biografi dato' dr. usman awang

52
BIOGRAFI DATO’ DR. USMAN AWANG Julai 31, 2009 Bak kata pepatah Melayu, “harimau mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan nama.” Biarpun hampir sedekad beliau pergi meninggalkan kita, namun dari lembaran karya-karya agung yang dinukilkan, kehadirannya tetap dirasai. Semasa hayatnya, beliau terkenal sebagai seorang penyair hebat dan ahli drama yang prolifi k. Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Setiabudi, antara nama pena beliau yang termasyhur. Beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Dr. Dato’ Usman Awang. Meniti Ranjau Kehidupan Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya kepada Usman Awang. Tokoh ini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Ibunya, Halimah, meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Usman Awang menerima pendidikan setakat darjah enam Sekolah Melayu sahaja. Faktor kemiskinan tidak mengizinkannya mengecap kejayaan yang lebih baik. Beliau pernah menuntut di daerah Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940). Ketika Jepun melanda Malaya pada tahun 1942, Usman Awang memerah keringat sebagai seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama enam bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Beliau pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Tali Air Segamat. Kemudian memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa

Upload: dohanh

Post on 09-Dec-2016

327 views

Category:

Documents


5 download

TRANSCRIPT

Page 1: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

BIOGRAFI DATO’ DR. USMAN AWANG Julai 31, 2009

Bak kata pepatah Melayu, “harimau mati meninggal belang, manusia mati meninggalkan nama.”

Biarpun hampir sedekad beliau pergi meninggalkan kita, namun dari lembaran karya-karya agung

yang dinukilkan, kehadirannya tetap dirasai. Semasa hayatnya, beliau terkenal sebagai seorang

penyair hebat dan ahli drama yang prolifi k. Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Setiabudi, antara

nama pena beliau yang termasyhur. Beliau yang dimaksudkan ialah Allahyarham Dr. Dato’ Usman

Awang.

Meniti Ranjau Kehidupan

Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya kepada Usman Awang. Tokoh ini

dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul

Takzim. Ibunya, Halimah, meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang

mencari dan menjual rotan pada waktu musim tengkujuh. Usman Awang menerima pendidikan

setakat darjah enam Sekolah Melayu sahaja. Faktor kemiskinan tidak mengizinkannya mengecap

kejayaan yang lebih baik. Beliau pernah menuntut di daerah Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan

Bandar Maharani (1940). Ketika Jepun melanda Malaya pada tahun 1942, Usman Awang memerah

keringat sebagai seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa

Jepun selama enam bulan di Singapura.

Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Beliau pernah menjadi ‘budak pejabat’ di

Pejabat Tali Air Segamat. Kemudian memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa

Page 2: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah. Selepas itu, Usman Awang menjadi anggota

polis apabila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor

Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka.

Melangkah ke Dunia Persuratan Melayu

Pada tahun 1951, beliau berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf di Melayu Raya

selama enam bulan. Beliau kemudian menjadi seorang pemberita. Sesudah itu beliau bekerja di

Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang. Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran

bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat

menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu.

Pada tahun 1962, Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau

berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya ialah

sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang

majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Bermula pada Mei 1982,beliau

menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sehingga bersara pada bulan Julai

1985.

Antara Karya Hebat

Usman Awang mula mencipta nama dalam dunia persuratan Melayu moden dengan penulisan sajak.

Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan.

Lantaran keistimewaan yang ada dalam sajaknya yang menarik, ia acap kali menjadi pilihan anak-

anak sekolah juga masyarakat awam dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya

yang cukup popular ialah Pak Utih, Ke Makam Bonda, Nasib Buruh, Bunga Popi, Gadis Di Kuburan, dan

Salam Benua. Manakala novel penulisannya yang masyhur sehingga kini ialah Tulang-tulang

Berserakan. Begitu juga dengan cerpennya yang hebat seperti Untuk Malaya Merdeka, Turunnya

Sebuah Bendera, Kami Yang Terlibat dan sebagainya. Di samping itu, drama beliau yang bertajuk

Muzika Uda dan Dara, Degup Jantung, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang

Pahlawan – Jebat, Serunai Malam turut dipentaskan.

Petikan esiswa Ogos 2009

Page 3: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Usman Awang permata Melayu yang sukar diganti Februari 12, 2008

Oleh: AZMAN ISMAIL

USMAN Awang. Nama ini tidak hanya sebahagian daripada khazanah keilmuan Melayu. Tetapi ia juga

merupakan permata intelektual yang dimiliki oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Dalam sejarah kepengarangannya, Allahyarham berkarya bukan hanya di atas nama kaum Melayu

semata-mata tetapi juga merentas sempadan etnik dan sistem kepercayaan – atas nama

kemanusiaan serta kesejagatan.

Persoalan besar yang sentiasa diutarakan olehnya ialah bagaimana pengarang menjadi lidah

masyarakat dalam menyuarakan hak, rasa, pandangan dan kepentingan mereka kepada kelompok

yang berkuasa.

Bagaimanapun, Allahyarham tidak meletakkan ‘perjuangan’ masyarakat bawahan dalam wacana

konflik. Sebaliknya ia disampaikan melalui ketajaman pena dan kehalusan kata.

Sebagai pembaca, kita jangan mengharapkan pemikiran Allahyarham diterapkan dalam karya-karya

berbau penentangan dan kekerasan. Sebaliknya, keadilan dituntut melalui kejernihan akal rasional.

Sesekali bila membaca karya-karya Allahyarham sama ada genre puisi, novel mahupun drama pentas,

ia akan mengingatkan kita pada Justice is Conflict, karya Stuart Hampshire.

Dalam erti kata, sama seperti Hampshire, Usman berpandangan bahawa kejernihan akal rasional

dalam memperjuangkan keadilan adalah cara terbaik untuk mencapai matlamat.

Oleh itu, karya-karya Allahyarham setia mendukung semangat persahabatan sebagaimana jiwa

kemelayuan itu sendiri. Menikam dalam kelembutan kata-kata dan kepetahan bermain bahasa.

Seperti yang diungkapkan oleh penulis, Zaen Kasturi, Allahyarham merupakan permata intelektual

Melayu yang lahir atas semangat kesedaran untuk memperjuangkan masa depan dan jati diri

bangsanya.

“Kata-kata dalam puisinya adalah lambang Melayu sejati yang cinta akan akarnya. Keterpesonaannya

tertancap kukuh pada alam yang melahir, membesar dan mendewasakannya.

