daripada falsafah menjadi sains : doktrin perubatan...

12
1 DARIPADA FALSAFAH MENJADI SAINS : DOKTRIN PERUBATAN MELAYU DALAM KITAB BUSTAN AL-SALATIN Pisol Bin Maidin 1 Mohd Nor Mamat 2 Abstrak Doktrin perubatan Melayu mempunyai landasan falsafah yang boleh dikaitkan dengan falsafah Yunani dan Tib al-Nabawi. Spekulasi kewujudan falsafah Galenisme pernah dibincangkan oleh beberapa pengkaji, namun bagaimana falsafah itu menjana doktrin perubatan Melayu yang rasional dan saintifik jarang disentuh. Kitab Bustan al-Salatin adalah antara manuskrip Melayu terawal yang menerangkan ilmu perubatan Melayu secara sistematik merangkumi falsafah perubatan, ilmu fisiologi, teori perubatan dan sistem farmakologi. Analisis kandungan Bustan al-Salatin dapat memberi pencerahan tentang falsafah perubatan yang menjadi asas kepada praktis rawatan yang diamalkan dalam doktrin perubatan Melayu. Kertas ini akan menunjukkan jalinan antara falsafah perubatan dengan sains perubatan Melayu yang sebenarnya sangat sistematis kerana mengutamakan ciri akliah atau saintifik. Asas falsafah dan rasional yang dicerakinkan daripada manuskrip ini diharapkan dapat membantu komuniti ilmiah dan juga pengamal perubatan Melayu memahami sistem perubatan Melayu yang saintifik dan rasional serta dapat membezakannya daripada sub-sistem perubatan Melayu yang lain. Kata Kunci : Falsafah perubatan, Doktrin perubatan Melayu, Bustan al-Salatin Pengenalan Faham kosmologi Aristotle dan falsafah perubatan Galen telah melakar pengaruh yang besar terhadap paradigma perubatan di dunia Barat. Pengaruh Galen ini kemudiannya mengalami beberapa ubahsuai dan disebatikandalam sistem perubatan tradisional Arab dan tersebar pula sehingga ke banyak bahagian di Asia. Galenisme mulai suram di Eropah apabila Claude Bernard (1813-1878), pengikut faham positivisme memperkenalkan konsep homeostasis dan idea initelah menggugat sistem patologi humoral yang menjadi asas paradigma perubatan Galenisme. Nasib Galenisme di Eropah berbeza dengan Galenisme di Arab dan Asia. Di luar Eropah dengan beberapa pengubahsuaian Galenisme menyediakan asas teori kepada sistem perubatan tempatan dan terus bertahan hingga kini walaupun dihimpit oleh modernisme. Walaupun Galenisme mengalami ubahsuai dalam proses transmisinya dari alam Yunani ke Tanah Arab dan kemudiannya ke Asia, tetapi prinsip-prinsip utama dalam doktrin ini khususnya prinsip patologi humoral tetap terpelihara. Prinsip“sejuk – panas” ini boleh ditemui dalam doktrin-doktrin perubatan di beberapa daerah di Asia seperti perubatan Ayurvedic, perubatan Cina dan perubatan Melayu. Ini tidak bermakna bermakna doktrin ini bersifat homogen sebaliknya doktrin ini amat dinamik sehingga melahirkan berbagai-bagai variasi tergantung kepada latar pemikiran sesuatu masyarakat yang menerima doktrin ini. Galenisme 1 Prof. Madya Dr Pisol Maidin adalah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam. Emel beliau ialah [email protected] 2 Prof. Madya Dr Mohd Nor Mamat adalah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Upload: tranliem

Post on 21-May-2018

234 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

1

DARIPADA FALSAFAH MENJADI SAINS : DOKTRIN PERUBATAN MELAYU DALAM KITAB BUSTAN AL-SALATIN

Pisol Bin Maidin1

Mohd Nor Mamat 2

Abstrak

Doktrin perubatan Melayu mempunyai landasan falsafah yang boleh dikaitkan dengan falsafah Yunani dan Tib al-Nabawi. Spekulasi kewujudan falsafah Galenisme pernah dibincangkan oleh beberapa pengkaji, namun bagaimana falsafah itu menjana doktrin perubatan Melayu yang rasional dan saintifik jarang disentuh. Kitab Bustan al-Salatin adalah antara manuskrip Melayu terawal yang menerangkan ilmu perubatan Melayu secara sistematik merangkumi falsafah perubatan, ilmu fisiologi, teori perubatan dan sistem farmakologi. Analisis kandungan Bustan al-Salatin dapat memberi pencerahan tentang falsafah perubatan yang menjadi asas kepada praktis rawatan yang diamalkan dalam doktrin perubatan Melayu. Kertas ini akan menunjukkan jalinan antara falsafah perubatan dengan sains perubatan Melayu yang sebenarnya sangat sistematis kerana mengutamakan ciri akliah atau saintifik. Asas falsafah dan rasional yang dicerakinkan daripada manuskrip ini diharapkan dapat membantu komuniti ilmiah dan juga pengamal perubatan Melayu memahami sistem perubatan Melayu yang saintifik dan rasional serta dapat membezakannya daripada sub-sistem perubatan Melayu yang lain. Kata Kunci : Falsafah perubatan, Doktrin perubatan Melayu, Bustan al-Salatin

Pengenalan Faham kosmologi Aristotle dan falsafah perubatan Galen telah melakar pengaruh yang besar terhadap paradigma perubatan di dunia Barat. Pengaruh Galen ini kemudiannya mengalami beberapa ubahsuai dan disebatikandalam sistem perubatan tradisional Arab dan tersebar pula sehingga ke banyak bahagian di Asia. Galenisme mulai suram di Eropah apabila Claude Bernard (1813-1878), pengikut faham positivisme memperkenalkan konsep homeostasis dan idea initelah menggugat sistem patologi humoral yang menjadi asas paradigma perubatan Galenisme. Nasib Galenisme di Eropah berbeza dengan Galenisme di Arab dan Asia. Di luar Eropah dengan beberapa pengubahsuaian Galenisme menyediakan asas teori kepada sistem perubatan tempatan dan terus bertahan hingga kini walaupun dihimpit oleh modernisme.

