Transcript

PEMARKAHAN

1ESEI ILMIAH(a)

(b)

2FORUM

3KUIZ/ UJIAN

JUMLAH

BML 3113: SEJARAH BAHASA, KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYUPORTFOLIOTUGASAN

DISEDIAKAN OLEHNAMANO IDNO TELEFON

BALKIS BINTI OMARD201110495590125083101

TUTOR E- LEARNING: DR NORAZIMAH BT ZAKARIATARIKH SERAH: ISI KANDUNGAN

HALAMAN1.0ESEI ILMIAH1.1Kajian mengenai suku bangsa atau etnik dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu.

1.2Berdasarkan kajian terhadap suku bangsa atau etnik yang dikaji, beri contoh- contoh kata, ayat, bahan sastera, objek budaya atau apa sahaja yang sesuai untuk membuktikan hubungan kekerabatan dengan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

2.0 FORUM E- LEARNING2.1Jelaskan apa yang anda faham dengan konsep kaum dan bangsa Melayu.

2.2Pada penilaian anda kenapa suatu ketika dahulu orang Eropah begitu berminat mempelajari bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu tetapi tidak pada hari ini.

2.3Budaya popular dikatakan menggugat identiti dan jati diri bangsa. Hujahkan.

2.4Pada penilaian anda, mampukah bahasa dan kesusasteraan Melayu memainkan peranannya dalam kegiatan ekonomi.

2.5Dasar kebudayaan kebangsaan masih relevan dilaksanakan. Bincangkan.

3.0KUIZ/ UJIAN3.1Kuiz/Ujian 13.2Kuiz/Ujian 2

1.1 Kajian mengenai suku bangsa atau etnik dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu.

Pengenalan

Pada masa dahulu Pulau Pinang dikenali sebagai Pulau Kesatu yang merupakan sebuah pelabuhan yang bersejarah. Ianya terletak di bahagian utara Selat Melaka. Kedudukannya telah menarik minat kerajaan British bagi mendapatkannya (Clodd 1948 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed, 2010). Semasa Pulau Pinang dibuka oleh Kapten Light pada tahun 1786, semakin banyak golongan pendatang dan pedagang dari gugusan pulau Melayu, Cina, India, Arab dan Eropah migran ke pulau ini.Berbagai-bagai jenis etnik di gugusan pulau Melayu seperti orang Rawa, Minangkabau, Aceh, Jawa, Bugis, Batak (Mandailing) dan yang lain telah membangunkan Pulau Pinang melalui perdagangan (Lee, 1995 dalam Khoo Salma, 2002). Orang Arab, Tamil, Punjabi, Benggali, Gujerati dan Afghani telah berminat dengan pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang dan mereka telah mengambil peluang menjalankan perniagaan emas, rempah, bawang dan kain di pulau ini. Di samping golongan ini, terdapat juga orang Portugis, Asia, Denmark, Belanda, Jepun, Siam, Burma dan Armenia yang menetap dan menjalankan perniagaan di Pulau Pinang. (McAlister 1803 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).).

Kedatangan migran serta peniaga dari India dan Arab telah membuka satu sejarah baru di Pulau Pinang apabila terhasilnya keturunan Melayu kacukan yang dikenali sebagai Jawi Pekan (kemudian dikenali sebagai Jawi Peranakan) melalui perkahwinan campur antara golongan ini dengan wanita Melayu tempatan(Mohd Aris, 1985). Perkahwinan ini dijalankan kerana golongan ini bercadang untuk mengekalkan tempat dan status mereka dalam masyarakat Islam di Pulau Pinang. Perkahwinan campur telah menjadikan Pulau Pinang bukan sahaja masyur dengan pertumbuhan ekonominya, malah dikenali menerusi pembentukan golongan Melayu baru dengan subbudaya kehidupan seharian mereka. Sub-budaya ini masih dapat dibezakan antara Jawi Peranakan dengan orang Melayu lain di Pulau Pinang. Walaupun demikian, untuk mereka menjadi orang Melayu, banyak adat resam mereka yang didapati bertentangan dengan akidah Islam tidak lagi dipertahankan.

Etnik dan Konsep Kacukan.

Maksud etnik mengikut Kamus Dewan Edisi keempat (2005) menerangkan berkenaan bangsa manusia. Istilah etnik boleh diertikan sebagai satu kelompok manusia yang memiliki ciri-ciri distingtif tertentu misalnya agama, bahasa, keturunan, budaya atau asal usul kebangsaan. Ragayah Eusoff (1997) menerangkan etnik sebagai The term ethnic means of or pertaining to a group of people recognized as a class on the basis of certain distinctive characteristics such as religion, language, ancestry, culture or national origin.

Etnik adalah istilah yang berasal daripada perkataan Yunani iaitu ethnos yang bermaksud orang. Satu kumpulan etnik dinilaikan secara sosial atas dasar ciri-ciri budayanya. Etnisiti boleh dijelaskan sebagai rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Ia memberi maksud terciptanya satu kebudayaan atau sub-budaya yang jelas di mana anggotanya merasa disatukan dengan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkahlaku yang sama. Etnik selalunya dapat dibezakan melalui ciri-ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandangan mengenai kecantikan, orientasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Di negara kita, orang Melayu, Jawa, Portugis, Bugis Minangkabau, Jawi Peranakan, dan sebagainya boleh dianggap sebagai etnik. Etnik pada asasnya bersikap etnosentrik di mana ia menganggap ciri-ciri budayanya sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah dan dipanggil ganjil atau berada ditahap rendah atau tidak bermoral. Rumpun pula bermaksud orang-orang yang berseketurunan dan mempunyai nenek moyang yang sama. Sebahagian besar bangsa (bahasa yang sama) yang sama asal dan jenisnya.(Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Dalam konteks penulisan ini, tumpuan etnik yang diberikan adalah etnik Jawi Peranakan.

Kemunculan Jawi Peranakan yang merupakan kaum etnik minoriti di Malaysia adalah satu keunikan kebudayaan yang sukar ditemui di negara lain. Etnik Jawi Peranakan yang ada di Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kaum yang utama di Malaysia terdiri daripada orang kaum Melayu, kaum Cina, dan kaum India. Secara umumnya, etnik Jawi Peranakan ini terhasil daripada perkahwinan wanita tempatan dengan masyarakat India yang beragama Islam. Keunikan etnik ini merangkumi bangsa, kebudayaan, bahasa dan cara hidup yang menjadi warisan penting untuk dijaga agar ianya kekal dan tidak hilang ditelan zaman. Faktor pemodenan dan pengaruh budaya asing, perubahan mudah berlaku di dalam cara hidup dan warisan kebudayaan sesuatu kaum. Contohnya di dalam aspek bahasa kaum peranakan di Malaysia, bahasa Melayu Baba dan bahasa Melayu Chetti semakin kurang penuturnya. Oleh sebab itu, adalah wajar kajian budaya ini diadakan kerana ianya mempunyai kepentingan yang tersendiri iaitu bagi memelihara khazanah warisan bangsa agar tidak hilang ditelan zaman dan juga bagi menyediakan sumber-sumber rujukan untuk penyelidikan generasi akan datang.

Konsep bercampur dalam pengertian biasa boleh difahami sebagai mencampuradukkan atau menambah sesuatu ke dalam sesuatu dan percampuran tersebut menyebabkan sesuatu itu berbaur. Dalam hal ini, konteks identiti dan bahasa, hal yang sama juga boleh berlaku. Namun begitu takat atau cara percampuran dua atau lebih entiti yang dimaksudkan mungkin berbeza bergantung kepada identiti dan bahasa yang beraduk. Dari sudut bahasa, Weinrich (1953 dalam Mohd Aris, 1985) berpendapat bahawa apabila penutur yang menuturkan bahasa atau dialek yang berbeza bertemu, maka berlaku pertembungan antara bahasa atau dialek tersebut. Oleh itu, bahasa-bahasa yang bertembung akan saling mempengaruhi dan berlakulah pembauran unsur dua atau lebih bahasa. Pembauran inilah yang dianggap sebagai hibrid atau kacukan.

Pembentukan Jawi Peranakan Di Pulau Pinang.

Istilah Jawi Peranakan melibatkan adanya unsur jawi dalam definisinya. Maksud Jawi secara khusus dalam bahasa Melayu bersangkut paut dengan agama Islam (Zaharah, 1972). Contohnya, dalam kalangan orang Melayu terdapat ungkapan masuk jawi yang bermakna berkhatan. Aktiviti berkhatan merupakan salah satu aktiviti yang wajib atau mesti dilakukan apabila seseorang memeluk agama Islam. Secara khususnya istilah jawi bermaksud aksara yang digunakan dalam tulisan bahasa Melayu di Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand Selatan. Kemudiannya istilah ini telah diluaskan maknanya untuk merujuk kepada dua perkara : Pertama, istilah ini dikaitkan dengan bahasa yang menggunakan aksara jawi dan daripada kaitan ini wujudlah istilah bahasa Jawi. Kedua, istilah ini juga digunakan untuk merujuk kepada penuturnya yang menggunakan tulisan Jawi (Islam) dan wujudlah pula istilah masuk jawi (masuk Islam). Berdasarkan kedua-dua perkara di atas dan disebabkan agama Islam sudah dijadikan jati diri penutur bahasa tersebut maka sebab itu orang Islam (termasuk Melayu) dirujuk sebagai orang Jawi (Noriah Mohamed, 2008). Apabila istilah jawi dicantumkan dengan peranakan, ianya membawa maksud kelahiran tempatan dan berdarah campuran Melayu. Dengan lain perkataan ia merujuk kepada orang asing yang mempunyai darah campuran Melayu dan beragama Islam. Huraian ini bertepatan dengan maksud Jawi Peranakan yang merujuk kepada orang Melayu berdarah campuran Arab, India, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani (Zaharah Mahmud, 1972). Istilah ini sebenarnya telah mula digunakan pada tahun 1871 iaitu di dalam Laporan Tahunan Banci Penduduk Negeri-negeri Selat.

Sebelum tahun 1871, pelbagai istilah seperti Jawi Bukan, Jawi Pukan atau Jawi Pekan telah digunakan di Pulau Pinang yang merujuk kepada orang Islam. Definisi Jawi Bukan, Jawi Pukan dan Jawi Pekan merangkumi bukan sahaja orang Melayu berdarah campuran Arab, India, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani, malah orang India Islam yang dilahirkan di Tanah Melayu (ibu bapa mereka orang India Islam) yang telah diasimilasikan ke dalam kebudayaan Melayu (Khoo Salma, 2002) dan mana-mana orang Islam yang bukan keturunan masyarakat Melayu tempatan. Definisi ini tentulah tidak tepat untuk merujuk kepada elemen peranakan yang bermaksud kelahiran tempatan dan berdarah campuran Melayu. Sebab itulah istilah Jawi Pekan tidak lagi digunakan dalam Laporan Tahunan Banci Penduduk Negeri-negeri Selat pada tahun 1871 dan istilah ini ditukarkan kepada Jawi Peranakan yang hanya merujuk kepada orang Melayu berdarah campuran Arab, India, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani (Zaharah Mahmud 1972). Berdasarkan istilah inilah di Singapura, kelompok peranakan ini dikenali sebagai Jawi Peranakan. Tetapi di Melaka etnik peranakan ini digelar sebagai Peranakan Keling (Khoo Salma 2002). Perkataan keling merujuk kepada orang India yang beragama Islam atau lebih khusus orang India Selatan beragama Islam yang datang ke Tanah Melayu seawal abad ketiga dari Kalinga dan Telingana (Pantai Coromandel) (Noriah Mohamed, 2008; Kamus Dewan, 2005).

