1
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS
TAJUK : “MALAYSIA…DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA”
29 OGOS 2014M / 3 ZULKAEDAH 1435H
.
2
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
Khatib memperingatkan diri ini dan sidang jemaah yang dimuliakan
sekalian, marilah kita bersama-sama bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan
sebenar-benar taqwa, agar kita dapat melaksanakan segala perintah-Nya
dan menjauhi segala tegahan-Nya. Marilah bersama kita berpegang
kepada tali Allah S.W.T yakni dengan menjaga hubungan kita sebagai
hamba-Nya dan juga hubungan sesama insan, agar penyatuan ummah
dapat direalisasikan bermula di dalam rumah Allah S.W.T yang penuh
barakah ini. Nikmat Islam yang dikecapi dan hamparan luas keamanan
yang kita nikmati selama ini, seharusnya kita syukuri dengan
meningkatkan amal ibadah bagi memperkukuhkan lagi hubungan kita
dengan Maha Pencipta lagi Maha Berkuasa serta menjalin eratkan
hubungan kita sesama manusia. Semoga, hidup kita sentiasa dicucuri
rahmat serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah S.W.T di
dalam surah Ali-Imran ayat 103:
Maksudnya : “Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah,
dan janganlah berpecah belah”.
Sempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Negara yang ke 57 pada
tahun ini, mimbar akan membicarakan khutbah yang bertajuk
“MALAYSIA…. DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA.”
3
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,
Alhamdulilah, pada tahun ini genaplah lima puluh tujuh tahun kita
menyambut kemerdekaan. Bermula daripada laungan keramat oleh Tunku
Abdul Rahman Putra, secara rasminya negara kita Malaysia sudah
merdeka. Merdeka dalam erti kata bebas daripada belenggu penjajahan
dan penindasan. Saban tahun, apabila tibanya tarikh 31 Ogos, seluruh
rakyat Malaysia akan beramai-ramai menyambut kemerdekaan negara.
Sambutan kemerdekaan disambut di seluruh negara dengan pelbagai cara
dan pendekatan dan melibatkan penyertaan daripada semua golongan.
Sebagai rakyat Malaysia, adakah kita telah menghayati erti sebenar
kemerdekaan atau laungan kemerdekaan itu hanya sekadar di bibir sahaja.
Jika kita menyingkap kembali sejarah perjuangan saudara-saudara kita
yang terdahulu dalam menuntut kemerdekan, terlalu besar dan banyak
pengorbanan terpaksa mereka lakukan. Pengorbanan itu adakalanya
melibatkan nyawa, darah, keluarga serta harta benda. Kita tidak wajar
melupakan jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan yang
telah bekerja keras dalam pelbagai aspek secara langsung atau tidak
langsung demi menuntut sebuah kemerdekaan negara yang dicintai.
Contohnya Tunku Abdul Rahman Putra, Tok Janggut, Mat Kilau dan ramai
lagi yang membawa peranan masing-masing dalam usaha untuk menuntut
kemerdekaan.
Bersesuaian dengan tema sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini
iaitu MALAYSIA….DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA, khatib ingin
4
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
mengupas erti kemerdekaan menurut perspektif Islam dalam menghayati
sesebuah kemerdekaan.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
Apabila disoal tentang apa itu erti kemerdekaan, pelbagai versi jawapan
akan kita perolehi, malah setiap jawapan berbeza-beza mengikut
pandangan dan peringkat umur. Sebagai contoh, sesetengah orang
berpendapat bahawa manusia akan merdeka apabila negaranya merdeka.
Sesetengah yang lain pula menganggap bahawa kemerdekaan itu mesti
dihayati dan dinikmati sepenuhnya dengan melakukan apa sahaja yang
terlintas di hati dan terlihat di mata. Ada juga yang berpendapat bahawa
kemerdekaan bermakna kita berpuas hati terhadap apa sahaja yang ada
pada hari ini walaupun tiada sebarang usaha dan dorongan untuk
menghayati maksud kemerdekaan yang sebenar. Kemerdekaan itu sendiri
boleh ditakrifkan dengan pelbagai maksud. Menurut Kamus Dewan,
merdeka membawa maksud bebas dan lepas daripada penjajahan,
naungan atau kurungan. Ia juga membawa maksud berdiri sendiri, iaitu
tidak bergantung kepada orang lain.
Dalam menilai sejauh mana kita memahami dan menghayati erti
kemerdekaan, didiklah diri untuk mengetahui maksud kemerdekaan
sebenar mengikut perspektif dan pandangan Islam. Kemerdekaan
merupakan salah satu prinsip asas dalam syariat Islam. Islam sendiri
melihat kebebasan sebagai suatu keperluan asasi bagi setiap manusia.
Keperluan yang mana amat diperlukan oleh setiap makhluk yang
bernyawa. Rasulullah SAW menjadi contoh teladan yang sangat hebat.
