bab-3- keunikan-karya-agung

39
1 Nota Pensejarahan Malaysia (SJH3102) hazmanazhar© 2013 BAHAGIAN TIGA: WACANA KARYA-KARYA AGUNG/UTAMA * Di dalam bahagian ini, tiga karya agung telah dipilih (oleh proforma IPGM) untuk dikaji dari segi keunikannya dalam beberapa aspek seperti pembinaan jati diri bangsa, pembentukan masyarakat, kritikan sosial, pendidikan, pemikiran dan peranan wanita. KEUNIKAN SEJARAH MELAYU (SULALATUS SALATIN) Sebagai sebuah sumber pensejarahan penting terhadap salasilah raja-raja Melayu serta naratif berkait dengan Kesultanan Melayu Melaka, Sejarah Melayu menampilkan pelbagai keunikan dalam pelbagai aspek termasuklah pembinaan jati diri bangsa, pembentukan masyarakat, kritikan sosial, pendidikan, pemikiran dan peranan wanita dalam karya tersebut. Hal ini menunjukkan bahawa Sejarah Melayu bukan sekadar sastera istana yang hanya dipenuhi lagenda, mitos dan dongeng, akan tetapi sebaliknya membawa satu gagasan yang lebih besar dalam memahami ruang lingkup Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan-kerajaan lain di Alam Melayu dengan lebih luas dan terperinci. Keunikan Sejarah Melayu dalam Aspek Pembinaan Jati Diri Bangsa i. Jati Diri Bangsa yang Taat pada Raja: Jati diri bangsa Melayu dalam Sejarah Melayu digambarkan sebagai sebuah bangsa yang taat dan patuh kepada rajanya. Ketaatan orang Melayu kepada Rajanya diikat oleh ikatan konsep daulat yang mana orang Melayu percaya bahawa Raja itu berdaulat dan berasal dari leluhur yang mulia dari Bukit Siguntang dan sesiapa yang menderhaka kepada rajanya pasti akan terkena tulah. Dalam Sejarah Melayu, ketaatan orang Melayu kepada Raja digambarkan dalam pelbagai peristiwa termasuklah peristiwa pembunuhan Tun Besar, anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak oleh Raja Ahmad.

Upload: siti-fironika-hj-abd-rahman

Post on 02-Jul-2015

1.363 views

Category:

Documents


12 download

TRANSCRIPT

Page 1: Bab-3- Keunikan-karya-agung

1

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

BAHAGIAN TIGA:

WACANA KARYA-KARYA AGUNG/UTAMA

* Di dalam bahagian ini, tiga karya agung telah dipilih (oleh proforma IPGM) untuk dikaji dari

segi keunikannya dalam beberapa aspek seperti pembinaan jati diri bangsa, pembentukan

masyarakat, kritikan sosial, pendidikan, pemikiran dan peranan wanita.

KEUNIKAN SEJARAH MELAYU (SULALATUS SALATIN)

Sebagai sebuah sumber pensejarahan penting terhadap salasilah raja-raja Melayu

serta naratif berkait dengan Kesultanan Melayu Melaka, Sejarah Melayu

menampilkan pelbagai keunikan dalam pelbagai aspek termasuklah pembinaan jati

diri bangsa, pembentukan masyarakat, kritikan sosial, pendidikan, pemikiran dan

peranan wanita dalam karya tersebut.

Hal ini menunjukkan bahawa Sejarah Melayu bukan sekadar sastera istana yang

hanya dipenuhi lagenda, mitos dan dongeng, akan tetapi sebaliknya membawa satu

gagasan yang lebih besar dalam memahami ruang lingkup Kesultanan Melayu

Melaka dan kerajaan-kerajaan lain di Alam Melayu dengan lebih luas dan terperinci.

Keunikan Sejarah Melayu dalam Aspek Pembinaan Jati Diri Bangsa

i. Jati Diri Bangsa yang Taat pada Raja:

Jati diri bangsa Melayu dalam Sejarah Melayu digambarkan sebagai sebuah bangsa

yang taat dan patuh kepada rajanya.

Ketaatan orang Melayu kepada Rajanya diikat oleh ikatan konsep daulat yang mana

orang Melayu percaya bahawa Raja itu berdaulat dan berasal dari leluhur yang mulia

dari Bukit Siguntang dan sesiapa yang menderhaka kepada rajanya pasti akan

terkena tulah.

Dalam Sejarah Melayu, ketaatan orang Melayu kepada Raja digambarkan dalam

pelbagai peristiwa termasuklah peristiwa pembunuhan Tun Besar, anak Bendahara

Paduka Raja Tun Perak oleh Raja Ahmad.

Page 2: Bab-3- Keunikan-karya-agung

2

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Walaupun pengikut Paduka Raja bersedia menuntut bela ke atas kematian anaknya,

Tun Perak enggan menderhaka kepada rajanya disebabkan “adat hamba Melayu

tiada derhaka kepada tuannya”.

Selain itu, diri masyarakat Melayu ditanam dengan pemikiran “tertimpa tulah”

sekiranya mereka menderhaka kepada raja. Sejarah Melayu sendiri telah

memberikan satu gambaran tulah yang tertimpa ke atas mereka yang menderhaka

kepada raja.

Dalam Sejarah Melayu, pembesar Singapura, Sang Rajuna Tapa dan isterinya telah

terkena tulah dan disumpah menjadi batu akibat daripada penderhakaan mereka

terhadap Raja Iskandar Syah kerana belot terhadap raja dengan berkomplot

bersama angkatan perang Majapahit menewaskan Singapura.

Berdasarkan konsep ikatan daulat dan konsep tulah inilah maka orang Melayu dilihat

sangat mentaati rajanya yang dianggap sangat mulia kerana keturunan leluhurnya.

ii. Jati Diri Bangsa yang Bersifat Animisme:

Walaupun Sejarah Melayu menceritakan bagaimana raja dan seluruh masyarakat

Melaka telah memeluk Islam, jati diri mereka yang berpegang dengan kepercayaan

terhadap “semangat” masih dikekalkan walaupun setelah mereka memeluk Islam.

Kedatangan Islam telah menyaksikan masyarakat Melayu yang sebelum ini

berkepercayaan Hindu-Buddha telah menganut agama Islam dan mengamalkan

ajaran Islam yang tidak sepenuhnya dalam diri mereka.

Hal ini kerana, walaupun mereka telah memeluk Islam, mereka masih lagi

mengekalkan kepercayaan mereka terhadap ilmu mistik, semangat dan ilmu ghaib

yang sebahagiannya dianggap bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sebagai contoh, Sejarah Melayu mencatatkan bagaimana masyarakat Melaka masih

mengamalkan ilmu hitam dalam peristiwa Hang Nadim yang cuba merampas Tun

Teja dari istana Pahang bagi dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah.

Page 3: Bab-3- Keunikan-karya-agung

3

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Dalam peristiwa tersebut, Hang Nadim telah menggunakan ilmu guna-guna dalam

bentuk pelulut (serbuk) yang disapu ke badan Tun Teja sehingga Tun Teja berasa

berahi akan Sultan Mahmud Syah.

Dalam peristiwa lain, Sultan Mansur Syah masih lagi mempercayai ilmu-ilmu yang

bersifat “memuja semangat” dalam menundukkan haiwan-haiwan liar seperti ilmu

gajah. Malah, Sejarah Melayu menceritakan bagaimana Sultan Mansur Syah

sanggup memberi belanja kepada sesiapa yang ingin mempelajari ilmu gajah di

istana Melaka.

Hal ini menunjukkan bagaimana walaupun Islam telah menjadi anutan dalam

kalangan masyarakat di Melaka, namun kepercayaan yang diamalkan ketika periode

pra-Islam tidak dihapuskan sepenuhnya.

Keunikan Sejarah Melayu dari Aspek Pembentukan Masyarakat

i. Pembentukan Masyarakat berdasarkan Hierarki Politik:

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1988), pengkelasan struktur masyarakat pada

era Kesultanan Melayu Melaka dapat dikelaskan kepada susunan hierarki tertentu

iaitu hierarki pertama dan teratas iaitu golongan diraja dan kerabat, hierarki kedua

golongan bangsawan, hierarki ketiga iaitu rakyat biasa yang merdeheka serta

hierarki keempat dan berada pada lapisan paling bawah iaitu golongan hamba.

Golongan pertama iaitu golongan diraja dan kerabat yang terdiri daripada seorang

Raja yang dikelilingi oleh kerabat diraja, permaisuri serta putera-putera raja. Segala

kuasa adalah terletak di bawah baginda.

Seterusnya, golongan kedua pula dalam hierarki masyarakat di Melaka terdiri

daripada golongan pembesar yang mentadbir negeri seperti Bendahara, Laksamana,

Penghulu Bendahari, Temenggung, Syahbandar dll. Selain itu, golongan yang

setaraf dengan para pembesar ialah golongan agamawan seperti ulama-ulama Islam

yang terdiri daripada tuan sayyid, makhdum, maulana dan kadi.

Golongan ketiga pula merupakan terdiri daripada rakyat biasa yang merdeheka yang

terdiri daripada golongan pedagang, saudagar, tukang-tukang mahir dan petani.

Page 4: Bab-3- Keunikan-karya-agung

4

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Golongan keempat pula terdiri daripada golongan hamba yang terdiri daripada

hamba raja, hamba berhutang, hamba abdi dan lain-lain.

Hamba merupakan golongan terbawah dalam hierarki masyarakat di Melaka. Hamba

bukan sahaja dimiliki oleh Raja tetapi turut dimiliki oleh para pembesar dan orang-

orang kaya.

ii. Masyarakat Pedagang:

Sejarah Melayu turut menceritakan bagaimana masyarakat Melaka pada era

Kesultanan Melayu Melaka rata-ratanya merupakan golongan pedagang yang kaya.

Sebagai contoh, Sejarah Melayu mencatatkan, “...kerana pada masa itu orang

Melaka ratalah berkapal belaka.”

Selain itu, kewujudan masyarakat Melaka yang menjadi pedagang turut diperihalkan

oleh Sejarah Melayu berkenaan Hang Isap, “Adapun Hang Isap ada berniaga

dengan seorang Sayid Hamba Allah”.

Dalam kisah Hang Isap ini, ada diceritakan kisah pelayaran pulang kapal Hang Isap

ke Melaka dan pecah di benua Keling disebabkan balasan penipuannya ke atas

seorang Sayid (orang Arab) ketika melakukan urusan perniagaan.

Hal ini menunjukkan kemampuan para pedagang Melaka untuk berlayar sehingga ke

Benua Arab dan Benua Keling.

Selain itu, golongan rakyat biasa di Melaka turut diwakili oleh golongan pedagang

asing yang datang berlabuh dan menetap di Melaka untuk satu tempoh yang

tertentu. Kebanyakan mereka ini adalah merupakan golongan pedagang yang

datang dari Tanah Arab dan Benua Keling.

iii. Masyarakat Majmuk:

Selain itu, kewujudan kegiatan perdagangan di Melaka telah mewujudkan sebuah

masyarakat majmuk di Melaka.

Page 5: Bab-3- Keunikan-karya-agung

5

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Selain masyarakat Melayu yang diceritakan dalam Sejarah Melayu seperti nama-

nama Hang Isap, Tun Biajid, Tun Mai Ulat Bulu dan lain-lain, masyarakat Melaka

pada ketika itu juga terdiri daripada masyarakat Keling (India Muslim), Arab dan

Cina.

