan bahawa terdapat pelbagai pihak yang wajar mengatur langkah demi melestarikan khazanah rimba di negara ini. Oleh hal yang demikian, seharusnya semua anggota masyarakat saling membahu demi menjadikan hutan sebagai satu medan untuk dilestarikan. Masyarakat sememangnya mengerti kesan dan akibat perbuatan yang tidak bertanggungjawab tersebut, namun gerak kerja untuk memurnikannya masih kurang. Masyarakat sewajarnya menyedari dan menginsafi bahawa hutan yang dianugerahkan kepada kita bukanlah satu benda yang boleh dikitar semula, sebaliknya harta yang amat bernilai itu mestilah diharmonikan dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Allah telah meletakkan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini dengan sikap bertanggungjawab, justeru masyarakat haruslah memainkan peranan untuk melestarikan khazanah hutan ini agar alam ini menjadi lebih harmoni, aman dan makmur. Seandainya agenda melestarikan khazanah hutan ini terus dilaksanakan, maka fajar yang akan menyingsing pada tahun 2020 nanti akan menguntumkan senyuman yang paling manis di bibir anak watan.

PERANAN PIBG TERHADAP KECEMERLANGAN SEKOLAH

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) merupakan persatuan yang ditubuhkan mengikut Akta Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 1996. Persatuan ini dianggotai secara automatik oleh semua ibu bapa atau penjaga yang anak atau anak jagaan mereka belajar di sekolah berkenaan selain semua guru yang bertugas di institusi tersebut. Boleh dikatakan hampir setiap sekolah di negara ini telah menubuhkan PIBG masing-masing. Hal ini demikian kerana PIBG dianggap sebagai antara mekanisme penting dalam mewujudkan pendidikan yang berkualiti di sekolah. Menerusi PIBG, banyak program dan langkah boleh diatur untuk mengatasi pelbagai kekangan yang dapat mencacatkan iklim pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah. Oleh hal yang demikian, PIBG memiliki peranan tersendiri dalam memacu kecemerlangan sekolah dalam pelbagai bidang, sama ada dalam bidang akademik, sahsiah mahupun kokurikulum.Banyak salah faham yang timbul antara guru dan ibu bapa apabila berlaku kejadian salah laku dalam kalangan pelajar di sekolah. Konflik ini tercetus akibat sikap ibu bapa yang terlalu menyebelahi anak-anak, tidak menyiasat secara mendalam tentang punca masalah dan ibu bapa yang bersikap terlalu melindungi anak-anak. Dalam kemelut seperti ini, PIBG boleh memainkan peranan sebagai orang tengah yang bersikap neutral antara guru dan ibu bapa. Kenyataannya, kebanyakan ibu bapa lebih percaya akan kata-kata dan acuman anak-anak berbanding dengan fakta sebenar daripada pihak guru. Bertolak dari situlah mereka mulai memandang serong terhadap guru. Guru sering kali disalahkan untuk segala yang berlaku di sekolah. Hal ini termasuklah soal prestasi akademik dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Kekangan tersebut mengakibatkan mereka mulai memulaukan sekolah di samping mendendami guru tertentu. Namun demikian, dengan inisiatif PIBG, semua bentuk salah faham tersebut dapat dileraikan menerusi wahana perbincangan yang lebih kerap, selain mesyuarat tahunan PIBG itu sendiri. Sesungguhnya PIBG yang bertindak proaktif dalam hal ini mampu menjernihkan suasana yang keruh dan meleraikan jalan buntu yang dihadapi. Sebagai entiti penting sekolah, permuafakatan antara ibu bapa dan guru akan dapat meningkatkan mutu pengajaran guru dan pembelajaran murid di sekolah. Hasilnya, sudah pasti situasi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Bukan semua pelajar di sesebuah sekolah itu bernasib baik kerana ada