Download - (369053466) bahasa arab (1)
286286286
Persidangan Kebangsaan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab 2012 (PKEBAR’12) • disunting oleh: Mohd Shukari Hamzah, Khazri Osman, Moktar Hussain, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Salamiah Ab. Ghani, Hakim Zainal & Zainuddin Ismail • © Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi • ISBN 978-967- 5478-49-9• http://www.ukm.my/uba/sebar2012/prosiding.htm
ISU PEMBELAJARAN BAHASA ARAB
Profesor Madya Dr. Rosni bin Samah (BA. Al-Azhar, MA Kaherah, PhD Kaherah)
Mantan Dekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama
USIM
PENDAHULUAN
Sejarah awal kedatangan Islam ke Alam Melayu, iaitu pada awal kurun pertama Hijrah atau
ketujuh Masihi (Ahmad Jelani Halimi, 1996) melalui pedagang Arab. Mereka tiba ke Alam
Melayu dalam pelayaran ke Cina. Dalam pelajaran itu, mereka singgah untuk mengambil
bekal dan menunggu angin musim untuk terus belayar (Badruddin Haiyi al-Sini, 1950). Islam
mula disampaikan kepada masyarakat yang berurusan terus dengan pedagang. Kemudian
beransur-ansur tersebar kepada masyarakat umum. Pada peringkat permulaan ini, bahasa
Arab mengiringgi pengajaran Islam.
Bahasa Arab seterusnya berkembang mengikut perubahan semasa. Bagi memenuhi
keperluan semasa, bahasa Arab mengalami beberapa perubahan sehingga ke hari ini. Ia
bermula dengan sistem pondok. Kemudian beralih kepada sistem madrasah dan akhirnya
menjadi sistem persekolahan dan masuk ke dalam arus perdana universiti. Begitu juga
bermula dengan mempelajari untuk memahami ilmu Islam dan berakhir dengan melahirkan
ulama dan tokoh-tokoh bahasa Arab yang mashur.
SOROTAN AWAL PERKEMBANGAN PENGAJARAN
BAHASA ARAB DI MALAYSIA
Pengajaran bahasa Arab secara tidak langsung mengiringi pengajian Islam. Pelajar perlu
mengetahui bahasa Arab sebelum memahami ilmi-ilmu Isalm dan juga kitab-kitabnya. Islam
mula berkembang di alam Melayu sekitar kurun ke-14 dan seterusnya pengajaran Islam mula
bertapak di istana-istana (Ismail Hamid, 1991). Pengajaran Islam secara rasmi jelas dapat
dilihat dalam masyarakat Melayu khususnya semasa kemunculan pusat-pusat pengajian Islam
287287287
yang berbentuk pondok pada abad ke-18 M (Abdullah Jusuh,1989). Kemunculan pusat-pusat
ini sejak awal menekankan pelajar-pelajarnya untuk mendalami bahasa Arab sebagai
prasyarat bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam. Kebanyakan buku rujukan berbahasa Arab dan
mendorong kepada penguasaan bahasa tersebut dengan lebih baik.
Hasil daripada pengajaran bahasa Arab di pusat-pusat pengajian Islam berbentuk
pondok, lahirlah ramai tokoh sarjana yang mampu memahami kitab-kitab Islam yang tinggi
dan menyambung pengajian mereka di negara-negara Arab khususnya di Mekah dan
Madinah. Begitu juga lahirlah tokoh-tokoh tuan guru yang hebat dan mampu mengasaskan
institusi pengajian Islam mereka sendiri. Perkembangan ini menyemarakkan kemunculan
pusat-pusat pengajian Islam yang berbentuk pondok dengan pesat. Boleh dikatakan hampir
kesemua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia mempunyai struktur pengajian berbentuk
pondok. Antara negeri-negeri yang terbanyak memiliki pusat pengajian tersebut ialah
Kelantan, Terangganu, Kedah dan Perak Utara. Pusat-pusat pengajian pondok ini banyak
memberi sumbangan dalam perkembangan pengajaran bahasa Arab. Dalam sistem pondok ini
bahasa Arab terbatas kepada ilmu bahasa yang boleh membantu pelajar memahami kita-kitab
turath seperti nahu, sarf dan balaghah.
PERKEMBANGAN DALAM SISTEM MADRASAH
Pada awal kurun ke-20, muncul pula pusat-pusat pengajian Islam yang bercorak madrasah
atau persekolahan yang memberi sumbangan dan menyemarakkan perkembangan pengajaran
bahasa Arab. Sistem persekolahan ini berkembang seiring dengan sistem pendidikan pondok.
Perbezaannya boleh dilihat dari aspek sukatan dan masa belajar serta umur pelajarnya sahaja.
Dalam sistem madrasah ini, subjek bahasa Arab ditambah kepada subjek-subjek kemahiran
bahasa dan sastera.
