definisi, pendapat kurikulum.doc

32
TUGASAN : 1) PEMBENTANGAN 17 MAC 2010 : 2) PENULISAN ILMIAH 26 MAC 2010 TAJUK : APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KURIKULUM? BINCANGKAN PENDAPAT DAN PANDANGAN TENTANG KURIKULUM. NAMA : 1) UMMUKULSUM BINTI SHAPIE 2) AHMAD FAUZI BIN SIHABUDDIN 3) NURUL FARHANA BINTI SAPA’E 4) NURUL IKHSAN BINTI SOIF 5) NORALIZA BINTI JAMRI FAKULTI : SENI DAN MUZIK JABATAN : TEKNIK DAN VOKASIONAL TEMPAT : DEWAN TAMAN BERNAM 8,UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI) SEMAKAN : ENCIK KAMARUL AZMAN BIN ABD. SALAM

Upload: alisetan

Post on 21-Jan-2016

77 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

DEFINISI KURIKULUM DAN PENDAPAT KURIKULUM

TRANSCRIPT

Page 1: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

TUGASAN : 1) PEMBENTANGAN 17 MAC 2010

: 2) PENULISAN ILMIAH 26 MAC 2010

TAJUK : APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KURIKULUM? BINCANGKAN PENDAPAT DAN PANDANGAN TENTANG KURIKULUM.

NAMA : 1) UMMUKULSUM BINTI SHAPIE

2) AHMAD FAUZI BIN SIHABUDDIN

3) NURUL FARHANA BINTI SAPA’E

4) NURUL IKHSAN BINTI SOIF

5) NORALIZA BINTI JAMRI

FAKULTI : SENI DAN MUZIK

JABATAN : TEKNIK DAN VOKASIONAL

TEMPAT : DEWAN TAMAN BERNAM 8,UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)

SEMAKAN : ENCIK KAMARUL AZMAN BIN ABD. SALAM

Page 2: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

NAMA DAN KOD KURSUS

ASUHAN DAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

(SHV 4193)

KUMPULAN KULIAH

A

KUMPULAN

7

TUGASAN KUMPULAN

TAJUK :

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KURIKULUM?

BINCANGKAN PENDAPAT DAN PANDANGAN TENTANG KURIKULUM

NAMA : AHMAD FAUZI B. SIHABUDDIN

NURUL FARHANA BINTI SAPA’E

NURUL IKHSAN BINTI SOIF

UMMUKULSUM BINTI SHAPIE

NORALIZA BINTI JAMRI

NAMA PENSYARAH :

EN. KAMARUL AZMAN BIN ABD SALAM

1

Page 3: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

ISI KANDUNGAN

BIL PERKARA MUKA SURAT

1.0 PENGENALAN ....................................... 2-3

2.0 DEFINISI KURIKULUM ........................................... 4-6

3.0 MAKSUD PERUBAHAN DALAM

KURIKULUM............................................................ 6-10

4.0 PENDAPAT PAKAR DAN TOKOH

MENGENAI KURIKULUM AWAL

KANAK-KANAK ................................................ 11-16

5.0 KURIKULUM AWAL KANAK-KANAK

YANG TERDAPAT DI MALAYSIA ......................... 17-18

6.0 KESIMPULAN ........................................................ 20

7.0 BIBLIOGRAFI ........................................................ 21

2

Page 4: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

1.0 PENGENALAN

Pengalaman kanak-kanak pada peringkat awal mempengaruhi pembelajaran dan

perkembangan mereka seterusnya. Pengalaman yang dilalui merangkumi semua aspek

perkembangan iaitu fizikal, intelek, bahasa, sosial, emosi dan nilai. Apabila salah satu

aspek perkembangan diketepikan, adalah sukar bagi mereka mengatasi kelemahan itu

kerana mereka sudah jauh ketinggalan dalam perkembangan tersebut. Oleh yang

demikian, kurikulum kanak-kanak pada peringkat awal perlu seimbang dan memberi

peluang kepada kanak-kanak mencapai perkembangan yang menyeluruh (Rohani

Abdullah et.al 2004).

Kurikulum merupakan satu perkataan yang tidak asing lagi terutamanya dalam

dunia pendidikan. Terdapat pelbagai andaian dan definisi yang boleh dibuat

berdasarkan perkataan ini kerana kurikulum mempunyai pengertian yang sangat luas.

Menurut kajian Kamarudin & Siti Hajar (2004), kurikulum sebenarnya berasal daripada

perkataan Latin ‘curere’ yang bermaksud ‘laluan’ atau ‘jejak’. Dalam bahasa Inggeris

pula kurikulum membawa maksud ‘jelmaan’. Paduan daripada kedua-dua kata ini telah

menghasilkan kurikulum yang bermaksud laluan dari satu peringkat ke satu peringkat.

Dalam sejarah perkembangan pendidikan awal kanak-kanak, pengaruh dan

tokoh-tokoh awal kanak-kanak, pada masa dahulu dan masa kini mempunyai implikasi

pada keputusan pendidik dalam memilih kurikulum dan strategi pengajaran. (Brewer

1992) Pengaruh Islam dalam pendidikan awal kanak-kanak juga perlu diberi penekanan

dan keutamaan menerusi kurikulum dan strategi pengajaran (Nor Hashimah Hashim

dan Yahya Che Lah 2003).