Walaupun Galenisme mengalami ubahsuai dalam proses transmisinya dari alam Yunani ke Tanah Arab dan kemudiannya ke Asia, tetapi prinsip-prinsip utama dalam doktrin ini khususnya prinsip patologi humoral tetap terpelihara. Prinsip“sejuk – panas” ini boleh ditemui dalam doktrin-doktrin perubatan di beberapa daerah di Asia seperti perubatan Ayurvedic, perubatan Cina dan perubatan Melayu. Ini tidak bermakna bermakna doktrin ini bersifat homogen sebaliknya doktrin ini amat dinamik sehingga melahirkan berbagai-bagai variasi tergantung kepada latar pemikiran sesuatu masyarakat yang menerima doktrin ini. Galenisme 1 Prof. Madya Dr Pisol Maidin adalah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam. Emel beliau ialah [email protected] 2 Prof. Madya Dr Mohd Nor Mamat adalah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

2

disambut baik oleh orang Islam sama ada di Timur Tengah maupun Asia Tenggara malah mereka memberi wajah baru kepada Galenisme. Walaupun pandangan Galen tentang ruh yang boleh dipengaruhi oleh temperamen ditolak oleh ahli-ahli perubatan Islam, tetapi dalam banyak hal buah fikir Galen atau nama Arabnya Jalinus, diterima dengan meluas oleh ahli perubatan Islam. Berteraskan falsafah Galenisme inilah doktrin perubatanmasyarakat tradisional terbentuk.Doktrin perubatan Melayu merujuk satu himpunan idea-idea tertentu berhubung dengan hal-hal seperti terapeutik, nosologi, etiologi, diagnostik dan farmakopedia.Ia berbeza dari segi asas teori dan rasional sebab akibat berbanding denganpengetahuan perubatanaliran positivisme yang mengakar kuat di Eropah.

Sistem perubatan Melayu agak kompleks kerana ia terdedah kepada berbagai pengaruh

budaya merentas jangka masa yang panjang.Oleh itu dalam sistem perubatan Melayu terdapat beberapa sub-sistem seperti sistem perubatan Melayu popular, perubatan ala panggung (seperti main puteri), perubatan berdasarkan doa dan lain-lain. Perbezaan sistem perubatan Melayu yang rasional dengan sub-sistem perubatan Melayu yang lain ialah sistem perubatan Melayurasional ini lebih sistematik dan didokong oleh mereka yang mempunyai latihan dan pengiktirafan khusus. Setiap amalan mereka mempunyai asas teori dan rasional yang konsisten serta telus. Oleh itu seorang pengamal perubatan menguasai ilmu perubatan itu bukan kerana faktor keturunan, mimpi, bantuan alam ghaib dan sebagainya tetapi melalui proses pembelajaran. Sistem dan asas teori yang konsisten akan terpelihara melalui teks bertulis, dan manuskrip Bustan al-Salatin adalah satu contoh teks perubatan Melayu yang rasional dan saintifik. Kitab Bustan al Salatin

Salah satu sumber yang berwibawa untuk memahami doktrin perubatan Melayu ialah melalui manuskrip perubatan Melayu kerana ia mencatatkan asas teori dan praktis sistem perubatan Melayu. Ilmu perubatan Melayu dicatat dalam manuskrip-manuskrip jawi sejak abad ke-17 lagi. Terdapat dua kategori umum manuskrip perubatan Melayu iaitu pertama; manuskrip yang mempunyai nama judul dan nama pengarang seperti Kitab Bustan al-Salatin, dan kedua; manuskrip yang berupa korpus atau himpunan tentang ilmu perubatan, tidak mempunyai nama pengarang (walaupun mungkin mempunyai nama penyalin) dan tidak mempunyai judul khusus sebaliknya lebih dikenali dengan nama Kitab Tib ataupun Kitab Tabib. Kedua-dua kategori manuskrip ini mempunyai ciri kesusasteraan Arab iaitu dibahagikan kepada bab dan fasal dan kerap digandingkan dengan anekdot-anekdot daripada sumber-sumber Arab.

Kitab Bustan al-salatin merupakan sebuah karya ensaiklopedik dalam bahasa Melayu karangan seorang ulama terkenal dalam abad ke-17 iaitu Syeikh Nuruddin al- Raniri. Beliau dilahirkan di Ranir, Gujerat, India sekitar akhir abad ke-16 daripada keluarga berketurunan Arab. Sebelum menetap di Acheh beliau pernah datang ke Alam Melayu dan pernah tinggal di negeri Pahang sebelum tahun 1637. Ulama prolifik ini telah menghasilkan lebih daripada 22 buah karya pelbagai bidang dalam bahasa Melayu dan Arab. Pada tahun 1644 beliau kembali ke Ranir, India dan meninggal dunia di sana 14 tahun kemudian (Syed Muhammad Naquib al-Attas 1986). Kitab Bustan al-Salatin dipercayai ditulis pada tahun 1638 atas perintah Sultan Iskandar Thani. Kitab Bustan al-Salatin atau nama penuhnya Bustan al-Salatin fi Dhikr al-Awwalin wa al-Akhirin mengandungi tujuh bab dan setiap bab dibahagikan kepada beberapa fasal. Bab 7 kitab ini mengandungi beberapa fasal, dan fasal III dari bab 7 ini menghimpunkan ilmu tentang anatomi dan ilmu perubatan. Bab dan fasal inilah yang paling luas tersebar kerana minat dan keperluan masyarakat Melayu kepada ilmu ini. Mengikut Anne Grinter (1979) terdapat sekurang-