Masyarakat Keling misalnya terdiri daripada watak-watak seperti Mani Ali Purindam,

Si Kitul, Raja Mendeliar, Tun Mutahir dan Tun Tahir. Selain menjadi pedagang,

mereka ini juga turut diberi tempat dalam pentadbiran Melaka seperti Tun Mutahir

yang dilantik sebagai Bendahara.

Masyarakat Arab di Melaka pula terdiri daripada golongan pedagang dan pendakwah

seperti Syeikh Abdul Aziz, Maulana Sadar Jahan dan Maulana Abu Bakar.

Keunikan Sejarah Melayu dari Aspek Pendidikan

Sejarah Melayu menceritakan bagaimana Melaka muncul sebagai pusat pendidikan

Islam terkemuka di alam Melayu dengan kehadiran ulama-ulama dari Tanah Arab

termasuklah Makhdum Saiyid Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadzi Yusuf, Kadzi

Menua, Kadzi Menawar Syah, Makhdum/Maulana Sadar Jahan dan Maulana

Jalaludin.

Selain itu, beberapa orang Sultan seperti Sultan Mansur Syah sangat mencintai ilmu

pengetahuan.

Sebagai contoh, baginda berguru dengan Maulana Abu Bakar dalam ilmu agama

dan mengutus permasalahan agama ke Pasai.

Melaka juga muncul sebagai pusat keilmuan Islam terkemuka apabila Kitab Darul

Manzum karangan Syeikh Abu Ishaq di bawa oleh Maulana Abu Bakar ke Melaka

dan diajar kepada masyarakat.

Sejarah Melayu juga mencatatkan bagaimana masyarakat Melaka belajar dengan

para ulama seperti kisah Tun Mai Ulat Bulu yang belajar menyebut perkataan Arab

dengan Maulana Sadar Jahan serta kisah Sultan Mahmud Syah yang berguru

dengan Kadi Yusof.

Page 6: Bab-3- Keunikan-karya-agung

6

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Keunikan Sejarah Melayu dari Aspek Pemikiran

Dalam Sejarah Melayu, antara aspek pemikiran yang dimuatkan termasuklah

pemikiran masyarakat Melayu dalam bernegara.

Menurut Muhammad Haji Salleh (2004), Kesultanan Melayu Melaka yang dikisahkan

dalam Sejarah Melayu ditegakkan oleh beberapa asas penting pemikiran dalam

bernegara, termasuklah susun atur kerajaan, hubungan pemerintah dan rakyatnya

serta nilai dan moral seperti ketaatan dan keadilan.

Pertamanya, susun atur kerajaan yang telah dibentuk oleh Kesultanan Melayu

Melaka telah menggambarkan betapa telitinya pemikiran golongan bangsawan

Melayu dalam memastikan sebuah struktur kerajaan yang kompleks dan tersusun,

dengan peranan raja dan para pembesarnya yang tersusun dan saling lengkap

melengkapi.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1989), Sejarah Melayu secara jelas telah

mencatatkan mengenai peranan seorang Raja Melaka dalam memastikan negeri

berada dalam keadaan aman dan harmoni. Menurut Sejarah Melayu,

“adapun pada segala raja-raja itu, pertama-tama menjadikan

bendahara, kedua menjadikan temenggung, ketiga menjadikan penghulu

bendahari, keempat menjadi syahbandar, maka terpelihara segala raja-raja

itu dengan segala rakyatnya.”

Selain itu, Sejarah Melayu juga turut memuatkan mengenai peri pentingnya peranan

rakyat kepada rajanya dalam membangunkan sebuah negara. Sebagai contoh,

sebelum kemangkatan Sultan Alauddin Riayat Syah, baginda telah bertitah kepada

anakandanya mengenai tanggungjawab seorang raja ke atas rakyatnya. Menurut

Muhammad Yusoff Hashim (1989), Sejarah Melayu menyebut,

“Adapun raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama

kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala…ra’ayat itu umpama

akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan

dapat berdiri. Demikian raja-raja itu dengan segala ra’ayatnya …jikalau kau

bunuh ia (ra’ayatmu) dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa”

Page 7: Bab-3- Keunikan-karya-agung

7

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Peri pentingnya peranan raja dalam berlaku adil ke atas rakyatnya dalam Sejarah

Melayu dapat dilihat apabila wasiat tersebut diulang semula oleh Sultan Mansur

Syah kepada anakandanya Raja Ahmad,

“ dan hendaklah engkau muafakat dengan segala menteri dan segala

orang Besar-besarmu, kerana raja itu, jikalau bagaimana sekalipun

bijaksana dan tahunya, jikalau tiada muafakat dengan pegawai, di mana akan

dapat ia melakukan bijaksananya itu? Dan tiada akan sentosa

kerajaannya; kerana raja-raja itu umpama api, segala menteri itu umpama

kayu, kerana api itu tiada akan nyala jikalau tiada kayu; seperti kata

Farsi:'Ar'ayatu juna bakhasta sultan khasad', yakni rakyat itu umpama akan

dan raja itu umpama pohon; jikalau tiada akan nescaya tiada akan dapat

berdiri. Demikianlah raja itu dengan segala rakyatnya....”

Berdasarkan titah nasihat dua orang Sultan di atas, perkara ini telah

menggambarkan betapa pemikiran masyarakat Melayu yang mempercayai bahawa

raja dan rakyatnya adalah saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.

Hal ini kerana, raja sebagai ketua negara akan bertindak sebagai penaung (pohon)

kepada rakyatnya, manakala rakyat pula bertindak sebagai pendokong (akar)

kepada raja (yakni pohon tersebut).

Kemudiannya, peranan raja dan pembesar pula diumpamakan seperti api dan kayu

di mana tanpa kayu, api tidak akan mampu bernyala. Dalam perumpamaan ini,

kebijaksanaan raja (api) itu tidak akan terserlah tanpa adanya para pembesar (kayu)

yang menyalakan kebijaksanaan tersebut.

Keadaan ini menggambarkan kepada kita bagaimana Sejarah Melayu telah

melakarkan pemikiran golongan pemerintah dan rakyat Melaka yang melihat

peranan masing-masing dalam bernegara yang saling lengkap-melengkapi di antara

satu sama lain.

Page 8: Bab-3- Keunikan-karya-agung

8

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Keunikan Sejarah Melayu dari Aspek Kritikan Sosial

Walaupun teks Sejarah Melayu dilihat terlalu mengagung-agungkan dan memuliakan

raja, namun begitu pengarangnya secara tersirat cuba untuk melakukan kritikan ke atas

raja dalam beberapa peristiwa termasuklah:

i. Peristiwa Singapura Dilanggar Todak:

Apabila Raja Singapura membunuh Tuan Jana Khatib kerana cemburu buta atas

dakwaan kononnya ulama tersebut cuba menunjukkan kesaktian kepada isteri

baginda, Tuan Jana Khatib dibunuh.

Tidak lama selepas itu, Singapura ditimpa bala apabila dilanggar todak

mengakibatkan ramai rakyat mati.

Melalui kisah ini, pengarang cuba untuk meketengahkan soal kezaliman Raja tanpa

usul periksa dan akibatnya Singapura ditimpa bala akibat pembunuhan seorang

ulama yang sangat alim dari Pasai.

Seterusnya, Raja tanpa berfikir panjang menitahkan rakyat untuk berkubu betis bagi

menangkis serangan todak tersebut.

Tindakan Raja itu sekali lagi mengundang padah apabila semakin ramai rakyat yang

cedera dan mati. Dalam hal ini penulis cuba untuk menggambarkan

ketidakmampuan Raja dalam berpandangan jauh dan bersikap terburu-buru.

Hanya apabila seorang kanak-kanak bernama Hang Nadim mengusulkan supaya

dibuat benteng dengan batang pisang maka cadangan tersebut berjaya menghalang

serangan todak.

Namun Hang Nadim kemudiannya dibunuh kerana dikhuatiri akan melawan Raja

apabila besar nanti. Dalam hal ini kritikan sebenarnya ditujukan kepada para

pembesar yang mengampu dan buruk sangka yang mengelilingi dan memberi

nasihat pada Raja pada ketika itu.

Page 9: Bab-3- Keunikan-karya-agung

9

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

ii. Kritikan Terhadap Moral Raja:

Secara berterus terang, penulis Sejarah Melayu tidak menyembunyikan keburukan

Sultan Mahmud Syah yang dilihat sangat mengikut hawa nafsunya sehingga

sanggup untuk bersekedudukan dengan isteri Tun Biajid ketika Tun Biajid dalam satu

tugasan ke Morib.

Selain itu, peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang dan peristiwa penculikan

Tun Teja dari Pahang ke Melaka bagi dijadikan isteri Sultan Mahmud Syah sehingga

hampir memulakan perang di antara Pahang dan Melaka menunjukkan bagaimana

sikap Sultan Mahmud Syah.

Pengarang juga turut membuka aib Sultan Mahmud Syah dengan menceritakan

tentang penyakit kesukaran untuk membuang air.

iii. Kritikan terhadap Sikap Suka Termakan Fitnah:

Peristiwa pembunuhan Bendahara Tun Mutahir berserta seluruh ahli keluarganya

setelah difitnah oleh Raja Mendeliar (yang disampaikan melalui Laksamana Khoja

Hasan) telah menunjukkan kegagalan Sultan Mahmud Syah dan sikap terburu-buru

baginda yang menghukum tanpa usul periksa.

Sultan juga dikritik kerana tindakannya dipengaruhi perasaan dendam kerana

Bendahara Tun Mutahir tidak mempersembahkan anakandanya Tun Fatimah

menjadi isteri Sultan seperti adat-adat Bendahara sebelumnya.

iv. Kritikan terhadap Kezaliman Raja:

Beberapa kali ditekankan dalam Sejarah Melayu iaitu apabila pemerintah bertindak

zalim ke atas rakyatnya, bala akan menimpa negeri itu.

Dalam hal ini, pengarang Sejarah Melayu telah cuba untuk mengkritik Sultan yang

melanggar perjanjian di Bukit Seguntang di mana Raja diberi Daulat, Rakyat diberi

Keadilan.

Berdasarkan ikatan daulat ini, Sejarah Melayu sebenarnya secara halus cuba

menunjukkan betapa Rajalah yang terlebih dahulu melanggar sumpah tersebut

Page 10: Bab-3- Keunikan-karya-agung

10

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

sebelum berlakunya pembelotan Sang Rajuna Tapa yang akhirnya terkena tulah dan

disumpah menjadi batu.

Selain dalam kisah pembunuhan Tuan Jana Khatib, peristiwa Hang Nadim yang

dizalimi, kisah Tun Biajid yang menerima tamparan apabila Sultan bersekedudukan

dengan isterinya, kisah pembunuhan anak Tun Perak dalam peristiwa sepak raga

dan peristiwa pembunuhan keluarga Bendahara Tun Mutahir, ketidakadilan Raja

terhadap rakyatnya bermula seawal kisah anak pembesar Singapura Sang Rajuna

Tapa yang dijadikan gundik Raja seolah-olah menjatuhkan maruah Sang Rajuna

Tapa sebagai Bendahara pada ketika itu.

Kemuncak kezaliman terhadap kezaliman Raja terhadap keluarga Sang Rajuna

Tapa adalah apabila anakandanya itu disula di hadapan khalayak ramai kerana

difitnah cuba bersekedudukan dengan seorang panglima.

