bab-3-peperangan dan perthanan.docx

49
Nota SJH1105 Ketamadunan Manusia KOMPONEN TIGA: PEPERANGAN DAN SISTEM PERTAHANAN (A) TAMADUN DUNIA KONSEP Ketahanan: Ketahanan ertinya ketabahan , kecekalan dan kesabaran dalam menghadapi sebarang ancaman dan dugaan serta tidak mudah luntur dalam perjuangan. Ketahanan terdiri daripada ketahanan rohani/spiritual dan ketahanan fizikal. Ketahanan rohani/spiritual meliputi aspek-aspek agama dan moral. Ketahanan fizikal merangkumi aspek-aspek lahiriah termasuk pembinaan jasmani dan ketenteraan. Ilmu pengetahuan, pengalaman, kecekapan dan pelaksanaan yang betul merupakan asas-asas yang penting dalam pembinaan ketahanan fizikal dan rohani bagi sesebuah masyarakat dan negara. Ketahanan rohani dan fizikal mestilah dibina secara seimbang dan sepadu. Ketahanan diri, masyarakat dan negara merupakan persediaan yang wajar dan perlu diambil perhatian yang serius bagi melaksanakan tahap kedua iaitu pertahanan. Pertahanan: Pertahanan ialah perihal mempertahankan diri, masyarakat, agama dan negara daripada serangan musuh. Membela golongan yang lemah, teraniaya dan dizalimi juga termasuk dalam erti pertahanan Mempertahankan hak dan tanggungjawab memerlukan pengorbanan yang besar dari segi harta,, masa, jiwa dan nyawa. 1 Disediakan oleh: Hazman_ipda©2012

Upload: jeshwary-kumar

Post on 25-Nov-2015

83 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

Bab-3-peperangan dan perthanan.docx

TRANSCRIPT

Nota SJH1105Ketamadunan Manusia

KOMPONEN TIGA: PEPERANGAN DAN SISTEM PERTAHANAN(A) TAMADUN DUNIAKONSEP Ketahanan: Ketahanan ertinya ketabahan , kecekalan dan kesabaran dalam menghadapi sebarang ancaman dan dugaan serta tidak mudah luntur dalam perjuangan. Ketahanan terdiri daripada ketahanan rohani/spiritual dan ketahanan fizikal. Ketahanan rohani/spiritual meliputi aspek-aspek agama dan moral. Ketahanan fizikal merangkumi aspek-aspek lahiriah termasuk pembinaan jasmani dan ketenteraan. Ilmu pengetahuan, pengalaman, kecekapan dan pelaksanaan yang betul merupakan asas-asas yang penting dalam pembinaan ketahanan fizikal dan rohani bagi sesebuah masyarakat dan negara. Ketahanan rohani dan fizikal mestilah dibina secara seimbang dan sepadu. Ketahanan diri, masyarakat dan negara merupakan persediaan yang wajar dan perlu diambil perhatian yang serius bagi melaksanakan tahap kedua iaitu pertahanan.

Pertahanan: Pertahanan ialah perihal mempertahankan diri, masyarakat, agama dan negara daripada serangan musuh. Membela golongan yang lemah, teraniaya dan dizalimi juga termasuk dalam erti pertahanan Mempertahankan hak dan tanggungjawab memerlukan pengorbanan yang besar dari segi harta,, masa, jiwa dan nyawa.

TAMADUN MESOPOTAMIA Orang Sumeria adalah orang yang pertama di kalangan manusia awal yang mengetahui tentang taktik-taktik peperangan. Walaubagaimanapun, mereka bersifat kemanusiaan, bijak membuat ramalan berdasarkan agama dan tidak mempunyai cita-cita berperang yang bersungguh-sungguh. Mereka berperang dengan cara berbaris-baris dan berdiri rapat-rapat. Senjata mereka ialah tombak dan lembing dan memakai topi kulit. Pemerintah membina tembok pertahanan untuk mencegah pencerobohan musuh dan melindungi penduduknya. Dalam masa-masa mereka berhenti bertelingkah sesama sendiri, orang Sumeria ini bersatu pula memerangi puak nomad yang sentiasa menyerbu dataran-dataran subur dan menjadi ancaman besar kepada peradaban Sumeria. Mereka bukan sahaja diganggu oleh puak yang berpindah randah bahkan juga oleh orang Semitik yang tinggal di Akkad (kawasan yang terletak di bahagian utara dataran Sinnai). Orang Semitik berperang dengan cara terbuka, menggunakan panah dan buat beberapa abad tidak dapat ditandingi oleh orang Sumeria. Permusuhan dan peperangan sering berlaku di antara negara-negara kota di Mesopotamia atas sebab tuntutan air dari sungai yang menjadi punca kekayaan. Contohnya ialah peperangan yang berlaku antara negara kota Ur dan Urech adalah kerana hendak menguasai hilir Sungai Euphrates. Akibat daripada peperangan demi peperangan di antara negara-negara kota, maka berlakulah pertukaran pemerintah, kemusnahan negara-negara kota dan keruntuhan tamadun Mesopotamia. Pada tahun kira-kira 2750SM, Raja Sargon dari Akkadia telah menguasai tamadun Mesopotamia. Beliau menguasai semua negara kota dan meluaskan empayarnya dari Elam di Timur hingga ke Laut Mediterranean. Pada kira-kira tahun 2200 SM sekumpulan orang nomad iaitu Amorites telah menyerang Mesopotamia dan berjaya menawan Babylon. Babylon telah berkembang menjadi sebuah negara kota yang indah, kuat dan masyhur di bawah pemerintahan Hammudrabi (1709SM 1669SM). Hammurabi telah mendirikan kubu di setiap kota. Kubu-kubu itu dikawal oleh angkatan tentera. Kubu Babylonlah yang paling terkenal di antara kubu-kubu yang dibina.

Ketahanan dan Pertahanan Tamadun Mesopotamia Sebagai salah satu bentuk pertahanan, pemerintah bagi sesebuah negara kota dalam tamadun Mesopotamia bertindak membina kubu pertahanan bagi melindungi negara kota daripada serangan musuh. Dalam hal ini, sesebuah kubu pertahanan dalam ketamadunan Mesopotamia mengandungi bahagian tembok (dinding kota), terowong dan kubu. Tembok kota kebiasaannya dibina mengelilingi sesebuah negara kota dengan dibina beberapa buah pintu gerbang pada tembok kota sebagai pintu masuk. Sebagai contoh, Hammurabi ketika menguasai Mesopotamia telah mendirikan kubu di setiap kota sebagai pertahanan terutamanya di Kota Babylon. Kubu pertahanan adalah penting kepada ketamadunan Mesopotamia yang sering diserang oleh orang gasar dan nomad yang sering menyerbu kawasan delta dan dataran subur yang kaya dengan hasil pertanian. Selain itu, persengketaan antara sesebuah negara kota dengan negara kota yang lainnya membawa kepada keperluan sebuah kota yang mampu bertahan dalam semua jenis serangan daripada luar.