Pembentukan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang bertitik tolak daripada adanya perkahwinan campur antara lelaki Arab, India Islam, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani dengan wanita Melayu tempatan. Keadaan ini sebenarnya telah berlaku sekian lama di gugusan pulau Melayu dan di Tanah Melayu, iaitu di Kedah, Melaka dan Perak. Kewujudan awal masyarakat ini bermula dengan adanya perkahwinan campur antara lelaki India Islam dengan wanita Melayu golongan bangsawan (Sandhu 1969). Ianya boleh dikesan berdasarkan beberapa versi sejarah lama Melayu yang mengaitkan keturunan raja Melayu dengan Raja Iskandar Zulkarnain di India (Andaya & Andaya 1983). Di mana keturunan Raja Perak dikatakan ada pertalian darah dengan Raja Iskandar Zulkarnain di India (Morgan 1948 dalam Zaharah Mahmud. 1972). Begitu juga dengan Raja Singapura yang pertama, iaitu Sang Nila Utama dan Sultan Melaka yang pertama, iaitu Parameswara, turut dikatakan ada pertalian darah dengan Raja Iskandar Zulkarnain (Wilkinson 1942 dalam Zaharah Mahmud, 1972). Tidak ketinggalan juga, Tun Ali bin Mani Purindam, tokoh pemimpin Melaka yang bergelar Seri Nara Diraja dan memegang jawatan Penghulu Bendahari juga dikatakan berketurunan Jawi Peranakan iaitu berdarah campuran India Islam. Tokoh lain seperti Bendahara Tun Mutahir, beliau juga dikatakan berasal daripada keluarga Melayu Tamil atau Jawi Peranakan (Muhammad Yusoff Hashim 1989).

Banyak perubahan ketara tentang pembentukan etnik Jawi Peranakan mula berlaku di Pulau Pinang. Perkahwinan campur yang berlaku antara lelaki India Islam dengan wanita Melayu tempatan bukan dalam kalangan golongan bangsawan, malah turut melibatkan golongan bukan bangsawan. Apabila pelabuhan Pulau Pinang dibuka oleh pihak Inggeris sebagai pelabuhan perdagangan ianya telah menyebabkan kedatangan orang Jawi Peranakan dari Kedah ke Pulau Pinang dan penghijrahan ini terjadi sejak abad ke-17 (Ragayah Eusoff, 1997). Perbauran antara masyarakat ini dengan masyarakat India Islam turut menghasilkan perkahwinan campur antara kedua-dua anggota masyarakat ini (Jawi Peranakan Pulau Pinang dengan Jawi Peranakan Kedah).

Sejarah kewujudan masyarakat Jawi Peranakan berketurunan India Islam di Pulau Pinang telah berlaku secara berperingkat-peringkat. Di mana pada peringkat pertama berlaku sewaktu kedatangan golongan saudagar, pedagang, pengembara dan pembekal alat senjata. Golongan ini telah menetap di Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light. Contohnya, golongan saudagar dikatakan telah berada di Pulau Pinang pada sekitar tahun 1770 (Omar Yusoff dan Noriah Mohamed, 2010). Pada ketika itu golongan ini dikenali sebagai Jawi Pekan (Sandhu, 1969). Pembentukan masyarakat ini bermula apabila ketua mereka iaitu Kapitan Keling berkahwin dengan wanita Melayu tempatan. Isteri pertama Kapitan Keling ini dikatakan berasal dari Batu Uban, Pulau Pinang dan beliau telah menetap di kawasan tersebut sejak tahun 1736 (Omar Yusoff dan Noriah Mohamed, 2010). Perkahwinan campur Kapitan Keling ini telah diikuti oleh saudagar-saudagar India Islam yang lain.

Peringkat kedua pula berlaku semasa kedatangan buruh-buruh dari India Selatan yang bekerja di ladang dan di bawah kerajaan British. Peringkat kedua ini dikatakan berlaku pada tahun 1787, atau dipercayai lebih awal (Sandhu 1969). Didapati pada awal tahun 1786, terdapat seramai seratus orang buruh India yang dihantar ke Pulau Pinang oleh kerajaan British yang beribu pejabat di India. Kebanyakan pendatang ini bekerja sebagai buruh ladang dan ada juga yang bekerja sebagai pegawai kerajaan British. Dari tahun ke tahun, bertambah ramai buruh India dari India Selatan dihantar ke Pulau Pinang untuk bekerja di ladang yang dibuka oleh kerajaan British bagi tujuan komersial, seperti ladang lada hitam yang dibuka pada tahun 1790, diikuti dengan ladang tebu pada tahun 1830, ladang kopi pada tahun 1870 dan ladang getah pada tahun 1877 (Sandhu 1969). Buruh-buruh ini dikatakan telah berkahwin dengan wanita Melayu tempatan, seperti yang ditegaskan oleh Sandhu (1969):

"Satu kecenderungan yang samajuga dapat dikesan dalam kalangan pendatang golongan lain, terutama dengan perkembangan kerja-kerja kerajaan dan pertanian komersil dalam abad kesembilan belas. Sesetengah pendatang ini, seperti nenek moyang mereka, mengambil pengantin tempatan dari kalangan penduduk Melayu dan golongan hamba. "

Peringkat ketiga ialah perkahwinan campur yang berlaku akibat kedatangan golongan banduan di India yang dihantar oleh kerajaan British yang beribu pejabat di India ke Pulau Pinang. Kedatangan banduan ini berlaku sekitar tahun 1788, apabila Pulau Pinang telah dijadikan sebagai petempatan banduan yang menjalani hukuman selama tujuh tahun atau lebih. Pada tahun 1789 beberapa orang banduan mula dihantar ke Pulau Pinang untuk menjalani hukuman. Lebih daripada tiga perempat banduan yang dihantar ke Pulau Pinang terdiri daripada mereka yang menjalani hukuman seumur hidup. Kesalahan yang dilakukan oleh banduan-banduan ini adalah seperti membunuh, merompak, kesalahan politik dan sebagainya. Banduan ini datang dari seluruh tempat di India dan mereka terdiri daripada pelbagai kaum. Banduan yang bernama Eyeno Deen Sheikdar dan Mohamed Heiant merupakan dua orang banduan India yang beragama Islam yang pertama dihantar ke Pulau Pinang, iaitu pada bulan Mac 1790 (Sandhu 1969).

Selepas tahun 1789, semakin ramai banduan telah dihantar ke Pulau Pinang untuk menjalani hukuman akibat kesalahan yang dilakukan di India. Pada tahun 1810, terdapat seramai 1,300 orang banduan telah dihantar ke pulau ini. Jumlah mereka terus meningkat kepada 1,462 orang pada tahun 1824. Namun begitu, apabila kerajaan British tidak lagi menyediakan peruntukan kewangan untuk menghantar pulang banduan yang telah tamat menjalani hukuman ke negara asal mereka, maka pihak Inggeris di Pulau Pinang telah mengurangkan penghantaran banduan India ke Pulau Pinang. Di dapati pada tahun 1865, terdapat hanya 801 orang banduan yang dihantar ke Pulau Pinang, 73 daripada mereka terdiri daripada banduan wanita (Turnbull 1970 dalam Khoo Salma, 2002). Berikutan daripada itu, bermula pada tahun 1860 semakin ramai banduan yang telah tamat menjalani hukuman tidak pulang ke tanah air mereka di India. Mereka lebih suka tinggal di Pulau Pinang. Keadaan ini berlaku kerana banduan ini dikatakan sudah biasa dengan keadaan di Pulau Pinang (McNair 1899 dalam Zaharah, 1972). Kebanyakan daripada mereka sudah berkahwin dengan bekas banduan, masyarakat India lain atau orang Melayu. Perkara ini telah mempercepat pertumbuhan penduduk masyarakat India dan Jawi Pekan di Pulau Pinang (Sandhu 1969). Pekerjaan yang dilakukan oleh bekas banduan ini ialah sebagai penjaga lembu, membuka kedai runcit, buruh, dan ada yang bekerja dengan kerajaan British (McNair 1899 dalam Zaharah. 1972). Blythe (1971 dalam Khoo Salma 2002) menyatakan bahawa pembentukan golongan Jawi Pekan berlaku dengan meluas pada sekitar tahun 1857, iaitu melalui sistem ticket of leave. Di mana pengikut sistem ini, hanya banduan yang telah menunjukkan kelakuan yang baik boleh dibenarkan bekerja dengan kerajaan British ataupun orang Eropah yang lain dengan dibayar gaji yang lumayan.

Andaya, B.W. & Andaya, L.Y. (1983) telah mengesan rekod kemasukan imigran dari India dianggar seramai antara 1300 hingga 2000 imigran dari India yang datang menetap di Pulau Pinang pada 1790 iaitu selepas empat tahun pendudukan Inggeris di Pulau Pinang. Beliau juga mendapati pada 1830 pula dianggarkan seramai 11 000 masyarakat India di Pulau Pinang dan menjadi kaum kedua paling ramai selepas masyarakat Melayu yang berjumlah seramai 40 000 manakala kaum Cina tempat ketiga dengan jumlah 9 000 orang penduduk.

Di Pulau Pinang, kebanyakan ahli masyarakat Jawi Peranakan telah mengenalkan diri mereka sebagai Melayu. Di samping kedatangan mereka yang direstui oleh orang Melayu untuk menerima mereka, perasaan sukarela dalam kalangan masyarakat Jawi Peranakan untuk menjadi Melayu juga telah mempercepat proses mereka untuk menjadi Melayu. Sekarang dapat dilihat kebanyakan kebudayaan masyarakat Jawi Peranakan kian terserap oleh nilai dan norma Melayu, malahan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang telah dibudayakan sepenuhnya oleh budaya Melayu dari segi bahasa, adat resam perkahwinan, makanan serta pemakanan dan sebagainya. , Walaupun Jawi Peranakan merupakan kelompok kacukan yang dibincangkan berteraskan Melayu dalam erti kata yang luas dan identiti mereka menampakkan bauran, namun begitu teras Melayu tersebut mungkin kuat atau lemah. Selain daripada perkahwinan, faktor agama juga digunakan sebagai asas kepada identiti kelompok ini. Contohnya dalam Jawi Peranakan lebih condong ke arah Melayu kerana mereka beragama Islam.

Jawi Pekan merujuk kepada masyarakat yang terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara imigran dan peniaga dari luar dengan wanita Melayu tempatan (Crawfurd 1820 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed, 2010). Di Pulau Pinang dalam abad kelapan belas, mereka ini tinggal di kawasan bandar dan oleh kerana itu kerajaan British telah mengguna pakai istilah Jawi Pekan ini untuk membezakan antara orang asing/bukan Melayu Islam yang tinggal di bandar ini dengan orang Melayu Islam yang tinggal di luar bandar (Crawfurd 1820 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed, 2010).

Jawi Pekan merupakan istilah yang agak samar dari segi makna sebenarnya. Jawi Pekan bukan sahaja diguna pakai untuk merujuk kepada orang Melayu berdarah campuran Arab, India, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani dan juga orang India Islam yang dilahirkan di Tanah Melayu (kedua-dua ibu bapa mereka terdiri daripada orang India Islam) yang telah melalui proses asimilasi kebudayaan Melayu (Khoo Salma 2002), malah istilah ini juga digunakan untuk merujuk kepada mana-mana orang Islam yang bukan keturunan Melayu tempatan. Kekaburan makna ini telah mendatangkan kesukaran kepada ahli sarjana untuk memberi maksud Jawi Pekan (Crawfurd 1820 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed, 2010) dengan tepat. Walaupun begitu, bermula dari tahun 1870, Jawi Pekan tidak lagi diguna pakai dalam Laporan Tahunan Banci Penduduk Negeri-negeri Selat sebaliknya istilah ini telah digantikan dengan Jawi Peranakan sebagai rujukan kepada orang Melayu berdarah campuran Arab, India, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani (Zaharah, 1972).