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

3

kurangnya 19 buah manuskrip daripada Bab 7 ini yang masih terpelihara di beberapa buah perpustakaan di serata dunia. Terdapat beberapa varian antara satu manuskrip dengan manuskrip yang lain kerana sering berlaku tokok tambah oleh para penyalin kepada manuskrip yang disalin lebih lewat. Kebanyakan pengarang dan juga penyalin manuskrip Melayu mungkin berpendapat semua perkara penting dan perlu diketahui oleh masyarakat perlu dicatat untuk disimpan dan disebarkan. Jika hal ini tidak dilakukan, ilmu dan kebijaksanaan itu akan hilang. Kepelbagaian isi kandungan dan hubungan yang saling berkait antara satu bab dengan bab yang lain adalah antara ciri kepengarangan yang wujud di Alam Melayu (Ding Choo Ming, 2009). Ciri kepengarangan seperti inilah yang menjadikan Kitab Bustan al-Salatin ini begitu ensaiklopedik, merangkumkan berbagai subjek. Namun setiap bab boleh berdiri sendiri. Kerana itu Bab 7 Kitab Bustan al-Salatin ini tersebar dengan meluas di seluruh Alam Melayu dan setengahnya berdiri sendiri sebagai sebuah kitab tib. Selain daripada pengaruh yang sangat kuat dalam bidang kosmologi dan ketatanegaraan, ia juga mempunyai kesan yang mendalam kepada doktrin perubatan dan juga amalan pemakanan dalam kalangan masyarakat Melayu di rantau ini. Kitab Bustan al-Salatin selain daripada berlandaskan faham Galenisme juga dipengaruhi oleh perubatan Nabi atau Tib al-Nabawi. Ia adalah kaedah perubatan yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad S.A.W dan mengutamakan amalan pemakanan dan penggunaan materia medika yang bersifat tunggal. Kaedah rawatan ini terakam dalam hadis-hadis nabi yang dikumpulkan secara khusus misalnya oleh Imam al-Suyuti (Elgood 1962). Penekanan terhadap manipulasi diet sebagai ubat dalam sistem perubatan Melayu menunjukkan doktrin Galenisme telah mengalami perubahan dan penyesuaian di Alam Melayu. Dalam korpus perubatan Galen ditekankan kepentingan ubat, sedangkan dalam perubatan Melayu diet lebih diutamakan. Perbezaan ini disebabkan oleh pengaruh kuat tradisi perubatan nabi yang mempengaruhi orang Melayu supaya lebih menekankan penggunaan diet dalam sistem perubatannya. Pengaruh perubatan Nabi ini mengalir ke dalam perubatan Melayu melalui teks-teks hadis yang menjadi antara sumber asas ajaran Islam yang dibawa bersama oleh pendakwah Arab-Islam ke Alam Melayu. Falsafah Yunani dan Arab dalam Sistem Perubatan Melayu Kehadiran falsafah Aristotle (384 – 322 S.M) dan Galen (129 - c216 S.M) dalam sistem perubatan Melayu telah banyak diperhatikan dan diulas sama ada oleh sarjana-sarjana kolonial Inggeris seperti Winstedt (1961), Gimlette (1971) dan juga oleh sarjana tempatan (Hairudin 1990). Spekulasi oleh sarjana kolonial banyak berdasarkan sumber-sumber lisan seperti jampi mentera bomoh-bomoh Melayu, manakala Hairudin Harun (1990) merujuk kepada idea kosmologi yang diturunkan di dalam kitab Tajus Salatin, sebuah teks ketatanegaraan. Spekulasi mereka mungkin terbatas kerana kepelbagaian sub-sistem perubatan Melayu dan kurangnya akses mereka kepada sumber-sumber bertulis jawi. Hairudin Harun (1992) bagaimanapun membuat satu kesimpulan yang tepat iaitu Galenisme yang diwarisi oleh sistem perubatan Melayu sebenarnya adalah Galenisme Arab kerana ia telah disesuaikan dengan pandangan alam Islami oleh ahli-ahli perubatan Islam khususnya dari Andalusia dan kemudian barulah ia sampai ke Alam Melayu melalui pendakwah-pendakwah Islam awal. Falsafah Aristotle yang paling jelas dapat dikesan dalam semua sistem perubatan Melayu ialah idea kosmologi dan teori sebab akibat. Dalam Kitab Bustan al-Salatin nama Galen atau Jalinus telah disebut sebanyak tiga kali manakala nama Hippocrates, Sokrates dan Aristotles masing-masing sekali. Aristotle menyokong kuat falsafah Empedocles (c492-432 S.M) yang

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

4

mengatakan unsur yang paling asas dalam kejadian di bumi ini ialah api, angin, air dan tanah. Peranan unsur dan bagaimana ia menghasilkan temperamen seseorang ada kaitannya dengan doktrin kosmologi dan kosmogoni yang biasa difahami oleh dan ahli-ahli falasafah Islam termasuklah oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri. Dalam idea kosmologi masyarakat Islam tradisional, manusia seperti juga haiwan, tumbuhan dan mineral adalah satu peringkat yang terendah dalam hairarki kewujudan dan tertakluk kepada proses kejadian dan kebinasaan (S.H.Nasr 1964). Proses kejadian sesuatu fenomena dikukuhkan pula oleh teori kasualiti Aristotle – walaupun yang selalu dirujuk ialah sebab final iaitu Pengerak Utama iaitu sunnahtullah. Dalam Bustan al-Salatin Syeikh Nuruddin al-Raniri menyatakan bahawa para hukama bersepakat bahawa manusia, haiwan, tumbuhan dan mineral ini terjadi daripada empat anasir iaitu api, air, angin dan tanah. Beliau mencatatkan;

...Kata segala ulama ittifaq dengan segala hukama bahawasanya Allah S.W.T. menjadikan segala makhluk daripada insan dan haiwan dan nabat dan jamad tiada sunyi segalanya itu daripada empat anasir tetapi berlebih dan berkurang pada kejadian anasirnya. Maka yang pertama itu narr iaitu api khasiatnya hangat lagi kering kedua hawa iaitu angin, khasiatnya basah lagi hangat, ketiga ma’ iaitu air, khasiatnya sejuk lagi basah, keempat turab iaitu tanah, khasiatnya sejuk lagi kering. Adapun darah itu khasiatnya hangat lagi basah, warnanya merah, tempat kediamannya pada hati. Adapun balgham itu khasiatnya sejuk lagi basah tempat kediamannya pada paru-paru, faedahnya membasahi segala anggota dan jadi makanan apabila tiada di dalam perut itu suatu makanan. Adapun safra itu khasiatnya hangat lagi kering, tempat kediamannya pada hempedu, faedahnya menenangkan darah dan membasah segala perut seni daripada segala hampas dan balgham. Adapun sauda itu khasiatnya sejuk lagi kering tempat kediamannya limpa...(Bustan al-Salatin hal. 90)