antara mereka yang mengalami kesempitan hidup, menjadi anak yatim dan ditimpa kemalangan. Dalam hal ini, PIBG yang bertindak sebagai sebuah organisasi yang berwibawa boleh menubuhkan tabung pendidikan untuk para pelajar. Tabung tersebut boleh diisi bukan sahaja menerusi sumbangan ahli persatuan bahkan juga oleh ahli korporat dan individu tertentu. Dana yang terkumpul tersebut boleh digunakan untuk kebajikan dan manfaat sekolah serta para pelajar. Menerusi dana yang ada juga, prasarana pendidikan di sekolah dapat ditambah dan ditingkatkan. Hasilnya, para pelajar dan warga sekolah akan dapat memaksimunkan tenaga ke arah kecemerlangan dalam pendidikan dan sekali gus merealisasikan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan (STKP) yang dicita-citakan. Dalam hal ini PIBG juga memiliki peranan saling melengkapi fungsi Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan prasarana, kemudahan dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru. Di samping itu, PIBG turut memberikan sumbangan kepada pihak sekolah termasuk daripada aspek penyampaian idea untuk membangunkan institusi pendidikan. Sebenarnya kita tidak boleh menumpukan soal pembangunan infrastruktur sekolah sahaja, sebaliknya keutamaan terhadap pembinaan dalaman para pelajar bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan yang berkualiti juga perlu diberikan. Lantaran itu, seandainya semua PIBG mengambil pendekatan itu dan bermusyawarah dengan pihak sekolah, hasrat untuk melihat sekolah mencapai kecemerlangan akan dapat direalisasikan.Program seperti kem motivasi dan seminar dianggap memiliki kepentingan tersendiri dalam memberikan kesedaran dan semangat kepada pelajar untuk terus belajar dan berjaya. Menelusuri idea ini, PIBG juga boleh mengadakan program bermanfaat tersebut untuk para pelajar di sekolah masing-masing. PIBG boleh menggunakan matlamat organisasinya dengan menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan, tenaga penyelenggara ataupun penceramah dan fasilitator bagi memastikan program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya. Menerusi program tersebut. pelajar yang bermasalah boleh diberikan kesedaran apabila mereka mengikuti kem bina semangat dan kaunseling. Dengan langkah ini, mereka diharapkan akan memperoleh keinsafan dan kembali bersaing dengan rakan-rakan dalam pelajaran. Sesungguhnya, penyelesaian masalah disiplin pelajar bukan hanya tanggungjawab pihak sekolah semata-mata tetapi harus dipikul bersama-sama oleh PIBG. Sebenarnya, seluruh ahli masyarakat berasa bimbang sekiranya masalah disiplin menjadi polemik malah lebih memburukkan keadaan jika perkara tersebut menjadi isu politik. Oleh hal yang demikian, PIBG sewajarnya berfungsi sebagai pemangkin dengan bersama-sama menyelesaikan masalah di sekolah, terutamanya masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Ekoran itu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan gejala salah laku atau meningkatkan prestasi akademik pelajar, malahan sekolah akan dapat melahirkan generasi muda yang bersahsiah tinggi.Peranan lain yang boleh dimainkan oleh PIBG adalah sebagai pemantau dan penilai terhadap perjalanan sekolah. Dengan kata lain, ahli PIBG boleh berfungsi sebagai penilai terhadap prestasi sekolah sama ada dalam hal-hal yang berkaitan dengan bidang akademik mahupun bidang kokurikulum. Susulan daripada fungsi tersebut, perbincangan boleh diadakan dari semasa ke semasa dengan pihak sekolah demi mengatasi sebarang kelemahan dan masalah yang dihadapi. Sekiranya pihak sekolah menghadapi masalah kewangan bagi memajukan bidang sukan, PIBG