bayaran khuluk menurut pandangan ulama islam dan

15
105 BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN AMALANNYA DI MAHKAMAH RENDAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN Mohd Noor Daud 1 Muhammah Akramin Kamarul zaman Mohamad Marzuqi bin Abd Rahim Abd Rahman Abd Ghani Siti Kausar binti Zakaria Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris ABSTRAK Khuluk merupakan salah satu bentuk perpisahan yang berlaku antara suami isteri. Dalam membincangkan tajuk khuluk, para ulama berbeza pendapat dalam beberapa perkara antaranya adakah khuluk dalam kategori talak ataupun fasakh?, apakah sebab keharusan yang membawa kepada khuluk? Beberapa isu bayaran dalam kes khuluk dan lain-lain. Artikel ini membincangkan tajuk bayaran dalam kes khuluk dan amalannya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dari tahun 2011-2013". Kaedah analisis data telah dipilih sebagai metode kajian. Objektif kajian ialah menganalisis konsep bayaran dalam kes khuluk berdasarkan pandangan fuqaha dan menganalisis isu bayaran dalam kes khuluk di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan berdasarkan kes-kes pada tahun 2011-2013 di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Di antara hasil kajian ialah bayaran merupakan rukun terpenting dalam khuluk, terdapat perselisihan pendapat ulama dalam isu khuluk tanpa bayaran, kadar bayaran, syarat bayaran, bentuk bayaran, persetujuan suami isteri dan kuasa hakim dalam menentukan bayaran. Kajian mendapati terdapat sejumlah kes yang mana jumlah bayaran khuluk lebih tinggi berbanding jumlah mahar, manakala terdapat juga sebahagian kes yang jumlah bayaran khuluk lebih rendah berbanding jumlah mahar. Jumlah tebusan khuluk yang paling tinggi dalam tahun 2011-2013 ialah RM30, 000, manakala yang paling rendah ialah RM5.00. Terdapat dua jenis penyerahan khuluk yang dikenal pasti iaitu di dalam bentuk wang tunai dan bukan wang tunai. Kata Kunci: Khuluk, bayaran, Mahkamah Rendah Syariah, Wilayah Persekutuan PENDAHULUAN Ulama mendefinisikan khuluk sebagai perceraian yang terjadi dengan sebab permintaan daripada isteri dengan bayaran yang dibayarkan kepada suami dengan redha atau persetujuan suami atau dengan keputusan mahkamah. Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam juga terdapat peraturan mengenai khuluk ini. Walau bagaimanapun huraian perlu dilakukan agar konsep khuluk ini dapat difahami dengan baik. PENGERTIAN KHULUK Hasil kajian pengkaji mendapati definisi khuluk yang diutarakan oleh ulama berbeza-beza berdasarkan perbezaan mereka menentukan status khuluk sama ada dalam kategori talak atau fasakh. Mereka yang mengkategorikan khuluk sebagai talak akan mendefinisikannya 1 Tel: +605-4505128 E-mel: [email protected]

Upload: letuyen

Post on 15-Jan-2017

334 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

Page 1: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

105

BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

AMALANNYA DI MAHKAMAH RENDAH SYARIAH WILAYAH

PERSEKUTUAN

Mohd Noor Daud1

Muhammah Akramin Kamarul zaman

Mohamad Marzuqi bin Abd Rahim

Abd Rahman Abd Ghani

Siti Kausar binti Zakaria

Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan,

Universiti Pendidikan Sultan Idris

ABSTRAK

Khuluk merupakan salah satu bentuk perpisahan yang berlaku antara suami isteri. Dalam

membincangkan tajuk khuluk, para ulama berbeza pendapat dalam beberapa perkara

antaranya adakah khuluk dalam kategori talak ataupun fasakh?, apakah sebab keharusan

yang membawa kepada khuluk? Beberapa isu bayaran dalam kes khuluk dan lain-lain.

Artikel ini membincangkan tajuk bayaran dalam kes khuluk dan amalannya di Mahkamah

Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dari tahun 2011-2013". Kaedah analisis data telah

dipilih sebagai metode kajian. Objektif kajian ialah menganalisis konsep bayaran dalam

kes khuluk berdasarkan pandangan fuqaha dan menganalisis isu bayaran dalam kes khuluk

di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan berdasarkan kes-kes pada tahun 2011-2013 di

Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Di antara hasil kajian ialah bayaran merupakan

rukun terpenting dalam khuluk, terdapat perselisihan pendapat ulama dalam isu khuluk

tanpa bayaran, kadar bayaran, syarat bayaran, bentuk bayaran, persetujuan suami isteri dan

kuasa hakim dalam menentukan bayaran. Kajian mendapati terdapat sejumlah kes yang

mana jumlah bayaran khuluk lebih tinggi berbanding jumlah mahar, manakala terdapat juga

sebahagian kes yang jumlah bayaran khuluk lebih rendah berbanding jumlah mahar.

Jumlah tebusan khuluk yang paling tinggi dalam tahun 2011-2013 ialah RM30, 000,

manakala yang paling rendah ialah RM5.00. Terdapat dua jenis penyerahan khuluk yang

dikenal pasti iaitu di dalam bentuk wang tunai dan bukan wang tunai.

Kata Kunci: Khuluk, bayaran, Mahkamah Rendah Syariah, Wilayah Persekutuan

PENDAHULUAN

Ulama mendefinisikan khuluk sebagai perceraian yang terjadi dengan sebab permintaan

daripada isteri dengan bayaran yang dibayarkan kepada suami dengan redha atau

persetujuan suami atau dengan keputusan mahkamah. Dalam Enakmen Undang-undang

Keluarga Islam juga terdapat peraturan mengenai khuluk ini. Walau bagaimanapun huraian

perlu dilakukan agar konsep khuluk ini dapat difahami dengan baik.

PENGERTIAN KHULUK

Hasil kajian pengkaji mendapati definisi khuluk yang diutarakan oleh ulama berbeza-beza

berdasarkan perbezaan mereka menentukan status khuluk sama ada dalam kategori talak

atau fasakh. Mereka yang mengkategorikan khuluk sebagai talak akan mendefinisikannya

1 Tel: +605-4505128 E-mel: [email protected]

Page 2: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

106

bersesuaian dengan maksud talak, sebaliknya mereka yang mengkategorikan khuluk

sebagai fasakh akan mendefinisikannya bersesuaian dengan maksud fasakh. Perbincangan

lanjut adalah seperti berikut.

Khuluk juga dikenali dengan nama “tebus talak” bermaksud talak yang dijatuhkan dengan

gantian harta. Khuluk yang dibenarkan di dalam hukum Islam tersebut berasal dari kata-

kata “khala’a al-thauba,” iaitu menanggalkan pakaian, kerana perempuan itu merupakan

pakaian kepada lelaki, Manakala lelaki pula merupakan pakaian kepada perempuan.