5
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
Pada zaman pemerintahan Baginda SAW sendiri, setelah memenangi
satu-satu peperangan, Baginda dan para sahabat memberi pilihan kepada
tawanan untuk memilih kebebasan. Ini kerana Islam menerapkan
kebebasan dan bukannya penjajahan. Islam bukan agama yang bertujuan
untuk menguasai tetapi ia lebih kepada memberi kebebasan untuk
menerima kebenaran.
Kemerdekaan adalah suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT
kepada umat manusia di atas bumi ini. Namun, tidak semua mampu
merasai nikmat kemerdekaan, malah masih ada negara yang dalam
peperangan dan penjajahan seperti apa yang berlaku sekarang ini di bumi
Palestine. Ia memperlihatkan kepada kita bahawa kebebasan itu bukan
sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Pelbagai usaha telah dilakukan
oleh rakyat Palestine dalam mendapatkan kebebasan negara mereka.
Berkorban nyawa, menumpahkan darah di bumi sendiri, namun nikmat
kebebasan masih belum dikecapi bertahun-tahun lamanya. Begitu juga
apa yang berlaku kepada umat Islam Rohingya yang dihalau dan diusir
daripada tanah air mereka sendiri. Semua perkara ini menzahirkan
bahawa nikmat yang amat didambakan oleh seseorang individu dan
sesebuah negara yang berdaulat adalah kemerdekaan, tetapi hasrat
tersebut dipandang enteng oleh mereka yang telah lama dan pernah
merasai kemerdekaan.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
Firman Allah SWT dalam surah Yusof, ayat 108:
6
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad) “Inilah jalanku, aku dan
orang-orang yang mengikutku, menyeru kepada Allah dengan berdasarkan
keterangan dan bukti yang jelas nyata. Maha Suci Allah, dan bukanlah aku
daripada golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang
lain”.
Ayat tadi menegaskan bahawa manusia hanya akan selamat apabila
mereka mengikut jalan yang lurus, iaitu agama Islam. Sebaliknya mereka
akan melalui kehidupan yang sentiasa leka dan lalai serta memusnahkan
diri sendiri andainya mereka memilih untuk menjauhkan diri daripada Allah
SWT.
Dan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:
“Aku telah diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka
bersaksi bahawa tiada tuhan yang lain selain Allah dan Muhammad
itu pesuruh Allah, mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat.
Apabila mereka melaksanakannya maka darah dan harta mereka
terpelihara melainkan dengan hak Islam dan perhitungan mereka
adalah di sisi Allah SWT”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
7
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
Islam tidak pernah menghalang kebebasan manusia, sebaliknya
kebebasan itu mestilah digunakan sebaik-baiknya untuk mencari
keredhaan Allah SWT. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab bagi
setiap orang yang bergelar muslim tidak menyalahgunakan nikmat
kemerdekaan yang telah dikurniakan. Kemerdekaan pada hari ini bukan
sahaja mengenai kebebasan daripada penjajahan kuasa asing, namun
yang lebih utama adalah kemerdekaan minda dan pemikiran khususnya
mereka yang benar-benar memahami konsep kemerdekaan, iaitu
melahirkan kecintaan kepada negara demi untuk pembangunan dan
kesejahteraan negara dan ummah yang tercinta.
Namun, apa yang berlaku setelah hampir 57 tahun negara kita mengecapi
kemerdekaan, masih terdapat kalangan masyarakat yang semakin leka
dibuai arus kemodenan, semakin rosak budi pekerti dan akhlaknya, serta
masih ada yang mengagungkan budaya hidup songsang yang mana jelas
ditegah oleh Islam. Bahkan terdapat juga sebahagian umat Islam pada
hari ini masih lagi dijajah minda dan pemikiran mereka oleh golongan
Yahudi dan Nasrani. Sesungguhnya Allah SWT lebih Memahami dan
telah mengingatkan perkara ini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah
ayat 120:
8
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
Yang bermaksud : Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan
bersetuju dan suka kepadamu (Muhammad) sehinggalah engkau mengikut
agama mereka (yang telah terpesong). Katakanlah (kepada mereka):
“Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar.”
Dan jika engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka sesudah kamu
mengetahui (tentang kebenaran), maka engkau tidak akan beroleh
perlindungan dan pertolongan daripada Allah.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH SWT,
Sebagai rakyat Malaysia yang mencintai negara ini seharusnya menjadi
tanggungjawab kepada setiap individu muslim memelihara maruah dan
membebaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu yang bercanggah
daripada apa yang dituntut oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Malaysia…di sini lahirnya sebuah cinta membawa maksud yang sangat
signifikan bagi memberikan kesan mendalam dan melahirkan semangat
kecintaan terhadap negara di dalam hati semua rakyat. Secara tidak
langsung ia mewujudkan masyarakat yang cintakan negara dan sanggup
berkorban dan bekerja keras demi menjamin keamanan, kemajuan,
kesejahteraan dan kemakmuran negara pada jangka masa yang panjang.