Kerana rasa terhina dan kecewa, Sang Rajuna Tapa telah mengutus surat ke

Majapahit supaya melanggar Singapura dan beliau sanggup belot dengan membuka

pintu kota.

Akhirnya, balasan terhadap Singapura muncul apabila negeri tersebut alah kepada

Majapahit dan Raja dan pengikutnya terpaksa berundur ke Melaka.

Walaupun begitu, kritikan tersebut masih dilihat berlapik apabila Sang Rajuna Tapa

diketengahkan sebagai seorang antagonis yang akhirnya disumpah menjadi batu

akibat terkena tulah.

Keunikan Sejarah Melayu dari Aspek Peranan Wanita

Menurut Muhammad Haji Salleh (2004), tema feminisme turut diangkat dalam

penceritaan Sejarah Melayu bagi menunjukkan bahawa di sana terdapat peranan

wanita dalam konteks Kesultanan Melayu Melaka.

Antara tokoh-tokoh wanita yang diceritakan dalam Sejarah Melayu termasuklah,

Puteri Syahrul Bariyah, Wan Malini dan Wan Empuk, Tun Teja, Puteri Gunung

Ledang, Puteri Hang Li Po dan Tun Fatimah, di samping beberapa watak lainnya.

Page 11: Bab-3- Keunikan-karya-agung

11

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Setiap watak wanita yang disebut dalam Sejarah Melayu memainkan peranan

mereka yang tersendiri, sama ada secara sampingan ataupun memberi kesan yang

besar kepada perjalanan cerita itu sendiri. Antaranya termasuklah:

i. Peranan Tun Fatimah:

Antara kisah yang berkait dengan peranan wanita dalam Sejarah Melayu

termasuklah peristiwa keengganan Tun Fatimah yang bertindak menggugurkan

anak kandungannya dengan baginda Sultan Mahmud Syah.

Menurut Muhammad Haji Salleh (2004), walaupun wanita seringkali dianggap

sebagai barang dan hiasan lelaki, namun sesekali hak wanita dilatardepankan

dalam teks Sejarah Melayu.

Berdasarkan kisah Tun Fatimah yang diceritakan dalam Sejarah Melayu, dia

telah bertindak menggugurkan kandungannya sebagai tanda protes terhadap

tindakan Sultan Mahmud Syah yang telah menghukum bunuh semua ahli

keluarga dan suaminya, Tun Ali.

Disebabkan kemurungan dan sikap dingin Tun Fatimah terhadap Sultan Mahmud

Syah, baginda telah sanggup untuk berjanji akan merajakan anak yang dilahirkan

Tun Fatimah supaya Tun Fatimah tidak membahayakan dirinya dengan

menggugurkan kandungan tersebut.

Kisah Tun Fatimah dengan Sultan Mahmud Syah ini cukup ironik. Hal ini

menggambarkan betapa seorang raja yang dikenali sebagai suka berfoya-foya

dan zalim akhirnya mampu patuh terhadap seorang wanita bernama Tun

Fatimah.

ii. Peranan Puteri Gunung Ledang:

Selain itu, kisah wanita yang turut dimuatkan dalam Sejarah Melayu adalah

mengenai Puteri Gunung Ledang.

Dalam kisah ini, Sultan Mahmud Syah yang telah menghantar rombongan

peminangan kepada Puteri Gunung Ledang telah terpaksa membatalkan

Page 12: Bab-3- Keunikan-karya-agung

12

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

hasratnya apabila puteri tersebut meminta pelbagai permintaan yang tidak masuk

akal.

Menurut Muhammad Haji Salleh (2004), kisah peminangan Puteri Gunung

Ledang ini telah menggambarkan betapa ketinggian harga seorang wanita yang

bukan hanya boleh dibeli dengan harta, kuasa dan darjat.

Selain itu, kisah ini juga merupakan salah satu bentuk kritikan tersirat pengarang

Sejarah Melayu dalam membidas sikap Sultan Mahmud Syah yang menggemari

wanita-wanita cantik dan suka berfoya-foya.

iii. Peranan Bonda Sultan Mahmud Syah:

Seterusnya, peranan wanita yang dapat dilihat dalam Sejarah Melayu adalah

melalui watak bonda kepada Sultan Mahmud Syah yang dilihat sebagai individu

penting di belakang perlantikan adindanya, Tun Mutahir sebagai Bendahara

Melaka.

Dalam hal ini, Sejarah Melayu telah menceritakan bagaimana ketika Sultan

Mahmud Syah ingin mencari pengganti kepada Bendahara Melaka, bonda

baginda membisikkan kepada baginda supaya melantik adinda bondanya (yakni

bapa saudara Sultan Mahmud) iaitu Tun Mutahir sebagai Bendahara Melaka

yang baharu.

Hal ini menunjukkan wujudnya campur tangan dalam pemilihan Bendahara

Melaka pada waktu itu.

Secara tidak langsung juga, walaupun diketahui kuasa politik dalam Kesultanan

Melayu Melaka dikuasai oleh golongan lelaki, dalam sesetengah keadaan,

peranan wanita juga dapat dilihat mencampuri urusan pentadbiran Melaka pada

ketika itu.

Page 13: Bab-3- Keunikan-karya-agung

13

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

KEUNIKAN HIKAYAT ABDULLAH

Hikayat Abdullah sebuah karya sastera sejarah karangan Abdullah bin Abdul Kadir

Munsyi merupakan sebuah catatan kehidupan Abdullah yang sarat dengan peristiwa

sejarah berdasarkan pengalamannya sebagai seorang jurutulis dan pembantu

kepada Stamford Raffles ketika di Melaka dan Singapura.

Penulisan Abdullah yang realistik dan terkeluar daripada corak penulisan tempatan

lain yang lebih bersentrikkan istana telah menjadi Abdullah dianggap sebagai

“mencipta dan mendahului zamannya”.

Keunikan karya tulisan Abdullah dalam hikayatnya dapat dilihat daripada pelbagai

aspek termasuklah aspek pembinaan jati diri bangsa, pembentukan masyarakat,

pendidikan, pemikiran, kritikan sosial dan peranan wanita.

Keunikan Hikayat Abdullah dalam Aspek Pembinaan Jati Diri Bangsa

Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah meletakkan garis masa

penceritaannya bermula sejak kelahirannya pada 1796 sehinggalah kepada zaman

kehidupannya di Singapura. Abdullah lahir dan hidup di tengah-tengah masyarakat

Melaka pada zaman pendudukan British di Melaka.

Zaman tersebut telah menyaksikan bagaimana jati diri masyarakat Melayu di Melaka

berada di dua persimpangan, suatu pihak yang dilihat cuba untuk mengekalkan jati

diri bangsa yang diwarisi zaman berzaman, manakala satu pihak yang lain pula

dilihat terbuka kepada perubahan sesuai dengan peredaran masa.

Berdasarkan penulisannya dalam Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi secara tidak

langsung telah menggambarkan mengenai jati diri masyarakat Melayu di Melaka

pada ketika itu yang dilihat mempercayai pelbagai adat yang pelik dan karut-marut

dalam kehidupan mereka.

Menurut Kassim Ahmad (2004), masyarakat Melayu pada zaman Abdullah Munsyi

masih kekal dengan kepercayaan yang karut marut, adat resam yang jahat dan

mundur dan taat kepada rajanya dengan sebenar-benar taat walaupun kelakuan raja

mereka itu kadangkala itu zalim dan tidak bermoral.

Page 14: Bab-3- Keunikan-karya-agung

14

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Menurut Siti Aisah Murad (1996), antara contoh kepercayaan karut yang dipercayai

oleh masyarakat Melayu pada ketika itu termasuklah adat “menjual anak” yang turut

dilakukan oleh ibu bapa Abdullah Munsyi sendiri.

Selain adat “menjual anak”, orang Melayu juga mempunyai kepercayaan pelik

dengan mempercayai bahawa nama seseorang juga mempengaruhi kesihatan

seseorang sekiranya nama yang diberikan itu tidak sesuai dengan tubuh badan si

anak tersebut. Menurut Abdullah Munsyi seperti yang dipetik Siti Aisah Murad

(1996),

“ Bahawa ini pun satu adat nenek moyang bodoh, yang tiada ia

mengetahui Allah Taala.... Syahadan ada pula orang yang percaya sebab

nama budak itu terlalu besar itulah kononnya mendatangkan penyakit atau

mati. Maka sekalian itu bohong dan adat-adat bodoh belaka.”

Selain itu, masyarakat Melaka pada zaman Abdullah Munsyi juga masih lagi

menebal dengan kepercayaan terhadap perkara mistik dan magis seperti dalam

peristiwa perobohan Kota Melaka oleh British dan peristiwa menangkap gajah.

Contohnya, ketika usaha Tuan Farquhar untuk merobohkan Kota Melaka itu tidak

berjaya, masyarakat Melaka percaya bahawa keadaan tersebut disebabkan oleh

para jembalang yang menjaga kota tersebut daripada dihancurkan.

Seterusnya, dalam peristiwa penangkapan gajah oleh Pawang Gajah yang bernama

Encik Sulung, masyarakat Melaka pada ketika itu dilihat taksub dan percaya dengan

kebolehan ilmu gajah Encik Sulung dalam menjinakkan hampir 63 ekor gajah di Hulu

Melaka sedangkan Abdullah Munsyi yang melihat peristiwa tersebut menganggap

perkara tersebut dilakukan dengan kebijaksanaan dan bukannya melalui ilmu mistik

seperti hikmat, ubatan ataupun jin. (Siti Aisah Murad, 1996).

Seterusnya, masyarakat Melayu Melaka pada zaman kehidupan Abdullah Munsyi

juga mempunyai kepercayaan Islam yang agak ortodoks dan tertutup. Misalnya,

masyarakat pada zaman itu menegah anak-anak mereka atau sesiapa yang cuba

untuk mempelajari bahasa Inggeris atau belajar dengan orang-orang Inggeris. Hal ini

kerana mereka beranggapan bahawa mempelajari ilmu Inggeris seolah-olah murtad

dan masuk Kristian.

Page 15: Bab-3- Keunikan-karya-agung

15

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Sebagai contoh, Kassim Ahmad (2004) telah bertindak memetik semula dialog di

antara Abdullah dengan pendukung-pendukung fahaman kolot tersebut itu:

“ Jangan baca kitab ini. Buangkan, karena ini kitab orang putih. Nanti

rosak iman kita.” Maka jawabku kepada mereka itu, “Bagaimana engkau

boleh tau ini kitab orang putih? Bukankah ini bahasa Melayu? Dan bolehkah

ia ini merosakkan iman kita? Apakah ertinya iman itu?... ertiya iman itu

kuketahui, percaya. Maka jikalau kiranya tiada percaya aku akan dia,

bolehkah rosak iman? ....” Maka diamlah mereka itu.”

Berdasarkan kisah-kisah yang telah diceritakan oleh Abdullah mengenai masyarakat

pada masa itu, maka jelaslah bahawa jati diri masyarakat Melayu pada masa itu

dilihat masih bersifat konservatif dan tertutup dengan tradisi lama sedia ada sejak

zaman berzaman semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Jati diri masyarakat pada ketika itu dilihat kekal dengan kepercayaan terhadap adat

dan kepercayaan tertentu yang kadangkala bersikap jumud dan tertutup daripada

arus perubahan semasa pada waktu itu.