Definisi yang diberikan oleh Zaharah (1972) di atas menunjukkan bahawa Jawi Peranakan ialah istilah yang lebih khusus. Istilah ini mula digunakan pada tahun 1871 dan Jawi Peranakan tidak lagi merangkumi orang India Islam yang dilahirkan di Tanah Melayu (kedua-dua ibu bapa mereka terdiri daripada orang India Islam) yang telah melalui proses asimilasi kebudayaan Melayu dan mana-mana kumpulan yang beragama Islam yang bukan berketurunan Melayu tempatan. Perubahan ini dilakukan untuk memudahkan pembahagian kelompok dibuat dalam Laporan Tahunan Banci Penduduk Negeri-negeri Selat (Khoo Salma 2002). Di Singapura, masyarakat peranakan ini dikenali sebagai Jawi Peranakan, sementara di Melaka pula mereka dikenali sebagai Peranakan Keling (Khoo Salma 2002).

Kewujudan Jawi Peranakan bukanlah suatu perkara yang baru, sebaliknya golongan ini telah wujud sekian lama di gugusan Pulau Melayu dan di Tanah Melayu, iaitu di Kedah, Melaka, Perak dan Johor. Pembentukan asal Jawi Peranakan bermula dengan proses perkahwinan campur antara lelaki India Islam dengan wanita Melayu tempatan daripada kalangan anak raja Melayu dan anak pembesar negeri (Sandhu 1969). Winstedt (1935 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).) menjelaskan:

Golongan India Islam telah berkahwin dengan anak-anak Sultan dan Bendahara di Melaka.

Perkahwinan seperti ini berlaku kerana pada ketika itu kebanyakan lelaki India Islam yang datang ke Nusantara terdiri daripada peniaga dan disebabkan kekayaan dan kedudukan, mereka dengan mudah dapat berkahwin dengan anak raja. Disebabkan ini, timbul beberapa versi yang mengaitkan keturunan raja Melayu dengan Raja Iskandar Zulkarnain diIndia (Andaya & Andaya 1983). Keturunan Raja Perak dikatakan ada hubungan darah dengan Raja Iskandar Zulkarnain tersebut (Morgan 1948 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed, 2010), begitu juga dengan Raja Singapura yang pertama, iaitu Sang Nila Utama dan Sultan Melaka yang pertama, iaitu Raja Iskandar Dzulkarnain (Wilkinson 1924 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed, 2010). Tun Ali bin Mani Purindam, tokoh pemimpin Melaka yang bergelar Seri Nara Diraja dan berjawatan Penghulu Bendahari juga mempunyai darah campuran India Islam. Begitu juga Bendahara Tun Mutahir, beliau dilahirkan daripada keluarga Melayu Tamil atau Jawi Peranakan (Muhammad Yusoff Hashim 1989).

Kewujudan golongan India Muslim di alam Melayu dikesan seawal abad ke-15 lagi iaitu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sejarah ada menerangkan peranan yang dimainkan oleh golongan India Muslim dalam politik Melaka (Andaya & Andaya, 1983). Pemimpin-pemimpin yang memegang jawatan bendahara seperti Tun Ali dan Tun Mutahir menunjukkan betapa berpengaruhnya mereka di Tanah Melayu. Sultan Muzaffar Syah iaitu Sultan Melaka yang keempat ataupun kelima adalah seorang yang berdarah campuran India Muslim. Masyarakat India Muslim juga dihubungkan dengan teori kedatangan Islam ke alam Melayu berasaskan teori otoktoni yang dikemukakan oleh Snouck Hurgronje (Mohd Aris, 1985). Walaupun begitu hampir semua masyarakat India Muslim yang wujud di zaman Kesultanan Melayu Melaka telah melalui proses asimilasi dengan masyarakat setempat dan golongan ini telah terserap ke dalam kehidupan masyarakat Melayu seiring dengan masa yang berlalu ditambah pula dengan ikatan perkahwinan dengan masyarakat setempat.

Dalam kalangan masyarakat Melayu utara, masyarakat India Muslim ini dipanggil sebagai Keling atau pun juga dikenali sebagai mamak. Kewujudan mereka amat berkait rapat dengan penduduk Pulau Pinang.Ini kerana sumbangan mereka dalam membantu Francis Light memajukan pulau ini. Pengaruh mereka terhadap identiti masyarakat Pulau Pinang amat besar terutama dari segi budaya. Ini dapat dibuktikan dengan kemasyuran nasi kandar, pasembor dan juga loghat masyarakat Melayu Pulau Pinang.

Akibat dari perkahwinan campur dengan penduduk tempatan telah melahirkan komuniti Melayu yang dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Jawi Pekan di mana anak-anak dara mereka yang berhidung mancung dan bermata bulat selalu dipanggil dengan panggilan Anak Mami. Sebagai tambahan terdapat juga gelaran kekeluargaan seperti mamu, nana, khala mami dan beberapa lagi panggilan yang telah digunakan oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang.

Di Singapura, golongan peranakan ini dikenali sebagai Jawi Peranakan ,sementara di Melaka pula disebut sebagai Peranakan Keling (Khoo Salma 2002). Antara maksud keling ialah orang India yang beragama Islam atau lebih spesifik orang India Selatan beragama Islam yang datang ke Tanah Melayu pada awal abad ketiga dari Kalinga dan Telingana (Pantai Coromandel) (Noriah Mohamed 2008; Kamus Dewan 2005).

Terbentuknya masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang adalah berpunca daripada . perkahwinan campur antara lelaki Arab, India Islam, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani dengan wanita Melayu tempatan.Perkara ini sudah berlaku sejak sekian lama di gugusan pulau Melayu dan di Tanah Melayu, iaitu di Kedah, Melaka dan Perak.

Pembentukan awal golongan ini bermula daripada perkahwinan campur antara lelaki India Islam dengan wanita Melayu golongan bangsawan (Sandhu 1969). Akibatnya timbul beberapa versi yang menghubungkan keturunan raja Melayu dengan Raja Iskandar Zulkarnain di India (Andaya & Andaya 1983). Keturunan Raja Perak pernah dikatakan ada pertalian darah dengan Raja Iskandar Zulkarnain di India (Morgan 1948 dalam Andaya & Andaya, 1983). Begitu juga dengan Raja Singapura yang pertama, iaitu Sang Nila Utama dan Sultan Melaka yang pertama, iaitu Raja Iskandar Dzulkarnain, turut dikatakan ada pertalian darah dengan Raja Iskandar Zulkarnain (Wilkinson 1942 dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010). Tun Ali bin Mani Purindam, iaitu tokoh pemimpin Melaka yang bergelar Seri Nara Diraja. Beliau menyandang jawatan Penghulu Bendahari, juga keturunan Jawi Peranakan berdarah campuran India Islam. Seperti juga dengan Bendahara Tun Mutahir, dimana beliau berasal daripada keluarga Melayu Tamil atau Jawi Peranakan (Muhammad Yusoff, 1989).

Berdasarkan tahap-tahap perkembangan yang dibincangkan, adalah didapati bahawa orang India mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Walaupun begitu, di samping berlatar belakangkan India sebagai tempat asal, golongan ini juga merangkumi kaum lain seperti Arab, India, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani yang beragama Islam dan berkahwin campur dengan orang Melayu tempatan. Mereka ini dapat dibezakan daripada orang India Islam dari segi identiti.

Sebelum kedatangan orang-orang Inggeris, Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada wilayah negeri Kedah dan terdapat bukti-bukti yang jelas mengenai kewujudan penghuni di pulau ini sebelum kedatangan Inggeris. Namun begitu, jumlah penduduk yang tinggal di pulau ini tidaklah pesat sebagaimana selepas kehadiran British. Keadaan pulau ini ketika itu hanyalah terdiri daripada perkampungan nelayan yang berpenghuni dibeberapa kawasan seperti di Gelugor dan Batu Uban. Kemudian, Sultan Kedah telah mengajak sekumpulan golongan Melayu Minang dari Pagar Ruyung untuk tinggal di pulau ini. Makam-makam lama yang dijumpai di Gelugor menjadi bukti kukuh kepada teori ini. Antara bukti lain yang membenarkan teori ini ialah terdapatnya tokoh yang dikenali sebagai Datuk Keramat (Omar Yusoff dan Noriah Mohamed, 2010).

Pada masa itu Kesultanan Melayu Kedah meliputi kawasan yang agak besar dan kemakmuran yang dinikmatinya adalah hasil daripada tanahnya yang subur yang amat sesuai untuk tanaman padi yang merupakan makanan ruji bagi masyarakat Asia Tenggara. Ancaman dari jiran yang lebih kuat seperti Siam dan Burma membuatkan Sultan Kedah berasa tidak tenteram, ditambah pula dengan pergolakan dalaman yang dialaminya. Sejak beberapa lama Kedah adalah negeri naungan Siam yang mewajibkannya menghantar ufti berbentuk gubahan bunga emas kepada Raja Siam. Walaupun pada peringkat awalnya Kedah menganggap ini sebagai suatu hubungan diplomatik biasa antara dua negeri berjiran iaitu sebagai simbol persahabatan semasa Raja Siam memperolehi cahaya mata, namun Siam pula beranggapan ianya merupakan suatu bentuk ufti dan menganggapnya sebagai kesediaan Kedah untuk bernaung di bawah kekuasaannya. Di samping itu Siam sedar yang negaranya jauh lebih kuat dan keluasannya jauh mengatasi keluasan negeri Kedah. .

Kemajuan penduduk di Pulau Pinang yang terdiri daripada pelbagai kaum yang mencari rezeki dalam pelbagai jenis pekerjaan, golongan keturunan India Muslim merupakan sebahagian daripadai kepelbagaian bangsa yang tinggal dan mewarnai kehidupan di Pulau Pinang. Sesetengah daripada mereka dibawa masuk oleh British yang mana mereka ditugaskan sebagai askar sepoi British, manakala sebahagian lagi berhijrah dengan sendiri untuk mencari kehidupan baru dan kebanyakannya menjadi peniaga.. Disebabkan jumlah masyarakat India Muslim yang semakin ramai, akibatnya telah muncul rumah-rumah ibadat atau masjid yang dibina berdekatan kawasan tempat tinggal mereka..

Perubahan di Pulau Pinang mula terjadi apabila perkahwinan campur antara lelaki India Islam dengan wanita Melayu tempatan mula berkembang dalam kalangan rakyat biasa. Hal ini terjadi disebabkan jumlah lelaki India Islam yang datang ke Pulau Pinang semakin bertambah. Selain lelaki India Islam, wanita Melayu Pulau Pinang turut berkahwin campur dengan lelaki Jawi Peranakan yang berasal dari Kedah yang telah berhijrah ke Pulau Pinang. Golongan ini dikatakan telah datang ke Pulau Pinang sebaik sahaja Pulau Pinang dibuka oleh Kapten Light dan kemudiannya negeri ini dijadikan sebagai pelabuhan bebas oleh orang Inggeris. Dasar pintu terbuka yang menjadi polisi kerajaan British telah menarik minat masayarakat Jawi Peranakan yang berasal dari Kedah untukt menjalankan perniagaan di Pulau Pinang. Ada juga pendapat yang menyatakan kedatangan Jawi Peranakan dari Kedah telah mula wujud sejak abad ke-17 (Ragayah Eusoff 1997).

Jelaslah di sini bahawa Jawi Peranakan di Pulau Pinang ialah kelompok peranakan yang beragama Islam. Selain berlatarbelakangkan India sebagai tempat asal mereka, kelompok ini juga merangkumi golongan lain seperti Arab, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani yang telah berkahwin campur dengan orang Melayu tempatan. Walau bagaimana pun mereka ini dapat dibezakan daripada orang India Islam dari segi identiti sebagaimana yang telah dibincangkan di atas. Kelompok ini juga merupakan kelompok unik yang mengamalkan budaya campuran antara budaya asal dengan budaya Melayu.

