Transcript

Andragogi vs PedagogiTerdapat perbezaan yang amat ketara antara pembelajaran di peringkat kanak-kanak dengan peringkat dewasa. Kanak-kanak pergi ke sekolah dengan pengalaman yang sedikit dan terhad kerana usia mereka yang masih muda. Sementara pelajar dewasa pula kaya dengan pengalaman dan mempunyai asas ilmu pengetahuan yang kukuh dibentuk ketika alam persekolahan dan perkerjaan. Selain itu, perspektif pembelajaran bagi kanak-kanak dan dewasa juga berbeza. Perspektif pembelajaran kanak-kanak adalah untuk jangka panjang, apa yang mereka pelajari sekarang kemungkinan tidak digunakan pada masa itu dan hanya bertujuan untuk jangka masa yang panjang, iaitu selepas mereka selesai alam persekolahan. Pelajar dewasa pula mempunyai perspektif pembelajaran yang sangat berbeza. Mereka menjangka apa yang akan dipelajari akan dapat digunakan segera dalam bidang perkerjaan yang telah diceburi. Motivasi kanak-kanak untuk belajar adalah berbeza, ia datang secara luaran. Kanak-kanak pergi ke sekolah kerana diwajibkan oleh ibu bapa atau penjaga. Guru berperanan penting dalam memotivasikan kanak-kanak untuk belajar. Motivasi pelajar dewasa adalah secara dalaman, mereka melibatkan diri dengan program pendidikan kerana sememangnya atas kehendak sendiri. Tiada paksaan dalam proses pembelajaran. Pelajar dewasa boleh berhenti mengikut kehendak sendiri atau disebabkan oleh sesuatu kedaan yang memaksa mereka berbuat demikian. Apabila pelajar dewasa masuk ke kuliah, pengajar atau pensyarah tidak seharusnya mengajar mereka seperti kanak-kanak di mana seolah-olah mencurahkan ilmu pengetahuan ke dalam tong yang kosong. Istilah andragogi digunakan untuk membezakan pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar dewasa berbanding pedagogi, iaitu pengajaran dan pembelajaran kepada kanak-kanak. Pedagogi merujuk kepada konsep asas yang berkaitan dengan pembelajaran yang dipraktikkan dalam semua bilik darjah masa kini. Asas ini yang telah ditemui berabad lamanya dan berkaitan dengan pengajaran kepada kanak-kanak. Andaian kepada model pedagogi ialah; The teacher bears the full responsibility of deciding what, how, when and if information has been learned. Student are submissive or subordinate to the teacher. http://www.acquireskills.com/adult.htmlAndragogi adalah merupakan istilah dalam pendidikan dewasa hasil daripada kajian dan sumbangan idea oleh Malcolm Knowles (1970). Andragogy is the art and science of helping adults learn. (Knowles, 1970) Perkataan andragogi adalah berasal dari bahasa Greek Andros yang bermaksud man atau to teach adult. Andragogi mempunyai beberapa konsep seperti berikut: Pelajar dewasa ingin tahu mengapa mereka perlu belajar sesuatu sebelum mulai mempelajarinya.

Pelajar dewasa bertanggung jawab terhadap proses pembelajaran mereka sendiri. Pelajar dewasa mempunyai pengalaman yang cukup untuk menghadapi suasana pembelajaran. Pelajar dewasa bersedia untuk belajar apabila mereka perlu belajar. Masalah pembelajaran mereka adalah terletak dalam diri mereka sendiri.

Motivasi pelajar dewasa untuk belajar adalah wujud secara dalaman melebihi faktor luaran.

Beberapa konsep berikut perlu diambil perhatian dalam program pendidikan dewasa supaya keperluan pembelajaran dapat dipenuhi;

Kurikulum pendidikan dewasa perlu berpusatkan pelajar. Aktiviti pembelajaran perlu dikaitkan dengan pengalaman pelajar. Pelajar dewasa mempunyai arah kendiri. Pelajar harus dilibatkan dengan semua bentuk penilaian. Pelajar adalah berpusatkan masalah. Guru perlu berfungsi sebagai fasilitator.

Oleh kerana tidak begitu banyak teori tentang pembelajaran dewasa, andragogi dapat memberikan satu garis panduan untuk guru, pengajar, pensyarah yang\ terlibat dalam pendidikan dewasa mengendalikan program pendidikan dewasa dengan berkesan. Knowles (1990) menggariskan ciri-ciri seseorang pelajar dewasa adalah seperti berikut;

Autonomous dan arah kendiri (self-directed) Posess accumulated life experiences and knowledge Goal-oriented Relevancy oriented Practical Require respect

Andragogi berbeza daripada pedagogi dalam empat dimensi (Vacca dan Walker, 1980);

Konsep kendiri Pengalaman Kesediaan untuk belajar Orientasi pembelajaran

Kita sebagai guru seharusnya mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan pedagogi dan andragogi. Guru harus berupaya mengamalkan konsep pedagogi dan andragogi pasa tempat yang sesuai dan betul kaedahnya. Setiap pendidik perlu memahami dan dapat melaksanakan pedagogi dan andragogi kepada kumpulan sasaran yang tepat. Kita perlu menunjukkan profesionalisme yang tinggi dalam profesion ini supaya disanjung oleh semua masyarakat dan profesion lain. Sebagai seorang guru, kita juga tidak seharusnya berpuas hati setakat pendidikan yang dimiliki, seharusnya kita sentiasa memperlengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang terkini. Oleh itu, kita perlu belajar lagi dan mempertingkatkan pencapaian akademik kepada tahap yang tertinggi. Dengan ini profesion perguruan akan disanjung oleh semua orang.

