contoh kes

Upload: ima-hakima

Post on 17-Jul-2015

401 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

11.0

KES-KES YANG MELIBATKAN ISU KEHAKIMAN ANTARA KEBEBASAN DAN KENYATAAN 11.1 Kes Skandal Video Klip V.K Lingam

Realiti dunia kehakiman antara peranan kenyataan yang diperolehi dan kebebasan yang diperuntukan seolah-olah bertentangan antara satu sama lain. Sistem kehakiman tercalar dengan manipulasi bagi kepentingan politik dan tidak berdaya untuk memastikan keluhuran undangundang. Pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan perundangan kerajaan, seperti yang diperuntukan dalam perlembagaan, seolah-olah tidak wujud. Kes VK Lingam menunjukkan bahawa garis pemisah antara eksekutif dan kehakiman adalah sangat kabur. Keadaan ini mengingatkan kita kepada peristiwa percampuran kuasa badan eksekutif dalam sistem kehakiman di mana krisis perlembagaan 1988 masih menghantui Malaysia. Isu klip video VK Lingam muncul pada tahun 2002 tetapi menjadi kontroversi pada sekitar tahun 2007 di Malaysia. Klip video itu mengandungi perbualan telefon antara seorang peguam terkemuka, V.K Lingam dan Tun Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim, seorang hakim kanan bagi mengatur perlantikan hakim-hakim di Malaysia pada tahun 2002. Kemungkinan video ini dirakam dengan telefon kamera 1.2 megapiksel menyebabkan gambar video tersebut kurang jelas namun transkrip perbualannya masih boleh didengari. Video itu dirakam oleh anak Loh Mui Fah iaitu Loh Gwo Burne yang ketika itu berusia 27 tahun. Video tersebut dirakam di ruang tamu rumah Lingam sewaktu Loh Mui Fah dan anaknya mengunjungi rumah Lingam di Damansara untuk berbincang mengenai satu majlis yang akan diadakan pada 20 Disember 2001. Kes skandal video klip V.K Lingam ini menjadi isu yang serius kerana ia merupakan cubaan untuk mengatur perlantikan hakim-hakim termasuk perlantikan Ketua Hakim Negara. Implikasinya, kredibiliti badan kehakiman di Malaysia mula dipersoalkan oleh segelinap masyarakat. Perbuatan cubaan mengatur perlantikan hakim ini telah melanggar kod etika kehakiman dan sekaligus mencalarkan kredibiliti badan kehakiman Malaysia. Menurut Kod Etika Kehakiman 1964, Peruntukan 3 (d), perbuatan melobi oleh seseorang hakim boleh mencemarkan nama baik badan kehakiman. Seseorang hakim itu tidak seharusnya berkelakuan tidak jujur sehingga boleh menjejaskan nama baik badan kehakiman. Berdasarkan isu klip video Lingam ini, kita dapat lihat bahawa terdapat satu penyekatan terhadap kebebasan dalam

perlantikan para hakim di Malaysia dan peristiwa ini berlaku ketika pemerintahan Tun Mahathir Mohamad dikhuatiri terdapat unsur-unsur campur tangan kuasa eksekutif dalam perlantikan para hakim tersebut. Majlis Peguam Malaysia memandang serius isu klip video Lingam ini kerana ia menjejaskan kredibiliti mereka sebagai peguam dan menjejaskan pandangan pelbagai pihak sama ada pihak atasan atau bawahan. Sememangnya masyarakat tempatan memandang tinggi terhadap Majlis Peguam Negara kerana mereka merupakan penegak kebenaran namun kemunculan klip video ini menyebabkan prejudis mula timbul dalam pandangan masyarakat terhadap badan kehakiman. Lantaran isu klip video ini, pada 27 September 2007, satu perarakan yang disertai 1500 peguam yang menjadi ahli Majlis Peguam Malaysia telah diadakan di Putrajaya. Perarakan ini adalah sejauh 1.5 kilometer dan berlangsung dari Istana Kehakiman ke Dataran Putra, Putrajaya dalam suasana hujan yang sangat lebat. Perarakan ini diketuai oleh Ambiga Sreenavasan dan dipantau oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Antara tuntutan Majlis Peguam Malaysia ialah mereka menggesa agar suruhanjaya kehakiman bebas ditubuhkan bagi melantik para hakim. Selain itu, mereka juga menggesa agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kebenaran klip video Lingam yang dikatakan mengatur pelantikan hakim-hakim di negara ini pada 2002 semasa Dr Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri Malaysia. Berdasarkan tuntutan ini, kita dapat lihat dengan jelas berlakunya kesangsian dalam pelantikan para hakim di negara ini. Keadaan ini adalah realiti, kenyataan dan hakikatnya tentang badan kehakiman. Oleh itu, perlu ada satu suruhanjaya kehakiman yang bebas dalam melakukan proses perlantikan hakim-hakim di Malaysia agar masalah seperti isu klip video Lingam ini tidak timbul lagi. Ibarat pepatah, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sehubungan itu, pada 27 September 2007 sebuah panel khas ditubuhkan yang terdiri daripada bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor, aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar. Kabinet Malaysia telah melantik 3 orang menteri untuk meneliti dari segi perundangan laporan panel khas yang dibentuk ini. Mereka ialah Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dan

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Menteri-menteri ini dipilih kerana mempunyai latar belakang undang-undang. Pada 16 November 2007 pula, sebuah Surahanjaya Diraja telah ditubuhkan bagi mengkaji pengesahan dan implikasi klip video Lingam ini terhadap kehakiman di Malaysia. Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan mahu perlantikan hakim sebelum dan selepas 2002 disiasat kerana mungkin ada kaitan dengan klip video tersebut agar semua pihak terutama peguam mendapat keadilan. Ahli Suruhanjaya Diraja yang telah diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agung ialah bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguamcara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh, Dato' Mahadev Shankar dan Prof Emeritus, Khoo Kay Kim. Namun, terdapat pertikaian keahlian surahanjaya ini kerana dikhuatiri tindakan badan ini di kawal dan di campuri serta dipengaruhi oleh badan lain. Hal ini kerana Tan Sri Haidar Mohamed Noor merupakan pemegang amanah Yayasan Kepimpinan Perdana bersama bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Manakala, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, namanya disebut dalam perbualan klip video itu. Tambahan pula, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh pernah menjadi peguam pendakwa dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh yang demikian, keanggotaan Suruhanjaya Diraja ini dipertikaikan kerana dikhuatiri tindakan mereka dipengaruhi dan dikawal oleh badan lain. Namun, pertikaian ini ditolak kerana telah pun diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong. Keadaan ini jelas membuktikan bahawa seolah-olah terdapat penggunaan kuasa badan eksekutif dalam menentukan sebarang keputusan berkaitan kes skandal klip video Lingam ini. Tun Dr Mahathir yang hadir dalam perbicaraan kes klip video Lingam ini merupakan antara saksi dalam kes tersebut. Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-4 ketika rakaman klip video Lingam dibuat iaitu pada 20 Disember 2001. Oleh kerana terdapat kesangsian terhadap pengaruh badan eksekutif dalam sistem kehakiman, Tun Dr Mahathir dipanggil untuk menjadi saksi. Selaku Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berhak melantik sesiapa yang difikirkan sesuai dan layak tanpa mengambil kira pandangan sesiapa dan kemudian diajukan kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia untuk disahkan. Sebab musabab seseorang itu dilantik ke jawatan tertinggi tidaklah perlu dinyatakan dan beliau berhak berbuat

demikian. Oleh sebab inilah, Majlis Peguam Malaysia menuntut agar ditubuhkan satu suruhanjaya kehakiman yang bebas untuk tujuan khas melantik para hakim negara. Kes klip video Lingam ini membuktikan bahawa kemahiran undang-undang mudah dimanipulasikan untuk kepentingan sendiri.

11.2 Kes Dr. Mahathir Vs Tengku Razaleigh Krisis berlaku pada tahun 1987 ketika UMNO mengadakan pemilihan jawatan dalam partinya. Krisis ini berlaku apabila terdapat dua kumpulan dalam parti UMNO yang berjuang menaruhkan ketua mereka bagi merebut kerusi dalam kabinet. Krisis ini memperlihatkan badan eksekutif tidak menghormati keputusan mahkamah dan kurangnya penghormatan terhadap kedaulatan perundangan dan kebebasan kehakiman. Tengku Razaleigh selaku ketua pasukan B telah mencabar untuk bertanding menentang Dr Mahathir selaku ketua pasukan A. Manakala calon bagi jawatan Timbalan Presiden bagi pasukan A ialah Tun Ghafar Baba dan pasukan B ialah Tun Musa Hitam. Sejarah UMNO menyaksikan perjuangan gigih pengikut-pengikut kedua-dua pasukan ini dalam merebut jawatan-jawatan penting dalam parti. Penyokong-penyokong Tengku Razaleigh berharap agar beliau akan menang. Keputusan rasmi mengisytiharkan Dr Mahathir sebagai pemenang dengan mendapat undian sebanyak 761 undi berbanding Tengku Razaleigh sebanyak 718 undi. Pasukan A juga memenangi 16 daripada 25 kerusi dalam Majlis Agung UMNO. Dr Mahathir bertindak menyingkirkan kesemua ahli pasukan B dalam kabinetnya. Keadaan ini telah menimbulkan kemarahan kepada penyokong-penyokong Tengku Razaleigh, mereka merasakan bahawa pemilihan ini telah dimanipulasikan. Oleh itu, seramai 12 orang ahli UMNO mengemukakan tuntutan di Mahkamah Tinggi bagi memperolehi perintah mahkamah yang mengisytiharkan bahawa keputusan pemilihan tidak sah kerana terdapat 78 orang wakil yang dipilih daripada cawangan yang tidak berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan. Tindakan ini adalah bertujuan mendesak agar diadakan pemilihan yang baru bagi parti UMNO. Namun, Mahkamah Tinggi telah memberikan tempoh dua minggu kepada kedua-dua pasukan ini agar mencari penyelesaian damai di luar mahkamah. Bagaimanapun, tiada jalan penyelesaian yang diperoleh kerana pasukan B mendesak untuk diadakan pemilihan yang baru manakala

pasukan A meminta agar tuntutan di mahkamah di tarik balik dan mereka akan mengekalkan keahlian pasukan B dalam kabinet. Akhirnya, pasukan B mengisytiharkan bahawa mereka akan mendapat penghakiman muktamad daripada mahkamah. Pada Jun 1987, satu guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 orang ahli UMNO. Mereka telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung

