FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PELAJAR TINGKATAN
EMPAT DI SEKOLAH MENENGAH TEKNIK MELAKA TENGAH, MELAKA
MEMILIH ALIRAN PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL
SURIYATI BINTI YAAPAR
Laporan projek ini dikemukakan
Sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat
Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Teknologi
Serta Pendidikan (Kejuruteraan Awam)
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
MAC 2004
DEDIKASI
Istimewa buat insan yang dikasihi…,
Suami dan anak-anak tercinta …
Pengorbanan, kasih sayang serta doamu menjadikan aku
seorang yang berjaya seperti hari ini. Semoga ikatan kasih sayang
yang terjalin akan terus bersemi dan tersimpul mati
di hati kita…..selamanya.
PENGHARGAAN
Syukur ke hadrat ilahi dengan limpah kurnianya menganugerahkan keupayaan
untuk saya menyiapkan dengan sempurna laporan Projek Sarjana Muda ini mengikut
masa yang telah ditetapkan.
Terlebih dahulu saya tujukan penghargaan ini dan ucapan setinggi-tinggi terima
kasih kepada Cik Narina binti A.Samah selaku pensyarah pembimbing yang telah banyak
membantu dalam usaha menyiapkan laporan ini. Nasihat, tunjuk ajar dan kritikan yang
bermanfaat amat dihargai. Terima kasih juga diucapkan kerana tugasan ini telah
memberikan pendedahan, pengalaman dan ilmu yang amat berharga untuk kerjaya saya
gunakan dalam bidang pendidikan di masa hadapan.
Ribuan terima kasih juga diucapkan kepada panel penilai yang ikhlas memberi
komen dan cadangan yang amat membina dalam menyempurnakan lagi penulisan ini.
Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada pelajar-pelajar serta guru-guru Sekolah
Menengah Teknik Melaka Tengah, Melaka yang telah sudi memberikan kerjasama
kepada saya dalam membantu menyiapkan laporan kajian ini. Pengetahuan dan maklumat
yang diterima memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada saya dan akhir sekali
semoga kejayaan dan kebahagiaan akan menjadi milik semua, dunia dan akhirat.
Jasa kalian tetap dalam ingatan………..
ABSTRAK
Penyelidikan ini bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi
pelajar tingkatan empat di Sekolah menengah Teknik Melaka Tengah, Melaka memilih
aliran pendidikan teknik dan vokasional. Data bagi penyelidikan adalah berbentuk
deskriptif yang diperolehi melalui borang soal selidik yang telah diedarkan kepada 234
orang daripada 590 orang pelajar tingkatan empat aliran pendidikan teknik dan
vokasional. Sampel penyelidikan dipilih melalui kaedah rawak mudah. Data dianalisis
menggunakan perisian komputer Statistical Packages For The Social Science (SPSS)
dengan menggunakan statistik kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai. Dapatan
penyelidikan menunjukkan faktor utama yang mempengaruhi pelajar ialah faktor minat
dengan nilai min 3.95 dan faktor kedua iaitu faktor ibubapa serta keluarga memberikan
nilai min sebanyak 3.86. Manakala faktor media massa, faktor guru dan faktor rakan
sebaya didapati kurang mempengaruhi pelajar supaya memilih aliran ini dengan masing-
masing memberikan nilai min 3.49, 3.27 dan 2.80. Guru perlu sentiasa memperkayakan
diri dengan pelbagai maklumat kerjaya yang diperlukan oleh pelajar. Oleh yang demikian
adalah diharapkan semoga pihak-pihak yang bertanggungjawab khususnya guru-guru dan
pihak media massa dapat membantu memberikan galakan, dorongan serta memberikan
pendedahan tentang kepentingan dan kelebihan memilih aliran pendidikan teknik dan
vokasional sebagai langkah awal ke arah pembentukan kerjaya mereka di masa hadapan.
ABSTRACT
This research aimed to identify the factors that influence form four students at
Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah, Melaka in choosing the technical and
vocational stream. The data for this descripttive research were collected though by using
questionnaires which were completed by 234 form four students in the engineering field.
The samples were selected randomly. The data were analysed using the Statistical
Packages For The Social Sciences (SPSS) based on the frequencies, percentages, means
and standard deviations. The findings of the research showed that the factors which play
prominent roles in influencing the students’ selections were interests with the mean of
3.95 as well as parents and family factor with the mean of 3.86. Other factors such as
mass media, teachers from previous school and peers and were found to have less
influences on students’ decisions with the means of 3.49, 3.27 and 2.80. The finding
suggested that teachers should always upgrade and equipped themselves with the
necessary information on technical careers planning as needed by the students. Thus, it is
hoped that this study would provide some insights for teachers and mass media to provide
a greater exposure and encouragement to students regarding the prospect of vocational
education.