(Zaleha Kamaruddin & Raihanah Abdullah, Kamus Istilah Undang-Undang Keluarga

Islam, hlm. 68). Firman Allah SWT:

لن لباس وأن تم لكم لباس هن Maksudnya:”Mereka (isteri-isteri) adalah pakaian bagi kamu, dan kamu pun pakaian

mereka”.

(al-Baqarah:187)

Dalam mazhab Hanafi, Al-Siwasi mendefinisikan khuluk sebagai "menghilangkan

pemilikan nikah dengan lafaz khuluk" (Al-Siwasi, Syarh Fath al-Qadir, Jil.4: 210).

Dalam definisi yang lain, khuluk disebutkan sebagai:

ازالةملكالنكاحاملتوقفةعلىقبولاملرأةبلفظاخللعأوماىفمعناهmenghilangkan pemilikan nikah yang bergantung atas persetujuan isteri dengan

menggunakan lafaz khuluk atau perkataan lain yang sama maknanya.(Hassan

Salleh.(1993), Asas Kekeluargaan Islam, Hlm. 161).

Manakala Imam Malik pula mendefinisikan khuluk sebagai:

هوالطالقبعوضPerceraian talak dengan cara bayaran ganti. (Ibn Rush, (t.t) Bidayah al-Mujtahid wa

Nihayah al-Muqtasid, Jil.2:50).

Berdasarkan takrifan tersebut, Imam Malik membahagikan khuluk kepada dua bahagian.

Pertama, khuluk biasa iaitu perceraian dengan bayaran ganti. Kedua ialah perceraian yang

berlaku dengan menggunakan lafaz khuluk, walaupun tidak terdapat sesuatu sebagai

bayaran ganti (iwadh).

Dalam Mazhab Syafie, Imam Nawawi mendefiniskan khuluk sebagai "perpisahan isteri

dengan bayaran". (Al-Nawawi,(t.t), Tahrir Alfaz al-Tanbih (Lughah al-Fiqh), Jil.1:408).

Menurut Imam Hanbali pula, khuluk ialah:

اقالزوجامرأتهبعوضيأخذهالزوجمنامرأتهأوغريهابألفاظخمصوصةهوفرMaksudnya: suami menceraikan isterinya dengan bayaran ganti yang diambil oleh suami

daripada isterinya atau orang lain menggunakan perkataan-perkataan yang tertentu. (Ibn

Muflih (t.t), al-Mubdi' fi Syarh al-Muqni', Jil.7:219)

Ismail Musa (2008), Ahkam al-Khuluk fi al-Syariah al-Islamiah, hlm.17) dalam kajian

beliau mendefinisikan khuluk sebagai "perceraian yang terjadi dengan sebab permintaan

daripada isteri dengan bayaran yang dibayarkan kepada suami dengan redha atau

persetujuan suami atau dengan keputusan mahkamah".

Page 3: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

107

Menurut beliau definisi ini dipilih kerana justifikasi berikut:-

1) Disebutkan "dengan sebab permintaan daripada isteri" menjadi suatu tanda

bahawa perceraian ini adalah khuluk. Ini kerana jika ia menjadi pilihan suami

semata-mata, maka perceraian itu dinamakan talak. Sedangkan "talak atas

permintaan isteri" khusus kepada khuluk.

2) Disebutkan perkataan "dengan bayaran/tebusan/imbalan" telah mengeluarkan

talak yang berlaku tanpa tebusan. Jika tidak disebut tebusan maka perceraian itu

dihukum talak rajii.

3) Disebutkan "yang dibayar oleh isteri" mengeluarkan bayaran yang dibuat oleh

ajnabi dan fudhuli.

Definisi di atas tidak mengkhususkan lafaz tertentu untuk khuluk. Ini kerana makna dan

pengajaran daripada lafaz itu lebih penting berbanding literal lafaz itu sendiri. Mana-mana

kalimah yang digunakan mengandungi makna khuluk berdasarkan syarat-syaratnya iaitu-

permohonan daripada wanita dan wujud bayaran diklasifikasikan sebagai khuluk.

ISU BAYARAN TEBUS TALAK BERDASARKAN SOROTAN KAJIAN

Di antara isu bayaran yang dibahaskan oleh para ulama ialah khuluk tanpa disebutkan

bayaran, kadar bayaran khuluk sama ada boleh melebihi kadar mahar ataupun tidak, bentuk

bayaran, persetujuan suami isteri dalam menentukan jumlah mahar, kuasa hakim dalam

menentukan jumlah mahar, adakah disyaratkan berlaku syiqaq antara suami isteri agar

harus mengambil bayaran dan lain-lain.

Manakala antara Isu yang dibincangkan yang melibatkan kajian kes di Mahkamah ialah

berkaitan kadar bayaran tebus talak iaitu suami meletakkan kadar tebus talak yang tinggi

untuk tebus talak, persetujuan suami isteri dan kuasa kadi dalam menentukan mahar.

Menurut kajian Najibah bt Mohd Zin, isu bayaran menjadi perkara yang merumitkan di

Mahkamah Syariah jika ia berkait rapat dengan persetujuan daripada pihak suami kerana

terdapat juga keadaan yang mana pihak suami meminta bayaran yang tinggi untuk menebus

talak. Hal ini menyusahkan pihak isteri terutamanya yang tidak bekerja atau tidak

mempunyai sumber pendapatan.2

Isu kadar bayaran tebus talak juga dapat dilihat dalam kes Fuzita bt. Ahmad lawan Ramlie

bin Latiff (Kes Mal 266/95),3. Defendan telah memohon kepada mahkamah supaya

memerintahkan pihak plaintif menuntut cerai dengan cara tebus talak atau khuluk jika

plaintif tetap berkeras untuk bercerai dengan bayaran sebanyak RM10,000 di samping

memenuhi beberapa tuntutan defendan yang lain. Namun begitu, plaintif tidak bersetuju

dengan kadar nilaian yang telah ditetapkan defendan disebabkan faktor kewangan. Setelah

melalui beberapa sesi perbicaraan, Hakim memutuskan plaintif membayar wang berjumlah

RM3500 sebagai bayaran tebus talak kepada defendan. Dalam kes ini juga dapat

diperhatikan walaupun pihak suami berhak menentukan kadar khuluk yang perlu dibayar

oleh isteri, namun Hakim tidak menerima kadar nilaian yang telah ditentukan suami.

2 Najibah Mohd Zin et al. (2007). Undang-undang Keluarga Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka. Jilid 14. h. 136 3 Zaini Nasohah. (2000). Op. Cit. h. 133.