Sistem persekolahan ini berkembang pesat dengan peralihan sistem-sistem pondok ke
sistem sekolah bagi menyahut cabaran dan keperluan semasa. Tokoh pengasasnya ramai yang
terpengaruh dengan gagasan reformasi yang dibawa oleh tokoh-tokoh di negara Arab seperti
Syeikh Muhammad Abduh. Antara tokoh yang mengasaskan sistem madrasah ini ialah Tuan
Haji Salleh Masri yang mengasas Madrasah Al-Masriyyah, Seberang Prai (Abdullah Jusuf,
1989). Syed Syeikh Al-Hadi pengasas Madrasah Al Iqbal pada tahun 1907 di Singapora
(Talib Samad, 1992) dan Haji Wan Sulaiman Wan Sidek pengasas Madrasah Hamidiah, Alor
Star sekitar tahun 30an. Perkembangan pusat-pusat pengajian yang berbentuk sekolah ini
288288288
mendapat sambutan yang baik oleh masyarakat setempat, khususnya kepada mereka yang
tidak berpeluang belajar di sekolah-sekolah di bawah kuasa penjajah.
Pertumbuhan sekolah atau madrasah ini mengorak langkah dengan pesat selepas
kemerdekaan. Hal ini berikutan dengan sukatan yang ditawarkan boleh memenuhi tuntutan
semasa. Menjelang akhir abad ke-20 boleh dikatakan hampir kesemua pusat pengajian
pondok menerima perubahan kepada sistem madrasah. Hanya segelintir kecil sahaja yang
masih mengamalkan tradisi pondok. Selepas merdeka, sekolah-sekolah agama diwajibkan
mendaftar di bawah Majlis Agama negeri masing-masing. Badan tersebut turut memberi
sumbangan dan juga sokongan yang perlu bagi mempertingkatkan mutu pengajaran. Sekolah-
sekolah tersebut menerima pakai sukatan yang ditetapkan oleh Majlis Agama masing-masing,
di samping mengguna pakai sukatan yang ditawarkan di sekolah-sekolah menengah
kebangsaan supaya pelajarnya dapat menduduki peperiksaan SRP dan SPM.
Pengajian bahasa Arab di sekolah-sekolah tersebut begitu menyerlah dengan
kepelbagaian mata pelajaran yang diajar berbanding dengan mata pelajaran yang ada di
pusat-pusat pengajian pondok. Turut diajar dalam sistem persekolahan ini mata pelajaran
kemahiran berbahasa dan kesusasteraan Arab. Di samping itu juga, buku-buku teks yang
digunakan ditulis dalam bahasa Arab yang berbentuk moden dan diimport terus daripada
negara Arab.
Perkembangan sistem persekolahan ini bertambah baik dengan pengiktirafan
Universiti al-Azhar terhadap sukatan pelajarannya dan juga Sijil Thanawi yang
dikeluarkannya. Antara sekolah-sekolah yang terawal menerima pengiktirafan Universiti al-
Azhar ialah Maahad Muhammadi, Kelantan pada tahun 1960, Madrasah Ahmadiyyah,
Kelantan pada tahun 1964, Madrasah Sultan Abu Bakar, Pahang pada tahun 1964 dan
Maktab Mahmud, Alor Star pada tahun yang sama (Abdul Razak Wan Ahmad, t.t).
Bagi pemegang sijil sekolah-sekolah yang mendapat pengiktirafan tersebut, mereka boleh
melanjutkan pelajaran di universiti tersebut dalam pelbagai fakulti pengajian Islam dan
bahasa Arab. Dengan adanya pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran di Mesir
menunjukkan bahawa sekolah-sekolah tersebut berjaya memainkan peranannya yang besar
dalam pendidikan Islam di Malaysia.
Perkembangan pengajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah tersebut menjadi mantap
dengan kembalinya mahasiswa dan mahasiswi dari universiti-universiti di negara Arab
seperti Mesir dan Saudi. Mereka membawa pendekatan pendidikan yang agak berbeza
dengan guru-guru mereka yang hanya menerima pengajian dalam sistem pondok. Dari sudut
289289289
pencapaian bahasa pula, mereka berkemampuan dalam menguasai bahasa pertuturan semasa.
Dengan pencapaian yang mereka miliki, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar-
pelajar sekolah dapat ditingkatkan dan mereka mampu menimbulkan minat kalangan pelajar
untuk terus mempelajari bahasa Arab.
Dari sudut sukatan pula, hampir kesemua sekolah Arab pada waktu itu
menggunapakai sukatan pendidikan sekolah menengah Universiti al-Azhar, termasuklah
buku-buku teksnya dibawa masuk dari Mesir. Hasilnya setiap negeri mempunyai Sijil Empat
Thanawi sendiri yang diiktiraf oleh Universiti al-Azhar. Bagi memantapkan lagi
pembelajaran bahasa Arab di sekolah-sekolah tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia
mengadakan rundingan dengan pihak Univesiti al-Azhar bagi mewujudkan satu sijil sahaja
yang diiktiraf oleh pihak universiti tersebut. Segala sukatan dan urusan pembelajaran
ditetapkan oleh pihak kementerian termasuklah peperiksaan.
Akhirnya pihak Universiti al-Azhar bersetuju dengan cadangan tersebut. Satu sijil
sahaja di peringkat thanawi yang diiktiraf oleh pihak Universiti al-Azhar telah diwujudkan.