Dalam konteks di Pulau Pinang, kebanyakan anggota masyarakat Jawi Peranakan telah diasimilasikan sebagai Melayu. Selain sebagai golongan imigran, mereka telah direstui dan diterima oleh orang Melayu. Mereka secara sukarela untuk menjadi Melayu. Keadaan inilah yang telah mempercepat proses mereka untuk menjadi Melayu. Pada hari ini rata-rata kebudayaan masyarakat Jawi Peranakan kian terserap oleh nilai dan norma Melayu, malah masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang telah dibudayakan sepenuhnya oleh budaya Melayu dari segi bahasa, adat resam perkahwinan, makanan dan pemakanan dan sebagainya.

Daripada apa yang telah dibincangkan di atas, didapati sememangnya orang India memainkan peranan yang besar dalam pembentukan Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Walaubagaimanapun selain berlatarbelakangkan India sebagai tempat asal, kumpulan ini juga meliputi kaum lain seperti Arab, India, Benggali, Punjabi, Gujerati dan Afghani yang beragama Islam dan berkahwin dengan orang Melayu tempatan. Mereka ini berbeza daripada orang India Islam hanya dari segi identiti.

Pentadbiran Jawi Peranakan : Kapitan Keling

Untuk memudahkan mentadbir masyarakat pelbagai bangsa yang berbeza budaya, bahasa dan agama, pihak Inggeris telah melantik ketua bagi setiap kaum yang ada di Pulau Pinang. Di mana ketua-ketua bagi setiap kaum ini dikenali sebagai kapitan. Ketua bagi kaum Cina dipanggil sebagai Kapitan Cina, manakala bagi masyarakat India yang dikenali sebagai masyarakat Keling, ketuanya dikenali sebagai Kapitan Keling(Khoo Salma, 2002). Walau bagaimana pun, perlu diingatkan, bagi pemahaman orang-orang utara bahawa istilah Keling itu memang merujuk kepada masyarakat India Muslim. Bagi masyarakat India yang beragama Hindu, mereka lebih dikenali sebagai masyarakat Hindu iaitu bangsa mereka dirujuk dengan sebutan nama kepercayaan agama mereka. Namun, bagi pemahaman orang-orang bukan dari sebelah utara, sama ada masyarakat pantai timur, bahagian tengah dan selatan tanah air, istilah Keling merujuk kepada semua yang berketurunan India termasuk juga yang beragama Hindu.

Francis Light telah menggunakan sistem pentadbiran terhadap masyarakat berbilang kaum mengikut model yang digunakan oleh penjajah Belanda iaitu dengan melantik ketua bagi setiap kaum dengan gelaran Kapitan(Khoo Salma, 2002). Oleh itu, bagi masyarakat India Muslim di Pulau Pinang mereka juga mempunyai seorang kapitan yang dikenali sebagai Kapitan Keling. Tugas seorang kapitan adalah sebagai mewakili kaumnya dalam sebarang urusan dengan pemerintah Inggeris disamping menyelesaikan pertikaian di kalangan kaum mereka. Malah sebelum wujudnya sistem kehakiman di Pulau Pinang, kapitan turut bertindak sebagai hakim dalam menyelesaikan perbalahan yang berlaku sesama anggota kaumnya(Andaya & Andaya, 1983).

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Inggeris mentadbir masyarakat berbilang kaum melalui perlantikan ketua bagi setiap kaum yang dikenali sebagai kapitan. Model ini sebenarnya mengikut sistem yang diamalkan Belanda semasa mereka menakluk Melaka daripada Portugis pada tahun 1641(Andaya & Andaya, 1983). Perkara ini dilaksanakan adalah disebabkan penduduk awal Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai kaum. Kaum-kaum itu terdiri daripada kaum Melayu yang merupakan kaum terbesar, diikuti kaum India yang merupakan petugas-petugas Syarikat Hindia Timur Inggeris termasuklah polis dan askar di samping kehadiran pedagang-pedagang (kebanyakannya India Muslim) yang sebelum ini sudah biasa berniaga di pantai Kuala Kedah dan juga imigran-imigran Cina yang digalakkan untuk berhijrah ke Pulau Pinang dalam usaha untuk memakmurkan ekonomi Pulau Pinang. Di samping tiga kaum yang besar, terdapat juga kaum-kaum yang kecil jumlahnya seperti masyarakat Serani, masyarakat Arab, masyarakat Eropah, masyarakat Yahudi, Jawa, Boyan, Burma, Siam dan beberapa kaum lagi(Zaharah, 1972).

Pada dua hingga lima dekad selepas pendudukan Francis Light, kaum Melayu merupakan penduduk yang paling ramai, keadaan ini berlaku berikutan ketidakstabilan dalam negeri terutamanya di negeri Kedah. Kaum yang kedua paling ramai ialah masyarakat India yang mana sebahagiannya adalah India Muslim yang dikenali sebagai mamak atau keling. Untuk menjaga kepentingan kaum ini, seorang ketua yang digelar kapitan telah dilantik oleh Inggeris. Inggeris telah memilih seorang saudagar untuk dilantik menjadi seorang kapitan yang dipanggil Kapitan Keling. Tokoh yang dimaksudkan ialah Caudeer Mohudeen Merican yang dipercayai telah tiba di alam Melayu seawal 1770 dengan berniaga di Kuala Kedah(Mohd Aris, 1985). Beliau mula datang ke Pulau Pinang pada 1790 dan beberapa tahun selepas itu telah dilantik menjadi Kapitan Keling.Sebagai seorang ketua, Kapitan Keling telah memikirkan keperluan sebuah tempat untuk menguruskan kaumnya. Sebagai seorang Islam sudah tentu tempat yang dimaksudkan ialah sebuah masjid. Sehubungan dengan itu, Kapitan Keling telah memohon sebidang tanah seluas 18 ekar daripada pemerintah Inggeris di Pulau Pinang. Lokasi tapak yang dipohon pada 1800 itu adalah berhampiran dengan lokasi masjid yang berbumbungkan atap yang telah dibina secara sementara oleh askar-askar sepoi yang beragama Islam semasa Francis Light mula-mula mendarat di Pulau Pinang pada 1786 (Noriah Mohamed, 2008). Lokasi tanah yang terletak di persimpangan Pitt Street dan Malabar Street (kini Lebuh Chulia) telah diluluskan pada 1801.

Caudeer Mohudeen sebagai Kapitan Keling merupakan seorang peniaga yang berjaya di Pulau Pinang. Beliau telah menjadikan masjid yang dibinanya sebagai pusat komuniti masyarakat India Muslim. Sebagai seorang Kapitan yang menguruskan halehwal kebajikan masyarakatnya, beliau juga mementingkan pegangan akidah masyarakat Islam dan sentiasa berusaha menarik kehadiran ulama. Malah, salah seorang isterinya iaitu Che Amah Othman Nachiar ialah seorang ustazah berketurunan Melayu Pattani. Di samping Che Amah sebagai isteri pertama, isteri kedua beliau ialah Tunku Wanchik Thaibu atau juga dikenali sebagai Wan Maheran manakala isteri ketiga beliau ialah Che Aminah.

Walaupun Caudeer Mohudeen (disebut sebagai Kadir Mydin) merupakan seorang pemimpin masyarakat India Muslim ataupun Kapitan Keling tetapi isteri-isterinya adalah wanita Melayu iaitu orang tempatan. Beliau adalah contoh terbaik untuk menunjukkan keturunan kacukan yang dikenali sebagai Jawi Pekan. Sebagai kapitan, beliau juga pernah diiktiraf sebagai orang paling kaya di Pulau Pinang dan memiliki beberapa rangkaian perniagaan utama di Pulau Pinang. Sungguh pun begitu kekayaannya yang melimpah ruah tidak melalaikannya terhadap kepentingan agama. Beliau sentiasa mengingatkan anak-anak buahnya agar memelihara agama kerana Pulau Pinang adalah negeri yang tidak mempunyai sultan sebagai pelindung agama(Noriah Mohamed, 2008).

Caudeer Mohudeen telah meninggal dunia pada 1834 dengan meninggalkan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan serta beberapa orang cucu daripada tiga orang isterinya (Noriah Mohamed, 2008). Antara nama-nama anaknya ialah Othman Ninah dan Othman Sahib. Othman Ninah dipercayai adalah anak sulungnya. Suatu kawasan makam keluarga Kapitan Keling masih lagi wujud di Kampong Kolam iaitu hanya beberapa meter dari Masjid Kapitan Keling. Kawasan makam ini telah menempat kubur semua ahli keluarga Caudeer Mohudeen termasuk ketiga-tiga isterinya, tiga orang anaknya dan kubur Caudeer Mohudeen sendiri. Kawasan perkuburan ini kini dijaga oleh Mohd. Tajuddin bin Md. Noor, berusia 69 tahun yang merupakan generasi kelima keturunan Kapitan Keling (temu bual dalam Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010). Selain itu, keturunan Kapitan Keling telah berkembang ke seluruh Malaysia yang kebanyakannya menggunakan gelaran nama Merican dan antaranya tokoh-tokoh yang berjaya seperti Tan Sri Hasan Merican (CEO Petronas), Datuk Ismail Merican(Pengarah Kesihatan) , Ahmad Daud Merican (seniman), Reezal Mercan (politikus muda) dan ramai lagi. Namun ada juga yang cuba mengambil kesempatan dengan menuntut kembali hakmilik tanah yang telah diwakaf.

Penutup

Hasil dari perkahwinan campur dengan penduduk setempat telah melahirkan satu komuniti Melayu unik yang dikenali sebagai Jawi Peranakan atau Jawi Pekan yang mana anak-anak gadis mereka yang berhidung mancung dan bermata bulat seringkali diusik dengan panggilan Anak Mami. Begitu juga dengan gelaran kekeluargaan seperti mamu, nana, khala mami dan beberapa lagi panggilan yang digunakan oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang. Cara hidup mereka ini menjadi fenomena di negara ini sehinggakan kisah kehidupan mereka telah difilemkan seperti filem ibu mertuaku, anak mami the movie dan mami jarum.

Walaupun sebahagian besar masyarakat India Muslim di Malaysia kini telah melalui proses asimilasi atau pun proses pemelayuan melalui perkahwinan dengan masyarakat Melayu setempat, namun terdapat juga segelintir yang mengawal kewujudan identiti mereka sebagai India Muslim (Noriah Mohamed, 2008). Antara langkah yang mereka telah lakukan ialah dengan tidak menggalakkan anak-anak mereka berkahwin dengan orang-orang Melayu, mereka terus mengamalkan budaya India sejati seperti menggunakan sepenuhnya bahasa ibunda mereka (bahasa Tamil) dalam urusan harian. Penggunaan bahasa Tamil masih dikekalkan termasuk khutbah solat Jumaat di Masjid Kapitan Keling juga menggunakan bahasa Tamil dan juga terus berhubung rapat dengan saudara-mara di India. Perkara ini mewujudkan fenomena mamak kedai balik India adalah perkara yang seringkali kedengaran di kalangan masyarakat Pulau Pinang.

Rumusannya, walaupun identiti dan bahasa yang awal bagi Jawi Peranakan ini jelas memperlihatkan bauran, namun begitu bauran ini semakin cair kebelakangan ini. Kelompok Jawi Peranakan ingin dikenali sebagai satu kelompok yang jelas dan hal ini menjadikan mereka berasimilasi ke dalam kelompok asal atau ke dalam kelompok dominan (Mohd Aris, 1985). Penyerapan ke dalam kelompok asal atau dominan juga memperlihatkan peralihan arah penggunaan bahasa dalam kalangan kelompok Jawi Peranakan ini. Sistem bahasa yang digunakan sama ada condong ke arah kelompok asal (bahasa Tamil) atau kelompok dominan (penggunaan bahasa Melayu). Jelaslah di sini etnik Jawi Peranakan telah mewarnakan masyarakat Malaysia yang dikenali sebagai masyarakat majmuk. Kehadiran kelompok ini dalam masyarakat Malaysia telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh didiami oleh pelbagai kaum dengan aman dan harmoni.