Kesemua unsur-unsur ini diwakili oleh empat cairan atau humor dalam badan manusia iaitu darah, balgham, air hempedu kuning dan air hempedu hitam. Masing-masing mempunyai sifat khusus, misalnya darah sifatnya hangat dan basah, balgham sifatnya sejuk dan basah, air hempedu kuning atau safra sifatnya hangat dan kering manakala air hempedu hitam pula sifatnya sejuk dan kering. Empat jenis humor dan sifat-sifatnya ini menjadi asas dalam Galenisme unuk menentukan sihat dan sakitnya seseorang ataupun dikenali sebagai patologi humoral. Mengikut Bustan al-Salatin kesihatan atau kesejahteraan akan berlaku apabila keempat-empat humor iaitu darah, balgham, air hempedu kuning dan air hempedu hitam berada dalam keadaan yang seimbang. Keseimbangan ini mestilah sesuai dengan tabiat keempat-empat unsur dan humor dalam badan baik dari daripada segi kualiti ataupun kuantitinya. Penyakit ialah satu keadaan bila keseimbangan badan terganggu kerana salah satu daripada humor ini menjadi dominan ataupun berkurangan dari segi kuantiti atau kualitinya. Hal ini disebutkan dalam Bustan al-Salatin seperti berikut;

Syahdan, maka barang tubuh ada di dalamnya sederhana daripada empat perkara ini maka sejahteralah tubuh daripada penyakit. Dan jika ghalib salah satu daripada yang empat itu maka masuklah penyakit daripada itu. Dan barang salah satu daripada empat perkara itu jadi kurang maka masuklah penyakit daripada pihak itu... (Bustan al-Salatin, hal. 105)

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

5

Keseimbangan humor dalam badan manusia ada kaitannya dengan tabiat atau temperamen humor dan persekitaran manusia itu sendiri. Temperamen ialah kualiti yang terhasil daripada interaksi antara empat humor yang mempunyai kualiti yang bertentangan namun tidak dapat dilihat. Syeikh Nuruddin al-Raniri menyebut sembilan jenis tabiat atau temperamen yang terhasil mengikut keadaan humor iaitu hangat, kering, sejuk, basah, kering, hangat lagi kering, hangat lagi basah, sejuk lagi kering, sejuk lagi basah dan sederhana (Bustan al-Salatin, hal 104-105). Temperamen yang terbaik dicapai bila semua kualiti unsur-unsur berpadu dengan harmonisnya sehingga tiada lagi pertentangan. Temperamen yang paling seimbang akan memanifestasikan perlakuan yang cukup seimbang dan baik. Dalam Galenisme Arab, temperamen yang mutadil atau sederhana ataupun seimbang secara sempurna ini sukar dicapai dan hanya dimiliki oleh Rasulullah dan orang-orang yang beriman sahaja (Elgood 1962). Tanda mereka ini mempunyai temperamen yang sederhana ialah perlakuan dan akhlak mereka yang sangat mulia dan sempurna. Kesihatan fizikal akan mendorong kepada kesempurnaan kesihatan rohaniah dan ini selaras dengan perspektif Islam iaitu konsep kesihatan ini tidak terpisah daripada aspek rohaniah seperti keimanan, keikhlasan, pemurah dan lain-lain. Beberapa faktor luaran juga boleh mempengaruhi temperamen ini seperti cuaca, kawasan geografi, sistem pemakanan dan juga umur seseorang. Kenyataan ini selari dengan Galenisme Arab seperti yang ditunjukkan oleh Ibn Sina dalam Kitabnya Qanun Fi Tibb (Mahzar 1966). Walaupun kesihatan adalah keadaaan yang tercapai bila wujud keseimbangan fizikal dalam sistem badan tetapi Bustan al-Salatin juga menekankan aspek teologikal tentang kesihatan. Kesihatan adalah anugerah tuhan kepada manusia kerana apabila Allah mencipta makhluk, Beliau menciptakannya dalam keadaan sempurna dan juga sihat serta normal. Ajaran daripada Sunnah Nabi Muhammad juga menyuruh umat Islam menjaga kesihatan yang Allah kurniakan ini. Kesimpulannya, falsafah Aristotle dan Galenisme sememangnya memberikan asas epistimologi khususnya idea berkenaan empat unsur yang membawa kepada kemunculan teori humoral dan patologi humoral dalam doktrin perubatan Melayu. Galenisme yang diterima di Alam Melayu ini lebih sesuai dipanggil sebagai Galenisme Arab kerana ia diubahsuai oleh ahli-ahli perubatan Islam dan diselarikan dengan Tib al-Nabawi. Doktrin Tib al-Nabawi juga penting kerana memberikan huraian teleologi dan teologi tentang kesihatan dan penyakit. Kedua-dua doktrin ini diharmoniskan dalam Kitab Bustan al-Salatin tanpa sebarang percanggahan malah di beberapa tempat Tib al-Nabawi menjadi penafsir kepada sistem anatomi atau fisiologi Galen berdasarkan hadis-hadis Nabi S.A.W. Walaupun daripada segi sejarahnya idea fisiologi dan anatomi yang digunakan oleh kitab Bustan al-Salatin adalah berasal dari Yunani, tetapi idea-idea ini diterima oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan ahli perubatan Islam lain kerana ia selaras dengan sistem metafizik dan kosmologi yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah. Teori dan Praktis penyelenggaraan Ubat dan Rawatan Pemilihan dan penyelenggaraan materia medika dalam sistem perubatan Melayu tradisional tidak berlaku secara sewenang-wenangnya. Ia adalah hasil daripada pengalaman dan pemerhatian secara objektif terhadap kesan sesuatu materia medika. Pemilihan materia medika ini juga mempunyai rasional dan justifiasi tertentu selaras dengan idea dan falsafah doktrin perubatan tertentu.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

