Download - Jiranku Kekasihku
1
GERAMNYA aku bila ada orang curi parking aku ni tau. Ni yang aku geram ni! Hari-hari aku
park kat sini, boleh pulak hari ni ada orang curi ya? Siapalah yang punya kerja ni? Suka-suki aje
nak ambil parking aku. Dah setahun lebih dah aku park kat sini, tak ada siapa yang berani
merampasnya. Kalau aku dapat, aku jotos kepala dia tu.
Isy, mana aku nak parking ni? Parking dah penuh ni. Aku garu lagi kepala yang dibaluti
kain tudung, sampaikan tidak betul letaknya di kepala. Isy! Marah betul aku kepada si pencuri
parking tu. Tulah! Siapa suruh ambik parking aku?
Bebel punya bebel, sekali tengok jam di tangan… alamak! Dah pukul 8.05 pagi!
Merahlah kad aku hari ni. Padan dengan muka aku. Siapa suruh bangun lambat? Dahlah jalan
jammed tadi, ditambah pulak dengan parking yang tak ada! Isy, mana aku nak park ni?
Aku terus terfikir-fikir mana tempat aku hendak parkir hari ini. Aku pusing kiri. Aku
pusing kanan. Tengok, tengok, mana tau ada petak parkir yang kosong. Tak ada juga.
Puas juga kepala aku ni dipusing-pusing lagi. Satu haram pun tak ada petak parkir yang
kosong. Aha! Aku nampak ada sebuah kereta nak mengundur keluar di sebelah kiri. Nampak
macam muka Dr. Siti saja. Alah, Dr. Siti Mek Kelate yang comel lote tu. Siapa yang tak kenal?
Seantero hospital ini tahu.
Ha, memang betullah kereta dia. Hai, baru nak balik ke? Kadang aku kesian tengok
golongan seperti mereka ni. Kerja 24 jam tanpa henti pun ada orang sibuk-sibuk nak kompelin.
Nasiblah mereka-mereka yang menjadi doktor ni. Lazimnya memang begitu. Sudah menjadi
kewajipan mereka untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik tanpa mengenal erti penat.
Padahal, mereka juga punya hati dan perasaan, mahu berehat. Betul tak? Penat-penat, tetap juga
tersenyum.
Eh, yang aku melalut-lalut ni, kenapa? Sekarang ni kena cari parking, bukan membebel!
Aku memberi signal untuk masuk ke petak parkir itu setelah Dr. Siti mengeluarkan
keretanya dari petak parkir tersebut. Sempat lagi aku melambai tangan kepadanya dan dia
membalas dengan membunyikan hon. Dengan pantas dan tanpa ragu-ragu, terus saja kereta aku
masukkan ke petak parkir.
Yes! Kereta dah parking, air-cond, radio aku dah tutup dan enjin kereta aku matikan.
Tengok cermin, betul-betulkan tudung—manalah tau kalau senget ke, bedak bersepuh ke apa ke.
Setelah memastikan segalanya okey dan cantik, tanpa cacat cela, aku turun dari kereta dan
melangkah masuk ke pintu gerbang hospital dengan lagak gaya yang mempesona. Kononnya!
Belum sempat lagi aku melabuhkan punggung di kerusi, si minah kepoh, siapa lagi kalau
bukan rakan setugas aku, Ellin, sudah menyebarkan berita sensasinya yang entah dari pelosok
mana dia dapat.
“Faiz, ada doktor barulah. Handsome siot! Cair jugak aku!” Ellin sudah tersenyum-
senyum gedik. Matanya dikerdipkan beberapa kali. Comel sangatlah dia rasa bila buat macam
itu.
Aku mencebik. Ada aku kisah ke kalau ada doktor baru ke, doktor lama ke? None of my
business. Aku ada banyak kerja yang perlu disiapkan. Macam-macam fail aku kena semak. Fail
stoklah, apalah… Dia pula sibuk nak bergosip di pagi yang ceria ini.
“Ya ke? Siapa nama dia?” soalku sebagai respons kepada kata-kata Ellin. Kononnya
malas nak layan. Tapi, kesian pula kalau aku tak layan nanti. Bercakap sorang-sorang pula minah
ni.
Aku duduk dan tekan butang on pada komputer. Nak harapkan Ellin tolong onkan,
hmm… kirim salam sayang sajalah. Tak ada maknanya dia nak buat kalau mulut tu asyik becok
nak bergosip.
“Nama dia Tengku Sharizal. Dengar nama pun dah tahu orangnya handsome, kan?”
Dah mulalah dia nak menggedik depan aku. Nak overdose pulak. Minah sorang ni
memang kuat berangan. Malas aku nak layan. Makin dilayan, makin jadilah perangai dia tu. Tak
kuasa aku!
“Kau patut try, Faiz. Baik punya.”
Aku mencebik bibir. Isy, budak ni. Ingat apa nak try-try? Kalau buah ke, biskut ke,
bolehlah aku try-try. Ni manusia dia nak suruh try? Akai ada ka? gerutu aku dalam hati.
“Banyaklah kau punya try. Kau ingat baju ke nak try-try? Eii, tak ada maknanya,”
tempelak aku menjelingnya sekilas.
Ellin mengetuk meja. Senyuman masih lagi melekat pada bibirnya. Dia mengenyit
matanya kepada aku. “Eleh, kau jangan cakap besar, Faiz. Mana tahu entah-entah dia tu jadi
suami kau.”
Aku membulatkan mata kepada Ellin. Pipi gebunya aku cubit, kuat gila. Pandai nak buat
spekulasi pula si Ellin ni. Eii, aku tampar-tampar jugak mulut mungil dia tu karang.
“Hei, cik kak. Kau jangan nak merepek heh. Orangnya pun aku tak jumpa, macam mana
nak jadi laki aku? Dah, kau jangan nak melalut. Malas nak layan kau.” Pipi Ellin aku lepaskan
kasar. Padan muka dia. Pandai saja nak buat cerita. Ada ke patut cakap macam itu?
Tiba-tiba ada seorang lelaki ke kaunter farmasi tempat aku bertugas. Macam tak pernah
nampak. Ini ke doktor barunya? Aku tengok dia pakai kot putih. Jadi, mestilah doktor, takkan
atendan hospital pula. Aku lihat wajahnya yang bersih dengan sedikit kumis menghias.
Keningnya yang sederhana lebat, bola mata yang berwarna coklat, hidung yang mancung dan
kulit yang bersih buat aku terpukau. Bertambah comel dengan lesung pipit pada kedua-dua belah
pipinya ketika dia tersenyum.
Terpesona aku sekejap. Mula berkhayal sambil menopang dagu menatapnya. Tersenyum
sendiri.
“Cik?”
Badan aku terangkat. Seperti tersedar daripada mimpi. Terpinga-pinga sekejap. Terkebil-
kebil mata memandangnya. Ellin yang sedang mengatur ubat di belakang, tersengih-sengih dan
mengenyit mata ketika aku menoleh ke arahnya.
“Err... ya? Hmm, boleh saya bantu?” soal aku sedikit gugup dan tergagap-gagap. Mata
aku bulatkan sikit ketika menyapu bersih mata coklatnya yang menggoda itu.
Aku mengutuk diri sendiri kerana begitu asyik menjamah muka lelaki di depanku ini
sampai tak ingat dunia. Malunya! Aku mengukir senyuman untuk menutup malu yang terlampau.
Senyuman paksa. Isy, dia balas senyuman paksa aku tu!
“Hmm… saya Dr. Sharizal. I’m new here,” ucapnya sambil tersenyum lagi.
Hah? Aku terkejut. Ni ke doktor barunya? Memang handsome sampai iman aku tergugat
dan sempat berangan lagi tadi. Sabarlah, hati, jangan terlalu menyimpang jauh.
“Oh, ya ke? Patutlah tak pernah nampak. Hmm, saya Faiza. Tapi orang panggil Faiz.
Saya pharmacist kat sini,” kata aku pula sambil memperkenalkan diri.
Aku lihat dia terangguk-angguk macam burung belatuk. Sesuai dengan lagu Ahli Fiqir tu,
Angguk Angguk Geleng Geleng. Hehehe.
“I know. Nice to meet you,” balasnya sambil tersenyum. Matanya melirik ke mata aku.
Seterusnya, merenung.
Bila tersedar, aku berdeham beberapa kali dan mengalihkan anak mata bagi memutuskan
tautan mata kami. Jiwa aku bergetar. Jantung aku berdegup laju, selaju kipas angin yang berputar
di ruangan ini.
“Hmm, what can I do for you?” Aku mula menawarkan perkhidmatan. Tak selesa bila
direnung begitu. Nanti tak pasal-pasal aku perasan sendiri pula. Ah, sudah!
“Oh… sekejap ya.”
Aku tengok dia menyeluk poket kot putihnya dan menghulurkan sehelai kertas putih yang
telah diconteng. Senarai ubat. Nasib baiklah aku faham tulisan tangannya. Kalau Ellin, mahu
berpusing-pusing kertas itu dibelek. Tulisan doktor ni memang buruk sangat-sangat. Aku dah
biasa dah dengan tulisan yang macam ini.
Mula-mula memang bengong juga nak faham. Tertilik sana, tertilik sini. Lepas itu mata
aku berputar-putar macam gula lolipop yang besar tu. Tapi bila dah lama-lama dan terbiasa
dengan tulisan yang „cantik dan berseni‟ macam ni, sedikit sebanyak aku fahamlah tulisan tangan
doktor kat sini. Bukan doktor saja, tulisan jururawat pun sepatah haram aku tak faham dulu.
Hmm…
“Your medicines?” Aku bertanya. Yalah, manalah tahu dia yang nakkan ubat ini. Tapi,
tengok muka tak sakit pun. Takkan baru mula satu hari dah jatuh sakit pula.
Dia menggeleng lantas mengukir senyuman. Hah?! Sekali lagi jantung aku bergetar hebat
melihat senyumannya.
“Pandai-pandai aje awak ni. Bukan untuk saya. My patient’s. Kesian dia tak boleh
berjalan kuat. Saya tolong ambilkan.”
Aku terangguk-angguk dan tersengih. Kononnya fahamlah. “Okey. Kejap eh.”
Aku pun dengan pantasnya mencari ubat yang dia mahu. Setelah jumpa semuanya, aku
masukkan ke dalam plastik putih berlogo hospital dan aku hulurkan kepadanya. Kertas yang
diberi tadi juga aku hulurkan semula.
“Nah, ubatnya dan juga kertas yang ada tulisan bunga-bunga tu,” kata aku sambil
berseloroh.
“Thanks…” Dia ketawa kecil dan menggelengkan kepalanya tiga empat kali.
“My pleasure.”
“Hmm... bila tengah bekerja, jangan berangan. Fokus ya,” sindirnya sambil mengenyit
mata kepada aku sebelum berlalu.
Aku tercengang-cengang. Ya Allah! Dia perasan ke aku tenung dia? Malunya!
Aku hanya memerhati langkah gayanya dari belakang. Penuh bergaya dan berkarisma. Sesuai
dengan status kerjaya yang dipegangnya. Seketika, dia menoleh dan memberikan senyuman
kepada aku sebelum meneruskan perjalanan. Sekali lagi aku terasa seperti terkena renjatan
elektrik.
Tepukan dari belakang menyebabkan aku terkejut tahap maksima. Melatah-latah aku.
Nasib baik tak keluar perkataan yang bukan-bukan. Aku lihat Ellin sudah terkekeh-kekeh
ketawa. Kurang asam punya budak! Kalau aku ada sakit jantung, mahu jatuh tergolek aku kat
lantai ni. Mati percuma aje.
“Kau ni, bukan main lagi tenung doktor tu? Berkenan ke?” Ellin menyindir aku.
Lenganku disenggol.
Aku membiarkan saja. Malas mahu melayan minah kepoh seorang ini. Aku terus buat
kerja aku.
TENGAH HARI ini aku makan sorang-sorang. Ellin puasalah pula. Entah apa mimpi budak tu
nak berpuasa. Selalu kalau nak puasa ganti ke, apa ke, dia selalu puasa pada bulan Rejab. Ni
lama lagi nak bulan Rejab ni. Ah, lantak dialah. Apa-apa pun, biar aku isi dulu perut aku yang
dah berlagu hip-hop ni.
Aku sendawa kekenyangan selepas menjamu selera tengah hari. Nasib baik tak kuat.
Kalau kuat, isy… malu juga. Hehehe. Dah makan tu, duduklah kejap kan, kasi turun semua yang
telah masuk dalam perut aku yang dah semakin buncit sekarang ini. Ni semua sebab aku suka
sangat minum air batu. Inilah jadinya. Hmm… nak buat macam mana, dah itu yang aku suka.
Yang ditegah itulah yang selalu aku buat.
Aku lihat jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 1.25 petang. Sempat lagi nak solat.
Aku berkira-kira untuk mengangkat punggung dari kerusi bilamana ada satu suara tiba-tiba
menyapa. Yang pasti, suara itu milik lelaki. Aku mendongak dan melihat doktor baru tadi berdiri
di depan aku.
“Hai, boleh saya duduk sini tak? Dah tak ada kosonglah,” sapanya meliarkan mata ke
segenap ruang kantin hospital.
Aku terlongo dan mata aku turut meneropong ke segenap ruang kantin yang sah padat
dengan kakitangan dan pelawat-pelawat pesakit.
“Boleh tak?”
Aku terkejut dek sergahan itu. Langsung terlatah bukan main. Nasib baik tak keluar
perkataan yang bukan-bukan. Keluarlah dialek Jawa bercampur Bugis dari mulut aku. Aku
nampak dia tersenyum. Ketawakan akulah tu! Kurang asam jawa!
“Eh, duduklah. Duduk… duduk… Lagipun saya dah sudah ni.” Terus aku
mempelawanya dengan sedikit gugup.
Dia mengucapkan terima kasih dan meletak pinggan berisi roti bakar dan air sirap limau
di atas meja lalu melabuhkan punggung.
Isy, makan roti aje? Boleh kenyang ke? Pulak tu lawan dengan sirap limau ais. Apa
punya menulah doktor ni. Orang minum dengan air teh ke, kopi ke. Ini air sirap limau. Isy, isy,
isy…
“Kawan awak lagi sorang tu tak makan sekali ke?” Dia bertanya sambil menyedut
minumannya.
Aku menggeleng. “Dia puasa hari ni.”
Aku sedikit gugup apabila berdepan dengan orang yang baru dikenali. Sebenarnya aku ni
tak pandai berbual sangat. Pendek orang tu tanya, maka pendeklah jawapan aku. Panjang ayat
yang ditanya, maka pendek jugalah aku membalasnya. Aku lihat dia mengangguk sahaja sambil
menikmati roti bakarnya. Berseleranya aku tengok dia makan, walaupun hanya dua keping roti.
Tidak mahu mengganggu dia yang sedang enak melahap dua keping roti bakar, aku pun
mengangkat punggung.
“Eh, Faiz, nak ke mana? Duduklah dulu, kita sembang-sembang ke.”
Tiba-tiba saja dia bersuara. Tadi bukan main lagi mencekik roti tu. Aku yang kat depan
dia pun buat tak nampak. Orang dah nak pergi baru nak ajak sembang pulak. Isy!
“Err, saya nak ke surau. Nak solat. Dah lambat ni. Takut tak sempat pulak kan. Tak
apalah, lain kali ajelah kita sembang eh. Lagipun saya tak mahu ganggu doktor makan,” ujarku
memberikan alasan. Bukan alasan apa pun, memang aku nak pergi solat. Sekarang dah pukul
1.35 petang.
Aku lihat dia tersenyum kecil dan mengangguk. Tu aje? Dan lepas tu, aku pergilah.
Melarikan diri untuk ke surau. Buat apa lama-lama kat situ. Nanti tergugat pulak iman aku bila
tengok senyuman dia. Astaghfirullah… apa yang aku merepek ni? Tolonglah, Faiza! Jangan
berangan boleh tak? Aku mengusir jauh-jauh perasaan itu dan terus mengambil wuduk.
Selesai saja menunaikan kewajipan, aku balik semula ke tempat asal aku iaitu kaunter
farmasi. Aku lihat Ellin sedang melayan seorang pelanggan. Di samping terdapat susuk tubuh
Dr. Maisara yang mengancam macam anak dara. Untuk pengetahuan, Dr. Maisara adalah
seorang janda meletup.
Perkataan itu aku dapat daripada doktor-doktor lelaki yang masih bujang dan bergelar
duda. Sebab-musabab Dr. Maisara diberi gelaran itu adalah kerana dia bergelar janda dalam usia
yang muda dan dia juga tidak pernah disentuh suaminya kerana suaminya meninggal dunia di
hari pertama mereka bernikah. Mengikut sumber yang dipercayai, suami Dr. Maisara mendapat
kemalangan di malam pertama pernikahan mereka.
“Hai, Kak Mai!” sergah aku dari belakang.
Dr. Maisara yang biasa aku panggil Kak Mai menjerit kuat. Aku dan Ellin
mengetawakannya. Dia terus menepuk belakang aku. Gamatlah sikit kaunter farmasi itu dengan
suara kami. Aku terus memasuki kaunter.
“Kau ni, buat Kak Mai terkejutlah. Isy!” marahnya sambil memuncung.
Aku masih lagi ketawa sementara Ellin melayan seorang pesakit.
“Kak Mai ni, ada apa datang? Ada gosip baru ke?” usik aku. Selalunya kalau dia datang
sini, dia memang suka bergosip. Cakap saja cerita apa, semua sudah ada dalam poketnya.
Dia merentangkan jari telunjuknya di mulut dan memandang ke kiri dan kanan. “Cakap
tu pelanlah sikit. Nanti orang dengar. Ni, Kak Mai memang nak bergosip ni. Kau orang kenal tak
doktor baru tu?”
Aku dan Ellin berpandangan sebelum kami sama-sama mengangguk. Dr. Sharizallah tu.
“Hah. Ni pasal dialah ni. Kau orang tau tak dia tu kena jaga satu wad dengan Kak Mai?
Ha, la ni… dia dah bikin panas itu wadlah.” Dr. Maisara menambah sambil diselang-seli dengan
loghat Penang.
Aku dan Ellin mengerutkan dahi.
“Kenapa, Kak Mai?” soal Ellin.
Aku mengiakan. Kami memandang muka Dr. Maisara. Penuh konsentrasi.
“Kau orang tau, bila dia masuk aje wad tu, semua jururawat pelatih dan terlatih
melopong. Kerja semua dah tak berjalan dah sebab mata tu asyik memandang doktor baru tu.”
Lah… pasal tu ke? Aku tak heran pun sebab perkara ni biasa terjadi. Tapi, luar biasa
sungguh aura doktor baru ni. Sampai jururawat-jururawat pelatih pun terpegun dengan dia.
Hmm… biasalah orang handsome macam dia, selalu jadi tarikan sampai aku pun tertarik. Eh,
mengarut lagi aku ni. Isy, sabarlah, Nur Faiza…
“HEBAT betul penangan doktor baru tu yek, Faiz. Sampai jadi rebutan macam tu,” ujar Ellin
sambil tersengih sumbing.
Aku mencebik saja sambil tangan sibuk mengalihkan kotak ubat yang menyemak di atas
meja aku. Isy, ni semua kerja si Ellinlah ni. Lambakkan kotak-kotak ubat kat atas meja aku.
Letaklah kat stor tu!
“Hoi!”
“Oh, mak kau!” Terus terlepas kotak-kotak ubat yang aku pegang ke lantai. Prang! Kus
semangat! Budak Ellin ni, aku lesing jugak karang!
“Kau ni berangan ke, beb? Aduh…” Ellin sudah ketawa bagai nak rak.
“Kau ni, kalau aku ada lemah jantung, mampus aku kat sini tau tak!” Aku menjeling
mukanya. Tajam. Geram dengan dia yang asyik menyergah aku sebegitu.
Dia membongkok untuk membantu aku mengutip semua ubat yang bertabur masuk ke
dalam kotak, sambil mengetawakan aku. Aku rasa macam nak luku-luku saja kepala Ellin. Luku
tu sama makna dengan jotoslah. Tak tau lagi? Jotos tu lebih kurang macam sekeh atau ketuklah
senang cakap.
“Alah, relakslah. Kau tulah… aku cakap buat dek aje. Tu yang aku sergah tu. Wei, kau
berangankan doktor tu ya?” Ellin bertanya sambil mengenyit mata. Kemudian, sebelah
keningnya dinaikkan seperti Ziana Zain.
Aku buat muka sambil mengangkat kotak ubat tadi masuk ke dalam stor. Ellin pun sibuk
mengikut. “Kau ni, asyik bercakap pasal dia aje. Boringlah. Tadi Kak Mai dah cerita dahlah. Ni
kau pulak nak sambung. Eh, penatlah dengar cerita yang sama. Biarlah dia nak jadi rebutan ke,
apa ke. Isy!”
Sememangnya aku rimas asyik mendengar cerita si doktor baru yang nama… siapa ek?
Entahlah, aku pun sampai dah lupa nama dia. Ellin ni pulak asyiknya bercakap pasal dia. Sana
sini aku dengar orang bercakap pasal dia. Malas betullah. Aku membebel dalam hati. Bosan pula
asyik mendengar cerita yang sama.
Hmm, malaslah aku nak layan si Ellin ni yang beria-ia cerita pasal doktor dia tu. Baik aku
buat kerja, lagi baik.
LEPAS punch kad, aku mengatur langkah ke kereta. Nak balik cepat. Kalau lambat sikit,
hmm… traffic jammedlah. Aku lihat kotak parkir yang selalu aku guna. Nampaknya ada lagi
kereta Toyota Altis berwarna hitam tadi, yang curi parking aku tu. Tak berganjak-ganjak dari
tempatnya.
Siapa agaknya yang berani-berani curi parking aku tu? Kalau aku dapat, lebam biji mata
dia aku tumbuk dengan buku lima aku.
Tanpa membuang masa aku terus masuk dalam kereta. Hidupkan enjin, biar enjin panas
sikit, baru boleh jalan. Buka air-cond dan radio. Cari punya cari, jumpalah Sinar FM. Petang-
petang macam ni best jugak layan lagu lama. Teringat masa masa muda dulu. Eh, sekarang aku
dah tua ke? Baru nak masuk 25 tahun. Isy, tak sesuai tau.
Agak-agak enjin dah panas, aku menolak gear undur, masuk gear satu lalu terus saja
MyVi SE aku meluncur keluar ke jalan raya. Mujur jalan tak sesak sangat. Aku sampai rumah
kira-kira setengah jam kemudian.
Eh, kenapa ada lori kecil pulak kat rumah aku? Eh, bukan rumah aku, sebelah rumah aku.
Rumah Shariza. Budak kolej tu. Gadis kecil molek tu. Banyak jugalah barangnya walaupun lori
kecil. Setelah aku parkir masuk ke dalam rumah, aku menegur Shariza yang biasa aku sapa
sebagai Ija. Kebetulan dia ada si situ.
“Abang Ija nak pindah masuk. Ni semua barang dialah ni. Dia dapat tukar kerja ke sini.
Tu yang duduk rumah Ija dulu tu. Tengoklah, barang-barang dia ni ha… penuh.”
Begitulah serba ringkas yang diceritakan Shariza. Rupa-rupanya abang dia nak pindah
masuk. Aku ingatkan dia yang nak pindah. Aku meminta diri untuk masuk ke rumah. Shariza
hanya mengangguk dan tersenyum.
Masuk saja ke dalam rumah, aku terus ke tingkat atas. Mana lagi kalau bukan bilik
sendiri. Mana lagi tempat yang best kalau bukan bilik sendiri. Apa lagi, aku pun
menghempaskan badan ke tilam empuk aku itu. Leganya dapat baring-baring. Rasa penat pula.
Mata pun mengantuk. Kalau dah baring ni, alamatnya, hmm… faham-faham sajalah.
Baru terlelap beberapa minit, telefon bimbit aku berdering. Aduh, kacau betullah!
Siapalah yang call aku ni? Dengan malasnya, aku mencapai telefon bimbit di atas meja solek.
“Helo,” sapa aku perlahan sambil menutup mulut dengan belakang tangan, bersangap.
Hendak tak hendak saja aku menyapa si pemanggil. Badan aku rebahkan semula ke atas tilam.
“Helo… akak. Ni mak ni.”
Ha? Mak aku? “Oh, mak. Akak ingat sapalah tadi. Mak apa khabar? Sihat?” Aku
bertanya sambil mengawal diri daripada bersangap. Rasa mengantuk masih menguliti diri.
“Mak sihat. Akak sihat?”
“Sihat, mak. Hmm… ayah dengan adik-adik macam mana? Dia orang semua okey ke?”
“Semua okey. Semua kirim salam kat akak.”
“Waalaikumussalam…”
“Akak bila nak balik kampung? Dah lama akak tak balik kampung. Tak dapat cuti ke?
Sesekali bawak-bawaklah bercuti. Jangan asyik nak kerja aje. Ni pun nak harapkan mak aje yang
telefon akak. Nak harapkan akak telefon, hmm… jangan haraplah.”
Emak terus-terusan bebelkan aku. Aku hanya tersenyum kecil dan menggaru kepala.
Yalah, dah dua bulan aku tak balik kampung.
“Alah, mak, bukan akak tak nak baliklah, cuma masa aje yang tak izinkan. Tak apa, mak,
nanti akak cuba apply cuti minggu ni. Kalau dapat akak telefonlah eh? Masa tu, bolehlah mak
buatkan masakan kegemaran akak. Kan, mak?” Aku mengusik emak. Sengaja hendak tahu
reaksinya.
Seperti dijangka, emak kata aku mengada-ada. Nak itulah, inilah. Aku pula terus pura-
pura merengek. Memang aku sengaja nak mengada-ada dengan emak. Lama tidak berjumpa
dengannya. Rasa rindu pula hendak merasa air tangannya yang memang power.
“Yalah. Pastikan akak balik minggu ni. Kalau tak, hmm… kirim salamlah.”
Aku hanya ketawa di hujung talian bila mendengar kata-kata emak yang berbaur ugutan
itu. “Yalah, mak. Akak janji. Nanti akak cuba apply. Mak tunggulah…”
Lama juga aku berbual, sehinggalah emak berkata mahu tunaikan solat maghrib. Aku
katakan yang aku belum mandi lagi sejak tadi. Seperti tadi, dia membebel kerana aku tidak terus
mandi. Tak lama kemudian kami berpisah di talian.
Aku terus mengambil tuala dan zup, masuk ke bilik air. Mandilah, apa lagi!
HARI ini nasib baik aku bangun cepat. Dapatlah aku elak traffic jammed. Aku keluar seawal
pukul 7.00 pagi. Bila aku buka pagar, aku ternampak kereta Toyota Altis warna hitam seperti
yang aku nampak di petak parkir hospital semalam di rumah Shariza.
Aku mengerutkan dahi. Hujung jari telunjuk aku letakkan di pinggir bibir. Aku
menjengah nombor platnya. Berapa ya nombor plat kereta semalam? Aku cuba hendak
mengingat. Gagal. Agaknya bukan kut. Takkan kereta sama pula. Tapi, kereta jenis ini kan ramai
orang pakai.
“Faiz…?”
Aku menoleh ke arah orang yang memanggil aku. Gulp! Dada aku berderau.
2
NASIB baik petak parkir aku yang dulu itu kosong. Nampaknya, tak ada lagi yang mencuri
parkir aku. Mungkin semalam keluarga salah seorang pesakit kut datang melawat. Dengan lagak
confident, aku terus masuk kotak parkir. Nasib baik tadi tak jam. Kalau tak, mahu lambat lagi.
Ni pun dah lambat. Semua sebab jiran baru aku tulah! Si doktor tu. Daripada nak datang
cepat, terus jadi lambat sebab melayan dia. Sok-sek, sok sek. Sampai 15 minit aku berbual
dengan dia. Hisy, mana kereta dia ni? Tak nampak pun lagi. Terteleng-teleng aku mencari
Toyota Altis warna hitamnya. Mana?
Eh, tadi kan dia masih di rumah masa aku pergi kerja? Aduh… kenapalah aku ni tiba-tiba
angaukan dia pulak? Karutlah kau ni, Faiza!
PAGI-PAGI buta lagi sudah ramai orang di kaunter farmasi. Penuh sesak tempat menunggu di
situ. Tapi dalam ramai-ramai begitu, adalah dalam tiga atau empat orang nak ambil ubat. Yang
lain-lain hanya pengikut atau keluarga pesakit yang menunggu di luar.
Aku lihat Ellin dan seorang pembantu farmasi sedang melayan pelanggan atau pesakit di
kaunter. Ops, terlupa pula nak cakap. Sebenarnya di unit farmasi ni ada dua lagi orang pembantu
farmasi dan seorang ahli farmasi pelatih. Dia orang ni tak payah nak expose lebih-lebih sebab
kerja belakang tabir aje. Karang melawan tauke pulak. Hehehe, jahatnya aku ni.
“Hai. Awalnya kau sampai pagi ni?” Ellin bertanya sambil memandang aku. Dia
tersenyum sinis.
Menyindirlah tu! Isy, minah kepoh ni. Aku mengerling ke arah Ellin yang ketawa kecil
sambil tangan sibuk memasukkan ubat ke dalam plastik. “Tak boleh ke aku nak datang awal?
Kau perli aku yek?”
“Tak adalah. Selalunya waktu macam ni kau belum datang lagi. Hari ni awal pulak. Ada
apa-apa ke?” Dia mengusik aku sambil tersengih mengejek.
“Aku nak elakkan traffic jammed.” Aku mencebik bibir. Ada-ada saja minah seorang ni.
Kalau aku datang lambat, membebel. Datang cepat pun membebel. Eii!
Ellin mencebik. Tak percayalah tu!
“Betullah, Lin. Aku takut terperangkap dalam jam. Kau nak tengok ke kawan kesayangan
kau ni kena tindakan tata tertib sebab selalu datang lambat? Tak nak, kan?”
Memang betul apa yang aku cakapkan. Kalau hari-hari punch card aku warna merah,
mahu kena panggil dengan pihak atasan. Terus kena tindakan tata tertib. Rosak reputasi aku
sebagai pekerja berdedikasi di sini nanti.
“Yalah tu…”
Aku tidak membalas kata-kata Ellin sebaliknya terus membuat kerja. Ellin ni kalau aku
cakap sampai seratus kali pun dia tak akan percaya. Biarlah dia dengan labu-labunya. Malas aku
nak layan. Tiba-tiba aku teringatkan kejadian pagi tadi. Kalau cerita kat Ellin, mesti dia berminat
habis ni.
Aku tersenyum dan bergerak mendekati Ellin yang ketika itu dia sedang menyediakan
ubat daripada transkripsi doktor untuk pesakit di depan kaunter. “Lin, aku ada cerita nak cakap
kat kau ni.”
Ellin menoleh ke arahku. “Apa dia?” soalnya tidak sabar.
Dia ni kalau bab cerita-cerita sensasi memang seorang pendengar yang baik. Aku
melempar senyuman dan menaikkan kening ala-ala Ziana Zain. Nak provok dia sikit. Hahaha.
“Faiz, apa dia kau nak cakap kat aku? Cepatlah cerita,” soalnya lagi.
Aku masih terus tersenyum ke arahnya. Dia merengus tanda protes kerana melengah-
lengahkan masa untuk bercerita. “Nantilah. Sekarang ni kau tengah sibuk. Rehat nanti aku cerita
ya, Cik Ellin?”
Dia menjeling aku dengan muka yang masam. “Kau ni, suka sangat lengah-lengahlah.”
Aku hanya ketawa melihat gelagatnya yang tidak ubah macam budak-budak.
“YA ke? Wah, untunglah kau,” ucap Ellin sambil tersenyum nakal. Ketika itu kami sedang
menjamu selera di waktu tengah hari.
“Apa yang untungnya pulak?”
Isy, tak faham aku minah seekor ni. Untung apanya kalau doktor tu tinggal berjiran
dengan aku? Kalau dia nak bayarkan duit rumah aku tak apalah juga. Setakat berjiran, apa yang
untungnya?
Ellin tersengih sambil menyudu kuah sup nasi ayam yang dipesannya tadi. Sebelah
keningnya diangkat. “Yalah… hari-hari kau boleh tengok muka dia. Dahlah handsome. Kalau
orang upah aku untuk hadap muka dia sehari suntuk pun aku sanggup.”
Amboi, gatalnya budak ni. Aku menggeleng-gelengkan kepala melihat Ellin yang suka
berangan-angan macam Mak Jenin.
“Kau ni… bukan main lagi eh. Pantang nampak lelaki dahi licin sikit, dah terpikat.
Mulalah miang buluh tumbuh merimbun kat badan kau tu.” Aku menempelaknya.
Seperti yang dijangka, dia menarik muka masam. Eii… buruk bebenor muka dia monyok
macam tu. Macam muka tapai basi.
“Eleh, kau ni… gurau sikit nak muncung. Kau tau tak, sebab doktor kesayangan kau tu
aku datang lambat sikit tadi. Ni semua pasal aku tersangkut berbual dengan dia sampai 15 minit.
Nasib baik tak traffic jammed tau,” bebel aku sambil mencuri pandang wajah Ellin untuk melihat
reaksinya.
Dia membulatkan mata dan tersengih kepadaku. Kan? Dia berminat lagi…
“Wei, kau bual apa dengan dia? Ceritalah, beb…” desak Ellin dengan perasaan ingin
tahu. Mukanya sudah kembali ceria. Sekejap saja rajuk dia tu. Kalau merajuk pun, tak lama.
“Tak apa. Bual-bual kosong aje.”
“Eleh, bohong. Kalau bual-bual kosong, takkan sampai 15 minit? Hah, baik kau cerita kat
aku…”
Ellin sudah melayang-layangkan jari telunjuk ke muka aku bersama senyuman nakal.
Anak matanya dipicingkan, terus ke mata aku. Hai, kawanku si Ellin Nurnadiah ni, kalau dia tak
dapat korek rahsia, selagi itulah dia asyik nak provok.
“Ceritanya…”
Aku mula ceritakan kejadian yang membuatkan aku terlambat sikit pagi tadi. Ini semua
disebabkan jiran baru aku tu. Siapa lagi kalau bukan Dr. Sharizal.
AKU tersengih sumbing di depan dia yang sedang melempar senyuman manis kepada aku.
Sebenarnya aku tergamam. Tak percaya. Betul ke apa yang aku nampak ni? Aku cuba mencubit
paha kiri. Sakit. Ni bukan mimpi. Ni betul-betul.
Dia duduk berjiran dengan aku!
“Hai,” ucap aku sambil melambai tangan kepadanya. Teragak-agak.
Dia membalas ucapan hai aku lalu melambai semula. Kemudian dia berjalan ke jeriji besi
yang memisahkan rumah kami. Macam penjara pula aku tengok bila dia memegang jeriji besi itu
dengan kedua-dua tangan. Memang sebiji macam banduan. Hehehe, jahatnya aku.
“Tak sangka kita boleh berjiran, kan? What a small world,” ujarnya.
Aku tersenyum kecil dan mengangguk. Aku pun tak sangka yang dia berjiran dengan aku
sekarang. Memang kecil pun dunia ni. Kubur lagi kecil, bah. Ops! Tak sayang mulut betul aku
ni. Astaghfirullah…
“Ha‟ah. Memang kecil dunia ni,” balas aku pula sambil ketawa kecil. Nak cover perasaan
gugup dan malu.
Aku melihat dia yang segak berkemeja lengan panjang berwarna merah dan tali leher
warna hitam. Memang kacak. Sesuai dengan kulitnya yang putih itu. Aku ni, hitam sikitlah
daripada dia. Tak hitam sangat, sawo matang kata orang.
“Faiz?”
Aku tersentak daripada lamunan lalu mengangkat muka ke arahnya. “Hah?”
“Kenapa awak tengok saya sampai macam tu? Saya pakai baju terbalik ke?” soalnya
sambil melihat baju yang dipakai.
Hai… kalau dah handsome tu, pakai baju terbalik pun nampak handsome, doktor.
“Eh, taklah… elok baju tu. Cantik. Err… doktor nampak handsome dengan pakaian tu.
Saya suka.” Nah… ambik! Terus pula aku memuji dia melambung.
Dia pun apa lagi, agaknya makin kembang semangkuklah dengar pujian aku tu. Makin
melebar senyuman dia. Eh, aku kata aku suka ke tadi?
“Ya ke? Terima kasih. Awak pun nampak cantik dengan baju tu. Nice,” balasnya memuji
aku pula.
Aku melihat baju aku. Hanya baju kurung yang dah berusia setahun dan bercorak batik.
Baju yang dipakai setiap hari Khamis. Hai… baju aje ke yang cantik? Aku ni tak cantik ke?
Penat tau aku mekap tadi.
“Awak pun nampak cantik.”
Gulp! Dia puji aku ke? Eh, dia dengar ke kata hati aku tadi? Ada sixth-sense ke doktor
ni? Walau apa pun, terima kasihlah sebab puji aku yang memang dah cantik ni. Isy, perasan.
Siapa lagi yang nak puji aku selain diri sendiri, kan?
“Terima kasih. Buat susah-susah aje,” ucap aku sambil tersengih.
Dada aku mula bergoncang apabila panahan matanya tajam merenung mukaku. Tak tentu
arah dibuatnya. Macam nak terpengsan pula rasanya. Isy, tak pernah aku rasa macam ni. Adakah
aku… ah, jangan berangan, Faiza…
Aku lihat jam. Alamak! Dah pukul 7.30! Lambat lagi ni. Dah lewat 15 minit. Ni semua
dia punya pasallah ni!
“Eh, okeylah, doktor. Saya nak pergi hospital dulu. Dah lambat. Takut jammed.” Aku
berjalan ke arah pintu pagar dan membuka pagar seluas-luasnya kemudian terkocoh-kocoh
membuka pintu kereta.
“Oh, yalah. Minta maaf, Faiz, saya dah melewatkan awak.”
“Tak apa. Berkenalan dengan jiran baru,” kata aku sambil tersenyum lalu menghidupkan
enjin kereta. Aku lihat ada senyuman terukir pada bibirnya.
“Eh, doktor tak pergi hospital ke? Tak pergi sekali?” tanya aku. Yalah, aku dengan dia
kan kerja bawah satu bumbung. Mestilah dia nak pergi kerja juga.
“Ha‟ah. Tengah tunggu Ija ni. Dia kata nak tumpang sekali. Mana entah, tak turun-turun
lagi.”
Aku mengangguk tanda faham. Tak lama kemudian aku meminta diri untuk pergi kerja.
Kereta aku undur ke belakang, keluar dari halaman rumah. Keluar kereta lagi untuk menutup
pintu pagar.
“Hati-hati memandu!” laungnya ketika aku sudah berada di dalam perut kereta.
Aku hanya mengangkat tangan sebelum keretaku meluncur laju meninggalkan
pekarangan rumah. Dah lambat ni!
“HAH, lepas ni bolehlah kau jalinkan hubungan lebih rapat dan mesra lagi dengan dia. Dah
berjiran tu… almaklumlah, boleh berdating, bercinta kat depan rumah, lepas tu kahwin…”
Aku menampar bahu Ellin. Mulalah dia nak melalut sampai ke situ. Gila ke apa? Ada ke
fikir sampai ke situ sekali? Entah-entah orang tu dah bertunang ke, ada girlfriend ke… Pandai-
pandai aje si Ellin ni.
“Isy! Mulalah kau nak merepek. Apa ni kahwin-kahwin? Baru kenal dua tiga hari dah
nak kahwin apanya. Mengarut. Lagipula, nak ke Dr. Sharizal tu kat aku? Mengarutlah kau ni,
Lin.”
“Mana kau tahu dia tak nak kat kau? Kau ada tanya ke? Isy, tak apalah pelan-pelan.
Mula-mula sesi suai kenal dulu. Lepas tu barulah boleh jalinkan hubungan yang lebih mesra
lagi,” kata Ellin sambil mengenyit mata.
Aku mencebik bibir dan menggeleng-gelengkan kepala.
“Lagipun aku tengok kau sesuai sangat dengan Dr. Sharizal tu. Kau cantik. Dia kacak.
Hah… dah kenalah tu.” Ellin ketawa. Makin galak mengusik.
“Eii… kau ni pandai-pandai aje nak mix and match aku dengan Dr. Sharizal. Aku rasa
kau ni patut jadi ejen pencari jodoh daripada jadi pharmacist tau. Dahlah… aku nak solat kejap.
Malas nak layan kau ni. Nanti tak solat pulak aku ni.” Aku mengangkat punggung lalu berjalan
ke pintu kantin. Malas nak layan Ellin. Makin dilayan, makin menjadi-jadi nanti. Tak kuasa aku.
“Faiz! Tunggu aku!”
3
AKU ke Carrefour hari ini. Nak beli barang dapur langsung mencari lauk. Peti ais di rumah aku
sudah seminggu tak berisi. Biasalah, orang bujang macam aku ni. Tapau di kedai saja. Hehehe.
Bukannya aku malas masak. Aku kan duduk seorang saja di rumah. Tu yang kadang-kadang
dapur aku selalu tak berasap. Nanti kalau aku masak, makanan tak habis. Berlepuk buang dalam
tong sampah. Kan membazir namanya tu.
Aku beli ikan cencaru tiga ekor. Ni bakar ajelah. Tak payah masak-masak. Senang kerja.
Sayur kubis, kacang, lada, bayam, semua aku angkut. Aku suka berbelanja di Carrefour sebab di
sini macam-macam ada. Tak payah nak pergi pasar. Beli saja di sini. Semua ada.
Daripada nak beli barang dapur, terus melarat-larat ke makanan yang lain. Lalu di ruang
makanan ringan, aku sambar tiga paket Twisties, dua paket asam, dua paket jeruk betik. Lalu kat
di ruang coklat, aku sambar sampai tiga papan. Lalu tempat Maggi, tiga bungkus aku angkut.
Dan macam-macam lagilah sampai penuh troli.
Tiba di kaunter bayaran, sekali… mak ai, RM215.00! Ni dah terlebih bajet ni. Hai, nasib
baik aku bawak duit lebih. Kalau tak, tak tahulah aku. Nilah padahnya kalau berbelanja ikut
nafsu semata-mata. Padan muka aku!
AKU menyorong troli yang penuh dengan barang-barang, terutamanya makanan ringan, ke
kereta. Bonet belakang aku buka. Barang-barang di dalam troli aku pindah masuk ke dalam. Ikan
dan ayam yang aku beli tadi aku letak di satu tempat khas supaya tak bau hanyir nanti.
Banyaknya barang-barang aku ni. Sebulan pun belum tentu habis. Masakan tidak, duduk seorang
diri saja.
“Faiza?”
Satu suara menegur aku dari belakang. Serta-merta tanganku terhenti daripada
memindahkan barang-barang. Aku menoleh ke belakang. Mak! Aku terperanjat!
“You kenal I lagi?” Orang itu bertanya.
Aku bagaikan terkaku di situ. Tak percaya dengan apa yang aku lihat. Betul ke apa yang
aku nampak? Aku mengerdipkan mata beberapa kali. Cuba menidakkan apa yang ada di depan
mata. Kalau boleh aku tak mahu lihat kelibatnya. Hatta bayangnya sekalipun. Harap-harap
mimpilah semata-mata.
“You tak bermimpi, Faiza. Ni I… Hakimi.”
Aku terlongo. Betullah aku tak bermimpi! Mahunya aku tak kenal dia. Inilah dia
jantannya yang pernah melukakan hati aku. Yang pernah membuat hidup aku gelap seketika.
Yang pernah buat aku hilang pedoman hidup dan ditemani air mata sepanjang masa. Inilah dia
jantannya! Yang begitu tega menyeksa jiwa dan raga aku. Buat apa dia muncul sekarang kat
depan aku?! Ukh…
Aku tidak mempedulikannya. Tanganku terus laju memasukkan barang-barang ke dalam
bonet kereta. Buat-buat tak nampak. Menyampah aku mahu lihat mukanya. Elok-elok aku dah
lupakan dia selama ini, tiba-tiba dia datang kembali. Apa semua ni?
“Faiza, I tau you masih marahkan I. I mengaku, I salah. I tak sepatutnya buat you macam
tu.”
Eleh… kalau bercakap lembut gigi daripada lidah! Aku menjeling sekilas ke mukanya
dengan perasaan meluat. Nampaknya luka lama aku berdarah kembali.
“Tapi, Faiza, ini bukan seperti yang you sangkakan. I ada sebab...”
“I tak ada masa nak dengar semua tu,” ujar aku memintas kata-katanya.
Memang aku malas hendak dengar semua itu. Aku takut akan termakan lagi pujukannya.
Selama dua tahun dia menghilangkan diri dan sekarang muncul kembali dalam hidup aku? Apa
semua ni? Dia nak porak-perandakan hidup aku lagi ke? Tak puas lagi apa yang dia dah buat
pada aku selama dua tahun ni?
“Faiza, bagi I peluang nak jelaskannya.”
“Tak ada masa,” ujar aku kasar seraya membuka pintu kereta. Tanganku cepat dia sambar
sebelum sempat aku membuka pintu. Aku merengus kasar.
“Lepaslah!” Suaraku tinggi. Aku cuba melepaskan genggaman tangannya yang kejap
pada pergelangan tanganku. Matanya memandang aku dan aku membalas pandangannya dengan
renungan tajam menikam.
“Tolong bagi I peluang jelaskan semua tu. I tak mahu you salah sangka.” Dia masih
merayu dengan mata yang sedikit redup.
“Nak jelaskan apa lagi? Sudah terang lagi bersuluh. You yang mempermain-mainkan
perasaan I! You tau tak betapa seksanya I bila you buat I macam tu? You tinggalkan I sedangkan
you tau I akan exam tak lama lagi masa tu. You… a liar!” jeritku nyaring lalu menolak tubuhnya
jauh daripadaku. Aku sudah tidak mempedulikan beberapa pasang mata yang melihat drama
kami di situ. Tak peduli lagi.
Hakimi menundukkan wajah, tapi tanganku tidak dilepaskan. Dia kemudian mengangkat
muka dan merenung aku lagi.
“I tau I salah, Faiza. Maafkan I,” ucapnya perlahan.
Huh! Aku memalingkan muka ke arah lain. Cuba melepaskan lagi tangan, tidak juga
berjaya.
“Senang kan you minta maaf? Maaf! Kan senang nak ucap tu. Satu perkataan aje. Huh,
you tau tak, Hakimi, bila I dapat tahu you hanya nak permainkan I, I rasa macam… I rasa dunia I
gelap. You tau tak betapa kecewanya I bila you kata you hanya dicabar oleh kawan-kawan you
untuk memikat I? You ingat I ni apa? Barang dagangan? I dah curahkan kasih sayang, cinta
separuh mati kat you, tiba-tiba itu balasan atas pengorbanan yang I dah lakukan pada you! You
tak fikir?!”
“Sekarang ni, kenapa you datang semula dalam hidup I? You nak porak-perandakan lagi
hidup I yang dah bahagia ni? Cukuplah, Hakimi… cukup!” Air mata sudah mula bergenang di
tubir mata. Tunggu masa saja untuk berguguran, jatuh ke pipi. Dada aku tiba-tiba rasa sebak bila
mengingatkan peristiwa lampau yang membabitkan aku dan dia.
“Lepaslah!” Aku cuba lagi melepaskan tangan daripada cengkaman tangannya yang
kejap. Dah kebas rasa tangan aku ni. Sakitlah, bodoh! Nak aje aku jerit kat dia macam tu.
Makin aku hendak lepaskan tangan aku, makin kejap dia menggenggamnya. Matanya
yang agak redup terus merenung mataku.
“Kenapa ni? Ada apa bising-bising ni?” Tiba-tiba satu suara menyampuk dari belakang.
Aku dan Hakimi menoleh. Ya, dia dah datang! Penyelamat aku dah datang! Kesempatan
itu aku gunakan untuk melepaskan tangan daripada cengkaman Hakimi. Aku tolak tubuhnya
sedikit. Badannya terdorong ke belakang.
“Kenapa ni, Faiz?” Dr. Sharizal bertanya dengan kerutan pada wajah. Dia memandang
aku dan Hakimi silih berganti. Inginkan penjelasan.
“Err…” Tiba-tiba aku mendapat idea nakal. Pantas aku memegang lengan Dr. Sharizal.
Aku rapatkan diri dengannya. Dia nyata terkejut dengan tindakan aku yang tiba-tiba.
“Sayang, dia tiba-tiba kacau I. I tengah tunggu you, tiba-tiba dia datang.” Aku merengek-
rengek manja dengan Dr. Sharizal. Mesti dia ingat aku gila agaknya. Ah, nanti-nantilah aku
cerita. Sekarang ini, aku mesti lepaskan diri daripada lelaki di hadapan aku ini.
Hakimi terkejut. Bulat matanya memandangku. “Siapa ni?”
Dia bertanya, merujuk kepada Dr. Sharizal yang aku nampak dapat mengawal perasaan
terkejut dengan tindakan aku tadi. Tindakan yang boleh dianggap sebagai syok sendiri!
“Ni tunang I. Tak lama lagi kami akan langsungkan perkahwinan.” Selamba sahaja aku
berkata tanpa melihat reaksi Dr. Sharizal. Mungkin terkejut beruk agaknya.
“What?” Hakimi terpempan. Matanya membuntang ke arah aku. Dia mengundur setapak
ke belakang, memegang kepalanya dan merenung aku dengan pandangan tidak percaya.
4
SUDAH seminggu perkara itu berlaku, tapi aku rasa macam baru semalam. Aku rasa tidak
tenteram sejak perkara itu berlaku. Apa yang buat aku rasa malu ialah aku sanggup mengaku
yang Dr. Sharizal itu tunang aku!
Tak ke bodoh namanya tu sampai menyeret dia sekali ke dalam masalah aku? Aku dah
pergunakan dia untuk menyelamatkan diri aku sendiri. Ada ke patut aku ni? Malu betul aku lepas
perkara itu berlalu. Bengang gila babas aku! Isy!
Masih terngiang lagi perbualan aku dengan dia setelah Hakimi pergi meninggalkan kami.
“IT’S okay, Faiz. Awak tak payahlah nak minta maaf dengan saya. Saya tak tahu apa masalah
awak dengan kawan awak tu, tapi saya rasa saya memahaminya. Sudahlah, benda dah berlaku
kan…” Dia cuba memujuk aku. Sedikit senyuman dihadiahkan.
Aku menyangka dia akan memarahi aku atas perbuatan aku tadi, rupa-rupanya tidak.
Nasib baiklah dia tak marah, malah memujuk pula. Sedikit sebanyak, aku terpujuk dengan
pujukannya itu. Cair jugalah hati aku.
“Awak okey ke?” soalnya kemudian.
Aku mengangkat muka dan mengukir senyuman. Pantas kepala aku mengangguk. “Saya
okey.”
Kami terdiam seketika. Masing-masing membisu. Aku tak tahu hendak kata apa. Aku
rasa teramat malu! Kalau boleh, aku nak masuk balik ke dalam perut mak aku! Tak pun, masuk
sorok muka dalam tong sampah. Tak dapat nak digambarkan betapa malunya aku saat ini.
“Eh, okeylah. Saya balik dululah, doktor. Dah lewat ni.” Aku tiba-tiba menyedari akan
masa yang makin lama makin senja. Bukannya makin pagi.
Aku melihat jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 6.30 petang. Ah, traffic jammedlah
ni! Ni semua pasal si Hakimi geduak tu. Isy, kalau tak, dah selamat dah aku sampai rumah. Aku
berkalih ke pintu kereta. Bersedia untuk membuka pintu kereta.
“Faiz?” Dr. Sharizal memanggilku. Automatik leher aku berpusing dan memandangnya
yang sedang berdiri beberapa meter dari tempat aku berdiri.
“Ya,” jawab aku sambil menaikkan kening.
Dia berjalan ke arah aku. Sambil itu tangannya menyeluk saku seluarnya. Tangan kanan
aku diraih dan sekeping kad namanya diletak di atas telapak tanganku. Aku memandangnya
hairan. Selebihnya terkejut kerana dia berani memegang tanganku.
“Call saya kalau awak perlukan apa-apa. Tak kiralah apa. Even if you only want to share
your problem with me or anything, I’m willing to hear it,” katanya perlahan. Hanya didengari
oleh kami berdua saja ketika itu.
Aku membelek kad namanya yang berwarna biru firus itu. Cantik juga kad nama ni, bisik
hatiku. Tapi bukankah kami berjiran? Perlukah aku telefon dia kalau aku ada apa-apa? Macam
sakit ke…? Hehehe. Apa salahnya laung saja dari rumah? Tak boleh? Boleh tu memang boleh,
tapi sanggupkah aku berbuat begitu? Isy…
“Err… thanks.” Itu saja yang mampu aku katakan. Aku kemudiannya meminta diri untuk
pulang.
“Ingat tau. Do call me if anything happens to you. Saya kan… tunang awak,” ucapnya
perlahan, disertai dengan senyuman nakal.
Allah… Malunya aku bila dia berkata begitu. Macam pinggan melekat pada muka saja.
Malunya! Padan muka aku! Padan! Aku ketawa kecil dan mengangguk. Sesaat kemudian
keretaku meluncur keluar dari pekarangan petak parkir pasar raya itu.
“FAIZ?”
Aku tersedar daripada lamunan panjangku apabila mendengar satu suara menyapa dari
depan. Aku mendongak. Terlihat sebaris senyuman terlakar pada bibirnya. Dia mengambil
tempat di sebelahku.
“Awak okey?” Dia bertanya. Aku membeliakkan mata lalu tersenyum dan perlahan-lahan
aku menganggukkan kepala.
“Ya. Saya okey. Thanks,” jawab aku perlahan. Sinaran matanya menerjah ke mataku.
Aku menunduk malu. Malu apabila dia merenung aku begitu. Mulalah dada aku berdebar-debar
bila terpandangkan senyuman dia yang memikat jiwa lara aku tu. Mulalah jantung tak berhenti
berdegup. Kenapa ni?
“Baguslah kalau macam tu. Risau saya tengok muka monyok awak tu. Tak payahlah nak
ingatkan perkara yang dah lepas.”
Senyuman masih terus bergayut di bibirnya. Aku pula? Terasa malu dengan kata-katanya
itu. Teringat ketika aku dengan berani matinya mengaku dia sebagai tunang aku. Nak kahwin tak
lama lagi pula tu kat depan Hakimi. Bukan kepalang malunya aku masa tu. Selama seminggu
juga aku malu nak berdepan dengannya, walaupun berjiran.
“Saya nak minta maaf sekali lagi sebab dah heret doktor sekali dalam masalah saya
minggu lepas. Malunya saya masa tu. I really regret it. I’m sorry.” Entah ke berapa kali aku
meminta maaf dengannya. Aku memang menyesal dan tersangatlah malu dengan diriku, juga
terhadapnya juga. Tak pasal-pasal terlibat sekali dalam kes aku dengan Hakimi.
Dia tersenyum lebar. Kepala digelengkan beberapa kali. Pandangan matanya tertancap ke
mataku lagi. Lemah betul aku bila mata coklat itu terpanah ke anak mataku. Cepat-cepat aku
memutuskan tautan mata dengannya dan meliarkan mata ke sekitar kantin.
“It’s okay. Saya tak kisah pun kalau itulah jalan penyelesaian awak dengan bekas kekasih
awak tu. Saya juga tak kisah kalau saya tunang awak betul-betul.”
Terbatuk aku bila mendengar kata-katanya. Aduh… Manalah Ellin ni lama sangat ambik
air. Terasa perit tekak aku tiba-tiba. Aku sempat mengerling wajahnya yang tersenyum ketika
berpaling ke tempat lain.
“Hah… dating ya?” Ellin menyergah dari belakang dengan menatang dulang berisi tiga
cawan kopi dan sepiring besar roti bakar. Terperanjat aku. Kus semangat!
Dia tersengih sambil mengatur cawan-cawan berisi air di depan kami. Ada tiga gelas
kesemuanya. Eh, lagi satu siapa punya?
“Memandangkan abang ada kat sini, kenapa tak kalau Lin beli lagi satu cawan untuk
abang. I treat you, babe.”
Mata aku membulat memandang muka Ellin. Abang? Aku pandang mereka silih berganti.
“Abang? You all ni dah kenal ke?” Aku tidak faham. Terpinga-pinga.
Ellin membuntangkan matanya. Tidak faham. “Eh, mana ada? Kau ni banyak sangat
berangan. Bila masa aku panggil Dr. Sharizal abang? Tak adalah. Kau ni sebenarnya dah lapar,
kan? Ha, ni roti bakar yang kau pesan. Makan ya.”
Aku lihat muka Ellin selamba saja. Sepiring roti bakar untuk sarapan pagi dihidang di
depan aku. Aku pelik. Tadi aku dengar dia panggil abang. Ke aku dah pekak? Nak kata pekak,
tak juga. Nak kata banyak bijih, hari-hari aku korek telinga, keluarkan bongkah-bongkah emas
yang diternak kat dalam lubang telinga aku ni.
