Transcript

2.0 Kemahiran Asas Bola Jaring

2.1 Menghantar Dan Menerima

2.1.1 Menghantar

Hantaran merupakan kemahiran asas dalam permainan bola jaring. Hal ini demikian kerana dalam permainan bola jaring, setiap pemain perlu menghantar bola tersebut kepada satu sama lain. Penghantaran dapat dibuat dengan dua cara iaitu dengan menggunakan satu tangan ataupun dua tangan. Pemain bola jaring perlu mempunyai kemahiran hantaran yang pelbagai agar terdapat unsur kejutan dalam permainan mereka dan ini juga dapat membantu mereka dalam memenangi permainan.2.1.1.1 Kepentingan Hantaran

Hantaran penting dalam permainan bola jaring kerana hantaran merupakan kemahiran yang paling banyak digunakan dalam permainan. Dalam satu permainan bola jaring, pasukan akan banyak menghantar bola kepada penjaring pasukan iaitu penjaring gol dan penyerang gol. Pasukan bola jaring yang mempunyai kemahiran hantaran yang baik akan memberi banyak peluang kepada penjaring mereka untuk menjaringkan bola dan sebaliknya jika pasukan memiliki kemahiran menghantar yang lemah akan meghalang peluang penjaring pasukan untuk menjaringkan bola seterusnya menghalang peluang pasukan untuk menang.

2.1.1.2 Jenis-Jenis Hantaran

Hantaran bola jaring tergolong dalam dua kategori: hantaran dua tangan dan hantaran satu tangan. Dalam kedua-dua kategori ini pula terdapat hantaran bola tinggi dan hantaran bola rendah. Kedua-dua hantaran satu tangan dan dua tangan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Pemain yang mahir dalam teknik-teknik asas hantaran akan menjadi seorang pemain yang serba boleh dengan pelbagai hantaran yang akan membuat pasukan lawan terteka-teka.

2.1.1.3 Hantaran Dua Tangan

Hantaran dua tangan merupakan hantaran yang mudah untuk dipelajari kerana kedua-dua tangan digunakan untuk melakukan hantaran ini. Kedudukan tangan sama ada di belakang bola atau di bahagian atas dan bawah bola. Pergelangan tangan dan jari-jari akan mengarahkan bola manakala siku, lengan dan berat badan akan mengeluarkan tenaga untuk kelajuan serta jarak kepada hantaran yang akan dilakukan. Kelebihan hantaran dua tangan ialah ia boleh diambil semula dengan mudah pada bila-bila masa sebelum ia dilepaskan berbanding hantaran satu tangan yang sukar untuk diambil semula apabila aksi hantaran telah dimulakan. Hantaran dua tangan terdiri daripada hantaran dada, hantaran lantun, hantaran atas kepala dan hantaran sisi.

2.1.1.4 Hantaran Satu Tangan

Hantaran satu tangan merupakan hantaran yang kuat dalam permainan bola jaring. Untuk penghantaran satu tangan, bola dipegang dengan jari-jari tangan balingan dibuka luas manakala tangan yang sebelah lagi diletak pada bola untuk mengawal atau menstabilkannya. Berat badan diimbangkan di kaki belakang, kaki yang bertentangan dengan tangan balingan di hadapan dengan lutut dibengkokkan sedikit. Semasa bola dilepaskan, pastikan jari-jari mengawasi bola, lengan dan bahu memberi daya dan kelajuan pada bola. Contoh hantaran satu tangan terdiri daripada hantaran lantun, hantaran aras bahu, hantaran lob, hantaran peluru dan hantaran bawah bahu.

2.1.1.5 Panduan Membuat Hantaran

Pemain yang ingin membuat hantaran tidak bolah panik. Pemain mempunyai tiga saat untuk mencari arah hantaran. Jangan tergesa-gesa kerana hantran yang tergesa-gesa mungkin membuatkan pasukan kehilangan bola. Selain itu, mata hendaklah mencari sasaran hantaran dan buat hantaran di hadapan rakan yang bergerak. Rajah 2.1 menunjukkan contoh hantaran yang terdapat dalam bola jaring.

Rajah 2.1: Hantaran

2.1.2 Menerima Hantaran

Kemahiran menerima hantaran merupakan langkah pertama dalam permainan bola jaring. Ketika menerima bola, jari-jari keluar untuk menerima bola, menangkap bola dan menarik bola rapat ke dada. Terdapat dua cara untuk menangkap bola: menggunakan dua tangan dan menggunakan satu tangan.

2.1.2.1 Menggunakan Dua Tangan

Kedudukan badan hendaklah seimbang di sambil mata melihat pada bola. Tangan di keluarkan dan bersedia untuk menangkap. Siku dibengkokkan sedikit manakala jari-jari dibuka. Selepas bola ditangkap, pemain perlu menarik bola ke arah dada dan bersedia untuk menghantar atau menjaring. Kelebihan menangkap menggunakan dua tangan ialah merupakan cara menangkap yang paling selamat dan membolehkan pemain mendapat kawalan yang lebih baik terhadap bola.

2.1.2.2 Menggunakan satu tangan.

Menangkap menggunakan satu tangan pula merupakan cara menangkap yang kurang selamat tetapi memberi kelebihan kepada pemain dari segi jangkauan ke arah bola. Ketika bersedia untuk menangkap bola menggunakan satu tangan, pemain perlu menyeimbangkan badan sambil memerhatikan arah bola dan tangan dihulurkan ke arah bola. Ketika ingin menangkap pula, pergelangan tangan dibengkokkan, jari-jari dibuka luas. Setelah bola berada dalam tangkapan, pegang bola dengan kemas menggunakan jari-jari, tarikkan bola ke badan manakala tangan yang lagi sebelah digunakan untuk mengawal bola dan bersedia untuk membuat hantaran atau jaringan. Rajah 2.1.1 menunjukkan contoh menerima hantaran.

Rajah 2.1.1: Menerima Hantaran

2.2 Hantaran Aras Dada.

Hantaran dada dilakukan menggunakan dua tangan. Melalui hantaran dada, bola akan bergerak dengan laju dan tepat. Untuk melakukan hantaran aras dada, bola dipegang dengan kemas menggunakan hujung jari kedua-dua tangan. Ibu jari diletakkan di belakang bola dan pergelangan tangan dibengkokkan. Bola dipegang rapat ke dada dan siku di sisi badan. Gunakan lengan dan berat badan untuk memberi lebih tenaga dan jarak hantaran. Dengan cara ini, bola akan bergerak lurus.


Top Related