Interaksi Dalam Bilik DarjahApa pentingnya interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran?Interaksi melibatkan guru dan murid dan sangat berkaitan dengan kaedah guru menyampaikan isi kandungannya (Gilbert dan Moore, 1998). Menurut Moore (1987), dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka, interaksi boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu;

Peringkat pra-aktif ialah ketika guru bersendirian memilih objektif dan merancang strategi pengajaran Peringkat interaktif ialah ketika guru menyampaikan isi kandungan secara verbal dalam bilik darjah

Semasa guru menyediakan rancangan pengajaran dalam buku rekod pengajaran harian (RPH) peringkat pra-aktif ini berlaku. Guru merancang dan menetapkan objektif pengajaran di samping menyediakan aktiviti (langkah) pengajaran. Selain itu, guru juga telah menyediakan bahan (media) dan kaedah penilaian sebelum masuk mengajar. Ketika menyampaikan isi kandungan pelajaran, peringkat interaktif berlaku dimana guru menyediakan peluang dan ruang kepada murid untuk berinteraksi. Terdapat guru yang tidak sedar kepentingan interaksi lalu bertindak seorang diri bercakap tanpa berhenti, tanpa memberi peluang kepada murid untuk bercakap atau memberikan pandangan dan pendapat masing-masing. Kita harus sedar, murid zaman sekarang adalah lebih terdedah kepada maklumat yang tanpa batasan. Oleh itu, sebagai seorang guru dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini, guru harus menyediakan ruang interaksi yang luas semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Dalam pendidikan jarak jauh, interaksi terbahagi kepada dua peringkat iaitu guru menyediakan bahan pembelajaran dalam bentuk cetakan atau media lain untuk dikirimkan kepada pelajar dan peringkat kedua ketika guru berinteraksi dengan pelajar melalui media tertentu seperti surat, email atau peralatan telekomunikasi seperti sidang audio, audio grafik, video dan komputer. Moore (1989) juga menyatakan terdapat tiga jenis interaksi iaitu interaksi antara:

Murid dengan isi kandungan pelajaran Murid dengan guru Murid dengan murid lain (atau rakan sebaya)

Hillman et. al. (1994) menambah satu lagi jenis interaksi supaya murid dapat berinteraksi dengan isi kandungan, guru dan pelajar lain iaitu interaksi antara:

Murid dengan media teknologi

Pelajar dewasa juga perlu menyedari peranan masing-masing semasa mengikuti kursus. Mereka harus bertanggung jawab terhadap amanah yang dipikul semasa mengikuti kursus. Pembahagian masa antara belajar dan bekerja serta belajar dan tanggungjawab sosial (rumah tangga dan keluarga) perlu dilaksanakan dengan bijak. Luangkan masa supaya

interaksi antara kita dengan isi kandungan dan bahan pembelajaran sentiasa berlaku. Hubungan yang terjalin antara murid dengan guru serta rakan adalah bentuk interaksi yang wujud, bukan hanya dalam bentuk audio dan visual sahaja. Interaktiviti yang berlaku dalam bilik darjah juga dikatakan sebagai pencetus motivasi murid terutamanya di peringkat rendah dan menengah rendah.

Reka Bentuk Strategi PengajaranReka Bentuk Strategi Pengajaran adalah proses memilih dan menyusun peristiwa dan aktiviti pembelajaran dalam sesuatu unit pelajaran termasuk juga pemilihan media yang sesuai. Semua guru mempunyai kaedah dan cara tersendiri bagi memilih dan menyusun peristiwa dan aktiviti pembelajaran. Pengalaman dan kemahiran guru membolehkan setiap peristiwa pengajaran berbebza antara seorang guru dengan guru yang lain walaupun topik pengajaran adalah sama. Selain itu, persekitaran pembelajaran dan ciri-ciri pelajar juga menyebabkan guru merancang strategi pengajaran yang berbeza. Antara beberapa strategi pengajaran yang boleh digunakan ialah;

Kuliah/syarahan Bersoal jawab Sumbang saran Perbincangan kumpulan kecil atau kumpulan besar Demonstrasi Tutorial Temubual Main peranan (role play)

Guru perlu memilih strategi pengajaran yang sesuai dengan tajuk yang diajar, objektif pengajaran dan juga keperluan pelajar. Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran yang disediakan oleh pihak kementerian boleh membantu guru untuk memilioh strategi dan objektif pengajaran. Begitu juga dengan buku-buku teks dan rujukan yang terdapat banyak di pasaran. Banyak buku rujukan yang telah menyediakan objektif pengajaran bagi setiap topik pelajaran. Kadang-kadang kita boleh menggabungkan lebih dari satu strategi pengajaran dalam satu masa. Ada strategi pengajaran yang menumpukan kepada guru sahaja (teachers' centered), ada yang berpusatkan pelajar (students centered) dan ada pula strategi pengajaran yang menumpukan kepada aktiviti yang dijalankan. Pemilihan media juga perlu dilakukan supaya sesuai dengan strategi yang digunakan. Ramai memperkatakan bahawa pengajaran berpusatkan murid adalah lebih baik berbanding dengan pengajaran yang berpusatkan guru, namun tidak semestinya sentiasa begitu. Ada waktunya guru perlu melaksanakan pengajaran berpusatkan guru, berdasarkan kepada ciri pelajar, suasana persekitaran dan isi kandungan pelajaran. Semua guru dan bakal guru perlu menguasai dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mereka bentuk strategi pengajaran supaya pelaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah menjadi lebih profesional. Impaknya kepada murid adalah sangat besar. Mereka dapat mengikuti pengajaran dengan lebih sistematik, dapat menguasai ilmu (isi kandungan pelajaran) dengan lebih baik dan seronok mengikuti sesi tersebut. Semua guru yang berada di sekolah perlu mengamalkan (mempraktikkan) kemahiran ini sepanjang masa supaya tugas yang diamanahkan kepada kita sentiasa dapat dilaksanakan dengan sempurna

dan berkesan. Pihak pentadbir sekolah perlu sentiasa menyemak buku rekod pengajaran guru sama ada terdapat perancangan pengajaran yang mengandungi unsur-unsur rekabentuk sistem pengajaran atau tidak. Pentadbir sekolah juga perlu memantau dan membuat penyeliaan pengajaran untuk mempastikan unsur-unsur ini sentiasa diamalkan oleh guru-guru di bawah tanggung jawab masing-masing. Pastinya sebelum menyemak dan memantau, pentadbir sendiri terlebih dahulu perlu menguasai ilmu dan kemahiran ini. Sekiranya terdapat kelemahan guru dalam aspek ini, pihak pentadbir sekolah perlu mengadakan sesi latihan dalaman atau latihan perkembangan staf dengan menjemput pakar-pakar dalam bidang ini bagi membantu guru-guru menguasai kemahiran penting ini.