“Jiwa puisinya adalah jiwa Melayu tulen. Cintanya tidak mengenal batas. Daripada nelayan dan buruh

kasar

Page 4: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

sehinggalah Melayu yang menduduki kepimpinan tertinggi, dia menegur menerusi kata-kata lembut

dan menusuk,” katanya.

Zaen berpendapat, membaca karya Allahyarham, terutama puisi-puisinya, kita tidak berasa marah

atau terhina akan tegurannya itu.

Malahan seharusnya berterima kasih kerana dia memberikan kita rasa untuk berfikir bahawa kita

harus menjadi Melayu yang kenal peribadi sendiri.

Oleh hal yang demikian itu, karya-karya Allahyarham akan tetap subur sebagai khazanah bangsa yang

begitu berharga. Memang Allahyarham adalah sebutir permata di dalam kesusasteraan tanah air yang

sukar dicari ganti.

Hari ini, setelah enam tahun pemergiannya, perjuangan dan idealismenya dalam memartabatkan

bahasa, kesusasteraan dan kemanusiaan sentiasa hidup dan mekar mewangi.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Abu

Hassan berkata, ‘kekuatan’ utama Allahyarham ialah unsur kritikan sosial dalam karya-karyanya.

Allahyarham dalam beberapa karyanya melontarkan kritikan terhadap kepincangan-kepincangan

dalam birokrasi serta terhadap segelintir pemimpin yang tidak jujur.

Namun, teguran tersebut dilontarkan dalam kerangka pemikiran Melayu yang sentiasa berlapik dan

bersopan. Kehalusan kata sentiasa menjadi keutamaan kepada Allahyarham.

“Semangat untuk membela nasib orang Melayu dalam karya-karya Allahyarham cukup kuat. Ia ditulis

dalam bahasa yang mudah tetapi memadai untuk menyedarkan semua pihak.

“Inilah kelebihan yang ada pada beliau. Dengan bahasa yang mudah, ringkas tetapi padat, karya-

karyanya mampu menegur banyak pihak secara halus serta berlapik,” katanya.

Di sisi lain, Mohamad Mokhtar berpendapat karya-karya Usman membuktikan Allahyarham berfikiran

jauh dalam melihat pelbagai isu khususnya berkaitan dengan masa depan orang Melayu.

Kebanyakan isu yang diutarakan tidak hanya menggambarkan situasi semasa. Sebaliknya juga

idealisme untuk memajukan orang Melayu pada masa depan.

“Pandangan-pandangan seperti ini tidak banyak ditemukan dalam penulis-penulis Melayu yang

sezaman dengan Allahyarham. Apa yang diutarakan adalah isu semalam, hari ini dan masa depan.

Page 5: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

“Saya rasa ini kekuatan utama dalam karya-karya Allahyarham. Ia membuktikan Usman seorang

pengarang yang berpandangan luas meskipun tidak mempunyai pendidikan tinggi,” tambahnya.

Pandangan-pandangan Zaen dan Mohamad Mokhtar sebenarnya hanyalah contoh kecil daripada

segudang jasa Allahyarham dalam memartabatkan bahasa, sastera dan masa depan orang Melayu

sendiri.

Bagaimanapun, berapa ramai barangkali antara penyanjung, peminat dan pengagum Usman yang

terus mengingati makna sebenar 29 November dalam erti kata `pergi sebutir permata keilmuan

Melayu?’

Usman tidak hanya sekadar pengkarya besar yang pernah dilahirkan oleh sebuah negara bernama

Malaysia tetapi juga seorang pemikir agung yang merentasi zamannya.

Ketika meletus peristiwa permogokan Utusan Melayu pada Oktober 1961, Allahyarham dan teman-

teman seperjuangan menunjukkan harga diri yang tinggi demi masa depan bahasa dan orang Melayu.

Di Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), suara Allahyarham begitu lantang memperjuangkan maruah

bahasa Melayu. Begitu juga ketika Peristiwa Keranda 152. Peranannya telah membangkitkan

kesedaran kepada banyak pihak supaya tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan itu.

Ketika kampus universiti di negara ini bergolak, Allahyarham turut meletakkan dirinya dalam peristiwa

berkenaan. Beliau menunjukkan keprihatinan sebagai seorang manusia yang hidup dan sedar kepada

persekitarannya.

Kesimpulan ringkas, pengkaryaan dan perjuangan Allahyarham sentiasa dekat dengan dunia nyata,

dan di mana perlu menyatakan pendirian melalui tulisan yang beralas tetapi tetap mengesankan.

Kini sudah beberapa tahun Allahyarham meninggalkan kita. Namun, ketajaman pena dan kehalusan

bahasa beliau tidak pernah mengikuti jasadnya. Ia terus subur, sesubur jasanya yang ditabur demi

kelangsungan bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Page 6: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Prosa Air Mata Mac 19, 2008

Bahawasanya air mata

tiadalah ia memilih tempat untuk jatuh…

tidak pula memilih waktu untuk menitis…

Air mata adalah kepunyaan bersyarikat…

dipunyai oleh orang-orang melarat yang tinggal

di dangau-dangau yang buruk oleh tukang sabit yang masuk

ke padang yang luas dan ke tebing yang curam,

dan juga oleh penghuni-penghuni gedung-gedung yang permai

dan istana-istana yang indah.

Bahkan di situ lebih banyak orang menelan ratap dan memulas tangis.

Luka di jiwa yang mereka hidapkan, dilingkung oleh tembok dinding

yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan

oleh orang luar atau yang mereka ketahui hanya

senyuman saja,

padahal senyum itu penuh dengan kepahitan

~ Usman Awang

Page 7: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Uda Dan Dara ~ Usman Awang Disember 26, 2007

Uda dan dara

Bersumpah keramat cinta

Wajah seri terukir

Berbiduk hilir kasih

Uda dan dara

Bersanding tak berpelamin

Tempat yang berwali

Di laut malam saksi

Daraku nantikan abang

Emas ringgit membakar kita

Uda hamba tunggu angin lalu

Uda dan dara

Bersanding di pusara

Nisan yang bersabda

Keramat kisah cinta

~ Usman Awang

“Berat kupikul sakit kutanggung, ibu, tetapi Dara hanyalah satu tak dapat ditukar ganti, tak dapat

dijual beli. Jika begini penanggunganku kerana Dara, maka relalah hamba menerimanya.”