Seterusnya, jati diri bangsa yang dapat dilihat dalam penulisan Abdullah adalah

melalui jati diri Abdullah Munsyi itu sendiri. Walaupun beliau dianggap berlawanan

daripada masyarakat kebanyakan pada masa tersebut sehingga digelar “Abdullah

Paderi”, sikap dan sifatnya itu akhirnya menjadi ikutan masyarakat Melayu yang

bangkit dalam Gerakan Islah pada awal abad ke-20 seperti angkatan Syed Syeikh al-

Hadi, angkatan Za‟ba dan Angkatan 50 (ASAS 50). (Kassim Ahmad, 2004: xxvii)

Antara jati diri utama yang terdapat dalam diri Abdullah Munsyi ialah bersifat realistik

dan terbuka dalam pemikirannya. Menurut A.H Hill (1969), “Abdullah was the first

writer in Malay to bring realism to this art....”. Keterbukaan Abdullah dapat dilihat

apabila beliau bertindak menterjemah Kitab Injil ke dalam bahasa Melayu, sesuatu

yang dianggap sebagai menyalahi agama oleh sebahagian besar masyarakat pada

masa tersebut.

Page 16: Bab-3- Keunikan-karya-agung

16

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Malah, walaupun bapa Abdullah adalah merupakan seorang yang berilmu dan dekat

dengan golongan penjajah Barat dengan menjadi jurutulis, beliau sendiri dilihat

menentang keterbukaan Abdullah apabila anaknya bertindak belajar di sekolah

mubaligh, Anglo-Chinese College.

Keterbukaan Abdullah juga menyebabkan beliau menjadi seorang pengagum kepada

sains dan teknologi serta menolak kepercayaan karut dalam masyarakat Melayu

pada masa tersebut. Menurut Kassim Ahmad (2004), kekaguman Abdullah terhadap

sains dinukilkan di dalam hikayatnya apabila beliau melihat sendiri sebuah kapal

asap yang datang ke Singapura, selain menyaksikan demonstrasi sebuah alat

pengambil gambar, kamera yang awal.

Walaupun masyarakat Melaka memandang Abdullah sebagai seorang yang bersifat

kebaratan, hakikatnya jati diri Abdullah terhadap bangsa Melayu cukup tinggi

terutamanya melalui pemikirannya yang sentiasa memikirkan mengenai nasib orang

Melayu yang berada dalam keadaan yang menyedihkan dan malang.

Misalnya, Kassim Ahmad (2004) menjelaskan bahawa Abdullah sentiasa

mengenangkan nasib orang Melayu yang mundur dalam ilmu pengetahuan:

“ Adapun segala hal ehwal mereka itu sekalian senantiasa bersama-

sama dengan aku. Maka kulihat hal ehwal mereka itu dan tabiat mereka itu

dan kelakuan mereka itu dan adat mereka itu daripada kecilku sampailah

sekian umurku, maka kuperhatikan juga, maka adalah kudapati bangsa

Melayu itu makin lama usahkan makin pandai, makin pula bodohnya,

adanya.”

Selain mengenang nasib bangsanya, Abdullah juga seorang yang begitu sayang

akan bahasa Melayu dan sampai ke suatu tahap cuba untuk menyusun nahu bahasa

Melayu sebagai satu panduan kepada generasi yang akan datang. Catat Abdullah:

“....Bermula bahasa Melayu ini bukankah seperti hutan rimba besar

keadaannya, penuh dengan semak samun dan duri pun berceracangan dan

akar pun bersengkarut, dan kayu pun lintang-pukang dan lorongnya pun

simpang-siur dan tanahnya pun tinggi rendah? Maka daripada zaman adanya

bahasa itu sampai sekarang ini adakah seorang yang bernafsu hendak

membetulkan atau mengaturkan jalannya atau hukumnya?”

Page 17: Bab-3- Keunikan-karya-agung

17

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Keunikan Hikayat Abdullah dalam Aspek Pembentukan Masyarakat

i. Pembentukan Masyarakat yang Hidup dalam Zaman Perubahan:

Abdullah Munsyi hidup dalam satu zaman perubahan, iaitu perubahan daripada

zaman feudal Melayu di Tanah Melayu kepada zaman pemerintahan kolonial

Inggeris di Tanah Melayu.

Dalam era perubahan ini, Abdullah telah dilihat cuba menggambarkan berlakunya

pertembungan dua aliran dalam keilmuan iaitu aliran ilmu pengetahuan masyarakat

yang sedia ada dan ilmu pengetahuan Barat yang membawa pelbagai pembaharuan

dan kelebihan kepada masyarakat. Aliran ilmu pengetahuan tradisi ini dilihat

menekankan pendidikan agama terutamanya pembacaan al-Quran manakala aliran

ilmu pengetahuan Barat menekankan pelbagai disiplin ilmu termasuklah bahasa,

sains, teknologi dan juga etika.

Kehadiran Barat (Inggeris) dan ilmunya disambut dengan penuh skeptikal oleh

masyarakat tempatan termasuklah bapa Abdullah sendiri, walaupun beliau adalah

merupakan seorang yang berilmu pengetahuan di Melaka.

Di era transisi perubahan ini, masyarakat Melayu dilihat masih cuba untuk

mengekalkan diri mereka dengan kehidupan lama mereka. Menurut Kassim Ahmad

(2004), sikap prasangka masyarakat tempatan terhadap Inggeris telah ditulis

Abdullah dalam hikayatnya seperti berikut:

“Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan

oleh tuan-tuan itu memanggil dan mencari anak-anak Melayu supaya boleh ia

belajar dan mengetahui membaca dan menulis, baik bahasa Melayu, baik

bahasa Inggeris. Maka oleh sebab bodohnya dan sangka mereka itu nanti

dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang. Karena fikiran mereka itu,

dengan kekerasan nanti ditangkap, dimasukkan Inggeris. Maka beberapa kali

sudah aku ingatkan akan mereka itu serta memberitau akan mereka itu

bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang ke

dalam agamanya kalau yang empunya diri tiada suka....”

Page 18: Bab-3- Keunikan-karya-agung

18

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Berdasarkan apa yang telah dituliskan oleh Abdullah dalam hikayatnya, nyatalah

masyarakat Melayu dalam zaman transisi tersebut dilihat penuh dengan kesangsian

terhadap Inggeris, di mana mereka menganggap Inggeris cuba untuk menjadikan

masyarakat tempatan seperti mereka dan menganut agama yang sama dengan

mereka iaitu Kristian.

Pada pandangan masyarakat tempatan pada masa tersebut, menurut cara Inggeris

adalah bersalahan dari segi agama dan pegangan ini turut dipersetujui oleh bapa

Abdullah sendiri iaitu Abdul Kadir. Catat Abdullah:

“ Aku tiada suka engkau pergi belajar bahasa Inggeris dan suratnya,

karena seorang pun orang Islam tiada belajar itu. Dan lagi, banyaklah orang

mengatakan pekerjaan itu tiada baik, merosakkan agama...”

ii. Pembentukan Masyarakat yang Menerima Pendidikan Formal:

Walaupun berlaku pertentangan di antara masyarakat tempatan ke atas usaha

Inggeris dalam menyebarkan ilmu pengetahuan terutamanya bahasa Inggeris

kepada anak-anak tempatan, akhirnya atas usaha yang dilakukan oleh dua orang

paderi iaitu Tuan Milne dan Tuan Thomsen telah menyebabkan tertubuhnya sebuah

sekolah mubaligh di Melaka pada ketika itu yang dikenali sebagai Anglo-Chinese

College.

Menurut Siti Aisah Murad (1996), sekolah ini telah ditubuhkan atas arahan East India

Company dan di sinilah anak-anak Cina, Nasrani dan Melayu belajar menulis dan

membaca bahasa Inggeris.Malah, Abdullah sendiri tidak ketinggalan untuk turut

belajar di maktab tersebut, bahkan medorong orang lain untuk sama-sama belajar di

maktab tersebut.

Kejayaan penubuhan maktab tersebut sebenarnya telah menunjukkan kepada kita

bahawa berlakunya pembentukan sebuah masyarakat baru di era transisi feudal ke

kolonialisme di Tanah Melayu.

Antara perubahan yang berlaku dalam masyarakat termasuklah pembentukan

sebuah masyarakat yang mendapat pendidikan formal di Melaka pada ketika itu

berbanding sebelumnya yang hanya tertumpu kepada pendidikan separa formal di

kelas-kelas pengajian al-Quran dan pendidikan tidak formal di rumah.

Page 19: Bab-3- Keunikan-karya-agung

19

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

iii. Pembentukan Masyarakat di Singapura:

Seterusnya, Abdullah Munsyi dalam karyanya juga turut menggambarkan

pembacanya mengenai pembentukan masyarakat di Singapura yang sebahagian

besarnya terdiri daripada golongan imigran terutamanya dari China.

Dalam hikayatnya juga, Abdullah turut memperincikan mengenai Singapura sebelum

daripada pembinaan loji Inggeris yang digambarkan sebagai sebuah kawasan hutan

sebelum Sultan Hussein bertindak membina istananya di Kampung Gelam. (Siti

Aisah Murad, 1996)

Berdasarkan penulisan Abdullah dalam Hikayat Abdullah, beliau telah

menggambarkan bagaimana masyarakat Singapura ketika beliau membantu menjadi

jurutulis kepada Stamford Raffles, Singapura dipenuhi oleh imigran Cina yang hadir

dalam jumlah yang ramai dan membawa budaya kongsi gelap mereka ke Singapura.

Dalam hikayatnya, Abdullah turut menceritakan bagaimana keberaniannya dalam

menyelinap masuk ke dalam kongsi gelap T‟ien Ti Hui di pedalaman Singapura. (A.H

Hill, 1969:15)

Dalam kisah penyelinapannya ke dalam kongsi gelap tersebut, Abdullah telah

bertindak menyamar sebagai seorang pengemis dan telah menyaksikan pembakaran

kertas nazar, upacara meminum darah di hadapan berhala dan seksaan ke atas ahli

kongsi gelap yang melanggar peraturan kongsi gelap tersebut. Kejayaan Abdullah

menyelinap itu telah memberikan satu gambaran kepada kita mengenai struktur

kongsi gelap Cina di Tanah Melayu pada ketika itu.

Seterusnya, bagi mengawal sebuah masyarakat di Singapura, Abdullah turut

mencatatkan bagaimana beliau ditugaskan untuk menulis satu undang-undang yang

menjadi hukum dan adat dalam negeri Singapura termasuklah hal berkaitan dengan

larangan perjudian dan menanam candu di Singapura oleh Raffles.

Menurut Siti Aisah Murad (1996), kebanyakan masyarakat menyambut baik undang-

undang yang dibuat Raffles kecuali masyarakat Cina. Catat Abdullah mengenai

undang-undang tersebut:

Page 20: Bab-3- Keunikan-karya-agung

20

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

“Maka adalah daripada masa surat itu sudah ditampalkan, maka

segala hukum dan adat dalam negeri Singapura pun tetaplah, maka segala

bangsa pun terlalulah sukacita sebab mendengarkan hukum dan adat yang

diadakan oleh Tuan Raffles itu; melainkan orang Cina juga yang tiada suka,

sebab dalam undang-undang itu menegahkan tiada boleh bermain judi, maka

sebab itu kebanyakan orang-orang Cina yang mengempas dan menarik

nafas panjang, maka adalah masing-masing mereka itu dengan masam

mukanya, serta mengumpat dan memaki akan Tuan Raffles sebab

menegahkan orang daripada bermain judi itu.”