Reka Bentuk Sistem PengajaranReka bentuk sistem pengajaran adalah satu tata cara yang teratur untuk menganalisis, mereka bentuk, membina, melaksana dan menilai pengajaran. Ini adalah satu aturan yang tertib bagi seseorang guru untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Setiap insan bergelar guru atau pendidik perlu mengetahuinya. Berikut adalah perincian terhadap setiap langkah:Menganalisis Menganalisis adalah suatu proses untuk menentukan apa yang harus dipelajari. Isi kandungan (content) sesuatu mata pelajaran yang akan diajar perlu ditentukan oleh guru sebelum masuk ke dalam kelas. Perkara ini mudah dilakukan iaitu dengan merujuk kepada sukatan pelajaran atau huraian sukatan pelajaran. Setiap orang guru juga dikehendaki menyediakan Perancangan Tahunan bagi setiap tahun pengajaran. Perancangan Tahunan atau dikenali juga sebagai Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) perlu disediakan setiap tahun dan diletakan dalam Buku Persediaan Mengajar, bukannya RPT tahun yang lepas di gunakan berkali-kali. Guru Besar atau Pengetua sekolah perlu menyemak dan memberikan perhatain yang serius kepada guru mereka agar RPT dapat disediakan dengan lengkap.Mereka Bentuk Reka bentuk pengajaran sudah dibincangkan dalam sesi yang lalu. Terdapat pelbagai model reka bentuk pengajaran seperti Model ADDIE, Model ASSURE dan lain-lain model reka bentuk pengajaran oleh Dick and Carey, Reisser dan sebagainya. Guru perlu mendalami ilmu dan kemahiran mengenai reka bentuk pengajaran supaya profesionalisme kita menjadi lebih diktiraf oleh sesiapa sahaja. Selain itu strategi pengajaran dan pembelajaran perlu dirancang untuk sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Apakah strategi yang sesuai digunakan kepada murid kita, ia juga bergantung kepada isi kandungan mata pelajaran yang disampaikan. MembinaMembina adalah proses untuk mengarang (seperti membuat perisian komputer) dan menghasilkan bahan pembelajaran. Sekiranya tidak cukup masa dan peluang untuk membina bahan pengajaran atau dikenali juga sebagai media pengajaran, cubalah lihat dalam Pusat Sumber Sekolah (PSS), mungkin terdapat media pengajaran yang sesuai untuk digunakan. Sekarang ini ramai guru sudah mula menggunakan persembahan powerpoint sebagai media pengajaran kerana kebanyakan sekolah telah dilengkapi dengan projektor LCD dan komputer. Kalau anda seorang guru Sains, Matematik atau Geografi, terdapat banyak sekali media pengajaran yang tersimpan dalam PSS atau makmal sekolah. Di sekolah menengah terdapat makmal Biologi, Fizik dan Kimia, almari di belakang makmal-makmal ini sering dipenuhi dengan pelbagai media pengajaran yang sesuai digunakan. Malang sekali, media pengajaran ini sering diabaikan dan dipenuhi habuk. Melaksana Melaksana adalah menggunakan bahan dan strategi (kaedah) pengajaran. Langkah ini berlaku dalam bilik darjah semasa kita mengajar. Setiap guru begitru arif dengan langkah-langkah pengajaran yang dimulakan dengan set induksi untuk merangsang minat murid, permulaan mengenalkan tajuk dan isi kandungan, pengembangan sehinggalah kepada penutup atau rumusan. Inilah tugas utama kita sebagai seorang guru. Terdapat langkah yang begitu tradisional sering digunakan oleh guru iaitu: Memperkenalkan tajuk ---> Menerangkan Isi Kandungan ---> Memberikan Contoh ---> Memberikan Latihan Atau langkah yang lebih ringkas: Menerangkan Isi Kandungan ---> Memberikan Contoh ---> Memberikan Latihan

Andaikata kita seorang guru yang tinggi profesionalismenya, adakah kita akan melakukan langkah yang begitu tradisional ini? Sebab itulah saya pernah membincangkan bahawa untuk menjadi seorang guru adalah begitu mudah, tidak perlu masuk ke universiti atau institusi latihan perguruan (tidak perlu ada sijil atau diploma iaitu seperti guru tuisyen). Menilai Menilai adalah menentukan keupayaan dan keberkesanan pengajaran. Terdapat dua bentuk penilaian yang boleh digunakan iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian sumatif dilakukan sepanjang sesi pengajaran secara konsisten dan berterusan. Semasa penilaian formatif guru sering menggunakan teknik penyoalan secara lisan untuk menilai kefahaman murid. Sementara penilaian sumatif pula dilakukan diakhir sesi pengajaran dan pembelajaran. Penilaian sumatif juga boleh dilakukan secara lisan melalui teknik penyoalan. Oleh itu, guru perlu mempunyai dan menguasai teknik dan kemahiran menyoal. Saya memerhati perkara ini amat sukar dilaksanakan oleh guru. Tidak ramai guru kita menguasai teknik penyoalan yang baik walau pun mereka sudah mempunyai pengalaman mengajar yang lama. Latihan Kemajuan Staf berkaitan teknik penyoalan perlu dikendalikan kepada semua guru secara konsisten supaya semua guru kita dapat menguasai kemahiran menyoal dengan tepat dan jelas. Semua langkah ini adalah berlaku secara linear dan saling bergantung antara satu sama lain. Kajian-kajian telah mendapati reka bentuk pengajaran dapat membantu atau meningkatkan pencapaian pelajar. Tanpa penggunaan reka bentuk sistem pengajaran, maka pengajaran dalam bilik darjah menjadi tidak teratur dan objektif pengajaran sukar dicapai.

Amalan Kecindan/Jenaka Pembelajaran

Semasa

Sesi

Pengajaran

dan

Artikel ini adalah merupakan sorotan literatur yang saya tulis semasa menjalankan penyelidikan mengenai amalan kecindan atau jenaka terhadap sekumpulan guru pelatih Universiti Putra Malaysia. Penyelidikan tersebut telah selesai dan beberapa dapatan yang menarik telah dilaporkan. Untuk kali ini saya hanya akan menyiarkan mengenai sorotan literatur sahaja. Beberapa kajian menunjukkan pelajar yang mendengar rakaman yang mengandungi unsur jenaka dan melihat filem jenaka membantu meningkatkan pencapaian dalam skor secara signifikan dalam ujian kreativiti. Kelas yang tidak ada jenaka dianggap membosankan dan juga dikatakan sebagai kurang mesra. Sebaliknya, kelas yang dipenuhi dengan jenaka yang relevan dianggap menarik oleh murid. Guru yang mengamalkan jenaka diklasifikasikan oleh murid dan rakan setugas sebagai lebih positif dan membantu (Garner, 2006) dan 59% pelajar menyatakan guru yang mempunyai ciri-ciri jenaka adalah guru yang berkesan (Malikow, 2007). Kajian oleh Frymier et al., (2008) menunjukkan jenaka dalam bilik darjah membantu berlakunya interaksi guru-murid dengan lebih lancar untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran. Perbuatan ini tidak memerlukan seorang ahli lawak jenaka yang profesional. Jenaka boleh membantu pelajar menambahkan kemahiran komunikasi dan boleh membantu murid yang bersifat pemalu untuk berinteraksi. Ia juga membolehkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mudah. Paterson (2006) menyarankan supaya jenaka digunakan dengan sebaik mungkin kerana beliau mendapati amalan ini dapat membantu mengatasi beberapa masalah personal yang timbul di sekolah. Dalam pengajaran bahasa Inggeris, penggunaan teks yang mempunyai unsur jenaka dalam penulisan dapat membantu memperbaiki kemahiran menulis dengan efektif, selain dapat menggalakkan pemikiran kritis dan menambahkan ekspresi dalam penulisan (Murakami, 2006).