Page 4: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

108

Menurut Akta 49 (3),4

Jika bayaran tebus talak tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mahkamah boleh

mentafsirkan jumlah itu mengikut hukum syarak dengan memberi pertimbangan kepada

taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu

Hasil kajian Hajah Saadiah Hj Tamit di Brunei, nilaian tebus talak yang paling tinggi

daripada kes-kes yang dikemukakan ialah sebanyak RM50,000 dalam kes Ampuan Ali Bin

Ampuan Haji Sarapuddin lawan Nurul Majeedah Bt Abdullah. Penceraian pasangan

tersebut adalah disebabkan tiada persefahaman, suami tidak mempunyai pekerjaan dan

tidak menunaikan tanggungjawab memberi nafkah. Walaupun kadar jumlah tebus talak

adalah tinggi iaitu sebanyak RM50,000, namun mahkamah telah memutuskan pasangan

terbabit bercerai secara tebus talak RM50,000 tanpa mengambil kira pendapatan isteri yang

sewajarnya sedangkan jika dilihat tujuan isteri memohon khuluk adalah disebabkan

kesalahan yang datangnya dari suami.5

MAKSUD BAYARAN MENURUT PANDANGAN ULAMA

Maksud bayaran ialah jumlah wang tebusan yang dibayar oleh isteri kepada suami sebagai

wang tebusan. Bayaran merupakan rukun terpenting dalam kes khuluk. Justeru, bayaran ini

yang membezakan khuluk dengan perceraian secara talak. Menurut Ismail Musa Mustafa

Abdullah, mana-mana pandangan yang tidak menjadikan bayaran sebagai asas penting

dalam khuluk telah jauh dari kebenaran, dan tidak bertepatan dengan mantuq ayat al-Quran

dan hadis Nabi SAW.6 Ulama sepakat bahawa suami harus mengambil bayaran dari

isterinya dalam kes khuluk jika bimbang tidak mampu melaksanakan kewajipan suami

isteri.7

KADAR BAYARAN TEBUS TALAK

Meneliti pandangan ulama dalam membincangkan mengenai bayaran, mereka sepakat

mengenai bayaran tebus talak disyariatkan berdasarkan dalil al-Quran dan al-Hadis yang

sangat jelas. Namun mereka berbeza pendapat dalam isu kadar bayaran tebus talak ini

kepada empat pandangan. Pandangan pertama, mengatakan bayaran tebus talak itu mestilah

apa yang dibayar oleh suami sebagai mahar ketika akad nikah. Kedua, sah khuluk dengan

bayaran yang melebihi bayaran mahar. Ketiga, bayaran khuluk hendaklah lebih rendah

daripada jumlah mahar. Keempat, harus dilakukan khuluk walaupun tanpa bayaran.

HUKUM BAYARAN YANG MELEBIHI MAHAR

Terdapat dua pandangan ulama mengenai hukum membayar imbalan (iwadh) yang

melebihi kadar mahar. Golongan pertama berpandangan membayar lebih daripada kadar

mahar adalah tidak dibolehkan. Manakala golongan kedua pula berpendapat membayar

lebih daripada kadar mahar adalah dibolehkan.

4 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 (Akta 303) seksyen 49 (3) 5 Hajah Saadiah Hj Tamit. (2001). Pembubaran perkahwinan Di kalangan Orang Islam di Negara Brunei

Darussalam dan Perbandingan dengan Undang-undang Keluarga Islam Malaysia. Tesis Ijazah Doktor

Falsafah, Fakulti Pengajian Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.. h. 162 6 Ismail Musa Mustafa Abdullah, 2008, Ahkam al-Khuluk fi al-Syariah al-Islamiah, hlm.82. 7 Ibn Qudamah, Al-Mughni, j.7, h.51, Amir Said al-Zibari (1997), Ahkam al-Khuluk fi al-Syariah al-

Islamiyyah, Beirut: Dar Ibn Hazmi, h.149.

Page 5: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

109

Golongan pertama: Mereka yang berpendapat bahawa imbalan tidak boleh melebihi kadar

mahar. Jika khuluk terjadi dengan bayarannya melebihi kadar mahar, khuluk itu sah dengan

kadar bayaran mahar. Bayaran yang lebih itu terbatal. Jika khuluk itu digantungkan dengan

persetujuan isteri terhadap jumlah bayaran yang lebih itu, maka khuluk dihukum tidak sah

dan haram mengambil bayaran. Pendapat ini dinukilkan daripada 'Ata', al-Awza'ie, al-

Zuhri, al-Hasan al-Basri, Tawus, Abu Bahar al-Hanbali dan al-Syaukani. Antara ulama

semasa yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Abdul Karim Zaidan.8

Dalil Yang Digunakan:

1) Hadis daripada Abi al-Zubair, katanya: "Thabit b. Qays bin Shammash mempunyai isteri

yang bernama Zainab bin Abdullah bin Ubai bin Salul. Beliau telah memberikan isterinya

sebuah kebun sebagai mahar. Namun isterinya tidak menyukainya. Maka Rasul SAW.

bersabda: Apakah kamu sanggup mengembalikan kebunnya yang diberikan kepadamu.

Jawab isteri Thabit: Ya, bahkah lebih lagi. SAW. Bersabda: Adapun lebih dari itu tidak

perlu, cuma kembalikan kebunnya. Jawab Isterinya: Ya. Maka Nabi memutuskan agar

kebun itu dikembalikan kepada Thabit dan membebaskannya. Apabila perkhabaran itu

sampai kepada Thabit beliau berkata: Aku terima keputusan Rasulullah SAW.”9

Cara berhujah daripada hadis di atas ialah jelas Nabi SAW menolak bayaran lebih yang

hendak diberikan oleh isteri Zaid bin Qays kepada beliau. Malah Nabi SAW mengehadkan

hanya kebun sahaja yang perlu dikembalikan.

2) Riwayat Ibn Majah, bahawa Jamilah bin Salul telah datang bertemu Nabi SAW berkata:

Aku tidak mencela Thabit dari sudut keagamaan dan akhlaknya, namun aku benci (khuatir)

kekufuran dalam Islam. Aku tidak mampu menahan kemarahan aku. Nabi SAW bertanya:

Adakah kamu bersedia mengembalikan kebunnya kepadanya. Jawab Jamilah: ya. Nabi

SAW memerintahkan Thabit mengambil kebun itu dan tidak menambahnya.

Cara berdalil daripada hadis ini ialah Nabi SAW melarang mengambil lebih dari jumlah

mahar. Jika mengambil lebih itu dibolehkan, Nescaya Nabi SAW tidak melarang

mengambilnya.

Golongan kedua: Mereka yang berpendapat imbalan boleh melebihi kadar mahar.