UMNO April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal, serta tidak mempunyai kesan. Hakim Harun telah memutuskan bahawa UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966. Perkara 41 dalam Akta Pertubuhan 1966 yang mengatakan bahawa mana-mana satu pertubuhan akan menjadi "tidak sah" secara automatik jika mana-mana satu cawangannya tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Oleh itu, Hakim Harun Hashim mengisytiharkan bahawa beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk mengisytiharkan bahawa UMNO adalah sebuah "pertubuhan yang tidak sah" dan segala yang berlaku pada tahun 1987 adalah tidak sah di sisi undang-undang. Hal ini dalam erti kata lain, pemilihan Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO adalah tidak sah di sisi undang. Namun, sebaik sahaja keputusan diumumkan, Dr. Mahathir meyakinkan ahli-ahli UMNO bahawa parti UMNO boleh dipulihkan menjadi pertubuhan yang sah dengan mudah. Dr Mahathir mengatakan bahawa kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak akan terancam dengan keputusan mahkamah yang mengatakan pemilihannya sebagai Presiden UMNO tidak sah, kerana hanya undi tidak percaya yang sah boleh menyingkirkannya jawatannya sebagai Perdana Menteri. Tindakan Dr Mahathir mengumumkan pendaftaran UMNO Baru dengan kepimpinannya terdiri daripada ahli-ahli Pasukan A dua minggu selepas keputusan Hakim Harun seolah-olah mencabar kebebasan mahkamah dalam membuat keputusan. Kenyataan Dr Mahathir mengenai kedudukannya yang tidak terancam dengan keputusan Hakim Harun seolah-olah menunjukkan kuasa mahkamah tersebut hanyalah picisan dan tidak membawa apa-apa kesan kepada statusnya. Melalui kes ini memperlihatkan kebebasan di peringkat kehakiman iaitu bagi memastikan sesuatu kongres tidak melampaui kuasa yang ada padanya, pihak mahkamah boleh mengisytiharkan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh kongres adalah tidak sah.

Akibatnya UMNO tidak lagi menjadi parti tunjang kepada parti pemerintah iaitu Barisan Nasional. Oleh yang demikian, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyerahkan tugas Pengerusi Barisan Nasional kepada Presiden MCA ketika itu iaitu Tun Ling Liong Sik. Keadaan ini secara langsung bermakna Tun Dr Mahathir Mohamad tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana parti teras telah diharamkan buat beberapa ketika. Oleh itu, berlaku kekosongan 'Perdana Menteri Malaysia' buat beberapa hari sehinggalah UMNO Baru ditubuhkan. Menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan , Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Tun Ling Liong Sik. Walaupun bagaimanapun tidak berlaku perlantikan watikah secara rasmi daripada Yang diPertuan Agung kepada Tun Ling Liong Sik. Pergolakan dalam tunjang parti utama UMNO telah menyebabkan implikasi buruk kepada badan pemerintahan negara. Kita sudah tentu tidak mahu berada di bawah pemerintahan pemimpin bangsa Cina di tanah orang Melayu ini. Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berasa selesa sekiranya semua masalah dalaman parti dibawa ke mahkamah. Beliau berharap agar masalah parti biarlah diselesaikan dan diputuskan oleh parti, bukan oleh orang luar seperti para hakim. Sejak kes ini, tidak ada lagi masalah parti dibawa ke mahkamah kerana keputusan mengharamkan UMNO yang diputuskan oleh pihak mahkamah telah mengejutkan pelbagai pihak. Tindakan UMNO 11 mengemukakan tuntutan mereka untuk mendapatkan penghakiman yang muktamad daripada pihak mahkamah telah menyebabkan UMNO diharamkan. Keadaan ini sekaligus menyebabkan UMNO 11 dituduh sebagai pengkhianat yang bertanggungjawab mengharamkan pati. UMNO 11 meneruskan kes mereka ke Mahkamah Agung bagi tujuan memulihkan status UMNO lama serta menuntut agar diadakan pemilihan baru. Bagaimanapun, rayuan mereka ditolak. Tengku Razaleigh kemudian memutuskan untuk membentuk parti baru yang menumpukan kepada "semangat 1946", iaitu tahun UMNO diasaskan. UMNO Baru kemudian memutuskan bahawa perkataan "Baru" tidak diperlukan, dan menggugurkannya secara rasmi. Ramai pemimpin, ahli politik dan rakyat Malaysia berasa lega apabila UMNO telah ditubuhkan semula. UMNO 11 telah menjadi 'kambing hitam' untuk dipersalahkan. Apa yang jelas melalui kes ini terdapat campur tangan pihak eksekutif terhadap penghakiman yang semakin ketara.

11.3 Kes Pemecatan Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas Kebebasan dalam kehakiman berkonsepkan hakim diberikan kebebasan membuat keputusan tanpa gangguan sama ada dari badan eksekutif atau badan perundangan. Pada tahun 1988, berlakunya krisis dalam badan kehakiman di Malaysia yang mana menggugat kebebasan dalam kehakiman. Peristiwa ini pada mulanya tercetus apabila Tun Salleh Abas mengadakan persidangan bagi melahirkan kekesalan para hakim terhadap badan eksekutif yang diketuai oleh perdana menteri yang cuba mengganggu kebebasan badan kehakiman. Peristiwa ini berlarutan sehinggakan berlakunya penyingkiran jawatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dari jawatannya. Pemecatan itu berlaku pada era pemerintahan perdana menteri ke-4, Dr. Mahathir Mohamad disimpulkan sebagai satu penyekatan terhadap kebebasan kehakiman yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia. Tun Dato Haji Mohamed Salleh bin Abas atau lebih dikenali sebagai Tun Salleh Abas berasal dari Kampung Raja, Besut Terengganu dilahirkan pada 25 Ogos 1925. Dalam bidang kehakiman, beliau pernah dilantik sebagai peguamcara negara pada tahun 1963 pada usia 38 tahun. Seterusnya ketika berusia 50 tahun, beliau dilantik sebagai hakim mahkamah persekutuan. Setelah Raja Azlan Shah dilantik sebagai Sultan Perak pada tahun 1984, beliau telah menggantikan Raja Azlan Shah sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun yang sama. Krisis yang telah mengurangkan kebebasan badan kehakiman ini yang akhirnya membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas berlaku sekitar tahun 1988. Pada ketika itu, pelbagai kisah yang membabitkan keputusan badan kehakiman yang kurang berpihak pada badan eksekutif dan tidak disenangi oleh badan tersebut. Badan eksekutif yang pada masa tersebut dipimpin oleh perdana menteri Dr. Mahathir mohamad telah membuat kesimpulan bahawa badan kehakiman telah mencabar badan eksekutif. Pada ketika itu, beliau telah menyerahkan beberapa pindaan perlembagaan kepada Parlimen. Pindaan perlembagaan tersebut ialah bagi melecutkan kuasa kehakiman dan hanya memberikan mereka kuasa kehakiman seperti yang di minta oleh parlimen sahaja. Sebagai permulaan untuk meminda kuasa kehakiman ini, Dr. Mahathir menyatakan dalam dialog