Kajian yang dijalankan oleh Miura dan Jones (2005) mendapati dua peristiwa atau situasi yang biasanya dapat mencetuskan jenaka ialah semasa guru menjelaskan isi kandungan dan semasa guru mengeluarkan arahan berkaitan pengurusan bilik darjah. Ini adalah disebabkan kedua-dua peristiwa ini mengandungi maklumat dalam bentuk pengetahuan dan arahan, dan guru kelihatan menggunakan jenaka sebagai vehicle untuk menyampaikan maklumat kepada pelajar. Kajian beliau juga mendapati beberapa situasi jenaka dan kesan jenaka yang

tidak kondusif kepada persekitaran pengajaran dan pembelajaran seperti ulasan pelajar, pelajar bercakap, pelajar ketawa dan pelajar meniru (mimicking) guru. Walau bagaimanapun tidak ada data yang dikumpul untuk melihat kesan (impak) negatif terhadap pembelajaran. Maklum balas murid terhadap kajian yang dijalankan oleh Willard (2006), mengesahkan bahawa guru yang mengamalkan jenaka dapat membantu proses pembelajaran murid. Jenaka dikatakan dapat memperbaiki sikap murid terhadap mata pelajaran, mengurangkan kebimbangan, tekanan, ketegangan dan kebosanan. Amalan ini juga dapat meningkatkan kefahaman, ingatan, minat dan pelaksanaan tugasan; meningkatkan motivasi untuk belajar dan kepuasan belajar serta menggalakkan kreativiti dan pemikiran secara divergent. Perkara yang sama juga telah dinyatakan oleh James (2001). Beliau menjelaskan bahawa jenaka boleh meningkatkan perhatian dan keseronokan belajar, membantu mengekalkan ingatan. Guru yang mengamalkannya boleh dianggap sebagai mempunyai salah satu daripada ciri guru yang berkesan

Kebanyakan guru melakukan jenaka secara semula jadi dan tidak perlu dirancang. Ini adalah kerana guru-guru ini mempunyai ciri-ciri jenaka dalam diri mereka secara semula jadi. Namun terdapat ramai dalam kalangan guru yang tidak memiliki ciri ini. Maka, mereka yang menyedari bahawa amalan ini membawa kepada kebaikan murid akan cuba merancang untuk melakukannya di bilik darjah. Guru boleh mengamalkan jenaka dalam bilik darjah dengan menggunakan jenaka yang relevan dengan isi kandungan pelajaran dalam tugasan bacaan. Cari contoh yang berunsur jenaka dalam sejarah, bahasa Inggeris, Sains dan sebagainya. Melalui penulisan tugasan juga dapat dimasukkan ciri jenaka seperti meminta murid mencari sekurang-kurangnya tiga kartun yang berkaitan dengan tajuk atau konsep isi kandungan pelajaran. Guru boleh meminta murid jelaskan setiap kartun tersebut, bagaimana ia berkait dengan isi kandungan pelajaran. Papan Buletin yang mempunyai unsur-unsur jenaka dapat diwujudkan dalam bilik darjah. Maklumat dan mesej yang disampaikan melalui papan buletin ini harus dalam bentuk seperti kartun yang berunsur jenaka tetapi berkait dengan tujuan atau isi kandungan pelajaran. Semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam bilik darjah, guru boleh menggunakan tiga hingga empat kartun yang berunsurkan jenaka dalam menyampaikan isi kandungan pelajaran berbentuk cerita, contoh dan anekdot. Guru juga boleh menyediakan soalan ujian yang mempunyai pernyataan yang berunsur jenaka. Penggunaan bahan media seperti video yang mengandungi unsur jenaka boleh membantu menceriakan persekitaran pembelajaran di bilik darjah. Namun, tugas guru adalah untuk memastikan ianya mempunyai kaitan dengan isi kandungan pelajaran. Pihak sekolah juga boleh mengadakan pertandingan melukis kartun sebagai acara sekolah. Jenaka adalah suatu perbuatan yang tidak memberikan kesan buruk kepada manusia sekiranya digunakan secara terkawal dan beretika. Bryant, Comisky, Crane dan Zillman

(1979) mengkategorikan jenis jenaka yang mempunyai maksud (tendentious) kepada tujuh jenis iaitu cerita jenaka, ulasan yang berjenaka, lawak, jenaka profesional, sindiran (pun), kartun dan teka-teki (riddles). Jenis-jenis jenaka ini dianggap memberikan kesan yang positif secara amnya dalam bilik darjah. Mereka juga mendapati empat jenis jenaka yang tidak mempunyai maksud (non-tendentious) seperti ejekan (sarcasm), jenaka lucah, jenaka berkaitan etnik, dan jenaka agresif atau berunsur permusuhan (hostile humor). Jenis jenis ini didapati memberikan kesan negatif kepada pengajaran dan pembelajaran. Sesetengah jenis jenaka dianggap oleh guru dan murid sebagai tidak bersesuaian, manakala selebihnya diinterpretasikan berbeza-beza bergantung kepada punca dan penerima mesej tersebut.

Wanzer, Frymier, Wojtaszczyk, and Smith (2006) menyatakan terdapat amalan jenaka yang sesuai dan tidak sesuai dilakukan oleh guru. Kajian ini menemui empat kategori utama jenaka yang sesuai dilakukan iaitu yang berkaitan dengan isi kandungan, yang tidak berkaitan isi kandungan, berbentuk merendahkan diri sendiri (self-disparaging humor), dan yang tidak dirancang. Sementara itu jenaka yang tidak sesuai juga dapat dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu jenaka yang berbentuk serangan (offensive humor), merendahrendahkan pelajar, merendah-rendahkan orang lain dan merendah-rendahkan diri sendiri (self-disparaging humor).