Page 8: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Pahlawan Kemerdekaan ~ Usman Awang Ogos 21, 2007

(Kepada Pahlawan Pahang)

PAHLAWAN

jika hilangmu tanpa pusara

jika pusaramu tanpa nama

jika namamu tanpa bunga

penjajah mengatakan engkau derhaka

maka engkaulah pahlawan yang sebenarnya

Gema seabad silam

Inggeris datang meredah Pahang

bersama peluru bersama senapang

membunuh menangkap setiap pejuang

Sungai Semantan berubah merah

bukan sarap hilir ke kuala

bukan rakit mudik ke hulu

arus merahnya menjulang mayat

pahlawan bangsa pahlawan rakyat

tujuh liang dadanya tersayat

Pahlawan!

Untukmu derita untukmu penjara

bukan bintang tersemat di dada

semangatmu api negara berdaulat

namamu terukir di jantung rakyat.

~ Usman Awang

(Dalam Puisi-puisi Pilihan, DBP)

Page 9: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Salam Benua ~ Usman Awang Ogos 14, 2007

I

MEREKA memisahkan kita

pasport visa wilayah segala tempoh nama

mereka merompak kita dengan undang-undangnya

peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya

kita dipaksa memilih salah satu

dan kita mesti memilihnya

tiada jalan lain

II

Telah saudara pilih senapang dan peluru

banyak pemimpin memilih dollarnya

untuk ini saudara membasahi baju

rumput-merah sungai-merah

tangis anak-anak

darah rakyat tertindas

III

Saudara memerah kaktus melumat batu

menjadikannya minuman makanan

gadis-gadis bekerja debu pasir dandanannya

anak-anak kecil menyandang senapang

saudara menghitamkan langit menyelubungi

saluran minyak

setengahnya menyanyi di penjara

untuk pembebasan Palestin

IV

Kami bertatih di sawah semakin kering

petani-petani mulai menebang hutan dara

permulaan kecil pada ketenangan segumpul awam

ketenangan yang di belakangnya memangkas kami

yang sedikit ini sedang belajar

Page 10: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

dari tiap pengalaman saudara

dan pengalaman sendiri

kami memampatkan gerhana bulan mei

pada tujuan tempat

nusantara ini

V

Salam

tanpa visa

pasport

golf

warna

kemanusiaan rakyat

seluruh benua

Usman Awang

1970

Page 11: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Korban Tanah Air ~ Usman Awang Ogos 10, 2007

Biar dia telah pergi

Atau gugur ke persada ibu

Yang…takkan kembali

Meninggalkan bakti dan jasa

Dia hanya seorang mata-mata

Atau perajurit yang berbakti

Meninggal bingkisan jasa

Pada bangsa dan ibu pertiwi

Dia gugur di medan perjuangan

Di tengah-tengah hutan belantara

Atas kuburnya ditabur kembangan

Disiram dengan air mata

Kekasih yang menuggu dia

Putus cinta…bisikan jiwa

Usman Awang

1984

Page 12: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Dunia Yang Senyum ~ Usman Awang Ogos 9, 2007

(Surat Buat Khrushchev dan Eisenhower dalam Pertemuan)

Siapa pun juga kita, merah atau apa warna,

Dan di mana juga berada, mengenal bahagia neraka.

Tuan bisa mengeti kerana dunia kepunyaan bersama.

Di antara kita dan dunia yang mesti hidup,

Ada dua manusia dalam satu denyut,

Kuasa yang besar padanya segala terpaut.

Keliling kita udara pecahan atom,

Kilang-kilang kawah api bukan untuk senyum;

Ke mana berlindung bila muntah suaranya meraung?

O dengarlah harapan yang banyak ditumpahkan,

Suara cinta-damai tebang bersayap membumbung.

Jadikanlah senapang itu kecapi dan gitar

Petiklah, bukan candit bedit yang pelurunya bergegar.

Gantilah bom-bom itu dengan bola mainan anak-anak,

Panggillah pemuda dan gadis-gadis menari

Di tangan mereka bunga-bunga warna-warni

Dunia yang senyum bakal kita miliki.

Usman Awang

1959

Page 13: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Pak Utih ~ Usman Awang Ogos 8, 2007

I

Punya satu isteri mau dakap sampai mati,

Lima anak mau makan setiap hari,

Teratak tua digayuti cerita pusaka,

Sebidang tanah tandus untuk huma.

Kulit tangan tegang berbelulang,

Biasa keluarkan peluh berapa saja,

O Pak Utih, petani yang berjasa.

Tapi malaria senang menjenguk mereka,

Meski dalam sembahyang doa berjuta,

Dan Mak Utih bisa panggil dukun kampung,

Lalu jampi matera serapah berulang-ulang.

Betapa Pak Dukun dan bekalan pulang,

Wang dan ayam dara diikat bersilang.

II

Di kota pemimpin berteriak-teriak,

Pilihanraya dan kemerdekaan rakyat,

Seribu kemakmuran dalam negara berdaulat,

Jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat.

Ketika kemenangan bersinar gemilang,

Pemimpin atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka,

Ah, rakyat tercinta melambaikan tangan mereka.

Di mana-mana jamuan dan pesta makan,

Ayam panggang yang enak di depan,

Datang dari desa yang dijanjikan kemakmuran.

Pak Utih masih menanti dengan doa,

Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar?

Usman Awang

1954

Page 14: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Mahkota Cinta ~ Usman Awang Ogos 6, 2007

Ladang kita air mengalir di segala liku

tanaman subur menghijau dan rumput-rumput baldu

ia datang matanya bintang suaranya lagu

membawa khabar mesra salam dari ibu

Kucintai tanah ini kerana kami di sini

rumah kecil tapi telah didirikan oleh lelaki

teguh dan keramat seperti gunung besi

ladang tercinta, kubenam hati di sini

Tumbuh segala kasih berbuah berbunga

ladang comel sekarang milik kita bersama

akan lahir manusia baru sudah bernama

setia, putera kasih mewarisi mahkota cinta!