Golongan ini berpendapat suami boleh mengambil bayaran khuluk dari isterinya sebagai

balasan melepaskannya sama ada jumlahnya sama dengan mahar, lebih rendah atau lebih

banyak selama suami isteri bersetuju atas jumlah tersebut. Sama ada bayaran itu dibayar

oleh isteri atau oleh orang lain, sama ada bayaran itu berupa harta yang sama yang dibayar

sebagai mahar ketika akad atau harta lain. 10Pendapat ini dinukilkan daripada beberapa

orang sahabat seperti Umar r.a, Uthman r.a, Ibn Umar r.a., Ibn Abas, dan para tabiin

antaranya al-Nakha'ie, al-Hasan, ulama Hanafi, ulama Maliki, ulama Syafie, Hanbali dan

Ibn Hazmi al-Zahiri. Antara ulama semasa yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Ibn

8 Ibn kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, Jil.1, Hlm.365; al-Baghawi, Tafsir al-Baghawi, Jil.1, Hlm.269;

Zaidan Abdul Karim, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Baitil al-Muslim, Jil.8, Hlm.193/ 9 Al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, Jil.3, Hlm.255, No. hadis 39; al-Baihaqi, Jil.7, Hlm.314, No

Hadis.14626. Beirut: Dar Ibn Kathir. Hadis ini adalah mursal. Namun terdapat riwayat yang lain daripada

imam-imam hadis yang lain antaranya Ibn Majah, al-Tabari dan lain-lain yang menghukumkan hadis sebagai

sahih, Ibn Hajar dan lain-lain. 10 Mustafa al-Zahabi (2000) al-Khuluk wa Ahkamuhu fi al-Syariah al-Islamiyyah, Kaherah: dar al-Hadis,

h.84; Jamal Abdul Wahhab Abdul Ghaffar (2003) al-Khuluk fi al-Syariah al-Islamiyyat Dirasah Fiqhiyyah

Muqaranah, 87.

Page 6: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

110

Uthaimin.11 Mereka juga berpendapat keharusan ini lebih utama jika nusyuz itu berlaku

dari pihak isteri.

Dalil Yang Digunakan:

1) Firman Allah SWT: دت به فال جناح عليهما فيما افت ".

Mereka berhujah bahawa umum ayat ini menunjukkan bahawa harus membayar imbalan

lebih daripada kadar mahar. Hukumnya sama sebagaimana mahar dan harga barang yang

tidak dinyatakan secara tepat. Sebaliknya kembali kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Malah ulama Syafie menyatakan lebih-lebih lagi jika nusyuz itu datangnya dari pihak

isteri.12

Ibn Arabi menyatakan: Ayat yang umum menunjukkan bahawa bayaran tebus talak harus

jika melebihi kadar mahar.13

2) Diriwayatkan bahawa seorang wanita telah nusyuz pada zaman Sayidina Umar r.a.

Suami isteri itu telah merujuk kes nusyuz isterinya kepada Sayidina Umar r.a., Kata

Sayidina Umar r.a kepada suami perempuan itu: khuluklah dia walaupun dari anting-

antingnya (Qurtiha).(اخلعها ولو من قرطها).

3) Daripada Nafi' maula Ibn Umar daripada maula Sofiyyah binti Abi 'Ubaid, bahawa

beliau telah menkhuluk dari suami dengan semua yang dimilikinya. Ibn Umar r.a tidak

mengingkarinya.

4) Daripada al-Rabi' binti Mu'awwaz katanya: antaraku dan sepupuku (yang juga

suaminya) berlaku bertengkaran. Aku berkata kepadanya: Kamu ambillah semua harta aku

dan ceraikan aku. Kata suaminya: Aku setuju. Lalu dia mengambil kesemua tilam ku. Aku

datang bertemu Uthman dan beliau dalam keadaan "mahsur". Kata suaminya: Aku berhak

ke atas syarat itu. Ambillah walaupun tali ikat rambut beliau".

5) Qaul Sahabat.

Menurut Ibn Qudamah, hujah mazhab kami ialah berdasarkan ayat al-Quran yang mutlak

dan juga kata-kata para sahabat yang telah disebutkan nama-nama mereka.14

6) Dalil akal

Sebagaimana perempuan tidak suka pada awal pernikahan melainkan jika maharnya

dibayar mahal, maka sama jugalah dengan suami tidak suka atau redha ketika berlaku

khuluk melainkan jika bayarannya mahal. Lebih-lebih lagi apabila isteri mula memandang

rendah dan membenci suami, dan menampakkan kemarahannya.15

Pengkaji berpendapat pandangan kedua adalah lebih tepat kerana dalil-dalil yang

digunakan. Manakala dalam hadis yang menyebutkan "adapun lebihan, maka itu tidak"

bermaksud Nabi SAW tidak meminta isteri Thabit untuk membayar lebih dari apa yang

dibayar sebagai mahar. Hadis itu juga bukan melarang jika mereka bersetuju bayaran itu

11 Ibn al-Arabi, Ahkam al-Quran, Jil.1, Hlm.388; Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, Jil.1, Hlm.365; al-

Nawawi, al-Majmuk, Jil17, Hlm.8; al-Qurtubi, al-Jamik li Ahkam al-Quran, Jil.3, Hlm.134; Ibn Uthaimin,

Tafsir al-Quran li al-Uthaimin, Jil.5, Hlm.87. 12 al-Nawawi, al-Majmuk, Jil.17, Hlm.8; Ibn al-Arabi, Ahkam al-Quran, Jil.1, Hlm.388. 13 Ibn al-Arabi, Ahkam al-Quran, Jil.1; H388. 14 Ibn Qudamah, al-Mughni, Jil.8, Hlm.176. 15 Tafsir alpRazi, j.6, h.109.

Page 7: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

111

melebihi kadar mahar sewaktu akad nikah. Mungkin lantaran terlalu ingin berpisah itu

menyebabkan isteri Thabit teruja membayar lebih dari jumlah mahar yang diterima sewaktu

akad nikah. Selain itu, asas transaksi dalam akad mu'awadah ialah dibina atas asas redha.

Namun, para suami dinasihatkan agar yang menyalahgunakan hukum ini untuk

kepentingan diri dengan meletakkan jumlah bayaran yang tinggi. Justeru para hakim

menjadi penentu dalam kes yang berlaku pertikaian.

KHULUK TANPA BAYARAN

Persoalan yang timbul ialah adakah dihukum khuluk ataupun tidak jika tidak wujud

bayaran atau bayaran itu rosak atau disebutkan bayaran yang merupakan benda haram.

