Download - EDU FPK

Transcript

1.0 PengenalanGuru merupakan elemen yang paling penting dalam mencorakkan kaedah pengajaran yang berkesan agar segala matlamat khususnya dalam pendidikan negara dapat dicapai dengan optimumnya. Perkembangan dunia sains dan teknologi pada masa kini menambahkan lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh guru dalam menentukan corak pengajaran yang baik bersesuaian dengan situasi sekarang. Jika dilihat pada satu masa dahulu peranan utama guru adalah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya tetapi sekarang guru diibarat seperti jurutera manusia iaitu berperanan dalam membimbing dari pelbagai aspek dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka.

Pendekatan ataupun corak terbaik perlu dilakukan seiring dengan pelaksanaan yang sistematik bagi mendapatkan hasil yang terbaik. Maka, tidak salah lagi tugas bagi melahirkan insan yang berilmu pengetahuan serta berakhlak mulia terletak pada bahu seorang insan yang bernama guru. Hadis nabi juga mengatakan sesiapa yang menyerahkan sebuah perkara kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuranya. Jadi maksud sebaliknya ialah memberikan tanggungjawab kepada orang yang salah dalam menguruskan perkara yang penting akan mendatangkan hasil yang tidak diinginkan.

Maksud perkataan guru itu sendiri membawa maksud yang mendalam jika dihayati dengan sebaiknya. Mengikut Kamus Dewan edisi ketiga (2002), guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Pada asasnya tugas utama guru di sekolah ialah untuk mengajar dan mendidik para pelajar agar menjadi insan yang syumul selain daripada memberikan ilmu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam bahasa Arab guru dikenali dengan gelaran al muallim ataupun gelaran ustaz dan seluruh dunia sebenarnya telah mengetahui tugas seorang guru itu iaitu menyampaikan ilmu pengetahuan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) amat menekankan aspek perkembangan individu secara syumul iaitu menyeluruh dalam pelbagai segi contohnya intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Perkembangan tersebut amat berkait rapat dengan peranan guru dalam melahirkan insan tersebut dalam proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas dan sekolah. Murid diibaratkan seperti kain putih manakala gurulah berperanan mencorakkan kain tersebut sama ada menjadi insan yang berguna kepada masyarakat ataupun menjadi duri dalam daging kepada masyarakat.

2.0 Analisis video aktiviti sekolah

Pertama sekali saya telah mengambil video yang dilakukan oleh pelajar sekolah SK Kebun Bahar yang.telah mengadakan Perkemahan Kokurikulum sebagai salah satu aktiviti tahunan sekolah. Aktiviti ini dapat dilakukan dengan jayanya dengan kerjasama antara guru-guru dan pelajar sekolah. Acara tahunan ini memupuk pelajar-pelajar agar berdikari dan memberi pengalaman berkhemah kepada semua pelajar sekolah. Perkhemahan tersebut dirancang dan disusuli dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan secara langsung penglibatan pelajar. Video tersebut menunjukkan penghayatan guru terhadap FPK dengan melibatkan elemen-elemen FPK antaranya ialah:

2.1 Elemen perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu

Sesuatu pekerjaan ataupun perkara itu mestilah dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak agar membuahkan hasil yang diingini. Perkara yang sama berlaku di dalam aktiviti perkhemahan tersebut iaitu segala usaha dan keringat para guru amat ditagih bagi menjayakannya dengan penglibatan murid secara langsung memudahkan lagi acara ini berjalan dengan lancar. Bersatu teguh, bercerai roboh amat bertepatan dengan hal ini dan pelajar mestilah melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Antara kelebihan aktiviti ini ialah segala idea kreatif, kritif dan inovatif pelajar dapat dicungkil dan diperkembangkan dengan lebih mendalam lagi. Aktiviti seperti memasak, memasang khemah dan membina gajet yang kebanyakkan dilakukan oleh pelajar sendiri mencerminkan potensi dan prestasi pelajar tersebut di samping bakat yang tersirat dapat dicungkilkan melalui aktiviti ini.

2.2 Elemen melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab

Seseorang murid yang bertanggungjawab kebiasaannya sangat mementingkan soal menepati masa. Disiplin pelajar dapat diasuh melalui aktiviti perkhemahan contohnya menepati masa untuk berkumpul, membantu ahli khemah dan semestinya memerlukan komitmen yang tinggi setelah menerima arahan daripada ketua. Guru tersebut telah berjaya menghayati elemen-elemen dalam FPK dengan mewajibkan penglibatan murid dalam aktiviti sekolah seperti perkhemahan ini dan membantu meningkatkan disiplin dan sifat tanggungjawab dalam kalangan pelajar. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan memerlukan kemampuan individu untuk mengerjakannya tanpa mengharap atau bergantung kepada orang lain.2.3 Elemen rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan

Guru di sekolah tersebut berjaya mengadakan aktiviti-aktiviti yang dapat menambahkan ilmu pengetahuan sepanjang perkhemahan berlangsung. Aktiviti memasak yang dijalankan sangat membantu pelajar memperoleh ilmu pengetahuan yang baharu dan kepentingannya telah diketahui umum. Perkongsian ilmu yang diajar oleh guru mengenai bagaimana cara untuk menghidupkan api dan cara memasak yang cepat amat berguna dipraktikkan oleh semua pelajar. Pengalaman baru semasa berkhemah seperti mencari kayu api dan memasak tanpa menggunakan gas amat berguna kepada pelajar pada masa hadapan. Aktiviti di luar bilik darjah seperti ini sangat membantu meningkatkan kefahaman dan pengetahuan para pelajar dan pada masa yang sama guru berjaya menjadikan elemen-elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsan sebagai panduan menjayakan aspirasi pendidikan negara. Sebuah hadis ada mengatakan jadilah kamu orang yang berilmu, mempelajari ilmu, mendengar di majlis ilmu, mencintai ilmu dan jangan menjadi golongan kelima yang tidak termasuk dari golongan yang empat tersebut.

2.4 Elemen melahirkan rakyat Malaysia yang berakhlak mulia

Matlamat perkhemahan ini sendiri menggalakkan penghayatan dan amalan nilai-nilai murni di dalam kalangan pelajar terutamanya semasa melakukan aktiviti yang dirancang. Sikap tolong menolong dan saling membantu ketika berlakunya kesusahan amat digalakkan kerana perlakuan mencerminkan peribadi seseorang itu. Amalan menunding jari kepada pihak lain apabila terjadinya masalah perlulah dijauhi sama sekali.Seorang muslim menjadikan akhlak mulia sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Sifat mazmumah seperti khianat, pecah amanah dan dengki perlu dijauhi dan amat ditegah kerana akan membawa kepada pepecahan dan sebaliknya perlulah mengamalkan sifat-sifat mahmudah seperti amanah dengan tanggungjawab, jujur dalam percakapan dan ikhlas dalam pekerjaan.