ucapannya mahkamah-mahkamah telah memutuskan bahawa penguatkuasaan undangundang, mereka terikat kepasa tafsiran-tafsiran sendiri dan bukanya terhadap alasan-alasan yang menyebabkan parlimen merumuskan undang-undang ini akhir-akhir ini badan kehakiman telah berasa wajar untuk menyentuh perkara-perkara yang dahulu dianggap sebagai hanya dalam kuasa eksekutif. Krisis ini berlaku pada tahun 1988 yang menggangu gugat kebebasan badan kehakiman bermula pada episod campur tangan pemimpin politik dalam negara terhadap badan kehakiman. Para hakim ketika itu merasakan perlunya tindak balas dalam krisis ini. hal ini juga berikutan campur tangan ini telah menyekat kebebasan kehakiman sehinggakan keputusan-keputusan yang dibuat oleh hakim dipengaruhi oleh campur tangan pemimpin politik. Lantaran itu, Ketua Hakim Negara pada ketika itu, Tun Salleh Abas terpanggil untuk menganjurkan persidangan yang bertujuan untuk menegaskan dalam satu kenyataan umum bagi mengekalkan kebebesan dalam badan kehakiman. Persidangan yang berlangsung di Kuala Lumpur dihadir oleh 20 orang Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai tanda rasa tidak puas hati badan kehakiman terhadap tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia. Melalui persidangan ini yang dipengerusi oleh Tun Salleh Abas ini para hakim yang menghadirinya sebulat suara bersetuju untuk menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Surat ini menjadi medium untuk melahirkan dan menyatakan kekesalan para hakim terhadap ucapan kritikan, berbagai-bagai komen dan tuduhan yang dibuat oleh Dr Mahathir Mohamad bekenaan badan kehakiman. Surat yang dirangka juga tidak mendesak sebarang tindakan yang khusus untuk diambil. Sebalinya, surat itu hanya bertujuan agar semua tuduhan tidak berasas tersebut dihentikan. Antara kandungan surat tersebut, Tun Salleh Abas menyatakan : All of us (the judges) are disappointed with the various comment and accusations made by the prime minister against the judiciary not only out side but inside parliament.( Kami (para hakim) kecewa dengan pelbagai kenyataan dan tuduhan yang dibuat Perdana Menteri terhadap badan kehakiman bukan sahaja di luar malahan di dalam Parlimen ).

The accusations and comments have brought shame to all of us and left us mentally disturbed to the extent of being unable to discharge our functions orderly and properly.( Tuduhan-tuduhan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat telah memalukan kami semua dan telah meninggalkan kesan kekacauan mental sehinggakan kami tidak dapat menjalankan tugas kami dengan tertib dan teratur ). Do not like to reply to the accusations publicly because such action is not compatible with our position as judges under the constitution and as such it is only proper for us to be patient in the interest of the nation.( Tidak mahu membalas secara terbuka tuduhan kerana tindakan tersebut tidak bersesuaian dengan kedudukan kami sebagai hakim di bawah Perlembagaandan oleh itu adalah lebih baik kami bersabar demi kepentingan Negara ). Setelah dua bulan kemudian, Tun Salleh Abas telah di gantung jawatan. Berikutan peristiwa itu juga Tan Sri Abdul Hamid Omar yang merupakan Hakim Besar Malaya dilantik bagi memangku jawatan Ketua Hakim Negara. Dalam masa pergantungan jawatan itu juga, Tun Salleh Abas dituduh dengan tuduhan salahlaku dan memdorong kepada penubuhan satu tribunal khas. Tindakan kerajaan menubuhkan tribunal dalam melakukan penyiasatan ini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, perkara 125 (3A). Tribunal yang dibentuk oleh kerajaan ini terdiri daripada enam orang hakim dan bekas hakim. Tribunal ini turut diwakili oleh hakim negara asing. Penyertaan hakim asing ini adalah bagi memastikan keputusan tribunal tidak berat sebelah. Tribunal ini dipengerusi oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Abdul Hamid Omar dan ahli yang lain ialah Dato Sri Lee Hun Hoe yang merupakan Hakim Besar Borneo dan dua bekas hakim iaitu Tan Sri Abdul Azizi Bin Zain dan Tan Sri Mohd Zahir Bin Ismail. Hakim negara asing pula terdiri daripada Yang Arif K.A.P Ranasinghe iaitu Ketua Hakim Sri Lanka dan Yang Arif Hakim T.S Sinnathuray iaitu Hakim Kanan Mahkamah Agung Singapura. Pada ketika itu juga, beliau telah menfailkan bagi mempertikaikan keesahan tribunal tersebut di bawah Perlembagaan Persekutuan serta menuntut agar tribunal tersebut digantung. Namun begitu, tuntutan yang dilakukan ditolak. Beliau juga enggan menghadiri tribunal yang

dihadapkan keatas beliau. Selain itu, terdapat lima orang Hakim Mahkamah Agung yang diketuai Tan Sri Wan Sulaiman yang bersidang telah memperkenankan permohonan untuk mendapat pergantungan keatas tribunal berkenaan. Persidangan yang dilakukan di Mahkamah Agung di Kuala Lumpur setelah membatalkan persidangan mahkamah di Kota Bharu telah bersetuju untuk mengeluarkan arahan menghentikan tribunal tanpa memberikan apa-apa cadangan, laporan atau nasihat berkenaan siasatan tribunal. Lantaran tindakan lima orang hakim Mahkamah Agung ini telah menyebabkan pemangku Ketua Hakim Negara, Tan Sri Abdul Hamid Omar menubuhkan satu panel untuk mengkaji pergantungan tribunal tersebut. Walau bagaimanapun, pada Ogos 1988 perintah pergantungan tersebut akhirnya diketepikan. Oleh itu, pada tanggal 8 Ogos 1988, Tun Salleh Abas dipecat kerana salahlakunya menerusi perbicaraan sebuah tribunal enam orang hakim-hakim yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agung. Antara kandungan laporan tribunal menyatakan salahlaku yang merupakan kelakukan buruk yang dilakukan beliau yang merupakan faktor beliau dipecat ialah menulis surat kepada Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu, membuat ucapan dan kenyataan akhbar, serta menangguhkan satu kes dengan tidak memberi memberi tarikh perbicaraan sine die. Oleh itu, berdasarkan penyiasatan dan laporan tribunal yang dikeluarkan Tun Salleh Abas telah dipecat secara rasmi sebagai Ketua Hakim Negara. Disamping itu, kelima-lima hakim yang membuat permohonan penggantungan tribunal kes Tun Salleh Abas digantung jawatan. Hakim-hakim tersebut terdiri daripada Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Seah. Setelah itu, pada Oktober 1988, Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Seah telah dipecat dari jawatan mereka manakala Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh dikembalikan jawatan masin-masing. Berdasarkan kes ini, pemecatan Ketua Hakim Negara ini juga berikutan kenyataan beliau dalam surat kepada Yang Dipertuan Agong iaitu The accusations and comments have brought shame to all of us and left us mentally disturbed to the extent of being unable to discharge our functions orderly and properly. Kenyataan ini membawa maksud tuduhan-tuduhan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat telah memalukan kami dan telah meninggalkan kesan

kekacauan mental sehinggakan kami tidak dapat menjalankan tugas kami dengan tertib dan teratur. Oleh itu, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, perkara 125 (3) menyatakan

pemecatan hakim boleh dilakukan disebabkan salahlaku dan juga ketidakupayaan tubuh atau pemikiran atau lain-lain sebab untuk menjalankan tugas-tugas jawatan dengan saksama. Lantaran kenyataan beliau yang mengakui beliau tidak terdaya untuk melakukan tugas-tugasnya dengan teratur dan tertib. Krisis kehakiman dalam konteks kebebasan badan kehakiman ini telah berlanjutan sehingga peristiwa pemecatan Ketua Hakim Negara. Secara ringkasnya, krisis ini bermula apabila badan kehakiman hanya menuntut kebebasan kehakiman serta menuntut pihak eksekutif untuk tidak campur tangan dalam isu kehakiman serta berhenti memberi kritikan kepada organisasi kehakiman negara. Badan kehakiman membuat keputusan untuk menulis surat menyatakan rasa ridak puas hati kepada yang dipertuan agong mengenai campur tangan pihak eksekutif. Namun, langkah tersebut telah mendorong kepada masalah yang lebih besar. Berikutan itu, kerajaan memainkan peranannya kearah penyelesaian iaitu menubuhkan satu pasukan tribunal yang mendakwa Tun Salleh Abas atas alasan salah laku. Penyiasatan yang dilakukan membuktikan beliau bersalah. Oleh itu, lantaran tersilap langkah penyelesaian yang dilakukan oleh Tun Salleh Abas telah mengorbankan kerjaya beliau sendiri. Berdasarkan contoh kes ini, dapat disimpulkan bahawa keputusan-keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman akan mempengaruhi badan eksekutif dan kerajaan. Apabila keputusan yang diputuskan oleh badan kehakiman tidak berpihak kepada badan eksekutif akan menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota badan eksekutif. Lantaran ini, rasa tidak puas hati ini akan dizahirkan melalui ucapan-ucapan, komen-komen dan sebagainya dalam majlis-majlis rasmi. Ketidakfahaman antara kedua-dua institusi utama negara ini telah menyebabkan pihak eksekutif menggunakan kuasa autoriti dan pengaruhnya terhadap semua badan-badan yang terlibat. Oleh itu, berdasarkan kes kebebasan badan kehakiman ini berakhir dengan pemecatan Tun Salleh Abas sebagai ketua hakim negara