1.2 Berdasarkan kajian terhadap suku bangsa atau etnik yang dikaji, beri contoh- contoh kata, ayat, bahan sastera, objek budaya atau apa sahaja yang sesuai untuk membuktikan hubungan kekerabatan dengan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

Pengenalan.

Kacukan adalah istilah yang digunakan untuk memperlihatkan sifat sesuatu sistem yang terbentuk daripada gabungan beberapa subsistem atau bahagian yang berbeza. Istilah ini mempamerkan sifat percampuran atau pembauran yang wujud dalam sesebuah sistem. Sekiranya kacukan dikaitkan dengan identiti dan bahasa, maka secara longgar maksudnya ialah identiti atau bahasa yang bercampur. Konsep bercampur dalam pengertian biasa adalah difahami sebagai mengadukkan atau menambah sesuatu ke dalam sesuatu dan percampuran tersebut menyebabkan ia menjadi berbaur. Dalam konteks identiti dan bahasa, hal yang sama berlaku, namun begitu takat atau cara percampuran dua atau lebih entiti yang dimaksudkan mungkin berbeza bergantung kepada identiti dan bahasa yang beraduk.

Dari sudut bahasa juga, kacukan menurut Weinrich (1953 dalam Mohd Aris, 1985), bahawa apabila penutur yang menuturkan bahasa atau dialek yang berbeza bertemu, maka berlaku pertembungan antara bahasa atau dialek tersebut. Bahasa-bahasa yang bertembung akan saling mempengaruhi satu sama lain maka berlakulah pembauran unsur dua atau lebih bahasa. Pembauran inilah yang dianggap sebagai kacukan. Di bahagian utara Semenanjung Malaysia, terdapat tiga komuniti yang kelihatan mempamerkan ciri kacukan iaitu Samsam, Baba Nyonya dan Jawi Peranakan. Penulisan ini akan mengkaji konsep kacukan untuk Jawi Peranakan yang boleh dikaitkan dengan Melayu, dengan memberi contoh-contoh kata, ayat, bahan sastera, objek sastera, objek budaya atau apa sahaja yang sesuai untuk membuktikan hubungan kekerabatan dengan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

Bahasa Pertuturan

Bahasa pertuturan seharian etnik Jawi Peranakan di Pulau Pinang ialah Dialek Melayu Pulau Pinang (DMPP). Dialek ini bukan sahaja digunakan oleh etnik Jawi Peranakan di dalam perbualan ramai malah dalam institusi kekeluargaan. Sebenarnya, DMPP yang dituturkan oleh Jawi Peranakan ini tidak begitu jauh berbeza jika dibandingkan dengan dialek Melayu yang dituturkan oleh orang Melayu lain yang menetap di Pulau Pinang. Antara ciri DMPP ialah fonem /s/ disebut sebagai /s/ jika muncul di lingkungan awal perkataan bersuku kata terbuka dan tertutup tetapi fonem ini tidak wujud sebagai /s/ di akhir perkataan bersuku kata tertutup. Fonem /s/ di akhir kata dalam DMPP wujud sebagai /h/ sekiranya didahului oleh vokal /i/ tetapi muncul sebagai /yh/ (bunyi geluncur) jika vokal yang mendahului bunyi /s/ itu /u/ atau /a/. Jadual 1 menunjukkan perbandingan ciri /s/ dalam DMPP dengan Bahasa Melayu Standard (BMS):-

Jadual 1. Fonem /s/ dalam DMPPBMSDMPPBMSDMPPBMSDMPP

Jika didahului /i/Jika didahului /u/Jika didahului /a/

habishabehbagusbaguyhBerasbeghayh

keriskeghehterusteghuyhRampasghampayh

garisgaghehtikustikuyhAtasatayh

manismanehterjerumustejeghumuyhJelabasjelabayh

Dipetik daripada Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).

Fonem /l/ dalam DMPP pula disebut sebagai /l/ jika muncul di lingkungan awal perkataan bersuku kata terbuka dan tertutup tetapi fonem ini tidak wujud sebagai /l/ di akhir perkataan bersuku kata tertutup. Fonem /l/ di akhir kata dalam DMPP akan digugurkan sekiranya didahului oleh vokal /i/ tetapi muncul sebagai /oy/ atau /ay/ (bunyi geluncur) jika vocal yang mendahului bunyi /l/ itu ialah /u/ atau /a/ (Jadual 2).

Jadual 2. Fonem /l/ dalam DMPPBMSDMPPBMSDMPPBMSDMPP

Jika didahului /i/Jika didahului /u/Jika didahului /a/

batilbatebakulbakoyAjalajay

cungkilcungkesanggulsanggoyAkalakay

panggilpanggejambuljamboyAwalaway

sambilsambegomolgomoyAsalasay

Dipetik daripada Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).

Fonem /r/ dalam DMPP (Jadual 3) disebut sebagai /gh/ atau [] jika muncul sebagai anggota pertama suku kata terbuka dan anggota akhir suku kata pertama tertutup. Dalam kes kedua lazimnya vokal pepet disisipkan selepas /gh/.

Jadual 3. Fonem /r/ dalam DMPP (I)BMSDMPPBMSDMPP

Di awal suku kata terbukai akhir suku kata tertutup

barubaghukerjakegheja

rajaghajaterbitteghebit

rakyatghakyatterkamteghekam

rumahghumahberkasbeghekayh

Dipetik daripada Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).

/r/ di akhir suku kata pertama dalam perkataan tiga suku kata digugurkan. Suku kata pertama boleh jadi juga imbuhan awalan (Jadual 4).Jadual 4. Fonem /r/ dalam DMPP (II)BMSDMPP

Di akhir kata suku kata pertama

gergasigegasi

merpatimepati

permatangpematang

bercakapbecakap

bersilatbesilat

termakantemakan

tersilaptesilap

perjalananpejalanan

Dipetik daripada Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).

/r/ di akhir perkataan (Jadual 5) bertukar menjadi /q/ atau []. Lazimnya vokal yang mendahului fonem /q/ itu disengaukan:-

Jadual 5. Fonem /r/ dalam DMPP (III)BMSDMPP

Di akhir kata

EjaanEjaanFonemik

airayakAyaq

pasirpasiakPasiyaq

fikirpikiakPikiyaq

besarbesakBesaq

hingarhingakHingaq

setarsetaksetaq5

tidurtidokTidoq

nyiurnyiokNyiyoq

cucurcucokCucoq

pancurpancokPancoq

Dipetik daripada Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).

Ayat pertuturan

Namun begitu terdapat juga perkataan khusus dalam dialek Melayu Kedah dan DMPP yang mungkin tidak terdapat dalam dialek Melayu lain. Di sini dicatatkan perkataan yang dimaksudkan dengan contoh penggunaannya (lihat Jadual 6).

Jadual 6. Perkataan khusus dalam dialek Melayu Kedah

(1) DMPP - Awat: mengapa atau sebab apa. DMPP - Awat hang kena buang kerja? BMS - (Mengapa awak dibuang kerja?)DMPP - Awat keretapi ni lambat? BMS - (Mengapa kereta api ini lambat?)DMPP - Awat tak buat? BMS - (Mengapa tidak dibuat?)

(2)Dok: merupakan singkatan kepada duduk dan boleh membawa makna duduk, menetap, sedang, dalam aksi atau kedudukan.DMPP - Hang dok kat mana? BMS - (Awak tinggal di mana? (menetap))DMPP - Mailah dok tang ni. BMS - (Marilah duduk di sini (duduk)).DMPP - Saya dok makan masa dia mai. BMS - (Saya sedang makan sewaktu dia datang (dalam aksi)).DMPP - Pi mai pi mai dok tang tu jugak. BMS - (Pergi balik, pergi balik di situ juga (dalam kedudukan)).

(3) Dan: bermakna sempat/ada masa dan jika digandakan menjadi dan-dan bermakna masa itu juga.DMPP - Saya tak dan nak balik hari ni kot. BMS - (Saya tidak sempat pulang hari ini agaknya).DMPP - Kalau ikut hati aku dan-dan jugak aku nak balik. BMS - (Kalau ikutkan hati masa itu jugaaku hendak balik).

(4) La: bermakna sekarang.DMPP - Kalau buleh saya mau benda tu la ni jugak. BMS - (Sekiranya dapat saya mahukan benda itu sekarang juga).

(5) Sat : bermakna sekejap, sekejap-sekejap (berulang kali), sekejap tadi.DMPP - Tunggu sat no. (Tunggu sekejap ya).Sat-sat dia mai. BMS - (Sekejap-sekejap dia datang).DMPP - Dia baru pi sat-sat ni. BMS - (Dia baru pergi sekejap tadi).

(6) Kot: bermakna barang kali.DMPP - Dia jatuh sat ni kot. BMS - (Barang kali dia jatuh sekejap nanti).DMPP- Manalah tau kot-kot ada orang suka kat cek. BMS - (Manalah tahu mungkin ada orang yang sukakan saya).

(7) Lagu: bermakna macam/seperti.DMPP - Hang buat lagu ni. BMS - (Awak buat macam ini).DMPP - Lagu ni tak syoklah. BMS - (Kalau macam ini tidak seronoklah).

Dipetik daripada Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).

Apa yang telah dunyatakan di atas adalah contoh serba ringkas DMPP yang digunakan sebagai bahasa pertuturan dalam kalangan Jawi Peranakan. Disebabkan Jawi Peranakan berdarah kacukan Melayu-Tamil maka bahasa yang digunakan mereka juga tidak dapat lari daripada pengaruh bahasa Tamil. Pengaruh ini mungkin agak tebal bagi generasi awal masyarakat ini, namun demikian ianya semakin menipis bagi generasi terkemudian. Punca pengaruh bahasa Tamil ini ialah pertembungan antara DMPP dengan bahasa Tamil di dalam keluarga masyarakat ini.

Penggunaan DMPP di kalangan Jawi Peranakan ini tidak sama dari satu kawasan ke kawasan lain. Bagi generasi lama Jawi Peranakan, mereka bukan sahaja boleh bertutur dalam bahasa Melayu, malah mereka juga boleh bertutur dalam bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. Namun begitu, dalam usaha untuk menjadi Melayu, bermula daripada generasi keempat dengan sukarela komuniti mereka tidak lagi memelihara bahasa Tamil dalam institusi kekeluargaan mereka. Sehubungan dengan itu, pada hari ini bahasa Tamil didapati semakin pupus, sepertimana yang ditegaskan oleh Yusoff Azmi Merican(temubual dalam Teo, 2003).

Bagi orang-orang lama Jawi Peranakan ni, generasi pertama sampai generasi kelima, depa ni memang taw Tamil. Saya boleh ingat lagi, nenek saya juga taw cakap Tamil. Mai kat bapa saya (generasi kelima kepada Hashim Yahya Merican), dia boleh cakap Tamil sikit-sikit, tak banyaklah, mai kat saya, langsung saya tak taw cakap Tamil, sebab kami tak diajaq cakap Tamil.