boleh menghulurkan bantuan, atau setidak-tidaknya membantu mendapatkan jurulatih. Di samping itu, pihak persatuan juga boleh berfungsi sebagai penjamin atau penyelamat kepada guru sewaktu menjalankan tugas di sekolah. Hal ini wajar dilakukan kerana ramai kalangan guru berasa tertekan dan terancam apabila menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik. Kejadian memukul, mengancam, memusnahkan kereta dan membakar rumah guru merupakan antara kebejatan sosial yang boleh mematahkan semangat guru. Tindakan PIBG membela nasib guru yang menjulang amanah tersebut akan menjadikan mereka lebih bersemangat dan selesa ketika bertugas. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu sekolah meningkatkan pencapaian dalam semua bidang. Natijahnya, PIBG boleh membantu pihak sekolah dalam urusan penilaian dan pemantauan terhadap perjalanan sekolah dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.Kita harus mengelakkan peranan PIBG sebagai kurang penting sehingga diibaratkan umpama melukut di tepi gantang atau datang tak menambah, pergi tak mengurang. Dalam hal ini amat wajar PIBG turut berperanan meningkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat agar kewujudan organisasi ini memperlihatkan ketampakannya. Sehubungan dengan itu, ahli-ahli jawatankuasa PIBG seharusnya bergerak dengan lebih aktif dalam memastikan hubungan kerjasama yang jitu dapat disemai bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah. Terdapat juga PIBG yang mengadakan beberapa sesi gotong-royong di sekolah, misalnya gotong-royong menyiapkan bangunan tambahan, membina Taman Sains sekolah dan sebagainya. Lebih jauh lagi, ada PIBG yang turut menyediakan makanan dengan memasak bersama-sama di sekolah ketika anak mereka mengikuti kelas-kelas tambahan anjuran pihak sekolah pada musim cuti persekolahan. Program gotong-royong yang diadakan itu bukan sahaja berupaya merapatkan hubungan antara ibu bapa dan pelajar, malahan juga mewujudkan hubungan yang lebih erat antara ibu bapa dengan guru di sekolah. Hubungan yang mesra ini mampu melenyapkan prasangka antara ibu bapa dengan guru. Ironinya, hasil daripada hubungan yang mesra itu akan mewujudkan pula bentuk kerjasama yang lain antara mereka. Menerusi pendekatan dan strategi tersebut, segala bentuk program yang dirancang oleh sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar. Usaha ini sudah pasti membantu sekolah melahirkan lebih ramai pelajar yang berkualiti pada masa hadapan.Keseluruhan di atas menjelaskan bahawa PIBG mempunyai peranan serba lapangan di sekolah yang merangkumi pelbagai bidang. Sesungguhnya PIBG dan sekolah ibarat aur dengan tebing yang perlu saling membantu. Dengan kerjasama erat kedua-dua pihak, sudah pasti kualiti pendidikan di sekolah dapat ditingkatkan. Penubuhan PIBG di setiap sekolah juga turut membantu melengkapi fungsi Kementerian Pelajaran Malaysia membentuk sekolah dan pelajar yang cemerlang. Kejayaan sesebuah sekolah juga merupakan salah satu manifestasi hubungan kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan ibu bapa menerusi PIBG. Sehubungan dengan itu, ibu bapa amat wajar memainkan peranan yang lebih proaktif dalam usaha memartabatkan sekolah ke tahap yang membanggakan sesuai dengan visi sekolah, iaitu sekolah unggul menjana pendidikan bertaraf dunia. Pendidikan yang sempurna harus diberikan supaya generasi muda dapat meneruskan kejayaan dan kecemerlangan pemimpin negara pada masa ini. Anak-anak murid hari inilah yang akan merealisasikan hasrat kita untuk melihat Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020.Bottom of Form

JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT:LANGKAH-LANGKAH

Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawaJiran sepakat membawa berkat. Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Justeru, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui peribahasa Melayu yang mengatakan bahawatak kenal maka tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan sesama jiran.

Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis- majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.

Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayuke bukitsama didaki, ke lurah sama dituruni.

Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaituibarat aur dengan tebingyang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.

Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawaberat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada prinsipcubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita itu.

Sebagai kesimpulan daripada perbincangan di atas, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Pada era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam peribahasa Melayubagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada peribahasa yang mengatakan bahawabersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Justeru,dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilahsentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kitasentiasa aman, harmoni dan sejahtera.

[750 patah kata]

KEBAIKAN BERGOTONG-ROYONG

Marcapada, dalammeniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik, kita seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan sejak generasi dulu dan amalan ini dianggaptak basah dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa agar sentiasa releven dan diingati oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baharu ini. Perkara yang berlaku sekarang, budaya yang diingini hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong.Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang tidak mengenali maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda generasi kini yang telah bergotong-royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.

Amalan bergotong-royong dapat memperindah tempat tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadarindah khabar daripada rupa. Sebagai insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan menjalankan amalan bergotongroyong kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasatak kenal maka tak cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong dapat menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotongroyong, kita dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa,bersatu kita teguh bercerai kita roboh. Kita harus mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya tidak diketahui lagi. Janganlah kita lupa bahawadi mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.

Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit. Kata-kata mantan Tun Dr. Mahathir, mencegah lebih baik daripada mengubati. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang ramai jikalai kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata! Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke setahun keranarambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yangseperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing- masing keranamasuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak. Melaui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih dapat mempercayai masyarakat sekeliling dan menghormati sesama diri. Dengan ini, kita akan hidup saling membantubagai aur dengan tebing .

Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini dikatakan demikian kerana Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri keempat pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerap pelbagai nilai murni dalam diri. Fenomena ini sama sepertisambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu . Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata peribahasa,berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tak percaya? Janganlah lupa bahawa peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".

Intihanya , amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak . Dengan mengamalkan semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah dengan secara tidak langsung bak kata peribahasa,ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian keranayang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Huraikan tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk memajukan sukan di negara ini.

Sukan di negara ini mengalami zaman kemelesetan yang begitu ketara kerana tiada lagi kejayaan yang diraih seperti awa tahun 50-an, 60-an atau 80-an. Keadaan ini telah menimbulkan rungutan pelbagai pihak terutama peminat sukan di negara ini. Media massa pula asyik mengeluarkan pelbagai teori dan langkah untuk menangani masalah sukan di negara ini tanpa hasil jua. Jelaslah, ada pelbagai tindakan drastik yang boleh dilakukan oleh semua pihak.

Sudah pasti perubahan minda masyarakat harus berlaku terutama persepsi mereka terhadap sukan. Anggapan bahawa sukan tidak memberi apa-apa kesan atau tiada prospek ekonomi harus dikikis dengan segera. Sukan sama juga seperti kerjaya lain jika dilakukan dengan betul, sistematik dan tabah berupaya menyumbangkan sumber kewangan yang lumayan kepada penggamalnya. Oleh itu, perubahan paradigma masyarakat hendaklah berubah selaras dengan perubahan zaman yang mengutamakan sukan di peringkat global.

Selain itu, kerajaan harus memberikan ganjaran yang setimpal kepada ahli sukan yang berjaya di dalam kejohanan peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Sumbangan dalam bentuk kewangan atau pemberian latihan berupaya menyuntik semangat baru kepada ahli sukan untuk berusaha mencapai kejayaan yang lebih baik lagi. Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golongan muda terutama kanak-kanak untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan dan menerima ganjaran itu. Jadi, ganjaran kepada ahli sukan perlulah wujud dan usahlah kita menganggap pemberian ganjaran ini tidak penting dalam pembangunan sukan negara.

Jika kita mahu memiliki kelompok ahli sukan yang ramai dan baik, sudah pasti pembinaan kemudahan sukan ditingkatkan. Pembinaan stadium, gelanggang dan padang menjadikan acara sukan lebih mudah dan murah untuk disertai oleh masyarakat di negara ini. Keadaan ini menyebabkan kemahiran asas dalam sesuatu asas sukan itu sudah dimiliki oleh masyarakat di negara ini dan hanya perlu digilap sahaja oleh jurulatih negara apabila tiba masanya. Sesungguhnya, pembinaan kemudahan sukan menjamin negara memiliki satu kelompok ahli sukan yang berwibawa.