Aku pandang ke muka Dr. Sharizal yang juga kelihatan bersahaja. Ellin mempelawanya
untuk bersarapan sekali. Sekeping roti diambil dan dihulurkan kepada Dr. Sharizal. Isy, memang
betullah aku silap dengar agaknya. Isy…
AKU memulakan kerja macam biasa. Kerja yang aku buat masa ini adalah mengira bekalan ubat
yang ada. Kalau ada yang tidak cukup dan hampir habis, aku kena buat laporan dan memesan
lagi. Ellin dan Saiful, ahli farmasi pelatih itu bekerja di kaunter hadapan.
Boring gila kalau tiba masa nak kira stok ni. Pening-pening lalat aku nak mengiranya.
Dah penat-penat kira, terlupa pulak. Dah nak kena kira semula. Merungut juga aku bila kena kira
stok. Nak termuntah rasanya. Sudahnya aku melepas penat dan kepeningan di atas kerusi plastik
yang ada di belakang. Baru hendak membuang penat, Saiful sudah berteriak memanggil.
“Kak, telefon untuk akak.”
“Siapa, Pul?” Aku bertanya malas. Saiful angkat bahunya tanda tidak tahu. Isy, siapa
yang call ya? Gagang yang dihulurkan aku sambut. “Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Kak, ni Ana ni.” Adikku, Farhana, mesra disapa Ana menjawab
tergesa-gesa.
“Ya. Ada apa Ana telefon akak ni? Ada hal penting ke?” Aku bertanya kerana tidak
sedap hati apabila adikku menelefon di waktu aku sedang bekerja begini. Aku mengerling wajah
Ellin di sebelah.
“Akak, Ana ada benda nak cakap ni. Akak jangan panik ya.”
Aku makin diburu resah apabila mendengar Farhana berkata begitu. “Kenapa ni, Ana?
Ada apa?”
Kedengaran Farhana menghela nafas. Aku pula jadi tidak tentu arah. Mula rasa tak sedap
hati.
“Ayah masuk hospital.”
“Hah?! Kenapa, Ana?” Berderau darahku mendengar ayat itu. Ayah sakit? Putih mataku
memandang Ellin yang mengangkat tangannya, ingin tahu.
“Ayah kena sakit jantung. Baru kejap ni. Ana, mak, semua ada kat hospital ni,” ujar
Farhana dengan nada yang sedikit bergetar.
Aku menyandar pada kerusi dan memicit dahi. Astaghfirullah al-azim. Dadaku sudah
mula rasa sebu mendengar berita itu.
“Okey… okey… Akak balik sekarang.” Aku mematikan talian tanpa menunggu jawapan
daripada Farhana. Ya Allah! Apa aku nak buat ni?
“Kenapa, Faiz?” Ellin bertanya ingin tahu. Kedua-dua bahu aku sudah dipegang.
“Ayah aku masuk hospital. Aku kena balik sekarang, Lin.” Aku sudah rasa cemas.
Jantung berdetak laju.
Ellin melopong dan terperanjat. “Okey, okey. Kau balik dulu. Nanti aku cakapkan kat
pentadbiran.”
“Thanks, Lin. Aku balik dulu.” Aku mencapai beg tangan dan kunci kereta di dalam laci.
“Hati-hati, Faiz,” pesan Ellin dengan wajah risau.
Pantas aku mengangguk dan terkocoh-kocoh pergi. Aku perlu balik secepat yang
mungkin. Ya Allah ya Tuhan-ku, Kau selamatkanlah ayahku! Aku berdoa dalam hati.
AKU sampai ke Batu Pahat, Johor tepat pukul 6.00 petang. Sepanjang perjalanan, aku hanya
berzikir, agar ayahku selamat. Aku takut kehilangannya. Aku sayang ayah. Aku masih perlukan
kasih sayangnya. Aku memarahi diri kerana tidak pulang ke kampung dek sibuk dengan tugas
harian.
Padan muka aku! Asyik ingat kerja, kerja. Nak menjenguk mak ayah di kampung pun tak
sempat. Aku kesal. Ya Allah, ya Tuhanku… Kau panjangkanlah umur ayah aku agar dapat aku
berbakti kepadanya. Amin. Tidak putus-putus aku berdoa kepada Yang Khaliq.
Masuk saja ke pintu gerbang hospital, terus aku ke Wad Kecemasan. Dari jauh aku lihat
ibu, adik-adik dan pak ngah aku sedang menunggu di luar bilik pembedahan. Menurut Farhana,
ayah aku telah dimasukkan ke Wad Kecemasan dan doktor menyarankan ayah agar dibedah
segera kerana dia mengalami strok dan darah beku perlu dikeluarkan dari kepalanya. Ya Allah…
Aku terus memeluk ibuku yang sedang menangis teresak-esak. Aku mengusap badannya,
cuba menenangkan. Adik-adik aku semua sudah sembap mata akibat menangis.
“Sabar ya, mak. Insya-Allah, ayah akan selamat. Banyakkan berdoa.” Aku menenangkan
lagi ibuku. Aku turut menumpahkan air mata, namun tidak ketara. Aku mesti menunjukkan
kepada ibu dan adik-adik bahawa aku seorang yang tabah, walaupun aku tidak seperti itu. Aku
ini lemah orangnya.
“Macam mana boleh jadi macam ni, pak ngah?” Aku bertanya kepada pak ngah yang
menyandar pada dinding hospital. Mukanya juga keruh kerana bersedih.
“Pak ngah pun tak tahulah, Faiz. Ika datang rumah kata ayah pengsan. Pak ngah pun
datang dan bawak ayah ke hospital.”
Aku melepaskan keluhan halus. Kepala aku sandarkan pada dinding konkrit hospital.
“Ika, macam mana boleh jadi macam ni?” Aku lontarkan pertanyaan yang sama kepada
Syafika. Dia mengangkat muka. Matanya sudah bengkak. Dialah yang paling banyak menangis
aku tengok. Terenjut-enjut bahunya menahan esak tangis.
“Ayah jatuh tangga. Masa tu Ika yang mengada-ada nak makan kelapa muda. Ika paksa
ayah suruh ambik. Ni semua salah Ika. Salah Ika, kak. Maafkan Ika.” Syafika menjawab dalam
sendu. Dia menangis lagi. Kuat. Mungkin menyesal atas perbuatannya.
Aku meraih tubuh Syafiika ke dalam pelukanku. Cuba menenangkan. “Shh… dah, dah…
jangan menangis. Benda dah berlaku, kan…”
Syafika terus menangis dalam dakapanku. Sedaya upaya aku cuba menenangkannya.
Adik bongsuku yang baru berusia 15 tahun ini memang gembeng orangnya. Lebih gembeng
daripada kakaknya ini. Aku menggosok-gosok belakangnya.
Setelah agak lama menunggu, lampu kecemasan terpadam. Beberapa saat kemudian
seorang doktor keluar.
“Macam mana doktor dengan ayah saya?” Terus aku bertanya. Mewakili ahli keluargaku.
Wajah doktor itu aku renung.
Doktor itu menghembuskan nafas halus. “Buat masa ni keadaan En. Kamaludin stabil.
Kami dah berjaya keluarkan darah beku dari kepalanya.”
Aku menarik nafas lega mendengar kata-kata doktor tersebut.
“Tadi dia terkena serangan jantung yang serius. Mujurlah dia sempat dihantar ke sini.
Alhamdulillah… Tapi En. Kamaludin terpaksa diletakkan di ICU untuk pemantauan. Kami akan
lakukan beberapa ujian,” sambung doktor tersebut kemudiannya.
Aku menganggukkan kepala. Dia mengehadkan seorang pelawat saja melawat ayahku
dalam satu-satu masa. Selain itu, pelawat akan dikenakan pakaian khas yang disediakan. Aku
mengangguk faham. Memang itu prosedurnya. Doktor tersebut kemudiannya meminta diri untuk
beredar.
“Mak, mak pergi tengok ayah dulu ya.”
Emak mengangguk lemah. Aku menghantar emak masuk ke Wad ICU. Seorang
jururawat membantunya memakai pakaian khas dan topeng muka untuk masuk melawat. Aku
menghantar emak dengan pandangan mata sehingga kelibatnya menghilang ke bilik-bilik CCU
itu. Aku menarik nafas lega kerana keadaan ayahku tidaklah membimbangkan.
Aku menelefon Ellin, mengatakan esok aku bercuti. Mungkin Isnin nanti baru aku masuk
kerja. Tengoklah keadaan ayah aku macam mana. Kalau dia sudah betul-betul stabil, barulah aku
balik Melaka. Kalau tak, aku akan ambil cuti tambahan untuk menjaga ayah. Ellin memahami
situasiku dan menasihatiku agar bersabar kerana ini semua ujian daripada Allah. Aku
mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Ellin.
Walaupun Ellin gila-gila orangnya, tapi dia seorang sahabat yang terlalu mengambil
berat. Aku bangga mempunyai sahabat sepertinya.
AKU tersedar apabila dikejutkan oleh Farhana. Aku terpisat-pisat bangun sambil memandang
sekeliling. Nampaknya aku tertidur di hadapan Wad CCU. Patut pun badan aku sakit. Kerusinya
keras. Aku menggeliat kiri dan kanan untuk meregangkan pinggang. Macam nak patah rasanya.
“Pukul berapa ni, dik?” soalku sambil menutup mulut yang tengah bersangap.
“Pukul 12.00 tengah hari, kak.”
Aku membeliakkan mata. Pukul 12.00? Aku lihat jam di pergelangan tangan. Ya Allah…
aku tidur sampai pukul 12.00? Aku meraup muka sekali imbas.
“Kenapa Ana tak kejutkan akak?” Geram juga kerana sudah pukul 12.00 barulah dia
dikejutkan. Aku luku jugak kepala budak sorang ni karang.
“Ana kesian tengok akak. Tak sampai hati nak kejutkan akak. Mak pun tak bagi kejut,”
jawabnya perlahan.
Aku menguap lagi. Mengantuknya. Isy… dahlah tak mandi ni. Busuk. Malu pula kalau
ada kakitangan hospital yang tengok aku tidur tadi. Sudahlah ini hari Sabtu. Waktu melawat akan
bermula sekejap lagi. Nasib Ana cepat kejutkan, kalau tak, buat dramalah aku di tempat
menunggu ni. Jadi tontonan ramailah tidur aku dengan air liur menitis dari mulut. Hew! Tidak
sopan langsung!
“Dah makan?” tanya aku setelah selesai membasuh muka dan menggosok gigi di bilik
air. Berus gigi dan ubat gigi itu aku beli di kedai bawah. Nasib baik ada. Cuma aku tak mandi
saja. Hmm… busuk!
“Belum.” Pantas dia menjawab.
“Okey, jom kita makan dulu,” ajak aku mula mengatur langkah menuju kantin hospital.
“Eh, mak dengan Ika mana?” Aku macam terlupa pula kepada ibu dan adik aku yang lagi
seorang itu.
“Ada kat wad. Ayah dah pindah wad biasa. Dia orang kat sanalah.”
Mataku membulat memandang Farhana. “Ya?”
Farhana mengangguk dan tersenyum. Kemudiannya aku mengajak dia menjenguk ayah
di wad dulu. Dia mengikut saja.
“MACAM MANA dengan ayah awak?” soal Dr. Sharizal ketika dia menelefon. Entah dari
mana dia dapat nombor aku. Mesti Ellin yang beri ni.
“Alhamdulillah… dia dah sihat sikit.”
Sebenarnya aku tidak menyangka dia akan telefon. Maklumlah, aku ni siapa pada dia,
kenal baru beberapa hari aje. Pulak tu aku bukannya girlfriend dia ke apa ke, cuma tunang palsu
saja. Tunang? Perkara itu membuatkan aku malu lagi. Uhuk…
“Doktor cakap apa?” Dia terus bertanya. Ingin tahu perkembangan kesihatan ayah aku
lagi.
“Doktor cakap ayah stabil. Cuma dia perlu buat beberapa ujian dan rehat dengan cukup.”
Mata aku halakan kepada sekumpulan doktor pelatih yang melintasiku. Aku membalas
senyuman yang mereka berikan.
“Dia sakit apa?” soalnya lagi, ingin tahu perkembangan seterusnya.
“Dia ada lemah jantung sebenarnya.” Sepatah-sepatah aku menjawab pertanyaannya.
Tahulah dia pun doktor juga. Tapi, aku sedar dan amat berterima kasih atas keprihatinannya yang
sudi mencemar duli menelefon dan bertanya tentang ayahku.
“Oh, harap-harapnya dia cepat sembuh. Pastikan juga dia sihat semula. Risau juga saya
dibuatnya.”
Aik, apasal nak risau pulak? Ayah aku yang sakit, bukan ayah dia. Pelik betul doktor ni.
Hmm… mungkin naluri seorang doktornya buat dia risau kut. Aku buat andaian sendiri.
“Dia kan bakal ayah mertua saya. Kan, Faiz?”
Aku tersentap. Gulp! Tersedak dengan kata-katanya walaupun aku sedar ia hanya
gurauan. Kalau betul, apa salahnya. Hehehe… mulalah otak aku ni fikir yang bukan-bukan.
“Ha‟ah. Ayah mertua palsu,” balas aku sambil ketawa kecil. Dia pun ikut ketawa.
“Hmm… okeylah, saya ada kerja ni. Nanti saya call balik eh. Kalau ada apa-apa pun call
saya tau. Take care,” ucapnya dan sebelum sempat aku membalas talian sudah diputuskan.
Aku mengeluh. Baru nak ucap terima kasih. Hmm… agaknya ada hal kecemasanlah tu.
Aku memasukkan semula telefon bimbitku ke dalam saku dan berjalan menuju ke wad tempat
ayahku diletakkan.
5
AYAH terpaksa dimasukkan ke Wad ICU sekali lagi kerana dia mengalami sesak nafas dan
komplikasi jantung. Ketika itu aku sudah balik ke rumah untuk mandi kerana sejak pulang ke
kampung Jumaat lepas, aku tak kisahkan mandi. Bayangkanlah baunya macam mana. Tak boleh
nak dikata.
Aku beristighfar dan berdoa saja sepanjang perjalanan aku ke hospital. Tiba-tiba timbul
perasaan takut kalau-kalau ayah aku… Astaghfirullah al-azim, apa yang aku fikir ni? Jangan
fikirkan yang bukan-bukan, Faiza! Aku mengingatkan diri sendiri seraya memanjatkan doa
kepada Tuhan agar ayah dipanjangkan umur.
“Macam mana ayah kau, Faiz?” Ellin bertanya ketika aku sedang memujuk emak yang
asyik menangis sejak tadi. Entah berapa banyak air matanya tumpah sejak ayah dimasukkan ke
hospital.
“Ayah aku ada komplikasi jantung. Dia masuk wad ICU lagi,” balas aku perlahan sambil
menggosok belakang badan emak yang duduk bersebelahan denganku. Aku menyorot mata ke
pintu bilik ICU yang terbuka. Terjengul wajah Farhana yang baru lepas melawat ayah. Sugul saja
mukanya. Pipinya juga basah dek air mata.
“Sabar ajelah, Faiz. Aku tumpang simpati kat kau. Banyakkanlah berdoa untuk kesihatan
ayah kau supaya pulih seperti sedia kala.” Ellin memberi nasihat.
Aku hanya mengeluh halus. “Terima kasih, Lin. Nasib baik kau ada. Sekurang-kurangnya
adalah kawan untuk berkongsi suka duka dengan aku ni.”
“Kita kan dah lama kawan. Mestilah aku ambik berat pasal kau. Kau kena sentiasa ingat,
aku sentiasa ada untuk kau luahkan apa saja, Faiz.”
Terharu aku mendengar kata ikhlas Ellin. Air mata yang aku tahan-tahan jatuh juga
akhirnya. Giliran emak pula mengusap belakang badan aku bila dia melihat air mataku tumpah
dan jatuh melalui pipi.
“Kau kena banyak bersabar ya, Faiz. Banyakkan berdoa kepada Allah. Semua ini
kehendak-Nya, Faiz. Tuhan sedang menguji kau. Sabar ya.” Sekali lagi Ellin menasihatiku.
“Terima kasih, Lin. Terima kasih sebab kau sudi luangkan masa telefon aku. Buang masa
kau aje kan...” Aku menutup mulut dengan belakang tangan, kerana bersangap. Sudah dua hari
aku tidak cukup tidur. Kepala pun jadi pening.
“Isy, jangan cakap macam tu. Kau tu kawan aku, Faiz. Tak ada maknanya aku buang
masa bila telefon kau. Jangan fikir yang bukan-bukan. Hmm... kau berapa hari nak cuti? Nanti
aku tolong apply?” Ellin bertanya.
Aku melepaskan satu keluhan berat. Ya tak ya juga. Aku nak cuti sampai bila? Melihat
keadaan ayah yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi membuatkan aku berat hati untuk
tinggalkannya. Lebih-lebih lagi emak dan adik-adik. Semuanya bersedih. Aku juga.
“Entahlah, Lin, aku pun tak tau nak cuti sampai bila. Ayah aku... kau taulah. Dia ada kat
Unit Rawatan Rapi. Tak sampai hati pulak aku nak tinggalkan dia dengan emak dan adik-adik
aku ni. Fiza tak dapat balik. Ada exam. Farizal pun tak dapat balik sebab tengah praktikal. Aku
tak nak susahkan dia orang. Dia orang duk jauh,” ujarku panjang lebar sambil menceritakan
tentang kedua-dua adikku itu.
Hafiza di Kuala Lumpur sementara Farizal pula di Selangor. Kesian pula hendak suruh
mereka balik. Biar mereka tumpukan pada pelajaran. Urusan di kampung, biar aku yang uruskan.
“Okeylah kalau kau dah cakap macam tu. Nanti aku cakap dekat pihak pengurusan.
Cakap kau emergency leave. Ayah kau sakit. Eh, okeylah, ada orang datang rumah aku ni.
Kawan aku datang. Nanti aku call lagi ya? Take care!”
Aku menyimpan semula telefon bimbit ke dalam poket. Aku bersandar pada kerusi yang
keras di luar bilik ICU. Menunggu saja laporan daripada doktor dan jururawat dari semasa ke
semasa mengenai perkembangan kesihatan ayahku.
“Sampai bila ayah nak macam tu, kak?” Tiba-tiba emak bertanya dengan suara yang
sedikit serak kerana terlalu banyak menangis.
Aku merangkul bahunya dan menggosok perlahan. Sebenarnya aku tiada jawapan untuk
pertanyaannya itu. Aku pun tak tahu sampai bila baru ayah akan sedar. Aku hanya mampu
berdoa dan berdoa untuk kesejahteraan ayah.
AKU mengisi perut yang lapar di kantin hospital bersama Syafika. Farhana balik rumah sekejap
sementara emak mahu menunggu saja di luar Wad ICU. Puas juga aku mengajaknya supaya
makan bersama. Sudah dua hari dia tak makan. Aku takut dia juga jatuh sakit nanti. Tapi, emak
berkeras juga tidak mahu. Dia mahu menunggu ayah. Lama-lama, aku biarkan saja. Mungkin
emak mahu bersendirian.
Pandangan mataku tertancap pada sesusuk tubuh sasa yang sedang berjalan ke arahku.
Aku mengerdipkan mata beberapa kali. Kalau-kalau ini hanyalah khayalanku saja. Tapi, jelas
sudah dia berada di depan mataku. Mataku tidak berkelip memandangnya. Masa itu mungkin
mulut aku melopong. Aku mencubit paha kiriku. Sakit. Ini bermakna aku tidak bermimpi.
Betul ke aku tak mimpi? Macam mana dia boleh ada kat sini? Apa dia buat kat sini?
Dia melayangkan tangannya di hadapan mataku beberapa kali. “Faiz, awak okey ke?”
Aku tersedar apabila mendengar suaranya. Yalah, aku tidak bermimpi. Syafika juga
nampak dia. Dia memandang hairan ke arah aku yang macam orang tak betul.
“Err… Eh, doktor buat apa kat sini?” Itu pertanyaan pertama yang aku ajukan untuknya.
Takkan dia datang sini sebab aku kut? Tak mungkin! Aku ni bukan siapa-siapa pada dia. Eh, dia
buat apa di sini?
Dia menarik kerusi di sebelah Syafika yang nyata terpinga-pinga dengan kehadirannya
ketika itu.
“Hai, nama abang Sharizal. Kawan kakak. Nama adik siapa?” Dia memperkenalkan diri
kepada Syafika, menghulur tangan.
Aku hanya melihatnya saja kerana masih tidak percaya bahawa dia berada di depan mata
aku.
“Oh… nama saya Syafika. Panggil Ika aje. Sweet sikit dengar,” jawab Syafika ketika
menyambut huluran tangan Dr. Sharizal. Dia menguntum senyum.
“Oh… Ika. Sedap nama Ika ya. Memang sweet macam orangnya,”ujarnya sambil mata
memandangku. Aku membalas pandangan matanya yang bersinar itu.
“Abang ni boyfriend kakak Ika ya?” Tiba-tiba Syafika meletuskan soalan yang
memalukan aku.
“Hush, Ika! Mulut tu!” marah aku sambil menampar tangannya. Aku memijak kakinya di
bawah meja dan merenung tajam matanya.
Isy, budak Ika ni. Mulut tak ada insurans betul. Tiba-tiba aku rasa mukaku panas dan
membahang. Sel-sel darah merah semuanya seperti berkumpul di bahagian muka. Eh, budak ni,
aku tampar laju-laju jugak karang. Aku memandang pula Dr. Sharizal yang menguntum
senyuman ketika menoleh ke arah lain. Malunya muka aku ni. Ika ni! Aku rasa macam nak ikat-
ikat saja mulutnya yang celopar tu. Aku cekik jugak budak kecik ni karang! Geramnya!
“Doktor buat apa kat sini?” Aku mengulang soalan yang aku ajukan kepadanya tadi.
Belum berjawab lagi.
“Sebenarnya saya balik kampung. Kampung saya kat sini. Dah terlanjur ada kat sini, apa
salahnya saya singgah jenguk ayah awak, tengok awak. Macam mana keadaan ayah awak?”
Kampung dia kat sini jugak? Batu Pahat? Dia orang Batu Pahat ke?
“Err… ayah saya masuk ICU. Ada komplikasi jantung. Entahlah, wak, tak tau nak cakap
macam mana,” jawabku perlahan. Tiba-tiba aku memanggilnya „wak‟ di luar kesedaran.
“Oh, doktor cakap apa?” soalnya kemudian. Dia memandang tepat wajahku.
Aku lihat dahinya berkerut. Sungguh tidak handsome dia dengan rupa sebegitu. Sempat
pula aku mengomen rupa wajahnya. “Doktor cakap…”
“Kak! Ayah, kak!” Farhana sudah berada di belakangku. Entah bila dia datang.
“Kenapa, Ana? Kenapa dengan ayah?” soal aku sambil menggoncang badannya. Farhana
tergeleng-geleng dan mulutnya cuba berkata sesuatu, tapi tidak terkeluar dari mulutnya.
Dadaku berdegup kencang. Tanpa menunggu penjelasannya, kakiku bergerak pantas dan
berlari-lari anak memasuki kawasan hospital yang terletak bersebelahan kantin. Aku dapat
mendengar suara Dr. Sharizal memanggil, tapi aku tidak peduli. Yang penting sekarang adalah
ayah.
AKU tersandar lesu pada dinding konkrit hospital itu. Nafasku turun naik. Perlahan-lahan, tubuh
aku terjelepok di lantai. Air mata sudah merembes laju, keluar dari tubir mata. Kaki aku seperti
tidak berdaya untuk berdiri. Goyah.
Aku termenung sekejap. Cuba menerima apa yang diterangkan doktor sebentar tadi. Aku
cuba terima apa yang disampaikan tentang ayahku. Aku memandang ke arah Dr. Sharizal yang
sedang berbincang dengan seorang doktor yang merawat ayahku di satu sudut. Aku pandang pula
emak yang sudah longlai dalam pelukan Farhana. Mataku jatuh pada wajah Syafika yang
menangis di bahu Farhana.
Aku ingin bangun tapi badanku seperti sudah dilekatkan gam gajah, ke lantai. Aku hanya
mampu melihat saja ketika tubuh emak perlahan-lahan rebah di pangkuan Dr. Sharizal. Aku
pula? Terus tersandar lesu tidak bermaya pada dinding konkrit ini. Sebenarnya aku tidak lagi
sekuat kelmarin. Aku sudah kembali menjadi diriku yang lemah semula. Aku tertewas dengan
emosi aku sendiri. Aku tidak setabah kedua-dua adikku yang tenang mendengar penjelasan
doktor. Aku tidak sekuat mereka.
“Faiz, awak okey?”
Mata aku terarah pada wajah Dr. Sharizal yang sudah melutut di depanku. Tangannya
perlahan-lahan mengangkat tubuhku yang lemah.
“Ayah… ay… ayah saya…” Aku bersuara tersekat-sekat. Mata lesuku memandangnya.
Dia mengangguk-angguk. Cuba menyeimbangkan badanku yang memberat dengan
badannya. Dia tiada pilihan lain selain memaut tubuhku dalam pelukannya. Aku hanya
membiarkan saja kerana aku tidak berdaya untuk berdiri. Kaki aku terasa lemah untuk berdiri
menampung badan. Separuh semangat aku sudah ikut sama pergi bersama ayah.
“Ayah saya dah tak ada, doktor… ayah saya dah tak ada!” Aku menjerit lantang dan
menangis semahunya. Macam orang terkena histeria. Aku tidak berdaya! Aku tak mampu nak
lalui semua itu. Aku tak mampu!
“Ayah dah tak ada! Ayah,” jerit aku lagi. Kepalaku tergeleng-geleng memandangnya.
Aku cuba menidakkan kenyataan yang terbentang luas di depan mata. Tidak dapat menerima
kenyataan bahawa ayahku sudah tiada!
“Faiz, awak kena banyak istighfar. Banyakkan berdoa agar roh ayah awak ditempatkan
bersama orang-orang yang beriman. Sabar ya.” Dr. Sharizal mengusap-usap kepalaku dalam
pelukannya.
Aku pula melampiaskan tangisan ke bahunya. Saat ini aku memang amat memerlukan
seseorang untuk bersamaku melalui semua ini, selain daripada keluargaku.
“Tuhan lebih sayangkan dia. Awak kena reda, Faiz. Setiap yang hidup pasti akan mati.
Apa yang perlu awak buat sekarang, banyakkan doa, beristighfar dan relakan pemergiannya,
bukannya menangis macam ni. Ayah awak mesti tak suka bila tengok awak menangis macam ni.
Sudahlah ya… banyakkan sabar. Saya ada kat sini untuk awak.”
Aku hanya diam mendengar kata-katanya. Air mata masih murah untuk ditumpahkan.
Habis basah baju-T Polo yang dipakai Dr. Sharizal, terutama sekali di bahunya. Bajunya yang
berbau semburan minyak wangi yang aku kira berjenama Polo Sport itu pun sudah berbau
masam dan masin kerana air mata dan air liurku yang meleleh di bahunya.
Aku mengangkat muka kemudian tunduk kembali kerana malu menatap wajah Dr.
Sharizal yang redup memandangku. Aku malu dengan diriku kerana memeluknya sesuka hati
aku. Aku malu kerana menangis di depannya. Maafkan aku, Dr. Sharizal. Tapi…
Perlahan-lahan dia mengangkat daguku. Muka aku yang basah dek air mata disapu
perlahan dengan jari-jemarinya yang sedikit kasar. Pandangan mata kami saling bertentang.
“Sudah. Jangan menangis lagi. Awak kena tabahkan hati dan terima semua ini sebagai qadak dan
qadar. Awak anak yang sulung, Faiz. Awak kena tabah. Awak kena kuatkan semangat untuk ibu
dan adik-adik awak. Awak tak sendirian, Faiza. Saya ada untuk awak di sini.”
Sekali lagi dia mengulangi ayat “Saya ada untuk awak di sini.” Aku terharu
mendengarnya. Perlahan-lahan aku mengangguk. Pandangan mataku tertancap kepada Farhana
dan Syafika yang sedang memangku emak yang pengsan sejak tadi. Ya Allah! Kenapalah aku ni
kejam sangat biarkan adikku uruskan emak? Aku terhanyut dengan gelodak emosi sebentar tadi.
Aku kena kuatkan semangat. Aku mesti tunjukkan ketabahan di depan mereka walaupun
aku tidak sekuat itu.
“Mak… mak…” Aku memanggil emak perlahan. Aku menepuk-nepuk wajah emak yang
lesu. Tapi tiada respons.
Aku memandang wajah Dr. Sharizal dengan satu kerutan halus merauti wajah. Dia
kemudiannya memeriksa nadi di pergelangan tangan emak dan menyelak kelopak mata emak.
“Nurse!” laungnya kuat.
6
SUDAH dua bulan arwah ayahku pergi meninggalkan kami sekeluarga. Aku amat merasai
ketiadaannya. Setiap saat, aku pasti merinduinya dan teringatkan kenangan bersama. Kalau aku
sudah berperasaan begitu, emak apatah lagi. Sehingga sekarang dia masih murung dan tidak lalu
makan. Risau juga aku mendengar ketika menelefon rumah di kampung, bertanyakan tentang
emak melalui Farhana.
Syafika juga terganggu pelajarannya kerana asyik teringat tentang arwah ayah dan
menyalahkan dirinya atas kematian ayah. Hafiza dan Farizal juga tidak habis-habis menyalahkan
diri mereka kerana tidak dapat melawat dan melihat arwah ayah buat kali terakhir. Mereka juga
tiba agak lewat ketika jasad arwah ayah selamat disemadikan di tapak perkuburan.
Aku berzikir dan berdoa kepada Allah agar arwah ayah ditempatkan bersama orang-
orang yang beriman dan soleh setiap kali lepas bersolat. Setiap kali aku berzikir dan berdoa, pasti
air mataku jatuh ke pipi tanpa dipaksa-paksa.
“Hei… termenung apa tu?”
Sapaan Ellin mematikan lamunanku. Aku pantas menoleh dan tersenyum. Hambar. Kain
telekung aku lipat dan masukkan ke dalam beg plastik yang kubawa. Ellin juga sedang melipat
kain telekungnya.
“Kau menangis, Faiz?” soal Ellin. Dia menunjuk ke pipiku yang dibasahi air mata. Aku
lekas-lekas menyeka air mata itu dengan sapu tangan yang kubawa.
“Faiz, sudah-sudahlah tu menangis. Tak elok kalau kau menangis setiap hari. Masuk
kerja aje, mata sembap. Dah tak lawa dah,” sambungnya kemudian.
Aku hanya tersenyum mendengar kata-katanya. Ellin… Ellin… Kau takkan faham
perasaan aku. “Aku bukan sengaja nak menangis, Lin. Air mata ni keluar tanpa aku paksa-paksa.
Setiap kali aku berdoa untuk arwah ayah aku, air mata ni mesti tumpah juga kat pipi aku.”
Ellin menghempaskan keluhan. Dia menghampiriku. Bahuku dipegang lembut.
“Aku tau kau sedih atas kehilangan ayah kau, Faiz. Aku pun tumpang sedih juga. Tapi takkan
hari-hari kau nak macam ni? Pergi kerja menangis, balik menangis. Lepas tu, termenung sana,
termenung sini. Sampai aku pun tak larat nak tengok lagi. Cerialah sikit, Faiz. Aku nakkan Faiz
yang dulu. Ceria, gembira!
“Sekurang-kurangnya cerialah sikit. Tak banyak sikit pun, kau boleh lupakan kesedihan
kau tu dan kembali hidup seperti biasa. Walau apa pun, kita yang hidup mesti teruskan hidup.
Bukan menangisi orang yang tidak akan kembali lagi. Macam lagu kumpulan Rabbani tu… yang
pergi takkan kembali lagi.” Ellin membebel panjang.
Aku hanya mendengar tanpa membalas. Pandailah dia nak berceramah dengan aku.
Kadang, betul juga apa yang dikatakan Ellin walaupun ada kalanya dia poyo. “Dah, mak nenek.
Kau ni, kalau bercakap tak tau nak berhenti. Kau tengok tu, orang lain nak solat pun tak selesa
dengar suara kau tu tau. Dah, jom kita keluar. Dah terlebih masa ni.”
Aku menolak lembut mukanya lalu mengangkat punggung dan berdiri. Lengan Ellin aku
tarik keluar dari surau.
“Kalau ya pun, janganlah tarik aku macam lembu nak kena sembelih,” bebel Ellin lagi
tidak puas hati.
AKU menyeka kelopak mata yang digenangi air mata. Tak habis-habis menangis! Apa nak jadi
dengan aku ni? Apa kena dengan aku ni? Tapi aku tidak berdaya untuk menghalang air mata
daripada terus jatuh ke pipi. Ingatan terhadap ayah masih menggamit hati. Mana taknya, aku
anak yang paling rapat dengannya. Tentulah aku rindu kepada dia.
Enough, Nur Faiza! You must be strong! Aku menarik nafas dalam-dalam dan
menghembusnya perlahan-lahan.
Aku pandang beg yang aku kemaskan malam tadi. Aku melangkah ke beg berwarna ungu
pekat itu dan mengangkat beg berisi baju itu lalu turun ke tingkat bawah. Aku akan balik
kampung hari ini. Aku sudah meminta cuti selama tiga hari.
Ellin sempat menasihati supaya tidak menangis atau meratapi pemergian arwah ayahku
lagi. Dia menyuruh aku tabahkan hati dan menerimanya sebagai ketentuan Allah. Aku hanya
mengangguk dan memintanya supaya tak usah risau tentangku.
“Assalamualaikum.”
Pantas aku menoleh ke arah suara itu ketika sedang mengunci pintu rumah.
“Waalaikumussalam,” jawabku sambil menguntum senyuman tawar.
“Awak nak ke mana?” soalnya sambil menaikkan sedikit kening.
Aku meletak beg berisi baju ke lantai. Perlahan-lahan aku menghampiri dia yang berdiri
di jeriji besi yang memisahkan rumah kami.
“Saya nak balik kampung. Dah lama saya tak balik kampung,” jawab aku sambil
menundukkan wajah. Mulalah nak mengalir air mata bila tengok muka dia. Hai… teringin lagi
ke nak dipeluk dia?
“Saya ikut awak balik?”
Serta-merta aku mengangkat wajah. Bulat mata aku memandangnya. Betul ke apa yang
aku dengar ni?
“Apa dia, doktor? Saya tak dengar. Sejak akhir-akhir ni saya dah jadi pekak sikit,” kata
aku dengan nada berseloroh. Betul. Aku dah jadik pekak sikit sejak akhir-akhir ni. Dah lama tak
korek. Huhuhu...
Dia tersenyum. “Saya… ikut… awak… balik… Boleh?”
Satu per satu perkataan dilontarkan. Aku terpinga-pinga. “Nak ikut saya balik? Nak buat
apa?”
Yalah, aku tak faham kenapa dia nak ikut aku balik. Nak buat apa? Aku terkesan
perubahan pada riak wajahnya, berubah keruh. Mungkin kata-kataku tadi menyinggung
perasaannya.
“Tak… maksud saya, err… Untuk apa doktor nak bersusah payah ikut saya balik? Tak ke
menyusahkan aje? Selama ni pun saya dah banyak terhutang budi dengan doktor. Saya tak mahu
susahkan doktor lagi. Saya… malu.” Berhati-hati aku menyusun setiap patah kata agar tidak
menyinggung perasaannya lagi. Riak wajahnya bertukar seperti biasa. Dia melempar senyum
kepadaku.
“Saya ikhlas nak tolong awak masa tu. Saya tak minta balasan pun. Saya cuma risaukan
keadaan awak yang tak menentu masa tu. Tak payahlah nak malu. Lagipun saya dah minta cuti
tiga hari,” ujarnya beria-ia.
Aku melongo memandang mukanya. Dia pun cuti tiga hari? Serta-merta? Kebetulan?
Adakah ini satu konspirasi? Adakah dia tahu aku cuti tiga hari? Siapa yang bagi tahu? Hmm...
agaknya si Ellin ke bagi tau dia aku nak cuti tiga hari balik kampung? Isy, Ellin ni. Nanti kau.
Aku cekik batang leher kau tu. Aku mengetap bibir.
Patut ke aku biarkan dia ikut balik? Nanti apa pula kata emak? Orang kampung? Jadi
buah mulut orang pula aku nanti sebab bawa lelaki balik. Orang-orang kat kampung aku tu
kebanyakannya mulut tempayan. Isy, macam mana ni? Allah… tolong aku, ya Allah…
“Boleh tak saya ikut awak balik?” Dia bertanya lagi sambil memandang tepat mataku.
Argh… nak ajak ke tidak? Nak ajak ke tidak? Aku tidak dapat membuat keputusan.
Otakku macam sebu untuk buat keputusan. Macam orang tengah ambil periksa SPM saja.
“Hmm… okeylah. Saya tunggu,” putusku akhirnya. Keluhan terhambur juga dari
kerongkongku. Dia melebarkan senyuman untukku.
“Okey. Awak tunggu kejap. Lima minit lagi saya turun ya.”
Aku mengangguk lemah. Dia kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk bersiap. Aku
menghamburkan keluhan kasar. Hai… nak tak nak, aku kena bawak dia balik. Tak sampai hati
pulak tengok muka dia yang terkulat-kulat nakkan jawapan daripada aku tadi. Tapi, aku masih
tak faham. Buat apalah dia nak ikut aku? Isy… entahlah. Aku menggaru kepala laju-laju. Habis
tudung aku senget agaknya. Suka hati dialah. Malas aku nak fikir. Nak ikut, ikutlah.
Kata lima minit, ni dah lima belas minit tak turun-turun lagi. Aku melihat jam di
pergelangan tangan. Manalah mamat ni lama sangat ni?
“Sorry, lambat sikit,” katanya ketika keluar dari pintu rumah. Dia mengunci pintu
rumahnya.
Bau wangian Polo Sport sudah menusuk-nusuk ke lubang hidungku. Aku tengok beg
pakaian yang dibawa. Nampak macam berat saja. Lebih berat daripada aku punya beg.
“Jom. Naik kereta saya?” pelawanya.
“Tak apalah. Naik kereta saya.” Aku pula mempelawanya.
“Naik kereta saya aje. Biar saya yang pandu. Myvi SE awak tu tinggalkan aje,” katanya
lagi.
“Hah? Tinggal?” Aku melongo.
“Yalah. Takkan nak angkut masuk kereta saya pulak.”
Aku tersengih mendengarnya. Betul juga. Takkan aku nak angkut pulak ya? Bukan besar
pun kereta Toyota Altis dia tu. Tak apalah naik kereta dia. Save sikit minyak kereta aku ni.
Hehehe…
PERJALANAN dari Melaka ke Batu Pahat tidaklah lama. Hanya sekitar dua jam lebih. Tiada
perbualan ketika dalam perjalanan. Mana taknya, aku sibuk layan perasaan sendiri. Hahaha! Tak
patut betul aku ni. Aku tak reti nak berbual. Lebih-lebih lagi dengan orang kat sebelah aku ni.
Tapi penat juga duduk aje. Sakit pulak badan aku ni. Dah banyak kali aku membetulkan posisi
duduk.
“Kenapa?” Dia Sharizal bertanya sambil menoleh sekilas. Mungkin dari tadi dia perasan
tingkah laku aku yang kerap kali menukar posisi duduk. Sakit pinggang aku oi…
“Err… tak ada apa,” balas aku sambil menggeleng beberapa kali. Aku betulkan lagi
dudukku. Kerusi aku laraskan ke belakang sedikit. Baru selesa dan luas.
“Awak lapar?” soalnya kemudian.
Of course! Aku tak bersarapan pun kat rumah. Minum seteguk air sejuk aje. Ingat nak
sarapan di luar, habis tu dia nak ikut aku pulak. Terus tak jadi semua pelan aku.
“Lapar jugalah.” Aku membalas. Tersipu-sipu. Dia tersenyum nipis sambil menggeleng.
“Kenapa tak cakap dari tadi lapar? Kalau perut masuk angin siapa yang susah? Cik abang
kat sebelah ni jugak tau.”
Aku mencebik mendengar kata-katanya. Takkan aku nak cakap yang aku lapar? Jatuhlah
saham aku. Nanti, aku pulak yang kena belanja sebab aku yang ajak. Betul tak? Huhuhu… Lagi
satu, bila masa pulak dia jadi cik abang aku? Pandai-pandai aje.
“Apa guna cik abang kat sebelah ni jadi doktor?” Aku bersuara perlahan. Hanya
terdengar di telingaku saja.
“Apa dia, Faiz? Awak cakap apa tadi?”
“Err… tak. Saya cakap saya lapar. Saya nak makan. Ha…”
Isy, macam mana dia boleh dengar pulak? Bukan kuat pun suara aku tadi. Telinga nipis
betullah doktor ni. Dia mengukirkan senyuman. Dia dengar ke apa yang aku cakap? Malunya!
“Okey. Kita berhenti kat R&R,” katanya.
Aku mengangguk laju. Aku mencuri pandang wajahnya. Senyuman masih terukir pada
bibirnya yang merah. Sesekali dia menggeleng. Tak sangka perangai aku macam ni kut.
Keretanya membelok masuk ke R&R. Ramai juga yang singgah di R&R ini. Sampai tak
ada ruang parkir. Berpusing beberapa kali barulah dapat.
“Okey, kita dah sampai,” katanya sambil menanggalkan tali pinggang keselamatan.
Aku juga menanggalkan tali pinggang. Lihat cermin, betul-betulkan tudung. Mana tahu
berkedut dan senget.
“Dah cantik dah tu.” Dia memerli.
Aku menjelingnya. Cet, sibuk betullah. Suka hati akulah. Aku membuka pintu kereta dan
keluar dari perut kereta Toyota Altis warna hitam itu.
“Jom,” ajaknya kemudian.
Aku mengikut saja langkahnya yang sudah maju ke depan. Biarlah dia jalan dulu. Nanti
orang ingat aku dengan dia sepasang kekasih pula. Aduh… badanku terdorong ke belakang. Sikit
lagi nak masuk longkang. Mujurlah aku sempat berpaut pada tiang. Badan aku dilanggar
seseorang. Siapalah yang langgar aku ni? Aku ni bukannya semut, orang tak nampak sebab dia
kecil.
“Sorry, cik. Maaf. Cik tak apa-apa?” Lelaki yang langgar aku tadi memohon maaf. Aku
menepis apabila dia cuba menyentuhku.
“It’s okay,” jawabku. Aku mengangkat wajah. Dia juga menanggalkan cermin mata
hitamnya.
“Faiza!”
“Shahrul?” Serentak kami bersuara.
“Ha‟ah. Ya Allah… Shahrul. Kau rupanya,” ujar aku sambil ketawa. Shahrul juga
ketawa.
Aku menampar lengannya. Shahrul ini kawan aku masa sekolah menengah dulu. Dulu dia
agak nerd juga orangnya. Ke sana ke mari bawa buku. Macamlah dia tak boleh hidup tanpa
buku. Sekarang dia sudah lain benar. Bertambah kacak pula tu. Sedikit sebanyak, aku terpikat
dengan ketrampilannya. Hehehe.
Aku berbual sebentar dengan Shahrul. Bertanyakan tentang kehidupannya sekarang.
Katanya dia bekerja di Cyberjaya sebagai computer programmer. Tambahnya lagi, pekerjaan
sepertinya itu membuatkan dia sering ke luar daerah untuk berkursus dan bermesyuarat. Aku
sekadar menganggukkan kepala sambil tersenyum.
“Kau sorang saja ke?” soalnya.
“Err… aku…” Aku melihat kelibat Dr. Sharizal mendekati kami. Aduh… kenapalah dia
tak masuk aje dulu? Kalau budak Shahrul ni nampak, mesti dia heboh kat kawan-kawan. Adus…
Segalanya sudah terlambat kerana dia sudah pun berdiri cun-cun di sebelah aku.
“Faiz?”
Pantas Shahrul menoleh ke arah Dr. Sharizal yang berdiri di sebelah aku, kemudian
memandangku semula.
“Err… kenalkan, kawan saya, Shahrul. Shahrul, ni kawan aku, Sharizal.”
“Ohw… nice to meet you.” Mereka bersalaman dan saling bertukar senyuman.
“Kawan ke boyfriend?”
Laser sungguh mulut si Shahrul ni. Keningnya diangkat laju-laju kepada aku. Aku
tampar-tampar karang. Isy! Dia mengenyit mata.
“Err… tak adalah. Ni kawan satu tempat kerja.” Aku membetulkan tanggapannya.
Shahrul mengangkat bahu dan terus mengangguk. Tapi bibirnya tetap tersenyum nakal.
Aku menyerongkan pandangan. Isy, budak ni. Nak sengih-sengih macam tu pulak.
“Kalau boyfriend apa salahnya? Nice taste. Handsome siot,” bisiknya ke telingaku dan
ketawa.
Aku menyepak kakinya. Sempat pula dia mengelak. Aku tak tahulah muka aku macam
mana bila dia bisikkan katanya itu ke telingaku. Bertambah berganda malu aku apabila ayatnya
itu didengar Dr. Sharizal.
“Eh, okeylah, Faiz. Aku gerak dulu ya? Dah lambat ni. Ada meeting kat Johor pukul
12.00 nanti. Kau ada nombor telefon tak? Nanti boleh keep in touch.”
Aku menyeluk ke dalam beg tangan, mencari dompet. Aku mengeluarkan kad namaku
dan menghulurkannya kepada Shahrul.
“Okay, thanks. See you later. Tunggu call aku tau. Nati kita gayut-gayut eh? Okay, see
you,” ucapnya. Sebelum berlalu sempat Shahrul menepuk bahu Dr. Sharizal.
Aku melambai tangan ke arah Shahrul yang sudah masuk ke dalam kereta. Selepas itu,
kereta Toyota Altis hitam miliknya meluncur laju keluar dari kawasan R&R. Aku menarik nafas
lega. Tak sangka dapat jumpa Shahrul lagi. Aku memandang wajah Dr. Sharizal.
“Jom.” Tanpa disengajakan, aku menarik lengannya masuk ke food court.
Ops… aku tersedar dan lantas melepaskan pegangan tanganku pada lengannya. Aku
tersenyum sumbing dan meminta maaf atas keterlanjuranku. Terlebih sudah. Tapi kemudiannya,
dia pula mengambil tanganku, diletak semula ke lengannya. Apa pulak ni? Aku terpinga-pinga.
AKU menguap panjang. Mengantuknya mata aku. Bilalah nak sampai rumah ni? Aku rasa
macam nak baring atas tilam aje. Hmm… Aku kerling ke sebelah. Aku nampak dia tersenyum.
Ketawakan aku ke? Lantaklah...
“Mengantuk ke? Kalau mengantuk, tidurlah dulu. Kalau dah sampai nanti saya kejutkan.”
Aku hanya memandang mukanya dengan mata yang kuyu. Kalau aku tidur, kesian pula
kepada dia. Sudahlah dia jadi pemandu aku hari ini. Mestilah penat juga. Aku yang tak memandu
ni pun penat dan mengantuk. Aku memekup mulut dengan telapak tangan. Menguap lagi. “Tak
apalah. Kesian pulak kat doktor…”
“Faiz?”
“Hmm…”
“Kalau saya cakap sikit boleh tak?”
“Apa dia?”
“Boleh tak mulai hari ni awak jangan panggil saya doktor?”
“Habis tu nak panggil apa?”
“Hmm… panggil Shah ke, Rizal ke… tak pun abang ke.”
“Nak panggil yang mana satu?” Aku sudah mula larut dalam kemengantukan. Apa yang
aku cakap pun aku tak sedar.
“Panggil… abang ke, boleh?” Antara dengar dengan tidak, kata-kata itu masuk ke lubang
telinga aku.
“Hmm, okey… abang.” Tanpa berfikir, aku bersetuju. Main setuju saja. Setelah itu,
mataku terus layu dan… kroih, kroih, kroih!
AKU terbangun sendiri apabila kereta Toyota Altis hitam itu membelok ke kampungku. Eh…
macam tau-tau aje kan dah nak sampai. Aku tersenyum sendiri. Eh, macam mana dia tau
kampung aku kat mana?
“Eh, macam mana doktor …”
“Hah… awak janji dengan saya apa tadi?”
Janji? Bila masa pulak aku berjanji ni? Aku memandang wajahnya dengan penuh tanda
tanya. Apa yang aku janji dengan dia? Tak faham! Dahiku berkerut. Pelik tapi benar. Aku
berjanji dengan dia. Tapi, janji apa ya?
“Apa yang saya janji?”
“Tengok tu. Dah lupa. Awak janji takkan panggil saya doktor lagi. Awak janji nak
panggil saya apa?”
Dia terus berteka-teki dengan janji yang aku tak tau. Aku menggaru kepala laju-laju.
Cuba ingat apa yang aku janjikan kepadanya tadi. Adus… otak aku ni tak berfungsi nak ingat
semua tu. Isy…
“Saya janji apa? Saya tak ingat.” Aku dengar dia mengeluh. Kecewa.
“Awak janji dengan saya awak nak panggil saya abang, kan?”
Gulp! Betul ke tu yang aku janji dengan dia? Bila masa pulak ni? Gila ke aku nak panggil
dia abang? Lagipun, buat aku nak panggil dia dengan panggilan tu? Dia bukannya abang aku
atau saudara aku. Isy, confuse. Aku memandang wajahnya. “Ek?”
Dia mengangguk. Aduh… sesak nafas aku sekejap. Takkan aku nak panggil dia abang
pulak? Ni mesti dia tanya masa aku tengah mengantuk gila tadi. Tengah lalok-lalok sebab mata
ni dah stim nak tidur. Mesti sengaja nak kenakan aku.
“Err… panggil lain tak boleh?” Teragak-agak aku bertanya.
Dia tersenyum lantas menggelengkan kepala. Aku turut menggelengkan kepala mengikut
rentaknya.
“Awak dah janji, kena tepati. Saya… ops… abang tak suka orang yang tak tepati janji.”
Dia memerli aku.
Dah gunakan ganti nama diri abanglah pulak. Aku rasa seakan mahu termuntah pula.
Uwekk…Aku menepuk dahi. Ni mulut aku punya pasallah ni. Lidah ni, pandai-pandai aje
berjanji. Eii…
“Okey.” Aku setuju dalam keterpaksaan.
Macam manalah aku boleh setuju nak panggil dia macam tu? Eii... dia ni, pandai betul
nak manipulasi akulah. Jadi, macam mana ni? Bersediakah aku? Nak bersedia apa? Argh...!
Bersedia ataupun tidak, bolos aje dinding tu! Hati aku mendongkol geram. Grrr!!!
KERETANYA membelok ke laman rumahku. Dapat dilihat emak dan adik-adik semua
berkumpul di bawah pokok jambu. Bersebelahan pokok jambu itu ada sebuah pangkin. Masing-
masing menoleh apabila kereta Toyota Altis hitam berhenti cun-cun di depan rumah, di laman
rumah aku yang bersih.
Aduh… apa pulak mak aku kata nanti ni bila tengok aku bawak balik lelaki? Apa aku nak
jawab? Emak sudah terkedek-kedek mendapatkan aku bila lihat aku keluar dari perut kereta. Hati
aku mula rasa semacam. Agak-agak mak aku marah tak ek bila aku bawak balik Dr. Sharizal ni?
“Assalamualaikum, mak,” sapa aku lantas menyalami dan mencium tangannya. Aku
kemudian memeluknya. Rindunya pada emak. Kedua-dua pipi emak aku cium.
“Waalaikumussalam. Kenapa tak telefon dulu nak balik kampung?” Lantas emak
bertanya.
Aku hanya tersenyum kecil sambil memandang Dr. Sharizal yang mendekat ke arahku.
Emak juga memandangnya dengan senyuman.
“Apa khabar, mak cik? Sihat?” ucap Dr. Sharizal sambil menyalami emakku. Dia
kemudiannya melempar senyum.
“Khabar baik. Sihat, alhamdulillah… Ni kawan akak yang tolong akak uruskan pasal
arwah ayah ke?” soal emak sambil memandang aku dan Dr. Sharizal silih berganti.
Aku mengangguk perlahan. Dalam hati hanya Tuhan saja yang tahu betapa cemasnya
aku. Aku menunggu reaksi emak melihat aku membawa Dr. Sharizal balik.
“Alah… maafkan mak cik. Mak cik ni ingat-ingat lupa. Maklumlah, masa tu mak cik
tengah bersedih, jadi tak berapa nak cam,” ujar emak sambil tertawa kecil.
Dr. Sharizal tersenyum. “Tak apa, mak cik, saya faham.”
Emak mengangguk-angguk. Adik-adikku pula datang dan menyalam aku dan „abang‟ aku
ini. Semua ada. Hafiza dan Farizal juga ada.
“Eh, Ika mana, mak?” soal aku mengenai adikku yang lagi seorang itu. Tak nampak pula
kelibatnya.
“Dia demam. Ada kat dalam tu, tidur. Eh, masuklah. Panas kat luar ni. Mari masuk.”
Pantas emak menggamit aku dan „abang‟ tak rasmi aku itu masuk.
Aku berjalan seiring dengan emak sementara adik-adik mengiringi dan berbual dengan
Dr. Sharizal. Aku nak berbisik sedikit kat telinga emak tentang Dr. Sharizal. Lengan emak aku
rangkul dekat denganku.
“Mak marah ke akak bawak kawan akak tu?” soalku kepada emak. Takut juga emak tak
senang hati aku bawa balik Dr. Sharizal dengan tak sengaja.
Emak tersenyum dan menggeleng. “Taklah. Mak tak marah. Mak suka,” balas emak
sambil menepuk tanganku.
Aku melopong. Emak tak marah? Biar benar!
“Betul ni mak tak marah?” soalku lagi inginkan kepastian. Muka emak aku pandang.
Emak hanya tersenyum saja tanpa membalas kata-kataku.
7
“LIN, kau ni memang mulut tempayan tau tak,” marahku ketika aku menelefon Ellin. Geram
betul dengan dia yang pandai-pandai cakap aku cuti tiga hari dengan Dr. Sharizal. Makin sakit
hati bila aku dengar dia ketawa di talian. Lin, kalau kau ada kat depan aku ni, aku cekik-cekik
batang leher kau!
“Alah, relakslah, sis. Sebenarnya aku terpaksa cakaplah. Bukan disengajakan,” katanya
sambil ketawa lagi. Eii… sakitnya hati aku dengar dia ketawa. Grr!
“Apa terpaksa-terpaksa? Apasal pulak kau terpaksa?” soalku. Konon marahlah. Biarkan
Ellin ni tau aku marah kat dia. Pandai-pandai aje bagi tau orang aku nak balik kampung.
“Aku terpaksalah, Faiz. Dr. Sharizal tu asyik tanya aje. Lebih-lebih lagi bila borang cuti
kau tu ada kat kaunter. Terpampang besar-besar kau ambil cuti tiga hari. Hah… yang kau pergi
tinggalkan borang cuti kau kat kaunter tu kenapa? Jadi, jangan nak salahkan aku pulak yek!”
Panjang lebar Ellin membalas. Siap dengan pernyataan pembelaan lagi.
Aku mendengus. Baru aku teringat, aku memang tinggalkan borang cuti tu si kaunter
sebab masa tu perut aku tak tahan memulas-mulas dan aku terus pergi tandas.
“Habis tu, macam mana sekarang? Okey tak dia? Dah kenal-kenal dengan mak kau?
Mana tau mak kau berkenan nak buat menantu ke? Ahak!” Dia mengusik sambil ketawa.
“Kepala lutut kau! Banyaklah kau punya menantu,” tukasku. Hai, budak ni. Tak habis-
habis nak mengusik akulah. Aku jotos jugak dahi dia yang luas tu karang.
Ellin ketawa terbahak-bahak di hujung sana. Aku memicit-micit kepala yang berdenyut
sedikit. Hujung jari aku gigit-gigit.
“Hei, masa nilah kau nak kenal hati budi dia macam mana. Masa nilah kau nak dekat
dengan dia dan masa ni jugalah kau patut bagi peluang kat hati kau tu untuk diisi dengan cinta
sejati daripada Dr. Sharizal. He loves you, Faiz.”
Kata-kata Ellin membuatkan jantung aku macam berhenti berdegup. Eh, kejap… kejap…
“Eh, mana kau tau Dr. Sharizal tu in love dengan aku? Kau tanya dia ke?” Aku bertanya.
Siasat sikit. Manalah tahu si Ellin ni pandai-pandai aje reka cerita untuk selamatkan diri dia. Ada
ke patut dia kata Dr. Sharizal in love dengan aku? Gila ke?
“Aku taulah, Faiz. Kau tak perasan ke setiap kali dia tenung kau mesti lama dan
pandangan mata dia tu berbeza daripada pandangan mata orang lain.”