Dialek Melayu Jawi Peranakan

Bahasa pertuturan harian masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang ialah DMPP, (Noriah, 2008). DMPP bukan sahaja digunakan pada tahap domain sosial (front stage), malah dalam rumah tangga mereka. Penggunaan bahasa DMPP berpunca daripada wujudnya pertembungan budaya dalam corak kehidupan seharian mereka melalui perkahwinan campur antara lelaki India Islam dengan wanita Melayu Islam tempatan pada satu ketika dahulu. DMPP yang dituturkan oleh komuniti ini tidak sama antara satu kumpulan dengan kumpulan lain yang menjadi teras kepada Jawi Peranakan tersebut. Sebagai contoh, Jawi Peranakan yang berteraskan Tamil, maka terlihatlah pengaruh bahasa Tamil yang kuat dalam DMPP mereka, manakala yang berteraskan Arab pula dipengaruhi oleh bahasa Arab. Bagi generasi Jawi Peranakan yang berteraskan India Islam yang asal, walaupun bahasa Tamil merupakan bahasa ibunda, kebanyakan mereka telah berbahasa Melayu dan Inggeris (Gallop, 1994). Namun begitu, selepas generasi keempat bahasa Tamil tidak lagi dipelihara oleh masyarakat ini. Bahasa Tamil ini boleh dikatakan semakin pupus dalam corak kehidupan seharian mereka, seperti yang ditegaskan oleh Yusoff Azmi Merican (temubual dalam Noriah, 2008):

Bagi orang lama Jawi Peranakan dulu ni, maksud saya generasi pertama sampai generasi kelima, depa ni memang boleh cakap Tamil. Saya masih ingat, nenek saya juga tau cakap Tamil. Mai kat bapa saya (generasi kelima kepada Hashim Yahya Merican), dia boleh cakap Tamil sikit-sikit, tak banyaklah, mai kat saya, langsung saya tak tau cakap Tamil, sebab kami tak diajaq cakap Tamil.

Penggunaan DMPP dalam masyarakat Jawi Peranakan yang berteraskan India Islam ini memperlihatkan pengaruh bahasa Tamil yang jelas. Contohnya, Rosmaliza Hassan (2002) dalam Noriah, (2008) mengemukakan contoh pengaruh bahasa Tamil dalam kosa kata panggilan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Jawi Peranakan di Pulau Pinang. Antara contoh kosa kata yang dimaksudkan ialah panggilan kekeluargaan seperti atta dan ba untuk bapa, tok atta, tok ba, dada, tok caca, appa, nana, radhak, mama, atta, dan nana marikan untuk datuk, nani, mamak, dan nana untuk nenek, aci, na, dan akka untuk kakak, nana, ane, dan anen untuk abang, tambi untuk adik, khala, caci, perima, dan cenimma untuk ibu saudara sebelah ibu dan bapa, caca, mamu, dan mamak untuk bapa saudara sebelah ibu, periatta, cinatta, caca, mamu, mamak dan nana untuk bapa saudara sebelah bapa, marzhi, maci, maini, aci untuk kakak ipar, macan, maca dan nana untuk abang ipar, dan sebagainya. Penggunaan perkataan-perkataan di atas memperlihatkan dengan jelas pengaruh bahasa Tamil ke atas bahasa Melayu.

Demikianlah serba ringkas DMPP yang digunakan sebagai bahasa pertuturan sehari-hari dalam kalangan Jawi Peranakan terutamanya di Pulau Pinang. Disebabkan masyarakat Jawi Peranakan merupakan mereka yang berdarah kacukan maka bahasa yang mereka gunakan didapati tidak dapat lari daripada pengaruh bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Tamil. Pengaruh ini mungkin agak tebal pada peringkat awal pembentukkan Jawi Peranakan, namun demikian ianya semakin menipis bagi generasi kemudian. Salah satu punca pengaruh bahasa Tamil mula berkurangan adalah akibat pertembungan antara DMPP dengan bahasa Tamil.

Rumusannya, walaupun bahasa kacukan yang dibincangkan berteraskan bahasa Melayu dalam erti kata yang luas dan sistem bahasa yang digunakan memperlihatkan bauran, di mana sistem pertuturan mereka tidak sama. Oleh kerana faktor agama Islam dan keinginan mereka untuk berasimilasi dalam masyarakat Melayu, maka Jawi Peranakan menggunakan DMPP sebagai bahasa ibunda dan dialek ini memperlihatkan pengaruh bahasa lain yang menjadi teras Jawi Peranakan tersebut. Disebabkan dalam perbincangan ini yang diteliti ialah teras India Islam, maka pengaruh bahasa Tamil dikesan dalam dialek Melayu yang digunakan dalam kalangan Jawi Peranakan dan dipanggil sebagai DMPP.

Objek Budaya (Pembinaan Masjid)

Pada awalnya masyarakat India Muslim yang terdiri daripada suku Havidar, Jemadar dan Sepoi yang membentuk masyarakat awal yang dibawa masuk Syarikat Hindia Timur Inggeris ke Pulau Pinang pada 1786 telah membersihkan sebidang tanah yang dipenuhi oleh tumbuh-tumbuhan liar yang mana sebuah masjid beratap rumbia telah didirikan di suatu bahagian, manakala suatu bahagian lain dijadikan sebagai tanah perkuburan(Mohd Aris, 1985). Masjid perlu didirkan sebagai memenuhi keperluan untuk beribadat yang menjadi tuntutan dalam agama Islam.

Masyarakat India Muslim adalah masyarakat yang lebih awal menerima Islam berbanding dengan orang-orang Melayu, sudah tentulah menyedari kepentingan masjid dalam masyarakat. Justeru itu, apabila kehadiran mereka ke Pulau Pinang, mereka telah menebas hutan bagi membersihkan tanah untuk didirikan masjid. Masjid ini pada mulanya berbumbungkan atap rumbia. Setelah kehadiran Caudeer Mohudeen yang kemudiannya dilantik Kapitan Keling beliau telah mendirikan masjid sebagai melengkapi keperluan masyarakat India Muslim untuk beribadat (Zaharah, 1972). Sebagai Kapitan Keling, sudah tentulah masjid telah dijadikan pusat beliau bertemu dengan komunitinya bagi mengetahui keadaan masyarakatnya. Kapitan Keling juga orang yang akan dilantik menjadi pengerusi dan pentadbir masjid tersebut.

Masjid menjadi pusat bagi orang Tamil Islam berkumpul dan dapat memupuk perpaduan di kalangan mereka. Perkara ini dapat dilaksanakan pada setiap hari jumaat iaitu ketika waktu solat jumaat. Masjid juga dijadikan tempat bagi masyarakat India Islam untuk menyelesaikan perselisihan sesama mereka dalam masyarakat. Selain itu masjid juga digunakan sebagai tempat untuk menjalankan upacara akad nikah dan menyempurnakan mayat. Selain itu, masjid turut berfungsi sebagai gedung menyalurkan ilmu sama ada kelas bimbingan Al-Quran dan fardhu ain serta majlis kuliah ilmu. Di masjid juga segala pengumuman penting akan disampaikan terutama semasa sembahyang Jumaat dijalankan (Noriah, 2008).

Masjid Kapitan Keling yang mula dibina pada 1801 merupakan bangunan warisan sejarah dan suatu monumen yang amat berharga bukan sahaja bagi Pulau Pinang tetapi juga bagi negara Malaysia (Sandu, 1969). Pada tahun 2002, kerajaan pusat telah mengeluarkan RM5.5 juta bagi tujuan membaiki dan memulihara masjid tersebut (Noriah, 2008). Pada tahun 2008, pihak UNESCO iaitu sebuah badan dibawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan Georgetown sebagai bandaraya warisan dunia yang secara langsung mengiktiraf Masjid Kapitan Keling sebagai bangunan bersejarah warisan dunia (Omar Yusof dan Noriah, 2010).

Masjid Kapitan Keling pernah tidak digunakan oleh masyarakat Jawi Peranakan semasa pendudukan Jepun. Masjid ini mula digunakan semula apabila kerajaan Jepun membenarkan khutbah Jumaat yang pertama semasa zama Jepun pada 4 Julai 1942 (Sandhu, 1969). Pihak Jepun yang sememangnya menjaga hubungan yang yang baik dengan masyarakat India dan Melayu. Mereka telah membenarkan masjid diimarahkan, namun dalam masa yang sama sentiasa berhati-hati dan memantau aktiviti yang dijalankan di masjid.-masjid termasuk juga masjid kapitan keling yang merupakan masjid yang utama di Pulau Pinang.Bahan Sastera dan Tokoh Kesusasteraan (Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi)

Kacukan bangsa Jawi (Melayu) dengan bangsa lain terutama dari Asia Selatan telah dikenali sebagai Jawi Peranakan. Jawi Peranakan telah banyak memainkan peranan dalam membangkitkan kesedaran dalam bidang pendidikan moden masyarakat Melayu malah Bapa Kesusasteraan Melayu Moden iaitu Abdullah Munshi mengaku sebagai Melayu meskipun hampir tiada darah Melayu yang mengalir dalam tubuh beliau (Omar Yusof dan Noriah, 2010).

Abdullah Abdul Kadir Munshi atau lebih dikenali sebagai Abdullah Munshi (1796-1854M) telah menghasilkan karya sulungnya pada tahun 1830M yang bertajuk Syair Singapura Terbakar (Mohd Aris, 1985). Dalam penulisannya, beliau bukan sahaja memperlihatkan perkembangan bahasa Melayu dalam karya kesusasteraan malah turut menyedari betapa pentingnya buku nahu bahasa Melayu. Beliau berpendapat, bahawa nahu sesebuah bahasa bukanlah dapat menyelesaikan seratus peratus masalah bahasa. Perkara ini lebih diperkuatkan lagi apabila nahu sesuatu bahasa dikaji oleh orang asing yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu dan tujuan membuat kajian tersebut bukanlah berdasarkan kajian ilmiah tetapi kerana kepentingan tertentu (dirujuk kepada Inggeris yang mengkaji bahasa Melayu).

Bangsa-bangsa asing ini melihat bahawa nahu bahasa Melayu yang dibuat oleh orang asing itu hanyalah satu pengubahsuaian nahu bahasa mereka sendiri yang cuba diserapkan ke dalam bahasa Melayu. Oleh kerana itulah beliau mengatakan:

Sebermula hendaklah engkau ketahui, janganlah tersalah faham. Maka jikalau ada nahu bahasa Melayu itu niscaya meringankan pekerjaan sahaja gunanya, jangan engkau sangkakan boleh menjadi pandai dalam pekerjaan karang-mengarang. Maka sungguhpun diletakkan hukumnya maka ada juga lagi beberapa perkataan yang tiada menurut hukum itu. Umpamanya jikalau seratus hokum itu barangkali tujuh puluh sahaja yang masuk dalam hukum itu, dan yang tiga puluh itu di luarnya (Abdullah Munsyi, 1966 dalam Mohd Aris, 1985).

Oleh itu, semasa kita membuat perbandingan antara bahasa Melayu sebelum Abdullah dan bahasa yang digunakan oleh Abdullah ternyata terdapat perkembangan. Buktinya adalah seperti bahasa yang terdapat dalam petikan yang berikut ini:

Bahawa ini Kisah Pelayaran Abdullah Abdul Kadir Munshi kepada tarikh sanat 1253 tahun. Maka bahawa sesungguhnya kepada tahun itu adalah barang saudagar-saudagar orang China dan orang Yahudi yang duduk dalam negeri Singapura, kira-kira sepuluh dan dua belas orang, telah memberi sambutan dagangan kepada China sampan pukat empat buah, kira-kira empat lima puluh ribu ringgit banyaknya, akan dibawanya ke negeri Pahang dan Trengganu dan Kelantan, Patani dan Senggora (Kasim Ahmad, 1981 dalam Mohd Aris, 1985).

Perkembangan bahasa Melayu yang diperlihatkan oleh Abdullah dinyatakan oleh Li Chuan Siu sebagai Menciptakan perkataan-perkataan atau ungkapan baru dalam bahasa Melayu untuk mempercakapkan hal-hal atau benda-benda baru yang timbul kerana pertemuan antara kebudayaan Timur dan Barat ( Li Chuan Siu, 1972 dalam Noriah, 2008). Semua sedia maklum bahawa perkembangan bahasa Melayu yang dibawa oleh Abdullah bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana beliau telah mendapat pendidikan Inggeris berbanding sasterawan sebelumnya yang rata-rata mendapat pendidikan Arab.