6

Fungsi ubat ialah sebagai agen aktif yang boleh digunakan untuk mencegah dan juga merawat penyakit. Walaupun terdapat ubat yang terdiri daripada bahan makanan tetapi dalam Bustan al-Salatin, fungsi ubat dengan makanan dibezakan. Pengarangnya lebih mengutamakan makanan berbanding ubat dalam penjagaan kesihatan kerana menurut beliau kesihatan dan penyakit adalah berpunca daripada amalan pemakanan seseorang. Seseorang itu digalakkan menjauhkan diri daripada mengambil ubat yang semata-mata ubat kecuali jika benar-benar diperlukan. Badan yang sakit tidak semestinya memerlukan ubat, kerana antara sifat ubat ialah boleh mengubah sifat tubuh badan. Ahli-ahli perubatan Melayu secara sedar ataupun tidak mengikut teori Hippocrates dan Galen iaitu badan mempunyai keupayaan untuk mengembalikan keseimbangannya jika disediakan keadaan luaran dan dalaman bersesuaian yang boleh mengubah humor dalam badan. Amalan pemakanan adalah mekanisme bersifat luaran yang boleh mempengaruhi kesihatan secara langsung. Setiap makanan, ubat ataupun racun mempunyai keupayaan tersendiri kerana setiap satu mempunyai temperamen tertentu bergantung kepada unsur-unsur yang dikandungnya. Oleh itu pengetahuan tentang khasiat dan temperamen ubat dan juga temperamen pesakit adalah dua aspek penting yang dititikberatkan dalam penyelenggaraan ubat mengikut ilmu farmakologi Melayu selain daripada pengetahuan tentang humor dan fisiologi. Materia medika yang digunakan ini datangnya daripada sumber tumbuhan, haiwan ataupun galian. Khazanah materia medika orang Melayu diperkayakan lagi dengan pengetahuan mereka dalam bidang botani, zoologi dan juga sumber mineral. Selain doktrin Hippocrates-Galenisme, doktrin perubatan Nabi atau Tibb nabawi juga mempengaruhi pemilihan ubat dan kaedah rawatan. Oleh itu banyak materia medika dalam perubatan Melayu berasal daripada tradisi perubatan nabi seperti kurma, kismis, wangi-wangian dan lain-lain. Fisiologi ala-Hippocrates dan Galen ini berjaya memberikan rasional bagaimana cara ubat-ubat mempengaruhi kesihatan seseorang. Bahan-bahan yang masuk dalam badan akan berubah dan mempengaruhi salah satu humor dalam badan. Proses perubahan bahan yang masuk kedalam badan ini sama seperti yang berlaku kepada makanan iaitu dicairkan oleh kepanasan dalam badan menjadikannya seperti kanji yang dipanggil kimos dan kemudian ditukarkan menjadi khilos. Cairan yang telah terurai ini akan bertukar menjadi sama ada darah, balgham, hempedu kuning dan hempedu hitam. Mengikut Galen kesan maksimum sesuatu ubat bergantung kepada pemilihan jenis ubat yang tepat setelah diketahui apakah kedudukan temperamen seseorang yang sakit itu melalui beberapa kaedah diagnosis (Temkin 1977). Kaedah diagnosis juga bersifat humoral iaitu dengan melihat simpton-simpton penyakit yang dapat memberitahu perubahan-perubahan yang berlaku ke atas humor dalam badan. Setelah penyebab penyakit dan jenis penyakit diketahui dengan menggunakan diagnosis tetentu yang terdiri daripada sepuluh kaedah (Bustan al-Salatin109-113) maka kaedah rawatan juga akan bersifat humoral iaitu dengan prinsip alopati atau contraria contrariis. Berdasarkan prinsip ini taksonomi penyakit dibahagikan kepada dua iaitu penyakit jenis sejuk ataupun panas berdasarkan sifat humor yang terlibat. Demam kura misalnya adalah sejenis penyakit yang sejuk kerana berlebihan balgham dalam badan. Ada penyakit yang dikatakan panas seperti demam panas kerana disebabkan oleh berlebihnya humor darah. Setengah penyakit dikaitkan langsung dengan keadaan humor dalam badan, seperti demam kuning kerana berlebihannya air hempedu kuning dalam badan. Mengikut prinsip alopati ini rawatan dijalankan dengan memberi makanan ataupun ubat yang berlawanan dengan jenis penyakit orang yang hendak dirawat. Orang yang berpenyakit berlebihan sejuk seperti penyakit

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

7

deman kura akan diberi rawatan dengan menggunakan ubat yang panas dan menjauhkannya daripada terkena unsur-unsur yang sejuk baik daripada persekitaran seperti angin ataupun daripada makanan yang sejuk. Dalam penyelenggaraan ubat Syeikh Nuruddin al-Raniri bersetuju dengan penggunaan prinsip alopati. Kaedah rawatan secara alopati walaupun lebih terkenal dalam Galenisme, tetapi ia juga menjadi prinsip farmakologi dalam Tib al-Nabawi. Amalan pemakanan yang menjadi tonggak perubatan Nabi biasanya mengikut prinsip alopati ini. Prinsip alopati dan pengenalan khasiat ubat sebagaimana ditunjukkan dalam Bustan al-Salatin adalah dengan menggunakan pengetahuan logik yang dipanggil qiyas atau analogi deduktif. Terdapat perbezaan antara konsep qiyas yang digunakan oleh ahli falsafah dan ahli feqah. Konsep qiyas yang digunakan oleh Syeikh Nuruddin adalah membuat suatu kesimpulan analogis dengan menggunakan premis asas yang telah sedia ada. Ia adalah satu proses taakulan yang digalakkan oleh Islam dalam ilmu-ilmu yang bersifat pencarian seperti ilmu perubatan ini. Kecekapan berfikir memudahkan seorang tabib mengambil langkah-langkah berkesan seperti pemberian ubat, yang dengan izin Allah akan memulihkan kesihatan tubuh badan seseorang. Penentuan kategori dan khasiat makanan dan ubat boleh dilakukan dengan menggunakan sistem farmakologi dengan ciri Galenisme, iaitu berdasarkan sistem rasa. Proses menentukan khasiat ubat dan tindakbalasnya dalam sistem tubuh seseorang diterangkan dengan jelas termasuk keberkesanannya oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dalam kitab Bustan al-Salatin seperti berikut;