Apakah Kualiti Guru Yang Diperlukan Oleh Masyarakat?Menurut Grimlett dan MacKinnon (1992), penguasaan aspek-aspek tertentu akan dapat membentuk satu asas pengetahuan pedagogi pelajar. Pemahaman tentang apa yang pelajar percaya, apa yang mereka ambil berat dan apa tugas yang mereka inginkan adalah perlu untuk memotivasikan pelajar supaya mereka berkerja kuat dan memperolehi kejayaan. Berikut adalah antara aspek yang guru perlu kuasai bagi memenuhi kehendak masyarakat dan negara:

Pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak dan remaja. Menguasai pelbagai domain seperti kognitif, sosial, fizikal dan emosi untuk membantu mereka mengalami proses pertumbuhan. Ilmu pengetahuan ini akan dapat membantu guru memahami keadaan atau latar belakang pelajar bagi membentuk pengalaman pembelajaran yang produktif. Guru perlu memahami perbezaan yang wujud dalam budaya, pengalaman keluarga, perkembangan mental dan pendekatan pembelajaran. Guru perlu peka, mendengar dengan baik dan mengambil berat terhadap pelajar semasa melaksanakan tugas-tugas pembelajaran. Guru perlu berfikir apakah maknanya untuk mempelajari pelbagai perkara untuk tujuan yang berbeza dan bagaimana membuat keputusan yang mana perlu dipelajari dalam pelbagai konteks. Guru perlu menggunakan pelbagai strategi pengajaran untuk memenuhi pelbagai matlamat dan pelbagai kaedah untuk menilai pengetahuan dan pendekatan pembelajaran pelajar masing-masing. Guru perlu dapat mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pelajar. Guru perlukan kemahiran untuk menghadapi pelajar yang mempunyai keperluan khusus atau kecacatan pembelajaran. Oleh kerana bahasa adalah merupakan pengantara kepada proses pengajaran, guru perlu memahami bagaimana pelajar acquire bahasa, dengan itu mereka akan dapat membentuk kemahiran bahasa dan mencipta pengalaman belajar yang bermakna. Guru perlu mengetahui kurikulum dan teknologi untuk menghubungkan pelajar mereka dengan sumber maklumat dan ilmu pengetahuan yang membolehkan mereka meneroka idea, mendapat dan mensintesis maklumat, merangka dan menyelesaikan masalah. Guru perlu mengetahui tentang kolaborasi bagaimana menstrukturkan interaksi dalam kalangan pelajar supaya pelajar dapat membentuk perkongsian pembelajaran yang kuat, bagaimana berkolaborasi dengan guru-guru lain dan bagaimana berkerjasama dengan ibubapa untuk membantu mereka mempelajari lebih lanjut berkaitan anak-anak mereka dan membentuk pengalaman yang dapat membantu di sekolah dan rumah.

Guru perlu boleh menganalisis dan membuat refleksi ke atas amalan mereka, menilai keberkesanan pengajaran mereka dan memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran. Mereka perlu membuat penilaian berterusan terhadap apa yang pelajar fikir dan faham dan membentuk semula perancangan untuk mengatasi apa yang mereka terokai.

Apakah sumbangan guru kepada dunia pendidikan? Guru perlu;

Pengalaman - memberikan tugasan pembelajaran atau kerja rumah yang konkrit, menilai, memerhati proses dan perkembangan pembelajaran. Menggalakkan pelajar bertanya, meneroka dan melakukan ujikaji di samping penyelidikan. Kolaboratif, melibatkan perkongsian maklumat dalam kalangan pendidik atau sesama rakan setugas. Menghubungkan guru dengan pelajar di samping meneliti isi kandungan dan kaedah mengajar. Konsisten dan intensif disokong oleh model, latihan dan penyelesaian masalah yang berkisar pada masalah amalan yang khusus. Inovatif dan peka kepada perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan, terutamanya dalam persekitaran sekolah dan bilik darjah.

Guru perlu mengetahui dan memahami nilai, matlamat dan tujuan serta keperluan am pengajaran yang telah ditentukan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK). Mereka juga perlu memahami bahawa proses pembelajaran yang berlaku dalam kalangan pelajar adalah dipengaruhi oleh fizikal, intelektual, linguistik, sosial, budaya dan perkembangan emosional masing-masing. Di samping itu, guru perlu tahu menggunakan teknologi maklumat dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta untuk menyokong mereka menambahkan kemahiran dan peranan profesional.

Guru perlu memahami tanggungjawab masing-masing di bawah Kod Etika Perguruan dan mengetahui bagaimana untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar sekiranya memerlukan kemahiran tertentu. Mereka perlu mengetahui bagaimana mengatur strategi untuk menghasilkan persekitaran pembelajaran yang sesuai dan bermakna. Pengalaman saya mengenai guru di luar negara adalah amat menyeronokkan dimana saya mendapati guru-guru di Australia dan New Zealand sentiasa mempunyai hubungan yang erat antara satau sama lain dan sentiasa berkolaborasi untuk meningkatkan profesionalisme perguruan masing-masing. sebelum pulang ke rumah, antara guru mata pelajaran - mereka berkumpul dan berbincang mengenai masalah, kekuatan dan kelemahan masing-masing, dan mereka saling bantu membantu untuk mengatasi masalah rakan sejawat.

Mereka selalu berbincang mengenai bagaimana untuk meningkatkan pengajaran masingamsing, berkongsi media dan kaedah yang digunakan. Mereka sering membuat penyelidikan mengenai pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajar, terutamanya penyelidikan tindakan atau 'action research' atau'classroom action research'. Hasil penyelidikan akan disebarkan melalui bentul penulisan dalam artikel jurnal dan seminar atau bengkel. Budaya ini amat perlu diperkenal, semai dan diterapkan kepada semua guru di Malaysia. Apa yang berlaku di negera kita adalah sebaliknya. Guru berlumba-lumba untuk pulang ke rumah bersama-sama murid di pintu pagar sekolah. sebaik sahaja loceng berbunyi, guru terus mencapai beg dan terus ke kereta untuk pulang, atau pun sudah sedia memegang beg menunggu loceng terakhir berbunyi. bukan semua guru begitu, namun amat malanglah sekiranya guru bertindak sedemikian. Kini buku Standard Guru Malaysia telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. buku ini perlu dimiliki oleh semua guru. Bukan sekadar memiliki sahaja... guru perlu membaca, meneliti dan menghayati buku tersebut seandainya guru itu merasakan dia adalah seorang GURU dan bertugas dengan penuh keikhlasan demi untuk membantu anak bangsa untuk enyebarkan ilmu pengetahuan serta MENDIDIK anak bangsa menjadi manusia yang berguna, berilmu dan beriman. Saya berpeluang menyertai kumpulan pertama yang membincangkan penggubalan buku tersebut semasa bertugas di Kementerian Pelajaran Malaysia, walau pun hanya separuh jalan (tak sampai separuh jalan pun, peringkat permulaan saja dan ada sedikit'homework' yang telah diberikan kepada saya pada peringkat awal idea pembikinan buku ini. Masih ada write up peringkat awal bersama saya).