Tambahan pula, negara boleh menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia di negara ini. Penganjuran sukan sebegini memberi peluang kepada ahli sukan negara untuk bersaing dengan ahli-ahli sukan dunia yang sememangnya lebih baik. Persaingan yang hebat ini menjadikan ahli sukan kita lebih fokus dan menyedari kelemahan serta mampu meningkatkan kualiti diri mereka sejajar dengan pengalaman yang diperoleh. Maka, lebih banyak penganjuran acara sukan dunia di negara ini, semakin bertambahlah mutu ahli sukan kita.

Bagaimana dengan juruatih? Sudah pasti pengambilan jurulatih berpengalaman terutama dari negara luar berupaya menyuntik teknik baru kepada latihan ahli sukan kita. Jurulatih asing yang berpengalaman ini mampu melihat kelemahan dan mengatasi kelemahan ahli sukan kita dengan pantas kerana mereka berpengalaman. Dalam masa yang sama jurulatih asing ini boleh membuat program untuk melatih jurulatih tempatan atau berkongsi pengalaman dengan mereka untuk merangka satu sistem latihan yang baik. Jadi, jurulatih asing boleh membawa perubahan drastik terhadap mutu sukan kita.

Konklusinya, mutu sukan di negara ini boleh berubah. Cuma kegagalan persatuan-persatuan sukan untuk melihat secara positif dan masalah konflik dalaman persatuan yang menyebabkan mutu sukan kita terus menjunam. Masyarakat sudah muak dengan alasan demi alasan yang diberikan setiap kali ahli sukan kita mengalami kekalahan. Sikap 'menuding jari' membuktikan betapa kita banyak menyalahkan orang lain tanpa mahu berubah.

LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN MUTU SUKAN NEGARA

Dalam dekad 70-an dan 80-an, Malaysia sering digeruni sebagai pasukan terkuat di Asia, kini segala-galanya telah berlalu. Sebenarnya, badi yang mula menimpa pasukan bola sepak kebangsaan itu mula mererbak kepada beberapa pasukan sukan yang lain seperti, olahraga, renang, dan badminton juga. Gergasi baru seperti Korea Selatan, Jepun dan Arab Saudi telah mencuri kehebatan Malaysia. Kemerosotan pasukan negara itu hendaklah dilihat dalam pelbagai perspektif di samping mewujudkan usaha-usaha tersusun mengembalikan maruah sukan tanah air.

Secara rambang, banyak pihak berpendapat bahawa para pemain Malaysia kini sudah tidak patriotik lagi. Mereka bermain untuk pasukan negara sekadar melepaskan batuk di tangga . Mereka lebih mengutamakan kepentingan diri mengatsi kepentingan negara. Oleh itu, usaha mengembalikan semangat keramat tersebut perlu dijalankan. Banyak pihak yang mencuba membanding-bandingkan para pemain dalam dekad 70-an dan 80-an seperti Shukur Salleh, Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh, dan Allahyarham Mokhtar Dahari dalam sukan bola sepak. Begitu jugak kehebatan seperti Rabuan Pit, Marina Chin, Datuk Dr. M. Jegathesan, dan Junaidah Aman dalam sukan olahraga. Jika hendak dikatakan kita tidak memiliki kekuatan, barisan nama seperti yang disebutkan tadi sudah membuktikan bahawa Malaysia tidak kurang hebatnya di persada antarabangsa. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini semangat melonjakkan nama negara melalui sukan semakin pudar dalam kalangan atlet. Malu dengan hakikat yang terpaksa ditelan apabila pasukan negara sentiasa menjadi pasukan belasahan, justeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak seharusnya duduk diam dalam perkara ini. Pihak terbabit dan termasuk juga persatuan-persatuan sukan hendaklah menerapkan unsur patriotik yang kukuh agar keyakinan atlet dapat ditingkatkan dan mutu sukan negara dapat diletakkan pada landasan yang sepatutnya.