Berdasarkan apa yang dicatatkan oleh Abdullah itu, maka jelaslah bahawa

pembentukan sebuah masyarakat di Singapura adalah jauh berbeza dengan

masyarakat di sekitarnya di alam Melayu pada masa tersebut.

Hal ini kerana kebanjiran imigran telah mengubah keadaan masyarakat termasuklah

pertentangan budaya di antara orang Cina dan orang tempatan Melayu terutamanya

dalam kegiatan perjudian, arak, candu dan kongsi gelap.

Contohnya, undang-undang yang dibuat oleh Raffles dalam mengharamkan judi dan

candu telah mendapat reaksi berbeza dalam kalangan penduduk tempatan, imigran

Cina dan pegawai Inggeris. Hal ini menunjukkan berlakunya pertembungan budaya

dalam kalangan masyarakat di Singapura pada waktu tersebut.

iv. Masyarakat yang Mengekalkan Amalan Perhambaan:

Seterusnya, aspek pembentukan masyarakat yang turut dimuatkan oleh Abdullah

dalam hikayatnya termasuklah penggunaan institusi perhambaan dalam masyarakat

pada ketika itu.

Menurut Kassim Ahmad (2004), ahli-ahli sejarah dan pengkaji masyarakat Malaysia

zaman pramoden terhutang budi kepada Abdullah kerana dua catatannya dalam

buku Hikayat Abdullah tentang kewujudan hamba abdi pada masa tersebut.

Page 21: Bab-3- Keunikan-karya-agung

21

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Misalnya, catatan beliau mengenai hamba yang telah dibawa oleh orang Bugis:

“ .... Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi aku turunlah ke laut

hendak pergi melihatkan itu. Maka apabila sampai ke perahu itu, maka kulihat

penuh sesak dengan hamba. Ada kira-kira tiga ratus orang: laki-laki,

perempuan, budak-budak. Ada yang bunting hampir beranak, yakni bunting

sarat. Maka terlalu kasihan hatiku melihat akan dia. Maka sebentar lagi

kulihat orang-orang Cina datang beratus-ratus hendak membeli itu....”

Keunikan Hikayat Abdullah dalam Aspek Pendidikan

Berdasarkan penulisan Abdullah dalam hikayatnya, aspek pendidikan adalah

merupakan aspek terpenting yang menjadi asas dalam kehidupan Abdullah.

Semenjak kecil, beliau dididik dengan ilmu pengetahuan dan apabila besarnya pula

menjadi guru, penterjemah, penulis dan pengkaji, bidang-bidang kehidupan yang

tidak lari daripada pendidikan.

Selain itu, Abdullah juga mengemukakan pelbagai kritikan dan saranan mengenai

pendidikan orang Melayu yang dilihat jauh ketinggalan pada zaman tersebut, selain

sikap tertutup orang Melayu yang menolak ilmu-ilmu moden dari Barat.

Menurut Kassim Ahmad (2004), Abdullah semenjak kecilnya dilahirkan dan

dibesarkan dalam satu tradisi ilmu bahasa Melayu dan agama ortodoks yang kukuh.

Hal ini disebabkan oleh Abdullah yang lahir dalam sebuah keluarga yang berilmu, di

mana bapanya Abdul Kadir merupakan seorang ahli bahasa, jurutulis dan khatib,

selain menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Selain itu, nenek kepada Abdullah yang bernama Peri Achi pula ialah seorang guru

besar di Kampung Pali, mengajar lebih kurang dua ratus orang murid membaca,

menulis dan mengaji al-Quran. (Siti Aisah Murad, 1996:3)

Page 22: Bab-3- Keunikan-karya-agung

22

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Disebabkan latar belakang keluarga Abdullah yang mempunyai ilmu pengetahuan

yang tinggi, Abdullah telah dibesarkan dalam situasi yang mementingkan pelajaran.

Menurut Siti Aisah Murad (1996), zaman kanak-kanak Abdullah telah dihabiskan

bersama neneknya di sekolah. Abdullah telah menjelaskan perkara ini di dalam

hikayatnya seperti berikut:

“Maka barang apa-apa pengajarannya kepada budak-budak itu

semuanya kuturut sahaja, itulah menjadi permainanku: dari bangun pagi

sehingga pukul enam petang tiadalah bunyi apa lain lagi melainkan riuh bunyi

belajar dan mengaji sahaja.”

Abdullah sejak umurnya tujuh tahun telah mula ditekankan dengan ilmu pengetahuan

apabila dirinya dihadiahkan dengan sekeping papan loh dan kalam resam menjadi

alat permainannya. Melalui papan itu jugalah beliau mula belajar melakar dan

membentuk perkataan dalam bentuk garis kasar.

Bapa Abdullah adalah seorang pendisiplin ilmu yang keras (Kassim Ahmad, 2004).

Disebabkan sikap bapanya yang tegas terhadap pelajaran Abdullah, akhirnya beliau

mampu untuk khatam al-Quran, memperoleh kemahiran membaca dan menulis

dengan baik.

Pembudayaan ilmu dalam diri Abdullah telah menyebabkan beliau menjadi seorang

yang gemar mencari ilmu. Antaranya, beliau telah berguru dengan dua orang ahli

bahasa Melayu yang terkemuka di Melaka pada ketika itu iaitu Datuk Sulaiman dan

Datuk Astur.

Melalui gurunya, beliau telah dapat menguasai pengetahuan bahasa Melayu dalam

simpulan perkataan, ikatan perkataan, rangkai perkataan, kuasa perkataan dan

tujuan perkataan. (Siti Aisah Murad, 1996: 5)

Menurut Kassim Ahmad (2004), selain mempelajari ilmu bahasa Melayu, Abdullah

juga telah bertindak mempelajari pelbagai bahasa pertuturan di Melaka pada ketika

itu seperti bahasa Tamil, Hindi, Cina dan Inggeris.

Page 23: Bab-3- Keunikan-karya-agung

23

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Seterusnya, sikap Abdullah dalam pendidikan ialah beliau bukan sahaja berminat

dalam mempelajari sesuatu ilmu, akan tetapi turut sama menyebar ilmunya dan

berusaha mengembangkan lagi ilmu tersebut.

Misalnya, semenjak kecil, Abdullah telah muncul sebagai seorang guru al-Quran

kepada supai-supai Benggali beragama Islam yang mengawal Kota Melaka.

Kemudiannya, Abdullah menjadi guru bahasa Melayu kepada orang-orang Eropah

termasuklah dua orang paderi iaitu Tuan Milne dan Tuan Keasberry.

Abdullah bukan sahaja menjadi seorang guru kepada bahasa Melayu, tetapi bercita-

cita tinggi mengembangkan lagi ilmu bahasa Melayu ke suatu tahap yang lebih

tinggi.

Misalnya, Abdullah telah mengkritik masyarakat Melayu yang langsung tidak

mempunyai walaupun sebuah sekolah untuk belajar bahasa Melayu. Kritik Abdullah

dalam hikayatnya:

“...adalah sebesar-besar hairan dalam hatiku sebab melihat hal adat

orang-orang kita Melayu itu, yang tiada diperbuat-buat oleh bangsa yang lain-

lain dalam dunia ini diperbuatnya! Adakah segala bangsa manusia dalam

dunia ini membuangkan bahasanya sendiri, tiada bertempat belajar

bahasanya itu, melainkan yang kulihat orang Melayulah yang tiada

mengendahkannya.”

Berdasarkan kritikan Abdullah ini, kita dapat lihat bagaimana tidak wujud inisiatif

dalam kalangan masyarakat Melayu untuk membina dan mewujudkan sebuah

sekolah bagi mempelajari bahasa Melayu iaitu bahasa pertuturan masyarakat

Melayu itu sendiri.

Abdullah di dalam hikayatnya turut menjelaskan betapa pentingnya menguasai

bahasa sendiri dalam kehidupan masyarakat sehari-hari. Catat Abdullah dalam

karyanya:

“Syahadan dapat tiada kalau ada suatu bangsa yang besar itu, maka

bahasanya pun besarlah, kerana sekalian perkara yang ada dalam dunia dan

akhirat itu semuanya terbit daripadanyalah, menjalankan pekerjaan dan

memberi nama tiap-tiap suatu itu dengan bahasa, dan mendatangkan

Page 24: Bab-3- Keunikan-karya-agung

24

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

kekayaan dan kemuliaan kebesaran bagi manusia itu pun daripada bahasa

datangnya. Maka bahasa itulah yang amat besar gunanya bagi manusia ini

dunia akhirat adanya. Maka patutkah ia itu tiada engkau endahkan?”

Berdasarkan sikap Abdullah terhadap ilmu bahasa Melayu, beliau telah menekankan

peri pentingnya bahasa Melayu baik sebagai panduan di dunia mahupun di akhirat.

Selain menekankan mengenai perlunya ada sebuah sekolah mengajar bahasa dan

menekankan pentingnya untuk mempelajari bahasa, Abdullah turut menekankan

tentang keperluan mewujudkan sebuah kitab nahu bahasa Melayu yang menjadi

panduan kepada masyarakat Melayu. Keluh Abdullah dalam hikayatnya:

“....Bermula bahasa Melayu ini bukankah seperti hutan rimba

besar keadaannya, penuh dengan semak samun dan duri pun

berceracangan dan akar pun bersengkarut, dan kayu pun lintang-

pukang dan lorongnya pun simpang-siur dan tanahnya pun tinggi

rendah? Maka daripada zaman adanya bahasa itu sampai sekarang

ini adakah seorang yang bernafsu hendak membetulkan atau

mengaturkan jalannya atau hukumnya?”

Seterusnya, sikap Abdullah terhadap ilmu begitu tinggi. Beliau cukup menghargai

ilmu pengetahuan yang dimilikinya seperti yang dijelaskan beliau dalam hikayatnya:

“Kupohonkan kepada Allah SWT agar memberikan kerahmatan,

kesejahteraan dan kebajikan kepada guru-guruku yang telah memberikan

ilmu pengetahuan sehingga aku tidak terkena emas lancungan atau perak

lancungan, dan intan disangka batu kelikir. Kebanyakan orang yang tidak

mempunyai ilmu pengetahuan, tidak akan menyedari sama ada sesuatu

perkara itu baik jahat ataupun salah benar.”

Page 25: Bab-3- Keunikan-karya-agung

25

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Keunikan Hikayat Abdullah dalam Aspek Pemikiran

Dalam berbicara mengenai keunikan Hikayat Abdullah menerusi aspek pemikiran,

tidak disangkal lagi Abdullah bukan sahaja seorang guru, penterjemah, penulis

ataupun pengkaji, akan tetapi beliau juga adalah seorang pemikir.

Menurut Kassim Ahmad (2004), Abdullah bukan sahaja merupakan seorang penulis

Melayu yang agung; beliau juga merupakan seorang mujaddid dan ahli fikir. Buah

fikirannya, walaupun sudah berusia lebih seratus lima puluh tahun, masih tetap segar

dan sesetengahnya masih perlu diusahakan oleh masyarakat Malaysia pada hari ini.