Usman Awang

1966

( Dipetik dari Antologi Puisi Bintang Mengerdip, DBP )

Page 15: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Suasana ~ Usman Awang Ogos 3, 2007

Seorang perempuan bersamfu hijau

dari tingkap dapur rumahnya berteriak

dan bertanya sambil membungkus Nien Kau

lalu tertawa mengangkat tudung periuk

wap panas menjulang harum kanji nasi

Dan dari rumah sebelah terdengar suara lunak

perempuan berbaju kurung menjawab senyum

sedang jari-jarinya lincah mengisi ketupat

dan sesekali menyudip serunding di kuali

segar selera dicecah baunya yang wangi.

Dari kejauhan suara-suara muda yang riang

pekikan dan tertawa di antara letupan mercun

dan kedua ibu saling memandang dan tersenyum

tanpa seruan pura-pura dari pentas-pentas politik

hati mereka bersalaman dan saling berpelukan

atas kesederhanaan rasa dan nasib yang sama.

Esoknya kuih pau dan ketupat bertukar pinggan

mereka saling menerima dan memberikan kepunyaan

dan dari kedua telaga hati berkocak mesra

mengucapkan Kong Hee dan Selamat Hari Raya

Usman Awang

1965

( Dipetik dari Antologi Puisi Bintang Mengerdip, DBP )

Page 16: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Mahasiswa ~ Usman Awang Ogos 2, 2007

Mahasiswa dari kota tanah air

bangunlah!

angkat matamu dari buku

lampaui dinding lampaui tembok

semua menunggu

mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota.

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini

sebaris dengan kami

para buruh dan petani di jalan sungai besi

sederap belajar dari hidup berani

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik

atau bersamanya berjalan ke parlimen

kerana tenagamu dengan ilmu di dada

akan merombak erti hidup sebuah negara.

Usman Awang, September 1961

Page 17: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Cinta Ladang Getah ~ Usman Awang Julai 30, 2007

Jika ladang-ladang getah

yang kita tumpahkan kasih ini

tiada menerima lagi dan terpisah

kita akan membunuh ketakutan,

sebab bumi adalah terbentang di mana-mana

untuk kita menyemai benih

kemanusiaan yang telah ternoda

Tidak ada yang dapat membunuh cinta ini,

tidak ada, sebab pembunuhnya telah mati.

USMAN AWANG – Antologi Duri & Api

Page 18: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Ibuku ~ Usman Awang Julai 27, 2007

IBUKU mempunyai seribu mimpi

Yang dipikulnya tiap hari

Sambil menimangku ia pun menyanyi:

Timang tinggi-tinggi,

Dapur tak berasap,

Bila besar nanti,

Jangan masuk lokap.

Ibuku tidak mengenal buku dan sekolah

Tiap pagi terbongkok-bongkok di lumpur sawah

Menggaru betisnya yang dikerumuni lintah.

Hatinya selalu teringat

Suaminya yang mati melarat

Setelah dikerumuni lintah darat

Ibuku tangannya kasar berbelulang

Mengangkat bata-bata bangunan

Wajahnya dibedaki debu berterbangan.

Ibu tidak pernah mengenal supermarket

Tinggal di bilik sempit

Upahnya buruhnya sangat sedikit

Ibuku tidak punya TV

Tidak berpeluang pula menontonnya

Tak pernah mengikuti laporan parlimen

Atau ceramah bagaimana menambah jumlah penduduk

Tidak pula tahu adanya forum kemiskinan

Atau pertunjukan masak-masakan

Dengan resepi yang sangat menakjubkan

Ibuku setiap pagi berulang ke kilang

Bekerja dengan tekun hingga ke malam

Mikroskop itu menusuk matanya dengan kejam

kaburlah mata ibu diselaputi logam

Ibuku tidak tahu tentang hak asasi

Apalagi tentang seni dan puisi.

Page 19: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Jika ditanya makna melabur

Nama-nama saham yang menjanjikan makmur

Atau tentang dasar pandang ke timur,

Ibu tersenyum menunjukkan mangkuk bubur

Yang melimpah kanji beras hancur

O ibuku sayang

Di negerimu kau menumpang.

Sesekali kudengar ibu menyanyi

Pantun tradisi caranya sendiri:

Siakap senohong,

Gelama ikan duri,

Bercakap bohong,

Tak boleh jadi menteri

Usman Awang

( Dipetik dari Puisi-puisi pilihan Usman Awang)

Page 20: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Pesan ~ Usman Awang Julai 26, 2007

Jika kau berikan dengan kedua tanganmu

yang mengalir dari hati dan kandungan

dari ujud rasa yang maha agung

akan ku tatang ia di dulang hatiku.

Telah kita tunggu sejak pertama kali hati menguntum

tiada terusik oleh segala selisih rasa

sebab ia tinggi mengepak di puncak menara

dengan kedamaiannya dalam jalinan setangkai senyum.

Bila ia menjelma dengan suaranya memanggil nama bapa

bisikkan padanya segala kisah yang tercipta

antara ibu dan ayah yang mewujudkan nama setia.

USMAN AWANG – Singapura, Jan 1964

Antologi Duri & Api

Page 21: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Salji Hitam ~ Usman Awang Julai 25, 2007

dedaunan pine

di remang bulan merah

berjajar

mengisi sesak kota

bergerak dan bergerak

seperti perpohonan di mata macbeth

di sini salji lain warna

hitam

Hitam

HITAM

warna paling gagah

itulah warnanya

tidak gugur dari bintang

bukan turun dari langit

mengalir dari arus sejarah

tulang-tulang

HITAM

membajai ladang-ladang subur

amerika makmur

salji hitam

HITAM

hitam sekali warna

gaung gema

WE SHALL OVERCOME

di selatan di utara

di mana saja

mengusapi luka-luka sejarah nenek-moyang

hari ini

sekarang ini

paling gemilang

salji hitam.

~ Usman Awang

Page 22: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Satu Mei ~ Usman Awang Julai 24, 2007

Merekalah menyusun lapis-lapis besi waja Merekalah membina batu-bata Membancuhnya dengan titik peluh – bangunan tinggi itu masih jua meminta lalu diberikanlah nyawanya.

Merekalah yang menyedut udara kotor

Racun gas itu berbaur di rongga

menjalari saraf pernafasannya

menghentikan detak jantungnya

–segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Merekalah membunyikan mesin-mesin kilang

debu dan serbuk logam berterbangan

hari demi hari berkumpul bersarang

di jantung dan paru-parunya

–jentera kilang itu masih lagi meminta

lalu kudunglah jarinya

lalu kudunglah tangannya

lalu kudunglah nyawanya

segalanya untuk upah beberapa sen cuma.