“...Kata hukama bahawa rasa makan makanan itu sembilan perkara. Pertama; pedas, kedua; pahit, ketiga; manis, keempat; masin, kelima; masam, keenam;tawar, ketujuh; kelat kedelapan; liat dan kesembilan lendir. Adapun yang pedas dan yang pahit dan yang masin dan yang manis itu hangat khasiatnya dan yang masam dan yang tawar dan kelat dan yang lendir dan yang liat itu sejuk khasiatnya. Kata ulama dengan ittifaq segala hukama bahawa barang makan makanan atau segala ubat adalah khasiatnya hangat atau sejuk atau kering atau basah dan ada kalanya bercampur dengan dua khasiat iaitu hangat lagi basah atau hangat lagi kering dan adakalanya ia hangat pada darjah yang pertama atau pada darjah yang keempat. Demikian lagi darjah segala yang sejuk pun empat perkara jua, darjah yang basah pun empat perkara jua dan darjah yang kering pun empat perkara jua. Syahdan, jika makan seorang yang sederhana tubuhnya akan suatu makanan atau ubat maka tiada ia merasai bekas makanan itu maka adalah iaitu pada darjah yang pertama seperti makan gandum dan sakar dan jika makan akan suatu makanan atau ubat yang kedua seperti air madu dan jika dimakannya akan suatu makanan atau ubat maka dirasainya bekas makanan itu sangat memberi mudarat seperti lada iaitu pada darjah yang keempat...”(Bustan al-Salatin,116)

Berdasarkan prinsip ini satu sistem klasifikasi makanan dan ubat dapat diformulakan. Materia medika yang mempunyai rasa yang masin seperti garam di kategorikan sebagai panas. Bahan yang pedas seperti lada juga di dalam kategori panas. Begitu juga yang pahit seperti kopi dan tumbuhan lain yang pahit bersifat panas. Makanan yang manis juga termasuk dalam kategori panas. Manakala bahan yang mempunyai rasa masam seperti limau, yang kelat seperti teh, yang berlendir seperti kacang bendi dan juga yang tawar sahaja seperti kebanyakan sayuran dan juga yang liat di dalam kategori sejuk. Penjenisan sifat ubat mengikut rasanya adalah seperti jadual di bawah;

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

8

Jadual 1: Penjenisan khasiat ubat/makanan mengikut rasa

Khasiat Rasa Contoh ubat/makanan

Panas Pedas

Masin

Pahit

Manis

Garam

Lada

Kopi

Gula

Sejuk Masam

Tawar

Kelat

Lendir dan liat

cuka

Sayur-sayuran

Teh

Sayur seperti bendi

Setiap bahan yang dijadikan ubat akan mempunyai kombinasi dua khasiat. Mengikut Kitab Bustan al-Salatin, seperti dalam petikan di atas, setiap bahan yang berpotensi dijadikan materia medika mempunyai kombinasi dua khasiat atau sifat iaitu sama ada, panas, sejuk, kering ataupun basah dan bahan yang sama dapat dikategorikan mengikut darjah-darjah tertentu iaitu dari darjah pertama hingga darjah keempat. Ketumbar (Coriandrum sativum) misalnya mempunyai khasiat sejuk pada darjah yang pertama dan kering pada darjah yang kedua. Madu pula mempunyai khasiat panas pada darjah yang kedua dan kering pada darjah kedua. Cara yang digunakan untuk menentukan darjah ini berdasarkan kesan bahan itu pada seseorang. Jika orang yang sederhana tubuhnya memakan sesuatu bahan dan tidak merasai apa-apa kesan maka bahan itu tergolong pada darjah yang pertama, contohnya ialah bunga mawar. Jika dirasai bahan itu memberi kesan maka ia adalah pada darjah yang kedua, contohnya madu. Bahan yang memberi mudarat kepada tubuh mempunyai darjah yang ketiga, contohnya ialah Garam, yang mempunyai khasiat panas pada darjah yang ketiga dan kering pada darjah yang ketiga. Jika bahan itu sangat memudaratkan seperti candu, maka ia tergolong dalam darjah yang keempat dan biasanya beracun. Perbezaan darjah ini sangat berguna untuk menentukan ubat mana yang terbaik untuk merawat keadaan sakit seseorang yang berbeza dengan seorang yang lain sama ada kerana perbezaan sifat tubuh badannnya atau punca penyakit, masa atau keadaan, ataupun keseriusan penyakitnya. Darjah sesuatu materia medika dan kesannya kepada tubuh ditunjukan dalam jadual 2 di bawah.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