Berdasarkan penceritaan Abdullah dalam hikayatnya, kita dapat melihat bagaimana

pemikiran Abdullah yang liberal dan terkehadapan berbanding masyarakat yang

sezaman dengannya, terutamanya terhadap ilmu-ilmu Inggeris, terhadap Injil dan

Kristian dan kritikan-kritikan beliau terhadap kemunduran masyarakat Melayu yang

menebal dengan kepercayaan lama yang penuh dengan kekarutan.

Menurut Kassim Ahmad (2004), Abdullah Munsyi melalui pergaulannya dengan

tokoh-tokoh Inggeris seperti Stamford Raffles dan William Farquhar telah

terpengaruh dengan idea-idea rennaisance (kelahiran semula) yang melanda Eropah

pada ketika itu. Pegawai Inggeris seperti Raffles dan Farquhar ini dilihat cenderung

kepada pemikiran rasionalis dan humanis dalam diri mereka dan perkara ini cukup

terkesan kepada Abdullah.

Menurut Kassim Ahmad (2004), Abdullah dilihat tertarik dengan idea-idea baru

rennaisance seperti martabat tinggi individu, kebebasan individu, kemuliaan yang

diberi kepada ilmu, pemerintahan mengikut undang-undang, semangat tekun,

kebersihan, perancangan dan disiplin dalam kehidupan.

Disebabkan oleh terpengaruhnya beliau terhadap fahaman rasionalis, Abdullah

secara terang telah menolak sebarang bentuk khurafat, tahyul dan kepercayaan

karut lain yang bersebati dalam pemikiran orang-orang Melayu pada ketika itu. Hal

ini dapat dilihat melalui kritikan Abdullah terhadap kepercayaan khurafat dalam

masyarakat Melayu:

Page 26: Bab-3- Keunikan-karya-agung

26

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

“....Segala hantu syaitan yang tersebut itu pun halnya kudapati

bohong dan tipu dan perdaya dan silap mata. Maka sebab itulah berani aku

bersumpah menyebut nama Allah mengatakan bukannya benar; hanya

semata-mata kejahatan dalamnya dunia dan akhirat. Maka adapun orang

yang percaya dan orang yang berbuat dan orang yang membenarkan

pekerjaan itu sama hukumnya menduakan Allah, sekali-kali tiada yang lain

daripada Allah yang boleh memberi baik atau jahat, dan yang mematikan dan

menghidupkan, dan yang mendatangkan sesuatu bahaya atau kesukaran di

atas hamba-Nya....”

Seterusnya, pemikiran humanis Abdullah pula dapat dilihat melalui kritikannya ke

atas kezaliman raja pada waktu itu ke atas masyarakat Melayu. Tulis Abdullah dalam

hikayatnya:

“... sebab aku menyatakan zalim dan aniaya perintah raja-rajanya

karena sentiasa tabiat raja Melayu itu, iaitu menghinakan rakyatnya, seolah-

olah pada pemandangannya akan rakyat itu seperti binatang, adanya. Maka

sebab itulah apabila rakyatnya itu bertemu dengan dia dapat tiada hendaklah

ia dapat duduk di tanah, baik di becak, baik di kotor. Dan lagi, apabila raja-

raja itu menghendaki baik anak-anak perempuan, atau barang suatu harta

benda rakyatnya, diambilnya sahaja tanpa menjadi suatu kesusahan atau

takut kepada Allah...”

Berdasarkan pengkisahan mengenai raja-raja Melayu di dalam hikayatnya itu,

ternyata Abdullah telah dipengaruhi oleh pemikiran humanis Barat yang menjunjung

tinggi kebebasan dan martabat setiap individu yang diperjuangkan olehnya.

Pemikiran Abdullah ini penuh dengan islah (pembaharuan) dengan mengkritik secara

terbuka ke atas raja-raja Melayu dan masyarakat Melayu yang dianggap sebagai

bodoh dan malas. Malah, pemikiran islah yang telah dimulakan Abdullah ini telah

diteruskan pula oleh angkatan pemikir Timur Tengah dalam Gerakan Islah seperti

Syed Syeikh al-Hadi. (Kassim Ahmad, 2004)

Seterusnya, pemikiran Abdullah juga dilihat sarat dengan kecintaannya terhadap

bahasa Melayu, Inggeris dan ilmu pengetahuan. (Siti Aisah Murad, 1996:12)

Page 27: Bab-3- Keunikan-karya-agung

27

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Misalnya, pemikiran Abdullah terhadap bahasa Inggeris adalah berlawanan dengan

sikap dan pemikiran masyarakat Melayu yang lain terhadap ilmu tersebut. Tulis

Abdullah mengenai kepentingan bahasa Inggeris:

“.... sudah berapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu serta

memberitau akan mereka itu bahawa sekali-kali Inggeris hendak

memasukkan seseorang ke dalam agamanya kalau yang empunya diri tiada

suka, melainkan supaya kamu boleh belajar dan mengetahui bahasa kamu

dan bahasa Inggeris, kelak nanti di belakang banyak gunanya. Kalau sudah

pandai, engkau sekalian boleh mencari kehidupan dengan mudahnya.”

Selain itu juga, pemikiran Abdullah dalam hikayatnya juga penuh dengan

keterbukaan. Sebagai contoh, Abdullah telah bertindak membantu Tuan Thomsen

menterjemah kitab Injil Matius ke dalam bahasa Melayu. (Siti Aisah Murad, 1996:7)

Keadaan ini menyebabkan Abdullah dihina dan dipulau oleh masyarakat Melaka dan

digelar sebagai “Abdullah Paderi” disebabkan tindakannya yang dilihat sebagai

menyalahi agama.

Keunikan Hikayat Abdullah dalam Aspek Kritikan Sosial

Abdullah Munsyi dalam hikayatnya secara terbuka melakukan kritikan ke atas beberapa

pihak termasuklah raja-raja Melayu, masyarakat Melayu dan sebahagian pegawai

Inggeris yang tidak dianggap sebagai tidak bermoral. Antara kritikan Abdullah

termasuklah:

i. Kritikan Abdullah terhadap Raja-raja Melayu:

Abdullah mengkritik sikap raja-raja Melayu yang zalim. Misalnya, sebahagian

raja-raja Melayu akan mengambil harta benda rakyat dan wanita yang diminati

mereka sesuka hati.

Abdullah menganggap sikap raja-raja Melayu yang zalim itu menyebabkan orang

Melayu kekal dalam kebodohan.

Page 28: Bab-3- Keunikan-karya-agung

28

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Abdullah mengkritik sikap Tengku Long yang enggan berniaga ketika diusulkan

Raffles kerana kononnya bukan adat golongan diraja untuk berniaga. Abdullah

mengkritik sikap Tengku Long yang dilihat malas berkerja dan hanya

mengharapkan kesenangan tanpa berusaha.

ii. Kritikan Abdullah terhadap Masyarakat Melayu:

Abdullah mengkritik masyarakat Melayu yang terpengaruh dengan tahyul dan

kepercayaan karut marut seperti hantu jembalang dan adat menjual anak.

Abdullah mengkritik sikap masyarakat Melayu yang tidak mempunyai usaha

untuk mengajarkan bahasanya sendiri.

Abdullah mengkritik sikap masyarakat Melayu yang tertutup dan enggan

memajukan diri dengan ilmu pengetahuan yang dibawa oleh Inggeris atas

dakwaan kononnya ilmu Inggeris boleh merosakkan akidah.

iii. Kritikan Abdullah terhadap orang Eropah di Melaka:

Abdullah mengkritik sikap Tuan Milne dan Tuan Thomsen yang pandai-pandai

mengajarnya bahasa Melayu sedangkan Abdullah merasakan yang beliau lebih

tahu.

Abdullah mengkritik sikap bengis dan kejam Tuan Bean yang mempunyai hobi

yang menyeksa binatang dan suka menyakiti tubuh manusia.

Keunikan Hikayat Abdullah dalam Aspek Peranan Wanita

Walaupun Hikayat Abdullah dilihat tertumpu kepada penceritaan mengenai diri

beliau, akan tetapi terdapat juga beberapa watak wanita yang turut diketengahkan

dalam penulisan Abdullah yang memainkan peranan penting dalam hikayat tersebut.

Antaranya termasuklah nenek kepada Abdullah iaitu Peri Achi. Menurut Siti Aisah

Murad (1996), Peri Achi adalah merupakan seorang guru besar sebuah sekolah di

Kampung Pali yang mengandungi lebih kurang 200 orang murid. Sekolah tersebut

menekankan pelajaran membaca, menulis dan mengaji al-Quran.

Page 29: Bab-3- Keunikan-karya-agung

29

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Malah, Abdullah juga turut mendapat pendidikan awal bersama neneknya semasa

bapanya berniaga di Siak.

Berdasarkan peranan yang dimainkan oleh Peri Achi, hal ini menunjukkan

bagaimana wanita pada zaman Abdullah telah memainkan peranannya dalam

menjadi tenaga pendidik dalam kalangan masyarakat Melayu. Hal ini secara tidak

langsung juga turut menunjukkan bagaimana wanita turut berperanan dalam

membangunkan anak bangsanya pada ketika itu.

Seterusnya, watak wanita yang turut memainkan peranannya dalam Hikayat

Abdullah termasuklah ibu kepada Abdullah sendiri iaitu Salamah.

Menurut Siti Aisah Murad (1996), ibu Abdullah sebelum bernikah dengan bapanya

adalah merupakan seorang wanita India beragama Hindu yang berasal dari Kedah.

Peranan Salamah dalam hikayat ini menggambarkan beliau sebagai seorang ibu

yang penyayang dalam menjaga anak tunggalnya iaitu Abdullah. Walaupun beliau

mendapat seorang suami yang keras dalam mendisiplinkan anaknya, beliau tidak

pernah mencampuri urusan suaminya itu, malah sentiasa menyokong tindakan

suaminya dan menasihati Abdullah supaya bersabar dalam menuntut ilmu.

Selain itu, watak wanita yang turut diceritakan oleh Abdullah dalam hikayatnya

termasuklah isteri Tuan Raffles. Berdasarkan perwatakan yang ditunjukkan oleh

isteri Tuan Raffles, beliau telah memainkan peranan dalam menonjolkan citra

seorang wanita Barat yang berpekerti tinggi sesuai dengan tarafnya sebagai isteri

seorang pegawai tinggi Inggeris.

Catat Abdullah mengenai isteri Tuan Raffles:

“Mengenai isteri Tuan Raffles, kulihat dia bukan sembarang

perempuan. Setiap hari dia seperti suaminya. Semua kerjanya dilakukan

dengan tertib dan sopan dan berwajah manis apabila bertemu dengan orang

sama ada miskin ataupun kaya.”

Page 30: Bab-3- Keunikan-karya-agung

30

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

KEUNIKAN TUHFAT AL-NAFIS

Karya Tuhfat al-Nafis karangan Raja Ali Haji merupakan sebuah sastera sejarah

yang bersifat Bugis-centric yang berkisar kepada salasilah raja Melayu dan Bugis,

kedatangan Bugis ke alam Melayu serta peristiwa-peristiwa penting yang melibatkan

masyarakat Bugis dalam percaturan politik di alam Melayu.

Secara umumnya, karya karangan Raja Ali Haji ini sarat dengan pelbagai aspek

yang menjadikannya sebuah karya bercorak sejarah yang unik termasuklah dalam

aspek pembinaan jati diri bangsa, pembentukan masyarakat, pendidikan, pemikiran,

kritikan sosial dan peranan wanita.