Merekalah menggali perut bumi yang sakit

lumpur dan pasir memenuhi tiap rongga

tanah lombong yang selalu mengucapkan simpati

menimbusi membungkus tubuh para pekerja

melindunginya dari pemerasan kejam

–upah yang diterimanya sekadar beras segenggam.

Merekalah mewarisi pusaka zaman

seluar sehelai baju bertampal

tikar buruk di sudut bangsal

tulang selangka dapat dibilang.

Mereka kini menyedari kekuatan diri

Mengubah wajah sebuah negeri

Menukar nama seorang menteri

Di matanya api di tangannya besi.

Page 23: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

~ Usman Awang

Majlis Amanah Rakyat ~ Usman Awang Julai 23, 2007

Sebuah nama keramat

Lahir dari percikan amarah

suatu bangsa yang mundur sosio-ekonominya

masih menadah tangan

menjadi peminta di tanah airnya

yang hampir sepuluh tahun merdeka.

Bermula di zaman penjajah dikenal dengan RIDA-Lembaga Kemajuan Kampung Dan Perusahaan

Suatu bayangan tipis cara Inggeris melonggarkan

Kritik tajam rakyat terhadap dasar penjajahan.

RIDA yang berdetik pada tahun 1953

Ketika bara nasionalisma marak menyala

Tidak mampu menampung ghairah rakyat merdeka

Suara Bumiputera yang semakin keras bergema

Kemunduran dan kemiskinan yang ketara.

Tahun seribu sembilan ratus enam puluh lima

Kongres Ekonomi Bumiputera Yang Pertama

Merumuskan segala duka nestapa bangsa

Bahawa kita memiliki telaga

Mengapa masih memegang talinya

Sedang orang mencapai timba

Maka segala gaung amarah dileburkan

Menjadi sumpah amanah suatu wawasan

Pada detik 1966 yang menentukan

RIDA pun dikerandakan dalam sejarah

Untuk sebuah nama baru yang keramat

Majlis Amanah Rakyat

Kini lebih 25 tahun telah berdetik

MARA mencapai kedewasaan usia

Mungkinkah bakal tiba Kongres Ekonomi Bumiputera Penyelarasan jalur wawasan dua ribuan

Page 24: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Menilai kembali keberkesanan

AMARAH dan Amanah Rakyat yang dipahatkan

~ Usman Awang

Doa ~ Usman Awang Julai 5, 2007

( Khas untuk puteri-puteri TKC )

Jika malam ini tiada bulan

tanah Seremban

kau masih tetap bercahaya

dari sinar mata dan bening wajah

pelajar-pelajar dari istana ilmu

Kolej Tunku Kurshiah

Hari ini manis belajar dari buku

dan suara mesra dari guru

bersedialah untuk esok

yang menunggu kedatanganmu

untuk belajar dari hidup

mungkin bahaya dari kemuliaan darjat

mungkin air mata dan pedih luka

Tapi apapun arus gelombangnya

berdiri di bawah bendera keberanian

di bumi kebenaran kemanusiaan

laksana permata yang mengukir kehalusan budi

Maha wangi istana ilmu

bening ombak sambut dan tirai selendang

daulat seorang permaisuri

keramat seorang wali

semoga dalam rahmat dan lindungan Ilahi…

~ Usman Awang

Dedikasi buat puteri-puteri Kolej Tunku Kurshiah, Seremban.

Page 25: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Beli Buatan Malaysia ~ Usman Awang Julai 4, 2007

Sekiranya kami rakyat negara ini berjanji

membeli barangan buatan Malaysia

Bagaimana pula anda,

Para pemilik para pengarah para pengurus

Syarikat-syarikat pengeluar terbesar Malaysia

membeli dengan wang yang anda terima dari kami?

Kami rakyat bersetuju sekiranya Malaysia

ingin maju dan jaya, pekerja kita

mendapat pekerjaan dengan gaji selesa

maka kami sendiri mesti membeli

dan menggunakan barang buatan negara kami

Ertinya rakyat jelata senantiasa perlu membayar

harga yang agak tinggi untuk mendapat

barangan yang kadangkala bermutu tidak tinggi.

Maka lebihan yang mesti kami bayar ini

membolehkan anda melonggokkan keuntungan besar

di samping memperoleh ganjaran yang juga besar.

Kami rakyat ingin pula mengetahui

Bagaimanakah anda membelanjakan dividen

dan pendapatan dari harga mahal

yang semuanya datang dari saku kami

yang membeli pengeluaran Syarikat anda?

Kami ingin bertanya pula

Adakah anda juga membeli barang buatan Malaysia?

Mari kita mulakan dengan pakaian yang anda pakai

Di manakah pakaian itu dijahit?

Dan pakaian dalam yang menyaluti

bahagian-bahagian penting dan sulit tubuh anda itu

Page 26: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

anda beli di mana dan buatan mana?

bagaimana dengan pakaian isteri anda?

Baju dan pakaian dalamnya yang tentu mahal itu

dari jenama apa dan buatan mana?

Bagaimana dengan rumah anda?

Adakah kerusi meja itu hasil tangan tukang Malaysia?

Adakah jubin dan segala perkakas bilik air

dan tandas tempat anda melepas itu diimport?

Dan putera-putera anda, adakah mereka sedang menuntut

di sekolah rendah dan menengah di luar negeri?

Bercakap tentang negara kita yang indah ini

di manakah anda menghabiskan cuti bersama keluarga?

Tentang kekayaan pula, di manakah anda melabur?

Cerahlah masa depan anda!

Orang-orang seperti anda sangat mementingkan kesihatan

Adakah anda mendapat rawatan perubatan di luar negeri?

Adakah anda dan keluarga anda dirawat

dengan biaya Syarikat?

Apakah Syarikat anda menggunakan perkhidmatan

jurubina (arkitek) Malaysia atau jurubina asing,

dan jurubina tempatan sekadar untuk mendapatkan tandatangan mereka saja?

Dan sebagai pelanggan berapakah jumlah

yang perlu anda bayar untuk peguam asing?

Mungkinkah anda begitu baik hati dan pemurah

dengan konsultan asing, tetapi begitu berkira

dan kedekut apabila anda mesti membayar konsultan tempatan?

Pertanyaan lain yang amat dekat dengan hati nurani

saya sebagai penulis, ialah: Pernahkan anda membeli

dan membaca buku puisi, cerita pendek dan novel

yang ditulis oleh penulis Malaysia?