Kejayaan sesebuah negara itu terletak kepada rakyatnya. Justeru itu,
selagi pemikiran kita masih dibelenggu dan dijajah dengan hawa nafsu, kita
belum layak menggelarkan diri kita sebagai seorang yang merdeka kerana
seseorang yang merdeka mempunyai fikiran bijak dan tingkah laku mulia
dan melaksanakan segala tuntutan syarak serta meninggalkan segala yang
dilarang-Nya. Mereka yang beranggapan kemerdekaan adalah hakmilik
9
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
mereka untuk bebas melakukan perbuatan maksiat dan haram, akan
membawa negara ke arah kemunduran dan kehancuran.
Seorang penyair Arab bernama Ahmad Shauqi Bey telah mengingatkan
umat Islam tentang pentingnya menjaga akhlak melalui rangkap syairnya:
“Sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya
masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan
lenyap.”
SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Tanggal 1 dan 2 Mac 2013 akan kekal dalam sejarah Malaysia sebagai
satu detik hitam yang menyaksikan kedaulatan negara dicabar dan lapan
wira tanah air gugur ketika mempertahankan negara yang dicintai.
Pencerobohan yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna, Sabah oleh
golongan pengganas telah menyentap kedaulatan dan kemerdekaan yang
kita pertahankan selama ini. Alhamdulillah, kita bersyukur dengan tindakan
pantas dan kecekapan Angkatan Bersenjata Negara kita, pencerobohan
itu berjaya dikekang, dan keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan
negara kita kembali dipertahankan walaupun ada anggota kita gugur
semasa pertempuran tersebut. Pengorbanan mereka sangat besar, perlu
dihargai dan disanjung kerana berjuang mempertahankan kedaulatan
negara hingga ke hembusan nafas yang terakhir.
Keharmonian dan kemakmuran yang dilimpahi dalam negara ini adalah
kerana nikmat Islam yang diangkat ke tempat tertinggi di dalam
perlembagaan Malaysia. Inilah hasil kemerdekaan negara yang kita capai.
10
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
Justeru itu, bersama-samalah kita memelihara nikmat yang Allah SWT
berikan agar kita tidak menjadi insan yang kufur setelah kita dikurniakan
dengan kemakmuran, keamanan dan keharmonian. Bersyukurlah
kerana di negara ini kita bebas untuk mengamalkan agama pilihan. Kita
juga bebas untuk keluar bersantai bersama keluarga. Bahkan bebas untuk
melaksanakan tanggungjawab mencari nafkah dan menuntut ilmu.
Limpahan rezeki kemakmuran yang kita kecapi hasil daripada sistem
pemerintahan yang meletakkan kepentingan agama, haruslah kita pelihara
bersama. Buanglah sikap saling bermusuhan dan ketepikan kepentingan
diri. Sebaliknya, bersatulah demi mempertahankan kesucian Islam agar
Islam di negara ini tidak terus dihina dan diganggu-gugat. Ingat, kita tidak
akan rugi apa-apa andai kita bersatu mempertahankan hak dan kesucian
Islam. Sebagai rakyat yang cintakan negara, jauhi diri daripada melakukan
sebarang bentuk kegiatan atau merancang sesuatu yang mampu
mengangu gugat kestabilan negara amnya dan mencerobohi nikmat
kemerdekaan yang mulia ini khususnya.
Mengakhiri khutbah sempena menyambut kemerdekaan pada tahun ini,
marilah kita tingkatkan usaha dan tindakan serta mempraktikkannya demi
memastikan kefahaman tentang kemerdekaan yang sebenar dapat
diperolehi dan nikmat kemerdekaan ini dapat kita kekalkan. Antara
kesimpulan yang dapat dipetik daripada khutbah minggu ini ialah:
Pertama : Berusaha memerdekakan minda dan pemikiran kita
daripada terus dijajah oleh pemikiran dan pemahaman yang tidak
berlandaskan prinsip syariat Allah SWT.
11
بهاڬين ڤڠوروسن مسجد دان سوراوخصوصالنڬري سمبيلن دار ول اڬام اسالمحجابتن حال إ
Kedua : Beramal dengan ajaran Islam yang sebenar melalui
petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
Ketiga : Berusaha membangunkan sosio ekonomi sehingga kita
dapat meningkatkan kualiti kehidupan umat Islam negara ini.
Keempat : Berganding bahu dalam mempertahankan kedaulatan
negara Malaysia tanah air yang tercinta.
Firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran, ayat 160:
Yang bermaksud : “Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada yang
dapat mengalahkan kamu, tetapi jika Allah membiarkanmu (tidak memberi
pertolongan), maka siapakah yang dapat menolong kamu setelah itu? Oleh
itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakkal.”