Mengambil contoh pasukan bola sepak kebangsaan, krisis dalaman dalam badan induk pasukan negara itu turut juga menyumbang masalah hingga menurunnya reputasi pasukan negara. Para pengendali dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan terlalu kebal terhadap segala teguran dan komen yang dilemparkan. Selain itu, insiden perebutan jawatan yang berlaku dalam organisasi ini turut menggugat reputasi bola sepak tanah air. Sebagai akibatnya, tiada perubahan ke arah mempertingkatkan mutu pasukan. Oleh hal yang demikian, usaha perlu dilakukan oleh persatuan sukan dan pihak KBS dalam menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi oleh kebanyakan persatuan sukan yang banyak mempengaruhi prestasi atlet di bawah naungannya.

Sebagai kementerian yang berkuasa penuh terhadap kemajuan sukan negara, KBS wajar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kemerosotan tersebut. Jika dibandingkan dengan jumlah ongkos yang dibelanjakan, prestasi yang ditunjukkan amat mengecewakan sekali. Oleh itu, kementerian hendaklah lebih bertegas dengan menggubal suatu dasar baru yang lebih komprehensif tentang matlamt dan hala tuju sukan negara. Bukan sumber kewangan yang banyak sahaja disuntik ke dalam organisasi sukan, sebaliknya prestasi pasukan dan pemain perlu diutamakan. Keluhan banyak pihak tentang kebajikan pegawai dan orang kuat persatuan lebih istimewa dan terjaga daripada pemain sendiri hendaklah dipandang serius. Sikap melebihkan mangkuk daripada sudu seperti itu hanya boleh memudarkan semangat juang para peserta sahaja. Seandainya parut dan kudis seperti ini berjaya dikesan tidak mungkin tiada satu pun pasukan negara yang gagal menyerlah di peringkat antarabangsa.

Selain itu, faktor stamina dan skil yang tidak seimbang dalam kalangan atlet Malaysia turut menyumbang kelemahan pasukan. Berbanding dengan pasukan-pasukan elit dunia, keyakinan atlet kita cepat luntur apabila percubaan demi percubaan dapat dipatahkan dengan mudah oleh pasukan lawan. Dalam bidang sukan tidak dinafikan lagi ketahanan fizikal dan skil merupakan modal besar jika mahu berjaya. Oleh hal yang demikian, KBS dan persatuan-persatuan sukan mestilah lebih dinamik dalam merancang pembangunan kemahiran dan stamina atlet. Justeru, untuk menyelesaikannya maka pemilihan jurulatih hendaklah bersifat jangka panjang dan pelbagai. Tidak mungkin seseorang jurulatih mampu melatih semua aspek kemahiran dalam tempoh yang tertentu. Selain untuk meningkatkan kemahiran atlet, pihak KBS hendaklah lebih banyak menubuhkan akademi sukan yang dapat membentuk pelatih pelapis. Dalam menangani masalah ini, kita perlulah berpegang pada peribahasa sediakan payung sebelum hujan.

Selain itu, usaha mencungkil bakat-bakat baru wajar dilaksanakan oleh KBS dan persatuan sukan tanah air. Hakikatnya, sikap suka bergantung pada seorang dua yang menyerlah tidak boleh dijadikan sandaran. Hal ini demikian kerana bidang sukan sememangnya tidak dapat lari daripada diburu usia dan kudrat yang makin terhad. Oleh itu langkah pasukan MyTeam yang berusaha mencari bakat baru dalam pasukan bola sepak harus menjadi inspirasi kepada pasukan sukan yang lain untuk melaksanakan pelbagai pendekatan bagi mencari bakat-bakat baru. Pelbagai usaha boleh dilakukan jika kita sentiasa memikirkan usaha tersebut sebagai suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Daripada memikirkan perkara yang mewah-mewah, pihak yang terbabit dalam bidang ini hendaklah turun padang untuk mencungkil bakat sukan yang masih bertaburan di serata pelosok negara.