“Eh, apa kau cakap ni? Aku tak fahamlah! Pandangan mata dia berbeza dengan
pandangan mata orang lain? Apa maksudnya?” Aku mengerutkan dahi. Sungguh. Aku memang
tak faham apa yang Ellin cuba cakap. Berbelit-belit. Memang membelitkan otak aku ni.
Kedengaran Ellin mengeluh dalam talian. “Kau ni, lambat betullah. Maksud aku cara dia
pandang kau lain daripada yang lain. Macam orang dilamun cinta. Cara dia senyum kat kau,
macam orang tengah dilambung asmara. Kau perasan tak, masa kau tengah sedih, masa arwah
ayah kau sakit, siapa yang ada bersama kau masa tu? Kenapa dia tiba-tiba ada kat sana? Kalau
kau nak tahu, hari dia pergi jumpa kau kat Hospital Batu Pahat tu, dia kena handle satu kes kat
sini. Sanggup pulak dia tinggalkan kerja dia kat sini. Apa maknanya tu? He cares about you,
Faiz. Kau tak rasa apa-apa ke sekarang, Faiz? Kau tak rasa ke?”
Aku termenung mendengar kata-kata yang panjang lebar daripada Ellin. Mula berfikir
logiknya kata-kata Ellin. Aku terdiam seketika. Betul ke apa yang dikatakan Ellin? Betul ke Dr.
Sharizal cintakan aku? Betul ke? Argh... aku tak tahu. Bingung. Bengong. Keliru. Dalam masa
yang singkat dia jatuh cinta dengan aku? Aku pulak? Ah, mengarut! Isy, entahlah. Kerja gila
semua ni. Tak tercapai dek akalku.
“Faiz, kau gunalah masa yang kau ada selama tiga hari di kampung tu untuk kenali hati
budi dia. Cuba selami sendiri jiwa dan perasaan kau terhadap dia. Jangan biarkan cinta lama kau
tu musnahkan cinta baru yang nak berputik di hati kau tu. And one more thing, I know you love
him too.”
“Hei... apa kau cakap ni? Cinta apa ni? Kau jangan nak mengarutlah!” Aku menjerit kuat
mendengar kata-kata Ellin. Mana dia tau aku pun dah fall in love dengan Dr. Sharizal?
“Kau aje tak perasan, Faiz. Aku tau. Sekarang ni, aku nak kau kaji sendiri hati kau tu.
Dan, jangan kau nak main-mainkan perasaan doktor kesayangan aku tu tau. Kalau aku tau kau
main-mainkan dia, siap kau.” Ellin ketawa di hujung talian. Apasal pulak dia beria-ia ni?
“Ewah-ewah. Kau nak warning aku pulak ya?” Aku membidas. Mana boleh nak paksa-
paksa orang. Sesedap dia aje nak paksa aku ya. Sekali aku lesing karang. Terus jadi Labu Labi
kau nanti.
“Aku cuma nak kau bahagia, Faiz. Aku tengok Dr. Sharizal tu baik. Caring betul pasal
kau. Aku tak nak kau lepaskan peluang yang ada kat depan mata kau sekarang. Kebahagiaan
menanti kau, Faiz. Kebahagiaan kau dengan Dr. Sharizal. Aku sayangkan kau. Aku nak kau
bahagia. Aku tahu kau juga cintakan dia. Kau yang tak perasan, Faiz.”
Aku terkedu. Tak percaya mendengar bait-bait kata yang meluncur keluar dari mulut
Ellin. Lidah aku jadi kelu untuk membalas kata-katanya ikhlasnya itu. Betul ke? Betul ke aku
jatuh hati pada Dr. Sharizal di luar kesedaranku? Betul ke? Kalau betul, kenapa aku tak rasanya
sekarang?
Aku dan Ellin berpisah di talian bila dia kata hendak membuang air besar. Sedari tadi dia
tahan. Tak senonoh betul! Cakaplah awal-awal. Salah dia juga sebab beria-ia tazkirah dengan
aku tadi. Aku menggelengkan kepala mengenangkan sikap Ellin yang kadang-kadang serius dan
kadang-kadang boleh jadi penghibur atau pelawak macam Nabil Raja Lawak. Itulah dia, Ellin
Nurnadiah, sahabat sejati aku.
AKU menolong emak masak untuk makan malam. Malam ini menunya pelbagai jenis. Sekali
tengok macam hidangan untuk dua puluh orang. Ada kari ayam, sotong goreng, ayam goreng,
sambal udang, sayur campur, belacan (memang kena ada), asam pedas ikan merah… isy,
banyaknya. Boleh habis ke ni?
Kalau mengikut sejarah, keluarga aku ni memang jenis kuat makan. Lebih-lebih lagi adik
lelaki aku tu, si Farizal. Dia seorang pun boleh habiskan semua lauk-pauk ni. Tapi, badan tak
juga gemuk.
“Pandai akak cari calon menantu untuk mak.” Tiba-tiba emak bersuara.
Aku memandang emak dengan satu kerutan. Emak tersenyum meleret. “Calon menantu?
Bila masa akak cari calon menantu, mak?” soalku bingung. Kepala yang tak gatal aku garu.
“Eleh akak tu, kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu pulak. Tu, Abang Sharizal tu
siapa? Bukan calon suami akak ke? Buat-buat tak faham pulak, kan?” Hafiza pula menyampuk
sambil menyiku Farhana.
Kedua-dua mereka tersenyum nakal kepadaku. Aku membulatkan mata kepada mereka.
“Dia bu…”
“Mak suka dia, kak. Baik, sopan santun, hormat orang tua, suka tolong orang. Mak rasa
memang sesuailah akak dengan dia.” Emak memintas sebelum sempat aku menjelaskan
kedudukan hubungan aku dengan Dr. Sharizal.
Tercengang-cengang aku mendengar kata-kata emak. Dia orang dah salah faham ni. Aku
kena betulkan ni. Makin meruncing pula nanti bila aku tak cakap yang benar. “Akak…”
“Yang paling penting, Abang Sharizal tu handsome kan, mak? Kerja pulak, ala-ala
glamor gitu. Mesti heboh satu kampung bila dengar mak dapat menantu doktor kan, kak?”
Farhana pula memintas percakapanku. Dia mengenyit mata kepadaku.
Aku membulatkan mata kepadanya sambil mulut terkial-kial untuk membuat kenyataan
balas. Aku memandang emak dan adik-adikku silih berganti. Situasi ini agak membimbangkan
juga. Aku kena berterus terang dengan mereka. Kalau didengar Dr. Sharizal, malu pula aku
jadinya. Tapi mereka langsung tak bagi aku peluang untuk berterus terang. Setiap kali aku nak
bercakap, dipintas. Makin giat pula dia orang mengusik aku. Isy, masak aku…
“Stop!” Aku menjerit tiba-tiba. Kedua-dua tangan aku angkat ke atas.
Serta-merta emak dan adik-adikku terdiam daripada terus mengusik aku. Mereka serentak
memandang aku. Suasana yang meriah dengan usikan dan sakat-menyakat tadi jadi sunyi. Mata
masing-masing bulat memandangku. Aku diam beberapa saat sebelum bersuara.
“Wahai, emakku… wahai, adik-adikku, dengar dulu apa akak nak cakap ni. Akak dengan
Dr. Sharizal tak ada apa-apa hubungan, melainkan hubungan sebagai seorang sahabat dan
hubungan antara rakan sekerja. Tak lebih daripada itu. Akak baru kenal dia dua tiga bulan,
takkan terus nak…” Aku berhenti sekejap. Memikir ayat yang sesuai untuk hujahan aku.
Kemudian menyambung, “Belum sampai lagi ke tahap bercintan-cintun ni.
“Lagipun Dr. Sharizal tu anggap akak sebagai kawan aje dan akak pun macam tu. Tak
lebih dan tak kurang. Kalau didengar dek dia, tak ke malu muka akak ni bila mak dan adik
bangkitkan isu ni. Mesti dia ketawakan akak tau. Sudah, emak, adik-adikku, jangan salah faham
lagi ya tentang akak dan Dr. Sharizal. Kita orang tak ada apa-apa. Lagipun kita orang berjiran kat
Melaka. Percayalah.”
Panjang lebar dan bersungguh-sungguh aku menyampaikan hujah. Sampai ayat pun
lintang-pukang jadinya. Tak kisahlah, janji dia orang faham hubungan aku dengan Dr. Sharizal
tak lebih daripada seorang kawan. Aku takut keberanganan mereka akan memalukan diri aku
sendiri.
Emak dan adik-adikku berpandangan sesama sendiri kemudian pandangan mereka
terarah kepadaku semula.
“Jiran? Akak berjiran dengan dia?” soal Hafiza, tercengang-cengang memandangku.
Aku mengangguk.
“Kalau akak dan Dr. Sharizal tu tak ada apa-apa, kenapa dia ikut akak balik? Tak ke pelik
namanya tu…” Farhana menyuarakan kemusykilannya.
Aku melongo mendengar soalan itu. Sebenarnya, aku pun tak tahu motif Dr. Sharizal ikut
aku balik. Entah. Aku tak ada jawapan untuk soalan Farhana itu. Terpisat-pisat aku hendak
menjawab. Kepala yang tak gatal sekali lagi menjadi mangsa tanganku, menggaru.
“Hah... entah-entah Abang Sharizal tu sukakan akak tak? Akak aje yang tak tau. Entah-
entah dia balik ni saje aje nak kenal keluarga kita, lepas tu hantar rombongan meminang akak.”
Hafiza masih lagi mengusikku. Senyuman nakal masih terukir di bibirnya.
Tidak pula aku membidas percakapannya. Aku menggaru kepala lagi. Mukaku berkerut-
kerut. Gila!
“Isy, pandailah Fiza ni menyerkap jarang. Dahlah, lupakan ajelah. Mak, bila rumah kita
nak buat kenduri arwah ayah? Rasanya dah seratus hari dah ni.” Aku menukar topik perbualan.
Malas nak panjangkan topik hangat sebentar tadi. Naya aje kalau Dr. Sharizal dengar. Haru.
Sebenarnya aku malu. Malu tapi mahu. Hehehe
“Mak ingat nak buat esok aje. Esok genap seratus hari,” balas emak. Ada nada sayu di
hujung kata-katanya.
Aku juga menumpang sayu. Mesti mak sedih lagi dengan pemergian arwah ayah. Aku
nampak dia menyeka air matanya dengan hujung jari. Serba salah pula aku bila bangkitkan pasal
ayah. “Esok akak pergi pasar cari lauk ya, mak.”
Emak hanya mengangguk tanpa kata. Alahai mak aku… kesiannya dia. Aku pun mahu
ikut mengalirkan air mata. Siapa tak sedih bila orang yang disayang tak ada dengan kita lagi?
Hanya mereka yang alami saja yang merasai kesedihannya.
SEMUA masakan yang emak dan anak-anak daranya ini masak sudah terhidang di atas meja.
Penuh satu meja dengan lauk-pauk yang kami masak. Habisnya belum tentu.
“Wau, banyaknya! Bau pun sedap.” Farizal sudah gatal tangan mencekut sotong goreng
tapi tangannya pantas diketuk emak.
Padan muka! getus aku dalam hati.
“Pergi panggil abang kamu tu makan. Jangan nak makan sensorang pulak,” tegur emak.
Hafiza menaikkan thumbs up ke arah Farizal. Farizal pula menjelir lidah ke arah Hafiza.
Aku menggelengkan kepala melihat gelagat adik-adik aku. Macam budak-budak.
Tak sampai lima saat, Farizal sudah membawa Dr. Sharizal ke meja makan. Sempat aku
mencuri pandang kepadanya. Dan, dia juga sedang memandangku. Aku tersenyum sedikit lalu
menundukkan muka, menyenduk nasi ke pinggan. Tenung lama-lama karang lain pulak jadinya.
Haisy…
“Banyaknya lauk. Mesti sedap ni,” puji Dr. Sharizal.
Aku hanya mengerlingnya sekilas sebelum mataku tertangkap matanya. Sempat dia
mengenyit mata kepadaku. Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan ke arah lain.
“Makanlah, nak, ya. Jangan segan-segan. Lauk orang kampung saja. Akak tolonglah
hulur lauk kat kawan tu. Apa ni makan sorang-sorang?” bebel emak.
Isy, mak ni. Biarlah dia ambik sendiri. Kan dia ada tangan. Nak tak nak aku sendukkan
kari ayam ke pinggannya. Kepala maintain tunduk. Malu nak tengok muka dia.
“Ha, sambal udang ni akak yang masak tau, bang. Rasalah.”
Farhana pula menyendukkan sambal sotong dan diletak di pinggan „abang‟ aku tu. Nak
saja aku cubit ketam mulut Farhana. Laser sungguh! Huh, yang dia tu asyik senyum aje bila aku
mencuri pandang ke mukanya, yang juga sedang memandang mukaku.
“Ika mana, mak?” soalku kepada emak. Dari tadi tak nampak pun batang hidung adik
bongsuku itu. Takkan tak bangun-bangun lagi?
“Dia baring lagi. Tadi dia dah bangun. Mak suruh dia tidur semula,” jawab emak.
“Dah makan ubat ke belum?” soalku lagi sambil menyuap nasi ke mulut. Aku
menyenduk sambal udang ke pinggan. Sambil itu mata nakal aku ini tak habis-habis nak curi
pandang lelaki di depan aku ini.
“Adik akak yang sorang tu mana nak makan ubat, kak oi. Nak pergi jumpa doktor pun
menangis macam budak kecik. Lagi pulak nak makan ubat. Bertahun nak tunggu, kak.” Farhana
pula menyampuk. Hafiza mengiakan.
Memang betul pun. Syafika memang paling susah nak makan ubat. Hmm… taulah aku
nak pujuk dia nanti.
“Isy, dah… dah. Makan. Tak baik bercakap depan rezeki,” tegur emak akhirnya.
Kami semua serta-merta diam dan tekun menjamu selera. Sesekali tanganku berlaga-laga
dengan tangan Dr. Sharizal apabila hendak mengambil lauk. Sekejap-sekejap, pandangan kami
bertaut. Kami pula menjadi mangsa usikan adik-adik aku yang nakal.
Dan sinar matanya yang bersinar berkilau bak butir-butir mutiara itu mengundang seribu
pertanyaan dalam diriku. Mulalah hati aku nak memercikkan sedikit kegelisahan. Maknanya…?
AKU mendapat panggilan telefon daripada Shahrul selepas menunaikan solat isyak. Shahrul
yang aku jumpa kat R&R pagi tadi. Dia beritahu terlupa untuk mengucapkan takziah atas
pemergian arwah ayahku. Tidak mahu terlalu emosi, Shahrul menukar tajuk perbualan. Topiknya
lebih menjurus tentang aku dengan Dr. Sharizal.
Ni lagi sorang. Letih aku nak menjawabnya. Aku telah menyatakan setegas-tegasnya
tentang hubungan aku dan Dr. Sharizal. Tidak lebih daripada seorang kawan. Mulut aje kata
begitu, tapi hati aku… susah hendak aku tafsirkan hati aku sendiri.
“Ya ke? Baguslah macam tu. Lepas ni bolehlah aku masuk jarum!” ujar Shahrul dengan
nada berseloroh.
Aku spontan menjerit kepadanya. “Hah, masuklah kalau berani. Hehehe…”
Kami kemudiannya ketawa bersama. Lama juga kami berbual, sehingga dia meminta diri
kerana ada temu janji dengan klien. Aku lirikkan mata ke jam dinding yang tergantung di
dinding bilik. Pukul 9.30 malam. Hai, malam-malam buta pun nak pergi jumpa klien? Klien ke
kelain ni? Aku mengusiknya. Dia menegaskan lagi yang dia memang betul-betul mahu jumpa
klien.
Aku mengiakan saja dan kami akhirnya berpisah di hujung talian. Telefon bimbit aku
letak di atas meja solek. Aku lihat wajah di cermin. Cengkungnya muka aku ni. Nak ke Dr.
Sharizal kat aku? Eh, alamak! Aku baru teringat tentangnya. Apalah aku ni biarkan dia. Kan aku
yang bawak dia balik. Isy… tak patut aku tinggalkan dia terkontang-kanting sensorang. Tak
patut sungguhlah kau ni, Faiza!
Aku terus keluar dari bilik, menuju ke ruang tamu. Tengok dia tengah buat apa.
8
AKU tengok dia rancak betul berbual dengan Farizal dan Hafiza. Budak berdua tu memang suka
bercakap. Farhana pula lebih suka mendengar, agak slow sikit berbanding abang dan kakaknya
yang kalau bercakap macam bertih jagung.
Sesekali aku tengok dia mengangguk mengiakan percakapan adik-adik aku. Aku
melempar senyuman kepadanya ketika pandangan kami bertembung. Biarkan dia. Sekurang-
kurangnya dia tak rasa sunyi bila ada di sini. Itulah, siapa suruh ikut aku balik? Aku ni pula tak
reti nak layan dia. Bukan apa, aku sebenarnya seganlah. Isy…
Aku kemudian melangkah kaki ke anjung rumah. Malam-malam begini sedap kalau dapat
hirup udara segar. Dingin saja bila angin menampar muka. Agak jarang aku dapat suasana ini di
Melaka. Nak pula rumah dekat dengan Bandar Melaka. Lagi banyak bunyi bising. Debu-debu
berterbangan tanpa mengira siang atau malam.
“Hai.”
Aku pantas menoleh. Aku lihat dia berdiri di ambang pintu sambil melempar senyuman.
Aku membalas senyumannya dan menguis rambutku yang berjuntaian di dahi.
“Kenapa tak join kat dalam tadi?” soalnya sambil berjalan mendekatiku. Dia berdiri di
sebelahku, sejauh satu meter.
Jauh jugaklah ni kan. Lagipun lampu terang-benderang kat anjung ni ha. Pintu rumah
terbuka luas.
“Saya malas nak ganggu. Lagipun adik-adik saya tu memang jakun orangnya,”
Balas aku sambil ketawa kecil. Dia juga ketawa.
“Ya ke? Bukan jealous?” Dia bertanya sambil memandang mukaku. Cuba menduga
reaksiku agaknya.
Aku mencebik. Buat apalah aku nak jealous? Buang karan aje. Lagi aku suka adalah
sebab ada orang layan dia. Taklah dia mati kutu kat sini. Tapi kan, aku tengok dia ni cepat
sesuaikan diri dengan famili aku. Baguslah, sekurang-kurangnya dia tak rasa janggal dan tersisih.
“Isy, nak buat apa jealous? Lagi suka adalah, sebab saya tak payah layan tuan doktor ni,”
balas aku sambil memandang mukanya malah mata gatal aku ini boleh pula mengenyit kepada
dia. Kurang sopan betul. Sebenarnya spontan aku kenyit mata kat dia. Pantas aku berpaling ke
arah lain.
“Hah… tadi siang janji nak panggil apa?”
Kata-katanya membuatkan aku kembali berpaling kepada dia yang sedang tersenyum
nakal. Dia menaikkan kening ala-ala Ziana Zain, penyanyi pujaan hati jiwa dan ragaku. Isy, dia
ingat lagi ke? Aku ingat dia dah lupa. Rupanya masih berpanjangan yek…
“Err… isy, takkan saya nak panggil macam tu pulak? Lagipun kita kan baru kenal. Tak
ada apa-apa ikatan. Takkan saya nak… err… nak panggil macam tu pulak? Gila ke?” Aku garu
kepala yang tak gatal.
Yalah, betul apa aku cakap. Takkan aku nak panggil dia macam tu sedangkan aku dan dia
tak ada apa-apa ikatan? Lainlah kalau dia memang tunang aku ke, apa ke. Tu pun, rasa macam
janggal sangat bila tiba-tiba nak panggil abang. Aku mencuri pandang wajahnya yang sedang
tersenyum sendirian sambil menggelengkan kepala. Apalah yang difikirkan agaknya. Seronok
kenakan aku macam tu agaknya. Aku jotos juga kepala doktor ni karang.
“Okeylah kalau Miss Pharmacist tak bersedia. Tuan doktor takkan memaksa,”
balasnya cuba memerli.
Aku menarik nafas lega mendengar kata-katanya. Sekurang-kurangnya terlepas beban
dari bahu aku ini. Nasib baiklah dia tak terus seksa dan paksa aku panggil dia dengan nama itu
walaupun aku telah berjanji tanpa sengaja. Tapi yang aku tak suka tu, dia panggil aku Miss
Pharmacist! Cet… perli aku ke apa?
“Tapi, awak janganlah panggil saya doktor lagi. Saya bukan doktor awak dan awak
bukan pesakit saya. Panggil nama aje,” ujar dia kemudian.
Aku mengangkat bahu dan mengangguk. “Okay. Deal!” ucapku sambil tersenyum.
Kami kemudian membisu sekejap. Masing-masing seperti melayan perasaan sendiri.
“Faiz?” Dia bersuara selepas beberapa minit membisu. Aku berpaling ke arahnya.
“Boleh saya tanya sikit?” soalnya kemudian. Aku mengangkat bahu dan mengangguk.
“Siapa lelaki yang awak bohong hari tu kat Carrefour Melaka? Yang awak kenalkan saya
sebagai tunang awak?”
Aku kerutkan dahi. Siapa? Hakimi? Huh… elok-elok aku dah lupakan terus si Hakimi,
dia boleh pulak bangkitkan lagi nama dia tu. Serta-merta mood aku berubah. Elok-elok dah cheer
up tadi, terus down. Mulalah aku rasa tidak senang hati dan perasaan bila cakap pasal budak
cempiang tu.
“Nak dengar ke?” soalku sambil memandang mukanya. Cuba memancing reaksinya.
“Kalau awak sudi nak bercerita dengan saya. Kalau tak, tak apa. Saya takkan paksa,”
balasnya sambil tersenyum kepadaku.
Aku menghembus nafas perlahan. Kepala aku tunduk ke lantai, memandang batu-batu
marmar yang bercorak seperti papan. “Sebenarnya… dia dulu bekas teman lelaki saya masa kat
universiti. Kami sama-sama belajar, tapi lain bidang. Dia ambik dentist.”
Aku memulakan cerita. Sebenarnya aku malas nak bercerita pasal ini. Memandangkan
dia beria-ia nak tahu, aku mulalah bercerita. Aku menghalakan mata ke tengah jalan. Memejam
mata. Mengingati semula detik-detik pertemuan antara aku dan Hakimi. Satu pertemuan yang
indah. Aku menguntum senyuman. Perlahan-lahan, kenangan lama berputar kembali di layar
ingatan.
AKU berjalan beriringan dengan Suzana, teman sekuliahku, menuju ke kafe kolej. Lapar benar
perut aku ni. Apa taknya, dari pagi membawa ke tengah hari aku tak menjamah apa-apa. Baru
saja kaki nak menjejak ke lantai kafe, aku dirempuh oleh seorang mamat. Habis bersepah aku
punya fail dan kerja kursus yang baru aku siapkan tu. Telefon bimbit ke lantai. Bercampur
dengan fail-failnya.
Nasib baik handphone aku tak pecah. Kalau tak, kena gantilah kau, bisik aku dalam hati.
“Sorry, wak, sorry. Saya tak sengaja,” ucap dia dengan perasaan bersalah. Dia membantu
aku mengutip kesemua fail-fail aku.
“Eh, awak tak nampak ke kawan saya ni ha? Mata awak letak kat mana?” Suzana sudah
bercekak pinggang memandangnya yang sama-sama bangun denganku sesudah mengutip segala
macam barang kami yang bertabur.
“Sorry, saya betul-betul tak sengaja. Saya nak cepat tadi. Awak tak apa-apa?” Dia
bertanya sambil memandangku. Pantas aku menggeleng.
“Apa sorry, sorry? Mana entah dia letak mata dia tu!” bebel Suzana lagi. Dia merenung
tajam ke arah lelaki yang melanggar aku.
Kesian pula aku tengok dia terkulat-kulat kena marah dengan Suzana. Isy, Suzana ni.
Aku menyampuk bila Suzana cuba menyambung kemarahannya tadi.
“Tak apa. Saya okey. Lain kali kalau nak cepat pun kena tengok-tengok dulu ya.” Penuh
berlapik dan berhemah aku menutur kata. Kononnyalah.
Sebenarnya aku malas nak marah-marah. Memandangkan dia pun macam budak baik dan
nerd sikit, aku berlembutlah. Aku nampak dia mengangguk dan tersenyum. Manis juga
senyuman dia tu.
“Terima kasih sebab tak marah saya. Saya betul-betul tak sengaja tadi, wak. Sorry
sesangat.”
Aku sekadar tersenyum. Mamat ni betul-betul blur. Tengok muka dah tau dia ni blur.
Tapi handsome jugak. Ahak!
“It’s okay,” balasku perlahan.
“Hmm… okeylah, saya dah lambat ni. Ada kelas. See you. Sorry ya,” ucapnya sebelum
berlalu. Langkah yang diayun begitu laju sampai mata aku jadi juling tengok dia berjalan.
Macam ada kuasa bionik.
“Hoi!” Bahu aku terangkat dek tepukan Suzana. Pantas aku mengurut dada. Isy, Suzana
ni. Terperanjat aku. Nasib baik tak ada lemah jantung.
“Kau ni, senang-senang aje nak maafkan mamat tu. Menyampah aku. Sorry, wak. Saya
tak sengaja. Awak tak apa-apa?” Suzana mengejek cakap lelaki tadi, dengan mimik muka sekali.
Aku ketawa sambil menggeleng. Ada-ada ajelah budak ni. “Kau ni tak baiklah. Dahlah,
jom kita makan. Lapar gila perut aku ni.”
Kami beriringan masuk ke kafe. Perut aku dah berdondang sayang minta diisi.
SUZANA mengetawakan aku apabila aku tunjukkan kad pelajar yang telah bertukar rupa dan
nama fakulti. Aku telah tertukar kad pelajar dengan budak lelaki yang melanggar aku di kafe
tadi. Adus…
“Tulah kau. Tak tengok lagi. Main ambik aje. Sekarang dah tertukar kad nama dengan
budak nerd tu. Jadilah kau budak fakulti pergigian. Lepas tu kau tukar rupa kau jadi lelaki,” kata
Suzana sambil ketawa lagi. Dia berguling-guling di atas katil.
Aku menopang muka dengan kedua-dua belah tangan. Macam mana ni? Kat mana aku
nak cari dia? Esok dahlah aku ada kelas. Isy, kalut betullah budak ni. Aku mengeluh. Kad
pelajarnya aku belek lagi. Hakimi Nazwan. Itulah nama dia. Sedap juga nama dia. Orangnya pun
boleh tahan walaupun nampak nerd sikit. Tapi kira okeylah. Aku tersenyum sendirian.
“Hah, senyum sorang-sorang tu dah angau kat mamat nerd tu ke?” Suzana menyenggol
lenganku dengan sikunya. Isy…
“Mana ada. Jangan pandai-pandai eh,” bidasku sambil bangun, menuju ke meja belajar,
mengambil telefon bimbitku. Ingat nak dail nombor Syed, kawan satu kampung dengan aku.
Mana tau dia kenal ke budak Hakimi ni. Lagipun dia ambik dentist.
Eh, kenapa lain pulak telefon aku ni? Kenapa gambar aku yang jadi cover screen tak ada?
Muka budak Hakimi pulak? Aduh… Aku hempaskan keluhan kasar. Tahulah aku bahawa telefon
bimbit aku telah bertukar juga. Perlahan-lahan aku rebahkan badan ke atas tilam. Blur…
“Hah… dah kenapa ni? Dah angau semula kat budak tu?” Suzana mengusik lagi sambil
berjalan ke arah katilku. Aku menunjukkan telefon bimbit tadi kepadanya.
“Telefon aku pun bertukar dengan dia, Su…” Aku lemah tak berdaya bila telefon aku tak
ada di sisi. Macam hilang separuh semangat aku. Aduh, mintak nyawa…
“Hahaha. Telefon kau pun bertukar dengan dia? Isy, macam ada jodoh aje?”
Tak habis-habis budak kecik ni nak mengusik aku. Aku tengah susah hati ni. Mana nak
cari budak tu? Telefon aku, kad pelajar aku ada kat dia. Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
Pantas aku bangun dan duduk. Aku lihat nombor telefon aku tertera pada skrin. Mesti dia yang
telefon. “Helo.”
“Helo. Ni Faiza ya? Saya Hakimi yang langgar awak tadi.”
Ya, betul. Dia yang call. Ada harapan nak dapat telefon aku balik.
“Ha. Ya saya tau. Err… telefon awak tertukar dengan telefon saya. Kad pelajar saya pun
tertukar dengan awak. Macam mana nak tukar balik yek?”
“Saya tau. Saya pun tak boleh masuk kelas sekarang ni sebab tak ada kad pelajar.
Hmm… macam ni, kita jumpa sekarang boleh tak kat… hmm… Awak kat mana?”
“Saya kat hostel ni,” balasku. Suzana di sebelah cuba menelinga. Nak dengar juga.
“Okey. Saya jumpa awak kat hostel awak. Nanti awak turun ya.”
“Okey.” Talian dimatikan. Fuh… lega aku. Nasib baik dia call. Aku pun baru nak call
nombor telefon aku tadi.
“Dia nak datang sini. Hantar handphone dan kad pelajar aku. Lega sikit hati aku ni, Su,”
kataku kepada Suzana yang tersenyum nakal.
“Hah… entah-entah dia sengaja tak rancang benda ni sebab nak kenal dengan kau?”
“Hisy, apalah kau ni. Jangan menuduh tau. Tak baiklah. Tak habis-habis nak serkap
jarang. Dahlah. Aku nak turun ni. Nak tunggu dia kat bawah.” Aku terus keluar dari bilik hostel
meninggalkan Suzana yang tak habis-habis mengusik. Baik aku turun. Kalau tunggu dalam bilik,
lama-lama sakit hati pulak dengar usikan si kecik tu.
BARANG-BARANG aku dan dia sudah bertukar tangan. Aku mencium telefon kesayangan
pemberian ayah aku. Kalaulah kau hilang…punahlah hidup aku wahai telefon. Telefon
kesayangan ni.
“Minta maaf sebab susahkan awak. Semua ni salah saya.” Dia tak habis-habis
menyalahkan diri.
Memang pun! Memang salah kau! Nak saja aku cakap macam tu, tapi aku bukan jenis
yang begitu tidak sopan dengan orang lain. “Tak apa. Not a big deal.”
Ya ke? Habis tu tadi lemah tak berdaya kononnya sebab telefon kesayangan tak ada kat
tangan tu apa? Citpodah! Aku mengutuk diri sendiri.
“Hmm… dah terlanjur ni macam ni, kenapa tak kalau kita berkawan? Boleh?” katanya
sambil tersenyum. Dia duduk di kepala kereta Satria Neonya.
Aku mengetap bibir. Perlu ke? Nak berkawan pulak? Isy, nak ke… tak? Aku berkira-kira
dalam hati. Eh, kalau tak nak nanti dia kata aku jual mahal pulak. Apa salahnya kalau dia nak
berkawan? Kawan aje. Bukan nak ajak kahwin pun. Kan?
“Okay. No problem,” putusku akhirnya. Aku mengangkat kening dan bahu serentak.
Senyuman juga tak lupa aku hadiahkan kepadanya.
“Okey. Saya Hakimi Nazwan. Awak?”
“Saya Nur Faiza. Boleh panggil Faiza,” ucap aku sambil menyimpul senyum. Kami
kemudiannya bertukar-tukar nombor telefon.
Sejak hari itu, kami mula menjalinkan persahabatan. Jika ada masa terluang, kami akan
keluar bersama. Ops, Suzana? Kadang aku ajak dia ikut sekali, teman aku „berdating‟ dengan
Hakimi. Kadang-kadang dia malas nak ikut sebab dia kata macam kacau daun pula.
Sebenarnya, aku amat menyenangi sikap Hakimi yang low profile dan lebih banyak
berlembut dengan aku. Tutur katanya tidak pernah ditinggikan. Aku yang kerap kali
meninggikan suara bila ada yang tak kena. Biasalah, orang perempuan. Ada masa-masanya
untuk naik angin. Hehehe.
Beberapa bulan kemudian, aku dan Hakimi menjalinkan hubungan yang lebih serius.
Declare hubungan kami sebagai pasangan kekasih. Walaupun kami sedang dilamun cinta,
pelajaran tetap kami utamakan. Itu janji aku kepada Cikgu Kamaludin, ayahku sendiri.
AKU menguntum senyum lagi. Ingatan pada perkenalan dan percintaan aku dan Hakimi
semuanya indah. Pada masa itu, aku merasa sangat bahagia di sampingnya.
“Habis tu, kenapa awak putus dengan dia?” Dr. Sharizal bertanya, sekali gus mematikan
lamunanku sebentar tadi.
Senyum bahagia indah memekar di bibirku mati serta-merta. Dia memandang wajahku.
Menantikan jawapan. Aku menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Perpisahan. Perpisahan
yang memeritkan bagiku. Perpisahan yang memusnahkan segala harapan dan angan-angan aku
untuk hidup bahagia. Juga perpisahan yang hampir-hampir meragut nyawaku. Mengingati detik
itu, hati aku jadi mudah tersentuh. Air mata mudah saja tumpah ke pipi.
“Awak menangis? Maaflah kalau awak tersinggung dengan pertanyaan saya. Kalau tak
bersedia nak cerita… it’s okay. It’s fine with me. I’m sorry, Faiza.”
Aku tersenyum sedikit mendengar kata-katanya. Pantas tanganku menyeka air mata di
kelopak mata. Aku menggeleng berkali-kali, menidakkan kata-katanya. Bukan masalah aku
tersinggung. Kalau boleh aku malas hendak kenang kenangan lama yang begitu pahit dalam
lipatan sejarah kehidupanku.
“Masa tu, lagi seminggu saya nak exam final year. Sempat lagi kami berjumpa waktu
kritikal macam tu. Tapi…”
KAKI aku terhenti di balik dinding kafe. Aku menyorok di situ apabila terdengar suara gegak-
gempita Hakimi dan rakan-rakannya yang majoritinya pelajar Fakulti Pergigian. Aku cuba
menelinga apa yang dikatakan mereka.
“Akhirnya, dapat juga kau pikat hati dan perasaan budak perempuan tu kan. Aku tabik
springlah kat kau, Kimi. Kira kau menanglah.” Seorang kawan Hakimi bersuara sambil
menepuk-nepuk belakang Hakimi. Yang lain-lain ikut ketawa dan bersorak.
“Senang aje nak pikat minah tu. Dia tu jinak-jinak merpatilah. Aku umpan dia dengan
kasih sayang palsu aku, buai dia dengan kata-kata romantik, buat sampai dia betul-betul jatuh
cinta gila-gila dengan aku,” balas Hakimi dengan nada yang angkuh. Dia berpaling menghadap
kawan-kawannya.
“Hah… sekarang aku dah menang. Mana wang pertaruhannya? Penat-penat aku pikat
minah senget tu sampai aku pun ikut senget sekali. Cepat, cepat!” bentak Hakimi sambil
menadah tangan.
Hampir pitam aku mendengar kata-katanya. Aku dijadikan bahan pertaruhan mereka?
Hakimi mempermainkan aku? Selama ini dia hanya berlakon semata-mata demi untuk menang
pertaruhan dia dengan kawan-kawannya? Selama ini dia berpura-pura menyayangi dan mencintai
aku?
Aku bersandar pada dinding. Perlahan-lahan badanku melurut jatuh sehingga ke lantai.
Aku terduduk di lantai tepi dinding kafe itu. Menekup mulut yang terlopong. Bagaikan tidak
percaya dengan apa yang aku dengar sebentar tadi. Air mata sudah mula mengalir laju menuruni
pipi. Aku berpaling melihat ke arah mereka lagi. Hakimi begitu gembira mengira wang
pertaruhannya. Aku berpaling pula pada cincin pemberian Hakimi. Cincin sebagai tanda aku
miliknya selamanya. Tapi kini…?
Aku bangkit, berdiri. Berjalan ke arah Hakimi dan rakan-rakannya. “Hakimi!”
jeritku.
Suara-suara yang galak ketawa itu berhenti serta-merta. Masing-masing memandang aku.
Masing-masing melopong. Hakimi juga seakan terperanjat dengan kehadiranku di situ.
Aku memandang Hakimi, merenungnya tajam, mengatur langkah ke arah Hakimi. Kini
aku betul-betul di depannya. Tangan aku ringan saja menampar pipinya. Kuat sehingga
kepalanya terpusing ke kiri. Terpalit kesan darah di tanganku ketika menamparnya sehingga
pecah bibir. Matanya terbuntang luas memandangku. Rakan-rakannya juga diam membisu.
“Dah puas you gelakkan I? Dah puas you gelakkan minah senget kat depan you ni? Dah
puas you permainkan I, hah? Dah puas?” Bertalu-talu aku bertanya kepada dia yang nyata masih
terkejut dengan kedatangan aku yang tiba-tiba.
“Faiz… I… I…” Tergagap-gagap dia hendak membalas kata-kataku. Serba salah. Dia
meraba pipinya yang aku tampar.
“Cukup, Hakimi. You tak payah nak jelaskan. I dah dengar segala-galanya. I tak sangka,
Hakimi, you cuma jadikan I barang pertaruhan you dengan kawan-kawan you. I sangka you
ikhlas dengan I. Sangkaan I tersilap rupanya. You cuma nak permainkan I! I betul-betul tak
sangka you sanggup buat I macam ni. How dare you!”
Air mata sudah mula merembes laju menuruni pipi. Aku tidak lagi mempedulikan
pelajar-pelajar di situ yang menjadi penonton untuk drama swasta aku. Aku dah tak peduli lagi.
Masa itu, kepala aku dah tak kisahkan itu semua. Aku menanggalkan cincin pemberiannya dari
jari manisku lalu melempar ke mukanya.
“Nah! Ambil semula cincin you ni. I tak nak! Mulai hari ini, I tak mau lagi jumpa you,
Hakimi Nazwan. I tak kenal siapa Hakimi Nazwan.” Dengan kata-kata itu, aku berpaling, hendak
beredar dari situ namun tanganku disentap Hakimi. Langkah kaki aku turut berhenti.
“Faiz, biar I explain.”
Aku menarik kasar tanganku dan meneruskan perjalanan. Aku tidak menghiraukan
panggilannya. Aku berlari sepantas mungkin. Berlari ke mana saja kaki aku hendak berlari.
Hakimi! Kau sangat kejam! Kenapa aku ni bodoh sangat percayakan kau!
“I’M sorry, Faiz,” ucap Dr. Sharizal.
Aku hanya tersenyum kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Nak buat apalah dari
tadi asyik cakap I’m sorry aje. Bukan dia buat salah pun. Mungkin dia rasa bersalah sebab
bertanyakan kisah peribadi yang menjadi kenangan pahit dalam hidup aku.
“It’s okay. Awak tau tak apa jadi pada saya lepas tu?” Aku bertanya sambil
memandangnya. Dia mengangkat bahu dan menggeleng. Manalah dia tahu! Aku ni pun sengal
jugak tanya kat dia. Isy…
“Saya rasa down sangat lepas tu. Dengan exam yang dah dekat. Saya langsung tak fokus.
Menangis, menangis dan menangis. Saya ni bukan kuat sangat. Saya ni lemah orangnya.” Aku
berhenti sekejap. Menunduk ke bawah melihat batu marmar di lantai. Mengetap bibir. Dada aku
jadi sebak tiba-tiba.
“Setiap malam saya menangis. Kelas tutorial pun saya tak pergi sampai lecturer bagi
amaran, tak benarkan saya ambil exam tahun itu. Dan yang paling drastik sekali, saya… saya
cuba untuk bunuh diri.”
Aku mendengar dia beristigfar berulang kali. Terkejut mendengar tindakan yang telah
aku buat selepas putus dengan Hakimi. “Ya… saya cuba bunuh diri. Saya telan setengah botol
ubat tidur.”
Berat sekali aku menuturkan kata-kata itu. Sekali lagi aku dengar dia beristighfar. Dia
memandangku dengan pandangan tidak percaya. Kemudian, aku tunjukkan pergelangan tangan
kiri yang aku kelar dua tahun dulu kepadanya. Dia membelek-belek dan menggeleng. Terlopong
mulutnya.
“Kalau lewat lima minit saya tak dihantar ke hospital, mungkin saya tak ada lagi di dunia
ni, wak. Saya tak kenal Ellin, tak jumpa famili lagi dan tak kenal awak. Saya koma dua hari,
akibat perbuatan saya dan saya kehilangan terlalu banyak darah juga kesan daripada ubat tidur
yang saya telan setengah botol tu. ” Aku menambah.
Sekali lagi mata aku terpejam. Mengingati detik-detik berdepan dengan maut akibat
perbuatan gila aku itu. Bodoh betul aku masa itu.
“Tapi, alhamdulillah. Berkat doa rakan-rakan, keluarga, pensyarah-pensyarah, saya sedar
semula. Masa tu saya rasa bersyukur sangat-sangat kerana Allah memberi saya peluang kedua
untuk memperbaiki kehidupan saya. Lepas tu saya bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan
saya yang lalu. Saya tutup buku lama dan buka buku baru. Kalau boleh, saya tak mau ingat lagi
perkara yang lepas-lepas. Lepas saja saya dibenarkan keluar wad, terus saya buat ulang kaji
tanpa rehat dan henti sebabnya esoknya dah nak exam.” Aku ketawa kecil.
Tak dapat aku bayangkan bagaimana kalutnya aku follow up semua kelas tutorial dan
nota yang dipinjamkan Suzana. Kalutnya menghafal segala macam formula, fakta dan teori
berkenaan pengajian yang aku ambil. Sampai Suzana sendiri pun ikut sama menghafal gila-gila
dengan aku. Berkobar-kobar kami waktu itu. Akhirnya, alhamdulillah. Aku berjaya juga
akhirnya untuk menggenggam ijazah dan menghadiahkannya kepada kedua ibu bapaku yang
nyata gembira dengan kejayaanku.
“Macam tulah kisah saya dengan Hakimi. Minta maaflah kalau ceritanya tak menarik,”
kataku dengan sedikit senyuman di bibir. Aku lihat dia termenung. Jauh nampaknya
menungannya.
“Awak…” Aku melayangkan tangan ke wajahnya. Dia tersedar, mengukir senyuman di
bibir.
“Saya tak sangka awak dah lalui itu semua, Faiz. Kalaulah saya…” Ayatnya tergantung
di situ.
“Kalaulah awak apa?” Pantas aku bertanya.
“Kalaulah saya ada bersama awak masa tu, mesti saya takkan benarkan perkara itu terjadi
kat awak.”
Aku terkesima. Terkedu mendengar kata-kata yang meluncur keluar dari bibirnya. Tba-
tiba saja jantungku berdegup laju. Kata-kata itu terus meresap jauh ke dalam lubuk hati aku.
Kenapa perlu dia lontarkan kata-kata itu?
“Sebenarnya Faiz, saya…”
“Ehem, ehem… the loving couple ni tak mahu masuk tidur ke? Dah pukul 12.00 tengah
malam ni.”
Kami serta-merta menoleh ke arah Farizal dan Hafiza yang berdiri tegak di ambang pintu.
Mereka berdua tersenyum nakal ke arah kami. Agaknya dari tadi mereka menelinga saja
perbualan kami. Memang tak patut budak berdua ni. The loving couple? Isy, budak-budak ni…
pandai-pandai aje gelar kami macam tu.Tebal pula rasanya muka aku saat ini bila perkataan itu
dikeluarkan. Aku pandang dia. Kami sama-sama ketawa.
“Okeylah. Good night,” ucapku kepadanya dan berlalu mendapatkan Hafiza.
Aku dan Hafiza berkongsi bilik. Sementara dia berkongsi bilik dengan adik lelaki aku,
Farizal. Yalah, takkan nak sebilik dengan aku pulak. Hehehe.
9
HARI ini Farizal begitu bermurah hati menawarkan diri untuk ke pasar bersama Dr. Sarizal. Dia
menyuruh aku duduk saja di rumah. Hmm, bagus juga. Aku pun malas nak ke pasar dengan Dr.
Sharizal. Bukan apa, aku malu nak jalan bergandingan dengan dia. Bukan malu apa, cuma…
kalau aku duduk dekat dengan dia, jantung aku tak habis-habis berdegup kencang.
Hafiza pula suka sangat menyakat abangnya ini. Tak habis-habis nak cari gaduh dan
panggil vet. Yang orang ni, karang naik angin, satu rumah diterbalikkan. Aku menampar lengan
Hafiza di sebelah yang sedang menggelakkan sakan Farizal. Aku pun kadang terikut-ikut dengan
Hafiza.
Kesian pula dengan adik lelaki aku ni. Karang dia tak nak terus belajar pula sebab diejek
minah senget ni. Habis pulak duit yang aku laburkan kat dia dulu masa belum dapat pinjaman.
Siapa nak bayar balik?
“Dah siap ke?”
Kami serentak menoleh ke suara itu. Dr. Sharizal sudah berdiri di depan pintu dengan
senyuman mengulit bibir. Bau minyak wangi Polo Sport sekali lagi menusuk-nusuk lubang
hidungku, terus meresap ke hati. Aduh mak oi…
“Dah. Jomlah,” balas Farizal dan serentak kakinya bergerak menuju ke pintu.
“Bye-bye, Doktor Vet.” Hafiza mengusik lagi. Dia berlari terus ke dapur sebelum sempat
Farizal mengejarnya.
“Dah… dah… pergi cepat. Nanti habis pulak lauk kat pasar tu,” arahku. Farizal
mendengus geram kepada Hafiza. Kembang kempis hidungnya.
Aku menghantar mereka berdua sampai ke muka pintu.
“Saya pergi dulu ya.” Dr. Sharizal berkata kepadaku.
Aku mengangguk. Nak pergi, pergi ajelah. Isy…
“Saya pergi ni,” katanya lagi ketika membuka pintu kereta.
Aku mengangguk lagi sambil menggaru kepala. Eh, pergilah. Macam nak pergi jauh
pulak.
Dia menguntum senyum kepadaku. “Saya…”
“Ehem… ehem… Bila nak pergi ni yek?” Farizal segera memintas. Selamba saja
mukanya sambil memandang ke arah lain.
Aku melihat Toyota Altis hitamnya meluncur ke atas jalan raya. Aku tengok sempat lagi
dia melambai-lambai ke arah aku. Aku membalas lambaiannya. Hai, macam-macamlah Dr.
Sharizal ni. Aku menggeleng-geleng. Kadang-kadang pelik bila fikirkan perangai Dr. Sharizal
sejak akhir-akhir ini. Aku kembali memikirkan kata-kata Ellin semalam.
Betul ke apa yang dia cakap tu? Dr. Sharizal suka kat aku? Hei, entahlah. Biarlah dia
cakap sendiri dengan aku. Takkan aku nak tanya pulak? Hmm… sebenarnya, aku pun kelirulah
dengan perasaan aku terhadap dia. Perasaan suka sebagai kawan atau suka sebagai… err…
entahlah. Malaslah nak fikir dulu. Bikin kusut kepala aje.
“KAU cerita semuanya, Faiz?” soal Ellin ketika aku menelefonnya.
“Ha‟ah. Dia nak tau sangat. Aku cerita semuanya. Tak ada yang tertinggal,”
jawabku sambil menghempaskan satu keluhan.
“Habis tu? Apa reaksi dia?” Ellin terus-terusan ingin tahu. Budak ni, kalau pasal aku
dengan doktor kesayangan dia tu, laju aje.
“Dia terkejut bila tau aku cuba bunuh diri lepas putus dengan Hakimi.” Ellin
mencetuskan reaksi terkejut di hujung talian.
“Lepas tu?” soalnya lagi penuh excited tahap dewa.
“Lepas tu, dia cakap, kalaulah dia ada bersama aku masa tu, mesti dia takkan benarkan
semua tu terjadi kat aku.” Aku menjawab perlahan.
Sekali lagi Ellin mencetuskan suara reaksi terkejut. Kalau dia ada kat depan aku, mesti
dia tengah tutup mulutnya yang terlopong. Lepas tu, mata membulat besar pandang aku.
“Dia cakap macam tu, Faiz? Dia cakap macam tu? Kau tau tak apa maksudnya tu?”
“Apa?” soalku bodoh seraya menggunakan jari-jemari untuk menggaru kepala yang tak
gatal.
“Isy, kau ni lembaplah. Kalau aku cakap kau bodoh, kau marah.”
Amboi, terlebih betul minah seekor yang tak berekor ni. Bukan main sesedap rasa nak
kata aku bodoh. “Amboi, sesedap kau aje eh. Nak merasa penampar Johor ke?”
Ellin ketawa di hujung talian. “Okay, okay… sorry, sis. Hei, kau tau tak apa maknanya
tu? Maknanya dia memang suka kat kau, Faiz. Dia betul-betul sukakan kau. Kau tau tak dia bagi
kau hint tu. Tu pun tak sedar-sedar lagi ke? Faiz… Faiz… Kau ni slow sangatlah.”
Aku diam tidak membalas kata-kata Ellin. Sebenarnya aku keliru dengan perasaan aku
sendiri. Aku pun sebenarnya sukakan dia. Tapi, tak tahu suka yang macam mana dan dalam masa
yang sama aku takut. Betul ke dia suka kat aku? Aku takut aku yang terlebih perasan pula. Nanti
aku juga yang malu. Mana nak sorok muka kalau dah malu?
Lagipun baru beberapa bulan kami berkenalan. Takkan secepat itu dia dah jatuh hati
kepada aku? Aku menggaru lagi kepala yang tidak gatal. Lama-lama, kulit kepala aku ni akan
menipis pula kerana terlalu kerap digaru.
“Lepas tu, dia kata apa lagi?” Ellin menyambung kemudiannya.
Aku menggaru kepala terus. Dia cakap apa lagi? Itu ajelah. Isy, tapi… sebelum Farizal
dan Hafiza menegur kami semalam, dia macam nak cakap sesuatu.
“Dia ada cakap… Sebenarnya saya… Lepas tu, Rizal dan Fiza tegur kita orang. Tak
taulah dia nak cakap apa. Lepas tu aku terus masuk bilik. Tidur.” Seingat aku, itulah kata-kata
terakhir yang aku dengar daripada dia malam tadi.
“Ha… mesti dia nak cakap… Sebenarnya saya sukakan awak, Faiz. Sebenarnya saya dah
jatuh hati kat awak, Faiz. Saya cintakan awak, Faiz.”
“Isy, kau ni! Pandai-pandai aje. Entah-entah dia nak cakap benda lain. Kau ni… ah!” Aku
membidas kata-kata Ellin yang boleh membuatkan aku terperasan. Menafikan kata-katanya. “Eh,
dahlah… dahlah… Malas aku nak cakap pasal ni lagi. Eh, okeylah. Aku nak tolong mak aku kat
dapur kejap.”
Terus aku mematikan talian tanpa mendengar butir-butir percakapan selanjutnya daripada
Ellin. Makin sesak nafas aku bila Ellin mendesak aku begitu.
AKU segera mengatur langkah ke dapur. Aku tengok mak tengah mengurut-urut tengkuk
Syafika yang sedang muntah-muntah di sinki. Pantas aku menghampiri mereka.
“Kenapa ni, mak?” soal aku. Aku lihat muka Syafika yang sudah merah-merah kerana
muntah. Aku turut mengurut belakang Syafika.
“Dia loya katanya. Tu yang muntah.”
Itu jawapan daripada emak. Demam lagi budak ni? Aku meraba dahi dan lehernya.
Panasnya. Tulah, orang nak bawak pergi klinik tak nak. “Demam lagi Ika ni. Kita pergi klinik
ya?”
Tiada jawapan daripada Syafika sebaliknya dia beria-ia memuntahkan segala isi
perutnya. Kesian pula aku tengok, sampai lembik badan dia. Aku membantu emak mendudukkan
Syafika di kerusi makan di dapur. Kepalanya menunduk. Lemah tidak bermaya. Mukanya pucat.
Emak mengurut belakang tengkuknya lagi. Aku pula memicit kepalanya.
“Panas ni, kak. Lebih baik bawak pergi jumpa doktor,” saran Farizal pula selepas merasa
dahi Syafika yang hangat.
“Abang kan doktor jugak…” Hafiza menyampuk. Senyuman nakal terukir di bibirnya.
Pantas Farizal merenungnya tajam. Hidungnya sudah mula kembang kempis. Hai, dah
mulalah budak berdua ni. Macam anjing dengan kucing. Yang si adik pun satu. Kenapa suka
sangat mengusik si abang ni?
“Kak, Abang Sharizal kan ada. Dia kan doktor. Suruhlah dia periksa adik.” Farhana
melontarkan cadangan.
Ya tak ya jugak. Kan ke ada Dr. Sharizal kat dalam rumah ni? Kenapa tak suruh dia saja?
Apalah aku ni. Lambat pick-up betul.
Mata kami serta-merta tertumpu kepada Dr.Sharizal yang baru masuk ke dapur bersama
bungkusan barangan yang dibeli bersama Farizal.
“Kenapa?” soalnya sambil memandang pelik kepada kami yang serentak memandangnya.
Terpinga-pinga dengan buat muka tak faham.
SYAFIKA sudah diberikan rawatan oleh tuan doktor yang aku import dari Melaka ini. Dia kata
Ika cuma demam biasa. Muntah pun disebabkan tidak makan sepanjang hari dan perutnya masuk
angin. Jadi, badannya jadi lemah kerana kurang air dalam badan.
“Save sikit duit saya sebab tak payah bawak dia pergi klinik. Terima kasih ya?”
“Eii… berkira betul.” Tangannya tiba-tiba mencubit pipi kanan aku.
Terkejut juga aku dibuatnya dengan tindakan dia itu, tapi sakit juga. Aku mengaduh
sambil menggosok pipi aku. Kurang asam jawa betul orang tua ni. Sesedap rasa aje nak cubit
pipi aku yang gebu ni. Aku lihat dia tersenyum. Sakit hati aku. Isy, memang terlebih…
“Sakitlah!” Giliran aku pula menampar lengannya. Balas balik.
Dia ketawa kecil sambil menggeleng. Aku baru perasan, dia ada lesung pipit di pipi
sebelah kiri. Buat seketika, tertawan juga aku dengan lesung pipitnya itu. Nampak comel.
Huhuhu…
“Macam mana dengan Ika?” Kedengaran emak bertanya di muka pintu bilik. Kami
serentak menoleh ke arahnya.
“Aaa… Ika tak apa-apa. Demam biasa saja.” Aku menjawab.
Emak berjalan masuk ke dalam bilik. Aku bangun daripada duduk dan membiarkan emak
duduk di tepi kepala Syafika yang sedang tidur. Tangannya mengusap lembut ubun-ubun kepala
Syafika.
“Habis tu, dia muntah-muntah, kenapa?” Emak bertanya lagi. Pandangannya dihalakan
kepada Dr. Sharizal.
“Perut dia kosong. Jadi angin dah naik ke atas, tu yang dia muntah, mak cik. Tapi, mak
cik jangan risau, dia tak apa-apa. Biarkan dia berehat dulu. Insya-Allah, dia akan sembuh.”
Aku tengok emak mengangguk-angguk. Faham dengan penerangan Dr. Sharizal. Aku
turut mengangguk sekali.
“Nasib baik ada Shah. Boleh juga tengokkan Ika. Terima kasih ya,” ucap emak sambil
memegang tangan Dr. Sharizal.
“Sama-sama kasih, mak cik,” balas dia sambil memandang aku. Sempat lagi dia
mengenyit mata kepada aku.
Isy… tak senonoh! Depan mak aku pun dia nak mengenyit mata. Aku pura-pura tak tahu
sambil membelek kuku sendiri.
“Nak harapkan kakak dia ni, hmm… haram dia tak tau nak buat apa.”
Aduh… pedih betul telinga aku ni. Emak ni nak smash aku pulak depan Dr. Sharizal. Isy,
ada ke patut dia kata aku haram tak tau nak buat apa? Memang terlebih betul mak aku ni.
“Sampainya hati mak cakap akak macam tu. Kan akak nak bawak dia pergi klinik tadi.?”
Kecil hati aku bila mak cakap macam tu. Geram. Emak ingat aku sanggup ke nak biar adik
sendiri sakit? Ada ke patut dia kata aku macam tu? Ke dia sengaja nak kenakan aku?
Emak mencebik sambil menggeleng beberapa kali. Si dia tu, asyik nak tersenyum aje
tengok aku, lepas tu buat mimik muka. Nak aje aku lempang-lempang muka dia. Nanti, tak
pasal-pasal terus hilang sisi handsome dia tu. Huh…
“Mak, mak ngah dah datang.” Farhana menjenguk di muka pintu.
“Hah… yalah.” Emak sudah bangun daripada duduknya.
“Mak cik nak ke depan sekejap. Tengokkan mak ngah si Faiza ni,” ujar emak sebelum
beredar dari bilik Syafika. Dr. Sharizal hanya mengangguk.