Sijil tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran dan segala urusan pembelajaran dan
peperiksaan dikawal selia oleh pihak kementerian. Sijil tersebut diberi nama Sijil Tinggi
Agama Malaysia (STAM). Sijil tersebut juga diterima oleh Kementerian Pengajian Tinggi
bagi memasuki pusat pengajian tinggi dalam negara. Dengan adanya perhatian dari pihak
kementerian ini pengajaran pendidikan Islam bertambah maju. Peluang pengajian dan
pekerjaan kepada pelajar-pelajar aliran agama terbuka luas.
PERKEMBANGAN DALAM INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
Selain daripada peringkat sekolah, pendidikan Islam menyaksikan perkembangan yang
menggalakkan dengan adanya institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang
menawarkan kursus-kursus bahasa Arab sama ada untuk mendapatkan ijazah atau kursus-
kursus wajib atau kursus elektif.
Sebelum kemunculan universiti-universiti yang menawarkan kursus tersebut, terdapat
beberapa institusi pengajian yang menawarkan kursus-kursus tersebut dengan kerja sama
universiti di negara Arab. Pelajar-pelajar yang menamatkan pengajian di peringkat ini dapat
menyambung pengajian mereka di universiti-universiti di negara Arab di peringkat Ijazah
Sarjana Muda dan juga lanjutan.
Antara institusi yang mula mengorak langkah dalam bidang ini ialah Kolej Islam
Malaya yang mendapat kerjasama dari Universiti al-Azhar, Mesir. Graduannya dapat
290290290
menyambung pengajian mereka di Universiti al-Azhar di peringkat ijazah lanjutan. Proses
pembelajaran di kolej ini berorentasikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya (Abdul
Talib Ahmad & Firdaus Ahmad Azzam, 2003).
Usaha tersebut diikuti pula dengan pusat pengajian Islam Nilam Puri yang turut
mendapat kerja sama daripada University al-Azhar. Graduannya boleh menyambung
pelajaran mereka di Universiti al-Azhar mengikut tahun semasa mereka dan juga di tahun
akhir peringkat ijazah pertama dan juga di peringkat ijazah lanjutan (Abdul Razak Wan
Ahmad, t. t).
Di peringkat universiti pula, langkah segera diambil oleh Universiti Kebangsaan
Malaysia dengan menubuhkan Fakulti Pengajian Islam. Begitu juga Universiti Malaya yang
menubuhkan Akademik Pengajian Islam. Diikuti pula oleh Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia yang menubuhkan Fakulti Ilmu Wahyu dan Kemanusiaan. Seterusnya Kolej
Universiti Islam Malaysia atau dengan nama barunya Universiti Sains Islam Malaysia dengan
menubuhkan beberapa fakulti pengajian Islam berteraskan bahasa Arab seperti Fakulti Quran
dan Sunnah dan Fakulti Syariah dan Undang-Undang. Pada akhir 2005 sebuah fakulti bahasa
ditubuhkan dengan menawarkan program bahasa Arab dan Komunikasi.
HARAPAN PENGAJARAN BAHASA ARAB
Dewasa ini Kementerian Pengajian Tinggi telah menggariskan beberapa kemahiran asas yang
perlu dikuasai oleh graduan supaya dapat bersaing dalam pasaran kerjaya. Kemahiran
tersebut dinamakan Kemahiran Insaniah yang diterapkan ke dalam subjek dan juga aktiviti
kokurikulum. Kemahiran tersebut ialah komunikasi, pemikiran kritis dan kreatif, kepimpinan,
kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat, etika, keusahawanan dan kemasyarakatan.
Tujuan di sebalik perkara di atas ialah bagi menyediakan graduan yang dapat memenuhi
keperluan semasa di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Secara amnya, graduan
hendaklah memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi, mempunyai kemahiran yang baik dalam
berkomunikasi, kemasyarakatan, kepimpinan, kerja berpasukan, berfikiran kritis dan kreatif,
semangat pembelajaran sepanjang hayat, beretika dan mahir dalam merebut peluang
pekerjaan dan keusahawanan.
Bagi pengajaran bahasa Arab di peringkat sekolah pula, keperluan semasa perlu
dilihat bagi membina hala tuju pendidikan yang dapat menyesuaikan dengan keperluan di
universiti. Hasrat universiti akan tercapai dengan adanya calon yang memasuki memenuhi
keperluan universiti. Berdasarkan keperluan di peringkat universiti, boleh disimpulkan
291291291
keperluan tersebut hendaklah dibina di peringkat sekolah lagi. Bagi mencapai hasrat di atas,
pengajaran bahasa Arab diperingkat sekolah hendaklah melihat semula hala tuju dalam usaha
memperkasakan pendidikan yang boleh memenuhi keperluan semasa. Pemerkasaan tersebut
boleh dibuat dalam proses pembelajaran yang terdiri daripada kurikulum, P&P, pelajar, guru,
pentadbiran dan prasarana. Hasil gabungan perkara-perkara di atas, sekolah dapat melahirkan
pelajar yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kurikulum perlu dilihat supaya dapat membekalkan pelajar dengan ilmu pengetahuan
tinggi dan keperluan semasa. P&P perlu mengikut keperluan semasa bagi menjamin objektif
pendidikan tercapai. Pelajar perlu mempunyai motivasi, strategi dan daya saing yang tinggi.