3

Page 5: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

.

Memandangkan kurikulum mempunyai pengertian yang luas, maka banyak

definisi yang boleh dibuat berdasarkan perkataan ini. Namun, sehingga ke hari ini ahli

pendidikan masih belum mencapai kata sepakat dalam memberikan definisi tentang

perkataan ini. Justeru, pelbagai definisi telah diberikan oleh beberapa golongan yang

cerdik pandai untuk menghuraikan maksud sebenar perkataan kurikulum ini.

Kepelbagaian definisi ini wujud dalam kalangan pengkaji kerana latar belakang yang

berbeza daripada pelbagai segi seperti etnik, bahasa serta kebudayaan (Kamarudin &

Siti Hajar 2004).

Manakala pengertian menurut pandangan Hilda Taba dalam bukunya Curriculum

Development menyatakan bahawa ”curriculum is,after all,a way of preparing young

people to participate as productive members of our culturer” (Taba, 1962). Hal ini,

kurikulum yang dibina boleh membawa kepada persediaan pelajar dalam kehidupan

sosial secara produktif. Kurikulum didefinisikan sebagai pelajaran yang diajarkan di

sekolah, Menurut Nasution 1993 kurikulum ialah pelajaran yang harus di hadapi oleh

siswa untuk ke peringkat lebih tinggi (ijazah). Pengertian kurikulum merujuk kepada

kegiatan pendidikan yang berbentuk interaksi akademik antara pelajar, guru, sumber

dan persekitaran (Ahmad Sudrajat, 2008).

4

Page 6: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

2.0 DEFINISI KURIKULUM

Kurikulum pada dasarnya berasal daripada perkataan curere yang merupakan

perkataan latin yang membawa maksud jejak atau laluan. Selain itu, kurikulum dalam

bahasa inggeris memberi maksud jelmaan. Kurikulum dapat didefinisikan sebagai skop

dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah, senarai kesemua mata pelajaran

(kursus pengajian) di sekolah dan institusi pendidkan (Kamus Dewan Edisi Keempat

2007). Manakala definisi kurikulum mengikut Kamus Pelajar Edisi Kedua ialah semua

mata pelajaran yang diajar di sekolah, kolej dan lain-lain institusi pendidikan. Merujuk

kepada definisi tersebut, jika sesuatu program pendidikan hendak dirancang dan

bertujuan untuk mendapatkan kemajuan yang berterusan diperlukan, maka konsep

tentang sesuatu kurikulum adalah amat penting untuk dijadikan landasan kepada

perlaksanaan sesuatu kurikulum tersebut (Ralph W. Tyler 1990).

Terdapat pelbagai definisi terhadap kurikulum yang diberikan oleh pakar-pakar

dan pengkaji. Sesetengah pengkaji berpendapat kurikulum merupakan satu

pengalaman. Menurut Neagly dan Evans dalam Kamaruddin Hj. Husin dan rakan-rakan

(2004) kurikulum ialah semua pengalaman yang dirancang dan dikemukakan oleh pihak

sekolah yang bertujuan untuk membimbing murid memperoleh hasil pembelajaran yang

telah ditetapkan mengikut keupayaan masing-masing. Saylor dan Alexander

mendefinisikan kurikulum sebagai rancangan dalam menyediakan kesempurnaan

pembelajaran bagi mencapai tujuan secara menyeluruh dan objektif yang spesifik.

Kurikulum dapat dibahagikan kepada dua reka bentuk kurikulum iaitu reka

bentuk kurikulum yang berasaskan standard dan kurikulum berbentuk modular.

5

Page 7: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

Kurikulum yang berbentuk standard adalah berasaskan standard kandungan dan

standard pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid. Manakala kurikulum yang

berbentuk modular mengandungi kandungan yang telah diorganisasi dan disampaikan

dalam bentuk bahagian atau unit dan bahagian unit inilah yang dinamakan modul.

(Kementerian Pelajaran Malaysia 2009).

Oleh yang demikian, Kurikulum Prasekolah Kebangsaan dibangunkan

berasaskan kedua-dua rekabentuk kurikulum tersebut. Tujuan utama penetapan

standard dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan adalah untuk ekuiti dan kualiti.

Peluang pendidikan yang sama akan diberikan kepada semua murid untuk tujuan ekuiti

bagi penetapan standard pendidikan prasekolah. Kualiti pula membawa maksud

bahawa semua murid perlu diberi pendidikan yang berkualiti. Standard kandungan

merupakan pernyataan spesifik tentang perkara yang murid perlu ketahui dan boleh

dilakukan dalam suatu tempoh persekolahan yang merangkumi aspek pengetahuan,

kemahiran dan nilai. Manakala aspek pembelajaran pula adalah merupakan satu

penetapan kriteria atau indikator pencapaian dalam bentuk objektif tingkahlaku

(behavioural) untuk memastikan pencapaian setiap standard kandungan (Kementerian

Pelajaran Malaysia 2009).