Organisasi Ketenteraan Tamadun Mesopotamia Tentera dalam tamadun Mesopotamia terbahagi kepada tentera terlatih yang profesional (dikenali sebagai Agaush) dan tentera yang dikerah dalam kalangan rakyat biasa dan hamba yang dikenali sebagai Eren. Di bawah bahagian tentera profesional (Agaush) terdapat tiga unit ketenteraan yang berbeza yang dikelaskan mengikut fungsinya iaitu Unit Risikan, Unit Kejuruteraan dan Unit Logistik. Sebagai contoh, unit Logistik merujuk kepada unit tentera yang berperanan terhadap persenjataan dan peralatan lain seperti ubatan dan makanan. Dalam unit ini misalnya, sekumpulan tentera wanita turut dibentuk oleh pemerintah Mesopotamia bagi menyediakan makanan kepada para tentera. Dalam organisasi perang, terdapat tiga jenis tentera yang digunakan oleh tamadun Mesopotamia iaitu tentera pejalan kaki (infantri), tentera berkuda (kavalri) dan tentera berkereta kuda. Antara persenjataan yang digunakan dalam perang termasuklah lembing, panah, busur dan pedang kecil. Unit kereta kuda dalam tamadun Mesopotamia digunakan secara meluas ketika pemerintahan Hammurabi dan peranannya lebih kepada menjalankan tugas-tugas logistik dalam peperangan seperti mengangkut peralatan perang dan tentera. Struktur pemerintahan tentera dalam tamadun Mesopotamia adalah Raja sebagai pemerintah tertinggi dalam turus angkatan tentera dan dibantu oleh para pegawai dalam kalangan tentera profesional (Agaush).

RUMUSAN TENTANG PERANG DAN PERTAHANAN DALAM TAMADUN MESOPOTAMIA

Sebab Perang1. Mempertahankan negara daripada serangan orang gasar dan nomad

2. Perebutan wilayah disebabkan sempadan negara kota yang tidak jelas.

3. Perebutan sumber air untuk pertanian

Strategi Pertahanan dan Serangan1. Pemerintah Mesopotamia membina tembok di sekeliling kota untuk mencegah pencerobohan luar.

2. Kerjasama pertahanan antara negara kota dalam mengawasi delta pertanian daripada serangan orang gasar atau nomad.3. Tentera dalam tamadun Mesopotamia juga berkemahiran dalam merobohkan kubu pertahanan musuh dalam strategi menyerang.4. Ketika menyerang, taktik jeritan perang, membakar kubu dan membunuh tawanan digunakan bagi melemahkan psikologi musuh.

Peranan Pemerintah1. Ketua tertinggi turus angkatan tentera2. Berperanan membentuk dan memimpin angkatan tentera.3. Merekrut rakyat merdeka dan buruh paksa menjadi tentera kerahan (Eren)4. Mewujudkan jawatan Agaush (tentera profesional)

Jenis TenteraAngkatan tentera Mesopotamia terbahagi kepada dua bahagian iaitu tentera profesional (Agaush) dan tentera kerahan (Eren).

Unit tentera pula terbahagi kepada tentera pejalan kaki (infantri) dan tentera berkereta kuda dan tentera berkuda (kavalri).

Persenjataan1. Kapak dan lembing2. Kereta berkuda3. Panah4. Pedang5. Perisai dan topi

TAMADUN MESIRPertahanan dalam Tamadun Mesir Tamadun Mesir Purba sering diserang oleh orang-orang gasar. Untuk itu, perang sering berlaku antara Mesir dan orang gasar dalam mempertahankan delta yang subur. Pada zaman Kerajaan Lama, Mesir menghadapi ancaman daripada orang-orang Libya dan Nubia. Kemudiannya, menjelang Dinasti Kedua, kerajaan Mesir menjadi tidak stabil dan sering diserang oleh orang-orang Hykos. Ketenteraan Hykos yang menggunakan kereta kuda dan busur dalam peperangan telah mempengaruhi sistem perang Mesir selepasnya. Dalam aspek pertahanan tentera misalnya, tentera Mesir turut dibekalkan dengan perisai bagi melindungi diri mereka daripada senjata musuh dalam peperangan. Selain itu, kedudukan kerajaan Mesir yang berhampiran dengan laut memerlukan kawalan pertahanan yang baik dalam kawasan perairan mereka bagi mengatasi serangan daripada musuh terutamanya daripada orang Phonecia. Oleh itu, satu angkatan tentera laut telah dibentuk bagi mengawasi perairan mereka yang terdiri daripada tentera yang menggunakan kapal dan perahu.

Organisasi Ketenteraan dalam Tamadun Mesir Ketua angkatan tentera dalam tamadun Mesir adalah Firaun sendiri yang bertindak sebagai Komander Agung. Firaun juga dibantu oleh seorang Timbalan Komander Agung yang merupakan putera mahkota bagi kerajaan Mesir. Bagi membincangkan soal keselamatan dan pertahanan negara, sebuah majlis dalam kalangan pemimpin negara telah diwujudkan. Di peringkat wilayah pula, Wazir berperanan dan bertanggungjawab bagi menjaga wilayah Mesir daripada ancaman dan pencerobohan musuh. Tamadun Mesir Purba juga mempunyai sistem pengurusan ketenteraan yang baik. Dalam pengurusan ketenteraan, jawatan tertinggi bagi jabatan tersebut disandang oleh jurutulis diraja, diikuti ketua jurutulis, ketua kerani dan kerani-kerani tentera. Dalam hal ini, kerani tentera berperanan dalam menyimpan rekod anggota tentera, mengawasi kerja-kerja merekrut anggota baru, mengedarkan makanan, menguruskan pengangkutan, menulis laporan, melakukan kerja-kerja kesetiausahaan, dan mengagihkan tentera untuk kerja-kerja awam. Sungguhpun kerani tidak terlibat secara langsung dalam medan peperangan, namun kecekapan mereka mentadbir organisasi tentera yang besar mampu menjayakan misi peperangan Mesir. Dari segi unit ketenteraan pula, tentera Mesir terbahagi kepada tentera pejalan kaki dan tentera berkereta kuda. Tentera berkereta kuda kebiasaannya terdiri dari kalangan anak-anak golongan bangsawan yang memiliki sendiri peralatan kereta kuda tersebut. Dalam zaman kerajaan lama, semua rakyat dikerah menjadi tentera dari segenap lapisan dan hierarki politik termasuk golongan bangsawan, rakyat biasa dan golongan hamba. Kemudiannya, pada zaman Thutmose III, sebuah pasukan tentera profesional telah dibentuk dan bertanggungjawab untuk meluaskan wilayah Mesir sehingga ke tebing Sungai Euphrates dan Utara Sudan. Selain itu, Firaun Amenhotep III pula telah mewujudkan sebuah unit tentera upahan dalam kalangan orang Yunani bagi memerangi masyarakat Assyria. Dari aspek persenjataan pula, tentera Mesir telah menggunakan lembing bermata besi, panah, pisau kecil dan perisai. Selain itu, ketika perang Mesir menentang Hykos, senjata berasaskan gangsa dan kereta kuda gangsa telah digunakan. Ketika zaman Kerajaan Baru pula, armada tentera laut diperkenalkan bagi mengawasi perairan Mesir dengan menggunakan kapal dan perahu. Antara ancaman terbesar kepada Mesir di laut adalah masyarakat Phonecia yang mahir tentang laut dan pelayaran. Dari aspek strategi perang pula, tentera Mesir pada zaman Amhose misalnya telah disusun rapi mengikut pedati kuda dan dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu bahagian tengah dan bahagian tepi. Ketika melakukan serangan, mereka menggunakan taktik gerak rusuk.

RUMUSAN TENTANG PERANG DAN PERTAHANAN DALAM TAMADUN MESIR

Sebab Perang1. Mempertahankan negara terutamanya dataran tanah subur daripada serangan orang gasar seperti orang Libya, Nubia dan Hykos.

2. Melakukan perluasan wilayah sehingga ke Sungai Euphrates dan Utara Sudan.

3. Mempertahankan perairan Mesir daripada serangan orang Phonecia.

Strategi Pertahanan dan Serangan1. Tentera upahan daripada Yunani digunakan bagi menghadapi tentera Assyria.2. Bagi menghadapi tentera Hykos, penggunaan kereta kuda dan busur telah diperluas.3. Armada laut dibentuk bagi mengawasi kawasan perairan.4. Serangan dibuat dalam beberapa sayap (bahagian ketenteraan) dan melakukan serangan secara gerak rusuk.