“Sukalah tu. Mak puji-puji dia,” gerutuku kepadanya setelah emak keluar.
Dia hanya senyum dan senyum lagi. Itu sajalah modalnya. Senyuman yang tak pernah
lekang daripada menguliti bibir merahnya. Sampai hati aku pun cair bila melihat. Hai…
Dia tidak membalas kata-kataku. Tangannya memasukkan semula segala harta karun
peralatan perubatannya ke dalam beg hitam serba gunanya itu. Selesai, dia bangun dari birai katil
dan mengendong begnya di bahu. “Jealous ke?”
Selamba saja dia berkata sambil berlalu ke pintu bilik. Makin sakit hati aku bila dia buat
thumb-up ke arah aku. Wah… memang terlebih-lebih ni. Kemudian, aku pula mengikutnya
keluar dari bilik. Baru saja kaki melangkah ke luar bilik, aku terlihat kelibat mak ngah dan anak
bongsunya, Myra, di tepi pintu bersama emak. Aku tergamam. Mak ngah juga.
“Err… mak ngah. Apa khabar?” Aku menyalami mak ngah dan bertanya khabar. Cover
line ketergamaman aku tadi. Mak ngah hanya mengangguk dan matanya tak lepas daripada
memandang muka Dr. Sharizal.
“Ni kawan Faiza dari Melaka, kak ngah.” Emak memperkenalkan Dr. Sharizal setelah
dapat mengagak pandangan mata mak ngah yang tak berkedip ke muka Dr. Sharizal.
Dr. Sharizal mengangguk dan tersenyum. Dia kemudian menyalami mak ngah sambil
bertanya khabar.
“Oh… ingat Faiza bawak balik calon suami ke…”
Aku tiba-tiba terbatuk. Kata-kata mak ngah memeritkan kerongkong aku. Malu pula bila
dia berkata begitu. Aku mengerling ke arah Dr. Sharizal yang nyata asyik tersenyum sedari tadi.
“Insya-Allah, mak cik.” Selamba saja dia menyampuk.
Aku membulatkan mata. Tangan kiri aku mudah saja mencubit pinggang kanannya.
Hadiah atas kelantangan suaranya tadi. Rasakan. Padan muka. Dia menggeliatkan sedikit
badannya. Cuba menghindar daripada cubitan berbisa aku.
Bila tersedar akan keterlanjuran perbuatanku, segera aku meminta maaf. Malu pula
rasanya. Over pulak aku ni. Isy, memang terlebih sudah aku ni. Dia hanya menggeleng dan
mengejek aku. Mak oi… memang nak kena doktor kesayangan si Ellin ni tau.
Mak ngah dan emak ketawa kemudiannya. Mak ngah menepuk lengan emak. Entah apa
yang dia suka sangat.
“Jomlah, kak ngah. Kita ke dapur,” ajak emak kemudiannya. Mereka meminta diri untuk
ke dapur.
Myra, anak mak ngah yang berusia 18 tahun itu sudah tersenyum-senyum kepada aku.
Sebelah keningnya diangkat sebelum berlalu mengikut langkah mak ngah.
“Eii… mulut tu, tak boleh nak kawal ke?” kataku cuba mencubit lagi (kali ini memang
betul-betul) namun sempat dia melarikan diri. Dia berpaling dan mengenyit mata kepadaku. Aku
rasa macam nak cekik saja leher dia. Isy, geramnya aku!
Habislah! Kalau mak ngah, bukan boleh percaya mulut orang tua tu. Mesti satu kampung
dia bagi tahu, kononnya aku bawa balik calon suami. Aduh… Aku menggaru kepala lagi dan
lagi.
“UNTUNGLAH kau, Nab. Nak dapat menantu. Dapat menantu doktor lagi kan, Yah.” Mak
ngah menyenggol pula lengan mak uda. Mak uda yang tak banyak cakap itu hanya mengangguk
dan tersenyum.
“Tak adalah, kak. Budak tu kawan-kawan aje.” Emak membalas. Cuba menyelamatkan
aku agaknya.
“Eh, Nab. Kau tak dengar ke budak tu cakap? Kan dia cakap insya-Allah. Maknanya,
betullah tu. Kau ni tak faham-fahamlah.” Mak ngah menambah lagi.
Masa ni aku rasa macam nak hantuk kepala ke dinding saja bila dengar kata-kata mak
ngah. Sah lepas ni dia pergi heboh satu kampung. Aduh… ni semua dia punya pasallah ni!
Pandai-pandai mengaku pulak! Akhirnya, aku hantuk juga kepala ke dinding. Rasa sakit pula.
Bodoh. Yang pergi hantuk kepala kat dinding tu kenapa? Aku menggosok-gosok kepala.
AKU melihat dia resah gelisah. Berkerut-kerut mukanya sambil memegang telefon bimbit. Ke
sana salah, ke sini salah. Serba-serbi tak kenalah. Kenapa pulak ni? Ada yang tak kena ke?
Macam kucing hilang anak pula aku tengok.
Aku mengayun langkah mendekatinya di anjung rumah. Bila aku bertanya, dia katakan
Shariza dimasukkan ke hospital kerana mengalami asma yang teruk. Sekarang ini pun
keadaannya agak kritikal dan ditempatkan di Wad ICU.
“Hmm… kalau macam tu, baik awak balik Melaka dan tengok dia.” Aku memberi
cadangan. Dia sepatutnya ada di sisi Shariza ketika ini. Shariza amat memerlukannya. Dia
memandang mukaku.
Pada mulanya dia berat hati untuk pergi, membiarkan aku balik naik bas seorang diri ke
Melaka esok. Kenapa nak berat hati pulak? Isy, peliklah doktor sorang ni.
“Sebenarnya…” Dia berhenti. Menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Kembali
menatap mukaku.
Aku menanti kata-kata selanjutnya. Senyuman kembali terukir di bibirnya.
“Saya pergi berkemas dulu,” sambungnya lagi lalu menghembuskan nafas halus.
Lah… asyik tergantung aje ayat dia tu. Dah banyak kali dah. Apa yang dia cuba nak
beritahu aku? Ni yang buat aku bertambah bengang. Sebenarnya… sebenarnya… Apa yang
sebenarnya?
Aku akhirnya mengangguk dan membiarkan dia masuk ke rumah untuk mengemas
pakaian. Dia nak cakap apa tadi, hah? Kenapa mesti ayat itu tergantung begitu saja? Susah
sangat ke nak cakap, Sebenarnya saya suka awak? Susah sangat ke nak cakap macam tu? Isy…
aku ni melebih pula.
Alahai… nilah padahnya kalau orang suka berperah santan ni. Kalaulah benda itu yang
dia nak cakap. Kalau dia nak cakap benda lain? Perasan pulak aku ni. Ni semua terpengaruh
dengan kata-kata Ellinlah ni.
“HATI-HATI bawak kereta ya,” pesan emak kepadanya. Dia hanya mengangguk sambil
tersenyum. Tangannya menyalami emak.
“Insya-Allah, mak cik. Saya minta maaf sebab tak dapat hadir untuk kenduri arwah
malam ni. Saya terpaksa balik,” katanya dengan nada penuh kesal.
Emak menggeleng-geleng sambil menepuk-nepuk belakang tangannya yang masih dalam
genggaman tangan emak. Emak buat dia macam anak sendiri pula aku tengok.
“Tak apa. Lagipun Shah ada urusan lebih penting, kan? Mak cik tak kisah pun. Tak ada
rezeki Shah nak ada kat sini sampai majlis kenduri tu. Tak apalah,” ucap emak perlahan.
Bibirnya menguntum senyum. Aku di sebelah juga terangguk-angguk.
“Hmm… mak cik, boleh tak kalau saya nak pinjam anak dara mak cik ni kejap?” katanya
kepada emak dan ibu jarinya merujuk kepada aku.
Emak tersenyum dan mengerling sekilas ke arahku. Kemudian dia mengangguk.
Dr. Sharizal membawa aku ke satu sudut. Jauh sedikit daripada keluargaku. Bukan jauh
mana pun, bawah pokok jambu air aje. Dia ingin mengatakan sesuatu. Aku menantikan saja kata-
kata yang bakal keluar dari mulutnya. Apa yang dia nak cakap ya?
“Faiz, saya nak minta maaf sebab tak dapat balik dengan awak dan biar awak balik naik
bas. I’m really sorry.” Dia menunduk ketika melafazkan kata-kata itu. Macamlah dia dah
lakukan kesalahan berat pula. Aku mengerutkan dahi.
“It’s okay-lah. Kan saya dah cakap tadi. Tak ada masalah kalau saya terpaksa naik bas.
Lagipun, bukannya jauh sangat Melaka. Masuk dan duduk dalam bas, kemudian tidur. Tau-tau
dah sampai kat depan pintu rumah.” Aku sebenarnya tidak mahu dia terus rasa bersalah. Buat
apalah nak rasa bersalah. Bukan jadi satu kesalahan pun kalau aku terpaksa naik bas.
“Faiz, sebenarnya saya…” Dia menunduk ke tanah, menarik nafas sedalamnya sebelum
menghembuskannya perlahan. Giginya menggigit-gigit bibir. Macam susah sangat nak
menyambung ayatnya yang tergantung itu.
Aku menanti saja kata yang ingin dikatakan kepadaku. Mataku tertumpu ke wajahnya.
Berdebar jugalah rasanya dada aku ini. Aku lihat mulutnya terkumat-kamit, ingin mengatakan
sesuatu. Baca mantera ke?
“Sebenarnya saya…” Dia menyeluk poket seluarnya dan menggenggam sesuatu.
Aku tak jelas apa dalam tangannya. Nampak macam kecil saja. Langsung tak nampak
bayang benda yang baru dikeluarkan dari poket seluar jeannya itu.
“Saya sebenarnya dah lama nak cakap benda ni kat awak, Faiz. Tapi tak ada masa yang
sesuai untuk saya katakan. Jadi, sekarang ni, saya dah tak boleh bertahan lagi…” Dia meraih
tangan kiri aku dan serta-merta menyarungkan sebentuk cincin berlian di jari manisku.
Aku tergamam. Jantung aku macam luruh saja. Betul ke ni? Ke aku bermimpi? Mata aku
bulat memandangnya. Betul-betul bulat dan besar bukaan mata aku. Mungkin ketika itu mulutku
juga melopong. Aku memandangnya dengan penuh tanda tanya. Apa semua ni? Aku jadi
bengong. Kemudian, aku memandang pula jari manisku. Tersarung cincin berlian berkilat
berwarna perak.
Aku pandang mukanya yang sedang menguntum senyum bahagia semula. Aku halakan
pula pandangan ke arah ahli keluargaku yang melongo dan melopong melihat insiden yang
berlaku sekarang. Sekali lagi aku pandang mukanya.
“Apa ni?” soalku berserta kerutan pada dahi. Tak mengerti dengan tindakannya yang
tiba-tiba. Mata aku masih merenungnya. Tidak percaya. Cincin berlian yang disarungkan ke jari
manis aku tadi aku layarkan kepadanya semula.
“Aw… awak… nak bagi saya sakit jantung eh?” soal aku sedikit gugup dan penuh
bengong. Apa ni? Aku tak faham!
Serius. Aku memang bengong, keliru, tak percaya dan bermacam-macam lagilah. Betul
ke apa yang aku alami sekarang? Sungguh aku tergamam dengan tindakan spontan dia
menyarungkan cincin ni cun-cun kat jari manis aku. Muat pula tu. Jari-jemari aku masih dalam
genggamannya.
“Saya bukan nak bagi awak sakit jantung, tapi sakit cinta. I love you, Faiz! Will you be
my wife?” ucapnya penuh perasaan kepada aku.
Zzzt! Aku rasa macam terkena renjatan elektrik mendengar kata-kata yang dilafazkannya.
Dia sedang melamar aku kat bawah pokok jambu air ni ke? Ya Allah, ya Tuhan-ku! Aku rasa
tubuh aku macam nak rebah saja ke tanah. Aku rasa… argh, macam-macam yang aku rasa.
Gembira, suka, tak percaya… semua bercampur menjadi satu. Aku diam, tidak membalas kata-
katanya. Apa ni? Aku tengah mimpi ke apa ni?
“Saya tak paksa awak, Faiz. Cuma, saya harap awak dah ada jawapannya bila awak balik
ke Melaka esok. Kalau cincin ni masih lagi tersarung di jari manis awak, maknanya… you are
mine. Dan bila cincin ni tak ada lagi di jari awak, saya terpaksa menerima kenyataan yang awak
bukan milik saya,” katanya lagi sambil merenung mataku dalam-dalam.
Aku juga membalas renungan matanya yang redup. Dan aku akhirnya mengalah juga,
mengalihkan mata ke arah lain. Jantung aku macam nak gugur melihat panahan matanya yang
nyata tajam menikam. Naik sesak dada aku ini rasanya. Silap-silap, boleh dapat penyakit TB tau.
“Okey,” ucapku antara dengar dan tidak. Kepala menunduk ke tanah dan terangguk-
angguk.
“Thanks. Nampaknya dapatlah saya balik Melaka dengan tenang,” sambungnya lagi
sambil mengukir senyuman.
Aku juga mengukir senyuman. Teragak-agak.
SELURUH ahli keluarga aku melambaikan tangan ke arah Dr. Sharizal yang sudah pun
meluncurkan keretanya ke atas jalan raya. Sempat lagi tangannya membalas lambaian
keluargaku. Aku pula mengekori keretanya melalui ekor mata, sehinggalah kelibat kereta Toyota
Altisnya menghilang daripada pandangan mata.
“Mak, tengok ni, mak. Akak dapat cincin berlian!” Hafiza berteriak kepada emak.
Kesemua mereka datang mengerumun, melihat cincin berlian di jari manisku.
“Ya Allah… mahal cincin berlian ni. Mahu ribu-ribu ni. Untungnya kakak dapat Abang
Sharizal tu. Siap dia lamar lagi kat bawah pokok jambu tu.” Farhana sudah mengekek ketawa.
“Hisy…” Aku menampar lengan Farhana. Over pulak budak ni.
“Eh, dah… dah… Semua pergi masuk tolong kat dapur tu apa yang patut. Jangan asyik
nak jaga tepi kain orang saja tengah-tengah hari buta ni. Dah, masuk semua,” arah emak kepada
kesemua adik-adik aku. Emak cuba hendak menyelamatkan aku daripada usikan mereka
barangkali.
Emak kemudiannya merangkul bahuku dan kami jalan seiringan ketika mereka semua
masuk ke dalam rumah. Ada yang ingin dikatakan oleh emak kepada aku.
“Akak, ni mak nak cakap sikit. Mak mahu akak fikir masak-masak sebelum buat
keputusan. Akak kena buat keputusan yang tepat untuk masa depan akak. Tapi, kalau macam
Sharizal tu yang jadi menantu mak, mak sokong akak seratus peratus! Mak memang suka sangat
dengan dia. Bak kata orang, dia cukup sempurna untuk dijadikan sebagai suami. Tapi kalau
sebaliknya, mak tetap akan sokong keputusan akak, ya?”
Begitu panjang lebar nasihat emak. Nasihat seorang ibu untuk kebahagiaan anaknya. Aku
mengerti lalu mengangguk kepala. Cincin berlian itu sekali lagi aku tatap. Bibirku menguntum
senyuman bahagia.
AKU masuk ke bilik, melabuhkan punggung di atas kerusi meja solek. Aku tenung wajah sendiri
menerusi cermin solek di hadapan. Kemudian, aku senyum seorang diri.
“Aku baru dilamar ke tadi? Faiza, kau dilamar ke tadi?” Aku bertanya kepada diriku
sendiri menerusi cermin. Dah macam orang tak betul dah aku ni. Bercakap dengan cermin.
Aku pandang cincin berlian di jari manis kiri. Tentu mahal harganya. Patut ke aku terima
cincin semahal ni? Seumur hidup aku, tak pernah pakai cincin mahal begini. Paling mahal pun,
cincin emas belah rotan. Tu pun pemberian arwah ayah. Aku kembali menatap wajah pada
cermin.
“I love you, Faiz! Will you be my wife?”
Kata-kata itu masih lagi terngiang-ngiang di telingaku. Kata-kata yang begitu menusuk
ke tangkai jantung aku itu dilafazkan oleh Dr. Sharizal. Tapi benarkah? Aku menampar kedua-
dua pipi, berkali-kali, untuk memastikan yang ini betul-betul dan bukannya „cobaan‟ macam
dalam cerita P. Ramlee tu. Dan ternyata, aku merasa sakit. Perit dan pedih. I’m not dreaming!
It’s true!
“Helo… helo… Dah puas ke berangan depan cermin tu?”
Aku menoleh ke pintu bilik yang terkuak sedikit. Farhana hanya menjengul kepala di
balik pintu. Selamba saja mukanya. Aku menekup mulut. Ya Allah! Farhana dengar ke?
Malunya muka aku ni.
“Kalau nak masuk tu, bagi salam dulu boleh tak?” Sengaja aku menegurnya begitu untuk
menutup malu aku. Farhana mencebikkan mulut.
“Akak tu, dari tadi asyik berangan depan cermin aje. Mana nak dengar orang ketuk pintu
ke, bagi salam ke,” balasnya memerli dengan muka bersahaja. Isy… geram betul aku dengan
budak ni tau.
“Ha, nak apa ni?” soal aku terus tentang kedatangannya ke bilikku, sekali gus
menghentikan keberanganan aku tadi.
“Mak suruh akak pergi jemput nenek,” jawabnya.
Aku terangguk-angguk. “Yalah. Kejap lagi akak pergi ambik nenek.”
“Jangan lupa pulak. Jangan asyik nak berangankan Abang Sharizal aje.”
Sempat lagi dia memerli aku sebelum beredar dari balik pintu. Menyibuk betullah si
Hana ni. Orang baru nak berangan sekejap pun tak boleh. Hai… aku ni pun satu! Sempat pulak
berangan kat depan cermin. Macam budak kecik!
Aku terus mengambil kunci kereta di meja kecil di sebelah katil.
10
KENDURI arwah berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Tetamu yang diundang dari
masjid oleh pak ngah dan dicampur dengan orang kampung sebelah-menyebelah meramaikan
lagi tetamu. Agak risau juga kalau-kalau lauk-pauk tidak mencukupi. Tapi, alhamdulillah,
semuanya cukup. Ada lebih lagi. Aku dan emak menarik nafas lega kerana majlis kenduri untuk
arwah ayah berjalan dengan sempurna.
Ketika aku mengemas pinggan mangkuk yang sudah dibasuh dan diletakkan di rak, mata
aku terpandang cincin berlian yang tersarung di jari manisku. Teringat akan Dr. Sharizal. Kan
bagus kalau dia ada sekali malam ini. Baru sekarang aku rasa rindu terhadapnya. Ialah, dua hari
dia ada di rumah aku. Rasa lain pula bila dia tiada.
Nak telefon, malas pulak. Dia pun tak ada nak telefon aku. Lagipun, buat apalah aku nak
telefon dia? Isy… mungkin dia sibuk menguruskan hal Shariza. Hmm… Akhirnya aku cium
cincin berlian itu.
“Ehem… ehem… rindu ke kat buah hati? Termenung jauh aje nampak?” Entah bilalah
Farizal ada di belakang aku. Dia mengenyit mata ke arahku. Siap memerli lagi. Aku
memandangnya dengan mata yang membulat.
“Hei, shh…” kata aku kepadanya sambil merentangkan jari telunjuk pada bibir.
Dia kemudiannya tersengih-sengih dan melarikan diri ke depan. Ada-ada saja nak
kenakan orang. Nampak saja mata tu apa yang aku buat. Aku sebenarnya bukan apa, aku takut
mak ngah a.k.a. Internet bergerak tu dengar. Karang tak pasal-pasal satu kampung heboh pula,
kata aku dah dapat cincin.
Huh… Aku melepaskan satu keluhan. Ingatan aku terus-terusan kepada Dr. Sharizal. I
miss you, sayang. Hehehe, terlebih sudah!
KESELURUHAN majlis malam itu berakhir tepat pukul 2.00 pagi. Adik-adik aku yang lain
sudah lama dibuai mimpi. Aku saja yang masih tak tidur lagi. Niat hati memang hendak tidur.
Bab kemas-mengemas esok pun boleh, tapi memandangkan emak aku beria-ia hendak berkemas
juga, aku terpaksalah menolong. Tak sampai hati pula biar dia kemas seorang diri. Sekali tengok,
dah macam orang buat kenduri kahwin dah rumah aku ni.
Nenek aku pula, disuruh tidur sini tak mahu. Nak balik rumah dia juga. Terpaksalah
Farizal menghantar balik walaupun sudah jauh malam. Nenek aku memang liat sikit nak diajak
tidur di rumah anak-anak. Sayang betul nak tinggalkan rumah dia barang semalam pun. Apa-
apalah, nek oi…
Aku menguap beberapa kali. Mata pun sudah semakin memberat. Tunggu masa nak tutup
habis saja. Badan pula letih semacam. Emak menegur, menyoal kenapa aku tidur baring di ruang
tamu. Aku kata nak lepas penat sekejap. Kemudian, emak menyuruh aku tidur di bilik. Dia pun
nak tidur juga sebab matanya pun sudah mengantuk.
Tanpa melengahkan masa barang sesaat, aku pun berlecup (berjalan pantas) menuju ke
bilik. Dapat saja bantal, terus saja mata terlelap.
BUNYI telefon bimbit yang berdering-dering menyebabkan aku membuka mata yang masih
kelat. Siapalah yang telefon aku yang tengah sedap tidur ni? Mengacau betullah! Dengan rasa
malas, aku menekan punat hijau tanpa melihat nama pemanggil.
“Helo,” sapa aku dengan suara yang sedikit serak. Baru bangun tidurlah katakan. Mata
masih lagi aku pejam. Badan masih lagi berselimut.
“Helo. Baru bangun ke?”
Hah?! Dengar saja suara itu, serta-merta mata aku terbuka luas, bingkas bangun dan
duduk di atas katil. Aku menggosok mata dengan kasar, sehingga mencetuskan rasa pedih di
kelopak mata.
“Ha… err… ha‟ah.” Aku mengaku juga. Isy, kenapalah kau telefon aku pagi-pagi ni?
Nak buat spot-check ke? Isy… Aku menggaru kepala laju-laju.
“Baru bangun? Tau tak sekarang ni dah pukul berapa, tuan puteri?”
Aku melihat jam loceng di atas meja. Mataku terbeliak. Pukul 11.00 pagi! Ya Allah!
Macam mana boleh terlajak sampai ke tengah hari? Nasib baik aku tak boleh solat. Kenapa tak
ada sorang pun yang kejutkan aku?
“Hmm… malam tadi saya penat sangat. Tidur pukul 2.00 pagi. Tu yang terlajak tidur
agaknya,” kata aku sambil ketawa kecil. Mampus! Mesti dia kata aku ni anak dara apalah tidur
sampai pukul 11.00 pagi. Daripada nak jadi calon isteri, terus tak jadi nanti. Oh… tidak!!!
“Oh… penat ya. Okey. Alasan diterima.” Dia membalas. Ni perli aku ke apa ni?
“Hmm… Ija macam mana? Dia dah okey dah?” Aku mengubah topik. Tak mahulah
keadaan aku yang baru bangun tidur jadi topik perbualannya.
“Dia dah stabil. Dah sedar dah. Tapi dia masih guna alat bantuan pernafasan lagi untuk
bernafas,” terangnya.
Aku mengangguk-angguk. Macamlah dia nampak aku mengangguk macam burung
belatuk. Aku garu kepala. Apa lagi aku nak cakap ya? Lidah aku kelu pula tiba-tiba. Tak reti nak
berbicara.
“Awak balik semalam keadaan dia macam mana?” Akhirnya aku melanjutkan pertanyaan
tentang Shariza. Ingin tahu. Walaupun kami jarang bercakap, tapi aku amat menyenangi Shariza
kerana dia peramah orangnya.
“Semalam memang teruk. Boleh dikatakan kritikal jugalah. Semuanya panik, tak tau nak
buat apa, sampailah saya datang,” ujarnya berserta keluhan yang panjang. Runsing agaknya.
“Kan saya dah kata, dia perlukan awak. Tengok, awak datang aje dia dah okey kan…”
Dia ketawa mendengar kataku. Hai… lucu ke apa yang aku cakap tu? Tak betul ke apa
yang aku katakan?
“Ya. Tapi... awak rindu kat saya tak?”
Dah mula dah nak tukar topik lain. Ni yang aku lemah sebenarnya.
“Cincin tu, ada pakai lagi tak?”
Dia terus menyambung tanpa mendengar jawapanku pada soalan pertamanya. Aku
mengetap bibir. Ni lagi satu killer question. Aku melihat cincin berlian yang masih lagi tersarung
kemas di jariku.
“Sebenarnya… err… sebenarnya kan, wak…” Sebenarnya aku nak bagi tahu dia yang
aku dah pun terima dia. Patut tak aku cakap? Tak terlalu cepat ke? Sedangkan dia bagi aku masa
sampai esok. Lidah aku tiba-tiba terasa tebal pula. Liat.
“Sebenarnya apa?” Dia menyoalku lagi.
Aku mengetuk-ngetuk dahi berkali-kali. Isy… nak cakap ke tak ni? Aku berkira-kira
dalam hati untuk mengatakan isi hatiku kepadanya. Nak cakap, malu pula. Tak cakap nanti, hati
aku tak tenteram pula. Serba salah jadinya. Ya Allah… tolonglah aku!
“Faiz!” panggilnya. Menambahkan sedikit volume suara.
“Err… sebenarnya awak… saya… hmm…” Tergagap-gagap aku berkata. Isy… rasa
segan pulaklah nak bagi tau. Betul ke apa yang aku nak cakapkan ni? Aku sendiri pun tak tahu.
Sehingga sekarang, masih keliru dengan perasaan sendiri.
“Sebenarnya apa?”
“Sebenarnya saya dah terima awak. Saya dah terima awak dalam hati saya. Saya dah
terima lamaran awak semalam dan saya dah fikirkan semasak-masaknya, saya sanggup jadi isteri
awak sehidup semati sehingga ke akhir hayat.” Dengan sekali lafaz saja, kesemua ayat-ayat yang
terangka secara spontan di kepala otak aku meluncur keluar satu per satu dari mulut.
Ambik kau! Ini semua disebabkan oleh sergahannya tadi. Terus saja kata-kata itu
terkeluar dari celahan bibirku. Aku sendiri pun tak sangka. Kata-kata itu spontan keluar dari
mulut. Serius!
“Betul ke ni? Is it true, sayang?” Dia bertanya.
Tengok. Sekejap aje dah tukar ganti nama diri. Dah panggil aku sayang pulak. Aduh,
mak… betul ke tindakan aku ni? Tak terburu-buru ke? Isy… mulut ni! Tulah orang tua-tua kata,
terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya. Inilah dia apa yang sedang aku
lakukan. Dah terlangsung pulak.
“Ya. Saya dah fikirkannya. Dah tolak, tambah, bahagi, darab, semuanya. Pilihan saya
muktamad,” kataku lagi.
Aku dengar dia mengucap syukur dalam talian. Selebihnya, ketawa memanjang. Gembira
semacam saja. Macam orang menang loteri pula. Sebenarnya, aku memang sukakan dia, tapi
cinta… baru separuh yang aku rasa.
“Sayang, I love you very much,” ucapnya. Ucapan itu terus masuk ke tangkai hati dan
meresap jauh ke dasar hatiku.
Buat seketika, aku terkesima mendengar ucapan keramat itu. Tersentap. Aku sudah lama
tidak dengar perkataan keramat sebegitu dilafazkan lelaki yang menyayangiku. I love you too.
Ringan saja mulut ini hendak membalas, tapi mulut aku tiba-tiba berat pula hendak
mengungkapnya. Malu pun ada juga. Sudahnya, perkataan itu hanya terlafaz dalam hati saja
tanpa dapat dikeluarkan mulut. Tapi, betul ke tindakan aku ini? Aku sendiri tidak pasti dengan
hati aku.
“Tak sabar nak tunggu my sayang ni balik,” rintihnya kepadaku.
Aku hanya ketawa mendengar rintihannya. Dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu.
“Wait, wait… Ni kenapa panggil orang sayang pulak ni?” Aku pura-pura marah. Marah-
marah sayang orang kata. Nak protes sikit. Dah berani-berani nak panggil aku macam tu pula.
“Kenapa? Tak suka?” soalnya semula. Cuba menduga reaksiku.
“Tak adalah. Tiba-tiba aje. Macam janggal pulak,” balas aku sambil ketawa.
“Starting today, you’re gonna be my sayang, forever and ever. Jadi, sekarang kena
biasakan. I will call you sayang everytime, everyday. Faham?” katanya kepadaku, separuh
memaksa.
“Macam ugut aje?”
Dia ketawa. Aku juga ketawa. Ketawa paksa sebenarnya. Sebenarnya aku tak kisah dia
nak panggil aku apa, asalkan tidak melebih-lebih. Aku suka sebenarnya kalau dia panggil aku
macam tu. Kedengarannya lebih mesra. Ahak! Kalau dengar dek Ellin ni, mahu dia muntah
hijau. Silap-silap boleh demam seminggu!
“Bukan ugutan, my dear. Peringatan. One more thing, starting from now, you must call
me abang, can you?”
Ni yang aku lemah ni. Dah mula balik dah. Dah mula nak suruh aku panggil dia macam
tu pulak. Masalahnya sekarang, lidah aku ni sememangnya liat nak menyebut perkataan tu, selain
daripada tak biasa dan janggal. Seram pun ada.
“Kena panggil jugak ke?” Aku bertanya. Harap-harap dia ubah fikiran.
“Dah lupa ke? Dulu kata kalau dah ada ikatan baru boleh panggil macam tu. Sekarang ni,
kita dah ada ikatan walaupun secara tak rasmi.”
Aku ada cakap macam tu ke sebelum ni? Entah. Aku tak ingat pula. Aduh… ni semua
mulut punya pasal.
“Cuba panggil abang. Nak dengar.”
Cet… dia ni memang sengaja, dari dulu nak kenakan aku. Isy! Aku gigit jari, menggaru
kepala laju-laju.
“Cepatlah, nak dengar ni. Sekali pun jadilah. Please…” Dia merayu lagi.
Alamak… ni kes naya. Aku dah terima dia jadi aku punya spesial, dia nak tetapkan syarat
itu ini pulak. Nak kena panggil abang pulak. “Okeylah. Abang… abang beca… abang beca di
tengah jalan… ba…”
“Tengok tu. Nak main-main pulak ya? Cepatlah… jangan main-main. Just once.”
Dia memintas sebelum sempat aku habis nyanyikan lagu Abang Beca. Hahaha. Aku
ketawa sambil menutup mulut. Baru nak nak berkobar-kobar nyanyi lagu Abang Beca tu.
“Okey, sayang. I’ll call you later. Ada emergency!”
Tup. Talian terus dimatikan tanpa sempat aku hendak memanggilnya abang. Aku
memandang telefon bimbit yang sudah tidak bersuara. Aku menghela nafas dan kembali
berbaring di atas katil. Berfikir tentang kisah aku dan Dr. Sharizal. Kenal hanya sebagai rakan
setugas satu bumbung. Mesra sebagai jiran dan sekarang… terus jadi sepasang kekasih. Tu pun,
aku tak pasti lagi.
Kalau dikira betul-betul, tak sampai tiga bulan pun kami berkenalan dan sekarang sudah
bersetuju untuk menjalinkan satu ikatan yang lebih erat. Tak ke semua ini kerja gila? Jatuh cinta
hanya dalam masa tak sampai tiga bulan? Aku sendiri pun hairan macam mana secepat itu aku
jatuh cinta kepada dia. Betul ke jatuh cinta ni? Isy… aku keliru. Rasa macam nak pecah kepala
bila fikirkan. Tapi sebenarnya, aku memang sudah jatuh cinta kepadanya sejak dia lamar aku hari
itu. Berbunga-bunga hati aku bila dia lafazkan ungkapan cinta itu.
Tapi ada ke orang macam aku ni? Jatuh cinta dalam masa tak sampai tiga bulan? Ah,
susah nak kata kalau hati dah suka. Kalau mulut menyebut cinta, orang nak kata apa pun dah tak
peduli. Ah, malaslah nak fikir lagi. Sekarang ni aku patut pergi mandi. Dah pukul 12.00 tengah
hari dah. Nak balik Melaka bila lagi? Hai… anak dara apalah aku ni agaknya.
Aku terus mencapai tuala dan bergegas ke dapur untuk ke bilik mandi.
KETIKA sampai di dapur, emak sedang memanaskan lauk semalam yang masih berbaki. Hari
ini tak payah masak lagi. Lauk malam tadi pun masih elok dan cukup untuk kami anak-beranak
makan.
“Mak, kenapa tak kejut akak? Dah tengah hari dah ni baru akak bangun,” kataku sambil
tangan menarik keluar kerusi dari bawah meja. Tiba-tiba rasa lapar pula perut aku bila tengok
ada lagi mi goreng untuk sarapan pagi tadi.
“Mak malas nak kejut akak. Mak tengok akak lena sangat tidur. Tak sampai hati nak
kejut. Lagipun, semalam mak tengok akak tu penat sangat,” balas emak sambil membawa
pinggan untuk aku.
Buat susah-susah aje mak aku ni pergi ambilkan pinggan untuk anak dara dia. Dari bilik
nak pergi mandi. Bila dah tersangkut kat meja makan ni, hmm… apa lagi, terus mengisi perut
yang tengah laparlah. Dah tengah hari, mahunya tak lapar!
“Bila akak nak balik Melaka?” soal emak kemudiannya.
“Petang kut, mak. Dalam pukul 3.00 petang nanti,” balas aku sambil menyenduk mi
goreng ke dalam pinggan. Emak mengangguk-angguk.
“Akak dah fikir ke tentang lamaran Shah semalam?” soal emak tiba-tiba. Aku yang baru
hendak menyudu mi goreng ke mulut terhenti.
“Dah, mak. Akak dah pun terima,” balas aku sambil melempar senyuman kepada emak.
Teringat tentang pengakuan cinta aku kepada Dr. Sharizal secara tak sengaja. Mataku
mengerling sekilas cincin berlian di jari.
Aku lihat emak menguntum senyuman meleret-leret. “Baguslah kalau macam tu. Mak
cuma nak tengok akak bahagia. Mak tengok Shah tu baik budaknya. Pendek kata, mak memang
berkenan sangat kalau nak buat dia jadi menantu. Bila dia nak masuk meminang akak?”
Aku tersedak mendengar kata-kata emak. Pantas aku capai gelas berisi air putih yang aku
tuang tadi dan meminumnya. “Mak ni, tak menyempat-nyempat. Nantilah, mak, akak bincang
dengan dia. Lagipun, akak tak kenal lagi ahli keluarga dia. Akak cuma kenal adik dia saja.”
Emak mengangguk-angguk tanda faham. “Jangan lama-lama sangat, kak, nanti dia
dikebas orang. Ha, melopong akak nanti.”
Sempat lagi emak memesan. Aku ketawa mendengar kata-kata emak yang aku anggap
lucu. Lucu ke?
“Takkan lari gunung dikejar, mak. Hmm… budak-budak mana, mak?” soalku apabila
seorang pun daripada adik-adikku tak aku nampak. Yang aku tahu, Farhana dan Syafika sudah ke
sekolah. Sejam dua lagi baliklah. Yang lagi dua orang tu, yang selalu bertekak macam anjing
dengan kucing tu, mana pula menghilang?
“Si Fiza ikut Farizal pergi rumah pak usu. Pak usu tu sibuk suruh Rizal tengokkan lembu
dia tu, bila nak beranak.”
Aku serta-merta ketawa mendengar jawapan emak. Farizal pergi tengok lembu pak usu?
Mana perginya doktor lembu dia tu? Dulu, bukan main lagi perli adik aku tu ambik bidang
veterinar. Sekarang, adik aku juga yang dicarinya.
“Pandai pulak dia cari Rizal, mak. Dulu, bukan main lagi dia perlekeh Rizal. Kata tak
baguslah, apalah. Sekarang pandai pulak nak cari adik kita ya.” Aku memang tidak senang hati
dengan perangai pak usu. Suka sangat memandang rendah pada orang. Berbeza dengan sikap
mak usu yang pendiam dan tak banyak cakap.
“Dahlah, kak. Jangan diungkit lagi. Orang dah minta tolong kan. Dah, cepat makan. Nak
mandi lagi, nak berkemas lagi. Nanti lambat pulak nak balik Melaka.” Emak menegur lantas
bangun, menuju ke sinki, meninggalkan aku yang masih membebel.
Eii, kalau aku jadi Farizal, tak ingin aku nak tolong. Menyampah betul aku dengan pak
usu. Huh…
AKU masukkan beg baju dan segala macam beg lain ke dalam bonet kereta Honda Accord
arwah ayah yang digunakan Farizal. Beg tangan saja aku pegang.
“Mak, akak balik dulu ya.” Aku menyalami emak dan memeluknya erat-erat. Rindu aku
kepadanya belum hilang lagi. Aku rasa macam malas saja nak balik Melaka. Rasa macam nak
duduk kampung puas-puas, baru boleh balik Melaka. Tapi, apakan daya, dah kerja aku di sana.
“Yalah. Jaga diri baik-baik ya, kak,” ujar emak ketika membalas pelukanku.
“Insya-Allah, mak. Mak jangan risaulah ya,” kataku meyakinkan emak yang nyata
bersedih. Janganlah sedih-sedih. Nanti tak pasal-pasal aku tak jadi balik Melaka karang. “Tolong
kirim salam kat Farhana dan Syafika ya. Kata akak tak sempat nak tunggu dia orang balik.”
Emak mengangguk saja. Kemudian aku menyalami Hafiza pula. “Akak balik dulu ya.
Assalamualaikum,” ucap aku kepada mereka berdua lalu dijawab oleh mereka.
Berat pula hati aku hendak melangkah masuk ke dalam kereta. Tertoleh-toleh aku ketika
kaki hendak masuk ke dalam perut kereta. Aku melambai kepada emak dan Hafiza ketika kereta
yang dipandu Farizal meluncur keluar dari halaman, terus berjalan di atas jalan raya.
Aku menghela nafas. Sedih sebenarnya nak tinggalkan kampung lagi. Uuu…
AKU menyuruh Farizal singgah sekejap di kubur arwah ayah. Aku mahu singgah sekejap
sebelum balik ke Melaka. Rasa rindu kepada ayah masih lagi menebal di dada. Aku duduk di sisi
kuburnya. Aku sedekahkan al-Fatihah dan beberapa ayat al-Quran. Lima belas minit kemudian,
selepas bertafakur, aku bangun dan menuju ke kereta.
“Kak, kalau Rizal nak tanya sikit boleh tak?” Farizal bertanya ketika aku sedang melayan
perasaan pasal arwah ayah tadi.
Aku menoleh ke arahnya yang sedang fokus memandu. “Apa dia?”
“Akak dah terima ke lamaran Abang Sharizal, kak?”
Aku menghempas keluhan halus. Ini lagi satu. Tadi emak dah tanya, lepas tu tak sabar-
sabar nak bermenantukan Dr. Sharizal. Sekarang ni, adik aku pulak.
“Rizal rasa patut ke akak terima dia?” Aku pula menyoal. Sengaja mahu meminta
pendapatnya.
“Itu hak akak, sama ada nak terima dia ataupun tak. Tapi, Rizal sebenarnya suka kalau
akak dengan Abang Sharizal. Nampak kena sangat. Abang Sharizal pun Rizal tengok baik
orangnya. Sopan santun, berbudi bahasa. Ni apa yang mak cakaplah. Rizal rasa rugi kalau tak
dapat abang ipar macam dia tu, kak.”
Aku menghela nafas lagi. Memang diakui semua itu. Emak pun bukan main puji lagi Dr.
Sharizal. Semua orang cakap dia macam itu. Sebab itulah, aku tak fikir panjang-panjang untuk
terima dia.
“Macam yang orang selalu kata, ada chemistry. Rizal tengok akak dan Abang Sharizal tu
macam ada chemistry atau bahasa Melayunya, ada kimia.” Dia menambah lagi sambil ketawa.
Aku juga ketawa kecil sambil menggelengkan kepala. Ada-ada saja adik aku ni. Ada
kimialah, apalah. “Rizal tak nampak ke akak masih pakai cincin berlian ni?” Aku menayangkan
cincin berlian di jari manisku.
Farizal meleretkan senyuman. “Jadi, akak dah terima dialah ni?”
Aku mengangguk sambil mengukir senyuman. Farizal tersengih suka. Sukalah tu, sebab
angan-angan nak berabangiparkan Dr. Sharizal semakin menjadi kenyataan.
AKHIRNYA, sampai juga aku di depan rumah tepat pukul 8.00 malam. Kalau aku bawa kereta,
dah sampai awal dah. Ni naik bas, kejap-kejap berhenti. Lepas itu pula, dari stesen bas nak ke
rumah aku kena naik teksi. Itu yang ambil masa lama sikit. Apa-apa pun aku lega sebab dah
sampai rumah. Myvi SE aku juga masih ada. Hehehe…
“Sorrylah, sayang. Kita balik kampung tak bawak awaklah. Kesian awak kena tinggal
sorang-sorang kan, sayang.” Aku menggosok-gosok dan bercakap dengan kereta kesayangan aku
itu.
Kalau orang nampak, mahu dia kata aku gila bercakap sorang-sorang. Dengan benda tak
bernyawa macam kereta pula tu. Silap-silap, aku dimasukkan ke Tanjung Rambutan sebab
berkelakuan pelik macam ni.
“Assalamualaikum.”
Aku berhenti cakap bercakap seorang diri apabila terdengar orang memberi salam.
Automatik leher aku terpusing. Dan orang yang memberi salam itu tak lain dan tak bukan jiran
sebelah aku. Siapa lagi? Orang yang baru aku terima sebagai ehem… ehem… kekasih hati!
“Waalaikumussalam warahmatullahiwabarakatuh.” Aku menjawab dengan salam yang
panjang. Sengaja sebenarnya. Bibirku mengukir senyuman kecil. Cuba menyembunyikan
perasaan gugup dan gementar dalam hati tatkala berdepan dengannya. Penyakit gemuruh sudah
mula melanda diri kala ini.
“Sihat ke tak?” Dia bertanya.
Aku mengerutkan muka. Kenapa tanya soalan macam tu pulak? Muka aku macam orang
sakit ke? Aku menjongket bahu, mempamerkan raut wajah penuh kehairanan. “Kenapa? Nampak
macam orang sakit ke?”
Dia hanya ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Melangkah setapak ke
depan, berdekatan dengan jeriji besi. Senyuman manis diukirkan. “Tu, yang bercakap-cakap
dengan kereta tu kenapa? Kereta tu boleh bercakap ke? Siap bersayang bagai.”
Aku meletuskan tawa. Dia dengar rupanya aku bercakap sorang-sorang dengan „kekasih‟
awal dan akhir aku ni. Malu pula rasanya bila diperli begitu. Mulalah muka terasa membahang.
Isy, ada-ada aje dia ni.
“Perli ke?” tanya aku sambil menaikkan kening. Bukan main lagi nak perli-perli orang
ya. Aku membentuk-bentuk muka. Kononnya kurang senang dengan kata-katanya.
Dia hanya tersenyum sambil kepala menggeleng-geleng untuk ke sekian kalinya. Hidung
aku terbau wangi daripada tubuhnya. Maklumlah, jarak pun tak jauh. Hanya dipisahkan jeriji
besi saja. Pakaiannya juga kemas. Rambut juga disikat rapi.
“Pakai baju cantik dengan minyak wangi yang harum semerbak ni, nak pergi mana?”
Aku melontarkan pertanyaan.
Yalah, bau wangi-wangi ni nak ke mana? Ada nada cemburu sikit di hujung ayatku tadi.
Manalah tau, dia nak jumpa somebody ke, perempuan ke. Jealous juga. Dia kan dah jadi spesial
aku secara tak langsung.
“Kenapa? Tak boleh?”
Malam ini aku bermain soal-soal saja dengan dia. Dia tanya aku, lepas itu aku tanya dia
balik. Tiada jawapan langsung. Aku akhirnya tersengih paksa. Cover malu sebab tanya dia
macam itu. Agaknya aku terlalu over. Tak pernah pula aku tanya dia macam itu. Mungkin dia
rasa pelik. Tapi, apa salahnya? Bukan ke sekarang dia dah jadi spesial aku? Aku ada hak nak
tanya dia tau.
“Nak pergi hospitallah, sayang. Malam ni kena on call. Takkan nak pakai baju selekeh?
Nanti semua patient tu bukan makin sembuh, tapi makin sakit bila tengok kita berpakaian
selekeh.”
Itu jawapan yang keluar dari mulutnya untuk soalan over aku tadi. Pula tu, dia panggil
aku sayang lagi. Aku ni, langsung tak terbit pun di bibir nak panggil dia seperti yang diminta.
Aku malu sebenarnya nak panggil dia begitu. Bila nak panggil, lidah aku tiba-tiba jadi kelu.
Macam orang bisu. Lagipun, kami baru declare. Tapi, untuk menuturkan panggilan sebegitu, aku
belum bersedia lagi.
“Oh…” jawabku pendek. Aku melempar senyuman kecil kepadanya. Aku ni pun satu
bongok juga. Kalau dah pakai formal macam ni, dia nak ke mana lagi kalau bukan kerja? Adus…
kan dah malu.
“Okeylah. Pergi dulu ya. Dah lambat ni.” Dia meminta diri dan berjalan ke pintu pagar.
Membuka pintu pagar rumah seluasnya sebelum membuka pintu kereta Toyota Altisnya.
“Take care. I love you,” ucapnya kepadaku sambil menyengit mata.
Aku terpanar dengan lafaz cintanya itu. Entah kenapa, bila saja dia melafazkan kata-kata
itu, jantungku berdebar-debar, menendang kuat dadaku. Macam nak pecah rasanya. Selebihnya,
mestilah mulut ini melopong sikit. Aku berkira-kira mahu membalas lafaz cintanya, tapi
perkataan “I love you too” itu seakan tersekat di kerongkong.
“Take care too.” Perkataan itu pula yang meluncur keluar dari mulutku. Saat ini aku rasa
macam nak tampar-tampar saja mulut sendiri kerana tidak berani mengeluarkan perkataan yang
aku hendak lafazkan.
Aku hanya mampu melihat saja keretanya meluncur keluar ke jalan raya. Aku
menghembuskan keluhan halus. Kenapalah mulut ni susah sangat nak cakap perkataan tu ha? I
love you too. Susah sangat ke? Eii… mulut ni. Akhirnya aku tampar juga mulut aku. Geram.
11
AKU menutup jam loceng yang berbunyi nyaring. Malasnya nak bangun pergi kerja. Dah cuti,
nak kerja balik memang agak liatlah. Kepala aku pula berdenyut-denyut pula. Tiba-tiba sakit
kepala. Hmm… malasnya nak bangun. Tadi selepas solat subuh, aku tidur semula. itu yang
mengantuk bagai nak rak.
Aku bergolek-golek selama lima minit sebelum memaksa diri untuk bangun, ambil tuala
dan melangkah longlai menuju bilik air. Mandi.
15 minit kemudian, aku sudah siap merapikan diri. Tilik dulu muka depan cermin, mana
tahu bedak aku bersepuh ke, lipstik comot ke. Setelah puas dengan penampilan diri, aku ambil
kunci kereta kesayangan aku dan tas tangan sebelum turun ke bawah dengan malas.
Aku membuka pintu pagar rumah luas-luas. Leceh betullah nak buka dan tutup ni. Kalau
ada pintu pagar automatik kan bagus. Tak payah aku asyik nak buka dan turun kereta untuk tutup
balik. Ni makin melambatkan aku pergi kerja saja. Tapi masalahnya, pintu pagar automatik tu
mahal harganya. Nak beli tak cukup bajetlah. Hehehe… apa nak buat, dah nasib badan.
Mata aku sempat mengerling ke rumah sebelah. Kereta Toyota Altisnya tiada. Agaknya
dia belum balik lagi. Kan malam tadi dia on call. Biarlah dia. Bukan aku tak jumpa dia lagi pun.
Kan kerja satu tempat. Boleh jumpa juga.
Aku senyum sendirian dan melangkah masuk ke dalam kereta. Mengundur keluar dari
pekarangan rumah. Lepas itu turun semula untuk tutup dan kunci pintu pagar. Begitulah rutin
seharian aku bila nak pergi kerja. Kan bagus kalau ada orang jaga pagar ek?
MASUK kerja saja, Ellin memulakan aktivitinya, menyoal aku itu dan ini. Macam CID pula
minah ni. Dia sebenarnya ingin bertanya lanjut mengenai aku dengan Dr. Sharizal. Katanya
muka aku semakin berseri-seri sejak balik kampung. Entah apa yang berseri, tak tahu pula aku.
Baisa saja aku tengok muka aku ni. Tak ada cahaya pun yang keluar dari liang-liang roma aku.
Hmm… pandai-pandai saja si Ellin ni.
Belum sempat lagi aku nak duduk, dia dah tanya macam-macam. Tak menyempat-
nyempat budak bermulut becok ni. Aku hanya membiarkan saja dia berkata tanpa membalasnya.
Aku menyibukkan diri mengemaskan fail yang berlonggok di tepi meja kaunter.
“Faiz, macam mana? Kau dah sedia nak terima Dr. Sharizal? As your special boyfriend?
Wei, ceritalah kat aku apa cerita kau dengan dia kat kampung kau tu.” Ellin berbisik di cuping
telingaku. Mungkin tidak mahu staf lain yang bertugas di kaunter dengar. Beria-ia dia ingin tahu.
Dia masih lagi tak tahu tentang duduknya hubungan aku dengan doktor kesayangannya
itu. Dia tak tahu yang doktor kesayangan dia itu sudah jadi milik aku. Kalau dia tahu, mahu
dijeritnya karang. Satu bangunan dengar. Baik aku diam dulu. Biarkan dia berteka-teki.
“Faiz…ceritalah kat aku,” rayu Ellin lagi sambil menyatukan kedua-dua tangan dan
menggenggamnya. Macam orang Cina sambut tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai… Gong Xi Fa
Chai…
Tapi aku masih diam. Tidak menjawab. Biar terus jadi tanda tanya.
“Adik dia masuk hospital, kan? Teruk ke? Kau dah pergi tengok?” Aku mengalih topik
perbualan. Mahu lari daripada soalannya. Malas hendak layan CID tak bertauliah ini.
“Ha‟ah. Masa mula masuk tu memang teruk dan agak kritikal sikitlah. Tapi bila abang
dia datang, keadaan dia stabil sikit. Entah apa yang Dr. Sharizal tu buat kat adik dia agaknya.
Entah apa jenis rawatan, tak taulah. Esoknya dah pindah wad biasa,” terang Ellin.
Aku terangguk-angguk. Apa agaknya dia buat kat Ija yek?
“Habis tu, kau dah tengok dia ke?”
Ellin menggelengkan kepala. “Aku belum tengok lagi. Tak sempat.”
Aku mencebik. Ah, budak ni. Memanjang tak sempat. Yang disempatkan dia hanyalah
bergosip dan bergosip. Lebih-lebih lagi kalau ada kroni „ngam ho‟ dengan dia. Siapa lagi kalau
bukan Dr. Maisara.
“Hah, apa cerita kau dengan Dr. Sharizal? Masa kat kampung kau, dia macam mana?”
Aduh… dia nak korek juga tentang aku dan Dr. Sharizal. Baik-baik aku dah tutup cerita,
tiba-tiba dia terbitkan lagi. Isy… budak ni memang takkan puas hati selagi tak dapat korek rahsia
aku.
“Alah, nantilah, Lin. Nanti aku cerita kat kau. Nak cerita kat sini, tak sesuailah. Tunggu
rehat eh,” putus aku akhirnya. Cuba mengelak.
Sebenarnya takut didengar staf lain yang bertugas di kaunter. Mereka ni duk pasang
telinga aje. Nanti, tak pasal-pasal kena gosip. Aku tak suka kena gosip murahan ni. Hehehe.
Ellin mencebik bibir. Tak puas hati dengan jawapanku. Dia menjeling sekilas ke arah
aku.
“Kau ni memang suka tangguh-tangguhlah. Tak suka tau,” protesnya menjeling lagi.
Macam jelingan budak-budak tengah bergaduh.
Aku ketawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Perangai dia macam itulah bila
tak dapat apa yang dia nak—menjeling. Haih, macam budak-budak saja.
“Hah!”
Opocot mak kau! Serentak aku dan Ellin melatah. Menyebut benda yang sama pula tu.
Pen yang aku pegang habis tercampak entah ke mana. Kami memandang ke depan kaunter. Dr.
Azri sedang mengetawakan kami. Bagero betul doktor ni. Dialah yang bertanggungjawab
memeranjatkan kami. Kami serentak dan spontan menampar lengan Dr. Azri.
“Aduh! Pergh! Perit, beb!” jeritnya sambil menggosok-gosok lengannya yang ditampar
kami.
Aku dan Ellin ketawa. Dia menyeringai. Nasib baik gigi dia cantik dan bersih. Kalau tak,
sendiri mau ingatlah. Hehehe…
Inilah Dr. Azri. Doktor yang paling kelakar dan kalau tengok langsung tak macam
doktor. Nak tau kenapa? Dia suka buat lawak dan buat orang ketawa. Muka pula sedang elok
macam Nabil Raja Lawak. Adalah sipi-sipi sikit. Bibir tu, kalau tak tersenyum atau tersengih,
bukanlah Dr. Azri namanya. Paling dia suka bila buat aku dan Ellin sakit jantung—macam yang
dia buat tadi.
“Kau orang ni… kalau nak tampar tu, biarlah pelan sikit. Orang kata, tampar-tampar
manja. Ni, macam tampar boyfriend bila tengah gaduh. Berbirat kulit aku ni.”
Aku dan Ellin ketawa lagi. Kami menunjuk ibu jari kepadanya.
“Tulah, padan muka. Siapa suruh sergah kami macam tu? Kan dah kena penampar Johor
plus Perak dah.” Ellin menjawab sambil tunjukkan thumbs up.
Aku mengiakan. Memang padan muka dia. Kus semangat! Nasib baik aku tak melatah
lebih-lebih. Aku ni dahlah kuat melatah. Isy… memang bertuah betul doktor sorang ni.
“Huahuahua… Hangpa duk bergosip aje dari tadi, tu yang cek pi sergah. Baru sergah
macam tu, dah melatah. Huahuahua…” Dia mengetawakan kami, gaya Saiful Apek. Siap buat
isyarat „gitu-gitu‟ lagi. Kami mencebik.
“Ha, Dr. Azri datang ni nak ambil ubat ka?” Ellin bertanya. Aku pula lebih suka
mendiamkan diri. Ellin yang rajin melayan doktor muda ini. Biarkan dia layan.
“Apa ni, janganlah panggil I doktor. Panggillah I Abang Azri.” Serentak dengan itu dia
mengenyit mata kepada Ellin.
Aku meletuskan tawa sementara Ellin menunjuk isyarat mahu muntah. Aku menggeleng-
gelengkan kepala. Tengoklah, dia dah buat dah. Dah mulalah tu. Dr. Azri memang suka
mengusik Ellin. Entah-entah, dia suka kut kat Ellin. Manalah tau kan, suka dalam diam.
“Isy… geli pulak tekak ni nak panggil apa… Abang Azri? Huih…” Ellin menjuihkan
bibirnya. Tangannya ligat menari-nari di atas kertas putih, menulis sesuatu. Aku ketawa kecil
melihat gelagatnya.
“Alah, Dr. Azri ni, cakaplah datang sini sebab nak mengurat si Lin ni. Tak payahlah nak
segan-segan eh.” Aku mengusik dan menyenggol lengan Ellin. Pantas Ellin menampar lenganku,
menjegilkan mata sambil mulut terkumat-kamit bercakap sesuatu.
Padan muka dia. Selalu suka sangat usik aku, sekarang giliran dia pulak.
“Awak ni, Faiz, janganlah cakap macam tu. Isy, malulah saya. Auw…”
Makin kuat ketawa aku bila melihat gelagat doktor sorang ini yang meliuk lentokkan
tubuhnya macam „adik-adik‟. Aku tengok Ellin sudah mula memuncung dan masam. Marahlah
tu. Biarkan dia.
“Tak payah malu-malu. Cakap aje dengan saya. Kita boleh kawtim-kawtim. Hahaha…”
Aku galak mengusik Ellin. Ellin makin memanjangkan muncungnya.
“Alamak… dah keluar dah muncung itik dia tu. Dah boleh buat ampai baju dah. Ahak…
Tak adalah, Lin. Saya ni gurau aje. Janganlah ambil hati. Ambillah isinya. Lagi sedap bila dapat
makan paha ayam, walaupun hati tu bagus untuk kesihatan. Usahkan hati, paru-paru, jantung,
buah pinggang… eh, boleh makan ke buah pinggang tu? Ah, tak kisahlah… Janganlah marah.