Dengan ini, kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan

(Kurikulum PERMATA Negara) dijadikan Kurikulum Kebangsaan. Skop yang

terkandung di dalam Kurikulum PERMATA adalah meliputi 6 bidang pembelajaran dan

mengandungi aspek pengasuhan yang lengkap iaitu perkembangan sosio-emosi,

sahsiah dan kerohanian, perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi awal,

6

Page 8: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

perkembangan pra-matematik dan pemikiran logik, perkembangan deria dan

pemahaman dunia persekitaran, perkembangan fizikal dan kemahiran mengurus diri,

perkembangan estetika dan daya kreatif serta aspek pengasuhan yang meliputi aspek-

aspek keselamatan, pemakanan seimbang, penjagaan bayi dan kanak-kanak dan

amalan pengasuhan.

Manakala kurikulum yang berbentuk modul mengandungi dua jenis modul iaitu

Modul Asas dan Modul Bertema. Modul Asas pula terdiri daripada Komponen Bahasa

(Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil) Pendidikan Islam,

Pendidikan Moral, Permainan Luar dan Matematik. Modul Bertema pula merupakan

modul bersepadu yang mengandungi unsur-unsur dalam keenam-enam tunjang dan

unsur kreatif, kritis dan inovatif. Modul Bertema ini juga dibina dengan menggunakan

isu kehidupan seharian kanak-kanak (Kementerian Pelajaran Malaysia 2009).

3.0 PERUBAHAN DALAM KURIKULUM

Perubahan dalam kurikulum bermakna kurikulum itu boleh diubah kepada yang lebih

baik ataupun mungkin kepada yang lebih buruk lagi. Ini disebabkan konsep perubahan

kurikulum membawa erti yang umum dan tidak khusus. Memanglah tidak boleh kita

terima hakikat bahawa sesuatu perubahan itulah yang membawa kepada yang lebih

buruk lagi. Tetapi ini tidak pula bermakna yang ianya tidak boleh berlaku ataupun

dilakukan (Razali Arof 1991).

7

Page 9: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

Setiap perubahan yang dilaksanakan mempunyai objektif dan bentuknya

tersendiri. Ini bermakna bahawa ahli-ahli pembentuk kurikulum perlu mengetahui tujuan

dan bentuk perubahan yang hendak dilakukan. Apabila kita berbincang mengenai

tujuan dan bentuk perubahan, sebenarnya kita menyentuh tentang jenis-jenis

perubahan. Dalam bidang literatur terdapat sekurang-kurangnya empat jenis

perubahan. Perubahan tersebut adalah perubahan bercorak hemeostatik,

perkembangan, neomobilistik dan metamorphistik.

Perubahan homeostatik adalah perubahan yang dibuat tanpa memasukkan

elemen-elemen pembaharuan yang bermakna. Perubahan yang dibuat hanyalah

pertukaran atau gentian-gantian yang biasa sahaja (Razali Arof 1991). Contohnya ialah

Guru Besar B menggantikan Guru Besar A disebabkan Guru Besar A telah bersara.

Demikianlah keadaan seterusnya supaya semua aktiviti yang terlibat dapat berjalan

seperti biasa. Dengan kata lain, perubahan jenis homeostatik ini membawa perubahan

yang berciri atau bersifat kebiasaan.

Perubahan perkembangan bererti wujudnya unsur atau elemen perubahan

dalam sesuatu kurikulum itu tetapi perubahan itu adalah bercorak pembaharuan kepada

yang lama dan dalam konteks bentuk kurikulum yang telah dibentuk. Ini bermakna ciri-

ciri dan sifat-sifat kurikulum yang ada masih dikekalkan. Cuma yang berubah mungkin

dari segi teknik yang digunakan ataupun alat-alat yang digunakan. Selalunya

perubahna jenis perkembangan ini dilaksanakan untuk mengatasi aktiviti-aktiviti yang

lemah setelah dikenal pasti. Contohnya perubahan dalam isi disebabkan cara-cara

yang digunakan dalam pemilihan isi itu didapati telah tidak sah. Ataupun penukaran

8

Page 10: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

dalam beberapa objektif kurikulum tersebut disebabkan kaedah yang digunakan untuk

memilih atau mengenal pasti objektif-objektif untuk kurikulum itu adalah tidak tepat.

Dalam keadaan seperti contoh di atas, maka sesuatu kurikukum itu akan diubah bagi

mewujudkan pembaharuan untuk menjadikan sesuatu kurikulum itu lebih berkesan

(Razali Arof 1991).

Seperti juga dengan perubahan perkembangan, perubahan neomobilistik juga

membawa unsur atau elemen pembaharuan kepada kurikulum itu. Tetapi ia berbeza

dengan perubahan perkembangan disebabkan perubahan neomobilistik wujud

berdasarka faktor-faktor luaran seperti perkembangan ilmu dan penemuan teori baru

serta prinsip baru. Dengan demikian, idea-idea atau pengetahuan baru itu sudah

tentulah perlu diambil kira atau dimasukkan ke dalam kurikulum yang ada. Kalau

perubahan itu tidak dilakukan, kurikulum tersebut tidak akan membawa faedah kerana

ia mengandungi idea-idea yang tidak boleh diterima lagi. Dengan demikian kurikulum

tersebut perlu diubah atau lebih tepat diperbaharui dengan memberi perhatian atau

memasukkan idea-idea yang baru ke dalamnya (Razali Arof 1991). Oleh itu, kurikulum

tersebut akan selari dengan keadaan semasa serta lebih berfaedah. Namun demikian,

perlulah diingat bahawa perubahan neomobilistik ini tidak membawa pembaharuan

yang sangat besar kepada kurikulum.