Persoalannya ialah adakah hendak mengambil kira lafaz (khuluk) atau makna?. Dalam isu

ini ulama secara umum berbeza pendapat. Satu pandangan melihat khuluk berlaku

sekalipun tidak disebutkan bayaran, atau bayaran itu jahalah, ma'dum jika disebutkan lafaz

khuluk secara jelas. Pandangan kedua mensyaratkan badal atau bayaran kerana ia

merupakan rukun dalam khuluk. Khuluk tidak berlaku tanpa bayaran.16

Mazhab Maliki berpendapat khuluk tetap sah dalam apa jua keadaan selagi menggunakan

lafaz khuluk secara soreh. Mereka berhujah bahawa khuluk adalah talak, sedangkan talak

tidak perlu kepada menyebutkan bayaran.17

Mazhab Hanafi pula berpendapat jika tidak disebutkan bayaran (badal), maka ia dianggap

talak raji'. Berbeza dengan ulama Maliki yang berpendapat ba'in. Mereka berhujah talak

tidak akan dihukum bain jika tidak disebutkan bayaran (badal).18 Manakala Abu Yusuf dari

mazhab Hanafi berpendapat jika tidak disebutkan bayaran, maka tidak dikira berlaku apa-

apa. Ini kerana bayaran dalam khuluk itu adalah rukun atau maqsad. 19

Pendapat ini sama dengan salah satu riwayat daripada mazhab Hanbali. Menurut mazhab

Hanbali bayaran (badal) merupakan rukun. Melainkan jika diniatkan talak maka tetap jatuh

talak raj'i. Asas dalam mazhab Hanbali ialah lafaz dan niat.20 Manakala menurut Ibn

taimiyyah, jika tidak disebutkan bayaran (badal) maka tidak dikira apa-apa. Menurut Ibn

taimiyyah khuluk itu dilihat kepada maksud bukan kepada lafaz. Manakala bayaran pula

merupakan rukun. Justeru dalam kes yang tidak disebutkan rukun, maka tidak berlaku apa-

apa sama khuluk mahupun talak.21

Menurut mazhab Syafie pula, khuluk telah dikira dalam kes tidak disebutkan badal atau

terbatal badal. Suami berhak mendapat mahar mithil. Maksudnya isteri diwajibkan

membayar mahar mithil kepada suaminya.22

Kesimpulannya pengkaji berpendapat pandangan mazhab Syafie adalah lebih kuat kerana

beberapa alasan. Pertama; para ulama sepakat bahawa bayaran (iwadh) adalah rukun dalam

khuluk. Kedua; khuluk bukan bahagian daripada lafaz talak secara soreh. Bahkan khuluk

16 Ismail Musa Mustafa Abdullah (2008), Ahkam al-Khuluk fi al-Syariah al-Islamiyyah, Nablus: Jamieh al-

Najah, h.75. 17 Al-Dussuqi, Hasyiah al-Dussuqi, j.2, h.351. 18 Al-Samarqindi, Muhammad bin Ahmad bin Abi Ahmad (1405h), Tuhfah al-Fuqaha, j.2, h.201 19 Ibn 'Abidin, Hasyiah Ibn Abidin, j.3, h.441. 20 Ibn Muflih, al-Mubdi', j.7, h.221. 21 Ibn taimiyyah, Majmuk al-Fatawa, j.32, h.303. 22 Al-Ghazali, al-Wasit, j.5, h.326; al-Mawardi, al-Iqna', j.1, h.152.

Page 8: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

112

mempunyai hukum khusus yang sangat berbeza dengan talak. Ketiga; ulama yang

berpendapat apabila bayaran yang disebutkan terbatal berpendapat khuluk adalah fasakh.

Justeru, supaya ucapan suami itu tidak sia-sia maka perlu ditakwilkan kepada maksudnya

yang asal iaitu perpisahan dengan bayaran (al-talak bi badal).23

SYARAT BERLAKU SYIQAQ

Ulama berbeza pendapat sama ada disyaratkan berlaku syiqaq ataupun tidak supaya suami

harus mengambil bayaran daripada isteri. Dalam isu ini mereka mempunyai dua

pandangan.

Pandangan pertama, berpendapat tidak disyaratkan berlaku syiqaq. Adalah harus

mengambil bayaran daripada isteri dalam situasi tidak wujud syiqaq, cuma dihukum

makruh. Pendapat ini diutarakan oleh Ulama Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.24

Pandangan pertama telah berhujah berdasarkan beberapa dalil antaranya dalil daripada

firman Allah SWT (فإنطنبلكمعنشيءمنهنفسافكلوههنيئامريئا).25 Mereka berhujah bahawa

ayat ini berbentuk mutlak dan tidak dibataskan dengan situasi tertentu, maka hal ini

menunjukkan bahawa adalah boleh ataupun harus mengambil bayaran dalam situasi redha

dan wujud keserasian. Dalil lain yang digunakan ialah dalil logik iaitu jika suami boleh

mengambil bayaran dari isteri ketika berlaku konflik dan syiqaq, sedangkan dia dalam

keadaan terpaksa untuk berpisah daripadanya. Maka lebih utama lagi boleh jika tidak

berlaku konflik dan syiqaq.26

Pandangan kedua pula berpendapat tidak boleh mengambil bayaran daripada isteri

melainkan jika berlaku kebencian sama ada daripada pihak isteri atau kedua-duanya sekali.

Pendapat ini diutarakan oleh ulama Zahiri, satu riwayat daripada Imam Ahmad dan Ibn al-

Munzir.27

Golongan ini berhujah berdasarkan beberapa dalil antaranya firman Allah SWT: والحيل.لكمأنتأخذوامماءاتيتموهنشيئا.. ). Mereka berhujah adalah menjadi prinsip yang disepakati

iaitu tidak halal mengambil harta orang lain melainkan dengan hak. Allah SWT pada

permulaan ayat khuluk ini menegah mengambil harta isteri kemudian mengharuskan

pengambilannya dengan bersyarat (اهلل حدود يقيما أال خيافا أن Selain itu mereka juga .(إال

berhujah berdasarkan ayat (وإنخفتمشقاقبينهما..). Mereka berpendapat ayat al-Quran jelas

mensyaratkan berlaku syiqaq antara suami isteri bagi tujuan menghantar hakam, sama ada

untuk tujuan berdamai atau memisahkan mereka. Justeru kemungkinan pilihan akhir

berpisah itu adalah dengan cara khuluk iaitu isteri membayar sejumlah bayaran kepada

suami, justeru ia mensyaratkan wujudnya syiqaq. Selain itu juga mereka berhujah

berdasarkan peristiwa khuluk yang berlaku antara Thabit dan isterinya iaitu hasil konflik

yang antara mereka berdua. Maka hukum perlu melihat kepada konteks nas itu berlaku.

23 Ismail Musa Mustafa Abdullah, 2008, Ahkam al-Khuluk fi al-Syariah al-Islamiyyah, Nablus: Jameah al-

Najah al-Wataniyyah, h.77. 24 Ibn Hummam, Fath al-Qadir, j3, h223; Tafsir al-Qurtubi, j.3, h.136; Nihayat al-Muhtaj, j.6, h.393. 25 Surah al-Nisa: 4. 26 Al-Jassos, Ahkam al-Quran, j.1, h.466. 27 Al-Muhalla, j10, h.235; al-Mughni, j.7, h.54.