11.4 Kes Perletakan Jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ketua negara mempunyai kuasa tertinggi diantara badan-badan pemerintahan negara ini. Menerusi Perlembagaan Persekutuan, corak pemerintahan di Malaysia telah diasingkan kepada tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan negara. Badanbadan tersebut terdiri daripada badan perundangan, badan pentadbiran atau eksekutif dan badan kehakiman. Di Malaysia, badan kehakiman bertanggungjawab untuk mentafsir dan melaksanakan undang-undang. Menerusi badan kehakiman ini juga melibatkan para hakim dan majistret yang secara prosedurnya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan ketua negara. Pengasingan pemerintahan kepada tiga badan ini dijelaskan dalam isitilah doktrin pengasingan kuasa yang mana doktrin ini dikemukan oleh Montesquieu yang merupakan ahli falsafah terkemukan perancis pada abad ke-18. Doktrin pengasingan kuasa ini dilakukan bagi tujuan untuk mengelakkan pertindihan kuasa dan memastikan pembahagian tugas dengan jelas antara ketiga-ketiga badan pemerintahan ini. Dalam kalangan pengamal undang-undang menyifatkan kehakiman di Malaysia merupakan gambaran maruah dan imej mereka. Ditambah lagi dengan pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan kuasa kehakiman yang dipraktikan dalam doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan oleh badan-badan pemerintahan di negara ini. Walau bagaimanapun, masih terdapat lagi krisis mengenai kebebasan badan kehakiman dalam menjalankan tanggungjawab kepada negara. Pihak kehakiman mendakwa kebebasan meraka dalam memainkan peranan mereka di campuri oleh kuasa-kuasa lain di negara ini. Lantaran campur tangan itu, telah menyebabkan pelbagai implikasi yang timbul. Campur tangan kuasa lain dalam bidang kehakiman telah mendorong Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid meletakan jawatannya. Datuk Syed Ahmad Idid yang ketika itu memegang portfolio Hakim Mahkamah Tinggi diminta untuk melepaskan jawatannya ketika cuba mendedahkan aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman negara pasa sekitar tahun 1966. Kes perletakan jawatan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad

Idid ini membuktikan terdapat penyekatan dalam kebebasan badan kehakiman walaupun sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan badan ini. Datuk Syed Ahmad Bin Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk Syed Ahmad Idid dilahirkan pada 12 Jun 1938 di Alor Setar, Kedah. Kerjaya beliau dimulakan sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat pada tahun 1957. Setalah tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1960 beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah Kastam di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia. Lantaran minat dalam dibidang undang-undang beliau telah mengikuti kursus undangundang di Inns of Courts, London dan memiliki ijazah barrister-at-law. Setalah itu, beliau menjawat jawatan dibahagian perkhidmatan kehakiman sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Sabah dan selepas itu di Kuala Lumpur. Sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Idid telah memainkan peranannya dengan baik. Semasa menjalankan tugasnya, beliau mendapati terdapat aktiviti rasuah yang didalangi oleh 12 orang hakim di Malaysia. Bagi menyelesaikan kegiatan rasuah yang melibatkan 12 orang hakim ini, beliau telah bertindak dengan menghantar sepucuk surat yang isi kandungannya ialah dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman yang disertai oleh 12 orang hakim. Surat tersebut yang ditulis oleh beliau kepada Ketua Hakim Negara ketika itu iaitu Tun Mohd Eusoff Chin. Kandungan surat yang ditulis oleh Datuk Syed Ahmad Idid juga telah mengemukakan butir-butir mengenai dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman yang melibatkan 12 orang hakim. Selain itu, beliau juga menuntut ketua hakim negara, Tun Mohd Eusoff Chin untuk menyiasat dakwaan tersebut dan jika mempunyai sebarang bukti kes tersebut boleh dipanjangkan dan mendakwa mereka yang terlibat. Setelah menerima surat berkenaan, penyiasatan mengenai dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman ke atas 12 orang hakim ini jalankan. Setelah penyiasatan dilakukan, dakwaan Datuk Syed Ahmad Idid adalah tidak benar. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Tan Sri Mohtar Abdullah yang merupakan Peguam Negara pada masa itu. Tan Sri Mohtar Abdullah menyatakan bahawa keduabelas-duabelas hakim terbabit telah di panggil untuk disoal dan disiasat oleh pihak berkuasa, namun penyiasatan menunjukkan bahawa dakwaan Datuk Syed Ahmad Idid adalah tidak benar dan tidak berasas.

Natijahnya daripada tindakan tersebut Datuk Syed Ahmad Idid dipaksa untuk meletakan jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia. Tan Sri Mohtar Abdullah yang merupakan Peguam Negara pada masa itu merupakan orang yang memaksa beliau melepaskan jawatannya sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia. Berikutan peristiwa itu juga, Datuk Syed Ahmad Idid mengalami pelbagai kerugian. Beliau dipaksa untuk melepaskan jawatannya, hilang pencen dan kerjaya. Setelah beberapa tahun beliau hilang kerjaya beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur pada tahun 2004. sebelum itu, pada ketika kes tersebut disiasat juga terdapat khabar angin yang mahu Datuk Syed Ahmad Idid akan dihadapkan dan ditahan dibawah Akta Keselamatan Negara atau ISA namun pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia enggan untuk melakukannya. Namun begitu, terdapat dakwaan yang mengatakan tiada sebarang siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam badan kehakiman yang dinyatakan oleh Datuk Syed Ahmad Idid. Kenyataan ini dikeluarkan oleh Tan Sri Abu Talib Othman menerusi Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 4 Jun 2006. Tambahan pula, Tan Sri Mohtar Abdullah turut mendakwa bahawa beliau dipaksa untuk memaksa Datuk Syed Ahmad Idid meletakkan jawatannya. Pada sekitar Disember 2003, Datuk Syed Ahmad Idid telah menghadiri sebuah Persidangan Undang-Undang Malaysia yang ke-12. Pada persidangan Undang-Undang Malaysia ini beliau mencadangkan sebuah Suruhanjaya Kehakiman untuk memerhatikan perlantikan, pertukaran kenaikan pangkat, kenaikan gaji dan pemberian ganjaran serta juga memberikan latihan dan pendidikan lanjutan kepada hakim. Bagi beliau, Suruhanjaya Kehakiman ini penting dalam meningkatkan prestasi para hakim ketahap yang lebih baik. Cadangan ini berikutan apa yang telah terjadi kepada dirinya juga. Lantaran itu, pada pemikiran beliau suruhanjaya ini dapat mengelakkan perkara yang sama berulang lagi. Kini Badan Peguam Malaysia juga telah memikirkan rasional tentang penubuhan Suruhanjaya Kehakiman ini. Hal ini membuktikan tiada kebebasan dalam badan kehakiman yang mana keputusan dan tindakan badan ini di kawal dan di campuri oleh badan lain. Walaupun, Datuk Syed Ahmad Idid telah mendakwa dan memohon siasatan dilakukan namun, hal ini dipandang sebelah mata dan

membiarkan kes ini begitu sahaja. Hakikatnya, doktrin pengasingan kuasa telah memberi hak sepenuhnya dan mutlak kepada hakim untuk menentukan keputusan kes. Sebaliknya berlaku, kebebasan kehakiman ini disekat dimana terdapat campur tangan dari pihak-pihak berkaitan mengenai keputusan-keputusan yang dilakukan oleh para hakim. Akibat beberapa kes yang mengumbang kepada krisis kehakiman terutama pada tahun 1988 telah menyebabkan perubahan dalam sistem kehakiman negara. Perubahan tersebut membawa kepada kuasa mahkamah itu adalah apa sahaja yang dibenarkan ke atas mahkamah mesti di bawah undang-undang yang digubal di parlimen. Selain itu, kuasa yang diperuntukan kepada hakim ini telah dikawal setelah berlakunya krisis kehakiman Malaysia pada tahun 1988 melalui pindaan perlembagaan Malaysia yang menghapuskan kuasa semakan kehakiman ini dan sesuatu keputusan mestilah dibincangkan di bawah undang-undang negara. Pendek kata, perubahan yang dilakukan ini dapat ditafsirkan bahawa kuasa mutlak hakim dalam membuat keputusan mahkamah telah dipengaruhi dan dirampas oleh badan eksekutif. Hal ini membuktikankan kebebasan badan kehakiman dalam menjalankan kuasanya telah dinodai.