Perubahan metamorphistik pula wujud disebabkan oleh kemasukan idea-idea

baru kepada kurikulum. Perubahan metamorphistik membawa perubahan yang sangat

besar kepada sesuatu kurikulum sehingga sekurang-kurangnya sebahagian besar

daripada elemen-elemen dalam kurikulum itu terpaksa ditukar. Bukan sahaja bahagian

9

Page 11: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

rasional dan objektifnya perlu diperbaharui, tetapi juga isi kurikulum tersebut,

pendekatan dalam penyusunan isi, pengajaran dan penilaian kurikulum juga perlu

diperbaharui sesuai dengan kehendak baru mengenai fungsi dan objektif pendidikan

(Razali Arof 1991).

Terdapat berbagai-bagai faktor yang membawa kepada perubahan sesuatu

kurikulum. Kadang-kadang faktor-faktor itu bergerak sendirian dan kadang-kadang

bergabung. Antara faktor-faktor itu ialah kewujudan atau perkembangan ilmu-ilmu yang

baru. Seperti yang kita maklum, kedudukan ilmu adalah sentiasa berkembang. Kita

sering terbaca dalam akhbar, majalah atau mendengar melalui radio atau melihat

melalui kaca televisyen tentang berbagai-bagai ilmu baru telah berjaya ditemui oleh

para saintis terutamanya mengenai berbagai-bagai aspek yang bersangkutan dengan

kehidupan seharian. Kurikulum yang telah dibentuk perlulah sentiasa dikemaskini

supaya dengan demikian pelajar-pelajar atau penerima kurikulum itu akan mempelajari

ilmu-ilmu yang mutakhir dan tidak mempelajari ilmu yang sudah ketinggalan zaman

atau lapuk yang tidak boleh digunakan lagi.

Seterusnya ialah kehendak masyarakat yang berubah. Kehendak masyarakat

bukan sahaja bermacam ragam tetapi sentiasa berubah. Begitu juga dengan keadaan

sesuatu benda, tidak ada yang kekal dan pasti mengalami perubahan. Itulah sebabnya

kehendak yang timbul pada suatu zaman itu berbeza dengan zaman yang sebelumnya

atau yang akan datang. Banyak perkara yang boleh mempengaruhi perubahan dalam

kehendak masyarakat. Misalnya elemen pendewasaan ahli-ahli masyarakat itu sendiri.

Kehendak pelajar remaja adalah berbeza dengan kehendak pelajar di peringkat kanak-

10

Page 12: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

kanak. Dengan itu kurikulum yang dibentuk untuk kanak-kanak perlulah diperbaiki

sekiranya kurikulum tersebut ingin pula diberikan kepada pelajar-pelajar yang telah

dewasa.

Perubahan kurikulum juga boleh berlaku disebabkan oleh perkembangan

dasar kerajaan. Sebagai contoh, di Malaysia beberapa tahun yang lalu, Bahasa

Inggeris menjadi bahasa perantara di pejabat kerajaan dan swasta, dan juga bahasa

pengantar dikebanyakan sekolah khususnya sekolah Inggeris. Tetapi menjelang tahun-

tahun 1970-an, pihak kerajaan telah mengesyorkan penggunaan Bahasa Melayu

menjadi bahasa rasmi, bahasa urusan, bahasa perhubungan dan juga bahasa

pengantar dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti (Hendyat

Soetopo dan Wasty Soemanto 1991).

Selain itu, idea-idea baru yang diperkenalkan ke dalam bidang pendidikan

juga boleh mendorong ahli-ahli pembentuk kurikulum melakukan perubahan terhadap

kurikulum yang telah sedia ada. Seterusnya, kurikulum itu juga boleh dilakukan

perubahan dengan memperkenalkan pendekatan dalam bidang-bidang lain ke dalam

bidang pendidikan. Contohnya, ilmu-ilmu dalam bidang penilaian diperkenalkan ke

dalam bidang kurikulum bagi meningkatkan lagi keberkesanan proses perkembangan

kurikulum. Keadaan ini sudah tentulah boleh mencetuskan usaha bagi memperbaharui

kurikulum yang sedia ada.

11

Page 13: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

4.0 TOKOH KURIKULUM KANAK-KANAK PERINGKAT AWAL

Terdapat pelbagai falsafah dan pendekatan bagi mengendalikan pengajaran dan

pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal. Ahli falsafah yang mempengaruhi

pembentukkan untuk kanak-kanak pada peringkat awal antaranya terdiri daripada John

Comenius, Jean-Jacques Rousseau, Johann Heinrich Pestalozzi, Friedrich Froebel,

Maria Montessori, Rachel dan Margaret McMillan, Jean Piaget, Howard Gardner dan

Lev Semanovich Vygotsky.