Guru perlu berkompetensi tinggi. Pengurusan perlu kepada kreatif dan inovasi. Kemudahan
prasarana yang kondusif perlu bagi menjamin kelancaran proses P&P. Di samping itu aktiviti
kokurikulum perlu bagi membina shahsiah dan jati diri pelajar terutama dalam meningkatkan
kemahiran berbahasa Arab.
Hasil dari pada gabungan keperluan di atas, proses pendidikan dapat berjalan dengan
lancar dan melahirkan pelajar yang memenuhi kemahiran yang dibincangkan dan dapat
berinteraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa khususnya berkomunikasi dalam
bahasa Arab dengan baik.
ISU DALAM PENGAJARAN BAHASA ARAB
Bagi mencapai harapan yang digariskan, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi.
Antaranya melihat semula permasalahan yang menjadi batu penghalang dan berusaha
mengatasinya. Terdapat beberapa isu yang ditimbulkan berhubung dengan pendekatan
pengajaran dan kurang keupayaan pelajar serta mereka tidak mampu bersaing di peringkat
antarabangsa khususnya seperti gagal di universiti di negara-negara Arab. Antara isu yang
timbul ialah:
1 - Pengajaran Berpusat Kepada Guru
Pengajaran di sekolah-sekolah agama pada hari ini banyak terpengaruh dengan pendekatan
pengajaran di sekolah-sekolah bersistem pondok. Pendekatan tersebut berpusat kepada guru
yang melaksanakan semua tugas pengajaran dari awal kelas sehinggalah tamat. Guru
merupakan penggerak utama dalam proses tersebut. Tanpa guru, proses pengajaran tidak
berjaya. Pelajar hanya bersifat pasif dan menunggu serta mendengar apa yang disampaikan
oleh guru. Mereka tidak menyumbang bersama dalam proses tersebut.
292292292
Pengaruh tersebut berlaku dengan sebab guru yang mengajar di sekolah mewarisi
pendekatan yang telah digunakan oleh guru-guru mereka terdahulu. Warisan tersebut berlaku
dari satu jenerasi ke jenerasi yang lain. Kesan daripada warisan tersebut pendekatan
pengajaran tidak banyak berubah walaupun guru-guru jenerasi sekarang telahpun mengikuti
kursus perguruan. Begitu juga guru-guru tersebut terpengaruh dengan pendekatan pengajaran
semasa mereka belajar di sekolah terdahulu dan mengikuti kursus di universiti. Ini kerana
kebanyakan sekolah agama berorientasikan pendidikan yang berpusat kepada guru sahaja.
Begitu juga mereka terpengaruh dengan pendekatan pengajaran semasa mereka belajar di
universiti. Kebiasaan pengajaran di universiti berpusatkan kepada pensyarah khususnya
dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab.
Kebanyakan sekolah-sekolah Arab masih berorientasikan proses pengajaran yang
berpusatkan kepada guru semata-mata. Pelajar hanya mendengar dan mencatatkan apa yang
perlu untuk mereka. Pandangan dan sumbangan mereka dalam proses tersebut tidak diberi
penekanan. Terdapat juga pelajar yang tidak pernah membaca langsung petikan di dalam
kelas. Begitu juga mereka tidak pernah bertanyakan soalan atau ditanya. Terdapat juga
pelajar yang tidak pernah mengeluarkan pendapatnya atau memberi kesimpulan terhadap apa
yang dipelajarinya (Rosni bin Samah, 2007).
Hasil daripada proses pengajaran seperti ini pelajar menjadi lembab dan tidak aktif
khususnya untuk menyuarakan pendapat dan pandangan. Ini jelas dapat dilihat ketika
diajukan persoalan kepada mereka. Kesan daripada proses ini juga, pelajar tidak mempunyai
keyakinan diri dalam memahami pelajaran yang dipelajarinya secara kendiri. Mereka hanya
bergantung kepada guru sahaja. Kesan yang buruk kepada mereka ialah kurangnya kemahiran
berkomunikasi dan keterampilan diri.
Guru-guru pula ada yang berpendapat bahawa proses pengajaran sehala ini perlu
kerana pengetahuan pelajar terlalu terbatas. Mereka tidak mampu untuk berbincang dan
mengeluarkan isi perbincangan pada teks. Begitu juga mereka tidak dapat memahami teks
dengan membaca secara sendirian. Mereka ini perlukan kepada terjemahan semata-mata yang
perlu diberikan oleh guru.
Sebenarnya proses pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar boleh dilaksanakan
dengan bimbingan daripada guru. Pelajar hendaklah diberi peluang untuk berinteraksi dan
mengemukakan pandangan. Begitu juga mereka hendaklah diajukan beberapa persoalan yang
berkaitan dengan subjek mereka. Guru hanya berperanan sebagai fasilitator sahaja di dalam
kelas.