Karektor Guru 1Robert J. Walker telah membuat penyelidikan kualitatif secara longitudinal selama 15 tahun sepanjang karier beliau sebagai seorang pendidik mendapati terdapat 12 ciri guru yang dominan dan sangat disukai oleh pelajar. Beliau telah membuat kesimpulan bahawa semua karekter tersebut adalah amat perlu dimiliki oleh semua insan yang bergelar guru. Saya akan membincangkan setiap karekter ini dalam penulisan saya seterusnya. Ciri yang Pertama: Sentiasa bersedia Guru yang palingberkesan adalah guru yang hadir ke jkelas setiap hari dan sentiasa bersedia untuk mengajar (mendidik). Murid akan dapat belajar dengan mudah dan memahami apa yang akan disampaikan oleh seorang guru yang telah bersedia untuk mengajar topik yang akan disampaikan pada hati itu. Oleh kerana guru itu sentiasa bersdia, maka beliau tidak akan mengambil masa yang lama atau membazir masa untuk mengajar. Mereka memulakan pengajaran tepat pada waktunya dan menggunakan sepenuh masa pengajaran (period) untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Sepanjang guru berada dalam kelas, pelajar dapat belajar sepenuhnya daripada guru jenis ini. Oleh itu, mereka tidak akan mudah bosan atau tertidur dalam kelas. Karektor ini adalah dipilih oleh pelajar sebagai ciri utama yang perlu dimiliki oleh semua guru. Oleh itu, seseorang insan yang bergelar guru atau akan bergelar guru amat wajar mengamalkan ciri sentiasa bersedia, terutamanya sewaktu kita mahu masuk ke kelas untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Bacalah sedikit bahan bacaan yang berkaitan dengan isi kandungan yang akan disampaikan, walau pun kita sudah mahir dan bertahun-tahun mengajar tajuk tersebut. Carilah dalam Internet atau bahan bacaan tambahan yang berkaitan dengan tajuk tersebut, mungkin ada perkara baharu yang boleh disampaikan kepada pelajar kita.

Karektor Guru 2Ciri yang Kedua: Positif Guru yang paling berkesan adalah guru yang memiliki sikap yang optimistik terhadap pengajaran dan mengenai pelajarnya. Sikap optimistik bermaksud seseorang guru itu sentiasa melihat perkara positif terhadap pengajarannya dan juga sentiasa menganggap semua pelajarnya adalah baik dan boleh maju dalam sebarang keadaan sekalipun. Guru yang sebegini adalah amat disukai oleh pelajar. Setiap keadaan dalam kelas dan pelajarnya sentiasa diberikan perhatian dan tunjuk ajar yang membantu pelajar menuju kejayaan. Semua pelajar dianggap mempunyai peluang untuk berjaya. Beliau sentiasa mempunyai ruang dan masa untuk didekati oleh pelajar bagi mendapatkan nasihat dan bantuan. Guru seperti ini akan mudah berkomunikasi dengan pelajarnya dan pelajar pula tidak segan silu untuk berinteraksi dengan guru. Guru seperti ini juga sentiasa memberi rangsangan yang berupa penghargaan dan pujian kepada semua pelajar. Mereka juga mempunyai strategi yang tertentu untuk membantu pelajar supaya bertindak secara positif bagi mencapai matlamat masing-masing. Guru seperti ini juga sentiasa memberikan motivasi kepada pelajarnya.

Kareaktor Guru 3: Menaruh Harapan TinggiCiri yang Ketiga: Menaruh Harapan Tinggi Guru yang palinh berkesan adalah guru menaruh setinggi-tinggi pengharapan kepada pelajar beliau dan percaya bahawa setiap orang pelajar akan mempunyai peluang untuk berjaya dalam hidup mereka. Guru seperti ini akan sentiasa menyediakan cabaran kepada pelajar mereka supaya pelajar dapat menunjukkan kebolehan mereka pada tahap yang terbaik. Mereka akan membina keyakinan diri pelajar dan mengajar dan menanamkan kepercayaan kepada diri sendiri. Pelajar akan merasa diri mereka sentiasa didorong oleh seseorang yang lebih dewasa dan Berjaya. Mereka akan menjadikan guru sebagai idola kerana kejayaan yang dimiliki oleh guru tersebut adalah sebagai perangsang dan motivasi kepada diri mereka. Janganlah kita sebagai guru memandang rendah akan kebolehan anak didik kita. Mana tahu suatu hari nanti mereka akan menjadi lebih berjaya daripada orang lain (juga daripada kita) dalam bidang yang tidak kita sangkakan. Hakikatnya perkara ini sentiasa berlaku di sekeliling kita pada hari ini. ramai sekali anak murid kita yang dahulunya kita anggap 'bodoh', kini menjawat jawatan tinggi atau 'lebih berjaya' berbanding kita. Oleh itu, semua guru perlu menaruh harapan yang tinggi terhadap anak didik kita. Binalah keyakinan diri kepada mereka yang kita dapati agak lemah dan tidak bermotovasi terhadap pelajaran.

Karektor Guru 4: KreatifCiri yang Keempat: Kreatif Guru yang paling berkesan ialah guru yang memiliki ilmu pengetahuan yang meluas dan sentiasa mengajar dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang menarik dalam kelas. Guru seperti ini akan menggunakan teknologi dengan berkesan semasa mengajar dalam kelas. Mereka sentiasa menggunakan bahan bantu mengajar yang pelbagai termasuklah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru seperti ini sentiasa peka dengan kaedah dan strategi penyampaian yang bersesuaian dengan topik yang mahu diajar. Misalnya, sekiranya topik tersebut memerlukan amali (eksperimen) beliau akan menyediakan kelas amali untuk pelajarnya melakukan amali. Misalnya, seorang guru ingin mengajar bagaimana sabun bertindak terhadap kotoran (minyak), beliau sanggup membawa sabun, botol, minyak dan sebagainya ke dalam kelas untuk didemonstrasikan di hadapan pelajarnya dalam kelas. Guru sanggup membawa biji sawi, paku, beras dan sebagainya hanya semata-mata untuk ditunjukkan kepada pelajar bagi memudahkan mereka memahami tajuk pelajaran yang akan diajar. Guru sebeginilah yang dikatakan kreatif. Sudah tentu guru yang sanggup melakukan pelbagai kaedah pengajaran ini akan sentiasa dihormati oleh semua pelajarnya sepanjang hayat mereka.