Peranan Pemerintah1. Firaun merupakan Komander Agung kepada turus angkatan tentera dan dibantu oleh Putera Mahkota sebagai timbalannya.2. Berperanan membentuk dan memimpin angkatan tentera.3. Membentuk majlis negara bagi membincangkan soal keselamatan dan pertahanan negara.4. Mengetuai sendiri peperangan terutamanya pada zaman Tutmose.

Jenis Tentera Angkatan tentera Mesir pada Zaman Kerajaan Lama dikerah dari segenap lapisan masyarakat termasuk golongan bangsawan, rakyat dan hamba. Unit tentera pula terbahagi kepada tentera pejalan kaki dan tentera berkereta kuda yang terdiri daripada anak golongan bangsawan. Armada darat dan laut diwujudkan. Tentera upahan Yunani dibentuk. Unit perkeranian tentera yang melakukan tugasan mengurus ketenteraan yang memainkan peranan menguruskan rekod, memantau rekrut tentera, mengedar makanan, mengurus pengangkutan, menulis laporan dan menetapkan tugas awam tentera.

Persenjataan1. Lembing bermata besi2. Kereta berkuda (pedati)3. Busur dan panah4. Senjata berasaskan gangsa5. Pisau kecil6. Perisai

TAMADUN INDUSKetahanan dan Pertahanan dalam Tamadun Indus Bagi mempertahankan kota-kota mereka, masyarakat dalam tamadun Indus telah membina tembok-tembok di sekeliling kota mereka daripada diserang musuh. Contohnya, Bandar Rajagraha iaitu ibu kota Maghada mempunyai tembok kota yang memanjang bagi melindungi kota mereka. Di ibu kota yang menjadi pusat pemerintahan Maurya iaitu Pataliputra, hampir 570 buah menara kawalan dibina di sekeliling kota bagi mengesan sebarang pergerakan musuh ke arah kota sekiranya berlaku. Dalam diri orang Arya, perang bukanlah bertujuan untuk menyelesaikan konflik akan tetapi menganggap perang itu sendiri sebagai satu bentuk sukan diraja. Perkara itu telah diubah ketika penguasaan Dinasti Maurya ke atas kawasan Lembah Indus. Ketika zaman Asoka misalnya, kedamaian dan kemajuan sosial ditekankan dan baginda menekankan penyebaran agama Buddha bagi meluaskan jajahan takluk Maurya. Selain itu, kekuatan bala tentera yang besar memainkan peranan yang penting bagi mengukuhkan pertahanan dan kekuatan dalam tamadun Indus. Misalnya Chandragupta Maurya mempunyai lebih 600 000 orang tentera ketika zaman pemerintahannya dan pada zaman pemerintahan Rajaraja I, jumlah tentera melebihi 900 000 orang. Bagi mengukuhkan pertahanan juga, Asoka misalnya berjaya menamatkan sengketa dalam Perang Saudara dan berjaya menyatukan kerajaan-kerajaan kecil di Lembah Indus sekaligus memperkuatkan lagi ketamadunan mereka.

Organisasi Ketenteraan dalam Tamadun Indus Dalam tamadun Indus, Raja berperanan mengetuai angkatan tentera dan memimpin sendiri tenteranya dengan dibantu oleh para putera baginda dan kerabat diraja. Raja pula akan dibantu oleh Panglima Agung dalam angkatan tentera dikenali sebagai Mahasenapati. Seterusnya, Mahasenapati dibantu pula oleh kapten yang dikenali sebagai Nayaka. Pentadbiran ketenteraan dalam tamadun Indus sangat teratur di mana terdapat beberapa unit ketenteraan dalam sesebuah angkatan tentera. Unit asas dalam tentera mereka adalah patti (platun), yang terdiri daripada lima orang tentera pejalan kaki, tiga orang tentera berkuda, seorang tentera berkereta kuda dan seorang tentera bergajah. Gabungan tiga patti akan membentuk senamukka. Senamukka kemudiannya akan membentuk aksauhini iaitu sebuah angkatan tentera yang lengkap. Angkatan tentera yang lengkap terdiri daripada 21 870 tentera berkereta kuda, 21 870 tentera bergajah, 65 610 tentera berkuda, dan 109 350 infantri. Bilangan tentera India juga adalah antara yang teramai di dunia. Misalnya, Chandragupta Maurya memiliki 600 000 orang tentera infantri, 300 000 ekor kuda, 9000 ekor gajah dan 8000 ekor kereta kuda. Dari sudut persenjataan pula, senjata yang digunakan oleh tentera bertambah baik dari semasa ke semasa. Antara yang digunakan termasuklah kapak, pisau kecil, busur, anak panah, belantan dan tali pelontar batu. Pada zaman Vedik, busur, anak panah, lembing, kapak dan pedang digunakan. Kebanyakan senjata tersebut akan diletakkan racun pada hulu matanya dan menyebabkan musuh akan lebih cepat menemui ajal apabila terkena tetakan atau libasan daripada senjata. Tentera berkuda pula dilindungi dengan lebih baik dengan dipakaikan topi dan baju besi yang diperbuat daripada tembaga. Pada zaman Gupta, panglima tentera akan menunggang kuda dan dikelilingi oleh para pengawal manakala gajah pula akan dilekatkan dengan peralatan yang diperbuat daripada kepingan logam khas. Kemudiannya, pada zaman Asoka sebuah armada tentera laut telah diperkenalkan. Selain itu, tentera dalam tamadun Indus turut menerima wang gaji tahunan iaitu di antara 500 hingga 48 000 wang panas. Bayaran 48 000 wang panas diterima oleh Ketua Turus Angkatan Tentera. Sebagai taktik perang yang baik, pembinaan kem tentera dilaksanakan dalam perang. Kem-kem sementara ini penting sebagai petempatan sementara ketika perang selain untuk keperluan logistik seperti perubatan, bekalan senjata dan makanan. Malah, ketika perang Raja akan membawa semua ahli keluarganya dan para gundik, penasihat dan hamba ke kem tentera tersebut. Hal ini menyebabkan kem tentera sangat dikawal ketat. Selain mempunyai tentera yang berperang, kerajaan dalam tamadun Indus turut mewujudkan unit risikan yang melakukan tugasan pengintipan terhadap musuh dan mengesan tanda-tanda pemberontakan yang mungkin berlaku di bawah jajahan takluk Indus yang luas. Kekuatan ketenteraan ketika era Dinasti Maurya diperkuatkan lagi dengan kebijaksanaan seorang menteri Brahmin yang bernama Kautilya. Beliau dianggap sebagai seorang pemikir perang (sama seperti Sun Tzu dalam Tamadun China) dan karya agungnya adalah Arthasastra (Science of Gain). Idea-idea beliau telah dipraktikkan oleh Chandragupta Maurya dan Asoka dalam meluaskan jajahan takluk Maurya. Dalam pemikirannya, Kautilya mencadangkan beberapa cara termasuklah tipu helah bagi melemahkan musuh. Selain itu, Kautilya beranggapan bahawa perang adalah jalan terakhir sekiranya tipu helah dan sogokan terhadap musuh tidak berjaya.