Selaras dengan era profesional, para atlet hendaklah mempunyai wawasan sendiri untuk mencapai tahap tertinggi. Inspirasi yang ditunjukkan oleh jaguh-jaguh dunia seperti Ronaldhinho, Tiger Wood, Michael Schumacher, Fernando Alonso, dan sebagainya hendaklah menjadi cabaran besar kepada mereka. Di negara kita sendiri, beberapa personaliti sukan seperti Shalin Zulkifli dan Nicol Ann David boleh dijadikan ikon atlet yang berjaya. Kejayaan mereka yang banyak ditunjangi oleh daya usaha sendiri dan sokongan keluarga mereka wajar dijadikan contoh. Dalam hal ini, persatuan-persatuan sukan perlulah berusaha memberikan motivasi dan sokongan kepada atlet untuk berjaya dalam bidang masing-masing. Walau sehebat mana latihan yang diberikan, walau sebanyak mana dana yang diperuntukkan, tetapi jika atlet tidak mempunyai wawasan untuk mencapai tahap yang tertinggi, maka usaha untuk memulihkan mutu sukan negara tidak akan tercapai. Oleh itu, segala-galanya terletak pada kesungguhan untuk mengharumkan nama negara bak kata peribahasa hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Sesungguhnya kita yakin, prestasi sukan negara tidaklah seburuk seperti yang dipersembahkan sekarang. Masih ada ruang yang boleh diperbaik untuk mengembalikan imej Malaysia di persada antarabangsa terutama dalam beberapa acara sukan yang tertentu. Semuanya hendaklah bermula secara terancang seperti mengaji daripada alif, membilang daripada esa, kata berpangkal, dan hujan berpokok

LANGKAH-LANGKAH MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran resam yang majmuk ini, maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita.Keadaan ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat daripada kemajuan dunia dalam pelbagai skop,permainan ini seolah-olah dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita. Oleh itu,pelbagai langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan tradisional pada hari ini.

Keluarga mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahi anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah ini,ternyata anak-anak akan berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek moyang kita .Pada waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka bermain permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain permainan inimemandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.Bahkan,ibu bapa juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam kalangan anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan tradisional di peringkat sekolah mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini dapatmencambahkan minat generasi muda untuk terus berkecimpung dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis peribahasa Melayu yang berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh itu,setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Selain itu,permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan menganjurkan kelab permainan tradisionald dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini,pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak secara aktif bukan sekadarmelepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan congkak,permainan gasing dan permainan batu seremban.Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi teknik bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan orang yang berpengalaman dan profesional keranajauhari jua yang mengenal manikam. Pihak sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang perseorangan yang mahir dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas dan teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak yang berkemahiran itu.Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat mengetahuitentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan lebih banyak alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas sekiranya mereka sukar mendapatkan permainan ini,minat mereka mulai pudar dan beranggapan peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara membeli alatan permainan ini terus daripada kilang,kos untuk membelinya menjadi bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah,pelajar akan berminatuntuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang menyertai kelab ini,bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk bermain permainan tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk bermain tidak akan timbul lagi. Pihak sekolah juga boleh menjadi pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan tempat-tempat permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk bermain dalam suasana yang selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain gasing dan kawasan yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan dengan adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut kerana kalau tidakdipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Dalam fasa itu,masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab permainan tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini seperti kelab sepak raga,kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk membaja kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan tradisional tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan mempertahankan permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia keranasebatang lidiamatmudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi.Pastinya,dengan penglibatan bilangan komuniti yang ramai,usaha untuk mempopularkan permainan nenek moyang ini tidak akan menjadi sekadarhangat-hangat tahi ayam.Tambahan lagi, masyarakat perlu berusaha untuk mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini dapat menarik perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini. Pelbagai pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak itu bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaj tanpa mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak masyarakat perlu berganding bahu dalam mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus perdana.