Karektor Guru 5: Adil dan SaksamaGuru yang paling berkesan ialah guru yang dapat menangani semua masalah pelajarnya dan juga memberikan markah ujian atau peperiksaan dengan adil dan saksama. Mereka tidak kedekut markah dan memberikan markah yang sepatutnya kepada pelajar yang sepatutnya memiliki markah tersebut. Mereka menyediakan keperluan yang sesuai dan peraturan yang jelas untuk kelas. Sekiranya pelajar melanggar peraturan yang telah ditetapkan, guru akan bertindak mengikut garis panduan yang telah dipersetujui bersama. Ini menyebabkan pelajar tidak merasa diri mereka dianiayai oleh guru. Pelajar akan menyedari bahawa adil dan saksama itu bukanlah semestinya melayani semua pelajar dengan cara yang sama, tetapi memberi peluang dan ruang kepada semua pelajar untuk mencapai kejayaan. Guru seperti ini juga akan menyedari bahawa bukan semua pelajar itu belajar dengan kaedah yang sama dan pada kadar yang sama. Ada sesetengah pelajar agak lambat untuk memahami sesuatu topik dan mempunyai cara yang berlainan untuk memahaminya seperti perlu perbincangan dengan rakan-rakan lain. Guru perlu memberikan peluang kepada mereka untuk belajar dengan kaedah dan kecepatan sendiri sebelum menguji atau menilai mereka.

Karektor Guru 6: Mempamerkan Sentuhan Peribadi (Personal Touch)Guru yang paling berkesan adalah guru yang mudah didekati oleh semua pelajarnya. Mereka berhubung dengan pelajar secara personal. Mereka berkongsi pengalaman bersama pelajar di dalam kelas. Guru seperti ini akan mengambil berat dan memahami setiap pelajarnya secara personal serta mencuba untuk memahami semua pelajarnya sebanyak mungkin. Mereka melawat ke alam pelajar seperti makan bersama mereka di kantin sekolah, bersukan bersama-sama di padang, malah menziarahi pelajar yang sakit dan terlantar di rumah atau hospital. Berapa ramai antara kita berbuat demikian. Ayuh, mulai hari ini kita tunjukkan karektor guru yang sebenarnya supaya profesion ini menjadi lebih dihormati. Kembalikan kegemilangan zaman profesion perguruan yang diperkatakan bahawa sudah kurang mulai malap berbanding dengan suatu masa dahulu. Guru sebegini akan mengambil tahu kesihatan, latar belakang dan masalah peribadi pelajarnya (bukan mengambil kesempatan). Guru seperti ini juga akan mengenali semua ibu bapa pelajarnya dan sentiasa berinteraksi dengan mereka sama ada dalam atau luar sekolah. Guru sebeginilah akan dikenang sepanjang hayat oleh bekas pelajar mereka. Guru sebeginilah yang senantiasa didoakan keampunan, kesejahteraan dan keselamatan oleh bekas murid mereka.

Karektor Guru 7: Mananamkan Rasa Dipunyai (Sense of Belonging)Guru yang paling berkesan adalah guru yang berupaya menyediakan situasi yang sangat selesa dalam kelas dan menjadikan seolah-olah menyambut kehadiran pelajarnya masuk ke kelas beliau. Pelajar pula sentiasa tertunggu-tunggu kehadiran guru tersebut untuk mengajar mereka. Walaupun mata pelajaran yang diajar adalah mata pelajaran yang sukar, namun, beliau dapat menyedia penyampaiannya sehinggakan pelajar pun menjadi suka kepada mata pelajaran tersebut. Banyak pengalaman yang kita sendiri dapat kongsikan di mana seorang guru itu dapat menjadikan kita suka kepada sesuatu mata pelajaran yang sangat kita benci selama ini dan akhirnya kita lulus dengan baik walaupun kita tak suka kepada mata pelajaran itu. Pelajar sentiasa merasakan mereka memiliki dan bersama-sama dengan guru semasa belajar dalam kelas yang diajar oleh guru sedemikian. Pelajar juga tahu bahawa mereka mempunyai seorang guru yang seronok mengajar mereka dalam mata pelajaran tersebut dan seorang guru yang begitu komited dengan kerjayanya. Ramai antara kita (warga guru) dapat menamakan guru-guru kita dahulu yang mempunyai karektor sebegini. Subjek Fizik yang sangat tidak disukai, dapat diikuti dengan mudah dan lulus dengan cemerlang dalam SPM. Selepas itu tak sentuh lagi buku Fizik dan subjek yang berkaitan dengan Fizik. Maka, jadikanlah kita seperti guru ini dan kelak nanti kita akan sentiasa dikenang oleh pelajar kita

Karektor Guru 8: Belas Kasihan (Compassionate)Guru yang paling berkesan adalah guru mengambil berat akan masalah peribadi setiap pelajarnya dan sentiasa mengambil perhatian terhadap perkara yang berkaitan dengan masalah tersebut. Misalnya, seorang pelajar yang mengidap penyakit lelah, guru akan mengambil perhatian khusus kepada beliau supaya tidak terdedah kepada habuk atau cuaca sejuk yang memudaratkan lagi kesihatan beliau. Pelajar yang memakai cermin mata dan mempunyai masalah penglihatan, diberi peluang dan dipastikan supaya beliau dapat duduk di hadapan kelas dan dapat melihat tulisan di papan hitam atau papan putih atau skrin. Banyak cerita yang mengkisahkan bagaimana seseorang guru itu mengambil berat seseorang pelajarnya dan mempengaruhi kehidupan mereka seterusnya. Pelajar kita dahulu, kini menjadi rakan baik dan sentiasa berkongsi pengalaman, ziarah menziarahi sama ada semasa sihat, sakit dan pada hari-hari perayaan. Kadang-kadang mereka menjawat jawatan tertentu yang tinggi dan dapat memberi bantuan kepada kita yang berurusan dengan mereka. Banyak kisah dimana bekas pelajar tidak mempeduli atau menghiraukan bekas guru mereka semasa berurusan dalam perkhidmatan tertentu kerana guru tidak mengenali mereka dan guru itu juga tidak pernah mempedulikan mereka semasa mengajar di sekolah dahulu. Alangkah ruginya sekiranya kita tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya dilaksanakan disebabkan kita tidak mempunyai karektor sedemikian.