Page 9: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

113

Pengkaji berpendapat pandangan yang diutarakan oleh Zahiri, satu riwayat daripada Imam

Ahmad dan ibn al-Munzir adalah lebih dekat kepada maqasid Syariah dan kukuh dari sudut

dalil umum berkaitan perceraian dan juga dalil khusus iaitu kes khuluk Thabit bin Qais.

BENTUK BAYARAN DAN SYARATNYA

Ulama mempunyai pandangan yang berbeza dalam menentukan perkara ini.

Mazhab Hanafi

Menurut mazhab Hanafi, jika bayaran yang disebutkan dalam khuluk itu rosak, talak yang

berlaku adalah talak baik (sah khuluk). Suami tidak mendapat apa-apa bayaran.28Menurut

sesetengah ulama Hanafi, khuluk tidak sah tanpa bayaran.29 Menurut sesetengah ulama

yang lain, jika bayaran terbatal, maka suami berhak mendapat mahar mithil. 30

Mazhab Maliki

Menurut Mazhab Maliki, khuluk sah jika bayaran itu majhul atau wujud gharar. Suami

tidak akan mendapat apa-apa jika bayaran yang disebutkan terbatal atau rosak. Hujahnya

ialah, talak dihukum sah tanpa sebarang bayaran, atau bayaran yang rosak atau majhul .31

Mazhab Syafie

Menurut mazhab Syafie, apa-apa yang boleh dijadikan barang perniagaan (mabi'), maka

boleh dijadikan bayaran dalam khuluk. Sebaliknya, jika tidak boleh dijadikan barang

perniagaan (mabi'), maka tidak boleh dijadikan bayaran dalam khuluk. Jika bayaran rosak,

maka perlu merujuk kepada mahar mithil.32 Menurut Mazhab Syafie, khuluk tidak

berlangsung dengan bayaran yang rosak, sebaliknya suami berhak mendapat mahar mithil.

Mazhab Hanbali

Menurut mazhab Hanbali, jika bayaran yang disebutkan dalam khuluk itu majhul atau

wujud unsur gharar maka khuluk masih sah. Kerana khuluk berlaku atas asas toleransi atau

bertolak ansur. Justeru, jika bayaran itu rosak, maka suami berhak mendapat nilaiannya

(qimiy) jika harta yang rosak itu berbentuk nilaian (qimiy), sebaliknya suami berhak

mendapat sepadan (mithli) jika harta yang rosak itu sepadan (mithli). Manakala menurut

sesetengah ulama Hanbali, tidak akan berlaku apa-apa jika bayaran yang disebut majhul

atau wujud unsur gharar.33

Imam al-Syaukani

Menurut al-Syaukani, apabila bayaran khuluk itu adalah sesuatu yang majhul sama ada

pada kadar ataupun jenis. Manakala suami isteri telah bersetuju, maka sah khuluk. Maka

wajib si isteri menyerahkan sesuatu yang majhul itu pada jenis yang pertengahan.34

28 Al-Marghiyani, al-Hidayah Syarh al-Hidayah, Jil.2, Hlm.14. 29 Ibn Bakr, Zain bin Ibrahim bin Muhammad bin Muhammad, al-Baru al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq,

Jil.4, Hlm.78. Beirut: Dar al-Makrifah. 30 Al-Sarakhsi, al-Mabsut, Jil.5, Hlm.184. 31 Ibn Ruysd, Bidayah al-Mujtahid, Jil.4, Hlm.51; al-Qurtubi, al-Jamik li Ahkam al-Quran, Jil.3, Hlm.134. 32 Al-Syafie, al-Umm, Jil.5, Hlm.201; al-Suyuti, Abdul Rahman bin Abi Bakr, al-Asybah wa al-Nazair,

Jil.1, Hlm.315, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah. 33 Al-Bahuti, Kasysyaf al-Qina', Jil.5, Hlm.222. 34 Al-Syaukani, al-Sailu al-Jarrar, Jil.2, Hlm.370.

Page 10: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

114

Kesimpulannya, jumhur ulama sepakat bayaran syarat (iwadh) ialah benda yang sesuai

dijadikan mahar. Maknanya, perkara yang sesuai dijadikan mahar, maka sesuai dijadikan

bayaran khuluk.35

ANALISIS BAYARAN TEBUS TALAK DI MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH

PERSEKUTUAN BERDASARKAN KES DARI TAHUN 2011-2013

Khuluk Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan

Khuluk terjadi disebabkan kedua-dua pihak khuatir tidak dapat melaksanakan

tanggungjawab dalam perkahwinan. Namun demikian, khuluk hanya boleh berlaku dengan

adanya alasan munasabah serta bukti yang kukuh dari segi amalan perundangan di

Mahkamah Syariah di Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta Undang-

undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984, Seksyen 49 (1-4)

1) Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri,

tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai

tebus talak, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talak

dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami itu melafazkan

penceraian dengan cara penebusan, dan penceraian itu adalah ba-in-sughra

atau tebus talak

2) Mahkamah hendaklah merekodkan cerai tebus talak itu dengan sewajarnya dan

menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang

berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

3) Jika jumlah bayaran tebus talak itu tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu,

Mahkamah boleh mentafsirkan jumlah itu mengikut Hukum Syara’ dengan

memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu.

4) Jika suami tidak bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau tidak hadir di

hadapan Mahkamah sebagaimana diarahkan, atau jika Mahkamah

berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu

perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai

sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah

dipakai sewajarnya.

Umumnya, penceraian khuluk atau tebus talak yang telah diperuntukkan dalam Akta

Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 adalah sama dalam

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam bagi setiap negeri walaupun terdapat perbezaan

dari sudut kedudukan seksyen.

Perbincangan mengenai bayaran khuluk di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah

Persekutuan ini dihuraikan kepada tiga perkara iaitu pertama; perbandingan antara jumlah

mahar dengan jumlah khuluk, kedua; jumlah khuluk terendah hingga tertinggi di dalam kes

dari tahun 2011 hingga 2013 dan ketiga; bentuk penyerahan khuluk kepada suami.

i. Perbandingan antara jumlah mahar dengan jumlah khuluk

35 Mustafa al-Zahabi (2000) al-Khuluk wa Ahkamuhu fi al-Syariah al-Islamiyyah, Kaherah: dar al-Hadis,

h.84.

Page 11: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

115

Jadual 1: Perbandingan antara jumlah mahar dengan jumlah khuluk dari tahun 2011

sehingga tahun 2013.