11.5 Kes Pembunuhan Altantuya Shariibuu Kes Pembunuhan Altantuya Shaariibuu adalah kes pembunuhan berprofil tinggi yang berlaku di Malaysia. Di dalam kes ini, seorang rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibunuh secara kejam di kawasan berdekatan Shah Alam, Selangor, Malaysia. Enam orang ditahan dan disiasat berhubung dengan kejadian ini. Kes ini berprofil tinggi kerana ia melibatkan Abdul Razak Baginda, seorang yang rapat dengan perdana menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak. Altantuya Shaariibuu telah dijumpai secara ngeri di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, berdekatan Shah Alam, Selangor di antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Mayatnya ditemui pada 7 November 2006 iaitu 17 hari selepas dia diletupkan dengan bahan letupan C4. Lokasi itu berdekatan dengan Empangan Tasik Subang. Beliau merupakan model sambilan dari Ulan Bator, ibu negara Mongolia, utara China. Cebisan mayat Altantuya ditemui bertaburan berhampiran Empangan Tasik Subang di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor. Pakar patologi mengesahkan cebisan mayat itu

milik Altantuya dan disyakki dibunuh dengan letupan C4 iaitu probable blast related injuries (kecederaan berkaitan letupan). Enam orang ditahan termasuk Abdul Razak Baginda, Cif Inspektor Azilah

Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar. Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar dari Unit Tindakan Khas. Dua lelaki penyiasat persendirian disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengugut. Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid meluluskan permohonan polis bagi menahan reman dua bekas anggota polis itu dan kini ditahan di Ibu pejabat Polis Kontinjen Malaysia. Seorang Cif Inspektor dari Unit Tindakan Khas, seorang Lans Koperal wanita dari Kontinjen Polis Petaling Jaya dan seorang konstabel turut ditahan reman selama tujuh hari. Mereka ditahan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kes bunuh. Ketua Polis Negaea Tan Sri Musa Hassan mengesahkan beliau telah meminta bapa, ibu dan anak Altantuya yang menetap di Ulan Bator, Mongolia untuk datang ke Malaysia bagi memberi keterangan dan ujian darah DNA. Para pegawai pendakwa raya daripada Jabatan Peguam Negara, anggota Jabatan Forensik Bukit Aman serta pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) membuat

pemeriksaan semula di Empangan Subang, Puncak Alam, Shah Alam , Selangor. Altantuya Shaariibuu berusia 28 tahun dari Ulan Bator, Mongolia disyaki ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan tiga butir bom tangan di Empangan Tasik Subang, Puncak Alam, Shah Alam, Selangor. Altantuya tinggal dan dibesarkan di St Petersburg, Rusia sehingga berusia 12 tahun dan mendapat pendidikan di Beijing, China. Dia menguasai bahasa Inggeris, Rusia, Mandarin dan Mongolia. Altantuya Shariibuu siswazah dan penterjemah dan jurubahasa di Ulaan Bator. Altantuya Shariibuu juga pernah bekerja dengan beberapa agensi pelancongan dan sebagai model sambilan. Beliau sering ke luar negara selaku model sambilan. Pada 7 atau 8 Oktober 2006 Altantuya ke Malaysia bersama adik perempuan dan sepupunya mencari Abdul Razak Baginda iaitu bapa kepada bayi lelakinya yang berusia 16 bulan. Anak kecilnya bernama Altanchagai.Altantuya mahukan Razak Baginda membiayai kos rawatan lebihan cecair di kepala Altanchagai. Ayahnya bernama Dr Shariibuu Setev yang merupakan seorang profesor psikologi dan isterinya Altentsetseg Sanja, seorang suri rumah tinggal di daerah Bayangol, 19 horoo, Block 56, Apartmen 28, Ulan Bator, Mongolia. Pernah bekerja sebagai guru

Tertuduh terdiri daripada tiga orang individu iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri, Koperal Sirul Azhar Umar dan Abdul Razak Abdullah Baginda. Hakim yang menghakimi kes yang berprofil tinggi ini ialah Datuk Mohd Zaki Md Yasin. Pendakwa kes terdiri daripada beberapa orang pendakwa raya iaitu Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Manoj Kurup, Wong Chin Kiat, Noorin Badaruddin dan Hanim Rashid. Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar telah bertindak sebagai Peguam bela kepada Sif Inspektor Azilah Hadri manakala Koperal Sirul Azhar Umar dan Abdul Razak Abdullah Baginda masing-masing dibela oleh Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Rezuan Merican, Ahmad Zaidi Zainal dan Wong Kian Kheong. Cif Inspektor Azilah Hadri mulanya akan dibela oleh Zulkifli Nordin. Tapi Zulkifli Nordin menarik diri kerana ada campurtangan serius pihak ketiga sewaktu pembelaan dan perbicaraan. Kemudian peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar dilantik sebagai peguam bela Azilah Hadri. Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, ketika itu berumur 28 tahun di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735 di atas bukit Puncak Alam Mukim Bukit Raja, Shah Alam, Selangor antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Jika sabit kesalahan, pertuduhan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar. Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal. Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya. Sementara itu, Abdul Razak Baginda didakwa melakukan kesalahan bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi 18 Okt lepas di tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, di sini. Pada 31 Oktober 2008, Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin di Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak Baginda kerana tidak ada prima facie. Tetapi Azilah dan Sirul diperintah membela diri pada 10 November 2008 kerana ada prima facie. Seterusnya, Pada 9 April 2009 Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar telah didapati bersalah dalam pembunuhan Altantuya Shariibuu dan dijatuhkan hukuman mati.

Kes pembunuhan Altantuya merupakan suatu kes yang mencatatkan banyak kontroversi atau fakta yang boleh dipertikaikan terutamanya apabila kes ini dikaitkan dengan individu yang amat berpengaruh di dalam bidang politik di Malaysia. Pertamanya adalah perkara pokok iaitu motif pembunuhan. Apakah motif pembunuhan Altantuya yang dapat dikaitkan dengan azilah dan sirul sedangkan kedua-dua tertuduh tidak pernah mengenali mangsa tambahan lagi tiada pula pertuduhan lain seperti rogol atau rompak. Bagaimana mereka boleh melakukan pembunuhan terancang terhadap Altantuya sedangkan mereka langsung tidak mengenali Altantuya tambahan pula mereka ini merupakan anggota unit khas yang terlatih dengan penuh disiplin. Mereka tidak akan melakukan sebarang tindakan melainkan mendapat arahan daripada pihak atasan. Atas faktor inilah yang menyebabkan keputusan ini menjadi sungguh kontroversi dan dipertikaikan oleh ramai pihak kerana ada pihak yang mengaitkan pembunuhan ini mempunyai perkaitan dengan Abdul Razak Baginda selain dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Dato seri Najib Tun Razak yang pernah cuba diheret untuk dijadikan sebagai salah seorang saksi yang akan disiasat, Namun, Dato seri Najib menafikan sekeraskerasnya perkaitannya dengan Abdul Razak Baginda dan Kes tersebut selain mendakwa tidak pernah mengenali Altantuya. Ironinya terdapat beberapa foto yang disiarkan oleh beberapa blog pembangkang yang menyiarkan gambar Dato seri najib pernah duduk semeja dengan Altantuya di sebuah restoran eksklusif di salah sebuah negara eropah. Dato seri najib menolak cabaran dari pihak pembangkang yang mencabar beliau untuk memberikan keterangan di mahkamah dan hanya akan menghadiri perbicaraan di mahkamah jika beliau di sapina. Namun, perkembangan yang terbaru menunjukkan yang sebaliknya apabila baru-baru ini mahkamah mengeluarkan arahan sapina terhadap dato seri najib tu razak dan beliau yang sebelum itu berkata akan menghadiri perbicaraan jika disepina sebaliknya mengemukakan rayuan bagi membatalkan arahan sapina ke atasnya. Selain itu, keputusan akhir pembunuhan Altantuya juga menimbulkan persoalan kerana Pendakwa Raya bertindak untuk tidak menggunakan peluang untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Abdul Razak Baginda walaupun mempunyai dua peluang yang nyata iaitu di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Selain itu, terdapat juga pertikaian terhadap penggunaan senjata semasa pembunuhan iaitu di

dalam kenyataan beramaran sirul, dia ada mengaku menembak Altantuya tetapi kenapa senjata pembunuhan langsung tidak wujud di dalam perbicaraan. Jika diperhatikan, terlalu banyak kontroversi atau pertikaian yang timbul hasil keputusan yang diputuskan oleh mahkamah di dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya ini. Kecelaruan yang timbul telah mengelirukan rakyat dan pemerhati kes ini selain bakal memburukkan nama sistem kehakiman juga nama Malaysia di peringkat antarabangsa memandangkan kes pembunuhan ini mendapat liputan yang meluas di peringkat antarabangsa.

11.6 Kes Pemuda Disaman Kerana Memakai Serban Semasa Menunggang Kes seorang pelajar Pondok Pasir Tumbuh yang disaman kerana menunggang motosikal dengan berserban dan tidak memakai topi keledar telah mengemparkan seluruh warga Malaysia terutamanya warga Malaysia yang beragama Islam. Pada 20 September 2007, seorang pemuda yang juga penuntut Madrasah Bakriah Ad-Diniah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pasir Tumbuh iaitu Ahmad Nasir Bin Darus, 27 telah disaman di Jalan Pasir Tumboh kira-kira jam 6.30 petang atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sebaliknya memakai serban. Beliau disaman kerana melakukan kesalahan yang bertentangan dengan Kaedah 4 Motosikal (topi keledar keselamatan) 1973 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta yang sama. Pendakwaan kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohd Yusri Mamat. Manakala Ahmad Nasir Bin Darus pula diwakili oleh Peguam Bela iaitu Ahmad Rezal Effende Zainol. Pada 19 Januari 2009, Mahkamah Majistret Kota Bharu yang diketuai oleh Majistret Tengku Amalin Aishah Putri Sultan Ismail Petra telah menjatuhkan hukuman dikenakan denda RM 90 atau menjalani hukuman penjara dua hari. Keputusan itu dibuat majistret setelah meneliti keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan serta hujahan bertulis yang dikemukakan. Mahkamah mendapati pihak pembela gagal membuktikan keraguan yang munasabah dan tiada keterangan saksi-saksi lain yang dapat mengesahkan Ahmad Nasir seorang lebai. Bagaimanapun pelajar pondok itu yang diwakili peguam Ahmad Rizal Effande Zainol memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut bagi membolehkan

rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi. Namun mahkamah menolak permohonan peguam dan mengekalkan keputusan asal. Ahmad Nasir Darus, 27 memilih menjalani hukuman penjara selepas Majistret Tengku Amalin A'Ishah Putri memutuskan dikenakan hukuman denda RM90 atau menjalani hukuman penjara dua hari. Bagaimanapun di atas alasan memegang prinsip demi mempertahankan sunnah Rasulullah saw beliau lebih sanggup ditahan di penjara. Keputusan akhir Mahkamah Majistret Kota Bharu yang menjatuhkan hukuman bersalah ternyata mengundang ketidak puasan hati sesetengah pihak yang berfikiran konservatif. Di Malaysia, rata-rata penunggang motosikal memakai topi keledar kerana ia merupakan undangundang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Malah menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Terengganu, sebaik sahaja seseorang berada di atas jalanraya, tanpa mengira sama ada jalanraya di bandar-bandar besar mahupun di kampung, secara automatik terikat dengan segala peraturan jalan raya, termasuklah pemakaian topi keledar bagi penunggang motosikal. Ada juga yang tidak memakai topi keledar seperti ulama, lebai dan juga orang-orang yang beragama Sikh, kerana memakai serban merupakan budaya mereka. Mereka ini adalah golongan yang dikecualikan daripada memakai topi keledar berdasarkan Kaedah-kaedah Motosikal ( Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama pengecualian untuk haji, hajjah, lebai dan penganut Sikh sebagaimana yang dinyatakan di atas. Namun, adakah Ahmad Nasir yang baru berusia 25 tahun itu layak digelarkan sebagai seorang lebai. Hal ini yang mencetuskan ketidak puasan sesetengah pemerhati kes ini memandangkan pesalah dihukum kerana mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Turut berhujah kerana bersetuju dan mewakili golongan yang kurang selesa dengan keputusan mahkamah itu adalah Menteri Besar Kelantan itu sendiri iaitu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan umum mengetahui berapa ramai penunggang motosikal yang terbunuh akibat nahas jalan raya walaupun mereka memakai topi keledar sewaktu menunggang motosikal. Katanya, soal ia merupakan pakaian pak lebai atau golongan haji tidak berbangkit walaupun undang-undang dan peraturan jalan raya mengklasifikasikan begitu dan beliau tidak mahu campur urusan agama dengan peraturan jalan raya. "Cuma bagi saya, mereka yang memakai pakaian serban tidak harus dikenakan tindakan, jika ia dipakai dan diikat dengan kemas," katanya.

Menurut Nik Aziz, serban bermakna dalam bahasa Melayu asal ialah ikatan kain kepala, seperti juga semuntal bagi pakaian tradisi orang Melayu Kelantan sedikit masa dulu. Beliau berpendapat, jika masyarakat keturunan Sikh yang memakai serban dan boleh dikecualikan daripada undang-undang jalan raya, tidak ada sebab orang Islam yang memakai serban tidak boleh dikecualikan daripada peraturan itu. "Saya tidak mahu ganggu soal agama. Lebai atau jahil, bukan boleh dinilai pada pakaian kerana ini mengikut tafsiran masing-masing, kerana ada orang lebai atau haji tetapi tidak pakai serban atau kupiah, dan ada juga yang pakai serban sebesar bakulpun tetapi tidak dianggap lebai," katanya. Memang terdapat di dalam perlembagaan iaitu peruntukan khas yang membenarkan penganut Sikh untuk memakai serban memandangkan amalan itu merupakan wajib di dalam agama mereka namun, beliau mahu kerajaan mengkaji semula peraturan itu bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul seperti apa yang terjadi kepada kes berkenaan.

11.7 Kes Perlantikan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir Sebagai Menteri Besar Perak Pergolakan dalam kes ini dilihat amat serius kerana melibatkan dua belah pihak yang bertelagah dalam pendapat masing-masing iaitu badan kehakiman dan badan eksekutif. Masalah utama timbul apabila badan terbabit mempertahankan keputusan walaupun masing-masing

menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk mengukuhkan hujah. Sebutan kes ini sedikit sebanyak telah menggugat kebebasan dalam badan kehakiman Malaysia kerana perlantikan Datuk Seri Zambry sebagai Menteri Besar Perak oleh Sultan Perak atas perkenan baginda menggantikan Dato Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin yang pada ketika itu menyandang jawatan terbabit. Dato Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam, Kampar. Beliau merupakan ADUN Pasir Panjang dan ahli Parlimen Bukit Gantang. Beliau bertanding dalam pilihan raya dalam tiket PAS dan berjaya mengekalkan kerusi tersebut berikutan kematian Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharum. Kemenangan majoriti disandang oleh parti DAP lalu parti terbabit memohon perkenan Sultan Perak untuk melantik wakil bukan Melayu menjadi Menteri Besar tetapi permohonan terbabit ditolak oleh

Sultan Perak. Rentetan daripada peristiwa inilah yang menjadikan sebulat suara melantik Nizar sebagai Menteri Besar Perak ditambah pula dengan mendapat perkenan Sultan. Kes ini mula dihujahkan pada 11 April 2009 di hadapan hakim Abdul Aziz Abdul Rahim, hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada sebelumnya, kekalahan pihak kerajaan di Perak telah menjadikan Nizar sebagai Menteri Besar Perak dalam aliran pembangkang. Perlantikan ini dibuat atas sebulat suara di Dewan Undangan Negeri dan diperkenankan oleh sultan. Maka, sahlah beliau sebagai ketua pentadbir kerajaan negeri Perak dan bertanggungjawab terhadap Dewan Undangan Negeri Perak dan bangunan Perak Darul Ridzuan. Kekeliruan telah wujud pabila perlantikan Nizar yang sah ditolak oleh Sultan Azlan dan digantikan oleh Zambry. Perlantikan Nizar adalah sah pada sisi Mahkamah Tinggi kerana tiada undian tidak percaya diusulkan di Dewan Undangan Negeri bagi menentang jawatan yang disandang oleh Nizar. Semasa Nizar datang ke Istana untuk membubarkan DUN, di pejabat Sultan Perak telah menitahkan bahawa tidak akan membubarkan DUN dan turut menitahkan Nizar dan Anggota Majlis Mesyuarat Tertinggi untuk meletakkan jawatan dan sekiranya enggan maka jawatan mereka akan dianggap kosong. Pada tanggal 6 Februari 2009, Datuk Seri Zambry telah dilantik menjadi Menteri Besar Perak atas perkenan di Raja menggantikan Mohammad Nizar. Dengan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, maka tampuk pemerintahan di Perak yang dahulunya dimonopoli oleh pembangkang sudah menjadi jajahan pihak kerajaan. Ketidakpuasan hati Mohammad Nizar dengan keputusan terbabit telah menarik beliau untuk mengambil tindakan undang-undang dengan memohon mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah selain memohon injunksi melarang Zambry daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar. Setelah berlaku percanggahan di dalam pelantikan ini, pada 11 Mei 2009, Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati beliau tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Akan tetapi, keputusan ini hanyalah berada di mahkamah bukannya dalam titah Sultan Perak. Keputusan oleh Mahkamah Tinggi ini sedikit sebanyak tidak mengganggu kedudukan Zambry yang mana beliau masih memegang tampuk pemerintahan di Perak Mahkamah Rayuan telah menetapkan bahawa sebutan semula kes akan dilakukan kerana Zambry sebelum ini telah mengemukakan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang berpegang kuat pada Perlembagaan Persekutuan. Keputusan Mahkamah Tinggi dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pelantikan Zambry adalah secara sah pada 22 Mei 2009. Setelah segala perbincangan yang dilakukan, kemenangan memihak kepada Zambry selaku pemegang parti kerajaan untuk menjawat jawatan Menteri Besar Perak yang sah. Kebebasan mahkamah dilihat terbatas berkenaan dengan kes pelantikan Menteri Besar Perak ini. Campur tangan yang berlaku di antara institusi kehakiman dan institusi beraja banyak menimbulkan spekulasi dan timbul pandangan yang negatif oleh masyarakat sekeliling. Seperti yang kita sedia maklum, pelantikan Nizar sebagai MB Perak adalah sah mengikut undangundang kerana kemenangan parti pembangkang di Perak lantas pembentukan kerajaan oleh pembangkang tetapi dinafikan oleh Sultan Azlan Shah yang mahukan Zambry tetap naik sebagai MB Perak. Kebebasan ini telah dibatasi oleh kuasa Raja yang tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun. Keputusan Sultan yang mahukan Zambry menjadi MB Perak tidak boleh dipertikaikan kerana Baginda mempunyai pendirian Baginda sendiri. Akan tetapi, tindakan Baginda telah menimbulkan pelbagai tanda tanya masyarakat kerana Nizar mengikut undang-undang adalah sah dilantik. Konflik ini telah menyaksikan ketidakpuasan hati masyarakat terhadap Sultan Azlan Shah kerana melakukan keputusan terbabit dan mahu mengheret Baginda ke mahkamah. Penyeretan ini perlu mengikut prosuder yang mana jika beroleh endorsmen Peguam Negara yang tentunya akan membuat penilaian dan pertimbangan yang amat teliti sama ada beliau puas hati untuk mengeluarkan endorsmen tersebut. Perbuatan masyarakat dengan bersuara lantang dan ingin mengheret Baginda adalah perbuatan ingkar kepada Sultan dan telah melanggar perkara di dalam Rukun Negara, jadi tindakan yang keras seharusnya diambil kepada pesalah.