Adakah lukisan yang tergantung di dinding perbadanan,

syarikat atau rumah anda itu ciptaan pelukis

Malaysia atau salinan daripada pelukis-pelukis asing?

Bahasa apakah yang anda gunakan dalam pertuturan sehari-hari?

Page 27: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Pernahkah anda menghadiri teater tempatan

atau mendengar majlis pembacaan puisi

yang semuanya adalah buatan Malaysia?

Saya pasti Syarikat anda akan menyokong derma amal

jika ia ditaja oleh para Menteri dan Diplomat.

Anda pun cukup berjasa untuk membawa masuk

artis asing. Anda sanggup pula membayar

meskipun harganya ratusan ringgit bagi sesebuah

kerusi untuk menonton dan mendengar lagu-lagu

dalam bahasa Itali yang dinyanyikan oleh suara-suara

Amerika, meskipun anda tidak mengerti maknanya.

Begitu hebat,tetapi berapa pula yang telah anda

sumbangkan kepada artis tempatan? Berapa pula

kepada penerbitan drama tempatan yang kita namakan buatan

Malaysia?

Sudah pasti kami memang membeli barang buatan Malaysia

Tetapi anda, anda sendiri bagaimana?

Adakah anda menyokong dan membeli barang buatan Malaysia

atau anda sebenarnya sekumpulan manusia aing

yang memilik pasport Malaysia.

Usman Awang

1984

~ Puisi-puisi Pilihan Usman Awang (Edisi Pelajar)

Page 28: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Bunga Popi ~ Usman Awang Jun 15, 2007

Dari darah, dari nanah yang punah di tanah,

rangka manusia kehilangan nyawa disambar senjata,

hasil manusia gila perang membunuh mesra,

bunga merah berkembang indah minta disembah.

Yang hidup tinggal sisa nyawa, penuh derita,

kering, bongkok, cacat, tempang dan buta,

perang dalam kenangan penuh kengerian,

sekarang dalam kepahitan,

dalam kesepian.

Yang lain kehilangan anak, suami dan kekasih,

hilang pergantungan, hilang pencarian,

hidup kebuluran,

ribuan janda, ribuan kcewa, ribuan sengsara,

jutaan anak-anak yatim hidup meminta-minta.

Manusia gila perang telah membunuh segala mesra!

perang berlangsung mencari untung tanah jajahan!

perang berlangsung membunuh anak dalam buaian!

perang berlangsung menghantar lebur nilai kebudayaan!

Bunga popi bunga mayat perajurit bergelimpangan,

bunga darah merah menyimbah,

penuh kengerian.

Kami benci pada perang penuh pembunuhan!

kami rindu pada damai sepanjang zaman!

Usman Awang

1955

Page 29: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Usman Awang

1955

Sajak ‘Bunga Popi’ itu merupakan nukilan Sasterawan Negara Datuk Usman Awang akan peperangan.

Nukilan beliau pada tahun 1955 itu hasil inspirasi daripada pemerhatiannya terhadap pergolakan dunia

pada masa itu.

Page 30: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Jiwa Hamba ~ Tongkat Warrant Mei 15, 2007

Menung seketika sunyi sejenak

kosong di jiwa tak berpenghuni

hidup terasa diperbudak-budak

hanya suara melambung tinggi

Berpusing roda, beralih masa

berbagai neka, hidup di bumi

selagi hidup berjiwa hamba

pasti tetap terjajah abadi

Kalau hidup ingin merdeka

takkan tercapai hanya berkata

tetapi cuba maju ke muka

melempar jauh jiwa hamba

Ingatan kembali sepatah kata

dari ucapan seorang pemuka

di atas robohan Kota Melaka

kita dirikan jiwa merdeka

~ Tongkat Warrant (Usman Awang)

~ Dipetik dari Puisi Baharu Melayu

Page 31: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Kurang Ajar ~ Usman Awang April 21, 2007

Sebuah perkataan yang paling ditakuti

Untuk bangsa kita yang pemalu.

Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;

Kau harus menjadi manusia kurang ajar

Untuk tidak mewarisi malu ayahmu.

Lihat petani-petani yang kurang ajar

Memiliki tanah dengan caranya

Sebelumnya mereka tak punya apa

Kerana ajaran malu dari bangsanya.

Suatu bangsa tidak menjadi besar

Tanpa memiliki sifat kurang ajar

~ Usman Awang

Page 32: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Puisi Pendek Dari Usman Awang April 15, 2007

Keris di atas batu

air menjulang buih

seribu dagang lalu

berapa yang menoleh?

~ Usman Awang

Page 33: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Mereka Telah Bangkit ~ Usman Awang April 11, 2007

Mereka telah bangkit

Dari buku yang dibacanya

Dari tembok yang melindunginya

Dengan bendera dan lilit kepala

Mereka telah bersuara

Demi bumi tanahair yang subur

Demi Islam yang mengajar hidup berani

Demi janji yang kini telah dimungkiri

Mereka sekarang telah bangkit

Di tengah-tengah gelombang zaman

Dari keperibadian yang telah tertindas

Untuk masa depan warisan keturunan

Dari BAHASA lidah zaman hidup kita

Kebangkitan ini pancang detik batu-tanda

Untuk pelaksanaan SATU BAHASA

Yang berdaulat menyinar mutiara

~ Usman Awang

Page 34: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Gadis Dan Ayat Suci ~ Usman Awang April 1, 2007

Suara yang manis dalam bisik daun-daun

Beralun lagu Tuhan di sayap angin malam

Redup menyusup di bawah langit bertirai sepi

Gadis tetangga (simpatiku pada matanya yang buta)

Dari sinar hatinya membaca ayat-ayat suci

Awan-awan berderetan dalam arakan sejarahnya

Di mana lagu dan suara menjangkau pula

Semakin tinggi, meninggi tak tercapai mata

Disaputnya langit di atas awan berarak

Gema merdu meresap mengocak ke bintang terserak

Lalu melayah menurun mengusap puncak gunung

Melayang manis mencapai bukit-bukit gundul

Menurun lagi merendah mencecah hujung pucuk-pucuk

Dari ranum dalam kembang-kembang segar senyum

Ah, merendah pula ia meratai bumi Tanahair

Semakin malam lagu Tuhan dari bibir syurga

(Gadis buta melanjutkan khatam bulan puasa)