9

Jadual 2 : Darjah Ubat dan kesannya pada tubuh

Darjah Kesan kepada tubuh Contoh

1. Pertama Tidak memberi kesan pada tubuh Gandum

2. Kedua Memberi kesan pada tubuh dengan sederhana

Madu

3. Ketiga Memberi mudarat pada tubuh Lengkuas

4. Keempat Sangat memudaratkan tubuh candu

Dalam doktrin perubatan Melayu, ubat mempunyai pelbagai tahap, antaranya ialah sebagai bahan farmaseutik iaitu ubat-ubat yang telah tersedia untuk digunakan bagi tujuan rawatan, pencegahan penyakit atau semasa melakukan diagnosis. Makanan juga dianggap sebagai ubat jika ia boleh mempengaruhi sistem badan seseorang. Ubat juga termasuklah antidot atau penawar terhadap penyakit-penyakit yang disebabkan oleh unsur-unsur toksid dalam badan seperti racun dan gigitan binatang berbisa. Selain daripada perkataan ubat, konsep lain yang selalu juga digunakan ialah penawar. Klasifikasi ubat dengan darjah yang berbeza oleh Kitab Bustan al-Salatin ini mempunyai keselarian dengan pembahagian yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad Fatani, seorang cendiakawan Islam yang juga seorang ahli perubatan Melayu pada abad ke-19. Syeikh Ahmad Fatani (1914) membahagikan makanan, ubat dan racun kepada enam jenis merangkumi, makanan, makanan yang juga ubat, ubat yang sederhana, ubat semata-mata,racun yang menyerupai ubat dan racun semata-mata. Beberapa kelainan dan perbezaan kecil ditemui dalam sistem perubatan Melayu berdasarkan apa yang dicatatkan dalam manuskrip-manuskrip perubatan Melayu dan ia berbeza sedikit daripada sistem perubatan Galenisme. Kepada masyarakat Melayu, makanan yang mempunyai rasa manis tergolong dalam kategori panas manakala mengikut Galenisme bahan yang mempunyai rasa manis dan lemak dikategorikan sebagai sederhana. Satu lagi perbezaan ialah kitab perubatan Melayu seperti Bustan al-Salatin memberikan rasa sesuatu bahan hingga kepada sembilan jenis rasa, sedangkan dalam Galenisme terdapat lapan jenis iaitu tidak termasuk rasa liat. Perbezaan cuaca dan temperamen manusia di kawasan beriklim tropika mungkin mendorong beberapa tambahan dan ubahsuai dilakukan kepada kategori-kategori di atas. Doktrin Galenisme sendiri bersifat dinamik dan bukannya bersifat monolitik dan taksonomik. Ia memberi ruang inovasi dan improvisasi kepada pengamalnya di Alam Melayu. Penyediaan ubat dalam farmakologi Melayu dilakukan dalam dua cara iaitu sebagai ubat berbentuk tunggal (simple) dan sebagai ubat campuran (compound) iaitu hasil campuran lebih dari satu bahan. Kitab Bustan al-Salatin jelas memperlihatkan pengaruh kuat Tibb Nabawi kerana lebih banyak mencadangkan ubat berbentuk tunggal berbanding dengan ubat berbentuk campuran. Ubat berbentuk tunggal lebih utama kerana ia mudah diperolehi dan mudah diberikan kepada pesakit. Di samping itu dibimbangi ubat yang dihasilkan dari berbagai-bagai campuran mengandungi bahan-bahan yang haram di sisi Islam. Kontroversi tentang keutamaan antara ubat berbentuk tunggal dan campuran ini merupakan satu isu farmakologi dalam tradisi perubatan Islam sejak zaman awal perkembanganya lagi. Ahli perubatan Arab seperti Hunayn Ibn Ishaq

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

10

(Ghalioungui 1980) mempertahankan kepentingan ubat campuran atas beberapa sebab. Antaranya ialah penyediaan ubat secara campuran boleh dilakukan untuk menghasilkan ubat yang sesuai dengan kepelbagaian keadaan pesakit dan jika dalam kesukaran untuk mendapatkan ubat bentuk tunggal yang sesuai. Ubat berbentuk campuran juga diperlukan untuk mendapatkan sifat ubat yang mempunyai khasiat yang sesuai dengan jenis penyakit yang hendak dirawat. Misalnya ubat salap untuk penyakit kulit sukar disediakan melalui ubat berbentuk tunggal kecuali dicampur dengan beberapa bahan. Ia juga boleh menghilangkan rasa dan bau yang tidak disukai pesakit. Materia medika yang diberikan oleh Bustan al-Salatin kebanyakan adalah ubat tunggal ataupun ubat campuran yang tidak melebihi dua bahan. Ubat ini sesuai dengan khasiatnya untuk merawat penyakit tertentu yang mempunyai sifat yang berlawanan dengan ubat berkenaan. Hanya terdapat sedikit ubat berbentuk campuran yang diberikan dalam Kitab Bustan al-Salatin iaitu seperti candu yang dicampurkan dengan air madu sebagai ubat tahan sakit. Berbeza dengan kitab-kitab tib, lebih banyak ubat campuran disenaraikan. Contohnya makjun yang melibatkan campuran sehingga lebih 10 jenis bahan. Dalam kaedah penyelenggaraan ubat, pengaruh doktrin Tib Nabawi tampak sangat jelas. Penekanan terhadap ubat berbentuk tunggal dan keutamaan materia medika yang bersifat bukan semata-mata ubat tetapi juga sebagai makanan adalah antara ajaran-ajaran daripada doktrin Tib Nabawi (Elgood 1962). Sungguhpun begitu ciri perubatan humoral seperti penyelenggaraan ubat secara galenik iaitu penyediaan ubat daripada berbagai-bagai jenis campuran masih digunakan. Perbezaan antara etnofarmakologi tradisional dengan farmakologi moden ialah tujuan rawatan adalah untuk menyembuhkan aspek spiritual selain daripada menyembuhkan aspek fizikal (Nurdeng Deuraseh 2009). Walaupun kesihatan adalah keadaaan yang tercapai bila wujud keseimbangan fizikal dalam sistem badan tetapi penyelengaraan ubat-ubatan oleh sistem perubatan Melayu juga menekankan aspek teologikal tentang kesihatan. Kesihatan adalah anugerah tuhan kepada manusia kerana apabila Allah mencipta makhluk, Dia menciptakannya dalam keadaan sempurna dan juga sihat serta normal. Ajaran daripada Nabi Muhammad S.A.W yang dikumpulkan khusus dalam Tib Nabawi juga menyuruh umat Islam menjaga kesihatan yang Allah kurniakan ini. Kesimpulan Berdasarkan tarikh kitab Bustan al-Salatin ini dihasilkan iaitu pada tahun 1683 masihi, tidak dapat diragukan kitab ini adalah sebuah karya terawal dan lengkap dalam bahasa Melayu yang menerangkan ilmu perubatan Melayu yang meliputi aspek falsafah, teori dan juga praktis mengikut skima ilmu perubatan Islam. Sungguhpun falsafah perubatan yang mendasari sistem perubatan Melayu bukanlah daripada aliran perdana seperti paradigma positivisme, namun ilmu perubatan Melayu terus berfungsi dan mempunyai aspek teori dan praktis yang sistematik. Ini menunjukan bahawa ada metodologi lain selain dari pendekatan konvensional barat untuk menjana ilmu pengetahuan. Sains perubatan tradisional walaupun sering dituduh bukan “sains” sebenar, namun sistemnya sebagaimana yang dipaparkan dalam Kitab Bustan al-Salatin menunjukan sangat sistematis dan rasional serta layak dianggap sebagai sains, sekurang-kurangnya sebagai satu etnosains ataupun sains tempatan.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