Hujah di atas adalah sepintas kejadian mengenai pelantikan Zambry sebagai MB Perak. Ramai yang tidak faham mengapa sebenarnya Sultan Azlan Shah melakukan perkara terbabit. Semasa kemenangan Nizar di kerusi pilihan raya hanyalah beza tiga kerusi sahaja dengan pihak kerajaan sebelum ini. Akan tetapi, kes lompat parti oleh tiga kerusi di pihak Nizar telah menyebabkan keputusan pilihan raya menjadi seri dan kesetiaan telah ditunjukkan kepada pihak Zambry oleh ketiga-tiga calon yang lompat parti itu. Inilah yang menjadikan Zambry dilantik menjadi MB di Perak. Baginda berhak menentukan tidak menerima nasihat untuk membubarkan DUN tanpa memberi apa-apa sebab. Kuasa dan peranan diraja ini tidak boleh dicabar di mahkamah sama ada menerusi konsep fraudem legis atau peruntukan statutori lain. Kuasa Sultan Perak seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Negeri Perak ada menyatakan yang Sultan boleh mengikut budi bicara baginda mengecualikan atau tidak memakai mana-mana peruntukan Perlembagaan ini berkaitan mana-mana had kuasa berhubung dengan pelantikan Menteri Besar. Peruntukan di atas adalah lambang kepada kekuasaan Baginda untuk menamatkan perkhidmatan Mohammad Nizar sebagai MB Perak. Maka, kes pelantikan MB Perak yang menjadi bualan orang ramai telah tamat dipersoalkan. Kunci utama huraian ini dibuat hanyalah untuk menceritakan akan kebebasan institusi kehakiman dalam membuat keputusan. Kebebasan ini tercalar akibat daripada campur tangan pihak yang lain. Doktrin Pengasingan Kuasa menyokong kebebasan tiga badan yang tertinggi untuk membuat keputusan sendiri tanpa perlu berlaku campur tangan mana-mana pihak selagi tiada hujah yang betul-betul dikemukakan.

11.8 Kes Liwat Anwar Ibrahim 1998

Badan Kehakiman adalah satu institusi yang cukup penting dalam sesebuah negara. Walaupun sejak kebelakangan ini, peranan badan kehakiman ini jarang disebut dan disentuh, namun ia tetap menjadi satu proksi ataupun paksi yang cukup penting. Menurut Abdul Aziz Bari, badan kehakiman ini tidak kurang pentingnya dengan kewujudan sebuah kerajaan yang stabil, perkhidmatan awam yang bersih serta sistem undang-undang yang jujur. Tambahnya pula, jika

kesemua faktor yang disebut tadi telah hilang dan tidak wujud lagi, maka badan kehakiman inilah yang akan menjadi tonggak kekuatan dalam pengurusan pentadbiran negara dan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini. Namun begitu, untuk situasi dan keadaan sekarang ini, kita tidak tahu adakah ia masih diletakkan sebagai satu badan yang cukup penting dan boleh dipercayai selepas berlakunya perbicaraan kes yang membabitkan krisis kehakiman yang berlaku pada tahun 1988, dan paling mendapat perhatian umum bukan sahaja masyarakat dalam negara, tapi seluruh dunia turut tertarik dengan kes tuduhan meliwat yang telah berlaku terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Anwar bin Datuk Ibrahim Abdul Rahman dilahirkan pada 10 Ogos 1947 merupakan seorang ahli politik Malaysia berbangsa Melayu, Anwar merupakan satu-satunya warga Malaysia yang pernah tersenarai di dalam 100 orang yang dikatakan paling berpengaruh di dunia oleh majalah Time iaitu pada 2008. Beliau dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Ceruk Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ayahnya Datuk Haji Ibrahim bin Abdul Rahman adalah bekas ahli Parlimen dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan Malaysia. Manakala ibunya Che Yan Hussein adalah ahli pidato Pergerakan Wanita UMNO. Semasa kecil, beliau sering dibawa ke majlis-majlis ceramah wanita. Pada tahun 1978, beliau berkahwin dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Datuk Ismail seorang penuntut Royal College of Surgeons, Dublin, Ireland yang kemudiannya bertugas di klinik mata di Hospital Universiti, Petaling Jaya. Perkahwinannya dengan Datin Seri Azizah dikurniakan seramai 6 orang cahaya mata. Anak sulungnya, Nurul Izzah kini merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Kes liwat Anwar Ibrahim yang berlaku pada 1998 adalah merupakan kes yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di zaman era pemerintahan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pada tahun 1998, Anwar Ibrahim dikatakan melakukan jenayah luar tabii liwat terhadap beberapa individu yang warak dan rapat dengannya seperti Azizan Abu Bakar dan Sukma Darmawan dan lain-lain. Kes ini mencetuskan kegemparan di seluruh Malaysia dan dunia terutama masyarakat Melayu kerana pemimpin harapan mereka telah dijatuhkan dengan menggunakan satu perangcangan ataupun tektik yang memalukan dan cukup menyedihkan. Beliau pula telah dimalukan oleh mentornya sendiri iaitu Dr Mahathir Mohamad. Pembangkang serta wartawan

tempatan dan asing yang telah mengkaji kes ini melihat kes ini sebagai konspirasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu yang takut jika Anwar Ibrahim berkuasa penuh, menyiasat semula kes lampau dan menangkap mereka pula. Anwar Ibrahim yang berusia 53 tahun bersama Sukma, 39 tahun didapati bersalah meliwat Azizan, 40 tahun pada satu malam diantara Januari hingga Mac 1993 bertempat diapartmen Sukma unit No. 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk di sini. Hukuman yang diberikan terhadap mereka adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen itu,ia membawa kepada hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat. Hakim Ariffin turut menggunakan budi bicaranya di bawah Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah untuk membenarkan Sukma diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin sementara menunggu rayuan terhadap hukuman tersebut di bacakan di Mahkamah Rayuan. Bagi peguam bela yang terlibat didalam kes ini ialah TimbalanTimbalan Pendakwa Raya, Nordin Hassan dan Shamsul Sulaiman. Christoper Fernando pula mengetuai pasukan peguam bela Anwar bersama Karpal Singh, Zainur Zakaria, Gurbachan Singh, S.N. Nair, Pawancheek Marican dan Zulkifli Noordin. Jagdeep Singh Deo dan adiknya, Gobind Singh Deo bertindak sebagai peguam bela Sukma.C.V. Undang-undang yang ada dengan jelas mengatakan bahawa jika menuduh seseorang meliwat, dikehendaki memberikan bukti sokongan dan bukti sahih untuk menyokong tuduhan. Kerana itulah dalam undang-undang jenayah Islam apabila seseorang dituduh melakukan liwat, pihak pendakwa wajib untuk memiliki empat orang saksi yang secara nyata melihat perlakuan liwat tersebut. Ini menunjukkan Islam begitu mengambil berat akan pembuktian sokongan. Di dalam undang-undang Islam juga, tahap pembuktian dalam kes-kes liwat adalah amat tinggi sehinggakan pihak pendakwa harus membuktikan pertuduhan mereka dengan jelas dan terang tanpa sebarang syak mahupun ragu-ragu manakala tahap pembuktian dalam undang-undang sivil pula hanya memerlukan pembuktian tanpa sebarang prasangka yang munasabah (beyond reasonable doubt). Maka dalam Islam, sebarang prasangka walaupun sekecil mana sekalipun, ia akan memihak kepada si tertuduh berdasarkan kepada pernyataan bahawa kesalahan hudud akan dihentikan (pendakwaannya) apabila wujud syak dan ragu-ragu walaupun sedikit. Islam berpandangan bahawa adalah lebih baik jika seseorang hakim itu tersilap dalam membebaskan 10 orang yang bersalah dari tersilap menghukum walau seorang yang sebenarnya tidak bersalah.