Membawa para malaikat menjengah dada manusia

Hidup yang damai dari keyakinan dan cinta

Berdetiklah di hati, meski manusia paling ganas sekali

Suara yang manis dalam bisik daun-daun

Gadis cacat dan ayat suci beralun

Meski tidak melihat, malah itulah pula

Kesuciannnya syurga hidup perdamaian manusia

Berdetiklah di hati, meski manusia paling ganas sekali

~Usman Awang

Page 35: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Thaurah Palestin ~ Usman Awang Mac 26, 2007

Saudaraku Rakyat Palestin

Semangatmu lebih waja dari kereta kebal Israel

Genggaman tanganmu lebih kuat dari bom Zionis

Kau berikan cakrawala baru

Thaurah Palestin

Dengarkan di mana-mana suara menjawabnya

Perjuangan berani yang tak terkalahkan

Suara rakyat sejagat mengutuk penindasmu

Lihat jutaan mata terbuka sudah

Siapa tulang belakang menjulang kekejaman

Yang membunuh anak-anakmu

Saudaraku Rakyat Palestin

Tiba-tiba airmata jadi bara

Tiba-tiba anak-anak jadi dewasa

Tiba-tiba bilik kuliah jadi api

Senjata musuh sekadar dapat mematikan

Tetapi tidak berhasil membunuh semangat kepahlawanan

Penjara musuh sekadar memagari insan

Tetapi tidak dapat menahan gema menjerit keberanian

Yang dijawab oleh jutaan suara kebenaran

Semuanya dengan satu slogan

Mara Palestin

Thaurah Palestin

Karya : Allahyarham Datuk Usman Awang

Page 36: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Ke Makam Bonda ~ Usman Awang Mac 24, 2007

Kami mengunjungi pusara bonda

Sunyi pagi disinari suria

Wangi berseri puspa kemboja

Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi

Lalang-lalang tinggi berdiri

Dua nisan terkapar mati

Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat

Mesra kasih bonda menatap

Sedang lena dalam rahap

Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu

Pernah dulu mengucupi dahiku

Kini kurasakan kasihnya lagi

Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan

Tiada lagi lalang memanjang

Ada doa kami pohonkan

Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja mengantar kami

Meninggalkan makam sepi sendiri

Damailah bonda dalam pengabadian

Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan

Tiada sama bonda melahirkan

Kasih bonda tiada sempadan

Kemuncak murni kemuliaan insan

~Usman Awang

Page 37: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Mata Ayah ~ Usman Awang Mac 15, 2007

Kujabat mesra tangan ayah

Urat-urat daging-daging tua keras terasa

Mataku tersenyum, matanya menyapa

Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku

Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi

Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram

Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah

Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri

Bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang

Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah

merasakan kepedihan yang tercermin di mata

Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk

Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

~Usman Awang

Page 38: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Dari Bintang Ke Bintang ~ Usman Awang Mac 8, 2007

Ketika mata saling menyapa senyum berbunga

Tasik hati mu mencecah jiwaku mesra

Betapa debar dada kurnia alam kasih bertakhta

Kau datang tanpa suara, menjamahku tanpa sabda

Subur laksana ladang petani di lereng gunung

Ranum menguntum dalam wujud rasa maha agung

Mata yang memberi hati ini penuh menanti

Kureguk kasih menghadapi hidup seluruh berani

Kini kulihat kepalamu tersandar di jinjang pelamin

Rambutmu tersanggul terandam mengilau di cahaya lilin

Gemersik kainmu membisikkan bahagia malam pengantin

Melimpah tumpah bahagia dalam tawa teman keliling

Ketika malam kulihat matamu pada bintang

Senyummu melambai di gemilang sinar bulan

Dari bintang ke bintang kunantikan lagumu

Hanya kerdipan dalam bisu suara hatiku bimbang

Jika aku berdiri di muka jendela hati terluka

Bulan sedang mengintai di balik awan kusapa

Angin yang datang dari pelaminmu kutanya

Ia bisa mengabarkan saat adinda sedang bahagia

( 1960 – Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara, DBP 1991)

Page 39: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Guru O Guru Mac 6, 2007

Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang

Berburu ke padang datar

Dapat rusa belang kaki

Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi

(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya

Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota

Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu

Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa

Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulangi ilmu

Page 40: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat

Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG

1979

Page 41: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Balada Terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Sebuah Bandaraya ~ Usman Awang Mac 5, 2007

Beringin tua di pinggir jalan raya

di sebuah ibu kota yang setengah muda

ratusan tahun usianya berdiri

menadah matari memayungi bumi

burung-burung berterbangan menyanyi

di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia

kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya

anak-anak bermain di keteduhan perdunya.

Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang

geregasi teknologi menyerangnya

dengan kejam membenamkan gigi-gigi besi

sehingga terdengarlah jeritan ngeri

suara Beringin rebah ke bumi.

Sampai sekarang, tiap senjakala lembayung petang

dengarlah suara Beringin mengucapkan pesan:

Selamat tinggal, selamat tinggal wahai awan

Selamat tinggal matari selamat tinggal bulan

Selamat tinggal kupu-kupu sayang

Selamat tinggal wahai burung-burung bersarang

Selamat tinggal anak-anak bermain riang.

Namaku Beringin pohon tua yang terbuang

dimusuhi oleh rancangan bernama Pembangunan.

Page 42: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Merpati Putih, Jelajahilah Dunia Ini ~ Usman Awang Februari 28, 2007

Dalam keruncingan manusia bimbang curiga

terbanglah ia menjelajahi dunia

putih sayapnya melambai cinta damai

bersih bulunya mengibar panji hidup bersama

Merpati putih, jelajahlah dunia ini

hembuskanlah udara baru yang kau hirup dari malam

bunga-bunga mekar menguntum

bibir-bibir segar tersenyum

Siapa manusia yang tiada ptus ada

hiruplah udara baru yang segar berkembang

isilah dunia ini dengan keyakinan perdamaian

hembuskan nafas pada malam yang lena

Siapa manusia yang pernah berkhianat

jadilah debu yang terbang mengakhiri hayat

duniamu tenggelam bersama patung-patung usang

di cermin hidup ini wajahmu telah menghilang

~ Usman Awang

Page 43: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Penjual Air Batu ~ Usman Awang Februari 14, 2007

Pelan-pelan di pinggir jalan kota,

Penjual air batu suaranya ditelan deru kereta,

Ia bisa ditulikan dengan pekikan hon-hon,

Tuan-tuan yang terganggu bisa pula menghamun.