Comenius dilahirkan di Moravia dalam wilayah Czechoslovakia dan merupakan

salah seorang menteri. Beliau banyak menghabiskan masa berkhidmat sebagai paderi,

mengajar di sekolah dan menulis. Di antara bukunya ialah The Great Didactic dan The

Orbis Pictus (The World in Picture), yang dianggap sebagai buku bergambar yang

pertama untuk kanak-kanak (Azizah 2002). Menurut Comenius (1592-1670) dalam

Rohani Abdullah et.al (2004), mempercayai semua kanak-kanak perlu menghadirikan

diri ke sekolah. Mereka belajar berkomunikasi melalui aktiviti lisan, menulis melalui

aktiviti penulisannya dan berfikir melalui aktiviti yang membenarkan mereka berfikir dan

belajar secara aktif.

Rousseau (1712-1778), melihat perkembangan kanak-kanak sebagai suatu

proses yang tidak boleh dipaksa ataupun dikawal. Menurut Rousseau, pendidikan

kanak-kanak ada kaitan dan berasaskan ciri-ciri semula jadi kanak-kanak. Berdasarkan

teori beliau, perkembangan kanak-kanak berlaku secara berperingkat iaitu yang

pertama kanak-kanak yang baru lahir hingga lima tahun belajar melalui aktiviti fizikal

12

Page 14: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

dan kedua kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun belajar melalui penerokaan

persekitaran dan pengalaman (Rohani Abdullah et.al 2004).

Kanak-kanak perlu dibesarkan mengikut rentak ada kala laju, ada kala lambat

dan mengikut kebolehan semula jadi mereka. Peranan guru adalah menyokong

kecenderungan perkembangan seseorang kanak-kanak, tanpa menukar arah

kecenderungan ini. Guru boleh menggalakkan perkembangan semulajadi kanak-kanak

dengan menyediakan persekitaran yang kaya dengan pengalaman di samping memberi

kasih sayang, penerimaan dan kemesraan (Rohani Abdullah et.al 2004).

Menurut Pestalozzi (1746-1827) dalam Rohani Abdullah et. al (2004), yang

terpengaruh dengan falsafah Rousseau, juga menyarankan pendidikan awal kanak-

kanak adalah berasaskan persekitaran semula jadi. Beliau berusaha menghapuskan

pendekatan pengajaran melalui hukuman dan pembelajaran berbentuk penghafalan.

Oleh itu Pestalozzi bendapat, kanak-kanak perlu mengambil bahagian dalam aktiviti

yang bermakna dan berasaskan pengalaman hidup yang sebenar. Kaedah pengajaran

Pestalozzi menitikberatkan penerokaan melalui pengalaman deria. Cara terbaik untuk

kanak-kanak belajar adalah melalui pengalaman merasa, menghidu, menyentuh,

mendengar dan melihat. Contohnya, proses pembelajaran kanak-kanak adalah

melibatkan aktiviti seperti melihat , menyentuh, dan menghidu bau bunga mawar

melalui deria memberi impak yang lebih berkesan kepada kanak-kanak jika

dibandingkan dengan aktiviti pengajaran melalui gambar ataupun perbualan sahaja.

Beliau juga menggalakkan aktiviti yang berbentuk kumpulan yang terdiri daripada

kanak-kanak yang berbeza dari segi umur. Dalam kumpulan, kanak-kanak yang lebih

13

Page 15: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

besar dapat membantu kanak-kanak yang lebih kecil. Pada masa yang sama, untuk

mengajar kanak-kanak yang kecil dalam sesuatu kemahiran, kanak-kanak yang besar

merasa terdorong untuk mengukuhkan penguasaan mereka dalam kemahiran tersebut.

Bagi tokoh kurikulum yang seterusnya pula ialah Montessori yang merupakan

wanita pertama yang berkelulusan dalam bidang perubatan dari sebuah universiti di

Itali. Pada tahun 1906, beliau menubuhkan satu sekolah untuk kanak-kanak istimewa,

yang terkenal sebagai Sekolah Montessori. Montessori menyokong pendapat Froebel

dengan membenarkan kanak-kanak belajar melalui aktiviti bermain. Menurut beliau,

dalam keadaan bermain, kanak-kanak sebenarnya ‘bekerja’ bersungguh-sungguh bagi

menguasai sesuatu kemahiran. Seperti Pestalozzi , beliau juga menyarankan supaya

kanak-kanak digalakkan menggunakan alat deria yang sedia ada pada mereka bagi

meneroka persekitaran dan menambah pengetahuan mereka (Rohani Abdullah et. al

2004).

Montenssori mempercayai kanak-kanak akan menunjukkan minat kepada

sesuatu aktiviti pembelajaran apabila mereka cukup matang dan bersedia

mempelajarinya. Guru merupakan pemudah cara dalam proses pembelajaran kanak-

kanak. Guru menyokong kanak-kanak apabila mereka menunjukkan kesediaan

mempelajari sesuatu, suka bertanyakan soalan-soalan kepada guru dan bertindak

untuk membantu kanak-kanak jika bantuan diperlukan.