TAMADUN CHINAKetahanan dan Pertahanan dalam Tamadun China Orang-orang China sering berperang akibat daripada serangan orang gasar yang berjiran dengan mereka. Selain itu, peperangan dalam negara juga berlaku di antara Raja-raja dalam Dinasti Shang bagi menguasai wilayah dan menambah kekayaan mereka. Kadangkala peperangan berlaku disebabkan seseorang Raja Dinasti Shang ingin menambah kekuatan tenteranya melalui tawanan perang ataupun melakukan ritual korban kepada dewa mereka. Disebabkan itu, tembok-tembok pertahanan telah dibina bagi memastikan keselamatan negara terjamin. Misalnya ketika era pemerintahan Shih Huang Ti, baginda telah mengarahkan pembinaan Tembok Besar China bagi mengatasi serangan orang-orang Tartar dan tentera Mongol ke atas negara China. Tembok tersebut dibina memanjang sejauh 5000 KM dan mempunyai 20 000 menara kawalan. Di setiap menara kawalan, 100 orang tentera diletakkan bagi mengawasi kawasan tersebut. Selain itu, hampir setiap kota, kuil dan istana di China dikelilingi oleh tembok tinggi mengelilinginya dan kemudiannya, parit-parit digali mengelilingi tembok bagi mengehadkan pergerakan musuh ketika mendekati tembok kota. Malah di peringkat desa sendiri, tembok dan benteng daripada tanah turut dibina bagi tujuan pertahanan daripada serangan orang-orang gasar yang menyerang dataran tanah subur dan delta bagi merompak hasil pertanian. Selain itu, sebagai menjamin keselamatan baginda dan kelangsungan kerajaannya, Shih Huang Ti telah bertindak merampas peralatan perang dan senjata dari seluruh rumah di China dan dileburkan menjadi patung besar atau loceng. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan pemberontakan dalam kalangan rakyat ke atasnya.

Organisasi Ketenteraan Tamadun China Dalam pentadbiran ketenteraan, Maharaja dalam tamadun China melantik dirinya sendiri sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera. Baginda seterusnya akan melantik beberapa orang pegawai tinggi tentera yang akan mengendalikan soal keselamatan dan pentadbiran wilayah. Setiap pegawai tinggi yang dilantik itu pula akan mempunyai sejumlah tentera mereka sendiri di wilayah masing-masing. Terdapat dua jenis tentera dalam tamadun China iaitu tentera infantri (tentera pejalan kaki) dan tentera berkereta kuda. Bagi setiap kereta kuda, terdapat seorang pemandu, perejam lembing dan pemanah. Dalam peperangan, kebiasaannya tentera infantri akan mengekori tentera berkereta kuda daripada belakang. Jumlah bilangan tentera yang ramai juga memainkan peranan dalam organisasi ketenteraan dalam tamadun China. Semasa awal era Dinasti Sung misalnya, terdapat lebih kurang 378 000 orang tentera sebelum berkembang kepada hampir 1.25 juta ketika era kegemilangannya pada tahun 1041 Masihi. Disebabkan jumlah tentera yang ramai, tentera tidak dibayar gaji sepenuhnya dan hanya dibayar sebahagian dalam bentuk makanan atau keperluan lain. Ketika era Dinasti Ming, tentera dianugerahkan tanah yang boleh dimanfaatkan untuk menampung sara hidup mereka. Dari segi persenjataan pula, antara senjata yang digunakan termasuklah busur, panah, pisau, kapak dan pedang. Selain itu, senjata berat seperti pelontar batu digunakan selain penggunaan lembing dan panah berapi. Penggunaan lembing dan panah berapi misalnya menjadi popular ketika era Dinasti Sung menentang tentera-tentera Mongol. Selain itu, bekalan makanan dan persenjataan yang mencukupi sentiasa disimpan bagi tujuan kecemasan sekiranya musuh melakukan kepungan pada waktu yang lama.

Pada era Shih Huang Ti, beberapa strategi perang dirangka baginda dalam menghadapi serangan termasuklah:1. Menggunakan taktik orang Tartar iaitu berperang secara ganas2. Menjadikan penjahat dan pesalah yang dipenjara sebagai tentera di perbatasan3. Menggunakan tentera berkuda (kavalri)4. Menghubungkan tembok-tembok pertahanan sedia ada menjadi Tembok Besar China

Selain itu, karya pemikir perang China iaitu Sun Tzu melalui karyanya The Art of War telah mempengaruhi teknik serangan oleh tentera dalam tamadun China. Misalnya, penggunaan panah dan lembing berapi dalam perang dicadangkan oleh Sun Tzu dalam bukunya pada Bab 12. Selain itu, antara intipati penting pemikirannya dalam bukunya itu termasuklah keperluan merancang strategi perang, bagaimana untuk berperang, mencari kelemahan musuh, meneliti faktor-faktor sekeliling sebelum berperang selain keperluan menjalankan pengintipan ketika perang.

TAMADUN YUNANIKetahanan dan Pertahanan dalam Tamadun Yunani Penduduk di setiap negara kota Tamadun Yunani hidup bersatu padu namun begitu peperangan antara negara kota sering berlaku. Terdapat juga peperangan yang melibatkan negara kota Yunani dengan kuasa-kuasa asing seperti peperangan yang berlaku antara Yunani dengan Parsi dalam Perang Pelophonesus. Tujuan peperangan pada ketika itu lebih kepada bertujuan untuk memusnahkan asas dan kekuatan sesebuah negara kota. Di Sparta misalnya, rakyatnya dilatih dan dididik untuk menghadapi ancaman dan perang dan tindakan ini telah melahirkan asas ketahanan fizikal dan mental dalam diri mereka. Bagi menghadapi ancaman musuh, sistem kubu adalah penting bagi mempertahankan sesebuah negara kota dalam tamadun Yunani. Di negara kota Troy misalnya, istana dikelilingi oleh tembok kubu dan menara kawalan. Negara kota Yunani juga kebanyakannya terletak di pinggir laut dan pesisir pantai. Oleh itu, pertahanan laut menjadi penting. Raja Mycenae misalnya membina kubu bagi menangani serangan dari laut manakala negara kota Athens membentuk sebuah armada tentera laut yang besar dengan kekuatan 200 buah kapal perang.

Organisasi Ketenteraan dalam Tamadun Yunani Setiap warganegara dalam tamadun Yunani dilatih untuk menghadapi ancaman musuh dan akan menjadi anggota tentera bagi mempertahankan polis masing-masing. Di Sparta pula, setiap anak lelaki akan dipisahkan daripada keluarganya dan akan membesar sebagai individu yang lasak dan akan menyertai angkatan tentera.

Sebuah majlis ketenteraan dan keselamatan yang dikenali sebagai Ecclesia dibentuk bagi membincangkan soal keselamatan dan pertahanan dalam negara kota. Majlis ini berperanan menguruskan hal ehwal kewangan ketenteraan dan berkuasa untuk melancarkan perang kepada musuh. Tentera dalam tamadun Yunani terbahagi kepada beberapa unit termasuk infantri, kavalri, tentera berkereta kuda dan sebuah pasukan khas yang dikenali sebagai hoplite iaitu tentera pejalan kaki yang memakai baju dan topi besi dan dilengkapi dengan lembing. Dari aspek persenjataan, antara senjata yang digunakan oleh tentera Yunani adalah pedang dan lembing dan menggunakan topi, baju besi dan perisai. Kebiasaannya, tentera pejalan kaki tidak akan menggunakan pedang tetapi hanya akan menggunakan lembing. Dalam sesebuah peperangan, antara strategi perang yang digunakan oleh tentera Yunani termasuklah:

1. Penggunaan Kereta Kuda : Kaedah peperangan pada zaman awal Yunani ialah penggunaan kereta kuda. Penunggang akan melemparkan lembing ke arah lawan dan andai kata lembing yang dilontar ke arah musuh tidak kena pada sasarannya, pahlawan akan turun dari kereta kuda meneruskan peperangannya dengan berjalan kaki dan memegang lembing.2. Penggunaan Phalanx : Selepas tahun 700 SM, tentera Yunani telah memperkenalkan formasi phalanx. Tunjang kekuatan tentera Yunani adalah pasukan hoplite (tentera berjalan kaki berlembing, bertopi dan berbaju besi) yang disusun dalam formasi phalanx. Melalui formasi phalanx ini, tentera hoplite dengan lembing sepanjang hamper 3 meter akan berbaris rapat-rapat dalam satu barisan sehingga lembing-lembing panjang mereka membentuk seperti duri landak. Biasanya mereka menggunakan lapan hingga sepuluh lapis barisan phalanx. Pihak musuh akan berfikir dahulu sebelum merempuh phalanx yang dilindungi oleh lembing-lembing tajam itu.3. Tentera Elit dan Bawahan : Tentera Yunani yang bergabung dalam formasi phalanx adalah tentera-tentera elit yang terlatih dan berdisiplin tinggi serta dilengkapi pakaian perang yang lengkap. Terdapat juga kumpulan lain yang berpakaian mudah, tidak dilengkapkan dengan senjata yang baik. Mereka ini dipanggil psiloi (golongan miskin).4. Taktik Berperang : Selari dengan pembentukan phalanx, strategi peperangan orang Yunani adalah bertempur secara bersemuka (berdepan). Pasukan phalanx akan merempuh bahagian tengah musuh manakala pasukan sayap akan melakukan pemusnahan yang seterusnya apabila barisan musuh telah menjadi kucar-kacir. Dalam lain perkataan, sekiranya bahagian phalanx gagal, maka lemahlah seluruh pasukan tentera.5. Latihan Tentera Sparta : Sistem politik dan kemasyarakatan Sparta adalah lebih berorientasikan ketenteraan. Golongan peer diwajibkan mengikuti latihan ketenteraan kerana mereka sering menghadapi pemberontakan dari golongan helot. Hanya bayi golongan peer yang sihat sahaja dibenarkan hidup. Ibunya memelihara anaknya selama 7 tahun dan selepas itu kerajaan mengambilnya untuk diberi latihan ketenteraan. Setiap lelaki harus berkorban untuk negaranya. Anak perempuan diberi latihan gimnastik dan ditanamkan dengan fahaman bahawa mereka mesti berkhidmat untuk negara dengan menjadi isteri yang setia.

6. Organisasi Tentera Graeco-Roman : Raja Philip II dari Makedonia telah mengubah suai struktur tentera phalanx. Jumlah anggota tentera dalam barisan phalanx telah ditambah menjadi 16 orang manakala panjang lembing ditambah menjadi 4 meter. Peralatan tentera Yunani yang ringan diubah menjadi berat. Ketahanan tambahan dititikberatkan pada baju besi yang dipakai oleh askarnya. Latihan-latihan khusus telah disediakan supaya tentera Makedonia mampu memikul beban tambahan tanpa menjejaskan kecekapan gerakan (mobiliti).

TAMADUN MELAYUKetahanan dan Pertahanan dalam Tamadun Melayu Peperangan yang berlaku dalam alam Melayu disebabkan oleh dasar perluasan kuasa dan wilayah oleh kerajaan-kerajaan utama di alam Melayu pada ketika itu termasuklah kerajaan Srivijaya, Majapahit dan Melaka. Bagi mempertahankan kerajaan mereka, dasar berdiplomasi telah digunakan dengan bernaung di bawah kerajaan yang lebih kuat. Misalnya kerajaan Melaka telah bertindak meminta perlindungan daripada Dinasti Ming di China bagi melindungi keselamatan kerajaan di awal penubuhannya. Oleh itu, apabila Siam menceroboh dan menyerang Melaka, utusan Melaka telah dihantar ke China dan mengadu tentang pencerobohan Siam ke atas Melaka dengan merampas alat kebesaran diraja termasuklah cap kempa. Bagi mengatasi masalah tersebut, Maharaja China telah menghantar Laksamana Cheng Ho ke Melaka dan Siam bagi menegah perbuatan Siam itu. Selain itu, bagi menghadapi sebarang ancaman, kerajaan Melayu juga melakukan taktik sentiasa memindahkan pusat pentadbirannya bagi mengelirukan musuh seperti yang dilakukan oleh kerajaan Johor-Riau yang memindahkan pusat pentadbirannya di sepanjang Sungai Johor seperti Makam Tauhid dan Batu Sawar. Seterusnya, masyarakat Melayu masih kuat berpegang kepada amalan kebatinan dan mempercayai semangat walaupun sebahagian besarnya telah memeluk agama Islam. Oleh itu, amalan kebatinan turut digunakan dalam peperangan seperti melakukan jampi serapah, mantera, pemakaian tangkal azimat dsb.

Organisasi Ketenteraan dalam Tamadun Melayu Di alam Melayu, Raja atau Sultan adalah pemerintah tentera yang tertinggi. Dalam kerajaan Srivijaya dan Majapahit, Raja akan mengetuai sendiri angkatan tenteranya di medan peperangan, namun dalam kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, Sultan tidak turun untuk berperang dan menyerahkannya kepada para pembesar yang empat. Dalam organisasi tentera, Raja dibantu oleh beberapa orang pembesar. Di Srivijaya misalnya, Raja dibantu oleh tiga pembesar iaitu Parvanda, Senapati dan Pratiswara. Parvanda menguruskan hal ehwal ketenteraan di peringkat daerah, Senapati menguruskan hal ehwal keselamatan di laut manakala Pratiswara mengumpulkan hamba-hamba Raja untuk menjadi tentera sekiranya berlaku peperangan. Di Majapahit pula, Mangkabumi adalah jawatan pembesar tertinggi yang berperanan menasihati Raja dalam hal ehwal keselamatan dan pertahanan negara. Dalam Kesultanan Melayu Melaka pula, angkatan perang diketuai oleh Bendahara dan dibantu oleh Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana. Dalam sistem Pembesar Empat Lipatan, Temenggung bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan dalam negeri manakala Laksamana bertanggungjawab mengawal keselamatan di perairan Melaka. Di alam Melayu, kebanyakan tentera dibentuk melalui kerahan tenaga dalam kalangan rakyat yang berkhidmat secara sukarela. Hal ini kerana Raja dan pembesar dalam alam Melayu berkuasa untuk mengarahkan rakyat tanpa upah dan balasan. Semasa era Kesultanan Melayu Melaka, tentera upahan turut digunakan dalam kalangan orang-orang Jawa dari Majapahit. Selain itu, masyarakat Orang Laut yang merupakan masyarakat yang mahir dalam ilmu kelautan dan pelayaran digunakan dalam mengawasi keselamatan di laut. Hal ini kerana mereka sangat arif tentang arah pergerakan mata angin, kedudukan beting pasir dan batu karang. Dalam kerajaan Srivijaya, Orang Laut diserap sebagai tentera dan sebahagiannya diangkat menjadi Syahbandar.

Kategori Tentera : Tentera Majapahit dibahagikan kepada 3 kategori iaitu1. Sapta Dharmaputra2. Bhayangkari3. Tentera Biasa Sapta Dharmaputra ialah pasukan tentera elit yang terdiri daripada putera raja yang mempunyai kekuatan fizikal dan mental. Bhayangkari terdiri daripada 15 orang anggota bersenjata yang bertanggungjawab menjaga kawasan istana secara bergilir-gilir. Tentera Biasa terdiri daripada tentera tetap dan sukarela yang berkhidmat di pusat dan daerah jajahan takluk.

Tentera Laut : Kerajaan Majapahit dan Srivijaya mempunyai tentera laut yang kuat. Angkatan laut berperanan menjaga kawasan perairan daripada serangan musuh dan mengawal aktiviti perlanunan. Orang Laut merupakan tulang belakang pahlawan tentera laut. Mereka berperanan mengawal jalan laut daripada ancaman lanun dan menguasai perairan di Selat Melaka. Armada laut ditempatkan di kawasan strategik di seluruh empayar. Laksamana mengetuai armada laut.