Macamlah baru sehari dua kenal saya.” Dr. Azri memujuk. Dalam pujukannya ada juga
diiselitkan lawak sedikit.
Aku lihat Ellin tersenyum sedikit. Lepas itu muncung semula. Dia menjeling muka Dr.
Azri, kemudian aku.
“Entah. Relakslah. Selama ni kau usik aku dengan Dr. Sharizal, tak ada pun aku marah.
Aku cool aje apa.” Aku pula memujuk. Alah, pujuk-pujuk ayam aje. Ellin ni kalau aku tak pujuk
pun, dia tetap tegur aku sebab di sini aku saja kawan dia yang paling rapat.
“Awak dengan Dr. Sharizal? Aha… ada apa-apa ke ni? Cuba cakap dengan saya. Ha…”
Alamak! Macam mana boleh terkantoi pulak ni! Kenapalah mulut aku ni gatal sebut
nama Dr. Sharizal pulak? Pulak tu, aku kaitkan dengan aku. Aduh… apa aku nak cakap ni?
Kantoi aku macam ni. Mati…
“Sebenarnya, doktor, dia orang ni…”
“Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa.” Aku memintas kata-kata Ellin sambil menggeleng-
geleng beberapa kali. Kaki kiriku sempat memijak kaki Ellin sampai dia menjerit sakit.
Padan muka! Dah mulalah tu! Aku menjeling Ellin di sebelah. Dia menggosok-gosok
kakinya yang dipijak aku tadi. Untung aku pakai sandal saja. Kalau pakai kasut tumit tinggi,
mahu cagu kuku kaki dia aku pijak.
“Dia orang ni…”
Sekali lagi aku pijak kaki Ellin. Nak menyambung lagi pula. Budak ni. Geram betul aku!
Nak buka cerita pula. Dr. Azri pandang aku lain macam sambil tersengih-sengih. Kening sebelah
kirinya dinaikkan berulang kali. Aku mula tak tentu arah bila raut mukanya yang bersahaja cuba
memprovok aku.
Aduh… aku rasa macam nak jotos saja kepala si Ellin. Kepala aku juga aku nak jotos
sebab aku yang memulakannya dulu. Mulut ni boleh pula terlangsung sebut nama dia. Aku pun
tersengih-sengih sumbing ke arah Dr. Azri yang nyata dapat menghidu sesuatu tentang aku dan
Dr. Sharizal.
Trutt… trutt…
“Alamak! Dah kena panggil pulak. Okay, girls! See you!” Dia terus berlalu dari kaunter.
Aduh… Aku menarik nafas lega. Selamat aku. Fuh, kalau tak, tak tahulah aku nak cakap
apa. Nasib baik dia ada hal kecemasan tadi. Tak payahlah aku perah otak nak kelentong dia.
Nafas aku yang mula hendak menyempit beransur-ansur pulih sepenuhnya. Aku mengurut-urut
dada, memandang Ellin.
“Kau ni! Mulut tu tak ada insurans ke? Isy…” Aku menampar lengannya geram. Dia
suka-suka ketawa pula. Makin geram aku dibuatnya. Aku menghadiahkan jelingan mata yang
tajam menikam kepadanya.
“Padan muka kau. Kau nak mengusik aku ya tadi. Ha, sekarang dah kena. Kalut kau nak
menjawab. Nasib baik Dr. Azri tu ada hal tadi, kalau tak, terpaksalah kau jawab dia,” balas Ellin
sambil menaikkan ibu jari kepada aku.
Huih… geram betul aku. Dia menjelir lidah ke arah aku.
“Aku malas nak bagi tau kau pasal aku dengan Dr. Sharizal masa kat kampung.
Tunggulah kau sampai bila-bila. Dah, aku nak pergi ladies kejap,” kata aku seakan-akan
merajuk. Aku saja nak pancing dia.
Ellin membulatkan matanya dan mengikut aku keluar dari kaunter. “Faiz! Alah, sorrylah.
Okey, okey… aku tak buat lagi.”
“Sorry naik lorilah!” laung aku. Hehehe, padan muka dia. Nak tau cerita aku ya? Ha,
tunggulah kau kat situ. Kenakan aku lagi.
“Faiz!” jeritnya.
SAAT aku hendak melintas ke bilik air, aku ternampak dia sedang bercakap dalam telefon.
Pantas aku menyembunyikan diri di balik pintu. Takut dia nampak aku pula. Dia bercakap
dengan siapa agaknya ya?
Aku mengintai Dr. Sharizal dengan sepenuh hati hati. Nampak macam tengah bertikam
lidah saja. Berkerut-kerut mukanya aku tengok. Serius semacam. Kejap ke sana, kejap ke sini.
Dengan siapa dia cakap ya? Aku cuba menelinga. Tak pasal-pasal aku jadi penyiasat
persendirian hari ini.
“Bonda, janganlah macam ni. Dulu bonda juga yang suruh Shah cari. Sekarang Shah dah
jumpa, bonda tak setuju pulak. Kenapa, bonda? Enough! Shah dah lamar dia dan dia pun dah
setuju untuk jadi permaisuri hati Shah. I will marry her, bonda. Apa? Tengku Shareen? No. I will
never fall in love with her. Ever! Full stop! Bonda tak habis-habis nak suruh Shah kahwin
dengan perempuan macam Tengku Shareen tu. Pleaselah, bonda.”
Bonda? Aik? Macam anak raja pulak nak berbonda-bonda ni. Tengku Shareen? Siapa
pulak Tengku Shareen tu? Sekali lagi aku mengerutkan dahi. Entah-entah Tengku Shareen
pilihan bonda dia. Aku menutup mulutku yang terlopong. Cuba menelinga lagi. Dinding ni tebal
sangatlah! Tak dapat aku nak dengar dengan jelas apa yang dia cakap.
“Bonda, apa ada pada darjat? Kita semua sama, bonda. Darah yang mengalir dalam tubuh
badan kita ni warnanya merah juga. Tak ada bezanya. Oh, sebab kita keturunan kerabat diraja,
kita lainlah ya? Kena cari yang berpangkat dan berharta macam kita? Macam tu? ”
Aku membulatkan mata. Mulut sekali lagi melopong. Kerabat? Dia anak kerabat diraja?
Tak ada pula dia atau Ija cerita tentang susur galur keturunan mereka. Hati aku mula berdebar.
Jantung aku mula berdegup laju macam enjin motobot. Lutut aku jadi macam tak seimbang bila
dapat berita yang aku curi-curi dengar ini. Betul ke? Atau aku yang silap dengar? Aku mencuri
dengar lagi.
“Her name is Faiza, bonda! Bukan budak kampung! Dia ada nama. Don’t call her like
that, bonda! Dia tak setanding Tengku Shareen! Tengku Shareen just wants me… What? No,
listen to me, bonda! Bonda, Shah sayang dan cintakan dia. I love her very much. Very much.
Jadi, tolong… jangan halang cinta Shah pada dia. Kalau bonda tak nak pinangkan dia, okey!
Shah suruh saja Pak Mail dan Mak Cik Zaiton yang pergi pinang dia!”
Aku terkesima. Tersandar pada dinding. Termenung. Tak percaya. Terkebil-kebil
seketika. Betul ke apa yang aku dengar ni? Betul ke dia anak raja? Raja mana? Kerabat mana?
Betul ke dia cintakan aku sampai macam tu sekali? Dia nak pinang aku? Bermacam-macam
persoalan yang timbul dalam kepala otak aku sekarang. Dia… argh!
Aku cepat-cepat beredar dari situ. Nanti dia tahu pula aku mengintai perbualannya. Aku
buntu sebenarnya. Bengong. Sampai saja di kaunter, aku terus masuk dan menonong ke
belakang. Ellin terpinga-pinga memandangku. Dia mengikut.
“Kalau Dr. Sharizal datang cari aku, cakap aku tak ada. Cakaplah pergi toilet ke, apa ke,”
pesanku kepada Ellin. Bertambah pelik Ellin melihatku. Berkerut-kerut dahinya.
“Eh, kenapa kau ni? Kenapa tak nak jumpa dia? Apa hal?” Bertubi-tubi dia bertanya,
berserta kerutan seribu pada dahi.
Aku menghempas keluhan halus. Memicit kepala yang tiba-tiba sakit dan berdenyut.
Migrain aku datang lagi. “Nanti aku cerita kat kau.”
Mesti dia hairan kenapa aku tak nak jumpa Dr. Sharizal agaknya. Aku belum cerita apa-
apa lagi kepada dia. Belum sempat nak cerita dah ada cerita baru lebih sensasi sekarang.
Bertambah sensasi lagi kalau dia dapat tahu Dr. Sharizal sebenarnya anak raja. Mesti terkejut
punya.
Akhirnya Ellin mengangguk walaupun masih tidak faham kenapa aku berbuat begitu. Dia
berlalu ke kaunter apabila terdengar orang menekan loceng. Aku bersandar pada kepala kerusi.
Otak aku ligat memutarkan semula kata-kata dia yang aku curi-curi dengar tadi.
“I love her very much. Very much.”
Kata-kata itu masih terngiang di telingaku. Kata-kata yang begitu menusuk, halus ke
tangkai hati. Sungguh indah kata-kata itu di pendengaranku. Baru aku terasa diri disayangi
olehnya. Dia memang betul-betul cintakan aku sedangkan aku…? Mampukah aku mencintainya
selepas aku tahu tentangnya? Layakkah aku, seorang gadis biasa, bergandingan dengan dia yang
tinggi darjatnya daripada aku?
Aku dapat rasakan jurang yang sangat besar antara aku dengan dia. Sangat besar.
Mendengar perbualannya dengan bondanya sebentar tadi, aku tahu bahawa bondanya tidak
merestui hubungan aku dengannya. Nampak sangat dia tak suka. Malah dikatakannya aku gadis
kampung.
Itu memang diakui—aku memang gadis kampung. Aku bahagia bila jadi gadis kampung.
Tapi… argh! Malaslah aku nak fikir! Buat sakit dada aku saja.
Aku mencapai botol ubat migrain yang memang tersimpan di situ. Aku ambil segelas air
dan telan dua biji pil sekali gua, dibalas dengan segelas air putih. Aku kembali menyandarkan
kepala pada sofa. Cuba bertenang, merenung kipas yang tergantung pada siling. Mataku ikut
berputar, mengikut rentak putaran kipas siling itu. Perlahan-lahan, kelopak mata aku tertutup.
“KAU bukan menantu pilihan aku! Aku benci kau! Kau tak layak nak bergandingan dengan
anak aku! Perempuan kampung!” jerit bonda suamiku kepadaku.
Aku tersentap. Air mataku merembes keluar. Sampai hati dia cakap begitu sedangkan
sekarang aku adalah isteri kepada anaknya. Dia menjeling angkuh ke arah aku yang sedang
duduk berteleku di atas karpet mewah itu. Kepalaku ditunjal berkali-kali. Seumur hidup aku, tak
pernah aku dijentik oleh ibu bapaku, apatah lagi ditunjal seperti ini.
Aku memandang, meraih simpati dari ibu mertuaku. Balam-balam wajahnya. Dia tak
kasihan ke aku tengah mengandungkan cucu sulungnya?
“Bonda!” Suamiku menjerit dari ambang pintu. Dia memandang tajam ke arah bondanya.
Pantas aku bangun dan berlari mendapatkannya, memeluknya. Aku menangis di bahunya.
Habislah bajunya yang wangi itu kena air liur aku. Tak apa. Bukan orang lain, isterinya juga.
Aku meraung-raung di bahunya. “Abang!”
Dia memeluk aku erat sambil memujukku supaya bertenang. Ibu mertuaku sudah
bercekak pinggang di tempatnya sambil memandang bengis ke arah kami.
“Shah tak sangka bonda sanggup buat isteri Shah macam ni. Bonda tak kesian pada dia
ke? Dia tengah mengandungkan cucu sulung bonda!” kata suamiku. Nada suaranya tinggi,
menyamai suara bondanya.
“Itu bukan cucu bonda!” Bondanya menjerit lantang. Matanya terus dijegilkan kepada
aku.
“Pengawal, tangkap Tengku Sharizal dan usir perempuan kampung tu! Bunuh dia!”
arahnya kepada dua orang pengawal berbadan tegap itu. Serta-merta mereka bertindak.
Aku dipisahkan daripada suamiku. Aku cuba menarik tangannya tapi pengawal itu
terlebih dahulu mencubit tanganku. Apa ni? Main cubit-cubit pulak! Aku gigit tangan pengawal
itu. Tak lut. Gigi aku pula yang tanggal. Mak! Suamiku sudah menjauh daripada aku. Dia diheret
oleh dua orang pengawal tadi ke tingkat atas dan aku diusir keluar.
“Abang! Tolong Faiz!” Aku menjerit. Begitu juga dengan suamiku. Aku menjerit lagi
apabila sebilah pisau hendak dibenamkan ke dadaku.
“FAIZ…”
Terasa tepukan pada mukaku berkali-kali. Aku membuka mata. Mataku terbeliak.
Suamiku sudah berada di depanku. Pantas aku bangun dan memeluknya. Sekali lagi aku
menangis di bahunya.
“Abang, jangan tinggalkan Faiz. Tolong jangan tinggalkan Faiz. Faiz takut!” kata aku
berulang kali. Lega hati bila suamiku sudah di depan mata. Aku takut bila mengenangkan wajah
ibu mertuaku yang membengis, walaupun wajahnya nampak balam-balam.
“Dia nak pisahkan kita. Dia tak mengaku anak yang Faiz kandung ni cucu dia. Abang,
Faiz takut!” Aku mengadu kepada suamiku. Aku lihat raut mukanya berkerut. Aku memeluknya
lagi. Gembiranya hati bila suamiku tidak dipisahkan.
“Faiz! Kau kenapa?”
Aku mendengar suara Ellin. Pantas aku memandangnya yang berdiri di belakang
suamiku. Dia memandang pelik ke arahku. Berkerut-kerut mukanya. Macam ada benda yang tak
kena.
“Kau mimpi ke? Bila masa kau kahwin dengan Dr. Sharizal?” soal Ellin separuh ketawa.
Hah? Aku terpinga-pinga dan terkejut. Aku mimpi ke? Aku memandang muka suamiku
yang sedang menguntum senyum. Pantas aku menarik balik kedua-dua tangan yang sedang
memeluknya. Aku pandang pula ke perutku. Kempis. Aku tak mengandung! Jadi sahlah aku
bermimpi tadi! Bermimpi kahwin dengan Dr. Sharizal dan sudah pun mengandungkan anaknya.
Ya Allah! Malunya aku!
Aku pandang pula sekeliling. Sah lagi. Aku berada di bilik rawatan! Mamma Mia!
“Mimpi kita dah kahwin ya?” Dia mengusik aku sambil mengenyit mata.
Aduh… bertambah malu aku dibuatnya. Mana aku nak sorok muka aku ni? Rasa macam
nak masuk balik dalam perut mak aku. Bukan main-main malunya.
“So… sorry… tak sengaja.” Itu saja kata-kata yang mampu aku lahirkan untuk menutup
malu. Aku tergaru-garu kepala. Dapat aku rasakan kesemua darah dalam badanku sudah
berkumpul di kawasan pipi. Malunya aku!
Aku mengerling Ellin yang sembunyikan tawanya di sebalik tangan yang menutup mulut.
“Macam mana saya boleh ada kat sini?” Aku bertanya, memandang ke muka mereka silih
berganti.
“Kau pengsan tau tak kat stor. Berapa biji pil yang kau telan?” Sempat Ellin memerli.
Biji matanya dijegilkan kepada aku.
Aku menjelingnya. Aku pengsan? Macam mana aku boleh pengsan? Kesan sampingan ke
sebab aku makan ubat overdose? Ellin sudah tersenyum-senyum ke arahku. Tersenyum nakal.
Aku pandang pula muka Dr. Sharizal. Dia tersenyum penuh makna kepadaku. Hati aku jadi tak
tentu arah. Tak keruan. Dia menggeleng-geleng beberapa kali.
Aku terus bangun dari katil dan ingin berlalu pergi. Kalau boleh aku nak pergi menyorok
kat mana-mana, biar orang tak dapat cari aku. Aku malu!
“Eh, nak ke mana?” Pantas tanganku ditariknya.
Spontan badan aku terpaling dan terdorong ke tubuhnya. Nyaris dahi aku menyentuh
hidung mancungnya itu. Kurang seinci lagi. Pandangan mata kami bertaut. Saling renung-
merenung. Cuba mentafsir perasaan masing-masing melalui sinar mata.
Ellin berdeham beberapa kali. “Ops… I’m not suppose to be here. Sorry. Sorry, Faiz.
Maybe, I better go.” Dia mengangkat kedua-dua tangannya.
Aku ingin menjerit bila lihat Ellin meninggalkan aku dengan Dr. Sharizal. Sempat dia
mengenyit mata kepadaku sebelum berlalu. Kini tinggal aku berdua saja dengannya. Dada aku
jadi sesak bila berada dekat dengannya. Bau wangian daripada badannya menusuk-nusuk
hidungku. Dia masih lagi memegang tanganku.
“Err… maafkan saya. Saya…”
“Faiz, kita kahwin?”
Hah?! Aku terkejut lantas berpaling ke arahnya. Betul ke apa yang aku dengar ni? Dia
ajak aku kahwin? Apa yang aku rasa sekarang? Telinga aku belum pekak lagi untuk mendengar
butir bicaranya sebentar tadi.
“Apa?” Aku inginkan kepastian, sama ada aku tak silap dengar. Dadaku semakin
berdebar.
Dia tersenyum dan merenung mataku sedalamnya. Sinar matanya yang redup tapi tajam
itu membuatkan aku rimas. “Kita kahwin. Will you be my wife?”
Sekali lagi dia melafazkan perkataan itu. Ini kali kedua selepas dia menyebut perkataan
yang sama ketika melamarku di bawah pokok jambu di kampung. Mata aku terbuntang luas
memandangnya. Mulut juga terlopong.
“Awak nak kahwin dengan saya? Kita kan baru aje declare? Takkan secepat itu…”
“I love you,” ucapnya lagi kepadaku. Aku terpempan.
“Saya dah tak boleh tahan-tahan lagi perasaan pada awak. Bila awak terima lamaran saya
tempoh hari, hati saya gembira bukan kepalang, sebab itulah yang saya tunggu-tunggu selama
ini. Hati saya benar-benar ikhlas cintakan awak, Faiz, dan saya ingin memiliki awak. Percaya
ataupun tidak, saya dah mula jatuh cinta dengan awak sejak kali pertama saya nampak awak. I
really love you.”
Aku terlopong mendengar bait-bait katanya. Hatiku sedikit tercuit dengan. Benarkah?
Benarkah dia cintakan aku sampai macam tu sekali? Aku jadi keliru dan bingung. “Saya… saya
tak…”
Trutt… trutt… Alat keluinya berbunyi nyaring tanpa sempat aku membalas kata-katanya.
“Sorry, I have to go. But, we’ll talk about this later. I’ll call you. Bye, sayang.” Dia
menepuk pipiku sebelum pergi.
Aku hanya melopong dan melongo, melihat dia bergegas pergi dan meninggalkan aku di
bilik rawatan. Aku terduduk di kerusi. Fikiran berputar-putar mengulangi kata-kata yang
dilafazkannya tadi. Bukan aku tidak suka. Siapa yang tidak suka bila diri dilamar oleh orang
yang berkedudukan macam Dr. Sharizal? Dahlah handsome, bekerjaya, bijak, baik dan ada darah
kerabat diraja.
Kerabat diraja? Itu yang merisaukan aku. Aku risau bila memikirkan hal itu. Hal itulah
yang menjebakkan aku sampai aku tertelan ubat migrain overdose. Telinga aku sendiri yang
dengar perbualan dia dengan bonda dia walaupun aku tak tahu apa yang bondanya katakan. Aku
cuma mencuri dengar saja tadi.
Daripada kata-katanya, aku dapat rasakan, bondanya tak merestui hubungan aku dengan
dia. Jadi, harus bagaimana aku hadapinya nanti? Mampukah aku? Aku sendiri pun tidak pasti.
12
ELLIN tak puas mengetawakan aku bila mengingatkan yang aku mimpi berkahwin dengan Dr.
Sharizal. Kalau dekat rumah dia, sah dah berguling-guling dia ketawakan aku. Aku hanya
memandangnya saja dengan muka geram dan hati yang mendongkol. Nasib baik ini kawasan
hospital, kalau tak, memang aku dah kerjakan dah budak bertuah ni.
Sesudah tawanya reda, aku ceritakan tentang Dr. Sharizal kepada Ellin. Apa yang nyata,
Ellin tidak terkejut bila aku ceritakan tentang susur galur keturunan Dr. Sharizal. Dia buat muka
selamba saja sambil menghirup sirap ais yang dipesannya. Ketika ini, kami sedang berehat dan
menjamu selera di kantin hospital.
Aku juga ceritakan yang Dr. Sharizal telah melamar aku semasa di kampung. Cincin
berlian yang disarungkan ke jari manisku oleh Dr. Sharizal sendiri juga aku tunjukkan kepada
Ellin. Ellin nyata terkejut dan mengucapkan tahniah kepadaku. Tak putus-putus bibirnya
tersenyum-senyum.
“Memang patutlah dia anak raja sebab dia bagi kau cincin semahal ni. Kau tengok sajalah
nama dia. Nama dia saja dah ada Tengku kat depannya. Mestilah dia ada bau-bau bacang dengan
mana-mana kerabat raja. Tak pun, dia tu keturunan kerabat Indera Pura macam dalam cerita
Sindarela tu?” Ellin berseloroh dan ketawa.
Pantas saja tangan aku menampar lengannya. Ada ke situ pula. Nak samakan kes aku
dengan cerita Sindarela yang disiarkan setiap Selasa pukul 9.00 malam tu. Main-mainlah budak
ni. Aku lepuk juga karang.
“Kau ni, aku seriuslah.” Aku menjelingnya dan mendengus kasar. Situasi aku dahlah
tengah kritikal ni. Boleh pulak dia nak main-main. Isy…
“Okeylah… Buat apalah kau nak risau? Kira okeylah tu kau dapat anak raja. Sebenarnya,
dia bukanlah anak raja yang akan naik takhta. Bukan kau jadi permaisuri pun kalau kau kahwin
dengan dia. Kau cuma jadi permaisuri hati dia saja. Kau nak risau sangat ni kenapa? Calm down.
Tak ada benda pun.” Selamba saja Ellin membalas. Dia ketawa kecil.
Macam perli aku aje? Malah dengan muka selamba badak dia menyedut lagi airnya yang
masih bersisa. Aku tengok Ellin begitu bersahaja. Macam dia kenal sangat dengan Dr. Sharizal.
Langsung tak tunjukkan riak terkejut, teruja ke, apa ke. Biasa saja.
“Aku bukan risau pasal tu, aku risau pasal famili dia. Kau tau tak, tadi aku curi-curi
dengar perbualan dia dengan mak… ops, bonda dia kat lorong nak ke toilet,” kata aku kepada
Ellin, pada apa sebenarnya yang bermain dalam kotak fikiran aku sekarang.
“Apa yang kau dengar?” Ellin bertanya tidak sabar.
Aku memandangnya lemah dan menghempaskan satu keluhan halus. “Dia fight dengan
bonda dia pasal aku. Bonda dia tak setuju kami. Bonda dia juga bantah sekeras-kerasnya bila dia
kata dia nak kahwin dengan aku.”
Ellin membulatkan mata. Aku memandangnya sekilas. Kemudian aku menundukkan
sedikit muka, memandang meja.
“And one more thing… Bonda dia nak jodohkan dia dengan orang lain. Apa ke nama
orang tu…” Aku mengerutkan muka. Cuba mengingati nama perempuan yang aku dengar tadi.
Aku memetik jari-jemariku.
“Tengku Shireen… eh bukan, Sha… Shalin… Sharina? Eh… apa ya? Sha…”
“Tengku Shareen?” Ellin pantas menyambung dengan mata yang terbeliak.
“Yes, correct… Tengku Shareen. Bonda dia nak jodohkan dia dengan Tengku Shareen.
Agaknya keturunan raja juga. Bonda dia nak cari yang sama taraf dengan dia. Eh, macam mana
kau tau nama dia Tengku Shareen?”
Tiba-tiba aku berasa pelik bila Ellin dapat meneka nama Tengku Shareen dengan lancar
dan betul. Macam dia kenal sangat dengan mereka-mereka ini. Tadi muka dia juga bersahaja dan
tak terkejut bila aku beritahu tentang keturunan Dr. Sharizal. Macam ada yang tak kena. Hati aku
mula ragu-ragu dan fikirkan yang bukan-bukan.
“Aku… aku main teka saja tadi.” Raut wajah Ellin sudah bertukar corak. Tadi selamba
namun sekarang dah jadi tak tentu arah. Resah semacam dan tak senang duduk.
“Lin, kau kenal dia ya?” Aku cuba menduga. Mataku galak merenungnya. Aku picingkan
sedikit bola mata. Lagi tak tentu arah dia.
“Janganlah tenung aku macam tu, Faiz. Betul. Aku main teka aje tadi. Aku tak kenal dia
pun, Faiz. Betul.” Bersungguh-sungguh Ellin meyakinkan aku. Siap mengangkat tangan kanan
lagi, macam orang bersumpah.
Aku ketawa kecil. “Yalah, yalah… aku percaya kau.”
Ellin kembali tersenyum. Tapi, hati aku tetap mengatakan ada yang tak kena dengan
Ellin. Macam dia kenal sangat dengan Tengku Shareen tu.
“Lepas tu, apa? Sambung lagi,” pinta Ellin. Dah tak sabar-sabar lagi nak tahu cerita yang
selanjutnya.
Aku pandang ke sekeliling kantin. Masing-masing sibuk berbual sesama sendiri. “Lepas
tu, dia kata lagi kat bonda dia, dia nak kahwin dengan aku. Dia cintakan aku. Kau tau, siap kata
lagi nak suruh orang lain yang pergi pinangkan aku kalau bonda dia tak mahu pinang aku.”
Aku menopang dagu. Ellin meragut tangan aku sampai dagu aku nak „terjatuh‟ dari atas
meja. Isy…
“Wei, dia nak pinang kau, Faiz? Betul ke, Faiz?” soal Ellin membeliakkan mata.
Bersinar-sinar matanya, penuh keterujaan.
Aku mengangguk, mengiakan. “Dan yang lebih klimaks lagi, dia ajak aku kahwin masa
kat bilik rawatan tadi.”
“Hah?! Dia ajak kau kahwin?” Ellin separuh menjerit.
Aku menampar lengannya. Geram dengan tindakannya menjerit begitu, menggamit
semua penghuni kantin memandang kami.
“Hei, slow sikitlah. Kau ni, nanti orang dengar karang malu pulak aku. Ni yang aku malas
nak cerita kat kau ni,” tegurku perlahan sambil jari telunjuk merintang bibir.
Ellin ni terlebih pulak. Nak menjerit kat tempat macam ni. Dahlah sekarang waktu rehat.
Kebanyakan staf turun makan di kantin. Dia nak menjerit pula. Isy… main redah aje minah ni.
Ellin ketawa sambil menutup mulut, tapi masih mengeluarkan bunyi lagi.
“Sorry… sorry… Aku excited sebenarnya ni. Ya Allah, Faiz… Dia ajak kau kahwin?
Kau terima tak?” Ellin bertanya. Keterujaannya mencapai tahap maksimum. Mata galaknya
dipanahkan terus ke anak mataku, ingin jawapan daripadaku tentang soalannya.
“Aku tak tau nak kata apa. Aku sebenarnya keliru tau, Lin. Bengong, pening, kacau,
semua bercampur baur tau. Kau fikir sendirilah. Aku baru aje terima dia beberapa hari lepas, tapi
sekarang, dia terus nak ajak aku kahwin. Tak ke semua ni kerja gila?” kataku mengerutkan dahi
sambil menyedut jus oren yang kupesan tadi. Fikiran aku kacau sekarang ini.
Ellin memegang pipinya dengan mata terbuntang luas dan mulut terlopong. Sebiji macam
kartun Sakura Cardcaptor aku tengok. Kemudian, dia ketawa mengekek. Sekali lagi aku
mengerutkan dahi. Apa yang melucukan dia agaknya.
“Kerja gila apanya? Hei, Faiz, orang kalau dah suka, bukan kira itu semua. Lama ke
sekejap ke, hati kalau dah suka, semua boleh jadi tau. Bak kata pepatah, cinta itu buta. Baguslah
dia ajak kau kahwin. Bukan senang tau orang lelaki macam boyfriend kau tu nak ajak perempuan
kahwin dengan dia. Isy, kalau akulah, tanpa membuang masa aku terus terima aje. Dah orang
nak kahwin dengan kita kan, terima ajelah.” Panjang lebar hujahan Ellin. Sesudah itu, dia
tersenyum meleret kepadaku.
Aku mengeluh. Isy, budak ni. “Kau ni, ingat benda nikah kahwin ni macam main kahwin-
kahwin ke masa kecil dulu? Banyak perkara tau nak difikirkan.”
Ellin ketawa kecil. Dia menutup mulutnya. “Yalah… aku tau, tapi apa lagi yang kau nak
fikir? Apa, Dr. Sharizal tu tak cukup sempurna ke untuk kau jadikan suami? Dahlah handsome,
bergaya, berkarisma, bekerjaya, bijak, kaya… plus orang berkedudukan lagi… Ha, maco… Ha,
tu semua ciri-ciri yang kau nak, kan? Dah macam ciri-ciri angkasawan negara dah. Nasib baik
dia bukan angkasawan. Kalau tak, aku dah tackle dia dulu tau.”
Ellin membalas dengan menyenaraikan semua ciri-ciri lelaki idaman aku. Semuanya
betul kecuali yang kaya tu. Aku tak mencari lelaki kaya. Pandai-pandai aje masukkan dalam
senarai lelaki idaman aku. Huh…
“Yalah, sekurang-kurangnya bagilah aku masa untuk kenal dia dengan lebih mendalam.
Dalam setahun ke. Kan kami baru aje kenal. Tak sampai tiga bulan pun. Tu pun terlalu cepat aku
terima dia sebagai pasangan aku. Sekarang ni, alih-alih terus nak ajak aku kahwin. Mendadak
macam tu aje. Macam desperate sangat. Aku peninglah, Lin.” Aku mengeluh kasar. Memang
sekarang aku tengah pening. Pening tahap gaban! Kepala aku sudah memberat menanggung
beban itu.
“Aku rasa kau patut slow talk dengan dia. Bincangkan pasal hal ni. Aku pasti, dia faham
punya kalau kau terangkan kat dia. Tapi, satu aje aku nak tanya kau, kau cintakan dia tak?”
Pertanyaan Ellin membuatkan aku tersentap. Cintakah aku kepadanya?
“I do love him… Tapi, belum sepenuh hati lagi. Dia langsung tak bagi aku ruang nak nilai
cinta aku pada dia, Lin. Tau-tau terus nak ajak kahwin. Macam… macam tak masuk akal kau tau
tak,” balasku perlahan. Bingung. Aku mengurut tengkuk yang sengal sikit.
Ellin membuat mimik muka dan tersenyum sinis. “Nah… apa lagi yang kau nak? Kau
cintakan dia, dia juga cintakan kau. Faiz, cinta tu boleh dipupuk selepas kahwin. Kata orang-
orang tua, cinta selepas kahwin lebih bahagia dan berkekalan daripada cinta sebelum kahwin.
Okey, pasal orang tua dia tu, kau jangan risau. Aku akan settle downkan. Apa yang pasti
sekarang, kau kena fikirkan tentang diri kau dan dia.”
Aku hanya diam mendengar kata-kata yang diucapkan Ellin. Aku memang patut slow talk
dengan dia. Bincang elok-elok. Perkara ini bukan main-main-main. Eh, Ellin kata apa tadi? Dia
nak settle down dengan bonda Dr. Sharizal? Apa maksudnya? Dia kenal ke dengan keluarga Dr.
Sharizal? Dah dua kali dah ni. Tadi pasal perempuan bernama Tengku Shareen, sekarang pasal
bonda dia pulak. Musykillah. Aku mula mengesyaki sesuatu.
“Lin, kau cakap kau nak settle down dengan bonda dia? Kau kenal ke dengan keluarga
dia?” soal aku penuh kemusykilan. Apa maksud dia? Dia kenal ke dengan keluarga Dr. Sharizal?
Mereka ni berkait rapatkah?
“Eh, dahlah. Jom, dah dekat pukul 2.00 dah ni. Aku pun belum sempat solat. Aku pergi
solat dulu ya.” Ellin bangun daripada duduknya dan bergegas meninggalkan aku sendirian,
dengan pertanyaanku yang tidak dijawab. Langkahnya ke surau.
Semakin pelik aku dengan Ellin. Muka dia tiba-tiba berubah bila aku ajukan pertanyaan
itu. Ada sesuatukah yang dia sembunyikan daripada aku?
AKU duduk berkurung di dalam bilik, berbaring di atas katil, memandang ke siling. Hati aku
diburu resah tentang peristiwa petang tadi. Mengiring ke kiri salah, ke kanan salah. Terlentang
lagilah salah! Aku bangkit dan menggaru kepala laju-laju. Isy! Bikin pusing kepala saja aku
fikirkan tentang hal itu. Macam mana aku nak cakap dengan dia ek? Aku ni dahlah tak pandai
nak berkata-kata. Aduh…
Aku kusutkan rambut dengan tangan dan berbaring semula sambil memeluk bantal peluk.
Berfikir. Bila diingatkan kelakar pula bila sampai mimpi berkahwin dengan dia. Yang paling
kelakar, dalam mimpi tu aku dah mengandungkan anak dia. Huih… macam manalah aku boleh
mimpi sampai macam tu? Pula tu, ada pula „mak mertua‟ aku dalam mimpi tu.
Bila aku ingatkan wajah dia, rasa seram pula. Bengis! Macam tu ke rupa sebenar ibu dia
sedangkan aku tak pernah bersua muka dengan dia pun? Ini mesti kes terlalu fikirkan perbualan
dia dengan ibunya yang aku curi-curi dengar petang tadi.
Aku mengiringkan badan ke kiri. Otakku ligat memikirkan lamarannya yang buat kali
kedua. Patut ke aku terima? Sudah bersediakah aku ke arah itu? Tak tergesa-gesakah? Aku ni,
betul-betul ke cintakan dia dan adakah dia pilihan yang tepat untuk aku?
Bermacam-macam persoalan yang timbul dalam benak aku sekarang. Hati aku
berkecamuk. Aku mengaku, aku memang suka kepada dia sejak mula jumpa dia. Dia adalah
lelaki yang paling sempurna dan paling kacak yang pernah aku jumpa. Aku tertawan dengan
keperibadiannya yang berketerampilan dan berkeyakinan. Aku juga terpesona dengan rupa
wajahnya yang sempurna sebagai seorang lelaki. Paling aku tangkap cintan adalah lesung
pipitnya yang mahal itu, yang membuatkan aku kadangkala tersenyum sendirian bila teringat.
Lirikan matanya yang kadangkala sukar ditafsir. Senyumannya yang menawan, buat jantung aku
sentiasa berdegup kencang.
Tapi, waktu itu, aku tidak merasai apa-apa perasaan pun hadir dalam diri aku sehinggalah
dia melamar aku dan menyarungkan cincin berlian di jari manis aku di kampung, bersaksikan
pokok jambu dan kaum keluarga aku. Waktu itu, secara tiba-tiba, satu jenis perasaan yang
sebenarnya telah lama terpahat ke dalam dasar hati aku timbul. Adakah itu perasaan cinta?
Aku mengeluh. Sekarang ini, dia mengajak aku ke gerbang perkahwinan. Mahu terima
ataupun tidak? Mahu tangguh? Mahu teruskan? Patut tak aku beritahu emak? Isy… nanti apa
pula kata emak. Aduh… Aku mengusutkan lagi rambut yang sedia kusut.
Telefon aku berbunyi nyaring. Ah, ganggu sajalah! Orang tengah berfikir ni. Aku
menyambar telefon bimbit di atas meja tepi katil. Jariku terus menekan punat hijau tanpa melihat
nama pada skrin terlebih dahulu.
“Helo,” sapa aku malas.
“Hai… lemah aje suara?”
Aku membuka mata yang tadinya separuh terbuka. Lah… cik abang aku rupanya. Hati
aku tiba-tiba berbunga riang apabila mendapat panggilan daripadanya.
“Oh… awak. Hmm, tak ada apa-apa. Saya cuma baring-baring. Ada apa?” soal aku
seraya bangkit dari katil dan menuju ke beranda luar. Pandangan aku halakan ke jalan raya.
“Eh, nak telefon buah hati sendiri pun tak boleh?” Dia ketawa kecil di hujung talian. Aku
tersenyum mendengar kata-katanya.
“Tak adalah. Awak kan selalu sibuk. Mana ada masa nak call kan…” Aku cuba
memerlinya, seakan merajuk. Dia ketawa lagi.
“Isy, sesibuk mana pun, saya akan call awak. Walaupun kita dah jumpa hari-hari, berjiran
pulak tu, saya tetap rindukan awak. Rindukan suara awak.”
Terukir senyuman kecil pada bibir aku bila mendengar kata-katanya. Terasa sejuk pula
hati.
“Faiz…”
“Ya?”
“Dah fikirkan tentang hal petang tadi?”
“Hal apa?” Aku berpura-pura bertanya. Dalam hati, hanya Tuhan yang tahu gelojak
perasaan aku bila dia tanyakan soalan itu.
“Pasal kita nak kahwin.” Gulp! Aku menelan liur.
“Err… saya belum fikirkan, wak. Tengah fikir ni,” jawab aku sedikit gugup. Aku
mengurut dada yang terasa sedikit sesak.
“Kenapa? Awak tak sudi…”
“Bukan! Bukan macam tu!” Aku pantas memintas. Lantang sekali suara aku. Aku sendiri
terkejut dengar suara sendiri. Lantas, aku segera meminta maaf kepadanya atas kelantangan
suara aku tadi.
“Habis tu, apa yang awak fikirkan?” Dia seakan mendesak aku. Aku memicit dahi dan
menggigit bibir.
“Banyak perkara yang saya fikirkan, wak.” Aku membalas perlahan. Memang banyak
yang aku fikirkan. Salah satu daripadanya adalah keluarga dia. Itu yang menjadi faktor utama.
“Okay, tell me. Mungkin kita boleh diskus sama-sama. Apa yang merunsingkan awak
sekarang?”
Aku diam. Otak ligat berfikir, cara menyusun ayat yang betul untuk diluahkan
kepadanya. Macam mana aku nak cakap ni? Aku buntu.
“Sayang… are you there?”
“Ya… Sorry.”
“Kenapa ni? Macam susah aje nak cakap? Kalau ada masalah, kita boleh bincang sama-
sama.”
Lembut suaranya di pendengaranku. Aku serba salah untuk berkata-kata. Mulut ini mahu
saja bertanya perihal bondanya yang seakan tidak setuju dengan perhubungan kami. Aku
menarik nafas kemudian menghembusnya perlahan. “Awak tak rasa ke kita terlalu tergesa-gesa
ke arah itu?”
Sudah… lain yang nak ditanya, lain pula yang keluar dari mulut aku. Tapi, tak apa juga.
Sebenarnya, perkara itu pun aku sedang fikirkan tadi. Kedengaran dia mengeluh halus.
“Oh… itu yang merunsingkan hati awak. Okey, saya mengaku memang agak tergesa-
gesa. But this is because I love you so much! Tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata
betapa saya sayang dan cintakan awak. Saya sayangkan awak lebih daripada saya sayangkan
nyawa sendiri. Cinta saya pada awak ibarat lautan luas yang tiada sempadannya. Tapi… saya
hormati apa-apa keputusan awak, sayang. Saya takkan paksa awak. You are everything to me.
Saya ikut saja walau apa pun keputusan awak.”
Aku diam mendengar kata-katanya. Terasa sayu pula di hati bila dia meluahkan isi
hatinya kepada aku. Dalam keadaan begini, hati aku dalam dilema. Ditelan mati bapa, diluah
mati emak. Begitulah keadaan aku sekarang. Bila dia kata macam tu, aku rasa serba salah pula.
Aku pun sayang dia juga tapi… eii, entahlah!
“I love you too.” Tanpa sedar, aku luahkan perkataan keramat itu kepadanya.
“Cakap lagi sekali?” pintanya.
“I said, I love you.” Aku membalasnya selamba. Ikhlaskah aku? Ya, aku memang ikhlas
ucapkannya sebab ia lahir daripada hati aku sendiri.
“Again? I can’t hear it, honey? What did you say?” ulangnya lagi.
Ai… pekak ke cik abang aku ni? Dah dua kali aku cakap benda yang sama. Dah tak
korek telinga ke? Aku ketawa kecil.
“I love you, honey. I love you. Got it?” bisikku perlahan, penuh perasaan. Kedengaran dia
ketawa riang.
“So, can you call me, abang?”
Aku ketawa. Tak habis-habis nak dera aku suruh aku panggil dia macam tu. Kenapa
entah. Aduh… ni yang aku lemah ni. Aku menggaru-garu kepala.
“Kenapa asyik nak paksa saya panggil macam tu?”Aku pura-pura marah. Dia ketawa
panjang
“Kena praktis dulu sebelum kita kahwin. Nanti, kalau dah kahwin, tak rasa janggal lagi
nak panggil macam tu. Boleh tak?” Dia masih menunggu jawapan daripadaku.
Betul juga cakap dia. Nanti lidah aku tak liat nak panggil macam tu. Hai, macam-
macamlah dia ni. Dahlah otak aku tengah sarat fikir macam-macam dan sekarang, nak paksa aku
buat macam-macam pula.
“I’m waiting.” Dia menyambung. Senyuman terukir di bibirku.
“Abang…” Lama baru aku ungkapkan. Malu sebenarnya. Nasib baik dia tak ada di depan
aku sekarang.
“Tak dengar. Cakap kuat sikit. Sekali lagi…”
Ah… tak dengar ke, pura-pura tak dengar? Sengaja nak kenakan aku ni. Memang terlebih
tau. Dah sah-sah telinga tak korek atau telinga dia ada masalah.
“Ya, abang. Abang… abang… abang… Puas hati, abang?” Aku mengatakannya berulang
kali. Kalau tak dengar juga, sah telinga tak korek setahun! Kedengaran dia ketawa kecil di
hujung talian.
“Ya… macam tulah. Riang sikit hati abang ni.”
Aku mencebikkan bibir. Mengada! Jotos baru tahu. “Abang…”
“Hmm…”
“Saya… err… Faiz nak tanya sesuatu boleh tak?”
“Apa dia?”
“Boleh tak, kalau kita bertunang dulu sebelum kita melangkah ke gerbang perkahwinan?
Faiz rasa macam tak sedap hati pulak bila kita terus kahwin. Sekurang-kurangnya, bagi ruang
sikit untuk kita mengenali hati budi masing-masing, macam mana?” Aku meluahkan satu lagi
perkara yang merunsingkan aku. Sambil itu, mataku memandang kipas yang ligat berputar yang
sedia tergantung di siling.
“Hmm… kita bukan dah bertunang ke sekarang?”
Aku ketawa tiba-tiba. Mesti dia nak perli aku ni. Aku yang reka sendiri pasal pertunangan
ini bagi melepaskan diri daripada Hakimi. Kedengaran dia juga ketawa kecil.
“Itu bertunang olok-olok. Sekarang ni kita cakap pasal pertunangan yang betul. Apa kata
abang?” Nampaknya dia diam sekejap. Mungkin tengah berfikir. Aku hanya menantikan
jawapannya.
“Hmm… okey. Abang tak kisah.”
Lega hati aku mendengarnya. Sekurang-kurangnya terlepas sikit beban di kepala aku ini.
“Tapi, jangan lama-lama. Nanti, Faiz lari pulak.”
“Nak lari ke mana? Kalau lari pun tak ke mana. Paling-paling balik kampung. Ada-ada
saja abang ni.” Geli hati aku mendengarnya. Aku menggelengkan kepala berulang kali.
“Abang takut kehilangan Faiz. Faiz tau kan macam mana abang sayangkan Faiz?”
“Yeah… I know. I love you too.” Mudah saja kata itu meluncur dari mulut aku.
“Abang…”
Timbul pula di benak untuk bertanya perihal keluarganya. Terutama sekali bonda dia.
Selagi aku tak bertanya, hati aku tak sedap. Berbelah bahagi pula hati aku. Takut dia
tersinggung. Aku menghempaskan keluhan. Nak tanya ke tidak? Nak tanya ke tidak? Aku
berkira-kira dalam hati.
“Ya, sayang?”
“Faiz nak…” Aku menggaru-garu kepala. Aduh… nak tanya ke tidak ni? Faiza, come on!
“Ya, sayang. Ada apa?” Dia mengulangi pertanyaannya.
“Faiz nak pergi toilet. Dah lama tahan. Boleh tak?” Isy! Kenapalah aku ni! Lain yang aku
nak cakap, lain pulak yang keluar! Dah kenapa aku ni? Selalu sangat macam nilah.
Dia ketawa besar di talian. “Faiz ni, tak senonohlah. Kenapa tak cakap dari tadi?” soalnya
sambil ketawa.
“Err…terpaksa tahan. Nak dengar kata madah daripada abang tu,” balasku separuh
memerlinya. Aku mengutuk diri kerana tidak punya kekuatan untuk tanyakan hal sebenar.
“Faiz… Faiz… Okey, pergi buang cepat. Tak baik tahan-tahan. Nanti jadi penyakit
pulak.”
Talian dimatikan. Aku menghempaskan keluhan dan menghenyak tubuh di atas tilam,
merenung siling lagi.
Isy! Kenapalah kau ni lembap sangat hah, Faiza? Kenapa kau tak boleh nak berterus
terang? Kenapa susah sangat kau nak cakap ni? Eii! Aku menampar-nampar mulut sendiri.
Geram dengan diri sendiri. Akhirnya, aku melangkah juga ke bilik air. Bukan untuk membuang
tapi untuk mandi sekali lagi!
13
HARI ini Shariza sudah dibenarkan keluar. Sempat lagi dia menyinggah di tempat aku. Aku
lihat cengkung sungguh wajahnya yang dulunya ceria. Dia kemudiannya bercerita tentang
perangai abangnya yang asyik hendak paksa dia makan ubat, paksa dia makan, itulah, inilah.
Kadangkala dia sendiri naik rimas dengan abangnya yang terlalu caring, kata Shariza.
Aku dan Ellin ketawa mendengar luahan hati Shariza.
“Biasalah. Ija kan adik dia. Mestilah dia berikan rawatan yang terbaik. Kan bagus macam
tu,” kataku dengan sokongan Ellin.
Shariza memuncungkan bibir kemudian senyum sedikit. Matanya menoleh ke arah
sekumpulan jururawat pelatih yang baru turun dari tingkat atas, kemudian dihalakan kepada aku
semula. Lalu dia menopang dagunya di atas kaunter. Tersenyum. Senyumannya itu saling tak
tumpah seperti abangnya. Nampak sangat comel.
“Yalah. Nak caring pun janganlah melampau sangat. Ni, Ija nak pergi toilet pun kena
panggil nurse. Dia takut kalau Ija pergi sendiri nanti Ija pengsan kat bilik air. Cubalah akak
bayangkan,” sambung Shariza sambil tergelak. Tergeleng-geleng kepalanya.
Aku dan Ellin hanya tersenyum. Dalam kepala aku berfikir. Mestilah dia beri perhatian
kepada adiknya. Kan mereka dua beradik saja. Tak salah kalau diberi perhatian berlebih-lebihan.
“Ija, boleh akak tanya sikit?” Tiba-tiba terdetik di otak aku untuk bertanya tentang
keluarganya. Alang-alang dah jumpa adik dia, apa salahnya. Nak tanya dia sendiri, hmm...
alamatnya tak tertanyalah jawabnya. Bukan boleh percaya aku ni.
“Apa dia, kak?” soalnya memusatkan anak mata tepat ke muka aku. Tangannya
memintal-mintal rambutnya yang disisir ke bahu depan.
“Err... famili Ija tak datang lawat Ija ke?” soal aku perlahan. Teragak-agak. Mana tahu
dia tersinggung dengan soalan aku.
Raut wajah Shariza tiba-tiba berubah. Serba salah jadinya aku bila lihat dia sebegitu. Dia
menggigit-gigit bibir nipisnya itu.
“Maaf kalau soalan akak tadi buat Ija rasa tak senang,” ujar aku serba salah.
Shariza menggeleng pantas. Bibirnya mengukir senyuman tawar. “Tak apa, kak.
Sebenarnya famili Ija sibuk. Mereka ada di luar negara. Ayahanda... ops, ayah Ija dia ada
business kat luar negara. Alah, Ija tak kisah pun. Ada Abang Shah pun dah lengkap dah. Kami
dah biasa duduk berdua di Malaysia ni.”
Aku mengangguk faham. Patutlah Dr. Sha… ops, abang. Ya, abang. Aku tak boleh
panggil dia secara formal lagi sebabnya bermula malam tadi pekeliling sudah dikeluarkan supaya
aku memanggilnya abang. Apa ayat aku tadi? Ha… patutlah abang dia sayang sangat kat dia,
sebabnya mereka dua beradik saja di sini.
Dan, memang betullah mereka ini keturunan kerabat raja. Tadi aku terdengar dia
menyebut ayahanda. Tak kisahlah tu. Ayahanda ke nenda ke, apa yang pasti aku paling takut
kalau berdepan dengan bondanya. Hati aku diburu resah tiba-tiba.
“Okeylah, kak, Ija pergi dululah. Nanti tuan doktor tu cari Ija pulak. Dahlah dia suruh Ija
tunggu kat bilik dia. Karang tak pasal-pasal kena tazkirah. Tak larat nak dengar dah,” ujar
Shariza berseloroh.
Aku ketawa dan menggeleng-gelengkan kepala. Budak ni. Sempat lagi mengutuk abang
dia tu. Tapi, memang betul. Kalau tuan doktor itu dah bertazkirah, memang tak larat telinga nak
dengar. Boleh bernanah telinga ni.
Aku melihat Shariza berjalan lambat-lambat menuju ke tangga. Lif ada tak naik budak ni.
Tangga juga yang dia nak daki. Karang semput pulak. Hai… macam-macamlah kau ni, Ija.
Sempat lagi aku mengomel pasal Ija, bakal adik iparku. Mungkin.
SELEPAS menunaikan solat, aku berjalan, menuju ke tempatku. Hari ini Ellin pula „cuti‟ solat.
Aku dah habis, dia pula sambung. Akibat dah lima hari aku cuti bangun pukul 5.30 pagi, pagi
tadi pun aku terlupa solat subuh. Tulah orang kata, ikutkan sangat nafsu tidur tu, ikutkan sangat
bisikan iblis laknatullah tu. Hai…
Aku terjerit kecil apabila tanganku disambar oleh seseorang. Hampir hidung aku yang
comel ini terhumban ke dinding konkrit hospital. Siapalah yang berani mati buat aku macam ni
ha? Sakit lengan aku yang dicengkam kuat oleh orang tak bertanggungjawab ini.
“Faiza!”
Belum sempat aku berpaling untuk melihat siapakah gerangan manusia kurang asam itu,
tubuhku ditolak kasar ke dinding. Aduh… sakit lagi. Main kasar nampak! Ni yang aku marah ni.
Aku menoleh lagi. Rupanya si Tina gedik yang berani mati buat aku macam ini. Kurang asam
betul.
“Hei! Kau ni apasal? Tiba-tiba pulak tolak dan tarik aku? Kau ingat aku ni tali rafia ke
ha? Apa masalah kau ni?” marah aku sambil menggosok lengan yang sakit akibat terhentak pada
dinding konkrit. Mahu dia tak sakit. Macam nak retak tulang siku aku.
Aku merenung wajah jururawat yang bernama Tina a.k.a gegedik itu. Kembang kempis
hidung aku. Apa hal pulak dengan minah gedik ni? Tak pasal-pasal tarik aku kat lorong sunyi ni,
bercekak pinggang tenung aku.
“Kau ada apa-apa ke dengan Dr. Sharizal?” soalnya dengan pandangan mata yang tajam.
Bengis sungguh. Mukanya yang cantik sudah jadi hodoh bila berubah menjadi macam singa
lapar. Sekali imbas dah macam nenek kebayan dah.
Ni apa kaitannya dengan Dr. Sharizal pulak ni?
“Kenapa kau tanya?” Aku pula menyoalnya semula. Aku lihat kiri dan kanan. Takut
kalau ada mata-mata yang memandang. Aku halakan pandangan kepada Tina lagi.
Apa masalah agaknya perempuan ni? Nak cari gaduh dengan aku pulak, lepas tu tanya
pasal abang aku tu kenapa? Ops… dia jealous ke atau dia sukakan abang aku tu?
Tina mendengus kasar. Dia cuba menolak tubuh aku lagi tapi sempat aku menepis kasar.
Main kasar pulak minah gedik ni. Dia ni bodoh ke apa buat hal kat kawasan hospital?
“Aku tanya, kau ada apa-apa ke dengan Dr. Sharizal? Kau pekak ke?” Tina meninggikan
suara. Mukanya jadi merah padam. Mata galaknya terus-terusan dijegilkan kepadaku.
Aku buat muka setenang yang mungkin. Cuba menahan hati daripada bersikap seperti
budak-budak.
“Apasal kau tanya? Kau sukakan dia ya?” Aku membalas dengan suara yang biasa.
Walaupun hati aku sakit bila diperlakukan begini, aku cuba untuk bersikap tenang.
Mata aku terus-terusan tertancap ke muka jururawat yang paling terkenal dengan
kegedikan dan mengada-ada di hospital ini. Sebut saja siapa yang tak kenal Tina? Semua orang
kenal. Daripada Mat Bangla cleaner sampailah ke pihak atasan.
“Macam budak-budak,” tutur aku perlahan, menjeling wajah bengisnya. Nasib baik ni
hospital, kalau tak, dah lama aku tibai minah gedik ni.
“Ada mesyuarat apa ni?”
Tiba-tiba satu suara menegur dari belakang. Kami serentak menoleh. Hah… abang aku
rupanya. Aku lihat dahinya berkerut-kerut. Raut wajahnya kelihatan tegang. Jelas urat-urat halus
pada mukanya yang cerah itu. Wajah Tina yang menegang tadi perlahan-lahan mengendur.
Kedua-dua tangan yang disangkut ke pinggang rampingnya segera diturunkan lalu dia berdiri
tegak. Macam orang nak berkawad kaki.
“Err… tak ada apa. Kami cuma berborak aje.”
Pandailah minah gedik ni nak berbohong. Kalau aku ni mulut jahat, dah aku malukan dia
kat sini dan katakan si minah gedik ni suka kat abang. Padan dengan muka dia. Tapi, aku tak
macam tu. Aku ni baik hati tau.
“Berborak? Tina? Awak tau tak saya tengah cari awak ni.”
Aku lihat wajah abang bertambah serius. Dia pula bercekak pinggang dan berdiri di
hujung lorong.
“Doktor cari saya?” Tergagap-gagap si minah gedik itu bertanya.
Aku rasa macam nak tergelak bila tengok muka gelabahnya. Padan muka kena marah.
“Yalah. Saya nak tanya pasal patient katil nombor 13 tu. Awak bagi dia ubat apa? ” soal
dia serius. Walaupun perlahan, nada suaranya kedengaran tegas. Langsung dia tidak menoleh ke
mukaku.
Concentrate betul dia dengan minah gedik ni.
Si minah gedik tergaru-garu. Mukanya seperti orang hendak menangis. Tak berani
memandang muka doktornya itu. Dia mengeluh kesah. Tergaru sana, tergaru sini. Serba salah
aku tengok. Aku di tengah-tengah seperti orang yang tak wujud. Macam halimunan jadinya.
“Saya… saya tak ingat, doktor,” jawab Tina menggaru-garu lagi kepalanya. Terkeluar
rambutnya dari skaf yang dipakai.
Aku lihat abang mengeluh. Dia berjalan setapak ke arah Tina, menggeleng-gelengkan
kepala.
“Tengok tu! Tak ingat? Apa yang awak ingat? Saya suruh bagi ubat lain, awak bagi ubat
lain. Saya dah bagikan transkripsi ubat untuk patient tu. Patient tu tadi collapsed, awak sedap-
sedap berborak kat sini ya? Sikap awak ni boleh bahayakan nyawa pesakit awak tau tak?
Sekarang ni dia nak masuk ICU. Awak tau tak, saya yang kena menjawab dengan pihak atasan,
bukannya awak, Tina.”