Montessori mengemukakan beberapa konsep asas dalam pembentukkan

kurikulum kanak-kanak pada peringkat awal. Antara konsep berikut iaitu minda yang

mudah menyerap, persekitaran yang tersedia, didikan diri, bahan pembelajaran,

14

Page 16: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

tempoh sensitif. Menurut Montessori dalam Rohani Abdullah et. al (2004), minda

kanak-kanak mudah menyerap sesuatu maklumat yang diterima melalui deria mereka,

sebelum mereka bersedia untuk menerima pengajaran daripada guru. Manakala

konsep persekitaran yang tersedia pula menggalakkan perkembangan kanak-kanak.

Oleh itu, persekitaran yang lengkap dengan pelbagai bahan yang akan menyokong

pembentukkan konsep dan pengetahuan kanak-kanak perlu disediakan.

Berkenaan tentang konsep didikan diri, Montessori berpendapat kanak-kanak

mampu menjelaskan persepsi mereka dan menyusun pengalaman melalui aktiviti yang

sesuai apabila persekitaran mereka disusun secara lengkap dengan pelbagai bahan

pembelajaran yang baik. Kanak-kanak berkebolehan menyusun pengetahuan mereka

apabila mereka terlibat dengan sesuatu aktiviti. Melalui konsep bahan pembelajaran

pula, terdapat empat jenis bahan pembelajaran yang telah dikemukakan oleh

Montessori. Empat bahan pembelajaran tersebut ialah bahan untuk latihan dalam

kemahiran hidup, bahan sensori, bahan akademik dan bahan seni dan budaya.

Tempoh sensitif pula adalah tempoh yang paling sesuai untuk kanak-kanak

menguasai sesuatu kemahiran. Tempoh tersebut dapat di kesan apabila kanak-kanak

menunjukkan kesediaan dan minat bagi mempelajari sesuatu kemahiran dengan

sentiasa bertanyakan soalan dan sentiasa tertarik untuk memerhati dan menyentuh

sesuatu bahan pembelajaran.

Froebel (1782-1852) dalam Rohani Abdullah et. al 2004), berpendapat semua

benda dalam dunia berfungsi memenuhi kehendak tuhan. Setiap manusia juga

berfungsi memenuhi kehendak ini. Menurut beliau, pendidikan membimbing manusia ke

15

Page 17: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

arah memahami dan menerima diri sendiri, serta menyatukannya dengan alam semula

jadi dan tuhan.

Froebel percaya proses pembelajaran yang paling berkesan adalah sesuatu

yang berlaku dalam keadaan yang menggembirakan. Bermain adalah suatu aktiviti

pilihan sendiri untuk kanak-kanak. Apabila kanak-kanak memilih sesuatu aktiviti

bermain, mereka pasti akan memilih sesuatu yang menggembirakan. Beliau

menegaskan dua ciri yang penting dalam pembentukkan kurikulum kanak-kanak pada

peringkat awal iaitu kebebasan dan kreativiti.

Setiap kanak-kanak itu unik. Oleh yang demikian, mereka harus diberi

kebebasan memilih aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan

semasa dan minat mereka. Apabila mereka dibenarkan membuatkan pilihan sendiri ini,

mereka lebih cenderung menghasilkan sesuatu yang istimewa dan mengalami proses

pembelajaran yang bermakna. Menurut Froebel dalam Rohani Abdullah et. al (2004)

bagi mengajar kanak-kanak secara berkesan, seseorang guru perlu menarik minat dan

perhatian kanak-kanak. Apabila perhatian dan perasaan ingin tahu kanak-kanak terusik,

secara tidak langsung mereka terdorong belajar sesuatu yang baru misalnya aktiviti

menghafal lagu atau pun puisi dapat membantu kemahiran berbahasa.

Selain daripada ahli pemikir dan cendikiawan di barat, Islam sendiri tidak

ketinggalan dalam memberi panduan dari segi bimbingan dan pendidikan kanak-kanak

pada peringkat awal. Islam menekankan perkembangan seseorang kanak-kanak itu

secara seimbang dari segi duniawi mahupun segi ukhrawi. Terdapat ramai pemikir

Islam yang memberi sumbangan dalam pendidikan, terutama pendidikan awal kanak-

16

Page 18: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

kanak. Pandangan Islam dalam pembentukkan kurikulum jelas sekali termaktub dalam

pesanan Saidina Ali ra. yang bermaksud,”didiklah anak-anakmu supaya mereka boleh

hidup di zaman yang amat berlainan sekali dengan zamanmu”.

Antara pandangan tokoh Islam ialah menurut Iman al-Ghazali dalam Rohani

Abdullah et. al (2004), yang menekankan bahawa kanak-kanak perlu didik sejak lahir

dan mengenal huruf, menulis dan membaca. Pendidikan agama diberi berlandaskan al-

Quran dan hadis yang bertujuan untuk membentuk keperibadian yang mulia. Selain itu,

latihan jasmani ditekankan oleh Iman Al-Ghazali bagi membina kekuatan tubuh badan,

kecerdasan minda dan mengelakkan kemalasan. Kanak-kanak dilatih mengamalkan

budi pekerti yang mulia dan tabiat yang baik.