Tahun No. fail kes Jumlah

Mahar

(RM)

Jumlah Khuluk

(RM)

Jumlah Perbandingan

Mahar dan Khuluk

(RM)

2011 ZR lawan MF1 5,120 12,000 6,880 ZFH lawan ZK2 3,000 5 2,995 RMN lawan MFR3 13,000 30,000 17,000 AK lawan JJ4 80 30,000 29,920

2012 NS lawan RS5 - 10 10 NA lawan MS6 6,680 7,500 820 SMI lawan SAH7 6,050 50 6000

2013 HMH lawan AR8 5,080 Menyerahkan

sebuah rumah hak

milik bersama

0

MANZ lawan SZA9 5,300 5,000 300 MNA lawan NMN10 5,120 20,500 15,380 NHH lawan MAI11 8,001 1,001 7,000 NSMM lawan

MKNMR12

- sebentuk cincin 0

Jadual 1 di atas menunjukkan perbandingan antara jumlah mahar dengan jumlah khuluk

dari tahun 2011 sehingga 2013. Jumlah perbandingan terbanyak adalah RM29,920 iaitu

pasangan AK lawan JJ4 pada tahun 2011. Ini kerana pasangan itu telah meletakkan jumlah

khuluk yang banyak iaitu RM30,000 dan ini jauh berbeza dengan jumlah mahar iaitu

RM80. Manakala jumlah perbandingan yang sedikit adalah pasangan MANZ lawan SZA9

iaitu sebanyak RM 300 sahaja dan kadar jumlah khuluknya sedikit iaitu RM5000

berbanding dengan kadar mahar yang diterima iaitu RM5300.

Berdasarkan jadual di atas juga disimpulkan bahawa terdapat dua kategori jumlah tebusan

talak iaitu-

Pertama; jumlah tebusan lebih banyak daripada jumlah mahar sebagaimana dalam 6 kes

iaitu kes ZR lawan MF1iaitu jumlah mahar perkahwinan mereka adalah sebanyak 5120,

manakala jumlah tebus talak ialah 12, 000 bermaksud terdapat perbezaan sebanyak 6,880

daripada jumlah mahar, RMN lawan MFR iaitu jumlah mahar adalah sebanyak 13,000,

manakala jumlah tebus talak pula ialah 30,000. Ini bermaksud terdapat perbezaan 17,000

lebih tinggi daripada jumlah mahar, AK lawan MFR iaitu jumlah mahar ialah 80,

sedangkan jumlah tebus talak ialah sebanyak 30 000, iaitu 29,920 lebih tinggi berbanding

jumlah mahar. Isu yang sama boleh dilihat dalam kes NA lawan MS iaitu jumlah mahar

adalah sebanyak 6680, manakala jumlah tebus talak berjumlah 7,500 iaitu RM820 lebih

tinggi berbanding jumlah mahar, begitu juga dalam kes HMH lawan AR iaitu jumlah mahar

hanyalah 5080, sedangkan jumlah tebus talak ialah isteri menyerahkan sebuah rumah hak

milik bersama. Juga kita dalam lihat dalam kes MNA lawan NMN iaitu jumlah mahar

adalah sebanyak 5129 sedangkan jumlah tebusan talak adalah sebanyak 20500 iaitu 15, 380

lebih tinggi berbanding jumlah mahar.

Page 12: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

116

Kedua; jadual juga menunjukkan bahawa ada beberapa kes yang mana jumlah tebus talak

adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan jumlah mahar iaitu sebanyak 6 kes. Hal ini

boleh dilihat dalam kes ZFH lawan ZK iaitu jumlah mahar adalah sebanyak 3000

sedangkan jumlah tebus talak hanyalah sebanyak RM 5 iaitu 2,995 lebih rendah dari jumlah

mahar. Hal yang sama dilihat dalam kes NS lawan RS iaitu jumlah mahar tidak dinyatakan,

manakala jumlah tebus talak adalah sebanyak RM10. Perkara yang sama juga boleh dilihat

dalam kes SMI lawan SAH iaitu jumlah mahar adalah sebanyak 6050, manakala jumlah

mahar adalah sebanyak 50, iaitu 6000 lebih rendah daripada mahar. Kes MANZ lawan SZA

juga sama iaitu jumlah mahar adalah sebanyak 5300, manakala jumlah tebus talak adalah

sebanyak 5000 dengan perbezaan sebanyak 300. Begitu juga dalam kes NHH lawan MAI

iaitu jumlah mahar adalah sebanyak 8001, manakala jumlah tebus talak adalah sebanyak

1001, iaitu dengan perbezaan sebanyak 70000.

Meneliti kes-kes di atas dapat disimpulkan bahawa bukan semua suami mengambil

kesempatan mengenakan jumlah tebusan talak yang tinggi. Perkara ini dibuktikan

berdasarkan kes-kes yang dipaparkan di atas. Malah jumlah tebusan yang lebih tinggi

daripada jumlah mahar juga tidak boleh disimpulkan bahawa suami mengambil

kesempatan mengenakan jumlah tebusan yang tinggi mengambil kesempatan ke atas

isterinya. Hujahnya ialah jumlah yang ditentukan itu walaupun dilihat lebih tinggi daripada

jumlah mahar namun jumlah itu adalah hasil persetujuan bersama. Jika pihak isteri tidak

bersetuju dengan jumlah itu, maka beliau berhak bersuara dan dengan itu pihak Mahkamah

akan menggunakan budi bicara untuk menentukan jumlah yang sesuai dengan mengambil

kira situasi isteri.

ii. Jumlah khuluk terendah hingga tertinggi dari tahun 2011 hingga 2013.

Carta 2: Jumlah khuluk terendah hingga tertinggi dari tahun 2011 hingga 2013.

5 10 50 1,001

5,0007,500

12,000

20,500

30,000 30,000

0

5000

10000

15000

20000

25000

30000

35000

ZFHlawan

ZK

RMNlawanMFR

SMIlawanSAH

NHHlawanMAI

MANZlawan

SZA

NAlawan

MS

ZRlawan

MF

MNAlawanNMN

AKlawan

JJ

RMNlawanMFR

Jumlah Khuluk Terendah ke Tertinggi dari Tahun 2011-2013

Khuluk (RM)

Page 13: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

117

Carta 2 di atas menunjukkan jumlah khuluk terendah hingga tertinggi dari tahun 2011

hingga 2013. Hasil kajian mendapati jumlah khuluk tertinggi yang telah dicatatkan adalah

antara pasangan AK lawan JJ4 dan RMN lawan MFR3 iaitu sebanyak RM 30,000 pada tahun

2011. Manakala jumlah khuluk yang terendah yang dicatatkan adalah pasangan ZFH lawan

ZK2 iaitu sebanyak RM5.

iii. Bentuk Penyerahan Khuluk kepada Suami.

Kajian ini diteruskan dengan menghuraikan bentuk penyerahan tebus talak (khuluk) kepada

suami. Terdapat dua jenis penyerahan khuluk yang dikenal pasti di dalam kes dari tahun

2011 hingga 2013 iaitu di dalam bentuk wang tunai dan bukan wang tunai. Kebanyakan

kes tebus talak (khuluk) melibatkan wang secara tunai dalam kesemua tahun dari 2011-

2013 tetapi ada segelintir pasangan yang meminta tebusan talak dengan cara bukan wang

tunai. Contohnya kes yang berlaku pada tahun 2013 iaitu pasangan HMH lawan AR8.

