29UNIT 5
Tasawwur Islam dan cabaran semasa
Aktiviti 5.8
Ada golongan tertentu mendakwa bahawa menjadi seorang muslim
bermakna anda tiada tempat dalam kehidupan di dunia seperti
mencari harta dan kekayaan kerana seseorang yang kuat agama
membenci dunia. Apakah komen anda terhadap pandangan ini?
Adakah anda bersetuju? Bincangkan bersama tutor anda.
____________________________________________________
____________________________________________________
____________________________________________________
____________________________________________________
Keperluan hajiyyah
Keperluan hajiyyah ialah keperluan yang penting bagi manusia untuk menjamin
kelapangan hidup mereka, sekaligus menghilangkan kesempitan yang biasanya
membawa kesusahan dan kesukaran. Apabila maqasid ini tidak diambil kira, maka
banyak kesukaran akan dihadapi oleh manusia walaupun tidak ke tahap kehancuran
sistem kehidupan manusia seperti dalam keperluan daruri. Imam al-Syatibi menyebut
beberapa contoh maqasid hajiyah yang terdapat dalam ibadat, muamalat dan jenayah.
Antara contoh-contoh tersebut ialah rukhsah bagi orang yang sakit dan musafir dalam
ibadat, jual beli saham, memberi modal dan mengairi tanaman dalam muamalat,
manakala dalam jenayah pula ialah sumpah, diat (denda) ke atas orang yang baligh
dan jaminan ke atas harta.
Keperluan tahsiniyyah
Keperluan tahsiniyyah ialah keperluan manusia terhadap perkara-perkara yang
dianggap terpuji dalam adat kehidupan dan pergaulan mereka seharian serta
menjauhi suasana yang kurang baik yang dipandang rendah oleh akal yang sempurna
dan matang. Pada keseluruhannya ia menyentuh peraturan akhlak dalam seluruh
aspek pergaulan dan perhubungan termasuk perkara-perkara sunat. Antara contoh
keperluan tahsiniyyah ialah melakukan amalan sunat dalam beribadat, menjaga adab-
adab makan, minum, berpakaian, musafir, percakapan dan lain-lain dalam bidang
sosial, dan mengharamkan penipuan, sorok barang untuk mengaut keuntungan,
menyembunyikan kecacatan barang yang dijual dan sebagainya dalam sistem
ekonomi.
Inilah sebenarnya matlamat utama ajaran Islam secara ringkas. Kalau anda tinjau
secara objektif dengan hati yang suci, anda akan dapati bahawa segala ajaran Islam
dan hukum-hakam yang ditetapkan dalam apa juga bidang terarah kepada mencapai
matlamat yang disebutkan. Ia bukan diwahyukan untuk menyusah dan menganggu
kehidupan manusia, tetapi untuk menjamin kehidupan mereka supaya lebih harmoni
dan sempurna. Dengan perbincangan ini diharapkan anda dapat memahami,
menerima dan menghayati segala hukum-hakam yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.