293293293
2 - Pengajaran Berteraskan Kepada Terjemahan Teks
Terjemahan merupakan pendekatan lama yang digunakan dalam pengajaran bahasa Latin dan
Greek. Antara objektif pendekatan ini ialah untuk memudahkan pelajar memahami. Begitu
juga ia bertujuan bagi membekalkan pelajar dengan isi-isi penting yang banyak dan melatih
mereka untuk membuat kesimpulan daripada teks yang dibaca (Al-Naqah, 1985).
Pengajaran di sekolah-sekolah agama lebih tertumpu kepada sudut terjemahan. Hal ini
kerana subjek yang diajar itu berbahasa Arab. Langkah yang mudah kepada guru-guru untuk
memahamkan pelajarnya ialah dengan menterjemahkan teks Arab ke dalam bahasa Melayu.
Terjemahan ini banyak membantu pelajar untuk memahami subjek yang dipelajarinya. Proses
terjemahan ini mengambil masa yang banyak dalam proses pengajaran. Boleh dikatakan
kesemua sekolah Arab berpegang kepada terjemahan bagi memudahkan proses pengajaran
dan pelajar dapat memahami subjek yang dipelajari dengan mudah. Proses terjemahan ini
berlaku dengan sebab pengajian lebih berpusat kepada guru.
Terjemahan ini tidak membantu pelajar untuk menguasai ilmu yang mereka belajar
dengan sendiri dan juga tidak membantu untuk aktif dan berinteraksi di dalam kelas. Ia lebih
menyumbang kepada bersikap pasif. Terjemahan ini boleh diatasi dengan memberi tugas
kepada pelajar bagi mencari isi penting atau membentangkan kefahaman mereka. Begitu juga
penggunaan kamus yang efektif boleh membantu pelajar untuk cuba memahami sendiri
subjek yang dipelajari.
Bagi guru-guru yang menggunakan proses terjemahan ini pula, mereka berpendapat
bahawa pelajar tidak mempunyai kebolehan sendiri untuk membaca dan memahami. Hasil
daripada tanggapan mereka inilah proses terjemahan berlarutan sehingga ke hari ini.
Sewajarnya pelajar hendaklah diberi tugas dan peluang untuk berinteraksi dalam kelas bagi
menyuntik keyakinan ke dalam jiwa mereka.
Bagi menggantikan terjemahan ini, satu pendekatan perlu diperkenalkan. Pendekatan
tersebut hendaklah boleh memberi kesan yang baik dalam penguasaan ilmu. Antara
pendekatan yang boleh diaplikasi ialah pengajaran hendaklah berpusat kepada pelajar. Pelajar
hendaklah didedahkan dengan strategi kendiri supaya mereka dapat menjalankan aktiviti
pembelajaran dengan sendiri. Guru hendaklah memberi peluang kepada pelajar untuk
membaca, mencari makna, membuat kefahaman, kesimpulan dan pembentangan. Peranan
guru hanyalah membincangkan isi penting yang dibentangkan oleh pelajar. Proses
pembelajaran berlaku dengan perbincangan di antara pelajar yang dipengerusikan oleh guru.
Dengan banyak berusaha sendiri pelajar akan dapat menguasai ilmu dengan cepat dan baik.
294294294
3 - Kurang Latihan dan Soalan
Latihan dan soalan merupakan unsur utama dalam menjayakan proses pembelajaran. Ia
merupakan tunggak untuk mengetahui keberkesanan pembelajaran. Setiap period
pembelajaran hendaklah diadakan latihan dan soalan bagi menguji pencapaian pelajar.
Latihan dan soalan juga merupakan dorongan untuk pelajar terus belajar dan menanam
semangat untuk terus berjaya. Ia dapat merangsang dan mengaktifkan pelajar. Begitu juga ia
dapat membentuk sikap positif di kalangan pelajar (Abdul Alim Ibrahim, 1994).
Dalam proses pembelajaran di sekolah-sekolah di atas, latihan dan juga latihan
mengejut secara tiba-tiba bagi menguji kesediaan pelajar dalam mempelajari subjek mereka
kurang dijalankan. Soalan dalam kelas juga kurang dikemukakan kepada pelajar. Ini
mendorong pelajar kurangnya persiapan bagi subjek tersebut. Latihan dan latihan secara
mengejut perlu bagi memberi peluang kepada pelajar supaya sentiasa peka dengan subjek
yang dipelajarinya.
Begitu juga mengemukakan soalan secara rambang dalam kelas adalah perlu bagi
menilai kepekaan pelajar terhadap subjek yang dipelajari. Guru hendaklah sentiasa memberi
latihan kepada pelajar terhadap subjek yang dipelajarinya dan membetulkan latihan tersebut
bagi memberi pendedahan kepada pelajar terhadap kesalahan yang biasa dilakukan. Daripada
kesalahan ini pelajar akan dapat mempertingkatkan penguasaan ilmu mereka. Ujian mengejut
juga perlu bagi menyuntik kesedaran dan kepekaan terhadap subjek yang dipelajari. Pelajar
akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi ujian tersebut. Persoalan juga
hendaklah selalu dikemukakan oleh guru kepada pelajar di dalam kelas secara rambang bagi
menimbulkan minat dan perihatin mereka.