Peralatan Perang : Peralatan perang yang digunakan dalam peperangan terdiri daripada senjata tradisional seperti keris, parang, badik, tombak, lembing, sumpitan dan sebagainya. Mereka juga mahir menggunakan alatan-alatan letupan seperti meriam besi dan tembaga, rentaka, terkul, pemuras dan lotang. Alat-alat semboyan seperti gong, tambu dan gendang perang digunakan dalam medan peperangan.

Jenis Tentera : Tentera di Alam Melayu terdiri daripada tentera kerahan dan tentera upahan. Tentera kerahan tidak dibayar upah dan berkhidmat atas dasar taat setia kepada raja yang berdaulat. Raja dan pembesar mempunyai kuasa untuk mengerah rakyat berkhidmat sebagai tentera. Tentera upahan berkhidmat mengikut perjanjian. Orang Laut dijadikan tentera upahan. Mereka tinggal di persisiran laut di sepanjang Selat Melaka. Terdapat juga tentera terlatih yang berkhidmat di istana dan rumah pembesar.

(B) TAMADUN ISLAMPEPERANGAN PADA ZAMAN JAHILIAH Orang Arab hidup dalam berpuak-puak dalam suku bangsa (kabilah) yang mempunyai pertalian keluarga yang sangat rapat. Mereka akan mengambil tindakan secara bersama dan akan sentiasa melindungi kabilah daripada ancaman kabilah yang lain. Orang Arab menganggap mempertahankan satu kumpulan kabilah mereka adalah satu kerja yang suci. Masyarakat Arab Jahiliah sentiasa terlibat dalam peperangan antara kabilah. Sesebuah peperangan kadangkala disebabkan sesuatu hal yang remeh dan berlarutan sehingga bertahun-tahun. Sebagai contoh, Perang Al-Basus antara Bani Bakar dan Bani Taghlib berlanjutan sehingga 40 tahun hanya kerana disebabkan perebutan seekor unta oleh seorang ahli dalam kabilah masing-masing. Selain itu, antara perang yang terkenal pada zaman jahiliah termasuklah Perang Dahis dan Perang Fujar. Perang Fujar misalnya berlaku sebelum kerasulan Muhammad yang melibatkan kabilah Kinanah dan Qesy Ailan kerana peristiwa pembunuhan tiga orang ahli kabilah Qesy Ailan oleh seorang ahli kabilah Kinanah. Antara faktor sering terjadinya perang pada zaman jahiliah termasuklah:

1. Semangat Assabiyah atau kesukuan. Iaitu semangat yang berasaskan kepada kepatuhan kepada kumpulan kabilah atau keturunan masing-masing. Semangat yang fanatik kepada kabilah menyebabkan masyarakat Arab jahiliyah turut dipengaruhi semangat suka berperang bagi mempertahankan kabilah mereka. Keadaan semula jadi dalam kehidupan di padang pasir juga menyebabkan persaingan antara kabilah. Ini menyebabkan mereka berpegang kepada prinsip kabilah yang kuat akan lebih berkuasa. Oleh itu bagi mereka peperangan adalah satu cara bagi meneruskan hidup.2. Mencari nama dan kemegahan. Berperang dianggap sesuatu yang mulia pada zaman jahiliah. Kemenangan di dalam peperangan adalah merupakan satu kemegahan bagi masyarakat Arab Jahiliyah. Setiap peperangan yang dimenangi akan membawa kemegahan dan keuntungan yang besar kepada kabilah. Sebab itu anak lelaki amat penting dalam kehidupan masyarakat zaman jahiliyah bagi tujuan menjulang nama kabilah mereka dalam peperangan. Mereka bukan sahaja dilatih bermain senjata sejak kecil, tetapi diajar kemahiran menunggang kuda.

3. Bagi mendapatkan harta. Dalam peperangan zaman jahiliyah melibatkan semua anggota kabilah dan semua harta benda dibawa bersama. Pihak yang menang akan memperoleh keseluruhan harta rampasan yang dibawa termasuk wanita dan kanak-kanak yang dijadikan sebagai tawanan perang. Wanita dan kanak-kanak akan dijual sebagai hamba atau meminta pihak yang kalah menebus dengan sejumlah mata wang. Harta rampasan perang akan diagih sama rata di kalangan tentera yang menang. Syeikh kabilah akan diperuntukkan sebanyak 1 / 4 daripada harta rampasan. Syeikh kabilah juga berhak memiliki barang rampasan perang yang disukainya termasuk wanita dan kanak-kanak.

4. Kepentingan ekonomi. Makkah terkenal sebagai pusat ekonomi utama penduduk bahagian tengah semenanjung Arab, sehingga hampir melemahkan penguasaan ekonomi Yaman di selatan. Ini kerana Makkah menjadi tumpuan penduduk seluruh semenanjung Arab, terutamanya pada musim haji. Hal ini menyebabkan Abrahah, raja Habsyah di Yaman pada zaman sebelum Islam mengambil inisiatif untuk menyerang Makkah bagi memastikan aktiviti ekonomi Arab berpindah ke bahagian selatan. Malah Abrahah telah membuat satu binaan yang hampir menyerupai Kaabah, bagi tujuan menarik penduduk semenanjung Arab membuat ibadat di sana.

5.Kepentingan maruah. Sebagai langkah untuk memulihkan semula maruah dan imej mereka yang tercemar ekoran kekalahan dalam Perang Badar. Orang Kafir Quraisy Makkah telah dipandang rendah oleh kabilah-kabilah Arab yang lain ekoran kekalahan tersebut. Musyirikin Makkah ingin membalas dendam dan menebus kekalahan ke atas orang-orang Islam ekoran kekalahan mereka dalam Perang Badar pada tahun 2H.Orang Kafir Quraisy ingin menuntut bela di atas kematian saudara dan keluarga mereka dalam Perang Badar. Misalnya, Khalid al-Walid yang menuntut bela atas kematian bapanya. Begitu juga dengan Hindun, isteri Abu Sufyan yang ingin menuntut bela kematian bapanya, Utbah.

PEPERANGAN DALAM ISLAMTujuan Peperangan dalam Islam1. Memperteguhkan keutuhan agama Islam. Sebab peperangan dalam Islam adalah untuk menegakkan agama Allah (Islam) dan memelihara kehormatan dan keutuhan agama Islam, masyarakat dan negara Islam. Perang Badar yang berlaku pada tahun ke 2 H adalah kerana orang Quraisy Makkah ingin menghapuskan kekuatan Islam di Madinah. Musyrikin Makkah ingin melemahkan penguasaan orang Islam di Madinah. Selepas Perang Badar terdapat beberapa ancaman ketenteraan di bawah pimpinan Abu Sufyan b. Harb terhadap Madinah. Islam sendiri adalah agama damai dan cinta akan perdamaian kerana perkataan Islam sendiri membawa maksud salam dan perdamaian. Menjadi tanggungjawab setiap orang Islam mempertahankan agamanya. Allah s.w.t tidak mengizinkan orang Islam berperang melainkan setelah orang Islam diancam di dalam negaranya sendiri seperti di Madinah.

2. Peluasan Wilayah/Empayar. Perang dalam Islam juga berlaku untuk meluaskan tanah jajahan, contohnya pada zaman Khulafa Al-Rasyidin, wilayah Islam sampai ke Afrika Utara(Mesir), dan Parsi. Pada zaman Khalifah Abu Bakar, beliau berjaya mengalahkan tentera Parsi di Hirah, Iraq dan tentera Byzantine (Rom Timur) di Palestin. Zaman kerajaan Bani Umayyah, wilayah Islam berkembang sehingga ke Andalus, Sepanyol.