KANDUNGAN
BAB PERKARA MUKA SURAT
PENGESAHAN STATUS TESIS
PENGESAHAN PENYELIA
JUDUL i
PENGAKUAN ii
DEDIKASI iii
PENGHARGAAN iv
ABSTRAK v
ABSTRACT vi
KANDUNGAN vii
SENARAI JADUAL xii
SENARAI SINGKATAN xiv
SENARAI LAMPIRAN xv
BAHAGIAN SATU
PENDAHULUAN
BAB 1 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan 1
1.2 Latar Belakang Masalah 2
1.3 Pernyataan Masalah 4
1.4 Objektif Kajian 5
1.5 Persoalan Kajian 6
1.6 Kepentingan Kajian 7
1.6.1 Kepentingan Kepada Pelajar 7
1.6.2 Kepentingan Kepada Ibubapa dan Keluarga 8
1.6.3 Kepentingan kepada Guru-guru dan Pihak 8
Sekolah
1.7 Skop dan Batasan Kajian 8
1.8 Definisi Istilah 9
1.9 Kesimpulan 13
BAHAGIAN DUA
SOROTAN PENULISAN
BAB II SOROTAN PENULISAN
2.1 Pengenalan 14
2.2 Perkembangan Pendidikan Teknik dan
Vokasional di Malaysia 17
2.3 Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pelajar Memilih
Aliran Pendidikan Teknik dan Vokasional
2.3.1 Faktor Minat Pelajar 19
2.3.2 Faktor Ibubapa dan Keluarga 20
2.3.3 Faktor Guru 22
2.3.4 Faktor Rakan Sebaya 24
2.3.5 Faktor Media Massa 25
2.4 Kesimpulan 27
BAHAGIAN TIGA
METODOLOGI
BAB III METODOLOGI
3.1 Pengenalan 28
3.2 Rekabentuk Kajian 28
3.3 Tempat Kajian 29
3.4 Populasi Dan Saiz Sampel Kajian 30
3.5 Instrumen Kajian 31
3.6 Kajian Rintis 33
3.7 Prosedur Kajian 34
3.8 Analisis Data 35
3.9 Kesimpulan 37
BAHAGIAN EMPAT
ANALISIS DATA
BAB IV ANALISIS DATA
4.1 Pengenalan 38
4.2 Analisis Data Bahagian A 39
4.2.1 Jantina 39
4.2.2 Bangsa 40
4.2.3 Kursus Yang Diikuti 41
4.3 Analisis Data Bahagian B 42
4.3.1 Faktor Minat 43
4.3.2 Faktor Ibubapa dan Keluarga 46
4.3.3 Faktor Guru 49
4.3.4 Faktor Rakan Sebaya 52
4.3.5 Faktor Media Massa 55
4.4 Analisis Keseluruhan Dan Kesimpulan 58
BAHAGIAN LIMA
PERBINCANGAN, RUMUSAN DAN CADANGAN
BAB V PERBINCANGAN, RUMUSAN DAN CADANGAN
5.1 Pengenalan 60
5.2 Perbincangan 61
5.2.1 Latar Belakang Responden 61
5.2.2 Faktor Minat 61
5.2.3 Faktor Ibubapa Dan Keluarga 63
5.2.4 Faktor Guru 64
5.2.5 Faktor Rakan Sebaya 65
5.2.6 Faktor Media Massa 66
5.3 Rumusan 67
5.4 Cadangan 68
5.4.1 Cadangan Kepada Pihak Pelajar 69
5.4.2 Cadangan Kepada Pihak Ibubapa Dan 69
Keluarga
5.4.3 Cadangan Kepada Pihak Guru 70
5.5 Cadangan Kajian Lanjutan 71
5.6 Kesimpulan 72
SENARAI DOKUMEN RUJUKAN 73 - 78
SENARAI LAMPIRAN LAMPIRAN A - H
SENARAI JADUAL
NO. JADUAL TAJUK MUKA SURAT
3.1 Taburan responden mengikut kursus 30
3.2 Susunan dan jumlah item kajian 31
3.3 Skala pemeringkatan likert 32
3.4 Penggabungan skala likert 5 skor kepada 35
3 skor
3.5 Skor min 36
4.1 Taburan bilangan dan peratus responden 38
mengikut jantina
4.2 Taburan bilangan dan peratus responden 39
mengikut bangsa
4.3 Taburan bilangan dan peratus responden 39
mengikut kursus
4.4 Taburan bilangan, peratus responden dan 42
min bagi faktor minat
4.5 Taburan bilangan, peratus responden dan 45
min bagi faktor keluarga
4.6 Taburan bilangan, peratus responden dan 48
min bagi faktor guru
4.7 Taburan bilangan, peratus responden dan 51
min bagi faktor rakan sebaya
4.8 Taburan bilangan, peratus responden dan 53
min bagi faktor media massa
4.9 Min, sisihan piawai dan petanda bagi setiap 56
faktor
SENARAI SINGKATAN
FPK - Falsafah Pendidikan Kebangsaan
YAB - Yang Amat Berhormat
RRJP3 - Rangka Rancangan Jangka Panjang Ke 3
SMT - Sekolah Menengah Teknik
SPM - Sijil Pelajaran Malaysia
STPM - Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