Dalam sebarang kesalahan meliwat, seperti juga kesalahan merogol, elemen utama yang amat perlu dibuktikan oleh pihak pendakwa adalah perbuatan kemasukan (ke dalam dubur atau faraj) itu sendiri. Dalam perundangan Islam juga, elemen yang serupa juga perlu dibuktikan oleh pihak pendakwa dengan terang dan jelas. Jadi, bagaimana boleh pihak pendakwa membuktikan wujud elemen kemasukan jika mereka tidak mengeluarkan bukti-bukti laporan perubatan di mahkamah. Apalah gunanya bukti-bukti laporan perubatan itu kepada pihak pendakwa jika ia secara terang menyatakan bahawa tiada kesan kemasukan ke dalam dubur Azizan. Bukti-bukti laporan perubatan sepatutnya menjadi pembuktian sokongan kepada bukti keterangan Azizan tetapi dalam kes ini, bukti-bukti laporan perubatan yang sama sebenarnya membebaskan Anwar dari pertuduhan yang ada. Peraturannya amat mudah sekali: tiada kemasukan, tiada pertuduhan. Tetapi pejabat Peguam Negara seolah-olah berpendapat bahawa memang benar tiada kemasukan tetapi pertuduhan akan tetap diteruskan. Semestinya jika Anwar dibicarakan di bawah undangundang Islam, pertuduhan yang difitnahkan terhadapnya tentunya tidak akan diteruskan. Melihat kepada keterangan Azizan di mahkamah,masyarakat pasti akan akan merumuskan bahawa pertuduhan yang dikenakan itu sememangnya langsung tidak berasas atau hanya fitnah jahat semata-mata. Peguam Negara sepatutnya menunjukkan tahap profesionalisma dan integriti yang tinggi dalam kes Anwar ini. Kejujuran intelek mewajibkan pihak pendakwa untuk menarik balik pendakwaan terhadap Anwar Ibrahim. Badan Kehakiman mestilah diberikan hak kebebasan untuk membuat keputusan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak eksekutif ataupun badab perundangan. Badan Kehakiman ini hendaklah juga diberikan kebebasan untuk membuat penghakiman menurut apa yang mereka fikirkan adil.Hakim-hakim hendaklah diizinkan membuat keputusan menurut apa yang mereka fikirkan adil. Bekas Ketua Hakim Negara telah mengingatkan bahawa kebebasan itu bukanlah untuk membesarkan diri,tetapi ia adalah bertujuan untuk kebaikan orang ramai. Sistem kehakiman yang diragui kebebasannya akan menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap sistem berkenaan. Kebebasan kehakiman turut memberi makna bahawa kehakiman perlu diberikan kebebasan dalam memilih nilai didalam memutuskan sesuatu kes.

11.9 Kes Murtad: Kes Siti Fatimah Tan Binti Abdullah Isu murtad iaitu tindakan keluar dari Islam untuk menganut agama lain sentiasa menjadi isu yang sensitif dalam hubungan beragama di Malaysia. Terdapat pihak yang cuba memanipulasi isu ini bagi mewujudkan ketegangan antara kaum dengan mempertikaikan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 11 mengenai kebebasan agama sebagai tidak diaplikasikan dengan betul oleh mahkamah apabila berlaku isu murtad. Walau bagaimanapun, Perlembagaan sebenarnya telah memberi jaminan hak beragama di Malaysia dalam setiap peruntukan-peruntukan yang telah digubal. Namun begitu,jaminan hak beragama yang diberikan bukanlah bermaksud hak untuk menukar agama atau dengan kata lain murtad. Melihat kepada definisi murtad, murtad berasal daripada bahasa Arab, iaitu riddah atau irtidad. Dari sudut bahasa, perkataan riddah membawa maksud kembali atau rujuk iaitu kembali daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Perkataan irtidad pula membawa maksud mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai Islam untuk mempercayai agama lain. Manakala, dari segi istilah pula, murtad membawa maksud keluar daripada agama Islam atau tidak mempercayai agama Islam sama ada melalui perbuatan, perkataan atau iktikad (Ann Wan Seng,2009). Terdapat juga pandangan yang mengatakan seseorang Islam dianggap murtad sekiranya ia mencampakkan Al-Quran, mencerca Rasulullah s.a.w, menafikan kefarduan solat, zakat atau dengan sengaja meminum arak dan terlibat dalam perbuatan zina (Al-Dusiiql. (tt), Ifashiah alDusuql, Dar al-Fikr, Jil.4, hlm. 309). Baru-baru ini, kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato Seri Jamil Khir Baharom,Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyebut seramai 686 umat Islam di negara ini memohon pertukaran agama (murtad) dan seramai 135 orang yang permohonannya telah diluluskan membuktikan wabak ini semakin membarah dalam masyarakat kita. Pegangan akidah yang amat longgar menjadi punca mudahnya seorang penganut Islam menukar agamanya. Fakta ringkas kes Plaintif Siti Fatimah Tan bt Abdullah yang nama asalnya Tan Ean Hung, pada asalnya ianya beragama Buddha dan mengamalkan ajaran Buddha. Beliau pada asalnya menyembah tokong dan buddha. Pada 25/7/1998 telah memeluk Islam dan didaftarkan dengan nama Siti Fatimah Tan binti Abdullah. Pada 4/8/1999 beliau telah berkahwin dengan Ferdoun Aslanian No. Paspot 3369885, seorang warganegara Iran, selepas 4 bulan berkahwin,suami telah menghilangkan diri. Mengikut keterangan plaintif sendiri di mahkamah, beliau tidak mengamalkan ajaran Islam dan tidak pernah diajar atau di bawa mempelajari Agama

Islam oleh suami. Pada masa yang sama beliau beramal dengan ajaran Buddha dan menyembah berhala Tokong Tok Pek Kong, Kuang Yim Neo dan Ti kong, pada setiap hari walaupun semasa menjadi suami isteri bagi pasangan tersebut. Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak faham Islam dan tidak yakin tentang ajaran Islam itu bahkan tujuannya hanya untuk berkahwin semasa memeluk Islam. Beliau menyembah berhala itu pada setiap hari dan pada masa yang sama suami ada ikut serta semasa pergi ke Tok Kong Kuang Yim Neo. Ini disahkan lagi dengan keterangan baiyinah adik saudara kandung plaintif sendiri semasa memberi keterangan di mahkamah. Beliau tinggal bersama dengan kakaknya dan melihat kakaknya menjalankan upacara ajaran Buddha dengan menyembah tokong itu setiap hari. Apa yang dihujahkan oleh peguam plaintif iaitu amalan-amalan seharian yang berkaitan dengan agama,itu menjadi tanggungjawab dan persoalan yang mahkamah perlu selesaikan. Mahkamah harus melihat dari sudut undang-undang yang ada supaya jelas untuk mahkamah membuat keputusan bagi tuntutan kes ini. Kebebasan agama sebenarnya perlu ditangani dari beberapa sudut diantaranya dari sudut kedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan,skop atau rung lingkupnya disis undang-undang dan akhirnya sekali apakah hak ini perlu dilihat dari perspektif atau kedudukan islam dalam perlembagaan. Kebebasan beragama adalah salah satu aspek dari hak-hak yang dijamin oleh perlembagaan dalam bab mengenai kebebasan asasi yang antara lain turut mencakupi dan merangkumi kebebasan bercakap,berhimpun dan hak terhadap harta. Di dalam Seksyen 61(3)(b),adalah menjadi bidang kuasanya untuk mendengar dan memutuskan segala tindakan dan prosiding jika semua pihak yang terlibat dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan ia ada berhubungan dengan pengistiharan bahawa seseorang itu bukan lagi Islam. Berdasarkan Seksyen 61(3)(b) di atas jelas memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk membicara dan memutuskan kes yang dibawa ke hadapannya dan tidak dipertikaikan lagi oleh pihak-pihak yang terbabit. Dalam pada itu Defenden iaitu Majlis Agama Islam Pulau Pinang pula tidak mengambil apa-apa tindakan yang wajar setelah saman diterima.Ini adalah satu perkara yang tidak seharusnya berlaku kerana ini membabitkan satu perkara atau isu yang cukup serius dan sensitive. Afidavit yang difailkan oleh peguam menunjukkan bahawa saman telah disempurnakan. Kegagalan defenden hadir tidak menyebabkan kes ini ditangguhkan dan mahkamah boleh membuat keputusan untuk kes itu. Apa

yang amat dikesalkan ialah Defenden tidak prihatin dalam menjalankan amanah yang diberikan iaitu bagi menjaga masalah orang Islam yang diletakkan ke atas Majlis iaitu badan yang diberi amanah tersebut. Di dalam Seksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 menyatakan,"maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan,mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Pulau Pinang selaras dengan Hukum Syarak.". Pihak Majlis seharusnya mengambil berat tentang adakah seseorang itu masih beragama Islam atau telah keluar daripada agama Islam sebelum mati. Itulah persoalan yang perlu diambil berat yang melibatkan Hukum Syarak dan memerlukan penelitian yang serius dalam pentakrifan dengan betul mengenai Hukum Syarak itu. Tanpa bukti yang sah untuk menyokong hujah-hujah itu,tidak akan mencukupi untuk mengatakan bahawa sama ada terdapat prasyarat-prasyarat sebelum seseorang itu menjadi Islam atau sekiranya simati telah dibuktikan telah bersembahyang di kuil Sikh, maka ia sudah semestinyalah menjadi bukti bahawa seseorang itu telah murtad. Persoalan dalam kes ini, pada pandangan saya, tidak boleh ditentukan melalui penggunaan fakta secara mudah sebagaimana yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman semata-mata atas alasan kesahihan dan keberkaitan bukti mengikut Undang-Undang Sivil. Isu yang begitu serius ini, pada pandangan saya hendaklah diberikan perhatian yang khusus oleh pakar juri yang berilmu dan berkelayakan di dalam Hukum Syarak. Melihat kepada keadaan ini,maka adalah menjadi mustahak supaya segala keputusan persoalan yang menjadi isu dalam kes ini hendaklah diberikan perhatian yang mendalam mengenai Hukum Syarak oleh pakar-pakar yang terlatih dan berkelayakan. Segala tindakan,hujan-hujah dan bukti-bukti merangkumi kes ini yang layak untuk berbuat demikian ialah Mahkamah Syariah.