Ibnu Khaldun berpendapat kanak-kanak perlu menggunakan pancaindera dan

diberi contoh yang mudah dan konkrit dalam pembelajaran mereka, perlu didedahkan

dengan contoh teladan yang baik, diajar membaca al-Quran sebelum menghafalnya,

menerima bimbingan dengan lemah lembut bukan melalui kekerasan dan mudah keliru

apabila diajar dua perkara dalam masa yang sama. Oleh yang demikian, hanya ajar

satu perkara pada satu jangka masa (Rohani Abdullah et. al 2004).

17

Page 19: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

5.0 KURIKULUM AWAL KANAK-KANAK YANG TERDAPAT DI MALAYSIA

Di Malaysia kurikulum awal kanak-kanak telah mengalami perubahan dan

perkembangan dalam membina dan meningkatkan kualiti kurikulum dalam pendidikan

prasekolah. Kurikulum akan digubal untuk membentuk kurikulum supaya

penyeragaman kurikulum dapat dilaksanakan. Hal ini berlaku apabila masyarakat mulai

sedar tentang kepentingan pendidikan pada peringkat umur awal kanak-kanak sebelum

melangkah masuk ke sekolah rendah. Kurikulum awal kanak-kanak ini digubal bagi

bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak supaya dapat merangsang

pemikiran, membina sikap positif, meningkatkan kecerdasan dan kesihatan ke arah

penyuburan optimum.

Perancangan dan penggubalan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan

berlandaskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai

pendokong matlamat dan wawasan negara. Perancangan dan penggubalan kurikulum

ini mengambil kira pandangan dan falsafah serta teori pendidikan awal kanak-kanak

serta cara pembelajaran terkini seperti teori pelbagai kecerdasan, teori kecerdasan

emosi dan konsep e-pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 2003).

Pelaksanaan kurikulum di Malaysia adalah bersepadu dan terancang melalui

Amalan Bersesuaian Dengan Perkembangan Kanak-Kanak (ABP). ABP ialah satu

pendekatan yang menekankan kepada penggunaan kaedah pengajaran dan

pembelajaran yang bersesuaian dengan umur, perkembangan diri, kebolehan, bakat

serta minat murid. Kurikulum ini berfokus kepada hasil pembelajaran iaitu memberi

18

Page 20: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

penekanan kepada apa yang murid perlu faham, tahu dan buat serta amalkan

(Prasekolah Bestari Institut Perguruan Keningau Sabah 2008).

Garis Panduan Kurikulum Prasekolah merupakan salah satu kurikulum yang

terdapat di Malaysia yang telah digubal buat pertama kali semasa projek imbuhan

dijalankan pada tahun 1973 hingga 1983. Sempena dengan perlaksanaan program

pendidikan prasekolah ‘annex’ iaitu penubuhan tadika di sekolah rendah seluruh negara

maka garis panduan yang sedia ada pada masa itu disemak semula mengikut

perkembangan semasa dan keperluan agensi yang menjalankan pendidikan

prasekolah. Garis panduan itu telah diterbitkan pada tahun 1993. Akta Pendidikan 1996

telah menaikkan martabat pendidikan prasekolah dengan memasukkan pendidikan

prasekolah ke dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Sehubungan dengan itu satu

garis panduan kurikulum prasekolah yang juga dipanggil kurikulum prasekolah telah

diterbitkan pada tahun 1998 dan dikuatkuasakan penggunaannya mulai 1 Januari 1999

untuk semua tadika di negara ini. Hal ini, bertujuan untuk menyuburkan potensi murid

dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap

positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah (Garis Panduan Pendidikan

Prasekolah di Malaysia 1993).

Selain itu, kurikulum PERMATA juga merupakan kurikulum yang digunapakai

dalam rujukan pengajaran di prasekolah yang telah dibentuk oleh pakar-pakar

pendidikan awal kanak-kanak dari kalangan pensyarah-pensyarah universiti. Ia

dibentuk bagi memberi panduan kepada pendidik-pendidik mengenai pengurusan taska

atau Pusat Anak Permata Negara (PAPN) mengenai pedagogi pendidikan dan asuhan

19

Page 21: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

kanak-kanak yang terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan potensi kanak-kanak.

Kurikulum ini mencakupi aspek-aspek kaedah berinteraksi dengan kanak-kanak yang

boleh memberikan pengalaman pembelajaran yang maksimum, kaedah pegasuhan

secara holistik, di samping panduan merancang aktiviti untuk menaksir perkembangan

kanak-kanak, merefleks dan mengadakan kerjasama pintar dengan ibubapa dan ahli

keluarga serta masyarakat (Aminah Ayob et al. 2008).

Kurikulum standard prasekolah kebangsaan merupakan kurikulum yang terbaru

digubal dengan memberi penekanan kepada standard kandungan dan standard

pembelajaran yang patut diketahui dan boleh dilakukan oleh kanak-kanak yang

berumur empat hingga enam tahun. Kurikulum ini berfokuskan kepada proses

pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan kanak-kanak, menekankan kepada

inkuri penemuan dan menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran

persepadu, bertema, belajar melalui bermain, pembelajaran kontekstual dan

pembelajaran berasaskan projek (Bahagian Pembangunan Kurikulum 2009).