Keunikan Tuhfat al-Nafis dalam Aspek Pembinaan Jati Diri Bangsa

i. Jati Diri Bugis yang Menebal:

Seperti yang diketahui, pengarang teks Tuhfat al-Nafis iaitu Raja Ali Haji merupakan

seorang penasihat raja yang berketurunan raja dalam Kesultanan Riau-Lingga.

Kedudukan dirinya yang masih berada dalam lingkungan keluarga diraja Riau-Lingga

itu telah menyebabkan wujudnya jati diri Bugis yang kukuh dalam diri Raja Ali Haji.

Oleh itu, maka tidak hairanlah apabila Raja Ali Haji dilihat lebih bersifat Bugis-centric

dan mengagungkan masyarakat Bugis dalam penulisannya.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1988), rata-rata pembesar berketurunan Bugis

dalam istana Riau menyedari bahawa mereka adalah golongan Bugis yang berhijrah

dari Sulawesi dan Makassar ke kawasan Johor-Riau, oleh itu maka tidak hairanlah

apabila pengaruh Bugis yang kuat tersemat dalam jati diri para pembesar dalam

istana Riau masih menebal dalam diri mereka termasuklah Raja Ali Haji.

Di dalam penulisan Tuhfat al-Nafis, Raja Ali Haji dilihat bertindak terlalu mengagung-

agungkan bangsa Bugis dengan memuliakan pahlawan Bugis termasuklah sifat

orang Bugis yang mempunyai daya kepahlawanan, kesetiaan, kekuasaan dan

kecekapan dalam berperang. (Jalal Ahmad, 1986:218)

Page 31: Bab-3- Keunikan-karya-agung

31

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Malah, di suatu tahap pula, Raja Ali Haji turut mendakwa bahawa Hang Tuah yang

terkenal sebagai seorang pahlawan terkemuka pada zaman Kesultanan Melayu juga

adalah merupakan seorang yang berketurunan Bugis. Menurut Jalal Ahmad (1986),

sikap Raja Ali Haji dalam penulisannya itu seolah-olah mengagung-agungkan suku

Bugis sebagai bangsa yang terbaik di dunia.

ii. Jati Diri Islam dalam Masyarakat:

Seterusnya, menurut Jalal Ahmad (1986), jati diri masyarakat di Kepulauan Riau-

Lingga pada ketika itu adalah merupakan sebuah masyarakat yang berpegang teguh

dengan ajaran Islam. Hal ini disebabkan oleh kemunculan Penyengat sebagai pusat

keilmuan Islam yang penting pada masa tersebut walaupun menghadapi ancaman

budaya daripada penjajahan Belanda di seluruh Indonesia termasuklah kawasan

Kepulauan Riau-Lingga.

Jati diri masyarakat Riau-Lingga yang taat beragama dijelaskan oleh Tuhfat al-Nafis

seperti berikut,

“Maka Yang Dipertuan Muda pun menitahkan tuan-tuan sayyid dan

haji-haji dan lebai-lebai tahlil tiap-tiap malam....”

Selain itu, jati diri masyarakat Riau-Lingga yang kuat beragama diceritakan dalam

Tuhfat al-Nafis mengenai Sultan berserta para pembesarnya yang begitu gemar

menuntut ilmu berkenaan agama Islam.

Misalnya, Sultan Abdul Rahman I ibni Sultan Mahmud (mangkat tahun 1818) gemar

memakai jubah Arab dan amat kuat beribadat, serta didampingi oleh para sayyid

saban hari. Selain itu, Tuhfat al-Nafis juga turut mencatatkan Yamtuan Raja Ali telah

berguru dengan Syeikh Abdul Ghaffur al-Maduri dan merupakan seorang pengamal

tariqat as-Samaniyyah atau al-Khalwatiyyah. (Muhammad Yusoff Hashim, 1988:485)

Seterusnya, berdasarkan corak penulisan Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis, corak

penulisan berunsurkan mitos dan mistik telah mula ditinggalkan dan sebarang

perkara yang dianggap tidak sahih kejadiannya ditulis sebagai „konon‟ atau „kata

setengah kaul‟ dan sebagainya. (Jalal Ahmad, 1986:215).

Page 32: Bab-3- Keunikan-karya-agung

32

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Menurut Jalal Ahmad (1986), unsur-unsur mistik dan mitos telah mula ditinggalkan

oleh Raja Ali Haji dalam penulisannya kerana dianggap sudah tidak sesuai dengan

zamannya. Hal ini menunjukkan bahawa jati diri masyarakat Melayu di Riau pada

ketika itu telah mula keluar daripada kepercayaan lama yang terlampau

mempercayai mitos, mistik dan dongeng terutamanya yang berkaitan raja mereka.

Keunikan Tuhfat al-Nafis dalam Aspek Pembentukan Masyarakat

Karya Tuhfat al-Nafis berlatarkan masa dari abad ke-17 hingga abad ke-19 Masihi.

Zaman tersebut adalah merupakan satu tempoh masa yang genting kepada

geopolitik di alam Melayu terutamanya melibatkan jatuh bangunkan Kesultanan

Johor-Riau-Lingga.

Sejarah kerajaan Kesultanan Johor-Riau-Lingga telah menyaksikan pelbagai

peristiwa politik sehingga membawa kepada campurtangan pengaruh Bugis dalam

kerajaan tersebut.

Hal ini bermakna, kerajaan Kesultanan Johor-Riau-Lingga telah menyaksikan satu

pembentukan masyarakat yang berbilang suku dan etnik seperti Melayu, Orang Selat

dan Bugis walaupun kesemua mereka masih boleh dianggap sebagai satu rumpun

Melayu yang tunggal.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1988), teks Tuhfat al-Nafis telah

menggambarkan kepada pembacanya mengenai pembentukan sebuah masyarakat

Bugis yang telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu dalam kerajaan Johor-

Riau.

Kebijaksanaan orang-orang Bugis yang berhijrah ke Johor dalam berpolitik,

perkahwinan campur di antara orang Bugis dan wanita tempatan dan peranan yang

dimainkan masyarakat Bugis dalam menangkis serangan Raja Kechil dari Siak telah

menyebabkan orang Bugis dianggap telah meresap ke dalam masyarakat Melayu

dan dianggap sebagai sebahagian daripada masyarakat Johor-Riau pada masa

tersebut. (Muhammad Yusoff Hashim, 1988: 487)

Page 33: Bab-3- Keunikan-karya-agung

33

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Seterusnya, teks Tuhfat al-Nafis juga telah memberikan satu gambaran kepada para

pembacanya mengenai pembentukan masyarakat di Riau-Lingga yang telah

terpecah daripada Kesultanan Johor akibat campur tangan Barat di alam Melayu.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim, zaman Raja Ali Haji adalah merupakan satu

zaman yang telah menyaksikan bagaimana pecahnya Kesultanan Johor-Riau

disebabkan oleh Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Sebelumnya, kekalahan orang Bugis kepada Belanda dalam perang pada 1784 telah

menyaksikan Riau menerima seorang Residen Belanda yang berpengkalan di

Tanjong Pinang. Hal ini akhirnya telah menyebabkan kuasa masyarakat Bugis yang

menduduki jawatan Yamtuan Muda akhirnya terhapus dengan jawatan yang terakhir

disandang oleh Yamtuan Muda Ali.

Selain itu, teks Tuhfat al-Nafis juga turut menggambarkan pembentukan sebuah

masyarakat yang berpegang teguh agama Islam disebabkan kemasukan para alim

ulama ke Riau.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1988), kepatuhan masyarakat Riau beragama

turut disumbang kepada kealiman para pemerintahnya dalam beragama termasuklah

Sultan Abdul Rahman I dan Yamtuan Muda Ali, Yamtuan Muda kesepuluh dan yang

terakhir dalam tradisi kerajaan Johor-Riau-Lingga.

Keunikan Tuhfat al-Nafis dalam Aspek Pendidikan

Walaupun abad ke-19 adalah satu zaman yang telah menyaksikan kejatuhan kuasa

politik Melayu Riau-Lingga, pada zaman tersebutlah berlakunya kegemilangan dan

peningkatan tamadun Melayu dalam bidang bahasa, kesusasteraan, kebudayaan

yang berteraskan Melayu-Islam, serta pendidikan dan ilmu pengetahuan.

(Muhammad Yusoff Hashim, 1988:510)

Page 34: Bab-3- Keunikan-karya-agung

34

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Menurut Khalif Muammar A.Harris (2011), kerajaan Riau-Lingga sebagaimana yang

dikisahkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis memiliki budaya ilmu yang luar

biasa dan tradisi agama yang cukup kuat, walaupun berlaku di sebuah tempat yang

terpencil iaitu di Penyengat dalam Kepulauan Riau.

Tradisi keilmuan yang berkembang dalam Kesultanan Riau-Lingga banyak

disumbangkan oleh peranan yang dimainkan oleh para pembesar kerajaan tersebut.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1988), kebanyakan pembesar Riau adalah

sangat mencintai ilmu pengetahuan, dan kemudiannya bertindak menyebarkan pula

ilmu yang telah diperoleh.

Tradisi keilmuan ini bermula apabila Yamtuan Muda keenam iaitu Raja Jaafar ibni

Raja Haji menjawat jawatan tersebut telah memulakan satu tahap kesusasteraan

dan kebudayaan yang berteraskan Melayu-Islam dalam kerajaan Johor-Riau-Lingga.

Sepanjang pemerintahannya, beliau telah menjemput para alim ulama untuk

menyampaikan ilmu kepada para pembesar di Penyengat.

Hasilnya, para pembesar Riau telah menunjukkan kecintaan mereka terhadap ilmu

pengetahuan. Misalnya, Raja Ali Kelana dan Tengku Othman ibni Almarhum Sultan

Abdul Rahman Muazzam Syah telah bertindak berkelana ke Kaherah, Mesir bagi

mendalami bidang agama Islam di sana. (Muhammad Yusoff Hashim, 1988:486)

Selain menerima pendidikan Islam, anak-anak pembesar Riau turut menerima

pendidikan Barat di sekolah elit Belanda di Bandung seperti Daeng Menambun ibn

Raja Ali Haji dan seorang anakanda kepada Sultan Abdul Rahman Muazzam Syah.

Tuhfat al-Nafis telah mencatatkan mengenai peranan Penyengat di Kepulauan Riau

yang muncul sebagai pusat keilmuan Islam dengan kehadiran ramai tokoh ulama di

kawasan tersebut. Antara ulama yang telah menyampaikan ilmu mereka di Riau

termasuklah Tuan Shahabuddin ibn Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh

Ahmad Jibrati, Haji Hamin al-Banjari, Kyai Berenjang, Haji Abu Bakar, Syed Hassan

al-Haddad dan Habib Syed Saqqaf. (Muhammad Yusoff Hashim, 1988:485)

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1988), Tuhfat al-Nafis telah menjelaskan

mengenai peranan ulama-ulama yang hadir ke Riau dalam mengajarkan ilmu-ilmu

agama yang berkaitan termasuklah ilmu saraf, usuluddin, nahu dan mantik.

Page 35: Bab-3- Keunikan-karya-agung

35

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Antara kitab-kitab agama yang terkenal yang ada di Riau termasuklah Sabil al-

Hidayah, Minhaj at-Talibin, Ihya’ Ulumuddin, Bustanul Arifin dan Ithaf al-Murid.

Kehadiran para ulama di Riau juga telah mengembangkan lagi ilmu tarikat di Riau

seperti tarikat as-Samaniyyah dan al-Khalwatiyyah.