Langkah yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialah kerajaan hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosi yang progresif menerusi media massa serta media cetak bagi mendedahkan masyarakattentang peri pentingnya kita menjaga warisan nenek moyang kita iaitu permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita ini. Kita acap kali diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyisesal dahulupendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah mengambil langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen Jom Main Permainan Tradisional dan pertandingan Festival Layang Layang Antarabangsa yang merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat tidak kira dari dalam negara mahupunluar negara mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankankerana tak kenal,maka tak cinta. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai Bulan Permainan tradisional.Oleh hal yang demikian,dengan adanya langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau,layang-layang,sepak raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk memainkannya.Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan rakyatbermain permainan ini. Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang strategik seperti di sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan bermain permainan tradisional. Selain itu,jurulatih yang terlatih juga patut disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan peminat permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di mata dunia. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan tradisional ini. Oleh itu, kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional juga boleh ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum ibarat aur dengan tebing dalam permainan inidapat meningkatkan perpaduan dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan dapat digarap sepenuhnya.

Secara tuntas, pelbagai pihak memainkan peranan yang sepada dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Oleh itu, mereka perlulah mengambi langkah yang vital,imperatif ,kritis dan pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis negara yang tidak akan lupa akan warisan merekaibarat kacang lupakan kulit. Generasi pada hari ini perlu digarap agar menghargai dan menjunjungi pusaka warisan mereka sejak dari rebung lagi. Barulah warisan permainan tradisional akan terus hidup subur dalam kehidupan masyarakat kita. Generasi muda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Sekarang tibalah waktunya anak-anak remaja yang merupakan generasi penggerak wawasan menimba sebanyak ilmu pengetahuan agar dapat digunakan dalam usaha memelihara permainan tradisional ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai lebah menghimpun madu,agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan terus dapat dihidupkan dari semasa ke semasa.

PERANAN IBU BAPA DALAM PEMBENTUKAN SAHSIAH ANAK-ANAK

Profesor Diraja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka . Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Anak-anak merupakan anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai. Ibu bapa bertanggungjawab untuk mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri anak-anak mereka. Anak-anak ibarat sehelai kain putih , ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Persoalannya, apakah peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak? Pada pendapat saya, jawapannya sudah pastitugas dan peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga terutama seorang insan yang bergelar ketua keluarga amat penting dan pelbagai dalam melahirkan sahsiah terbilang dalam kalangan anak-anak mereka.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak. Peribahasa sering menyatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar anak-anak dapat membuka minda seterusnya mengelakkan diri daripada terjebak dalam perlakuan negatif. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan. Selain itu , anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama. Didikan agama yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya. Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang utuh, anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik. Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh anak-anak kerana peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sebagai contoh, jika ahli keluarga yang lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak pada peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik, maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik, tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Di samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling menghormati.

Seterusnya, ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju, menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab . Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau dan mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan. Jelasnya, ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia . Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat dominan dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik , ibu bapa perlulah menyedari akan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri . Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka kerana mereka merupakan uswatun hasanah bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. Rumahku, Syurgaku

PERANAN IBU BAPA MEMBANTU KECEMERLANGAN ANAK-ANAK

Ibu bapa memainkan peranan yang dominan dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan padu daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, ibu bapa sering mengabaikan anak-anak, anak-anak pasti berasa dirinya terabai dan mereka akan melibatkan diri dalam kebejatan sosial yang sangat menyesakkan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?

Peranan primer yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi yang aman dan bahagia. Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap rumahku syurgaku. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Selain itu, ibu bapa juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata pepatah beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.

Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi, bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Ibu bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata pepatah, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Oleh itu, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja. Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.


Top Related