Suara abang meninggi. Wah, marah benar dia. Tak pernah aku tengok mukanya setegas
ini. Aku sendiri pun kecut perut. Aku lihat Tina menundukkan wajah. Bengang sebab kena
marah depan aku. Tadi bukan main berani mati main tarik-tarik dengan aku sampai sipi-sipi lagi
hidung aku yang comel ni terpenyek di dinding.
“Maafkan saya, doktor. Saya tak…”
“Enough. Sekarang awak pergi buat repot.” Kata-kata Tina segera dipintas. Tangan
kanannya dinaikkan ke paras bahunya. Suaranya kembali seperti biasa. Tidak setegang dan
segarang tadi sampai aku pun ikut menunduk.
Dengan langkah laju, Tina pergi meninggalkan kami. Sempat lagi matanya dijeling ke
arah aku. Sempat lagi minah ni! Dah kena marah pun nak tunjuk lagak lagi. Melihat mood abang
yang tak stabil, aku pun berkira-kira hendak beredar. Karang tak pasal-pasal aku yang kena
marah pula.
“Sayang.”
Langkah kaki aku terhenti. Pantas aku menoleh kepada dia yang aku belakangi. Aku
menghadap mukanya yang sudah berubah tenang.
“Sorry sebab abang marah tadi,” ucapnya perlahan kepadaku. Aku kerutkan dahi. Dia
marah aku ke tadi?
“Kan abang marah Tina. Bukan Faiz, kan? Buat apalah nak minta maaf kat Faiz,” balasku
sambil mengukir senyuman. Dia juga tersenyum akhirnya.
“Abang tengok Faiz tunduk aje. Ingat terasa sekali tadi,” ujarnya sambil mencuit pipiku.
“Faiz takut tengok muka garang abang tu. Macam singa tau tak. Nak bergerak pun takut
tau,” kata aku sambil menjegilkan mata. Dia ketawa kecil. Menarik nafas lalu menghembusnya
perlahan.
“Sorry, okay. Abang memang tengah bengang dengan Tina. Ada ke dia bagi ubat… entah
ubat apa yang dia bagi agaknya. Dah collapsed. Pulak tu ada sakit jantung. Penat abang buat
CPR tadi,” katanya. Dia bersandar pada dinding konkrit itu. Melepas penat.
“Dah makan ke belum?” Dia menggeleng.
“Faiz teman abang makan boleh?” pintanya perlahan.
“Alamak, tak bolehlah. Nampak ni? Dah pukul 2.30 dah. Merungut pulak si Ellin tu. Tak
larat nak dengar dia bebel. Bernanah telinga ni.” Dia ketawa kecil mendengar kata-kataku.
“Okey, pergilah. Malam nanti abang call ya. I love you. Don’t forget it.” Dia mengenyit
mata.
Aku hanya meleretkan senyuman. Tersentuh dengan kata-katanya. Perkataan I love you
tak lekang dari bibir merahnya itu diucapkan lagi. Aku kemudiannya mengangguk dan sempat
menghadiahkan fliying kiss kepadanya. Dia pula menyambutnya dan diletakkan di dada. Macam
flying kiss aku tu benda yang nyata. Aku ketawa melihat gelagatnya.
SELEPAS solat maghrib, aku membantingkan badan aku ke katil. Terasa penat pula. Entah apa
penatnya pun aku tak tahulah. Nak kata ramai patien ambil ubat hari ini, tak juga. Tak adalah
ramai macam selalu. Hari ni kan, hari… eh, hari apa ya hari ni? Hai, apalah nak jadi dengan aku
ni? Boleh pula aku lupa hari ini hari apa. Tulah, banyak sangat berfikir dan berangan. Angan-
angan Mat Jenin. Sampai rambut pun dah banyak yang gugur.
Aku menyisir rambut dengan jari-jemari. Huh… memang banyak rambut yang gugur.
Lepas ini kena buat rawatan rambutlah nampaknya. Kalau tak, rambut aku akan botak sebelum
tua. Isy… tak maulah.
Aku memandang kipas siling yang berputar ligat di siling. Mata aku ikut sama berputar
mengikut geraknya. Sampai pening dibuatnya. Teringat pula aku kepada si Tina gedik geduak.
Jururawat yang mengganggu-gugat aku tadi. Aku meletuskan tawa sendiri. Menggeleng-geleng
kepala.
Tak dapat aku bayangkan mukanya sewaktu dimarahi abang petang tadi. Merah padam
dan terkulat-kulat. Padan muka dia. Tak pasal-pasal nak serang aku pula. Kan dah kena marah.
Depan aku pula tu. Tulah, kerja tu sambil lewa saja. Hati tu asyik teringatkan abang aku saja
agaknya sampai tersalah bagi ubat kat pesakit. Hmm, Tina…Tina…
Agaknya dia ada menaruh hati kepada abang aku tu. Almaklumlah, dah doktor tu
handsome, siapa yang tak terpikat. Tapi, jangan nak mengada-ada. Doktor dia tu hak milik kekal
aku. Kalau berani nak kacau, hah… cubalah kalau nak kena silambam dengan aku.
Telefon aku tiba-tiba berdering. Kalau aku tengah berangan dan mengelamun macam ni,
mesti ada orang call. Isy! Pantas saja tangan aku menyambarnya di meja kecil di sudut. Aku
tersenyum melihat nombor yang tertera pada skrin telefon.
“Assalamualaikum,” sapa aku riang. Dia menyambut salam suci aku itu.
“Riang aje dengar suara tu?” Dia bertanya.
Aku tersenyum sendiri apabila dia bertanya begitu. Mestilah riang sebab abang yang call.
Mahu saja aku katakan begitu.
“Isy… tak adalah. Biasa aje. Dah balik ke?” soal aku pula, mengerling jam pada dinding.
Sudah pukul 8.00 malam.
“Cuba keluar ke beranda.”
Aku kerutkan dahi. Nak buat apa pergi ke beranda? Aku tanya lain dia cakap lain pula.
“Kenapa?”
“Keluar aje.”
Aku garu kepala. Hisy, macam-macamlah dia ni. Tanpa banyak soal lagi, aku terus
mengayun langkah menuju ke beranda. Sebelum itu, aku buka dulu pintu keluar ke beranda. Aku
tertoleh-toleh ke bawah. Tak ada apa pun. Main-main saja.
“Sinilah, sayang.”
Aku menoleh ke sebelah. Terpandang susuk tubuhnya yang sedang berdiri di beranda
rumahnya. Dia tersenyum kepadaku. Aku pula membalas senyumannya. Telefon aku matikan.
Buat apa nak bercakap dalam telefon kalau dah ada kat depan mata? Buat habis kredit saja. Aku
berdiri menghadapnya.
“Ingatkan apalah tadi suruh kita pergi beranda. Buat suspens aje,” kataku dengan nada
seloroh. Aku menjelingnya. Dia terus mengukir senyuman.
“Lapar tak?” soalnya. Tangannya diletak di besi beranda.
“Kenapa tanya?” tanya aku pula. Mataku memandang wajahnya.
“Abang nak ajak keluar. Kita tak pernah keluar berdua.” Dia memusatkan pandangan
matanya kepadaku.
Aku membalas renungan matanya. Memang kami tak pernah keluar bersama kerana dia
terlalu sibuk dengan kerjayanya. Aku faham kerjanya yang tak tentu masa. Buat masa ini, aku
langsung tak terasa dengan keadaan ini. Mungkin aku kena biasakan dari sekarang.
“Boleh juga. Nak pergi mana?” Terus sahaja aku bersetuju tanpa banyak soal. Mungkin
inilah masanya aku bertanya tentang keluarganya. Tengoklah macam mana nanti.
“Adalah. Sekarang, Faiz pergi cepat bersiap. Abang tunggu kat bawah ya,” katanya.
Aku menganggukkan kepala, masuk semula ke dalam dan bersiap.
DIA membawa aku ke Restoran Indah Sayang di Taman Melaka Raya. Sebuah restoran makanan
masyarakat Baba dan Nyonya. Tak pernah selama aku duduk di Melaka ini aku merasa makanan
masyarakat Baba dan Nyonya.
Mula-mula rasa takut juga. Bukan takut apa, takut aku tak dapat nak menelan makanan
itu. Rupanya jangkaan aku meleset. Makanan di sini boleh tahan sedapnya. Masakan di sini
menggunakan gabungan masakan Cina tetapi menggunakan rempah-ratus masyarakat India dan
herba-herba yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu. Masakan biasa yang terdapat di
restoran-restoran Melayu juga ada disediakan di sini.
“Hai, sedap sangat ke?”
Dia bertanya ketika aku sedang rancak masukkan makanan ke dalam mulut. Aku hanya
mengangguk kerana mulut aku penuh. Tak sopan pula bila bercakap kalau makanan ada di dalam
mulut. Aku menaikkan ibu jariku kepadanya.
“Kan abang dah cakap, makanan kat sini sedap. Masakan Baba Nyonya dia yang power.”
Dia menambah. Mulutnya sudah mengunyah kuih koci yang memang terhidang di atas meja.
“Tak tau pulak Faiz makanan Baba dan Nyonya ni sedap. Kalau taulah, memang dah
pergi dulu. Kat mana abang tau tempat ni?” Aku bertanya sambil memandangnya. Dalam masa
yang sama juga aku menghirup minuman. Dia mengangkat kening.
“Siapa lagi, si Azrilah yang bawak abang ke mari dulu,” balasnya sambil tersengih.
“Oh, Dr. Azri ya. Tau pulak Mat Penang tu cari tempat macam ni,” ujar aku, tersengih
juga.
“Mat Penang?” Dia mengerutkan mukanya. Aku meletuskan sedikit tawa.
“Ha‟ah. Faiz dengan Ellin gelar dia Mat Penang sebab dia tu, walaupun dah bertahun
duduk kat Melaka ni, loghat Penang dia tu tetap ada. Dia pun tak kisah kita orang panggil dia
Mat Penang,” balas aku panjang lebar, tersenyum sedikit. Dia juga meleretkan senyuman.
“Lagi kan, bang, dia tu suka sangat ushar si Lin. Kalau datang tempat kita orang, mesti
dia usik Lin. Agaknya, dia suka Lin kut,” tambah aku lagi dengan mata aku bulatkan kepadanya.
Macam beria-ialah tu.
Akhir sekali aku ketawa. Lucu mengingatkan Ellin yang asyik kena sakat dengan Dr.
Azri. Dan setiap kali Dr. Azri datang, Ellin cuba mengelak dan menyorok. Muka aku juga yang
terpaksa menipu untuk dia.
“Faiz…” panggilnya.
Aku mendongak, memandang ke matanya. Kening aku angkatkan sedikit.
“Abang minta maaf,” ujarnya.
“Minta maaf? Kenapa?” soal aku dan mengangkat sedikit bahu. Nak buat apa minta maaf
kat aku? Mata aku masih tidak berkelip memandangnya.
Dia menghembuskan nafas halus dan menundukkan wajah. Kemudian, mengangkat
semula mukanya, memandangku. “Abang tak habiskan banyak masa dengan Faiz. Abang terlau
sibukkan kerja. Maafkan abang,” katanya perlahan.
Aku tersenyum kecil kepadanya dan menggelengkan kepala. Itu ke masalahnya? “Oh…
ingatkan apa tadi. Tak ada apalah. Faiz okey. Tau kerja abang macam mana. Memang sibuk.
Kadang-kadang Faiz pun kesian tengok abang. Tapi, nak buat macam mana kan… dah itu skop
kerja abang. Jangan risaulah. Faiz faham.”
Jujur, memang itu yang aku rasakan. Memang dah kerjanya begitu. Aku kadang-kadang
memang kesian dengannya yang kerja tak tentu masa. Balik pun kadang-kadang sampai ke
malam. Isy… kesian tau. Rasa macam nak tolong, tapi apa yang patut aku tolong? Aku bukan
doktor pun.
Dia menguntum senyuman. Anak matanya terus dipanahkan kepadaku.
Hai, ini yang aku tak boleh tahan ni. Aku paling tak boleh tahan kalau tengok tenungan
matanya yang macam itu. Nak makan kuih koci yang aku dah buka daunnya pun rasa tak selesa.
Mulalah rasa lemas macam lemas di laut. Mulalah jantung nak berdegup laju bagaikan motobot.
“Terima kasih sebab faham abang.” Akhirnya dia bersuara setelah lama menatap mataku.
Aku menarik nafas lega. Mengurut dada kerana terlepas daripada sinaran matanya.
“Kenapa urut dada? Sakit dada ke?” soalnya tiba-tiba.
Aku menjegilkan mata. Dia nampak aku gosok dada ke?
“Err… tak ada apa-apa. Rasa sesak pulak tadi. Tak ada apa-apa.” Aku menggeleng-
gelengkan kepala beberapa kali kemudian melarikan mata, memandang sekumpulan masyarakat
Cina yang datang berkunjung ke restoran ini.
“Abang, kalau Faiz nak tanya sikit boleh tak?” Tiba-tiba aku teringat untuk bertanya
tentang keluarganya. Aku harap dia bersikap jujur dengan aku.
“Apa dia? Nak tanya banyak pun tak apa,” balasnya lantas tersenyum.
“Err… keluarga abang berasal dari mana? Tak, maksud Faiz, kita kan dah… dah…
macam ni kan… Jadi, teringin jugalah nak tau tentang keluarga abang. Keluarga Faiz abang dah
kenal, kan?”
Apa yang aku cakap ni? Bertabur semua ayat aku. Kalau ambil periksa lagi, confirm tak
lulus. Sebenarnya aku gugup. Takut nak tanya soalan itu. Dia memandang ke arah lain sebelum
kembali memandangku.
“Abang dari Kuala Lumpur. Abang rasa, tak payahlah Faiz jumpa famili abang. Dia
orang tak ada kat sini. Cuma Ija saja saudara abang di sini,” balasnya. Matanya sekali lagi
dihalakan ke tempat lain. Cuba mengelak daripada mataku.
Kuala Lumpur pulak? Dulu Ellin kata dia dari Perak. Apa ni… bengong aku jadinya. Isy,
mana satu yang betul?
“Kenapa pulak? Kalau kita nak kahwin, kita kenalah minta restu daripada ayah dan ibu
abang. Barulah berkat.” Aku menambah. Cuba memancing reaksinya lagi.
Apa yang aku nampak, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi dan minat untuk berbual
mengenai keluarganya. Buktinya, pertanyaan aku tidak dijawab juga. Malahan, raut mukanya
juga sudah berubah. Moodnya sudah tidak seceria mula-mula datang tadi. Ini semua gara-gara
soalan cepumas aku tadi.
“Faiz dah sudah makan? Kalau dah, jom kita balik? Dah lewat ni.” Dia bertanya, tidak
juga menjawab pertanyaanku.
Aku hampa. Perlahan-lahan aku menganggukkan kepala. Selepas itu, dia bangun dan
membayar makanan yang kami pesan tadi di kaunter. Aku hanya melihat saja kelibatnya. Aku
mengeluh halus. Usahaku untuk memancingnya tidak berjaya. Failed!
SEPANJANG perjalanan, kami hanya membisu. Sesekali aku memandang wajahnya yang
memandu dengan raut serius. Dia marahkan aku ke? Aku hanya nak bertanya saja, takkan itu pun
nak marah?
“Kenapa abang diam aje? Marah kat Faiz ke?” Aku memberanikan diri untuk bertanya.
Dia menoleh sekilas ke mukaku.
“Tak adalah. Nak buat apa abang nak marah kat buah hati sendiri,” balasnya. Sempat lagi
mencuit pipiku.
Aku diam. Menggigit bibir. Patut tak aku bagi tau pasal aku curi-curi dengar perbualan
dia dengan bonda dia? Patut tak aku bagi tau pasal yang aku dah tau tentang asal usulnya? Hati
aku berbelah bahagi. Moodnya sekarang pun tak berapa nak elok. Kalau aku cakap, dia marah
tak ya?
Aku mencuri pandang lagi wajahnya, melihat air mukanya. Nampak sudah tenang. Mood
dia dah okey agaknya, fikirku.
“Abang,” panggilku.
Dia menoleh. “Hmm?”
“Faiz ada benda nak cakap dengan abang,” kata aku lambat-lambat. Serba salah.
“Apa dia?” Dia menoleh, kemudian matanya kembali fokus ke jalan raya. Sesekali
dikerling aku.
Aku mengetap bibir. Berkira-kira untuk berterus terang ataupun tidak. Aku takut mood
dia berubah lagi. Isy, macam mana ni?
“Sebenarnya, hari tu Faiz ada curi dengar perbualan abang dengan ibu abang,”
kata aku akhirnya.
“Bila?”
“Kelmarin. Faiz dengar abang macam bergaduh dengan, err… ibu abang tu. Faiz dapat
tahu abang sebenarnya… err… abang keturunan keluarga diraja.”
Tiba-tiba dia memberhentikan keretanya secara mendadak di tepi jalan. Badan aku
terdorong ke depan akibat brek mengejut. Kus semangat! Nasib baik kepala aku tak terkena
cermin kereta di depan. Jantung aku macam nak terkeluar saja. Isy, dia ni!
“Apa?” soalnya dengan kerutan pada dahi. Raut wajahnya seperti orang terkejut.
Matanya yang tajam terus disasarkan ke mukaku.
Aku jadi serba salah dan serba tak kena. Jantung mula berdebar kencang melihat
sepasang anak matanya tidak berkelip memandangku. Aduh… nafas aku jadi sesak tiba-tiba.
14
DIA mendiamkan dirinya seketika. Aku juga diam, mengerlingnya sekilas. Sesekali aku dengar
dia mengeluh beberapa kali. Wajahnya diraup dengan telapak tangan. Aku hanya membatukan
diri. Tak berani nak bersuara buat masa ini melihatkan keadaan moodnya yang seperti kacau-
bilau.
“Ini bukan seperti yang Faiz fikirkan,” katanya lembut setelah lama berdiam dan
mengeluh saja. Pandangannya dilepaskan ke jalan raya, kemudian berpaling ke mukaku. Aku
juga memandangnya.
“Apa maksud abang bukan seperti yang Faiz fikirkan? Fikir apa?” Aku bertanya terus.
Tak sabar untuk mendengar jawapannya.
Aku lihat dia menggigit bibirnya. Pandangannya sekali lagi dihalakan ke jalan raya.
Melihat kereta-kereta yang bersimpang-siur menyelusuri jalan raya dan membelah kepekatan
malam.
“Sebenarnya, abang…” Dia tidak meneruskan kata-katanya. Terhenti di situ. Sekali lagi
dia menghembuskan keluhan halus.
Aku juga mengeluh. Peluh aku sudah mula keluar dari liang-liang roma walaupun
penghawa dingin yang terpasang di dalam kereta begitu sejuk. Aku berdebar menunggu kata-
kata seterusnya daripada dia.
“Okey, macam ni… Memang betul apa yang Faiz dengar tu. Memang abang daripada
keluarga diraja. I admit it. Tapi…” Jari telunjuknya dinaikkan ke atas. Bulat mataku
memandang, menunggu butir-butir lanjut.
“Tapi itu langsung tak mengubah kasih abang pada Faiz. Abang tetap sayangkan Faiz.
Tak berubah walaupun sedikit,” sambungnya tenang. Matanya yang bersinar itu terus-terusan
ditujukan ke mataku. Aku sedikit tersentuh dengan kata-katanya.
“Kenapa abang tak berterus terang saja dengan Faiz?” Aku lontarkan pertanyaan
kepadanya.
Muka tidak aku palingkan kepadanya sebaliknya aku lontarkan pandangan ke luar
tingkap. Melihat sekumpulan Mat Rempit sedang berlumba haram di tengah jalan. Ada yang
macam Superman, yang terbalik. Hai… macam-macam lagi. Kalau accident, terus mati kat
tengah jalan tu. Mati katak.
“Perkara tu tak penting, Faiz.”
Pantas aku berpaling ke mukanya yang sedang menunduk memandang stereng kereta.
Aku merengus. “Memang tak ada kepentingan pada abang, tapi penting bagi Faiz. Faiz tak sama
taraf dengan abang. Bonda abang tak suka Faiz. Faiz tak sama darjat dengan abang. Faiz bukan
kerabat diraja. Faiz bukan anak siapa-siapa. Faiz orang kampung saja.”
Dia sedikit tersentak dengan kata-kata aku yang sedikit beremosi. Kedua-dua keningnya
bagai hendak bercantum. Memang aku beremosi ketika meluahkan kata-kata itu. Dah lama aku
pendamkannya.
Dia menghembuskan keluhan halus dan memicit-micit kepalanya. Dahinya berkerut
sedikit. “Ya Allah, sampai macam tu sekali Faiz fikir? Sebab tu abang kata, ia tak seperti yang
Faiz fikir.”
“Tak sama apa? Memang betul kan bonda abang tu tak suka Faiz? Faiz dengar dari mulut
abang sendiri masa abang bercakap dalam telefon dengan bonda abang. Terang-terangan dia tak
sukakan Faiz! Dia mahu abang kahwin dengan Tengku… Tengku apa entah, Faiz tak ingat nama
dia apa. Kemudian dia panggil Faiz perempuan kampung! Yang jelas dan nyata, dia mahu abang
berkahwin dengan perempuan yang sama golongan dan sama level dengan abang. Abang tau
tak?!” Aku membentak keras, memandangnya dengan ekor mata yang tajam.
Suara aku juga kedengaran sedikit tinggi daripada biasa. Nafas aku sudah mula menjadi
kencang. Hidung juga sudah kembang kempis memandangnya. Terkeluar semua yang terbuku
dalam hati aku. Puas hati aku. Aku mendengus. Aku mengetap bibir geram.
“Faiz… Faiz…” keluhnya menyebut namaku. Tergeleng-geleng kepalanya beberapa kali.
Wajahnya berubah riak, tenang.
Aku mendengus geram apabila melihat dia membisu, tidak membalas kata-kataku.
Memang betullah tu! Aku merengus kasar dan menjelingnya lagi. Dia diam tanpa kata. “Betul,
kan? Betul kan apa yang Faiz cakap? Kenapa abang diam? Faiz memang tak layak kan untuk
berdamping dengan abang? Anak orang kampung macam Faiz ni memang tak sesuai
bergandingan dengan abang, kan? Faiz...”
“No!” pintasnya dengan suara yang agak kuat. Bergema satu kereta dengan suaranya
yang lantang.
Terangkat bahu aku mendengar jeritan kuatnya yang menyapa gegendang telingaku.
Terus terbantut semangat aku nak luahkan isi hati dengan perasaan yang berkobar-kobar tadi.
Dia mengeluh halus, memicit dahinya berulang kali sebelum memusingkan badannya,
menghadapku. Kedua-dua tangannya menggamit tubuh aku, menghadapnya juga. Dagu aku
diangkat dan dia menyuruh aku memandang mukanya. Tapi aku memandang ke tempat lain.
Hatiku bungkam dan bengkek.
“That’s not true. Abang tak pernah anggap Faiz macam tu. Bagi abang, Faiz adalah
segala-galanya untuk abang. Abang sayang dan cintakan Faiz sepenuh hati abang.” Suaranya
mengendur.
Aku diam saja mendengar tutur bicaranya yang kedengaran sayu. Nada suaranya juga
berubah lembut. Air mata aku sudah berani-berani turun ke pipi. Mata aku juga tak berganjak
daripada memandang ke tepi, langsung tak memandang mukanya.
“Keluarga abang tak sukakan, Faiz,” luah aku kepadanya dengan nada yang mengendur.
Aku menahan tangisan. Kepala aku tundukkan.
Sekali lagi dagu aku diangkat. Aku beranikan mata menentang sepasang anak matanya.
“Bukan. Bukan macam tu. Mereka tak faham sebenarnya. Faiz janganlah salah sangka.
Bonda tak macam tu. Dia akan faham kalau abang terangkan segalanya. Dia akan faham betapa
abang sayang dan cintakan Faiz. Tiada siapa yang layak berdampingan dengan Tengku Sharizal
bin Tengku Shahrudin selain dari Nur Faiza Iman binti Kamaludin.”
Aku tergamam mendengar kata-katanya. Mataku terus ke matanya yang terus-terusan
menujah anak mataku.
Dia menarik nafas sebelum menyambung, “Listen… Walau apa pun terjadi, kita akan
lalui semua ini bersama. You’re not alone. I will be by your side. Kita akan sama-sama
hadapinya. Kita akan tempuhinya bersama. Trust me. Tiada siapa yang boleh menghalang cinta
abang pada Faiz. Bonda sekalipun. Hanya ajal saja yang boleh memisahkan kita.”
Jari-jemarinya menyentuh lembut pipiku, mengusir air mata yang kian tega menuruni
pipi. Walaupun jari-jemarinya kasar menyentuh, terasa sedikit perit, tapi aku relakan. Hati aku
sedikit terpujuk. Dia berjaya memujuk hatiku yang lara kerana terlalu emosional memikirkan
penerimaan keluarganya. Aku tak tahu kenapa aku sangat emosi bila membincangkan hal
keluarganya. Mungkin dia bukan orang sembarangan… kut?
Ketakutan dan keresahan aku berkenaan keluarganya beransur-ansur reda apabila
mendengar penjelasannya. Namun, ketakutan itu masih aku rasai lagi. Entahlah. Jauh di sudut
hati, aku masih diburu resah. Takut kalau keluarganya... argh, kisah aku dan dia dah macam
cerita dongeng pula aku rasa. Dah macam cerita Cinderella.
Cuma, aku tak ada ibu tiri dan kakak-kakak tiri dan keluarga putera raja tu tak pula
membantah pilihan anaknya. Eh, sama ke? Isy...
Malam yang semakin larut kami isikan dengan meluahkan isi hati masing-masing.
Senang kata, soal hati dan perasaan masing-masing. Kebanyakannya lebih menjurus kepada hari
bahagia kami. Hari bahagia? Semestinya menjurus pada soal perkahwinan. Bibirnya tidak habis-
habis menyebut tentang hal itu.
“Abang hantar rombongan meminang hujung minggu ni ya?”
Aku membulatkan biji mata kepadanya. Pantas, telapak tanganku singgah di lengannya.
“Jangan nak buat pasal. Faiz belum bagi tahu mak lagi. Isy, abang ni… tak sabar-sabar,”
balasku lantas menjelingnya. Bibir mengukir senyuman mekar.
Dia tersenyum nakal ke arah aku. Pipi aku mula panas.
“Habis tu, bagilah tau mak sekarang. Cakap abang nak meminang hujung minggu ni,”
usiknya lagi. Sekali lagi tanganku singgah di lengannya. Kali ini, aku cubit manja lengannya.
Kami kemudiannya ketawa bersama-sama. Hai... bahagianya aku rasa dunia ini.
“FAIZ!”
Aku tersentak. Pantas aku membuka mata. Aku lihat Ellin berkerut muka memandangku.
Aku meraup muka dengan telapak tanganku. Aku lihat sekeliling. Aku berada di bilik stor
belakang. Rupa-rupanya aku tertidur di sini. Dan semasa aku tidur di sini, otak aku memutarkan
semula apa yang terjadi malam tadi. Sampai terbawa-bawa pula.
Bila masa aku pejamkan mata pun aku tak perasan. Setahu aku, tadi aku menelan Panadol
Actifast kerana aku tiba-tiba diserang sakit kepala.
“Kau tidur kat sini? Kau mengigau ke? Tersengih-sengih pulak tu.” Ellin sudah
melabuhkan punggung di sebelahku. Dia mencebikkan bibir.
Aku tersengih sedikit kepadanya lalu memejam mata semula. Terasa pening lagi kepala
aku ini. Soalannya tidak aku jawab.
“Kau mengigau kahwin lagi dengan Dr. Sharizal, eh? Baik kau cakap.” Ellin menyindir.
Dia sudah melayangkan jari telunjuk ke mukaku. Matanya dipicingkan sedikit.
Kisah „dulu‟ yang memalukan muka aku sampai sekarang dibangkitkan semula. Kurang
asam! Sempat lagi nak menyindir aku. Aku menepis jari runcingnya di hadapan mukaku.
“Mana ada. Pandai-pandai aje kau ni. Aku tertidur tadi lepas makan Panadol. Kepala aku
tiba-tiba pening pulak.” Jari-jemariku memicit dahi yang sengal. Sakit kepala merebak-rebak ke
dahi, memeningkan bola mata.
Ellin mencebik. Paha aku ditepuk. Berbirat aku rasa tepukan berapi si Ellin ni.
“Yalah tu. Tapi, aku tengok kau pun macam tak bermaya aje. Pucat semacam. Kau sakit
ke? Meh sini aku rasa dahi kau.” Dia meletak belakang tangannya ke dahi aku. Aku biarkan saja.
Sesaat dua, dia menarik tangannya. Macam tindakan refleks.
“Huih… panasnya. Kau demam ni. Baik kau ambik MC hari ni. Berehat kat rumah.”
Wajah Ellin sudah memancarkan kerisauan. Menunjukkan sikap prihatinnya.
Memang aku rasa macam nak demam dengan kepala yang dah berpusing-pusing. Aku
rasa semua barang-barang di dalam bilik stor macam nak tumbang. Ada penghawa dingin pun
tak terasa sejuknya. Badan aku juga tergigil-gigil. Betul ke aku demam? Takkan pasal semalam
pun boleh terdemam-demam? Demam terkejut ke?
“Tak apalah. Aku okey lagi ni,” ujar aku perlahan. Tangan tergawang-gawang ke udara
tanda tidak mahu. Mata aku pejamkan semula.
Ellin mengeluh. “Jangan degillah. Nanti melarat karang siapa nak tanggung? Dah, dah…
Jom aku bawak kau pergi jumpa doktor. Ambil MC hari ni,” katanya tegas, sudah menarik
tangan aku untuk bangun.
Aku memberatkan badan. Sengaja bercampur malas.
“Isy... beratlah kau ni, Faiz. Badan aje nampak kecil, tapi berat. Berat dosa ke apa?” Dia
mengeluh. Tubuhnya terhumban semula ke sofa.
“Hei, cakap tu biar berlapik sikit, eh?” Dalam pada aku sakit kepala, telinga boleh lagi
dengar apa yang dia katakan. Sesedap rasa aje mengata aku ya. Aku dengar dia ketawa kecil
selepas itu.
“Okeylah, sorry. Dah, cepat bangun,” arahnya lagi.
Aku akhirnya bangun dengan malas, mengikut Ellin yang mahu membawa aku berjumpa
doktor. Badan aku sudah semakin tidak larat hendak berdiri. Apalah aku ni, takkan pasal
semalam pun nak terdemam-demam. Lemah betullah aku ni.
AKU balik ke rumah setelah dapat MC dua hari. Hari ini dan esok. Kereta kesayangan aku
terpaksa ditinggalkan di hospital kerana tak larat nak memandu. Ellin juga tak bagi aku bawa
kereta, takut nanti aku pula yang menjadi orang yang check-in wad hospital. Hospital tu dah tak
mampu nak tampung orang ramai dah. Dah penuh sesak katanya.
Isy, takkanlah kalau aku seorang yang masuk wad hospital terus jadi sesak kut? Hai,
macam-macam kawan aku tu. Ada saja peluang nak mengenakan aku. Dia jugalah yang
menawarkan dirinya untuk menghantar aku pulang.
Setelah melucutkan tudung kepala dan menukar baju, aku terus merebahkan diri di katil.
Alat kawalan pendingin hawa yang berada di meja kecil di tepi sudut katil aku capai. Menekan
punat on. Serta-merta udara sejuk mula melingkar ke segenap ruang bilik. Terasa nyaman sikit.
Ubat yang diberi aku pandang sepi. Nantilah aku makan. Aku nak tidur dulu. Kepala dah
semakin memberat. Sesaat, dua saat, mata aku tertutup rapat.
AKU melihat sekeliling. Aku kini berada di sebuah pantai. Ya, pantai. Tempat yang selalu arwah
ayah bawa aku semasa aku kecil. Tapi, macam mana aku boleh berada di sini? Aku menggaru
kepala. Pelik juga.
Aku meliarkan mata ke segenap ruang pantai. Tiada seorang manusia pun yang aku
nampak. Yang kedengaran hanyalah deruan ombak yang kuat memukul pantai. Rambut aku juga
terbuai-buai oleh tiupan angin pantai. Aku tertoleh ke sebelah kiri. Mataku tertancap pada
sesusuk tubuh yang berdiri tidak jauh. Seorang lelaki tua sedang berdiri di bawah pohon kelapa.
Aku amat-amati wajah yang sedang tersenyum manis kepada aku. Mataku tiba-tiba
membulat. Ayah!
Aku terus berlari mendapatkannya. Aku berhenti setapak di hadapannya, merenung
matanya yang redup. Wajahnya kelihatan bersinar-sinar dan bercahaya. Bau badannya juga
harum semerbak, umpama bau-bauan dari syurga (macamlah aku pernah pergi syurga).
“Ayah,” ucap aku lagi kepada ayah.
Ayah menguntum senyuman kepada aku dan kedua-dua tangannya mengusap lembut
kepalaku.
“Ayah!” Aku terus memeluk tubuhnya. Ayah membalas pelukanku. Di bahunya aku
lepaskan segala kerinduan. Aku menangis teresak-esak.
Sudah lama aku tak merasai pelukan ayah. Sudah lama aku tidak mendapatkannya. Bauan
harum tubuhnya terus meresap masuk ke rongga hidungku.
“Kakak rindukan ayah,” kata aku lagi.
Ayah menggosok perlahan belakangku. Rambut aku juga diusapnya lembut. Agak lama
berkeadaan begitu, ayah merungkaikan pelukan, mengesat pipiku yang basah dek kerana
tumpahan air mata yang melata di sekitarnya.
“Anak ayah dah nak kahwin. Ayah gembira.” Kedengaran perlahan nada suara ayah
menuturkan kata-kata. Aku tersenyum malu. Menundukkan sedikit wajah. Kedua-dua tanganku
memegang tangannya yang masih mengusap pipiku.
“Kakak…” Ayah bersuara lagi.
Aku mendongak. Merenung lagi matanya yang redup. Terasa sejuk dan mendamaikan
melihat pandangan mata ayah yang redup. Menenangkan jiwa.
“Tiba masanya kakak kena mencari seseorang yang boleh mewalikan kakak.”
“Apa maksud ayah?” soal aku tersentak. Berkerut dahi aku. Aku kena cari seseorang
yang boleh mewalikan?Apa maksud kata-kata ayah? Dia bukan wali aku ke? Kalau bukan dia,
siapa? Dia ayahku.
Ayah menundukkan wajahnya sedikit kemudian memandang mukaku semula. Bibirnya
masih lagi menguntum senyuman mekar. Dia menarik kepalaku, menyentuh bibirnya, mencium
ubun-ubun kepalaku.
“Kalau kakak ingatkan ayah selalu, sentiasalah berdoa untuk ayah,” tutur ayah perlahan
tanpa menjawab soalanku.
Mata aku bulat memandang ayah yang masih meleretkan senyuman pada pinggir bibir.
Perlahan-lahan aku lihat tubuh ayah menghilang, perlahan-lahan. Sekelip mata terus hilang
daripada pandanganku.
“AYAH!” jerit aku nyaring memanggil ayah. Aku tersentak dan bingkas bangun dari
perbaringan. Tercungap-cungap sedikit nafasku.
Aku pandang kiri dan kanan. Aku masih berada di bilik. Aku memejam mata, selanjutnya
beristighfar beberapa kali bila menyedari aku bermimpi tadi. Aku bermimpi bertemu dengan
arwah ayah. Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Cuba meredakan
saluran pernafasan.
Astaghfirullah. Aku beristighfar lagi. Aku menadah kedua-dua belah tangan dan berdoa.
Ya Allah ya Tuhan-ku, Kau tempatkanlah ayahku di kalangan orang-orang yang Kau kasihi. Aku
berdoa untuk ayah seraya meraup muka.
Fikiran aku kembali mengingatkan kata-kata arwah ayah dalam mimipiku tadi. Apa
maksud kata-katanya itu? Cari wali? Siapa wali aku kalau bukan dia, pak ngah dan adik
lelakiku? Sekarang ayah sudah tiada. Hanya Farizal dan pak ngahlah yang perlu untuk jadi wali
kalau aku bernikah kelak.
Aku pantas meraup muka lagi. Ini semua mainan tidur. Hanya sekadar mimpi. Tapi, bau
haruman pada tubuh arwah ayah masih dapat aku rasakan di celah rongga hidung. Terasa
menusuk-nusuk baunya ke lubang hidung.
Isy… mainan tidur! Cepat-cepat aku mengusir andaian yang bermain di fikiran. Ini
semua mainan tidur! tegas aku lagi dalam hati.
Aku mengerling ke jam dinding. Sudah pukul 6.00 petang. Aku sudah terlepas solat
zuhur. Ni kes terlajak tidurlah ni, keluhku. Pandangan aku tertumpu pula kepada telefon
bimbitku yang berkelip-kelip. Aku senyapkan telefon bimbit tadi kerana tidak mahu diganggu.
Pantas saja tangan aku mencapainya. Tertera nama orang yang aku sayangi.
“Helo,” sapa aku dengan suara sedikit serak. Rambut aku sebakkan ke belakang.
“Helo. Faiz tidur ke? Puas abang call, tapi tak berangkat. Macam mana sekarang? Badan
tu dah okey?” soalnya dengan nada risau.
Risau juga dia, getus aku dalam hati. Aku meraup muka sekali lagi. Merebahkan badan
lagi ke katil.
“Faiz tertidur tadi. Sorry ya. Tak sempat nak bagi tau abang. Macam mana abang tau Faiz
tak sihat?” Aku bertanya, menutup mulut yang menguap dengan belakang tangan. Kepala aku
garu-garu dengan tangan. Rasa gatal pula kulit kepala ni. Banyak kelemumur agaknya.
“Azri yang bagi tahu. Lin jugak bagi tahu. Macam mana sekarang Faiz rasa? Dah sihat
dah? Ubat dah makan?”
Aku mengerling plastik yang berisi pelbagai jenis ubat yang aku bawa dari hospital. Aku
tak sentuh langsung ubat itu sejak aku balik rumah tadi. Balik tadi terus terbungkang di atas katil.
“Dah. Faiz dah makan ubat. Ada rasa kurang sikitlah,” balas aku berbohong. Bohong
sunat. Kalau aku bercakap benar, nanti dia marahkan aku, akan mengeluarkan „tazkirah‟nya. Tak
larat aku hendak mendengarnya, walaupun membawa kebaikan kepada aku.
“Baguslah macam tu. Abang risau sangat tadi. Dah makan?” Dia bertanya.
Aku terharu dengan keprihatinannya. Rasa macam nak menyanyi lagu Terharu, nyanyian
Jamal Abdillah dan Mawi. Dia memang sangat prihatin terhadap aku.
“Belum,” balas aku, serentak menggelengkan kepala. Macamlah dia nampak aku tengah
gelengkan kepala. Isy…
“Okey, kejap lagi abang balik. Abang belikan makanan untuk Faiz ya. Jangan ke mana-
mana tau.” Aku mengiakan. Aku dah sakit membayak ni, nak pergi mana pulak? Takkan nak
pergi supermarket kut? Mestilah aku ada kat rumah! Apalah cik abang aku ni.
Talian diputuskan. Aku melontar telefon bimbit di sisi. Otak aku kembali berfikir tentang
mimpi di siang hari aku tadi. Aku masih tercari-cari apa maksud kata-kata ayah. Wali? Cari
Wali? Argh… pening kepala nak berfikir. Alah, itu kan mainan tidur. Nonsense! Siang pulak tu.
Aku kerling jam dinding lagi. Pukul 6.15 petang. Sempat lagi kalau nak solat asar. Tanpa
melengahkan masa, aku bingkas bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Walaupun
badan aku tak larat, aku gagahkan juga. Ini wajib kita tunaikan. Tak ada kompromi.
DIA menghantarkan aku sebungkus nasi ayam melalui beranda atas rumahnya. Memandangkan
jarak antara beranda rumah aku dengan beranda rumahnya tidak jauh, dia hulurkan saja dengan
tangan dan aku terpaksa menjongket sedikit untuk menyambutnya. Tangan pendeklah!
“Terima kasih. Buat susah-susah abang aje,” ucap aku ketika bungkusan nasi ayam itu
bertukar ke tangan. Aroma nasi ayam itu menusuk-nusuk ke lubang hidungku.
Aku ukirkan sedikit senyuman kepadanya. Mulut aku, tak dapat nak ukirkan senyuman
yang lebih kerana aku rasa macam mulut aku berat sangat. Nak bercakap pun malas sebenarnya.
Dia membalas senyuman aku dan menggelengkan kepalanya.
“Tak ada apa yang susah untuk, Faiz.”
Pandangan matanya yang lembut menyapa mataku. Ada senyuman kecil terukir cantik di
bibirnya. Terserlah lagi lesung pipitnya yang mahal dan menjadi igauan itu pada kedua-dua belah
pipinya. Aku jadi tertawan pula. Bibir aku juga menguntumkan senyuman balas untuknya.
“Macam mana boleh demam ni?” soalnya dengan muka yang berkerut. Aku memandang
mukanya yang berkerut seribu satu dinar itu.
“Entah. Kalau nak kena demam tu, demam juga. Abang ingat Faiz panggil ke demam
datang kat Faiz? Macam ni… Hoi, demam! Hinggaplah kat badan aku ni! Boleh macam tu?”
balas aku dengan suara yang lemah gemalai dengan membuat sedikit lawak sarkas. Dia ketawa
mendengarnya.
“Faiz… Faiz… Sakit-sakit pun nak buat lawak. Dapat cuti berapa hari?” soalnya dengan
senyuman masih terukir pada bibir. Mungkin masih lagi lucu bila mendengar lawak sarkas aku
tadi.
“Dr. Azri bagi dua hari. Ellin yang suruh,” balas aku sambil tersengih. Teringat kepada
Ellin yang memaksa Dr. Azri memberi aku cuti dua hari.
Kata Ellin, aku demam teruk dan perlukan rehat secukupnya di rumah. Isy, macamlah dia
yang doktor. Tak dapat aku bayangkan wajah Dr. Azri yang berkerut mendengar hujahan demi
hujahan daripada Ellin. Sudahnya, aku dapat juga cuti dua hari.
“Oh, ya ke? Baguslah macam tu. Abang tengok pun pucat saja. Berehatlah kat rumah.
Lepas makan ni, makan ubat tau. Lepas tu berehat dan tidur,” sambungnya, lebih kepada
mengarah aku.
Yalah tu. Dia kan doktor. Suka-suki nak mengarah orang sakit macam aku ni. Aku
menganggukkan kepala. “Yes, doctor,” ucap aku mengukir senyuman pada pinggir bibir
untuknya. Sempat lagi buat tabik hormat kepadanya.
Senyuman terukir lagi pada bibir merahnya apabila melihat gelagat aku. “Okey. Sekarang
pergi makan. Dah malam ni. Kalau ada apa-apa call abang, tak pun jerit aje nama abang kat
sebelah ni.”
“Yes, doctor.” Sekali lagi aku mengangguk dan membuat tabik hormat. Sengaja
mengusiknya.
Mulutnya tersengih, kepalanya menggeleng. Entah ke berapa ratus kali agaknya.
Nasiblah. Berkawan dengan aku memang kena banyak buat aksi gelengan. Bagus untuk senaman
leher.
Dia meminta diri, masuk ke dalam rumahnya kerana mahu mandi. Bau badannya yang
selalu wangi pun dah hangit pengit. Kembang kempis juga hidung aku menahannya tadi. Aku
mengangguk saja.
Kemudian, aku membawa bungkusan nasi ayam dan aku capai plastik ubat, turun ke
tingkat bawah. Kalau ikutkan, aku malas nak turun bawah. Aku tak larat dah nak turun naik
tangga. Sendi-sendi semua macam nak lumpuh. Oleh kerana di bilik aku tidak menyimpan stok
air masak dan perut aku sudah mengeriut minta diisi, terpaksa jugalah aku gagahkan diri untuk
turun. Kalau ada maid kan senang?
15
SETELAH dua hari duduk berkurung di dalam rumah kerana dilanda demam, akhirnya aku
kembali bekerja. Walaupun esoknya aku sudah cuti semula (hari minggu), semangat nak kerja
tetap ada. Malaysia Boleh! Aku boleh! Nak jadi pekerja yang rajin dan berdisiplin kononnya.
Ops… hari ini aku pergi kerja tumpang kereta abang. Sebabnya? Aku tiada kereta.
Kenapa? Sebabnya kereta aku sudah dua hari ditinggalkan di hospital. Kesian kereta aku.
Berpanas dan berembun. Bersendirian tanpa aku di sisi. Cewah! Tapi, tak apa. Esok, aku
mandikan lah dia. Bukan kotor sangat pun. Cuma berdebu sedikit.
Aku menguis daun-daun kering yang jatuh berguguran di atas bumbung keretaku. Aku
mengusap-usap kereta kesayanganku sambil bercakap-cakap dengannya macam orang gila.
“Sudah-sudahlah tu tilik kereta. Dah pukul berapa ni?” tegurnya sambil mengunjukkan
jam tangan Rolexnya kepadaku.
Aku mengangkat kening. Rupanya dia menunggu aku tadi. Isy, buat apalah nak tunggu
aku? Nak masuk, pergilah masuk dulu. Nak tunggu aku pulak cik abang aku ni.
“Kenapa tak masuk dulu?” kata aku ketika kami berjalan seiringan masuk ke pintu utama
hospital. Aku mengangkat tangan kepada beberapa orang kakitangan yang menegur kami.
Sempat lagi Nazifa, pekerja bahagian X-ray, mengenyit mata kepada aku dan
melayangkan jari telunjuknya. Aku hanya tersenyum saja. Selanjutnya, aku mengerling wajah
dia yang tersenyum sinis.
“Abang takut ada orang tu kena masuk Tanjung Rambutan sebab bercakap dengan kereta.
Karang bila ada orang nampak, dikatanya Faiz gila. Nanti abang juga yang susah, terpaksa
keluarkan Faiz dari Tanjung Rambutan tu. Bukan senang tau.” Selamba saja jawapan yang
terpacul dari mulutnya.
Aku membeliakkan mata kepada dia yang ketawa kecil. Ringan saja tangan aku melepuk
lengannya. Ambik!
“Jahat. Padan muka!” tukas aku sambil menunjukkan ibu jari kepadanya. Dia tersengih
suka. Aku juga tersenyum sambil menjelingnya lagi. Sakit hati!
“Dr. Sharizal?”
Langkah kami terhenti. Tina a.k.a gegedik sudah berdiri di depan kami. Dia ni lagi!
Menyibuk aje! Haih, meluatnya aku tengok muka dia. Sakit hati. Peristiwa beberapa hari lepas
kembali terlayar di ingatan bila ternampak dia. Tiba-tiba hati aku jadi sakit. Aku memandang
mukanya, tapi dia tidak memandang aku, sebaliknya menghalakan pandangan kepada abang
sayang aku.
Pagi-pagi dah nak kacau. Isy! Ganggu emosi aku saja! Huh…
“Ya, Tina. Ada apa?” soal dia kepada Tina.
Tina terus mengambil tempat di sebelah dia sambil menghulurkan sekeping fail. Dia
tidak menghiraukan aku yang tegak berdiri di sebelah doktor dia ini. Menyampahnya aku tengok
dia duduk dekat-dekat dengan abang. Aku rasa macam nak tarik saja tubuh Tina menjauhinya.
Aku tak suka dia terlalu dekat dengan abang. Aku cemburu!
Memang aku cemburu sekarang! Aktiviti gedik-menggedik sudah bermula bila dia
mendekatkan lagi jaraknya dengan tubuh abang. Eii… geramnya! Apa yang lebih
menggeramkan aku ialah si Tina boleh tersenyum jahat kepada aku sambil menjeling tajam, ala-
ala perempuan sihir, ke muka aku!
Dasar nenek kebayan! Eii… ni yang aku tak boleh tahan ni. Mendidih aje darah aku.
Jantung aku dah berdegup laju menahan api kemarahan yang bakal menyala kalau tidak dikawal.
Sabar, Faiza. Sabar. Aku menyabarkan diri sendiri. Cuba untuk mengawal diri supaya tidak
bertindak keterlaluan.
Yang cik abang aku ni, buat dek aje dengan aku yang masih berdiri kat sebelah dia tu.
Dia layankan saja si Tina. Kecik hati aku tau.
“Abang, Faiz pergi dulu ya. Dah lambat,” kata aku akhirnya. Tidak tahan melihat
kelakuan Tina yang menjelikkan.
Aku mengepal penumbuk di belakang badan. Kalau aku tak sabar, memang dah kena
debik si Tina ni. Dia belum tahu silat cekak aku kalau dah keluar, ada yang masuk ICU. Tina
tersenyum mengejek kepada aku. Menyirapnya darah aku. Aduh… sabarkanlah hati hamba-Mu
ini, ya Allah…
“Okey. Nanti rehat kita jumpa ya.”
Aku mengangguk saja dan terus berlalu meninggalkan mereka berdua dengan perasaan
yang mendongkol. Baik-baik aku dah sihat sekarang, terus jatuh sakit semula bila lihat kelakuan
memualkan daripada Tina. Hew… geram!
Aku berjalan sepantas yang mungkin, menuju ke tempat kerjaku sehingga terlanggar
tubuh Dr. Azri. Tubuhnya terdorong ke belakang sedikit akibat pelanggaran tak disengajakan
tadi. Semua barang yang dipegang terus bertabur jatuh ke lantai. Tak sangka, dia melatah
rupanya. Nampak maco tapi melatah. Rasa nak tergelak pula aku, tapi tak kena dengan masanya
untuk aku aku tergelak.
“Sorry, doc. Saya tak sengaja,” kata aku sambil membantu mengambil barangnya yang
bertabur di lantai dan dihulurkan kepadanya semula. Aku lihat raut wajahnya berkerut.
“Kenapa ni, Faiza? Nampak kelam-kabut saja?” Dia bertanya setelah barangnya yang aku
kutip tadi berada di tangannya. Aku tersenyum nipis. Nak busybody pulak Mat Penang ni, bisik
aku dalam hati.
“Errr… tak ada apa-apa,”jawab aku pendek, memaniskan sedikit roman wajah aku secara
paksa.
“Awak dah okey ke ni?” Dia bertanya lagi sambil memicing mata ke mukaku. Nampak
macam dia tengah X-ray muka aku.
“Tadi dah okey, sekarang ni rasa nak demam lagi,” kata aku terus berlalu
meninggalkannya terpinga-pinga di situ.
Dia menjerit-jerit memanggil namaku. Ah, aku dah tak peduli. Mood aku dah lari
sekarang ini. Daripada bersemangat nak datang kerja terus down separuh. Ini semua gara-gara si
Tina gedik! Aku menyampah tengok muka dia! Menyampah! Aku menjerit geram dalam hati.
“APA hal kau ni monyok macam tempe basi?” Ellin menegur dari luar.
Aku tengok dia dengan mukanya yang serabut sambil memegang topi keledar kokak dan
togel berwarna biru cair yang telah pudar warnanya. Dengan rambut yang menggerbang tak
disanggul seperti selalu. Muka pun berpeluh-peluh. Kelihatannya dia seperti baru berlari pula
bila termengah-mengah mengambil nafas.
Aku kerutkan dahi. Budak ni naik motor ke? Mana kereta Honda Jazz kebanggaan dia tu?
“Yang kau menjinjing topi keledar kokak ni kenapa? Kau naik motor ke? Kereta kau
mana?” Aku tidak menjawab pertanyaannya, sebaliknya aku pula yang menyoal semula
berikutan penampilan peliknya hari ini. Memang pelik. Pelik tapi benar.
“Aduh… penat gila aku, Faiz. Adoyai…” Ellin mengeluh tatkala kakinya melangkah
masuk ke dalam, menuju ke stor belakang untuk meletakkan topi keledarnya.
Aku hanya memerhatinya. Dia kembali semula ke depan, menghenyakkan punggung di
atas kerusi, mencapai sekeping kertas A4 di atas meja dan melipatnya dua. Kertas itu dikibaskan
ke mukanya. Menghilangkan rasa tidak selesa dengan haba panas yang masih melingkari
segenap tubuhnya. Bajunya juga sedikit basah kerana berpeluh.
“Kenapa lambat, Lin? Kau bawak motor ke? Kereta kau mana?” soal aku lagi dengan
perasaan pelik yang memintal-mintal otak. Dia masih tidak menjawab, hanya bernafas
tercungap-cungap. Kertas yang menjadi kipas mukanya sudah renyuk seribu aku tengok.
Selepas itu, dia mencapai lagi beberapa keping kertas A4 dan seperti tadi melipatnya dua
dan dikibaskan ke dirinya pula. Aku hanya memerhati dan diam menanti jawapannya. Kisah aku
tengah marahkan si Tina berkubur begitu saja.
“Adoyai, Faiz. Kau tau, kereta aku tu boleh buat hal kat tengah jalan. Aku tak taulah
macam mana enjin boleh mati. Start banyak kali pun tak mahu hidup. Entah mana silapnya pun
aku tak tau. Aduh…” ujar Ellin sudahnya.
Tangannya masih lagi mengipas diri yang berpeluh. Baju kurung yang dipakai turut
dikibas, menghalau haba panas dari tubuhnya yang langsing. Penghawa dingin yang terpasang
dan ssedia sejuk itu pun tidak mampu untuk menyejukkannya.
“Macam mana boleh mati pulak? Kau tak check ke enjin kereta kau tu?” Aku bertanya
lagi. Pelik juga. Ellin orang yang sangat teliti kalau soal kereta Honda Jazznya itu. Macam mana
enjin boleh mati dan tak hidup?
“Aku pun tak taulah, Faiz. Nasib baik workshop dekat aje. Dia orang pun datang bantu
tadi. Hmm, nasib baik dia bagi aku pinjam motor kapcai dia tu. Kalau tak, lagi lambat aku.”
“Kau bawak motor kapcai, Lin?” Aku hampir hendak tergelak bila Ellin kata dia naik
motor kapcai. Ya ke? Tak dapat aku bayangkan dia bawa motor macam tu dengan pakai baju
kurung, heels sampai tiga inci. Mesti poyo muka dia yang cantik tu. Hei, kelakar pulak.
Ellin mengangguk perlahan. Terus meletus tawa aku selepas itu. Macam nak terguling
saja di lantai bila aku bayangkan rupanya membawa motor kapcai dan diserikan lagi dengan topi
keledar togel dan kokak macam tu. Hahaha...
“Habis tu, dah terlambat. Tak kisahlah kapcai pun kapcailah. Tak ada aku kisah. Asalkan
aku sampai tempat kerja. Kau ni! Gelak pulak! Hah… gelak?!” Dia memukul aku dengan kertas
yang dijadikan kipas mukanya ke lengan aku. Marah kerana aku gelakkan dia gila-gila.
Dia merengus-rengus dan merungut-rungut. Menjeling tidak puas hati ke arah aku. Aku
gelengkan kepala beberapa kali. Hahaha.
“Hah, yang kau tadi, apa hal muncung sedepa aje aku tengok? Dah macam apa entah
panjangnya muncung kau tadi.” Dia menarik muncung bibir aku sampai tubuh aku ikut sekali ke
depan.
Kurang asam betul budak ni. Aku menepis jarinya yang sesedap rasa menarik muncung
aku. Dia ketawakan aku pula. “Aku geram dengan si Tinalah,” kataku sedikit kasar.
Dah mulalah darah aku nak menggelegak semula. Ellin ni spoil betullah. Baik-baik aku
dah lupa, dia boleh tanya pulak. Ni yang angin puting beliung aku nak sampai ni.
“Apa hal dengan minah gedik tu? Dia warning kau lagi ke?” Ellin bertanya dengan
kerutan pada dahi.
Sebelum ini memang aku ada ceritakan kepada Ellin mengenai Tina yang „menyerang‟
aku beberapa hari lepas.
“Dia tak warning, tapi dia menggedik dengan cik abang aku tu. Eii… geramnya aku.”
Aku meluahkan kepada Ellin.
Tiba-tiba aku jadi geram semula. Aku dapat rasa hidung aku kembang kempis semula.
Kertas yang ada di tangan aku renyuk-renyukkan dan aku campakkan ke tepi. Aku bayangkan
kertas yang direnyukkan itu muka Tina.
“Kau jangan layan sangat si Tina tu. Dia sebenarnya dah gila meroyan tau tak. Perasan
lebih. Tak ada faedahnya kau geramkan dia tu. Dia memang macam tu. Ha, sekarang ni, lebih
baik kau buat kerja kau. Kau tak nampak orang dah ramai tunggu nak ambik ubat tu.” Ellin
menunjukkan jari telunjuknya yang runcing ke luar.
Ha‟ahlah. Dah ramai yang tunggu. Ada yang dah berkerut-kerut mukanya. Ada yang
marah-marah.
Isy, aku ni. Apalah nak fikir pasal Tina pulak. Nanti disebabkan Tina, rosak terus reputasi
kerja aku. Kata nak jadi pekerja yang berhemah. Baik aku buat kerja aku seperti yang Ellin
cakap. Ada juga faedahnya. Nak sakit hati dengan Tina pun buang karan aje. Nanti, rosak terus
mood aku di pagi yang indah ini.