PMR - Penilaian Menengah Rendah
RRJP2 - Rangka Rancangan Jangka Panjang Ke 2
IPT - Institusi Pengajian Tinggi
JKR - Jabatan Kerja Raya
KTM - Keretapi Tanah Melayu
UTM - Universiti Teknologi Malaysia
KBSM - Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
KHB - Kemahiran Hidup Bersepadu
MPV - Mata Pelajaran Vokasional
MLVK - Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan
SPSS - Statistical Package For Social Science
SENARAI LAMPIRAN
LAMPIRAN TAJUK MUKA SURAT
A Borang Soal Selidik 79 - 85
B Jadual Penentuan Jumlah Sampel Krejcie, 86
R.V dan Morgan
C Surat Pengesahan Isi Kandungan Instrumen 87
Kajian
D Surat Pengesahan Mengadakan Kajian Rintis 88
E Surat Kebenaran Dari Bahagian Perancangan 89
Dan Penyelidikan Dasar Pendidikan,
Kementerian Pendidikan Malaysia.
F Surat Kebenaran Dari Jabatan Pendidikan 91
Negeri Melaka
G Surat Kebenaran Menggunakan Sampel Kajian 92
Di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah
H Senarai Bilangan Pelajar 93
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Bidang pendidikan memainkan peranan yang penting terhadap pembangunan dan
kemajuan negara. Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan telah mengambil langkah-
langkah penting bagi memastikan bidang pendidikan ini berkembang seiring dengan
perkembangan sains dan teknologi masa kini. Arah dan matlamat pendidikan negara kita
telah pun termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK).
Penstrukturan pendidikan teknik dan vokasional pada tahun 1964 ianya adalah
bertujuan memperkembangkan pendidikan teknik dan vokasional serta menyediakan
kemahiran kepada pelajar-pelajar yang bakal memasuki bidang pekerjaan, di samping
menyokong usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga mahir bagi memajukan bidang
ekonomi dan perindustrian berasaskan pengetahuan teknik dan vokasional (Laporan
Jawatankuasa Kabinet, 1979).
Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk menambahkan sumber tenaga
manusia yang terlatih di dalam pelbagai bidang dengan mewujudkan rangkaian
penubuhan sekolah-sekolah latihan kemahiran, politeknik dan seterusnya universiti yang
menawarkan pelbagai bidang latihan yang berasaskan bidang teknologi.
Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang berkemahiran
samada mahir ataupun separa mahir bagi mengisi pasaran tenaga sumber manusia negara,
latihan kemahiran disalurkan melalui bidang pendidikan Teknik dan Vokasional bermula
dari peringkat rendah hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada 23 haribulan April 2001 Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Dr.
Mahathir Mohamed dalam ucapannya di Dewan Rakyat telah menyatakan bahawa kadar
guna tenaga buruh semakin tinggi dan berkembang dengan pesat akibat dasar
perindustrian negara dalam Rancangan Malaysia ke 7. Produktiviti yang memerlukan
tenaga manusia yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan mudah di latih telah
menggalakkan kerajaan membina pusat pendidikan tinggi samada awam ataupun swasta
yang menyediakan peluang-peluang latihan di dalam bidang sains dan teknologi. Ianya
tidak hanya terbatas kepada rakyat negara ini malah peluang latihan juga dibuka kepada
rakyat negara luar seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pusat perkembangan
pendidikan serantau.