Bagi menjayakan aktiviti pembelajaran guru disarankan supaya memperbanyakkan
latihan kepada pelajar dan memperbaiki kelemahan mereka melalui latihan tersebut. Begitu
juga mereka hendaklah memperbanyakkan soalan yang dikemukakan kepada pelajar di dalam
kelas. Soalan ini akan dapat memberi perhatian dan juga kesedaran kepada pelajar untuk terus
belajar. Begitu juga ia dapat menambahkan pengetahuan dan usaha pelajar untuk terus
belajar.
4 - Kurang Penggunaan Alat Bantu Mengajar dan Bahan Bacaan Tambahan
Bagi menarik minat dan menambah pengetahuan dan penguasaan pelajar, alat bantu mengajar
hendaklah digunakan dan juga bahan bacaan luar hendaklah dipelbagaikan. Alat bantu
mengajar yang selalu digunakan oleh guru-guru di sekolah-sekolah tersebut ialah papan putih
295295295
atau hitam sahaja bagi menjelas dan menghuraikan subjek yang diajar. Penggunaan makmal
bahasa untuk meningkatkan penguasaan bahasa kurang digunakan. Begitu juga alat-alat ICT
bantu mengajar yang lain.
Pada hari ini ICT menjadi satu keperluan kepada semua lapisan masyarakat untuk
mendapat dan menyalurkan maklumat. Begitu juga ia menjadi satu keperluan dalam bidang
kehidupan moden hari ini seperti perniagaan, perdagangan, perindustrian, hiburan, perubatan
dan pentadbiran. Begitu juga keperluannya dalam bidang pendidikan tidak dinafikan (
Zainuddin Abu Bakar & dll, 2007) .
Di samping alat-alat bantu mengajar, bahan bacaan sampingan hendaklah
dipelbagaikan. Bahan-bahan tersebut boleh didapati melalui pelbagai sumber. Internet
merupakan sumber utama bagi mendapat pelbagai bahan bacaan. Guru hendaklah
menggalakkan pelajar mencari dan membaca bahan sampingan supaya dapat membantu
penguasaan bahasa mereka. Begitu juga terdapat pelbagai majalah yang membincangkan isu-
isu Islam semasa.
5 - Kurang Aktiviti
Bagi membantu pelajar untuk menguasai bahasa pelbagai aktiviti bahasa perlu diadakan.
Aktiviti ini dapat membantu pelajar untuk membina identiti diri dan jati diri. Ilmu yang
dipelajari hendaklah diperbahaskan bagi membina kemahiran komunikasi. Begitu juga
penggunaan bahasa boleh dicapai melalui aktiviti bahasa. Aktiviti ini boleh dijalankan
melalui aktiviti pembelajaran dalam kelas dengan mengadakan kumpulan. Begitu juga ia
boleh dijalankan melalui kuiz. Aktiviti juga boleh diadakan di luar kelas seperti perkhemahan
dan sebagainya. Begitu juga lakonan atau pementasan mempunyai faedah yang besar dalam
menyumbang kemahiran komunikasi dan kemasyarakatan. Aktiviti perdebatan juga banyak
membantu pelajar dalam membina pemikiran kritis dan kreatif.
Guru hendaklah banyak memainkan peranan dalam menjayakan aktiviti seperti ini.
Pelajar akan dapat menjayakannya melalui galakan guru. Setiap aktiviti hendaklah disertai
oleh pelajar yang berbeza bagi memberi peluang kepada mereka. Turut menjadi kegemaran
mereka aktiviti lawatan sambil belajar.
6 - Sikap Pasif Pelajar
Beberapa kekurang yang disebutkan di atas sebenarnya membentuk keperibadian atau sikap
pelajar yang pasif. Kurangnya aktiviti pembelajaran akan mendorong pelajar bersikap pasif.
296296296
Sikap ini tidak banyak membantu pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan. Mereka boleh
berjaya dalam peperiksaan dengan menghafal isi-isi penting. Sebaliknya mereka tidak
mampu untuk berdepan dengan dunia luar. Sikap ini dapat dilihat melalui tindakan pelajar
dalam kelas. Mereka hanya duduk mendengar pelajaran yang diajar oleh guru. Mereka tidak
banyak mengemukakan soalan, berinteraksi dengan guru dan sesama mereka, tidak membuat
persediaan untuk belajar dan tidak banyak bercakap dalam kelas khususnya membaca teks.
Sikap seperti ini membuatkan mereka tidak mahir menggunakan bahasa. Mereka akan
cuba mengelak sekiranya guru banyak bertanya. Sikap seperti ini juga tidak membantu
mereka dalam penguasaan Kemahiran Insaniah bahkan memburukkan lagi keadaan.
Kemahiran komunikasi pelajar turut lemah, khususnya berkomunikasi dengan menggunakan
bahasa Arab. Mereka lebih selesa berdiam diri dan menunggu pelajaran yang diberikan oleh
guru sahaja. Bagi mengatasi sikap seperti ini, proses pengajaran dan pembelajaran hendaklah
diubah dan dibentuk bagi membolahkan pelajar bersikap aktif. Ia boleh dibentuk melalui
proses pembelajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Kebanyakan aktiviti dalam proses
pembelajaran hendaklah dilakukan oleh mereka. Guru hanya berperanan sebagai fasilitator
sahaja.