Pada zaman Munsyi Abdullahlah perkembangan bahasa Melayu moden telah berkembang dengan pesatnya. Munshi Abdullah telah dilahirkan di Masjid Tanah Melaka. Beliau mendapat gelaran Munsyi pada ketika usianya sebelas tahun selepas mengajar Pendidikan Agama Islam kepada askar-askar Melayu di Melaka yang jauh lebih tua daripadanya. Munshi Abdullah mendapat pendidikan Inggeris dan mempunyai pergaulan yang luas dengan pegawai dan paderi berbangsa Inggeris. Keadaan ini telah mempengaruhi corak pemikiran dan cara penulisannnya. Menurut Zaba (Noriah, 2008), kesasteraan Melayu moden bermula pada zaman Munsyi Abdullah. Di mana beliau telah mencipta perkataan-perkataan baharu dan mengungkapkan perkara-perkara baharu tersebut di dalam karyanya. Noriah (2008) telah menyenaraikan karya agung Munshi Abdullah seperti berikut: Syair singapura Terbakar(1830), Hikayat Kalilah dan Daminah(terjemahan daripada Hikayat Panca Tanderan yang berbahasa Hindu),Kisah Pelayaran Abdullah(1838).

Hasil karya Munshi Abdullah telah memperlihatkan perbezaan dengan karya-karya Melayu terdahulu. Perkara ini boleh dilihat daripada ciri-ciri karya-karya beliau iaitu, gaya bahasa yang tersendiri dan tidak terikat dengan gaya penulisan klasik serta tiada unsur khayalan (mitos). Bahasa yang digunakan lebih mudah difahami, walau bagaimana pun masih terikat dengan penggunaan bahasa lama. Isi kandungan karya Munshi Abdullah merupakan satu pendekatan baharu iaitu berdasarkan pengalaman dan pengamatan beliau dalam kehidupannya. Beliau telah banyak membuat kritikan, antara kritikannya ialah orang Melayu yang kurang mengambil berat terhadap bahasa ibunda. Beliau juga mengkritik golongan pembesar Melayu dengan menyatakan golongan raja dan pembesar telah menindas rakyat. Abdullah munsyi telah digelar sebagai Bapa Bahasa dan Kesasteraan Melayu Moden.

Menurut Prof. Madya Dr. Zahir Ahmad dan Mohd Taufik Arridzo Mohd Balwi (2006) dalam Noriah (2008), bahasa dan gaya tulisan Munshi Abdullah juga berbeza daripada bahasa dan gaya sastera hikayat. Di mana tulisan beliau lebih jelas, tepat dan tajam dengan menggunakan bahasa biasa. Munshi Abdullah tidak menulis kisah-kisah khayalan yang tidak boleh diterima akal, tetapi mengemukakan idea beliau sendiri berdasarkan pengalaman hidupnya. Beliaulah juga telah memperkenalkan bidang percetakan dan penerbitan buku pada pertengahan abad ke-19 yang seterusnya telah membawa perubahan besar kepada dunia kesusasteraan Melayu moden.

Menentukan Jodoh

Dalam memilih pasangan hidup bagi anak orang-orang Jawi Peranakan dalam kalangan generasi lama sangat rumit. Masyarakat Jawi Peranakan tidak memberi kebebasan kepada anak mereka untuk mencari sendiri pasangan hidup. Bagi mereka, soal mencari pasangan hidup adalah tanggungjawab dan terletak di tangan ibu bapa. Menjadi kebiasaan mereka telah melarang anak mereka berkahwin dengan orang luar daripada kelompok mereka. Biasanya, ibu bapa Jawi Peranakan lebih gemar menjodohkan anak mereka sesama ahli anggota keluarga terdekat, seperti sepupu ataupun dua pupu. Amalan seperti ini dikatakan telah tidak lagi dipelihara oleh ibu bapa Jawi Peranakan. Soal memilih pasangan hidup bergantung kepada anak itu sendiri, seperti yang ditegaskan oleh Yusoff Azmi Merican (temubual dalam Noriah, 2008):

Orang-orang kita la ni, dah tak larang anak-anak depa kawin dengan orang luaq. Saya pun tak larang anak-anak saya laki ka, pompuan ka, kawin dengan Melayu. Empat anak saya ni, dua laki dua pompuan juga kawin dengan Melayu luaq Pulau Pinang. Depa dah becinta masa kat universiti. Depa dah bekenan mak bapak nak kata apa.

Walau bagaimana pun keadaan mengawal jodoh anak masih berlaku pada Jawi Peranakan yang telah mencipta nama dalam dunia perniagaan dan menetap di George Town. Amalan menetapkan jodoh anak ini masih lagi dipertahankan dalam institusi kekeluargaan mereka. Ibu bapa Jawi Peranakan bimbang segala harta kekayaan mereka akan jatuh ke tangan orang lain. Keadaan ini telah menyebabkan ibu bapa Jawi Peranakan lebih gemar anak mereka berkahwin dengan anggota keluarga terdekat. Ibu bapa mereka juga dikatakan tidak gemar menjodohkan anak mereka dengan orang Melayu kerana mereka bimbang budaya Melayu akan diserap masuk dalam institusi kekeluargaan mereka.

Bentuk Keluarga

Jawi Peranakan generasi lama mengamalkan bentuk keluarga yang besar. Walau pun, anak lelaki mereka sudah berumah tangga, biasanya mereka akan tinggal dengan ibu bapa mereka. Generasi sekarang, bentuk keluarga seperti ini tidak lagi diamalkan. Keluarga asas merupakan bentuk keluarga yang diamalkan mereka kini. Di mana apabila anak lelaki mereka sudah berkahwin, anak-anak ini akan memulakan hidup cara sendiri dan tidak lagi tinggal bersama ibu bapa.

Namun begitu bagi Jawi Peranakan yang telah mencipta nama dalam dunia perniagaan dan tinggal di George Town mereka masih mengamalkan keluarga besar. Mereka masih mengamalkan kerana bukan sahaja disebabkan rumah yang dimiliki oleh mereka besar, malah ibu bapa mereka juga mahukan anak lelaki mereka mewarisi kerjayanya, iaitu menjadi ahli perniagaan. Bagi anak lelaki ini pula mereka bimbang segala harta peninggalan ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia tidak akan diberikan kepada mereka sekiranya mereka tinggal berasingan dengan ibu bapa. Amalan seperti ini merupakan budaya masyarakat India Islam, seperti yang ditegaskan oleh Yusoff Azmi Merican (temubual dalam Noriah, 2008):

Kalau India Islam lain la, depa ni boleh tinggal banyak keluarga dalam satu rumah. Bagi anak-anak India Islam, lepas kawin kalau depa tinggal asing dengan mak bapa depa, depa takut harta tak dibedak pada depa, sebab tu la banyak India Islam yang dah kawin depa tinggal satu rumah. Itu bagi depa yang banyak harta lah!

Nama Keluarga

Amalan penamaan anak bagi Jawi Peranakan, nama keluarga sangat dititikberatkan oleh generasi lama. Bagi mereka, nama keluarga akan memudahkan mereka mengenali jurai keturunan mereka. Contohnya, Ismail Merican bin Che Din Merican dan Merican itu merupakan nama keluarga. Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai nama hujungnya Merican, itu menunjukkan mereka berasal daripada nenek moyang yang sama. Namun begitu, bagi generasi sekarang nama keluarga tidak lagi dianggap penting. Ibu bapa Jawi Peranakan lebih gemar memilih nama anak mereka seperti orang Melayu, di mana nama pelakon filem yang terkenal sering menjadi pilihan. Ibu bapa Jawi Peranakan kini tidak lagi gemar menamakan anak lelaki mereka dengan nama yang boleh mencerminkan identiti orang India Islam seperti Mydin, Kader, Habib dan lain-lain. Perkara ini juga dilakukan ke atas nama anak perempuan, seperti Hamidah Bee, Lall Bee, Fatimah Bee Bee, Norjan, Fatma sudah tidak digunakan. Nama-nama seperti ini tidak lagi dikekalkan oleh generasi sekarang kerana mereka sudah tidak berbangga dan tidak mahu masyarakat lain mengetahui identiti sebenar mereka. Namun begitu, perkara seperti ini tidak berlaku pada Jawi Peranakan yang tinggal di kawasan George Town dan yang telah mencipta nama dalam dunia perniagaan, mereka masih lagi mempertahankan nama keluarga dalam sistem penamaan anak mereka.

Istilah Kekerabatan

Istilah kekerabatan yang digunakan oleh generasi lama Jawi Peranakan merupakan campuran istilah kekerabatan India Islam dengan sesetengah istilah kekerabatan orang Melayu. Walau bagaimanapun, istilah kekerabatan India Islam lebih banyak digunakan. Senarai lengkap istilah kekerabatan Jawi Peranakan dipaparkan di dalam Jadual 7.

Jadual 7. Perbandingan istilah kekerabatan (kinship) yang digunakan oleh orang IndiaIslam, Jawi Peranakan dan MelayuKekerabatanIstilah Kekerabatan

India IslamJawi PeranakanMelayu

Waris (asal daripada bahasa Tamil)WarisAnak BeranakAnak Beranak

IbuAmmaMaMak

BapaVappa/BaBa/AttaChik/Ayah

Adik lelaki bapaChinapaMamakPak Teh

Adik lelaki ibuMamaMamakPak Chu

Abang lelaki bapaPeriapaMamakWak

Abang lelaki ibuPeriamamaMamakPak Chu

Adik perempuan bapaMamiMamiMak Chu

Adik perempuan ibuChinnamaMamiMak Chu

Kakak kepada bapaPeriamaMamiMak Chu

Kakak kepada ibuPeriamaMamiMak Chu

Abang/abang sepupuAnanmahenBaiAbang

Adik/adik sepupu (lelaki)TambimahenBaiDik

Kakak/kayak sepupuMarniAciKak

Adik/adik sepupu (perempuan)PonnuAciDik

Anak perempuanMagelAnakAnak

Anak lelakiMahenAnakAnak

Cucu lelakiPerepillaiCucuCucu

Cucu perempuanPerepillaiCucuCucu

Datuk lelakiNana/PettappaChachaTok Wan

Datuk perempuanNani/PettammaChachiTok

Adik lelaki datuk lelakiPetappaMamuTok Wan

Abang datuk lelakiPetappaMamuTok Wan

Adik perempuan datuk lelakiPetemmaChachiTok

Kakak datuk lelakiPetemmaChachiTok

Adik lelaki datuk perempuanPetappaChachaTok Wan

Abang datuk perempuanPetappaChachaTok Wan

Adik perempuan datuk perempuanPetemmaChachiTok

Kakak datuk perempuanPetemmaChachiTok

Nenek lelakiPetappaBai ChachaNenek

Nenek perempuanPetappaBai ChachaNenek

Ibu mertuaMamiareMamiIbu

Bapa mertuaMamanareMamuBapa

Suami saudara perempuan(ipar lelaki)MachanMachanAbang

Suami ibu saudara(sebelah bapa & ibu)MamaMamakPak Cik

Menantu lelakiMaremahenMempelaiAnak Menantu

Menantu perempuanMaremagelPonuAnak Menantu

Isteri saudara lelaki(ipar perempuan)MarniMainiKakak/adik

Isteri bapa saudara tua,sebelah bapaPeriammaMainiMak Cik

Isteri bapa saudara muda,sebelah bapaChaciMainiMak Cik

Isteri bapa saudara tua/muda,sebelah ibuMamiMainiMak Cik

Dipetik daripada Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010).

Adat Resam Perkahwinan

Adat resam perkahwinan Jawi Peranakan bagi generasi sekarang dikatakan sedang mengalami perubahan dan pantang larang dan kepercayaan karut yang suatu ketika dahulu pernah diamalkan oleh generasi lama didapati tidak lagi dipelihara atau dipertahankan. Contohnya, dalam soal jodoh, sekiranya anak gadis mereka lambat dipinang orang, ibu bapa mereka percaya adanya unsur sial majal pada diri anak gadis mereka. Amalan mereka bagi mengatasi masalah ini, ibu bapa akan mendapatkan perkhidmatan bomoh untuk membuang sial. Keadaan ini juga boleh dilihat pada adat merisik, mereka juga percaya adanya petanda yang tidak baik jika berlaku sesuatu kejadian ketika mana-mana ahli keluarga mereka hendak keluar merisik. Apabila berlaku sesuatu kejadian yang pelik dalam hal ini, biasanya ibu bapa mereka akan membatalkan segala rancangan mereka untuk keluar merisik. Perkara seperti ini juga diamalkan oleh masyarakat Melayu yang telah mempengaruhi masyarakat Jawi Peranakan.