Secara amnya, pendidikan teknik dan vokasional ini adalah untuk melahirkan
tenaga buruh yang berkebolehan dan berpengetahuan tinggi supaya dapat membantu
negara menyediakan buruh yang mahir bagi mengisi permintaan pasaran tenaga di dalam
sektor perindustrian negara.
1.2 Latarbelakang Masalah
Penguasaan pengetahuan dalam bidang kemahiran akan membolehkan pelajar
memperolehi asas yang kukuh dan bermanfaat sama ada untuk melanjutkan pelajaran
mahupun mencari pekerjaan di dalam bidang kejuruteraan (Kementerian Pendidikan,
1993).
Latihan kemahiran yang membabitkan ketrampilan dan perkhidmatan sebenarnya
adalah merupakan bahagian yang agak penting bagi memenuhi keperluan sumber tenaga
manusia. Seperti konsep pendidikan sepanjang hayat yang digariskan dalam Pelan
Rancangan Jangka Panjang Ke 3 (RRJP3) 2001-2003, latihan kemahiran juga
menyediakan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi setaraf dengan ijazah
pertama pendidikan akademik.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia iaitu Datuk Abdul Rafie Mahat,
peperiksaan PMR adalah satu penilaian awal kepada para pelajar untuk melihat
kemampuan dirinya sendiri. Berdasarkan keputusan yang di terima, pelajar harus dapat
menentukan minat dan keupayaan mereka dalam bidang yang ingin diterokai. Lanjutan
daripada keputusan PMR, para pelajar boleh memohon atau akan terpilih ke sekolah-
sekolah terbaik. Pelajar seharusnya dapat memilih bidang yang diminati dan berpotensi
untuk masa depan termasuklah menerusi aliran sains, teknik dan vokasional (Utusan
Malaysia, 31 Disember 2003).
Sehubungan dengan itu, pelajar-pelajar perlu merebut pelbagai peluang yang
disediakan oleh Bahagian Pengurusan Pendidikan Teknik dan Vokasional, Jabatan
Pendidikan Teknikal, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memohon kursus-kursus
yang ditawarkan di Sekolah Menengah Teknik (SMT) di seluruh negara.
Anuar (1992) juga menyatakan bahawa kebanyakkan pelajar yang telah mendapat
tempat di Sekolah Menengah Vokasional tidak menerima pendedahan yang mencukupi
tentang pendidikan vokasional. Penguasaan konsep mengenai pendidikan vokasional
semasa peringkat menengah rendah amat ketara di mana sebahagian besar pelajar
mempunyai sikap yang negatif terhadap pendidikan vokasional. Bagi mengatasi masalah
ini, beliau telah mencadangkan supaya penerangan, motivasi pembelajaran serta
pendedahan tentang pendidikan vokasional diberikan kepada para pelajar pada peringkat
awal persekolahan lagi.
Kebanyakan pelajar lepasan sekolah juga didapati menghadapi masalah dalam
membuat pemilihan aliran pengajian yang sesuai untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Pengetahuan mereka mengenai bidang yang bersesuaian dengan kebolehan dan
pencapaian akademik mereka adalah amat terhad. Pengetahuan dan pengalaman mereka
mengenai peluang-peluang kerjaya juga adalah terbatas. Mereka juga tidak tahu jenis
pekerjaan yang bersesuaian dan secocok dengan tahap pendidikan masing-masing
(Faridah dan Zuraidah, 1995).
Lazimnya para remaja hanya memikirkan masa depan selepas menamatkan alam
persekolahan pada peringkat SPM atau pun STPM. Setelah keputusan peperiksaan
diperolehi, mereka baru terfikir untuk bertanya dan mendapatkan maklumat yang
berkaitan dengan kerjaya daripada guru-guru, guru kaunselor sekolah dan individu lain
yang berpengalaman. Jika perkara ini berterusan, para pelajar mungkin akan menghadapi
masalah dalam menentukan kerjaya yang bakal diceburi apabila melengkah ke alam
dewasa (Esa, 2000).
Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, telah jelas menunjukkan bahawa
kebanyakan remaja pada peringkat usia ini masih kabur dan kurangnya pengetahuan dan
pendedahan dalam menentukan hala tuju pendidikan mereka. Mereka tiada kefahaman
yang mendalam tentang sesuatu bidang kursus bagi membolehkan mereka membuat
pemilihan kursus yang tepat berlandaskan minat dan kelayakan yang ada. Pemilihan
aliran pendidikan yang sesuai adalah amat penting kerana ianya merupakan langkah awal
ke arah proses pembentukan kerjaya pelajar pada masa akan datang.