Di samping itu juga, guru hendaklah banyak mengemukakan soalan kepada mereka
dan banyak memberi latihan berkala dan secara tiba-tiba. Pembentangan dan persembahan
daripada mereka hendaklah diberi keutamaan. Begitu juga aktiviti-aktiviti luar hendaklah
diperbanyakkan bagi membina kemahiran mereka. Dengan adanya perubahan pengajaran ini,
sikap pelajar akan dapat dibentuk dan Kemahiran Insaniah mereka akan dapat dibina dan
ditingkatkan (Rosni bin Samah, 2007).
7 - Kurang Komunikasi Bahasa Arab
Persekitaran yang tidak membantu dalam pembelajaran bahasa ialah tidak menggunakan
bahasa Arab dalam berkomunikasi. Persekiran berkomunikasi bahasa Arab hendaklah
diwujudkan bagi membantu penguasaan bahasa yang baik. Persekitaran ini boleh dibentuk
melalui penyampaian subjek di dalam kelas, perjumpaan pelajar dengan guru dan interaksi
sesama pelajar dan guru. Pelajar yang mempelajari bahasa akan dapat menggunakan bahasa
tersebut semasa berkomunikasi. Persekitaran ini akan dapat membantu pelajar bagi
memahirkan penggunaan bahasa dalam situasi yang berbeza.
Penggunaan bahasa Arab dalam proses pengajaran adalah penting bagi memahirkan
pelajar dengan bahasa. Pelajar yang selalu mendengar perkataan dan ayat yang sentiasa
297297297
digunakan oleh guru akan dapat menguasainya dengan lebih baik. Guru hendaklah
menggunakan bahasa Arab dalam kelas dan di luar kelas. Dengan penggunaan ini pelajar juga
akan turut menggunakannya. Dengan adanya penggunaan daripada kedua belah pihak,
suasana berkomunikasi dalam bahasa Arab akan dapat dihidupkan.
CADANGAN GURU
Bagi mengatasi masalah yang dihadapi di sekolah tersebut, penulis meminta pandangan
daripada guru yang terlibat dalam proses pembelajaran untuk dijadikan panduan dan rujukan
dalam penyelesaian masalah. Pandangan mereka turut diambil kira bagi menyatakan
pendekatan pengajaran yang boleh digunakan, kaedah yang paling banyak boleh digunakan,
kaedah yang terbaik yang pernah digunakan dan aktiviti P&P yang boleh digunakan seperti di
bawah (Rosni bin Samah, 2007):
1) Penggunaan papan putih secara aktif.
2) Memberikan nota kepada pelajar.
3) Memberi penerangan kepada pelajar tentang sasuatu tajuk dengan jelas.
4) Memberikan kerja berkumpulan dan pelajar diminta berbincang dan membuat
pembentangan.
5) Menggunakan ABM seperti LCD dan OHP.
6) Memberikan terjemahan supaya pelajar mudah memahami.
7) Memberi tugasan menghafal isi-isi penting kepada pelajar.
8) Memperbanyakkan aktiviti kokurikulum.
Cadangan guru bagi memberikan kerja berkumpulan dan pelajar diminta berbincang serta
membuat pembentangan mendapat pandangan tertinggi daripada guru-guru. Cadangan guru
bagi aktiviti pengajaran yang paling banyak boleh digunakan seperti di bawah (Rosni bin
Samah, 2007):
1) Perbanyakkan soal jawab di antara guru dan pelajar.
2) Guru memberikan penerangan secara mendalam.
3) Perbincangan antara pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan guru.
4) Para pelajar membuat pembentangan di hadapan kelas.
5) Kerja berkumpulan untuk menjawab soalan.
6) Latih tubi soalan-soalan format peperiksaan.
298298298
7) Menggunakan ABM seperti LCD dan OHP untuk menarik perhatian pelajar agar tidak
bosan dan mengantuk di dalam kelas.
CADANGAN PELAJAR
Pandangan dan cadangan pelajar turut diambil kira bagi menjayakan aktiviti pembelajaran
yang berkesan. Antaranya ialah aktiviti berkumpulan dalam kelas yang dijalankan dan aktiviti
luar yang disertai. Cadangan pelajar bagi aktiviti pengajaran yang berkesan bagi mereka ialah
(Rosni bin Samah, 2007):
1) Komunikasi menggunakan bahasa Arab
2) Perbincangan antara sesama pelajar dan pelajar dengan guru
3) Membuat latih tubi soalan-soalan format peperiksaan
4) Pembentangan di hadapan kelas
5) Guru memberi penerangan secara mendalam
6) Menghafal perkataan, istilah bahasa Arab dengan maknanya dan isi-isi penting.