SEPERTI yang dijanjikan, kami keluar rehat bersama. Kami memilih untuk makan di luar.
Bukan di kantin hospital. Dia nakkan privasi kononnya. Ada juga aku mengajak Ellin, tapi dia
menolak kerana tiada mood untuk makan. Sebab? Dia risaukan keretanya yang rosak sampai nak
makan pun tak berselera. Kesian dia.
Sudahnya, dia terus ke surau. Hajatnya mahu melelapkan mata sebentar sebelum
menunaikan solat. Hai, kereta rosak masih boleh tidur? Makan tak mahu pula. Isy… apalah Lin
ni.
Aku memesan makanan kegemaran aku iaitu nasi ayam dan air sirap limau sementara dia
memesan nasi goreng ayam dan air suam. Bila aku tanya kenapa dia memesan air suam dan
bukannya air lain, jawapannya dia memang suka minum air suam dan tak suka minum air manis.
Nak jaga kesihatan katanya.
Aku mencebik bibir. Habis tu, kat kantin hospital tu selalu minum air kopi tu, apa? Air
kopi lagi banyak kafein, manis pula tu. Dia hanya mengulumkan senyuman.
“Dah bagi tahu mak ke belum pasal kita?” soalnya ketika kami selesai menjamu selera.
Aku mengangkat kening. Hati aku tiba-tiba diburu resah apabila persoalan itu timbul dari
celahan bibir merahnya.
“Belum,” balas aku pendek dan menggelengkan kepala. Air sirap limau yang masih
bersisa aku sedut sampai habis. Sengaja aku tidak pandang ke mukanya. Apa reaksinya bila aku
berkata begitu?
“Bila nak bagi tahu?” Dia meneruskan pertanyaan.
Aku mengulum bibir dan mendongak muka, memandangnya. Teragak-agak. “Err…
nantilah. Faiz belum fikirkan lagi.”
Jawapan aku itu mengundang rasa tidak selesa kepadanya. Dia mengeluh dan
menyandarkan diri ke kerusi. Kedua-dua tangannya disilangkan dan diletakkan di belakang
kepala. Aku menelan liur bila melihat wajahnya berubah serius. Aik? Kenapa ni?
“Kadang-kadang abang rasa Faiz macam tak beria-ia bila abang bangkitkan perkara ni.
Faiz macam tak serius dan tak kisah saja abang tengok. Main-main. Macam abang saja yang
terhegeh-hegeh. Faiz langsung tak ada respons. Abang bosan tau tak!” Tiba-tiba dia marah.
Macam nak bercantum kening aku bila dengar bait-bait katanya. Sedapnya kata aku tak
seruis dan main-main. Dia ingat aku boleh lelapkan mata ke bila fikirkan soal ni? Dah mulalah
aku tak senang duduk. Punggung pun rasa panas. Geramnya aku! Hei, kau tau tak kau tu bukan
anak orang biasa? Kau tau tak sebab kau tu anak raja, keluarga diraja buatkan otak aku serabut
bila fikirkan pasal ni? Kau tau tak aku takut bila fikirkan penerimaan keluarga kau pada aku?
Kau tak tak? Ingin saja aku luahkan perkataan itu kepadanya.
“Sampai hati abang cakap Faiz macam tu. Abang tau tak Faiz tak tidur malam bila
fikirkan perkara ni? Sebab selalu fikirlah tu sampai Faiz jatuh sakit sampai dua hari? Abang tau
tak?” balas aku tenang dengan suara yang mendatar, disertai dengan keluhan halus.
Aku memicit kepala yang tiba-tiba berdenyut. Perkara biasa yang terjadi setiap kali aku
runsing. Aku kecil hati dengannya sebab menuduh aku tak serius dan main-main. Dahlah aku
kecil hati dengan dia pagi tadi. Isy, geramnya! Aku tumbuk muka dia yang handsome tu karang
baru tahu!
Aku pandang mukanya yang berubah menjadi serba salah. Tau pun kau nak serba salah!
kutuk aku lagi dalam hati.
“Okey, maafkan abang. Abang tak bermaksud nak kata begitu. I’m sorry okay…
Abang…”
“Kalau abang dah bosan dengan Faiz, dah menyampah nak layan kerenah Faiz, baik kita
putus saja.” Entah mengapa, perkataan itu yang terbit dari celahan bibir aku. Sebenarnya aku
kecewa dengannya kerana menganggap aku tidak serius dan main-main. Aku juga kecewa bila
setiap kali perkara ini dibincangkan, pasti kami akan bertikam lidah.
“No!” jeritnya kuat dan bangun tiba-tiba.
Bergema satu restoran itu mendengar suara jeritannya yang tiba-tiba. Aku sendiri
tersentak. Melongo aku memandangnya yang tiba-tiba berdiri. Orang ramai yang sedang
menjamu selera tiba-tiba terhenti daripada pergerakan masing-masing. Mata mereka tertumpu ke
meja kami. Aku jadi malu pula bila kami jadi tumpuan. Dia merenung tajam ke mukaku.
“Ada apa-apa ke encik?” Seorang budak pelayan restoran menghampiri meja kami.
“Nothing. Tak ada apa-apa,” balasnya perlahan.
Budak pelayan itu beredar selepas itu. Aku dengar dia mendengus kasar. Mukanya diraup
dengan kedua-dua tapak tangannya. Dia duduk semula di kerusi. Aku telan liur. Kecut juga perut
aku dengar dia menjerit macam Tarzan Malaya tadi.
“Sayang, please… jangan cakap macam tu. Abang tak suka Faiz cakap macam tu. Do you
know how much I love you?” Suaranya sudah mula mengendur.
Aku hanya diam. Menundukkan wajah memandang meja. Dah mulalah air mata aku nak
turun. Semenjak dua menjak ini, mudah saja air mata aku turun. Dulu tak macam ni. Sekarang
saja dia buat perangai. Isy… ni semua pasal manusia kat depan aku nilah!
“Abang tak bermaksud nak marah Faiz macam tu. Abang cuma risau kalau Faiz akan
tinggalkan abang. Itu saja. Sebab tu, abang nak segerakan perkahwinan kita sebab abang tak
mahu kehilangan Faiz. I love you so much. Abang paling takut kalau Faiz tinggalkan abang.”
Aku terkedu mendengar luahan isi hatinya. Tak sangka kata-kata itu yang keluar dari
mulutnya. Kepala yang tertunduk memandang meja segera aku angkat. Pandangan mata aku dan
dia bertaut. Dapat aku rasakan sinaran matanya yang penuh dengan cinta yang menyala-nyala.
Seketika, aku seakan terpukau dengan sinaran cinta daripada matanya.
Kami terkaku begitu. Kerana tidak tahan menahan getaran hebat yang menampar dada,
aku akhirnya memutuskan pandangan dan memandang ke arah lain.
“Abang tak sanggup nak berpisah dengan Faiz. Sudahlah abang penat-penat nak
mengayat Faiz, nak pikat Faiz, tiba-tiba nak putus? Faiz nak putus dengan abang macam tu aje?
Sebab benda ni?” Dia menduga.
Aku terdiam mendengar ayat itu. Kepala aku tundukkan kembali, memandang meja yang
beralas merah hati. Kedengaran agak lucu juga bila dia mengatakan dia penat-penat mengayat
aku. Ya ke macam tu? Aku rasa macam mahu ketawa. Tapi, aku tak boleh ketawa. Aku mesti
serius.
Sebenarnya, aku pun tak sanggup juga berpisah dengannya. Perasaan sayang kepada dia
semakin hari semakin menebal. Takkan semudah itu aku nak minta putus? Mulut ni pun, celopar
sangat! Kalau dia betul-betul nak putus, macam mana? Haru-biru, gelap-gelita hidup aku. Aku
tak sanggup hadapi episod duka lagi. Cukup-cukuplah aku menderita sebelum ini.
“Pandang muka abang, Faiz. Jangan asyik tunduk saja. Please…” pintanya perlahan. Dia
mengintai muka aku yang menunduk.
Macam hendak ketawa saja aku bila dia mengintai sehingga kepalanya mencecah meja.
Perasaan nak ketawa terpaksa aku tahan-tahan dahulu. Akhirnya aku angkat juga muka bila
tengok dia beria-ia mengintai muka aku yang semakin lama semakin menunduk. Macam resmi
padi. Makin berisi makin menunduk! Aku pandang ke mukanya. Bersahaja.
Dia merenung ke mataku. Sekali lagi aku seakan terpukau oleh panahan asmara melalui
matanya yang berwarna coklat itu.
“Faiz tak mungkin tinggalkan abang. Apa yang Faiz takutkan, abang yang tinggalkan
Faiz,” luah aku pula setelah lama bertatapan mata dengannya. Malu dan tidak selesa ditenung
sebegitu.
“Dah berapa kali abang cakap, abang takkan tinggalkan Faiz.” Dia menggelengkan
kepalanya beberapa kali dan cuba mencapai tangan aku, tapi pantas aku menariknya. Tak manis
kalau dipandang orang.
Dia mengerti tindakan aku. Dia menarik semula tangannya dan disatukan kedua-duanya.
Seketika, kami diam tanpa bicara.
“Abang bukan orang biasa,” tutur aku perlahan, menggigit-gigit bibir. Mataku merenung
matanya.
“Habis tu, kalau bukan orang biasa, abang ni apa? Robot? Cicakman? Superman?
Keluang Man? Transformers?” soalnya membeliakkan bola mata coklatnya.
Entah kenapa kali ini, aku boleh tergelak mendengar jawapannya begitu. Nak buat lawak
pulak. Tak kena tempat tau tak! Transformers? Macam perli aku aje. Macam dia tak tahu
Transformers adalah filem kegemaran aku. Aku menjelingnya.
“Taklah. Maksud Faiz, abang ni bukan orang biasa macam Faiz. Faiz ni hanya orang
kampung saja. Sedangkan abang tu, anak raja,” balas aku pula. Merendah diri kononnya.
“Raja mana? Raja Chulan? Raja Kapor? Raja Gopal? Rajawali? Raja Bersiung?” Cepat
dia membalas sambil tersengih.
Nak pura-pura tak tahu pula. Aku mengetap bibir. Pantas saja tanganku menghadiahkan
satu tamparan, hinggap di lengannya.
“Mengada-ada. Lesing karang.” Aku menunjukkan siku kepadanya. Dia tersengih lagi.
Suasana sentimental sebentar tadi tiba-tiba berubah ceria pula dengan lawak sarkas dia.
Dia memang pandai nak ceriakan keadaan. Nak bergurau senda dengan aku.
“Anak raja ke, anak kampung ke, sama saja. Darah yang mengalir dalam darah anak raja
pun sama merah dengan darah anak orang biasa. Pernah ke Faiz dengar kalau orang tu keturunan
raja, darah dia warna lain? Ada ke? Kalau ada, siapa? Biar abang toreh kulit dia tengok darah dia
warna apa.” Bersahaja mukanya bila bercakap perkara itu.
Aku tergelak sekali lagi. Air mata yang bertakung di tubir mata sedari tadi aku seka
dengan jari telunjuk.
“Sudahlah. Jangan fikirkan lagi soal darjat ke, apa ke. Kita sama saja. Yang penting, kita
kena fikirkan pasal diri kita. Tentang keluarga abang tu, Faiz jangan risau. Abang akan
selesaikannya sendiri. Sekarang ni, Faiz kena beritahu mak di kampung pasal kita. Pasal kita nak
kahwin. Itu saja,” pintanya bersungguh-sungguh.
Akhirnya aku menganggukkan kepala tanda bersetuju. Ada sedikit keyakinan mula
terlakar dalam diri. Keyakinan diri aku terhadap dirinya. Dia menggariskan senyuman lagi pada
bibir. Aku juga menghadiahkan sebuah senyuman untuknya. Sebuah senyuman bahagia untuk
diri aku dan dirinya.
16
AKU pulang ke kampung hari ini untuk berbincang dengan emak mengenai aku dan menantu
pilihannya itu. Mengenai keputusan kami yang merancang untuk hidup bersama. Kepulangan
aku juga adalah memberi „kezutan‟ kepada emak mengenai status sebenar menantu pilihannya.
Aku akan ceritakan tentang susur galur… eh, bukan susur galur, tapi keturunan dan asal usul
menantu pilihannya itu.
Sebenarnya aku takut kalau emak tak terima sebab abang keturunan berdarjat begitu.
Daripada menjadi menantu pilihan, terus tidak jadi disebabkan perbezaan darjat kami. Malah,
aku juga takut emak terkejut dan tidak percaya mendengar berita itu. Emak aku tu sudahlah ada
penyakit lemah jantung, nanti tak pasal-pasal aku berkampung di hospital pulak. Isy, minta
simpang! Tapi, hati aku tetap berdebar-debar juga menanti reaksi emak.
Aku ingatkan emak akan terkejut, sebaliknya aku yang terperanjat beruk. Macam nak
bersilat aku bila mak katakan yang dia sudah lama mengetahui tentang siapa abang, dari mana
dan keturunan apa. Semua dia dah tahu. Apa lagi, melopong selopong-lopongnya mulut aku
dengan mata yang terbeliak tidak percaya.
“Macam mana mak tahu?” Aku bertanya, inginkan kepastian. Aku hairan juga, siapa
yang beritahu emak pasal abang. Takkan dia beritahu sendiri, sedangkan dia yang beria-ia suruh
aku beritahu emak cepat.
Emak tersenyum simpul. Bersimpul-simpul aku tengok senyuman emak tu.
“Siapa lagi, cik abang awaklah yang bagi tahu,” balas emak sambil menepuk bahu aku.
Dia terus berlalu ke sinki untuk membasuh cawan.
Terkejut lagi aku. Kali ini terus meniti sehingga ke tahap maksima bila emak mengatakan
dia sendiri yang beritahu. Ni yang aku baran ni. Mulalah hidung aku kembali nak kembang
kempis. Hsnftt…
“Bila dia bagi tahu mak?” Aku bertanya, tidak puas hati.
Memang aku tak puas hati dengannya. Semalam bukan main melenting lagi bila aku
cakap aku belum beritahu emak. Beria-ia serius muka bila memarahi aku. Tengok, rupa-rupanya
dia dah beritahu emak siapa sebenarnya dia. Isy, pandai betul berlakon dengan aku semalam.
Kalau dia ada dekat depan mana aku sekarang, mahu aku silambam muka dia tu.
“Mak tahu, mak, punyalah dia mati-mati marah kat akak bila akak cakap akak belum
beritahu mak pasal kami. Rupa-rupanya dia dah beritahu emak dalam diam. Bengangnya akak,
mak! Ya Allah ya Tuhanku!”
Emak ketawa mendengar luahan amarah aku. Makin lama makin meleret tawanya.
Sambil itu, kepalanya digelengkan juga.
Aku hanya memandang emak sekilas. Dalam hati bergunung-gunung perasaan tidak puas
hati kepada abang. Mereka berdua berkomplot rupanya kenakan aku. Isy! Tak puas hatinya aku!
Aku membentak keras dalam hati. Eii... memang betul Dr. Sharizal sorang ni. Aku debik jugak
dia karang!
Mak juga beritahu sebenarnya abang sudah melamar aku secara senyap. Kiranya dia dah
cakap dulu dengan mak yang dia berniat untuk ambil aku sebagai suri hidupnya dan pada masa
yang sama dia juga memperkenalkan dirinya yang sebenar agar tiada perkara berbangkit di
kemudian hari. Semua ini berlaku bila dia ikut aku balik Melaka sebulan yang lepas.
Cis! Memang geram betul aku dengar cerita emak. Bertambah dan berganda-ganda geram
aku kepada dia. Mesti sekarang dia tengah ketawakan aku. Ada yang kena makan kasut karang,
gumamku sendiri.
Emak katakan juga, pada mulanya dia ingat abang main-main bila abang cakap mengenai
siapa dirinya, tapi bila dia datang ke sini buat kali kedua dengan pangasuhnya sedari kecil iaitu
Pak Cik Ismail dan Mak Cik Zaiton, barulah emak percaya. Orang tua berdua itu telah ceritakan
hal sebenar. Abang sebenarnya memang berketurunan diraja dan serentak dengan itu mereka
merisik aku.
Emak beri cincin merisik yang diberi wakil abang itu. Cincin di dalam kotak warna
keemasan itu aku ambil dan sekali aku terkejut bila cincin itu ialah cincin berlian lagi, cuma ia
bertinta huruf F dan S. Pangkal huruf nama aku dan namanya. Aku pandang emak dengan
pandangan tidak percaya.
“Dia betul-betul mahukan akak jadi miliknya. Mak tengok dia bersungguh-sungguh. Dia
juga berjanji dengan mak untuk tidak mensia-siakan akak walaupun jauh di sudut hati, emak
tetap risaukan penerimaan keluarga dia. Tapi, dia beri jaminan pada emak yang perkara itu tidak
akan berlaku. Kak, kebahagiaan sekarang sedang menuju ke arah akak. Mak rasa, dialah
pasangan yang paling cocok untuk akak dan boleh buat akak bahagia. Naluri mak
merasakannya,” ujar emak dengan senyuman meleret meniti bibir.
Aku terkesima mendengar kata-kata emak. Aku dapat melihat sinar kegembiraan yang
terpancar melalui matanya bila dia mengucapkan kata-katanya tadi. Aku tertunduk memandang
meja dan membelek cincin berlian yang bertinta pangkal huruf nama aku dan nama abang yang
masih di dalam kotak berwarna keemasan itu.
Perasaan panas dan amarahku kepada abang yang menyala-nyala terus terpadam apabila
mendengar kata-kata emak. Manik-manik jernih dari mataku tiba-tiba gugur dan mengenai cincin
pemberiannya itu. Aku terharu bercampur gembira sebenarnya. Tidak menyangka rupanya dia
ingin memberiku kejutan bila beria-ia menyuruh aku balik kampung dan beritahu emak. Ini
rupanya rancangan dia.
Aku menangis. Aku sendiri tak pasti kenapa aku menangis.
“Mak hanya mahu anak mak gembira saja. Mak gembira bila lihat akak gembira,”
sambung emak lagi.
Kali ini, tidak tertahan lagi perasaanku. Aku memeluk emak erat-erat dan menangis di
bahunya. Emak turut sama menangis, terharu bersama. Terima kasih, mak! Terima kasih, ya
Allah!
AKU kembali ke Melaka dengan perasaan berbunga-bunga. Rasa macam mahu nyanyi lagu
Bunga-Bunga Cinta saja. Tak dapat digambarkan perasaan aku saat ini, betapa gembiranya
mendapat kejutan yang dia berikan. Ingatkan emak yang terkejut, rupanya aku. Nasib baik aku
tak ada penyakit jantung.
Walau apa pun, aku gembira mendengar berita ini. Hati aku bernyanyi riang. Rasa ingin
terbang mendapatkan cik abang aku dan mengucapkan ungkapan cinta yang membara
kepadanya. Aku dapat rasakan perasaan cintaku kepadanya semakin teguh dan membuak-buak
dalam hati. Tidak sabar untuk berjumpa dengannya. Terasa rindu menggigit-gigit tangkai hati.
Puas sudah aku mendail nombornya. Asyiknya talian sibuk. Mungkin betul dia tengah
sibuk sekarang. Aku pandang cincin berlian yang baru aku dapat dari kampung. Aku senyum
sendiri. Tanda bahagia.
Dalam pada aku berangan, tiba-tiba seseorang melintas di hadapan kereta aku. Aku
menjerit dan menekan brek mengejut. Aku terkejut. Aku langgar orang ke? Betul ke aku langgar
orang? Panik!
Aku tanggalkan tali pinggang keselamatan dan keluar dari perut kereta. Lutut aku sudah
menggigil. Ya Allah! Aku sudah melanggar orang! Aku telah melanggar seorang pak cik. Apa
aku nak buat ni? Aku mendapatkannya dan memangku kepalanya yang sedikit berdarah. Pipinya
aku tepuk perlahan. Niat hati ingin mengejutkannya kalau-kalau dia masih sedar. Tapi tiada
respons.
Aku panik. Orang ramai sudah datang berkerumun. Bertambah panik aku dibuatnya.
Peluh sudah menitik di dahi. Seketika, aku seakan terpaku dengan rupa pak cik itu. Tidak! Tak
mungkin! Aku mimpi ke ni? Oleh kerana terperanjat, kepalanya yang aku pangku terus terlepas
dari tangan.
Ya Allah! Aku menekup mulut dengan tangan.
“Dik, bawa dia ke hospital cepat! Dia masih bernafas lagi ni!” arah seseorang kepada
aku.
Bagaikan tersedar daripada mimpi, aku terus meminta bantuan orang ramai mengangkat
tubuh pak cik misteri itu lalu dimasukkan ke dalam kereta. Tanpa membuang masa dan berfikir
apa-apa lagi, aku terus memecut laju ke hospital. Dalam hati aku berdoa agar pak cik misteri ini
selamat dan tiada sebarang kecederaan serius dialami.
Walaupun aku keliru dengan apa yang aku nampak aku tetap berdoa agar nyawa pak cik
ini dapat diselamatkan. Aku benar-benar takut.
AKU menunggu di luar Bilik Kecemasan dengan perasaan yang takut dan berdebar-debar.
Jantungku sudah menendang kuat dada. Aku terketar-ketar. Perasaan seram sejuk melingkari
segenap tubuh. Belum pernah aku alami situasi sekarang— melanggar orang—semenjak aku
mendapat lesen ketika berusia 18 tahun. Ini adalah kali pertama aku melanggar orang.
Sebelum ini, aku ada melanggar lembu dan kucing ketika di kampung. Itu pun ketika
pertama kali membawa kereta arwah ayah setelah mendapat lesen memandu. Tapi kali ini aku
telah melanggar orang! Ya Allah! Aku menyalahkan diri aku kerana terlampau banyak berkhayal
dan berangan semasa memandu. Cuai!
Aku memeluk tubuh untuk menghilangkan rasa takut. Tapi wajah pak cik yang seakan...
Aku keliru! Mungkin aku terlalu teringatkan arwah ayah.
“Faiz?”
Aku mendongakkan muka apabila mendengar suara itu. Segera aku bangun apabila
ternampak abang yang berdiri di depanku.
“Abang, Faiz takut, bang! Faiz takut! Faiz dah… dah… Faiz dah… Bang, Faiz dah…”
Aku tidak dapat meneruskan kata-kataku. Dadaku semacam sesak, sukar untuk bernafas bila
teringatkan kejadian itu. Nafasku juga tercungap-cungap. Tangan aku menarik-narik baju jubah
putih yang dipakainya.
“Faiz, cuba bawak bertenang. Bertenang…” Dia menenangkanku, tapi aku tidak boleh
bertenang sekarang kerana aku sudah melanggar orang! Aku bukan langgar kucing ke, lembu ke!
Aku dah langgar orang! Mana boleh bertenang!
“Faiz… tadi… dah… langgar… Tadi… Pak cik tu… dah… pak cik…” Entah apa yang
aku cakap pun aku tidak tahu. Lidah aku seakan mengeras bila hendak berkata-kata kerana
terlalu takut, panik dan macam-macam lagi.
Dia menangkap kedua-dua tanganku yang terawang-awang di udara, memegang kedua-
dua bahu aku pula.
“Faiz… Faiz… bawa bertenang. Bertenang. Cuba tarik nafas,” arahnya. Matanya
merenung mataku.
Aku menurut saja katanya dengan menarik nafas dan menghembusnya seperti yang
dipinta, sehingga tiga kali.
“Hembus…”
Aku menghembusnya perlahan. Rasa lega sedikit saluran pernafasanku. Sudah mula
teratur seperti biasa dan kembali kepada sedia kala.
“Lega?”
Aku mengangguk kepala dan tersenyum sedikit kepadanya. Dia membalas senyumanku
lalu meleraikan pegangan tangannya pada kedua-dua belah bahuku.
“Okey, sekarang cuba cerita apa sebenarnya yang terjadi? Kenapa panik semacam saja?”
Soalan terus diajukan kepada aku. Kedua-dua tangannya menyeluk poket jubah putihnya.
Aku menggigit-gigit bibir. Sesekali pandangan mata aku halakan ke Bilik Kecemasan.
Melihat kalau-kalau lampu kecemasan sudah terpadam. Aku kembali merenungnya.
“Faiz dah langgar orang,” balas aku perlahan dan terduduk di kerusi. Aku bersandar pada
kepala kerusi. Jari-jemari memicit-micit kepala yang seakan berdenyut kembali.
Abang membeliakkan mata. Berkerut sedikit dahinya memandang aku. “What?” Dia
melabuhkan punggungnya di sebelahku. Ada kerutan halus pada dahinya.
“Faiz dah langgar orang,” ulang aku lagi, memandang mukanya yang berkerut. Aku
menghempaskan satu keluhan seraya menekup muka dengan kedua-dua belah tangan. Perasaan
takut kembali menerjah.
“Faiz tak perasan bila tiba-tiba dia melintas. Nasib baik masa tu Faiz tak bawak laju.
Kalau tak…” Aku menelan liur.
Aku tak dapat bayangkan kalau aku pandu laju tadi. Agaknya apa nasib pak cik itu.
Mungkin nyawanya sudah melayang. Aku pula? Akan didakwa kerana memandu dengan cuai.
Penjara? Mungkin aku dipenjarakan juga. Membayangkan itu semua, tiba-tiba aku kecut perut.
“Faiz tak sengaja kan…? Sudahlah, doakan saja pak cik tu selamat. Insya-Allah,”
tuturnya lembut. Seakan cuba memujuk dan mengusir kegusaran yang menguasai diriku kala ini.
Dia tersenyum nipis kepadaku.
Aku tersenyum hambar. “Tapi, bang, muka pak cik tu...”
Lampu Bilik Kecemasan terpadam. Kata-kataku mati di situ. Aku dan dia serentak
bangun selepas muncul wajah Dr. Zarif di sebalik pintu.
“How’s he?” Terus aku bertanya, pantas. Mata aku sedikit terjegil memandang muka Dr.
Zarif.
“Dia okey. Cuma cedera sedikit di kepala.”
Aku menarik nafas lega mendengar jawapan Dr. Zarif. Syukur alhamdulillah pak cik itu
tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“So?” Abang pula mencelah.
“Hmm… keadaan dia masih lemah lagi sebab dia ada penyakit jantung. Jadi, kita kena
tahan dia dulu untuk buat pemantauan,” terang Dr. Zarif lagi. Kelihatan abang terangguk-angguk
tanda faham.
“Did you know him, Faiza? Your uncle?” soalnya pula. Pantas aku menggeleng,
menidakkan andaiannya.
“Tak. Saya jumpa dia,” balas aku berbohong. Enggan menceritakan hal sebenar.
Dr. Zarif mengangguk. Tak lama selepas itu, dia beredar meminta diri. Tinggal aku dan
abang, berdua di luar Bilik Kecemasan itu. Aku mengurut tengkuk yang terasa sakit. Dalam hati,
aku teramatlah bersyukur sangat-sangat pak cik yang aku langgar itu tiada apa-apa. Sekurang-
kurangnya aku berasa lega dan lapang dada.
“Apa yang Faiz angankan sampai tak nampakkan pak cik tu? Berangankan abang ke?”
Aku menoleh ke arahnya ketika kami jalan beriringan. Dia mengukir senyuman nakal
kepadaku. Aku mencebik. Memang aku berangan pasal dia.
“Abang tipu Faiz ya?” ujar aku kepadanya tanpa menjawab soalannya terlebih dahulu.
Dia kerutkan dahi tanda tidak faham. Aku buat muka serius.
“Abang tipu? Tipu apa?” soalnya tidak mengerti.
Aku menjelingnya wajahnya yang kelihatan terpinga-pinga sekilas. Aku mengukir
senyuman mengejek. “Pura-pura tak faham pulak. Ni apa?”
Aku menunjuk cincin merisik pemberiannya kepada emak di kampung tanpa
pengetahuanku, sengaja mahu melihat reaksinya. Ternyata raut wajahnya berubah. Merona
merah. Perlahan-lahan dia tersengih sambil menggaru belakang kepala.
“Apa? Terkemut-kemut,” sergah aku pura-pura marah, menjelingnya tajam. Seterusnya
aku berlalu meninggalkannya.
Yang pasti, dia menjeritkan namaku dan mengejarku dari belakang. Aku membiarkan
saja dia mengejarku.
“ABANG bukan nak tipu, tapi abang…” Tekemut-kemut dia mencari alasan. Sesekali dia
menghalakan pandangan ke luar.
Ketika ini, kami sedang menjamu selera di KFC. Sudah lama aku tak makan KFC. Kali
ini aku memaksanya untuk belanja aku makan KFC dengan alasan dia sudah tipu aku lonjong-
lonjong. Bukan bulat-bulat macam yang selalu orang kata tu. Aku tersenyum bila melihat dia
berusaha untuk mencari alasan atas soalanku tadi. Biarkan dia.
“Okey, macam ni. Abang sebenarnya sengaja nak buat kejutan untuk Faiz. Abang tak
bermaksud pun nak tipu Faiz.”
Aku hanya memandangnya dengan pandangan bersahaja ketika dia cuba untuk menyusun
ayat lagi. Mengeluh kesah. Selebihnya aku mencebikkan bibir dan memandang ke arah lain
ketika matanya merenung ke mataku. Dia tidak tahu, aku rasa saat ini mahu saja aku
memeluknya kerana terlalu gembira dengan kejutan yang dia berikan. Bahkan perasaan ini telah
aku bawa bersama ketika bertolak dari kampung.
Namun, aku mengerti. Aku dengannya tidak ada ikatan yang sah lagi. Mana mungkin aku
boleh memeluk dia sesuka hati. Walaupun dia pernah memeluk aku dengan tidak sengaja ketika
arwah ayah meninggal, itu bukan tiket untuk aku memeluknya pula, kan?
“Sayang, janganlah macam ni. Abang minta maaf okey. Abang ingat Faiz sukakan
kejutan ini dan tak marah dekat abang.” Dia mengeluh hampa bila melihat tiada apa-apa reaksi
daripadaku. Mungkin dia masih anggap aku memarahinya.
Aku ketawa dalam hati. Aku buat muka bodoh saja. Kentang goreng terus aku sumbat ke
dalam mulut.
“Hari tu, bukan main suka-suki abang marahkan Faiz bila tak beritahu mak. Sesedap rasa
nak marah orang sampai orang kecik hati dengan dia. Tup-tup, dia dah berkomplot dengan mak
pulak nak kenakan orang,” bicara aku pula, buat-buat muka orang sedang kecewa dan marah.
Muka serius. Padahal, dalam hati rasa macam nak ketawa lihat reaksinya.
“Abang sebenarnya…”
“Enough. Faiz tak mahu dengar apa-apa alasan daripada abang. Sekarang ni Faiz nak
balik. Badan pun dah letih sebab memandu dari kampung. Faiz rasa nak tidur. Okey, Faiz nak
balik. Enjoy your meal.”
“Hah?!” Melopong dia mendengar ayatku. Kematian kata-kata.
Hati aku menggeletek kuat melihat kerutan seribu satu dinar pada mukanya. Aku sudah
mengangkat punggung setelah menghabiskan sisa air strawberi. Dia juga turut bangun.
“Faiz, please… Jangan buat abang macam ni. Please…” rayunya.
Aku buat tidak endah. Jual mahal kononnya. Aku sempat mengejeknya sebelum berlalu.
Dan seperti tadi, dia mengejarku dari belakang. Aku mencepatkan langkah. Setelah melihat dia
semakin jauh ketinggalan, aku berhenti dan menyorok di satu sudut dan ketawa geli hati melihat
gelagatnya yang mencari kelibatku.
17
SUDAH tiga hari aku tidak mempedulikan abang. Sebaliknya dia berusaha untuk memujuk dan
memenangi hati aku semula. Aku biarkan saja. Sengaja mahu menduganya. Kalau betul dia
sayang dan cintakan aku, pasti dia akan berusaha bermati-matian untuk memujuk aku semula.
Kadang terdetik juga perasaan rindu kepadanya. Namun, demi ego yang terlalu tinggi
menggunung di hati, aku tahankan juga hati ini walaupun aku rasa separuh gila rindukan dia.
Aku rindu hendak mendengar suaranya membisikkan kata-kata cinta kepadaku seperti selalu.
“Tak baiklah kau ni, Faiz. Kesian abang aku tu. Kau ni memanglah.” Ellin merungut dan
menyalahkan aku pula.
Aku mengangkat kepalaku ke arahnya. Bulat mataku memandangnya. Aku dapat rasakan
yang dahi aku berkerut. “Abang kau?”
Ellin mengerutkan dahi, konon tidak mengerti akan soalan aku tadi. Dia menggelengkan
kepala. “Mana ada. Aku cakap abang kaulah. Kau ni, Faiz, udah-udahlah dera dia macam tu.
Kesianlah dia. Kau tengok tadi, dia datang kau buat dek aje. Macam cakap dengan tunggul orang
tu tadi.”
Ellin menyambung bebelannya. Jelas kelihatan riak tidak puas hati pada wajahnya atas
tindakan aku melancarkan perang dingin dengan abang. Lin, kalaulah kau tahu hati aku ini
sebenarnya berat menanggung beban rindu. Tapi, aku terpaksa lakukan ini. Aku memang
sengaja. Sengaja nak menduga abang, kalau benar dia mencintai aku sepenuh hati. Inilah
masanya aku mengujinya. Dalam diam, aku seronok bila mengenakannya begini.
“Kalau dia tinggalkan kau nanti, hah… baru melopong kau.”
Ayat Ellin yang sebaris itu membuatkan aku sedikit tersentak. Aku pandang muka Ellin
yang sudah menjuihkan bibirnya. Tinggalkan aku? Sanggupkah aku ditinggalkan lagi? Oh… no!
Aku meningkah kuat dalam hati. Tiba-tiba perasaan menyesal merajai hati.
AKU termenung sendiri mendengar cerita Pak Cik Kamaldin. Namanya Kamaldin. Hampir sama
dengan nama arwah ayah. Rupa, senyuman dan caranya memang tidak ubah seperti arwah ayah.
Aku bagaikan nampak bayangan arwah ayah dalam diri Pak Cik Kamaldin.
Aku mengambil kesempatan untuk meminta maaf daripadanya kerana menyebabkannya
cedera begini. Selepas kemalangan tempoh hari, aku tidak berkesempatan untuk melawatnya.
Isy, bukan tidak berkesempatan. Kami tidak berkesempatan untuk berbual kerana dia berada di
Wad ICU. Baru pagi tadi dia dipindahkan ke wad biasa.
Dia hanya tersenyum sambil mengatakan dia yang salah. Waktu itu dia diserang penyakit
jantung. Sebab itu menyasar ke tengah jalan.
Aku tersenyum dan mengangguk. Sekurang-kurangnya dia tidak menyalahkan aku atas
kejadian yang menimpanya. Dia kemudiannya bercerita mengenai dirinya. Orang tua ini
peramah juga rupanya. Dia banyak bercerita tentang dirinya yang bujang tua.
Aku ketawa mendengarnya. Bujang tua rupanya pak cik ni. Nampaknya, dia bukanlah
ayah kandungku seperti yang diceritakan arwah ayah dalam mimpiku. Mimpi tu cuma mimpi,
gumam aku sendiri.
Katanya lagi, dia tidak pernah berkahwin tapi mempunyai seorang anak angkat.
Hidupnya sunyi dan sebatang kara. Masa mudanya banyak dihabiskan menjadi anak kapal.
Malah sambil berseloroh, dia katakan yang dia sudah mengelilingi dunia ketika menjadi anak
kapal. Negara mana yang dia tidak singgah? Semua sudah dijelajah.
Sekali lagi aku ketawa. Bila aku tanyakan tentang anak angkatnya, dia kata anak
angkatnya itu sedang belajar di luar negara. Setahun sekali baru balik. Aku terangguk-angguk
mendengar ceritanya.
Lama jugalah kami berbual. Sampai berair mata aku ketawa dengan lawaknya. Orang tua
ini memang pandai melawak sehingga hendak terkencing aku dibuatnya.
Aku kerling jam pada dinding. Eh, dah pukul 3.00 petang! Mesti Ellin dah mengamuk
bila aku tak balik-balik ke tempat „rasmi‟ aku. Akhirnya aku meminta diri kerana mahu
menyambung tugas. Pak Cik Kamaldin berpesan supaya aku datang menjenguknya lagi kerana
dia suka dengan aku yang suka mendengar ceritanya.
Aku hanya menganggukkan kepala dan tersenyum. Apa-apalah klon arwah ayah aku ni.
“FAIZ marahkan abang lagi?” Langkah aku terhenti bila mendengar suara perlahan dia di satu
lorong.
Aku menoleh dan melihat dia bersandar pada dinding lorong itu. Sayu saja aku lihat
mukanya. Langkah aku mati di situ. Bergerak ke depan tidak, ke belakang pun tidak. Nak
bergerak ke arahnya, lagilah tidak. Aku cuma menunduk dan menggigit bibir. Terkaku, ditemani
degupan jantung yang menggila menendang dada. Patut ke aku teruskan dengan ego ni? Atau
mengalah saja?
“Abang minta maaf. Abang tak tau macam mana nak pujuk Faiz lagi. Dah macam-
macam dah abang cuba, tapi Faiz tetap macam ni. Sayang, please… jangan buat abang macam
ni. Abang rayu, Faiz.”
Saat ini dia sudah melutut. Aku terpinga-pinga. Terperanjat dengan tindakannya.
Menoleh kiri dan kanan. Kalau-kalau ada orang nampak. Apa yang dia buat ni? Nampak dek
orang yang lalu-lalang kat sini nanti aku pulak yang malu nanti. Dia dah buat hal pulak… isy!
“Apa abang buat ni? Abang… isy…” Aku menguis-uis bahunya. Memintanya supaya
berdiri semula.
Aku mula bengang bila seorang jururawat lelaki lalu di situ dan tersengih ke arah kami.
Diikuti pula beberapa orang doktor dan jururawat pelatih yang lalu seiring di sini. Ya Allah…
Kenapalah abang ni? Bengangnya aku orang tengok dia melutut macam ni!
“Selagi Faiz tak maafkan abang, abang takkan bangun. Sampai bila-bila pun abang
takkan bangun,” balasnya mengugut. Hujung bajuku dipegang. Tak bagi aku meninggalkannya
yang masih melutut.
Aku sudah mula panik. Kalut betullah abang aku ni. Aduh…! Aku sudah jadi tidak tentu
arah. Dia benar-benar nekad buat begini. Aku sudah resah gelisah. Aku hanya mampu tersengih
sumbing bila Kak Mai angkat kening kepada aku. Malunya! Mesti dia fikir yang bukan-bukan.
“Okey, okey… Faiz maafkan abang. Dahlah, bang, bangunlah. Malulah ditengok orang.”
Aku mengalah juga akhirnya. Aku tak sanggup dilihat orang yang lalu-lalang. Nanti terus
merebak, jadi gosip. Selain itu, aku juga tak sanggup tengok dia melutut begitu. Kesian dan tak
sampai hati.
Dia bangkit, berdiri dan melebarkan senyumannya. Sukalah tu. Taktik dia nak pujuk aku
menjadi. Geram aku tengok. Spontan mataku menjeling tajam wajahnya.
“Aik? Jeling pulak? Kata dah maafkan abang? Nak suruh abang melutut lagi?”
Dia mengacah untuk kembali melutut namun sempat aku tarik lengannya. Menghalang.
Dia tersengih. Ceh… sukalah tu! Aku silambam jugak mamat ni karang!
“Faiz dah lama maafkan abang. Sebenarnya, Faiz saja nak duga abang, kalau abang betul-
betul maksudkan kata-kata abang pada mak di kampung masa tu.” Aku berterus terang akhirnya.
Aku menyorot mata, memandang dia. Mahu lihat reaksinya apa.
Memang itu yang aku lakukan padanya selama tiga hari ini. Tiga hari yang mendera
perasaan aku sendiri. Tiga hari yang membuatkan aku separuh gila bila tidak mendengar kata-
kata cinta hikmat daripadanya. Salah aku juga sebab tak mengangkat panggilannya selama tiga
hari sebab pura-pura merajuk. Padanlah dengan muka aku!
“Astaghfirullah al-azim… Sayang, abang mati-mati ingat Faiz marah abang gila-gila
macam ni. Rupanya…” Dia tertawa. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Tangan kirinya
memegang dagu. Sekali lagi dia tertawa dan tersengih. Dia memandang aku. Tersenyum.
Aku turut tersenyum. Kelat. Nak cover malu sebenarnya. Hmm… Tapi pelik, kenapa dia
ketawa bagai nak rak pula. Aku buat lawak ke?
“Dah berapa kali abang nak cakap dengan Faiz yang abang betul-betul maksudkannya?
Dah banyak kali, kan? Takkan tak percaya lagi? Abang memang sayang dan cintakan Faiz
sepenuh hati abang. Tiada tolok bandingnya. I love you very very much.”
Dia membisikkan kalimah terakhir itu betul-betul di cuping telingaku. Terasa asyik dan
syahdu di pendengaran. Aku hanya diam mengukir sedikit senyuman. Malu dah, kan? Perbuatan
aku ni memakan diri aku sendiri, kan? Padan muka aku, kan?
“Malam ini kita keluar ya?”
Aku terus mengangguk tanda setuju. Sebenarnya memang itulah yang aku inginkan.
Keluar berdua dengannya kerana selama ini masanya banyak dihabiskan di hospital. Kerja saja.
Kadang-kadang makan hati juga aku dengan perangainya.
Dia berjanji untuk mengambil aku jam 8.00 malam. Nak buat lawak pulak! Duduk
sebelah menyebelah nak ambik apanya? Dia tersenyum bila aku katakan tentang itu.
ABANG membawa aku ke sebuah hotel terkemuka di Melaka. Seorang pelayan datang ke arah
kami, membawa beberapa makanan istimewa. Rupa-rupanya abang sudah menempahnya dari
awal. Meja ini pun sudah ditempah untuk kami. Aku saja yang tidak perasan.
Suasana romantik ketika ini diisi dengan alunan muzik sentimental yang dimainkan
pemuzik tetap hotel. Aku dan abang terbuai-buai dengan alunan muzik yang membuai perasaan
itu. Dan seperti selalu, bibirnya tidak berhenti mengucapkan ucapan cintanya kepadaku. Kata-
katanya itu buat aku sering di awang-awangan. Sangat romantik dan membuaikan perasaan. Aku
disimbahi dengan bunga-bunga cinta yang terus berkembang mekar dalam hati.
Selang beberapa minit, seorang pelayan datang dengan membawa sejambak bunga ros
merah. Bunga itu diserahkan kepada abang sebelum abang menyerahkannya kepada aku, dengan
caranya yang tersendiri. Cubalah teka apa? Hehehe.
“Terima kasih,” ucap aku lalu mencium haruman bunga ros yang sudah berada di
pegangan. Dah lama aku tak dapat bunga. Dulu adalah masa sekolah, sewaktu aku dilamun cinta
monyet. Itu pun sekuntum saja. Itu dulu. Shh... jangan beritahu dia...
Sesudah menjamu selera, dia katakan dia mahu memberikan satu kejutan istimewa. Dia
bangun dan pergi ke arah kumpulan pemuzik di atas pentas. Dia membisikkan sesuatu kepada
pemuzik itu. Kelihatan pemain gitar yang juga vokalis kumpulan muzik itu berbisik kepada ahli
kumpulan yang lain. Mereka terangguk-angguk.
Dahi aku sudah mula berkerut. Aku tertanya-tanya, apalah yang dibisikkannya kepada
mereka. Tertinjau-tinjau aku dibuatnya. Apa lagilah yang abang aku ni nak buat?
“Minta perhatian hadirin sekalian, kami menerima satu permintaan daripada En. Sharizal
yang berdiri di sebelah kami untuk menyanyikan sebuah lagu, ditujukan khas untuk bakal
isterinya. Boleh ya?”
Aku terkejut mendengar pengumuman vokalis kumpulan itu. Dadaku berdebar kencang.
Tepukan gemuruh hadirin menguatkan lagi degupan jantungku yang semakin laju mengepam
darah. Aku lihat gitar yang dipegang penyanyi tersebut diberi kepada abang. Dia menyambutnya
dan duduk di kerusi penyanyi tadi. Bibirnya tak habis-habis menguntumkan senyuman kepadaku.
“Terima kasih kerana memberi laluan pada saya untuk mendendangkan sebuah lagu khas
untuk bakal isteri saya, Nur Faiza Iman, yang sedang duduk di sana.” Tangannya menunjuk ke
arah aku. Kesemua pengunjung yang turut berada di lounge memandang ke arahku.
Aku jadi malu menjadi perhatian mereka. Mulalah rasa tak tentu arah. Menggeletar pula
kepala lutut. Ada-ada saja abang ni.
“Dan untuk anda juga. Terimalah… Istimewa.”
Kesemua yang berada di lounge menepuk tangan. Bergemuruh bunyinya. Bergema satu
hotel kurasakan. Abang memulakan nyanyiannya. Pandangan matanya tidak lepas daripada
memandang aku. Mata kami bertentangan walaupun berada pada jarak yang jauh juga. Seketika,
aku terpegun mendengar nyanyiannya.
Daku berikrar
Wahai maharaniku
Bina mahligai syahdu
Hanya engkau dan aku di situ
Tiada mimpi atau fantasi
Tiada rasa lebih berseri
Semekar murni hatimu sayang
Siang dan malam, aku terbayang
Kau istimewa, buat kutenang
Ingin kubawa kau ke awana
Ingin memadu kasih asmara
Sepanjang hayatku curah cinta
Sebenar-benar ucapan kata
Kau istimewa oh! Percayalah
Kuperlu cinta dari wanitaku nan istimewa
Beriku cintamu nan istimewa
Sehabis dia bernyanyi, kesemua yang berada di situ memberi tepukan gemuruh. Aku juga
tidak ketinggalan. Apatah lagi, lagu itu ditujukan khas untuk aku. Aku terpesona mendengar
abang menyanyikannya itu. Terasa lagu Kumpulan Indigo yang berjudul Istimewa itu menyentuh
tangkai hatiku ini. Hatiku juga terbuai-buai oleh alunan suaranya yang merdu ketika
mengalunkan lagu itu. Dia menyanyikannya dengan penuh perasaan dan gaya yang tersendiri.
Aku tak sangka dia mempunyai bakat nyanyian rupanya. Dan seperti biasa, senyumannya
yang berjaya mengetuk pintu hatiku itu tidak lekang menghias bibir merahnya. Pandangan
matanya yang penuh cahaya cinta itu membuatkan jiwa aku bergetar tiada henti.
“Terima kasih.” Abang memberi tanda hormat kepada semua sebaik menamatkan
nyanyiannya.
Namun, ada suara yang meminta abang menyanyikan sebuah lagu lagi untuk mereka.
Katanya, suara abang sangat sedap didengar. Terasa macam betul-betul dibuai cinta.
Aku ketawa mendengarnya. Memang tidak dinafikan. Suara abang memang sedap
didengar, apatah lagi bila mendendangkan lagu sentimental begitu dalam suasana hening malam
begini. Namun, abang terpaksa menolaknya kerana hari sudah malam dan dia masih membawa
anak dara orang—bukan isterinya yang sah lagi. Aku sekadar tersenyum mendengar olahnya.
Apa yang aku paling kelakar bila pengurus hotel menawarkan abang menyanyi sepenuh
masa di hotelnya. Macam nak terguling aku bila pengurus hotel beria-ia menawarkan abang kerja
itu. Dia sanggup membayar abang dengan jumlah yang lumayan jika abang menerimanya.
Tapi, abang menolaknya dan memberitahu dia sudah mempunyai kerjaya tetap dan
kritikal. Susah nak menyanyi kerana masanya tak menentu. Aku tergelak lagi. Hai…
“Terima kasih sebab buat malam yang begitu indah sekali sepanjang perkenalan kita. I
like it. Faiz takkan lupakannya,” ucap aku kepadanya ketika dia memberhentikan kereta di depan
pintu pagar rumahku. Aku terharu sangat dengan penghargaannya.
“Abang akan lakukan apa saja untuk orang yang abang cintai. Sekarang, Faiz percaya
yang abang benar-benar maksudkan hasrat abang, kan?”
Aku mengangguk kepala. Aku mencium lagi haruman bunga ros segar yang dihadiahkan
kepadaku tadi kemudian melirik manja ke mata coklatnya yang bersinar. Bibirnya mengukirkan
seulas senyuman mekar.
“I love you,” ucapnya perlahan menampar ke gegendang telingaku. Penuh romantis dan
syahdu.
Dah mulalah dada aku hendak berdegup hebat. Aku melempar senyuman manis
kepadanya. Perlahan juga aku membalas ungkapan cinta itu kepadanya. Seketika, kami saling
merenung antara satu sama lain. Diam tanpa kata. Hanya senyuman mengiring. Kami dibuai oleh
perasaan sendiri.
Aku semakin pasti, cintaku hanya miliknya seorang. Tiada yang lebih layak berbanding
dia. Aku yakin dan pasti itu.
18
“AMBOI, bukan main gembira nampak anak dara seorang ni? Tengok tu, Pul, bersimpul-simpul
senyuman dia,” sindir Ellin dengan sengihan melebar pada bibirnya. Sikunya menyenggol lengan
Saiful, pegawai farmasi pelatih itu.
Saiful juga turut tersengih memandang aku.
“Apa yang disenyumkan tu, kak? Kita orang tengok dari tadi akak senyum. Mesti ada
apa-apa ni kan, Kak Lin?” sambung Saiful pula.
Ellin mengangguk dan mengukir senyuman sinis kepadaku. Aku hanya menggeleng dan
tersenyum. Pantas kedua-dua pipi mereka aku tolak lembut.
“Tak ada apa-apalah. Kau orang ni, sibuklah. Buat kerjalah,” ujar aku terus berlalu ke
depan. Membiarkan mereka berdua terus berteka-teki. Senyuman terus mengulit diri. Bagaikan
ditaburi bunga-bunga keindahan yang membahagiakan. Masih tergambar saat-saat romantik yang
aku lalui malam tadi.
Hai… kalaulah hari-hari aku lalui saat macam malam tadi, kan indah... Teruja betul aku
bila dia nyanyikan lagu itu untuk aku. Macam mimpi pula. Aku memejamkan mata. Terbayang-
bayang wajahnya ketika menyanyikan lagu itu untuk aku. Terbayang senyumannya yang boleh
meruntunkan jiwaku. Terbayang…
“Hoi! Berangan lagi!”
Sergahan Ellin memeranjatkan aku. Terbantut semua lamunan. Kacau betullah budak ni.
“Buat kerja, cik kak. Tak nampak ke kat depan kau tu ada orang?” Ellin berbisik ke
telingaku. Bibirnya dimuncungkan ke arah hadapan.
Aku turut memandang. Hah? Ada orang rupanya. Aku tengok sudah merah padam dia
melihatku. Hidungnya juga sudah kembang kempis. Aku lantas tersenyum sumbing.
“Kalau nak berangan, balik rumahlah,” marahnya. Mukanya membengis memandangku.
Misainya yang melentik umpama misai pelakon Gerak Khas A. Galak menakutkan aku.
“Minta maaf, encik. Saya tak perasan. Boleh saya bantu?” Terus saja aku menawarkan
khidmatku macam biasa.
Ya Allah! Kenapalah aku berangan sampai macam tu sekali? Customer kat depan mata
pun tak nampak? Malunya aku. Sia-sia kena marah. Aku memandang Ellin yang sudah ketawa
geli hati.
AKU ambil cuti dua hari untuk balik kampung. Cis, balik kampung lagi! Asyik balik kampung
aje. Dalam sebulan dua ini, kerap juga aku balik kampung. Muka Ellin monyok. Macam tauhu
kering berempah aku tengok dah. Muncung keluar sedepa macam muncung itik emak kat
kampung.
“Kau ni, asyik balik kampung aje, Faiz. Apa yang kau nak sibukkan kat kampung tu?
Asyik nak tinggalkan aku kat sini sorang-sorang dengan Saiful tu. Kau sengaja kan nak ambik
cuti lebih-lebih.” Dia membebel dengan mulut diherot-herotkan ke kiri, menjeling-jeling aku.
Bajet nak merajuk dengan akulah tu agaknya.
“Hei, cik kak! Aku cuti balik kampung ni bukan saja-saja tau. Aku balik sebab nak
berbincang dengan mak aku pasal perkahwinan aku. Nak bincang sikit. Bukan aku saja-saja nak
ambik cuti. Kau ni pun…” ujar aku dan menepuk pipinya yang sudah kemerah-merahan.
Aku jeling sikit dia yang masih lagi buat muka. Yang paling aku tak tahan, ada ke patut
dia ejek cara percakapan aku tadi. Dah terlebih budak ni.
“Aku bukan sengaja nak baliklah, sayang oi. Kan aku dah kata tadi, aku balik pun
bersebab. Nak bincang dengan mak pasal keluarga cik abang aku nak datang rumah aku Ahad ni.
Yang kau nak emosi lebih-lebih ni, kenapa pulak? Selalu kalau aku ambik cuti, bukan kau
menghalang, tapi menggalak serta menghalau aku lagi adalah. Hmm… sekarang nak buat
perangai manja pulak, tak bagi aku balik.” Aku pula membebel. Menggelengkan kepala beberapa
kali.
Entah apa-apa agaknya budak ni. Tengok tu, dah buat muka karipap basi pula. Cantik
sangatlah buat muka macam tu.
“Aku bukan apa. Aku malaslah nak tinggal dengan si Saiful tu. Dia miang sikit kau tau.”
Aku meletuskan tawa bila dengar Ellin berbisik perlahan ke telingaku. Kelakar nak
dengar. Saiful miang? Hai, budak nerd macam dia pun miang juga ke? Selama ini aku tengok si
Saiful tak pandai nak bercakap sangat. Diam saja. Bila masalah dia nak miang-miang buluh
pulak ni…
“Kau ni, tak baik tau cakap Saiful macam tu. Tak pernah pulak aku tengok dia miang dan
menggatal dengan kau,” kata aku dengan ketawa yang masih bersisa. Kelakar tak ingat.
Kebetulan, Saiful baru balik dari bilik air. Dia memandang pelik aku yang galak ketawa
sementara Ellin cuma tersenyum kecil. Aku perhati Saiful dari atas sampai bawah. Dengan
cermin mata tebal yang macam Harry Potter, seluar yang dipakai tinggi dan tali leher besar
berwarna merah jambu hari-hari. Ini dikata miang? Aduhai… kesian adik junior aku ni. Ellin…
Ellin… ada-ada aje kau ni. Hai…
DI PERTENGAHAN jalan masuk ke jalan kampung, aku bertembung dengan Syed yang
menaiki skuter. Dia melambai tangan ke arah aku. Maka terpaksalah aku memberhentikan kereta
di bahu jalan. Isy… nak apalah si Syed ni? Aku mengerling Syed melalui cermin sisi. Dia
memusingkan semula skuternya ke arah bertentangan dan berhenti di tepi cermin kereta yang
aku turunkan.
“Ya, Dr. Syed? Kau nak apa tahan-tahan aku macam aku dah buat kesalahan trafik ni?”
usik aku mengerling dia di atas skuter dan masih bertopi keledar itu.
Syed tersengih dan menanggalkan topi keledar daripada menutup kepala dan mukanya.
“Aku tengok kau laju aje bawak kereta. Sajalah nak tahan kau. Dah lama tak jumpa.
Rindu pulak,” ujarnya sambil tersengih. Rambut yang dah bertabur segera dibetulkan di depan
cermin.
Aku mencebik. Banyaklah dia punya rindu.
“Alah, kau tu… Dulu masa sekolah selalu lawan gaduh. Ha, kau nak apa sebenarnya ni?
Aku nak balik membuta kat rumah. Mengantuk tau tak.” Aku pura-pura bersangap di depannya.
Macam betul-betul mengantuk.
“Aku sebenarnya nak cerita something kat kau. Penting. Eh, kalau ya pun, turunlah dulu.
Nak bersembang duduk dalam kereta nak buat apa? Tak bestlah.”
Isy, budak ni. Nak perintah aku itu ini pulak. Tadi dahlah tahan aku. Sekarang nak suruh
aku turun dari kereta kesayangan aku pulak. Isy… Nak tak nak, aku turun jugalah dari kereta dan
berdiri bersandar di luar kereta aku. Kedua-dua tangan aku silangkan.
“Apa dia cerita yang penting macam masalah negara tu? Cepatlah cerita.”
Budak ni sengaja nak melengah-lengahkan masa. Dahlah hari panas terik. Sakit kepala
aku kena cahaya matahari yang membahang memanah kepala walaupun kepala aku dibalut kain
tudung.