Kelemahan yang terdapat dalam video tersebut ialah guru kurang menekankan aspek bekerjasama semasa melakukan aktiviti yang dijalankan. Terdapat segelintir pelajar hanya melihat rakannya ketika dalam kesusahan malah langsung tidak mempedulikan perkara tersebut walaupun terjadi kepada kawan sendiri kerana kurangnya penguatkuasaan mengenainya. 3.0Aktiviti PdP di bilik darjah melalui analisis video yang bertajuk Pengajaran Jawi Dalam KelasPermulaannya, saya telah mengambil satu video pembelajaran dan pengajaran (PdP) sebuah sekolah di laman web youtube. Intipati di dalam video tersebut menunjukkan bagaimana penghayatan seorang guru terhadap Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan digunakan semasa mengajar di dalam kelas. Proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang telah digunakan di dalam kelas tersebut ialah mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menumpukan kepada enam perkara iaitu komunikasi, kerohanian, nilai kemanusiaan, perkembangan fizikal dan estetika, sains dan teknologi dan terakhir iaitu keterampilan diri.Video yang saya pilih ialah mengenai pengajaran tulisan jawi dan tajuk pengajaran yang yang telah dipilih ialah huruf hijaiyah. Pengenalan huruf-huruf tersebut telah didedahkan dengan cara yang mudah difahami oleh pelajar. Kelebihan guru tersebut ialah bijak menggunakan pendekatan yang sesuai supaya memudahkan pelajar memahami sesuatu konsep atau sesuatu pengetahuan, manakala guru yang menggunakan kaedah pengajaran yang tidak sesuai akan menyebabkan murid sukar untuk memahami sesuatu perkara. Malahan ia akan menyebabkan murid mudah menjadi bosan, murid tidak memberi tumpuan dalam pembelajarannya atau murid akan ponteng kelas.Pertama, guru telah memulakan sesi pembelajaran dengan bacaan doa belajar sesudah memasuki kelas. Guru tersebut berjaya menekankan aspek kerohanian dalam diri pelajar agar sentiasa mengharapkan pertolongan dan yakin bahawa usaha tanpa tawakal kepada Allah tidak berguna kerana hanya dengan pertolonganNya serta keizinan Ilahi sahaja kita boleh berjaya. Pengharapan yang sebenar kepada Sang Pencipta menjadikan pelajar tidak terpesong dari landasan yang sebenar iaitu membawa kepada keseimbangan rohani, emosi dan mental. Amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru yang berkesan bermakna pengajaran guru tersebut dianggap baik jika guru tersebut berupaya mempelbagaikan kaedah pengajaran contohnya menggunakan alat bantu mengajar (ABM). Guru tersebut telah menggunakan alat bantu mengajar iaitu projector dan layar bagi membolehkan pelajar menerima pelajaran dengan mudah serta menarik minat pelajar dengan kepelbagaian aktiviti dalam pengajaran. Kaedah pedagogi yang ditunjukkan oleh guru tersebut mempunyai kelebihannya yang sendiri sekaligus meningkatkan perkembangan pelajar secara bersepadu dan menyeluruh. Menurut Mok Soon Sang (1991), ABM merupakan intipati dalam membantu guru bagi melicinkan dan melancarkan pengajaran dalam usaha memudahkan pelajar memahami konsep dan isi serta fakta dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kepelbagaian aktiviti di dalam kelas sebagaimana dilakukan oleh guru tersebut contohnya menyuruh pelajar menulis huruf hijaiyah di papan putih dan menyusun huruf hijaiyah yang sama bentuk merangsang pelajar untuk berfikir selain meningkat perkembangan pelajar dari segi intelek. Antara kelemahan guru tersebut ialah bersifat autokratik iaitu lebih mendominasi suasana pembelajaran sebaliknya guru perlulah bersifat permissive iaitu kurang menguasai suasana PdP dengan cara membiarkan para pelajar menentukan corak pembelajaran sendiri dan kurang kawalan sepenuhnya daripada guru. Pembelajaran yang dikawal oleh guru akan menyebabkan pelajar menjadi pasif sebaliknya suasana pembelajaran akan lebih harmonis sekiranya guru bersifat demokratik. Suasana yang kondusif dan harmonis amat berkait rapat dengan pencapaian dan perkembangan pelajar di dalam kelas. Antara kelebihan yang lain dilakukan oleh guru tersebut ialah membina konsep kendiri yang positif dalam diri pelajar seperti dengan memberi pujian dan dorongan kepada pelajar yang lemah. Kaedah dan teknik guru dalam pengajaran akan membentuk personaliti pelajar itu sama ada introvert contohnya sifat pasif, tidak suka bergaul dan pendiam malah sebaliknya sifat ekstravert iaitu mudah bergaul, aktif dan suka bercakap. Menurut Mohamad Amin Ismail (1977) mengatakan personaliti merujuk kepada keadaan jiwa yang menyebabkan seseorang itu berkelakuan dengan cara yang tertentu termasuklah perasaan, fikiran, kemahiran, cara bertindak dan sebagainya. Psikologi pendidikan dalam pengajaran menunjukkan bahawa guru tersebut mempunyai sikap professional dan menghayati elemen di dalam FPK iaitu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dan harmonis. Di dalam kelas, terdapat pelajar yang cepat belajar dan ada pelajar yang lambat belajar. Video tersebut menunjukkan bahawa guru tidak memarahi pelajarnya padahal pelajar itu tidak tahu membaca huruf hijaiyah melalui aktiviti soal jawab menggunakan kertas berwarna oren. Sebaliknya, guru tersebut menggunakan rangsangan dan galakan yang positif seperti senyuman dan ucapan yang baik supaya semangat pelajar tersebut tidak menurun. Kelemahan yang perlu dibaiki oleh guru tersebut ialah perlulah memperbanyakkan soalan setelah menjalankan aktiviti untuk menguji tahap kefahaman pelajar tersebut. Maka jelaslah bahawa penghayatan seorang guru terhadap FPK mampu melahirkan pelajar yang cemerlang sesuai dengan aspirasi negara. Kesimpulannya, jelaslah bahawa kepentingan penghayatan seorang guru terhadap FPK amat mempengaruhi corak pengajaran dan pencapaian seseorang pelajar itu. Jadilah guru yang professional dan janganlah kita menjadi seperti suri rumah yang menyalahkan pisau kerana jarinya terluka kerana gurulah yang akan menjayakan aspirasi negara.

4.0 Rujukan

Bahan Ilmiah

Ee Ah Meng (1996). Psikologi Pendidikan 1 : Psikologi Perkembangan. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.Mohd. Amin Ismail (1997). Pendidikan Dan Psikologi Kanak-kanak. Kuala Lumpur: PustakaAntara.Mok Soon Sang (1996). Pendidikan Di Malaysia Untuk Diploma Perguruan. Selangor:Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.Kamus Dewan edisi ketiga (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Jurnal

Zubir Mohamed. 1998.Kajian mengenai perbandingan tentang keberkesanan dua kaedah pengajaran ke atas sikap dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran tingkatan dua di Sekolah Menengah Jalan 3, Bandar Baru Bangi. Kertas projek Sarjana PendidikanSarjana Pendidikan.Universiti Kebangsaan Malaysia.

Internet

http://stpm-study.blogspot.com/2013/10/disiplin-pelajar-tanggungjawab-siapa.html

http://nonsensical-orator230994.blogspot.com/2012/02/kebaikan-penyertaan-murid-murid-dalam.html

http://tni.my/kerjasama_coursecontent.php


Top Related