Bayangkan sekiranya bekas pelajar kita adalah seorang doktor perubatan atau jururawat terlatih!

Karektor Guru 9: Kebolehan Jenaka (Sense of Humor)Guru yang paling berkesan adalah guru yang tidak menganggap semua perkara adalah serious dan menjadikan pembelajaran adalah sesuatu yang seronok dan menghiburkan. Mereka menjadikan jenaka sebagai alat untuk breaking the ice ketika sesuatu situasi yang sukar dialami. Misalnya, dalam menguruskan bilik darjah, guru perlu menggunakan arahan secara berjenaka bagi mengurangkan tekanan dan ketegangan yang berlaku sesama pelajar. Guru sebegini akan sentiasa berjenaka setiap hari dalam kelasnya. Mereka sentiasa bergelak ketawa bersama-sama pelajar sama ada dalam kelas atau di luar kelas. Mereka sentiasa berjenaka dengan murid dan sebaliknya. Namun, jenaka yang digunakan adalah jenaka yang tidak mendatangkan keburukan seperti memperlekeh atau mempersendakan pelajar atau orang lain, berbentuk ugutan dan berunsur lucah. Bukan kita mahukan jenaka yang dapat mentertawakan murid sehingga kelas menjadi hingar bingar. Cukuplah sekadar dapat membuatkan murid kita tersenyum atau merasa terhibur dan lega dengan apa yang kita ucapkan. Bukan perlu kita mempelajari atau berlatih untuk berjenaka, tak kanlah sepanjang hayat kita tak pernah pun berjenaka! Jenaka yang ringan dengan memberikan contoh-contoh yang melucukan adalah amat mudah dilakukan oleh guru semasa mengajar dalam kelas. Banyak kajian di luar negara menunjukkan bahawa murid suka kepada guru yang gemar berjenaka. kajian juga membuktikan bahawa kelas yang diselang seli dengan jenaka oleh guru, dapat memberikan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan seterusnya meningkatkan pemahaman murid. Oleh itu kajian yang berbentuk eksperimental telah dilakukan oleh para sarjana barat membuktikan terdapat peningkatan pencapaian yang signifikan bagi kelas yang mengandungi jenaka berbanding sebaliknya

Karektor Guru 10: Menghormati PelajarGuru yang paling berkesan adalah guru yang tidak memalukan pelajarnya sama ada secara bersemuka atau di hadapan khalayak (kelas). Guru yang memberikan penghormatan yang paling tinggi akan memperolehi penghormatan yang paling tinggi daripada anak didik mereka. Guru perlu menghormati hak individu setiap anak didik mereka, tidak mendedahkan kelemahan seseorang pelajar kepada orang lain sama ada sesama rakan mereka atau guru lain. Guru boleh berbincang dengan pelajar mengenai markah atau pencapaian seseorang pelajar secara individu tanpa didengari atau diketahui oleh rakan lain. Guru seperti ini akan menunjukkan kepekaan yang tinggi terhadap perasaan pelajarnya dan sentiasa berhati-hati supaya tidak memalukan pelajarnya setiap masa sama ada ianya perlu atau tidak

Karektor Guru 11: PemaafGuru yang paling berkesan adalah mereka yang tidak menyimpan dendam dan kebencian dalam hati terhadap pelajar mereka walaupun pelajar itu nakal dan sentiasa menyakiti hati mereka. Guru sebegini akan sentiasa memaafkan pelajar mereka di atas perlakuan yang tidak sesuai seperti kesalahan disiplin yang ringan atau tingkah laku yang kurang sopan dan sebagainya. Mereka akan sentiasa memberikan nasihat dan panduan secara bersopan kepada pelajar yang berkelakuan yang tidak sepatutnya. Mereka memahami bahawa dengan sikap pemaaf ini akan dapat membantu pelajar yang mempunyai masalah disiplin yang sukar dibendung. Mereka percaya bahawa dengan menyimpan dendam dan kebencian kepada pelajar yang bermasalah displin ini, akan menyebabkan pelajar memusuhi mereka sama ada di dalam sekolah atau di luar sana. Dengan keadaan yang sukar memaafkan pelajar ini, akan menyebabkan lebih sukar kita untuk menangani masalah yang mereka hadapi. Sifat pemaaf adalah merupakan satu sifat yang universal, semua agama menuntut supaya manusia bersifat demikian. Sifat ini adalah menunjukkan martabat yang tinggi dan nilai kemanusiaan yang hebat dan mulia. Semua guru harus memiliki sifat ini supaya kita sentiasa dipandang mulia oleh pelajar kita, malahan kita akan dipandang mulia oleh masyarakat sekeliling kita. Saya percaya, sekiranya semua guru memiliki karektor ini, masalah disiplin di sekolah akan dapat dibendung. Penghormatan masyarakat terhadap warga guru juga akan dapat dipulihkan seperti yang pernah kita persoalkan sebelum ini iaitu 'guru dahulu vs guru sekarang'

Karektor Guru 12: Mengaku Kesalahan SendiriGuru yang paling berkesan adalah mereka yang dengan cepat dan tidak teragak-agak untuk mengaku kesalahan sendiri yang dilakukan. Mereka dengan rasa rendah hati akan memohon maaf daripada pelajar. Mereka dengan segera akan memperbetulkan sesuatu kesalahan yang dilakukan dengan segera tanpa merasa segan dan silu. Misalnya, semasa memeriksa kertas jawapan atau tugasan, sekiranya pelajar mendapati guru melakukan kesalahan memberi markah, guru dengan segera mengakui kesalahan mereka yang terus memperbetulkannya tanpa berlengah-lengah lagi. Dalam banyak kes disiplin yang berlaku di sekolah, ramai dalam kalangan guru menggunakan kuasa mereka untuk menghukum pelajar tanpa banyak soal jawab atau menyelidiki kedudukan sebenar. Ini menimbulkan perasaan dendam pelajar kepada guru, dan akan memburukkan lagi situasi. sekiranya guru menyedari kesalahan yang dilakukan, maka janganlah merasa bersalah atau malu untuk mengaku kesalahan sendiri, bak kata pepatah "tidak akan hilang bisanya ular yang menyusur akar".


Top Related