3.Membina kekuatan ekonomi. Peperangan dalam Islam disebabkan untukmeningkatkan sumber ekonomiorang Islam, misalnya menakluk Iraq. Iraq kawasan yang subur untuk mendapatkan sumber ekonomi dan bercucuk tanam. Dalam Islam juga ketika melakukan peperangan adalah dibenarkan merampas harta orang kafir (ghanimah). Orang Arab Quraisy menyerang orang Islam di Madinah kerana mereka menganggap penguasaan orang Islam di Madinah telah menyekat laluan perdagangan mereka antara bahagian utara dan selatan semenanjung Arab. Musyrikin Makkah juga bimbangkan keselamatan rombongan pedagang mereka yang sentiasa melalui kota Madinah untuk berniaga di Utara Semenanjung Arab.

4. Menyelesaikan Perbalahan Politik dan Mempertahankan Negara. Peperangan dalam Islam bertujuan untukmempertahankan maruah diri, agama dan negara.Penduduk Madinah terpaksa mempertahankan negara kota Madinah apabila mereka diancam oleh golongan Musyirikin Makkah. Langkah menjaga dan melindungi keselamatan penduduk Madinah yang sentiasa diancam oleh gerakan-gerakan ketenteraan Musyirikin Makkah. Sebagaimana Abu Sufyan dengan 200 tenteranya telah membakar rumah dan memusnahkan tanaman sebuah kampung berhampiran Madinah. Peristiwa ini berlaku sebelum meletusnya Perang Uhud. Dengan itu, penduduk Madinah terpaksa menghadapi beberapa peperangan besar bagi mempertahankan Madinah, seperti Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak.

5. Meneguhkan kedudukan/ mempertahankan diri. Ancaman daripada sebahagian masyarakat Yahudi Madinah terhadap orang-orang Islam dan diri Nabi Muhammad sendiri, menyebabkan orang Islam terpaksa mengangkat senjata bagimempertahankan diri. Yahudi Bani Qainuqa dan Bani Nadir sentiasa mengancam masyarakat Islam Madinah. Persekutuan Yahudi Bani Nadir, Bani Quraizah dan Musyrikin Makkah telah mencetuskan Perang Ahzab tahun 5H. Kemenangan berpihak kepada orang Islam dan semua lelaki dewasa Yahudi Bani Nadir telah dihukum bunuh bagi tujuan memberi pengajaran kepada orang Yahudi.

6. Melemahkan penguasaan Empayar Rom dan Parsi.

Sebahagian besarbahagian utara dan selatan semenanjung Arab berada di bawah pengaruh empayar Rom dan empayar Parsi. Syria di utara berada di bawah pengaruh empayar Rom Timur (Byzantin). Dalam peperangan di Muktah, Nabi Muhammad telah menghantar sejumlah kira-kira 3000 angkatan tentera Islam bagi menentang kira-kira 200 000 tentera Byzantin. Namun akibat kekuatan tentera musuh, tentera Islam terpaksa berundur ke Madinah selepas beberapa panglima perang Islam syahid, termasuk Zaid dan Jaafar b. Abi Talib. Hanya pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al Khattab, baharulah tentera Byzantium berjaya ditewaskan. Serangan ke atas Rom dan Parsi adalah bertujuan untuk menegakkan Islam dan pemerintahan berasaskan Khilafah Islamiyyah di seluruh dunia terutamanya bermula di Jazirah (Semenanjung) Tanah Arab.

7. Melakukan Tugas Penyebaran dan Dakwah Islamiah Penyebaran dakwah Islam bukanlah bermula dengan kekerasan. Rasulullah S.A.W sendiri telah menulis surat kepada Maharaja Rom dan Parsi supaya menerima Islam atau tunduk di bawah pemerintahan Islam. Namun kedua-dua kuasa tersebut enggan tunduk kepada Islam menyebabkan dakwah Islam tidak berkembang di wilayah-wilayah kekuasan Parsi dan Rom. Oleh itu, untuk memastikan dakwah dapat berjalan di seluruh dunia, maka Rom dan Parsi diperangi.Prinsip dan Etika Peperangan dalam Islam Harus mengajak manusia kepada Islam sebelum memeranginya. Contohnya pada zaman Abu Bakar al-Siddiq, sewaktu menggempur wilayah Hirah, baginda telah memberikan 3 pilihan kepada musuh Islam iaitu menganut Islam, berdamai atau berperang. Islam hanya membenarkan umatnya berperang seandainya mereka diperangi terlebih dahulu. Contohnya, dalam Perang Badar. Dalam ekspedisi peperangan tentera Islam tidak boleh memerangi orang kafir yang tidak memiliki kekuatan dan daya usaha seperti kanak-kanak, kaum wanita, orang cacat, lumpuh, paderi atau pendeta. Tentera Islam dilarang merosakkan harta benda, memotong pokok atau membakar rumah kecuali dalam keadaa darurat. Ini membuktikan Islam mementingkan keamanan dan kesejahteraan. Islam menetapkan etika peperangan tidak boleh memerangi orang yang sudah menyerah atau kafir dhimmi atau mereka yang sudah mengikat perjanjian damai serta mengaku taat setia kepada pemerintah Islam. Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh mengaibkan musuh, antaranya ialah tentera tidak boleh mencincang mayat atau musuh yang terbunuh. Sebarang perjanjian damai yang dimeterai wajib ditaati. Contohnya, ketika Perjanjian Hudaibiyah meskipun fasa-fasa dalam perjanjian itu seolah-olah memberikan kelebihan kepada musuh Islam namun Rasulullah mempunyai misi tersendiri. Etika terakhir ialah tawanan perang akan dilayan dengan baik. Ia merupakan salah satu kaedah berdakwah yang diajar oleh Rasulullah. Dalam Perang Badar, Baginda menggunakan kaedah diplomasi, iaitu tawanan perang harus menebus diri dengan ilmu pengetahuan serta sejumlah wang tertentu. Cara pengagihan harta rampasan perang. Harta-harta yang diperolehi bukan dibolot oleh Rasulullah sebaliknya diagihkan secara sama rata di kalangan para pejuang. Selepas kewujudan Baitulmal, harta-harta berkenaan diuruskan dengan lebih baik dan digunakan untuk pembangunan negara khususnya pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab.

Sistem Pertahanan dalam Islam Pada zaman Rasulullah, jumlah umat Islam di Madinah adalah sedikit dan sering menghadapi ancaman dari masyarakat Arab Quraisy di Mekah. Tiga siri peperangan antara Madinah-Mekah yang berlaku iaitu Perang Badar, Uhud dan Khandak memerlukan satu rangka pertahanan yang baik bagi mempertahankan Madinah daripada jatuh ke tangan tentera Mekah. Oleh itu, beberapa strategi pertahanan telah dilaksanakan antaranya termasuklah:

1. Melakukan Pertahanan Luar dari Kota Madinah Bagi mengelakkan kerosakan harta benda dan kematian orang awam, tentera Islam berkubu luar daripada Kota Madinah. Dalam Perang Badar misalnya, tentera Islam bertahan di Badar iaitu di suatu tempat sejauh 80 batu daripada Barat Daya Kota Madinah. Dalam Perang Uhud pula, tentera Islam berkubu di sekitar Bukit Uhud.

2. Menggunakan Pertahanan Semulajadi Rasulullah S.A.W sebagai komander perang umat Islam memilih untuk memanfaatkan sumber semulajadi sebagai sumber pertahanan mereka. Dalam Perang Uhud misalnya, tentera Islam yang berkubu di Bukit Uhud telah mendapat kekuatan tersendiri apabila berjaya meletakkan tentera berpanah di atas bukit manakala perang terbuka berlaku di bawah kawasan lembah. Kawasan berbukit adalah merupakan satu bentuk pertahanan yang baik dalam peperangan.