7) Membuat nota sendiri
8) Menggunakan bahan interaktif seperti CD dan VCD
PENUTUP
Bagi mengembalikan kegemilangan pangajaran bahasa Arab di sekolah agama khususnya,
hala tuju perlu dilihat semula supaya pelajar yang dilahirkan dapat memenuhi tuntutan
semasa dan dapat bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Perubahan dan
penambahbaikan boleh dibuat dalam beberapa sudut-sudut seperti sukatan, P&P, pelajar,
guru, pentadbiran dan prasarana.
Komen dan saranan yang diperolehi daripada guru-guru bagi memperbaiki proses
P&P adalah seperti di bawah (Rosni bin Samah, 2007):
1) Proses P&P harus dipelbagaikan supaya lebih menarik minat pelajar.
2) ABM interaktif seperti CD dan VCD harus diadakan seperti subjek-subjek lain.
3) Subjek pengajian Islam dan bahasa Arab perlukan penilitian yang mendalam dan juga
penyusunan semula agar bersesuaian dari semasa ke semasa.
4) Tenaga pengajar harus diberikan kursus tentang cara-cara mempelbagaikan P&P.
5) Sukatan pelajaran terlalu banyak dan membebankan pelajar.
6) Jam mengajar bagi subjek ini perlu ditambahkan dalam seminggu.
299299299
7) Para pelajar perlu diberi dorongan untuk pembentangan dan berkomunikasi dalam
bahasa Arab.
Saranan tertinggi yang diberikan ialah ABM interaktif seperti CD dan VCD harus
diadakan seperti subjek-subjek lain. Komen dan saranan turut juga diperolehi daripada pelajar
seperti di bawah (Rosni bin Samah, 2007):
1) Cara guru mengajar subjek ini perlu diperbaiki.
2) Penggunaan bahan interaktif harus diambil kira.
3) Aktiviti yang menarik minat pelajar perlu dipelbagaikan.
4) Bahan rujukan perlu diperbanyakkan di pasaran.
5) Penerangan lebih mendalam beserta contoh sangat perlu.
6) Pelajar perlu lebih banyak membuat latihan untuk menambah kemahiran.
Hasil daripada kajian menunjukkan bahawa aktiviti pengajaran perlu diperbaharui dan
dipelbagaikan bagi menarik minat pelajar. Ia perlu kepada pemurnian bagi menjamin
pencapaian pelajar yang lebih baik lagi. Beberapa isu bekaitan dengan aktiviti tersebut turut
ditimbulkan seperti proses pengajaran banyak berpusat kepada guru, kurang bahan rujukan,
alat bantu mengajar tidak mencukupi, guru banyak menterjemah, aktiviti kurang dijalankan
dan latihan perlu diperbanyakkan. Bagi meningkatkan lagi proses pengajaran dan
pembelajaran, penyelesaian kepada masalah yang ditimbulkan di atas perlu dicari. Pihak
terlibat perlu memberi pendekatan yang sewajarnya bagi mengatasi isu-isu tersebut supaya
pengajaran bahasa Arab dapat diperkasakan untuk melahir generasi yang dapat berinteraksi
dalam arus perdana pendidikan dan pasaran kerja.
RUJUKAN
Al Naqah, Mahmud Kamil, 1985, Ta’lim al Lughah al Arabiyyah Linnatiqina Biha,
Universiti Ummul Qura. Saudi.
Abdul Alim Ibrahim, 1994, Al-Muwajih al-Fanni Limudarrisi al-Lughah al-Arabiyyah, Darul
Ma’arif, Kaherah.
Abdul Razah Wan Ahmad, t.t, Al Lughah al Arabiyyah fi Malayzia Ba’dal Istiqlal 1957-
1978, Tesis Master, Fakulti Sastera, Universiti Iskandariyyah, Mesir.
Abdul Talib Ahmad & Firdaus Ahmad Azzam, 2003, Kolej Islam Kelang, KIK, Kelang.
300300300
Abdullah Jusuh,1989, Pengenalan Tamadun Islam Di Malaysia, DBP, Kuala Lumpur.
Ahmad Jelani Halimi. 1996, Kemasukan Islam Ke Kedah, Dalam Dokumentasi Konvensyen
Sejarah Kedah Darul Aman Kedua: Islam Di Kedah Darul Aman, Majlis Kebudayaan
Negeri Kedah. Alor Star. Badruddin Haiyi al Sini, 1950, Al Alaqah Bainal Arab Wassin, Maktabah al Nahdhah al
Masriyyah, Kaherah.
Ismail Hamid. 1991, Masyarakat Dan Budaya Melayu, DBP, Kuala Lumpur.
Rosni bin Samah. 2007. Pendekatan Pengajaran Bahasa Arab di Sekolah-Sekolah Agama,
Prosiding Seminar Penyelidikan Dalam Pengajian Islam Ke 4 2007, Fakulti Pengajian Islam, UKM Bangi.
Talib Samad, 1992, Syed Syeikh Al Hadi: Sasterawan Progresif Melayu, DBP, Kuala
Lumpur.
Zainuddin Abu Bakar, Muhamad Rashid Rajudin, Mohd Ali Ibrahim, Nurhusna Abdul Wahid
dan Zainuddin Hassan,2007, Kemahiran ICT Di Kalangan Guru Pelatih IPTA
Malaysia, Shah Alam, Arah Publications.