11

Teori dan praktis dalam teks ini masih relevan kerana pendekatan holistik yang dibawanya. Terdapat beberapa teori dan doktrin yang berbeza tentang sihat dan sakit dalam sejarah pemikiran manusia tentang kesihatan. Dalam Kitab Bustan al-Salatin “manusia” dianalogikan sebagai alam kecil atau mikrokosmos. Sebagai alam kecil ia mempunyai sifat-sifat yang mewakili alam besar sama ada dalam bentuk morfologi atau dalam bentuk cecair yang dipanggil humor. Humor difahami terdiri daripada darah, balgham, air hempedu kuning dan air hempedu hitam dan seolah-olah mengandungi semua unsur-unsur asasi di alam ini seperti api, air, angin dan tanah. Keseimbangan humor-humor ini dari segi komposisinya dalam badan ataupun keharmoniannya dengan unsur-unsur alam mewujudkan keadaan yang dipanggil sebagai “sihat”. Bila berlaku ketidakseimbangan dan ketidakharmonian antara mikrokosmos ini dengan makrokosmos maka akan wujud keadaan berlawanan yang dipanggil sebagai “sakit”. Namun, “sakit” mengikut doktrin perubatan Melayu bukan semata-mata sebagai satu masalah kesihatan dengan implikasi yang tidak menyenangkan dari segi keselesaan dan juga ekonomi. ”Sakit” juga mempunyai dimensi spiritual dan sosial yang tertentu. Manuskrip Bustan al-Salatin menekankan bahawa pengetahuan farmakologi orang Melayu juga mempunyai kaitan yang rapat dengan konsep kesihatan yang berteraskan idea keseimbangan dalam tubuh badan. Sehubungan dengan itu tanggungjawab seorang ahli perubatan ialah mencari dan menyediakan ubat yang mampu mengembalikan keseimbangan tersebut dengan mengubah komposis dan sifat humor dalam badan. Keseimbangan boleh juga diwujudkan oleh pemakanan. Oleh itu pemakanan merupakan satu aspek terpenting dalam farmakologi Melayu kerana makanan yang betul boleh berperanan sebagai satu mekanisme rawatan. Manuskrip ini juga memperlihatkan bahawa cara pemilihan ubat untuk merawat sesuatu jenis penyakit ialah berdasarkan prinsip sifat yang bertentang, iaitu sifat ubat yang berlawanan dengan penyakit berkenaan. Misalnya, jika penyakit itu bersifat sejuk ubat yang dipilih ialah ubat yang bersifat panas dan begitulah sebaliknya. Prinsip ini lebih dikenali sebagai prinsip alopati. Satu lagi penekanan terpenting yang terdapat dalam farmakologi Melayu ialah pencegahan penyakit lebih diutamakan daripada rawatan. Penekanan seperti ini mewujudkan pencegahan penyakit melalui amalan berpantang, amalan pemakanan yang baik dan panduan menjalani cara hidup yang sihat. Kemunculan sarjana-sarjana di Alam Melayu seperti Syeikh Nuruddin al-Raniri dengan kitabnya Bustan al-Salatin pada abad ke-17 masihi memberikan kaedah penjagaan kesihatan dan farmakologi “moden” dan “saintifik” kepada masyarakat Melayu. Sistem perubatan ini telah lama berfungsi berbanding dengan perubatan moden yang diperkenalkan oleh ahli-ahli perubatan barat yang mula bertapak selepas abad ke-20. Kekuatan dan penerimaan doktrin perubatan Galenisme secara meluas dalam masyarakat Melayu diteruskan oleh Kitab-kitab Tib walaupun ada yang masih mengekalkan beberapa ciri yang spekulatif dan subjektif. Perlanjutan idea Galenisme dalam doktrin perubatan Melayu dapat juga dilihat dalam kitab-kitab kuning pada abad ke-20 seperti kitab Taiyib al-Ihsan Fi Tib al-Insan karangan Syeikh Ahmad Fatani. Penekanan ciri holistik dan harmonis dengan ajaran agama dan nilai-nilai hidup masyarakat Melayu mungkin menjadi sebab mengapa ia terus berkembangan dan memenuhi kehendak masyarakat setempat dari dulu hingga ke hari ini.

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

12

Senarai Rujukan

Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani.1954.Kitab Taiyib al-Ihsan fi-Tibb al-Insan. Persama Press: Pulau Pinang.

Ding, Choo Ming, Henri Chambert-Loir dan Titik Pudjiastuti (eds.) 2009. Kearifan Lokal yang

Terkandung dalam Manuskrip Lama. Bangi: Institut Alam dan Tamadun Melayu. Elgood, C. 1962. Tibb-ul-Nabbi or Medicine of the Prophet, dalam Osiris, Vol.14

Gimlette, J.D. 1971.A Dictionary of Malayan Medicine. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Grinter, C. A. 1976. Book IV of the Bustan al-Salatin by Nuruddin al-Raniri, Tesis Ph.D. University of London.

Hairudin Harun. 1990. “Galenism: A study in philosophy of Malay medicine”. dlm.Sarjana Jil 6 (Jun 1990) Hairudin Harun.1992. “Pengaruh Sains dan perubatan Melayu Islam (Sepanyol) di dunia Melayu”. Kertas kerja Seminar Dunia Melayu Dunia Islam. Anjuran MAIM dan Gapena, Melaka. Nov 1992. Hunayn Ibn Ishaq. 1980. Question on Medicine for scholars (Al-Masail fi al-Tib lil

Muta’alimin).(Terj. Paul Ghalioungui). Cairo: Al-Ahram Center for Scientific Translations.

Mazhar H. Shah. 1966. The General Priciples of Avicenna’s Canon of Medicine. Karachi:

Naveed Clinic Nasr, S.H. 1964. An Introduction to Islamic Cosmological Doctrines. Cambridge: Havard

University Press.

Nurdeng Deuraseh.2009.Preservation of Health in Islamic Law. IIUM Press: Kuala Lumpur.

Temkin, O. 1977. Health and Disease, The Double Face of Janus. Baltimore: The John Hopkins University Press

Syed Muhammad Naquib al-Attas 1986. A Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nuruddin al-Raniri. Kuala Lumpur: Ministry of Culture Malaysia

Syeikh Nuruddin al-Raniri. (tanpa tarikh) Bustan al-Salatin. No 21514. Bibliotheque Royale de Belgique, Brussels.

Ullmann, M.1978.Islamic Medicine. Edinburgh: Edinburgh University Press

Winstedt, W.W. 1961. The Malay Magician: Being Shaman, Saints and Sufi. London: Routledge & Kegan Paul

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia

Hakcipta Terpelihara © 2014 - Perpustakaan Negara Malaysia