Begitu juga dengan adat bersanding, setelah selesai upacara akad nikah, ibu bapa pihak lelaki akan melakukan adat suap susu yang dicampur dengan pisang (biasanya pisang ini akan dilenyek sehingga lumat) ke mulut pasangan pengantin. Selalunya, upacara ini diikuti dengan mengalungkan bunga malai pada leher pasangan pengantin. Ibu bapa pihak lelaki juga akan mengalungkan tali pada leher pengantin perempuan. Tali yang dikalungkan biasanya diperbuat daripada manik atau kepingan emas dalam bentuk buah gandum dan kalung ini dianggap sebagai simbolik untuk menyuburkan zuriat pasangan yang baru berkahwin. Amalan ini nampaknya adalah pengaruh dominan daripada masyarakat India.

Amalan seperti ini tidak lagi diamalkan oleh generasi sekarang. Perkara seperti ini telah tidak diamalkan kerana amalan seperti ini dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Walau bagaimana pun, Jawi Peranakan yang tinggal di George Town dan mempunyai hubungan perniagaan dengan masyarakat India, amalan lama seperti ini masih lagi diikuti sepertimana yang berlaku dalam corak kehidupan seharian orang India Islam di Pulau Pinang.

Adat Resam Bersalin

Amalan menjaga keselamatan ibu yang mengandung sulung, biasanya keluarga generasi lama Jawi Peranakan akan melakukan upacara melenggang perut. Upacara ini juga diamalkan oleh orang Melayu di Pulau Pinang pada satu ketika dahulu. Upacara ini adalah warisan turun-temurun yang dikatakan ada pengaruh Hindu (Abdul Samad Ahmad, 1990 dalam Noriah, 2008). Upacara ini dilakukan apabila usia kandungan genap tujuh bulan seperti yang diterangkan oleh Hajah Hamidah Bee (temubual dalam Noriah, 2008):

Selalunya orang kita buat upacara melenggang perut bila perut dah cukup tujuh bulan mengandung anak sulung. Masa mengandung anak sulung ni, orang perempuan dulu ni, akan ikut apa yang orang tua-tua kata. Maklumlah kita belum ada pengalaman lagi.

Amalan lengang perut ini bertujuan untuk menjaga keselamatan ibu yangmengandung anak sulung, tetapi amalan seperti ini tidak lagi dipertahankan oleh generasi sekarang. Kerana amalan seperti ini dianggap bertentangan dengan ajaran Islam.

Sistem Kepercayaan

Agama yang dianuti oleh Jawi Peranakan bagi generasi lama dan sekarang adalah sama iaitu agama Islam. Agama Islam merupakan agama yang dianuti oleh orang India Islam dan Melayu di Pulau Pinang. Walaupun orang India Islam menganut agama Islam tetapi fahaman mazhab mereka tidak sama dengan orang Melayu di Pulau Pinang dan Jawi Peranakan. Bagi India Islam, mereka berfahaman mazhab Hanafi. Jawi Peranakan dan orang Melayu di Pulau Pinang pula, rata-rata berfahaman mazhab Hambali seperti yang diterangkan oleh Haji Yaacob (temubual dalam Noriah, 2008):Kalau orang Melayu ni, mazhab mereka Hambali. Orang kita pun sama. Mazhab Hambali juga. Orang India-Islam ni, mazhab depa Hanafi.Kepercayaan keagamaan yang tidak lagi dipertahankan oleh generasi sekarang ialah pesta mandi Safar, berkunjung ke tempat keramat, seperti keramat Nagor, Tok Koya dan Mak Amma dengan tujuan untuk memohon hajat. Ahli keluarga yang meninggal dunia pada hari Selasa dipercayai membawa petanda yang tidak baik, membakar kemenyan pada malam Jumaat dengan tujuan agar Malaikat membawa rezeki kepada keluarga mereka. Namun begitu, perayaan keagamaan yang disambut oleh Jawi Peranakan ini sama dengan orang Melayu di Pulau Pinang, seperti Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, Awal Muharam dan perayaan lain.

Golongan Tamil Muslim adalah golongan yang teramai di Pulau Pinang. Kebanyakan mereka berasal dari Thenkasi di kawasan Trinelveli, Tamil Nadu. Selain itu ada juga mereka yang datang dari daerah lain seperti Ramnad dan Tajore juga di Tamil Nadu. Golongan Tamil Muslim ini terbahagi kepada dua puak yang utama iaitu Merikar dan Rawther. Di mana golongan Merikar bermahzab Syafiee manakala golongann Rawther pula bermahzab Hanafi dan kedua-duanya adalah tergolong dalam mazhab Sunnah wal Jamaah yang menjadi ikutan masyarakat Melayu. Golongan Merikar ini boleh dikenali dengan nama Merikan yang terdapat pada hujung nama mereka. Marikar dalam bahasa Tamil membawa maksud penduduk dengan perahu kayu. Fakta menunjukkan Marikar berasal dari kawasan tanjung laut sekitar Tamil Nadu, manakala Rawther pula mengambil daripada perkataan Mauther yang bermaksud penduduk yang menguruskan gajah dan kuda tentera diraja.

Tanah Wakaf

Masyarakat umum tahu bahawa tanah wakaf yang telah diwakafkan oleh Kapitan Keling amat tinggi nilainya untuk nilai pasaran kini. Selain dari tapak masjid, Kapitan Keling Caudeer Mohudeen turut meninggalkan tanah milik persendiriannya sebagai tanah wakaf. Dengan adanya peninggalan tanah dari Kapitan Keling inilah komuniti India Muslim terus boleh bertapak di Pulau Pinang. Dengan adanya masyarakat Jawi Peranakan di tengah-tengah bandaraya Georgetown telah menyelamatkan kedudukan ekonomi umat Islam memandangkan amat kecil sekali masyarakat Melayu sejati yang mampu bersaing dalam perniagaan di bandaraya Georgetown.

Sebelum kematiannya, Caudeer Mohuydeen sebagai Kapitan Keling telah meninggalkan wasiatnya. Wasiat beliau yang asalnya telah ditulis dalam bahasa Tamil dan kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris pada bertarikh 23 Februari 1834 (Omar Yusof & Noriah Mohamed, 2010). Wakaf bermaksud harta atau tanah yang ditinggalkan adalah untuk tujuan beribadat ke jalan Allah dengan tujuan untuk kebajikan terhadap umat Islam. Tanah wakaf perlu diurus supaya tidak dibuat untuk tujuan keuntungan. Di atas tanah wakaf ini tidak boleh dibuat sebarang urusan yang berunsur maksiat. Tanah wakaf adalah untuk keperluan umat Islam dan biasanya di atas tanah wakaf akan didirikan masjid, surau, tanah perkuburan, sekolah, rumah kediaman dan juga jalan raya. Oleh sebab itulah, kadar sewa yang dikenakan terhadap rumah kedai dan apartment di atas tanah wakaf di hadapan Masjid Kapitan Keling amat rendah sekali dan boleh membantu masyarakat Islam yang miskin.

Penutup

Walaupun identiti dan bahasa yang awal bagi Jawi Peranakan jelas memperlihatkan bauran dengan bangsa Melayu, namun begitu bauran ini semakin cair kebelakangan ini. Disebabkan Jawi Peranakan ingin dikenali sebagai satu kelompok yang jelas dan hal ini menjadikan mereka berasimilasi ke dalam kelompok asal atau ke dalam kelompok dominan. Dalam hal ini Jawi Peranakan telah memilih untuk menjadi Melayu. Penyerapan ke kelompok dominan boleh dilihat pada penggunaan bahasa. Sistem bahasa yang digunakan condong ke arah kelompok dominan bahasa Melayu.

Dengan restu dan penerimaan orang Melayu yang menetap di Pulau Pinang terhadap Jawi Peranakan dalam mengidentifikasikan diri mereka sebagai Melayu, maka Jawi Peranakan tidak mengalami sebarang masalah untuk diterima sebagai Melayu (Omar Yusof & Noriah Momamed, 2010). Dengan adanya perasaan secara sukarela di kalangan Jawi Peranakan untuk menjadi Melayu secara langsung telah mempercepat proses mereka untuk menjadi Melayu. Pada hari ini, rata-rata kebudayaan Jawi Peranakan kian terserap oleh nilai dan norma orang Melayu. Ramai orang Jawi Peranakan di Pulau Pinang telah dibudayakan sepenuhnya oleh budaya Melayu seperti bahasa, adat resam perkahwinan, makanan serta pemakanan dan sebagainya (Noriah, 2008). Oleh itu, tinjauan ini mendapati bahawa pada abad ke-21, Jawi Peranakan di Pulau Pinang sedang menuju ke arah menjadi Melayu. Mereka perlu meMelayukan diri mereka kerana dengan cara itu mereka akan diterima oleh orang Melayu.

Bibliografi

Abdul Samad Ahmad. 1990. Kebudayaan Secara Umum. Melaka: Associated Educational Distributors (M) Sdn. Bhd.

Andaya, B.W. & Andaya, L.Y. (1983). A History of Malaysia. London: MacMillan.

Andaya, B.W. & Andaya, L.Y. 1983. A history of Malaysia. London: MacMillan. Blythe, W.L. 1971. The impact of Chinese secret societies in Malaya: A historical study. London: Oxford University Press.

Gallop, A. T. 1994. The legacy of Malay letter/warisan warkah Melayu. London: The British Library.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan PustakaKhoo Salma, N. (2002). The Rich legacy Of The Jawi Pekan. Dlm. Malini Dias Glimpses of Old Penang. Petaling Jaya: Star Publications. Mohd. Aris Haji Othman. (1985). Identiti Etnik Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Muhammad Yusoff Hashim. (1989). Kesultanan Melayu Melaka: Kajian Beberapa Aspek Tentang Melaka Pada Abad ke-15 dan Abad ke-16 Dalam Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriah Mohamed. (2008). Bahasa Melayu: Sejarah Awal dan Keragamannya di Pulau Pinang. dlm. Muhammad Haji Salleh (ed.). Sejarah awal Pulau Pinang. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Omar Yusof & Noriah Mohamed (2010). Daripada Jawi Peranakan kepada Melayu: Tinjauan terhadap Komuniti Jawi Peranakan di Pulau Pinang pada Abad ke-21, Sari - International Journal of the Malay World and Civilisation 28(2) (2010). http://journalarticle.ukm.my/1258/ tarikh 5 Oktober 2012

Ragayah Eusoff. (1997). The Merican Clan: A Story Of Courage And Destiny. Kuala Lumpur: Times Books International.

Sandhu, K.S. (1969). Indians in Malaya: Some aspects Of Their Immigration and Settlement, 1786-1957. Cambridge: Cambridge University Press.

Omar Yusof & Noriah Mohamed. (2010). Daripada Jawi Peranakan kepada Melayu: Tinjauan terhadap Komuniti Jawi Peranakan di Pulau Pinang pada Abad ke-21, Sari - International Journal of the Malay World and Civilisation 28(2) (2010). http://journalarticle.ukm.my/1258/ tarikh 5 Oktober 2012

Teo, Kok Seong. 2003. The Peranakan Chinese of Kelantan. A study of culture, language and communication of an assimilated group in Malaysia. London: Asean Academic Press Ltd.

Zaharah Mahmud. (1972). The Population Of Kedah In The Nineteenth Century. Journal of South East Asia Studies.


Top Related