Undang-undang ialah suatu kekuasaan,

Yang biasanya untuk orang-orang bawahan,

Dan berseraklah orang-orang pakaian seragam,

Memburu tangkapan yang ‘melanggar aturan’.

Anak-anak di bawah kolong, perutnya kosong,

Ah’ ayah belum pulang, manakah dia?

Isteri menanti dengan hati separuh bingung,

Tunggulah, betapa ia pulang jua.

(Sampai gelap merangkak menghampiri,

Penjual air batu belum pulang lagi)

Tapi berapa kali tangkapan terjadi,

Ia usahakan untuk berjual mencari rezeki.

Bilakah ruang keadilan memberi isi,

Para penjaja dalam hayatnya wajah berseri?

Bila nanti undang-undang jadi perlindungan,

Semua manusia tanpa kasta menerima keadilan

~ Usman Awang

Page 44: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Jentayu Yang Luka ~Usman Awang Februari 12, 2007

Untuk Wan Azizah)

Tiba-tiba dia bangkit

Dengan kelembutan yang tetap sopan

Berdiri di barisan paling hadapan

Sebagai pahlawan keadilan

Lama dulu wajahnya tersembunyi

Di belakang pemimpin berani sang suami

Mengintip dengan mata kecilnya

Segala tingkah dan senyuman pura-pura

Si pengampu yang bermuka dua

Si penyembah yang berjiwa hamba

Si pengemis segenggam laba

Dia adalah jentayu yang luka

Terbang mengepak menyonsong gumpalan awan

Mencakar menjeritkan kebebasan dan keadilan

Mencabar dunia yang semakin kejam.

~Usman Awang

~ditujukan puisi ini kepada Wan Azizah.

Page 45: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Kekasih ~ Usman Awang Februari 8, 2007

Akan kupintal buih-buih

menjadi tali

mengikatmu

akan kuanyam gelombang-gelombang

menjadi hamparan

ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan

menjadi selendang

menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung

menjadi baju

pakaian malammu

akan kupetik bintang timur

menjadi kerongsang

menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana

menjadi lampu

menyuluhi rindu

akan kurebahkan matari

menjadi laut malammu

menghirup sakar madumu

Kekasih, hitunglah mimpi

yang membunuh realiti

dengan syurga ilusi.

~Usman Awang

Page 46: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Duri dan Api Februari 7, 2007

Kawan-kawanku yang dikasihi

semalam kita bertemu kembali memadu

ketika matari tersangkut di bumbung Utusan

kita tidak menerima apa yang ada

yang dinyanyikan dari hati berani

dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.

Lagu kita telah mulai terpancar

ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar

di luar udara basah dalam matari bersinar

semua antara kita lagunya seluruh sedar.

Apakah ini derita diri dalam mimpi

atau kenyataan pahit menjepit

pada lena yang membunuh kehidupan manusia

sama-sama kita rangkul menguji diri.

Kawan-kawanku yang dikasihi

di belakang duri di depan api

kita tidak bisa undur lagi

duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah

di mana air mata tidak akan menitik tumpah

sebab kebulatan ikrar tak akan berubah

apa saja kita tidak akan menyerah.

Oleh: Usman Awang.

(Catatan pertama Pemogokan Utusan Melayu)

1961

Page 47: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Gadis Kecil Februari 6, 2007

Tubuh itu mengingatkan daku

sebatang pinang di desa sepi

kurus dan tinggi

ketika ribut besar

pohon sekitarnya rebah terkapar

dan pohon pinang tegak menanti

sinar matari pagi

Demikianlah gadis kecil itu

kurus seperti sebatang pinang

bertahun berulang-alik melalui

penjara kawat duri menemui

ayahnya yang bertahun pula sendiri

menentang tiap penderitaan

tabah dan beriman.

Gadis kecil itu mengagumkan daku

tenang dan senyuman yang agung

dengan sopan menolak pemberianku

‘saya tak perlu wang, pak cik,

cukuplah kertas dan buku.’

Usianya terlalu muda

Jiwanya didewasakan oleh pengalaman

tidak semua orang mencapai kekuatan demikian

ketabahan yang unik, mempesonakan.

Bila aku menyatakan simpati dan dukaku

rasa pilu terhadapnya

sekali lagi dia tersenyum dan berkata:

‘jangan sedih, pak cik, tabahkan hati

banyak anak-anak seperti saya di dunia ini.’

Aku jadi terpaku

dia, si gadis kecil itu menenteramkan

mengawal ombak emosiku

jangan sedih melihat derita pahitnya.

Page 48: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Alangkah malunya hati seorang lelaki dewas

yang mahu membela manusia derita terpenjara

menerima nasihat supaya tabah dan berani,

dari anak penghuni penjara sendiri?

Sepuluh anak seperti dia

akan menghapuskan erti seribu penjara.

~Usman Awang

Page 49: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Selamat Hari Lahir Februari 6, 2007

SAUDARA ANWAR IBRAHIM

(Selamat Hari Lahir)

Palu telah dijatuhkan

Lama sebelum tanganmu terikat ke belakang

Kau gegar aras kayangan

Kekuasaan yang mula tergoncang

Sekali tanganmu terancung ke udara

Sejuta teriakan menyambutnya

Sekali suaramu terpancar ke angkasa

Sejuta gelombang gema menyahutnya

Demi sumpah perjuangan

Demi maruah keadilan

Tabah dan gagah

Tidak pernah menyerah.

Demi sumpah perjuangan

Demi maruah keadilan

Tabah dan gagah

Tidak pernah menyerah.

~Usman Awang

Page 50: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Melayu – Usman Awang Februari 1, 2007

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar,

Janji simpan di perut

Selalu pecah di mulut,

Biar mati adat

Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau

memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mua’alaf bertakrif Melayu

(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya

Kias kata bidal pusaka

Akar budi bersulamkan daya

Gedung akal laut bicara

Page 51: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturrahim hati yang murni

Maaf diungkap senantiasa bersahut

Tangan diulur sentiasa bersambut

Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan

Selagi yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan:

“Dagang lalu nasi ditanakkan

Page 52: BIOGRAFI DATO' DR. USMAN AWANG

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan disusu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka

~ Usman Awang