Selain itu, menurut Khalif Muammar A.Harris (2011), karya Tuhfat al-Nafis sendiri

turut memberikan kepada para pembacanya mengenai aspek keilmuan yang

terdapat pada pengarangnya iaitu Raja Ali Haji terutamanya apabila penulisannya

merangkumi aspek sastera, sejarah dan ilmu pemikiran bernegara yang diolah oleh

penulis. Hal ini menunjukkan bahawa karya Tuhfat al-Nafis mampu menjadi satu

karya yang menyampaikan ilmu dan panduan kepada para pembacanya.

Berdasarkan tulisan Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis, penggunaan tajuk karyanya

menggunakan perkataan Arab secara tidak langsung turut menggambarkan betapa

besarnya pengaruh keilmuan Islam dalam kerajaan Riau-Lingga pada masa tersebut.

Keunikan Tuhfat al-Nafis dalam Aspek Pemikiran

Menurut Jalal Ahmad (1986), pemikiran Raja Ali Haji dalam karyanya dianggap

bersifat Bugis-centric. Dalam kebanyakan hal, suku Bugis cuba dilihat sebagai satu

bangsa yang kuat dan berjaya, selain mempengaruhi banyak perkara dan keputusan

di alam Melayu.

Antaranya, pemikiran Raja Ali Haji yang dilihat bersifat Bugis-centric dalam

penulisannya dalam Tuhfat al-Nafis termasuklah apabila beliau mendakwa bahawa

Hang Tuah yang merupakan seorang panglima dalam zaman Kesultanan Melayu

Melaka itu adalah merupakan seorang yang berketurunan Bugis.

Hal ini bagi mengukuhkan gambaran mengenai kepahlawanan Bugis yang

ditonjolkan dalam karya tersebut. (Jalal Ahmad, 1986: 218). Malah, dalam satu

bahagian yang lain, Raja Ali juga dilihat mengangkat darjat suku Bugis dengan

menyatakan bahawa orang-orang Bugis adalah merupakan keturunan baginda Nabi

Muhammad S.A.W.

Page 36: Bab-3- Keunikan-karya-agung

36

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Seterusnya, pemikiran Raja Ali Haji dalam mengarang Tuhfat al-Nafis adalah

cenderung untuk meletakkan keobjektifan sejarah ketika menulis.

Walaupun beliau dilihat sebagai seorang yang bersifat Bugis-centric, namun

penulisannya masih lagi menggunakan sumber-sumber luar dalam menguatkan hasil

penulisannya.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1988), antara sumber luar yang menjadi

rujukan Raja Ali Haji termasuklah sumber dari Terengganu, Siak, Selangor dan

Pontianak. Selain itu, sumber dalaman yang digunakan oleh Raja Ali Haji

termasuklah catatan-catatan yang sedia ada dalam istana Riau serta hikayat-hikayat

Bugis dari Sulawesi dan Makassar.

Pemikiran Raja Ali Haji dalam penulisannya adalah berbeza dengan penulisan

hikayat-hikayat sebelum daripadanya. Menurut Jalal Ahmad (1986), walaupun tujuan

penulisan Tuhfat al-Nafis masih berkisar pada salasilah raja-raja Melayu dan Bugis,

namun penulisannya dalam menggambarkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku

ditulis dengan lebih memberikan tumpuan kepada sebab musabab suatu perisitiwa

itu berlaku.

Selain itu, bagi memastikan penulisan beliau dianggap benar dan tepat, Raja Ali Haji

juga dilihat cuba untuk meletakkan penggunaan tarikh dalam peristiwa yang

dicatatkan dalam karyanya itu. (Muhammad Yusoff Hashim, 1988)

Seterusnya, berdasarkan peristiwa yang telah dicatatkan oleh Raja Ali Haji dalam

penulisannya, pemikiran masyarakat Bugis dalam pelbagai peristiwa dilihat sebagai

seorang yang berfikiran oportunis kepada peluang dan keadaan yang ada.

Masyarakat Bugis dalam penghijrahan mereka keluar dari Makassar dalam kisah

Daeng Lima Bersaudara telah menunjukkan bagaimana mereka mampu untuk

mengambil kesempatan ke atas pertikaian yang berlaku di antara Sultan Bendahara

Tun Abdul Jalil dan Raja Kechil dari Siak yang cuba untuk merebut taktha kerajaan

Johor-Riau.

Disebabkan kepintaran Daeng Merewah lima bersaudara, akhirnya mereka berjaya

mendapatkan kuasa politik dalam istana Johor dengan memegang jawatan Yamtuan

Muda.

Page 37: Bab-3- Keunikan-karya-agung

37

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Malah, Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis telah menjelaskan bagaimana

berkuasanya Yamtuan Muda dalam istana Johor pada ketika itu. Menurutnya,

“Yamtuan Besar (Sultan) menjadi seperti perempuan sahaja; jika

diberi makan baharu makan ia; Yamtuan Muda menjadi seperti laki-laki; dan

jika datang satu-satu hal atau apa jua bicara melainkan apa kata Yamtuan

Muda”.

Berdasarkan peristiwa tersebut, nyatalah bagaimana pemikiran suku Bugis yang

dilihat pandai mengambil peluang yang diperoleh mereka dalam meneruskan

survival kehidupan mereka setelah kejatuhan Bugis di Sulawesi.

Seterusnya, menurut Khalif Muammar A.Harris (2011), pemikiran masyarakat Riau-

Lingga yang ditonjolkan dalam Tuhfat al-Nafis juga adalah merupakan masyarakat

yang terpengaruh dengan pemikiran Islam yang kukuh dan teguh.

Keadaan ini turut disumbangkan oleh kemunculan ramai tokoh ulama Islam ke

kawasan Riau terutamanya di Pulau Penyengat. Berdasarkan teks Tuhfat al-Nafis,

kebanyakan pembesar Riau dan termasuk Sultannya adalah mereka yang

cenderung kepada pemikiran Islam seperti Yamtuan Muda Raja Ali Kelana (Yamtuan

Muda terakhir) dan Sultan Abdul Rahman I.

Pemikiran Islam para pembesar Riau digambarkan dalam Tuhfat al-Nafis apabila

mereka dilihat lebih cenderung kepada aktiviti keilmuan Islam, selain sentiasa

mendekatkan diri kepada Allah dan mengingati kematian.

Keunikan Tuhfat al-Nafis dalam Aspek Kritikan Sosial

Raja Ali Haji mengkritik perlakuan Sultan Mahmud Syah II yang dianggap sebagai

kurang waras kerana dikatakan beristerikan seekor peri (jin) yang kuat cemburu

serta mempunyai nafsu songsang ke atas lelaki.

Page 38: Bab-3- Keunikan-karya-agung

38

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

Raja Ali Haji juga mengkritik sikap orang Melayu yang dilihat cemburu dengan

masyarakat Bugis yang mendapat layanan yang baik dan rapat dengan Sultan

Sulaiman.

Raja Ali Haji juga mengkritik sikap Raja Terengganu dan beberapa pembesar Melayu

yang berpakat untuk melakukan fitnah dan cuba untuk menghalau Bugis dari Tanah

Melayu, termasuklah meminta bantuan Belanda menghalau Bugis. Dikhabarkan,

Sultan Terengganu sanggup membenarkan Belanda menguasai perdagangan lada

di Terengganu dengan syarat pengaruh Bugis dapat dilenyapkan.

Keunikan Tuhfat al Nafis dalam Aspek Peranan Wanita

Di dalam karya Tuhhfat al-Nafis karya Raja Ali Haji, terdapat beberapa nama wanita

yang telah ditonjolkan oleh penulis.

Salah seorang daripadanya ialah Siti Malangkik. Menurut Muhammad Yusoff Hashim

(1988), Siti Malangkik adalah merupakan raja pertama Bugis. Tulis Raja Ali Haji

dalam Tuhfat al-Nafis,

“Syahadan adalah Siti Malangkik itu menjadi raja kerajaan di Selangi.

Maka ia bersuamikan raja Bugis yang besarnya sekali di negeri Luwuk. Maka

Siti Malangkik inilah beranakkan Datuk Palingik inilah beranakkan Patotok,

beranakkan Betara Guru...”

Berdasarkan tulisan Raja Ali Haji yang bersandarkan kepada sumber Bugis iaitu I La

Galigo, Siti Malangkik bukan sahaja merupakan raja pertama Bugis, akan tetapi juga

berperanan sebagai wanita yang melahirkan zuriatnya yang menjadi pewaris takhta

kepada kerajaan Bugis di Sulawesi.

Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1988), Raja Ali Haji menjelaskan bahawa

masyarakat Bugis juga percaya bahawa Siti Malangkik dan sekian raja-raja Bugis

Page 39: Bab-3- Keunikan-karya-agung

39

Nota

Pensejarahan Malaysia (SJH3102)

hazmanazhar© 2013

adalah berasal dari keturunan Puteri Balqis, seorang pemerintah di negeri Saba‟ di

Timur Tengah yang terkenal dalam sejarah Islam.

Melalui kepercayaan tersebut, masyarakat Bugis sebenarnya telah mengangkat

darjat wanita ke satu tahap yang tertinggi dengan mempercayai bahawa raja-raja

mereka adalah merupakan keturunan seorang raja wanita yang mulia, selain

masyarakat Bugis sendiri yang telah bertindak mengangkat seorang wanita iaitu Siti

Malangkik menjadi raja mereka di Selangi.

Selain itu, kisah wanita lain yang dimuatkan oleh Raja Ali Haji dalam karyanya

termasuklah isteri kepada Megat Seri Rama yang telah dibunuh oleh Sultan Mahmud

Syah II (Marhum Mangkat Dijulang).

Menurut Jalal Ahmad (1986), isteri Megat Seri Rama telah dibunuh oleh Sultan

disebabkan memakan buah nangka yang terdapat di dalam kebun istana Sultan.

Kematian isteri Megat Seri Rama ini sebenarnya telah memainkan peranan besar

kepada para pembesar dalam istana Johor dalam menghukum Sultan yang dianggap

tidak layak menjadi Sultan disebabkan tingkah lakunya yang mengaib dan

memalukan termasuklah bernafsu songsang dan dikatakan beristerikan seekor peri

(jin).

Seterusnya, antara nama wanita yang turut disebut dalam Tuhfat al-Nafis

termasuklah seorang wanita yang bernama Che‟ Mi.

Menurut Raja Ali Haji dalam Tuhfat al-Nafis, Sultan Abdul Jalil (Sultan Bendahara)

selepas berlakunya pembunuhan ke atas Sultan Mahmud II (Marhum Mangkat

Dijulang) telah bertindak membunuh semua isteri al-Marhum Sultan yang masih

hamil kecuali seorang isteri baginda yang bernama Che‟ Mi. (Jalal Ahmad, 1986:

215)

Dalam peristiwa ini, Che‟ Mi yang hamil telah berjaya dilarikan ke Minangkabau dan

melahirkan seorang pewaris kepada Sultan Mahmud II yang kemudiannya dikenali

sebagai Raja Kechil dari Siak.

Berdasarkan kisah ini juga, peranan yang telah dimainkan oleh Che‟ Mi cukup besar

dalam memastikan waris Sultan yang sah dari keturunan Bukit Siguntang sejak era

Kesultanan Melayu Melaka menjadi pengganti kepada Sultan Mahmud Syah II.