“Aku sebenarnya nak cerita pasal… err…” Syed terkulat-kulat mahu cerita. Dia
menggaru-garu kepalanya dan memandang kiri dan kanan. Mulalah aku kerutkan dahi tengok
kelakuan dia yang macam monyet kena kurung dalam sangkar.
“Isy, cepatlah, Syed. Terkemut-kemut. Kau nak cakap apa sebenarnya ni? Panaslah. Kau
nak suruh aku pengsan ke kat sini? Isy!” sergah aku mencuit kasar lengannya. Mula rimas.
Terkulat-kulat. Terkemut-kemut. Eii!
“Urm… aku nak cerita pasal… Hakimi.”
Buk! Aku rasa macam kayu balak menghempap kepala aku yang sakit ini. Besar punya
kayu balak! Aku memandang Syed yang sudah meneguk liurnya. Hakimi? Kenapa namanya
disebut lagi? Aku benci nama tu! Sampai bila-bila pun aku benci. Aku merenung tajam ke muka
Syed yang serba salah.
“Kalau pasal orang tu, maaf aje, Syed. Aku tak berminat. Sorry.” Aku membuka semula
pintu kereta tapi bila hendak masuk ke dalam, Syed menghalang. Badan aku terkebelakang
sedikit. Isy! Aku merengus-rengus tak puas hati.
“Dengar dulu, Faiz. Ia tak sama macam yang kau fikirkan selama ini. Dia bukan begitu
orangnya.”
Aku mendengus kasar. Tubuh Syed yang menghadang aku tolak kasar ke tepi.
“Aku dah tak mahu dengar lagi. Dia dah tak ada kaitan dengan aku lagi, kau faham tak? Tak
kisahlah sama ke tak sama ke dengan yang aku fikir. Apa yang penting sekarang, aku tak mahu
tau apa-apa lagi pasal dia. Kau faham tak? Lagipun, aku dah nak kahwin tak lama lagi.”
Syed beliakkan mata dan merenung dengan pandangan tidak percaya. Mulutnya terus
terkunci, tidak mampu berkata apa-apa. Ternganga dan tercengang.
“Dah, aku nak balik. Tepi.” Aku tolak lagi badannya dan masuk terus ke perut kereta.
Aku memulas kunci, hidupkan enjin.
“Faiz, biar aku jelaskan dulu. Hakimi tak…”
“Enough, Syed! Aku dah tak mau dengar lagi, kau faham tak? Yang kau bela sangat dia
tu kenapa? Patutnya kau kesiankan aku ni! Aku ni kawan kau! Kau pun tau apa dia buat kat aku
dulu, Syed. So, please… don’t mention his name in front of me! Sorry…” Aku bertegas sekali
lagi sebelum memecut kereta meninggalkan Syed terkontang-kanting di tepi jalan.
Ikh! Kenapa Syed sebut nama dia? Kenapa? Aku menghentak stereng sekuat hati dengan
tangan kanan. Geram! Aku tak boleh ingat dia lagi! No, Faiza! Walau apa pun terjadi, kau tetap
akan kahwin dengan Sharizal! Dia cinta sejati kau yang sebenarnya. Dia pilihan yang tepat! Aku
menyedapkan hati yang terasa gundah-gulana. No!!!
“PUKUL berapa dia nak datang esok?”
Pertanyaan emak mematikan segala lamunan aku. Aku berkalih pada emak yang duduk
bertentangan. Emak menyulam sebuah senyuman.
“Kata abang tengah hari, mak,” balasku pendek, kembali menundukkan muka
memandang jari-jemari.
Entah kenapa hati aku jadi resah tak pasal-pasal sejak berbual dan bertegang urat dengan
Syed tadi. Masih lagi terngiang-ngiang kata-kata Syed yang lantang, membela sahabat satu
kuliahnya.
“Akak kenapa ni? Macam tak ceria aje sejak balik tadi. Akak ada masalah ke? Kalau ada
masalah, bagi tahu mak.”
Aku melakar senyuman hambar dan mengirai rambut yang berjuntai di dahi ke belakang.
“Tak adalah, mak. Akak penat sikit aje,” kata aku pula dan mengalih tempat duduk,
bersebelahan emak. Lengan emak aku rangkul dan lentokkan kepala di bahunya. Aku cuba untuk
lenyapkan kegalauan di hati.
“Esok mak nak panggil pak ngah sekali. Segan pulak mak kalau sorang-sorang. Mak pun
tak biasa sangat dengan semua ni. Kalau pak ngah tu, dah berpengalaman sikit,” ujar emak
sambil tertawa kecil.
Aku mengerutkan muka ketika memandang emak. Mak pun reti segan ke? Aku
tersenyum sendiri.
“Okey. Akak tak kisah. Mak nak panggil siapa-siapa pun akak tak kisah, mak. Isy…
berdebar pulak akak. Takut pun ada,” kata aku bersetuju dan berseloroh. Bibir menguntumkan
senyuman bila memikirkan saat-saat aku akan disatukan dengan kekasih hati yang satu. Aku
mengulitkan senyuman lagi. Gembira mungkin. Hehehe.
“Apalah yang nak ditakutkan. Benda baik nak takut apanya?” tingkah emak dengan mata
membulat memandangku.
“Takutlah, mak. Nak jadi isteri orang. Nervous tau,” luah aku dengan nada gembira.
Emak mencebik bibir. “Orang gembira nak kahwin, dia takut pulak. Apalah.”
Kepala aku digosok laju-laju. Kemudian, kami sama-sama ketawa.
Hmm… aku nervouslah. Memang nervous. Dalam pada nervous tu, aku gembira juga.
Rasa macam tak percaya pula aku nak kahwin tak lama lagi. Kahwin dengan anak raja pula tu.
Betul ke aku nak kahwin ni? Yang kelakarnya, aku dengan dia bercintan-cintun tak sampai
setahun, dah buat keputusan nak hidup bersama. Mula-mula kerja satu tempat, lepas tu berjiran.
Daripada jadi jiran, terus jadi kekasih. Kalau gabung, jadilah jiranku kekasihku.
Huhuhu…tajuk yang menarik dan kelakar, kan? Dan, aku takkan biarkan ada orang lain
yang mengganggu kebahagiaan aku yang bakal menjelang. Even… even Hakimi. No, damn it!
KEDATANGAN wakil daripada keluarga abang disambut baik oleh pak ngah dan emak. Bukan
main peramah lagi emak menyambut. Aku hanya duduk saja di dapur bersama Syafika dan
Farhana setelah bersalam dengan mereka. Berdebar-debar menanti keputusan hasil perbincangan
mereka. Segala keputusan aku serahkan kepada emak dan pak ngah. Senyuman pula terus meniti
bibir aku. Senyuman bahagia kononnya.
“Kak… kak! Abang Shah datang sekali!”
Jeritan kecil Farhana mengejutkan aku. Hah? Dia datang juga? Kata nak hantar wakil
saja. Tak cakap pun dia nak datang sekali. “Kau biar betul, Ana.”
Aku cuba mengintai dari dapur. Tak nampak pun! Farhana kemudiannya menarik aku
naik ke tangga. Mata aku picingkan ke arah ruang tamu yang bertentangan dengan dapur. Ya…
memang dia datang sekali. Aku nampak dia mengenyit mata kepadaku. Haik, sempat lagi nak
kenyit mata masa berbincang?
Aku jegilkan mata kepadanya pula dan sengaja menunjukkan penumbuk. Dia meleretkan
senyuman. Aku buat mimik muka. Kemudian, aku tenung lagi wajahnya. Abang pilihan Faiz
yang tepat. Faiz takkan sesekali melukai abang. Dalam diam aku berjanji dengan diri sendiri. Itu
janji aku.
Setelah memenatkan leher terintai-intai dia dari jauh, aku turun dan duduk di kerusi.
Entah di mana silapnya, kaki aku terpelecok ketika menuruni semula anak-anak tangga dan
badan aku pula jatuh berguling-guling ke bawah, macam nangka busuk.
Aduh, sakit kepala aku. Berpinar-pinar. Apa lagi, bergegar rumah ini dengar jeritan aku
yang kuat tahap Tarzan di hutan. Woo…
Farhana dan Syafika menjerit serentak. Mereka menerpa ke arahku. Membantu untuk
membangunkan aku sambil mulut masing-masing becok membebeli aku. Tak lama selepas itu,
emak berserta cik abang dan wakilnya datang menerpa aku yang terlungkup semula di lantai.
Tak pasal-pasal hidung comel aku ni mencium lantai marmar dapur.
“Astaghfirullah. Kenapa ni?” Terus saja cik abang aku bertanya dan membantu aku
bangun bersama emak. Muka aku ditilik-tilik. Perlakuan yang spontan itu buat emak angkat
kedua-dua keningnya.
“Akak jatuh tangga.” Pendek jawapan Farhana.
Emak beristighfar dan menggelengkan kepala.
Aku memegang kepala yang terasa sakit. Kemudian pandangan aku jatuh pula kepada
Mak Cik Zainab dan Pak Cik Ismail. Malunya aku dilihat dalam keadaan begini. Apalah yang
mereka kata pasal aku agaknya? Ya Allah, tak tahu nak letak kat mana muka aku ni.
“Macam mana boleh jatuh?” Mak Cik Zainab bertanya.
Farhana dan Syafika mengangkat bahu. Mereka memang tak tahu sebab terlalu asyik
mengintai tadi.
Aku menjeling mereka. Ni dia orang punya pasallah sampai aku terjebak sekali
mengintai. Padahnya, aku jatuh bergolek-golek macam bola keranjang kat tangga tu. Aku cuba
menggerakkan kaki, tetapi rasa sakit. Sekali lagi, aku menjerit nyaring dan hampir menangis.
“Sakit?”
Aku menganggukkan kepala. Memang sakit sangat. Menyeringai aku menahan sakit
apabila dia menyentuh buku lali aku yang bengkak.
Aku dibawa naik ke atas. Dengan cara apa? Hmm… dengan berani matinya cik abang
aku mendukung aku naik ke atas sampai emak melopong tak sudah. Tak menyangka dengan
tindakannya. Entah apa yang difikirkan emak. Aku pulak? Malu dengan semua orang. Nak
menepis dan berjalan sendiri, tak boleh pula sebab aku memang langsung tak boleh jalan
sebabnya buku lali aku dah bengkak.
Tapi, nak buat macam mana? Aku tak boleh berjalan. Terpaksa merelakannya juga.
Aduh… malu lagi!
AKU terjerit kecil bila kaki aku diurut dan dipicit, oleh siapa lagi kalau bukan tuan doktor yang
mendukung aku tadi. Emak beri mandat kepadanya memandangkan dia profesional.
Kononnyalah.
Profesional konon! Huh, sakit juga kaki aku dipicit. Menjerit-jerit aku setiap kali dia
menekan kaki aku ini. Upacara urut-mengurut itu dilakukan di bilik aku. Jangan fikir yang
bukan-bukan ya. Pintu bilik tak berlangsir itu terbuka luas. Semua orang boleh nampak kalau
buat apa-apa pun.
“Lain kali, jangan mengintai orang,” katanya memerli aku sambil tersenyum.
Aku hanya buat bodoh saja bila dia berkata begitu. Sebaliknya aku mengaduh dan
menyuruhnya mengurut kaki aku perlahan-lahan. Sakit macam nak apa.
“Esok boleh tak memandu? Kaki Faiz bengkak teruk ni. Abang risau pulak,” ujarnya lagi.
Kaki aku yang siap diurut dan dibetulkan sedikit urat yang tergeliat ditilik semula.
Aku pun tak tahu macam mana aku nak memandu bila kaki dah membengkak macam ini.
Yang jelas dan nyata, kaki aku memang membengkak gila-gila punya. Bak kata orang kampung
aku, bengkak melotong. Bengkak melotong itu sama maksudnya dengan terlampau bengkak
sangat.
“Tak tahulah. Insya-Allah kut. Janganlah risau,” kata aku menggosok-gosok kaki.
Berdenyut-denyut sampai naik ke jantung aku rasa.
“Abang balik esoklah dengan Faiz kalau macam tu,” katanya perlahan. Serius saja
mukanya menuturkan ayat itu.
“Hah?” Terperanjat aku mendengar cadangannya. Dia nak balik dengan aku? Biar betik?
“Macam mana kaki dia, Shah? Dah kurang bengkaknya?” Emak bertanya ketika masuk
ke bilik aku bersama Mak Cik Zainab. Aku melempar senyuman kepada Mak Cik Zainab.
“Ermm… teruk bengkaknya, mak cik. Dua tiga hari baru baik ni,” jawabnya membelek
lagi kaki aku untuk ke sekian kalinya. Emak dan Mak Cik Zainab turut mengintai.
“Habis tu, macam mana nak balik esok? Agak-agak boleh tak akak bawak kereta ni?”
Emak bertanya lagi. Raut wajahnya berkerut risau.
Aku mengangkat bahu. Nak kata boleh, tak berani pulak. Nak kata tak boleh pun tak tahu
lagi.”
Abang kemudiannya memberitahu yang dia akan tinggal di sini untuk balik bersama aku
esok dan kedua-dua pengasuhnya ini akan dibiarkan balik dulu dengan membawa kereta Toyota
Vios miliknya—selain Toyota Altis berwarna hitam itu. Lagipun, esok memang dia mengambil
cuti untuk menghantar kedua-dua pengasuhnya pulang ke Kuala Lumpur.
Pada mulanya emak menunjuk pelbagai riak. Terperanjat, tercengang dan kurang senang.
Agaknya tak manis kalau abang tinggal di rumah. Tapi, bila pak ngah berbesar hati untuk
menumpangkannya barang semalam, raut wajah emak berubah tenang dan perlahan-lahan emak
menganggukkan kepala.
Haih… tak pasal-pasal dia kena tinggal semata-mata kerana aku. Baik sungguh hatinya.
Ini yang buat aku bertambah-tambah sayang dan cinta dia. Aku memang tak patut dan bodoh
kalau mensia-siakan dia. Walaupun dia daripada keturunan orang berpangkat dan berkedudukan
serba mewah, dia tidak seperti sesetengah orang dalam golongan itu. Dia amat berlainan.
Sebab itu aku tak teragak-agak nak memilih dia untuk jadi pasangan aku. Betul tak?
MAK CIK ZAITON dan Pak Cik Ismail terus berlalu meninggalkan pekarangan rumahku
dengan menaiki kereta Toyota Vios. Sempat lagi membunyikan hon pada kami sebelum
keretanya meluncur laju ke jalan raya. Aku hanya melihat dari cermin tingkap saja kerana kaki
aku masih merasa sakit.
Aku memandang ke arah luar. Nampak seperti pak ngah sedang bercakap sesuatu kepada
emak dan abang. Entah apa yang dibincangkan. Tak lama selepas itu, pandangan abang beralih
kepada aku yang duduk di tepi tingkap. Dia melambai sambil menunjukkan ke rumah pak ngah
yang berada selang beberapa buah dari rumahku. Aku mengangguk dan dia pula mengikut pak
ngah balik.
Jendela aku tutup, bangun perlahan-lahan dan melabuhkan punggung di depan cermin.
Aku menguraikan rambut yang aku sanggul tinggi. Aku mengeluh panjang melihat pantulan imej
aku pada cermin.
Aku terpinga-pinga bila emak katakan keluarga sebelah sana inginkan majlis
perkahwinan berlangsung pada bulan depan. Kenapalah cepat sangat? Emak kata lagi, ini semua
permintaan cik abang aku sendiri. Dia mahukan majlis itu berjalan secepat yang mungkin. Kalau
boleh, esok juga dia nak langsungkan.
Aku membentuk-bentuk bibir tidak puas hati. Isy… dia ni memang suka buat keputusan
tanpa persetujuan aku. Ada ke patut bagi tempoh sebulan aje? Mana sempat nak buat persiapan.
Aku terjerit kecil bila emak tiba-tiba menekan kuat buku laliku. Aduh… rasa macam nak
patah buku laliku. Emak tersengih dan meminta maaf.
AKU meluahkan rasa ketidakpuasan hatiku kepada abang tentang majlis perkahwinan kami.
Cuba membangkang keputusannya mengadakan majlis itu sebulan dari sekarang. Aku merungut-
rungut. Mana mahu tempah mak andam, kad jemputan, bunga telur dan segala macam barang
yang berkaitan dengan majlis. Bila aku nak mintak tangguh sampai dua tiga bulan lagi, hmm…
mentah-mentah ditolaknya.
“Sudah, mak nenek. Tak payah nak risau-risau. Semuanya abang dah uruskan. Mak
andam ke, bunga telur ke, jurugambar ke, apa lagi? Perakam video ke? Semua abang dah
uruskan. Faiz cuma perlu persiapkan diri saja untuk jadi isteri abang.”
Aku bulatkan mata kepadanya. Dia dah uruskan? Bila ketikanya?
“Seminggu yang lepas,” balasnya dengan muka selamba bila aku tanyakan tentang
persiapan yang dilakukan itu. Wah... makin geramlah aku dibuatnya. Tengok! Dia dah buat awal-
awal tanpa beritahu aku terlebih dahulu. Semuanya sudah dirancang dari awal. Cis! Oleh kerana
terlampau geram dan memikirkan aku dipermainkan, aku mencubit lengannya bertubi-tubi,
ganjaran atas apa yang dia dah buat sekarang. Hah... ambik!
19
AKU geram dan sakit hati dengan Ellin yang galak gelakkan aku yang berjalan terdengkot-
dengkot membawa kaki yang sakit. Kurang asam! Aku dahlah sakit kaki macam ni, boleh pulak
dia gelakkan aku bagai nak rak! Ada yang kena makan kaki juga karang. Dengan hati yang
mendongkol geram, aku masuk juga ke tempat biasa aku sambil menjeling marah kepada Ellin
yang ketawakan aku tak henti-henti.
“Ambik kau!” Kelekung bunyinya bila aku ketuk kepalanya dengan mangkuk aluminium
yang selalu diletak ubat di dalamnya.
Ellin menggosok laju-laju kepalanya yang aku ketuk. Dia mencubit pula lenganku.
Terketap-ketap bibirnya. Mata birunya (eleh, contact lens!) mencula-cula memandang aku. Huh,
ingat aku takutlah tengok sinaran mata maut dia tu. Tak heran pun kalau takat mata biru tu. Aku
buat bodoh saja.
“Sedapnya kau ketuk kepala aku ya? Kepala aku ni bayar zakat tiap-tiap tahun tau.
Isy…” Ellin membebel-bebel. Lengan aku dicubit.
Aku buat selamba saja. Padan muka. Suka-suki nak ketawakan aku.
“Eh, apa cerita kau kat kampung? Dah bincang ke pasal tarikh nak langsungkan
perkahwinan kau?”
Aku pandang Ellin dengan seribu satu perasaan pelik. Eh, tadi bukan main lagi mata biru
dia tu mencula-cula tenung aku. Sekarang nak tanya pulak? Eh, minah ni, cepat betul berubah
moodnya.
“Faiz… ceritalah cepat. Kau ni…” Dia merengek-rengek manja kepada aku.
Lengan aku digoyang-goyang sampai nak tersungkur aku dibuatnya. Dahlah kaki aku tak
seimbang, sakit sebelah. Buatnya aku jatuh kat sini karang, Macam nangka busuk sekali lagi aku
dibuatnya. Isy… Aku menarik lengan aku daripada dipeluknya, mengherot-herotkan bibir
merenung mukanya yang sudah berkerut-kerut.
“Sakitlah, Lin. Kalau ya pun, sabar-sabarlah. Kaki aku ni dahlah sakit, kau tambah pulak
dengan goncangan maut kau tu. Tak pasal-pasal aku tergolek macam bola takraw kat sini
karang.” Aku duduk di kerusi dan menggosok-gosok kaki aku yang terasa berdenyut-denyut.
Ellin sudah menjuihkan bibir. Cantiklah muncung itik dia tu. Aku tarik buat ampai baju
nanti baru tahu. Tapi dia tetap merengek-rengek dengan aku. Kali ini, hujung baju aku pula
ditarik-tarik, meminta aku bercerita. Ya Allah, budak bertuah ni!
Kedatangan Dr. Zarif di kaunter ini menyebabkan Ellin berhenti merengek-rengek. Nasib
baik kau datang, Dr Zarif oi..
“Sibuklah Dr. Zarif ni. Isy…” Ellin merungut dan terus berlalu ke belakang.
Dr. Zarif pula melopong bila tengok Ellin membentak marah begitu. Sudahlah dirinya
dikatakan menyibuk.
Tak pasal-pasal dia pula yang terlibat. Eii… budak Ellin ni. Aku mengalih pandangan
kepada Dr. Zarif semula, memaniskan sikit roman wajah. Kesian dia.
“Kenapa Lin tu?” Dr. Zarif bertanya dan memuncungkan sedikit bibirnya ke arah Ellin.
Aku turut memandang ke arah Ellin di sebalik rak. Muncung saja. Hei… entah apa-apa
agaknya minah seorang ni.
“Alah… tak ada apa-apa. Dia tengah ada angin senggugut tu. Biasalah, orang
perempuan,” kata aku selamba sambil tersengih-sengih. Dia tersenyum sedikit. Kemudiannya
aku bertanya hal apa yang membuatkan dia datang ke mari.
“Saya… saya… erm…”
Eh, eh… doktor seorang ni, apa kes yang terkemut-kemut? Tak pernah pula aku tengok
dia macam ini. Pelik bebenor aku rasa. Apa yang melanda doktor kelas A ni (Kelas A hanya
untuk golongan yang handsome. Hehehe. Pandai-pandai saja kelaskan orang!) sampai tergaru-
garu macam monyet lapar ni?
“Saya… saya… Apa ni, Dr. Zarif oi? Nak malu-malu kucing pulak dengan saya ni. Isy,
cakap ajelah. Nak suruh saya pinangkan Dr. Farah ke? Don’t shy shy cat.” Aku mengusik.
Aku memang tahu sangat yang Dr. Farah cantik jelita itu suka sangat-sangat kepada dia.
Dia pula boleh buat tak tahu saja dengan orang tu. Sengaja nak jual mahal. Apalah Dr. Zarif ni!
“Isy… awak ni, Faiza. Ke situ pulak. Saya sebenarnya nak jumpa awak. Ada perkara
penting yang saya nak cakapkan.”
Aku melongo, garu-garu kepala memandangnya. Nak jumpa aku pulak apa hal? Bila aku
tanya kenapa, dia tak mahu cakap di sini. Alasannya, perkara ini terlalu peribadi. Tak boleh
cerita di sini. Aku menelan liur memandang muka Dr. Zarif di depan. Terkeluh kesah dengan
permintaannya.
YA ALLAH… Apa sudah jadi ni? Kenapa semua ni jadi kat aku? Ya Allah ya Tuhanku!
Aduh… duh… macam-macam dugaan yang aku hadapi sekarang. Aku menghantuk-
hantuk kepala pada dinding bilik air sampai berpinar kepala otak. Cuba menyedarkan diri kalau-
kalau aku sedang bermimpi. Tapi tetap macam biasa. Tiada perubahan. Tampar pipi, sakit. Cubit
paha, perit. Isy… ini memang betul-betul.
Aku berjalan ke hulu ke hilir di dalam bilik air. Nasib baik tukang cuci sudah bersihkan
tadi. Sekurang-kurangnya, terciumlah bau wangi sabun sikit. Taklah hidung aku sesak.
Isy… macam mana Dr. Zarif boleh cakap macam tu? Macam nak terkeluar biji mata aku
bila dengar dia meluahkan isi hati kepada aku. Dia suka kat aku? Dia jatuh cinta dengan aku?
Aku tanyakan diri sendiri melalui pantulan cermin.
“Saya tau awak dengan Sharizal, Faiza. Tapi, saya tak boleh nak tahan perasaan saya.
Saya benar-benar sukakan awak. Saya dah jatuh cinta dengan awak. Dah lama saya pendam
perasaan ini, tapi saya takut nak luahkannya pada awak. Saya takut awak tak dapat terima saya.
Tapi, ternyata saya terlambat. Sharizal lebih dulu mendekati dan menyayangi awak. Memang
saya mengaku saya pengecut dan tak gentleman macam Sharizal. Tapi percayalah… saya sedang
tunggu masa untuk luahkannya pada awak, Faiza. Dan saya telah terlambat. Benar-benar
terlambat. Sharizal terlebih dulu menawan hati awak. Saya rasa terkilan sangat.
“Saya sekadar meluahkan rasa sahaja. Saya rasa terkilan kalau tak dapat luahkannya pada
awak. Sekarang, saya rasa lega sebab dah luahkannya pada awak. Sekurang-kurangnya, ringan
sikit beban yang saya tanggung sekarang. Terima kasih kerana sudi mendengar, Faiza.”
Begitulah antara luahan rasa Dr. Zarif. Mukanya yang selalu tenang dan sentiasa
tersenyum berubah riak. Sugul dan tidak berseri.
Aduh… kenapa waktu macam ni kau nak luahkan perasaan kat aku hah, Dr. Zarif? Aku
mengeluh panjang. Tak sangka selama ni dia menaruh hati kepada aku. Tapi kenapa aku?
Kenapa tak orang lain? Kenapa tak Dr. Farah yang cun-melecun dan memang menaruh harapan
tinggi menggunung kat dia? Aduh…
Aku sekarang sudah ada abang. Aku sayang dan cintakan dia. Tak mungkin aku
berpaling hanya kerana Dr. Zarif meluahkan isi hatinya kepada aku. Tak mungkin berlaku.
“Saya harap Dr. Zarif akan bertemu dengan pasangan yang sesuai dan lebih baik daripada
saya. Err… saya pun tak tahulah nak cakap apa, mmm…”
Itulah jawapan aku sambil garu-garu kepala. Sungguh aku blur sampai tak tahu nak cakap
apa lagi. Aku tak reti nak membalas balik ayatnya itu. Sudahlah aku tak biasa dengan keadaan
macam ni. Aduh, Dr. Zarif ni!
“Faiz!”
Aku tersentak bercampur terkejut mendengar sergahan itu. Macam nak luruh jantung aku
dibuatnya. Aku berpaling ke pintu masuk tandas. Ellin memandang hairan, mengerutkan muka.
“Kau buat apa lama-lama kat sini? Tenung cermin lama-lama. Lepas tu simbah muka
dengan air sinki. Kau tengoklah muka kau yang dah basah tu. Habis basah tudung kau tu. Ya
Allah, budak ni…” ujar Ellin sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Aku meraba muka aku yang memang sah basah. Tudung aku juga dah basah terkena
percikan air. Apalah aku ni. Mengelamun kat sini. Dalam tandas pula tu. Isy…
Ellin mengajak aku makan tengah hari. Rupanya dari tadi dia tunggu aku. Ni semua gara-
gara Dr. Zarif yang mengajak aku bermesyuarat di kaki lima yang orang jarang lalu. Mesyuarat
tergempar lagi menggegarkan aku. Isy… Dr. Zarif, oh, Dr. Zarif.
ELLIN menjerit ketika aku katakan kepadanya yang tarikh perkahwinan aku sebulan dari
sekarang. Aku mengetil lengannya. Ada ke patut dia menjerit di sini? Aku pula yang malu bila
semua mata memandang kami. Aku dan Ellin mengangkat tangan tanda minta maaf.
Isy, minah poyo ni! Pantang kalau aku buka cerita sensasi macam ini. Mudah saja nak
menjerit macam Tarzan panggil monyet kat hutan. Aku menjeling tidak puas hati kepadanya.
“Baguslah. Syukur Alhamdulillah, akhirnya kau jadi juga dengan dia. Aku gembiralah,
sis.” Ellin tak habis-habis tersenyum. Macam gembira sangat bila dengar aku akan berkahwin
dengan doktor kesayangannya itu. Dia menepuk tangannya laju-laju.
“Yang kau excited sangat ni kenapa?” tegur aku bila melihat Ellin gembira bukan main.
Pelik dengan reaksinya yang sebegitu.
Ellin mencuit dagu aku sekilas. Aku menepis.
“Mestilah aku gembira sebab kau nak kahwin. Takkan aku nak sedih pulak,” balasnya
dan menyambung semula senyumannya. Kedua-dua tangannya menongkat dagunya.
Aku cebikkan bibir. “Kalau kau nak kahwin pun boleh. Nanti aku tolong tanyakan Dr.
Azri, ya?”
Ellin menjerit kecil apabila mendengar cadangan aku. Lengan aku ditampar laju-laju.
“Banyaklah kau! Tak pasal-pasal aku pelangkung kau karang!” jerkahnya sambil tersenyum
malu.
Aku tersengih dan mengejeknya dengan lidah terjelir apabila raut wajah Ellin berubah
rona. Sukalah tu…
Kepada Ellin juga aku ceritakan perihal Dr. Zarif yang meluahkan isi hatinya. Bukan
main terperanjat lagi dia. Hampir saja air jus oren yang disedutnya itu tersembur ke muka aku.
Matanya terbuntang luas ke arahku.
“Biar betul Faiz! Dah gila ke apa Dr. Zarif tu? Berani mati betul mengaku dah jatuh cinta
dengan kau? Habis, cik abang tau tak?”
“Tak taulah. Eh, aku pun tak sangka rupanya dia ada hati dengan aku. Selama ni, dia
pendamkan aje. Isy… aku tak tahulah, Lin.” Aku mengeluh kepada Ellin. Bibir yang nipis aku
gigit-gigit. Aku sebenarnya kesian kepada Dr. Zarif.
Pap! Aduh! Aku memegang pipi yang tiba-tiba ditampar Ellin. Perit yang amat sangat.
Berkerut-kerut muka aku memandangnya. Kenapa budak ni tampar aku pulak? Ni yang aku tak
puas hati ni.
“Itu tamparan untuk menyedarkan kau. Kau sekarang dah ada Dr. Sharizal. Kau juga
akan kahwin dengan dia tak lama lagi. Kenapa kau nak fikirkan pasal Dr. Zarif pulak? Jangan
cakap kau pun suka dekat Dr. Zarif?”
Aku menjerit kecil mendengar ayat-ayat terakhirnya. Giliran aku pula menampar
mukanya. Tapi lembut sikitlah daripada dia.
“Kau jangan main tuduh pulak. Aku takkan main-mainkan perasaan cik abang aku tu.
Aku sayang dia separuh nak mati kau tau tak. Aku cuma kesian pada Dr. Zarif. Tak lebih
daripada tu. Kau yang fikir bukan-bukan,” balas aku pula, menggosok pipi aku yang perit
ditampar percuma. Terkejut beruk bila sedap-sedap saja tangan Ellin mendarat di pipi aku.
Mangkuk tingkat!
“Dr. Zarif tu yang lembap sangat nak ushar kau. Padahal, dulu selalu jumpa. Buat-buat
tak nampak aje. Bila Dr. Sharizal dah dengan kau, sibuk nak luahkan isi hatilah, apalah. Dia juga
yang melopong sekarang. Lambat bertindak. Padan dengan muka dia. Lembap sangat!”
Berbakul-bakul Ellin mengutuk.
Kalau bab mengutuk orang, dialah ratunya. Rajanya pulak siapa lagi kalau bukan taiko
besar dia tu. Dr. Maisara janda meletup!
20
HARI minggu. Abang mengajak aku keluar, atau dalam erti kata lain, pergi datinglah kononnya.
Dia ingin menyelesaikan segala urusan yang berkaitan dengan majlis perkahwinan kami yang
akan berlangsung sebulan dari sekarang.
Kini, aku berada di butik pengantin untuk mencuba pakaian pengantin yang ditempahnya.
Rekaannya memang menarik dan cantik. Jangan tak tahu, idea untuk mereka baju pengantin ini
adalah idea dia. Wah… kreatif juga dia ni. Macam tak percaya pula.
Setelah selesai urusan di butik pengantin itu, dia terus membawa aku ke kedai emas.
Hendak belikan aku gelang sebagai hantaran perkahwinan. Dia kata, aku dah tak boleh pakai
cincin lagi sebab dua-dua jari manis aku sudah ada dua cincin berlian. Aku ketawa
menampakkan gigi saja bila dia kata begitu. Kali ini, bukan berlian dia berikan, sebaliknya emas
seratus peratus. Reka bentuknya pun cantik dan up to date. Macam nak terbuang air besar aku
bila tahu harga gelang yang dipilih itu bernilai ratus ribu ringgit.
Mak tuan oi… mahalnya. Buat apalah nak beli mahal-mahal macam ini untuk aku? Aduh,
cik abang aku ni… Aku sudah tercengang-cengang bila dia mengacukan gelang ribuan ringgit itu
ke pergelangan tangan aku.
“Tak apalah. Bukan untuk orang lain. Untuk isteri abang juga nanti.”
Aku diam tak kata apa. Hanya mampu menelan air liur saja bila dia menyuruh pekerja
kedai emas itu membungkus gelang yang dipilih itu.
“ABANG ni, kenapalah beli gelang yang mahal sangat macam tu? Faiz rasa tak sedap hatilah.”
Aku suarakan rasa ketidaksedapan hati aku. Aku takut nak pakai gelang mahal-mahal begitu.
Tadi pun tangan aku menggigil bila dia pakaikan gelang mahal itu di pergelangan tangan aku.
Orang macam aku ni, entah berapa lama agaknya baru dapat beli barang mahal macam
itu. Entah-entah, memang tak dapat beli langsung. Bukan sikit harganya. Kalau ribu-ribu, insya-
Allah aku boleh beli. Ni, puluh-puluh ratus ribu. Tak menggigil kepala lutut dengar?
“Abang beli untuk isteri abang juga. Tak salah kalau kita hadiahkan barang yang mahal
untuk orang yang kita sayang. Dahlah. Cuba jangan fikirkan benda yang remeh-temeh ni,”
katanya pula. Pegangan tangan kami diperkemas.
Aku terkebil-kebil memandangnya. Sebuah senyuman diberikan untuk aku.
“Abang suka belikan yang mahal-mahal untuk Faiz. Cincin dah dua abang beli. Ni pun
bukan murah harganya. Sekarang, abang beli gelang yang harga dia pun ratusan ribu. Lepas dah
tolak tambah kira bahagi, lebih sejuta dah abang belanja untuk Faiz hanya untuk tiga barang saja.
Abang tak rasa membazir ke? Duit abang habis untuk Faiz saja?”
Dia ketawa kuat bila aku bebelkan perkara tu. Hidung aku dicubit kuat.
Aku jadi pelik dan bengong. Apa yang lucu sangat sampai dia ketawa gaya penghuni
Hospital Bahagia? Aku melawak ke tadi? Aku menggaru kepala yang tak gatal. Dahi aku kerut-
kerutkan. Entah apa-apa agaknya.
“Kenapalah Faiz ni asyik nak tanya soalan macam tu saja? Kan abang dah kata, semua ini
untuk isteri abang juga. Untuk Faiz. Tak ada istilah bazir-membazir kat sini. Abang lakukan
semua ini untuk Faiz, orang yang akan jadi isteri abang yang sah. Okey? Titik,” jelasnya lagi
dengan gaya yang beria-ia.
Aku terkebil-kebil lagi sekali. “Tapi…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Please… jangan tanya soalan macam tu lagi okey. Sekarang ni,
jom kita pergi makan. Dari pagi tadi kita tak makan. Perut abang pun dah berdondang sayang
dah ni. Kalau lambat diisi nanti masuk angin. Dah masuk angin nanti sakit perut. Lepas tu, siapa
nak angkat abang? Nak harap Faiz tu… hmm, entah-entah ditinggalkan saja abang kat sini.”
Pantas aku mencubit pinggangnya. Dia mengaduh sambil ketawa. Amboi, sedapnya
cakap macam tu. Hah, ambik lagi. Aku cubit buat kali kedua. Aku mengetap-ngetap bibir dan
menjelingnya yang sedang tersengih-sengih. Dia mencuit hidung aku sekali imbas.
“Alah, comel-comelnya muka dia tu! Alah, busyuk-busyuk.”
Pipi aku pula mahu dicubit tapi sempat aku mengelak. Pura-pura merajuk lagi. Biarkan.
Aku nak merajuk dengan dia hari ini walaupun ia perkara yang tak masuk akal untuk aku
rajukkan.
“Janganlah buat muka monyok macam tu. Tak cantiklah.”
“Suka hatilah! Muka Faiz, bukan muka abang pun.” Aku menjuihkan bibir lagi tanpa
memandangnya. Konon merajuk lagi. Tapi apabila dia dengan selamba mengangkat badan aku
yang agak kecil lalu didudukkan di tempat mainan kanak-kanak yang satu kali pusing lima puluh
sen itu, aku terjerit-jerit dan ketawa.
Aku hendak turun, tapi ditahannya dan dimasukkan duit lima puluh sen ke dalam mesin
itu. Badan aku tergoyang-goyang ikut mainan kuda Babylon ini. Dia dengan senang hatinya
ketawakan aku sampai merah muka. Aku apa lagi, macam nak pecah perut pun ada bila duduk
atas mainan yang bergoyang-goyang itu. Nak turun pun tak mampu rasanya sebab terlalu asyik
ketawa.
“Abang ni jahatlah!” Aku menampar badannya bertalu-talu setelah aku turun sendiri dari
mainan kuda Babylon itu. Ketawa masih lagi bersisa. Aku malu bila dilihat orang. Aku tengok
budak kecil yang duduk di atas mainan kapal terbang itu terkebil-kebil melihat aku.
“Hah? Sekarang nak monyok lagi tak? Nak monyok lagi tak?”
Aku menggeleng laju-laju sambil ketawa. Kelakar betullah. Malunya bila aku
didudukkan di atas mainan itu. Abang tersenyum menang. Sukalah tu! Aku menjeling manja
kepadanya. Dia kemudiannya memberi kanak-kanak yang terkebil-kebil tengok aku tadi wang
kertas RM50. Pipi budak comel itu dicubit. Mak dia pula terkebil-kebil.
“Duit beli aiskrim,” kata abang sambil menggosok-gosok kepala budak lelaki dalam
lingkungan lima tahun itu sebelum berlalu.
Pemurahnya cik abang aku ni. Hati aku berbisik.
AKU sudah mengedarkan kad jemputan perkahwinan aku yang bakal berlangsung lagi dua
minggu. Kad jemputannya lambat siap. Padahal, abang kata dia dah tempah sebulan lebih awal.
Alah, tak apalah. Orang yang buat kad jemputan pun banyak tempahan.
Hmm… aku jemput semua orang. Daripada mak cik-mak cik cleaner sampailah ke pihak
atasan sana. Masing-masing ucapkan tahniah dan langsung tidak menyangka aku dengan abang
akan berkahwin. Bila ditanya pasal pertemuan pertama aku dengan abang, aku hanya tersenyum
saja tanpa memberikan jawapan.
Mana boleh! Hehehe… Biarlah rahsia.
Aku juga melayangkan kad undangan itu kepada Dr. Zarif. Dia mengucapkan tahniah dan
aku perasaan riak wajahnya tidak seceria orang lain. Kenapa? Dia kecewa ke? Isy, yang aku
kisahkan sangat ni kenapa? Bukan aku pun yang suruh dia jatuh cinta dengan aku. Betul tak?
Tapi, aku tetap kesian. Nanti aku tolong rekomenkan dia dengan Dr. Farah. Mana tau boleh lekat
ke? Belum cuba belum tau, kan?
TINA cari pasal lagi dengan aku hari ini. Kali ini dia ketika di tempat parkir pula. Dia
mengekori aku sehingga ke pintu kereta dan menolak kasar tubuhku. Bengangnya aku! Tak
pernah seumur hidup aku diperlakukan begini. Apa kena dengan minah senget ni? Sakit badan
aku terhentak kuat ke badan kereta. Kurang asam kering! Aduh…
“Hoi! Kau ni kenapa, hah? Tak puas hati lagi dengan aku? Apa masalah kau ni?” herdik
aku kuat. Giliran aku pula menolak tubuhnya jauh-jauh. Geram betul aku dengan minah seorang
ni. Makin aku biarkan, makin menjadi pula. Dah lebih ni! Tahap kesabaran aku dah sampai ke
kemuncak sekarang ni.
“Aku nak kau putuskan hubungan kau dengan Dr. Sharizal sekarang juga! Dia milik aku!
Kau faham tak?” Keras nada suara Tina memberi amaran.
Bercekak pinggang dengan mata yang dijegilkan macam tu, ingat aku takut sangatlah!
Muka macam nenek kebayan! Tak payahlah… buang karan aje.
“Tina, aku malas nak bertekak dengan kaulah. Aku ada banyak benda nak kena uruskan
ni. Tak ada masa nak bertekak dengan kau. Kalau kau nak gaduh pun, nanti-nantilah ya. Ha, aku
dengan Dr. Sharizal kesayangan kau tu dah nak kahwin minggu depan. Nah kadnya.” Aku cuba
berlembut dan dengan sopan menghulurkan kad undangan kepadanya.
Dia menepis kasar tangan aku. Terpelanting terus kad undangan itu. Mukanya semakin
membengis menikam muka aku. “Kurang ajar!”
Aku sempat menyambar tangannya yang cuba melepaskan satu tamparan ke pipi aku.
Tangannya aku pulas ke belakang sehingga dia merintih kesakitan. Badannya aku tolak kasar ke
kereta. Aku mendekatkan mulut ke cuping telinganya. “Tina, aku tak suka nak berkasar dengan
orang sebenarnya. Tapi, tindakan kau yang paksa aku berbuat begini.
“Kau dengar sini amaran aku ya. Lepas ni, aku tak mahu kau ganggu hidup aku lagi
sebab aku tak pernah pun ganggu hidup kau. Kalau Dr. Sharizal tak beri perhatian atau suka kat
kau, itu bukan masalah aku. Lebih baik kau tanya dia sendiri. Tapi, satu aku nak pesan kat kau.
Sekali lagi kau ganggu aku, aku tak teragak-agak nak belasah kau! Kau faham?” Serentak
dengan itu, aku menolak tubuhnya ke depan dan melepas kasar genggaman tanganku di
pergelangan tangannya.
Tina mengaduh sakit sambil memegang tangannya yang aku pulas.
Tanpa menunggu lagi, terus aku masuk ke dalam perut kereta. Pantas menghidupkan
enjin kereta. Tina datang lagi dan mengetuk kuat cermin keretaku dan menjerit entah apa. Aku
tak dengar. Aku terus keluar dari petak parkir dan meluncurkan kereta keluar dari kawasan
hospital tanpa mempedulikan jeritannya. Malas nak layan perempuan tiga suku tu!
Eii... geramnya aku dengan Tina. Apa lagi yang dia tidak puas hati dengan aku pun aku
tak tahu. Kenapa dia nak kacau hidup aku? Bukan salah aku pun kalau abang tak pilih dia. Bukan
aku yang suruh abang pilih aku. Dah dia dah tangkap cintan dengan aku, aku nak buat apa lagi?
Hei! Bengang aku bila fikirkan tentang Tina. Minah psiko.
Mahu saja aku beritahu abang tentang perilaku Tina. Hendak saja aku cakap yang Tina
selalu mengganggu aku. Tapi, aku tak mahu. Nanti Tina juga yang malu. Sejahat-jahat aku pun,
(Jahat ke aku ni…?) aku takkan mengaibkan kaum aku sendiri, walaupun aku tersangatlah marah
dengan dia yang tak habis-habis nak kacau aku. Macamlah tiada lelaki lain dalam dunia ini yang
dia mahukan. Kenapa dia tidak mahu terima hakikat yang hati dan perasaan abang bukan untuk
dia?
AKU terkejut apabila kereta aku diblok beberapa buah kereta mewah Mercedes Benz berwarna
hitam. Mereka berhenti berderet di belakang, depan dan tepi kereta aku sampai aku tak boleh
hendak ke mana-mana. Aku terpinga-pinga. Dada aku tiba-tiba berderau dan jantung berdegup
laju. Dalam otak dah mula fikirkan yang bukan-bukan.
Siapa mereka ini? Kenapa blok aku pula? Peluh anak dara mula menitik di dahi walaupun
penghawa dingin kereta terpasang. Aku jadi tidak keruan.
Aku memerhati saja seorang demi seorang keluar dari tiga kereta mewah itu. Masing-
masing berdiri menegak saja di tepi kereta masing-masing. Kesemua mereka berpakaian formal
seperti Men In Black dan berkaca mata hitam.
Aduh… apa pulak ni? Men In Black mana pulak ni? Mereka nak apa dengan aku? Nak
culik aku ke? Aku bukan anak orang kaya pun. Nak samun aku? Aku belum gaji lagi. Kat dalam
purse aku ada beberapa helai not RM50 saja.
Ketukan pada cermin keretaku buat aku tersentak. Aku berpaling muka ke cermin tingkap
kereta dan salah seorang daripada mereka menggamit aku menurunkan cermin kereta. Aku ikut
saja arahannya, menurunkan sedikit saja.
“Awak ni Nur Faiza Iman binti Kamaludin?” Dia bertanya sopan.
“Ya. Ada apa, encik? Macam mana encik tahu nama saya?” Aku bertanya kembali.
Berani-berani takut. Pelik macam mana dia boleh tahu nama aku sedangkan aku tak kenal dia.
Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya menyuruh aku turun dari kereta dan mengikutnya
ke kereta di depan.
Aku sudah mula rasa lain macam. Kenapa pula dia nak suruh aku ke kereta dia? Cakap
kat sini tak boleh ke? Entah-entah…? Cepat-cepat aku naikkan cermin kereta aku, tapi dia dapat
menahannya. Aku panik bila tangannya terjulur dari tingkap kerana tersepit.
“Cik, tolong ikut arahan saya, cik. Saya tak buat apa-apa pada, cik. Percayalah. Tolong
ikut saya ke kereta depan cik ni. Ini perintah Tengku Mariam.”
Aku beliakkan mata. “Tengku Mariam?”
AKU termenung sendiri di kamar mandi. Aku biarkan saja air dari pancuran jatuh, terjun
mengenai aku yang masih memakai baju tadi. Aku biarkan juga air mata ikut membasahi baju
bersama air pancuran mandi. Air mata juga sudah kering sejak aku balik tadi.
Bunyi telefon bimbit berdering-dering aku biarkan senyap sendiri. Aku tahu siapa yang
telefon aku. Buat masa ini, aku malas hendak jawab panggilan telefon. Biar ia bunyi dan mati
sendiri. Ya Allah ya Tuhan-ku… kenapa aku diduga sedemikian rupa?
“SAYA tak suka kamu berkawan dengan anak saya. Saya juga tak suka kamu jadi isteri anak
saya, menantu saya. Kamu tak layak.”
Aku tersentap mendengar setiap bait kata yang dilontarkan Tengku Mariam, bonda
kepada abang. Agak pahit untuk aku telan semua kata-katanya. Aku terpaksa menahan hati
mendengarnya, walaupun pedih untuk diterima. Aku hanya mampu diam dan langsung tidak
berganjak dari tempat aku duduk, di sebelahnya yang berwajah angkuh. Sesekali dia memandang
aku dengan pandangan yang menjengkelkan.
“Dari dulu saya berkenan hendak menjodohkan anakanda saya dengan Tengku Shareen.
Huh… mesti awak tak kenal Tengku Shareen. Dia puteri raja. Berketurunan baik-baik. Dia lebih
baik dan lebih bergaya daripada awak. Dia juga lebih cantik daripada awak dan dia sangat
sepadan dengan anakanda saya. Dia saja yang paling layak dengan anakanda saya. Bukan gadis
kampung seperti awak ni! Yang datang entah dari mana dan dari latar belakang keluarga yang
macam mana. Berdamping dengan anakanda saya kerana mahu dapatkan harta. Entah-entah,
keluarga awak yang suruh awak rapat dengan anakanda saya untuk dapatkan hartanya.”
Sekali lagi aku tersentap mendengar hujahan Tengku Mariam yang berbaur penghinaan.
Penghinaan terhadap keluarga aku. Penghinaan kepada diri aku sendiri. Setiap patah perkataan
daripadanya seakan mengandungi racun berbisa yang mampu melumpuhkan seluruh organ-organ
dalam badanku.
Aku memberanikan diri untuk berpaling dan menghadap mukanya di sebelah. “Tengku
Mariam, maafkan saya kerana meninggikan suara. Saya cuma mahu Tengku tahu, saya bukan
seperti yang Tengku sangkakan! Saya masih ada maruah! Saya berdamping dengan anakanda
Tengku bukan kerana harta! Saya cintakan dia sepenuh hati saya. Dan dia juga cintakan saya.
“Tak terlintas pun di hati saya mahu berdamping dengannya semata-mata kerana harta.
Saya bukan mata duitan! Saya bukan orang yang macam itu! Dan saya mohon, jangan hina
keluarga saya sampai macam tu. Keluarga saya masih ada maruah!” Tegas aku bersuara
membalas kata-kata yang menyakitkan daripada Tengku Mariam.
Aku tidak kisah kalau dia mahu menghina atau mengata aku apa pun. Yang aku tak suka
dia menghina keluarga aku sekali. Aku paling tidak boleh terima kalau keluarga aku dihina
sedemikian rupa. Mentang-mentanglah aku orang kampung dan tidak mempunyai harta, senang-
senang dipijak sedemikian rupa.
Tengku Mariam tersenyum sinis. Matanya yang penuh dengan perasaan benci kepada aku
dihalakan terus ke muka aku. Aku beranikan diri untuk bertentang mata dengannya. Menunggu
kata-kata yang bakal keluar dari mulutnya.
“Saya tak mahu tahu semua itu. Apa yang saya mahu, awak tolong jauhkan diri daripada
anakanda saya. Pergilah ke mana-mana pun, asalkan jauh daripada anakanda saya.”
Aku lihat dia mengeluarkan sekeping cek, menghulurkannya kepadaku. Aku terpinga-
pinga tanpa menyambut cek yang dihulurkan.
“Nah. Ambil cek ni. Tulislah seberapa banyak yang awak mahu. Saya akan beri. Tapi
awak mesti pergi daripada hidup anak saya. Perempuan seperti awak memang tidak layak
berdamping dengan anakanda saya.” Dia menyambung katanya dengan angkuh. Terkesima aku
dibuatnya.
Dia beri aku cek ini semata-mata mahu aku jauhkan diri daripada anakandanya? Aku
menekup mulut. Ya Allah! Hinanya aku rasa diri diperlakukan seperti itu. Dia ingat aku ni apa?
Boleh dijual beli macam tu saja? Tanpa membuang masa, aku terus keluar dari kereta Mercedes
Benz itu dan berjalan laju ke arah MYvi SE aku. Aku menangis ketika berlari menuju ke kereta.
“Faiza!”
Langkah aku terhenti bila mendengar teriakan Tengku Mariam. Aku terus tegak berdiri,
membelakanginya. Derapan tapak kasutnya semakin dekat di pendengaran telingaku.
Langkahnya terhenti di belakang aku.
“Faiza, saya tahu awak budak baik. Saya memang tahu itu. Tapi awak kena cermin diri
awak dulu. Lihat dulu siapa diri awak untuk bergandingan dengan anakanda saya. Dunia awak
dan dunia kami berbeza. Tak mungkin akan bercantum dan bersatu. Saya harap awak akan jumpa
dengan seseorang yang setaraf dengan awak dan bukan dengan keturunan raja seperti anakanda
saya.”
Aku masih diam mendengar kata-kata yang memedihkan hatiku kala ini, menghancurkan
kebahagiaan yang bakal aku bina. Kebahagiaan yang aku harap-harapkan menjadi milikku
berkecai juga akhirnya. Berkecai di tengah jalan.
“Ambillah cek ini. Tulislah seberapa banyak pun yang awak mahu. Saya akan sediakan.
Tapi tolong jauhkan diri daripada anakanda saya. Itu saja yang saya pinta.”
Aku berpaling muka, menghadapnya. Cek yang dihulurkan aku ambil dan koyak-
koyakkan menjadi cebisan halus. Cebisannya itu aku tebarkan ke udara. Mengenai batang
hidungnya sendiri. Tindakan aku itu memeranjatkannya dan semua lelaki-lelaki Men In Black di
sini.
“Tengku, saya tak perlukan semua ini untuk jauhkan diri daripada anakanda Tengku.
Saya masih ada harga diri. Saya tak rela harga diri saya dipijak lunyai macam ini. Kalau itulah
yang Tengku mahukan, baik, saya akan jauhkan diri saya daripada anakanda Tengku. Tapi ingat,
cinta saya terhadap anakanda Tengku tidak boleh dijual beli. Tidak ternilai harganya dengan
mana-mana barang pun di dunia ini. Cinta saya terhadap anakanda Tengku suci, tulus dan ikhlas.
Dia cinta sejati saya.”
Aku bersuara dengan suara yang sendu menahan tangis. Sedih bila dipaksa untuk pergi
dan meninggalkan abang sedangkan hari perkahwinan kami bakal berlangsung lagi seminggu.
Tak dapat aku bayangkan kalau emak tahu aku tak jadi untuk melangsungkan perkahwinan
dengan menantu pilihannya. Mesti emak dan keluarga aku akan mendapat malu.
Sebelum aku pergi, Tengku Mariam meminta aku untuk mengembalikan semula dua
bentuk cincin yang aku pakai. Dia katakan cincin yang aku pakai di jari manis kiri, cincin berlian
sewaktu abang melamarku di bawah pokok jambu itu adalah cincin warisan keluarganya. Cincin
itu hanya disarungkan apabila seseorang itu menjadi menantu kepada keluarganya.
Yang jelas, aku bukan menantu pilihannya. Pasti cincin itu akan disarungkan ke jari
manis Tengku Shareen, menantu pilihannya yang dirasakan sesuai untuk abang.
Aku tanggalkan jua cincin itu dengan hati yang berat. Aku cium dan beleknya sebelum
memberinya kepada Tengku Mariam.
“Terima kasih kerana memberi kerjasama. Saya harap awak akan bertemu jodoh dengan
seorang lelaki yang setaraf dan baik macam awak,” ujarnya lagi sambil tersenyum dan terus
berlalu ke keretanya.
Sejurus kemudian kesemua kereta mewah yang mengelilingi aku tadi terus meluncur laju
ke tengah jalan, membiarkan aku sendirian di sini. Aku merenung sayu kereta itu sehingga hilang
daripada pandangan mata.
Abang, kita tak boleh hidup bersama…
Aku membiarkan air mata terus membasahi pipi sebagaimana hati aku menangis dengan
perpisahan yang dipinta oleh bondanya sendiri.
Penulis : Lysa Allysa
Penerbit : Fajar Pakeer
Sem. Malaysia: RM22.90
Sabah / Sarawak: RM25.90
Pada mulanya, kehadiran Dr. Sharizal tak berapa nak diendahkan oleh Faiza, walaupun
kelibat lelaki itu sering mencuri perhatiannya. Lama-kelamaan, bila... lelaki itu mula
menunjukkan tanda dan sering memberikan isyarat cinta, Faiza tidak teragak-agak untuk
menerima cintany......a, walaupun perkenalan mereka tersangatlah singkat.
Perhubungan mereka pada mulanya tidak mendapat restu daripada ibu Dr. Sharizal
memandangkan terdapat perbezaan taraf yang sangat ketara. Bagi ibu lelaki itu, Faiza tidak
setaraf dengan anaknya. Di tempat kerja pula, Tina yang terkenal dengan sikap gedik dan
mengada-ada sering memberi amaran kepada Faiza agar menjauhkan diri daripada Dr. Sharizal.
Faiza jadi pelik dengan sikap terlebih suka yang ditunjukkan Tina.
Keadaan makin rumit dengan hadirnya Hakimi, kekasih lamanya yang datang kembali
untuk menagih cintanya semula. Ingin membetulkan keadaan. Namun, tidak diendah Faiza.
Sering kali dia melarikan diri setiap kali kelibat Hakimi menghampiri. Faiza jadi sangat tertekan
dan celaru. Ditambah pula dengan kejutan demi kejutan yang diterima, yang membuatkan
kehidupan bahagianya menjadi kacau-bilau.
Apakah kejutan yang diterima oleh Faiza? Siapa pula Tina yang beria-ia menghalangnya
daripada terus menjalin hubungan dengan Dr. Sharizal? Dan ibu mertuaku, bakal merestuikah
pilihan anakmu ini?
Dapatkan novel JIRANKU KEKASIHKU di POPULAR, MPH atau KEDAI-KEDAI
BUKU berhampiran anda. Layari di laman web penerbit di http://www.fajarnovels.com.my
Disediakan Oleh http://www.penulisan2u.my
"Kau ni aku tengok lepas kahwin bukan main montok lagi. Tengok pipi tu dah
macam telur dah. Senang hati ke?" soalnya pula lalu memasukkan keropok
Twisties ke mulutnya, Amboi, sedap betul makan tayang-tayang depan aku.
Macam sengaja.
"Memanglah senang hati sebab dah kahwin. Kalau kau nak montokkan badan
kau yang dah sedia kering macam kanak-kanak pesakit kwashiotkor ni, baik kau
kahwin, Syed. Kau ni dah kering kontang aku tengok" Aku memerlinya dengan
ketawa kecil.