Secara keseluruhan, kurikulum pendidikan prasekolah di Malaysia memberi

fokus kepada perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan

bersepadu. Pendekatan pembelajaran yang fleksibel dan suasana pembelajaran yang

selesa, selamat dan ceria dapat menggalakkan naluri ingin tahu, perasaan suka

meneroka dan menjelajah serta memberi pengalaman baru kepada kanak-kanak (Pusat

Perkembangan Kurikulum 2003).

20

Page 22: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

6.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, kurikulum ialah rancangan yang dilakukan dengan terancang dalam

pengajaran dan pembelajaran. Kurikulum boleh dibina dan digubal semula untuk

kesesuaian dalam pengajaran dan pengajaran berlandaskan kepada Falsafah

Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara. Guru menjadikan kurikulum sebagai

panduan bagi merancang pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas mengikut mata

pelajaran yang diajar. Kandungan kurikulum membantu guru dalam membina

perancangan pengajaran dan menyusun aktiviti pelajar supaya matlamat dan objektif

pengajaran dapat dicapai.

Perubahan kurikulum berlaku dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kualiti

pendidikan negara. Perubahan yang dilakukan bergantung kepada perubahan dan

kepentingan semasa. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa jenis perubahan

kurikulum iaitu bercorak hemeostatik, perkembangan, neomobilistik dan

metamorphistik. Oleh itu, pusat perkembangan kurikulum berperanan dalam

membentuk kurikulum supaya dapat diseragamkan di seluruh sekolah. Segala

perubahan kurikulum mestilah berdasarkan kepada falsafah pendidikan untuk

memperkembangkan potensi dan keupayaan individu (Azizah Lebai Nordin et al. 1999).

Oleh itu, perkembangan kurikulum di Malaysia semakin berkembang kini. Hal ini,

selaras dengan perubahan kurikulum yang mewajibkan untuk pendidikan prasekolah

bagi kanak-kanak yang berusia 4 hingga 6 tahun. Konsep kurikulum yang dibina tidak

hanya memfokus kepada akademik semata-mata tetapi juga kepada kerohanian dan

kemahiran serta perkembangan pelajar dalam membentuk insan yang berketrampilan.

21

Page 23: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

BIBLIOGRAFI

Ahmad Durajat. 2008. Pengertian Kurikulum Tersedia.

http;//akhmadsudrajat.wordpress.com/2008/01/31/teori-pendidikan –dan-

kurikulum/ . (22 Februari 2010)

Aminah Ayob, Mastura Badzis, Rohani Abdullah, Azizah Lebai Nordin Dan Mahani

Razali 2008. Kurikulum Permata. Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong

Malim,Perak.

Azizah Lebai Nordin dan Zainun Ishak, 1999. Pendidikan Pra Sekolah Untuk Guru.

Selangor : Penerbitan Universiti Malaya.

Azizah Lebai Nordin, 2002. Pendidikan Awal Kanak-kanak Teori dan Amali.

KualaLumpur : Penerbitan Universiti Malaya.

Bahagian Pembangunan Kurikulum 2009:Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Kementerian Pelajaran Malaysia. Kuala Lumpur.

Berita Harian. Halaman 4. 2007. Penggunaan Free Draw Dalam ICT. Kuala Lumpur.

Berita Harian. Halaman 5 2009. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan Standart Akan

Dirintis. Kuala Lumpur. Dasar Cetak (M) Sdn Bhd.

Garis Panduan Pendidikan Prasekolah di Malaysia 1993.

http://ipgmkdriprasekolah.blogspot.com pada 3 Januari 2010

Hendyat Soetopo Dan Wasty Soemanto.1991.Pembinaan Dan Pengembangan

Kurikulum Sebagai Subtansi Problem Administrasi Pendidikan. Jakarta : PT.

Bumi Askara

Ibrahim Awang Putih dan Aminah Abdullah, 2004. Media Dalam Pendidikan. Pulau

Pinang : Universiti Sains Malaysia.

22

Page 24: DEFINISI, PENDAPAT KURIKULUM.doc

Kamarudin Hj. Husin & Siti Hajar Abd Aziz, 2004. Pedagogi Asas Pendidikan. Kuala

Lumpur : Karyazano Enterprise.

Nasution.S .2006. Asas-asas kurikulum. Jakarta: PT Bumi Aksara

Nor Hashimah Hashim dan Yahya Che Lah, 2003. Panduan Pendidikan Pra Sekolah.

Shah Alam : Malindo Printers Sdn. Bhd.

Pusat Perkembangan Kurikulum. 2003. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan:

Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur.

Ralph W. Tyler terjemahan Haji Kamaruddin Hussin dan Hazil Abdul Hamid, 1991.

Prinsip Asas Kurikulum dan Pengajaran. Muar : Percetakan Pesta Sdn. Bhd.

Razali Arof, 1991. Pengantar Kurikulum. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rohani Abdullah, Nani Menon dan Mohd. Sharani Ahmad, 2004. Panduan Kurikulum

Prasekolah. Shah Alam : Malindo Printers Sdn. Bhd.

Taba, Hilda. 1962. " Currikulum Development" In Evaluation in the Eight Year Study.

Columbus, OH: Progressive Education Association.

http://www.answers.com/topic/hilda-taba

23