Jumlah Khuluk yang dinyatakan oleh pasangan ini adalah bukan dalam bentuk wang tunai

iaitu menyerahkan sebuah rumah hak milik bersama. Selain itu juga, khuluk bukan wang

tunai ini juga berlaku antara pasangan NSMM lawan MKNMR2 iaitu pasangan telah

meminta sebentuk cincin sebagai penebusan nya.

KESIMPULAN

Khuluk ialah perceraian yang terjadi dengan sebab permintaan daripada isteri dengan

bayaran yang dibayarkan kepada suami dengan redha atau persetujuan suami atau dengan

keputusan mahkamah. Hasil kajian mendapati jumhur ulama sepakat bahawa bayaran itu

mestilah benda yang sesuai dijadikan mahar atau barangan jualan. Justeru mereka khilaf

jika bayaran itu majhul, ma'dum dan sebagainya. Ulama juga sepakat bahawa sah khuluk

jika bayaran itu adalah sama dengan jumlah mahar, namun mereka berbeza pendapat jika

jumlah bayaran melebihi daripada jumlah mahar. Jumhur ulama berpendapat bayaran yang

melebihi jumlah mahar ketika akad adalah sah. Dalam konteks kajian di Mahkamah Syariah

Wilayah Persekutuan antara hasil kajian ialah pertama; jumlah tebusan khuluk yang paling

tinggi dalam tahun 2011-2013 ialah RM30, 000, manakala yang paling rendah ialah

RM5.00. Terdapat dua jenis penyerahan khuluk yang dikenal pasti di dalam kes dari tahun

2011 hingga 2013 iaitu di dalam bentuk wang tunai dan bukan wang tunai. Jumlah bayaran

tebusan adalah tidak semestinya sama dengan jumlah mahar semasa akad nikah dilakukan.

Asas kepada penentuan jumlah mahar ialah persetujuan kedua-dua pihak.

Hasil kajian juga menolak hasil kajian lepas yang mendapati kecenderungan para suami

mengenakan jumlah bayaran yang mahal. Bahkan, bukan semua suami mengambil

kesempatan mengenakan jumlah tebusan talak yang tinggi. Perkara ini dibuktikan

berdasarkan kes-kes yang dipaparkan di atas. Malah jumlah tebusan yang lebih tinggi

daripada jumlah mahar juga tidak boleh disimpulkan bahawa suami mengambil

kesempatan mengenakan jumlah tebusan yang tinggi mengambil kesempatan ke atas

isterinya. Hujahnya ialah jumlah yang ditentukan itu walaupun dilihat lebih tinggi daripada

jumlah mahar namun jumlah itu adalah hasil persetujuan bersama. Jika pihak isteri tidak

Page 14: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

118

bersetuju dengan jumlah itu, maka beliau berhak bersuara dan dengan itu pihak Mahkamah

akan menggunakan budi bicara untuk menentukan jumlah yang sesuai dengan mengambil

kira situasi isteri.

*Artikel ini adalah hasil kajian GPU, kod penyelidikan:2014-0052-106-01. Ketua

Penyelidik Mohd Noor bin Daud.

RUJUKAN

Abd al-Karim Zaidan. (1997). Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bayt al-Muslim fi al-

Shariah al-Islamiyyah. Jil. 7. Beirut: Mu’assasah al-Risalah

Al- Jasas Abi Bakr Ahmad Ibn Ali al-Razi. (t.t). Ahkam al-Quran. Jil. 2. Beirut: Dar al-

Kitab al-Arabi

'Amir Said al-Zibari (1997) Ahkam al-Khuluk fi al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut: Dar Ibn

Hazmi.

Al-Nawawi, Yahya bin Syarf bin Mirri Abu Zakaria. (t.t). Tahrir Alfaz al-Tanbih (Lughah

al-Fiqh), Damsyiq: Dar al-Qalam,Jil.1.

Al-Sharbiniy al-Khatib Muhammad. (1377H/1958M). Mughni al-Muhtaj. Jil.3. Mesir:

Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladuh

Al-Siwasi, Muhammad bin Abd al-Wahhab. (t.t). Syarh Fath al-Qadir, Beirut: Dar al-Fikr,

Jil.4.

Hassan Salleh.(1993). Asas Kekeluargaan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka

Ibn Dhuyan, Ibrahim bin Muhammad bin Salim. (t.t). Manar al-Sabil fi Syarh al-Dalil, al-

Riyadh: Maktabah al-Ma'arif, Jil.2.

Ibn Muflih, Ibrahim bin Muhammad bin Abdullah al-Hanbali Abu Ishaq. (t.t). al-Mubdi' fi

Syarh al-Muqni', Beirut: al-Maktab al-Islami, Jil.7.

Ibnu Qudamah Abi Muhammad Abd Allah Bin Ahmad Bin Muhammad. (t. t). Al-Mughni.

Jil.7. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-Arabiy

Ismail Aba Bakri Ali al-Bamiri. (2009). Ahkam al-Usrah: Al-Zauwaj wa al-Talak baina al-

Hanafiah wa al-Syafii. ‘Aman: Dar al-Hamid

Jamal Abdul Wahab Abdul Ghafar. (2003). Al-Khuluk fi Syariah al-Islam Dirasah

Fiqhiyyah Muqoronah. Iskandariah: Dar al-Jamiah al-Jadidah

Kamal al-Din Muhammad Bin Abd al-Wahid. (t. t). Sharh Fath al-Qadir. Jil.4. Beirut: Dar

al-Kutub al-Ilmiyyah

Muhammad Bin Ahmad Bin Muhammad Bin Ahmad Bin Rushd. (1414H/1993M).

Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid. Jil.2. Mesir: Sharikah Maktabah wa

Matba’ah Mustafa al-Babiy al-Halabiy wa Awladuh

Muhammad Uqlah. (1997). Nizam al-Usrah fi al-Islam. Jordan: Maktabah al-Risalah al-

Hadith

Mustafa al-Zahabi. (2000). Al-Khuluk wa Ahkamuhu fi al-Syariah al-Islamiyyah. Qaherah:

Dar al-Hadis

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 1400-056-0075-2011

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14008-062-0211-2011

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14002-056-1039-2011

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14002-056-0642-2011

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14001-056-0623-2012

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14004-056-0183-2012

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14005-055-0806-2012

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14005-056-0645-2013

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14002-056-0555-2013

Page 15: BAYARAN KHULUK MENURUT PANDANGAN ULAMA ISLAM DAN

119

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14004-056-0687-2013

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14002-056-0137-2013

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14004-056-0071-2013

Fail Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, No.kes 14001-056-0917-2013