1.3 Pernyataan Masalah
Setiap tahun, bilangan kemasukan pelajar ke aliran pendidikan teknikal dan
vokasional terus meningkat. Seramai 49,300 orang pelajar telah ditawarkan untuk
memasuki tingkatan empat di sekolah menengah Teknik dan sekolah menengah
Vokasional di seluruh negara pada tahun 2002, menunjukkan peningkatan seramai 3,040
orang berbanding tahun 2001 (Zabidi, 2002).
Menurut Bakhtiar (1991) walaupun petanda-petanda baik telah mula kelihatan, ini
bukan bermakna bahawa sikap pelajar yang telah mendapat tempat di Sekolah Menengah
Vokasional keseluruhannya telah menjadi sangat berminat terhadap aliran pendidikan
teknik dan vokasional ini, tetapi sebahagian besar daripada mereka merasakan bahawa
bidang lain yang tiada kaitan dengan bidang vokasional lebih memberi kepuasan bekerja.
Sungguhpun bilangan kemasukan pelajar untuk mengikuti aliran ini semakin
meningkat, namun maklumat mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar lepasan
PMR untuk memilih mengikuti aliran pendidikan ini agak terhad dan kurang jelas.
Adakah pelajar memang mempunyai minat yang mendalam terhadap aliran pendidikan
ini ataupun terdapat dorongan luar seperti keluarga dan rakan-rakan yang telah
mempengaruhi pelajar ?
Merujuk kepada fakta-fakta yang dinyatakan di atas, maka timbul persoalan,
apakah sebenarnya faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar-pelajar tingkatan empat di
Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah, Melaka memilih untuk mengikuti kursus
aliran teknik dan vokasional? Tujuan kajian ini ialah pengkaji ingin mengenalpasti
faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar–pelajar memilih untuk mengikuti aliran teknik
dan vokasional di sekolah ini dari segi faktor minat, faktor keluarga, faktor guru, faktor
rakan sebaya dan faktor media massa. Faktor-faktor ini telah dipilih berdasarkan kepada
dapatan daripada kajian-kajian lepas.
1.4 Objektif Kajian
Terdapat beberapa objektif yang hendak dicapai di dalam kajian yang akan
dijalankan ini bagi melihat faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar-pelajar tingkatan
empat di Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah, Melaka memilih untuk mengikuti
aliran teknik dan vokasional. Antaranya adalah untuk :
1.4.1 Melihat sama ada minat pelajar terhadap pendidikan teknik dan vokasional
merupakan faktor utama yang mempengaruhi pelajar memilih aliran pendidikan
teknik dan vokasional..
1.4.2 Melihat sama ada peranan ibubapa dan keluarga merupakan faktor utama dalam
mempengaruhi pelajar memilih aliran pendidikan teknik dan vokasional.
1.4.3 Melihat sama ada peranan guru dan pihak sekolah asal merupakan faktor utama
dalam mempengaruhi pelajar memilih aliran pendidikan teknik dan vokasional.
1.4.4 Melihat sama ada peranan rakan sebaya merupakan faktor utama dalam
mempengaruhi pelajar memilih aliran pendidikan teknik dan vokasional.
1.4.5 Melihat sama ada peranan media massa merupakan faktor utama dalam
mempengaruhi pelajar memilih aliran pendidikan teknik dan vokasional.
1.5 Persoalan Kajian
Kajian ini dijalankan supaya penyelidik dapat menyelesaikan dan menghuraikan
beberapa persoalan yang timbul. Antara persoalan yang ingin dikemukakan dalam kajian
ini ialah :
1.5.1 Adakah faktor minat merupakan faktor utama yang mempengaruhi pelajar untuk
memilih aliran pendidikan teknik dan vokasional?
1.5.2 Adakah faktor ibubapa dan keluarga merupakan faktor utama yang
mempengaruhi pelajar untuk mengikuti aliran pendidikan teknik dan vokasional?
1.5.3 Adakah faktor guru merupakan faktor utama yang mempengaruhi pelajar dalam
pemilihan aliran pendidikan teknik dan vokasional?
1.5.4 Adakah faktor rakan sebaya merupakan faktor utama yang mempengaruhi pelajar
memilih aliran pendidikan teknik dan vokasional?
1.5.5 Adakah faktor media massa merupakan faktor utama yang mempengaruhi pelajar
dalam pemilihan aliran pendidikan teknik dan vokasional?