3. Menggali Parit Pertahanan Idea untuk menggali parit dicadangkan oleh seorang sahabat Rasulullah iaitu Salman al-Farisi yang meniru cara pertahanan yang digunapakai oleh kerajaan Parsi dalam pertahanannya. Untuk itu, parit-parit dibina mengelilingi Kota Madinah bagi menghalang tentera musuh menyeberang masuk ke kawasan umat Islam dengan mudah.

Seterusnya, apabila Islam menjadi kuat dan menguasai Jazirah Arab terutamanya pada zaman Bani Umayyah dan Bani Abbassiyah, pertahanan menggunakan kota berkubu seperti yang dilakukan oleh tamadun lain di dunia digunakan. Hal ini adalah merupakan penggunaan teknologi ketenteraan tamadun lain oleh tamadun Islam. Dalam menguruskan soal pertahanan dan pembinaan kubu, sebuah jabatan kejuruteraan yang dikenali sebagai Dairah al-Muhandisin diperkenalkan. Selain itu, dengan wujudnya wilayah Islam yang berada di kawasan pesisir pantai dan berkembangnya perdagangan Islam ke seluruh dunia, pertahanan laut menjadi penting terutamanya dalam menguasai laut, armada tentera laut mula diperkenalkan di bawah pemerintah Uthman bin Affan dan kemudiannya pada zaman Bani Umayyah yang dikenali sebagai al-Bahriyah.

Organisasi Ketenteraan IslamASPEKHURAIAN/CONTOH

Kepimpinan Tentera Pada zaman Rasulullah, baginda mengetuai sendiri tentera Islam sebagai Ketua Panglima Perang ketika peperangan yang berlaku di Madinah. Seterusnya, dalam misi-misi perang tertentu selepasnya, baginda melantik panglima perang bagi mengetuai peperangan tertentu seperti melantik Zaid bin Harithah sebagai Panglima dalam Perang Mutah.

Ketika era Khulafa ar-Rasyidin juga, Khalifah tidak terlibat secara langsung dalam peperangan dan melantik beberapa orang panglima untuk berperang termasuklah Khalid bin al-Walid, Ikrimah bin Abu Jahal dan Usamah bin Zaid yang memainkan peranan penting meghapuskan golongan Riddah dan seterusnya menjatuhkan empayar Parsi dan Rom Timur di Semenanjung Arab.

Dalam zaman Bani Umayyah dan Abbassiyah, tentera Islam telah dipermodenkan dengan diangkat tarafnya kepada sebuah jabatan yang dikenali sebagai an-Nizam al-Harb (zaman Umayyah) dan Diwanul Jundi (zaman Abbasiyyah).

Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam peperangan, kuasa Khalifah pada zaman Khulafa ar-Rasyidin, zaman Umayyah dan Abbasiyyah tetap sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera Islam.

Komposisi Tentera

Pada zaman Rasulullah, umat Islam menjadi tentera secara sukarela atas semangat jihad. Pada zaman tersebut, tentera Islam majoritinya adalah tentera infantri (tentera pejalan kaki) dan hanya sedikit tentera berkuda (kavalri), manakala tentera yang menaiki unta pula adalah bersifat logistik. Tentera infantri dan kavalri masih kekal pada zaman khulafa ar-Rasyidin. Pada zaman Bani Umayyah pula, jawatan tentera hanya dikhususkan kepada orang Arab, namun disebabkan jumlah wilayah umat Islam yang semakin besar, orang Barbar diserap ke dalam perkhidmatan tentera. Pada zaman Umayyah juga wujud kerahan tenaga secara paksaan ke atas orang Arab untuk menjadi tentera.

Kemudiannya, pada zaman Abbasiyah pula, wujud dua jenis tentera iaitu tentera bergaji tetap dan tentera sukarela. Pada zaman Abbasiyah juga, tentera peninjau dan tentera risikan diwujudkan di bawah Jabatan Risikan.

Pada zaman Umayyah, komposisi tentera termasuklah infantri, kavalri dan tentera berkereta kuda.

Selain itu, lima jenis tentera pada zaman Abbasiyah adalah tentera berkuda(al-Fursan),tentera berjalan kaki(al-harbiyah), tentera menembak (al-naqqaabun), tentera pemanah(al-ramiyah)dan tentera bola api(al-ghilman).

Tentera Laut

Bermula pada zaman Khulafa ar-Rasyidin, komposisi tentera Islam diperkembangkan dengan pengenalan armada tentera laut pada zaman Umar al-Khattab di bawah komandernya iaitu Alla al-Hadhrami iaitu Gabenor Islam di Bahrain. Pada waktu tersebut, kapal-kapal perang dibina dan sebuah angkatan tentera laut seramai 12 000 orang dibentuk dan berjaya menyerang Parsi dari arah laut. Pada zaman Muawiyyah dan Abbasiyah, tentera laut Islam bertambah kuat sehingga berjaya memperbesar kekuatan tentera laut. Pada zaman Muawiyah misalnya, dua pasukan tentera laut diwujudkan iaitu pasukan pada musim panas dan pasukan pada musim sejuk. Pusat tentera laut umat Islam terletak di pelabuhan utama seperti Syria dan Mesir dan pada zaman kegemilangan kerajaan Umayyah terdapat hampir 1700 buah kapal perang oleh tentera laut Islam.

Persenjataan

Senjata asas yang digunakan oleh pasukan infantri dan kavalri adalah pedang, tombak, perisai dan memakai baju besi. Sebahagiannya pula menjadi tentera berpanah. Apabila Islam semakin kuat, teknologi persenjataan semakin canggih. Antaranya, penggunaan manjanik (pelontar batu) diperkenalkan bagi meruntuhkan dinding kota pihak musuh. Pada zaman Abbasiyah, persenjataan baru diperkenalkan termasuk Dabbabah (kereta perisai), bola api dan Baruud.

Strategi Perang

Menyerang, mengepung, dan bertahan. Membina kubu, mewujudkan bandar-bandar tentera, dan menubuhkan badan perisik. Ketika zaman Khalifah Ali b. Abi Talib, telah membentuk kurdus atau batalion, dalam pasukan tentera sebagai usaha memantapkan lagi tentera Islam. Islam memperkenalkan penubuhan kem tentera dan bandar tentera. Bandar seperti Basrah, Fustat dan lain lain ditubuhkan adalah untuk memenuhi keperluan tentera di samping pusat pentadbiran dan perdagangan. Pada zaman Bani Umayyah kaedah peperangan diperluas lagi dengan pembentukan pasukan kurdus (cohorts), jabatan perisikan, penggunaan peta dan serangan dari laut.

Pengurusan Perang Bermula zaman Khulafa ar-Rasyidin, sebuah jabatan yang menguruskan hal ehwal pertahanan dan peperangan yang dikenali sebagai Diwan al-Jund diperkenalkan. Pada zaman Umayyah, jawatan Setiausaha Ketenteraan (kitabul Jund) diperkenalkan. Dalam zaman Umayyah juga, tentera Islam dibahagikan kepada lima sayap iaitu sayap tengah, kanan, kiri, hadapan dan belakang. Pada zaman Abbasiyah, susunan angkatan tentera adalah seperti berikut:1. Seksyen yang mengandungi 10 tentera dan diketuai oleh Arif2. Kompeni yang mengandungi sepuluh seksyen yang diketuai oleh Naqib3. Batalion yang mengandungi seribu tentera yang diketuai oleh Qaid4. Divisyen yang mengandungi 10 000 orang tentera yang diketuai oleh Amir5. Amir al-Umara (Ketua Panglima) yang mengetuai keseluruhan angkatan tentera dan khalifah akan menyerahkan kuasa kepadanya dalam keadaan darurat.

Di bawah Diwanul Jund, terdapat lapan bahagian penting termasuklah bahagian kewangan, latihan, peninjau, pengurusan sumber manusia, depot simpanan, risikan, kejuruteraan dan tentera laut.

28Disediakan oleh: Hazman_ipda2012